Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Yamaha akan lancar model baru untuk pasaran Malaysia bulan hadapan – MT-15, MT-25 atau NMax?

    Yamaha akan lancar model baru untuk pasaran Malaysia bulan hadapan – MT-15, MT-25 atau NMax?

    Hari ini kami telah menerima jemputan untuk satu majlis pelancaran oleh Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) yang akan diadakan pada pertengahan bulan hadapan. Setelah sekian lama industri terhenti seketika akibat pandemik Covid 19 dan tiada sebarang pelancaran model baru, ini mestinya adalah satu berita yang mengujakan.

    Namun persoalannya, model apakah yang akan dilancar oleh HLYM ini? Kalau dilihat negara jiran, memang ada beberapa model yang masih belum tiba di Malaysia, tapi apabila melihat kesesuaiannya dengan pasaran negara kita, kami mengeluarkan jangkaan ia sama ada NMax baru, MT-15 ataupun MT-25.

    Walaubagaimanapun, kami beranggapan MT-15 dan MT-25 adalah calon yang lebih berpotensi untuk dilancarkan waktu acara ini kerana ia sudah pernah dilihat diuji atas jalan di Malaysia, sementara NMax baru pula masih belum ada yang terjumpa dengannya di Malaysia atau tersebar atas talian.

    Gambar spyshot model MT kecil ini sudah mula tersebar tahun lepas lagi, namun ia tidak dapat dipastikan sama ada MT-15 atau MT-25 kerana cuma menampakkan bahagian belakang – untuk kedua-dua model, bentuk bahagian itu hampir sama.

    HLYM juga memang sudah diketahui biasa melakukan ujian terlebih dahulu bagi model baru, termasuk atas jalan raya awam untuk menyesuaikannya dengan pasaran kita. Selang tempoh masa yang diambil antara waktu ujian hinggalah pelancaran pula adalah sekitar enam bulan hingga satu tahun.

    Yamaha MT-15 menggunakan enjin satu silinder 155 cc VVA bersama transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 19 hp pada 10,000 rpm dan 14.7 Nm tork pada 8,500 rpm. MT-25 pula menggunakan enjin dua silinder selari DOHC dan transmisi enam kelajuan untuk menghasilkan kuasa 35.5 hp pada 12,000 rpm dan 14.7 Nm tork pada 8,500 rpm.

    GALERI: Yamaha MT-15 pasaran Indonesia

    GALERI: Yamaha MT-25 pasaran Indonesia

     
     
  • Kereta polis Proton X70 sudah mula siap untuk tugas

    Kereta polis Proton X70 sudah mula siap untuk tugas

    Pada bulan Jun yang lalu, kami telah mengeluarkan laporan yang memberitahu Proton X70 dipilih untuk menyertai barisan kenderaan baru Polis DiRaja Malaysia (PDRM), bersama Honda Civic. Daripada 1,275 unit kenderaan baru itu, 197 adalah SUV jenama nasional berkenaan.

    Kini, gambar X70 baru PDRM tersebut sudah mula tersebar dalam internet dan dikongsi oleh jurujual Proton, Amirul Anwar Rosli. Sama seperti Civic PDRM yang ditunjukkan sebelum ini, kereta tersebut menggunakan varian paling asas iaitu Standard 2WD.

    Grafik yang digunakan juga sama dengan Civic PDRM, termasuk jalur biru dan merah atas bonet, jalur biru dan kuning dari pintu belakang, tulisan POLIS atas bonet dan pintu hadapan, dan akhir sekali tentunya lampu biru di atas.

    Kereta polis Proton X70 sudah mula siap untuk tugas

    Kedua-dua X70 dan Civic baru PDRM ini diambil untuk memperbaharui barisan kenderaan PDRM, dan menggantikan Waja yang sudah lama. Bagi Civic, ia telah melalui pelbagai ujian teknikal bersama bersama syarikat Spanco Sdn Bhd.

    Ia juga dilengkapi peralatan sokongan seperti peralatan komunikasi RMPNeT, kamera papan pemuka (dashcam) serta perakam video digital mudah alih, dan kesemuanya disewa secara konsesi dengan syarikat Spanco Sdn Bhd selama lima tahun melalui peruntukan mengurus 2020.

     
     
  • Toyota Urban Cruiser diperkenal di India – guna asas daripada Suzuki Vitara Brezza, enjin 1.5L 103 hp

    Toyota Urban Cruiser diperkenal di India – guna asas daripada Suzuki Vitara Brezza, enjin 1.5L 103 hp

    Toyota telah memperkenalkan SUV kompak baru, Urban Cruiser di India. Ia menggunakan asas daripada Suzuki Vitara Brezza, dan menjadi model Toyota kedua yang dibina atas asas Suzuki, selepas Glanza yang diperkenalkan pada tahun 2019 (sama dengan Baleno).

    Meskipun kebanyakan bahagian luar nampak sama seperti Brezza, Urban Cruiser ini mempunyai muka hadapan yang lebih mirip kepada Fortuner. Antara bahagian lain yang berbeza berbanding model Suzuki adalah gril hadapan lebih besar dengan dua jalur, perumah lampu kabus trapezoid serta kemasan bawah bampar hitam. Rim 16 inci dan lampu LED masih sama seperti Brezza.

