Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Hyundai i30 N facelift 2021 didedahkan – kini berkuasa 280 PS/392 Nm, pilihan kotak gear auto DCT 8-kelajuan

    Hyundai i30 N facelift 2021 didedahkan – kini berkuasa 280 PS/392 Nm, pilihan kotak gear auto DCT 8-kelajuan

    Selepas tiga tahun berada dalam pasaran, model berprestasi tinggi pertama Hyundai N iaitu i30 N kini sudah pun masuk ke fasa facelift. Model yang dikemaskini ini bukan sahaja menerima muka yang disegarkan, malah ia turut menerima berberapa kelengkapan lebih ringan, tambahan kuasa kuda dan juga pilihan kotak gear automatik.

    Seperti versi sebelumnya, i30 N dijana oleh enjin 2.0 liter turbo dengan sistem suntikan terus (T-GDI) dan masih ditawarkan dalam dua opsyen kuasa iaitu standard dan Performance Package. Untuk versi standard, ia masih menjana 250 PS dan tork maksima 353 Nm.

    Manakala untuk versi dengan Performance Package, ia kini ditala bagi mendapatkan kuasa 280 PS, atau 5 PS lebih berkuasa dari sebelum ini. Tork yang dibekalkan juga lebih tinggi, kini mencecah 392 Nm di mana angka puncak ini boleh digunakan bermula pada rpm serendah 1,950 hingga 4,600 rpm.

    Bagi mereka yang sebelum ini tidak memilih i30 N kerana tiada pilihan kotak gear automatik, kini tiada lagi alasan kerana selain transmisi enam-kelajuan manual, versi facelift ini juga diberikan pilihan kotak gear klac berkembar automatik jenis basah DCT 8-kelajuan.

    Hyundai i30 N facelift 2021 didedahkan – kini berkuasa 280 PS/392 Nm, pilihan kotak gear auto DCT 8-kelajuan

    Menurut Hyundai kedua-dua jenis talaan kuasa ini membolehkan i30 N facelift mencapai kelajuan maksima 250 km/j. Namun untuk model dengan Performance Package, ia kini mampu untuk memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 5.9 saat, atau 0.2 saat lebih pantas dari sebelumnya – walau bagaimanapun Hyundai tidak memperincikan ini adalah untuk versi manual atau DCT.

    Untuk model dengan kotak gear DCT berkenaan, ia hadir dengan tiga mod talaan iaitu N Grin Shift (NGS), N Power Shift (NPS) dan N Track Sense Shift (NTS). Untuk NGS, ia bukan sahaja meningkatkan tahap responsif kotak gear tersebut, ia turut melepaskan kuasa maksima enjin dalam masa 20 saat dengan satu sentuhan butang, dan countdown juga akan dipaparkan.

    Untuk NPS pula, ia akan berfungsi apabila pedal pendikit dikerah melebihi 90%. Ia akan mengelakkan sebarang penurunan tork, dan memberikan perasaan ‘ditolak’ ketika gear dinaikkan. Manakala untuk NTS, mod ini akan diaktifkan secara automatik apabila mengesan keadaan jalan yang sesuai untuk pemanduan dinamik, seperti pada litar lumba. Mod ini akan memberikan masa dan penukaran gear yang tepat, seakan pelumba professional.

    Mod pemanduan paling hardcore iaitu N Mode, serta perincian pemanduan berprestasi tinggi lain seperti sistem rev-match dan launch control, e-LSD, suspensi adaptif dan lain-lain masih kekal pada i30 N facelift ini. Untuk brek pula, versi dengan Performance Package akan menerima cakera brek 360 mm di hadapan berbanding 345 mm sebelum ini.

    Hyundai i30 N facelift 2021 didedahkan – kini berkuasa 280 PS/392 Nm, pilihan kotak gear auto DCT 8-kelajuan

    Untuk rupa luaran, i30 N ini disegarkan mengikut model asas i30 facelift yang lebih tajam diperkenalkan pada Februari lalu. Ia menerima lampu hadapan dengan jalur LED lampu nyalaan siang yang berbentuk anak panah, gril utama, serta liang-liang utama pada bampar i30 N ini nampak seiras dengan versi N-Line, namun jalur kemasan perak pada spoiler hadapan diganti dengan jalur berwarna merah.

    Manakala di belakang, model facelift ini tampil dengan diffuser yang jauh lebih besar bersama dua tip ekzos yang juga kelihatan seakan semakin membesar. Warna badan Performance Blue, Polar White, Phantom Black dan Engine Red masih dikekalkan, bersama pilihan warna baru Sunset Red dan Shadow Grey.

    Model standard i30 N menerima rim aloi 18-inci rekaan baharu dibaluti tayar Michelin Pilot Super Sport. Untuk versi Performance Package pula, ia menerima rim forged aloi 19-inci lima jejari berkembar, yang dihasilkan dengan berat 14.4 kg lebih ringan dari rim aloi 19-inci sebelum ini. Rim ini masih diberikan tayar istimewa Pirelli P-Zero dengan logo N yang dihasilkan spesifik hanya untuknya.

    Hyundai i30 N facelift 2021 didedahkan – kini berkuasa 280 PS/392 Nm, pilihan kotak gear auto DCT 8-kelajuan

    Untuk kabin, secara asasnya ia masih hadir dengan rekaan yang sama seperti sebelum ini, menampilkan tema hitam keseluruhan bersama serlahan kemasan dan jahitan berwarna Performance Blue, dan juga perincian seperti roda stereng N dan juga pedal aloi. Apa yang baharu adalah tali keledarnya yang kini juga diberikan warna Performance Blue.

    Jika sebelum ini i30 N hanya menerima tempat duduk lebih sporty N, model facelift ini pula ditawarkan dengan tempat duduk bucket yang digelar N Light Seat. Seperti namanya, tempat duduk yang dibalut dengan kulit premium dan Alcantara ini bukan sahaja lebih kelihatan seperti tempat duduk perlumbaan, malah ianya 2.2 kg lebih ringan dari versi biasa.

    Tempat duduk ini juga menerima serlahan benang Performance Blue, perehat kepala bersepadu dengan slot untuk tali keledar perlumbaan, serta logo N yang bernyala.

    Hyundai i30 N ini juga turut ditawarkan opsyen dengan skrin infotainmen lebih besar bersaiz 10.25-inci, yang hadir dengan sistem navigasi, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, serta sistem terhubung Hyundai Bluelink dari versi terkini.

    Sistem keselamatan untuk i30 N facelift ini turut menerima berberapa tingkat taraf dengan diberikan lebih fungsi bantuan pemanduan aktif Hyundai SmartSense. Misalnya sistem Bantuan Pengelak Pelanggaran Hadapan kini turut disertakan dengan pengesan pejalan kaki, serta sistem Bantuan Pengelak Pelanggaran Titik Buta (BCA-R) kini ditawarkan sebagai opsyen untuk model dengan kotak gear DCT.

