Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • PKPB: Tiada lagi had masa di jalanraya – kenderaan persendirian boleh bergerak selepas jam 10 malam

    PKPB: Tiada lagi had masa di jalanraya – kenderaan persendirian boleh bergerak selepas jam 10 malam

    Dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula minggu ini, kini tiada lagi larangan bagi kenderaan persendirian untuk berada di atas jalan selepas jam 10 malam. Perkara ini dinyatakan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob seperti dilaporkan oleh The Malay Mail.

    “Bagi sebarang pergerakan, ketika ini pergerakan antara daerah telah dibenarkan, jadi tiada lagi had masa bagi pergerakan itu dibuat,” ujar beliau. Di dalam sidang media hariannya hari ini, Sabri menjelaskan bahawa larangan pergerakan yang dikenakan ketika perintah kawalan pergerakan sebelum ini tidak lagi terpakai.

    Di bawah PKP sebelum ini, hanya mereka yang bertugas di dalam perkhidmatan penting sahaja yang dibenarkan untuk berada di atas jalan raya melebihi had waktu 10 malam berkenaan. Di dalam perkembangan sama sebelum ini, jarak perjalanan melebihi 10 km juga sudah dibenarkan. Ini termasuk untuk satu kenderaan membawa empat orang dari satu isi rumah juga telah dibenarkan.

    Di dalam PKP terdahulu, hanya seorang dalam satu kenderaan dibenarkan, dengan jarak perjalanan tidak boleh melebihi 10 km dari kediaman. Bagaimanapun, ketika ini, perjalanan rentas negeri masih lagi dilarang, kecuali mereka yang mendapat kebenaran untuk berbuat demikian dari 7-10 Mei ini.

     
     
  • Hyundai Malaysia sediakan subsidi kepada pengedar dan perunding jualan yang terkesan akibat PKP

    Hyundai Malaysia sediakan subsidi kepada pengedar dan perunding jualan yang terkesan akibat PKP

    Hyundai-Sime Darby Motors mengumumkan syarikat itu akan menawarkan subsidi kepada pengedar-pengedar dan perunding jualan bagi meringankan kekangan kewangan yang mungkin mereka hadapi akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

    Langkah ini bakal menyaksikan “Elaun Kesukaran” disediakan kepada perunding jualan – melalui pengedar masing-masing – secara bulanan bermula dari April hingga Jun 2020. Ini sah kepada mereka yang telah bertugas selama tiga bulan ke atas, dan bukan dalam tempoh penamatan perkhidmatan.

    Sementara itu, pengedar pula akan ditawarkan subsidi kewangan bagi perbelanjaan pemasaran atas talian dan pembelian cecair sanitasi, pembasmi kuman serta pembaca suhu badan yang digunakan di premis jualan dan servis mereka bagi tujuan pematuhan SOP dan penghindaran wabak Covid-19.

    Hyundai Malaysia sediakan subsidi kepada pengedar dan perunding jualan yang terkesan akibat PKP

    Syarikat itu juga telah melaksanakan beberapa langkah untuk memastikan kesihatan dan keselamatan di semua cawangan yang baru memulakan operasi, termasuk penggunaan cecair sanitasi tangan dan pembaca suhu badan bagi semua pelanggan dan pekerja, aktiviti pembasmian kuman yang kerap untuk premis serta pembasmian kuman terhadap kenderaan pelanggan secara berkala.

    “Pandemik ini telah memberi kesan teruk kepada sektor automotif. Kami memahami kesukaran yang dihadapi oleh pengedar dan perunding jualan, dan berharap bantuan serta subsidi yang diberi ini akan dapat meringankan beban mereka serta dalam menjalankan langkah-langkah kesihatan dan keselamatan yang ketat di premis masing-masing,” jelas Pengarah Urusan HSDM, Low Yuan Lung.

    Bagi pemilik kenderaan pula, HSDM sebelum ini mengumumkan program lanjutan jaminan Hyundai CARE bagi mereka yang terkesan dengan tempoh PKP. Program berkenaan sah kepada semua kenderaan dengan jaminan yang tamat antara 18 Mac hingga 28 April 2020, yang akan diberikan lanjutan sehingga 31 Mei 2020. Sekiranya tempoh PKP dilanjutkan, lanjutan 30 hari lagi akan diberikan.

     
     
  • Pusat servis rasmi Honda Impian X kembali beroperasi

    Pusat servis rasmi Honda Impian X kembali beroperasi

    Sejak tahun 2018, Boon Siew Honda (BSH) Malaysia Sdn Bhd telah memperkenalkan konsep baru untuk wakil pusat servis motosikal rasmi mereka, dikenali sebagai Impian X. Melalui cawangan Impian X ini, anda boleh menikmati servis yang lebih profesional dan selesa, serta alat ganti asli.

    Sekarang ini terdapat 16 cawangan kedai Impian X di seluruh negara, dan kesemuanya telah kembali dibuka kecuali Sing Huat Motors di Pulau Pinang. Seperti saranan kerajaan, semua cawangan yang dibuka ini akan mengikuti peraturan operasi yang telah ditetapkan seperti penjarakan sosial dan pemakaian topeng muka.

    Senarai penuh cawangan kedai Impian X ini boleh dilihat melalui senarai di atas dan pelanggan yang memerlukan sebarang khidmat boleh menghubungi nombor seperti yang tertera.

     
     
  • Toyota Corolla Altis GR Sport muncul di Taiwan

    Toyota Corolla Altis GR Sport muncul di Taiwan

    Toyota Taiwan telah memperkenalkan Corolla sedan generasi baharu dalam varian tertinggi iaitu Corolla Altis GR Sport untuk pelanggan di pasaran berkenaan. Varian yang sama sebelum ini turut telah diperkenalkan di Thailand, namun versi untuk kedua-dua pasaran ini sebenarnya adalah berbeza sama sekali.