    Bahagian dalam juga melihatkan rekaan yang sama, dengan antara cirinya termasuk sistem pemula tanpa kunci, pendingin hawa automatik, cruise control, cermin pandang belakang electrochromic dan sistem infotainmen dengan skrin sesentuh yang boleh disambung dengan Android Auto dan Apple CarPlay. Model Toyota ini juga datang dengan balutan tempat duduk coklat gelap, berbanding hitam pada Brezza.

    Menggerakkan Urban Cruiser ini adalah enjin petrol empat silinder 1.5 liter K15B sama seperti Brezza. Toyota tidak mendedahkan kuasa untuk model ini, tetapi pada Brezza, ia mampu menghasilkan 105 PS (103 hp) pada 6,000 rpm dan tork 138 Nm pada 4,400 rpm. Ia digabungkan bersama transmisi sama ada automatik empat kelajuan (disokong dengan sistem hibrid ringkas) atau manual lima kelajuan.

    Harga sebenar dan senarai varian yang ditawarkan hanya akan didedahkan kemudian, tetapi pelanggan di India sudah boleh menempah kenderaan ini pada harga 11,000 rupee (RM616). Sama seperti model yang melibatkan kolaborasi Suzuki dan Toyota sebelum ini, Urban Cruiser akan dibuat di kilang Maruti Suzuki di Gurgaon.

     
     
  • Data jualan kenderaan bagi Jun 2020 ikut jenama

    Data jualan kenderaan bagi Jun 2020 ikut jenama

    Selepas agak lama tertunda, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengedarkan rekod bagi pecahan jualan mengikut jenama untuk bulan Jun 2020. Ini merupakan laporan terakhir yang dibuat berdasarkan pecahan jualan jenama untuk bulanan.

    Ini kerana persatuan terbabit telah mengumumkan perubahan format bagaimana data jualan kenderaan akan disalurkan untuk pelanggan, melaporkan angka mengikut suku tahunan dan bukannya lagi bulanan seperti yang dilakukan sebelum ini, yang merupakan amalan terbaharu untuk beberapa ahlinya.

    Menerusi kenyataan medianya semalam, MAA akan tetap menyalurkan data bagi angka jualan secara bulanan, termasuk jumlah keseluruhan industri (TIV), yang kini dipaparkan juga pecahan mengikut jenis kenderaan – kereta penumpang, 4WD, SUV – bukannya mengikut jenama.

    Data jualan kenderaan bagi Jun 2020 ikut jenama

    Bagi jualan kenderaan bulan Jun yang merekodkan sejumlah 44,695 unit, menunjukkan peningkatan sebanyak 21,735 unit atau 94.7% berbanding 22,960 unit pada Mei. Malah angka yang memberangsangkan itu juga mempengaruhi jualan bulan Julai disebabkan pengecualian cukai jualan yang diumumkan oleh kerajaan sehingga hujung tahun ini.

    Bagi data yang lebih spesifik, Perodua masih mendahului carta dengan jualan sebanyak 21,250 unit (+169.5% berbanding Mei), dengan Proton di belakangnya dengan 9,623 unit (+69.5%).

    Sementara itu, Toyota selesa di tempat ketiga dengan 4,346 unit (+26.9%), mendahului Honda yang mencatatkan jualan sebanyak 3,319 unit (+23.9%) yang sebenarnya menjual lebih banyak kereta penumpang berbanding Toyota. Manakala Nissan pula menjual sebanyak 1,002 unit (+60.3%) bagi Jun, mendahului Mazda (+99.2%).

    Data jualan kenderaan bagi Jun 2020 ikut jenama

    Jualan yang memberangsangkan turut melibatkan jenama seperti Mitsubishi (+23.1%), Ford (+47.9%), Volkswagen (+120%), Hyundai (+168.4%) dan Kia (+137.5%). Juga, bagi segmen premium, Jun turut memberikan angka jualan yang memberangsangkan buat Volvo (+140%) dan Lexus (+129%). Walau bagaimana pun, nasib tidak menyebelahi Renault kerana hanya menjual sebanyak 43 unit berbanding 65 unit pada Mei (abaikan anak panah berwarna hijau di dalam carta, kerana sepatutnya ia berwarna merah).

    Namun, bermula tahun ini, ketiga-tiga jenama premium; BMW, MINI dan Mercedes-Benz hanya melaporkan angka jualan mengikut suku tahun. Bagi BMW, ia telah mencatatkan jualan sebanyak 2,543 unit untuk separuh pertama 2020. Kami dimaklumkan oleh MAA, Mercedes tidak memberikan laporan untuk angka jualam suku kedua, jadi carta ini masih menunjukkan angka seperti mana yang dipaparkan pada Mac 2020.

    Selepas ini, iaitu mulai bulan Julai, tiada lagi pecahan jualan mengikut jenama, kerana ia akan dipaparkan mengikut jenis kenderaan. Jadi, kenalah biasa-biasakan diri dengan format atau amalan baharu untuk data jualan kenderaan di Malaysia agar tidak terkeliru.

    Data jualan kenderaan bagi Jun 2020 ikut jenama

     
     
  • Proton mohon kerjasama pemilik Perdana ‘Accord’ 2012 – 2018 segera tukar inflator beg udara Takata

    Proton mohon kerjasama pemilik Perdana ‘Accord’ 2012 – 2018 segera tukar inflator beg udara Takata

    Panggilan semula yang dilakukan seluruh dunia oleh semua pengeluar yang dibekalkan dengan beg udara Takata masih belum lengkap – kali ini Proton memohon pemilik-pemilik Proton Perdana dua generasi terakhir yang diasaskan dari Honda Accord CP yang masih belum menukar komponen tersebut agar segera berbuat demikian.

