Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Volkswagen Arteon eHybrid plug-in hybrid dilancarkan

    Volkswagen Arteon eHybrid plug-in hybrid dilancarkan

    Volkswagen Arteon 2021 yang telah pun diperkenalkan pada Jun lalu kini tampil dengan varian plug-in hybrid. Volkswagen Arteon eHybrid turut boleh didapati dengan versi Shooting Brake, yang telah dilancarkan di pasaran negara kelahirannya.

    Arteon PHEV menggabungkan enjin 1.4 TSI, motor elektrik, bateri lithium-ion 13-kWh dan juga transmisi DSG enam-kelajuan. Hasil gabungan tersebut memberikannya kuasa sehingga 218 PS dan tork 400 Nm, membolehkan model ini dipecut dari 0-100 km/j dalam catatan masa 7.8 saat dan kelajuan maksimum pula 222 km/j. Tiada perincian pengecasan diberikan, tetapi Passat GTE boleh dicas penuh dalam tempoh empat jam dengan penggunaan stesen pengecasan atau wall box dengan kadar 360 V/3.6 kW.

    Arteon eHybrid juga dikatakan memilik jarak semua-elektrik sehingga 59 km (57 km untuk Shooting Brake), membenarkan perjalanan dilakukan dengan sifar emisi. Kajian yang dilakukan oleh kerajaan Jerman menunjukkan hampir 95% untuk semua perjalanan kereta setiap hari lebih pendek daripada 50 km. Bagi model ini, kelajuan tertinggi dalam mod EV adalah 130 km/j dan jarak keseluruhan yang boleh dicapai adalah melebihi 900 km.

    Volkswagen Arteon eHybrid plug-in hybrid dilancarkan

    Seperti yang dimaklumkan, Arteon eHybrid ditawarkan dengan dua bentuk badan, dan pemiliknya juga boleh memilih tahap kemasan Elegance atau R-Line. Setiap satunya memiliki bampar dan roda aloi 18-inci tersendiri, bersama lampu utama LED dengan Light Assist (dengan kawalan lampu tinggi automatik) dan lampu membelok dinamik dengan kluster lampu belakang LED.

    Di dalamnya, ia diberikan tempat duduk kulit/Alcantara, kemasan kayuan asli (Elegance) atau metal (R-Line), perumah pedal dengan rupa aluminium, dan touch island pada roda stereng pelbagai-fungsi balutan kulit. Selain itu, ciri standard lain termasuk pemilih profil pemanduan, fungsi pemanas pada tempat duduk hadapan dan bantuan parkir hadapan/belakang Park Assist.

    Setiap Arteon juga dilengkapi dengan Kawalan Kelajuan Adaptif, Bantuan Brek Kecemasan Sendiri, Paparan Isyarat Jalan Dinamik dan stereng progresif. Pakej kit dalaman standard pula merangkumi Digital Cockpit Pro (panel meter digital), sistem infotainmen Discover Media 8.0-inci dengan navigasi dan gelangsar sesentuh iluminasi untuk pendingin hawa automatik.

    GALERI: Volkswagen Arteon eHybrid

    Volkswagen Arteon Shooting Brake eHybrid R-Line 2020

     
     
  • MAM bakal anjur kursus kemahiran pemanduan defensif, dikendalikan oleh MSF; bermula Disember ini

    MAM bakal anjur kursus kemahiran pemanduan defensif, dikendalikan oleh  MSF; bermula Disember ini

    Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM) telah mengumumkan penganjuran siri latihan dan program pembangunan kemahiran pemandu yang dijayakan dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan dikendalikan oleh Malaysia Speed Festival (MSF).

    Program Pembangunan Kemahiran Pemandu ini memfokuskan untuk melahirkan pemandu berkemahiran, bertujuan secara tidak langsung untuk meningkatkan kualiti keselamatan di jalan raya secara umumnya. Tiga siri bagi program ini mengenakan harga pengenalan RM180.00 (harga asal RM250) bagi bagi kursus pemanduan defensif.

    Sementara itu, RM350 dikenakan (asalnya RM450) bagi kursus pemanduan peringkat lanjutan dan hanya RM500 bagi program pemanduan litar perlumbaan sekiranya anda pemilik Lesen Pertandingan MAM atau RM600 sekiranya bukan (asalnya RM900). Kursus ini dibenarkan untuk berlangsung ketika tempoh PKPB, dengan syarat tidak melibatkan lebih daripada 10 orang peserta. SOP ketat akan dikenakan dan semua peserta perlu mematuhinya.

    Kursus pemanduan defensif ini mampu membantu pemandu untuk menjadi lebih peka terhadap bagaimana untuk mengurangkan risiko ketika memandu dan menyumbang kepada keselamatan keseluruhan ketika berada di jalan raya – untuk mengurangkan kemalangan dan kecederaan.

    Ketika kursus setengah hari berkenaan, pemandu akan mempelajari cara untuk kekal memberi tumpuan, mengelak hadangan, mengesan situasi bahaya dan memandu dengan cara berhemah dan jimat. Aktiviti antaranya melibatkan membrek kecemasan, menghindari halangan dan slalom.

    Kursus pertama bakal berlangsung pada hujung minggu 12-13 Disember 2020, dengan dua lagi tarikh yang diumumkan adalah pada 16-17 Januari 2021 dan 13-14 Mac 2021. Pendaftaran dan bayaran mula dibuka kini. Untuk maklumat lanjut, emel ke [email protected].

     
     
  • Kapal pengangkut kereta Volkswagen Group bergerak guna bahan api dari minyak masak terpakai di Eropah

    Kapal pengangkut kereta Volkswagen Group bergerak guna bahan api dari minyak masak terpakai di Eropah

    Pelbagai cara pengeluar-pengeluar kenderaan masa kini bagi memberikan sumbangan terhadap pemeliharaan alam sekitar. Dan untuk Volkswagen Group Logistic (VGL), mereka kini menggunakan minyak masak terpakai sebagai bahan api untuk menggerakkan kapal yang digunakan untuk membawa kereta-kereta di bawah payung VW Group.

    Bahan bakar tersebut adalah bahan yang diluluskan dihasilkan dari minyak sayuran terpakai yang diambil dari restoran-restoran serta industri makanan. Kapal pertama yang diisi dengan bahan api dari minyak masak terpakai ini telah pun bergerak pada awal bulan ini, dan akan diikuti kapal kedua bermula awal 2021 nanti.

