Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Proton X50 2020 — video rasmi tunjuk aksi dalam KL

    Rasanya dah banyak maklumat tentang Proton X50 2020 yang telah diketahui. Setakat semalam, tarikh pelancarannya pun sudah diumumkan, yang akan menamatkan penantian ramai orang yang masih tertanya-tanya bagi tanda harga yang bakal dikenakan untuk SUV segmen B berkenaan.

    Bagaimanapun, ini ada satu lagi perkembangan tentang X50; video teaser baru model berkenaan yang dibuat dengan latar belakang kotaraya Kuala Lumpur. Ia melibatkan sedikit sebanyak penampilan X50 Flagship ketika waktu siang dan malam, serta sedikit sedutan dari acara pandu uji ringkas di Litar Sepang sebelum ini.

    Video baru ini memberi tumpuan kepada prestasi dan kuasa SUV ini. Sarikata yang disertakan turut menyebut tentang enjin 1.5 TGDi dan transmisi DCT tujuh-kelajuan dengan mod manual. Enjin pada varian Flagship ini menghasilkan 177 PS pada 5,500 rpm dan 255 Nm tork dari 1,500 rpm hingga 4,000 rpm. Pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.9 saat.

    Sementara itu, bagi tiga lagi varian yang lebih rendah, ia menggunakan unit enjin tiga-silinder 1.5 T; bersesaran 1,477 cc, turbocas dengan suntikan minyak port (bukan suntikan terus) yang mampu menghasilkan sebanyak 150 PS dan 226 Nm tork.

    Jika anda belum membaca berkaitan acara X50 di Litar Sepang, kami ada menyediakan satu laporan pandu uji ringkas untuk anda mengetahui serba-sedikit tentang perihal prestasi dan pengendalian X50. Selain itu, Proton X50 juga telah menerima penarafan lima-bintang bagi ujian keselamatan ASEAN NCAP.

    GALERI: Proton X50 1.5 T-GDI Flagship 2020

     
     
  • BMW R nineT diperbaharui untuk model tahun 2021

    BMW R nineT diperbaharui untuk model tahun 2021

    Meskipun falsafah rekaan model R nineT keluaran BMW Motorrad lebih kepada jentera yang ringkas, ia telah diperbaharui untuk model keluaran tahun 2021. Enjin boxer yang digunakan sekaran mematuhi tahap emisi Euro 5, dan beberapa bahagian teknikal lain turut dinaik taraf, termasuk suspensi.

    Model ini terdiri daripada versi R nineT, R nineT Pure, R nineT Scrambler dan R nineT Urban G/S, dengan kesemuanya digerakkan oleh enjin dua silinder melintang 1,170 cc yang kini menghasilkan kuasa 109 hp pada 7,250 rpm dan 116 Nm tork pada 6,000 rpm. Jumlah ini adalah 1 hp lebih rendah berbanding sebelum ini.

    Menurut BMW, enjin boxer model ini sekarang menggunakan sistem pergolakan baru dalam kebuk pembakaran, yang dapat membantu memberikan tork lebih tinggi, pembakaran lebih bersih serta lebih cekap. Dari tahap 4,000 hingga 6,000 rpm, R nineT dikatakan mempunyai kuasa tarikan yang lebih berbanding model sebelumnya.

    Pada bahagian elektronik dan ciri bantuan penunggang, ia sekarang dilengkapi ABS Pro dengan Dynamic Brake Control, serta mod tunggangan Road dan Rain. Monoshock belakang juga adalah baru, dengan pra beban spring yang boleh dilaras menggunakan tangan, dan dikatakan lebih selesa.

    Pada bahagian kokpit, panel instrumen yang berbentuk bulat kini menggunakan rekaan dalam baru, siap dengan logo BMW. Semua lampu pada R nineT sekarang menggunakan unit LED dan pengecas USB juga diberikan secara standard.

    Untuk pilihan tambahan pula, pemilik boleh mendapatkan mod “Dyna” melalui Riding Modes Pro pada R nineT dan R nineT Pure manakala untuk R nineT Scrambler dan R nineT Urban G/S mod “Dirt” disediakan sebagai pilihan. Selain daripada itu, R nineT G/S juga mendapat pilihan warna “Edition 40 Years GS” yang disediakan dalam jumlah terhad.

     
     
  • Volkswagen Golf TGI diperkenal – gas asli sebagai sumber kuasa utama, petrol untuk sokongan, 130 PS

    Volkswagen Golf TGI diperkenal – gas asli sebagai sumber kuasa utama, petrol untuk sokongan, 130 PS

    Volkswagen Golf generasi kelapan kini menerima satu lagi varian, iaitu Golf TGI yang menggunakan gas asli. Ia digerakkan oleh enjin empat silinder sebaris 1.5 liter kitaran Miller yang boleh menggunakan dua bahan api iaitu gas asli mampat (CNG) dalam keadaan biasa, dan petrol apabila perlu. Kuasa yang mampu dihasilkan adalah 130 PS dan 200 Nm tork.

    Tiga tangki diletakkan di bawah badan hatchback ini dan ia boleh memuatkan 115 liter (17.3 kg) gas asli mampat. Bagi setiap 100 km, ia akan menggunakan 4.1 kg CNG, dengan emisi karbon CO2 berada pada tahap 111 g/km (WLTP) dan boleh dibawa bergerak menggunakan CNG sahaja sehingga 400 km. Tangki petrol sembilan liter disediakan sebagai sokongan sekiranya gas asli di dalam tangki habis.

    Menurut Volkswagen, tahap emisi karbon yang rendah dapat dicapai hasil kecekapan enjin kitaran Miller serta nisbah mampatan 12.5:1, sementara pengecas turbo geometri turbin boleh ubah pula meningkatkan tekanan angin dan memperbaiki pecutan dari kelajuan rendah.

