Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Proton X50 2020 akan dilancarkan pada 27 Oktober ini

    Proton X50 2020 akan dilancarkan pada 27 Oktober ini

    Ini satu lagi penantian yang bakal berakhir; dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi Proton, syarikat itu mengumumkan bahawa model SUV segmen B X50 bakal dilancarkan pada 27 Oktober ini, secara digital pada pukul 10.50 pagi.

    Maka dengan itu, teka-teki tentang harga setiap varian model ini juga akan terjawab – ia menjadi satu-satunya perkara utama yang masih belum didedahkan oleh Proton. Selebihnya telah kita ketahui sewaktu acara pra-tonton dan sesi di litar Sepang bersama media sebelum ini.

    Proton X50 akan ditawarkan dalam empat varian untuk pasaran tempatan – 1.5T Standard, 1.5T Executive, 1.5T Premium dan 1.5L TGDi Flagship. Daripada empat varian itu, terdapat dua enjin berbeza yang melengkapi model ini.

    Tiga model paling bawah – Standard, Executive dan Premium – menggunakan unit “1.5T” turbo dengan janaan kuasa 150 PS dan 226 Nm; ini merupakan penawaran yang unik untuk pasaran Malaysia, kerana baru pertama kali digunakan.

    Proton X50 2020 akan dilancarkan pada 27 Oktober ini

    Paling penting dan menarik tentulah varian Flagship. Walaupun dengan kapasiti yang sama, unit 1.5L yang digunakan berbeza – turbocas tiga-silinder petrol yang dibangunkan oleh Volvo dan Geely.

    Enjin ini menjana sebanyak 177 PS dan 255 Nm tork dari 1,500 hingga 4,000 rpm. Semua varian X50 digandingkan dengan transmisi DCT tujuh-kelajuan. Tak ada versi 4WD untuk SUV kompak ini. Kami juga pernah kongsikan pengalaman pandu uji ringkas X50 di litar Sepang.

    Dan, jika anda terlepas untuk mengikuti laporan terperinci berkaitan Proton X50 sebelum ini, semua itu boleh di capai di pautan ini. Dah sedia untuk pesaing terbaru SUV segmen B di Malaysia? Kita tunggu 27 Oktober ini untuk maklumat lengkap.

    GALERI: Proton X50 1.5 T-GDI Flagship 2020

     
     
  • BMW 330e M Sport G20 dilancarkan di Malaysia – model plug-in hybrid, 292 PS/420 Nm, RM264,613

    BMW 330e M Sport G20 dilancarkan di Malaysia – model plug-in hybrid, 292 PS/420 Nm, RM264,613

    Selepas setahun model generasi baharu BMW 3 series G20 berada di Malaysia, hari ini versi plug-in hybrid 330e dilancarkan pula secara rasmi. Model yang menerima sistem elektrifikasi ini menawarkan spesifikasi yang sama dengan versi petrol sepenuhnya 330i, namun dijual pada harga lebih rendah.

    Model pemasangan tempatan (CKD) ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM264,613, termasuk potongan cukai jualan 2020. Ia datang sekali dengan waranti selama lima tahun tanpa had perbatuan, pakej servis percuma lima tahun dan juga waranti tayar selama dua tahun. Ini bermakna BMW 330e ini dijual sekitar RM22,000 lebih murah dari G20 330i. Selepas tamat insentif SST selepas 31 Disember nanti, model ini akan dijual pada harga RM268,800.

    BMW 330e G20 ini dijana oleh enjin B48 2.0 liter empat silinder turbo berkuasa 184 PS bermula 5,000 rpm hingga 6,000 rpm, serta tork maksima 300 Nm bermula 1,350 hingga 4,000 rpm. Walaupun kuasa yang dihasilkan ini kurang dari 330i dan sama dengan varian asas 320i, ia turut digandingkan dengan motor elektrik 50 kW (68 PS) bagi menghasilkan kuasa keseluruhan 252 PS dan tork 420 Nm.

    BMW 330e M Sport G20 dilancarkan di Malaysia – model plug-in hybrid, 292 PS/420 Nm, RM264,613

    Model generasi baharu ini menampilkan fungsi XtraBoost yang akan memberikan 30 kW (41 PS) kuasa tambahan ketika memecut, menjadikan kuasa keseluruhan sementaranya mencapai 292 PS. Fungsi ini hanya boleh digunakan sekiranya pemandu menggunakan mod Sport ketika kickdown, serta kotak gear berada dalam mod Sport dan manual.

    Ini membolehkan G20 330e memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 5.9 saat (0.2 saat lebih pantas dari F30 330e) dan mencapai kelajuan 230 km/j (naik 5 km/j). Penggunaan bahan api pula dicatatkan pada 2.2 liter untuk setiap 100 km dan emisi karbon dioksida hanya 50 gram setiap kilometer.

    Motor elektrik yang dipadankan berkenaan menerima kuasa dari bateri lithium-ion berkuasa 12.0 kWj yang membolehkan ia bergerak dengan kuasa elektrik sepenuhnya sejauh 60 km, atau sekali ganda dari sebelum ini. G20 330e ini juga mampu untuk mencapai kelajuan 140 km/j dengan hanya kuasa elektrik, atau 20 km/j lebih tinggi dari sebelumnya.

    BMW 330e M Sport G20 dilancarkan di Malaysia – model plug-in hybrid, 292 PS/420 Nm, RM264,613

    Bateri berkenaan diletakkan di bawah tempat duduk belakang, dan ruang kargo terpaksa dikecilkan dari 480 liter kepada 375 liter. Walau bagaimanapun, anda masih boleh melipat tempat duduk belakang dengan nisbah 40:20:40 bagi mendapatkan lebih ruang muatan barang.

    Satu caj penuh bateri memerlukan masa selama enam-jam dengan menggunakan soket domestik 230-volt. Namun sekiranya anda menggunakan AC Wallbox atau pengecas awam dengan output maksima 3.7 kW, ia boleh dipenuhkan dengan lebih pantas iaitu hanya 3.6 jam.

    Namun sekiranya anda hanya perlukan bateri dengan 80% penuh, caj soket domestik dapat dibuat dalam masa 4.3 jam dan AC Wallbox pula hanya 2.6 jam. Port pengecaj pada G20 330e ini masih kekal diletakkan pada fender kiri hadapan, di bawah lencana M bagi model M Sport ini.

    BMW 330e M Sport G20 dilancarkan di Malaysia – model plug-in hybrid, 292 PS/420 Nm, RM264,613

    Seperti yang disebutkan tadi, 330e ini menerima kelengkapan yang sama seperti 330i, termasuk pakej M Sport dan lampu LED adaptif, rim aloi dua tona 18-inci Style 790 M dan brek M Sport yang diberikan secara standard. Sistem masuk tanpa kunci dengan pengunci/buka kunci jarak dekat juga diberikan, bersama fungsi Digital Key yang boleh dioperasikan hanya menerusi telefon pintar.

    Pada bahagian dalaman pula, model ini diberikan roda streng M, pedal aloi M serta tempat duduk sport larasan berkuasa dengan fungsi memori bahagian pemandu. Kabin 330e M Sport ini juga menerima kemasan Aluminium Tetragon, lapik bumbung hitam dan kulit Vernasca dalam kemasan hitam atau cognac.

    Untuk sistem infotaimen pula, G20 330 e ini diberikan sistem BMW Live Cockpit Professional, menampilkan skrin sesentuh utama bersaiz 10.25-inci dan juga paparan instrumen pemandu digital dengan skrin 12.3-inci.

    Perincian lain yang turut diberikan termasuk lampu kabus LED, sistem pendingin hawa tiga-zon, lampu suasana kabin 11-warna, 10-pembesar suara, sistem bunyi 205-watt dan juga pembuka but belakang tanpa sentuhan. Satu kelebihan pada 330e ini berbanding 330i adalah ia dilengkapi dengan suspensi adaptif M yang mampu memberikan pemanduan yang lebih selesa.

    Untuk keselamatan, 330e hadir dengan kelengkapan serupa dengan 3 Series G20 pasaran tempatan yang lain dengan diberikan pakej Driving Assistant, dengan barisan sistem seperti brek kecemasan automatik, amaran keluar lorong, pemantau titik buta dan juga pengelak pelanggaran belakang.

