Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Bridgestone Potenza Adrenalin RE004 kini di Malaysia – harga bermula RM300, untuk rim 15 hingga 17-inci

    Bridgestone Malaysia telah mengumumkan bahawa “tayar sport premium untuk jalan raya”, Porenza Adrenalin RE004 kini sudah mula dijual di Malaysia, bagi menggantikan Potenza Adrenalin RE003 sebelum ini. Menurut jenama tayar dari Jepun itu, tayar baharu ini akan menjanjikan “lebih keseronokan memandu dengan pengendalian maksimum dan responsif tinggi pada permukaan kering dan basah”.

    Bridgestone turut menyatakan Potenza Adrenalin RE004 ini menawarkan pengendalian yang baik pada permukaan kering dan membrek ketika basah, dalam masa yang sama mematuhi standard EDE R177-02, iaitu peraturan antarabangsa yang diwujudkan oleh Suruhanjaya Ekonomi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Eropah (UNECE) yang memantau emisi bunyi, rintangan golekan dan prestasi basah sesebuah tayar.

    Tayar baharu ini juga didakwa lebih baik dari versi sebelum ini (RE003 masuk ke pasaran Malaysia pada 2015), di mana dalam ujian dalaman yang dibuat, pengendalian kering dan respon permulaan adalah perkara yang paling banyak menunjukkan peningkatan, diikuti oleh prestasi ketika cuaca basah.

    Bridgestone Potenza Adrenalin RE004 kini di Malaysia – harga bermula RM300, untuk rim 15 hingga 17-inci

    Manakala keselesaan memandu turut sedikit lebih baik dari sebelum ini, serta kadar kesenyapan dan juga tahap membrek ketika kering adalah masih sama seperti RE003. Ujian ini dilakukan di Thailand dengan menggunakan Honda Civic FC. Keputusan penuh boleh anda rujuk menerusi carta rajah di atas.

    Sekali tengok, bunga tayar “Berbentuk-A” pada RE004 ini kelihatan hampir sama dengan RE003. Tetapi ia sebenarnya menampilkan alur-alur bunga yang lebih banyak bagi memberikan prestasi mengambil selekoh dan membrek yang lebih baik, serta hadir dengan blok-blok penghubung yang lebih kuat untuk memberikan kadar sensitif yang lebih baik dalam masa yang sama mengurangkan pergerakan yang tidak perlu pada kelajuan tinggi.

    Potenza Adrenalin RE004 ini juga tampil dengan bahu tayar yang lebih lebar bagi memberikan titik sentuhan lebih banyak dengan permukaan jalan, membolehkan agihan tekanan lebih tinggi serta memberikan tahap prestasi yang lebih konsisten, dakwa Bridgestone.

    Bridgestone Potenza Adrenalin RE004 kini di Malaysia – harga bermula RM300, untuk rim 15 hingga 17-inci

    Tayar baharu ini dihasilkan dengan kompaun campuran baharu, menampilkan silika yang dapat diadun dengan lebih sekata, memberikan prestasi kering dan basah lebih baik dan juga rintangan golekan yang lebih rendah untuk kadar efisien yang lebih baik.

    Bridgestone Potenza Adrenalin RE004 kini sudahpun boleh dibeli di semua pengedar bertauliah Bridgestone di seluruh Malaysia. Sebanyak 17 saiz berbeza boleh dipilih oleh pembeli untuk kegunaan rim berdiameter 15 hingga 17-inci. Ia dijual pada harga bermula RM300 hingga RM852 seunit. Lebih perincian tentang harga boleh anda rujuk pada carta dalam galeri di bawah.

     
     
  • PKPB: Tiada lagi pergerakan rentas negeri, individu ingkar akan dikompaun di sekatan jalan raya – Menteri

    PKPB: Tiada lagi pergerakan rentas negeri, individu ingkar akan dikompaun di sekatan jalan raya – Menteri

    Hari ini, kerajaan telah memutuskan pergerakan rentas negeri tidak dibenarkan sama sekali bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19. Pengumuman yang dibuat oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, turut menegaskan kenderaan yang cuba merentas negeri bukan hanya akan diarah berpatah balik tetapi juga turut dikenakan kompaun di sekatan jalan raya.

    “Kerajaan telah memutuskan pergerakan merentas negeri tidak dibenarkan sama sekali. Justeru, orang ramai tidak perlu lagi ke balai polis untuk mendapatkan surat kebenaran. Kita tidak akan bertolak ansur lagi dalam soal rentas negeri ini,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya, sebentar tadi.

    Keputusan ini terpaksa diambil memandangkan orang ramai masih lagi berdegil untuk cuba melakukan pergerakan merentas negeri.

    Menurutnya, semalam sahaja sebanyak 2,412 kenderaan cuba merentas negeri dan dinasihatkan polis berpatah balik.

    PKPB: Tiada lagi pergerakan rentas negeri, individu ingkar akan dikompaun di sekatan jalan raya – Menteri

    “Minat mereka yang ingin balik ke kampung sempena Aidilfitri ini masih tidak berubah walaupun setiap hari kita mengeluarkan nasihat. Contohnya, semalam terdapat lebih 1,300 individu yang beratur di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk meminta kebenaran polis untuk balik ke kampung. Mereka sanggup beratur di tengah panas dengan alasan untuk mencuba nasib,” katanya.

    Apabila ditanya tentang permohonan rentas negeri yang telah diluluskan sebelum ini, Ismail Sabri berkata, “Kalau diluluskan sekali pun, tentu saja lulus untuk balik kampung untuk hari berkenaan sahaja, bukannya tiga-empat hari sebelum. Itu pun kerana hal kecemasan seperti kematian, selain dari itu, polis tidak akan benarkan. Jadi tak timbul isu, dah lulus tapi tarik balik.”