    Volkswagen Golf TGI diperkenal – gas asli sebagai sumber kuasa utama, petrol untuk sokongan, 130 PS

    Jika diisi dengan e-gas atau biomethane, keseimbangan karbon pula akan menjadi lebih baik, kata Volkswagen. Biomethane diperoleh daripada bahan buangan tumbuhan manakala e-gas pula daripada tenaga elektrik hijau lebihan. Selain emisi yang lebih rendah berbanding enjin petrol dan diesel, pembakaran gas asli juga menhasilkan gas ekzos yang kurang karbon monoksida serta nitrogen dioksida.

    Tempahan untuk Golf TGI sudah pun dibuka di Eropah dan satu lagi model yang ditunggu adalah Golf R Mk8, di mana mengikut perancangan, ia akan diperkenal 4 November ini. Model AWD tersebut dijangka mampu menghasilkan kuasa sehingga 333 PS, hasil daripada enjin petrol empat silinder turbo 2.0 liter.

     
     
  • Brabus Rocket 900 – Coupe empat pintu berkuasa 900 hp, tork 1,050 Nm, 0-100 km/j hanya 2.8 saat, 330 km/j!

    Brabus Rocket 900 – Coupe empat pintu berkuasa 900 hp, tork 1,050 Nm, 0-100 km/j hanya 2.8 saat, 330 km/j!

    Mercedes-AMG GT Coupe 63 S 4Matic+ sudah pun boleh dikategorikan sebagai sebuah kereta empat-pintu yang agak ‘gila’, dengan bekalan 630 hp dan tork maksima 900 Nm. Tapi kalau anda ada banyak duit dan rasa AMG GT Coupe tersebut masih tak cukup berkuasa, mungkin anda boleh beli model yang dipertingkat oleh Brabus yang digelar sebagai Brabus Rocket 900 ini, kerana ia dibekalkan dengan kuasa 900 hp dan tork maksima setinggi 1,050 Nm!

    Jika AMG GT Coupe 63 S dijual pada harga RM1.8 juta di Malaysia, model dalam versi Brabus ini pula akan dijual pada harga 427,000 euro atau sekitar RM2.09 juta – ini adalah harga di Jerman tidak termasuk cukai. Dan peluang untuk memiliki kereta ini juga tidaklah begitu luas kerana Brabus hanya menghasilkan sebanyak 10-unit untuk pasaran seluruh dunia.

    Bagi mengekstrak lebih kuasa, enjin asal 4.0 liter V8 bersama dua pengecas turbo jenis twin-scroll berkenaan telah dileraikan, dan aci engkol asal diganti dengan aci engkol billet baharu yang meningkatkan strok kepada 100 mm, bersama rod penghubung billet dan juga omboh forged lebih besar dengan bore silinder 84 mm. Proses ini membolehkan kapasiti asal 4.0 liter tersebut meningkat kepada 4.5 liter.

    Kemudian, pengecas turbo asal juga telah ditukar dengan sepasang pengecas turbo dengan pemampat lebih besar dan diberikan galas axial yang diperkuat, membolehkan tekanan boost yang diasak ke enjin berada pada tahap 1.4 bar. Ia turut dipadankan dengan sistem kemasukan baharu dengan komponen karbon yang direka semula.

    Brabus Rocket 900 – Coupe empat pintu berkuasa 900 hp, tork 1,050 Nm, 0-100 km/j hanya 2.8 saat, 330 km/j!

    Untuk bekalan bahan api juga dipertingkat dengan pam yang memberikan tekanan lebih kuat. Manakala untuk ekzos, ia turut menerima sistem aluminium lengkap dari Brabus menampilkan unit catalysts jenis aliran bebas yang diakhiri dengan empat tip di belakang.

    Sistem ekzos berprestasi tinggi ini juga hadir dengan flap yang dikawal secara elektronik yang mampu memberikan bunyi V8 lebih garang, serta memberikan mod “Coming Home” di mana ia akan ditala untuk lebih perlahan untuk tidak menggangu jiran tetangga ketika anda melalui kawasan perumahan untuk pulang ke rumah.

    Akhir sekali enjin yang telah pun menerima rombakan besar ini menerima talaan semula dari Brabus, yang bukan sahaja memberikan prestasi paling optimum, malah ia turut memenuhi standard emisi EURO 6D ISC-FCM yang sangat ketat di Eropah.

    Menurut Brabus, kesemua 900 hp yang dibekalkan pada enjin tersebut dilepaskan ketika rpm enjin mencecah 6,200 rpm. Manakala untuk tork pula, ketika diuji ia mampu mengerah sehingga 1,250 Nm, tetapi ia terpaksa diturunkan kepada 1,050 Nm untuk aplikasi sebenar kerana ia mungkin boleh merosakkan komponen lain.

    Brabus Rocket 900 – Coupe empat pintu berkuasa 900 hp, tork 1,050 Nm, 0-100 km/j hanya 2.8 saat, 330 km/j!

    Walaupun semua perubahan ini tidak boleh nampak dengan mata kasar, Brabus “memberi amaran” bahawa ini bukan lagi enjin standard dengan memberikan penutup kemasan enjin gentian karbon berwarna merah lengkap dengan tulisan “Brabus 900 bi-turbo 4.5L”, plat dengan tandangan juruteknik yang memasang enjin berkenaan, serta satu lagi lencana grafik seakan graf dyno dengan angka 900, menandakan ia kini telah pun dibekalkan dengan 900 hp.

    Enjin berkenaan masih digandingkan dengan transmisi automatik AMG Speedshift MCT sembilan kelajuan, dan kuasa dialirkan ke kesemua roda menerusi sistem pacuan semua roda 4Matic+. Ini membolehkan Brabus Rocket 900 memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 2.8 saat, dan dari pegun ke 300 km/j hanya 23.9 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 330 km/j yang dihadkan secara elektronik.

    Bagi menangani kuasa yang jauh lebih besar ini, Brabus Rocket 900 diberikan set roda yang cukup lebar dan besar. Set rim one-piece Brabus Monoblock Z Platinum Edition dengan cakera gentian karbon diberikan, dalam saiz 21-inci dan lebar 10.5 J di hadapan, 22-inci lebar 12 J di belakang. Rim-rim tersebut dibaluti oleh tayar berprestasi tinggi Pirelli P Zero bersaiz 295/30ZR21 di hadapan dan 335/25ZR22 di belakang.

