Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • GALERI: Toyota Vios GR Sport – RM95k, lebih sporty

    GALERI: Toyota Vios GR Sport – RM95k, lebih sporty

    Semasa pelancaran model baru Toyota semalam, satu model istimewa yang menjadikan Malaysia sebagai pasaran pertama dalam Asia Pasifik yang mendapatnya adalah Vios GR Sport, diperkenalkan dengan harga RM95,284 dengan pengecualian SST. Di sini, kami sertakan galeri model yang dibangunkan dengan inspirasi serta pengalaman daripada perlumbaan jalanan yang disertai Toyota tersebut.

    Selain lencana GR yang digunakan, model ini menampilkan aerokit agresif yang terdiri daripada bentuk bampar depan yang mirip GR Yaris, bampar belakang lengkap dengan diffuser, spoiler hitam di belakang serta skirting sisi dan cermin sisi yang juga dihitamkan. Kereta ini kelihatan lebih teguh dengan rim 17-inci aloi yang digunakan, dengan saiz tayar 205/45R17.

    Aspek casis dan pengendalian juga diberikan perhatian. Dengan suspensi talaan sport yang memberikan kendalian, kestabilan dan keselesaan ketika dalam kelajuan tinggi, Vios GR-S datang dengan transmisi Continuosly Variable Transmission (CVT) 10-kelajuan yang boleh dikendalikan menggunakan Sports Mode dan juga paddle shifter. Ia kekal menggunakan enjin 2NR-FE 1.5 liter yang menghasilkan 107 PS pada 6,000 rpm dan 140 Nm pada 4,200 rpm.

    Di dalam, latar warna hitam dan kontras benang merah pada kerusi balutan kulitnya, logo GR yang timbul pada perehat kepala, stereng tiga jejari balutan kulit, tombol gear yang juga balutan kulit serta pengalas kaki dengan logo GR.

    Butang penghidup enjin juga diberikan logo GR, sementara panel meter Optitron datang dengan jarum merah. Paparan multi-maklumat pada skrin 4.2-inci juga datang dengan animasi GR. Vios GR-S hanya didatangkan dalam dua warna: Platinum White Pearl dan Red Mica Metallic. Berbanding Vios biasa, kelengkapan dan aksesori pakej GR ini bernilai RM7,700.

     
     
  • GALERI: Toyota Yaris facelift 1.5G 2021 – RM84,808

    GALERI: Toyota Yaris facelift 1.5G 2021 – RM84,808

    Setelah dilancarkan secara digital semalam bersama Vios facelift, Vios GR Sport dan GR Yaris, kini kami sudah mempunyai galeri penuh Yaris facelift 2021 untuk pasaran Malaysia. Ia ditawarkan dalam tiga varian, dengan harga yang bermula RM70,940, dan varian yang anda boleh lihat dalam galeri ini adalah varian 1.5G paling tinggi yang dijual pada harga RM84,808 tidak termasuk insurans dan telah dipasang dengan aksesori pilihan tambahan termasuk kit badan.

    Selain bampar serta lampu hadapan yang kini menggunakan jenis LED “triple bezel”, Yaris facelift turut dinaik taraf pada bahagian keselamatan di mana dua varian tertinggi dilengkapi dengan pakej Toyota Safety Sense yang termasuk Pre-Collision System (PCS), Lane Departure Alert (LDA), Blind Spot Monitor (BSM) dengan Rear Cross Traffic Alert (RCTA) serta 3D Panoramic View Monitor (PVM).

    Ciri-ciri keselamatan lain yang diberikan standard untuk semua varian adalah tujuh beg udara, ABS, EBD, BA, Vehicle Stability Control (VSC) dan Traction Control (TRC). Sistem telematik VTS pula diberikan terus hanya kepada dua varian tertinggi sementara untuk varian 1.5J ia disediakan sebagai pilihan tambahan.

    Pada bahagian dalam, Yaris 1.5G dan 1.5E juga dipertingkat dengan sistem Display Audio bersama skrin sesentuh tujuh inci dan boleh disambung dengan Apple CarPlay, Android Auto, USB dan juga Bluetooth. Varian 1.5J tidak mendapat sistem infotainmen ini sementara untuk pembesar suara pula varian 1.5G mendapat enam unit manakala 1.5G dan 1.5J cuma ada empat.

    Untuk enjin, Yaris facelift masih lagi menggunakan unit empat silinder DOHC Dual VVT-i 1,496 cc bersama padanan transmisi CVT Sport Sequential Shiftmatic tujuh kelajuan yang mampu menghasilkan kuasa 107 PS pada 6,000 rpm dan 140 Nm tork pada 4,200 rpm.

    Secara keseluruhannya ada tiga pilihan warna yang disediakan untuk Yaris facelift iaitu Red Mica Metallic, Platinum White Pear dan Silver Metallic, dan setiap pembelian datang dengan jaminan lima tahun tanpa had batuan.

    GALERI: Toyota Yaris facelift 1.5G 2021 dengan kit badan

     
     
  • GALERI: Toyota GR Yaris di M’sia – RM299k, 1.6L Turbo 3-silinder, 261 PS/360 Nm, 0-100 km/j 5.5 saat!

    GALERI: Toyota GR Yaris di M’sia – RM299k, 1.6L Turbo 3-silinder, 261 PS/360 Nm, 0-100 km/j 5.5 saat!

    Selepas dilancarkan secara digital semalam, hari ini UMW Toyota menjemput kami ke Ibu Pejabatnya di Shah Alam untuk membelek sepuas-puasnya hot-hatch yang paling ditunggu-tunggu tahun ini iaitu GR Yaris.

    Walaupun saya antara yang bertuah kerana dapat melihat sendiri pendedahan sulung kereta ini untuk peringkat global di Tokyo Auto Salon 2020 Januari lalu, namun pada acara yang menampilkan Presiden Toyota, Akio Toyoda dan prinsipal pasukan Toyota Gazoo Racing World Rally Team, Tommi Makinen tersebut agak sesak, dan kami tidak dibenarkan masuk ke kabin kereta tersebut.

    Jadi, terima kasih UMW Toyota kerana memberikan peluang kepada kami pagi tadi untuk melihat, duduk dalam, berangan tekan klac dan tukar gear, serta meneliti ruang enjin dan but belakang jentera rali produksi jalan raya ini.

    Toyota GR Yaris ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM299,000 dan hadir standard dengan Performance Pack; harga ini agak mengejutkan ramai orang kerana berberapa faktor. Dalam pasaran lain, GR Yaris ini dijual pada harga lebih kurang sama dengan Honda Civic Type R, malah di Jepun versi tertinggi GR Yaris ini sememangnya lebih mahal dari hot-hatch pacuan roda hadapan dari Honda berkenaan.

    GALERI: Toyota GR Yaris di M’sia – RM299k, 1.6L Turbo 3-silinder, 261 PS/360 Nm, 0-100 km/j 5.5 saat!

    Manakala di Thailand, GR Yaris dijual pada harga 2.69 juta baht pada pasaran tersebut, atau RM363,596 dalam nilai matawang kita. Pada pasaran Malaysia sendiri, Honda Civic Type R dijual pada harga RM330,002, oleh itu ramai yang menjangkakan Toyota GR Yaris ini mungkin akan dijual pada harga RM350k.

    Seperti yang diketahui, Toyota menghasilkan GR Yaris ini bukan hanya mahu menjualnya sebagai satu lagi model prestasi di bilik pameran bersama GR Supra dan Toyota 86. Kereta ini sebenarnya dihasilkan bagi membolehkan mereka membina jentera WRC yang lebih kompetitif pada masa hadapan, manakala sistem mekanikalnya pula adalah hasil apa yang Toyota belajar setelah terlibat semula dalam kejohanan berkenaan pada 2017, dengan bimbingan lagenda WRC, Tommi Makinen.