    Berkenaan dengan orang ramai yang dapat lolos pergerakan rentas negeri untuk pulang ke kampung, Ismail menegaskan, “Jangan fikir kalau ada terlepas balik ke kampung, tapi belum tentu boleh lepas bila nak balik ke rumah sendiri nanti, polis juga boleh mengesan individu tersebut.”

     
     
  • Nissan GT-R50 Italdesign versi produksi didedahkan

    Nissan GT-R50 Italdesign versi produksi didedahkan

    Nissan GT-R50 iaitu sebuah R35 yang mendapat sentuhan istimewa firma rekaan Itali, Italdesign sepatutnya dipertontonkan kepada umum sewaktu Geneva Motor Show Mac lalu, tapi disebabkan pandemik Covid-19 ia telah dibatalkan. Sekarang, gambar versi produksi bagi model yang dijual pada harga 990,000 euro (RM4.7 juta) ini telah didedah dan proses pengeluaran juga sudah bermula.

    Model ini akan dikeluarkan terhad sebanyak 50 unit sahaja, dan ia menggunakan casis serta enjin VR38DETT 3.8 liter V6 turbo berkembar sama seperti R35 Nismo 2018. Walaubagaimanapun, beberapa bahagian telah dipertingkat untuk menjadikan kuasanya 720 PS dan tork maksima 780 Nm.

    Antara bahagian yang menyumbang kepada peningkatan kuasa ini adalah pengecas turbo spesifikasi GT3 bersama intercooler yang lebih besar, crankshaft, piston, connecting rod dan bearing yang lebih tahan lasak, profil camshaft yang lebih agresif, serta sistem kemasukan udara dan ekzos yang dirombak semula.

    Nissan GT-R50 Italdesign versi produksi didedahkan

    Kuasa yang lebih besar ini akan dibantu oleh sistem suspensi dengan penyerap boleh laras Bilstein DampTronic I, bersama sistem brek enam piston di depan dan empat piston di belakang berwarna merah dari Brembo. Bagi memastikan kereta ini sentiasa melekat pada permukaan aspal, rim-rim rekaan istimewa 21-inci pada kereta ini dibalut dengan tayar Michelin Pilot Super Sport bersaiz 255/35R21 di hadapan dan 285/30R21 di belakang.

    Untuk bahagian luaran pula, boleh dikatakan keseluruhan komponen badan telah menerima rekaan semula oleh Italdesign. Bahagian bukaan udara hadapan adalah rekaan baru sementara lampu hadapan LED lebih nipis dipanjangkan. Dari sisi, anda boleh lihat bayangan badan yang lebih agresif dari GT-R standard kerana ia telah direndahkan sebanyak 54 mm.

    Perubahan lebih ekstrem dapat dilihat pada bahagian belakang. Bahagian cermin belakang diberikan tingkap berbentuk-V yang lebih kecil, manakala panel sekelilingnya pula direka seakan untuk mengalirkan udara terus kebahagian but serta turut direka lebih rendah.

    Nissan GT-R50 Italdesign versi produksi didedahkan

    Lampu belakang dengan rekaan dua-bulat signatur GT-R bersama emblem masih lagi kekal, tetapi ia kelihatan seperti terapung kerana bahagian lain yang telah direndahkan. Versi istimewa ini juga dibekalkan dengan spoiler belakang boleh laras di mana sayap belakang tersebut boleh dinaikkan atau disorokkan, dikawal secara elektrohidraulik.

    Kabin Nissan GT-R50 ini turut berbeza dari R35 biasa, menampilkan papan pemuka yang direka semula serta menampilkan banyak komponen dibuat daripada gentian karbon, serta balutan Alcantara dan kulit untuk tempat duduk. Secara keseluruhan, kabin jentera ini menerapkan rekaan seperti kereta lumba sebenar.

     
     
  • Toyota jangka keuntungan operasi susut sebanyak 80%, jualan global bakal turun 1.5 juta unit tahun ini

    Toyota jangka keuntungan operasi susut sebanyak 80%, jualan global bakal turun 1.5 juta unit tahun ini

    Toyota menjangkakan keseluruhan keuntungan operasi untuk tahun 2020 dijangka susut sebanyak 80%, terendah dalam tempoh sembilan tahun, disebabkan wabak pandemik COVID-19. Malahan pengeluar automotif ini turut menjangkakan jualan keseluruhan juga akan bergerak perlahan untuk sepanjang tahun ini, dengan jualan global dijangka turun lebih 1.5 juta unit berbanding tahun lalu.

    Syarikat ini turut meramalkan keuntungan operasi sebanyak 500 bilion yen (RM20.23 bilion) sehingga Mac 2021, menyusut dari 2.44 trilion yen (RM98.7 bilion) yang dicapai dalam tahun baharu berakhir, laporan Reuters.

    “Coronavirus menjadi penyebab kemelesetan ekonomi, lebih teruk berbanding krisis ekonomi dunia pada tahun 2008. Kami menjangkakan jumlah jualan yang menyusut teruk pada peringkat global,” ujar presiden Akio Toyoda pada minggu lalu.

    Toyota jangka keuntungan operasi susut sebanyak 80%, jualan global bakal turun 1.5 juta unit tahun ini

    Ia turut meramalkan jualan di peringkat global dengan sebanyak 8.9 juta kenderaan pada tahun ini, menyusut berbanding 10.46 juta unit yang dicapai pada tahun sebelum ini. Malahan jualan tersebut juga dijangka tidak dapat menandingi jumlah pada tahun 2019, sehingga tahun hadapan.