    “Kami merupakan pembuat automotif pertama yang menggunakan bahan bakar ini secara meluas. Dengan cara ini, kami menggunakan minyak masak yang dibuang dalam cara yang mesra alam. Dengan emisi CO2 yang 85% lebih rendah berbanding bahan bakar fosil konvensional, sumbangannya untuk penjagaan alam sekitar adalah sangat besar,” kata ketua VGL, Thomas Zernechel.

    Bagi yang tertanya-tanya “kapal ni pakai enjin apa boleh bergerak pakai minyak masak?”. Ini jawapannya; kapal berkenaan dijana oleh enjin diesel marin dari MAN, berkuasa lebih dari 19,000 PS. Kapal dengan panjang keseluruhan 180-meter berkenaan digunakan untuk mengangkut kereta-kereta VW Group seperti Audi, Seat, Skoda dan Volkswagen untuk pasaran sekitar Eropah.

    Dua buah kapal digunakan untuk mengangkut 3,500 kenderaan dalam laluan dari Emden di utara Jerman melalui Dublin (Ireland), Santander (Sepanyol) dan Setubal (Portugal) kemudian pulang semula ke Emden, 50 kali setahun, menjadikan keseluruhan 250,000 unit kenderaan di bawa setiap tahun.

    Pada masa hadapan, kedua-dua kapal ini akan mengisi semula bahan api di pantai Vlissingen (Belanda) dengan bahan bakar alternatif dibekalkan oleh syarikat dari Belanda iaitu GoodFuels. Dengan cara ini, emisi CO2 kedua-dua kapal dapat dikurangkan sebanyak 85% sepanjang perjalanan – dari lebih 60,000 kepada hanya 9,000 tan setahun. Malah, emisi sulfur oksida turut hampir tidak dihasilkan.

    Langkah “bahan api dari bahan terbuang” ini sememangnya salah satu strategi yang dirangka bagi menjadikan VGL lebih mesra alam. Satu lagi langkah adalah untuk menggunakan cecair gas asli (LNG) sebagai bahan bakar pengangkut kereta mereka. Kapal-kapal berkenaan bergerak antara Eropah, Amerika Utara dan Amerika Latin.

    Juga, semua penghantaran menggunakan keretapi di Jerman dengan DB Cargo akan diubah mengggunakan kuasa-eko. “Dengan cara ini, VGL membantu Volkswagen Group mencapai karbon neutraliti sepenuhnya menjalan 2050,” kata Zernechel lagi.

     
     
  • Mazda 2 generasi baru akan diasaskan dari Toyota Yaris Hybrid, dihasilkan di kilang Toyota – laporan

    Mazda 2 generasi baru akan diasaskan dari Toyota Yaris Hybrid, dihasilkan di kilang Toyota – laporan

    Mazda 2 generasi sedia ada sudah pun berada dalam pasaran global sejak 2014, dan mengikut kitaran produksi, ia sepatutnya sudah pun muncul dengan model generasi baharu. Tetapi, sehingga kini masih belum nampak sebarang kelibat prototaip ujian bagi model berkenaan.

    Namun ketika pembentangan prestasi kewangan syarikat baru-baru ini, Mazda ada menyebut bahawa mereka akan menghasilkan model pasaran Eropah yang diasaskan dari hatchback segmen-B, Toyota Yaris THS (Yaris Hybrid). Dan menurut laporan Autocar, ia berkemungkinan adalah asas untuk projek Mazda 2 generasi seterusnya.

    “Kami terus dengan pendekatan pelbagai penyelesaian yang menawarkan solusi yang betul bagi memadankan pelbagai kuasa, keunikan dan keperluan pelanggan pada setiap negara dan rantau,” kata Mazda UK kepada Autocar, dan menambah bahawa Toyota Hybrid System (THS) adalah solusi yang optimum bagi keperluan untuk setiap rantau.

    Ini mungkin menandakan bahawa Mazda 2 akan dihasilkan untuk Mazda oleh Toyota di kilang Toyota yang terletak di utara Perancis, serta hatchback hybrid tersebut akan membantu Mazda untuk melepasi tahap pelepasan emisi CO2 yang disyaratkan Kesatuan Eropah, tulis Autocar lagi.

    Mazda 2 generasi baru akan diasaskan dari Toyota Yaris Hybrid, dihasilkan di kilang Toyota – laporan

    “Kolobrasi ini merupakan keputusan yang dicapai menerusi polisi kerjasama Toyota-Mazda untuk menggunakan sumber perniagaan kedua-dua syarikat secara efisien, dalam masa yang sama masih menghormati kebebasan jenama dan pengurusan jenama masing-masing,” kata Mazda dalam kenyataan yang dikeluarkan, namun masih belum mengesahkan bahawa model yang dimaksudkan adalah Mazda 2.

    Jika ia benar-benar berlaku, kerjasama ini nampaknya terbalik dari sebelum ini di mana Toyota menjual Yaris dan Yaris sedan pada pasaran Amerika Syarikat dengan menggunakan Mazda 2 yang di’rebadge’.

    Dalam kenyataan Toyota sebelum ini, mereka menyatakan bahawa Mazda turut akan menghasilkan SUV menggunakan teknologi THS, dan ia akan dihasilkan di fasiliti Mazda Toyota Manufacturing USA (MTMUS) yang terletak di Alabama bermula 2021 nanti, sebagai salah satu kerjasama perniagaan dan modal yang ditandatangani kedua-dua jenama pada 2017.

     
     
  • Nissan Navara 2021 spesifikasi Thai – 2.3L diesel single-, twin-turbo diperkenal di ASEAN, ada AEB

    Nissan Navara 2021 spesifikasi Thai – 2.3L diesel <em>single-</em>, <em>twin-turbo</em> diperkenal di ASEAN, ada AEB

    Beberapa minggu selepas mendedahkan Navara facelift, Nissan telah mengeluarkan spesifikasi penuh untuk pasaran Thai. Berita menarik berkenaan trak pikap yang dipertingkatkan ini ialah ia menerima enjin 2.3 liter turbodiesel yang lebih maju yang telah pun ditawarkan di beberapa pasaran, termasuklah bagi SUV Terra di negara terbabit.