    Untuk versi di Taiwan, Corolla Altis GR Sport ini diberikan bampar hadapan yang jauh lebih ringkas tanpa sebarang kemasan perak atau krom dan diberikan gril bawah seakan Corolla Hatcback dan sepasang kemasan liang udara palsu lebih besar dari biasa.

    Model lebih sporty ini juga diberikan rim 17-inci dalam kemasan dua tona, bersama set pengalih udara pada setiap ruang roda. Di belakang, lampu kombinasi mesih kelihatan sama seperti model biasa tetapi lensanya telah digelapkan. Kemudian, lencana-lencana GR Sport diletakkan pada tempat sepatutnya.

    Toyota Corolla Altis GR Sport muncul di Taiwan

    Kemasan GR Sport ini untuk Corolla Altis pasaran Taiwan ini ditawarkan untuk model Corolla dan juga Corolla Hybrid, berbeza dari pasaran Thailand hanya ditawarkan dalam versi enjin petrol 1.8 liter sahaja. Pelanggan boleh memilih model ini dalam empat warna badan iaitu Red, Ebony Black, Ferret White, dan Aurora Silver.

    Untuk kabin, model paling sporty ini menampilkan tempat duduk balutan kulit dengan tema warna merah-hitam (hanya hitam di Thailand) bersama tekapan logo GR pada perehat kepala. Serlahan jahitan benang merah turut boleh dilihat, manakala roda stereng Altis GR Sport ini turut menerima pedal penukar gear.

    Tiada sebarang tambahan kuasa diberikan pada enjin Altis GR Sport ini. Versi petrol sepenuhnya dijana oleh enjin 2ZR-FE 1.8 liter berkuasa 140 dan tork maksima 172 Nm, digandingkan dengan kotak gear Super CVT-i automatik yang turut diberikan nisbah maya tujuh-kelajuan.

    Toyota Corolla Altis GR Sport muncul di Taiwan

    Manakala untuk versi Hybrid, ia diberikan enjin 2ZR-FXE 1.8 liter kitaran Atkinson berkuasa 98 PS/142 Nm, dibantu oleh motor elektrik berkuasa 72 PS/122 Nm yang memberikan kuasa keseluruhan 122 PS. Kuasa dihantar ke roda hadapan menerusi kotak gear e-CVT automatik dengan empat mod pemanduan iaitu EV, Eco, Normal dan Sport.

    Namun, untuk memberikan lebih keseronokan ketika memandu, versi GR Sport ini diberikan bar anti-oleng hadapan dan belakang yang lebih keras dari model biasa, membolehkan kestabilannya meningkat dan kurang daya olengan ketika mengambil selekoh, dakwa Toyota.

    Bagi keselamatan pula, model ini diberikan tujuh beg-udara sebagai ciri standard, manakala varian lebih tinggi menerima sistem bantuan pemanduan Toyota Safety Sense. Sistem berkenaan membekalkan ciri-ciri seperti sistem pra-pelanggaran, bantuan keluar lorong dan cruise control adaptif. Toyota Corolla Altis GR Sport ini dijual di psaran Taiwan dengan harga bermula TWD828,000 (RM120k).


     
     
  • PKPB: Polis tarik balik sekatan jalan raya di sekitar KL

    PKPB: Polis tarik balik sekatan jalan raya di sekitar KL

    Seperti yang dinyatakan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai semalam, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah mengaturkan semula sekatan jalan raya di hampir kesemua lokasi di seluruh negara. Malah ia turut melibatkan pengurangan lokasi sekatan jalan raya dan juga banyak jalan yang ditutup sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu, kini dibuka semula.

    Seperti kontijen polis di kebanyakan negeri, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim turut mengumumkan pihaknya telah menarik balik semua sekatan jalan raya di sekitar Kuala Lumpur selaras dengan pelaksanaan PKPB.

    Walau bagaimana pun sekatan jalan raya di kawasan Perintah Kawalan Diperketatkan (PKPD) diadakan seperti biasa dengan kawalan penguatkuasaan sama oleh pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

    PKPB: Polis tarik balik sekatan jalan raya di sekitar KL

    “Meskipun sekatan jalan raya ditarik balik, pihak polis kini menumpukan penguatkuasaan terhadap pelaksanaan penjarakan sosial di antara orang ramai khususnya di kawasan terbuka.

    “Polis sudah menubuhkan pasukan pemantau yang akan bergerak secara serta merta ke tempat tumpuan orang ramai yang dikesan melanggar arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya seperti dilaporkan oleh Harian Metro.

    Menurutnya, arahan utama KKM adalah mengelakkan orang ramai berkumpul dan menjarakkan diri mereka ketika melakukan aktiviti harian.

    PKPB: Polis tarik balik sekatan jalan raya di sekitar KL

    “Itu kita akan pastikan, kita akan memberikan nasihat, teguran dan amaran sekiranya ada individu atau kumpulan melanggar arahan KKM,” katanya.

    Pada hari pertama pelaksanaan PKPB, jumlah kenderaan dikesan memasuki bandaraya Kuala Lumpur, dikesan meningkat 30% berbanding semasa PKP dilaksanakan.

    “Meskipun terdapat peningkatan jumlah kenderaan selepas kerajaan mengumumkan PKPB, tiada kesesakan luar biasa dikesan berlaku di sekitar ibu negara sehingga tengah hari tadi (semalam). Pihak JSPT bagaimanapun akan memastikan orang ramai sentiasa mematuhi arahan ditetapkan berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) KKM dipatuhi,” ujar Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya.

