Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Polis cadang guna POCA untuk cegah aktiviti lumba haram, penganjur boleh dihukum buang daerah

    Polis cadang guna POCA untuk cegah aktiviti lumba haram, penganjur boleh dihukum buang daerah

    Aktiviti lumba haram masih berleluasa di negara ini, biar pun pihak berkuasa kerap kali mengadakan operasi mencegah dan memberkas mereka yang terlibat dengan perkara tidak bermoral ini. Bagai tidak gentar dengan hukuman sedia ada, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman bercadang menggunakan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 terhadap penganjur lumba haram.

    Menurut Pengarah JSPT Bukit Aman Datuk Azisman Alias, di bawah akta tersebut, penganjur perlumbaan haram boleh dikenakan hukuman buang daerah, laporan Bernama.

    “Tindakan POCA ini juga mampu memberikan kesedaran kepada mereka sebelum berbuat sesuatu yang melanggar undang-undang.

    “Lagi pun semua pesalah yang menunggang motosikal secara berbahaya seperti merempit yang ditahan juga akan direkodkan di dalam sistem Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya orang ramai lebih berhati-hati daripada terjerumus dengan aktiviti itu,” katanya.

    Tambahnya lagi, apabila dikenakan hukuman sedemikian, rekod itu akan memberikan reputasi buruk terhadap pesalah terutama golongan muda yang terlibat dalam kegiatan haram tersebut.

    Polis cadang guna POCA untuk cegah aktiviti lumba haram, penganjur boleh dihukum buang daerah

    “Jadi apabila anak muda yang mempunyai rekod kesalahan berkaitan rempit atau berkaitan Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara berbahaya, adalah sukar untuk mereka memohon pekerjaan satu hari nanti kerana dikhuatiri akan ditolak disebabkan rekod yang mereka ada,” katanya.

    Dalam masa yang sama, beliau turut menasihati semua pihak, terutama anak muda, supaya sedar dan berhati-hati agar tidak terjebak dalam kegiatan seperti ini.

    Azisman juga berkata polis akan meningkatkan pemantauan terhadap mana-mana bengkel atau individu yang didapati terlibat dalam aktiviti mengubah suai motosikal tanpa mengikut spesifikasi yang dibenarkan.

    “Kita difahamkan ada juga yang mengubah motosikal mereka sehingga tidak mempunyai brek demi untuk membuat aksi yang berbahaya,” katanya.

    Beliau memohon kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berhubung kegiatan seperti lumba haram kepada pihak polis bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.

     
     
  • Proton perincikan servis Joox bagi sistem infotainmen GKUI; pilihan lebih 30 juta lagu, akaun asas dan VIP

    Proton perincikan servis Joox bagi sistem infotainmen GKUI; pilihan lebih 30 juta lagu, akaun asas dan VIP

    Seperti yang telah diumumkan sebelum ini, servis streaming muzik atas talian untuk sistem infotainmen GKUI (“Hi Proton”) untuk model seperti X70 serta varian Premium untuk Persona, Iriz dan Exora telah berpindah ke aplikasi Joox bermula 27 Mac lalu.

    Jika anda belum mengemaskini sistem infotainmen GKUI anda, berkemungkinan besar fungsi untuk streaming online tersebut tidak boleh digunakan buat masa sekarang. Tidak perlu untuk ke mana-mana pusat servis Proton untuk mengemaskini perisian tersebut, kerana anda boleh buat sendiri di rumah atau di mana-mana dengan proses kemaskini over-the-air (OTA) dan panduannya boleh dirujuk pada PAUTAN INI.

    Joox adalah aplikasi streaming muzik online sama seperti Spotify yang menawarkan muzik tanpa had dengan pilihan lebih dari 30 juta lagu. Oleh itu, ia ditawarkan dalam dua pilihan iaitu dalam versi percuma tetapi fungsinya dihadkan, atau langganan VIP untuk menerima akses penuh.

    Proton perincikan servis Joox bagi sistem infotainmen GKUI; pilihan lebih 30 juta lagu, akaun asas dan VIP

    Untuk versi percuma (ditandakan dengan ikon berwarna kelabu di sebelah nama akaun anda), anda hanya boleh memainkan lagu dengan turutan shuffle, alih ke lagu seterusnya (tiga kali alih akan diikuti dengan iklan), dan memilih sehingga 50 lagu menggunakan akaun anda dengan aplikasi Joox pada telefon pintar anda.

    Selain akan menerima siaran iklan, versi percuma ini juga hanya diberikan kualiti streaming lebih rendah, ruang simpanan lagu terhad serta anda tidak dapat memainkan lagu tertentu dan tidak boleh menggunakan berberapa fungsi seperti mainkan semula lagu sebelumnya atau mencari lagu seterusnya.

    Jika anda memilih untuk melanggan akses VIP, semua sekatan fungsi dan lagu tadi akan dibuka. Akses tersebut memerlukan anda membayar yuran langganan sebanyak RM12.90 sebulan, dan buat masa ini ia ditawarkan dengan diskaun 20% dengan bayaran hanya RM9.90 sempena promosi dalam masa terhad.

    Proton perincikan servis Joox bagi sistem infotainmen GKUI; pilihan lebih 30 juta lagu, akaun asas dan VIP

    Anda juga boleh memilih pakej langganan untuk 12-bulan dengan bayaran RM109.90, atau mana-mana pakej dengan tempoh lebih pendek ditawarkan di laman rasmi Joox. Sebagai perbandingan, servis sama yang ditawarkan oleh Spotify iaitu Spotify Premium memerlukan anda membayar kos langganan RM14.90 sebulan, tanpa pilihan langganan tahunan.