    Ia adalah untuk pasaran dengan gred bahan api Euro 5 dan ke atas, penjana kuasa YS23 ini menggantikan unit YD25DDTi 2.5 liter empat-silinder dan ditawarkan dengan dua varian. Bagi varian YS23DDT turbo-tunggal dengan kotak gear manual enam-kelajuan, ia boleh menghamburkan kuasa hingga 163 PS pada 3,750 rpm dan tork 403 Nm dari 1,500 dan 2,500 rpm.

    Manakala bagi varian YS23DDTT turbo-berkembar pula, ia dipadankan dengan kotak gear automatik tujuh-kelajuan yang mampu mengeluarkan kuasa hingga 190 PS dan tork 450 N,. Varian asas King Cab menerima unit lama YS25 yang memiliki hamburan kuasa yang sama seperti YS23DDT, tetapi pada puncak kuasa dan tork masing-masing 3,600 rpm dan 2,000 rpm. Walau bagaimana pun, untuk pasaran negara ASEAN yang lain, termasuk Malaysia, yang masih menggunakan diesen Euro 2M, tidak diketahui adakah bakal menerima enjin baharu ini mahu pun tidak.

    Sebagai model yang diberikan suntikan lebih segar, bahagian hadapannya diberikan imej yang diinspirasikan dari Titan yang lebih besar, disambungkan dengan gril “interlock” bersama logo Nissan dengan tulisan merah diletakkan pada bahagian tengah gril ini sementara di atasnya pula tertulis Navara dengan saiz besar. Ia turut diberikan lampu utama segi empat tepat, bonet yang lebih tinggi dan rekaan bampar hadapan yang lebih agresif. Untuk belakangnya, ia juga lebih tinggi dengan rekaan tailgate baharu dan bampar yang lebih maskulin bersama sambungan pemijak.

    Nissan Navara 2021 spesifikasi Thai – 2.3L diesel <em>single-</em>, <em>twin-turbo</em> diperkenal di ASEAN, ada AEB

    Bagi model spesfikasi tertinggi, ciri ekstra yang diberikan termasuklah lampu utama LED berbentuk kiub dengan lampu nyalaan siang berbentuk-C, lampu belakang LED dengan lampu panduan berbentuk-C. Nissan turut memperkenalkan varian Pro-2X 4×2 dan Pro-4X 4×4 yang menerima serlahan luaran berwarna hitam, sambungan gerbang roda dan roda aloi hitam 17-inci untuk semua jenis tayar.

    Untuk bahagian dalamnya pula, antara perubahan yang dibuat ialah menampilkan sistem infotainmen NissanConnect baharu dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto serta skrin sesentuh tujuh- atau lapan-inci, serta beberapa unit port USB (termasuk port USB-C pada bahagian hadapan) dan ditambah dengan penebat bunyi.

    Bergantung pada varian, Navara turut menerima paparan multi-info tujuh-inci yang lebih besar dan cermin hadapan dan tingkap sisi hadapan dengan kaca akustik, bersama ciri lain seperti bilah pengelap cermin dengan pengesan hujan, cermin sisi boleh lipat secara automatik, pengunci pintu dengan pengesan kelajuan dan kamera 360-darjah. Model Double cab juga telah diberikan tempat duduk belakang yang telah dibentuk semula agar lebih selesa dan disambungkan dengan perehat tangan bahagian tengah yang turut menempatkan pemegang cawan.

    Nissan Navara 2021 spesifikasi Thai – 2.3L diesel <em>single-</em>, <em>twin-turbo</em> diperkenal di ASEAN, ada AEB

    Untuk aspek keselamatannya, Navara baharu ini kini ditawarkan dengan brek kecemasan sendiri (AEB) dan sistem kepekaan perhatian pemandu untuk model V, Pro-2X dan Pro-4X. Manakala varian tertinggi Pro-4X menerima ciri tambahan termasuk amaran ketibaan lorong dengan braking intervention dan pemantauan titik buta.

    Bagi aspek suspensi pula, Navara pasaran Thai didatangkan dengan leaf spring belakang untuk mematuhi peraturan bagi cukai kenderaan komersil, namun untuk pasaran lain, dijangka akan menerima spring gegelung yang sama seperti sebelum ini. Nissan juga telah menambah kapasiti muatan, hasil meningkatkan ketegaran gandar belakang, sementara steering rack baharu juga telah mempertingkatkan respon dan pergerakan pada kelajuan rendah.

    Harga bagi Nissan Navara baharu bagi pasaran Thailand adalah dari 599,000 baht (RM80,400) untuk model asas King Cab 4×2 SL 6MT hingga 1,149,000 baht (RM154,200) bagi varian tertinggi Double Cab 4×4 Pro-4X 7AT.

     
     
  • Toyota Agya dilancarkan di Afrika Selatan – RM48k-RM52k, spesifikasi lebih rendah dari Perodua Axia

    Toyota Agya dilancarkan di Afrika Selatan – RM48k-RM52k, spesifikasi lebih rendah dari Perodua Axia

    Daihatsu Ayla muncul di pasaran Indonesia pada 2012, diikuti kembarnya pada pasaran sama iaitu Toyota Agya pada tahun berikutnya. Dan kita di Malaysia pula menerima satu lagi kembar hatchback segmen-A ini dengan nama Perodua Axia pada tahun 2014. Kini pada tahun 2020, salah satu kembar tiga berkenaan telah di bawa keluar dari pasaran ASEAN apabila Toyota Agya dilancarkan pada pasaran Afrika Selatan minggu lalu.

    Toyota Agya tersebut kini merupakan model Toyota paling murah di Afrika Selatan, bagi menggantikan tempat Toyota Aygo iaitu hatchback segmen-A yang turut boleh ditemui pada pasaran Eropah. Model ini ditawarkan dalam empat varian bermula Agya 1.0L 5MT tanpa sistem audio berharga R178,600 (RM47,676), Agya 1.0L 5MT dengan sistem audio berharga R182,400 (RM48,695), Agya 1.0L 4AT tanpa sistem audio berharga R192,500 (RM51,392), dan varian tertinggi Agya 1.0L 4AT dengan sistem audio berharga R196,300 (RM52,406).

    Keempat-empat varian ini menampilkan kelengkapan yang sama, dibezakan hanya dengan ciri-ciri yang jelas pada namanya. Ia dijana oleh enjin tiga-silinder 1.0L berkuasa 66 hp dan tork maksima 89 Nm – Toyota Afrika Selatan tidak memperincikan kod enjin untuk Agya ini, namun menerusi angka kuasa yang dinyatakan ia seakan masih menggunakan enjin 1KR-DE2 seperti Perodua Axia 2014, berbanding Axia 2019 yang telah pun menerima enjin 1KR-VE VVT-i yang ditingkat taraf menghasilkan 67 hp/91 Nm.

