Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Toyota C-HR – tempahan dibuka di Malaysia, harga sekitar RM146k, satu spesifikasi enjin 1.8 liter 137 PS

    UMW Toyota Motor (UMWT) telah mengumumkan model C-HR kini dibuka untuk tempahan di Malaysia, dengan satu status berkenaannya di muat naik di laman media sosial. Sebelum ini, sejak bulan Ogos tahun lalu, C-HR telah dibawa ke merata tempat sebagai promosi, dan cuma kini baru tempahannya dibuka. Pelancaran pula akan berlaku tidak lama lagi.

    C-HR akan dijual di Malaysia dengan satu spesifikasi 1.8L sahaja, menggunakan enjin 2ZR-FE 1.8 liter NA dengan teknologi VVT-i. Kuasa yang dicatat adalah 137 PS pada 6,400 rpm dan 170 Nm tork pada 4,000 rpm, dihantar ke roda hadapan melalui transmisi automatik CVT dengan mod manual tujuh kelajuan.

    Akan dibawa masuk sebagai unit CBU dari Thailand, C-HR akan dijual pada harga anggaran RM145,500 atas jalan tanpa insurans. Honda HR-V CKD dijual pada harga dari RM98k hingga RM117k, sementara Mazda CX-3 2.0 CBU pula dijual pada harga RM134k. Tetapi, perlu juga mengambil kira bahawa C-HR dibina menggunakan platform TNGA segmen-C terkini Toyota, dengan suspensi belakang dari jenis double wishbone yang lebih canggih (dan lebih mahal) berbanding pesaing-pesaingnya yang menggunakan jenis torsion beam segmen-B.

    Pada harga tersebut, pembeli C-HR akan mendapat lampu utama halogen projector dengan lampu siang LED, lampu belakang LED, lampu kabus depan dan belakang, rim 17 inci.

    Turut diberi adalah sistem masuk tanpa kunci, butang penghidup enjin, lampu bawah pintu, tempat duduk balutan kulit bercorak, tempat duduk dengan larasan sokongan belakang elektrik (larasan sandar dan ke hadapan masih lagi manual), lampu serta pengelap cermin automatik, skrin informasi berwarna 4.2-inci, kawalan pendingin hawa dwi-zon dan kamera undur. Ia juga datang dengan skrin sesentuh tujuh-inci dengan pemain DVD, sambungan telefon pintar, pengesan suara, capaian Internet, Wifi, HDMI, USB, Bluetooth, dan juga enam-pembesar suara.

    Untuk aspek keselamatan pula, ia didatangkan dengan tujuh beg udara (hadapan, sisi, tirai dan bahagian lutut pemandu) bersama Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dengan kawalan cengkaman, bantuan mula mendaki, ABS dengan EBD dan bantuan Brek, paparan titik buta, kepekaan trafik lintasan belakang, sistem pemantauan tekanan tayar dan cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX.

    Warna standard yang ditawarkan termasuklah Metal Stream Metallic dan Attitude Black Mica, serta anda juga boleh memilih White Pearl CS atau dua-tona Blue Metallic dan Red Mica – kedua-duanya dengan bumbung hitam – tetapi dengan harga tambahan. Turut ditawarkan ialah sistem navigasi DVD-AVN, perakam video digital (seperti dash cam) dan pengalas barangan.

    GALERI: Toyota C-HR yang dipertonton di Malaysia

    GALERI: Toyota C-HR TRD Sportivo

     
     
  • Toyota Vios generasi baharu di Singapore Motor Show 2018 – 1.5L Dual VVT-i, CVT, tujuh-beg udara dan VSC

    Toyota Vios generasi baharu di <em>Singapore Motor Show</em> 2018 – 1.5L Dual VVT-i, CVT, tujuh-beg udara dan VSC

    Bulan lalu Toyota Vios generasi baharu telah pun dilancarkan di pasaran Singapura. Hari ini ketika membuat liputan untuk Singapore Motor Show 2018, kami berpeluang untuk melihat sendiri model sedan segmen-B Toyota yang telah masuk ke generasi keempat berkenaan. Untuk pasaran republik ini, Vios ditawarkan dengan dua varian iaitu model asas E dijual pada harga SGD89,988 (RM270k) dan varian tertinggi G berharga SGD95,988 (RM287k).

    Bagi model generasi baharu ini, ia diberikan lampu dan gril hadapan yang lebih tirus dan tajam. Manakala untuk bampar hadapan pula, ia menampilkan gril yang lebih besar dan turut menempatkan lampu nyalaan siang LED yang direka melintang, selari dengan garis pada liang kemasukan udara bampar tersebut.

    Secara keseluruhan, garis badan Vios baharu ini masih lagi menerapkan konsep yang sama seperti model generasi sebelumnya – menyerlahkan bentuk lebar pada bahagian belakang. Untuk muka belakang pula, lampu Vios kini direka lebih panjang menampilkan lampu ‘two piece‘ yang bersambung pada bahagian penutup but. Manakala lampu kabus belakang pula kini direka dengan lebih tirus.

    Toyota Vios generasi baharu di <em>Singapore Motor Show</em> 2018 – 1.5L Dual VVT-i, CVT, tujuh-beg udara dan VSC

    Kelengkapan standard lain yang turut ditawarkan untuk model pasaran Singapura ini termasuk lampu utama halogen reflektor, lampu kabus depan, rim aloi 15-inci, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, cermin depan akustik, stereng larasan ketinggian dan teleskopik, tempat duduk fabrik, sistem Toyota Telematics dan kamera undur.