     
     
  • Kaunter JPJ di pejabat pos sudah kembali beroperasi

    Kaunter JPJ di pejabat pos sudah kembali beroperasi

    Semalam Pos Malaysia telah mengeluarkan satu notis pengumuman yang menyatakan semua pejabat pos dan cawangan Pos Laju yang berada di lokasi yang sudah beroperasi dan boleh diakses (bangunan komersial dan pusat beli-belah) sudah dibuka bermula 4 Mei. Sebelum ini yang dibuka cuma pejabat pos yang berada di lokasi sendiri.

    Selain daripada itu, notis tersebut turut menyatakan bahawa servis Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), yang termasuk pembaharuan lesen dan cukai jalan juga telah disambung semula. Ini berikutan pengumuman PKPB yang membenarkan hampir semua sektor ekonomi beroperasi semula.

    Bagi memastikan kesihatan dan keselamatan pelanggan, pihak Pos Malaysia akan melaksanakan langkah-langkah pencegahan yang digariskan semasa PKP di setiap cawangan pejabat pos dan Pos Laju, termasuk pemeriksaan suhu, penjarakan sosial dan pemakaian topeng muka.

    Kaunter JPJ di pejabat pos sudah kembali beroperasi

    Seperti yang dilaporkan sebelum ini, cawangan JPJ di seluruh negara sudah kembali dibuka, tetapi hanya untuk urusan kenderaan komersial, terutamanya kenderaan perkhidmatan awam, barangan dan pelancongan. Urusan yang melibatkan kenderaan persendirian, teksi dan e-hailing masih lagi tidak dibuka.

    Sekiranya lesen atau cukai jalan sudah tamat tempoh, anda boleh mengambil alternatif menggunakan perkhidmatan MyEG ataupun jika tidak, anda masih dibenarkan untuk memandu sehingga 12 Mei dengan syarat mempunyai insurans yang sah.

     
     
  • PKPB: Polis Selangor kurangkan sekatan jalan raya, mantapkan penguatkuasaan rondaan dan pemantauan

    PKPB: Polis Selangor kurangkan sekatan jalan raya, mantapkan penguatkuasaan rondaan dan pemantauan

    Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa Kelima yang turut dikenali sebagai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), polis Selangor telah mula mengurangkan sekatan jalan raya di beberapa daerahnya sejak semalam.

    Bagi Shah Alam, ketua polis daerah berkenaan Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, berkata lokasi sekatan jalan raya yang kekal beroperasi 24 jam setiap hari adalah Seksyen 7 dan Seksyen 26.

    “SJR Mobile pula tertumpu pada lewat malam hingga pagi iaitu 10 malam hingga 2 pagi dan 11 malam hingga 3 pagi. Ini membabitkan empat balai polis iaitu Seksyen 6, Seksyen 9, Seri Muda serta Bukit Jelutong.

    PKPB: Polis Selangor kurangkan sekatan jalan raya, mantapkan penguatkuasaan rondaan dan pemantauan

    “Selain itu, lapan pasukan pemantau meneruskan rondaan dan pemantauan PKPB di lapangan dan mengambil tindakan aduan awam seperti biasa membabitkan kereta Peronda polis (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB). Penugasan statik di tempat tumpuan seperti perhentian bas dan pasar raya diteruskan,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.

    Manakala Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman, berkata dua sekatan jalan raya yang kekal beroperasi di Banting dan Batu 7 Sijangkang.

    “Tiga lagi sekatan jalan raya iaitu Sri Cheeding, berhampiran Tol SKVE dan Jalan Kebun ditutup di mana SJR ini akan berubah kepada penugasan pemantauan dan snap check selain pemantauan dan kawalan di kawasan tumpuan orang ramai dan kawasan industri.

    “Ini bagi memastikan orang ramai patuh arahan dan mengamalkan konsep penjarakan sosial, kita juga akan buat penugasan di kawasan dikenal pasti menjadi laluan pendatang asing tanpa izin (PATI) khususnya sepanjang jalan pantai dari Tanjung Sepat ke Pulau Carey,” katanya.

    Di Klang Selatan pula, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli selaku polis daerah berkenaan berkata, hanya satu sekatan jalan raya kekal iaitu di Jalan Langat (Banting ke Klang).

    Bagi Klang Utara, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh, berkata hanya dua dari empat sekatan jalan raya dikekalkan mulai semalam iaitu di Batu 3 Jalan Kapar dan Batu 10 Jalan Kapar.

    Polis Petaling Jaya turut memaklumkan terdapat sembilan lokasi sekatan jalan raya yang telah ditamatkan iaitu di Tol NPE PJS2, Tol Subang, Tol Sungai Buloh, Tol Kota Damansara, Tol Damansara, KM34.1 Lebuhraya Persekutuan (arah KL ke Klang), Persiaran Surian, Royal Chulan (masuk/keluar).

    Walau bagaimana pun, terdapat satu lokasi sekatan jalan raya yang baharu iaitu di Batu 8 1/2 Jalan Klang Lama (berhadapan Wisma Ann Joo).

     
     
  • Kem.Pengangkutan cadang hukuman lebih berat, mandatori bagi pemandu mabuk atau pengaruh dadah

    Kem.Pengangkutan cadang hukuman lebih berat, mandatori bagi pemandu mabuk atau pengaruh dadah

    Ekoran sudah banyak kes kemalangan termasuk melibatkan kemalangan maut yang disebabkan kecuaian pemandu yang berada di bawah pengaruh alkohol atau dadah, kerajaan digesa untuk mengenakan hukuman yang lebih berat bagi kesalahan tersebut.

    Pada Februari lalu, kerajaan Pakatan Harapan dikatakan sedang merangka untuk meminda hukuman bagi kesalahan tersebut, termasuklah hukuman penjara 20 tahun dan denda RM100,000 jika pemandu terbabit disabit kesalahan.