    Hyundai i30 N facelift ini akan berada pada pasaran Eropah bermula awal 2021, dan tarikh pelancaran serta harga akan diumumkan kemudian mengikut negara masing-masing.

     
     
  • Great Wall rancang labur RM2.9 bilion di Thailand

    Great Wall rancang labur RM2.9 bilion di Thailand

    Great Wall Motor ketika ini sedang mempergiatkan kehadiran jenama itu di pasaran Thailand, seperti dilaporkan oleh Bangkok Post. Pengeluar kereta dari China itu merancang untuk melabut 22 bilion baht (RM2.9 bilion) untuk memperluaskan perniagaannya di negara itu, dengan pemasangan tempatan dijangka bermula tahun depan.

    Syarikat itu kini sedang menaik taraf kilang pengeluarannya di Rayong yang diambil alih daripada GM awal tahun ini. Kerja-kerja naik taraf itu dijangka akan diselesaikan dalam suku keempat tahun ini. Syarikat itu akan mula menjual SUV dan trak pikap di sana bermula awal tahun hadapan, tetapi perancangan jangka panjangnya adalah untuk mengukuhkan posisi dalam segmen kenderaan elektrik (EV).

    Mereka tidak hanya akan mengeluarkan model-model dengan enjin konvensional, tetapi turut memberi perhatian terhadap teknologi elektrifikasi juga. Perancangannya adalah untuk memperkenalkan kenderaan hibrid dan kenderaan bateri elektrik kelak. Usaha ini disifatkan akan membuka sebanyak 3,435 pekerjaan untuk penduduk tempatan.

    Great Wall meneruskan pelaburannya di Thailand kerana dasar kerajaan di sana untuk mempromosi industri EV serta keadaan pasaran yang berpotensi di sana, termasuk juga di negara-negara ASEAN disekitarnya. Pengeluar itu akan menggunakan 45% kandungan tempatan dalam pengeluarannya tahun depan, dan kadar itu akan ditambah menjadi 90% menjelang 2025.

    Kilang di Thailand merupakan premis kilang ke-enam syarikat itu yang terletak di luar China, dan akan memperkukuhkan operasinya di pasaran ASEAN. Awal tahun ini, Great Wall turut bersetuju untuk membeli kilang GM di India.

     
     
  • Vespa Primavera [RED] melawan AIDS — RM19.5k

    Vespa Primavera [RED] melawan AIDS — RM19.5k

    Sebagai menyumbang kepada usaha melawan HIV/AIDS di peringkat global, 100 USD (RM416) daripada setiap pembelian Vespa Primavera [RED] akan disumbangkan untuk tujuan tersebut. Di Malaysia, model versi ini dijual pada harga RM19,500. [RED], yang dimulakan sejak tahun 2006, menyediakan bantuan perubatan HIV/AIDS selama 500 hari bagi penerimanya.

    Menggunakan asas yang sama dari model Primavera S 150, Primavera [RED] ini diberikan warna merah yang menyerlah dengan logo [RED] di bahagian depan. Selebihnya, kulit jenis nubuck digunakan untuk bahagian kerusi dengan warna merah juga, sama seperti yang pernah dilihat pada Vespa 946 – menjadikannya sedikit berbeza daripada model biasa.

    Dilengkapi enjin I-Get 155 cc sejukan udara, empat-lejang, silinder-tunggal dengan tiga-injap, Primavera [RED] ini menghasilkan 12.7 hp pada 7,750 rpm dan 12.8 Nm tork pada 6,500 rpm. Model ini menggunakan transmisi CVT dengan pacuan tali sawat ke roda belakang seperti skuter lazimnya.

    Suspensi depan adalah dari jenis penyerap hentak tunggal sementara di belakang juga menggunakan penyerap hentak tunggal dengan larasan pra-bebanan. Brek menggunakan kaliper jenis hidraulik dengan cakera 200 mm di depan, manakala di belakang menggunakan jenis brek dram. Roda 12-inci yang ada juga diwarnakan merah.

    Kapasiti tangki minyaknya ialah tujuh liter, dengan ketinggian tempat duduk 790 mm. Berat Primavera [RED] ini ialah 117 kg dengan laju maksimum yang boleh dicapai 95 km/j. Model Vespa paling asas di Malaysia, Sprint S 150 dijual pada harga RM16,900 sementara Primavera S 150 Sepcial Edition pada harga RM18,300.

     
     
  • Rapid KL pasang pengimbas kad debit di stesen LRT, transaksi guna kad ATM dilaksanakan tidak lama lagi

    Imej yang dikongsikan oleh pengguna Twitter @Orangsalji83 ini bagaikan mengesahkan pengguna tren Rapid KL tidak lama lagi boleh menggunakan kad ATM untuk transaksi pembayaran.

    Foto yang dirakamkannya di stesen LRT Wangsa Maju menunjukkan pengimbas kad MyDebit dan arahan penggunaannya untuk pengguna kad ATM, dipasang di stesen terbabit. Arahan yang terpapar “Sentuh kad ATM anda di mesin pengimbas” ini menunjukkan penggunaan kad kredit tidak dialu-alukan.

    Menurut laporan The Star, jurucakap Prasarana telah mengesahkan program pembayaran menggunakan kad ATM kini sedang dalam fasa pemasangan, dengan jadual pengujiannya bakal bermula hujung tahun ini. Selain LRT, Rapid KL juga mengendalikan tren MRT dan Monorel, serta perkhidmatan bas dalam bandar.

     
     
  • Shell Malaysia lancar minyak enjin Helix Professional

    Shell Malaysia lancar minyak enjin Helix Professional

    Shell Malaysia telah melancarkan siri minyak enjin baharu Shell Helix Profesional, yang dihasilkan khas untuk memenuhi keperluan servis OEM spesifik bagi berberapa jenama pengeluar kereta.

    Menurut Shell, minyak enjin Helix Proffesional ini akan membolehkan pusat servis rasmi dan bengkel-bengkel pakar satu-satu jenama kenderaan mendapatkan minyak enjin yang memenuhi spesifikasi sama yang diperlukan pengeluar untuk digunakan pada enjin-enjin keluaran mereka.

    “Dengan barisan minyak enjin baharu Shell Helix Professional, perniagaan-perniagaan ini kini boleh menggunakan minyak enjin tulen, berkualiti premium dengan prestasi yang telah terbukti dari jenama yang dipercayai dalam satu pakej servis bernilai istimewa,” kata Nyon Kam Yew, pengurus besar di Shell Lubricants untuk Malaysia dan Singapura.