    GALERI: Gambar rasmi BMW 330e M Sport G20

     
     
  • BMW M340i xDrive G20 kini di M’sia – 387hp/500 Nm, CKD, dari RM402k termasuk pengecualian cukai jualan

    BMW M340i xDrive G20 kini di M’sia – 387hp/500 Nm, CKD, dari RM402k termasuk pengecualian cukai jualan

    BMW Malaysia telah pun melancarkan model M340i xDrive G20 untuk pasaran tempatan, menambahkan lagi variasi bagi barisan 3 Series G20 di sini. Menariknya, ia merupakan varian M Performance yang pertama dikeluarkan secara pemasangan tempatan (CKD).

    Buat pertama kalinya diperkenalkan pada layar dunia di Los Angeles Auto Show pada November 2018, M340i xDrive ini dijanakan oleh enjin 3.0 liter twin-scroll turbocharged B58 enam-silinder sebaris yang mampu menghamburkan kuasa hingga 387 hp pada 5,800 hingga 6,500 rpm dan tork 500 Nm dari 1,800 hingga 5,000 rpm. Sebenarnya kuasa yang diberikan buat model untuk pasaran adalah lebih 13 hp berbanding ketika M340i xDrive diperkenalkan hampir dua tahun lalu.

    Ia turut dipadankan dengan transmisi automatik Steptronic Sport lapan-kelajuan dan pacuan semua-roda xDrive, yang membolehkan jentera ini dipecut dari titik sifar hingga 100 km/j dalam hanya 4.4 saat dan kelajuan maksimumnya boleh mencecah 250 km/j. Penggunaan bahan apinya pula dianggarkan sejumlah 7.7 liter bagi setiap 100 km, dengan emisi karbon sebanyak 177g setiap km.

    BMW M340i xDrive G20 kini di M’sia – 387hp/500 Nm, CKD, dari RM402k termasuk pengecualian cukai jualan

    Varian ini turut dilengkapi dengan M Sport differential, yang menawarkan kawalan secara elektronik, serta fungsi penguncian roda-belakang yang boleh dilaras sepenuhnya. Ciri lain yang turut diberikan termasuklah suspensi Adaptive M berukuran 10 mm lebih rendah, yang boleh dilaraskan secara elektrik pada bila-bila masa mengikut kondisi jalan raya dan pemanduan dan brek M Sport dengan empat-omboh di hadapan serta omboh-tunggal di belakang, bersama kaliper dalam kemasan biru.

    Manakala kelengkapan luaran untuk spesifikasi M340i pasaran tempatan termasuk pakej M Aerodynamic, spoiler belakang M serta elemen kemasan BMW Individual high-gloss Shadow Line. Ditambah pula dengan kemasan Cerium Grey pada bahagian gril hadapan, sekeliling rongga udara hadapan dan juga perumah cermin sisi.

    Lain-lain ciri luaran termasuklah lampu utama BMW Laserlight, dua corong paip ekzos trapezoidal dan roda aloi ringan 792 M jejari-berkembar 19-inci yang dibaluti tayar runflat.

    BMW M340i xDrive G20 kini di M’sia – 387hp/500 Nm, CKD, dari RM402k termasuk pengecualian cukai jualan

    Untuk bahagian dalam pula, M340i dihiasi dengan balutan upholstery kulit Vernasca, bersama dua pilihan skim warna iaitu hitam dan Cognac. Ditambah pula dengan elemen kemasan dalaman Aluminium Tetragon dengan serlahan krom mutiara serta BMW individual headliner dalam bayangan atrasit.

    Selain itu, ia turut diberikan tempat duduk sport hadapan, roda stereng M dan pedal spesifkasi M serta ciri standard lain termasuk sistem audio Harmon Kardon 464 watt dengan 16-pembesar suara, paparan navigasi skrin sesentuh 10.25-inci, pendingin hawa auto tiga-zon, pencahayaan ambien 11-warna, paparan utama dan bumbung kaca bukaan elektrik.

    Bagi sistem bantuan pemanduan, ia didatangkan dengan bantuan parkir, kamera pandangan belakang dan pakej Bantuan Pemanduan, merangkumi amaran pelanggaran hadapan dengan brek kecemasan sendiri, amaran ketibaan lorong, amaran menukar lorong, kepekaan trafik lintasan belakang dan pengelak pelanggaran belakang.

    M340i xDrive didatangkan dengan empat pilihan warna luaran iaitu Portimao Blue, Sunset Orange, Black Sapphire dan Alpine White.

    Ditawarkan dengan harga atas jalan bermula RM402,354.13 (tanpa insurans) dengan potongan cukai jualan sehingga 31 Dis ini, M340i xDrive ini turut didatangkan dengan waranti lima-tahun tanpa had perbatuan, Program Servis Berjadual Percuma, Bantuan Tepi Jalan dan Hotline Kemalangan oleh BMW, aplikasi mudah alih BMW Group Loyalty+ dengan BMW Privileges Car serta Servis Dalam Talian BMW.

     
     
  • Mitsubishi Xpander dibuka untuk tempahan di M’sia — 1.5 liter MIVEC, Apple CarPlay/Android Auto, 1 varian

    Mitsubishi Xpander dibuka untuk tempahan di M’sia — 1.5 liter MIVEC, Apple CarPlay/Android Auto, 1 varian

    Setelah lama meniti di bibir warga tempatan, akhirnya hari ini Mitsubishi Motor Malaysia (MMM) mengumumkan senarai spesifikasi penuh Mitsubishi Xpander untuk pasaran tempatan. Dengan pengumuman ini, Mitsubishi Xpander juga mula dibuka untuk tempahan kepada pelanggan di sini. Bagaimanapun, ini bukan pelancaran rasmi model MPV tujuh-tempat duduk berkenaan – ia akan akan dirasmikan November nanti.

    Mitsubishi Xpander menggunakan enjin 1.5 liter MIVEC dengan janaan kuasa 105 PS pada 6,000 rpm dan 141 Nm tork pada 4,000 rpm. Unit enjin itu digandingkan pula dengan transmisi automatik empat-kelajuan, yang menurut Mitsubishi, mengoptimumkan kuasa dan penjimatan bahan api.

    Ia juga datang dengan jaminan lima-tahun tanpa had pebatuan. Hanya ada satu varian Xpander yang akan ditawarkan di Malaysia; bermaksud hanya ada satu senarai spesifikasi sahaja untuk MPV ini.

    Mitsubishi Xpander dibuka untuk tempahan di M’sia — 1.5 liter MIVEC, Apple CarPlay/Android Auto, 1 varian

    Mitsubishi Xpander yang diterima oleh pasaran kita adalah dari versi facelift terbarunya. Model ini merupakan unit pemasangan tempatan dari Pekan, Pahang dan hadir dengan empat pilihan warna – merah, hitam, putih dan perak.

    Wajah depan Dynamic Shield (pernah juga kita lihat pada Triton) memberikan penampilan yang mengujakan model ini dan memisahkannya daripada pesaing lain dalam segmen sama. Dengan gril krom yang tebal, diikuti hiasan krom yang ketara, jalur lampu DRL pada kedudukan lebih tinggi berbanding lampu utama bi-LED, semuanya menyuntik kelainan.

    Bahagian belakang juga membawa pendekatan yang sama, dengan rekaan lampu kombinasi LED dengan perumah gelap. Bagi rim, ia menggunakan saiz 16-inci. Xpander juga hadir dengan jarak kelegaan tanah yang terbaik dalam kelasnya, dengan 205 mm.

    Mitsubishi Xpander dibuka untuk tempahan di M’sia — 1.5 liter MIVEC, Apple CarPlay/Android Auto, 1 varian

    Lagi tentang angka-angka ukuran dimensinya; 1,730 mm tinggi, 4,475 mm panjang dan 1,750 mm lebar. Jarak antara rodanya pula ialah 2,775mm. Antara kelengkapan bahagian dalamnya yang perlu disebut ialah unit skrin sistem audio bersaiz sembilan-inci yang hadir bersama sokongan Apple CarPlay dan juga Android Auto.

    Untuk pemandu, paparan kluster 4.2-inci serta meter analog berwarna yang disediakan memudahkan lagi penglihatan. Dan, untuk tingkap kuasa, operasi “one touch” untuk menaikkan atau menurunkan tingkap hanya ada satu, untuk pemandu.

    Antara kelebihan lain ialah terdapatnya banyak ruang storan serta poket-poket kecil untuk dimanfaatkan oleh penumpang di dalam kabinnya. Kerusi pula datang dengan balutan kulit sepenuhnya, dengan dua tona warna pada kabin – separuh ke bawah semuanya hitam, manakala separuh ke atas dalam warna biege yang lebih cerah.