    Walau bagaimana pun, selepas kerajaan bertukar kepimpinan kepada Pakatan Nasional, rakyat mengharapkan pindaan hukuman tersebut tidak dilupakan. Berdasarkan respon netizen di laman media sosial, rata-ratanya mahu hukuman penjara seumur hidup bagi pemandu mabuk atau di bawah pengaruh sosial yang menyebabkan kemalangan maut.

    Semalam, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, kementeriannya akan mencadangkan hukuman yang lebih berat dan mandatori bagi individu yang disabitkan kesalahan tersebut. Ujarnya, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sudah diarahkan meneliti Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, khususnya Seksyen 41 hingga 45 akta berkenaan.

    Kem.Pengangkutan cadang hukuman lebih berat, mandatori bagi pemandu mabuk atau pengaruh dadah

    Selain itu katanya, nilai ambang kandungan alkohol dalam darah (BAC) sedia ada iaitu 0.08 peratus juga akan dinilai semula, sama ada ia masih relevan dengan keadaan semasa atau sebaliknya.

    “Saya rasa sudah tiba masanya kita kenakan hukuman mandatori. Ini bukan perkara baharu dan negara lain sudah melaksanakannya dan ia akan dilakukan dalam tempoh terdekat. Kita akan melihat cara terbaik. Kalau perlu buat pindaan undang-undang terhadap APJ 1987, kita akan buat sebaik-baiknya,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian

    Menurut Dr.Wee lagi, berkemungkinan penjara mandatori akan dikenakan ke atas pesalah terbabit dengan tempohnya akan dipertimbangkan dalam kadar bersesuaian.

    “Sesetengah negara bukan sekadar denda sahaja tetapi akan lesen memandu pesalah digantung bagi suatu tempoh agak lama dan ia mungkin tak seberat mana. Kalau (pesalah) dikenakan hukuman penjara mandatori, tu akan beri kesedaran kepada individu yang berniat memandu dalam keadaan mabuk dan mereka akan berfikir dua kali (sebelum melakukan kesalahan terbabit),” katanya lagi.

    Kem.Pengangkutan cadang hukuman lebih berat, mandatori bagi pemandu mabuk atau pengaruh dadah

    Beliau turut menambah, tiada sebab untuk seseorang memandu dalam keadaan mabuk kerana negara kita sudah ada perkhidmatan e-hailing yang mempunyai 120,000 pemandu. Mereka sepatutnya menggunakan perkhidmatan ini.

    Kelmarin, seorang anggota polis maut selepas selepas sebuah pacuan empat roda disyaki dipandu pemandu mabuk, merempuh sekatan jalan raya Op COVID-19 di Plaza Tol Kajang Selatan Lebuhraya (LEKAS), di Kajang

    Koperal Safwan Muhammad Ismail, 31, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat cedera parah di kepala dan badan selepas dihempap kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux dipandu seorang lelaki disyaki di bawah pengaruh alkohol.

    Susulan peristiwa sedih itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador turut mengharapkan agar pemandu mabuk yang menyebabkan kemalangan maut dikenakan hukuman maksimum.

    Mengikut Seksyen 41, Akta Pengangkutan Jalan 1987, individu yang didapati bersalah memandu dalam keadaan mabuk dan secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak melebihi RM20,000.

     
     
  • Kereta elektrik mikro China – saiz kecil, industri besar!

    Kereta elektrik mikro China – saiz kecil, industri besar!

    Seminggu kebelakangan ini, kecoh di media sosial berkenaan satu model kereta elektrik sepenuhnya yang sangat kecil diberi nama Mini EV X2 yang dikatakan bakal masuk ke pasaran Malaysia dengan harga yang begitu murah iaitu hanya RM13.8k. Ternyata menerusi pemerhatian yang kami buat, juga pengesahan dari pihak polis, ia sebenarnya adalah sindiket penipuan.

    Penipuan yang kami maksudkan adalah dari pihak yang kononnya akan membawa masuk kereta tersebut, manakala kereta berkenaan pula sebenarnya memang benar-benar wujud di China, dihasilkan oleh Zhejiang Today Sunshine New Energy Vehicle Industry dan diberi nama Mine M1.

    Untuk pengetahuan anda, Mine M1 ini bukan satu-satunya kereta elektrik mikro di China. Ia hanya salah satu model dari beratus-ratus (mungkin ribu-ribu!) model kereta elektrik kecil yang dijual di sana!

    Kereta-kereta ini dikelaskan sebagai Kereta Elektrik Kelajuan Rendah (LSEV) di China, dihasilkan lebih kecil dari segmen K-Car di Jepun, dan hampir sama dengan saiz ‘bubble car’ seperti BMW Isetta dan Messerschmitt KR175 yang dihasilkan di Eropah selepas perang dunia kedua dahulu.

    Namun walaupun ia bersaiz sangat kecil iaitu sekitar satu pertiga dari saiz kereta biasa, LSEV adalah satu industri yang sangat besar di China dan ia hadir dalam pelbagai bentuk termasuk SUV dan trak pikap – menurut laporan Wall Street Jurnal, ia dijual sebanyak 1.75 juta unit pada tahun 2017!

    Selain dari saiznya yang kecil, LSEV yang dihasilkan dengan teknologi yang cukup ringkas membolehkan ia dijual dengan harga yang cukup murah iaitu sekitar RM15k. Ia digerakkan dengan motor elektrik berkuasa rendah; ada yang dibekalkan dengan bateri lithium ion, dan ada juga hanya dijana oleh bateri lima hingga enam unit bateri asid plumbum 12V iaitu bateri sama seakan kereta-kereta elektrik kanak-kanak yang boleh anda beli di kedai-kedai mainan sekitar Chow Kit, KL.

    Kereta elektrik mikro China – saiz kecil, industri besar!

