Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • PKPB: 1,248 kenderaan cuba curi-curi balik kampung semalam, meningkat sekali ganda dari sebelumnya

    PKPB: 1,248 kenderaan cuba curi-curi balik kampung semalam, meningkat sekali ganda dari sebelumnya

    Jumaat lalu sejumlah 508 kenderaan telah ditahan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana cuba merentas negeri untuk pulang ke kampung halaman masing-masing. Dan semalam nampaknya jumlah berkenaan telah meningkat lebih sekali ganda setelah lagi 1,248 dikesan membuat kesalahan yang sama, lapor Astro Awani.

    Perkara ini disebut oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media hariannya yang berlangsung di Putrajaya sebentar tadi. Menurutnya, kesemua yang berusaha merentas negeri itu bagaimanapun telah diarahkan berpatah balik oleh polis.

    “Kelmarin 508 kenderaan telah diarah patah balik kelmarin, untuk semalam (Sabtu) pula 1,248 kenderaan cuba rentas negeri untuk ke balik kampung telah diarah berpatah balik.

    “Maknanya lebih sekali ganda rakyat yang cuba untuk cuba ‘curi-curi’ balik kampung dengan pelbagai alasan dan masih nak balik kampung,” katanya. Beliau juga mengingatkan mana-mana pihak yang masih menyimpan niat untuk merentas negeri agar melupakan hasrat berkenaan.

    “Jadi saya harap tak perlu balik (kampung) kerana apa yang kita tahu mereka ini setelah bersiap sedia selepas sahur terus nak balik kampung bawa anak isteri, kemudian apabila sekatan jalan raya, mereka kena berpatah balik. Ketika ini, PDRM masih bertindak menyuruh berpatah balik, jangan nanti kalau polis kompaun RM1,000, yang rugi kita,” tegas beliau.

    PKPB: 1,248 kenderaan cuba curi-curi balik kampung semalam, meningkat sekali ganda dari sebelumnya

    Mengulas mengenai mereka yang sudah ‘terlepas’ dan berjaya merentas negeri pula, Ismail Sabri berkata, tiada jaminan individu berkenaan boleh melepasi sekatan jalan raya untuk pulang semula tempat asal.

    “Bagi mereka yang terlepas daripada sekatan, seronoklah mereka. Namun, saya ingin mengingatkan mereka, selepas sekatan jalan raya balik nanti, tidak bermakna mereka boleh terlepas balik ke ibu negara.

    “Mungkin mereka beri alasan dan lepas dengan polis. Namun balik nanti belum tentu mereka terlepas dan tiada jaminan mereka boleh terlepas pulang nanti untuk ke tempat kerja semula,” tegasnya.

    Selepas Perdana Menteri mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 4 Mei lalu, kerajaan telah memberi kelonggaran bergerak secara beransur-ansur. Buat masa sekarang, rakyat tidak lagi perlu untuk berseorang di dalam kenderaan, perjalanan melebihi radius 10 km sudah dibenarkan, dan tiada lagi had perjalanan hanya sehingga 10 malam. Namun pergerakan untuk merentas negeri masih lagi belum diberikan.

     
     
  • PKPB: 500 kenderaan ditahan kerana cuba balik kampung, diarah untuk patah balik – Ismail Sabri

    PKPB: 500 kenderaan ditahan kerana cuba balik kampung, diarah untuk patah balik – Ismail Sabri

    Rasanya dah cukup jelas arahan dari kerajaan bahawa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat ini pergerakan rentas negeri masih belum dibenarkan. Namun, semalam sebanyak 500 kenderaan telah ditahan oleh pihak polis kerana cuba untuk pulang ke kampung kata Menteri Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Menurut laporan Harian Metro, perkara ini disebutkan Ismail Sabri ketika berlangsung sidang media hariannya di Putrajaya sebentar tadi.

    “Mereka yang ditahan kerana cuba merentas negeri (di seluruh negara) untuk balik kampung, sudah diarah berpatah balik, katanya.

    Beliau turut berkata bahawa mesyuarat khas menteri-menteri hari ini telah memutuskan tindakan kompaun boleh dimulakan oleh pihak polis ke atas pesalah.

    Menteri berkenaan jelas kesal dengan sikap rakyat yang tidak mengendahkan arahan kerajaan yang menyekat pergerakan rentas negeri ketika PKPB dan meminta semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP). Setakat ini, sebanyak 146 sekatan jalan raya (SJR) di sempadan negeri dibuka dan memeriksa 238,500 kenderaan.

    PKPB: 500 kenderaan ditahan kerana cuba balik kampung, diarah untuk patah balik – Ismail Sabri

    “Kita lihat trend ini dan minat orang nak balik kampung itu, maknanya masih ramai seolah-olah tidak berminat mematuhi SOP yang disediakan.

    “Walaupun kita kata jangan balik kampung, tolong jangan balik kampung untuk rentas negeri, masih juga berlaku,” katanya.

    Menurutnya lagi, pihak berkuasa tidak akan berlembut dalam hal itu dan akan mengambil tindakan tegas kepada mereka yang melanggar SOP selepas ini, dan fasa menggunakan budi bicara dan nasihat serta amaran yang diamalkan sejak semalam akan ditambah dengan kompaun.