    Siri Helix Professional ini dihasilkan dalam dua jenis spesifikasi iaitu Shell Helix Ultra Professional ABB 5W-40, dan juga Shell Helix HX7 Professional SN 5W-30. Dibangunkan untuk enjin petrol dan diesel berprestasi tinggi, Shell Helix Ultra Professional sintetik penuh tersebut diformulasikan dengan teknologi PurePlus dari Shell dan menampilkan minyak asas 99.5% asli yang diambil dari gas asli.

    Kedua-dua jenis minyak ini termasuk Shell Helix HX7 Professional SN 5W-30 semi-sintetik juga menampilkan Teknologi Pembersihan Aktif unik dari Shell bagi memastikan enjin anda bersih hampir seperti baru menerusi kebolehannya untuk bertahan terhadap degradasi fizikal dan kimia serta mencegah penghasilan deposit yang merosakkan prestasi, sambil memberikan perlindungan kehausan dan kakisan yang unggul, walaupun dalam keadaan operasi yang melampau.

    Baru-baru ini, BMW Malaysia menjadi jenama kereta premium pertama di Malaysia untuk berkerjasama dengan Shell, menggunakan Helix Ultra Professional ABB 5W-40 untuk menservis kenderaan, di mana minyak berkenaan adalah minyak yang spesifik dalam pakej servis minyak pelincir BMW.

    Pakej yang bernilai RM500 berkenaan ditawarkan sehingga 31 Disember 2020 nanti, dan boleh didapatkan dengan membuat tempahan temujanji di pengedar dan pusar servis bertauliah BMW.

     
     
  • Hyundai Kona dipertontonkan di Malaysia – tiga varian, 1.6 T-GDI, 7DCT, SmartSense, dari RM115k

    Hyundai Kona dipertontonkan di Malaysia – tiga varian, 1.6 T-GDI, 7DCT, SmartSense, dari RM115k

    Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) sedang mempertontonkan Hyundai Kona di pusat membeli-belah Sunway Pyramid, Petaling Jaya, sehingga Ahad ini. SUV segmen-B ini telah pun mula dibuka tempahannya sejak bulan lalu dan sedang menanti detik pelancarannya.

    Kami telah pun ke Sunway untuk melihat secara lebih dekat Kona yang dipamerkan. Nampak gayanya, ia merupakan unit yang sama yang pernah dipamerkan di KLIMS 2018, tapi dibaluti lapisan grafik yang funky. Warna asal bagi unit yang dipertontonkan ini ialah lime green iaitu warna signitur bagi Kona.

    Tiga varian dengan dua pilihan enjin akan ditawarkan – 2.0 Standard, 2.0 Mid dan spesifikasi tertinggi 1.6 T-GDI High. Model 2.0L didatangkan dengan enjin Nu MPI Atkinson naturally aspirated dengan 149 PS/179 Nm, dipadankan bersama kotak gear torque converter automatik enam-kelajuan.

    Hyundai Kona dipertontonkan di Malaysia – tiga varian, 1.6 T-GDI, 7DCT, SmartSense, dari RM115k

    Manakala unit 1.6 liter T-GDI turbo petrol empat-silinder mampu memberikan 177 PS dan tork 265 Nm, dipadankan dengan transmisi dwi-klac tujuh-kelajuan. Pecutan dari 0-100 km/j hanya mengambil masa 7.7 saat dan kelajuan maksimum mencapai 210 km/j. Barisan kona untuk pasaran tempatan ini adalah pacuan roda-hadapan.

    Ciri untuk model asas Standard termasuklah roda 17-inci dengan tayar 215/55, sementara varian Mid dan High pula menerima 235/35R18. Bagi keselamatan pasif pula termasuk enam beg udara untuk semua varian, dengan model 1.6 T-GDI menerima ciri tambahan keselamatan aktif Hyundai Smart Sense yang merangkumi bantuan mengelak pelanggaran hadapan (AEB), bantuan kekal lorong, amaran pelanggaran titik buta dan kawalan brek menurun bukit.

    Kelengkapan pencahayaan untuk varian 2.0 Standard bermula dengan lampu utama halogen dan lampu belakang gabungan mentol biasa, sementara varian 2.0 Mid menerima lampu utama LED bi-function projection-beam dengan lampu selekoh statik bersama lampu belakang kombinasi LED. Manakala varian 1.6 T-GDI High pula sama dengan larasan pencahayaan seperti varian Mid, tetapi dengan penambahan lampu tinggi pintar.

    Harganya bermula dari RM115,000 untuk model CBU yang diimport dari Korea Selatan, dan yuran tempahan hanyalah RM288. Kona memperhebatkan lagi jenama luar bagi pasaran SUV segmen-B, dan bakal bersaing dengan Honda HR-V, Mazda CX-3 dan Toyota C-HR, selain Proton X50.

    GALERI: Hyundai Kona yang dipertontonkan di Malaysia

     
     
  • Setel lancar ciri Deliver2Me – transaksi tanpa tunai untuk produk terpilih di kedai Mesra Petronas

    Setel lancar ciri Deliver2Me – transaksi tanpa tunai untuk produk terpilih di kedai Mesra Petronas

    Pembayaran tanpa tunai kini menjadi pilihan yang makin digemari di Malaysia. Justeru, Setel, platform e-pembayaran pertama di Malaysia yang membolehkan pembelian bahan api, untuk stesen Petronas, dilakukan secara langsung daripada telefon mudah alih, telah memperkenalkan pula ciri Deliver2Me.

    Menerusi Deliver2Me, pengguna Setel boleh membeli barangan terpilih di rangkaian Kedai Mesra yang mengambil bahagian dan menikmati penghantaran terus barangan tersebut ke kenderaan semasa mereka sedang mengisi petrol. Mensasarkan mereka yang kesibukan, Deliver2Me menawarkan pilihan yang mudah untuk berbelanja tanpa perlu meninggalkan keselesaan dan keselamatan kenderaan mereka.

    Manakala, bagi pengguna yang lebih gemar berbelanja di dalam kedai, Setel memperkenalkan sistem tanpa tunai untuk membayar barangan dengan mudah di 800 rangkaian Kedai Mesra yang mengambil bahagian menggunakan Setel Wallet.

    Ciri yang menerima permintaan tinggi ini membolehkan pembayaran barangan di Kedai Mesra dilakukan dengan sentuhan fizikal yang minimum sebagai ciri keselamatan tambahan menerusi Setel. Selain itu, pengguna bukan sahaja dapat memperoleh mata ganjaran Mesra, malah menebus mata ganjaran terus daripada aplikasi tersebut.