    Jadi, anda tidak perlu mengecasnya dengan wallbox yang canggih, cukup sekadar menggunakan plag domestik 220V di rumah. Seperti namanya, kereta-kereta LSEV ini biasanya boleh bergerak dengan kelajuan maksimum sekitar 50 hingga 75 km/j, dan ia boleh dipandu di China tanpa memerlukan sebarang lesen.

    Jelas, dengan spesifikasi yang ditawarkan iaitu seakan kereta mainan, memang agak mustahil untuk kereta ini lepas ujian Vehicle Type Approval (VTA) yang disyaratkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia bagi membolehkan ia didaftarkan dan dilindungi oleh insuran.

    Jadi selain Mini EV X2 tersebut, kereta LSEV apa lagi yang boleh anda beli di China? Berikut kami senaraikan hanya sebahagian kecil kereta-kereta elektrik mikro berkenaan.

    Jiayuan City Spirit Eidola

    Kereta elektrik mikro China – saiz kecil, industri besar!

    Kereta ini direka dengan muka seakan mengambil inspirasi dari SUV keluaran Jeep. Ia dihasilkan dengan dimensi 2,245 mm panjang, 1,290 mm lebar, 1,570 mm tinggi dan jarak roda sejauh 1,500 mm. Ia ini dihasilkan dalam dua varian kuasa iaitu kelajuan rendah dan kelajuan tinggi, namun kedua-duanya memacu roda belakang.

    Untuk model kelajuan rendah, ia digerakkan dengan sebuah motor berkuasa 3 kW (4 hp) manakala kelajuan tinggi pula menggunakan motor berkuasa 7.5 kW (10 hp). Kelajuan maksima yang boleh dicatatkan adalah 75 km/j.

    Ia hanya dibekalkan dengan bateri asid plumbum 12V yang memerlukan satu cas penuh dicapai dalam masa sekitar enam hingga lapan jam menggunakan plag domestik biasa 220V, dan memberikan jarak gerak sekitar 120 km.

    City Spirit Eidola hadir dengan kelengkapan seperti lampu nyalaan siang LED, bumbung panaromik, pintu tailgate belakang bantuan kuasa serta skrin infotaimen yang lengkap dengan hubungan Bluetooth, sistem navigasi dan paparan kamera undur.

    Gongyi Hongsheng siri HS400

    Kereta elektrik mikro China – saiz kecil, industri besar!

    Gongyi Hongsheng menghasilkan model siri HS400 ini dalam pelbagai varian dengan pelbagai rupa, tetapi menggunakan asas dan janakuasa yang sama. Misalnya HS400L tampil dengan rupa seakan Nissan Cube, HS400D dengan muka seperti Ford F-150, HS400G diberikan muka seiras Chevrolet Silverado, manakala HS400B seakan mahu meniru Nissan Dayz.

    Kesemua versi HS400 diberikan empat tempat duduk yang didakwa boleh memuatkan enam-orang. Ia diberikan motor elektrtik berkuasa 1.5 kW (2 hp) dengan bateri 60V100AH, membolehkan ia mencapai kelajuan maksima 45 km/j. Satu cas penuh memerlukan masa mengecaj selama enam hingga lapan jam, bagi membolehkan ia bergerak sejauh 120 km.

    Selain itu, HS400 turut diberikan kelengkapan seperti skrin pemain utama, tempat duduk balutan kulit, gear mendaki, lampu hadapan dan belakang LED serta kamera undur.

    Shandong Fengde

    Kereta elektrik mikro China – saiz kecil, industri besar!

    Jenama ini agak unik, kerana produk-produk mereka memang semuanya dihasilkan sebagai replika kereta-kereta premium dari SUV sehingga supercar. Seperti yang anda boleh lihat pada gambar-gambar dari Carscoops di bawah, Shandong Fengde menghasilkan klon comel untuk Mercedes GLE, Range Rover Evoque, Bugatti Chiron, Lamborghini Murcielago dan Audi R8!

    Model-model dari Shandong Fengde ini turut menerima ciri seperti bumbung suria, rel bumbung, lampu halogen, kluster instrumen digital, sistem infotaimen dengan skrin sesentuh dan juga penghawa dingin.

    Ia digerakkan dengan motor elektrik 4 kW, 73V, manakala baterinya pula perlu dicas selama enam hingga lapan jam untuk penuh. Untuk itu, model-model Shandong Fengde berkenaan mampu bergerak sejauh 120 km untuk satu cas penuh, dengan kelajuan maksima dicatatkan pada 50 km/j.

    FengQi F1

    Kereta elektrik mikro China – saiz kecil, industri besar!

    Berbanding model-model LSEV lain yang tersenarai di atas, FengQi F1 ini agak unik kerana ia mempunyai konfigurasi tiga-tempat duduk iaitu pemandu di tengah, dan dua tempat duduk penumpang berada di belakang. Agaknya nama ‘F1’ ini diberi mungkin sebab susunan tempat duduk tersebut seperti McLaren F1, agaknya la.

    Kereta dua pintu (akses ruang kargo belakang hanya melalui tingkap tailgate) ini dihasilkan dengan dimensi 2,500 mm panjang, 1,250 mm lebar dan 1,600 tinggi. Ia diberikan kluster instrumen digital dan bumbung suria, tetapi tiada sistem penghawa dingin diberikan sebaliknya hadir dengan ‘kipas teksi’ sebagai ciri standard.

    Fengqi F1 digerakkan dengan motor elektrik berkuasa 1.2 kW (1.6 hp) 60V, menerima bekalan kuasa dari bateri asid plumbum.