    Sistem suspensi bebas jenis pneumatic untuk depan dan belakang masih dikekalkan, namun penyerap hentaknya digantikan dengan unit Brabus Airmatic Sport yang membolehkan kereta ini direndahkan 25 mm dari standard, serta diberikan dua mod pemanduan iaitu “Comfort” dan “Sport”.

    Rupa luaran Barbus Rocket 900 ini bukan sahaja disentuh semula bagi memberikan imej yang lebih garang, malah setiap kit badan yang diberikan mempunyai fungsinya yang tersendiri. Setiap ruang roda pada kereta ini menerima set fender yang lebih lebar diperbuat dari karbon Kevlar, membuatkan ia kini 78 mm lebih lebar dari Mercedes-AMG GT Coupe biasa.

    Bampar hadapan juga direka semula bagi disesuaikan dengan ‘pipi’ yang lebih tembam, bersama liang-liang udara yang lebih besar untuk dialirkan ke brek hadapan dan juga terus ke sistem kemasukan udara enjin. Setiap spoiler dan splitter pada bampar hadapan ini juga berfungsi untuk mengelakkan bahagian hadapan kereta ini terangkat pada kelajuan tinggi.

    Begitu juga dengan spoiler but dan diffuser pada bampar belakang yang diperbuat dari gentian karbon, yang memberikan kesan aerodinamik yang tersendiri. Menurut Brabus, rekaan kit badan untuk Rocket 900 ini disempurnakan dengan ujian terowong angin.

    Brabus Rocket 900 – Coupe empat pintu berkuasa 900 hp, tork 1,050 Nm, 0-100 km/j hanya 2.8 saat, 330 km/j!

    Brabus turut menyebut bahawa gambar yang disiarkan ini merupakan Rocket 900 dengan nombor siri “01” dari sepuluh unit yang ditawarkan tersebut, dan ia diberikan warna istimewa Stealth Gray. Kesemua komponen krom juga telah dicat semula dengan warna badan.

    Warna yang sama turut diberikan pada kemasan-kemasan di bahagian dalaman (215 komponen dari suis hingga bezel) sebagai kontras kepada upholsteri Alcantara dan kulit berwarna Royal Black. Brabus turut memberikan elemen jahitan berbentuk berlian, sulaman-sulaman logo ‘B’, serlahan-serlahan merah pada tempat duduk dan karpet kaki serta panel-panel sepatutnya, bersama lencana dengan tandatangan pakar yang menyediakan upholsteri tersebut pada perehat badan tempat duduk.

    Perincian lain yang turut diberikan termasuk plat logam tahan karat pada bendul pintu dengan logo Brabus bernyala (sama dengan warna lampu suasana kabin), dan juga set pedal aloi Brabus.

     
     
  • Data jualan kenderaan bagi Ogos 2020 ikut jenama

    Data jualan kenderaan bagi Ogos 2020 ikut jenama

    Selain data jualan kenderaan untuk Julai 2020, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) turut mengeluarkan data yang sama untuk bulan Ogos. Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, pada Ogos lalu, MAA telah mula mengeluarkan laporan mengikut suku tahunan dan bukannya bulanan seperti yang dilakukan sebelum ini, sesuai dengan praktis terkini yang dilakukan oleh beberapa ahlinya. Justeru, pecahan data jualan mengikut jenama hanya akan dilaporkan mengikut suku tahun, bukannya pada setiap bulan seperti yang dilakukan sebelum ini.

    Untuk Ogos 2020, sebanyak 52,800 unit telah dihantar sepanjang bulan itu, di mana ia kurang sebanyak 4,752 unit atau -8.2% berbanding 57,552 unit yang terjual pada Julai. MAA berkata penurunan ini terdorong dengan peningkatan tempahan pada Julai berikutan pengecualian cukai jualan kenderaan yang diumumkan oleh kerajaan pada pertengahan Jun lalu.

    Empat jenama yang menduduki tangga teratas dalam carta juga mengalami penyusutan jualan jika dibandingkan dengan rekod pada Julai. Pendahulu carta, Perodua, menjual sebanyak 22,604 unit, iaitu kurang 2.6% jika dibandingkan dengan jualan pada Julai sebanyak 23,303 unit.

    Data jualan kenderaan bagi Ogos 2020 ikut jenama

    Proton yang menduduki tangga kedua juga mencatatkan penyusutan jualan menjadi 11,378 unit (-13.9%) berbanding 13,216 unit pada bulan sebelumnya. Manakala Toyota di tangga ketiga pula dengan 5,686 unit (-23.5%), tidak jauh di hadapan Honda yang merekodkan jualan sebanyak 5,661 unit (-5.6%).

    Nissan yang berada di tangga kelima juga mengalami penyusutan jualan walau pun berbeza satu unit dengan rekod pada Julai. Manakala Mazda pula berjaya menjual lebih tiga unit berbanding bulan sebelumnya.

    Renault pula mengalami peningkatan jualan sebanyak 51.15%, berbanding Kia yang menyusut sebanyak 49.5%. Dua jenama premium iaitu Volvo dan Porsche juga menunjukkan penyusutan jualan masing-masing sebanyak -27.6% dan -34.6%.

    Juga seperti yang dilaporkan pada Ogos lalu, di mana Mercedes tidak melaporkan angka bagi suku kedua, dan nampak gayanya syarikat ini juga tidak mendedahkannya bagi suku ketiga. Manakala BMW dan MINI pula telah menukar laporan sukuan, jadi angka bagi bulan berkenaan masih kekal untuk separuh pertama 2020 dengan 2,543 unit. Akhir sekali, tiga jenama kenderaan komersil telah dimasukkan dalam senarai, iaitu
    ZNA, DFSK dan DFAC.