    Walaupun diasaskan dari Yaris biasa pasaran Eropah (lain dengan Yaris ‘Janna Nick’ di Malaysia) dengan platform TNGA-B, model ini menampilkan pelbagai ciri bespoke yang diminta oleh Tommi Makinen. Ia hadir dengan badan tiga-pintu (berbanding lima-pintu pada model standard), bumbung belakang yang lebih rendah bagi tujuan aerodinamik, panel-panel badan lebih kuat dan ringan diperbuat dari aluminium serta bumbung karbon – ini memerlukan GR Yaris dipasang di kilang khas yang digelar GR Factory, terletak di kilang Motomachi, Toyota City.

    Malah pada bahagian belakang, sistem torsion beam seperti Yaris standard tidak lagi digunakan, digantikan dengan suspensi belakang jenis double wishbone bagi membolehkan gandar sistem pacuan semua roda disesuaikan pada jentera rali jalan raya ini.

    GALERI: Toyota GR Yaris di M’sia – RM299k, 1.6L Turbo 3-silinder, 261 PS/360 Nm, 0-100 km/j 5.5 saat!

    Punya serius Toyota terhadap pembangunan kereta ini, bateri GR Yaris tidak akan anda jumpa pada ruang enjin di hadapan, kerana ia diletakkan di bawah lantai ruang kargo di but belakang bagi memberikan nisbah agihan yang lebih baik. Kombo sistem suspensi lebih jitu, gandar bersama aci pacu sistem AWD dan juga bateri telah menyebabkan ruang but GR Yaris ini hanya berkapasiti 174 liter, berbanding Yaris Eropah standard dengan ruang sebesar 286 liter.

    Toyota GR Yaris dijana oleh enjin 1.6 liter tiga-silinder turbo produksi paling berkuasa di dunia buat masa sekarang, namun model pasaran Malaysia ini menampilkan talaan sama seperti versi pasaran Eropah yang menghasilkan 261 PS dan tork maksima 360 Nm, berbeza dengan GR Yaris JDM yang menghasilkan 272 PS/370 Nm.

    Ia hanya ditawarkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan dengan fungsi i-MT (memberikan fungsi heel & toe automatik), bagi memastikan ia dimiliki oleh mereka yang benar-benar suka memandu. Ia digandingkan dengan sistem pacuan semua roda GR-Four, dan dengan Performance Pack ia hadir dengan LSD jenis Torsen pada gandar hadapan dan belakang.

    Ini membolehkan ‘pocket rocket’ ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 5.5 saat, sebelum mencapai kelajuan maksima 230 km/j. Ia turut dibekalkan dengan set klac pelbagai lapisan yang membolehkan agihan tork depan dan belakang bermula 60:40 untuk mod Normal, 30:70 untuk mod Sport dan 50:50 untuk mod Track.

    Tiada brek parkir elektronik seperti Honda Civic Type R sebaliknya ia diberikan brek tangan manual yang membolehkan anda membuat aksi hand brake turn yang diperlukan oleh sebuah jentara rali. Malah ketika anda menarik brek tangan ini, agihan tork pada gandar belakang juga sebenarnya diputuskan bagi memudahkan anda memulakan aksi drift, dan ia disambung kembali apabila brek berkenaan diturunkan.

    Selain dari LSD Torsen, Performance Pack tersebut turut hadir dengan sistem suspensi lebih keras yang fokus untuk pemanduan litar dan juga rim aloi BBS lebih ringan berdiameter 18-inci standard dengan tayar Michelin Pilot Sport 4S bersaiz 225/40ZR18.

    Manakala untuk brek, GR Yaris dibekalkan standard dengan cakera brek hadapan yang dilarik two-piece bersama angkup monoblok empat omboh, dan di belakang pula diberikan cakera yang juga dilarik bersama angkup dua-omboh.

    GR Yaris ini mungkin tidak diberikan kit aero yang begitu agresif seperti Honda Civic Type R, namun setiap rekaan panel badan kereta ini mempunyai tujuan tertentu. Bampar hadapan kereta menampilkan liang pengambilan udara yang cukup besar, dan ia adalah liang sebenar dan bukan palsu seperti pada Civic Type R.

    GALERI: Toyota GR Yaris di M’sia – RM299k, 1.6L Turbo 3-silinder, 261 PS/360 Nm, 0-100 km/j 5.5 saat!

    ‘Mulut’ utama pada bahagian tengah bampar tersebut akan mengalirkan udara segar terus kepada unit intercooler yang kelihatan sedang tersengih di belakang gril. Manakala dua lagi liang udara pada setiap sisi gril utama itu pula mengalirkan udara terus ke sistem brek hadapan.

    Untuk kelengkapan standard lain, GR Yaris pasaran Malaysia ini menerima lampu hadapan, lampu isyarat membelok, lampu nyalaan siang, lampu kabus dan lampu belakang kesemuanya dengan teknologi LED. Ia juga diberikan pengelap cermin automatik dan juga muffler dengan tip berkembar untuk sistem ekzos.

    Kabin GR Yaris ini mungkin akan mengundang kluster ‘baik beli’ dan ‘demo dok kena bare’ melontarkan pelbagai kritikan. Ini kerana kereta ini dihasilkan semata-mata untuk dipandu laju, dan ia sangat ringkas tanpa sebarang ciri-ciri mewah kerana Toyota mahu kereta ini dihasilkan seringan yang boleh.

    Paparan meter dihasilkan sangat ringkas tanpa paparan digital ‘kereta-kereta mahal’ buat masa sekarang. Ia diberikan sepasang meter analog utama untuk bacaan RPM enjin dan juga kelajuan kereta, bersama satu skrin MID berwarna di tengah dengan saiz hanya 4.2-inci.

    GALERI: Toyota GR Yaris di M’sia – RM299k, 1.6L Turbo 3-silinder, 261 PS/360 Nm, 0-100 km/j 5.5 saat!

    Namun Toyota masih memberikan paparan head-up yang dipancarkan ke cermin hadapan bagi memudahkan pemandu melihat maklumat pemanduan yang diperlukan tanpa mengalihkan pandangan ke bawah.

    Papan pemuka juga direka sangat ringkas dan nampak hampir ‘kosong’. Ia diberikan sistem infotainmen Display Audio dengan skrin sesentuh kapasitif tujuh-inci berdiri sendiri yang terletak di tengah. Sistem berkenaan disokong Apple Carplay dan Android Auto serta dihubungkan kepada enam-pembesar suara.

    Tiada sistem digital sepenuhnya untuk kawalan penghawa dingin dua zon GR Yaris ini, dan ia menampilkan dua suis putar utama, skrin paparan di tengah dan pilihan mod boleh dipilih menerusi butang fizikal kecil di bawahnya. Manakala untuk menukar mod sistem pacuan semua roda GR-Four, ia perlu dibuat menggunakan satu lagi suis putar diletakkan di bawah panel pendingin hawa.

    Walaupun ia diberikan tempat duduk semi-bucket balutan Alcantara dengan sulaman logo GR, tiada larasan elektrik diberikan – ke depan, ke belakang, tinggi atau rendah semua perlu dilaras dengan kederat manusia.

    Ciri-ciri lain yang turut diberikan termasuk roda stereng GR pelbagai fungsi balutan kulit, tombol gear balutan kulit, set pedal aloi, cermin pandang belakang elektrokrmomik sistem pendingin hawa dua-zon dan sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin. Satu plat GR yang menyatakan bahawa jentera ini dihasilkan untuk WRC turut ditampal berhampiran pemegang cawan

    Untuk keselamatan, jentera rali jalan raya ini di hadir dengan enam-beg udara, cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX, sistem pemantau tekanan tayar, penderia parkir belakang, serta sistem kestabilan elektronik (VSC) dan Traction Control (TRC) bersama brek ABS, EBD dan BA.