     
     
  • Proton akan tawar penuras udara kabin N95 untuk X70

    Proton akan tawar penuras udara kabin N95 untuk X70

    Februari lalu, Geely telah menawarkan pelanggannya dengan penuras udara kabin untuk sistem pendingin hawa yang ditingkat taraf yang memberikan udara segar dengan kualiti sama seperti ditapis dengan topeng muka yang dikelaskan sebagai N95 untuk model-modelnya di China. Nampaknya Proton juga akan menawarkan produk yang sama tidak lama lagi khas untuk SUV X70.

    Ini diumumkan oleh Proton dalam laman sesawang rasmi mereka, di mana penuras udara yang ditingkat taraf itu boleh digunakan pada X70 sama ada dalam versi CBU China dan juga CKD Malaysia. Geely mendakwa, penuras udara baharu ini dihasilkan dari bahan karbon aktif, fabrik bukan tenunan, bahan-bahan komposit pelbagai lapisan dan lain-lain. Ia mampu untuk menapis partikel sehalus 0.3µm bagi mengelakkan ia tersebar ke dalam kabin kereta menerusi sistem pendingin hawa.

    Proton akan tawar penuras udara kabin N95 untuk X70

    Jenama tersebut turut menyebut bahawa laporan dari pakar perubatan mendedahkan bahawa titisan yang diserap oleh virus Covid-19 yang kini melanda dunia biasanya adalah lebih besar dari 0.74µm, jadi penapis ini mampu untuk menapis penyebaran virus berkenaan secara efektif, dan kadar kebarangkalian untuk berjaya adalah setinggi 98%, manakala kadar pemintasan zarah halus (PM2.5) di udara adalah setinggi 99.9%.

    Selain dari untuk mengelakkan penularan virus Covid-19 ini, Geely turut mendakwa bahawa penapis juga dapat mengasingkan zarah-zarah lain di udara, termasuk bau, debu, dan lain-lain yang boleh menyebabkan alahan. Berapa harga yang perlu dibayar oleh pemilik Proton X70 untuk mendapatkan penuras udara yang ditingkat taraf ini? Perincian penuh masih belum didedahkan oleh Proton, dan ia mungkin akan diumumkan ketika pelancarannya nanti.

     
     
  • Mini EV X2 – polis bagi amaran ia adalah penipuan

    Mini EV X2 – polis bagi amaran ia adalah penipuan

    Minggu lalu kami sudahpun menaikkan satu artikel berkenaan kereta elektrik kompak Mini EV X2 yang tular di media sosial, dan mengesyaki ia adalah satu bentuk penipuan berdasarkan laman sesawang yang begitu mencurigakan. Nah, ternyata ia benar kerana pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menerusi laman facebook Cyber Crime Alert Royal Malaysia Police telah memberikan amaran ia sememangnya satu bentuk penipuan.

    Menurut laman sesawang ‘rasmi’ yang mendakwa sebagai pengedar untuk kereta Mini EV X2 ini di Malaysia itu, kereta tersebut akan dijual pada harga RM13,800 setelah diberikan diskaun berbanding harga asal RM18,800. Bukan itu sahaja, ia turut boleh dibeli dengan bayaran ansuran bulanan serendah RM159.98 untuk tempoh sembilan tahun.

    Dengan carian lebih mendalam, apa yang kami jumpa Mini EV X2 ini sebenarnya dihasilkan oleh syarikat dari China iaitu Zhejiang Today Sunshine New Energy Vehicle Industry. Di pasaran republik rakyat tersebut, kereta ini dikenali dengan nama Mine M1.

    Mini EV X2 – polis bagi amaran ia adalah penipuan

    Apa yang membuatkan kami curiga terhadap laman tersebut kerana maklumat-maklumat yang dipaparkan dengan jelas hanya diubah sedikit dari satu lagi laman yang didakwa untuk pasaran Eropah dikenali dengan nama Today Sunshine M1, yang turut menyatakan bahawa kereta ini boleh “dipandu oleh semua orang” bermula dari 16 tahun dengan lesen memandu B1 walhal di Malaysia lesen untuk memandu ‘motokar’ seperti ini adalah dalam kelas ‘D’ dan bukan B1.

    Juga, tiada maklumat jelas berkenaan pihak yang boleh dihubungi untuk pembelian kereta ini termasuk nombor telefon lengkap, tetapi ada pula nombor akaun bank CIMB untuk mereka yang berminat membuat pembayaran.

    Rakan kami dari Pandulaju.com.my, Abang Gan turut telah memberitahu kami bahawa dia telah merujuk ke pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mengetahui adakah kereta ini pernah memohon dan menerima sijil Vehicle Type Approval (VTA) – jawapannya tidak. Jadi jika benar pun ia dijual di sini, kereta ini haram untuk dipandu di atas jalan raya Malaysia.

    Penulis juga perasan, ada laman-laman di media sosial yang saya anggap “sudah la kurang pengetahuan, sebar pula berita yang tidak diketahui asal-asul” telah menularkan satu gambar bahawa kereta ini telah pun tiba di Terengganu. Tuan-tuan, untuk pengetahuan semua, itu adalah Smart Fortwo generasi ketiga dan bukan kereta elektrik China dengan rekaan klon dari MINI yang diperkatakan ini.

    Smart adalah jenama di bawah naungan Daimler AG, satu bumbung dengan jenama Jerman, Mercedes-Benz dan ia adalah kereta dengan enjin petrol. Pada tahun 2004, model generasi pertama Smart Fortwo telah dibawa secara rasmi ke Malaysia dan dijual menerusi pengedar Mercedes dengan harga sekitar RM90k. Walau bagaimanapun, model generasi ketiga ini hanya di bawa ke sini oleh pengimport-pengimport persendirian.