    Disebabkan faktor tersebut, bahagian produksi juga telah dikurangkan pengeluaran berikutan permintaan pasaran yang lemah. Di Jepun, pengeluaran kenderaan akan dikurangkan sehingga 122,000 unit pada Jun dengan 15 kilang produksi dihentikan selama empat hari pada bulan hadapan. Sebelum ini, pengeluar kenderaan tersebut juga dilaporkan akan mengurangkan produksi di Amerika Utara sehingga Oktober ini.

    Walau pun keuntungan merosot dan juga melibatkan penurunan margin, namun Toyota akan menyalurkan lebih dari satu trilion yen (RM40.4 bilion) untuk perbelanjaan modal dan pelaburan R&D, di mana peruntukan tersebut tidak berubah sejak tahun lalu. Ini kerana Toyota tidak mahu berhenti melabur untuk masa hadapan, ujar pegawai operasi Koji Kobayashi.

     
     
  • Volvo mula hadkan kelajuan maksima 180 km/j pada semua model baharu bagi kurangkan kadar kematian

    Volvo mula hadkan kelajuan maksima 180 km/j pada semua model baharu bagi kurangkan kadar kematian

    Selain dari terkenal dengan keselamatan, prestasi yang dibekalkan oleh enjin Drive-E Volvo terutamanya dalam varian T6 dan T8 yang menggunakan pengecas turbo dan supercharger serentak sememangnya mengujakan. Namun, sekali lagi berbalik kepada faktor keselamatan, jenama Sweden tersebut kini mengotakan janjinya untuk mengehadkan secara elektronik kelajuan semua model mereka kepada 180 km/j sahaja.

    Menurut Volvo dalam pengumuman yang telah pun dibuat pada Mac tahun lalu ini, langkah yang diambil tersebut adalah selaras dengan sasaran mereka untuk mengurangkan kecederaan ketika kemalangan dan tidak mahu sebarang kehilangan nyawa berlaku dalam kereta mereka, kerana kelajuan merupakan salah satu penyebabnya.

    Volvo turut menegaskan, walaupun langkah ini dipersoalkan oleh pemerhati-pemerhati dalam industri dan mungkin akan kehilangan pelanggan berpotensi, ia akan terus dibuat kerana mereka percaya ini adalah salah satu cara untuk menyelamatkan banyak nyawa.

    Volvo mula hadkan kelajuan maksima 180 km/j pada semua model baharu bagi kurangkan kadar kematian

    Selain dari had laju ini, setiap model baharu Volvo juga kini hadir dengan kunci kereta yang digelar Care Key. Dengan kunci tersebut, pemilik boleh mengehadkan lagi kelajuan pada kereta berkenaan jika ia dipandu oleh orang yang kurang berpengalaman – misalnya ketika ia dipinjamkan kepada anak atau ahli keluarga lain dan juga rakan-rakan.

    “Masalah dengan kelajuan ini adalah pada kelajuan-kelajuan tertentu, teknologi dalam kereta dan rekaan infrastruktur pintar sudah tidak cukup untuk mengelakkan kecederaan teruk dan kehilangan nyawa sekiranya kemalangan berlaku.”

    “Ini sebabnya mengapa had laju diwartakan di kebanyakkan negara barat, namun kereta masih boleh dipandu laju di mana-mana dan menjadi sebab biasa jika berlaku kemalangan jiwa dalam trafik. Berjuta orang masih menerima saman laju setiap tahun,” jelas Volvo dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

    Volvo mula hadkan kelajuan maksima 180 km/j pada semua model baharu bagi kurangkan kadar kematian

    Volvo turut memetik bahawa masyarakat mempunyai pengetahuan yang rendah berkenaan bahaya memandu laju. Ini membuatkan mereka selalu memandu terlalu laju, atau tidak dapat mengadaptasi kelajuan tersebut berdasarkan keadaan trafik semasa.

    “Kami percaya bahawa pengeluar kereta mempunyai tanggungjawab untuk bantu meningkatkan keselamatan trafik,” kata ketua Pusat Keselamatan Volvo Cars, Malin Ekholm.

    “Teknologi pengehad kelajuan kami, dan dialog di mana ia bermula, sesuai dengan pemikiran tersebut. Mengehadkan kelajuan dan Care Key akan membantu masyarakat reflek dan sedar bahawa kelajuan adalah bahaya, dalam masa yang sama memberikan ketenangan jiwa dan menyokong sikap ketika memandu yang lebih baik,” tambahnya.

    Jadi adakah usaha ini akan turut dijalankan di Malaysia? Menurut Volvo Cars Malaysia, antara model terawal yang akan menerapkan fungsi tersebut adalah sedan S60 T8 Twin Engine R-Design versi pemasangan tempatan (CKD) yang baharu sahaja diperkenalkan minggu ini. Namun jika anda belinya sekarang, anda masih akan menerima S60 yang boleh mencapai kelajuan 250 km/j, kerana ia hanya mula diadaptasi pada versi-versi kumpulan pemasangan berikutnya.

     
     
  • Mitsubishi catat penurunan keuntungan operasi 89%, beri tumpuan kepada ASEAN untuk kekal kompetitif

    Mitsubishi catat penurunan keuntungan operasi 89%, beri tumpuan kepada ASEAN untuk kekal kompetitif

    Dengan keuntungan tahunan yang merudum sebanyak 89%, Mitsubishi Motors mensasarkan untuk memotong kos tetap sebanyak 20% atau lebih dalam tempoh dua tahun ini untuk membolehkannya kekal kompetitif, lapor Reuters.

