Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Mazda CX-8 – SUV 2.2L SkyActiv-D dengan tiga-barisan tempat duduk telah dilancarkan di Jepun

    Mazda CX-8 – SUV 2.2L SkyActiv-D dengan tiga-barisan tempat duduk telah dilancarkan di Jepun

    Mazda CX-8 telah pun dilancarkan di Jepun, dengan harga jualan antara 3.2 juta dan 4.2 juta yen (RM122k-160k). Hanya menawarkan model domestik Jepun (JDM), CX-8 ini merupakan SUV yang menampilkan tiga-barisan tempat duduk, iaitu model perdana di Jepun, di mana CX-9 tidak dijual di sana.

    Pada bahagian hadapannya, ia hampir menyamai CX-5, namun CX-5 dilengkapi dengan lampu utama dan apron hadapan yang lebih nipis. Manakala bahagian gril tiada perubahan, cuma didatangkan dengan kepingan melintang seperti mana yang didapati pada CX-9.

    Bagi bahagian tepinya, CX-8 kelihatan lebih panjang berbanding CX-5, itu sudah pasti. Ia memiliki ukuran 4,900 mm panjang, iaitu 350 mm lebih panjang berbanding CX-5, 1,840 mm lebar dan 1,730 mm tinggi. Ia juga berkongsi jarak roda yang sama dengan CX-9 iaitu 2,930 mm, lebih panjang berbanding CX-5 (2,700 mm).

    Ukuran panjangnya yang ditambah jelas kelihatan menerusi bentuk tingkap sisinya, yang membezakan antara CX-5 dan CX-9. Manakala bagi bahagian belakangnya, ia kelihatan lampu dengan kekemasan krom diletakkan sebelah-menyebelah, serta turut menampilkan dwi corong ekzos.

    Mazda CX-8 – SUV 2.2L SkyActiv-D dengan tiga-barisan tempat duduk telah dilancarkan di Jepun

    Di dalamnya, bentangan pada papan pemuka adalah sama seperti CX-5, daripada bentuk corong pendingin hawa hinggalah ke konsol tengah. Lain-lain elemen yang lebih kurang sama termasuklah rekaan roda stereng, sistem infotainmen MZD dengan skrin sesentuh tujuh-inci, suis kawalan untuk pendingin hawa dan Commander Control serta paparan head-up.

    Mazda menawarkan empat pakej dalaman untuk CX-8 di Jepun, dua daripadanya dengan kulit asli, dan dua lagi menampilkan fabrik. Pakej dalaman ini turut didatangkan dengan upholstery kulit Nappa terpiluh dan kekemasan kayuan asli. Selain itu, ia turut ditawarkan dengan tujuh warna badan, termasuk Machine Gray dan Soul Red Crystal.

    Pelanggan juga boleh memilih sama ada untuk bentangan enam- atau tujuh-tempat duduk, dengan memperkenalkan tempat duduk kapten pada barisan kedua bersama kotak konsol yang besar di tengahnya. Mazda berkata barisan kedua mampu memberikan keselesaan buat penumpang berbadan besar, manakala di barisan ketiga pula boleh diduduki oleh penumpang dewasa berketinggian sehingga 170 sm.

    Mazda CX-8 – SUV 2.2L SkyActiv-D dengan tiga-barisan tempat duduk telah dilancarkan di Jepun

    Bagi ruang butnya, ia memberikan ruang berkapasiti 239 liter dengan tempat duduk pada ketiga-tiga barisan dalam keadaan normal. Jika membaringkan tempat duduk di barisan ketiga, ia boleh mencapai kapasiti sehingga 572. Malahan dalaman bagi ruang ini mampu mencecah 307 mm, sesuai untuk menyimpan barangan yang agak besar.

    CX-8 ini hanya ditawarkan dengan satu pilihan enjin iaitu 2.2 liter SkyActiv-D turbodiesel dengan padanan transmisi automatik SkyActiv-Drive enam-kelajuan. Penjana kuasa ini mirip dengan salah satu enjin yang ditawarkan pada CX-5, namun dengan output yang telah dipertingkatkan iaitu 188 hp dan 450 Nm (dari 173 hp dan 420 Nm). Pelanggan juga boleh memilih sama ada pacuan roda-hadapan dan sistem pacuan semua-roda i-Activ AWD, dengan G-Vectoring Control diberikan untuk semua varian.