    Malah kereta ini juga hadir dengan sistem bantuan pemanduan Toyota Safety Sense yang terdiri dari sistem seperti Pre- Crash System (PCS), Dynamic Radar Cruise Control (DRCC), Lane Departure Alert (LDA), Lane Tracing Assist (LTA) dan Auto High Beam (AHB). UMW Toyota turut menawarkan sistem telematik VTS secara opsyen.

    Jika anda betul-betul berminat dengan jentera ini, jangan terlalu berlengah untuk menempahnya. Ini kerana ia hanya dihasilkan sebanyak 25,000 unit untuk seluruh dunia, dan pasaran Malaysia hanya menerima 200-unit di mana setiap satunya akan didatangkan dengan plat nombor istimewa eksklusif.

    Malah sebagai meraikan ketibaan model ini ke pasaran tempatan, UMW Toyota Motor Sdn Bhd turut menawarkan Pakej Pembeli Terawal yang akan menyaksikan pembeli GR Yaris menerima beg topi keledar eksklusif, model skala GR Yaris dan mengikuti aktiviti Pengalaman Memandu GR Yaris 2021, dengan keseluruhan pakej berkenaan bernilai RM5,000.

    Toyota GR Yaris pasaran Malaysia ini ditawarkan dalam pilihan tiga warna badan iaitu Platinum White Pearl, Emotional Red 2 dan Precious Black. Walaupun ia sebuah model berprestasi tinggi, GR Yaris masih dilindungi waranti selama lima-tahun tanpa had perbatuan. Sama juga seperti GR Supra, GR Yaris hanya dijual di pengedar-pengedar terpilih yang mempunyai fasiliti GR-Garage.

    GALERI: Gambar rasmi Toyota GR Yaris pasaran Malaysia

     
     
  • Perkhidmatan feri Penang diteruskan dengan suntikan dana RM30 juta dari kerajaan – Menteri Kewangan

    Perkhidmatan feri Penang diteruskan dengan suntikan dana RM30 juta dari kerajaan – Menteri Kewangan

    Ramai yang mengeluh dan meluahkan rasa sedih apabila feri di Pulau Pinang yang menjadi simbol ikonik negeri terbabit disahkan bakal menamatkan operasinya pada 31 Disember ini. Namun ‘kisah sedih’ ini tidak berlanjutan kerana kerajaan telah mengambil langkah untuk memastikan perkhidmatan feri tersebut diteruskan, menurut laporan yang disiarkan oleh The Star.

    “Kerajaan akan mengenakan syarat terhadap Pelabuhan Pulau Pinang untuk meneruskan perkhidmatan feri yang menjadi ikonik dan warisan negeri terbabit,”ujar Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. Beliau menyatakan bahawa syarat tersebut akan dikenakan berhubung dengan dana sebanyak RM15 juta daripada nilai keseluruhan RM30 juta yang diluluskan untuk Pelabuhan Pulau Pinang (PPSB) bagi mengambil alih perkhidmatan feri tersebut dari Prasarana.

    “Saya boleh mengesahkan peruntukan terbabit akan dibuat secara dua kali pembayaran. Di mana pembayaran pertama sebanyak RM15 juta akan dibuat pada tahun 2021,” jelasnya lagi.

    Perkhidmatan feri Penang diteruskan dengan suntikan dana RM30 juta dari kerajaan – Menteri Kewangan

    Pada 15 Disember lalu, PPSB telah mengumumkan pengambilalihan operasi bagi perkhidmatan pengangkutan perkhidmatan feri Pulau Pinang dari Prasarana. Walau bagaimana pun, perkhidmatan feri tersebut akan digantikan dengan bot penumpang laju yang hanya membawa pejalan kaki, basikal serta motosikal sahaja.

    PPSB juga akan menjalankan penambahbaikan secara interim bermula 1 Jan tahun depan hingga 30 Jun 2022 dan sepanjang tempoh tersebut dua bot penumpang laju yang mampu membawa 200 penumpang dengan kepantasan perjalanan antara 10 hingga 15 minit serta kekerapan 40 kali sehari.

    Susulan pengumuman itu, mulai 1 Januari 2021, semua kereta yang mahu masuk dan keluar ke/dari pulau ke/dari tanah besar tidak lagi boleh menjadikan feri sebagai pengangkutan untuk menyeberang. Sebaliknya perlu menggunakan salah satu daripada jambatan Pulau Pinang yang ada untuk menyeberang antara pulau dan tanah besar.

     
     
  • Lamborghini SC20 – dibuat khas untuk seorang pelanggan istimewa – bentuk lebih agresif, enjin V12

    Lamborghini SC20 – dibuat khas untuk seorang pelanggan istimewa – bentuk lebih agresif, enjin V12

    Lamborghini telah mendedahkan sebuah lagi model yang menggunakan asas daripada Aventador, tetapi diubah suai secara khas untuk seorang pelanggan mereka. Ia dipanggil SC20 dan merupakan hasil kerja seterusnya oleh Squadra Corse, selepas Essenza SCV12.

    “Dua tahun selepas SC18 Alston, kini SC20 muncul sebagai satu cabaran yang cukup menarik. Inspirasi daripada Diablo VT Roadster, Aventador J, Veneno Roadster dan Concept S akhirnya membawa kepada hasil yang menunjukkan kombinasi dramatik antara kreativiti dan juga lagak perlumbaan,” kata ketua bahagian rekaan Lamborghini Centro Stilo, Mitja Borkert.

    Jika dibandingkan dengan Aventador J sebelum ini, SC20 mempunyai rekaan yang lebih agresif. Banyak elemen aerodinamik yang digunakan, dan semuanya direka untuk menguruskan angin dalam cara yang mengoptimakan prestasi, sambil memastikan keselesaan memandu kereta tanpa bumbung pada kelajuan tinggi.

    Antara ciri rekaan penting adalah bahagian hadapan yang kelihatan seperti Huracan GT3 Evo, dengan mempunyai splitter yang bersirip di bahagian tepi, serta salur udara di atas hud. Bahagian tepi yang berlekuk itu diambil daripada SCV12 sementara sayap gentian karbon yang besar di belakang boleh dilaras pada tiga kedudukan.

    Bentuk badan yang cukup menyerlah ini dicat dengan warna putih Bianco Fu, dengan kemasan biru Blu Cepheus untuk memberi kontras. Rim berlainan saiz iaitu 20 inci di hadapan dan 21 inci di belakang digunakan untuk memberikan visual yang lebih menonjol dan ia dibalut dengan tayar Pirelli P Zero Corsa.

    Warna biru yang sama digunakan pada bahagian dalam, dan ia digabungkan bersama hitam Nero Cosmus serta putih Bianco Leda di beberapa bahagian, sementara gentian karbon digunakan pada bahagian seperti pelindung papan pemuka, dinding belakang, panel pintu, konsol tengah serta stereng.

    Tempat duduk model ini juga menggunakan rangka gentian karbon, dan ia kemudiannya dibalut dengan kulit serta Alcantara, dan dijadikan lengkap dengan perincian lain seperti pembuka pintu aluminium serta corong udara yang dicetak secara 3D.

    Lamborghini SC20 digerakkan oleh enjin V12 NA 6.5 liter yang mampu menghasilkan kuasa 770 PS (760 hp) pada 8,500 rpm dan 720 Nm tork pada 6,750 rpm. Kuasa disampaikan kepada semua roda melalui kotak gear Independent Shifting Rod (ISR) tujuh kelajuan serta differential elektronik.