    Selaku pengeluar kenderaan keenam terbesar di Jepun, Mitsubishi melaporkan keuntungan operasi sebanyak 12.8 bilion yen (RM517 juta) bagi tahun berakhir pada Mac, jatuh dengan sangat ketara berbanding 111.8 bilion yen (RM4.5 bilion) yang dicapai tahun lalu. Tiada ramalan pendapatan didedahkan oleh syarikat itu untuk tahun ini.

    Dengan Covid-19 menjadi salah satu faktornya, syarikat itu sebenarnya telah berdepan dengan situasi mencabar sejak tahun lalu. Ia telah menjual 1.13 juta kenderaan di peringkat global setakat Mac lalu, turun 9% daripada tahun sebelumnya. Jualannya di China dan di pasaran Asia Tenggara yang lebih besar juga merudum – terdiri daripada suku daripada jumlah jualan keseluruhan.

    Mitsubishi catat penurunan keuntungan operasi 89%, beri tumpuan kepada ASEAN untuk kekal kompetitif

    Mitsubishi Motors berkata, ia akan kekal komited kepada Asia Tenggara, dan akan menumpukan perhatian terhadap pertumbuhan di negara-negara ASEAN untuk terus kekal beroperasi selepas kesan pandemik ketika ini. Langkah berkenaan adalah sebahagian daripada pelan oleh pakatan Renault–Nissan–Mitsubishi.

    “Sebelum virus merebak, kami telah mempertimbangkan untuk mengenal pasti segmen kenderaan serta pasaran yang kurang berprestasi untuk mengurangkan kehadiran kami. Selepas mengharungi wabak virus terbaru ini, kami perlu mempergiat usaha untuk melakukan perubahan tersebut. Untuk kekal competitive dalam pasaran pasca-coronavirus, kami perlu memperkecilkan kawasan operasi dan memberi tumpuan kepada rantau dan segmen yang menunjukkan prestasi,” jelas CEO Mitsubishi Motors, Takao Kato.

    Pengeluar kenderaan berhadapan dengan masalah besar kesan daripada pandemik ketika ini. Terdahulu, Honda melaporkan keuntungan operasinya tahun ini jatuh 13%, sementara Toyota pula yang walaupun mencatatkan 2.44 trilion yen (RM98.7 bilion) tahun ini, menjangkakan keuntungan akan jatuh sebanyak 80% untuk tahun depan.

     
     
  • VIDEO: Geely Haoyue VX11 2020 tujuh-tempat duduk

    Geely telah menunjukkan sebuah video teaser bagi SUV flagship keluarannya, Haoyue VX11 2020. Video berkenaan merupakan campuran imej janaan komputer dan juga sedutan sebenar SUV terbabit yang dirakam di ibupejabat syarikat itu di Hangzhou.

    Agak sukar untuk melihat dengan pasti saiz sebenar SUV Haoyue daripada sedutan video ini. Bagaomanapun, ia akan menjadi SUV paling besar yang pernah dikeluarkan oleh Geely. Ukurannya adalah seperti berikut; 4,835 mm panjang, 1,900 mm lebar, 1,780 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,815 mm. Ini lebih kurang saiz yang sama dengan Mazda CX-8, dan lebih besar daripada Hyundai Santa Fe.

    Turut ditunjukkan ialah keadaan kokpit pemandunya, menampilkan stereng tiga jejari balutan kulit, panel instrumen digital, skrin sentuh lebar dengan kemasan krom dikelilingnya serta tombol kawalan multimedia fizikal. Model paling tinggi lengkap dengan kawalan pendingan hawa empat zon dengan corong di barisan kedua.

    VIDEO: Geely Haoyue VX11 2020 tujuh-tempat duduk

    Babak terakhir juga menampakkan rekaan unik lampu belakang LED pada Haoyue, pintu belakang kuasa elektrik serta ruang kargo yang besar. Model pra-pengeluaran ini didatangkan dengan lima-tempat duduk, yang menurut Geely akan memberikan kapasiti ruang barangan 2,370 liter dengan barisan kedua dilipat. Versi tujuh-tempat duduk pula akan mempunyai ruang 2,050 liter, memadai untuk mengangkut barangan keperluan rumah seperti peti sejuk.

    Ketika ini, khabar angin menyatakan yang Geely Haoyue akan didatangkan dengan enjin petrol turbocas untuk pasaran China. Ia bermula dengan unit 1.5 liter tiga-silinder dengan janaan 174 PS dan 225 Nm tork, dan juga unit pada Boyue, 1.8 liter empat-silinder yang menghasilkan 181 PS dan 300 Nm tork. Gandingan transmisi pula ialah dari jenis klac berkembar tujuh-kelajuan yang menghantar kuasa ke roda hadapan.

    Jika anda belum tahu, kami pernah tunjukkan ilustrasi digital bagaimana sekiranya model ini dijelmakan sebagai model Proton X90 yang lebih besar, serta imej bayangan sekiranya ia sebuah trak pikap Proton.

     
     
  • Niu MQi2 – pelancaran skuter elektrik atas talian kumpul 3.5 juta penonton, 33,878 terjual di China

    Niu MQi2 – pelancaran skuter elektrik atas talian kumpul 3.5 juta penonton, 33,878 terjual di China

    Meskipun perintah berkurung di China sudah dilonggarkan, pengeluar motosikal elektrk, Niu, masih tidak mahu melakukan acara yang mengumpulkan ramai orang dan melancarkan produk terbaru mereka, Niu MQi2 secara atas talian. Menariknya, dalam masa empat jam siaran secara langsung tersebut, ia telah berjaya mengumpul 3.5 juta penonton dan 33,878 tempahan telah diterima.