    Bagi mendapatkan aplikasi Joox untuk telefon pintar anda, ia hanya perlu dimuat turun menerusi Google Play Store, Apple App Store atau Huawei App Gallery bergantung jenis telefon anda. Kemudian anda perlu mendaftar akaun sebelum aplikasi tersebut dapat dihubungkan kepada aplikasi Joox pada sistem infotaimen dalam kereta Proton anda.

    Dengan akaun yang telah dihubungkan, semua lagu yang telah dipilih menerusi telefon pintar boleh dimainkan terus pada sistem infotaimen tersebut. Walau bagaimanapun, jika anda mahu menambah atau membuang lagu, ia perlu dibuat menerusi telefon pintar. Khas buat pengguna iPhone, lagu dari iTunes turut boleh diimport terus ke Joox.

    Proton perincikan servis Joox bagi sistem infotainmen GKUI; pilihan lebih 30 juta lagu, akaun asas dan VIP

    Lagu yang telah dipilih berkenaan kemudian boleh dimuat turun terus ke sistem infotainmen kereta. Ini membolehkan anda mendengarnya tanpa ganguan walaupun ketika tiada data internet.

    Menurut Proton dalam FAQ sistem ini, jika anda mendengar lagu menggunakan internet, ia akan menelan data pada sistem infotainmen tersebut – secara purata, lagu dengan durasi empat-minit dalam kualiti sederhana akan menggunakan data sekitar 3 MB.

     
     
  • Volkswagen Golf GTI Mk8 GTC didedahkan – jentera lumba sebenar binaan VW Motorsport Afrika Selatan

    Volkswagen Golf GTI Mk8 GTC didedahkan – jentera lumba sebenar binaan VW Motorsport Afrika Selatan

    Model produksinya baru sahaja didedahkan pada Februari lalu, kini Volkswagen Golf Mk8 telah pun dijelmakan dalam versi jentera lumba sebenar. Ia dihasilkan oleh Volkswagen Motorsport Afrika Selatan untuk berlumba dalam kejohanan Global Touring Cars (GTC) di negara berkenaan, dalam kategori utama GTC1, namun versi produksi sebenar hanya akan dijual di pasaran tersebut pada tahun hadapan.

    Jentera baharu ini dihasilkan untuk menggantikan VW Jetta GTC yang telah digunakan selama empat tahun dan kini tidak lagi dijual dalam pasaran berkenaan, serta Golf Mk8 GTI ini turut dipilih kerana ia adalah model prestasi baharu dari jenama tersebut.

    Lima jenama akan bertanding dalam kejohanan GTC berkenaan, dan kesemua jentera yang berlumba perlu menggunakan komponan casis, suspensi, tayar, unit janakuasa bersama kotak komputer enjin dan juga lain-lain komponen yang sama. Oleh itu, VW Golf Mk.8 GTI GTC ini dijana oleh enjin berkuasa 270 hp dan juga kotak gear enam-kelajuan sequential dari M-Trac yang dihasilkan di Afrika Selatan.

    Volkswagen Golf GTI Mk8 GTC didedahkan – jentera lumba sebenar binaan VW Motorsport Afrika Selatan

    Menurut ketua Volkswagen Motorsport, Mike Rowe, jentera lumba Golf GTI Mk8 GTC baharu ini dihasilkan dengan casis tubular chrome moly yang lebih ringan dan tegar dari jentera GTC generasi sebelumnya.

    “Walaupun hanya lima pengeluar yang bertanding dalam siri GTC, ia adalah salah satu siri perlumbaan litar paling premier di Afrika kerana ia sangat kompetitif. Ia adalah kejuaraan yang sukar untuk dimenangi, jadi mengutip mata dengan konsisten dalam setiap pusingan adalah sangat penting,” tambahnya lagi.

     
     
  • Monorel bakal dapat tujuh tren baharu mulai Mac 2021

    Monorel bakal dapat tujuh tren baharu mulai Mac 2021

    Rapid Rail Sdn Bhd, anak syarikat Prasarana Malaysia Berhad, yang merupakan pengendali perkhidmatan monorel Rapid KL telah mengesahkan bakal menerima tujuh tren empat gerabak baharu secara berperingkat pada tahun hadapan, sekali gus menjanjikan para penumpang perjalanan yang lebih selesa dan waktu menunggu yang lebih singkat.

    Ketua Pegawai Eksekutifnya Abdul Hadi Amran berkata set tren itu adalah antara tujuh set tren empat gerabak yang akan dibekalkan oleh Scomi Transit Projects Sdn Bhd kepada Rapid Rail bermula Mac hingga Disember 2021.

    Tujuh set ini merupakan sebahagian daripada 12 set tren empat gerabak yang dibekalkan oleh Scomi dan kini sedang menjalani proses pemeriksaan dan pemasangan komponen-komponen penting di depoh berkenaan sebelum menjalani proses ujian dan persijilan daripada badan-badan berwajib.

    Selain meningkatkan kapasiti khususnya ketika waktu puncak pagi dan petang, tren monorel empat-gerabak baharu berupaya meningkatkan lagi keselesaan para penumpang, di samping mengekalkan kekerapan tren pada purata lima minit. Tren dua-gerabak mempunyai kapasiti 214 penumpang, manakala tren empat-gerabak boleh memuatkan sehingga 430 penumpang.

    Dengan rangkaian sepanjang 8.6km dan 11 stesen yang strategik di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur, perkhidmatan monorel, yang dikendalikan oleh Rapid Rail, memberikan keselesaan kepada warga kota untuk bergerak tanpa terperangkap di dalam kesesakan lalu lintas sambil dapat menikmati keindahan bandaraya Kuala Lumpur.