    Mitsubishi Xpander dibuka untuk tempahan di M’sia — 1.5 liter MIVEC, Apple CarPlay/Android Auto, 1 varian

    MPV ini juga datang dengan sistem tanpa kunci, perakam video digital di depan, kamera peninjau sekeliling dan butang Push Start. Dari segi kelengkapan keselamatan pula, Mitsubishi Xpander datang dengan senarai minimum bagi sebuah kenderaan keluarga. Ini antaranya termasuk termasuklah dua beg udara SRS, ABS dengan EBD, kawalan kestabilan, bantuan brek dan bantuan mula mendaki.

    Oleh kerana ia belum dilancarkan secara rasmi lagi, maka harganya belum diketahui. Namun, menurut MMM, ia akan berada dalam angka yang tidak jauh daripada pesaing-pesaingnya yang lain, misalnya model-model seperti Perodua Aruz, Toyota Rush dan Honda BR-V. Melihat kepada kelengkapan yang ada, kami menjangkakan harganya berada pada angka sekitar RM95,000 bagi tahun ini, dengan pengecualian SST.

    Bagi mereka yang ingin melihat Mitsubishi Xpander ini secara dekat, ia akan berada dalam siri jelajah ke bandar-bandar utama pada tarikh berikut; Toppen Mall Johor Bahru (23-25 Oktober) dan Ipoh Parade (29 Oktober-1 November).

    Mitsubishi Xpander 2020 di Malaysia

    Pilihan warna Mitsubishi Xpander

    Foto rasmi Mitsubishi Xpander

     
     
  • Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 berkuatkuasa mulai 23 Okt ini; hukuman lebih berat menanti pesalah

    Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 berkuatkuasa mulai 23 Okt ini; hukuman lebih berat menanti pesalah

    Selepas mendapat perkenan DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong serta kelulusan Dewan Rakyat dan Dewan Negara, akhirnya Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (pindaan) 2020 akan berkuatkuasa mulai 23 Oktober ini.

    Perkara ini telah disahkan sendiri oleh Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dalam kenyataan yang turut disiarkan menerusi laman Facebook rasminya sebentar tadi.

    Menurut beliau, semalam kementeriannya telah menerima instrumen Penetapan Tarikh Permulaan Kuat Kuasa Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 daripada Jabatan Peguam Negara dan hari ini dokumen tersebut telah ditandatanganinya. Majlis serba ringkas tersebut turut disaksikan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Tuan Haji Hasbi Bin Haji Habibollah, Ketua Setiausaha MOT, Datuk Isham Ishak, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi), JPJ Malaysia, Zamakhshari Hanipah dan barisan kepimpinan tertinggi MOT.

    Beliau berkata, pelaksanaan Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 bakal mengenakan hukuman lebih berat terhadap pesalah jalan raya khususnya melibatkan Seksyen 41 hingga Seksyen 45.

    Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 berkuatkuasa mulai 23 Okt ini; hukuman lebih berat menanti pesalah

    “Diharapkan Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 ini dapat memberikan kesedaran kepada orang ramai terhadap pematuhan undang-undang, menjadi pengguna jalan raya yang berhemah dan memastikan jalan raya di negara ini kekal selamat.

    “Sejak saya mengangkat sumpah sebagai Menteri Pengangkutan, isu keselamatan jalan raya merupakan antara perkara yang paling diutamakan dari segi penggubalan polisi dan penguatkuasaan oleh MOT, termasuklah mengenai pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 ini,” katanya.

    Mengikut pindaan baharu ini, Seksyen 41 iaitu memandu secara melulu atau membahayakan hingga menyebabkan kematian, jika disabit kesalahan, hukuman penjara antara lima ke 10 tahun, denda RM20,000 hingga RM50,000 dan hilang kelayakan lesen sehingga lima tahun bagi sabitan pertama.

    Walau bagaimana pun, pesalah juga boleh dipenjara antara 10 hingga 15 tahun, denda RM50,000 ke RM100,000 atau hilang kelayakan lesen selama 10 tahun bagi sabitan berikutnya. Selain itu, tempoh hilang kelayakan lesen bagi kesalahan mengikut Seksyen 42 iaitu memandu secara melulu dan membahayakan dinaikkan kepada minimum lima tahun, manakala 10 tahun bagi sabitan seterusnya.

    Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 berkuatkuasa mulai 23 Okt ini; hukuman lebih berat menanti pesalah

    Manakala denda bagi kesalahan Seksyen 43 iaitu memandu dengan tidak cermat dan bertimbang rasa, dinaikkan kepada minimum RM5,000 atau maksimum RM10,000, manakala antara RM10,000 hingga RM15,000, bagi sabitan seterusnya. Pesalah juga boleh dipenjara bagi tempoh maksimum 12 bulan dalam dua-dua keadaan.

    Seksyen 44 iaitu memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah hingga menyebabkan kematian akan memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun atau maksimum 15 tahun, denda antara RM50,000 hingga RM100,000 dan hilang kelayakan lesen bagi tempoh minimum 10 tahun, bagi sabitan pertama. Pesalah juga berdepan hukuman penjara minimum 15 tahun atau maksimum 20 tahun, denda antara RM100,000 hingga 150,000 dan hilang kelayakan lesen selama 20 tahun, bagi sabitan seterusnya.

    Bagi kes menyebabkan kecederaan, pesalah berdepan hukuman penjara minimum tujuh tahun atau maksimum 10 tahu, denda antara RM30,000 hingga RM50,000 dan hilang kelayakan lesen minimum tujuh tahun, bagi sabitan pertama. Pesalah juga boleh dipenjara minimum 10 tahun atau maksimum 15 tahun, denda antara RM50,000 hingga RM100,000 dan hilang kelayakan lesen selama 10 tahun, bagi sabitan seterusnya.

    Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 berkuatkuasa mulai 23 Okt ini; hukuman lebih berat menanti pesalah

    Untuk Seksyen 45 iaitu memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol atau dadah pula akan memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun, denda antara RM1,000 hingga RM5,000 dan hilang kelayakan lesen minimum dua tahun, bagi sabitan pertama. Pesalah juga berdepan hukuman penjara maksimum lima tahun, denda antara RM5,000 hingga RM10,000 dan hilang kelayakan lesen minimum lima tahun, bagi sabitan seterusnya.

    Seksyen 45A iaitu memandu kenderaan dengan kepekatan alkohol melebihi had ditetapkan akan memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun, denda minimum RM10,000 atau maksimum RM30,000 dan hilang kelayakan lesen minimum dua tahun, bagi sabitan pertama. Pesalah akan berdepan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun, denda minimum RM20,000 atau maksimum RM50,000 dan hilang kelayakan lesen minimum lima tahun, bagi sabitan seterusnya.

    Hukuman bagi kesalahan mengikut Seksyen 45B iaitu Ujian Nafas dan Seksyen 45C berkaitan Pengadaan Spesimen Bagi Analisis, akan dipinda kepada penjara maksimum dua tahun, denda minimum RM10,000 atau maksimum RM30,000 bagi sabitan pertama. Pesalah akan dihukum penjara maksimum lima tahun dan denda RM20,000 atau maksimum RM50,000, bagi sabitan seterusnya.

     
     
  • Nissan Magnite buat penampilan pertama di India – SUV kompak dengan enjin tiga silinder 1.0L turbo

    Nissan Magnite buat penampilan pertama di India – SUV kompak dengan enjin tiga silinder 1.0L turbo

    Nissan Magnite akhirnya didedah secara rasmi dan ia akan mula dijual di India awal tahun hadapan, diikuti pasaran lain kemudiannya. SUV kompak ini mulanya ditunjuk melalui model konsep awal tahun lalu dan diletakkan di bawah Kicks dalam barisan model Nissan.

    Nama Magnite yang digunakan pada SUV ini diambil daripada perkataan “magnetic” dan “ignite“, dan menurut Nissan, ia direka di Jepun dengan “mengambil kira keperluan unik dan aspirasi pelanggan sekitar India.” Rekaan model produksi ini tidak lari jauh daripada model konsepnya.

    Di hadapan terdapat gril yang besar serta lampu utama yang nipis sementara pada bampar terletak lampu DRL berbentuk L di bucu, diffuser kelabu serta lampu kabus berbentuk bulat. Di bahagian belakang, bentuk lampunya masih sama seperti model konsep tetapi grafik pencahayaannya diubah. Bampar pula lebih ringkas dan di atas bumbung terdapat spoiler.