    Toyota Agya dilancarkan di Afrika Selatan – RM48k-RM52k, spesifikasi lebih rendah dari Perodua Axia

    Tiada versi dengan enjin 1.2 liter ditawarkan seperti di Indonesia. Pilihan kotak gear pula adalah sama dengan Perodua Axia iaitu sama ada transmisi manual lima-kelajuan 5MT atau empat-kelajuan automatik 4AT bagi memacu roda hadapan.

    Dari segi luaran, Agya Afrika Selatan ini menerima rupa yang sama seperti Agya facelift 2020 pasaran Indonesia, termasuk diberikan lampu hadapan projektor LED, lampu kombinasi LED belakang, spoiler belakang dan cermin sisi berkuasa bersama lampu isyarat membelok, namun ia tidak diberikan lampu kabus hadapan. Kesemua varian Agya Afrika Selatan ini diberikan rim aloi 14-inci kemasan hitam dengan tayar 175/65R14.

    Pada bahagian dalaman, Agya pasaran Afrika Selatan ini turut menampilkan kemasan hitam-merah yang sama seperti di Indonesia. Namun ia tidak menerima roda stereng dengan suis pelbagai fungsi, serta untuk model yang diberikan sistem audio ia hanya diberikan pemain 2-DIN dengan Bluetooth dan port USB tanpa skrin sesentuh. Namun pemain berkenaan mempunyai Wi-Fi dalam kereta dan ia boleh berhubung dengan aplikasi MyToyota pada telefon pintar.

    Toyota Agya dilancarkan di Afrika Selatan – RM48k-RM52k, spesifikasi lebih rendah dari Perodua Axia

    Ciri lain yang diberikan pada bahagian dalaman termasuk sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, upholsteri fabrik, tempat duduk hadapan dengan perehat kepala tidak boleh dilaras, dua pembesar suara, dan sistem pendingin hawa manual dengan suis kawalan digital.

    Untuk keselamatan pula, Agya di Afrika Selatan ini diberikan dua beg-udara, cagak tempat duduk kanak-kanak Isofik di belakang dan juga sistem brek ABS dan EBD. Bagi sistem keselamatan ini jelas ia agak ketinggalan dari Axia kerana model G Xtra yang dijual pada harga RM35k sudah pun diberikan sistem kestabilan elektronik (VSC) dengan Traction Control, manakala model tertinggi Axia AV berharga RM43k turut diberikan sistem bantuan pemanduan ASA 2.0.

    Toyota Agya pasaran Afrika Selatan ini ditawarkan dalam enam warna iaitu Tusk White, Graphite Grey Metallic, Electric Yellow, Flame Red, Sunrise Orange, dan Meteor Silver Metallic. Ia turut ditawarkan dengan aksesori tambahan seperti visor pintu dan juga kit aero seakan Agya TRD di Indonesia merangkumi spoiler bampar hadapan, skirt sisi, kemasan diffuser bampar belakang dan juga kemasan pelindung pintu.

     
     
  • Suzuki Jimny pakai kit badan untuk menjelma jadi Mercedes-Benz G 500 4×4² — nampak sama!

    Suzuki Jimny pakai kit badan untuk menjelma jadi Mercedes-Benz G 500 4×4² — nampak sama!

    Suzuki Jimny memang selalu menerima versi penggayaan yang pelbagai sejak pengenalannya. Terutama, untuk menjadi mirip SUV off-road yang lebih besar, seperti Mercedes-Benz G-Class. Banyak versi seperti ini sudah pernah muncul, tapi sejauh mana ia benar-benar dapat menyerupai “abang”nya yang sebenar?

    Ini ada satu contoh menarik. Brader-brader di Arab GT telah menyiapkan satu video perbandingan antara Jimny yang diubah suai oleh Fast Car Service Centre (FCSC) di Dubai dengan sebuah G 500 4×4². Bukanlah untuk mempertemukan dalam maksud berlawan, tetapi untuk tengok sejaih mana persamaan dan perbezaan antara kedua-duanya.

    Suzuki Jimny pakai kit badan untuk menjelma jadi Mercedes-Benz G 500 4×4² — nampak sama!

    Paling ketara adalah perbezaan saiz. Jimny nampak jauh lebih “halus” berbanding G-Class. Namun, pakej gaya dan kemasan yang dihasilkan oleh FCSC memang menampilkan imej “baby G” yang meyakinkan. Ini melibatkan banyak panel asal Jimny seperti bampar, gril dan bonet diubah untuk menyerupai model Mercedes-Benz terbabit. Model Suzuki berkenaan juga menerima ekzos sisi, overfender, pelitup tayar ganti, lencana V8 dan aksesori lampu LED.

    Namun, walaupun dari luaran ia nampak meyakinkan sama seperti G-Class, ruang dalamannya sangat berbeza dan tidak mewah seperti “abang”nya. Ini tidaklah menghairankan; begitu juga dengan prestasinya, kerana Jimny hanya menggunakan enjin K15B 1.5 liter NA yang dua kali ganda lebih kecil berbanding unit M176 4.0 liter turbo berkembar V8 pada G 500 4×4² (janaan juga 100 hp berbanding 416 hp).

     
     
  • Lebuhraya CSR dan Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai bakal dibuka sepenuhnya pada 2025 – Menteri JPN

    Lebuhraya CSR dan Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai bakal dibuka sepenuhnya pada 2025 – Menteri JPN

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed memaklumkan projek pembinaan Lebuh Raya Utama Tengah (CSR) dijangka siap sepenuhnya pada 2025. Katanya, sehingga kini jajaran CSR telah mencapai 21% siap dan boleh digunakan orang ramai, yang meliputi jalan sepanjang 62 km dari Merapoh hingga ke Kampung Seberang Jelai di Pahang.

    Begitu juga dengan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai (KBKK) yang telah mencapai 20% siap dan telah boleh digunakan pula adalah dari Pasir Hor ke Ketereh di Kelantan melibatkan laluan sepanjang 13.85 km, laporan Bernama.