    Untuk pengetahuan anda juga, kereta elektrik bersaiz kecil ini bukan sesuatu yang baharu. Di China, kereta-kereta seperti ini dikelaskan sebagai “kereta elektrik berkelajuan rendah” atau LSEV, dan ia sudah dihasilkan mungkin mencecah ribuan model. Pada tahun 2017 sahaja, sebanyak 1.75 juta unit LSEV telah dijual di China, dan kami telah menulis satu artikel khas berkenaan LSEV pada PAUTAN INI.

     
     
  • Kumpulan Naza sambung operasi perniagaan hari ini – termasuk Kia, Peugeot, Citroen, DS dan PJ Automall

    Kumpulan Naza sambung operasi perniagaan hari ini – termasuk Kia, Peugeot, Citroen, DS dan PJ Automall

    Kumpulan Naza telah mengumumkan beberapa jenama automotif di bawah seliaan syarikat itu telah menyambung semula operasi bermula hari ini. Antara anak syarikat yang sudah memulakan perniagaan ialah seperti Naza Italia, NZ Wheels, Naza Kia Malaysia, Nasim, Naza Euro Motors dan Naza Motor Trading.

    Menurut Naza lagi, selari dengan prosedur operasi standard (SOP) yang dikenakan bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), langkah-langkah keselamatan dan kesihatan yang ketat akan dipatuhi di semua premis berasingan jenama-jenama yang terlibat. Ini termasuk langkah pembasmian kuman serta penjarakkan sosial dalam kalangan pekerja dan juga pelanggan.

    Pengedar Mercedes-Benz, NZ Wheels beroperasi khusus mengikut tempahan sahaja di Klang Autohaus, pusat servis KL serta Johor Bahru Autohaus. Pelanggan yang berhasrat untuk berkunjung perlu menghubungi cawangan terlibat terlebih dahulu untuk membuat temujanji.

    Sementara itu, Naza Kia Malaysia telah memulakan operasi penuh di cawangan-cawangan rasminya secara berperingkat. Program Kia Promise, yang melanjutkan perlindungan kenderaan Kia yang tempoh jaminan asalnya berakhir sepanjang PKP antara 1 hingga 30 April 2020 diteruskan sehingga 30 Jun bagi kenderaan yang layak.

    Kumpulan Naza sambung operasi perniagaan hari ini – termasuk Kia, Peugeot, Citroen, DS dan PJ Automall

    Semua jaminan sedia ada akan kekal sah walaupun penyelenggaraan tidak dilakukan sepanjang tempoh PKP. Pelanggan akan diberikan tambahan tempoh ehsan selama dua blan atau 2,000 km terhadap jadual servis enam bulan atau 10,000 km untuk menghantar kenderaan mereka bagi tujuan servis selepas PKP berakhir nanti.

    Bagi Nasim (Peugeot) dan Naza Euro Motors (Citroen dan DS Malaysia) telah memulakan operasi pusat servisnya, dan pelanggan dikehendaki menghubungi terlebih dahulu untuk membuat temujanji sebelum datang ke premis.

    Semua jaminan bagi tiga jenama berkenaan juga akan dikekalkan sekiranya penyelenggaraan telah melepasi tahap sepatutnya disebabkan PKP. Pelanggan boleh menghubungi talian khidmat pelanggan 1800-88-6262, atau melalui emel [email protected] serta Facebook @peugeotmalaysia. Bagi Naza Motor Trading pula, operasi perniagaannya bermula seperti biasa dari jam 9 pagi hingga 6 petang di Naza Automall PJ.

     
     
  • Ford Puma ST 2020 didedah awal dalam video teaser

    Ford Puma ST 2020 didedah awal dalam video teaser

    Hujung tahun ini Ford akan menambah satu lagi model prestasi yang menggunakan lencana ST, iaitu Puma ST, untuk menyertai Focus ST dan Fiesta ST yang sudah pun berada dalam pasaran Eropah sekarang. Sebelum ia didedahkan sepenuhnya, syarikat itu mengeluarkan teaser terlebih dahulu.

    Berdasarkan apa yang boleh dilihat daripada video teaser serta gambar spyshot sebelum ini, Puma ST akan mempunyai penampilan yang lebih agresif berbanding model biasa. Pada bahagian hadapan terdapat tambahan lip spoiler serta bukaan udara yang direka semula demi memberikan lebih pengudaraan kepada intercooler yang lebih besar.

    Model ini juga akan datang dengan rekaan rim khas, spoiler bumbung yang besar, bampar belakang baru dengan dua muncung ekzos, brek lebih besar serta barangan lain yang biasa diberi dalam pakej ST. Di dalam pula terdapat tempat duduk Recaro berserta logo ST (juga terdapat pada stereng).

    Menurut laporan sebelum ini Puma ST akan dikuasakan oleh enjin tiga silinder turbo 1.5 liter sama seperti Fiesta ST, yang digabungkan bersama transmisi manual enam kelajuan dan mampu menghasilkan kuasa 200 PS dan 290 Nm tork kepada roda hadapan. Ada khabar juga menyatakan ia akan dilengkapi dengan pilihan limited-slip differential serta fungsi launch control.

    Disebabkan binaanya yang lebih tinggi, prestasi Puma ST mungkin sedikit kekurangan berbanding Fiesta ST yang mampu mencatat 0-100 km/j dalam masa 6.7 saat. Apabila masuk dalam pasaran nanti, ia akan bersaing dengan crossover prestasi lain seperti Hyundai Kona N yang akan memasuki pasaran tidak lama lagi.

     
     
  • Yamaha Tenere 700 masuk pasaran Thailand – harga RM58k, lebih murah berbanding Tracer 900 GT

    Yamaha Tenere 700 masuk pasaran Thailand – harga RM58k, lebih murah berbanding Tracer 900 GT

    Yamaha Tenere 700 adalah antara model yang ditunggu-tunggu oleh ramai penggemar motosikal adventure. Ia mula menembusi pasaran pertama awal tahun lepas iaitu di Eropah dan sekarang telah berada di Asia Tenggara apabila dilancarkan di Thailand dengan harga 439,000 baht (RM58,477).