    “Saya harap tak perlulah (anda) sampai dikompaun, duit bayar kompaun itu boleh guna untuk perkara lain. Yang penting patuh arahan dikeluarkan kerajaan,” katanya.

    Selepas Perdana Menteri mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 4 Mei lalu, kerajaan telah memberi kelonggaran bergerak secara beransur-ansur. Buat masa sekarang, rakyat tidak lagi perlu untuk berseorang di dalam kenderaan, perjalanan melebihi radius 10 km sudah dibenarkan, dan tiada lagi had perjalanan hanya sehingga 10 malam. Namun pergerakan untuk merentas negeri masih lagi belum diberikan.

     
     
  • Harga minyak 16-22 Mei – RON 97 dan RON 95 naik sehingga 6 sen, diesel pula naik sebanyak 5 sen

    Harga minyak 16-22 Mei – RON 97 dan RON 95 naik sehingga 6 sen, diesel pula naik sebanyak 5 sen

    Setelah dua bulan mengalami penurunan harga hingga ke paras terendah, petang ini, kerajaan telah mengumumkan, harga runcit bagi kesemua bahan api utama di Malaysia mengalami kenaikan untuk minggu bertarikh 16 hingga 22 Mei 2020.

    Bagi petrol RON 95, ia mengalami kenaikan harga sebanyak 6 sen iaitu RM1.31 seliter, berbanding RM1.25 seliter sebelum ini. Malah RON 97 juga naik 6 sen iaitu daripada RM1.55 seliter, kini menjadi RM1.61 seliter.

    Untuk diesel pula, harganya naik 5 sen, kini menjadi RM1.45 seliter bagi Euro 2M, dan RM1.55 untuk Euro 5. Kesemua harga baharu ini efektif mulai 12 tengah malam ini sehinggalah Jumaat hadapan, 22 Mei 2020.

     
     
  • PKPB: Individu yang rentas negeri tanpa kebenaran boleh dihukum, polis mula buat sekatan di plaza tol

    PKPB: Individu yang rentas negeri tanpa kebenaran boleh dihukum, polis mula buat sekatan di plaza tol

    Dalam sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hari ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menegaskan mana-mana individu yang cuba melakukan perjalanan rentas negeri tanpa kebenaran boleh dihukum mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342.

    Beliau turut memaklumkan, polis dengan bantuan tentera juga telah mula mengadakan sekatan jalan raya di plaza tol seluruh negara untuk mengelakkan perjalanan rentas negeri.

    “Sekatan jalan raya di plaza tol telah mula dilaksanakan bagi mengelakkan rentas negeri dan seperti yang saya katakan sebelum ini, perjalanan rentas negeri yang dibenarkan adalah empat hari sahaja melalui permohonan aplikasi Gerak Malaysia.

    PKPB: Individu yang rentas negeri tanpa kebenaran boleh dihukum, polis mula buat sekatan di plaza tol

    “Selepas daripada tempoh itu (kebenaran bergerak melalui aplikasi Gerak Malaysia berakhir) kembali kepada normal, tidak boleh melakukan rentas negeri kecuali dengan kebenaran polis. Maknanya sesiapa sahaja yang merentas negeri tanpa kebenaran polis tentu sahaja akan diambil tindakan,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Ismail Sabri turut berkata pihak polis masih boleh mengenakan kompauan atau membawa mereka ke mahkamah untuk dihukum.

    Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed pernah berkata, bagi mereka yang ingkar, boleh dikenakan tindakan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No. 5) 2020 dan berdepan denda RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah.

     
     
  • PKPB: Tiada kelonggaran bagi individu bujang rentas negeri untuk pulang ke kampung – Ismail Sabri

    PKPB: Tiada kelonggaran bagi individu bujang rentas negeri untuk pulang ke kampung – Ismail Sabri

    Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan setakat ini tiada kelonggaran diberikan kepada individu bujang untuk rentas negeri bagi pulang ke kampung.

    Tambahnya lagi, pengecualian hanya diberikan kepada suami isteri yang tinggal berjauhan kerana bekerja di berlainan negeri sahaja, atas rasa perikemanusiaan melihat mereka tidak dapat bertemu anak lebih dua bulan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    “Peraturan rentas negeri ini diteruskan walaupun orang bujang yang rindu ibu bapa kita minta bersabar dulu, insya-Allah setakat hari ini tiada kelonggaran jadi kena patuh kepada peraturan yang sedang dilaksanakan,” katanya menerusi laporan Bernama.

    Ismail Sabri turut menegaskan larangan rentas negeri terus berjalan seperti biasa dan hanya empat kelonggaran diberikan sebelum ini. “Bagi yang mahu rentas negeri perlu mendapatkan kebenaran polis terlebih dahulu,” katanya.

    Pada 10 Mei Lalu, selain mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilanjutkan hingga 9 Jun ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut memaklumkan bahawa pasangan suami isteri yang tinggal di negeri berasingan kerana faktor kerja akan diberi kelonggaran untuk membuat perjalanan rentas negeri. Di mana permohonan boleh dibuat menerusi aplikasi Gerak Malaysia atau datang sendiri ke balai polis terdekat.