     
     
  • Honda Civic facelift 2020 duduki carta teratas segmen-C – lebih 6,500 tempahan; 2,900 telah dihantar

    Honda Civic facelift 2020 duduki carta teratas segmen-C – lebih 6,500 tempahan; 2,900 telah dihantar

    Honda Civic facelift 2020 yang dilancarkan pada Februari lalu, kini kekal menduduki carta teratas bagi kenderaan segmen-C. Menurut Honda Malaysia, lebih 2,900 unit Civic telah pun dihantar kepada para pelanggan di seluruh negara, mewakili jangkaan perkongsian pasaran sebanyak 70%.

    Buat masa ini, model Honda ketiga terlaris di Malaysia, dengan bahagian sentral telah menyumbang sebanyak 44% daripada keseluruhan jualan, diikuti 17% dari bahagian selatan dan 15% pula di bahagian utara. Manakala White Orchid Pearl menjadi warna paling popular, dengan 42% pelanggan telah memilih warna berkenaan.

    Sehingga Jun 2020, Honda Malaysia telah merekodkan lebih 6,500 unit tempahan bagi Civic baharu ini, dan tempoh masa menunggu dianggarkan sekitar satu bulan. Jualan juga meningkat hasil pengecualian cukai jualan, yang menyaksikan harga bagi Civic pemasangan tempatan ini turun sehingga RM5,000.

    CEO dan Pengarah Urusan Honda Malaysia, Toichi Ishiyama berkata, “Walau pun Malaysia sedang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kebanyakan perniagaan masih terus beroperasi mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard yang ditetapkan oleh kerajaan. Semua industri, termasuk industri automotif, bersemangat untuk membantu negara menuju ke arah pemulihan ekonomi.”

    GALERI: Honda Civic 1.8S 2020

    GALERI: Honda Civic 1.5 TC Modulo 2020

    GALERI: Honda Civic 1.5 TC-P 2020

     
     
  • Volvo panggil semula 2.18 juta kereta – masalah pada tali pinggang keledar, hanya 5 unit di M’sia terjejas

    Volvo panggil semula 2.18 juta kereta – masalah pada tali pinggang keledar, hanya 5 unit di M’sia terjejas

    Volvo akan memanggil semula sejumlah 2.18 juta kenderaan jenamanya di seluruh dunia berhubung masalah kabel keluli yang mungkin terjejas seterusnya menyebabkan fungsi tali pinggang keledar akan menjadi kurang berkesan, lapor Automotive News Europe.

    Panggilan semula ini akan melibatkan 412,000 unit di Sweden, 308,000 unit di Amerika Syarikat, 245,000 unit di China, 178,000 unit di Jerman, dan 169,000 unit di United Kingdom. Model-model Volvo yang terlibat dalam panggilan semula ini adalah S60, S60L, S60CC, V60, V60CC, XC60, V70, XC70, S80 dan S80L yang dihasilkan dari tahun 2006 hingga 2019.

    Sebanyak lima unit Volvo di Malaysia tersenarai dalam panggilan semula berkenaan di mana kesemuanya adalah model yang diimport ke sini secara persendirian dan untuk kegunaan kedutaan. Walaupun ia tidak dijual oleh pengedar rasmi, kesemua pemilik kereta tersebut turut akan dihubungi terus oleh Volvo pada bulan ini.

    Para pemilik kereta yang terjejas ini akan diminta untuk membawa Volvo mereka ke pengedar terdekat bagi menggantikan kabel keluli tersebut dengan pendakap tetap. Komponen asal dan juga gantian berkenaan kedua-duanya dihasilkan oleh pembekal komponen automotif dari Sweden iaitu Autoliv.

    Volvo turut menyatakan setakat ini masih lagi belum ada kemalangan atau kecederaan dilaporkan disebabkan komponen yang terjejas ini.

    “Kami telah mengesan kabel ini akan haus dan lusuh dalam keadaan tertentu. Ini merupakan masalah yang jarang berlaku. Ini mungkin akan menyebabkan kabel tersebut rosak, menyebabkan fungsi menahan pada tali pinggang keledar tersebut berkurangan,” kata jurucakap Volvo Stefan Elftstrom yang dipetik oleh AP ketika dia bercakap dalam satu siaran radio Sweden.

     
     
  • Kerajaan baharu teruskan projek kereta nasional ketiga – Perodua dan Daihatsu perlu berikan taklimat

    Kerajaan baharu teruskan projek kereta nasional ketiga – Perodua dan Daihatsu perlu berikan taklimat

    Imej bayangan kereta nasional ketiga dihasilkan oleh Theophilus Chin berdasarkan teaser yang ditunjukkan Februari lalu

    Walaupun berlaku kemelut politik yang menyebabkan negara berubah tampuk pemerintahan, projek yang dimulakan oleh kerajaan terdahulu iaitu projek kereta nasional baharu (NNCP) tetap akan diteruskan oleh kerajaan baharu, lapor Berita Harian.

    Perkara ini diumumkan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan beliau meminta Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) dan Daihatsu untuk memberi taklimat serta membentangkan kertas kerja kepada kerajaan mengenai kaedah kedua syarikat automotif itu dapat membantu membangunkan projek tersebut.

    “Ini adalah demi keperluan untuk mengembangkan sektor automotif negara. Saya juga mencadangkan kepada pengurusan (Dreamedge) untuk memberikan taklimat mengenai kemajuan kereta nasional ketiga.

    “Ini kerana kita sudah mengenal pasti platform dan pelaksanaannya. Perkara ini perlu diperjelaskan,” katanya selepas majlis memorandum persefahaman (MoU) antara Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) dengan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd, Perodua Suppliers Association (P2SA) dan Perodua Dealers Association (PDA).

    Kerajaan baharu teruskan projek kereta nasional ketiga – Perodua dan Daihatsu perlu berikan taklimat

    Menurut Azmin lagi Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP2020) yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri ke-7, Tun Dr. Mahathir Mohamed pada Februari lalu turut akan diteruskan kerana ia adalah agenda dan rangka kerja untuk industri automotif masa hadapan.