    Menurut Proton, panggilan semula ini melibatkan Perdana yang dibina antara tahun 2012 sehingga akhir Ogos 2018. Semua tindakan yang diambil adalah selaras dengan Laporan Maklumat Kerosakan (DIR) yang dikeluarkan oleh Pentadbiran Keselamatan dan Traffik Lebuh raya Kebangsaan Amerika (NHTSA) yang memerlukan penggantian inflator beg udara bukan kering.

    Proton turut memberitahu bahawa proses panggilan semula penggantian inflator beg udara ini telah dimulakan sejak bulan Januari 2019.

    “Dari usaha sama kakitangan dan pengedar Proton, kami telah berjaya menghubungi pelanggan dan melakukan penggantian inflator beg udara. Sebanyak 6,342 kereta yang terjejas dan setakat 18 Ogos 2020, pusat servis kami telah melakukan penggantian untuk 5,625 unit atau 87.5% dari jumlah keseluruhannya,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar.

    Proton mohon kerjasama pemilik Perdana ‘Accord’ 2012 – 2018 segera tukar inflator beg udara Takata

    Proton turut menegaskan bahawa proses ini hanya melibatkan model Perdana ini sahaja, dan tidak melibatkan mana-mana modelnya lain kerana beg udara yang digunakan dibekalkan oleh pembekal yang berlainan.

    Jenama tersebut turut menekankan bahawa keselamatan para pelanggan merupakan keutamaan bagi mereka, oleh demikian, kawalan ketat telah diambil untuk memastikan tiada kemungkinan berlaku insiden yang tidak diingini. Proton juga kesal jika ada sebarang kesulitan berlaku akibat perkara ini.

    “Keselamatan pelanggan amat penting untuk Proton. Walau bagaimana pun, kami tidak dapat menghubungi semua pemilik Proton Perdana sebab maklumat pemilik tidak lengkap. Oleh itu, kami ingin menyeru semua pemilik yang belum mengganti inflator beg udara mereka, hubungi pusat servis kami untuk membuat temu janji segera.”

    “Pertukaran inflator beg udara ini hanya mengambil masa kira-kira satu jam serta tidak akan dikenakan apa-apa bayaran. Kereta yang dikeluarkan selepas 31 Ogos 2018 pula tidak perlu menukar beg udara,” tambah Roslan lagi.

    Bagi pelanggan yang masih ada pertanyaan atau memerlukan bantuan, anda dinasihatkan untuk menghubungi talian khidmat pelanggan Proton di talian 1-800-888-398 atau e-mel [email protected].

     
     
  • VIDEO: Honda City RS i-MMD 2020 di M’sia — dengan ciri Sensing, LaneWatch dan cakera brek belakang

    Honda Malaysia hari ini baru saja mengadakan acara pra-tonton bagi model Honda City RS i-MMD 2020 untuk pasaran tempatan, yang akan disusuli dengan siri jelajah model berkenaan ke seluruh negara, bermula hari ini.

    Model berkenaan merupakan penawaran paling tinggi yang akan ditawarkan di sini. Lebih menarik, Malaysia menjadi negara pertama di dunia yang memperkenalkan varian dengan sisten janaan hibrid Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) berkenaan; varian ini tidak ditawarkan untuk pasaran Thailand, yang menerima City 2020 ini lebih awal.

    Berpandukan model-model lain yang pernah menggunakan sistem janaan berkenaan sebelum ini – termasuk model Jazz Hybrid untuk pasaran tempatan – outputnya ialah 109 PS dan 235 Nm – dengan kapasiti enjin pembakaran dalaman 1.5 liter dan bantuan motor elektrik.

    VIDEO: Honda City RS i-MMD 2020 di M’sia — dengan ciri Sensing, LaneWatch dan cakera brek belakang

    Satu lagi sistem janaan yang ditawarkan ialah enjin 1.5 liter petrol i-VTEC DOHC, yang menghasilkan kuasa sebanyak 121 PS dan 145 Nm. Bezanya kali ini, berbanding model lama, unit berkenaan lengkap dengan ciri DOHC dan bukannya SOHC, dan digandingkan dengan transmisi CVT.

    Yang ditampilkan dalam video ini ialah varian paling tinggi Honda City e:HEV RS. Apa yang ada pada kereta ini jika dibandingkan dengan penawaran sedan segmen B yang lain? Tonton video ini dan kami akan bawa anda memerhatikan model ini dengan lebih dekat.

     
     
  • BMW R18 Blechmann – ubah suai terus tanpa lukisan

    BMW R18 Blechmann – ubah suai terus tanpa lukisan

    BMW R18, yang menggunakan bentuk klasik dan enjin boxer paling berkuasa pernah dihasilkan oleh syarikat Jerman itu dianggap sebagai satu platform yang baik untuk ubah suai. Semakin banyak hasil yang muncul dan kali ini anda boleh melihat kerja oleh Bernhard Naumann dari Austria.

    Beliau yang juga dipanggil sebagai Blechmann tidak mahu mengganggu bentuk asas R18 dan masih mengekalkan tapak-tapak asas untuk kelengkapan motosikal ini. Satu yang menarik, sebelum memulakan projek ini, Naumann tidak membuat sebarang lukisan sebagai rancangan.