    Data jualan kenderaan bagi Ogos 2020 ikut jenama

     
     
  • Honda MSX125 Grom HRC – versi lumba yang bakal dijual di Jepun, perlumbaan khas akan dianjur

    Honda MSX125 Grom HRC – versi lumba yang bakal dijual di Jepun, perlumbaan khas akan dianjur

    Honda Racing Corporation menambahkan lagi keterujaan pelancaran model baru MSX125 Grom 2021 apabila mengumumkan mereka akan menawarkan versi lumba yang sudah diubah suai kepada orang awam, untuk digunakan dalam perlumbaan mini bike. Bukan setakat itu, mereka juga akan menganjurkan siri perlumbaan one make race di negara itu.

    Model yang dikeluarkan oleh HRC ini menggunakan asas daripada MSX125 Grom yang baru dilancarkan beberapa hari lalu, tetapi diubah suai dengan barangan khas HRC seperti ECU, pendawaian, suis serta komponen lain. Motosikal ini akan dijual terus sebagai motosikal lumba termasuk dengan panel badan dan ekzos seperti yang boleh dilihat dalam gambar.

    Semua bahagian itu dibangunkan sendiri oleh HRC dan menurut mereka, motosikal ini tidak boleh didaftarkan untuk kegunaan atas jalan biasa. Ia akan mula dijual pada bulan Mac 2021 dan diedarkan kepada beberapa pusat servis HRC terpilih di sekitar Jepun.

    Honda MSX125 Grom 2021 masih lagi menggunakan enjin sama seperti sebelum ini tetapi ia dinaik taraf dengan kotak gear lima kelajuan. Dalam keadaan standard, enjin suntikan bahan api 123.9 cc ini mampu menghasilkan kuasa 9.7 hp dan 11 Nm tork. Bagi versi lumba yang dikeluarkan oleh HRC, kuasanya masih tidak diberitahu.

    Peningkatan lain yang dibuat pada model baru ini adalah panel badan yang memudahkan proses ubah suai oleh pemilik, tangki bahan api lebih besar, panel instrumen yang memaparkan tahap rpm dan kedudukan gear, serta brek ABS. Di Thailand, MSX125 Grom dijual pada harga 77,400 baht (RM10,256)

     
     
  • Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 bakal bantu PDRM perkasa penguatkuasaan – Pengarah JSPT

    Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 bakal bantu PDRM perkasa penguatkuasaan – Pengarah JSPT

    Seperti yang dilaporkan kelmarin, Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 mula dilaksanakan hari ini selepas menerima perkenan DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong serta kelulusan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

    Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong, pelaksanaan akta yang dipinda tersebut bakal mengenakan hukuman lebih berat terhadap pesalah jalan raya khususnya melibatkan Seksyen 41 hingga Seksyen 45.

    Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias, pihaknya amat mengalu-alukan pindaan itu terutama dalam usaha mengekang isu pemandu mabuk dan memandu di bawah pengaruh dadah. Malah ia memperuntukkan hukuman lebih berat terhadap pengguna jalan raya yang memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah, laporan Berita Harian.

    Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 bakal bantu PDRM perkasa penguatkuasaan – Pengarah JSPT

    “Sebagai sebuah agensi penguatkuasaan, ini adalah kejayaan JSPT dan PDRM dalam mengekang kes sedemikian supaya pesalah dikenakan hukuman lebih berat dan setimpal. Banyak data kita kongsi dengan Kementerian Pengangkutan ketika kementerian dalam proses membuat draf pindaan beberapa seksyen di dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 itu.

    “Kita memang sentiasa bersedia untuk melaksanakan undang-undang. Pihak mahkamah pula perlu menjatuhkan hukuman yang setimpal sebagaimana semangat pindaan undang-undang Akta Pengangkutan Jalan itu yang akan dikuatkuasakan mulai esok (hari ini),” katanya lagi.

    Kata beliau, susulan pindaan akta ini, pengguna jalan raya disaran supaya lebih serius mematuhi undang-undang jalan raya.

    Selain itu, pindaan undang-undang itu perlu disebarkan secara meluas agar ia sampai kepada semua peringkat pengguna jalan raya sebagai satu peringatan.

    Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 bakal bantu PDRM perkasa penguatkuasaan – Pengarah JSPT

    Mengikut pindaan baharu ini, Seksyen 41 iaitu memandu secara melulu atau membahayakan hingga menyebabkan kematian, jika disabit kesalahan, hukuman penjara antara lima ke 10 tahun, denda RM20,000 hingga RM50,000 dan hilang kelayakan lesen sehingga lima tahun bagi sabitan pertama.

    Walau bagaimana pun, pesalah juga boleh dipenjara antara 10 hingga 15 tahun, denda RM50,000 ke RM100,000 atau hilang kelayakan lesen selama 10 tahun bagi sabitan berikutnya. Selain itu, tempoh hilang kelayakan lesen bagi kesalahan mengikut Seksyen 42 iaitu memandu secara melulu dan membahayakan dinaikkan kepada minimum lima tahun, manakala 10 tahun bagi sabitan seterusnya.

    Manakala denda bagi kesalahan Seksyen 43 iaitu memandu dengan tidak cermat dan bertimbang rasa, dinaikkan kepada minimum RM5,000 atau maksimum RM10,000, manakala antara RM10,000 hingga RM15,000, bagi sabitan seterusnya. Pesalah juga boleh dipenjara bagi tempoh maksimum 12 bulan dalam dua-dua keadaan.

    Seksyen 44 iaitu memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah hingga menyebabkan kematian akan memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun atau maksimum 15 tahun, denda antara RM50,000 hingga RM100,000 dan hilang kelayakan lesen bagi tempoh minimum 10 tahun, bagi sabitan pertama. Pesalah juga berdepan hukuman penjara minimum 15 tahun atau maksimum 20 tahun, denda antara RM100,000 hingga 150,000 dan hilang kelayakan lesen selama 20 tahun, bagi sabitan seterusnya.

    Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 bakal bantu PDRM perkasa penguatkuasaan – Pengarah JSPT

    Bagi kes menyebabkan kecederaan, pesalah berdepan hukuman penjara minimum tujuh tahun atau maksimum 10 tahu, denda antara RM30,000 hingga RM50,000 dan hilang kelayakan lesen minimum tujuh tahun, bagi sabitan pertama. Pesalah juga boleh dipenjara minimum 10 tahun atau maksimum 15 tahun, denda antara RM50,000 hingga RM100,000 dan hilang kelayakan lesen selama 10 tahun, bagi sabitan seterusnya.

    Untuk Seksyen 45 iaitu memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol atau dadah pula akan memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun, denda antara RM1,000 hingga RM5,000 dan hilang kelayakan lesen minimum dua tahun, bagi sabitan pertama. Pesalah juga berdepan hukuman penjara maksimum lima tahun, denda antara RM5,000 hingga RM10,000 dan hilang kelayakan lesen minimum lima tahun, bagi sabitan seterusnya.

    Seksyen 45A iaitu memandu kenderaan dengan kepekatan alkohol melebihi had ditetapkan akan memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun, denda minimum RM10,000 atau maksimum RM30,000 dan hilang kelayakan lesen minimum dua tahun, bagi sabitan pertama. Pesalah akan berdepan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun, denda minimum RM20,000 atau maksimum RM50,000 dan hilang kelayakan lesen minimum lima tahun, bagi sabitan seterusnya.

    Hukuman bagi kesalahan mengikut Seksyen 45B iaitu Ujian Nafas dan Seksyen 45C berkaitan Pengadaan Spesimen Bagi Analisis, akan dipinda kepada penjara maksimum dua tahun, denda minimum RM10,000 atau maksimum RM30,000 bagi sabitan pertama. Pesalah akan dihukum penjara maksimum lima tahun dan denda RM20,000 atau maksimum RM50,000, bagi sabitan seterusnya.

     
     
  • Kenderaan sebenar belum ada, tapi GM sudah jual habis Hummer EV — sedang bangunkan unit ujian

    Kenderaan sebenar belum ada, tapi GM sudah jual habis Hummer EV — sedang bangunkan unit ujian

    Jual dulu, kemudian baru bangunkan? Ya, memang inilah yang dilakukan oleh General Motors (GM) dengan model GMC Hummer EV 2022. Semua video impresif yang ditunjukkan sebelum ini berkaitan “supertruck” elektrik berkenaan sebelum ini adalah hasil kerja CGI. Kerana, model contohnya baru sahaja ingin dibangunkan, selepas semua unit produksi bagi pengeluaran pertamanya (yang belum pun bermula) sudah habis dijual.

    GM mengakui, sebelum ini syarikat itu memang ada unit untuk dipamerkan serta platform untuk baterinya, tetapi sebenarnya mereka masih tidak ada contoh Hummer EV yang berfungsi setakat ini. “Menariknya, kami belum ada kenderaan itu lagi. Ketika ini, kami sedang bangunkan kenderaan ujian tersebut. Kenderaan yang anda lihat dalam video kami adalah kenderaan pameran, bukan yang sebenar,” jelas Ketua Jurutera, Al Oppenheiser.

    Tempahan bagi Hummer EV Edition 1 ini telah penuh dalam masa hanya 1 jam. Edition 1 akan memulakan pengeluarannya pada musim luruh 2021, setahun dari sekarang. Versi seterusnya yang ada dalam perancangan ialah Hummer EV3X yang akan mula dibina pada musim luruh 2022, paling awal.

    Kenderaan sebenar belum ada, tapi GM sudah jual habis Hummer EV — sedang bangunkan unit ujian

    Jadi, perangkaan satu tahun untuk pengeluaran Edition 1 yang GM ada semua habis terjual dalam masa satu jam. Untuk pengetahuan, versi flagship Edition 1 ini dijual pada harga $112,595 (RM466,706), sementara versi EV3X pada harga $99,995 (RM414,479). Versi yang lebih murah turut akan diperkenalkan pada 2024 nanti.

    Hummer baru ini merupakan jentera elektrik yang “jahat”. Ia didakwa mampu menghasilkan 1,000 hp kuasa dan jangkaan 15,591 Nm yang datang dari sistem janaan dengan tiga motor elektrik serta pek bateri Ultium dua tindanan. GM menyifatkannya mampu memberikan 560 km jarak perjalanan bagi Edition 1. Ia boleh menggunakan pengecas pantas 800-volt DC sehingga 350 kW, yang membolehkan jarak 160 km diperoleh dengan masa pengecasan hanya 10 minit.

    EV3X pula akan hadir dengan tetapan tiga motor elektrik yang menghasilkan 800 hp dan 12,880 Nm, dengan jarak perjalanan 480 km. Di bawahnya ialah model EV2X dengan dua motor, 480 hp/10,033 Nm dengan jarak 480 km satu cas penuh. Model paling asas, EV2 akan dikeluarkan pada 2024, dengan dua motor elektrik yang sama dengan janaan 480 hp juga, tetapi hanya boleh pergi 400 km jarak perjalanan.

     
     
  • Toyota GR Yaris HKS – 1.6 liter 3-silinder, 340 HP!

    Toyota GR Yaris HKS – 1.6 liter 3-silinder, 340 HP!

    Bulan lalu, syarikat penala Jepun, HKS ada menyiarkan imej digital untuk kereta demo terbaharu mereka yang diasaskan dari hot-hatch Toyota GR Yaris. Dan kemudian imej sebenar kereta yang telah siap berkenaan telah muncul pada pertengahan bulan ini.

    Walau bagaimanapun, HKS masih belum mendedahkan sebarang spesifikasi teknikal GR Yaris tersebut dan cuma menyatakan bahawa kereta demo ini dilengkapi dengan set suspensi dan juga set ekzos prototaip yang sedang dibangunkan untuk diproduksi.