     
     
  • Prasarana lancar aplikasi perancang perjalanan Pulse untuk perkhidmatan bas dan rel Rapid KL

    Prasarana telah melancarkan aplikasi perancang perjalanan Pulse, yang bermaksud ‘Planning Your Lifestyle Efficiently’. Buat masa ini aplikasi terbabit adalah untuk perkhidmatan bas dan rel Rapid Kl di sekitar Lembah Klang dan Selangor. Tetapi ia akan diperluaskan terutamanya bagi perkhidmatan bas Rapid Penang dan Rapid Kuantan pada pertengahan 2021.

    “Aplikasi ini boleh dimuat turunkan dari Google Play Store mulai minggu hadapan, dan Apple App Store pula sebelum tahun baharu ini. Saya berharap para pengguna dapat memuat turun dan menggunakan aplikasi Pulse ini, di mana ia direka untuk menjadi mesra pengguna dan mudah digunakan,” ujar pengerusi Prasarana Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, yang melancarkan aplikasi ini di kompleks Rapid Rail di Subang semalam.

    Tambahnya lagi, “Dengan adanya aplikasi baharu ini, pengguna pengangkutan awam boleh merancang perjalanan mereka dengan lebih baik, di mana ia turut membantu mengoptimakan masa mereka untuk menjadi lebih produktif. Ia juga dapat membantu meningkatkan produktiviti sendiri, organisasi dan keseluruhannya, termasuk pada negara.”

    Selain memberikan pilihan perjalanan yang terbaik untuk pengguna, aplikasi Pulse juga akan menyalurkan info bagi setiap status perkhidmatan dan jangkaan waktu ketibaan (ETA), berdasarkan real-time location bagi bas dan tren. Fungsi lain termasuklah pengiraan tambang, notifikasi, lokasi stesen dan lain-lain.

     
     
  • Sime Darby Auto Selection buka pusat servis untuk kenderaan pelbagai jenama yang sudah tamat waranti

    Sime Darby Auto Selection buka pusat servis untuk kenderaan pelbagai jenama yang sudah tamat waranti

    Sime Darby Auto Selection (SDAS) telah membuka pusat servis pertama untuk kenderaan pelbagai jenama yang sudah tamat warantinya di Glenmari. Pusat ini dikatakan dapat memberi harga yang kompetitif jika dibandingkan dengan bengkel persendirian lain.

    Menggunakan kelengkapan canggih dan pekerja yang terlatih, SDAS memberitahu pusat servis ini dibuka untuk melengkapi khidmat selepas jualan OEM dan pemilik kenderaan yang sudah tamat warantinya boleh menikmati kualiti servis yang sama seperti pusat servis rasmi yang mengikut jenama.

    “Pembukaan fasiliti selepas jualan ini berlaku pada masa yang tepat untuk memenuhi keperluan pemilik, yang sentiasa mencari alternatif selepas waranti kenderaan mereka tamat. Melalui pusat servis sehenti ini, pemilik, terutamanya yang mempunyai beberapa kenderaan berlainan jenama boleh menikmati lebih kesenangan pada satu pusat servi yang menawarkan khidmat berkualiti pada harga yang tidak boleh ditandingi,” kata pengarah urusan runcit dan pengedaran Sime Darby Motors, Jeffrey Gan.

    Sime Darby Auto Selection buka pusat servis untuk kenderaan pelbagai jenama yang sudah tamat waranti

    “Pelanggan kini lebih berpengetahuan dan sentiasa sedar perubahan dalam pasaran. Dengan pusat servis baru dan inovatif ini, kami berharap dapat menarik keyakinan pelanggan supaya ia menjadi tempat pilihan untuk sebarang keperluan penyelenggaraan kenderaan mereka,” tambah beliau.

    Selain kerja-kerja servis biasa seperti penukaran minyak hitam dan penapis, pusat servis SDAS ini juga menyediakan khidmat penjajaran dan pengimbangan tayar, pendingin hawa dan penghapusan kuman, baik pulih, basuh kenderaan serta pemeriksaan.

    Pusat servis ini terletak di Lot 33, Temasya Industrial Park, Glenmarie, dan menempatkan enam ruang servis, ruang santai untuk pelanggan, serta sambungan Wi-Fi dan makanan ringan percuma. Mereka yang tidak boleh menghantar kenderaan secara sendiri juga boleh menggunakan khidmat pengambilan dan penghantaran. Ia dibuka dari jam 9 pagi hingga 5 petang untuk hari Isnin hingga Jumaat, sementara pada hari Sabtu ia hanya dibuka dari jam 9 pagi hingga 12.30 tengahari. Sebarang maklumat atau tempahan boleh dibuat melalui 03-40652502.

     
     
  • Toyota Gazoo Racing Musim 4 – Vios Challenge dapat 3 pelumba selebriti baharu, ditambah kategori Rookie

    Toyota Gazoo Racing Musim 4 – Vios Challenge dapat 3 pelumba selebriti baharu, ditambah kategori Rookie

    Festival Toyota Gazoo Racing (TGR) bagi Musim Ke-empat bakal bermula pada Januari 2021 dengan format baharu, kini menampilan tiga siri perlumbaan yang berbeza, 11 perlumbaan dan jumlah keseluruhan hadiah bernilai RM420,000.

    Festival TGR ini masih diteruskan dengan Vios Challenge, di mana kali ini ditambah dengan kategori baharu iaitu Rookie Class menjadikan keseluruhannya empat kategori termasuk yang sedia ada; Promotional, Sporting dan Super Sporting.

    Bagi Promotional yang menampilkan barisan selebriti Malaysia, kali ini turut menerima tiga muka baharu dalam kategori tersebut iaitu aktor Zizan Razak, penyanyi dan penulis lagu Talitha Tan dan personaliti TV Ahirine Ahirudin.

    Pelumba selebiriti lain yang masih meneruskan cabaran dalam kategori tersebut termasuklah
    Shukri Yahaya, Janna Nick, Nabil Ahmad, Wany Hasrita, Nabila Razali and Khai Bahar, serta timbalan pengerusi UMW Toyota merangkap Ketua Pegawai Permotoran Gazoo Racing Akio Takeyama.

    Toyota Gazoo Racing Musim 4 – Vios Challenge dapat 3 pelumba selebriti baharu, ditambah kategori Rookie

    Untuk kategori baharu yang menyertai TGR kali ini, Rookie, disertai oleh enam pelumba hasil didikan Program Pembangunan Bakat Muda Gazoo Racing. Program tersebut merupakan yang pertama dilaksanakan oleh syarikat automotif di negara ini, ujar Toyota. Pelumba yang terpilih ialah Mika Hakimi, 17, Naquib Azlan, 20, Amer Harris, 17, Jwan Hii, 18, Putera Adam, 14, dan Troy Eimann, 16.

    Manakala bagi Sporting pula yang merupakan kategori paling popular dalam Vios Challenge, seramai 18 pelumba telah mengesahkan penyertaan bagi musim ini. Ini termasuklah Bradley Benedict Anthony dari pasukan Dream Chaser, Sutan Haji Mustaffa, Kenneth Koh, Adam Khalid, Datuk Ken Foo, Lim Chun Beng dan Tom Goh.

    Kategori tertinggi Super Sporting pula disertai oleh pelumba profesional termasuklah juara Vios Challenge sebanyak dua kali, Tengku Djan Ley yang kini kembali bagi mempertahankan kedudukannya, yang bakal berentap dengan juara kategori Sporting pada Musim 3 lalu iaitu Hayden Haikal yang kali ini menyertai kategori Super Sporting pula.

    Toyota Gazoo Racing Musim 4 – Vios Challenge dapat 3 pelumba selebriti baharu, ditambah kategori Rookie

    “Saya tidak sabar untuk berlumba dengan pelumba profesional.Pastinya ini akan memberikan pengalaman yang terbaik untuk saya, sekaligus menjadi penyumbang dalam pembelajaran bagi saya sebagai pelumba,” ujar Hayden, 16 tahun.