    Vios G turut menerima lampu utama projektor, DRL LED, lampu belakang LED, rim dwi-tona aloi 16-inci, stereng multi-fungsi balutan kulit, kawalan pendingan hawa zon tunggal, sistem tunjuk arah, kerusi belakang dengan nisbah lipatan 60:40 serta perehat lengan di tengah dengan pemegang cawan. Dari segi keselamatan, ia datang dengan tujuh beg udara, ABS dengan EBD dan Brake Assist, kawalan kestabilan VSC dan Hill-Start Assist.

    Toyota Vios generasi baharu di <em>Singapore Motor Show</em> 2018 – 1.5L Dual VVT-i, CVT, tujuh-beg udara dan VSC

    Seperti juga model generasi sebelum ini, kesemua varian hanya ditawarkan dengan satu pilihan janakuasa iaitu enjin petrol 1.5 liter. Enjin 2NR-FE pada Vios baharu ini mampu menjana 105 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 140 Nm pada takat 4,200 rpm. Ia digandingkan dengan kotak gear CVT automatik bersama nisbah maya tujuh-kelajuan.

    Untuk pengetahuan anda, Vios generasi baharu ini turut sudah dilancarkan di Thailand, namun ia dijelmakan sebagai model yang mematuhi peraturan Kereta Eco Thailand – bagi membolehkan ia menerima insentif istimewa kerajaan menerusi program berkenaan. Oleh itu, pasaran Thai menerima Vios yang ditukar nama kepada Yaris Ativ dan ia hanya dijana enjin 1.2 liter berkuasa 86 PS/108 Nm. Manakala Vios generasi terdahulu masih lagi dijual di Thai dengan nama Vios.

     
     
  • Honda 3E-D18 – robot autonomous 4WD kuasa elektrik

    Honda 3E-D18 – robot autonomous 4WD kuasa elektrik

    Semasa pameran CES yang berlangsung di Las Vegas, Amerika Syarikat, Honda telah membawa pelbagai kenderaan elektrik dan konsep penyelesaian sistem berkenaan, namun antara yang menarik perhatian adalah sebuah kenderaan offroad robotik kuasa elektrik yang digelar sebagai 3E-D18.

    Konsep yang diketengahkan melalui kenderaan ini adalah supaya robot dan manusia dapat bekerja sama sambil menggunakan kelebihan masing-masing. 3E-D18 boleh bergerak sendiri (autonomous) dan dapat meredah kawasan offroad, sekaligus boleh digunakan untuk pelbagai aktiviti.

    Asas yang digunakan untuk 3E-D18 adalah daripada ATV honda sendiri, dan selain kuasa pacuan elektrik, ia juga mempunyai sistem pacuan empat roda, tayar tanpa angin, sistem GPS dan autonomi berasaskan sensor. Dengan semua ini, 3E-D18 boleh mengharungi pelbagai cabaran, mudah dikawal dan lasak.

    Bahagaian atas 3E-D18 boleh diubah suai mengikut kegunaan yang dimahukan, dan antara sektor yang disasarkan adalah seperti kegunaan awam, komersial, syarikat kecil, khidmat mencari dan menyelamat, memadam kebakaran, pembinaan dan agrikultur.

    Dengan menggunakan 3E-D18, disebabkan ia adalah kenderaan robotik autonomous, manusia boleh mengurangkan risiko berhadapan bahaya dan menjimatkan lebih banyak masa untuk tugas-tugas yang sukar. Video operasinya boleh dilihat di bawah.

     
     
  • Hyundai Kona 2018 dilancarkan di Singapura – dua varian, enjin turbo 1.0L & 1.6L, harga bermula RM270k

    Hyundai Kona 2018 dilancarkan di Singapura – dua varian, enjin turbo 1.0L & 1.6L, harga bermula RM270k

    Pencabar Honda HR-V dari Korea –Hyundai Kona– akhirnya tiba di ASEAN, atau lebih spesifik ia diperkenalkan terlebih dahulu di seberang Tambak Johor. Dilancarkan ketika berlangsungnya Singapore Motor Show 2018, crossover ini ditawarkan dalam dua piihan enjin untuk pasaran republik berkenaan iaitu 1.0 liter Turbo dan juga 1.6 liter Turbo T-GDI.

    Model dengan kapasiti paling rendah dijana enjin 1.0 liter tiga-silinder turbo dengan sistem suntikan bahan api terus yang berupaya menjana 120 PS pada takat 6,000 rpm dan juga tork maksima 172 Nm pada takat 5,500 rpm. Tiada pilihan transmisi automatik untuk versi ini di mana ia hanya diberikan kotak gear manual-enam kelajuan dan hanya memacu roda hadapan.

    Untuk model paling berkuasa pula, ia dijana enjin 1.6 liter empat-silinder turbo T-GDI yang mengekstrak 177 PS pada takat 5,500 rpm dan juga tork maksima 265 Nm bermula 1,500 hingga 4,500. Versi ini pula hanya dipadankan dengan kotak gear klac-berkembar automatik tujuh-kelajuan dan kuasa dihantar ke kesemua roda yang turut diberikan fungsi 4WD lock bagi mempertingkatkan daya cengkamannya pada laluan licin.

    Hyundai Kona 2018 dilancarkan di Singapura – dua varian, enjin turbo 1.0L & 1.6L, harga bermula RM270k

    Sistem suspensi belakang juga berbeza antara kedua-dua model ini. Varian 1.0 liter turbo hanya diberikan sistem ringkas torsion beam untuk suspensi belakang, manakala model 1.6 liter diberikan suspensi jenis multilink yang lebih kompleks dan jitu pada bahagian yang sama.