    Dalam perkembangan sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata cadangan Menteri Kanan itu akan disempurnakan oleh pihaknya secepat mungkin. Beliau turut menjelaskan cadangan kertas kerja itu juga tidak semestinya merangkumi projek kereta nasional baru sahaja tetapi membabitkan ekosistem industri secara keseluruhan.

    “Kita akan bentangkan kepada kerajaan bagaimana Perodua dapat membantu ekosistem automotif tempatan, bukan saja tertumpu kepada kereta nasional ketiga.

    “Ia merangkumi ekosistem dari tenaga kerja hinggalah teknologi serta vendor,” katanya.

    Teaser dari Dreamedge sendiri yang ditunjukkan pada Februari lalu

    Perkara ini juga selari dengan apa yang dinyatakan oleh CEO MARii Datuk Madani Sahari Mac lalu. Menurutnya NNCP tidak akan dihentikan kerana ia bukan projek yang menerima dana kerajaan, tetapi projek dengan dana swasta, dan NAP 2020 memberikan berberapa insentif untuk projek sebegini.

    Menurut Datuk Madani lagi, DreamEdge mahu mendedahkan prototaip kereta baharu mereka pada acara Malaysia Autoshow 2020 – pada awalnya dirancang akan berlangsung pada April ini, tetapi ditangguhkan ke Julai nanti kerana wabak virus COVID-19 yang masih belum reda.

    Projek NNCP ini disuarakan oleh Tun Dr Mahathir pada Jun 2018, dan selepas berberapa perbincangan dan penilaian, Ogos tahun lalu DreamEdge telah diumumkan untuk menerajui projek ini.

    Kerajaan baharu teruskan projek kereta nasional ketiga – Perodua dan Daihatsu perlu berikan taklimat

    Menerusi apa yang dikongsikan oleh CEO DreamEDGE, Khairil Adri Adnan, ketika pengumuman awalan pada Ogos tahun lalu, syarikatnya setakat ini merancang untuk mengeluarkan sebuah kereta sedan hibrid segmen B besar sebagai model pertama. Teknologi utama yang terlibat di dalam projek ini pula dimaklumkan akan diperoleh atau disokong oleh Daihatsu Jepun. Walau bagaimanapun, teknologi spesifik yang bakal digunakan berkenaan masih belum diperincikan.

    Namun dalam laporan dari Affin Hwang Investment Bank pada Disember 2019, kereta ini akan dijana sama ada dengan enjin pembakaran dalaman konvensional atau unit penjana hibrid petrol elektrik, dan dijangka akan diberikan pelbagai teknologi terkini seperti sistem-sistem terhubung serta teknologi bantuan pemanduan. DreamEdge tidak mempunyai kilang sendiri, tetapi ia akan dihasilkan secara kontrak, dengan khabar menyatakan bahawa ia akan dibina oleh subsidiari Daihatsu iaitu Perodua.

    Konsep rekaan dan pembangunan projek ini akan diterajui oleh DreamEdge, bersama rakan teknologinya iaitu Daihatsu – yang telah mengesahkan pembabitannya pada Oktober lalu – yang akan membangunkan unit janakuasa serta membekalkan platform. Walau bagaimanapun, DreamEdge telah menegaskan dalam mesyuarat dengan Affin Hwang berkenaan kereta tersebut bukan satu lagi model rebadge Daihatsu.

    Kerajaan baharu teruskan projek kereta nasional ketiga – Perodua dan Daihatsu perlu berikan taklimat

    Menurut laporan dari Affin Hwang lagi, garis masa pendedahan kereta ini juga telah dirombak semula – prototaip penuh kereta ini akan didedahkan pada pertengahan tahun 2020, manakala produksi penuh akan berjalan pada separuh pertama 2022 – lebih lewat setahun dari yang dijangka. DreamEdge turut mensasarkan untuk menjual sekurang-kurangnya 3,000 unit kereta ini pada tahun pertama produksinya nanti.

    Ketika majlis pelancaran Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020 bulan lalu, DreamEdge telah pun meletakkan teaser prototaip kereta berkenaan untuk tatapan orang ramai – diletakkan dalam kotak gelap dan hanya mendedahkan bahagian lampu hadapan dan belakang.

    DreamEdge menyifatkan kereta ini sebagai “akan memberikan keseronokan memandu, mesra keluarga, penggunaan bahan api yang sangat jimat dan bernilai untuk wang,” dan ” menerima rekaan moden dan furistik, lengkap dengan fungsi terhubung terkini dan juga sistem bantuan pemanduan terkini,” serta “akan dihasilkan dan meningkatkan kebolehan R&D tempatan, meningkatkan kebolehan jurutera tempatan dan mewujudkan bakat yang berkemahiran tinggi.”

     
     
  • BMW Motorrad perkenalkan Active Cruise Control untuk motosikal – boleh kawal jarak secara automatik

    BMW Motorrad perkenalkan Active Cruise Control untuk motosikal – boleh kawal jarak secara automatik

    Sistem cruise control yang bukan sahaja boleh membantu kenderaan mengekalkan kelajuan secara sendiri, tetapi juga boleh mengawal jarak dengan kenderaan di hadapan sudah lama ditawarkan pada kereta tetapi pada motosikal ia masih belum lagi menjadi satu kebiasaan.

    Kini, BMW Motorrad menyatakan mereka sudah membangunkan sistem yang digelar sebagai Active Cruise Control bersama Bosch, dan tidak lama lagi akan memberikan penunggang satu pengalaman baru yang lebih selesa.

    Sistem ACC ini boleh dikawal oleh penunggang menggunakan butang yang terdapat di bahagian kiri pemegang dan tanda operasinya akan ditunjukkan pada panel instrumen TFT di hadapan bagi memudahkan pengguna. Walaubagaimanapun, ACC ini hanya boleh dipakai untuk mengesan kenderaan yang bergerak dan bukannya yang berhenti terus.