    Beliau sebaliknya sekadar membayangkan dalam kepala bentuk yang dimahukan dan kemudiannya terus membentuk bahan yang digunakan. Melalui cara ini juga, Naumann memberitahu beliau dapat sentiasa melihat aliran bentuk motosikal dan melakukan pengubahsuaian secara terus.

    BMW R18 Blechmann – ubah suai terus tanpa lukisan

    Model R18 yang diubah suai oleh Naumann ini menggunakan konsep low rider dengan satu tempat duduk sahaja dan garis badannya dilihat mengalir rapi dari fairing hadapan sehinggalah ke fender belakang. Lampu hadapan pula menggunakan bentuk berpetak yang mahu memberikan penghormatan kepada bentuk gril kidney yang biasa digunakan pada kereta BMW.

    Bahagian tangki melibatkan ubah suai yang menyeluruh dan bentuknya sekarang lebih kurus demi menjadikan enjin boxer 1,802 cc itu lebih menonjol. Melengkapkan rupanya, Blechmann R18 diwarnakan hitam berkilat bersama jalur pinstripe putih. Secara keseluruhan, motosikal ini melibatkan kerja selama 450 jam.

     
     
  • Honda City 2020 e:HEV RS i-MMD di prebiu – ada Honda Sensing, LaneWatch dan brek cakera belakang

    Honda City 2020 e:HEV RS i-MMD di prebiu – ada Honda Sensing, LaneWatch dan brek cakera belakang

    Sebelum dilancarkan secara rasmi, hari ini Honda Malaysia membuka ruang kepada pihak media untuk melihat Honda City generasi baharu secara lebih dekat. Walau bagaimanapun, kami hanya dapat melihat bahagian luaran sedan segmen-B ini dan perincian lengkap berkenaan spesifikasi mahupun harga masih belum diumumkan.

    Seperti yang diumumkan sebelum ini, kita tidak menerima City dengan enjin 1.0 liter tiga-silinder seperti di Thailand, tetapi Malaysia adalah pasaran pertama di dunia yang akan menerima City dengan unit janakuasa sport hybrid intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) menerusi varian tertinggi e:HEV RS, seperti unit berwarna merah yang diprebiu hari ini.

    Tanpa perincian lengkap, Honda Malaysia hanya menyatakan City RS e:HEV ini dibekalkan dengan tork yang cukup kuat iaitu 253 Nm – lebih besar dari tork sebahagian sedan segmen-D dalam pasaran seperti Toyota Camry. Sistem i-MMD ini sebenarnya telah pun diberikan pada Honda Fit Hybrid pasaran Jepun dan Jazz e:HEV pasaran Eropah.

    Honda City 2020 e:HEV RS i-MMD di prebiu – ada Honda Sensing, LaneWatch dan brek cakera belakang

    Pada Fit/Jazz, sistem i-MMD berkenaan menampilkan enjin 1.5 liter i-VTEC kitaran Atkinson berkuasa 98 PS/127Nm yang digandingkan dua motor elektrik. Dengan gandingan tersebut, Fit/Jazz Hybrid itu dibekalkan dengan kuasa 109 PS dan tork maksima sama seperti yang diumumkan pada City e:HEV ini iaitu 253 Nm.

    Ia berfungsi lebih kurang sama dengan sistem i-MMD pada Accord dan CR-V Hybrid generasi terkini di mana kereta boleh bergerak dengan kuasa elektrik sepenuhnya dalam masa yang sama enjin petrol hanya mengecas bateri Lithium-ion, serta enjin dan motor elektrik boleh berfungsi bersepadu untuk memacu roda hadapan.

    Disebabkan motor elektrik berkenaan memacu terus roda hadapan dan menyediakan tork 253 Nm tersebut bermula dari 0 rpm seperti kereta elektrik sebenar, tiada kotak gear diberikan pada City RS ini. Ketika mula bergerak, ia akan dimulakan dengan motor elektrik. Tetapi pada kelajuan tinggi, enjin petrol juga boleh memacu roda terus roda hadapan menerusi klac lock-up yang menghubungkannya pada satu set gear kelajuan tunggal.

    Honda City 2020 e:HEV RS i-MMD di prebiu – ada Honda Sensing, LaneWatch dan brek cakera belakang

    Secara keseluruhan, City 2020 akan ditawarkan dalam empat varian di Malaysia, di mana varian lain yang lebih rendah akan menerima enjin 1.5 liter. Walau bagaimanapun, enjin petrol konvensional berkenaan bukan diambil sepenuhnya dari model generasi sebelumnya, tetapi ia kini dikemaskini dengan kepala silinder aci sesondol berkembar (DOHC i-VTEC).

    Kuasa untuk enjin ini juga masih belum diumumkan, tetapi untuk City generasi baharu pasaran India, ia berupaya untuk menjana 121 PS dan tork maksima 145 Nm, digandingkan dengan kotak gear CVT automatik bagi menghantar kuasa ke roda hadapan.

    Untuk kelengkapan, hanya varian RS dan V akan diberi dengan lampu utama LED, sementara lampu DRL dan lampu belakang LED datang secara standard untuk semua varian. Selain itu, RS dan V juga dipadankan dengan rim 16 inci dua tona, sementara pelindung cermin sisi hitam hanya untuk RS. Rupa luaran RS pasaran Malaysia ini juga nampak hampir sama seperti RS Turbo pasaran Thailand, termasuk gril hadapan dan juga spoiler ducktail berwarna hitam.