    Nissan Magnite buat penampilan pertama di India – SUV kompak dengan enjin tiga silinder 1.0L turbo

    Melihat dari tepi, SUV ini mempunyai kemasan plastik hitam di keliling lengkuk rodanya, sementara bahagian bawah pintu pula mempunyai lekuk agresif serta rocker panel yang terletak 205 mm dari tanah. Berhampiran cermin sisi terdapat satu kemasan yang turut menempatkan tulisan Magnite.

    Menurut Nissan, Magnite menawarkan ruang yang luas, posisi duduk yang tinggi serta jarak tempat duduk hadapan terbaik di dalam kelasnya (700 mm). Penumpang belakang juga dikatakan boleh menikmati “ruang kaki yang biasanya terdapat pada kenderaan satu kelas lebih tinggi” serta ruang barangan belakang 336 liter.

    Papan pemuka menggunakan rekaan bertingkat dengan corong pendingin hawa berbentuk heksagon manakala di tengah pula terdapat skrin sesentuh lapan inci untuk sistem infotainmen yang boleh disambung dengan Android Auto serta Apple CarPlay. Butang pemula enjin terletak rendah di konsol tengah dan di bawahnya terdapat tempat simpanan barang serta soket USB.

    Kelengkapan lain pada Magnite adalah seperti panel instrumen TFT tujuh inci, cruise control dan tempat duduk dibalut fabrik. Nissan juga menawarkan pakej Tech Pack yang menambah pengecas tanpa wayar, pembersih udara, sistem bunyi JBL, lampu suasana serta lampu di bawah cermin sisi yang menyala apabila pintu dibuka. Untuk keselamatan, Magnite pasaran India dilengkapi dengan dua beg udara, ABS, EBD, Vehicle Dynamic COntrol, Traction Control, Hill Start Assist dan kamera 360 darjah.

    Di bawah hudnya terdapat enjin petrol tiga silinder turbo 1.0 liter HRA0 yang dipadankan bersama transmisi CVT X-Tronic. Jumlah kuasa yang mampu dihasilkan oleh enjin ini tidak diberitahu, tetapi jika melihat Almera Thailand yang menggunakan enjin sama, ia menyediakan 100 hp dan 152 Nm tork. Laporan juga menyatakan versi manual akan ditawarkan kemudian. Harga juga cuma akan dikeluarkan apabila ia dilancarkan secara rasmi tahun hadapan.

     
     
  • Hyundai i20 N Rally2 – ganti tugas i20 R5 untuk program perlumbaan pelanggan Hyundai Motorsport

    Hyundai i20 N Rally2 – ganti tugas i20 R5 untuk program perlumbaan pelanggan Hyundai Motorsport

    Serentak dengan pendedahan Hyundai i20 N, Hyundai Motorsport turut memperkenalkan jentera perlumbaan baharu Hyundai i20 N Rally2 yang diasaskan dari model produksi jalan raya berkenaan. Jentera ini bakal menggantikan tugas i20 R5 dalam program perlumbaan pelanggan mereka yang telah pun digunakan selama lima tahun.

    Menurut Hyundai, jentera baharu ini diasaskan dari versi produksi jalan raya yang sememangnya sudah berprestasi tinggi, dan ini adalah kali pertama buat mereka (dalam disiplin rali) kerana jentera i20 R5 sebelumnya hanya diasaskan dari hatchback penumpang i20 biasa.

    “i20 R5 merupakan kereta pertama dari divisi Perlumbaan Pelanggan kami, dan i20 N Rally2 ini akan menunjukkan apa yang telah kami hasilkan dalam lima tahun ini sejak divisi tersebut diwujudkan,” Kata Prinsipal Pasukan Hyundai Motorsport, Andrea Adamo.

    Hyundai i20 N Rally2 – ganti tugas i20 R5 untuk program perlumbaan pelanggan Hyundai Motorsport

    “Setiap perincian pada kereta baharu ini adalah penambahbaikkan dari versi asal, terima kasih atas usaha dan dedikasi pasukan pereka dan jurutera,” tambah Adamo lagi.

    Menurut Hyundai Motorsport, selain dari kotak gear sequential lima-kelajuan dari i20 R5, bahagian lain pada i20 N Rally2 ini adalah baharu, termasuk enjin 1.6 liter turbo yang diberikan. Pembangunan kereta ini telah bermula pada Januari tahun ini dengan pasukan yang dianggotai oleh 60 orang.

    Sejak dihasilkan pada 2015, Hyundai i20 R5 sentiasa dibangunkan dari masa ke masa bagi memperbaiki pengendalian dan prestasinya, dan ia akan diteruskan pada i20 N Rally2 baharu ini. Malah dengan casis baharu yang lebih berpotensi membolehkan setiap aspek ditingkat taraf pada jentera baharu berkenaan.

    Hyundai i20 N Rally2 – ganti tugas i20 R5 untuk program perlumbaan pelanggan Hyundai Motorsport

    Menurut Hyundai lagi, komponen-komponen suspensi dan penyerap hentak baharu pada jentera ini akan memberikan karekter pengendalian yang lebih mesra pemandu dalam semua jenis permukaan jalan.

    Kategori Rally2 adalah kategori yang baharu sahaja diperkenalkan oleh FIA pada tahun ini. Seperti juga R5, kategori ini digunakan sebagai asas untuk kebanyakkan kejohanan rali yang diselia oleh FIA termasuk kejohanan nasional hingga ke peringkat WRC untuk kelas WRC 2 dan WRC 3.

    Walaupun model baharu i20 N Rally2 ini sudah ditawarkan kepada pelanggan, pasukan-pasukan pelanggan yang masih menggunakan jentera i20 R5 masih akan tetap menerima sokongan dalam tahap tinggi yang sama seperti sebelum ini.

    “Fokus kami sekarang adalah untuk menguji i20 N Rally2 ini untuk terus membangunkan setiap aspek rekaan bagi memperbaiki prestsi dan ketahanannya, dalam masa yang sama memastikan pengendaliannya membolehkan pelanggan kami mencapai keputusan terbaik apabila mula berlumba dengan kereta ini pada 2021,” jelas Adamo lagi.

     
     
  • GMC Hummer EV 2022 – trak ikonik kini berkuasa elektrik sepenuhnya; 3-motor, 1,000 hp, 15,591 Nm!

    GMC Hummer EV 2022 – trak ikonik kini berkuasa elektrik sepenuhnya; 3-motor, 1,000 hp, 15,591 Nm!

    GMC kini telah menghidupkan kembali jenama trak/SUV ikonik mereka iaitu Hummer ke pasaran. Namun kemunculan semula Hummer bukan lagi seperti sebelumnya, tetapi tampil sebagai sebuah trak pikap yang dijana oleh kuasa elektrik sepenuhnya.

    Sebelum anda ketawa dan mendakwa ia bukan lagi Hummer sebenar kerana tidak dijana oleh enjin pembakaran dalaman, hadam dulu fakta ini – Hummer EV ini digerakkan dengan tiga motor elektrik menghasilkan kuasa keseluruhan 1,000 hp dan tork maksima 15,591 Nm!

    Untuk model edisi khas pengenalannya yang dikenali sebagai Hummer EV Edition 1 ini, pek bateri Ultium berkembar yang membekalkan kuasa didakwa mampu untuk memberikan jarak gerak sejauh 560 km. Ia boleh menyokong sistem caj cepat DC 800-volt sehingga 350 kW, yang membolehkan ia bergerak sejauh 160 km dengan caj hanya selama 10 minit.

    Model Edition 1 ini akan mula masuk ke pasaran Hemisfera Utara pada musim luruh 2021 dengan harga bermula US$112,595 (RM466,706), dan akan diikuti oleh tiga varian Hummer EV yang lain.

    GMC Hummer EV 2022 – trak ikonik kini berkuasa elektrik sepenuhnya; 3-motor, 1,000 hp, 15,591 Nm!

    The GMC HUMMER EV is driven by next-generation EV propulsion technology that enables unprecedented off-road capability, extraordinary on-road performance and an immersive driving experience.

    Varian-varian lain tersebut akan dimulakan dengan Hummer EV3X yang akan masuk ke pasaran pada musim luruh 2022 dengan harga bermula US$99,995 (RM414,479), dibekalkan dengan tiga motor berkuasa 800 hp dan tork maksima 12,880 Nm, boleh berjalan sejauh 480 km dengan satu caj penuh.