    BMW Motorrad perkenalkan Active Cruise Control untuk motosikal – boleh kawal jarak secara automatik

    Setelah menetapkan kelajuan yang dimahukan, penunggang juga boleh menetapkan jarak dengan kenderaan di hadapan dan setelah itu, melalui unit radar yang dipasang, sistem ini akan mengekalkannya selagi tidak dipadamkan (boleh dipadam oleh penunggang pada bila-bila masa dengan menekan butang, mengawal pendikit atau membrek).

    Bagi mengikut jarak yang telah ditetapkan, sekiranya kenderaan di hadapan bergerak lebih perlahan, sistem ini juga akan membrek sendiri supaya jarak tersebut masih sama. Jarak motosikal dengan kenderaan hadapan boleh dipilih dalam tiga tahap.

    Selain daripada itu, pengguna juga boleh memilih dua lagi tetapan untuk ACC ini iaitu Comfortable atau pun Dynamic, di mana kedua-duanya mempunyai karekter kawalan yang berbeza. Sekiranya ada selekoh pula, sistem ini akan memperlahankan sedikit motosikal supaya bersesuaian dengan sudut condong motosikal yang selamat.

     
     
  • Suzuki Across 2021 kini ditampilkan — RAV4 PHEV

    Suzuki Across 2021 kini ditampilkan — RAV4 PHEV

    Kerjasama Toyota-Suzuki nampaknya telah membuahkan hasilnya yang pertama. Perkenalkan, Suzuki Across 2021, sebuah SUV segmen C yang menggunakan asas daripada Toyota RAV4. Buat masa ini, Suzuki Across hanya ditawarkan dalam versi plug-in hibrid, menggunakan teknologi yang sama pada RAV4 Prime.

    Dari segi rekaan, Across wajah depan Across lebih banyak lengkungan dengan lampu utama LED yang lebih tirus, DRL LED yang unik serta gril bentuk hexagon. Model paling lengkap ini menggunakan rim 19-inci aloi, dengan enam pilihan warna badan – White Pearl Crystal Shine, Silver Metallic, Attitude Black Mica, Sensual Red Mica, Grey Metallic dan Dark Blue Mica. Aspek luaran yang lain kekal seperti RAV4 asal.

    Bahagian dalaman juga dipinjam sepenuhnya seperti yang ada pada RAV4. Perbezaannya cuma lencana pada stereng menggunakan nama Suzuki. Di tengah, sebuah paparan skrin sentuh sembilan-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto serta fungsi Mirrorlink bagi telefon yang serasi. Turut ada ciri pintar tanpa kunci, Push Start, kluster instrumen Optitron, kawalan pendingin hawa dua zon dengan corong belakang serta tempat duduk balutan kulit sebagai standard.

    Suzuki Across 2021 kini ditampilkan — RAV4 PHEV

    Across dijana oleh sistem kuasa yang sama pada RAV4 Prime – terdiri daripada enjin 2.5 liter A25A-FXS Dynamic Force kitaran Atkinson, menghasilkan 176 hp dan 228 Nm. Enjin ini disertai oleh motor elektrik berkuasa untuk menghasilkan 302 hp, membolehkan SUV ini memecut 0-100 km/j dalam masa 6.2 saat.

    Bateri lithium-ion berkapasiti tinggi 18.1kWh (50.9 Ah) pula menawarkan jalan perjalanan elektrik sepenuhnya sejauh 60 km (kitaran WLTP). Ia juga menerima sistem 4×4 elektronik E-Four dari Toyota, yang menggunakan motor 40 kW sendiri di belakang yang berfungsi bersama motor depan untuk mengagihkan nisbah tork depan:belakang antara 100:0 hingga 20:80.

    Ciri keselamatan juga mantap. Across datang lengkap dengan bantuan seperti Pre-Collision System (PCS), Lane Tracing Assist (LTA) dan Dynamic Radar Cruise Control (DRCC) sebagai ciri standard, serta termasuk fungsi Road Sign Assist (RSA), Blind Spot Monitor (BSM) dan Rear Crossing Traffic Alert (RCTA). Pasaran Eropah akan menerima model ini pada penghujung September 2020.

     
     
  • Citroen C4 2021 – gaya tersendiri, ada varian elektrik

    Citroen C4 2021 – gaya tersendiri, ada varian elektrik

    Citroen kembali ke dalam pasaran hatchback segmen C apabila memperkenalkan C4 baru untuk menggantikan C4 Cactus. Model ini banyak mendapat gaya rekaan sebuah SUV serta cermin belakang menjunam yang dikatakan mengambil inspirasi daripada model GS tahun 70-an.

    Kedudukan kenderaan ini ditinggikan sedikit menjadi 156 mm dari tanah sementara panjang adalah 4,360 mm, lebar 1,800 mm, tinggi 1,525 mm dan jarak roda 2,670 mm. Rupanya pula cukup unik dengan lampu bertingkat dan pencahayaan LED yang membentuk seperti panah di depan dan belakang.

    Pergi ke bahagian tepi, C4 baru masih menggunakan kemasan plastik di keliling lengkung roda dan bawah pintu sebagai perlindungan tambahan sementara spoiler di bahagian belakang pula membahagikan cermin belakang kepada dua bahagian. Rekaan ini menurut Citroen mengingatkan kembali kepada model asal C4 Coupe.

    Walaupun bahagian luar kenderaan ini agak unik, bahagian dalamnya pula lebih ringkas dan tidak begitu menonjol. Pada bahagian tengah papan pemuka terdapat skrin infotainmen kapasitif 10 inci manakala di hadapan pemandu pula terdapat satu lagi skrin instrumen digital. Kawalan pendingin hawa yang sebelum ini menggunakan skrin sesentuh telah ditukar kembali menggunakan tombol biasa.