    “Apabila keseluruhan jajaran CSR dan KBKK siap kelak, ia dijangka dapat mengatasi masalah kesesakan terutamanya ketika waktu puncak, hujung minggu dan musim perayaan, selain membantu mengurangkan kadar kemalangan,” katanya.

    Mustapa berkata projek CSR melibatkan pembinaan lebuh raya sepanjang 295.7 km dari Bentong, Pahang ke Kuala Krai, Kelantan, manakala KBKK melibatkan laluan sejauh 67.6 km dengan kos keseluruhan sebanyak RM9.5 bilion.

    Katanya bagaimanapun, kedua-dua projek dalam Belanjawan 2021 itu hanya dapat dilaksanakan jika mendapat kelulusan dalam perbincangan peringkat jawatankuasa di persidangan Dewan Rakyat kali ini.

     
     
  • Harga minyak 28 Nov-4 Dis – Petrol naik sebanyak tiga sen seliter, diesel naik hingga empat sen seliter

    Harga minyak 28 Nov-4 Dis – Petrol naik sebanyak tiga sen seliter, diesel naik hingga empat sen seliter

    Bagi minggu terakhir November dan minggu pertama Disember 2020, menyaksikan kenaikan harga bagi ketiga-tiga bahan api utama di negara. Bagi minggu bertarikh 28 November hingga 4 Disember 2020, Kementerian Kewangan mengumumkan harga bagi petrol naik sebanyak tiga sen seliter, manakala diesel pula mengalami kenaikan harga sehingga empat sen seliter.

    Ini bermakna harga runcit bagi petrol RON 97 akan menjadi RM1.97 seliter berbanding RM1.94 seliter pada minggu sebelumnya. Manakala RON 95 pula, daripada RM1.64 seliter, bakal menjadi RM1.67 seliter.

    Bagi diesel pula, gred Euro 2M pula bakal menjadi RM1.85 seliter dan Euro 5 pula berharga RM1.95 seliter. Kesemua harga baharu ini akan efektif mulai 12.01 tengah malam ini sehinggalah Jumaat hadapan, 4 Disember 2020.

     
     
  • Proton X50 ‘Bumblebee’ – modifikasi lengkap dari kuasa enjin, prestasi hingga ke rupa lebih agresif!

    Proton X50 ‘Bumblebee’ – modifikasi lengkap dari kuasa enjin, prestasi hingga ke rupa lebih agresif!

    Seperti yang kami janjikan tempoh hari, ini dia, kami tampilkan lebih perincian serta galeri penuh untuk Proton X50 yang viral kerana tampil sebagai unit pertama X50 diubahsuai, tak sampai sebulan model ini dilancarkan secara rasmi di Malaysia. Kami agak beruntung kerana pemiliknya, Lee tidak segan silu untuk memberikan kami peluang untuk memaparkan secara terperinci X50 dengan warna seperti Bumblee Bee berkenaan, serta menerangkan apa ubahsuai yang telah dibuat setakat ini.

    Lee antara orang bertuah kerana ketika masih ramai yang menunggu stok X50 masing-masing (lebih 27,000 unit telah ditempah setakat bulan lalu!), dia telah menjadi antara pemilik X50 terawal yang menerima kereta yang paling hype di Malaysia buat masa sekarang.

    Keputusan untuk mengubahsuai X50 ini bukan dibuat selepas menerima kereta tersebut, kerana sebahagian aksesori telahpun ditempah oleh Lee sebelum X50 ini dilancarkan secara rasmi. Walaupun kereta ini dibeli sememangnya untuk diubahsuai, Lee tidak membeli model paling ‘kosong’ seperti yang dibuat kebanyakkan orang dalam menghasilkan projek sebegini, sebaliknya dia memilih X50 dalam spesfikasi tertinggi iaitu varian 1.5T-GDI Flagship.

    Antara perkara pertama yang Lee lakukan terhadap X50 ini dan menyebabkan ia terus viral selepas itu adalah dengan membalut badan asal yang berwarna Citric Orange dengan pelekat berwarna kuning satin ini. Dalam masa yang sama, kemasan-kemasan krom dan perak asal seperti pada gril hadapan, lampu, sekeliling tingkap dibalut dengan vinyl berwarna hitam berkilat, termasuk pada rel bumbung dan pembuka pintu bagi memberikan imej yang lebih sporty.

    Proton X50 ‘Bumblebee’ – modifikasi lengkap dari kuasa enjin, prestasi hingga ke rupa lebih agresif!

    Lampu hadapan dan lampu kabus LED asal X50 ini masih dikekalkan, namun perumah lampu kabus tersebut diganti dengan unit yang menampilkan tiga lagi jalur LED tambahan. Lee turut menambah satu lagi lapisan ‘sayap’ pada bahagian bawah bampar asal X50 ini dan dibalut dengan kemasan gentian karbon berkilat, sebagai tambahan dari dua lip spoiler yang telahpun dibekalkan standard untuk semua varian X50.

    Penutup cermin sisi asal turut ditukar dengan komponen dari gentian karbon, manakala di bahagian belakang, spoiler bumbung asal X50 ini telah pun dicabut dan digantikan dengan spoiler lebih besar yang diambil dari model asalnya pada pasaran China iaitu Geely Binyue untuk varian Sport.

    Jika anda lihat dengan teliti, Lee turut membuat sedikit perubahan pada bahagian ini bagi membuatkan ia sedikit berbeza dengan X50 standard – bar krom yang merentangi pintu tailgate diganti bar LED berwarna merah, sementara perkataan ‘PROTON’ dialih ke bahagian atas. Empat tip ekzos asal X50 ini masih dikekalkan, tetapi ia menerima ‘sarung’ kemasan gentian karbon.

    Bagi melengkapkan rupanya, rim 18-inci 7 jj asal yang dibekalkan Proton tidak lagi digunakan. Ia kini digantikan dengan rim 20-inci dengan lebar 8.5 jj berwarna hitam dari Veemann, dibalut dengan tayar Michelin Pilot Sport 4 S dengan saiz 235/40ZR20.

    Proton X50 ‘Bumblebee’ – modifikasi lengkap dari kuasa enjin, prestasi hingga ke rupa lebih agresif!

    Rim dengan jejari berjarak berkenaan secara tidak langsung seakan ‘menayang’ sistem brek gergasi pada bahagian roda hadapan X50 ini. Brek apa yang Lee pakai untuk X50 ini? Ia sebenarnya adalah gabungan cakera berliang 405 mm yang ditebuk diambil dari sedan V8 Amerika, Cadillac CTS-V bersama angkup enam-omboh dari Brembo!