    Skuter elektrik ini datang dalam dua varian iaitu MQi2 Lite dan MQi2 Citi, dengan harga masing-masing 4,599 RMB (RM2,819) dan 5,199 RMB (RM3,186). Direka khas untuk pasaran China, MQi2 ini lebih sesuai digunakan dalam bandar, dengan jarak yang tidak terlalu jauh.

    Kedua-dua varian digerakkan oleh motor elektrik 400W namun versi Lite mendapat bateri lithium ion 48 volt 16 Ah yang mempunyai berat 6.5 kg manakala versi Citi menggunakan bateri 20 Ah seberat 6.7 kg. Kelajuan maksimum skuter elektrik ini dihadkan kepada 25 km/j dan jarak maksimum dikatakan boleh mencecah 65 km.

    Niu MQi2 – pelancaran skuter elektrik atas talian kumpul 3.5 juta penonton, 33,878 terjual di China

    Kelengkapan pada MQi2 agak ringkas dengan suspensi jenis teleskopik di hadapan, monoshock di belakang, brek cakera di depan dan brek dram di belakang. Walaupun begitu, pengguna masih boleh menyambungkan telefon pintar kepada sistem skuter ini untuk memaparkan maklumat penting termasuk lokasinya.

    Hanya satu tempat duduk disediakan pada MQi2 dan ia mempunyai ketinggian 735 mm dari tanah. Pelanggan yang membuat tempahan atas talian untuk skuter ini di China boleh memilih penghantara terus ke rumah ataupun ambil sendiri di 1,050 wakil pengedar mereka di negara itu.

     
     
  • Polis Selangor memantapkan lagi sekatan jalan raya di lima laluan keluar utama – 30,122 lulus rentas negeri

    Polis Selangor memantapkan lagi sekatan jalan raya di lima laluan keluar utama – 30,122 lulus rentas negeri

    Menjelang sambutan Aidilfitri ini, Polis Selangor akan memantapkan lagi sekatan jalan raya di lima laluan keluar utama di negeri ini bagi mengekang pergerakan rentas negeri tanpa kebenaran.

    Menurut jurucakap Khas Op COVID-19 Polis Selangor, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew, lima sekatan jalan raya berkenaan ialah Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Plaza Tol Tanjung Malim, PLUS arah selatan berhampiran Plaza Tol Putra Mahkota dan Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) arah selatan berhampiran Plaza Tol Bandar Serania.

    “Sekatan jalan raya turut akan dijalankan di Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) arah selatan berhampiran Plaza Tol Eco Majestic dan di Plaza Tol Gombak. Kesemua sekatan jalan raya ini akan dibuat di laluan lebuh raya itu sendiri.

    Polis Selangor memantapkan lagi sekatan jalan raya di lima laluan keluar utama – 30,122 lulus rentas negeri

    “Mana-mana kenderaan didapati melakukan perjalanan rentas negeri tanpa kebenaran akan dikenakan kompaun serta diarah berpatah balik,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Sejak Rabu lalu hingga semalam, sebanyak 118,852 kenderaan telah diperiksa menerusi 14 sekatan jalan raya dengan 2,405 kenderaan diarah berpatah balik kerana cuba merentas negeri tanpa kebenaran.

    Tambahnya lagi, bagi tempoh 6 Mei sehingga semalam juga, polis menerima 33,090 permohonan rakyat Selangor untuk merentas negeri dengan 30,112 daripadanya diluluskan selepas memenuhi syarat ditetapkan.

    Polis Selangor memantapkan lagi sekatan jalan raya di lima laluan keluar utama – 30,122 lulus rentas negeri

    Dalam hal lain, beliau turut berkata, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac, sehingga semalam, sebanyak 9,503 kes kemalangan jalan raya dilaporkan di Selangor. Di mana daripada jumlah itu, sebanyak 80 kes kemalangan maut membabitkan 81 kematian dilaporkan.

    “Dalam tempoh itu, statistik menunjukkan 30 orang parah dan 141 cedera ringan. Pada masa sama, sebanyak 65,781 saman membabitkan kesalahan trafik dikeluarkan,” katanya.

    Beliau turut berkata, mereka yang melakukan kesalahan membabitkan perilaku, memandu melebihi had laju, tidak memakai topi keledar dan melanggar isyarat merah tetap akan disaman seperti biasa.

    Sambungnya lagi, “Orang ramai diingatkan bahawa pengecualian sepanjang tempoh PKP hanya tertakluk kepada kesalahan lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh sahaja.”

     
     
  • BMW Malaysia menawarkan kerusi keselamatan kanak-kanak lebih murah di Shopee untuk ibubapa B40

    BMW Malaysia menawarkan kerusi keselamatan kanak-kanak lebih murah di Shopee untuk ibubapa B40

    BMW Malaysia menerusi Safe ‘n Sound dan Childline Foundation telah mengumumkan pelancaran fasa kedua bagi program subsidi kerusi keselamatan kanak-kanak buat ibubapa dari golongan pendapatan B40. Di mana kerusi keselamatan tersebut ditawarkan dengan harga diskaun istimewa di Shopee yang juga rakan e-dagang eksklusif bagi program ini.