    Pada bahagian luaran, kedua-dua varian Kona kelihatan hampir sama dan dihanya dibezakan dengan kemasan jalur perak pada pintu hadapan dan belakang (model 1.0 liter tiada) dan juga lencana varian pada bahagian pintu tailgate. SUV segmen-B ini diberikan ciri seperti lampu nyalaan siang LED, lampu hadapan dan belakang LED, spoiler bumbung belakang serta bumbung berwarna hitam. Kedua-dua versi juga diberikan rim aloi 17-inci, dibalut dengan tayar 215/55R17 dari Nexen.

    Masuk ke bahagian dalaman pula, ciri yang membezakan antara dua varian ini adalah pada panel kawalan penghawa dingin di mana model 1.0 liter diberikan panel analog dan sistem manual, manakala versi 1.6 liter menerima panel paparan digital bersama sistem automatik. Kona juga diberikan sistem infotainmen dengan skrin sesentuh lapan-inci dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, serta sistem pengecas telefon pintar tanpa wayar.

    Papan pemuka untuk versi 1.6 liter turbo (kanan) dan 1.0 liter turbo (kiri)

    Dengan sistem transmisi berbeza, konsol gear antara kedua-dua versi ini juga berlainan. Dapat diperhatikan, hanya model 1.6 liter diberikan butang 4WD-lock dan juga Drive Mode pada bahagian berkenaan, manakala kedua-duanya diberikan butang untuk sistem bantuan menurun bukit dan juga auto start/stop untuk enjin.

    Untuk keselamatan pula, Kona pasaran Singapura diberikan sistem pemantau titik buta bersama amaran lintasan trafik belakang, dan turut dibantu penderia parkir pada bahagian hadapan dan belakang.

    Secara keseluruhan, sebanyak 10 warna luaran ditawarkan dan hanya warna hitam ditawarkan untuk bahagian dalaman. Hyundai Kona dijual pada pasaran Singapura bermula SGD89,999 (RM270k) untuk varian 1.0 liter turbo dan SGD131,999 untuk (RM395K) untuk versi 1.6 liter turbo.

    GALERI:Hyundai Kona 1.6 L Turbo T-GDI 4WD 2018 pasaran Singapura

    GALERI:Hyundai Kona 1.0 L Turbo T-GDI 2WD 2018 pasaran Singapura

     
     
  • Lexus Malaysia buka tempahan untuk sedan LS 2018

    Lexus  Malaysia buka tempahan untuk sedan LS 2018

    Lexus Malaysia hari ini mengumumkan tempahan bagi model sedan flagship jenama itu, Lexus LS 2018 sudah dibuka untuk tempahan di semua bilik pameran sah Lexus seluruh negara. Selepas 10 tahun syarikat ini memperkenalkan model berkenaan, LS generasi kelima ini memberikan pembaharuan terhadap penawaran barisan kenderaan mewah jenama itu.

    Tiga tahap ditawarkan bagi model yang diimport sepenuhnya dari Jepun ini – LS Luxury, LS Executive dan LS Executive (Hybrid). Masing-masing dengan tanda harga bermula dari RM799,000, RM999,000 dan RM1,459,000 – semuanya harga atas jalan termasuk GST, tetapi tanpa insurans.

    Dipertontonkan buat pertama kali ketika Pameran Permotoran Antarabangsa Amerika Utara 2017 di Detroit, Lexus LS 2018 buat pertama kalinya menampilkan penggunaan enjin V6 3.5 liter turbo berkembar yang menghasilkan kuasa sebanyak 415 hp dan 572 Nm tork yang digandingkan dengan sistem transmisi automatik 10-kelajuan.

    Rekaan model ini juga menampilkan ketelitian yang tinggi, hasil sentuhan kerja tangan Jepun. Ia kini hadir dengan bayangan keseluruhan seperti sebuah sedan coupe empat-pintu, tetapi tetap menawarkan ruang kabin yang luas dan selesa serta mewah.

    Lexus  Malaysia buka tempahan untuk sedan LS 2018

    Ruang dalaman yang sama pula dihiasi dengan kemasan dengan pembuatan yang halus. Selain itu, ia menggunakan kaca potongan Kiriko dan kemasan pada pintu lipatan tangan – kedua-duanya akan berubah mengikut suasana pencahayaan. Ini mewujudkan sebuah ruang dengan suasana lain daripada yang lain.

    Dari segi keselamatan, Lexus LS 2018 turut dilengkapi dengan Lexus Safety System. Terkandung di dalamnya ciri-ciri seperti Pre Collision System dan Lane Departure Alert. Direka dan dikeluarkan dari kilang Tahara, Jepun, model ini menerima sambutan menggalakan bagi pasaran tempatan di sana.

    Sejak diperkenalkan, sedan ini telah menerima 9,500 unit pra-tempahan; lonjakan sebanyak 1,600% lebih tinggi berbanding sasaran awal 600 unit sebulan. Lexus LS 2018 turut didatangkan dengan jaminan komprehensif lima-tahun tanpa had perbatuan.

     
     
  • Kia K3 2018 – lakaran Cerato Forte serba baharu disiar

    Kia K3 2018 – lakaran Cerato Forte serba baharu disiar

    Kia telah mengeluarkan lakaran rasmi untuk Kia K3 serba baru, dan ternyata, nampak cukup menarik. K3 adalah nama domestik untuk model ini di pasaran Korea, sementara di beberapa pasaran lain, ia turut dikenali sebagai Cerato (di Malaysia) ataupun Forte. Jadi, lakaran ini menunjukkan bagaimana rupanya Cerato/Forte generasi seterusnya.

    Lakaran ini menunjukkan sebuah sedan yang mempunyai perkadaran baik, dengan penampilan yang agresif. Muka baru ini memang berbeza, tapi masih mengekalkan tanda unik Kia seperti gril tiger nose, tetapi lebih nipis. Lampu utama yang berada di setiap penjuru pula mempunyai bucu yang ditarik ke belakang, dan di dalamnya mempunyai empat LED sebagai lampu siang.