    Kemudian diikuti Hummer EV2X pada musim bunga 2023 dengan harga bermula US$89,995 (RM373,029), dijana hanya dua motor elektrik berkuasa 480 hp dan tork maksima 10,033 Nm, juga boleh berjalan sejauh 480 km. Akhir sekali adalah varian asas Hummer EV2 yang akan muncul pada musim bunga 2021, juga dibekalkan dengan dua motor berkuasa 480 hp/10,033 Nm, tetapi hanya boleh bergerak sejauh 400 km dengan satu caj penuh.

    Untuk model Edition 1, kuasa dan tork gergasi berkenaan membolehkan trak pikap bersaiz ‘gedabak’ ini memecut dari 0-96 km/j dalam masa hanya sekitar tiga saat. Trak pikap elektrik ini juga diberikan sistem stereng pada keempat-empat roda dengan mod CrabWalk, yang membolehkan ia berjalan ke sisi seperti ketam.

    Hummer EV juga menerima sistem suspensi udara adaptif secara standard, dan ia disertakan dengan mod Extract yang akan membuatkan ketinggiannya bertambah 149 mm bagi membolehkan ia meredah permukaan jalan yang lasak atau meredah sungai, dan ia mampu untuk memanjat permukaan menegak setinggi 18-inci. Untuk tayar, model ini diberikan tayar mud-terrain Goodyear Wrangler Territory 35-inci secara standard, dengan opsyen tayar 37-inci.

    GMC Hummer EV 2022 – trak ikonik kini berkuasa elektrik sepenuhnya; 3-motor, 1,000 hp, 15,591 Nm!

    The 2022 GMC HUMMER EV’s design visually communicates extreme capability, reinforced with rugged architectural details that are delivered with a premium, well-executed and appointed interior.

    Bahagian bawah Hummer ini juga diberikan pelindung yang dihasilkan dari plat logam bagi memastikan pek bateri selamat ketika ia meredah laluan off-road. Selain itu, Hummer EV ini juga diberikan kamera ultravision pada bahagian bawah hadapan dan belakang bagi memastikan pemandu mengetahui apa yang berlaku di bawah lantai ketika ia dipandu pada permukaan lasak.

    Kamera tersebut turut dilindungi dalam pakej khas bagi memastikan ia tidak rosak terkena apa jua halangan, serta diberikan fungsi untuk dibasuh bagi membersihkan apa juga kotoran yang menghalangnya untuk mendapatkan visual. Secara keseluruhan, Hummer EV ini dibekalkan dengan paparan 18 kamera, dan GMC mendakwanya sebagai yang terbaik dalam kelas berkenaan.

    Struktur badan yang kuat pada Hummer EV ini bagi melindungi pek bateri secara tidak langsung membolehkan ia turut dihasilkan dengan bahagian bumbung yang boleh dicabut, digelar sebagai Sky Panel. Bumbung berkenaan kemudian boleh disimpan dalam ruang kargo hadapan, memandangkan ia tidak mempunyai enjin pada bahagian tersebut.

    Selain dari muka dan asas badan trak pikap ini yang masih mengekalkan asas rupa yang sama seperti model-model Hummer generasi sebelum ini, ia turut diberikan lencana Hummer yang banyak disekitar badannya, termasuk pada lampu hadapan yang turut nampak seperti huruf ‘H’.

    Pada bahagian kabin pula, pemandu trak pikap ini akan menerima maklumat dari papan instrumen digital dengan skrin 12.3-inci, sementara untuk infotainmen pula diberikan skrin lebih besar bersaiz 13.4-inci, yang turut akan memaparkan maklumat untuk fungsi kelengkapan off-road termasuk status permukaan jalan, output tork, fungsi pengunci differential, tekanan tayar, sudut pitch dan roll termasuk nilai maksimum, tolok drift (dengan nilai maksimum), torque vectoring dan pelbagai lagi.

    Lagi fungsi istimewa untuk Edition 1, ia turut menampilkan fungsi ‘Watts to Freedom’. Fungsi ini akan merendahkan badan trak pikap tersebut sehingga 50 mm, kemudian akan ‘membebaskan’ kesemua 1,000 hp/15,591 Nm bagi membolehkan pecutan 0-96 km/j tersebut dicapai dalam masa sekitar tiga saat.

    Ia juga diberikan Drive Mode Control yang membolehkan pemandu mengawal aliran tork antara gandar hadapan dan belakang, tetapan sistem stereng empat-roda, dan juga Terrain Mode yang membolehkan ketinggiannya naik lagi 50 mm.

    Model Edition 1 juga menerima tailgate jenis Multipro yang boleh ditetapkan dalam enam posisi berlainan, manakala tingkap kaca belakang dan juga pelindung tonneau boleh dibuka dan ditutup dengan bantuan kuasa elektrik.

    Produksi untuk GMC Hummer EV ini akan bermula lewat tahun hadapan di kilang Factory Zero Detroit-Hamtramck Assembly Center milik General Motors. Kilang yang sudahpun berusia 40 tahun tersebut telah pun diubahsuai dengan kelengkapan terkini membabitkan kos pelaburan US$2.2 bilion (RM9.1 bilion) bagi membolehkan ia menghasilkan kenderaan-kenderaan elektrik.

    Menurut GMC lagi, kilang ini akan terus digunakan untuk menghasilkan model-model pencemaran sifar pada masa akan datang.

     
     
  • Peminjam masih boleh memohon bantuan bayaran balik bagi tahun 2020 dan 2021 sekiranya terjejas

    Peminjam masih boleh memohon bantuan bayaran balik bagi tahun 2020 dan 2021 sekiranya terjejas

    Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengumumkan bahawa bantuan bayaran balik pinjaman masih lagi ditawarkan kepada peminjam, termasuklah kepada mereka yang sebelum ini pernah menolaknya. Menurut bank pusat itu, peminjam masih boleh memohon bantuan bayaran balik pinjaman secara bersasar sepanjang tahun 2020 hingga tahun 2021 jika keadaan kewangan mereka berubah pada masa hadapan.

    Dalam satu siaran akhbar khas, BNM memberitahu skala bantuan bayaran balik pinjaman secara bersasar seperti ini tidak pernah dilaksanakan sebelum ini dalam sejarah perbankan di Malaysia dan bantuan terus ditawarkan kepada peminjam dalam pelbagai kumpulan pendapatan dengan pertimbangan khusus diberikan kepada isi rumah dalam kategori B40, perniagaan mikro serta peminjam yang terjejas akibat sekatan pergerakan.

    Bagi peminjam yang memerlukan bantuan kali ini, mereka boleh berbincang dengan pihak bank masing-masing untuk merujuk semula pelan bayaran semula bergantung kepada kemampuan. Dengan ini, sekiranya keadaan menjadi lebih mencabar pada masa hadapan, mereka akan mempunyai rekod bayaran untuk memudahkan bantuan selanjutnya.

    Peminjam masih boleh memohon bantuan bayaran balik bagi tahun 2020 dan 2021 sekiranya terjejas

    Sementara itu, peminjam yang sudah mampu dan sudah mula membayar semula pinjaman digalakkan meneruskan langkah itu, kerana ia bukan sahaja akan dapat mengurangkan kos keseluruhan yang dipinjam, tetapi juga membenarkan bantuan disampaikan kepada mereka yang lebih memerlukan. Walaubagaimanapun, jika keadaan kewangan mereka menjadi lebih teruk, bantuan bersasar masih lagi ditawarkan.

    Sekiranya memerlukan bantuan bayaran semula ini, BNM menggesa peminjam untuk membuat permohonan kepada bank masing-masing menggunakan saluran yang disediakan. Mereka juga menyatakan bahawa keputusan permohonan mereka akan dimaklumkan oleh pihak bank dalam tempoh 5 hari bagi peminjam individu dan dalam tempoh 14 hari bagi peminjam PKS. Peminjam yang tidak menerima jawapan daripada bank mereka dalam tempoh yang ditetapkan ini boleh menghubungi BNMTELELINK.

    BNM juga menjamin proses yang segera dan lancar, memandangkan bank-bank dalam kawasan yang terjejas masih lagi beroperasi di bawah prosedur operasi standard (SOP) yang bersesuaian. Mereka yang tidak boleh berurusan secara bersemuka atau tidak dapat mengemukakan dokumen disebabkan oleh sekatan pergerakan boleh menghubungi bank masing-masing melalui laman sesawang, e-mel atau telefon.