    Honda City 2020 ini turut menerima kamera titik buta Honda LaneWatch untuk varian RS dan V – ciri ini tidak diberikan pada mana-mana varian untuk pasaran Thailand, dan setakat ini ia hanya diberikan pada model pasaran India. Model RS di Malaysia juga menjadi City generasi baharu pertama yang diberikan brek parkir elektrik (varian lain masih diberikan brek parkir biasa).

    Apa yang kami nampak hari ini, varian RS untuk pasaran Malaysia turut tampil dengan pakej bantuan pemanduan Honda Sensing seperti pasaran India dan ia tidak ada untuk City di Thailand. Pakej ini sepatutnya terdiri dari sistem seperti brek kecemasan automatik, bantuan kekal lorong dan juga cruise control adaptif dan low-speed follow bersama fungsi stop & go – namun masih belum dapat dipastikan adakah kesemua ciri ini akan disertakan dalam pakej Honda Sensing berkenaan.

    Model RS yang didedahkan hari ini juga menampilkan sistem brek cakera pada bahagian belakang, manakala untuk varian lain masih belum dapat dipastikan akan menerima ciri yang sama atau kekal dengan brek dram seperti model sebelumnya.

    Walaupun belum dilancarkan secara rasmi, Honda City 2020 ini sudahpun boleh ditempah. Mereka yang membuat tempahan awal akan menerima baucar servis bernilai RM1,000 yang akan sah selama satu tahun.

     
     
  • Honda Civic 2020 hatch dapat pilihan aksesori Mugen

    Honda Civic 2020 hatch dapat pilihan aksesori Mugen

    Mugen telah melancarkan barisan aksesori untuk Honda Civic hatch yang mampu membuatkan penampilan versi jentera ini lebih menguja dan menggegar sanubari. Elemen modifikasi (kebanyakannya untuk estetika) boleh dipadankan pada model sedia ada dan juga pre-facelift di mana sesetengah komponen luaran juga boleh dipasang pada model sedan Civic biasa.

    Sebagai permulaan, penutup gril hadapan gentian karbon dengan lencana Mugen (gentian karbon ori, kos lebih kurang 97,900 yen atau RM3.8k), kemasan bampar hadapan, lip hadapan (64,900 yen atau RM2.5k), skirt sisi (93,500 yen atau RM3.7k), lip belakang dengan diffuser (79,200 yen atau RM3.1k), spoiler belakang baharu (menggantikan unit standard, kos 93,500 yen atau RM3.7k) dan roda aluminium pelbagai-jejari 19-inci pada harga 53,900 yen (RM2.1k) seunit.

    Jenama ini juga menawarkan pakej aero dan roda, yang terdiri daripada lip hadapan dan belakang, skirt sisi dan roda aluminium 19-inci pada harga 407,000 yen (RM16k). Dengan pembelian secara berasingan, komponen-komponen ini secara keseluruhan bernilai 453,200 yen (RM18k). Untuk makluman, harga yang disebutkan ini termasuklah dengan kos warnanya.

    Honda Civic 2020 hatch dapat pilihan aksesori Mugen

    Lain-lain aksesori luaran termasuk pelindung pintu (19,800 yen atau RM782), lampu belakang LED khas (88,000 yen atau RM3.5k), cermin sisi sudut-lebar hydrophobic dengan indikator LED (28,600 yen atau RM1.1k), perumah cermin sisi gentian karbon (64,900 yen atau RM2.6k), pemegang plat pendaftaran gentian karbon dan pelindung pemegang pintu, serta lencana Mugen solid metal (7,480 yen atau RM295 seunit).

    Pemilik Civic juga boleh tentukan sistem ekzos sport dengan dwi corong haksagon. Sistem ekzos catback ini diperbuat daripada keluli tahan karat yang ringan, dan ia berharga 192,500 yen (RM7.6k).

    Bagi prestasi brek yang lebih baik, Mugen turut menawarkan pad brek sport dengan ketahanan pudar yang lebih baik. Untuk 45,100 yen (RM1.8k), akan menerima empat keping pad brek yang boleh beroperasi dengan anggaran sehingga 500 darjah selsius. Ia boleh dipadankan dengan rotor hadapan 282 mm (36,300 yen atau RM1.4k setiap satu) dan set empat keping garisan brek micromesh (35,200 yen atau RM1.4k).

    Selain itu, anda juga boleh membeli cecair brek prestasi tinggi (dengan dry boiling point pada 317 darjah selsius), termostat, minyak enjin MT105, minyak enjin 0W20 yang dibangunkan bersama Motul) dan penapis minyak enjin prestasi tinggi.

    Akhir sekali, bahagian dalaman. Aksesori pilihan yang ada termasuklah roda stereng karbon/kulit leper di bawah (89,100 yen atau RM3.5k), tempat duduk MS-R bucket sepenuhnya Alcantara dengan rel (untuk pemandu sahaja; 264,000 yen atau RM10k), quick shifter (36,300 yen atau RM1.4k), butang penghidup enjin dengan logo Mugen, alas lantai merah atau hitam, dan juga pelekat kabin gentian karbon.