    Pelumba lain yang turut menyertai Super Sporting termasuklah Boy Wong, Mark Darwin, Freddie Ang, William Ho, Kenny Lee, Keifli Othman, Syafiq Ali dan Brendan Paul Anthony.

    Pusingan pembukaan bagi Musim 4 ini bakal berlangsung pada Januari ini di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), dengan pusingan Kedua akan diadakan di lokasi yang sama pada Julai. Manakala pusingan ketiga dan terakhir pula pada September. Dikhabarkan pada penganjuran Malaysia Championship Series tahun hadapan turut akan memperkenalkan GR Vios Sprint Cup dan GR Vios Enduro Cup.

     
     
  • Toyota Vios facelift 2021 dilancarkan di Malaysia – tiga varian, kini dengan AEB, LDA; harga dari RM75k

    Toyota Vios facelift 2021 dilancarkan di Malaysia – tiga varian, kini dengan AEB, LDA; harga dari RM75k

    Genap sebulan yang lalu, UMW Toyota (UMWT) telah mendedahkan perincian model Vios facelift 2021, malah turut membuka tempahan untuk sedan tersebut. Malam ini, sempena dengan pengenalan jentera hangat GR Yaris dan Vios GR Sport, UMWT turut mengambil kesempatan melancarkan model pesaing bagi Honda City 2020 dan juga Nissan Almera Turbo itu.

    Untuk pasaran tempatan, Vios 2021 yang merupakan model pemasangan tempatan (CKD), masih kekal dengan varian Vios 1.5J, Vios 1.5E dan Vios 1.5G. Juga tiada perubahan mekanikal, ia masih menggunakan enjin 1.5L 2NR-FE empat-silinder sebaris, DOHC, 16-injap dengan Dual VVT-i dengan hamburan kuasa 107 PS pada 6,000 rpm dan tork maksima 140 Nm pada 4,200 rpm. Turut digandingkan dengan transmisi CVT automatik tujuh-kelajuan.

    Jadi, apa perubahan mahu pun pembaharuan yang dibawakan untuk Vios 2021 ini? Secara terang-terangan, Vios 2021 diberikan wajah yang seiras dengan kembarnya, hatchback Yaris facelift yang turut dilancarkan malam ini. Di mana rekaan bahagian hadapannya dirombak semula dan diperkemaskinikan. Ini termasuk dengan rekaan bampar, gril dan juga aerokit yang agak mirip dengan rekaan Corolla dan Camry baharu.

    Toyota Vios facelift 2021 dilancarkan di Malaysia – tiga varian, kini dengan AEB, LDA; harga dari RM75k

    Selain itu, sedan segmen-B ini juga ditampilkan dengan lampu hadapan LED “triple bezel” baharu, sama seperti Yaris. Malah lampu utama tersebut turut didatangkan dengan fungsi ‘Follow-Me-Home’. Lampu nyalaan siang dan lampu kabus juga menggunakan unit LED. Bagi lampu belakangnya, unit LED juga ditampilkan untuk dua varian tertinggi, namun varian 1.5J hanya dengan mentol biasa.

    Memantapkan lagi imej rangginya, Vios 2021 ditampilkan dengan roda aloi 16-inci dengan balutan tayar 195/50R16 untuk dua varian tertinggi, manakala model asas menerima rim 15-inci dengan tayar 185/60R15.

    Untuk bahagian kabinnya, imej elegan dengan bentangan warna hitam masih menjadi pilihan. Antara kelengkapan yang diberikan termasuklah kemasukan pintar dengan butang penghidup enjin, mod pemanduan (Sport mode & Eco mode), pedal penukar gear, paparan meter Optitron, paparan multi-maklumat (MID) dengan warna penuh bersaiz 4.2-inci dengan skrin TFT, tetapi ciri yang disebut ini tidak diberikan buat model asas.

    Bukan itu sahaja, material kulit turut disediakan buat varian 1.5E dan 1.5G, termasuk untuk balutan tempat duduk, stereng dan tombol gear. Walau bagaimana pun, varian 1.5 J menerima tempat duduk balutan fabrik dengan corak baharu untuk mengekalkan imej elegannya.

    Selain itu, ciri lain yang turut diberikan termasuklah paparan audio tujuh-inci yang dinaik taraf yang dilengkapi ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto, ruang konsol tengah di antara tempat duduk hadapan, ruang meletak cawan pada panel pintu yang turut disediakan pencahayaan LED di dalamnya, dua slot USB 2.1A dan pengecas tanpa wayar (ditawarkan secara pilihan) serta soket kuasa 12V.

    Sistem Telematik Kenderaan (VTS) juga didatangkan standard kecuali untuk varian 1.5J (ditawarkan sebagai pilihan). Sistem ini menggunakan GPS/GSM untuk menjejak lokasi kenderaan pada setiap masa sekiranya ia dicuri, membolehkan pengesanan oleh pihak polis boleh dilakukan dengan pantas. Ia juga boleh meninjau dan merekodkan laju kenderaan serta keadaan operasinya yang lain, dengan data dikirimkan melalui e-mel kepada pengguna yang ditetapkan melalui aplikasi mudah alih.

    Bagi aspek keselamatannya, ciri keselamatan standard yang diberikan termasuklah tujuh beg udara SRS, Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), ABS dengan EBD, Bantuan Brek (BA), Isyarat Henti Kecemasan (ESS), Peringatan Tali Keledar Belakang, Kawalan Mula Mendaki (HAC) dan cagak Isofix.

    Varian 1.5E dan 1.5G turut menerima ciri keselamatan tambahan iaitu Toyota Safety Sense (TSS) yang merangkumi Sistem Pra-Perlanggaran (PCS), Brek Kecemasan Sendiri (AEB) dan Amaran Penukaran Lorong (LDA) yang boleh dinyahaktif sekiranya tidak diperlukan.

    Selain itu, ia turut diberikan ciri baharu iaitu sistem Peninjau Pemandangan Panoramik (PVM) yang telah dinaik taraf kepada jenis 3D (sebelum ini hanya 2D). Ia dilengkapi juga oleh kamera belakang, penderia parkir, Peninjau Titik Buta (BSM) dan Amaran Lintasan Trafik di Belakang (RCTA).

    Aerokit pula ditawarkan sebagai pilihan, menambah penggayaan pada kereta dengan bampar depan rekaan baharu untuk tampil berbeza. Dengan Perakam Video Digital (DVR) depan dipasangkan secara standard untuk semua varian kecuali 1.5J, pilihan untuk DVR belakang turut ditawarkan. Semua kelengkapan ini dipasang di pusat aksesori UMWT sendiri.

    Toyota Vios 2021 masih ditawarkan dalam lima warna, di mana dua daripadanya adalah warna baharu. Warna Dark Blue Metallic, Red Mica Metallic dan Silver Metallic adalah warna-warna yang sudah sedia ada pada model asal, manakala warna putih Super White II digantikan dengan Platinum White Pearl. Namun untuk warna merah Black Mica Metallic telah digugurkan bagi digantikan dengan satu lagi warna cerah iaitu Orange Metallic.

    Dengan pengecualian cukai jualan sehingga 31 Disember ini, barisan Vios 2021 ini ditawarkan pada harga RM74,623 bagi varian asas 1.5J, diikuti dengan RM82,593 untuk 1.5E serta 1.5G pula berharga RM87,584. Kesemuanya adalah harga atas jalan tanpa insurans dan turut didatangkan dengan waranti selama lima-tahun tanpa had perbatuan.

     
     
  • Toyota GR Yaris kini di M’sia, RM299k untuk jentera rali jalan raya sentuhan Tommi Makinen, hanya 200 unit!