    “Di Setel, kami sentiasa berusaha keras dalam memberikan pengalaman yang menyenangkan dan lancar kepada pelanggan, bukan setakat dalam pembelian petrol sahaja. Sebagai contoh, pelanggan tidak perlu lagi beratur selepas selesai mengisi petrol untuk mendapatkan secawan kopi dan sebungkus nasi lemak dengan menggunakan Deliver2Me,” kata Iskandar Ezzahuddin, Ketua Pegawai Eksekutif Setel.

    Buat masa ini, Deliver2Me boleh digunakan di enam stesen Petronas yang mengambil bahagian di Lembah Klang dan akan diperluaskan secara berperingkat ke semua stesen yang menggunakan Setel di seluruh negara bermula pada suku pertama 2021.

    Setel boleh digunakan di lebih 900 stesen Petronas di seluruh negara dan percuma buat pengguna iOS serta Android melalui muat turun di Apple Store, Google Play Store dan Huawei AppGallery.

     
     
  • Volkswagen ID.4 diperkenalkan – SUV elektrik 204 PS

    Volkswagen ID.4 diperkenalkan – SUV elektrik 204 PS

    Setahun selepas hatchback ID.3 dilancarkan untuk pasaran, kini Volkswagen memperkenalkan model ID kedua yang sudah sedia memasuki fasa produksi iaitu ID.4. Ia adalah sebuah SUV, tetapi masih menggunakan platform modular electric drive matrix (MEB) yang sama.

    Semasa pelancaran, ID.4 diperkenalkan dengan motor elektrik yang mampu menghasilkan 204 PS – sama seperti ID.3 – dan ia terletak di gandar belakang. Bateri pula adalah unit 77 kWh yang boleh memberikan jarak gerak sehingga 520 km mengikut ujian WLTP. Padanan ini juga membolehkan ID.4 memecut 0-100 km/j dalam masa 8.5 saat dan mencecah kelajuan maksimum 160 km/j.

    Varian ID.4 yang diperkenalkan semasa pelancaran ini nanti akan ditambah dengan satu lagi varian yang mendapat tambahan motor elektrik 102 PS dan 104 Nm pada gandar hadapan, untuk menjadikan kuasa keseluruhan 306 PS. Menurut Volkswagen, jika menggunakan pengecas pantas DC, ID.4 boleh dicas pada kadar sehingga 125 kW dan setelah 30 minit, ia dapat memberi jarak gerak 320 km.

    ID.4 boleh dicas menggunakan pengecas AC dan DC. Sekiranya menggunakan pengecas 11 kW yang diberi, baterinya boleh memberi jarak gerak 53 km bagi setiap jam pengecasan dan boleh mencapai tahap penuh selepas 7.5 jam menggunakan soket 240 V AC di rumah.

    Untuk penampilan, SUV elektrik ini menggunakan rekaan yang bersih dan kemas, dengan lampu utama hadapan dan belakang adalah unit LED bagi versi asas dan LED matriks IQ. Light untuk varian yang lebih tinggi. Rim pula adalah unit 21 inci. Pada bahagian dalam, ia menyediakan ruang barangan di belakang 543 liter dengan tempat duduk masih lagi tegak, dan apabila dibaringkan, ia boleh menjadi sehingga 1,574 liter.

    Bagi pasaran Amerika Syarikat, ID.4 dijual pada harga $32,500 (RM135,412) setelah ditolak dengan kredit khas kenderaan elektrik dan apabila pengeluarannya dimulakan di Chattanooga, Tennessee, harganya akan diturunkan lagi kepada $27,500 (RM114,579).

     
     
  • AD: Tawaran istimewa Ford Ranger hingga Disember — nikmati dua tahun servis percuma atau rebat tunai

    AD: Tawaran istimewa Ford Ranger hingga Disember — nikmati dua tahun servis percuma atau rebat tunai

    Miliki Ford Ranger sekarang. Sime Darby Auto Connexion – Ford memberikan tawaran istimewa bagi trak pikap model Ranger Raptor, Wildtrak dan XLT Plus. Anda akan menikmati pilihan antara penyelenggaraan percuma selama dua tahun, bersamaan empat kali servis percuma (atau sehingga 40,000 km, yang mana dahulu), atau rebat tunai bernilai RM2,000. Kedua-dua pilihan ini menyumbang kepada lebih penjimatan dan kos pemilikan yang rendah.

    Jika anda pilih Ranger XLT atau XL, rebat tunai yang menanti adalah lebih besar, dengan nilai sehingga RM7,000 bagi setiap model berkenaan. Promosi berlangsung sekarang hingga bulan Disember.

    Dengan penawaran yang ada ini, tentu ada Ranger yang akan menepati keperluan setiap orang. Jika lebih berminat dengan pikap yang sarat prestasi dan premium, semua itu ada pada Ranger Raptor, yang kini turut dilengkapi dengan fungsi bantuan memandu seperti amaran perlanggaran hadapan, brek kecemasan autonomi serta amaran pertukaran lorong – senarai ciri keselamatan yang tersedia sememangnya komprehensif.

    AD: Tawaran istimewa Ford Ranger hingga Disember — nikmati dua tahun servis percuma atau rebat tunai

    Bagi mereka yang lebih gemarkan kelasakan, model WildTrak yang ranggi sentiasa ada untuk anda, juga lengkap dengan ciri-ciri keselamatan serta tambahan spesifikasi lain seperti fungsi parkir mengiring semi-automatik serta kawalan melayar adaptif yang akan memudahkan lagi pengalaman pemandu.

    Sementara itu, XLT pula lebih terbuka untuk disesuaikan dengan penggunaan yang pelbagai, lebih daripada mencukupi untuk dijadikan kenderaan harian dan juga untuk bekerja. Bagi XL pula, ia lebih asas dan bertujuan untuk membantu anda menyelesaikan apa saja tugasan perniagaan yang mungkin ada.

    Jadi, jangan ketinggalan untuk berkunjung ke bilik pameran Ford berdekatan anda untuk mengetahui lebih lanjut tentang tawaran istimewa trak pikap ini. Maklumat lanjut berkaitan kempen ini ada di sini.

     
     
  • Toyota Hilux 2020 — harga rasmi untuk M’sia diumum; lima varian ditawarkan, harga dari RM93k-RM147k

    Toyota Hilux 2020 — harga rasmi untuk M’sia diumum; lima varian ditawarkan, harga dari RM93k-RM147k

    Toyota Hilux 2020 akan diperkenalkan secara rasmi untuk pasaran tempatan tidak lama lagi. Tetapi, UMW Toyota Motor Sdn Bhd kini terlebih dahulu mengumumkan senarai harga jualan bagi barisan trak pikap terbaru berkenaan, yang ditawarkan dalam lima varian keseluruhannya.