     
     
  • Honda Vietnam perkenal grafik baru untuk Winner X

    Honda Vietnam perkenal grafik baru untuk Winner X

    Selepas sekitar satu tahun ia dilancarkan untuk pasaran Vietnam, Honda kini menyediakan grafik baru bagi model Winner X. Bahagian lain motosikal tidak diubah dan harganya di sana masih lagi bermula dari 45.99 juta Dong (RM8,300).

    Warna baru bagi model pasaran 2020 ini terdiri daripada dua pilihan corak camo (biru dan merah), satu warna matte (hitam dan emas), serta empat pilihan warna bagi versi Sport (merah, biru gelap, biru terang dan hitam). Versi Sport ABS masih lagi dijual dengan grafik sama, manakala versi lumba dengan corak Tricolore juga masih dijual.

    Winner X dikuasakan oleh enjin satu silinder DOHC PGM-Fi (suntikan bahan api) 149.1 cc DOHC, bersama padanan transmisi enam kelajuan dan mampu menghasilkan kuasa 15.4 hp pada 9,000 rpm dan 13.5 Nm tork pada 6,500 rpm.

    Kelengkapan lain pada model yang nampak lebih sporty berbanding RS150R yang dijual di Malaysia ini adalah tayar 90/80 di hadapan dan 120/70 di belakang, panel meter digital, tangki bahan api 4.5 liter, serta berat 123 kg untuk versi CBS dan 124 kg untuk versi ABS serta lampu jenis LED.

     
     
  • Yamaha Eropah keluarkan YZF-R1 replika MotoGP untuk jualan – hanya 46 unit, percuma helmet KYT

    Yamaha Eropah keluarkan YZF-R1 replika MotoGP untuk jualan – hanya 46 unit, percuma helmet KYT

    Yamaha Motor Europe dan Yamaha Austria Racing Team (YART) GYTR Pro Shop telah bekerjasama untuk menghasilkan model replika edisi terhad YZR-M1 pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT). Ini adalah model replika yang disahkan oleh Yamaha dan dihasilkan cuma sebanyak 46 unit, sebagai tanda kerjasama Petronas selama 46 tahun sebagai penaja.

    Model YZF-R1 yang digunakan sebagai asas replika ini bukan sahaja melibatkan hiasan luaran, tetapi juga telah dinaik taraf oleh YART pada bahagian prestasi. Antaranya adalah seperti fork Ohlins FRGT di hadapan, monoshock Ohlins TTX, damper Ohlins serta set ekzos lumba factory.

    Bahagian lengan ayun kemudiannya dipasang dengan axle jenis mudah tanggal, bersama tempat letak kaki seperti jentera lumba. Tuil brek, klac serta angkup brek (GP4-RX spesifikasi lumba) adalah unit daripada Brembo, bersama cakera T-Drive.

    Yamaha Eropah keluarkan YZF-R1 replika MotoGP untuk jualan – hanya 46 unit, percuma helmet KYT

    Rim aluminium Marchesini yang dipasang pada motosikal ini dibalut dengan tayar slick Michelin, menunjukkan ia hanya untuk kegunaan litar. Penampilannya dilengkapkan dengan fairing serta winglet gentian karbon Genuine Yamaha Technology for Racing (GYTR). Lebih istimewa, cat luarannya dihasilkan oleh pasukan sama yang menghias motosikal lumba SRT M1.

    Model replika ini sudah mula dijual di Eropah dan setiap pembeli akan menerima helmet KYT, baju Petronas Yamaha SRT dan tiket VIP untuk pusingan perlumbaan MotoGP pilihan mereka.

     
     
  • Jualan kenderaan di M’sia bagi Julai 2020 naik 29%

    Jualan kenderaan di M’sia bagi Julai 2020 naik 29%

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengedarkan data jualan kenderaan di negara ini bagi Julai 2020, menyaksikan sebanyak 57,552 unit telah dihantar sepanjang bulan berkenaan. Ini mewakili peningkatan sebanyak 12,857 unit atau 29% berbanding bulan Jun, yang meneruskan kesinambungan perkembangan positif seperti yang berlaku pada Mei 2020.

    Jumlah angka kenderaan yang dijual pada Julai 2020 juga meningkat sebanyak 6,698 unit, atau 13% berbanding bulan yang sama pada 2019. Walau bagaimana pun, angka hingga tarikh berkenaan, hanya sekitar 232,245 unit yang terjual sehingga akhir bulan lalu, di mana ia melibatkan sebanyak 114,926 unit atau kurang 33% berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu, dengan sejumlah 347,171 unit telah direkodkan.

    MAA berkata, jumlah jualan tersebut banyak disumbangkan oleh pelepasan cukai jualan yang diumumkan oleh kerajaan menerusi pelan rangsangan ekonomi PENJANA, di mana model pemasangan tempatan (CKD) menerima 100% pelepasan cukai jualan (SST) dan potongan 50% bagi cukai yang sama bagi model import sepenuhnya (CBU), yang bermula sejak 15 Jun lalu sehingga 31 Disember ini.

    Selain itu, faktor lain termasuklah kempen promosi yang agresif dan waktu bekerja yang lebih panjang pada bulan berkenaan.

    Bagi Ogos 2020, MAA menjangkakan jumlah jualan akan kekal seperti tahap yang dicatatkan pada Julai, memandangkan ‘cuti cukai jualan’ masih berlangsung dan juga pelbagai promosi jualan yang banyak membantu mempengaruhi orang ramai untuk membeli kenderaan baharu.