    Toyota GR Yaris kini di M’sia, RM299k untuk jentera rali jalan raya sentuhan Tommi Makinen, hanya 200 unit!

    Ketika Toyota GR Yaris didedahkan buat kali pertama untuk peringkat global di Tokyo Auto Salon awal tahun ini, pastinya ramai yang sinis “alah, bukan masuk Malaysia pun nanti”. Tapi ini kenyataannya, belum sampai setahun, UMW Toyota sudahpun mengumumkan bahawa hot-hatch yang lahir dari Kejohanan Rali Dunia (WRC) ini kini sudahpun boleh ditempah!

    Apa yang menarik, Toyota GR Yaris ini akan dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM299,000 – lebih rendah dari yang ramai jangkakan, dan ia lebih ‘murah’ berbanding Honda Civic Type R FK8. Malah GR Yaris pasaran Malaysia ini bukannya ‘spec kosong’, sebaliknya hadir standard dengan Performance Pack menampilkan spesifikasi High Performance di Jepun atau Rallye Edition di Australia.

    Seperti yang diketahui, Toyota menghasilkan GR Yaris ini bukan hanya mahu menjualnya sebagai satu lagi model prestasi di bilik pameran bersama GR Supra dan Toyota 86. Kereta ini sebenarnya dihasilkan bagi membolehkan mereka membina jentera WRC yang lebih kompetitif pada masa hadapan, manakala sistem mekanikalnya pula adalah hasil apa yang Toyota belajar setelah terlibat semula dalam kejohanan berkenaan pada 2017, dengan bimbingan lagenda WRC, Tommi Makinen.

    Toyota GR Yaris kini di M’sia, RM299k untuk jentera rali jalan raya sentuhan Tommi Makinen, hanya 200 unit!

    Walaupun diasaskan dari Yaris biasa pasaran Eropah (lain dengan Yaris ‘Janna Nick’ di Malaysia) dengan platform TNGA-B, model ini menampilkan pelbagai ciri bespoke yang diminta oleh Tommi Makinen. Ia hadir dengan badan tiga-pintu (berbanding lima-pintu pada model standard), bumbung belakang yang lebih rendah bagi tujuan aerodinamik, panel-panel badan lebih kuat dan ringan diperbuat dari aluminium serta bumbung karbon – ini memerlukan GR Yaris dipasang di kilang khas yang digelar GR Factory, terletak di kilang Motomachi, Toyota City.

    Malah pada bahagian belakang, sistem torsion beam seperti Yaris standard tidak lagi digunakan, digantikan dengan suspensi belakang jenis double wishbone bagi membolehkan gandar sistem pacuan semua roda disesuaikan pada jentera rali jalan raya ini.

    Toyota GR Yaris dijana oleh enjin 1.6 liter tiga-silinder turbo produksi paling berkuasa di dunia buat masa sekarang, namun model pasaran Malaysia ini menampilkan talaan sama seperti versi pasaran Eropah yang menghasilkan 261 PS dan tork maksima 360 Nm, berbeza dengan GR Yaris JDM yang menghasilkan 272 PS/370 Nm.

    Ia hanya ditawarkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan dengan fungsi i-MT (memberikan fungsi heel & toe automatik), bagi memastikan ia dimiliki oleh mereka yang benar-benar suka memandu. Ia digandingkan dengan sistem pacuan semua roda GR-Four, dan dengan Performance Pack ia hadir dengan LSD jenis Torsen pada gandar hadapan dan belakang.

    Ini membolehkan ‘pocket rocket’ ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 5.5 saat, sebelum mencapai kelajuan maksima 230 km/j. Ia turut dibekalkan dengan set klac pelbagai lapisan yang membolehkan agihan tork depan dan belakang bermula 60:40 untuk mod Normal, 30:70 untuk mod Sport dan 50:50 untuk mod Track.

    Toyota GR Yaris kini di M’sia, RM299k untuk jentera rali jalan raya sentuhan Tommi Makinen, hanya 200 unit!

    Tiada brek parkir elektronik seperti Honda Civic Type R sebaliknya ia diberikan brek tangan manual yang membolehkan anda membuat aksi hand brake turn yang diperlukan oleh sebuah jentara rali. Malah ketika anda menarik brek tangan ini, agihan tork pada gandar belakang juga sebenarnya diputuskan bagi memudahkan anda memulakan aksi drift, dan ia disambung kembali apabila brek berkenaan diturunkan.

    Selain dari LSD Torsen, Performance Pack tersebut turut hadir dengan sistem suspensi lebih keras yang fokus untuk pemanduan litar dan juga rim aloi BBS lebih ringan berdiameter 18-inci standard dengan tayar Michelin Pilot Sport 4S bersaiz 225/40ZR18.

    Manakala untuk brek, GR Yaris dibekalkan standard dengan cakera brek hadapan yang dilarik two-piece bersama angkup monoblok empat omboh, dan di belakang pula diberikan cakera yang juga dilarik bersama angkup dua-omboh.

    Untuk kelengkapan standard lain, GR Yaris pasaran Malaysia ini menerima lampu hadapan, lampu isyarat membelok, lampu nyalaan siang, lampu kabus dan lampu belakang kesemuanya dengan teknologi LED. Ia juga diberikan pengelap cermin automatik dan juga muffler dengan tip berkembar untuk sistem ekzos.

    Toyota GR Yaris kini di M’sia, RM299k untuk jentera rali jalan raya sentuhan Tommi Makinen, hanya 200 unit!

    Pada bahagian dalaman pula model ini diberikan tempat duduk ‘semi-bucket’ balutan kulit dengan sulaman logo GR dan jahitan benang merah, roda stereng GR pelbagai fungsi balutan kulit, tombol gear balutan kulit, set pedal aloi, paparan meter analog dengan skrin pelbagai-info berwarna 4.2-inci dan cermin pandang belakang elektrokrmomik.

    Hot-hatch ini juga diberikan sistem pendingin hawa dua-zon, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, serta sistem infotainmen Display Audio dengan skrin sesentuh kapasitif tujuh-inci disokong Apple Carplay dan Android Auto serta dihubungkan kepada enam-pembesar suara.

    Untuk keselamatan, jentera rali jalan raya ini di hadir dengan enam-beg udara, cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX, sistem pemantau tekanan tayar, penderia parkir belakang, serta sistem kestabilan elektronik (VSC) dan Traction Control (TRC) bersama brek ABS, EBD dan BA.

    Malah kereta ini juga hadir dengan sistem bantuan pemanduan Toyota Safety Sense yang terdiri dari sistem seperti Pre- Crash System (PCS), Dynamic Radar Cruise Control (DRCC), Lane Departure Alert (LDA), Lane Tracing Assist (LTA) dan Auto High Beam (AHB). UMW Toyota turut menawarkan sistem telematik VTS secara opsyen.

    Jika anda betul-betul berminat dengan jentera ini, jangan terlalu berlengah untuk menempahnya. Ini kerana ia hanya dihasilkan sebanyak 25,000 unit untuk seluruh dunia, dan pasaran Malaysia hanya menerima 200-unit di mana setiap satunya akan didatangkan dengan plat nombor istimewa eksklusif.

    Malah sebagai meraikan ketibaan model ini ke pasaran tempatan, UMW Toyota Motor Sdn Bhd turut menawarkan Pakej Pembeli Terawal yang akan menyaksikan pembeli GR Yaris menerima beg topi keledar eksklusif, model skala GR Yaris dan mengikuti aktiviti Pengalaman Memandu GR Yaris 2021, dengan keseluruhan pakej berkenaan bernilai RM5,000.