    Tambahan terbaru kepada barisan penawaran kali ini ialah Hilux Double Cab 2.4 E A/T (RM180,880). Varian Hilux Double Cab 2.8 Rogue A/T (RM146,880) pula menggantikan Hilux Double Cab 2.8 Black Edition yang dijual ketika ini, sementara Hilux Double Cab 2.4 V A/T (RM133,880) terbaru merupakan naik taraf daripada versi Double Cab 2.4 G A/T yang ada ketika ini (versi L-Edition tidak akan ditawarkan lagi).

    Bagi yang lebih selesa dengan kotak gear manual, varian Hilux Double 2.4 G (RM111,880) dan Hilux Single Cab 2.4 (RM92,880) masih akan ditawarkan. Semua harga yang dinyatakan ini ialah bagi pemilikan persendirian di Semenanjung Malaysia.

    Toyota Hilux 2020 — harga rasmi untuk M’sia diumum; lima varian ditawarkan, harga dari RM93k-RM147k

    Pelanggan boleh memilih dari tujuh pilihan warna luaran untuk semua Toyota Hilux 2020 ini. Ini terdiri daripada warna Bronze Mica Metallic (warna baru), Crimson Spark Red Metallic, Attitude Black Mica, Phantom Brown Metallic, Medium Silver Metallic, Silver Metallic dan Super White II. Hilux Single Cab hanya hadir dalam warna Solid White sahaja.

    Selain penampilan luaran yang lebih diperbaharui yang menjadikan imej Hilux baru ini lebih tegap dan lasak, turut diberikan ialah kemaskini di bahagian dalaman serta peningkatan prestasinya. Walaupun Hilux generasi ke-8 sudah mencapai penarafan lima-bintang bagi ujian ASEAN NCAP, versi terbaru ini terus menerima peningkatan dengan pertambahan sistem Toyota Safety Sense (bagi Hilux 2.8 Rogue).

    Toyota Hilux 2020 telah dibuka untuk tempahan awal kepada mereka yang berminat. Mereka yang berminat boleh berkunjung ke semua bilik pameran Toyota di seluruh negara untuk berbuat demikian.

     
     
  • Proton X50 – Volvo dan Geely jelaskan mengapa mereka hasilkan enjin lebih kecil dengan 3-silinder

    Proton X50 – Volvo dan Geely jelaskan mengapa mereka hasilkan enjin lebih kecil dengan 3-silinder

    Seperti yang diketahui sebelum ini, Proton X50 dalam tiga varian lebih rendah iaitu Standard, Executive dan Premium akan menerima enjin yang sedikit berbeza dari versi tertinggi Flagship. Secara asasnya, kedua-dua enjin berkenaan adalah sama, yang berbeza adalah pada sistem suntikan bahan api – model lebih rendah diberikan sistem suntikan bahan api pelbagai titik (multipoint injection/MPI atau port fuel injection/PFI), manakala varian Flagship menerima sistem suntikan terus (GDI) yang lebih berkuasa.

    Untuk enjin 1.5L Turbo GDI, enjin ini sudah pun digunakan pada versi asal X50 iaitu Geely Binyue/Geely Coolray. Namun bagi enjin 1.5L Turbo MPI, X50 adalah model pertama dalam kumpulan Geely yang menggunakannya. Oleh itu, selepas Proton X50 diperkenalkan minggu lalu, Geely sekali lagi memperincikan barisan enjin 1.5L turbo tiga-silinder ini termasuk varian terbaharu yang diproduksi tersebut, menerusi temuramah bersama Dr. Håkan Sandquist, pengarah strategi trenkuasa Geely di China Euro Vehicle Technology (CEVT)

    Menurutnya, enjin 1.5 liter tiga-silinder ini dibangunkan sekali dengan enjin Volvo 2.0 liter empat silinder Drive-E yang kini digunakan hampir pada semua model-model Volvo. Kedua-dua enjin tersebut adalah keluarga Volvo Engine Architecture (VEA) yang mula dibangunkan pada 2010, sejurus selepas Volvo menyertai Geely, bagi menggantikan barisan enjin lima-silinder Volvo yang telah digunakan sejak era 90’an.

    Proton X50 – Volvo dan Geely jelaskan mengapa mereka hasilkan enjin lebih kecil dengan 3-silinder

    Enjin ini dibangunkan di tiga tempat iaitu pusat R&D Volvo di Gothenburg, Sweden, CEVT juga di Gothenburg, dan Institut Penyelidikan Geely di China. Selain dari versi MPI dan T-GDI ini, enjin berkenaan turut dihasilkan dalam versi Kitaran Miller yang lebih ditumpukan dalam aspek emisi lebih baik untuk dipadankan dengan teknologi elektrikfikasi.

    Dr. Håkan Sandquist menyatakan Volvo beralih untuk menghasilkan enjin yang lebih kecil ini atas berberapa sebab. Pertama, enjin dengan kapasiti lebih kecil sekiranya dibekalkan dengan pelbagai teknologi moden (pengecas turbo misalnya) adalah lebih efisien dan mampu membekalkan kuasa yang sama dengan enjin berkapasiti lebih besar.

    Untuk model-model kompak seperti X50 ini, enjin tiga-silinder adalah sempurna atas berberapa sebab: saiz yang kecil membolehkan sistem hibrid dipadankan dan membolehkan pereka lebih bebas dengan rekaan mereka; enjin yang lebih ringan mengurangkan beban keseluruhan seterusnya memberikan penggunaan bahan api lebih baik serta memudahkan agihan berat seimbang 50:50 di capai untuk model pacuan hadapan, bagi mendapatkan prestasi pemanduan lebih baik.

    Proton X50 – Volvo dan Geely jelaskan mengapa mereka hasilkan enjin lebih kecil dengan 3-silinder

    Pasti ramai gusar, adakah enjin dengan jumlah silinder dalam angka ganjil ini akan bergegar seperti enjin tiga-silinder lain? Menurut Dr. Sandquist, ini bukan masalah besar buat Volvo kerana jenama dari Sweden berkenaan sudah lama terkenal dengan enjin lima-silinder yang juga dengan jumlah omboh ganjil, dihasilkan untuk model-model premium – lihat sahaja bagaimana prestasi enjin T5 sebelum ini.

    Untuk enjin 1.5L tiga-silinder ini, Volvo dan Geely telah memberikan pelbagai teknologi agar ia kekal stabil tidak seperti enjin tiga-silinder lain. Antara teknologi yang telah dipadankan termasuk aci engkol dengan penstabil berat (counterweight), roda tenaga jenis dual mass bersama penyerap hentak centrifugal pendulum dan syaf pengimbang tunggal.

    Enjin ini juga dihasilkan dengan kadar NVH yang sama atau lebih baik dari sebahagian enjin-enjin empat silinder dengan pemadanan teknologi seperti timing belt bunyi rendah, takung minyak enjin berketegaran tinggi, impeller pam minyak pelincir tidak simetri, serta penyerap getaran yang mampu menyerap getaran enjin dari dirasakan oleh pemandu dan penumpang dalam kabin.