     
     
  • GALERI: Mazda 6 2.0L Sedan dipertingkat — RM174k

    GALERI: Mazda 6 2.0L Sedan dipertingkat — RM174k

    September tahun lalu, Mazda 6 diberikan peningkatan dari sudut kelengkapan. Ditawarkan dalam empat varian CBU – 2.0L Sedan, 2.5L Sedan, 2.5L Touring dan 2.2 Diesel Sedan. Kemaskini yang dilakukan hanyalah dari aspek kelengkapan standard, memandangkan Mazda 6 telah diberikan facelift pada 2018.

    Galeri yang sedang anda lihat ini adalah bagi varian Mazda 6 yang paling asas yang dijual pada harga RM173,659 atas jalan tanpa insurans. Varian lain dijual pada harga seperti berikut; 2.5L Sedan RM211,418, 2.5L Touring RM215,148, sementara 2.2L Diesel Sedan pada harga RM219,851.

    Model ini menggunakan enjin SkyActiv-G 2.0 liter empat-silinder petrol yang digandingkan bersama transmisi automatik SkyActiv-Drive enam-kelajuan dengan kuasa disalurkan ke roda hadapan. Ia menghasilkan 162 hp pada 6,000 rpm dan 213 Nm tork pada 4,000 rpm, dengan kadar penggunaan minyak 6.5 l/100 km.

    GALERI: Mazda 6 2.0L Sedan dipertingkat — RM174k

    Tambahan terbaru ialah ciri G-Vectoring Control Plus (GVC Plus), versi terbaru yang dipertingkat daripada GVC terdahulu. Ini adalah standard bagi semua varian Mazda 6, sama seperti teknologi melahu i-Stop dan mod Sport (kecuali 2.2 Diesel Sedan). Bagaimanapun, ciri brek regeneratif i-Eloop hanya ada pada model 2.5L.

    Mazda 6 2.0L Sedan didatangkan dengan lampu utama dan lampu brek LED, rim 17-inci aloi dengan tayar 225/55, sistem tanpa kunci, pengilap cermin automatik, kamera undur serta sensor parkir (empat di belakang dan empat di depan). Di dalam pula lengkap dengan paparan instrumen kluster TFT LCD 4.6-inci, kemasan kulit, kawalan pendingin dwi-zon, kerusi pemandu larasan 10-cara manakala larasan 6-cara bagi kerusi penumpang.

    Bagi infotainmen, sistem Mazda Connect dengan skrin lapan-inci ditawarkan, dan kini lengkap dengan sokongan Apple CarPlay atau Android Auto bagi semua varian. Sistem audio bagi varian 2.0L Sedan terdiri daripda enam pembesar suara biasa, sementara varian lain menggunakan sistem bunyi dengan 11 pembesar suara Bose.

    GALERI: Mazda 6 2.0L Sedan dipertingkat — RM174k

    Kelengkapan keselamatan pula terdiri daripada enam-beg udara, ABS, EBD, EBA, Dynamic Stability Control, kawalan cengkaman, bantuan mendaki bukit dan Isofix. Bagaimanapun, tiada ciri keselamatan aktif i-Activsense yang hanya untuk varian lebih tinggi.

    Pilihan warna pula terdiri daripada Soul Red Crystal, Machine Grey, Snowflake White Pearl, Deep Crystal Blue, Sonic Silver, Titanium Flash dan Jet Black. Setiap pembelian datang dengan jaminan pengeluar dan pakej servis percuma lima-tahun/100,000 km.

     
     
  • GALERI: Ford Ranger Raptor 2020 – RM208,888, AEB

    GALERI: Ford Ranger Raptor 2020 –  RM208,888, AEB

    Ford Ranger Raptor 2020 secara rasminya telah masuk ke pasaran Malaysia pada awal bulan lalu. Namun disebabkan ketika itu masih lagi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tiada sebarang majlis pelancaran di buat, dan pastinya masih ramai lagi belum bilik pameran untuk melihat model kemaskini ini bukan?

    Nah, kami bawakan kepada anda galeri penuh untuk trak pikap berprestasi tinggi ini bagi membolehkan anda melihat dengan lebih teliti tanpa ke bilik pameran. Seperti yang diumumkan tempoh hari, Ranger Raptor kini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM208,888, atau RM9,000 lebih mahal dari sebelum ini.

    Jadi apa yang pembeli akan dapat dengan harga yang lebih tinggi ini? Ia kini dilengkapi dengan sistem brek kecemasan automatik pengesan pejalan kaki serta bantuan kekal lorong. Dari segi spesifikasi, Ranger Raptor 2020 ini semakin menyamai varian Wildtrak 4×4 yang RM64,000 lebih murah, namun masih lagi kekurangan ciri cruise control adpatif dan pemantau titik buta.