    Ini merupakan sebahagian daripada inisiatif BMW Safety 360° iaitu program subsidi yang telah diperkenalkan pada bulan Disember 2019 bersama Safe ‘n Sound dan Childline Foundation. Sebanyak 150 buah kerusi keselamatan kanak-kanak ditawarkan pada harga bersubsidi bernilai RM100 seunit. Inisiatif berkenaan telah meraih lebih daripada 25,000 pendaftaran oleh ibu bapa dalam kumpulan pendapatan B40.

    Tiga jenis kerusi keselamatan kanak-kanak ditawarkan iaitu untuk bayi yang baru lahin sehinggalah berat mencecah 36 kg. Bagi yang telah mendaftar di bawah program ini, boleh membeli kerusi keselamatan berkenaan dengan harga diskaun istimewa sebanyak RM149 untuk kerusi bayi snskidz Ace (sesuai untuk bayi yang baru lahir hingga berat cecah 13 kg, harga asal RM199), RM219 untuk snskidz Sport (bayi baru lahir hingga usia empat tahun, harga asal RM269) dan RM299 untuk snskidz Proto (untuk kanak-kanak dua tahun hingga berat 36 kg, harga asal RM349).

    BMW Malaysia menawarkan kerusi keselamatan kanak-kanak lebih murah di Shopee untuk ibubapa B40

    Subsidi sebanyak RM50 juga akan ditambah, menyaksikan penurunan harga untuk setiap produk masing-masing menjadi RM99, RM169 dan RM249. Malah pembeli juga akan menerima baucar Shopee bernilai RM113 yang boleh ditebus nilai menerusi laman mikro khas.

    Laman web terbabit juga membuka peluang kepada orang ramai untuk memberikan sumbangan tanpa nilai minimum, bagi mempercepatkan proses penghantaran kerusi keselamatan terbabit. Kesemua dana yang dikumpul akan disalurkan kepada Childline Foundation untuk mensubsidikan sebanyak mana kerusi keselamatan kanak-kanak bagi pendaftar yang berbaki.

    Program ini turut mendapat sokongan daripada beberapa jenama barangan bayi dan kanak-kanak seperti KU.KU Duckbill dan Otomo, pengedar barang permainan pendidikan Mideer, pembekal solusi penyimpanan makanan Ankou dan pembekal aksesori kenderaan Kakimotor.

     
     
  • Imej paten Toyota Yaris facelift muncul di Argentina

    Imej paten Toyota Yaris facelift muncul di Argentina

    Toyota Yaris – ramai yang menyatakan bahawa muka hatchback ini menerima rekaan terlalu sibuk, malah ada juga yang tidak berapa menggemarinya kerana terlalu seiras dengan kembar sedannya iaitu Vios. Namun nampaknya ia bakal berubah menerusi versi facelift selepas ini.

    Portal automotif Argentina, Parabrisas telah mendedahkan bahawa Toyota telah pun memfailkan rekaan paten untuk Toyota Yaris facelift di negara berkenaan. Nampaknya, Yaris facelift tersebut bakal menerima rekaan bampar hadapan baharu dengan ‘mulut’ seperti Corolla dan Yaris pasaran Eropah, serta diberikan elemen gril sarang lebah yang lebih sporty.

    Bampar belakang turut menerima sentuhan semula dengan rekaan ala-diffuser pada bahagian bawah sebelum ini diubah dengan rupa yang lebih ringkas tetapi masih nampak garang. Namun, selain dari perubahan pada bampar, rekaan lain termasuk lampu hadapan dan belakang nampaknya masih kekal sama seperti sebelum ini.

    Imej paten Toyota Yaris facelift muncul di ArgentinaImej paten Toyota Yaris facelift muncul di Argentina

    Selain dari negara-negara Amerika Selatan, Yaris yang dihasilkan dari sedan Vios ini juga dipasarkan di negara-negara ASEAN termasuk Malaysia. Jadi berkemungkinan besar kita juga bakal menerima kemaskini rekaan yang sama pada masa akan datang.

    Walau bagaimanapun, Parabrisas turut melaporkan bahawa Toyota turut telah mendaftarkan paten untuk Toyota Yaris generasi baharu yang dibina dari platform TNGA-B yang dihasilkan untuk pasaran Jepun dan Eropah. Portal berkenaan turut menyatakan, model ini mungkin akan masuk ke pasaran Argentina seawal 2021.

    GALERI: Toyota Yaris 1.5G pasaran Malaysia

     
     
  • PKPB: Polis Kubang Pasu mula ronda dari rumah ke rumah, buru kenderaan rentas negeri tanpa kebenaran

    PKPB: Polis Kubang Pasu mula ronda dari rumah ke rumah, buru kenderaan rentas negeri tanpa kebenaran

    Berikutan arahan dari kerajaan kepada pihak berkuasa yang memantau perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk memeriksa kenderaan yang merentas negeri tanpa kebenaran bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri dari rumah ke rumah, Polis IPD Kubang Pasu, Kedah kini sudahpun memulakan tugas berkenaan.

    Gambar-gambar ini disiarkan oleh laman Facebook Rasmi PDRM Kubang Pasu, yang memaparkan mereka bersama pihak berkuasa lain termasuk ATM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan RELA telah menjalankan pemeriksaan kenderaan dari rumah ke rumah di daerah berkenaan bagi mengesan mereka yang degil melanggar larangan kerajaan bagi mengelakkan penularan Covid-19 tersebut.

    Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador tempoh hari, pihaknya tidak mempunyai masalah untuk mengesan kereta-kereta yang merentas negeri tanpa kebenaran ini kerana setiap kereta yang telah diberikan permit pergerakan mempunyai rekod dengan polis.