     
     
  • Tren monorel empat gerabak lebih selesa dan tingkatkan ciri keselamatan penumpang – Rapid Rail

    Tren monorel empat gerabak lebih selesa dan tingkatkan ciri keselamatan penumpang – Rapid Rail

    Ketua Pegawai Operasi Laluan Monorel Rapid Rail Sdn Bhd Mohd Ariffin Idris memaklumkan, selain memberikan lebih keselesaan, penggunaan sepenuhnya 12 set tren monorel empat gerabak yang dijangka beroperasi pada hujung tahun depan juga turut meningkatkan ciri-ciri keselamatan kepada penumpang.

    Tambah beliau lagi, pengoperasian kesemua tren empat gerabak itu akan mengaktifkan sistem pintu penghadang automatik yang terdapat di platform. Walau bagaimana pun, buat masa ini sistem pintu penghadang automatik di semua stesen masih belum berfungsi sepenuhnya, ekoran perbezaan penggunaan tren.

    “Buat masa ini, perkhidmatan monorel beroperasi masing-masing dengan lima set tren empat gerabak dan dua gerabak. Operasi bagi tren empat gerabak dan dua gerabak adalah berbeza, sebab itu pintu berkenaan sentiasa terbuka.

    “Sementara menunggu sistem berfungsi sepenuhnya, kami menempatkan anggota polis bantuan bagi membantu penumpang terutamanya golongan OKU, selain memantau keselamatan mereka,” katanya sambil menambah akan meneruskan projek menaik taraf bagi kemudahan OKU di setiap stesen.,” katanya seperti dilaporkan oleh Bernama.

    Pada masa sama, Mohd Ariffin yakin penggunaan semua tren empat gerabak itu akan meningkatkan jumlah penumpang sehingga dua kali ganda.

    Tren monorel empat gerabak lebih selesa dan tingkatkan ciri keselamatan penumpang – Rapid Rail

    “Kami akan menambah lagi tujuh set tren empat gerabak sekali gus meningkatkan kapasiti penumpang daripada 214 kepada 430 orang pada waktu puncak. Itulah harapan terbesar daripada pihaknya sempena sambutan ulang tahun ke-17 monorel pada 31 Ogos ini.

    “Ramai yang menyatakan tren monorel sedia ada sebagai lapuk dan lama. Tetapi sebenarnya, kami sangat mementingkan keselamatan penumpang. Selain mengharapkan semua sistem yang lama dapat diperbaharui dan dinaik taraf, kami juga mahu semua set tren baharu empat gerabak beroperasi sepenuhnya seperti yang dijadualkan,” katanya.

    Sementara itu, Mohd Ariffin menyifatkan perkhidmatan monorel masih relevan dan perlu dikekalkan, selain berharap ia dapat dikembangkan di bandar-bandar besar seperti Johor Bahru, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu.

    “Selain dapat menambah baik kualiti kehidupan rakyat, perkhidmatan monorel juga dapat mengelakkan mereka menghabiskan masa dalam kesesakan lalu lintas sekali gus menjimatkan kos perjalanan,” katanya.

     
     
  • Proton hantar kit CKD Saga pertama ke Kenya, akan dipasang secara tempatan oleh Simba Corporation

    Proton hantar kit CKD Saga pertama ke Kenya, akan dipasang secara tempatan oleh Simba Corporation

    Proton mengumumkan mereka kini menambah satu lagi pasaran dalam senarai eksport ke luar negara iaitu Kenya. Namun, Proton Saga yang dihantar bermula hari ini bukan dalam bentuk pemasangan lengkap dari kilang mereka di Shah Alam, sebaliknya dalam bentuk kit CKD yang akan di pasang oleh Simba Corporation (Simba) di negara berkenaan.

    Menurut Proton, Simba merupakan konglomerat pelbagai perniagaan yang mempunyai sejarah panjang dalam penjualan dan pengalaman pemasangan di industri automotif. Keputusan untuk mengeksport Saga secara CKD ini dibuat setelah perundingan terperinci bersama Simba dibuat.

    Proton menyatakan, selain daripada kenderaan pemasangan tempatan membayar cukai yang lebih rendah di negara tersebut, unit CKD juga dijangka akan mendorong pembangunan industri pembuatan automotif Kenya.

    “Proton akan tetap mengukuhkan kedudukan domestik, kami ingin dikenali sebagai pembuat kenderaan antarabangsa. Oleh demikian, produk kami perlu berada di bandar lain seperti Bangkok, Islamabad, Cairo dan kini, Nairobi. Di peringkat negara, usaha ini akan meningkatkan nilai perdagangan antara Malaysia dan Kenya, and juga menyumbang kepada peningkatan peluang pekerjaan di industri automotif Kenya,” kata Dato’ Radzaif Mohamed, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

    “Malaysia dan Kenya berkongsi banyak persamaan, dari tanah jajahan ke usaha kami untuk membangunkan negara masing-masing. Proton bukan saja menjejak ke negara dengan populasi 51 juta orang, tetapi juga pintu masuk ke benua Afrika yang mempunyai pasaran berpotensi sebanyak 1.3 bilion orang. Oleh itu, saya berharap ini menjadi permulaan kepada lebih banyak perdagangan antara dua negara,” kata Pesuruhjaya Tinggi Kenya ke Malaysia, Francis N. Muhoro dalam ucapannya ketika majlis pelepasan kit CKD berkenaan siang tadi.