    GALERI: Ford Ranger Raptor 2020 –  RM208,888, AEB

    Selain itu, model tingkat taraf ini turut menerima lampu utama LED dengan projektor segi empat baru, sensor parkir depan, amaran tali keledar penumpang depan serta slot USB berdekatan cermin pandang belakang bagi memudahkan pemasangan dashcam.

    Dari segi penampilan, Raptor 2020 ini masih kelihatan dari versi sebelum ini. Ia diberikan gril tulisan dengan Ford yang besar, bampar istimewa untuk kegunaan lebih lasak, pemijak sisi, overfender yang lebih besar yang menjadikannya nampak lebar serta tayar all-terrain saiz besar yang memberikan rupa berbeza dari Ranger biasa.

    Pada bahagian kabin, Ranger Raptor ini masih diberikan paddle shifter magnesium, roda stereng yang lebih tebal serta tempat duduk sport balutan kulit.

    GALERI: Ford Ranger Raptor 2020 –  RM208,888, AEB

    Kelengkapan standard juga masih sama, terdiri dari lampu kabus depan LED, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, lampu dan pengelap cermin automatik, cermin pandang belakang anti-silau, cruise control, soket 230-volt di belakang dan sistem intotainmen SYNC 3 dengan skrin sentuh lapan-inci serta Apple CarPlay dan Android Auto. Untuk keselamatan, Ranger Raptor masih kekal dengan enam beg udara dan kawalan kestabilan.

    Juga, tiada perubahan diberikan pada sistem mekanikal. Ranger Raptor dijana oleh enjin 2.0 EcoBlue empat-silinder diesel dengan dua pengecas turbo yang menghasilkan kuasa 213 PS dan tork maksima 500 Nm. Ia digandingkan bersama transmisi automatik Getrag 10R80 10-kelajuan.

    GALERI: Ford Ranger Raptor 2020 –  RM208,888, AEB

    Bagi memberikan pengendalian lebih baik serta mampu bergerak pada permukaan off-road dengan lebih laju dari versi standard, Ranger Raptor diberikan kerangkan ladder frame khas bersama penyerap hentak Fox Racing.

    Pilihan warna Conquer Grey, Absolute Black dan Arctic White masih lagi tidak berubah, tetapi jika anda lihat warna biru utama pada Ranger Raptor ini adalah sedikit berlainan kerana warna Lightning Blue terdahulu telah digantikan dengan warna Ford Performance Blue.

     
     
  • Ferrari F8 Spider tiba di Malaysia — dari RM1.18 juta

    Ferrari F8 Spider tiba di Malaysia — dari RM1.18 juta

    Naza Italia telah mendedahkan secara rasmi Ferrari F8 Spider untuk pasaran Malaysia. Model berkenaan adalah gantian kepada 488 Spider yang diperkenalkan bersekali dengan Ferrari 812 GTS.

    Ini juga merupakan penampilan sulung bagi Asia Tenggara bagi kedua-dua model berkenaan. Model pemanduan sebelah kiri akan dipamerkan di bilik pameran Ferrari di Platinum Park, Kuala Lumpur sehingga hujung bulan nanti sebelum dibawa ke Singapura.

    F8 Spider ini merupakan versi buka bumbung bagi F8 Tributo. Selain daripada kawasan yang melibatkan dua bahagian bagi mekanisme bumbung berkenaan, bentuk keseluruhan kereta adalah sama antara keduanya. Bumbung berkenaan, yang akan disimpan pada bahagian atas enjin memerlukan 14 saat untuk dilipat atau dipasang semula ketika bergerak sehingga kelajuan 45 km/j, dalam masa 14 saat sahaja.

    Ferrari F8 Spider tiba di Malaysia — dari RM1.18 juta

    Bahagian depan kereta ini sama seperti Tributo. Antara sentuhan rekaan yang utama bagi kedua model tersebut adalah lampu utama LED dengan rekaan kompak serta S-Duct; direka semula untuk F8, S-Duct berkenaan menyumbang tambahan 15% kepada downforce berbanding model 488 GTB.

    Sama seperti Tributo, Spider ini dikuasakan oleh enjin F154 CD 3.9 liter turbocas V8 daripada 488 Pista, dengan janaan kuasa 710 hp (720 PS) pada 8,000 rpm dan 770 Nm pada 3,250 rpm. Dengan sedikit perbezaan pada binaan bumbung, Spider dipadankan dengan kotak gear F1 klac berkembar tujuh-kelajuan dan mampu mencapai pecutan 0-100 km/j dalam masa hanya 2.9 saat dengan kelajuan maksimum 340 km/j – sama seperti Tributo.

    Hanya pada pecutan 0-200 km/j Spider mencatatkan masa yang sedikit perlahan iaitu 8.2 saat berbanding Tributo dengan 7.8 saat. Dari segi berat, F8 Spider 20 kg lebih berat berbanding 488 Pista Spider, tetapi 20 kg lebih ringan berbanding 488.

    Ferrari F8 Spider tiba di Malaysia — dari RM1.18 juta

    Dinamik pemanduan dibantu oleh sistem Side Slip Angle Control versi 6.1 serta Ferrari Dynamic Enhancer yang baru (FDE+, aktif di dalam mod Race) yang membantu memudahkan kawalan terhadap kereta ini. Turut disediakan ialah Adaptive Performance Launch, yang akan menganalisa cengkaman ketika kereta memecut dan kemudiannya menggunakan kawalan elektronik untuk mengoptimumkan tork bagi mengurangkan wheel slip.