    Pergi ke bahagian belakang, juga terdapat penyalaan LED, tetapi ia menggunakan bentuk yang seperti tidak pernah dilihat sebelum ini. Bentuknya sedikit kompleks, dan hampir seperti satu tanda tangan. Kemasan krom yang nipis menggabungkan dua lampu ini di tengah sementara rendah di bawah terdapat rekaan diffuser dan bentuk seperti bukaan udara, tetapi tertutup.

    Turut disiar adalah lakaran papan pemuka K3 Cerato Forte ini, yang dilihat tidak sama langsung dengan kereta yang ada sekarang. Ia adalah satu rekaan minimalis yang kemas, dan mungkin juga akan mengingatkan ramai orang kepada kenderaan Mazda.

    Dengarnya, Cerato baru ini akan lebih menyamai Kia Cee’d iaitu sebuah model hatchback dan daripada apa yang boleh dilihat daripada spyshot sebelum ini, dua model tersebut sememangnya berkongsi banyak elemen. Apabila keluar untuk produksi nanti, penampilannya mungkin akan bertambah ‘lembut’, dan tidak terlalu agresif seperti dalam lukisan ini.

     
     
  • Toyota Alphard, Vellfire facelift 2018 muncul di laman web UMWT tiga minggu lepas Jepun, tempahan dibuka

    Toyota Alphard, Vellfire <em>facelift</em> 2018 muncul di laman web UMWT tiga minggu lepas Jepun, tempahan dibuka

    Ini ada satu kejutan. Hanya selepas tidak sampai tiga minggu Toyota Alphard dan Vellfire facelift 2018 diperkenalkan di Jepun, kini dua MPV itu sudah muncul di laman web UMW Toyota Motor. Nampaknya juga seperti tempahan untuk kenderaan ini sudah dibuka, namun tidak bermaksud ia sudah berada di sini dan sedia untuk dihantar kepada pelanggan, seperti Harrier.

    Alphard dan Vellfire facelift ini dikuasakan oleh enjin 2GR-FKE 3.5 liter V6 suntikan terus, dan Toyota mendakwa ia mampu memberikan prestasi serta penjimatan yang lebih baik. Penggunaan minyak ialah pada kadar 10.4 km dan 10.6 km bagi setiap liter mengikut kitaran JC08 Jepun. Model yang dikuasakan oleh enjin V6 pula telah beralih daripada transmisi automatik enam-kelajuan kepada versi lapan-kelajuan Direct Shift.

    Pada bahagian lain, bahan pencantum struktur (structural adhesive) yang lebih baik digunakan, termasuk pada bahagian cermin yang lebih tahan – menyumbang kepada peningkatan ketahanan badan yang turut memberi kesan kepada kestabilan pemanduan dan keselesaan keseluruhan.

    Toyota Alphard, Vellfire <em>facelift</em> 2018 muncul di laman web UMWT tiga minggu lepas Jepun, tempahan dibuka

    Dalam laman web UMWT, mereka telah memberi tumpuan kepada enjin serta kotak gear 8AT baru yang ada pada Alphard facelift, bersama kelengkapan seperti fungsi start/stop, tempat duduk VIP dengan meja bersepadu, pengawal pendingin hawa di perehat tangan dan cermin paparan penuh (FDM). Kita juga akan mendapat pengecas telefon tanpa wayar dan pemerhati titik buta (BSM).

    FDM adalah satu ciri yang menarik. Ia seperti satu siaran langsung apa yang terjadi di bahagian belakang, dan paparannya keluar di cermin pandang belakang. Ini juga adalah satu sistem keselamatan yang baik, memandangkan pemandu dapat melihat bahagian belakang secara luas tanpa sebarang gangguan.

    Bagi Vellfire, antara kelengkapan yang diketengahkan oleh UMWT adalah FDM, BSM, pengecas tanpa wayar, fungsi start/stop dan skrin informasi dan hiburan yang besar di tengah. Tempat duduk yang di dalam gambar adalah tempat duduk kapten, dalam kabin serba hitam. Tempat duduk kapten adalah satu tahap lebih rendah berbanding tempat duduk VIP dalam Alphard. Tiada sebarang pernyataan tentang Toyota Safety Sense.

    Toyota Alphard, Vellfire <em>facelift</em> 2018 muncul di laman web UMWT tiga minggu lepas Jepun, tempahan dibukaToyota Alphard, Vellfire <em>facelift</em> 2018 muncul di laman web UMWT tiga minggu lepas Jepun, tempahan dibuka

    Perubahan kosmetik untuk model facelift ini melibatkan wajah depan yang lebih segar. Alphard misalnya datang dengan gril depan yang lebih besar dan tinggi bersama kemasan krom melibatkan bahagian lampu utama; rekaan pada lampu berkenaan turut menerima sentuhan baru untuk bahagian dalamannya, dengan tambahan dua atau tiga projektor LED, bergantung kepada varian.

    Vellfire pula menerima rekaan gril besar dalam kemasan krom dan perubah lampu kabus tiga segi, memberikannya wajah yang lebih menonjol. Pada kedua-dua model ini, varian Aero menerima bampar depan yang lebih sporty dengan kawasan lampu kabus yang lebih besar – pada Vellfire, bahagian ini diwarisi dari model Voxy. Lampu belakang juga adalah baru.