    Proton X50 – Volvo dan Geely jelaskan mengapa mereka hasilkan enjin lebih kecil dengan 3-silinder

    Dari segi kuasa pula, Volvo dan Geely menyatakan teknologi-teknologi yang mereka ada sekarang berada pada tahap yang cukup matang. Antara teknologi-teknologi tersebut termasuk pengecas turbo inersia rendah, sistem pemasaan injap bervarisi berterusan, sistem pengurusan suhu pintar, aci sesondol geseran rendah dan pelbagai lagi yang membolehkan enjin kecil menghasilkan kuasa seakan sebuah enjin V6.

    Turbo inersia rendah pada enjin 1.5L ini juga mampu menghasilkan respon yang tinggi, dengan turbo-lag yang dapat dikurangkan, dalam masa yang sama membolehkan enjin ini bertahan ketika dipandu dalam kelajuan lebih tinggi. Ia juga ditala dengan penghantaran kuasa yang linear, bagi membolehkan pemandu merasakan ia seolah-olah sebuah enjin NA berkapasiti tinggi.

    Dr. Sandquist menyatakan bahawa semua enjin VEA adalah dihasilkan agar ia mudah untuk dipadankan dengan pelbagai kombinasi pengecas turbo, supercharger dan sistem elektrik, bagi membolehkan Volvo dan Geely menawarkan pelbagai tahap kuasa dengan asas enjin dalam keluarga yang sama. Misalnya ia turut boleh ditemui pada Volvo XC40 T3 dengan enjin 1.5 liter turbo berkuasa 156 hp/265 Nm, dan juga T5 Twin Engine dengan sistem hibrid PHEV juga pada XC40 menghasilkan 262 hp.

    Untuk barisan enjin yang akan digunakan oleh model-model Geely dan Proton dalam segmen lebih rendah, seperti yang disebutkan tadi ia datang dalam tiga versi iaitu 1.5L Turbo MPI/PFI, 1.5L T-GDI dan juga 1.5L kitaran Miller. Ketiga-tiga enjin ini berkongsi asas yang sama iaitu dengan ukuran bore 82 mm dan strok 93.2 mm bagi menghasilkan kapasiti keseluruhan 1,477 cc.

    Untuk enjin 1.5L Turbo MPI pada Proton X50, walaupun ia digunakan buat pertama kali menerusi Proton, ia bukan bermakna pasaran Malaysia akan menjadi ‘tikus makmal’ untuk enjin tersebut. Ia sememangnya telah dibangunkan bersama enjin T-GDI, dengan standard kualiti global yang sama, dan turut akan digunakan Geely pada pasaran lain yang bersesuaian.

    Enjin turbo MPI ini direka bagi memberikan nisbah mampatan 10:1, dan kali ini Geely menyatakan secara spesifik berkenaan jumlah kuasa yang dihasilkan untuk X50 varian lebih rendah tersebut iaitu 150 PS (110 kW) pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 226 Nm yang boleh dicapai pada takat rpm serendah 1,500 rpm hingga 4,000 rpm.

    Proton X50 – Volvo dan Geely jelaskan mengapa mereka hasilkan enjin lebih kecil dengan 3-silinder

    Untuk enjin 1.5L T-GDI pada X50 Flagship dan Geely Binyue/Coolray, dengan suntikan bahan api terus diberikan pada kebuk pembakaran, nisbah mampatan enjin ini berada pada kadar lebih tinggi iaitu 10.5:1.

    Apa yang menarik dalam pendedahan Geely kali ini, angka kuasa 177 PS dan tork maksima 255 Nm yang diumumkan sebelum ini adalah bacaan sekiranya enjin tersebut menggunakan petrol RON92. Jika anda menggunakan RON 95, enjin ini sebenarnya mampu untuk mencapai kuasa 179 PS (132 kW) pada takat 5,500 rpm!

    Menurut Geely lagi, enjin 1.5 T-GDI ini juga sememangnya turut dihasilkan bagi membolehkan ia terus dipadankan dengan teknologi elektrifikasi seperti sistem hibrid ringkas 48V, sistem hibrid konvensional dan juga hibrid plug-in (PHEV).

    Proton X50 – Volvo dan Geely jelaskan mengapa mereka hasilkan enjin lebih kecil dengan 3-silinder

    Untuk enjin turbo 1.5L Miller pula, ia diberikan sistem suntikan MPI dan dihasilkan memang khusus untuk kegunaan bagi digandingkan dengan sistem hibrid elektrik. Jadi penghasilan kuasa dari enjin ini adalah menjadi perkara nombor dua, dan sistem injap bervariasi istimewa pada kepala silinder membolehkan ia beroperasi dengan Kitaran Miller bagi menghasilkan pembakaran yang lebih efisien.

    Oleh itu, ia menghasilkan nisbah mampatan lebih tinggi pada kadar 11.5:1, dengan janaan kuasa hanya 143 PS (105 kW) pada takat 5,500 rpm, dan tork maksima 215 Nm bermula 2,500 rpm hingga 4,000 rpm. Walau bagaimanapun, kekurangan kuasa dari enjin petrol ini akan ditampung dengan sistem hibrid elektrik bagi membolehkan prestasinya berada pada kadar setara dengan versi petrol sepenuhnya.

    Geely turut berkongi kadar bacaan minima Brake Specific Fuel Consumption (BSFC) untuk ketiga-tiga enjin ini iaitu, 238 g/kWj untuk 1.5 MPI, 232 g/kWj untuk 1.5 T-GDI, dan 220 g/kWj untuk 1.5T Miller PFI. Bacaan BSFC ini digunakan untuk membandingkan kadar efisien untuk enjin pembakaran dalaman – lebih rendah angka yang dihasilkan adalah lebih baik.

    Proton X50 – Volvo dan Geely jelaskan mengapa mereka hasilkan enjin lebih kecil dengan 3-silinder

    Dr. Sandquist turut menyatakan barisan enjin 1.5L turbo ini bukan hanya dihasilkan untuk penggunaan pada masa sekarang sahaja. Sebaliknya ia memang dibangunkan dengan aspek kemampanan di mana ia berpotensi untuk melepasi ujian emisi Euro 7 pada masa hadapan, serta sasaran CO2 global melangkaui standard pada 2030.

    Enjin ini juga telah dihasilkan serta diuji oleh Volvo dan Geely bagi membolehkan ia bertahan sehingga 15 tahun atau perjalanan dalam jarak 350,000 km, jauh mengatasi standard industri yang ditetapkan pada jangka masa 10 tahun atau jarak perbatuan 200,000 km.