    Tempat duduk Advanced Comfort pada C4 baru ini menggunakan rekaan fabrik baru manakala stereng yang mempunyai bahagian atas dan bawah yang rata pula dipasang dengan pedal penukar gear baru. Bahagian but boleh memuatkan barangan sehingga 380 liter dan apabila tempat duduk dilipat, ia menyediakan ruang 1,250 liter.

    Satu ciri baru yang menarik pada C4 ini adalah Dashboard Tray. Ia boleh digunakan bersama Smart Pad Support untuk meletakkan tablet atau pad bagi kegunaan penumpang hadapan, namun kami tidak pasti bagaimana pula kesannya kepada operasi beg udara yang terletak di belakangnya. Pembeli juga boleh mendapatkan kereta ini dengan kelengkapan lain seperti bumbung panoramik, head-up display, pengecas Qi, perakam video dan pemanas pada roda stereng.

    Citroen C4 2021 – gaya tersendiri, ada varian elektrik

    Pilihan enjin yang disediakan pada C4 baru ini terdiri daripada unit petrol tiga silinder 1.2 liter Puretech turbo dalam tiga talaan iaitu 100 hp, 130 hp dan 155 hp manakala satu lagi enjin adalah diesel empat silinder 1.5 liter BlueHDi turbo 110 hp atau 130 hp. Kedua-dua enjin ini boleh dipilih dengan transmisi manual enam kelajuan atau automatik lapan kelajuan.

    Melalui C4 ini juga, Citroen buat pertama kalinya akan menawarkan model elektrik penuh pada kenderaan penumpang mereka, dan ia dipanggil sebagai ë-C4. Model ini digerakkan oleh motor elektrik 136 hp/260 Nm yang mendapat kuasa daripada bateri lithium ion 50 kWh dan mampu memberikan pecutan 0-100 km/j dalam masa 9.7 saat dan laju maksimum 150 km/j. Dengan cas penuh, ia boleh pergi sehingga 350 km.

    Apabila menggunakan pengecas AC single phase, baterinya akan mengambil masa tujuh jam setengah untuk penuh manakala apabila menggunakan pengecas three phase 11 kW pula ia memerlukan masa lima jam. Jika menggunakan pengecas pantas DC 100 kW di stesen pengecas awam pula, jarak penggunaan 10 km akan meningkat bagi setiap minit dan mencapai tahap 80% dalam masa 30 minit.

     
     
  • Tesla ‘potong’ Toyota sebagai jenama kereta paling bernilai selepas nilai pasarannya naik mendadak

    Tesla ‘potong’ Toyota sebagai jenama kereta paling bernilai selepas nilai pasarannya naik mendadak

    Ini benar-benar perkara yang tidak disangka – gelaran jenama kereta paling bernilai yang dipegang Toyota akhirnya terlepas, dan ia bukan dirampas oleh jenama konvensional, sebaliknya ia kini milik pembuat kereta elektrik sepenuhnya dari Amerika iaitu Tesla.

    Gelaran tersebut bukan berdasarkan dari mana-mana badan, tetapi dari nilai pasaran semasa jenama-jenama berkenaan sendiri. Tesla kini merekodkan nilai semasa pada harga US$205 bilion (RM878.5 bilion), manakala Toyota sebagai pembuat kereta terbesar di dunia dengan produksi lebih 10 juta kereta setahun kini mempunyai nilai berharga US$200 bilion (RM857.1 bilion).

    Tesla mencatatkan kenaikan nilai yang agak drastik dengan nilai saham yang meningkat sebanyak lima kali ganda dalam 12 bulan kebelakangan ini, dari US$230 (RM986) kepada US$1,100 (RM4,714). Ini merupakan pemulihan yang sangat besar memandangkan jenama tersebut hampir tumbang pada pada November 2018 seperti yang disebutkan CEO nya, Elon Musk.

    Walau bagaimanapun, sekiranya hutang turut disertakan, nilai perusahaan Toyota masih lagi lebih tinggi dengan harga US$284 bilion (RM1.22 trilion) berbanding Tesla pada harga US$207 billion (RM887 billion), menurut penyedia data kewangan, Sentieo.

    Tesla ‘potong’ Toyota sebagai jenama kereta paling bernilai selepas nilai pasarannya naik mendadak

    Penganalisis juga bingung dengan kenaikan mendadak nilai pasaran Tesla tersebut kerana syarikat berkenaan hanya menghasilkan 500,000 unit kereta tahun ini dan sukar untuk mencatatkan keuntungan. Musk turut menyatakan bahawa nilai saham syarikatnya yang berada pada US$775 (RM3,321) adalah “terlalu tinggi” pada akaun twitter nya bulan lalu, namun ia tidak juga memperlahankan kenaikan nilai tersebut.

    Manakala untuk Toyota, nilai syarikat gergasi automotif dunia tersebut jatuh kerana pandemik Covid-19. Saham Toyota jatuh lebih dari 12% sejak Februari lalu, selepas sebahagian kilang-kilang dan bilik pamerannya di seluruh dunia terpaksa di tutup.

    Setakat ini, penganalisa menjangkakan jualan kereta di seluruh dunia akan jatuh sebanyak 15% tahun ini, dalam masa yang sama permintaan terhadap kereta elektrik akan terus meningkat kerana undang-undang pencemaran di Eropah dan China yang semakin ketat. Walaupun ia kini menerima semakin banyak pesaing yang turut menghasilkan kereta elektrik, jualan Tesla dijangka akan terus meningkat.