    Selain daripada itu, individu atau SME yang memerlukan nasihat serta bantuan termasuk penstrukturan semula hutang, juga boleh menghubungi Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). Menurut BNM, peminjam yang telah menghadapi kesukaran kewangan sebelum berlakunya pandemik, pelanjutan moratorium bukanlah penyelesaian yang mampan untuk mereka.

    Bank pusat ini juga menyatakan bahawa permohonan bantuan bayaran balik pinjaman yang dibuat pada bila-bila masa sebelum 30 Jun 2021 tidak akan dipaparkan dalam laporan CCRIS peminjam, dan tiada sebarang caj pemprosesan yang dikenakan bagi permohonan bayaran balik pinjaman untuk peminjam individu dan PKS.

     
     
  • Suzuki Across 2021 SUV PHEV dilancarkan di UK — rebadge dari Toyota RAV4, harga bermula RM245k

    Suzuki Across 2021 SUV PHEV dilancarkan di UK — <em>rebadge</em> dari Toyota RAV4, harga bermula RM245k

    Suzuki Across 2021, sebuah SUV plug-in hybrid kini telah diperkenalkan untuk pasaran UK, dengan harga bermula dari £45,599 (RM245k). Model PHEV pertama daripada Suzuki ini sebenarnya merupakan model rebadge Toyota RAV4. Suzuki juga memaklumkan kesediaan stok model berkenaan bagi tahun pertamanya adalah “sangat rendah”.

    Dari segi rekaan, Across menerima wajah depannya sendiri dengan lampu utama bi-projector lebih kurus dan DRL LED khusus, gril dalam bentuk hexagon, rim 19-inci baru serta skid plate depan. Bahagian selebihnya pada SUV ini adalah sama dengan RAV4. Pilihan warna yang ada pula ialah White Pearl Crystal Shine, Silver Metallic, Attitude Black Mica, Sensual Red Mica, Grey Metallic dan Dark Blue Mica.

    Ruang dalamannya juga merupakan cerminan kepada apa yang pernah dilihat pada RAV4. Perkara yang diubah hanyalah lencana Suzuki pada stereng. Ia dilengkapi dengan skrin sentuh 9-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto serta fungsi Mirrorlink untuk telefon pintar. Ciri standard lain termasuk butang penghidup enjin, kluster instrumen Optitron, kawalan pendingin dua-zon dengan corong belakang dan kerusi balutan kulit. Kapasiti ruang barangan ialah 490 liter, dan soket 12-volt turut disediakan.

    Dari sudut prestasi, Across menggunakan enjin 2.5 liter A25A-FXS Dynamic Force kitaran Atkinson yang menghasilkan 176 hp dan 228 Nm. Ia disertakan dengan sebuah motor elektrik untuk menghasilkan output keseluruhan 302 hp, membolehkan SUV ini memecut 0-100 km/j dalam masa enam saat.

    Suzuki Across 2021 SUV PHEV dilancarkan di UK — <em>rebadge</em> dari Toyota RAV4, harga bermula RM245k

    Motor elektriknya memperoleh kuasa dar bateri lithium-ion 18.1 kWh (50.9 Ah) yang menyediakan jarak elektrik sepenuhnya 60 km (berdasarkan kitaran WLTP; terbaik dalam kelasnya). Ia juga memanfaatkan sistem 4×4 E-Four oleh Toyota, yang menggunakan motor berasingan di belakang dengan kuasa 40 kW yang berfungsi bersama-sama motor di depan untuk memberikan agihan tork depan:belakang antara 100:0 hingga 20:80.

    Ciri keselamatan termasuk Pre-Collision System (PCS), Lane Tracing Assist (LTA) dan Dynamic Radar Cruise Control (DRCC), Road Sign Assist (RSA), Blind Spot Monitor (BSM), dan Rear Crossing Traffic Alert (RCTA). Serahan SUV ini akan bermula November nanti, dan selepas itu Suzuki akan memperkenalkan pula Swace, model rebadge kepada Toyota Corolla Touring Sports hibrid.

     
     
  • Petros akan buka stesen minyak bersepadu pertama M’sia di Sarawak – bahan api fosil, elektrik, hidrogen

    Petros akan buka stesen minyak bersepadu pertama M’sia di Sarawak – bahan api fosil, elektrik, hidrogen

    Sarawak bakal menjadi negeri pertama dalam Malaysia yang mempunyai stesen minyak bersepadu yang menawarkan bahan api fosil (petrol dan diesel), elektrik serta juga hidrogen. Rancangan untuknya mula dibuat pada bulan Mei tahun lalu dan kini ia diteruskan dengan majlis pecah tanah di Darul Hana, seperti yang dilaporkan oleh The Edge.

    Stesen di Darul Hana ini akan menjadi yang pertama dan dijangka siap sepenuhnya tahun hadapan. Ada lima lagi stesen yang akan dibuka di negeri itu, dan semuanya diletakkan dibawah Petroleum Sarawak (Petros). Menurut Dayak Daily, stesen kedua juga akan berada di Kuching, iaitu di Bandar Baru Batu Kawah, atau juga dikenali sebagai “MJC.”

    Untuk baki empat lagi stesen, ia akan dibina di Sri Aman, Sibu, Bintulu dan Miri. Anak syarikat Sarawak Economic Development Corporation (SEDC), iaitu SEDC Energy akan bertanggung jawab untuk membina semua enam stesen di dalam negeri itu.

    Bercakap di dalam majlis itu, ketua menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, “stesen minyak bersepadu ini akan membekalkan tiga komponen utama iaitu petrol dan diesel, hidrogen berasaskan air, dan akhir sekali, bateri (pengecas elektrik).” Beliau juga meminta supaya kerajaan persekutuan tidak mengenakan cukai kepada kenderaan yang menggunakan hidrogen untuk menggalakkan pelanggan membelinya. Menurut Daily Express, Abang Johari juga memilih Hyundai Nexo dan menolak Mercedes-Benz S-Class sebagai kereta rasmi.

    Petros akan buka stesen minyak bersepadu pertama M’sia di Sarawak – bahan api fosil, elektrik, hidrogen

    Pengerusi SEDC, Tan Sri Abdul Aziz Husain memberitahu bahawa stesen ini nanti akan dilengkapi dengan sistem Internet of Things (IoT), sensor automatik, analisis data besar dan pembayaran tanpa tunai dengan integrasi kepada platform sedia ada seperti Sarawak Pay.

    “Tenaga kerja manual dalam operasi stesen ini akan dikurangkan, jadi, kemahiran berbeza diperlukan berbanding pekerja di stesen minyak biasa,” kata beliau. Abdul Aziz turut menyatakan rekaan stesen ini boleh diubah suai sepenuhnya kepada pusat pengecasan elektrik dan pengisian hidrogen pada masa hadapan, apabila penggunaan kenderaan elektrik dan fuel cell semakin bertambah.

    Stesen ini juga akan mempunyai bahagian komersial untuk jenama tempatan dan antarabangsa, untuk menyemarakkan ekonomi tempatan. “Dengan rangkaian seperti ini, peluang turut dibuka untuk francais lebih maju di kawasan yang tidak menjadi sebelum ini, terutamanya sepanjang Lebuh Raya Pan Borneo dan Sarawak Coastal Highway,” kata Abdul Aziz.

     
     
  • Hyundai i20 N didedahkan – ‘pocket-rocket’ 1.6L turbo, 204 PS/275 Nm, 6-kelajuan manual, 0-100km/j 6.7 saat!

    Hyundai i20 N didedahkan – ‘pocket-rocket’ 1.6L turbo, 204 PS/275 Nm, 6-kelajuan manual, 0-100km/j 6.7 saat!

    Selepas berberapa teaser disiarkan, sayap perlumbaan Hyundai iaitu Hyundai N telah mendedahkan secara rasmi satu lagi model berprestasi untuk jalan raya mereka – Hyundai i20 N. Berbeza dengan model-model mereka sebelum ini yang bersaiz segmen-C iaitu i30 N (hatchback dan fastback) serta Veloster N, senjata baharu mereka ini akan menyerang pasaran ‘pocket-rocket’ hot-hatch segmen-B yang lebih kecil.

    Menurut Hyundai N, model produksi jalan raya i20 N ini adalah diinspirasikan dari jentera rali dunia mereka, i20 N Coupe WRC yang telah pun merangkul gelaran juara dunia untuk kategori pengeluar tahun lalu, dan ia menampilkan berat yang sama dengan berat minima yang ditetapkan oleh FIA pada jentera rali sebenar berkenaan iaitu 1,190 kg.