    Untuk sistem bantuan pemanduan dan keselamatan, ia turut menampilkan Mazda i-Activsense untuk semua varian CX-8. Ini termasuklah Sokongan Brek Bandar Pintar (SCBS), Lampu Utama LED Adaptif (ALH), Sistem Amaran Ketibaan Lorong (LDWS), Kepekaan Trafik Lintasan Belakang (RCTA) dan Pemantauan Titik Buta (BSM).

     
     
  • TINJAUAN AWAL: Mercedes-Benz E-Class Coupe C238 – sarat dengan kemewahan dan berteknologi tinggi

    Seperti yang sedia maklum, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) yang begitu agresif dengan pelbagai strategi pemasarannya, telah pun melancarkan E-Class Coupe baharu untuk pasaran tempatan, yang bakal menyertai barisan model Dream Car Collection.

    Hadir dengan dua varian iaitu E 200 Coupe AMG Line dan E 300 Coupe AMG Line yang turut didatangkan dengan satu lagi varian eksklusif iaitu E 300 Coupe Edition 1 yang terhad 500 unit sahaja.

    Seperti mana yang dinyatakan, harganya dikategorikan sebagai tinggi tetapi setanding dengan imej, kualiti dan prestasinya. Bagi E 200 Coupe AMG Line ditawarkan pada harga RM435,888, manakala E 300 Coupe AMG pula RM499,888 dan RM534,888 bagi memiliki E 300 Coupe Edition 1. Kesemua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan (berserta GST) dan tanpa insurans.

    Mungkin harganya tidak terjangkau dengan bajet anda, maka untuk sekadar mencuci mata, atau mungkin ada yang benar-benar berkemampuan serta berminat untuk memilikinya, sila tonton video ini untuk mengetahui lebih lanjut mengenai E-Class Coupe C238. Selamat menonton!

    GALERI: Mercedes-Benz E 200 Coupe AMG LINE

    GALERI: Mercedes-Benz E 300 Coupe AMG LINE

    GALERI: Mercedes-Benz E 300 Coupe Edition 1

     
     
  • Volkswagen T-Roc R-Line guna gaya lebih sporty

    Volkswagen T-Roc R-Line guna gaya lebih sporty

    Beberapa minggu yang lalu, Volkswagen telah mendedahkan model T-Roc, dan di Frankfurt Motor Show, syarikat itu menunjukkan pula kepada orang ramai varian T-Roc R-Line, yang mengenakan gaya lebih sporty bagi SUV yang menggunakan platform MQB tersebut. Model ini muncul buat pertama kali sebagai sebuah model konsep tiga tahun lalu di Geneva Motor Show.

    T-Roc R-Line masih lagi ditawarkan dalam versi pacuan roda hadapan dan semua roda, dan ia turut didatangkan dalam pilihan enam enjin turbo seperti model T-Roc biasa, iaitu tiga daripadanya petrol dan tiga lagi diesel. Bagi pilihan transmisi pula, ia terdiri daripada manual enam kelajuan atau automatik klac berkembar tujuh kelajuan.

    bagi model yang dilengkapi dengan sistem pacuan empat roda 4Motion, ia akan dilengkapi dengan fungsi kawalan aktif, yang memberikan pilihan dua mod atas jalan biasa iaitu street dan snow, manakala untuk jalan offroad, terdapat dua lagi mod iaitu offroad dan offroad individual. Fungsi profail pemandu didatangkan standard bagi model 4Motion, namun boleh ditambah bagi model pacuan roda hadapan, seterusnya memberikan lima mod pemanduan iaitu comfort, normal, sport, eco dan individual.

    Volkswagen T-Roc R-Line guna gaya lebih sporty

    Ciri keselamatan dan bantuan pemandu agak lengkap pada T-Roc, dengan terdiri daripada Autonomous Emergency Braking dengan pengesan pejalan kaki, Adaptive Cruise Control (boleh diguna sehingga kelajuan 210 km/j), Blind Spot Monitor, Park Assist, Traffic Jam Assist, Lane Assist, Automatic Post-Collision Braking System dan pelbagai lagi.