    Ia tidak dihasilkan hanya pada satu kilang, sebaliknya turut diproduksi oleh kilang-kilang trenkuasa di bawah payung kumpulan Geely yang lain di seluruh dunia menggunakan sistem Volvo Global Manufacturing, serta berkongsi 90% pembekal yang sama juga dari seluruh dunia menerusi sistem perolehan bersama global Geely.

    Proton X50 telah pun didedahkan pada 15 September lalu, dan tempahannya juga telah mula dibuka pada hari berikutnya. Walau bagaimanapun, ia masih belum dilancarkan secara rasmi, oleh itu harganya juga masih lagi belum diumumkan. Untuk perincian lengkap lain bagi SUV segmen-B dari Proton yang bakal berhadapan terus dengan Honda HR-V ini, anda boleh baca artikel-artikel lain yang telah kami tulis di bawah:

  • Proton X50 ditunjuk secara rasmi – tempahan dibuka, TGDi 1.5L 3-silinder, ciri semi autonomous Tahap 2
  • Proton X50 2020: Perbezaan spesifikasi bagi setiap varian — Standard, Executive, Premium dan Flagship
  • Carta warna Proton X50 didedahkan – 6 warna, merah ‘Passion Red’ hanya untuk Premium dan Flagship
  • Proton X50 – kadar penggunaan bahan api didedah; 6.4 L setiap 100km untuk 1.5L 3-silinder Turbo GDI
  • Proton X50 ditala untuk keadaan jalan di Malaysia, ujian penuh libatkan 1.9 juta kilometer, 75,000 jam
  • GALERI: Pilihan warna Proton X50 2020

    Proton X50 1.5 TGDi Flagship 2020

    Gambar rasmi Proton X50

     
     
  • Honda Super Cub serba baru diperkenal di Thailand – enjin dan kerangka dinaik taraf, harga dari RM6.2k

    Honda Super Cub serba baru diperkenal di Thailand – enjin dan kerangka dinaik taraf, harga dari RM6.2k

    Pengedar motosikal Honda di Thailand telah memperkenalkan Super Cub 2020, yang juga dipanggil sebagai sebuah model serba baru. Meskipun luarannya nampak sama sahaja seperti Super Cub yang pernah dilancarkan sebelum ini, ia sebenarnya mempunyai beberapa naik taraf yang tersembunyi.

    Pertamanya, kerangka motosikal ini dijadikan lebih ringan tetapi juga lebih kuat dan tegap, seterusnya menjadi penyumbang kepada berat keseluruhan yang kini 3 kg lebih ringan (98 kg). Bentuk serta panel badan masih sama, tetapi menggunakan pilihan warna yang berbeza.

    Naik taraf utama yang seterusnya adalah enjin. Kapasiti unit satu silinder SOHC dengan suntikan bahan PGM-Fi dan penyejukan udara ini ditingkatkan kepada 109.5 cc (sebelum ini 109.17 cc) dan nisbah mampatannya juga dijadikan lebih tinggi iaitu 10.0:1 berbanding sebelum ini 9.3:1. Ini tentunya menjadikan kuasa lebih tinggi sementara transmisi masih lagi unit empat kelajuan yang sama (nisbah gear diubah sedikit).

    Panel meter dinaik taraf dengan unit yang menggabungkan paparan analog serta skrin LCD sementara suspensi pula, walaupun masih menggunakan tetapan yang sama, bahagian dalamnya telah dinaik taraf untuk memberikan tunggangan yang lebih selesa.

    Selain daripada itu, kebanyakan bahagian adalah sama seperti sebelum ini termasuk brek dram depan dan belakang, kapasiti tangki bahan api 4.2 liter, rim 17 inci dengan 70/90 di hadapan dan 80/90 di belakang, serta rim jenis jejari.

    Honda Super Cub serba baru ini dijual di Thailand pada harga 47,400 baht (RM6,243) untuk versi standard dan pelanggan diberikan pilihan pelbagai jenis aksesori untuk menjadikan motosikal ini sesuai dengan kegunaan mereka.

     
     
  • Lynk & Co Zero Concept pamer rekaan EV SUV-coupe

    Lynk & Co Zero Concept pamer rekaan EV SUV-coupe

    Lynk & Co telah mendedahkan model Zero Concept, yang akan membuat penampilan sulungnya ketika Beijing Motor Show bulan ini. Direka di studio syarikat itu di Gothenburg, ia mempamerkan sebuah rekaan SUV sporty dengan sentuhan coupe – ia adalah petunjuk kepada kenderaan produksi yang bakal dihasilkan oleh syarikat itu untuk tahun depan.

    Zero Concept akan menjadi kenderaan pertama yang menggunakan platform Sustainable Experience Architecture (SEA). Platform terkini yang baru diumumkan itu tidak hanya akan menyediakan asas bagi semua kenderaan EV yang bakal dikeluarkan oleh Geely, sebaliknya adalah untuk dimanfaatkan oleh semua pengeluar kenderaan lain juga. Syarikat itu merancang untuk berkongsi platform berkenaan dengan pengeluar lain untuk membantu merancakkan lagi pembangunan kenderaan EV mereka.

    Lynk & Co Zero Concept pamer rekaan EV SUV-coupe

    Bagaimanapun, Lynk & Co masih belum menyediakan perincian teknikal bagi kereta konsep ini lagi, yang memiliki jarak antara roda di bawah 3,000 mm. Versi produksinya nanti disifatkan akan jadi pantas, dengan angka di bawah 4 saat bagi pecutan 0-100 km/j. Jarak yang boleh ditempuh pula disasarkan sekitar 700 km, berdasarkan kitara ujian NEDC.

    Lain-lain kelengkapannya termasuklah kemaskini Over the Air (OTA) sepanjang hayat, yang memanfaatkan teknologi kepintaran buatan dengan sokongan penuh arahan suara. Unit contoh ini juga meneroka penggunaan bahan kitar semula dengan teknologi tinggi, yang mungkin akan turut diguna pakai pada versi sebenar yang dikeluarkan nanti.

     
     
  • Range Rover Velar 2021 dipertingkatkan gaya, varian P400e plug-in hybrid baharu dengan jarak EV 53 km

    Range Rover Velar 2021 dipertingkatkan gaya, varian P400e plug-in hybrid baharu dengan jarak EV 53 km

    Range Rover Velar telah pun menerima beberapa peningkatan untuk model tahun 2021, dengan perubahan yang lebih signifikan bagi barisan penjana kuasa dan juga senarai teknologi yang ditampilkan. Tempahannya telah pun bermula di United Kingdom, harga yang ditawarkan dari 46,110 pound sterling (RM243,747).

    Velar 2021 ini didatangkan dengan varian plug-in hybrid baharu yang dipanggil P400e. Ia dipadankan dengan enjin 2.0 liter Ingenium pengecas turbo empat-silinder petrol yang mampu menghamburkan kuasa hingga 300 PS dan tork 400 Nm, dengan gabungan transmisi automatik lapan-kelajuan.