    Toyota GR Yaris pasaran Malaysia ini ditawarkan dalam pilihan tiga warna badan iaitu Platinum White Pearl, Emotional Red 2 dan Precious Black. Walaupun ia sebuah model berprestasi tinggi, GR Yaris masih dilindungi waranti selama lima-tahun tanpa had perbatuan. Sama juga seperti GR Supra, GR Yaris hanya dijual di pengedar-pengedar terpilih yang mempunyai fasiliti GR-Garage.

     
     
  • Toyota Yaris facelift dilancarkan secara rasmi di M’sia – harga dari RM71k, Safety Sense untuk 1.5G dan 1.5E

    Toyota Yaris facelift dilancarkan secara rasmi di M’sia – harga dari RM71k, Safety Sense untuk 1.5G dan 1.5E

    Setelah membuka tempahannya lebih awal bulan lalu, kini Yaris facelift dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia. UMW Toyota Motor Sdn Bhd menawarkan hatchback ini dalam tiga varian iaitu 1.5J paling rendah, diikuti 1.5E dan 1.5G sebagai yang paling tinggi, dengan harga masing-masing RM70,940, RM80,380 dan RM84,808 tidak termasuk insurans. Ini adalah harga dengan pengecualian cukai sehingga hujung tahun ini.

    Pada aspek penampilan, Yaris facelift ini mendapat peningkatan sama seperti model yang dilancarkan di pasaran Thailand Ogos lalu, dan ia boleh dilihat melalui lampu hadapan LED “triple bezel” serta rekaan bampar, gril dan juga aerokit yang baru. Semua varian mendapat lampu hadapan, lampu DRL serta lampu kabus LED sementara untuk lampu belakang, hanya dua varian teratas menggunakan jenis LED.

    Peningkatan penting lain pada Yaris facelift ini adalah sistem keselamatan, di mana untuk varian 1.5G dan 1.5E, ia sekarang dilengkapi dengan pakej Toyota Safety Sense, yang termasuk Pre-Collision System (PCS), Lane Departure Alert (PDA), Blind Spot Monitor (BSM) dengan Rear Cross Traffic Alert (RCTA), Panoramic View Monitor (PVM) serta Front Digital Video Recorder (DVR).

    Toyota Yaris facelift dilancarkan secara rasmi di M’sia – harga dari RM71k, Safety Sense untuk 1.5G dan 1.5E

    Sistem keselamatan lain adalah sama untuk semua varian iaitu tujuh beg udara, ABS, EBD, BA, Vehicle Stability Control (VSC) dan Traction Control (TRC). Sistem telematik VTS pula diberikan terus hanya kepada dua varian tertinggi sementara untuk varian 1.5J ia disediakan sebagai pilihan tambahan.

    Pada bahagian dalam, Yaris 1.5G dan 1.5E juga dipertingkat dengan sistem Display Audio bersama skrin sesentuh tujuh inci dan boleh disambung dengan Apple CarPlay, Android Auto, USB dan juga Bluetooth. Varian 1.5J tidak mendapat sistem infotainmen ini sementara untuk pembesar suara pula varian 1.5G mendapat enam unit manakala 1.5G dan 1.5J cuma ada empat.

    Kesemua varian Yaris facelift menggunakan tempat duduk yang dibalut dengan fabrik, sistem masuk tanpa kunci serta butang pemula enjin. Varian 1.5G dan 1.5E juga mendapat mendapat panel instrumen Optitron dengan paparan MID 4.2 inci serta butang kawalan pada stereng, dan ia ditambah lagi dengan stereng balutan kulit serta pendingin hawa automatik untuk varian 1.5G.

    Penggerak Yaris facelift masih lagi sama seperti model sebelum ini, iaitu unit empat silinder DOHC Dual VVT-i 1,496 cc bersama padanan transmisi CVT Sport Sequential Shiftmatic tujuh kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 107 PS pada 6,000 rpm dan 140 Nm tork pada 4,200 rpm.

    Kembali kepada bahagian penampilan, varian 1.5G dan 1.5E menggunakan rim 16 inci sementara 1.5J menggunakan rim 15 inci, dan ia boleh dijadikan lebih lengkap dengan kit aero yang ditawarkan sebagai pilihan tambahan untuk semua varian. Yaris facelift datang dengan jaminan lima tahun tanpa had batuan dan diberikan tiga pilihan warna iaitu Red Mica Metallic, Platinum White Pear dan Silver Metallic.

     
     
  • Toyota Vios GR Sport diperkenalkan di M’sia — CVT ’10-kelajuan’, suspensi sport, rim 17-inci, RM95,284

    Toyota Vios GR Sport diperkenalkan di M’sia —  CVT ’10-kelajuan’, suspensi sport, rim 17-inci, RM95,284

    Ada empat model baru yang diperkenalkan oleh UMW Toyota Sdn Bhd hari ini. Selain model prestasi GR Yaris dan juga Toyota Vios dan Yaris versi facelift terbaru, turut diperkenalkan ialah model Vios GR Sport (GR-S). Harganya? RM95,284 dengan pengecualian SST.

    Model ini mengambil ilham dan pengalaman dari siri perlumbaan jalanan dan meminjam semangatnya daripada model-model lain yang hadir dengan lencana Gazoo Racing sebelum ini. Lebih menarik, ia menjadi model GR Sport yang pertama dikeluarkan oleh kilang canggih UMW Toyota di Bukit Raja, Klang.

    Apa kelainan Vios GR-S? Selain lencana GR yang digunakan, model ini menampilkan aerokit agresif yang terdiri daripada bentuk bampar depan yang mirip GR Yaris, bampar belakang lengkap dengan diffuser, spoiler hitam di belakang serta skirting sisi dan cermin sisi yang juga dihitamkan. Kereta ini kelihatan lebih teguh dengan rim 17-inci aloi yang digunakan, dengan saiz tayar 205/45R17.

    Toyota Vios GR Sport diperkenalkan di M’sia —  CVT ’10-kelajuan’, suspensi sport, rim 17-inci, RM95,284

    Aspek casis dan pengendalian juga diberikan perhatian. Dengan suspensi talaan sport yang memberikan kendalian, kestabilan dan keselesaan ketika dalam kelajuan tinggi, Vios GR-S datang dengan transmisi Continuosly Variable Transmission (CVT) 10-kelajuan yang boleh dikendalikan menggunakan Sports Mode dan juga paddle shifter. Ia kekal menggunakan enjin 2NR-FE 1.5 liter yang menghasilkan 107 PS pada 6,000 rpm dan 140 Nm pada 4,200 rpm.

    Ini menawarkan pengalaman pemanduan yang lebih berjiwa, ketika memulakan pergerakan dengan lebih baik mahupun dengan pecutan lebih pantas ketika di selekoh. Konfigurasi terbaru ini membolehkan kereta ini menjadi lebih responsif dengan mengekalkan bacaan RPM yang tinggi untuk memberikan respon pendikit yang lebih baik secara keseluruhannya, terutamanya ketika memotong dan mula memecut.

    Di dalam, latar warna hitam dan kontras benang merah pada kerusi balutan kulitnya, logo GR yang timbul pada perehat kepala, stereng tiga jejari balutan kulit, tombol gear yang juga balutan kulit serta pengalas kaki dengan logo GR.

    Butang penghidup enjin juga diberikan logo GR, sementara panel meter Optitron datang dengan jarum merah. Paparan multi-maklumat pada skrin 4.2-inci juga datang dengan animasi GR. Vios GR-S hanya didatangkan dalam dua warna: Platinum White Pearl dan Red Mica Metallic. Berbanding Vios biasa, kelengkapan dan aksesori pakej GR ini bernilai RM7,700.

    “Ini sebuah model yang sangat istimewa diatas beberapa sebab: ia dibangunkan di Malaysia, ia diilhamkan oleh kejayaan perlumbaan Vios Challenge dan selebihnya, ia juga menepati semua kriteria yang ingin diwakili oleh jenama GR sebelum layak menyarung lencana GR yang digunakannya ini,” jelas Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor Sdn Bhd dan Ketua Pegawai Sukan Permotoran Gazoo Racing Malaysia, Akio Takeyama.