    Brek belakang juga sebenarnya sudah ditingkap taraf dengan menggunakan cakera berliang 380 mm bersama angkup empat-omboh yang diambil dari Porsche Cayenne, namun disebabkan rim 20-inci yang sangat besar tersebut membuatkan cakera berkenaan masih kelihatan kecil.

    Badan SUV ini juga nampak lebih rapat ke permukaan tanah dari model standard, membuatkan ruang roda nampak ‘penuh’ dengan set rim dan tayar yang lebih besar berkenaan. Proses ini dibuat oleh Lee menggunakan set suspensi boleh laras yang dihasilkan untuk Geely Binyue.

    Bukan hanya ketinggian yang dilaras, Lee turut membuat tetapan sudut camber -2 pada bahagian hadapan, berbanding spesifikasi asal -1 untuk tayar depan kiri dan +1 pada tayar depan kanan yang dibuat oleh Proton. Menurut Lee yang biasa dengan ‘track day’ di Sepang, talaan tersebut bukan saja-saja dibuat, kerana dia berhajat untuk ‘membelasah’ X50 ini di litar berkenaan selepas berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor nanti.

    Proton X50 ‘Bumblebee’ – modifikasi lengkap dari kuasa enjin, prestasi hingga ke rupa lebih agresif!

    Dan untuk pengetahuan anda, bukan suspensi dan brek sahaja diubahsuai, Lee sebenarnya sudahpun membuat berberapa tingkat taraf bagi mengekstrak lebih kuasa dari enjin 1.5 liter tiga silinder turbo dengan sistem suntikan terus dalam perut Proton X50 ini.

    Perkara pertama yang dibuat adalah sistem ekzos – unit catalytic converter pertama yang mempunyai penderia O2 masih dikekalkan, manakala unit catalytic kedua telah dibuka dan digantikan dengan tabung yang memberikan bunyi lebih garang. Ia turut diberikan sistem injap bagi membolehkan tahap bunyi tersebut dikawal menggunakan hubungan Bluetooth.

    Selepas memberikan sistem ekzos yang lebih lawas, talaan kotak komputer enjin dibuat kembali menggunakan komputer piggyback RaceChip GTS. Talaan semula untuk mengoptimakan pemasaan nyalaan, nisbah campuran udara-bahan api dan pelbagai lagi membolehkan sejumlah 22 PS dan 35 Nm dibebaskan dari enjin tersebut – ini bukan agak-agak kerana graf dyno telah membuktikannya.

    Menurut Lee, talaan ini membolehkan X50 miliknya ini memecut 0-100 km/j lebih pantas dari asal, dan ia turut memberikan penghantaran kuasa lebih responsif dalam mod Sport. Talaan ini sebenarnya masih belum sempurna kerana menurut Lee lagi, selepas ia ditala dengan lebih terperinci, enjin berkenaan berpotensi untuk menghasilkan tambahan sekitar 6 PS/10 Nm, atau lebih kurang 200 PS/300 Nm pada crank!

    Sama seperti bahagian luaran dan prestasi, Lee turut memberikan perhatian serius untuk bahagian kabin X50 Flagship ini, walaupun dalam keadaan standard ia sudah cukup sporty dan rasa mewah dengan upholsteri kulit sintetik serta banyak bahagian telah diberikan material sentuhan lembut dari kilang.

    Keseluruhan papan pemuka X50 ini dibuka (tak sampai sebulan keluar dari bilik pameran, berani?) untuk dibalut semula dengan Alcantara hitam dengan serlahan jahitan kuning, dan ia turut meliputi bahagian sentuhan lembut asal pada bahagian atas paparan instrumen dan juga kemasan perak pada yang merentangi papan pemuka berkenaan.

    Bahagian lain seperti perehat tangan pemandu dan kemasan pintu (sebelum ini dibalut kulit merah) turut diberikan balutan material dan juga serlahan benang yang sama. Manakala keseluruhan lantai kini menerima karpet istimewa berwarna merah.

    Proton X50 ‘Bumblebee’ – modifikasi lengkap dari kuasa enjin, prestasi hingga ke rupa lebih agresif!

    Sekali tengok, sistem audio pada X50 ini nampak standard. Namun sebenarnya Lee telah membelanjakan sekitar RM4,500 untuk mendapatkan kualiti yang jauh lebih baik menerusi penggunaan pembesar-pembesar suara FRP (disebalik perumah asal), pemproses bunyi digital dan juga subwoofer digital aktif yang diletakkan di bawah tempat duduk.

    Dua lapis penebat bunyi tambahan turut diberikan pada kesemua pintu yang bukan sahaja memberikan bunyi audio lebih baik, malah memberikan perasaan lebih solid apabila pintu ditutup. Pintu tailgate belakang juga telah diubahsuai dengan sistem bantuan elektrik, lengkap dengan bukaan tanpa sentuh dengan penderia kaki pada bampar.

    Buat masa sekarang, Lee telah menghabiskan kira-kira RM52,000 untuk mendapatkan hasil ubahsuai seperti sekarang, dan sudah tentu ini adalah X50 pertama dengan perlindungan warantinya tidak lagi boleh digunapakai. Rugi? Kadang-kadang kepuasan macam ni tak sama nilainya dengan wang ringgit – ‘syok’ tu sesuatu yang tak boleh kita beli.

    Dan walaupun kos ubahsuai ini sudahpun mencecah separuh harga Proton X50 ini sendiri, Lee masih bercadang untuk melakukan pelbagai modifikasi pada kereta ini antaranya tempat duduk hadapan yang bakal ditukar kepada tempat duduk bucket dari Recaro.

    Kami juga teruja apabila Lee mengatakan prestasi X50 ini juga akan ditingkatkan pada masa akan datang dengan penukaran sistem brek karbon seramik dari Audi RS5, dan dia turut berminat untuk ‘meleraikan’ enjin asal berkenaan untuk menggantikan omboh asal kepada omboh jenis forged bagi membolehkan ia didesak dengan pengecas turbo lebih besar.

    Namun Lee tidak menolak kemungkinan untuk mengambil langkah drastik bagi mendapatkan kuasa segera dengan menggunakan enjin 2.0 liter turbo 4G63 dari Mitsubishi Lancer Evolution. Gila!