    Namun, pemandu ujian HKS iaitu Nobuteru Taniguchi ada memberitahu sedikit informasi berkenaan GR Yaris HKS ini di blog peribadinya. Menurut beliau yang baru sahaja menguji kereta tersebut, ia masih dijana oleh enjin asal, dan talaan yang dibuat oleh HKS membolehkan GR Yaris berkenaan menghasilkan 340 HP!

    Jumlah angka tersebut nyata agak memberangsangkan kerana GR Yaris dibekalkan dengan enjin G16E-GTS 1.6 liter tiga-silinder turbo. Dalam keadaan standard, ia menghasilkan kuasa 272 PS dan tork maksima 370 Nm, kesemuanya dialirkan ke kesemua roda menerusi kotak gear manual enam-kelajuan dan sistem pacuan semua roda GR-Four.

    Toyota GR Yaris HKS – 1.6 liter 3-silinder, 340 HP!

    Selain dari sistem mekanikal, GR Yaris HKS ini turut mendapat sentuhan astetik di mana ia kini diberikan kit badan lebar Pandem dengan spoiler belakang gergasi rekaan Kei Miura dari Tra Kyoto – sama seperti kit badan pada GR Yaris Daigo Saito yang dijana oleh enjin 2JZ – , serta livery ikonik ‘HKS Super Oil’. Rupa luaran kereta ini turut dilengkapkan dengan set rim dan tayar perlumbaan dari Advan.

    Toyota GR Yaris mula didedahkan pada awal tahun ini ketika berlangsungnya Tokyo Auto Salon 2020 Januari lalu, dan kemudiannya masuk pasaran Jepun pada bulan Jun. Kereta ini dihasilkan khas oleh Toyota semata-mata mahukan sebuah asas kereta rali WRC yang lebih baik pada masa hadapan, dengan badan bespoke tiga-pintu, berbanding lima pintu pada model Yaris standard.

    Model ini juga berkemungkinan besar akan di bawa masuk ke Malaysia secara rasmi, di mana UMW Toyota sendiri telah memberikan bayangan pada Julai lalu.

     
     
  • Data jualan kenderaan bagi Julai 2020 ikut jenama

    Data jualan kenderaan bagi Julai 2020 ikut jenama

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah pun mengeluarkan data jualan kenderaan bagi suku ketiga (Q3) 2020, yang melibatkan bulan Julai, Ogos dan September.

    Ini bermakna kami masih boleh melaporkan pecahan jualan bagi setiap bulan, tetapi perlu melakukannya serentak untuk data tiga bulan kerana keputusan mengikut suku tahun yang diumumkan, tidak seperti sebelum ini yang dikeluarkan setiap bulan. Pada Ogos lalu, MAA telah mula mengeluarkan laporan mengikut suku tahunan dan bukannya bulanan seperti yang dilakukan sebelum ini, sesuai dengan praktis terkini yang dilakukan oleh beberapa ahlinya.

    Memang agak sedikit pelik bila membaca pecahan jualan untuk bulan Julai pada akhir bulan Oktober, tetapi lebih baik ada, daripada tiada langsung.

    Data jualan kenderaan bagi Julai 2020 ikut jenama

    Laporan sebelum ini menyebut, sebanyak 57,552 unit telah dihantar pada Julai, meningkat sebanyak 12,857 unit atau 29% berbanding Jun 2020. Peningkatan jualan ini hasil daripada pengecualian cukai jualan kenderaan sehingga 31 Disember, seperti mana yang diumumkan oleh kerajaan pada Jun lalu.

    Jadi, tidak mengejutkan apabila prestasi kebanyakan jenama kereta penumpang meningkat. Pendahulu carta, Perodua, berjaya menjual sebanyak 23,203 unit kenderaan pada bulan Julai, dengan peningkatan sebanyak 9.2% berbanding bulan sebelumnya.

    Proton pula menjual sebanyak 13,216 unit pada bulan Julai, meningkat sebanyak 37.3% berbanding Jun dengan jarak perbezaan sebanyak 9,623 unit. Walau bagaimana pun jumlah sebanyak 50,294 unit untuk tujuh bulan pertama yang dicatatkan oleh Proton, masih separuh daripada angka yang dicapai oleh Perodua.

    Data jualan kenderaan bagi Julai 2020 ikut jenama

    Toyota pula meningkat sebanyak 7,429 unit (+70.9%) dan kekal di tempat ketiga di hadapan Honda yang mencatatkan jualan sebanyak 5,995 unit (+80.6%). Seperti sebelum ini, tempat kelima masih diduduki oleh Nissan dengan 1,550 unit (+54.7%) yang tidak jauh beza dengan pencapaian Mazda yang menjual sebanyak 1,202 unit (+20.0%) pada Julai.

    Selain itu, jenama lain yang menunjukkan peningkatan jualan termasuklah Isuzu (+47.7%), Mitsubishi (+49.2%), Ford (+50.0%), Peugeot (+73.6%),Kia (+84.2%) dan Renault (+104.7%). Bagi segmen Premium, pencapaian terbesar dicatatkan oleh Volvo (+70.2%), Porsche (+116.7%) dan Land Rover (+163.6%).

    Juga seperti yang dilaporkan pada Ogos lalu, di mana Mercedes tidak melaporkan angka bagi suku kedua, dan nampak gayanya syarikat ini juga tidak mendedahkannya bagi suku ketiga. Manakala BMW dan MINI pula telah menukar laporan sukuan, jadi angka bagi bulan berkenaan masih kekal untuk separuh pertama 2020 dengan 2,543 unit.

    Data jualan kenderaan bagi Julai 2020 ikut jenama

     
     
  • VIDEO: Mitsubishi Xpander 1.5L 2020 di M’sia — apa kelebihan berbanding pesaing seperti Honda BR-V?

    Bermula hari ini, Mitsubishi Motors Malaysia telah mendedahkan secara rasmi senarai spesifikasi model Mitsubishi Xpander untuk pasaran tempatan. Tempahan bagi MPV tujuh-tempat duduk ini juga mula dibuka kepada pelanggan yang berminat.