    Motor elektrik yang ditampilkan juga boleh memberi kuasa hingga 143 PS (1-5 kW) dan 275 Nm, bersama belt-integrated starter generator (BISG), yang menjadi sebahagian daripada sistem, dan mampu menghamburkan keseluruhan kuasa mencecxah 404 PS dan 640 Nm. Menurut Land Rover, P400e hanya mengambil masa 5.4 saat untuk pecutan dari sifar ke 100 km/j, tetapi soal penjimatannya yang lebih penting, di mana penggunaan bahan apinya didakwa sekitar 2.2 l/100 km (45.4 km/l) sementara pelepasan emisi CO2 pula lebih kurang 49 g/km.

    Bateri lithium-ion 17.1 kWh yang memberikan kuasa kepada motor elektrik itu ditempatkan di lantai but, yang mampu menjana enjin sehingga jarak 53 km dalam pacuan elektrik sahaja. P400e turut didatangkan dengan pengecas onboard AC tujuh-kW, dan apabila ia disambung ke wallbox domestik atau pengecas awam – anggaran tujuh kW atau lebih tinggi – menerusi sambungan Type 2, ia akan mengambil masa sejam 40 minit untuk pengecasan 0-80%.

    Range Rover Velar 2021 dipertingkatkan gaya, varian P400e plug-in hybrid baharu dengan jarak EV 53 km

    PHEV ini juga boleh menggunakan pengecasan pantas DC dengan mampu mengecas sehingga 32 kW dengan penggunaan penyambung CCS, di mana pengecasan 0-80% sekitar 30 minit. Untuk yang tidak mahu varian PHEV, Land Rover turut menawarkan model Velar dengan pilihan enjin 3.0 liter Ingenium pengecas turbo enam-silinder petrol atau diesel, dengan teknologi hibrid sederhana 48-voltan.

    Bagi penjana kuasa petrol, varian P340 mampu menghamburkan 340 PS dan 480 Nm, dengan pecutan 0-100 km/j dalam 6.3 saat. Sementara P400 pula dengan lonjakan kuasa hingga 400 PS dan 550 Nm dan pecutan 0-100 km/j dalam 5.5 saat.

    Manakala penjana kuasa diesel, D300, mampu memberikan 300 PS dan 650 NM, tetapi agak perlahan pecutan 0-100 km/j iaitu sekitar 6.5 saat. Land Rover berkata, penjana kuasa Ingenium empat-silinder yang lebih kecil akan diperkenalkan untuk Velar dengan varian D200, di mana ia masih menerima teknologi hibrid sederhana yang sama. Kesemua enjin dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan dan pacuan empat-roda.

    Untuk bahagian dalamnya, Velar menerima sistem infotainmen Pivi dan Pivi Pro baharu seperti yang digunakan pada Jaguar F-Pace. Perkakasan dwi-skrin ini masih dikekalkan, namun grafiknya diberi penambahbaikan yang lebih signifikan dan perisian baharu juga ditampilkan bagi pengalaman penggunaan yang lebih baik, dengan respon yang juga dipertingkatkan hasil penggunaan Electrical Vehicle Architecture (EVA 2.0) ciptaan Jaguar Land Rover yang baharu.

    Range Rover Velar 2021 dipertingkatkan gaya, varian P400e plug-in hybrid baharu dengan jarak EV 53 km

    Seperti kebanyakan sistem infotainment yang lain, terdapat beberapa servis ketersambungan yang diberikan. Selain itu, Velar turut menerima Active Road Noise Cancellation untuk suasana kabin yang lebih tenang, sementara sistem penapisan udara dengan air ionisation sedia ada menampilkan penapis zarah PM2.5 untuk penumpang menikmati udara yang lebih segar di dalam kabin.

    Land Rover turut menawarkan Activity Key generasi kedua, di mana ia juga bersifat water-resistant dan shock-proof, dan kini disambung ke peranti LCD. Ia digunakan bagi menggantikan key fob standard sekiranya diperlukan, apabila anda melakukan aktiviti outdoor seperti berkayak atau mendaki.

    Lain-lain perubahan yang kelihatan termasuklah rekaan roda stereng yang lebih elegan dengan bahagian tengah yang lebih kecil dan juga butang sesentuh yang disemak semula, bersama pemilih gear yang lebih bergaya yang digunakan berbanding unit rotary dial yang ditampilkan pada model Velar terdahulu.

     
     
  • Pembuat pengecas turbo Garrett failkan bankrap akibat Covid-19 dan liabiliti bekas syarikat induk

    Pembuat pengecas turbo Garrett failkan bankrap akibat Covid-19 dan liabiliti bekas syarikat induk

    Pembekal komponen automotif khususnya pengecas turbo, Garrett Motion mengumumkan bahawa ia sudahpun memfailkan perlindungan bankrupsi Bab 11 kepada Mahkamah Bankrupsi Amerika Syarikat untuk Daerah Selatan New York minggu ini, kerana sedang terjejas dengan hutang akibat pandemik Covid-19, serta pertikaian dengan bekas syarikat induknya, Honeywell atas liabiliti asbestos.

    Garrett kini dimasukkan ke dalam perjanjian pembelian ‘stalking horse‘ oleh firma ekuiti swasta KPS Capital Partners dengan harga US$2.1 bilion (RM8.74 bilion). Perjanjian ini menunjukkan bahawa sebarang tawaran lain yang masuk mestilah lebih tinggi daripada tawaran yang dibuat oleh KPS, dan tertakluk kepada persetujuan mahkamah, lapor Automotive News.

    Laporan tersebut turut menyebut bahawa Garrett Motion meminta persetujuan mahkamah untuk kemudahan pembiayaan peminjam-pemilikan berjumlah $250 juta (RM1.04 bilion), dan pembekal komponen automotif berkenaan dijangka akan terus beroperasi tanpa ganguan sepanjang proses penstruktruan semula organisasi tersebut. Berdasarkan laporan tahunan Garrett, Ford merupakan pelanggan terbesar mereka yang menyumbang 12% dari jumlah keseluruhan jualan.

    Masalah dalam syarikat tersebut turut diburukkan lagi dengan mewarisi liabiliti oleh bekas syarikat induknya iaitu Honeywell yang dikaitkan dengan tuntutan pendedahan asbestos, tulis laporan itu lagi. “Tekanan kewangan dari beban hutang dan liabiliti berat yang kami tanggung ketika pemisahan dari Honeywell – semuanya diperburuk oleh Covid-19 – telah menimbulkan beban jangka panjang signifikant bagi perniagaan kami,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Garrett, Olivier Rabiller dalam satu kenyataan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025