    Sudah tentu, apabila mendapatkan kenderaan melalui UMWT, pelanggan akan menerima kereta yang telah ditala khas untuk keadaan cuaca serta jalan di Malaysia. Ini termasuk pelarasan khas yang dibuat pada ECU, cermin sisi lebih lebar dan sistem navigasi serta audio yang boleh diguna terus. Selain itu, kereta rasmi UMWT juga datang dengan jaminan lima tahun tanpa had batuan.

    Toyota Alphard facelift 2018

    Toyota Vellfire facelift 2018

     
     
  • Geely catat rekod pada 2017, jual 1.24 juta kenderaan – Boyue paling laris, jualan melebihi 30,000 unit sebulan

    Geely catat rekod pada 2017, jual 1.24 juta kenderaan – Boyue paling laris, jualan melebihi 30,000 unit sebulan

    Geely semakin mengukuhkan kedudukannya di China. Syarikat itu telah mengumumkan bahawa jualan kenderaannya pada 2017 adalah sebanyak 1,247,116 unit, mengatasi jualan pada tahun sebelumnya sebanyak 63% dan melepasi sasaran jualan 1.1 juta kenderaan yang diletakkan awalnya.

    Pemilik sebahagian daripada kepentingan dalam Proton itu menyatakan hal berkenaan dapat dicapai kerana pengenalan model-model generasi ketiga yang dikeluarkan, yang mula dijual pada 2015. SUV Boyue – yang akan menjadi asas bagi SUV pertama Proton – menjadi model paling berjaya, dengan jualan melepasi angka 30,000 unit sebulan.

    Untuk Disember lalu, sejumlah 31,205 unit Boyue terjual, menjadikan secara keseluruhannya sebanyak 286,900 unit model berkenaan dijual sepanjang tahun lalu. Satu lagi model yang mendapat sambutan pada bulan yang sama ialah Emgrand GS, yang mencecah 18,850 unit jualan dan menyumbang 150,000 unit sepanjang 2017.

    Sementara itu, Emgrand baru pula kekal mengungguli jualan di China bagi kelas sedan A+ dengan 25,074 unit terjual pada Disember, dan 264,400 sepanjang tahun lalu. Terakhir ialah bagi model Emgrand GL sedan; terjual 14,088 unit pada Disember dan 145,000 sepanjang 2017.

    Secara keseluruhannya, Geely menjual sebanyak 153,625 kenderaan pada bulan Disember lalu, naik 42% bagi tempoh sama pada tahun sebelumnya. Dengan angka yang menggalakkan ini, syarikat meletakkan sasaran baru bagi tahun 2018; 1.58 juta kenderaan, termasuk model-model Lynk & Co – jauh lebih tinggi dari jangkaan pertumbuhan pasaran.

    Geely menjelaskan, kejayaan ini antara lain disumbang oleh kedudukan yang diperbaharui selaku pelopor teknologi dalam industri, dengan pengenalan pusat R&D utama di Ningbo, yang menggajikan lebih daripada 10,000 staf. Geely juga telah memperkenalkan jenama iNTEC sendiri, yang memberi tumpuan kepada teknologi kenderaan – lima perkara utama yang diberi tumpuan ialah keselamatan, teknologi perhubungan, sistem janaan, suasana ruang dalaman dan bantuan pemanduan.

     
     
  • GALERI: Mercedes-Benz C180 Avantgarde W205 kini guna kotak gear 9G-Tronic, harga masih sama, RM229k

    GALERI: Mercedes-Benz C180 Avantgarde W205 kini guna kotak gear 9G-Tronic, harga masih sama, RM229k

    Mercedes-Benz C 180 W205 bukanlah baru dalam pasaran, dan ia sudah berada di Malaysia sejak Mac 2016. Hasil daripada pemasangan tempatan, model permulaan bagi C-Class ini dapat dijual lebih murah RM20,000 berbanding sebelumnya iaitu pada RM228,888.

    Walaupun begitu, Mercedes-Benz Malaysia secara senyap telah memperkenalkan C 180 versi yang dipertingkat November lalu. Antara perubahan yang diberi adalah penggunaan transmisi automatik 9G-Tronic sembilan kelajuan, plet tepi pintu berlampu, lampu suasana, kamera undur dan rim baru (lima cabang berkembar yang sebelum ini digunakan pada C 200 Avantgarde).

    Kotak gear enam kelajuan ini pertama kali diperkenalkan kepada barisan model ini pada April 2017, walaubagaimanapun, penerimanya cuma model C 200 dan C 250. Apabila diperbaharui, kedua model ini dijual dengan harga lebih tinggi RM5,000, tetapi pada C 180 ini, harganya masih sama seperti waktu baru dilancarkan dulu. Kini, hanya tinggal C 350 e (plug-in hybrid) sahaja C-Class yang menggunakan kotak gear 7G-Tronic.

    Pada bahagian dalam, C 180 Avantgarde ini menggunakan kulit asli (pilihan warna hitam, kelabu atau beige), berbanding kulit buatan Artico sebelum ini. Walaupun begitu, sistem pendingin hawa satu zon masih dikekalkan, dan pelarasan tempat duduk hadapannya tidak mempunyai fungsi memori. Ia juga masih tiada sistem masuk tanpa kunci, dan itu hanya untuk model C 250 AMG Line ke atas.

    C 180 Avantgarde dikuasakan oleh enjin empat-silinder 1.6 liter turbo dengan kuasa sehingga 156 hp pada 5,300 rpm dan 250 Nm tork antara 1,200 dan 4,000 rpm. Ini membolehkan ia melakukan pecutan 0-100 km/j dalam hanya 8.5 saat sahaja, sedikit perlahan berbanding C 200 dengan 2.0 liter turbo (184 hp/300 Nm), yang mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 7.3 saat.