    Untuk kelengkapan lain, di dalam T-Roc terdapat Active Info Display 11.7 inci, sistem bunyi 300-watt, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, servis sambungan Volkswagen Car Net, pengecas induktif telefon bimbit serta pelbagai lagi sistem informasi dan hiburan. Skrin sesentuh 6.5 inci diberikan standard manakala varian lebih tinggi dilengkapkan dengan sistem Composition lapan inci dengan pemain CD, atau sistem media Discover skrin sesentuh lapan inci dengan navigasi satelit.

    GALERI: Volkswagen T-Roc

     
     
  • Renault SYMBIOZ Concept – kombo kereta dan rumah

    Renault SYMBIOZ Concept – kombo kereta dan rumah

    Peneraju kenderaan elektrik di Eropah, iaitu Renault telah membawa satu konsep yang berlainan ke Frankfurt Motor Show tahun ini melalui SYMBIOZ Concept. Dikatakan sebegitu kerana kereta yang ditunjukkan ini, datang sekali dengan sebuah rumah, dan merupakan yang pertama di dalam industri. Renault memberitahu, “SYMBIOZ adalah kereta dan rumah yang boleh bekerjasama secara harmoni.”

    Bagi kereta itu sendiri, ia adalah dikuasakan oleh dua motor eletrik (dengan tahap autonomous Level 4), dan kedua-duanya berada di gandar belakang – satu bagi setiap roda. Pek bateri diletakkan di bawah lantai, dan ia bukan sahaja boleh digunakan untuk menggerakkan kenderaan, malah juga boleh memberi kuasa kepada kelengkapan di rumah atau bertindak sebagai kuasa kecemasan sekiranya rumah tiada elektrik.

    Renault meletakkan sasaran menjadikan SYMBIOZ Concept sebuah realiti pada tahun 2023, dan mempunyai perancangan untuk menggunakan beberapa teknologi padanya, pada kereta produksi lain. Ini termasuk teknologi Multi-Sense versi lebih maju (satu ciri yang digunakan pada Megane, Scenic, Talisman dan Espace), yang dapat melaras suasana dalam kereta mengikut mood pemandu. Kereta ini juga digunakan sebagai platform untuk menunjukkan teknologi “Easy Connect” dan “Easy Drive” mereka.

    Renault mempunyai perancangan untuk menunjukkan sebuah kenderaan demonstrasi dengan banyak elemen daripada SYMBIOZ, dan akan memberi peluang kepada orang awam untuk mencubanya menjelang akhir tahun ini. Ciri-ciri dalam kenderaan ini antaranya dilakukan dengan kerjasama syarikat termasuk LG, Ubisoft, Devialet, Sanef, TomTom dan IAV.

     
     
  • Volkswagen Malaysia menawarkan kadar faedah serendah 0.88% setahun untuk Jetta Comfortline

    Volkswagen Malaysia menawarkan kadar faedah serendah 0.88% setahun untuk Jetta Comfortline

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah mengumumkan kadar faedah baharu yang ditawarkan untuk model Jetta Comfortline iaitu serendah 0.88% setahun. Ini bermakna, Jetta telah menyertai Vento 1.6L dan Passat 1.8L, yang turut ditawarkan dengan promosi kadar faedah rendah memandangkan ia mendapat sambutan yang menggalakkan.

    Promosi bagi kadar faedah terendah ini bermula semalam (13 Sept) dan bakal berlangsung sehingga 31 Disember 2017. Malah VPCM turut berkata, kadar faedah terendah bagi varian Vento dan Passat yang ditawarkan buat masa ini iaitu masing-masing 0.28% dan 0.88% dilanjutkan sehingga pada tarikh akhir yang sama.

    Kadar faedah bagi Jetta Comfortline ini ditawarkan sebanyak 0.88% setahun iaitu melibatkan pinjaman pembiayaan selama lima tahun. Manakala bagi pinjaman pembiayaan tujuh tahun pula, kadar faedah yang ditawarkan adalah sebanyak 1.28% setahun, dan untuk sembilan tahun pula 1.68%.