    Mitsubishi Xpander menggunakan enjin 1.5 liter MIVEC dengan janaan kuasa 105 PS pada 6,000 rpm dan 141 Nm tork pada 4,000 rpm. Unit enjin itu digandingkan pula dengan transmisi automatik empat-kelajuan (dan bukanny CVT), yang menurut Mitsubishi, mengoptimumkan kuasa dan penjimatan bahan api.

    Ukuran dimensinya pula adalah seperti berikut 1,730 mm tinggi, 4,475 mm panjang dan 1,750 mm lebar. Jarak antara rodanya pula ialah 2,775mm. Antara kelengkapan bahagian dalamnya yang perlu disebut ialah unit skrin sistem audio bersaiz sembilan-inci yang hadir bersama sokongan Apple CarPlay dan juga Android Auto.

    Jadi, apa kelebihan Xpander berbanding pesaing-pesaingnya yang lain, seperti Honda BR-V? Adakah nilai yang ditawarkan memang betul-betul berbaloi? Kami tinjau semua itu dalam video ini. Bertenang dan tonton sampai habis.

    Mitsubishi Xpander 2020 di Malaysia

     
     
  • Genesis G70 untuk Korea – enjin petrol dan diesel yang sama seperti sebelum ini, AWD dapat mod drift

    Genesis G70 untuk Korea – enjin petrol dan diesel yang sama seperti sebelum ini, AWD dapat mod drift

    Perincian bagi model mewah Genesis G70 facelift untuk pasaran Korea Selatan telah pun didedahkan. Pengeluar kereta ini juga telah mengesahkan enjin bagi pasaran berkenaan adalah unit yang sama dengan model sebelum ini.

    Varian petrol ditawarkan dengan unit 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder (252 PS/353 Nm) dan 3.3 liter turbo-berkembar V6 (370 PS/510 Nm); model yang dilengkapi dengan pakej Sport pula miliki output masing-masing 255 PS dan 373 PS. Jika mahukan varian turbodiesel, enjin 2.2 liter empat-silinder dengan kuasa 202 PS dan tork 441 Nm ditampilkan. Walau bagaimana pun, tiada khabar enjin petrol baharu 2.5 liiter turbo seperti yang dipadankan pada model Kia Stinger facelift, akan diberikan untuk G70 ini.

    Kesemua enjin dipadankan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan, sama seperti sebelum ini. Walau pun tiada perubahan perkakasan, namun G70 ini telah menerima mod pemanduan Sports+ baharu. Varian V6 dengan pakej Sport turut menerima injap ekzos aktif untuk bunyi yang lebih mengaum, sementara Pacuan Semua-roda Dinamik baharu didatangkan dengan mod drift pacuan-belakang seperti yang diberikan pada Stinger GTS.

    Genesis G70 untuk Korea – enjin petrol dan diesel yang sama seperti sebelum ini, AWD dapat mod drift

    Seperti yang dilaporkan sebelum ini, penampilan G70 facelift berubah sepenuhnya, nampak lebih elegan berbanding sebelum ini dengan di hadapannya terdapat gril seperti logo ‘Superman’ dan diapit lampu utama dua tingkat. Pada lampu itu terdapat dua jalur yang bertindak sebagai lampu siang dan juga lampu penunjuk arah. Pada bahagian tepi, garis badannya masih dikekalkan sementara lubang udara menegak pada fender telah dibuang dan diganti dengan sirip udara kecil yang terletak lebih rendah.

    Lampu belakang pula mengikut konsep lampu hadapan, dengan juga mempunyai dua jalur manakala pintu butnya mempunyai lengkung ke atas seperti ducktail spoiler. Tempat nombor plat kini berada di bawah, berhampiran diffuser dan dua muncung ekzos di tepi.

    Untuk bahagian dalamnya, ia diberikan sistem infotainmen baru dengan skrin sesentuh yang lebih besar bersaiz 10.25-inci dan navigasi over-the-air yang dinaiktaraf. Lain-lain peningkatan termasuklah kluster instrumen yang lebih besar, pengecas telefon pintar tanpa wayar yang lebih berprestasi dan juga cermin hadapan serta untuk tingkap sisi jenis kaca akustik untuk buat kabin lebih senyap.

     
     
  • Fiat Panda 2021 facelift diperkenalkan secara rasmi — tambahan varian Sport, 1.0L mild hybrid untuk semua

    Fiat Panda 2021 <em>facelift</em> diperkenalkan secara rasmi — tambahan varian Sport, 1.0L <em>mild hybrid</em> untuk semua

    Tahun ini adalah ulang tahun ke-40 Fiat Panda. Dan, untuk menandakan pencapaian itu, Fiat memperkenalkan model dikemaskini terbarunya. Lima tingkat kemasan ditawarkan ketika pelancaran, termasuk yang paling asas Life, City Life, Cross, City Cross dan Sport.

    Model facelift terbaru ini menampilkan kelainan penggayaan, termasuk bampar depan baru, skirting sisi serta rekaan rim yang baru. Di dalam, kemasan yang digunakan diberi peningkatan; warna tema baru, dengan papan pemuka yang hadir bersama kemasan kayu (Cross dan City Cross sahaja), skrin sentuh tujuh-inci dan sokongan radio digital DAB, Apple CarPlay serta Android Auto.

    Varian Sport merupakan tambahan terbaru dan menampilkan rim dua-tona 16-inci serta cermin sisi dan pemegang pintu dalam warna badan. Dengan pilihan untuk bumbung hitam, pemegang pintunya akan mengenakan warna hitam berkilat. Perincian lain yang membezakan ialah lencana Sport dan warna eksklusif kelabu kesat.

    Fiat Panda 2021 <em>facelift</em> diperkenalkan secara rasmi — tambahan varian Sport, 1.0L <em>mild hybrid</em> untuk semua

    Di dalam, varian Sport menerima papan pemuka dalam warna titanium, lapik bumbung hitam, panel pintu balutan kulit serta kerusi dua-tona warna. Turut ditawarkan pakej Pandemonium yang ada sekali filem penapis haba, angkup brek merah dan stereng sport dengan jahitan merah.