    Turut ada ialah Ferrari Variable Torque Management yang memberikan pecutan berkuasa dan lancar di garis merah. Tork maksimum adalah 1o Nm lebih tinggi berbanding 488 Spider dan ia ada walaupun pada kelajuan enjin yang rendah.

    Ferrari F8 Spider tiba di Malaysia — dari RM1.18 juta

    Ruang dalaman pula sama sahaja seperti Tributo. Bagaimanapun, stereng lebih kecil digunakan, dengan kerusi yang direka semula serta paparan skrin sentuh penumpang 7-inci. Papan pemuka pula menampilkan panel aluminium dengan kemasan gentian karbon. Unit dalam warna perak metalik Argento Nurburgring ini turut dilengkapi dengan sistem hi-fi serta elemen gentian karbon.

    Ferrari F8 Spider diperkenalkan pada harga asas RM1,178,000 (tidak termasuk pilihan custom pelanggan, duti, cukai dan insurans) dan datang dengan program servis percuma selama tujuh-tahun oleh pengeluar. Kereta ini boleh ditunjau secara persendirian di KL Ferrari City sehingga 31 Mei ini.

     
     
  • Ferrari 812 GTS tiba di M’sia – harga dari RM1.54 juta

    Ferrari 812 GTS tiba di M’sia – harga dari RM1.54 juta

    Ferrari 812 GTS tampil buat pertama kali di ASEAN apabila Naza Italia membawanya untuk pameran di Malaysia bersama F8 Spider. Harga untuk 812 GTS ini adalah RM1,538,000 (tidak termasuk aksesori, duti, cukai dan insurans), dan diberikan bersama program penyelenggaraan berkala percuma selama tujuh tahun.

    Unit yang dibawa untuk pameran ini akan berada di Naza Italia Ferrari City, Platinum Park, Kuala Lumpur hingga 31 Mei 2020 dan kemudiannya akan dibawa pula ke Singapura. Memandangkan sekarang kita masih berada dalam waktu PKP, hanya jumlah pengunjung yang terhad dibenarkan, bersama prosedur operasi tertentu.

    Model 812 GTS sebenarnya adalah versi bumbung boleh buka bagi 812 Superfast, dan ia menggunakan enjin 6.5 liter V12 NA sama, yang mampu menghasilkan kuasa 789 hp pada 8,500 rpm dan 718 Nm tork pada 7,000 rpm. Jumlah ini adalah lebih tinggi berbanding enjin 6.3 liter V12 pada F12tdf (770 hp dan 705 Nm).

    Enjin ini dipadankan bersama kotak gear klac berkembar tujuh kelajuan F1 DCT yang menawarkan waktu penukaran gear lebih pantas, pecutan 0-100 km/j dalam masa bawah tiga saat dan laju maksimum 340 km/j. Sama seperti F8 Spider, masa pecutan 0-200 km/j bagi GTS adalah lambat 0.4 saat berbanding versi coupe kerana ia mempunyai berat bumbung tambahan 75 kg.

    Rekaan asas GTS ini adalah sama dengan Superfast, kecuali bahagian atas, belakang. Bumbung tersebut boleh dibuka dan ditutup dalam masa 14 saat, pada kelajuan sehingga 45 km/j. Cermin belakang juga boleh diturun dan dinaikkan, tidak kira waktu bumbung dibuka atau ditutup.

    Semua alat bantuan kawalan sama seperti 812 Superfast diberikan pada GTS, termasuk stereng kuasa elektrik, Side Slip Angle Control 5.0 (SSC 5.0), E-Diff 3, F1-Trac, SCM-E, ESP 9.1 Premium dan sistem four-wheel steering Virtual Short Wheelbase (PCV).

     
     
  • VIDEO: Bunyi ekzos Yoshimura Kawasaki Ninja ZX-25R

    VIDEO: Bunyi ekzos Yoshimura Kawasaki Ninja ZX-25R

    Dalam video keempat siri teaser Kawasaki Ninja ZX-25R yang dikeluarkan oleh Kawasaki Indonesia hari ini, motosikal yang diubah suai satu persatu tersebut sudah hampir siap dan kini anda boleh mendengar bagaimana bunyi ekzos Yoshimura padanya.

    Dalam video yang pernah dikeluarkan sebelum ini, anda mungkin sudah mendengar bunyi jentera dalam keadaan standard, atas mesin dyno tapi kali ini ia lebih memuaskan dengan bunyi yang lebih sporty. Sekiranya tidak melihat apa motosikal tersebut, mungkin ada yang tersalah sangka ia motosikal yang berkuasa 600 cc ataupun 1,000 cc.

    Sedangkan sebenarnya ia cuma jentera 250 cc, tetapi mengeluarkan bunyi hampir sama kerana tetapan enjin empat silinder sebaris. Bukan setakat itu, anda juga boleh melihat terdapat percikan api berwarna biru apabila minyak dilepaskan pada rpm tinggi.