     
     
  • AD: Nikmati jaminan 36-bulan dan ketenangan fikiran jika anda menggunakan bateri-bateri Amaron terpilih

    AD: Nikmati jaminan 36-bulan dan ketenangan fikiran jika anda menggunakan bateri-bateri Amaron terpilih

    Bateri kenderaan merupakan antara perkara yang sangat penting untuk memastikan kenderaan anda sentiasa berada dalam keadaan bersedia. Malangnya, ramai juga yang kerap terlepas pandang untuk memeriksanya. Dan, jika bateri gagal berfungsi, ia boleh meletakkan anda dalam situasi yang tidak diinginkan.

    Bagi yang terpaksa berdepan dengannya untuk kali pertama, mencari bateri ganti boleh jadi satu pengalaman yang mengusutkan, kerana terdapat terlalu banyak pilihan di luar sana. Biasanya, orang akan memilih bateri yang paling murah dan anggap masalah itu sudah selesai. Apa yang tidak diketahui, banyak bateri yang ditawarkan dalam pasaran ketika ini tidak datang dengan perlindungan jaminan yang sepatutnya; ini penting untuk memastikan pengalaman pemilikan kenderaan ada sesuatu yang menyenangkan.

    AD: Nikmati jaminan 36-bulan dan ketenangan fikiran jika anda menggunakan bateri-bateri Amaron terpilih

    Di sinilah bateri Amaron menawarkan kelebihannya. Walaupun jenama tersebut masih baru di Malaysia, Amaron telah membina reputasi yang kukuh dan tersendiri dengan menawarkan bateri yang tahan lama. Lebih penting, ia juga datang dengan program jaminan pro-rata 36-bulan (bagi model tertentu) yang pertama seumpamanya.

    Ketika Amaron mula memasuki pasaran pada 2016, bateri berkenaan datang dengan jaminan 12-bulan, yang boleh dilanjutkan kepada enam bulan lagi dengan tambahan RM30. Tetapi sejak 1 April 2020, bateri terpilih diberikan jaminan 36-bulan tanpa sebarang kos tambahan – ini menunjukkan tahap keyakinan mereka terhadap produk yang dikeluarkan.

    AD: Nikmati jaminan 36-bulan dan ketenangan fikiran jika anda menggunakan bateri-bateri Amaron terpilih

    Untuk memudahkan lagi urusan pelanggan, Amaron juga memperkenalkan aplikasi mudah alih “Amaron 36” (bagi kedua-dua platform iOS dan juga Android), membolehkan pelanggan memeriksa ketulenan produk yang dibeli atau membuat tuntutan jaminan sekiranya bateri tersebut bermasalah.

    Ambil maklum bahawa program jaminan 36-bulan ini hanya sah bagi model-model bateri dari siri 38B20L, 46B24 dan jenis DIN yang diedarkan oleh Tecxus Marketing sahaja. Untuk maklumat lanjut, anda boleh menghubungi Amaron melalui laman Facebook rasmi mereka, atau emelkan ke [email protected].

     
     
  • Perodua jual 21,250 kenderaan pada Jun, terbaik 2020

    Perodua jual 21,250 kenderaan pada Jun, terbaik 2020

    Perodua telah mengumumkan, pada bulan Jun 2020, mereka berjaya menjual 21,250 buah kenderaan sekaligus menjadikannya sebagai bulan dengan jualan yang terbaik pada tahun 2020. Jumlah ini hampir tiga kali ganda berbanding jumlah pada bulan Mei iaitu 7,886 unit.

    Syarikat itu memberitahu, pengecualian cukai yang diberikan oleh kerajaan pada 5 Jun lalu untuk memberi galakan kepada jualan kenderaan telah memberikan kesan positif kepada jumlah jualan. Ia menyaksikan kereta pemasangan tempatan diberikan potongan cukai jualan 100% manakala kereta import (CBU) pula 50%.

    “Pengecualian cukai yang diberikan oleh kerajaan mempunyai banyak manfaat. Peningkatan jumlah yang banyak, yang diperoleh oleh kami hasil daripada pengecualian cukai ini dapat membenarkan kami membantu ekosistem pembekal dan pengedar dalam masa yang memerlukan ini – kami membeli komponen tempatan bernilai hampir RM500 juta pada bulan Jun sahaja,” kata presiden dan CEO Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad.

    Sebelum perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac, Perodua berjaya menjual 8,601 buah kenderaan pada bulan tersebut sebelum menghentikan operasi selama dua bulan. Pada bulan April pula, hanya 141 buah kenderaan didaftar dalam Malaysia dan Perodua masih kekal di atas dengan jualan 57 buah kenderaan. Jualannya bagi tahun ini berada sekitar 74,000 unit.

    Zainal turut memberitahu bahawa operasi pengilangan Perodua kini berada dalam kapasiti penuh dan kerja lebih masa (overtime) maksimum, dan mereka sedang berusaha keras untuk memastikan pelanggan menerima kenderaan mereka secepat mungkin tanpa ada kompromi pada keselamatan dan kualiti.

     
     
  • Proton jual 9,623 unit kenderaan sepanjang Jun 2020

    Proton jual 9,623 unit kenderaan sepanjang Jun 2020

    Bulan Jun menyaksikan pertumbuhan rancak angka jualan kenderaan di Malaysia, selepas pernigaan dan jualan mula disambung pada Mei lalu. Proton tidak terlepas daripada tempias kerancakan pasaran ini, dengan mencatatkan jualan sebanyak 9,623 unit sepanjang bulan Jun 2020.

    Angka berkenaan menjadi jualan kedua terbaik pada tahun 2020 dengan tiga model Proton mendahului dalam segmen masing-masing. Angka tersebut juga menunjukkan pertumbuhan 69.5% berbanding Mei 2020 dan kenaikan 26.3% berbanding bulan yang sama pada tahun 2019.

    Saga terus mencatat jualan terbaik secara bulanan, dengan angka pegangan pasaran setakat ini sebanyak 21.2%, dengan jualan Proton untuk separuh pertama tahun 2020 menunjukkan kenaikan 6.5% berbanding tempoh sama tahun lalu. Beza jumlah keseluruhan berbanding 2019 juga menurun kepada hanya 14.6%.