    Bagi City Life, Fiat menyifatkan penawarannya adalah bagi mereka yang inginkan nilai terbaik bagi kereta berkenaan, tanpa perlu mengorbankan imej dan gaya. Kelengkapan standard termasuk tim aloi 15-inci serta kemasan luar warna kontras, sementara kabin dibahagi kepada dua tona warna fabrik dengan papan pemuka kelabu.

    City Cross dan Cross pula menerima sentuhan ala off-road, seperti bampar depan dan belakang yang ranggi, panel penampan di sisi, landasan pada bumbung dan lampu kabus depan. Hadir dengan pacuan roda depan ataupun pacuan semua roda, kedua-dua varian ini lengkap dengan kerusi mesra alam melalui penggunaan fabriknya yang terdiri daripada 37% plastik kitar semula, dengan logo khas Cross padanya.

    Untuk enjin, Panda menggunakan unit mild-hybrid 1.0 liter tiga-silinder petrol yang asalnya digunakan pada Panda Hybrid kini dimanfaatkan oleh semua varian. Enjin berkenaan menghasilkan sebanyak 70 PS (69 hp) dan sistem mild hybrid pula terdiri daripada generator penghidup 12-volt dengan tali sawat bersepadu serta bateri lithium-ion 11 Ah – yang membantu ketika pecutan serta ketika menghidupkan enjin.

    Fiat memaklumkan, berbanding enjin 1.2 liter daripada keluarga Fire yang sama digunakan untuk model Panda, sistem janaan kuasa mild hybrid ini menawarkan prestasi yang sama dengan lebih penjimatan bahan api dan pembebasan CO2 sehingga 30%.

     
     
  • Honda MSX 125 Grom 2021 – panel badan semua baru, kotak gear lima kelajuan, enjin masih 9.7 hp, 11 Nm

    Honda MSX 125 Grom 2021 – panel badan semua baru, kotak gear lima kelajuan, enjin masih 9.7 hp, 11 Nm

    Model minibike terkenal Honda, iaitu MSX125 diberikan pembaharuan dan ia diperkenalkan serentak di Eropah dan juga negara jiran, Thailand. Kini, ia dinamakan terus sebagai MSX125 Grom (sebelum ini Grom cuma dipakai di beberapa negara sahaja) dan menampilkan pelbagai pembaharuan.

    Paling utama adalah penampilan, di mana hampir seluruh bahagian badannya adalah baru, termasuk lampu hadapan (LED), tempat duduk, subframe, panel tepi serta tangki. Ia kemudiannya dijadikan lengkap dengan rekaan rim baru, fork USD warna emas dan spring monoshock belakang warna kuning.

    Enjin satu silinder 123.9 cc dengan penyejukan udara dan sistem suntikan bahan api PGM-Fi pada model ini masih lagi sama, tetapi ia sekarang dipadankan bersama transmisi lima kelajuan dan mampu menghasilkan kuasa 9.7 hp pada 7,000 rpm dan 11 Nm pada 5,250 rpm.

    Panel meter LCD pada MSX125 Grom ini juga adalah baru, di mana ia sekarang turut memaparkan tahap rpm serta kedudukan gear, sementara kapasiti tangki bahan api pula bertambah 0.3 liter menjadi 6.0 liter. Brek cakera yang terdapat di hadapan dan belakang dilengkapi dengan ABS.

    Perincian lain MSX125 Grom adalah termasuk berat keseluruhan 104 kg, tinggi tempat duduk 761 mm dan rim 12 inci. Di Thailand, model baru ini dijual pada harga 77,400 baht (RM10,256) untuk model ABS dan ia ditawarkan dalam pilihan warna hitam, merah, kelabu dan merah.

     
     
  • Yamaha R15 diberikan pilihan warna baru – RM11,988

    Yamaha R15 diberikan pilihan warna baru – RM11,988

    Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) sekali lagi memperbaharui pilihan warna untuk R15, di mana sekarang ia ditawarkan dalam warna baru Race Blu dan Black. Harganya masih tidak berubah, iaitu RM11,988 tidak termasuk insurans dan cukai jalan. Warna baru ini nampak lebih ringkas berbanding warna dua tona biru, kuning dan hitam yang ditawarkan sebelum ini.

    Perincian lain tidak berubah, di mana R15 dikuasakan oleh enjin satu silinder 155 cc, sejukan cecair, dengan teknologi VVA dan mampu menghasilkan kuasa sebanyak 19.3 hp dan 15 Nm tork. Padanan transmisi pula adalah unit enam kelajuan, bersama klac jenis slipper & assist secara standard.

    Walaupun cuma menggunakan enjin 155 cc, R15 ini datang dengan kelengkapan sporty seperti tayar yang lebar – 100/80-17 di depan, 140/70-17 di belakang, cakera brek depan berdiameter 282 mm, brek cakera 220 mm di belakang, panel instrumen LCD, kerangka Deltabox dan swingarm aluminium. Tangki bahan api yang disediakan berkapasiti 11 liter dan berat keseluruhannya adalah 137 kg.

    Yamaha R15 diberikan pilihan warna baru – RM11,988

    Pada bahagian kokpit, terdapat panel paparan digital, dan ia menyediakan pelbagai informasi seperti kadar rpm, kelajuan, odometer, penggunaan bahan api, kedudukan gear, tahap minyak dan lampu amaran. Selain itu, meter ini juga dilengkapi dengan lampu waktu menukar gear (shift light), manakala lampu depan dan belakangnya adalah unit LED.

    Model yang dijual di pasaran Malaysia adalah model spesifikasi tinggi, sama seperti Thailand dan Indonesia, dengan bahagian hadapannya menggunakan fork USD. Ada pasaran lain mendapat R15 yang lebih ringkas untuk mengurangkan harganya, dengan menggunakan fork teleskopik biasa berwarna hitam.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025