    ZX-25R didedahkan pertama kali semasa Tokyo Motor Show tahun lalu dan setakat yang diketahui, ia akan menggunakan enjin 250 cc empat silinder yang boleh dikerah sehingga 17,000 rpm pada gear lima dan laju yang boleh pergi lebih 160 km/j (seperti yang ditunjukkan dalam video ujian oleh pelumba profesional).

    Ia juga akan dilengkapi dengan barangan yang boleh dikatakan berspesifikasi tinggi untuk model kelas permulaan sepertinya, termasuk fork SFF-BP (Separate Function Fork – Big Piston) 37 mm di hadapan, monoshock Horizontal Back-Link di belakang, quickshifter, pilihan mod tunggangan dan traction control.

    GALERI: Kawasaki Ninja ZX-25R di Tokyo Motor Show

     
     
  • GALERI: Mazda 2 facelift 2020 di M’sia — kemaskini kelengkapan dan penggayaan, GVC Plus, dari RM104k

    GALERI: Mazda 2 facelift 2020 di M’sia — kemaskini kelengkapan dan penggayaan, GVC Plus, dari RM104k

    Mazda 2 facelift 2020 mula diperkenalkan di Malaysia pada Mac lalu. Kini, dengan bilik pameran yang mula dibuka semula, kami bawakan galeri terperinci model segmen B berkenaan. Ia merupakan unit CBU dari Thailand, dan dijual pada harga RM103,670 atas jalan tanpa insurans bagi kedua-dua jenis hatchback dan sedan.

    Mazda 2 menggunakan enjin SkyActiv-G 1.5 liter empat-silinder petrol yang menghasilkan 114 hp pada 6,000 rpm dan 149 Nm tork pada 4,000 rpm. Ini digandingkan pula dengan transmisi automatik SkyActiv-Drive enam-kelajuan yang mengantar kuasa ke roda hadapan.

    Antara perubahan yang diberikan adalah dari segi penggayaan dengan gril krom yang lebih tebal dan tidak lagi dilanjutkan ke lampu utama – lebih mirip kepada Mazda 6. Rekaan lampu utama juga diberi sentuhan baru, juga pada bahagian bawah bampar dengan dua inlet yang lebih tirus dengan jalur krom di sudutnya.

    GALERI: Mazda 2 facelift 2020 di M’sia — kemaskini kelengkapan dan penggayaan, GVC Plus, dari RM104k

    Di belakang versi hatchback, jalur sama pada bampar turut kelihatan, ditambah dengan satu kawasan kecil daripada plastik hitam. Versi sedan juga menampilkan rekaan bampar diperbaharui, dengan kemasan yang terletak pada ruang bukaan udara dan diapit dengan reflektor/lampu kabus.

    Kelengkapan standard lain terdiri daripada rim aloi 16-inci dengan tayar 185/60, lampu utama LED larasan automatik dengan DRL khas, lampu belakang jenis bulb, serta lampu kabus belakang dan lampu undur jenis bulb untuk sedan dan LED untuk hatchback.

    Lain-lain ciri termasuk sistem tanpa kunci, Active Driving Display berwarna, paddle shifter, mod Sport, kawalan pendingin zon tunggal, larasan kerusi depan manual dan sistem Mazda Connect tujuh-inci dengan Commander Control.

    GALERI: Mazda 2 facelift 2020 di M’sia — kemaskini kelengkapan dan penggayaan, GVC Plus, dari RM104k

    Kemaskini terbaru juga melibatkan tambahan Apple CarPlay dan Android Auto, serta kemasan kulit biru/kelabu untuk kerusi dan kabin yang menggantikan material hitam. Kerusi juga diberi struktur baru. Tambahan terbaru lainnya ialah sistem G-Vectoring Control Plus (GVC Plus) – sebelum ini hanya GVC.

    Kelengkapan keselamatan masih kekal seperti versi sebelumnya, melibatkan dua beg udara, ABS, DSC, EBD, Emergency Brake Assist, Traction Control System, Emergency Stop Signal, Hill Launch Assist dan Isofix.

    GALERI: Mazda 2 facelift 2020 di M’sia — kemaskini kelengkapan dan penggayaan, GVC Plus, dari RM104k

    Jaminan lima-tahun/100,000 km dan servis percuma lima-tahun/100,000 km sudah termasuk sekali di dalam harga. Pilihan warna terdiri daripada Ceramic Metallic, Eternal Blue Mica, Jet Black, Machine Grey, Snowflake White Pearl, Sonic Silver, Soul Red Crystal, Titanium Flash, Deep Crystal Blue dan Polymetal Grey (bagi sedan tiada warna Deep Crystal Blue dan Polymetal Grey).

    Bagi warna Soul Red, tambahan RM500 dikenakan, sementara pilihan lain seperti sistem kad SD navigasi (RM1,270) dan filem penapis haba (RM1,900) akan ditambah. Perincian lanjut bagi model ini boleh diperoleh di CarBase.my.