    Untuk pemilik-pemilik X50, berminat mana-mana aksesori yang digunakan oleh Lee dalam modifikasi SUV ini? Hah, anda boleh layari sendiri laman Facebook rasmi All In Cross Fifty Accessories Malaysia, pada PAUTAN INI.

     
     
  • Tiga stesen MRT ditutup sekali lagi hujung minggu ini

    Tiga stesen MRT ditutup sekali lagi hujung minggu ini

    Kalau ada rancangan nak guna MRT hujung minggu ini, sila ambil perhatian. Ada tiga stesen yang akan ditutup hujung minggu ini (28-29 November) untuk kerja-kerja permindahan bagi MRT Jajaran Putrajaya.

    Sama seperti penutupan sementara yang dilakukan pada 14-15 November lalu, stesen yang terlibat ialah Kwasa Damansara, Kampung Selamat dan Sungai Buloh, yang merupakan tiga stesen terakhir (atau yang terawal) bagi MRT Jajaran Kajang. Bagi stesen Kwasa Damansara, kawasan letak keretanya turut akan ditutup. Sebaliknya, ruang letak kereta bertingkat di Stesen Sungai Buloh akan tetap dibuka.

    Dengan penutupan sementara ini, perkhidmatan MRT akan berakhir di stesen Kwasa Sentral. Bas perantara percuma akan disediakan untuk menghubungkan stesen Sungai Buloh, dan akan berhenti di Kampung Selamat juga. Kekerapa bas perantara berkenaan adalah setiap 15 minit.

    Jajaran MRT Putrajaya, atau sebelum ini dikenali sebagai Jajaran Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP), sudah 80% siap. Fasa satu jajaran berkenaan dari Kwasa Damansara ke stesen Kampung Batu sepatutnya akan mula beroperasi pada pertengahan 2021, sementara selebihnya akan dibuka kepada umum menjelang 2022.

    Jajaran Putrajaya merupakan jajaran MRT kedua Lembah Klang selepas Jajaran Kajang, yang mula beroperasi pada Julai 2017. Laluan sepanjang 56.2 km akan mempunyai 36 stesen, sembilan daripadanya di aras bawah tanah. Ia akan menghubungkan Kwasa Damansara ke Putrajaya Sentral.

     
     
  • Daihatsu Rocky dengan aksesori, kit badan Modellista – mungkin boleh digunakan pada SUV Perodua D55L?

    Daihatsu Rocky dengan aksesori, kit badan Modellista – mungkin boleh digunakan pada SUV Perodua D55L?

    Penawaran aksesori serta kit badan Modellista untuk model baru Toyota dan Lexus adalah perkara biasa, tetapi kini buat pertama kalinya, jenama itu turut menawarkan produk untuk model Daihatsu, iaitu Rocky. Seperti yang diketahui, Daihatsu Rocky menggunakan asas yang sama dengan Toyota Raize.

    Model yang anda lihat dalam gambar ini menggunakan kit aero “Advance Blast Style” oleh Modellista, yang terdiri daripada spoiler hadapan, side skirt dan tambahan kemasan pada bampar belakang. Spoiler hadapan itu mempunyai kemasan krom serta jalur LED melintang di bawah lampu LED menegak sedia ada, sementara side skirt itu pula kelihatan agak tebal dengan ada kemasan krom di bahagian bawah pintu.

    Kemasan bahagian bawah bampar belakang Rocky ini bukan sahaja menjadikannya nampak lebih labuh, tetapi juga lebih sibuk. Pada bucu sebelah kanan, terdapat muncung ekzos berkembar yang menggunakan bentuk petak. Modellista juga menyediakan barangan lain secara berasingan seperti spoiler belakang “dua tanduk”, kemasan krom pada lampu serta tambahan panel pada cermin belakang.

    Daihatsu Rocky dengan aksesori, kit badan Modellista – mungkin boleh digunakan pada SUV Perodua D55L?

    Untuk bahagian dalam, Modellista menyediakan tambahan kemasan serta lampu LED hiasan. Untuk kemasan tambahan itu, ia terdiri daripada tiga bahagian iaitu untuk tepi pintu (kiri dan kanan), serta pada papan pemuka. Ia boleh dipilih antara kemasan kayu ataupun brushed metal. Lampu LED itu pula cuma ada satu, diletakkan pada papan pemuka (di depan penumpang hadapan) dan memberikan nyalaan berwarna biru.

    Setakat ini, kita juga sudah tahu Rocky akan tiba di Malaysia sebagai sebuah SUV D55L daripada Perodua, dan kit badan yang disediakan di Jepun ini mungkin boleh digunakan padanya, bergantung kepada berapa banyak perubahan yang dibuat. Anda rasa kit ini menarik?

     
     
  • Hyundai Elantra generasi ke-7 dibuka untuk tempahan

    Hyundai Elantra generasi ke-7 dibuka untuk tempahan

    Selepas beberapa iklan teaser yang dinaikkan melalui laman Facebook rasmi Hyundai Malaysia, akhirnya ada perkhabaran yang disahkan; Hyundai Elantra generasi ketujuh serba baru akan dilancarkan untuk pasaran Malaysia sebelum tirai tahun 2020 dilabuhkan. Maksudnya, ia akan menemui pelanggan tidak lama lagi.

    Pereka di Hyundai menyifatkan rekaan kereta ini sebagai “Futuristic Parametric Dynamics” dan akan memenuhi keperluan gaya hidup generasi muda hari ini. Rekaan luarannya tampil berbeza dan berani, membawakan imej yang jauh berbeza daripada model sebelum ini.

    Elantra serba baru ini, yang disifatkan pengeluarnya akan menetapkan trend baru bagi kenderaan segmen C, turut merupakan model Hyundai yang pertama menggunakan teknologi tranmisi pintar dengan prestasi dan penjimatan minyak sekali gus. Digandingkan dengan enjin Smartstream G1.6 MPi petrol, unit ini akan menjana sebanyak 123 PS kuasa pada 6,300 rpm dan tork puncak pada 4,500 rpm.

    Hyundai Elantra generasi ke-7 dibuka untuk tempahan

    Selain rekaan yang menarik, ruang dalamannya juga diberi perhatian khusus untuk menawarkan pemandu sebuah kabin dengan teknologi canggih. Antaranya, skrin TFT 10.25-inci Supervision da, skrin terapung 8-inci yang ada membawakan imej futuristik yang sama seperti rekaan luarnya. Penataan ruang dalaman ini juga bertujuan untuk memberi capaian terhadap teknologi terkini serta pengalaman dalam-kereta yang progresif kepada semua.