    Tidak seperti abang-abangnya yang diberikan enjin 2.0L turbo, i20 N ini dijana dengan enjin lebih kecil 1.6 liter turbo dengan sistem suntikan bahan api terus, bersama teknologi CVVD baharu Hyundai. Jenama dari Korea berkenaan turut menyebut bahawa ini adalah satu lagi enjin baharu mereka yang di bawa ke pasaran Eropah.

    Walaupun kecil, enjin berkenaan berupaya menghasilkan kuasa 204 PS yang dicapai antara 5,500 hingga 6,000 rpm, serta tork maksima 275 Nm yang keluar sepenuhnya seawal 1,750 hingga 4,500 rpm. Sistem turbo pada enjin ini bukan sahaja disejukkan unit intercooler, malah turut dibantu dengan aliran cecair penyejuk dari sistem penyejukkan enjin sendiri.

    Hyundai i20 N didedahkan – ‘pocket-rocket’ 1.6L turbo, 204 PS/275 Nm, 6-kelajuan manual, 0-100km/j 6.7 saat!

    Kuasa hanya dialirkan ke roda hadapan menerusi hanya satu pilihan transmisi iaitu kotak gear manual enam kelajuan. Kotak gear ini diberikan gigi gear yang diperkuat bagi memastikan ia tahan dengan asakan dari sistem launch control yang diberikan, serta untuk sentiasa beroperasi pada takat rpm enjin yang tinggi.

    Bukan itu sahaja, kotak gear tersebut turut dibekalkan dengan unit LSD pada pemasangan gear akhir, bagi membolehkan kuasa cengkaman dialirkan sepenuhnya pada kedua-dua roda hadapan ketika meredah selekoh. Namun berbeza dengan abang-abangnya yang diberikan LSD kawalan elektronik, LSD pada i20 N ini menggunakan sistem mekanikal sepenuhnya dengan kawalan yang dibuat oleh gear Torsion.

    Menurut Hyundai, padanan unit janakuasa dengan badan i20 N yang ringan ini membolehkan ia mencapai nisbah kuasa kepada berat terbaik dalam kelasnya. Oleh itu, ia mampu untuk memecut dari 0-100 km/j dalam 6.7 saat, dan hatchback kecil ini mampu mencapai kelajuan maksima 230 km/j.

    Dengan kuasa yang jauh lebih besar ini dan untuk menjadikan ia sebuah jentera yang boleh digunakan di litar lumba, casis i20 N ini turut menerima rombakan besar berbanding hatchback penumpang biasa i20 versi standard yang hanya diberikan enjin 1.2 liter dan 1.0 liter turbo.

    Hyundai i20 N didedahkan – ‘pocket-rocket’ 1.6L turbo, 204 PS/275 Nm, 6-kelajuan manual, 0-100km/j 6.7 saat!

    Kerangka i20 N ini diberikan 12 bahagian yang dikeraskan lagi termasuk pelindung bawah yang direka semula dan juga diberikan berberapa bracket tambahan. Untuk suspensi pula, ia bukan sahaja ditala semula, malah geometrinya turut dilaras kembali, manakala komponen pada bahagian dome dan knuckle hadapan ditukar kepada komponen yang lebih kuat.

    Proses tersebut termasuk meningkatkan sudut camber bagi mendapatkan cengkaman lebih baik, diberikan bar anti oleng unik serta talaan penyerap hentak dan spring yang bukan sahaja lebih keras, malah badan i20 N ini dapat direndahkan lagi 10 mm berbanding model standard.

    Menurut Hyundai, segala kelengkapan pada suspensi dan gandar hadapan berkenaan digelar sebagai N Power Axle, manakala di belakang pula i20 N ini diberikan suspensi jenis Dual Coupled Torsion Beam Axle (CTBA) yang memberikan ketegaran yang lebih tinggi serta memberikan prestasi pemanduan dan pengendalian lebih baik.

    Sistem stereng berkuasa elektrik (C-MDPS) pada i20 N ini juga turut ditala semula, manakala rak stereng yang dipadankan juga diberikan nisbah yang lebih laju iaitu 12.0:1, berbanding 12.4:1 pada i20 standard. Untuk brek pula, i20 N ini menerima cakera hadapan 40 mm lebih besar bagi memberikan kuasa pemberhentian lebih baik, meningkatkan rintangan untuk terjadinya brake fade serta memberikan rasa pedal brek yang lebih konsisten.

    Bagi menangani setiap kuasa ke permukaan jalan, i20 N juga menerima tayar UHP Pirelli P-Zero yang dihasilkan khas untuknya dengan tanda “HN” (Hyundai N), dalam saiz 215/40R18 yang membalut rim aloi unik berdiameter 18-inci.

    Seperti model-model N yang lain, model paling kecil ini tidak terkecuali dari menerima sistem bantuan elektronik N Grin Control. Sistem ini menawarkan lima mod pemanduan – Normal, Eco, Sport, N dan N Custom – di mana kesemuanya akan menala semula parameter enjin, ESC, bunyi ekzos dan juga talaan stereng bagi mengoptimakan setiap keadaan pemanduan.

    Selain itu, i20 N ini juga menerima sistem Rev-Match (dengan butang khas diberikan pada roda stereng) yang membolehkan anda menurunkan gear secara agresif walaupun tanpa kemahiran teknik heel & toe, serta Launch Control yang mengawal kelajuan enjin dan traction control yang membolehkan anda ‘berlepas’ dari kedudukan pegun seperti pemandu professional.

    Fungsi-fungsi lain yang diinsiprasikan dari dunia sukan permotoran dilengkapkan pada i20 N ini termasuk electric sound generator yang memberikan bunyi enjin lebih ‘sedap’ masuk kedalam kabin, variable muffler control untuk memberikan bunyi ekzos yang lebih baik (turut menampilkan bunyi pop & crackle!), kalibrasi semula untuk brek yang dibuat dengan kaki kiri serta penunjuk tahap penggunaan pad brek (PWI).

    Hyundai i20 N didedahkan – ‘pocket-rocket’ 1.6L turbo, 204 PS/275 Nm, 6-kelajuan manual, 0-100km/j 6.7 saat!

    Tidak sukar untuk membezakan penampilan luaran Hyundai i20 N ini dengan i20 standard kerana ia tampil dengan rupa yang lebih garang. Bampar untuk i20 N ini mungkin nampak seiras dengan bampar untuk kit badan i20 N Line dengan liang udara sisi lebih besar, namun ia diberikan kemasan jalur Tomato Red menggantikan jalur hitam di sepanjang spoiler bawah bampar.

    Gril ‘cascading’ pada model ini pula jika anda perhatikan, ia hadir diberikan corak seakan bendera perlumbaan. Manakala lencana ‘N’ yang diberikan memberi amaran bahawa ia bukan hatchback segmen-B yang biasa. Pada bahagian sisi, model ini diberikan skirt yang lebih labuh serta jalur merah dari bampar hadapan yang sama.

    Manakala di belakang, i20 N ini diberikan spoiler bumbung agak besar yang didakwa diinspirasikan dari spoiler i20 N WRC, serta diffuser lebih agresif di bawah bampar yang turut menempatkan tip ekzos besar berbentuk oval.

    Untuk warna badan, sudah tentu warna perlumbaan Hyundai N Performance Blue dipilih sebagai warna hero, disamping lima warna lain iaitu Intense Blue, Polar White, Sleek Silver, Brass dan Phantom Black. Kecuali rona badan hitam, semua pilihan warna tersebut boleh dipilih dengan opsyen bumbung berwarna Phantom Black.

    Hyundai i20 N didedahkan – ‘pocket-rocket’ 1.6L turbo, 204 PS/275 Nm, 6-kelajuan manual, 0-100km/j 6.7 saat!

    Dalam kabin pula, model berprestasi tinggi ini menerima tempat duduk sport dengan perehat kepada bersepadu, roda stereng N, tombol gear N dan juga set pedal aloi N. Keseluruhan bahagian dalaman i20 N ini menerima tema warna hitam, dengan serlahan Performance Blue pada bahagian-bahagian sepatutnya.

    Lampu amaran redline diberikan pada paparan instrumen yang bertindak sebagai shift light membolehkan pemandu menukar gear pada masa yang tepat. Ia turut hadir dengan sistem Performance Driving Data yang berfungsi sebagai data logger. Sistem berkenaan akan menyimpan dan memaparkan data pemanduan anda termasuk kuasa enjin, tork, boost turbo, masa lap dan juga masa pecutan.