     
     
  • Subaru Outback facelift dan XV 2.0 liter dilancarkan di Singapura – penampilan sulung EyeSight di ASEAN

    Subaru Outback <em>facelift</em> dan XV 2.0 liter dilancarkan di Singapura – penampilan sulung EyeSight di ASEAN

    Kami sekarang berada di Seberang tambak untuk membuat liputan berkenaan acara Singapore Motor Show 2018 yang kini sedang berlangsung. Menerusi acara ini, pengedar Subaru di rantau ASEAN iaitu Motor Image telah melancarkan versi facelift SUV flagship jenama tersebut iaitu Subaru Outback facelift 2018 dan juga varian baharu untuk XV yang kedua-duanya dilengkapi dengan sistem bantuan pemanduan EyeSight.

    Dengan pengenalan pada kedua-dua model berkenaan, ini menandakan sistem EyeSight kini secara rasmi masuk kepasaran ASEAN. Untuk Subaru Outback, model yang disegarkan ini menerima pelbagai perubahan yang diambil dari model yang didedahkan pada New York International Auto Show tahun lalu.

    SUV yang diasaskan dari Subaru Legacy berkenaan kini menerima gril heksagon yang lebih lebar, lampu hadapan LED baharu bersama lampu nyalaan siang LED berbentuk-C, dan juga apron yang kelihatan lebih lasak.

    Subaru Outback <em>facelift</em> dan XV 2.0 liter dilancarkan di Singapura – penampilan sulung EyeSight di ASEAN

    Peningkatan lain yang diberikan pada bahagian luaran termasuk bumbung suria kawalan berkuasa, rel bumbung, gril hadapan aktif yang boleh ditutup/buka dan juga rim bersaiz 18-inci baharu bersama tayar bersaiz 225/60R18. Lampu hadapan SUV ini bukan sahaja menerima fungsi automatik on/off, malah ia turut berpusing mengikut arah putaran stereng.

    Pada bahagian kabin pula, Outback 2018 pasaran Singapura ini menerima skrin infotaimen lapan-inci dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay. Ia juga dihubungkan kepada sistem bunyi Harmann Kardon dan boleh dioperasikan dengan kawalan suara.

    Selain itu, SUV besar ini juga menerima sistem sistem penghawa dingin dua-zone bersama liang tambahan untuk bahagian belakang, port USB bahagian belakang, tempat duduk berkuasa untuk pemandu bersama fungsi memori, brek parkir elektronik, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, kemasukan dengan kod pin, pintu taligate berkuasa dan padel penukar gear.

    Subaru Outback <em>facelift</em> dan XV 2.0 liter dilancarkan di Singapura – penampilan sulung EyeSight di ASEAN

    Subaru Outback dijana enjin boxer empat silinder 2.5 liter yang dipertingkat dan diberikan unit alternator baharu yang 8% lebih ringan. Enjin ini mampu menjana 175 PS pada takat 5,800 rpm dan tork maksima 235 Nm pada takat 4,000 rpm. Kuasa berkenaan dihantar ke kesemua roda menerusi kotak gear Lineartronic CVT automatik dan juga sistem pacuan semua roda Subaru Symmetrical All-Wheel Drive.

    Sistem penghantaran kuasa tersebut kini turut dipadankan dengan X-Mode yang memberikan kebolehan pemanduan off-road yang lebih baik – sama seperti Forester dan juga XV generasi baharu. Outback facelift ini juga telah diberikan sistem penyerap hentak Stablex-Ride yang didakwa memberikan kestabilan stereng yang lebih baik dan juga pemanduan dengan kadar goyangan yang lebih minima.

    Bagi keselamatan pula, SUV ini diberikan tujuh-beg udara (dua hadapan, sisi, tirai dan lutut pemandu), Vehicle Dynamics Control (VDC), pemantau titik buta, bantuan mula mendaki, Active Torque Vectoring.

    Seperti yang disebutkan tadi, Outback turut diberikan sistem Subaru EyeSight yang terdiri dari sistem brek pra-pelanggaran, Cruise Control adaptif, sistem pengurusan pendikit pra-pelanggaran, amaran keluar laluan, Lane Sway Warning dan juga amaran kereta hadapan mula bergerak.

    Untuk model lebih kecil Subaru XV pula, pasaran Singapura kini hadir dengan varian dijana enjin 2.0 liter (sama seperti di Malaysia), manakala varian 1.6 liter masih lagi turut serta di dalam barisan model sejak Julai 2017. Oleh itu, pasaran Singapura kini menerima enam varian XV iaitu 1.6i, 1.6i-S, 1.6i-S EyeSight, 2.0i, 2.0i-S dan 2.0i-S EyeSight.

    Enjin 2.0 liter boxer pada XV berkenaan menjana 156 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 196 Nm pada takat 4,000 rpm. Seperti model lain juga, ia dipadankan dengan kotak gear automatik Lineartronic CVT, sistem pacuan semua roda Subaru Symmetrical All-Wheel Drive bersama X-Mode.

    Selain itu, XV juga kini menerima sistem EyeSight dan ia turut menerima tujuh beg-udara untuk semua varian. Untuk model tertinggi 2.0 liter EyeSight, ia hadir dengan peralatan standard seperti lampu hadapan LED dengan sistem auto-levelling, penghawa dingin dua-zon, skrin infotainmen bersaiz lapan-inci dan juga rim aloi 18-inci.

    Info penting bagi mereka yang berminat untuk memilik SUV Flagship Subaru Outback, kami telah dimaklumkan oleh Motor Image bahawa model berkenaan akan tiba di Malaysia pada suku kedua tahun ini. Namun, untuk sistem EyeSight pada XV, masih lagi belum ada kata putus bila ia akan ditawarkan di Malaysia.