    Mazda 2 Hatchback FL 2020

    Mazda 2 Sedan FL 2020

     
     
  • Honda Malaysia umum semua cawangan pengedarannya di seluruh negara dibuka semula

    Honda Malaysia umum semua cawangan pengedarannya di seluruh negara dibuka semula

    Honda Malaysia telah mengumumkan kesemua cawangan pengedarannya di seluruh negara telah kembali beroperasi, dengan mengamalkan langkah-langkah pencegahan demi memastikan tahap keselamatan para pelanggan dan kakitangan terjamin.

    Ini termasuklah mewajibkan pemeriksaan suhu badan setiap kali memasuki premis, dan sekiranya bacaan suhu badan melebihi 37.5 darjah selsius, atau pun mempunyai simptom termasuk demam, batuk atau kesukaran bernafas, individu berkenaan akan dinasihatkan supaya meninggalkan premis untuk mendapatkan bantuan perubatan dengan kadar segera.

    Selain itu, penjarakan sosial dan jumlah pengunjung dihadkan juga akan dilaksanakan untuk semua cawangan, malah kafe di dalam premis tidak akan dibuka. Ibu bapa juga dinasihati agar tidak membawa anak-anak kecil bersama, malah semua sudut permainan kanak-kanak akan ditutup. Syarikat ini turut menambah, pembersihan dan pembasmian kuman juga akan kerap dilakukan bagi mencegah penularan wabak pandemik COVID-19.

    Bagi pelanggan yang ingin menghantar kenderaan untuk diselenggara, perlukan membuat temujanji terlebih dahulu, tiada sistem ‘walk-in’ dibenarkan. Malah, perkhidmatan ‘car drop’ juga ditawarkan di mana ia membenarkan pelanggan yang telah membuat temujanji untuk meninggalkan kenderaan masing-masing di pusat servis dan perbincangan atau pun maklumat yang diperlukan akan dibuat menerusi panggilan telefon dengan penasihat penyelenggaraan.

     
     
  • JPJ buka semula semua kaunternya mulai 18 Mei

    JPJ buka semula semua kaunternya mulai 18 Mei

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan semua perkhidmatan kaunternya, termasuk di cawangan Pos Malaysia, akan beroperasi semula untuk semua urusan mulai 18 Mei ini. Pada ketika ini, semua kakitangan JPJ di seluruh negara dalam persiapan terakhir untuk digerakkan sepenuhnya bagi memulakan pengoperasian, termasuk memastikan langkah dari aspek keselamatan dan kesihatan dipenuhi.

    Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata beberapa penyelarasan rutin juga dimuktamadkan antara JPJ dengan bank berkaitan bagi memastikan perkhidmatan JPJ dapat kembali normal pada minggu depan.

    “Sebelum ini, JPJ telah membuka perkhidmatan kaunter secara berperingkat susulan keputusan kerajaan untuk membuka semula sektor ekonomi negara menerusi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

    JPJ buka semula semua kaunternya mulai 18 Mei

    “Hanya urus niaga tertentu dibenarkan beroperasi di kaunter hingga 17 Mei ini. Antara senarai urus niaga berkenaan ialah pembaharuan Lesen Memandu Malaysia dan Lesen Vokasional (GDL dan PSV) bagi pemandu kenderaan perdagangan,” katanya menerusi kenyataan akhbar yang dihantar.

    Tambahnya lagi, seperti mana yang diumumkan sebelum ini, JPJ juga akan terus beroperasi tujuh hari seminggu bertujuan membolehkan urus niaga tertunggak diselesaikan secepat mungkin untuk mengelakkan kesesakan pelanggan kedua-dua urusan perdagangan dan individu.

    “Pembayaran secara tunai bagi semua urusan di cawangan JPJ adalah dibenarkan hanya pada 8 pagi hingga 11 pagi, sementara pembayaran tanpa tunai atau e-payment termasuk transaksi melalui kad debit dan kad kredit pula diterima mulai jam 8 pagi hingga 4 petang pada hari bekerja. Manakala untuk semua urusan pada hujung minggu, pembayaran menerusi e-payment sahaja diterima.

    JPJ buka semula semua kaunternya mulai 18 Mei

    Walau bagaimana pun, operasi tujuh hari seminggu ini akan berterusan sehingga arahan pemberhentian dikeluarkan. Orang ramai juga dinasihatkan agar mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuklah menjaga penjarakan sosial, memakai penutup hidung dan mulut serta menjaga kebersihan diri,” ujarnya lagi.

    Beliau turut mengingatkan orang ramai bahawa kenderaan persendirian masih tertakluk kepada pengecualian pembaharuan Lesen Kenderaan Motor dan Lesen Memandu dalam tempoh PKP dengan syarat kenderaan itu masih dilindungi dengan perlindungan insurans yang sah.

    Sempena musim perayaan Aidilfitri pula, beliau berkata, perkhidmatan kaunter JPJ akan ditutup mulai 23 Mei hingga 26 Mei ini, dan kembali beroperasi pada 27 Mei.