    PKPB: Polis Kubang Pasu mula ronda dari rumah ke rumah, buru kenderaan rentas negeri tanpa kebenaran

    “Polis memiliki rekod butiran individu serta kenderaan mereka yang diberikan permit atau kebenaran untuk melakukan pergerakan antara negeri,” tegasnya.

    Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin pula, pasukannya bersama tentera akan memeriksa nombor pendaftaran kenderaan, terutamanya jika ada banyak yang diparkir di luar rumah atau dalam kawasan perumahan.

    “Kami akan memeriksa semula nombor pendaftaran dengan senarai kami dan melihat sama ada kenderaan dan pemiliknya dibenarkan untuk perjalanan antara negeri atau tidak. Sekiranya kami mengetahui ada pihak melanggar perintah larangan perjalanan rentas negeri, kami akan menahan pemilik kenderaan,” jelasnya.

    Sejak Jumaat lalu sehingga semalam, pihak polis telah mengesan terlalu banyak kenderaan yang cuba untuk curi-cuti merentas negeri tanpa kebenaran dengan tujuan untuk berhari raya di kampung halaman.

    Sebanyak 508 kenderaan dikesan melakukan kesalahan tersebut pada Jumaat lalu, dan ia meningkat kepada 1,248 kenderaan pada Sabtu, 1,175 kenderaan pada Ahad, 1,633 kenderaan pada Isnin, dan paling ramai dicatatkan ialah semalam dengan jumlah mengejutkan 3,212 kenderaan. Kesemua mereka telah pun diarah untuk berpatah balik.

    Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, YBhg Datuk Dr Noor Hisham Abdullah juga gusar dengan tindakan degil sebahagian rakyat Malaysia ini kerana sebanyak 18 kluster daripada jumlah keseluruhan 49 kluster yang pernah dicatatkan dalam negara adalah berkaitan dengan aktiviti merentas negeri, dan 10 daripada kluster-kluster tersebut adalah masih aktif.

    Selepas Perdana Menteri mengumumkan PKPB bermula 4 Mei lalu, kerajaan telah memberi kelonggaran bergerak secara beransur-ansur. Buat masa sekarang, rakyat tidak lagi perlu untuk berseorang di dalam kenderaan, perjalanan melebihi radius 10 km sudah dibenarkan, dan tiada lagi had perjalanan hanya sehingga 10 malam. Namun pergerakan untuk merentas negeri masih lagi belum diberikan.

     
     
  • PKPB: 3,212 kenderaan cuba rentas negeri diarah berpatah balik dalam 216 sekatan jalan raya – Menteri

    PKPB: 3,212 kenderaan cuba rentas negeri diarah berpatah balik dalam 216 sekatan jalan raya – Menteri

    Walau pun setiap hari kerajaan sentiasa mengulangi kenyataan berhubung larangan pergerakan merentas negeri untuk pulang ke kampung, namun masih terdapat segelintir rakyat Malaysia yang berdegil dan mahu mencuba nasib.

    Dalam sidang media harian yang berlangsung di Putrajaya sebentar tadi, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, memaklumkan, semalam, jumlah kenderaan yang diarah berpatah balik kerana cuba melakukan perjalanan rentas negeri untuk pulang ke kampung tanpa alasan munasabah semalam, meningkat sekali ganda berbanding kelmarin.

    Sebanyak 3,212 kenderaan yang cuba merentas negeri atas alasan mahu pulang ke kampung untuk berhari raya, diarah berpatah balik oleh polis, berbanding 1,633 kenderaan kelmarin, sekali gus melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

    “Kelmarin ada lebih 1,000 kenderaan cuba rentas negeri dan jumlah itu sudah kita anggap tinggi, namun semalam meningkat lagi sehingga lebih 3,000. Ini bermakna jumlah mereka yang berniat balik ke kampung masih ramai dengan cuba melepaskan diri daripada sekatan jalan raya.

    PKPB: 3,212 kenderaan cuba rentas negeri diarah berpatah balik dalam 216 sekatan jalan raya – Menteri

    “Namun, polis akan bertindak tegas dan tidak akan benarkan sesiapa merentasi negeri untuk pulang ke kampung sempena Aidilfitri. Kecuali atas kes kecemasan seperti kematian dan kebenaran perlu diperoleh dari balai polis berhampiran,” katanya.

    Beliau turut berkata, semalam Polis DiRaja Malaysia (PDRM) juga telah mengeluarkan sebanyak 51 kompaun kepada individu yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKPB. Selain itu, PDRM turut menahan 44 individu lain atas kesalahan melanggar SOP di mana 40 daripadanya direman dan empat lagi dilepaskan dengan jaminan.

    “Manakala sebanyak 318,082 kenderaan telah diperiksa dalam 216 sekatan jalan raya yang dikendalikan oleh PDRM dengan kerjasama tentera. Pemeriksaan juga dibuat di 1,108 terminal pengangkutan darat dan memeriksa 32,670 kenderaan persendirian serta 2,369 kenderaan awam,” ujarnya lagi.

    Dalam masa yang sama, PDRM juga telah memaklumkan pihaknya telah mula melakukan pemantauan dan penguatkuasaan di kawasan perumahan dan kampung untuk mengesan mana-mana individu yang berjaya lolos dalam pergerakan rentas sempadan ini. Pasukan pemantau juga akan mengadakan pemeriksaan kenderaan yang diparkir di luar kediaman di kawasan perumahan dan kampung dengan menyemak nombor pendaftaran kenderaan bagi tujuan berkenaan.