    Varian ini ditawarkan pada harga RM117,990 dan turut didatangkan dengan penjimatan tambahan sebanyak RM10,000.
    Selain itu, Jetta Comfortline turut didatangkan dengan waranti lima-tahun atau 75,000 km penyelenggaraan percuma, mana yang tiba terlebih dahulu.

    Ia dijanakan oleh enjin generasi baharu iaitu 1.4L TSI suntikan-terus empat-silinder dengan pengecas turbo tunggal berserta teknologi BlueMotion berkuasa 150 PS dan tork maksima 250 Nm bermula 1,500 hingga 3,500 rpm. Berbanding Jetta model sebelum ini yang dipadankan dengan enjin 1.4L TSI pengecas-berkembar (supercharger dan turbocharger) dengan kuasa 160 PS dan tork 240 Nm. Ini bermakna Jetta 2016 diturunkan kuasa sebanyak 10 PS tetapi miliki kelebihan 10 Nm.

     
     
  • Harga bahan api 14-20 Sept – terus meningkat!

    Harga bahan api 14-20 Sept – terus meningkat!

    Rasa macam ini berita yang biasa-biasa (atau dalam erti kata lain, ‘terpaksa’) diterima oleh kita semua. Pastinya ia mengenai berita kenaikan harga bahan api utama iaitu RON 97, RON 95 dan diesel yang diumumkan beberapa minggu kebelakangan ini. Ini termasuklah bagi minggu tarikh bermula 14 hingga 20 September ini, di mana harga bagi ketiga-tiga bahan api tersebut turut dilaporkan terus meningkat.

    Bagi RON 97, ia naik sebanyak 4 sen, kini menjadi RM2.52 seliter, manakala RON 95 pula, daripada RM2.20 seliter pada minggu sebelumnya, turut dilaporkan naik sebanyak 1 sen menjadi RM2.21 seliter. Untuk diesel pula, ia mengalami peningkatan harga yang agak besar iaitu mencecah 9 sen, dengan RM2.14 seliter bagi Euro 2 dan Euro 5 M pula RM2.24 seliter.

     
     
  • Toyota Hilux kembali dijual di Jepun, sejak dihentikan jualannya pada 2004 – harga bermula RM125k

    Toyota Hilux kembali dijual di Jepun, sejak dihentikan jualannya pada 2004 – harga bermula RM125k

    Mungkin ramai yang tidak tahu, walaupun menjadi ikon betapa tahannya kenderaan keluaran Jepun, jualan Toyota Hilux sebenarnya telah dihentikan di negara asalnya pada tahun 2004. Namun menerusi model generasi terkini, trak pikap berkenaan kini mula dijual kembali pada pasaran domestik Jepun bermula tahun ini.

    Bagi pasaran matahari terbit berkenaan, Hilux dijual dalam dua varian iaitu X dan Z, namun kedua-duanya hanya menerima enjin 2GD-FTV 2.4 liter turbodiesel. Enjin suntikan diesel terus common-rail versi JDM berkenaan menghasilkan kuasa 148 hp pada takar 3,400 rpm dan juga tork maksima 400 Nm bermula 1,600 rpm.

    Pasaran Jepun turut tidak ditawarkan dengan kotak gear manual, di mana kedua-dua model X dan Z hanya diberikan kotak gear automatik enam-kelajuan Super ECT. Kesemua model juga datang standard dengan bentuk badan twin-cab dan juga sistem 4WD yang boleh diubah menggunakan suis putar serta mod pemanduan Eco dan Power.

    Toyota Hilux kembali dijual di Jepun, sejak dihentikan jualannya pada 2004 – harga bermula RM125k

    Pembeli pada pasaran Jepun ditawarkan dengan lima pilihan warna, termasuk warna khas yang tiada dalam katalog pasaran Malaysia iaitu Nebula Blue Metallic. Bahagian kabin pula hanya ditawarkan dengan warna hitam dan upholsteri fabrik, tanpa pilihan tingkat taraf balutan kulit atau warna lain.