    Dari aspek keselamatan, Elantra terbaru ini akan dilengkapi dengan ciri Hyundai SmartSense, yang antaranya terdiri daripada fungsi seperti amaran pra-perlanggaran denga bantuan penghindaran, amaran titik buta, amaran penukaran lorong, kawalan melayar pintar dengan Stop & Go serta amaran perhatian pemandu.

    Hyundai Elantra terbaru ini baka dijual pada harga anggaran RM1XX,888, dan kini mula dibuka untuk tempahan dengan yuran serandah RM777. Pelanggan boleh melayari www.hyundai.com.my untuk mendapatkan maklumat lanjut atau berkunjung ke bilik pameran rasmi Hyundai seluruh negara untuk membuat tempahan.

     
     
  • Honda City Hatchback 2021 dengan aksesori Modulo

    Honda City Hatchback 2021 dengan aksesori Modulo

    Honda City Hatchback baru sahaja dilancarkan di Thailand dalam pilihan tiga varian iaitu S+, SV dan RS, dengan harga antara 599,000 baht hingga 749,000 baht (RM80,536 hingga RM100,703). Sama seperti model lain yang dipasarkan di negara itu, Honda Thailand juga menawarkan aksesori Modulo untuk City Hatchback ini.

    Contoh yang boleh anda tengok dalam gambar ini adalah varian SV yang dipasang aksesori tersebut, termasuk tambahan panel pada bampar hadapan dan belakang, side skirt serta rim 15 inci Modulo – juga boleh dipasang dengan pelekat hiasan berwarna biru atau merah.

    Aksesori lain yang dipasang adalah termasuk hiasan pada spoiler belakang, pelindung pembuka pintu, door visor dan panel hiasan pada fender. Untuk bahagian but, terdapat panel tambahan untuk melindungi bahagian tersebut daripada calar apabila memasukkan barang, dan lapik plastik.

    City Hatchback digerakkan oleh enjin sama seperti model sedannya, iaitu unit tiga silinder 1.0 liter VTEC Turbo yang mampu menghasilkan kuasa 122 PS pada 5,500 rpm dan 173 Nm tork pada 2,000 hingga 4,500 rpm. Enjin yang boleh dimasukkan dengan gasohol E20 ini dipadankan bersama transmisi CVT untuk menghantar kuasa kepada roda hadapan.

    Pada varian paling tinggi, RS, City Hatchback ini dilengkapi dengan panel badan hitam, diffuser belakang, rim 16 inci, tempat duduk gabungan suede/fabrik/kulit, pedal penukar gear, cruise control, telematik Honda Connect, pengawal pendingin hawa automatik dua zon, perehat tangan belakang, lapan pembesar suara, enam beg udara, Vehicle Stability Assist, Hill Start Assist, ABS, EBD dan Isofix.

    Jadi, apa pendapat anda dengan City Hatchback yang menggunakan aksesori Modulo ini? Cukup mengurangkan kehampaan kerana dengarnya inilah pengganti bagi Jazz di negara kita nanti?

     
     
  • Ford MS-RT Transit Connect R120 – hanya 36 unit

    Ford MS-RT Transit Connect R120 – hanya 36 unit

    Divisi M-Sport (pengendali pasukan rali dunia Ford) untuk talaan kenderaan komersil iaitu MS-RT kini menghasilkan satu lagi model edisi terhad yang digelar Ford MS-RT Transit Connect R120. Seperti namanya, ia dihasilkan berdasarkan Ford MS-RT Transit Connect, dan diberikan berberapa perincian unik istimewa.

    MS-RT hanya menghasilkan 36 unit van istimewa ini, di mana 30 unit adalah untuk pelanggan di UK, manakala enam unit lagi akan dijual pada pasaran Ireland Utara.

    Model ini hanya dihasilkan untuk Transit Connect dari versi badan panel van iaitu tanpa cermin tingkap kabin belakang. Namun pembeli masih boleh memilih sama ada mahukan R210 ini dengan Transit Connect jarak roda pendek atau panjang, pilihan dua- atau tiga-tempat duduk, serta opsyen kotak gear manual atau automatik.

    Seperti Transit Connect MS-RT biasa, R120 menerima kit badan lebih agresif yang terdiri dari bampar hadapan, skirt sisi, bampar belakang dan juga spoiler bumbung. Apa yang berbeza, kesemua 36 unit R120 ini hanya hadir dengan warna badan Forzen White, jalur-jalur badan berwarna hitam dan merah serta perkataan ‘R120’ di bahagian sepatutnya, dan juga rim aloi OZ Racing berwarna putih yang membuatkan ia kelihatan seperti jentera rali tarmac.

    Ford MS-RT Transit Connect R120 – hanya 36 unit

    Pada bahagian dalaman pula, R120 ini diberikan standard dengan roda stereng gentian karbon bersama penanda tengah dan jahitan benang merah dan juga upholsteri kulit penuh dengan serlahan benang merah.

    Perincian lain yang dibekalkan adalah masih sama dengan Transit Connect MS-RT biasa, termasuk pengecas telefon pintar tanpa wayar, kamera undur, cruise control, serta sistem infotainmen yang diberikan hubungan Ford Pass Connect, iaitu sistem yang membolehkan akses berasaskan aplikasi kepada informasi kenderaan masa sebenar.

    Walaupun dengan rupa yang jauh lebih garang dari Transit Connect biasa, model dari MS-RT ini tidak diberikan sebarang talaan untuk kuasa tambahan. Ia masih dijana enjin 1.5 liter turbodiesel bagi menghasilkan 118 hp. Namun ia turut hadir dengan empat tip ekzos MS-RT dalam kemasan hitam, bersama sistem Maxhaust yang menghasilkan bunyi lebih garang keluar dari pembesar suara dan boleh dilaras menggunakan aplikasi khas.

    Van edisi terhad ini dijual pada harga bermula £25,995 (RM142k). MS-RT telah dianugerahkan sijil Pengubahsuai Kenderaan Berkelayakan (QVM) oleh Ford. Ini bermakna, model ini seolah-olah adalah model rasmi dari Ford dan masih dilindungi waranti tiga-tahun/100,000 batu dari pengeluar

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025