    Muhoro juga menerangkan dasar pandang ke Timur yang diamalkan oleh negaranya dan beliau berharap agar lebih banyak syarikat Malaysia seperti Proton boleh menerokai peluang pelaburan di Kenya. Untuk penghantaran pertama ini, Simba Corporation akan menerima sebanyak 30 kit CKD Proton Saga yang akan dijual pada pasaran negara tersebut setelah ia siap di pasang.

     
     
  • Lexus LX 570 2020 – tempahan kini di buka, bermula RM 1.2 juta, turut ditawarkan dalam varian Sport baru

    Lexus LX 570 2020 – tempahan kini di buka, bermula RM 1.2 juta, turut ditawarkan dalam varian Sport baru

    Lexus Malaysia hari ini telah mengumumkan bahawa tempahan untuk SUV mewah gergasi Lexus LX 570 kini telah di buka untuk pasaran tempatan. Model ini akan dijual pada harga atas jalan bermula RM1,225,883, lengkap dengan pengecualian cukai jualan 2020 yang telah diumumkan kerajaan.

    Pembeli untuk pasaran tempatan juga ditawarkan dengan LX 570 dalam varian Sport, dan ia akan dijual pada harga RM1,281,938. Harga-harga yang dinyatakan ini adalah harga untuk semenanjung Malaysia dan didaftarkan untuk kegunaan persendirian. Untuk harga kawasan lain seperti Sabah, Sarawak dan kawasan bebas cukai seperti Langkawi dan Labuan, anda boleh rujuk jadual di bawah.

    Dengan harga yang diumumkan, ini bermaksud harga LX 570 telah naik dari versi-versi sebelumnya. Model ini mula masuk ke pasaran tempatan pada tahun 2015, dijual pada harga RM923,960. Kemudian pada awal 2018, ia turun kepada RM850,000.

    Dengan badan yang besar, LX 570 turut digerakkan oleh unit penjana gergasi. Ia dibekalkan dengan enjin petrol 5.7 liter V8 berkuasa 362 hp dan tork maksima 530 Nm, digandingkan dengan kotak gear automatik lapan kelajuan. LX juga merupakan kenderaan off-road sebenar, dibekalkan dengan sistew AWD sepenuh masa lengkap dengan transfer case dua keljuan, serta tork antara gandar hadapan dan belakang akan diagihkan secara bervariasi menerusi LSD jenis Torsen.

    Lexus LX 570 2020 – tempahan kini di buka, bermula RM 1.2 juta, turut ditawarkan dalam varian Sport baru

    Prestasi atas permukaan tar juga tidak mengecewakan – ia boleh memecut dari kedudukan pegun hingga 100 km/j dalam masa 7.7 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 210 km/j. Tidak hairanlah mengapa Lexus LX 570 merupakan pilihan popular oleh ‘pak-pak Arab’ di negara-negara padang pasir.

    LX 570 hadir dengan enam mod pemanduan termasuk satu tetapan custom. Ia juga dibekalkan dengan suspensi bervariasi adaptif, kawalan ketinggian aktif (AHC), Multi-Terrain Select (MTS), kawalan mendaki dan bantuan mula mendaki (HSA). Pemandu juga akan menerima bantuan dari Multi-Terrain Monitor yang akan memberikan visual keadaan sekeliling dan bawah lantai kereta, pada kelajuan rendah.

    Pada bahagian luaran, LX 570 menerima lampu hadapan LED dengan lampu isyarat membelok sequential dan juga rim 21-inci. Pembeli ditawarkan dengan pilihan warna badan baharu Terrane Khaki Mica Metallic, dan warna dalaman baharu termasuk warna Garnet, Sun Flare Brown dan Ocher.

    Selain itu, SUV mewah ini diberikan 10 beg-udara serta sistem bunyi Mark Levinson Premium Surround dengan amplifier 16-saluran bersama 19 unit pembesar suara, konsol tengah dengan penyejuk, tempat duduk larasan kuasa dan berliang untuk semua bahagian, serta dua skrin 11.6-inci yang diletakkan pada belakang tempat duduk.

    Lexus LX 570 2020 – tempahan kini di buka, bermula RM 1.2 juta, turut ditawarkan dalam varian Sport baru

    Varian Sport akan menerima ciri tambahan seperti bampar lebih agresif bersama mesh blok berbentuk-L pada gril spindle signatur Lexus, rim forged 21-inci, scuff plate bernyala, set pedal sport aluminium dengan getah ditengahnya, dan juga lampu pintu yang memancarkan imej logo.

    Ciri prestasi yang dibekalkan pula adalah Front Performance Damper, iaitu penyerap hentak di bahagian hadapan yang memberikan ketegaran badan lebih kuat bagi memberikan pengendalian lebih stabil tanpa mengurangkan keselesaan.

    Untuk keselamatan pula, LX 570 diberikan Lexus Safety System Plus (LSS+) untuk semua varian, menampilkan sistem seperti Siste Pra-Pelanggaran Hadapan (PCS), Dynamic Radar Cruise Control (DRCC) dan Amaran Keluar Lorong (LDA). Lexus LX 570 adalah model yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun, dan ia akan diberikan waranti pengeluar selama lima-tahun tanpa had perbatuan, serta sokongan penuh servis selepas jualan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025