    Toyota Vios GR Sport di Malaysia

     
     
  • LIVE: Pengumuman penting oleh Toyota Malaysia malam ini — acara bermula 7.30pm di FB, Youtube

    Melalui laman media sosialnya, UMW Toyota Motor (UMWT) sejak beberapa waktu kebelakangan ini kerap memberi petunjuk kepada satu pengenalan besar yang akan berlangsung pada 17 Disember. Maka, inilah harinya, dan tepat jam 7.30pm nanti anda dapat mengikuti perkembangan ini bersama melalui Facebook dan Youtube rasmi Toyota Malaysia.

    Nampak gayanya, ia bukan hanya pengenalan biasa, kerana Toyota Malaysia turut memberi petunjuk kepada beberapa pengumuman penting yang akan dilakukan nanti. Semuanya masih rahsia sehingga 7.30pm nanti, tetapi ada beberapa hal yang boleh kita agak akan berlaku.

    Hero bagi acara ini nanti boleh jadi ialah pengenalan GR Yaris yang akan membuat penampilan sulung di Malaysia. Ia merupakan kereta homologasi sebenar agar Pasukan Toyota Gazoo Racing World Rally boleh bersaing di dalam Kejuaraan Rali Dunia (WRC) tahun depan.

    Berdasarkan Yaris terkini untuk pasaran Eropah tetapi diubah suai secara menyeluruh untuk menepati matlamat yang spesifik itu, hatchback ini mengenakan casis dan badan tiga-pintu yang khas. Ia mempertemukan platform versi GA-B dan GA-C dari Toyota New Global Architecture (TNGA) untuk membolehkan suspensi jenis double wishbone digunakan di belakang berbanding torsion beam. Ini juga menyediakan ruang bagi penggunaan sistem pacuan GR-Four.

    GR Yaris dikuasakan oleh enjin G16E-GTS 1.6 liter turbocas tiga-silider yang menghasilkan sehingga 272 PS dan 370 Nm tork. Kuasa disalurkan ke semua roda oleh kotak gear manual enam-kelajuan dan sistem pacuan GR-Four dengan differential lock Torsen di depan dan belakang.

    Turut akan diperkenalkan ialah model Vios dan Yaris facelift, yang sebelum ini telah dibuka untuk tempahan sejak November lalu. Harga jualan untuk dua model versi terbaru ini akan diketahui malam nanti. Ini apa yang kami jangkakan akan diumumkan oleh Toyota nanti. Tetapi, mungkin juga ada kejutan lain yang akan menanti. Jika berkelapangan, tonton acara itu nanti.

     
     
  • Perkhidmatan feri di Penang tamat 31 Dis; semua kereta perlu guna jambatan Penang ke/dari pulau

    Perkhidmatan feri di Penang tamat 31 Dis; semua kereta perlu guna jambatan Penang ke/dari pulau

    Mulai 1 Januari 2021, semua kereta yang mahu masuk dan keluar ke/dari pulau ke/dari tanah besar tidak lagi boleh menjadikan feri sebagai pengangkutan untuk menyeberang. Ini kerana perkhidmatan feri akan berakhir pada 31 Disember ini dan digantikan dengan bot penumpang laju yang hanya membawa pejalan kaki, basikal serta motosikal sahaja.

    Malahan susulan penamatan perkhidmatan feri tersebut, Penang Port Sdn Bhd (PPSB) akan mengambil alih operasi bagi perkhidmatan pengangkutan perkhidmatan feri Pulau Pinang yang sudah digunakan sejak 126 tahun itu. Sebelum ini, operasi tersebut memang pernah dikendalikan oleh PPSB sebelum ia diserahkan kepada Prasarana pada tahun 2017.

    Perkhidmatan feri di Penang tamat 31 Dis; semua kereta perlu guna jambatan Penang ke/dari pulau

    “PPSB juga akan menjalankan penambahbaikan secara interim bermula 1 Jan tahun depan hingga 30 Jun 2022 dan sepanjang tempoh tersebut dua bot penumpang laju yang mampu membawa 200 penumpang dengan kepantasan perjalanan antara 10 hingga 15 minit serta kekerapan 40 kali sehari, digunakan,” kata Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Tan Teik Cheng, seperti mana yang dipetik menerusi Bernama.

    Beliau turut berkata, pengangkut kenderaan yang akan diperkenalkan pula hanya boleh digunakan oleh pengguna basikal dan pembonceng motosikal dengan pengecualian kepada kenderaan empat roda bagi situasi kecemasan sahaja.

    Berkenaan kemungkinan berlaku kesesakan jalan raya disebabkan kenderaan empat roda tidak lagi boleh menggunakan feri, katanya perkara tersebut juga tidak akan menjadi masalah kerana negeri ini mempunyai dua jambatan yang boleh digunakan orang ramai untuk menyeberangi antara pulau dan Perai.

     
     
  • Great Wall tunjuk sokongan ke atas usaha EV Thailand

    Great Wall tunjuk sokongan ke atas usaha EV Thailand

    Great Wall Motors (GWM) telah meluahkan hasrat syarikat itu untuk menjadikan Thailand sebagai hab bagi kenderaan elektrik di rantau ASEAN, berikutan perbincangan yang berlangsung antara pengeluar itu dengan kementerian tenaga Thailand serta Lembanga Pelaburan (BoI).

    Menurut syarikat itu, perbincangan berkenaan memberi tumpuan kepada strategi dan kemungkinan kerjasama untuk memacu Thailand sebagai pusat pembangunan EV serta menyokong pertumbuhan industri di masa hadapan.

    “Great Wall Motor mempunyai keyakinan terhadap Thailand. Negara ini ada potensi besar termasuk lokasi yang strategik di ASEAN, ketersediaan tenaga kerja dan pembekal untuk memenuhi keperluan industri automatif masa depan. Ini lebih mudah dengan sokongan daripada kerajaan dan BoI untuk industri bergerak ke hadapan,” jelas Presiden GWM ASEAN dan Thailand, Elliot Zhang.

    Dalam tempoh enam bulan lalu, GWM telah melabur besar di Thailand sebagai sebahagian daripada strategi globalisasinya, yang akan menyaksikan kenderaan pemanduan sebelah kanan dikeluarkan di negara itu untuk dieksport ke rantau ASEAN yang lain, terutama bagi kenderaan tenaga baru dan EV. Turut berada dalam perancangannya ialah pembukaan pusat R&D di sana, yang akan menjalankan kajian mendalam serta menyediakan latihan kemahiran dan peluang pekerjaan.

    Great Wall tunjuk sokongan ke atas usaha EV Thailand

    “Kerajaan juga sangat berterima kasih kepada pengurusan tertinggi GWM yang telah menunjukkan keyakinan tinggi terhadap Thailand,” ujar Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Tenaga Thailand, Supattanapong Punmeechaow

    “Pelaburan GWM akan membantu mengukuhkan lagi usaha pembangunan EV dalam maksud memperluas visi dan pengetahuan terhadap kajian EV, dan peluang untuk mempercepat pengeluaran EV dengan kepakaran GWM. Pelaburan dan sokongan daripada GWM akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk memenuhi keperluan industri EV yang semakin berkembang. Ini akan memberi kesan langsung terhadap ekonomi keseluruhan Thailand dan kualiti hidup warga Thailand,” tambah beliau.

    Ketika ini, GWM memperluaskan pengilangan automotif dan perniagaan pengedarannya ke lebih daripada 60 negara, dan dalam tempoh dua tahun lalu, syarikat itu telah menjual lebih daripada sejuta kenderaan setiap tahun.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025