    Skrin sesentuh LCD yang bersaiz 10.25-inci ditawarkan secara opsyenal. Ia bukan sahaja memberikan fungsi infotainmen seperti hubungan Apple CarPlay, Android Auto, sistem navigasi dan servis terhubung Hyundai Bluelink, malah turut memaparkan fungsi-fungsi prestasi N.

    Walaupun ia sebuah jentera yang fokus terhadap prestasi, elemen-elemen keselamatan turut tidak diambil mudah. Hyundai i20 N menerima sistem lengkap pakej bantuan pemanduan Hyundai Smartsense yang terdiri dari fungsi seperti amaran pelanggaran hadapan bersama pengesan pejalan kaki lengkap dengan AEB, bantuan had laju pintar, bantuan kekal tengah lorong dan amaran titik buta.

    Selain itu, fungsi amaran lintasan trafik belakang, bantuan lampu tinggi, sistem amaran tumpuan pemandu bersama amaran keluar lorong turut dibekalkan. Hyundai i20 N ini akan masuk ke pasaran Eropah seawal Mac 2021 nanti.

     
     
  • SuperKIP dan Petronas SRT berpisah selepas 2020

    SuperKIP dan Petronas SRT berpisah selepas 2020

    Setelah dua musim bersama pasukan Petronas Sprinta Racing, Khairul Idham Pawi atau juga lebih dikenali sebagai SuperKIP akan meninggalkan pasukan itu sebaik musim 2020 yang berbaki empat pusingan lagi berakhir.

    Keputusan ini dibuat setelah kerjasama antara pelumba negara itu dengan Petronas SRT gagal mencapai sasaran yang telah ditetapkan. Perubahan hala tuju juga perlu dibuat demi kepentingan kedua-dua belah pihak, dan bagi membolehkan mereka mencapai potensi yang sepatutnya.

    Khairul menyertai Petronas SRT pada tahun 2019 dalam kategori Moto2 tetapi setelah bergelut dengan masalah kecederaan, beliau memasuki kategori Moto3 pada tahun 2020. Keadaan tidak bertambah baik dan kecederaan beliau bertambah teruk sehinggakan terpaksa memotong jari kelingking.

    SuperKIP dan Petronas SRT berpisah selepas 2020

    “Walaupun sedar bakat dan potensi KIP, selepas dua tahun bersama, jelas kami tidak dapat mencapai sasaran yang ditetapkan. Jelas sekali kecederaan memberi kesan kepada prestasi KIP dalam dua musim yang lepas, tetapi bila melihat kepada masa hadapan, kami berdua bersetuju hala tuju yang berbeza untuk kedua pihak adalah perlu,” kata Razlan Razali.

    “Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang berada dalam pasukan, dan rakan kongsi yang membantu saya selama dua tahun ini, dalam waktu yang baik dan juga tidak. Semoga mereka berjaya pada masa hadapan, kerana mereka adalah orang-orang yang bagus. Saya mahu terus berlumba, jadi saya akan mencari penyelesaian terbaik dalam karier perlumbaan saya. Saya akan cuba sebaik mungkin untuk menunjukkan potensi saya semula dan memberi ganjaran kepada peminat yang telah menyokong saya sejak dari awal,” kata Khairul.

     
     
  • PKPB di Selangor: IPD Petaling Jaya laksana sekatan jalan raya di tiga lokasi di plaza tol hingga 27 Okt

    PKPB di Selangor: IPD Petaling Jaya laksana sekatan jalan raya di tiga lokasi di plaza tol hingga 27 Okt

    Polis Petaling Jaya telah mengumumkan pelaksanaan sekatan jalan raya di tiga lokasi di plaza tol di daerah berkenaan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 27 Okt ini.

    Menurut Ketua Polis PJ, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal, lokasi sekatan jalan raya yang didirikan ialah Tol Subang (susur masuk/keluar dari/ke Petaling Jaya), Tol Sungai Buloh (susur masuk/keluar dari/ke Petaling Jaya) dan Tol Damansara (susur masuk/keluar dari/ke Petaling Jaya).

    “Kes jangkitan COVID-19 tidak menunjukkan penurunan. Maka IPD Petaling Jaya telah menggerakkan sumber manusia sedia ada ke penugasan PKPB seperti penugasan rondaan Aberdeen MPV, Warn and Sweep, Op Cantas, sekatan jalan raya serta penugasan-penugasan lain dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran orang ramai.

    “Malah tindakan undang-undang juga akan diambil juka perlu bagi mereka yang ingkar mematuhi SOP. Justeru, orang ramai dinasihatkan untuk terus mematuhi PKPB agar jaringan wabak COVID-19 dapat diputuskan,” ujarnya menerusi kenyataan media yang turut disiarkan menerusi Facebook rasmi Polis PJ.

    Selain itu, beliau turut menegaskan supaya orang ramai memperlahankan kenderaan ketika melalui lokasi sekatan jalan raya demi keselamatan para petugas dan juga pengguna jalan raya yang lain.

    Di samping itu, orang ramai juga diminta untuk mematuhi jumlah individu yang berada dalam kenderaan sebagaimana yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), keluar sekiranya ada keperluan dan juga duduklah di rumahnya sekiranya tiada urusan mustahak di luar.

     
     
  • Produksi Proton X50 tidak terjejas disebabkan COVID-19, pelancaran secara maya bakal dilangsungkan

    Produksi Proton X50 tidak terjejas disebabkan COVID-19, pelancaran secara maya bakal dilangsungkan

    Kelmarin, Proton mengesahkan seramai 49 pekerjanya telah diuji positif COVID-19. Ini tentunya mendorong situasi yang serius bagi semua pihak, walau bagaimana pun perkara ini tidak menjejaskan jadual produksi bagi SUV X50 yang dinanti-nanti, seperti mana yang dilaporkan oleh SoyaCincau.

    Dalam kenyataan yang disiarkan menerusi portal terbabit, pengeluar kereta nasional berkata walau pun jabatan kejuruteraan telah dikuarantin disebabkan kes tersebut, namun dijangkakan jumlah produksi tidak akan terjejas. Tambahnya, pelancaran bagi SUV terbabit juga akan tetap dilaksanakan secara maya.

    Sebelum ini Proton merancang untuk melancarkan X50 dalam majlis secara fizikal, tetapi akhirnya memutuskan untuk melakukannya secara maya memandangkan negara masih bertungkus lumus memutuskan wabak pandemik ini. Apatah lagi buat masa ini, kes positif mencecah tiga digit dan begitu menggusarkan kita semua.

    Produksi Proton X50 tidak terjejas disebabkan COVID-19, pelancaran secara maya bakal dilangsungkan

    X50 telah pun boleh ditempah sejak 15 September lalu, dan setakat ini Proton telah mengesahkan tempahannya telah mencecah sebanyak lebih 20,000 unit. SUV segmen-B ini dibangunkan berasaskan Geely Binyue/Coolray. Ia telah ditampilkan dengan beberapa ciri yang dipertingkatkan termasuklah Geely Key User Interface (GKUI 19) dan fungsi pemanduan semi-autonomous Tahap 2. Selain itu, ia turut menampilkan brek kecemasan elektrik dengan pengesan pejalan kaki, kawalan kelajuan adaptof dengan fungsi stop/go dan bantuan pemusatan lorong.

    X50 akan hadir dalam empat varian iaitu Standard, Executive, Premium dan Flagship. Kesemua varian diberikan enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo, namun tiga versi paling rendah hadir dengan sistem suntikan bahan api pelbagai-titik (MPI), manakala varian Flagship menerima sistem suntikan bahan api terus (GDI).

    Manakala untuk model Turbo-GDI, kuasa yang dihasilkan adalah sama seperti Geely Binyue 1.5 T-GDI iaitu 177 PS dan tork maksima 255 Nm. Manakala untuk tiga varian lebih rendah dengan enjin Turbo-MPI pula, ia menjana kuasa lebih rendah iaitu 150 PS dan tork maksima 226 Nm.

    Walau bagaimanapun, kedua-dua enjin berkenaan menerima hanya menerima satu jenis kotak gear yang sama iaitu transmisi klac-berkembar automatik tujuh-kelajuan yang dibangunkan bersama Geely-Volvo. Juga, ia hanya memacu roda hadapan tanpa pilihan sistem pacuan semua roda.

    GALERI: Proton X50 1.5 T-GDI Flagship 2020

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025