    GALERI: Subaru Outback 2018 pasaran Singapura

    GALERI: Subaru XV 2.0 2018 pasaran Singapura

     
     
  • Sistem Subaru EyeSight kini masuk pasaran rantau ASEAN – bermula dengan pasaran Singapura

    Sistem Subaru EyeSight kini masuk pasaran rantau ASEAN – bermula dengan pasaran Singapura

    Pengguna-pengguna di ASEAN kini sudah mula menginginkan sistem-sistem bantuan pemanduan aktif pada kereta mereka. Oleh itu, pengeluar-pengeluar kenderaan bukan sahaja dari Eropah, malah jenama-jenama dari Jepun kini sudahpun mula membawa masuk sistem berkenaan, misalnya Honda dengan pakej Honda Sensing mereka. Hari ini di Singapore Motor Show 2018, satu lagi jenama dari negara matahari terbit berkenaan – Subaru – kini turut melancarkan sistem EyeSight untuk model-model pasaran rantau ini.

    Buat permulaan, sistem ini akan dipadankan pada model SUV Subaru Outback facelift 2018 dan juga XV. Sistem ini menggunakan kamera stereo yang diletakkan pada cermin pandang belakang, yang akan sentiasa memantau dan mengenalpasti kenderaan-kenderaan berhampiran, halangan, laluan trafik dan juga perkara lain.

    Sistem Subaru EyeSight ini terdiri dari enam fungsi iaitu sistem brek pra-pelanggaran, Cruise Control adaptif, sistem pengurusan pendikit pra-pelanggaran, amaran keluar laluan, Lane Sway Warning dan juga amaran kereta hadapan mula bergerak.

    Bagi sistem brek pra-pelanggaran, ia akan memberikan amaran dalam bentuk visual dan audio sekiranya pelanggaran dianggarkan akan berlaku. Jika pemandu tidak bertindak balas, sistem ini akan membrek secara automatik bagi mengelakkan kemalangan dari berlaku atau mengelakkan insiden tersebut.

    Sistem Subaru EyeSight kini masuk pasaran rantau ASEAN – bermula dengan pasaran Singapura

    Untuk sistem pengurusan pendikit pra-pelanggaran pula, ia akan mengelakkan pecutan kearah yang tidak sepatutnya – sistem ini akan mengesan apa-apa halangan di hadapan kenderaan, sekiranya ada ia akan memberi amaran kepada pemandu dan mengurangkan kuasa enjin bagi mengelakkan kemalangan.

    EyeSight turut mempunyai sistem Cruise Control adaptif yang agak sama dengan pengeluar lain – membolehkan sistem cruise control diaktifkan dan jaraknya dengan kenderaan hadapan akan dikawal secara automatik.

    Amaran keluar laluan juga agak serupa dengan jenama lain iaitu ia akan memberikan amaran jika pemandu tidak sedar kenderaan mula dipandu keluar dari laluan asal, dan turut dibantu dengan sistem Lane Sway Warning.

    Sistem amaran kereta hadapan mula bergerak pula akan memberikan amaran kepada pemandu sekiranya trafik sudah mula bergerak semula setelah berhenti (contohnya di lampu trafik) dengan bunyi buzzer dan juga kerlipan lampu isyarat.

    Sistem Subaru EyeSight kini masuk pasaran rantau ASEAN – bermula dengan pasaran Singapura

    “Kami teruja kerana akhirnya teknologi Subaru EyeSight yang telah menerima anugerah dilancarkan di Singapore Motor Show 2018. EyeSight telah melengkapkan teraju-teraju teknologi utama Subaru untuk dipersembahkan sebagai pakej yang menarik untuk pelanggan yang mahukan standard yang tinggi bagi keselamatan, prestasi pemanduan dan juga keselesaan di dalam kereta,” kata pengarah urusan Tan Chong International, Glenn Tan.

    Menurut Pusat Penyelidikan dan Analisis Data Kemalangan Trafik Jepun, sistem ini sangat efektif dalam mengurangkan jumlah kemalangan. Penyelidikan terhadap kenderaan Subaru di Jepun mendedahkan bahawa dari 2010 hingga 2014 sebanyak 61% kemalangan telah dikurangkan menerusi kenderaan yang menerima sistem EyeSight.

    Selepas Singapura, sistem ini akan mula diperkenalkan di Malaysia pada suku kedua 2018 menerusi SUV Subaru Outback. Namun setakat ini sistem EyeSight pada XV, masih lagi belum ada kata putus bila ia akan ditawarkan di Malaysia.

     
     
  • 2,400 pemandu teksi, Grab/Uber telah daftar SOCSO

    2,400 pemandu teksi, Grab/Uber telah daftar SOCSO

    Sejak Skim Keselamatan Sosial Bekerja Sendiri dilancarkan oleh Persatuan Keselamatan Sosial (SOCSO) 1 Jun tahun lalu, sejumlah 2,400 pemandu teksi, Grab dan Uber seluruh negara kini telah mendaftar untuk skim berkenaan, lapor Bernama.

    Bagaimanapun, menurut Pengurus Besar di SOCSO bagi skim berkenaan, Ismail Abi Hashim menyatakan, jumlah itu terlalu kecil jika dibandingkan dengan 100,000 pemandu yang berdaftar dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

    “Di Perak misalnya, terdapat 1,900 pemandu, tetapi cuma 309 pemandu yang menyertai skim berkenaan. Kami sedang mencuba untuk mendapatkan semua pemandu yang ada, termasuk pemandu Grab dan Uber, untuk menyertai skim ini kerana ia akan melindungi pencarum SOCSO itu sendiri dan tanggungan mereka.