    Jika dibandingkan dengan model lain yang ditawarkan oleh Yamaha di sana, Tenere 700 ini adalah lebih murah berbanding Tracer 900 GT yang dijual pada harga 499,000 baht (RM66,469). Motosikal yang berkongsi asas sama dengan Tenere 700 ini, iaitu MT-07 pula dijual pada harga 299,000 baht (RM39,800).

    Jika trend yang sama digunakan sekiranya Tenere 700 ini masuk ke pasaran Malaysia, kita boleh menjangka harganya nanti berada di sekitar RM50k di mana harga untuk Tenere 900 GT di sini adalah RM58,888. MT-07 pula dijual pada harga RM38,288 di Malaysia.

    Tenere 700 dikuasakan enjin sama seperti MT-07, iaitu unit dua silinder selari crossplane 689 cc CP2 dengan sistem penyejukan cecair, mampu menghasilkan kuasa 72.4 hp pada 9,000 rpm dan 68 Nm tork pada 6,500 rpm. Kuasa disampaikan ke atas jalan melalui kotak gear enam kelajuan serta sistem pacuan rantai.

    Antara kelengkapan lain padanya adalah fork USD 43 mm dengan jarak gerak 210 mm di hadapan, monoshock belakang dengan jarak gerak 200 mm, 21 inci di hadapan, 18 inci di belakang dan dibalut dengan tayar Pirelli Scorpion Rally STR masing-masing bersaiz 90/90 dan 150/70, tangki bahan api 16 liter, panel paparan LCD, lampu hadapan LED yang terletak dalam kokpit seperti motosikal rali dan pelindung tangan.

    GALERI: Yamaha Tenere 700

     
     
  • PKPB: Pergerakan dalam radius 10km ditamatkan; rentas negeri masih tidak dibenarkan – Ismail Sabri

    PKPB: Pergerakan dalam radius 10km ditamatkan; rentas negeri masih tidak dibenarkan – Ismail Sabri

    Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kelima atau pun lebih dikenali sebagai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkuatkuasa mulai hari ini, kerajaan telah memutuskan untuk menamatkan pergerakan orang ramai yang sebelum ini terhad dalam radius jarak 10 kilometer dari kediaman masing-masing.

    Menteri kanan (keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri berkata, peraturan itu yang terpakai dalam PKP terdahulu, sudah tidak dilaksana di bawah PKPB. Ini bermakna, rakyat sudah dibenarkan untuk melakukan perjalanan melebihi jarak tersebut untuk keluar bekerja, membeli barangan keperluan, makanan dan juga tujuan perubatan.

    “Tiada lagi radius 10 kilometer dalam peraturan PKPB. Bagaimana pun, rentas negeri masih dalam senarai yang dilarang. Masih belum dibenarkan dlaam PKPB ini,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya sebentar tadi.
    PKPB: Pergerakan dalam radius 10km ditamatkan; rentas negeri masih tidak dibenarkan – Ismail Sabri

    Menurutnya lagi, semalam yang merupakan hari terakhir bagi PKP fasa keempat, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengadakan sebanyak 819 sekatan jalan raya di seluruh Malaysia dengan memeriksa sejumlah 404,136 kenderaan.

    Di mana seramai 401 individu telah ditahan oleh pihak berkuasa kerana ingkar PKP, dengan 331 daripadanya telah direman dan 70 individu pula diberikan jaminan polis. Jumlah kumulatif pesalah yang ingkar PKP sejak 18 Mac lalu kini mencecah 24,081 individu.

    “Sebahagian sektor ekonomi dan industri telah pun mula dibuka hari ini, namun ia perlulah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan. Di bawah PKPB ini, PDRM dan ATM akan lebih memfokuskan penguatkuasaan terhadap pematuhan SOP. Akta Pencegahan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) masih lagi berkuasa. Ramai yang terkeliru seolah-olah akta di bawah 342 ini tidak lagi dikuatkuasa kerana PKP kelima ini, kita panggil PKPB.

    “PKPB juga sama dengan PKP-PKP yang lain. Jadi akta ini terus berkuatkuasa. Hukuman di bawah PKPB juga tetap sama iaitu hukuman pengingkaran PKP ini ialah kompaun tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali. Statusnya sama saja, walau pun nama bertukar dari PKP ke PKPB,” jelas Ismail lagi sambil menambah bagi pemilik premis yang gagal mematuhi SOP, boleh dikenakan tindakan di bawah Akta 342 malah perniagaaan mereka boleh ditutup.

    PKPB: Pergerakan dalam radius 10km ditamatkan; rentas negeri masih tidak dibenarkan – Ismail Sabri

    Apabila PKP pertama menjadi PKP kedua, peraturan di bawah Akta 342 diwartakan berdasarkan tarikh permulaan dan tarikh akhir PKP tersebut. Jika diwartakan peraturan baharu di bawah Akta 342 ini, maka peraturan yang diwartakan sebelumnya adalah terbatal.

    “Sebagai contoh, dulu PKP keempat diwartakan, misalnya, dalam sebuah kereta maksimum dua orang. Apabila PKP kelima diwartakan, kita masukkan dalam warta ini, penumpang dalam kereta dibolehkan empat orang. Dan oleh itu, peraturan di bawah PKP keempat yang diwartakan sebelum ini terbatal sebab kita sudah wartakan peraturan baharu dalam PKP kelima.

    “Saya harap kita tak keliru dengan perkara ini, kerana seluruh negeri tertakluk dengan peraturan yang diwartakan di bawah PKP kelima. Harap rakyat patuh dengan peraturan dan SOP di bawah PKP kelima ini,” ujarnya lagi.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025