    Bagi membezakan antara varian asas dan tertinggi, model Z diberikan kluster instrumen Optitron dengan paparan pelbagai informasi berwarna, manakala versi X hanya diberikan paparan instrumen asas.

    Model pasaran Jepun ini juga dilengkapi dengan pelbagai sistem keselamatan termasuk sistem amaran pelanggaran hadapan bersama pengelak pelanggaran serta pengesan pejalan kaki, dan juga amaran keluar laluan.

    Toyota Hilux kembali dijual di Jepun, sejak dihentikan jualannya pada 2004 – harga bermula RM125k

    Toyota Hilux X dijual pada harga 3,267,000 yen (RM125k) untuk pasaran Jepun manakala versi tertinggi Z pula dijual pada harga 3,742,200 yen (RM143k). Trak-trak pikap ini juga sebenarnya tidak dihasilkan di Jepun, sebaliknya diimport sepenuhnya dari kilang Toyota Ban Pho, Thailand. Toyota merancang untuk membawa sebanyak 2,000 unit Hilux dari Thailand ke Jepun setiap tahun.

    Trak pikap Toyota Hilux diperkenalkan kepada dunia buat pertama kali pada tahun 1968. Sejak pelancarannya, Hilux kini telah terjual sebanyak 17.3 juta unit di lebih dari 180 buah negara seluruh dunia. Buat masa sekarang, Hilux ditawarkan dalam dua pilihan enjin (2.4 liter turbodiesel dan 2.8 liter turbodiesel), dua pilihan sistem transmisi, dua pilihan bentuk badan dan dua pilihan pacuan yang dipakejkan dalam enam pilihan varian untuk pasaran Malaysia – dijual pada harga bermula RM87k hingga RM130k.

    GALERI: Toyota Hilux versi pasaran Jepun

     
     
  • Modenas dekati pelanggan, jalankan tinjauan terhadap kepuasan pemilikan model-model keluarannya

    Modenas dekati pelanggan, jalankan tinjauan terhadap kepuasan pemilikan model-model keluarannya

    Sebagai salah satu usaha untuk meningkatkan kepuasan pelanggan dan servis, pengeluar motosikal nasional, Modenas, telahpun mengadakan tinjauan terhadap pemilikan oleh penunggang-penunggang yang menggunakan motosikal jenama tersebut. Tinjauan berkenaan telah dijalankan di kompleks ibu pejabat EON, Glenmerie, Shah Alam, dan lebih dari 60 orang pemilik Modenas hadir ke acara tersebut.

    Acara yang disediakan dengan pelbagai aktiviti lain dan juga makan malam berkenaan turut disertai oleh dua orang wakil dari Bajaj, iaitu rakan pengeluaran strategik Modenas. Sebahagian dari tinjauan berkenaan adalah sebagai salah satu usaha Modenas untuk memahami apa yang dimahukan pelanggan ketika membeli motosikal, dan juga karekter pada segmen street bike.

    Modenas turut menjalankan pemeriksaan percuma terhadap motosikal-motosikal keluarannya pada acara berkenaan, dan menyampaikan mesej jelas berkenaan kepentingan penyelengaraan berkala. Modenas kini sedang dalam kempen intensif bagi mendapatkan semula bahagian pasarannya yang hilang dengan cara memberikan servis yang lebih baik kepada pelanggan, dan memperkenalkan model-model yang berpotensi seperti Modenas Pulsar RS200, NS200 dan V15 yang telah pun dilancarkan baru-baru ini.

     
     
  • Porsche Cayenne Turbo 2018 dilancarkan di Frankfurt

    Porsche Cayenne Turbo 2018 dilancarkan di Frankfurt

    Porsche Cayenne generasi ketiga telah pun dilancarkan dengan memilih Frankfurt Motor Show 2017 sebagai pentas peragaan pertamanya. Model 2018 ini dijanakan oleh enjin 4.0 liter pengecas turbo-berkembar V8 yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 550 hp dan tork 770 Nm seperti mana yang ditampilkan pada Panamera Turbo, dengan peningkatan 30 hp dan 20 Nm berbanding Cayenne Turbo terdahulu.