    “Untuk itu, kami sedang bekerjasama dengan SPAD, kerajaan negeri dan persatuan teksi seluruh negara untuk mempromosi kesedaran dalam kalangan mereka terhadap perkara ini sebagai satu langkah perlindungan,” ujar Ismail.

    Beliau ditemui dalam satu majlis penyampaian dana SOCSO kepada seorang pemandu teksi, Mohamad Helmi Hashim, 46, yang terlibat dalam kemalangan pada 9 Disember tahun lalu. Sebelum ini turut dilaporkan bahawa pemandu-pemandu Grab/Uber perlu mempunyai insurans termasuk untuk penumpang selepas perkhidmatan itu dikuatkuasakan.

     
     
  • KLIMS 2018 kembali selepas lima tahun – 23 Nov-2 Dis

    KLIMS 2018 kembali selepas lima tahun – 23 Nov-2 Dis

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) hari ini mengumumkan pameran Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) akan kembali pada tahun 2018 ini. Kali terakhir dianjurkan pada 2013, KLIMS bakal berlangsung dari 23 November hingga 2 Disember 2018 di Pusat Perdagangan dan Perdagangan Antarabangsa (MITEC) Jalan Duta.

    Pengumuman ini dilakukan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed yang turut menyaksikan majlis tandatangan antara Presiden MAA, Datuk Aishah Ahmad dan Pengerusi Trade-Link Exhibition Services Sdn Bhd, Datuk Zainal Abidin Ahmad yang dilantik sebagai pengurus pameran bagi KLIMS 2018.

    Bakal berlangsung selama 10 hari, pameran yang memasuki penganjurannya bagi kali ke-sembilan setelah lima tahun menyepi ini akan menemui pengunjung dengan tema “Beyond Mobility”. Menurut penganjur, KLIMS 2018 disasarkan untuk menarik seramai 350,000 pengunjung.

    KLIMS 2018 kembali selepas lima tahun – 23 Nov-2 Dis

    “Dengan siapnya pembinaan MITEC, ia juga akan menjadi rumah baru bagi penganjuran KLIMS 2018 tahun ini dan akan menyumbang kepada pengalaman baru kepada semua,” jelas Aishah. Sebelum ini, KLIMS diadakan di Dewan Perdagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

    Pameran ini akan melibatkan ruang pameran seluas 50,000 meter persegi dengan lebih dari 100 jenama yang akan ikut serta mempamerkan produk masing-masing.

    “MAA telah bekerjasama dengan ahli-ahlinya sejak sekian lama dan telah mengharungi pelbagai cabaran bersama, Tahun ini, suasana dijangka lebih mencabar. Untuk itu, pameran tahun ini dilihat akan dapat menjadi pemangkin untuk merancakkan suasana dan sentimen pengguna, sekaligus mendorong industri untuk perkembang lebih pesat,” tambah beliau.

    Antara jenama-jenama yang akan membuat penampilan setakat ini adalah seperti Honda, Perodua, Proton, Toyota, Ford, Daihatsu, Hyundai, Isuzu, Infiniti, Nissan, Peugeot, Kia, Lexus, Mitsubishi, Kawasaki dan banyak lagi.

     
     
  • Harga minyak 11 hingga 17 Januari 2018 – petrol masing-masing turun tiga sen, diesel masih kekal

    Harga minyak 11 hingga 17 Januari 2018 – petrol masing-masing turun tiga sen, diesel masih kekal

    Bagi minggu bertarikh 11 hingga 17 Januari 2017, harga runcit bagi bahan api petrol RON95 dan RON97 masing-masing dilaporkan turun sebanyak tiga sen. Di mana RON95 akan berharga RM2.26 seliter, manakala RM2.53 seliter bagi RON 97. Bagi diesel pula, harganya masih kekal seperti minggu sebelumnya, iaitu diesel Euro 2M berharga RM2.32 seliter, dan diesel Euro 5 RM2.42 seliter.

    Harga baharu ini akan bermula pada 12 tengahmalam ini sehinggalah Rabu hadapan, 17 Januari.

    Minggu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru agar rakyat di negara ini membiasakan diri dengan perubahan harga yang mungkin naik dan turun pada setiap minggu. Katanya lagi, seperti negara maju yang lain, situasi perubahan harga minyak yang berlaku setiap hari adalah kebiasaan. Rasanya, kita semua dah biasa-biasakan diri dengan pengumuman harga minyak setiap minggu kan?

     
     
  • Demak akan eksport 25,000 unit motosikal ke Kemboja

    Demak akan eksport 25,000 unit motosikal ke Kemboja

    Demak, iaitu jenama motosikal tempatan yang telah wujud sejak 15 tahun lalu di bawah syarikat DNC Asiatic Holdings Sdn Bhd, kini melangkah satu tapak ke hadapan lagi apabila menandatangani perjanjian untuk memasarkan motosikal ke Kemboja. Sebelum ini, jenama tersebut sudah pun berjaya menembusi pasaran Indonesia, Filipina dan Sri Lanka.

    Perjanjian tersebut ditandatangani oleh wakil DNC Asiatic Holdings Sdn Bhd, dan syarikat yang dilantik untuk melakukan promosi serta jualan motosikal Demak di Kemboja, iaitu Asian Comfort Investment Co. Ltd. Turut hadir untuk menyaksikan acara bersejarah ini adalah wakil kedutaan Kemboja serta pengarah ASEAN MATRADE, YM Raja Badrul.

    Dalam perjanjian ini, Demak akan mengeksport sejumlah 25,000 unit motosikal Demak pelbagai jenis ke Kemboja, dan secara keseluruhannya ia berjumlah 50 juta USD (RM200 juta). Antara model yang disebut awal adalah ATM 200 dan Dart DXT225.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 02, 2024