    Angka jualan Saga pada bulan Jun adalah yang tertinggi iaitu sebanyak 4,447 unit berbanding 4,275 unit yang dicatatkan pada Oktober 2019, yang merupakan angka terbaik bulanan sebelum ini dan merupakan yang tertinggi sejak Ogos 2014.

    Proton jual 9,623 unit kenderaan sepanjang Jun 2020

    Proton X70 pula berjaya mengekalkan kedudukan sebagai SUV segmen C terlaris, dan dengan 1,909 unit yang terjual pada bulan Jun, X70 turut menjadi SUV paling menjadi pilihan secara keseluruhan untuk separuh pertama tahun ini. Sementara itu, Proton Persona masih berada di kedudukan teratas dalam kategori sedan segmen B untuk bulan kedua berturut-turut.

    Walaupun terdapat penurunan jualan selama dua bulan, jumlah kumulatifnya mencatat lebih 25.1% berbanding tahun lepas. Proton Exora pula kekal menjadi MPV segmen C terlaris sementara Proton Iriz sebagai model hatchback segmen B Syarikat berada di kedudukan ketiga di dalam kategorinya.

    “Jualan Proton pada sebulan penuh pertama operasi semenjak Februari amat memberangsangkan. Dalam kami kekal optimis untuk separuh kedua tahun 2020, permintaan pembelian kereta di negara ini secara umumnya dan kenderaan Proton khususnya, menunjukkan peningkatan keyakinan pengguna terhadap produk kami. Ini didorong pengecualian cukai jualan yang diumumkan baru-baru ini,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar, Roslan Abdullah.

     
     
  • Pakar gesa ibu bapa guna CRS walaupun tindakan saman oleh kerajaan ditanggguhkan sementara

    Pakar gesa ibu bapa guna CRS walaupun tindakan saman oleh kerajaan ditanggguhkan sementara

    Mengulas langkah kerajaan yang menangguhkan perlaksanaan tindakan kompaun dan saman terhadap ibu bapa yang masih tidak menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) yang sepatutnya bermula semalam, Pakar keselamatan jalan raya daripada Jabatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia, Profesor Dr Kulanthayan KC Mani menegaskan bahawa orang ramai sepatutnya tidak mengabaikan terus amalan tersebut dan memperjudikan keselamatan anak masing-masing.

    Menurutnya dalam laporan Sinar Harian, kanak-kanak akan jauh lebih selamat berada dalam kerusi berkenaan berbanding duduk di riba orang dewasa, malah dengan ketinggian kurang 135 cm atau berat badan kurang 36 kilogram mereka juga tidak selamat untuk menggunakan tali pinggang keledar biasa.

    Beliau turut menegaskan, walaupun pengeluaran saman itu ditangguhkan, penggunaan CRS wajar diteruskan kerana produk itu mampu menyelamatkan nyawa kanak-kanak andainya berlaku kemalangan jalan raya.

    “Kalau setiap pengguna jalan raya melihat setiap produk keselamatan jalan raya sebagai satu kemestian, sebenarnya kita tidak perlu tunggu sama ada wujud atau tidak peraturan berkaitan.

    Pakar gesa ibu bapa guna CRS walaupun tindakan saman oleh kerajaan ditanggguhkan sementara

    “Ini memandangkan asas kegunaan produk keselamatan itu adalah untuk keselamatan diri sendiri, bukan sekadar memenuhi keperluan perundangan semata-mata,” katanya.

    Sementara itu dalam perkembangan sama, Sinar Harian turut melaporkan bahawa bekas Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Dr Siti Zaharah Ishak menggesa kerajaan agar dapat melaksanakan penguatkuasaan penggunaan CRS ini pada kenderaan persendirian dengan segera.

    Beliau yang juga pakar keselamatan jalan raya daripada Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Mara (UiTM) menegaskan, penguatkuasaan perlu dilakukan memandangkan tempoh enam bulan pelaksanaannya telah berakhir kelmarin.

    “Kalau tanya saya sebagai bekas ketua pengarah yang mempromosi dan membawa kepada menteri terdahulu, sudah tentu saya harap perkara ini dapat diteruskan seperti yang dirancang.

    “Sebab perancangan Miros adalah untuk mewajibkan pemakaiannya tetapi pendekatan kementerian pada ketika itu mahu penguatkuasaan yang lembut dalam tempoh enam bulan bermula 1 Januari lalu,” katanya kepada akhbar berkenaan.

    Sebelum ini, Siti Zaharah merupakan individu yang mengetuai Miros dengan membawa cadangan pelaksanaan penggunaan CRS kepada Menteri Pengangkutan pada masa itu, Anthony Loke Siew Fook dari Pakatan Harapan. Ia disusuli dengan arahan kerajaan untuk mewajibkan penggunaan tempat duduk berkenaan pada 1 Januari 2020 dan tindakan penguatkuasaan termasuk kompaun dan saman sepatutnya mula dibuat enam bulan kemudian iaitu selepas berakhirnya 30 Jun.

    Tetapi susulan pandemik Covid-19 yang melanda negara menyebabkan ramai yang terjejas dari segi pendapatan, Menteri Pengangkutan baharu yang dilantik dari Perikatan Nasional, Datuk Seri Wee Ka Siong mengumumkan bahawa langkah itu akan ditangguhkan terlebih dahulu ke satu tarikh lain yang akan ditentukan kelak.

    Namun beliau menegaskan walaupun penguatkuasaan ini ditangguhkan, kementeriannya masih meneruskan peraturan ini atas dasar keselamatan kanak-kanak yang menaiki kenderaan serta aktiviti advokasi juga akan diteruskan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025