     
     
  • Malaysia di landasan yang betul dalam usaha kurangkan kematian akibat nahas jalan raya – kajian

    Malaysia di landasan yang betul dalam usaha kurangkan kematian akibat nahas jalan raya – kajian

    Safe Kids Malaysia telah mengeluarkan hasil kajian mengenai kadar kematian akibat nahas jalan raya sehingga menjelang 2030. Menurut kajian terbabit, berdasarkan angka semasa menunjukkan penurunan kadar kematian secara purata sebanyak 5% setahun sejak 2017, walau pun jumlah nahas meningkat.

    “Kita boleh capai pengurangan 50% dalam kematian akibat nahas jalan raya jika kita kekalkan atau terus turunkan angka semasa dalam tempoh 10 tahun akan datang,” ujar Pengarah Eksekutif Safe Kids Malaysia Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Kulanthayan K.C. Mani menerusi program bual bicara Bernama TVThe Nation: Safe Travel During CMCO: What Can We Do?

    Beliau turut berkata, peningkatan kadar nahas jalan raya adalah disebabkan pertambahan bilangan kenderaan persendirian yang kini menghampiri 30 juta buah dengan lebih separuh adalah motosikal.

    “Setiap 55 saat, satu insiden jalan raya berlaku di negara ini dan kita mempunyai kira-kira 30 juta kenderaan persendirian dengan populasi sekitar 32 juta orang, ditambah lagi kecenderungan kita menggunakan kenderaan sendiri berbanding pengangkutan awam,” kata Kulanthayan yang juga pensyarah di Jabatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM.

    Malaysia di landasan yang betul dalam usaha kurangkan kematian akibat nahas jalan raya – kajian

    Beliau juga percaya peralihan daripada penggunaan kenderaan sendiri kepada pengangkutan awam akan dapat mengurangkan kadar nahas jalan raya.

    Mengenai pengurangan insiden jalan raya sebanyak 70% yang direkodkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada bulan pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 18 Mac, Kulanthayan berkata angka itu belum cukup memuaskan.

    “Saya jangkakan pengurangan 90% sepanjang tempoh itu. Malah angka itu lebih munasabah memandangkan bilangan kenderaan di atas jalan adalah sedikit, namun jalan yang lengang mendorong pemandu untuk memandu lebih laju,” jelasnya lagi yang turut bersetuju bilangan kenderaan di atas jalan raya akan bertambah semasa sambutan Aidilfitri hujung minggu ini sekalipun negara masih di bawah PKP Bersyarat (PKPB).

    Dalam masa yang sama, beliau turut menasihati pemandu kenderaan agar mengurangkan kelajuan kerana ia dapat menyelamatkan nyawa. “Ingat, kalau anda terbabit dalam kemalangan pada kelajuan 90 km sejam, ini bersamaan jatuh dari tingkat 10 bangunan dan peluang untuk selamat adalah sangat rendah. Juga, jangan lupa pakailah tali pinggang keledar,” katanya.

    Safe Kids Malaysia merupakan organisasi yang bermatlamat menambah baik kehidupan kanak-kanak menerusi pencegahan kecederaan.

     
     
  • PKPB: Polis periksa nombor pendaftaran kenderaan untuk kesan individu ingkar larangan rentas negeri

    PKPB: Polis periksa nombor pendaftaran kenderaan untuk kesan individu ingkar larangan rentas negeri

    Awas untuk individu yang berjaya meloloskan diri untuk pergerakan rentas negeri ketika musim perayaan Aidilfitri ini. Polis kontijen negeri telah memberikan amaran akan menahan mana-mana individu terbabit di mana pasukan pemantau akan mengadakan pemeriksaan kenderaan yang diparkir di luar kediaman di kawasan perumahan dan kampung bagi mengesan mereka yang melakukan perjalanan tanpa kebenaran.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, pasukan terdiri daripada pegawai dan anggota polis serta tentera itu akan memeriksa nombor pendaftaran kenderaan, terutama jika ada banyak yang diparkir di luar rumah atau dalam kawasan perumahan.

    “Kami akan memeriksa semula nombor pendaftaran dengan senarai kami dan melihat sama ada kenderaan dan pemiliknya dibenarkan untuk perjalanan antara negeri atau tidak. Sekiranya kami mengetahui ada pihak melanggar perintah larangan perjalanan rentas negeri, kami akan menahan pemilik kenderaan.

    “Tindakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967 akan diambil terhadap pelakunya kerana masa untuk amaran sudah berakhir,” katanya seperti dilaporkan oleh Berita Harian.

    PKPB: Polis periksa nombor pendaftaran kenderaan untuk kesan individu ingkar larangan rentas negeri

    Manakala Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob pula memberi amaran pihaknya akan bertindak menangkap serta menahan individu yang cuba merentas sempadan pulang ke negeri itu.

    “Jangan anggap anda lepas pulang ke kampung untuk beraya, tetapi anda akan diburu sehingga ke rumah. Jadi, saya ingin memberi amaran, bukan sahaja kepada rakyat negeri Kedah, tetapi kepada mereka yang akan balik ke Kedah.

    “Bukan sahaja kita sekat di sekatan jalan raya tetapi kita akan membuat pemerhatian di rumah-rumah. Di mana kita syaki berlaku rentas sempadan, kita akan ambil tindakan setegas-tegasnya terhadap mereka,” ujarnya menerusi laporan Astro Awani.

    Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak 1,633 kenderaan lagi dikesan pada Isnin lalu, cuba untuk merentas negeri untuk pulang beraya di kampung masing-masing, meningkat dari hari-hari sebelumnya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025