     
     
  • Bodo Chronus – kereta elektrik dari China dieksport ke Eropah; motor 10 hp, kelajuan maksima hanya 65 km/j

    Bodo Chronus – kereta elektrik dari China dieksport ke Eropah; motor 10 hp, kelajuan maksima hanya 65 km/j

    Di China, selain kereta-kereta elektrik mikro dikenali sebagai Kereta Elektrik Berkelajuan Rendah (LSEV) seperti Mini EV X2 yang tular tempoh hari, mereka turut banyak menghasilkan kereta-kereta elektrik bersaiz sebenar. Tetapi boleh dikatakan majoriti model-model berkenaan hanya untuk pasaran domestik China dan tidak dieksport keluar.

    Kereta elektrik dengan saiz yang hampir kepada hatchback segmen-A ini antara salah satu dari beribu model elektrik di China, di beri nama Bodo Chronus. Namun tidak seperti namanya, pengeluar dari Anhui ini cukup pintar dengan menghasilkan versi pemanduan sebelah kanan (RHD) dan menerima Type Approval dari EEC membolehkan ia dijual di pasaran Eropah.

    Bodo Chronus dihasilkan dengan dimensi 3,520 mm panjang, 1,570 mm lebar, 1,490 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,345 mm. Berbanding Perodua Axia, Chronos ini adalah 120 mm lebih pendek, 50 mm kurang lebar, 20 mm lebih rendah dan jarak roda 110 mm lebih dekat. Berat kereta elektrik ini pula hanya 769 kg atau sekitar 81 kg lebih ringan dari Axia.

    Bodo Chronus – kereta elektrik dari China dieksport ke Eropah; motor 10 hp, kelajuan maksima hanya 65 km/j

    Ia dijana oleh motor elektrik berkuasa 7.5 kW atau hanya sekitar 10 hp, memacu roda hadapan. Sebagai perbandingan, Axia digerakkan dengan enjin berkuasa 67 hp, jadi anda boleh bayangkan macam mana punya lembab Bodo Chronus ini bila pedal pendikit dikerah sepenuhnya. Pengeluar kereta ini turut menyatakan bahawa ia hanya mampu mencapai kelajuan maksima 65 km/j.

    Motor elektrik tersebut menerima kuasa dari bateri Lithium Lipo4 10.8 kW/j 12V yang boleh dicaj penuh dalam tempoh sekitar 8 hingga 10 jam dengan pengecaj 220V. Dengan satu caj bateri penuh, Bodo Chornus mampu bergerak sekitar 120 hingga 150 kilometer.

    Bodo Chronus – kereta elektrik dari China dieksport ke Eropah; motor 10 hp, kelajuan maksima hanya 65 km/j

    Walaupun spesifkasi kereta ini seakan kereta mainan, ia menerima kelengkapan yang cukup seperti kereta sebenar. Antara ciri-ciri yang dibekalkan termasuk sistem pendingin hawa, cermin tingkap berkuasa untuk kesemua pintu, tempat duduk balutan kulit, skrin infotainmen yang boleh memainkan fail MP5, penderia parkir dan juga kamera undur.

    Di Eropah, pengedar utama kereta ini berpusat di Kepulauan Malta, dan turut di bawa ke pasaran lain seperti UK, Jerman, dan pelbagai lagi. Bodo Chronus dijual pada harga bermula 12,900 euro atau sekitar RM60k sekiranya pembeli memilih skim skrap kereta lama. Boleh tahan juga harga dia, tak lah murah sangat kan?

     
     
  • Perintah berkurung di Eropah dilonggar, pelumba mula lepaskan gian belasah motosikal dalam litar

    Selepas dimulakan sekitar pertengahan bulan Mac lalu, perintah berkurung di seluruh Eropah sudah dilonggarkan dengan menyaksikan banyak perniagaan kembali dibuka dan orang ramai juga kembali melakukan aktiviti dalam keadaan yang terkawal.

    Bagi pelumba motosikal profesional pula, berita baik ini terus disambut dengan latihan menunggang sebenar atas motosikal, meskipun siri perlumbaan tidak diketahui bila akan kembali disambung. Sepanjang tempoh berkurung, kebanyakan mereka cuma melakukan latihan kecergasan dalam rumah ataupun bermain permainan video.

    Kini anda sudah boleh melihat mereka kembali melepaskan geram menunggang motosikal di tempat masing-masing. Antara yang menaikkan video dalam media sosial adalah Alex Rins yang berada di Pas de La Casa, Perancis dan beberapa pelumba yang berlatih di The Ranch milik Valentino Rossi termasuk Luca Marini dan Franco Morbidelli.

    Pelumba tempatan seperti Hafizh Syahrin juga sudah kelihatan mula keluar rumah, tetapi untuk latihan kecergasan mengayuh basikal. Komitmen yang beliau tunjukkan juga agak tinggi memandangkan sekarang bulan berpuasa dan ia tidak diambil sebagai alasan.

    Penganjur MotoGP, Dorna Motorsports setakat ini masih belum membuat pengumuman bila perlumbaan akan dijalankan semula tetapi mereka telah menghantar cadangan serta berbincang dengan beberapa negara dalam Eropah untuk menganjurkan baki 12 ke 14 perlumbaan lagi dalam benua itu.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025