    Ia dikatakan boleh dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 4.1 saat (3.9 saat dengan pakej Sport Chrono), dan mampu memberikan kelajuan maksimum sehingga 286 km/j. Ia turut digandingkan dengan sistem pacuan semua-roda, dengan output enjinnya disalurkan menerusi transmisi automatik torque converter Tiptronic S lapan-kelajuan.

    Casisnya pula adalah sama seperti model asas Cayenne dan Cayenne S yang diperkenalkan sebelum varian Turbo ini. Ia menampilkan suspensi udara adaptif tiga-kebuk, penstabilan olengan Kawalan Casis Dinamik Porsche (PDCC) dan Pemvektoran Tork Porsche (PTV) bersama dengan roda stereng belakang sebagai pilihan.

    Porsche Cayenne Turbo 2018 dilancarkan di Frankfurt

    Cayenne Turbo juga mengadaptasi kaedah tayar campuran, di mana lebarnya berbeza pada bahagian hadapan dan belakang. Roda rekaan Turbo berdiameter 21-inci dibaluti tayar 285/40 di hadapan dan 315/35 untuk belakang, banyak membantu menghantarkan transmisi kuasa pada bahagian sisi dengan lebih baik, ujar Porsche.

    Bagi luarannya, Cayenne Turbo menerima bampar hadapan dan corong pengambilan yang lebih menonjol, sementara lampu utamanya pula juga berbeza berbanding model lain dengan modul pencahayaan berganda. Malahan roda bersaiz 21-inci bagi Turbo adalah eksklusif untuknya, dengan gerbang roda yang lebih lebar bersama kekemasan yang tersendiri.

    Melewati bahagian belakangnya, Cayenne Turbo menerima kekemasan bampar berwarna putih dengan paip ekzos bulat berkembar. Sama seperti model Cayenne yag lain, Cayenne Turbo juga dilengkapi dengan jaluran lampu merah dengan dua kluster lampu belakang utama, spoiler adaptif pertama bagi SUV ini, di mana Porsche berkata ia mampu mengurangkan jarak membrek dengan kelajuan 250 km/j sehingga dua meter.

    Bagi elemen breknya, Cayenne Turbo didatangkan dengan Porsche Surface Coated Brake (PSCB) secara standard, yang mampu meningkatkan prestasi brek. Selain itu, ia juga didatangkan secara pilihan bagi sistem Porsche Ceramic Composite Brake (PCCB).

    Selain itu, ia turut menampilkan paparan resolusi tinggi dan skrin sesentuh baharu bagi Porsche Advanced Cockpit generasi terkini, dengan sistem bunyi sekeliling Boss 710-watt secara standard. Tempat duduknya pula diilhamkan dari model 911 yang ditampilkan dengan fungsi pemanas.

    Cayenne Turbo ini boleh ditempah di pasaran Eropah dan dijangka tiba akhir tahun ini. Di Jerman, ia ditawarkan pada harga €138,850 (RM699,446) termasuk VAT.

     
     
  • TuneD umum pakej kit badan baharu untuk Proton Saga yang diperkemas, tampil rupa lebih garang

    Setelah menerima kritikan atas rupa yang agak pelik pada kit badan aftermarket yang dihasilkan sebelum ini, syarikat tingkat taraf tempatan, TuneD, kini tampil dengan kit baharu untuk Proton Saga yang diperkemas. Pengumuman kit yang digelar TuneD Saga Ver 2.0 ini dibuat pada laman Facebook TuneD sendiri, dan turut disertakan dengan satu gambar serta satu video ringkas.

    Seperti yang dapat dilihat, TuneD melakukan rombakan rekaan pada gril hadapan dan juga bampar hadapan. Berbanding dari kit asal, rupa baharu muka Saga yang diperkemas ini nampak lebih garang dan agresif.

    Menurut TuneD, mereka menawarkan tiga pakej tingkat taraf iaitu Standard, Executive dan Premium di mana harga bermula dari RM5490. Pakej tersebut terdiri dari pelbagai kelengkapan seperti bampar hadapan bersama lampu nyalaan siang LED, bampar belakang bersama reflektor LED, skirt sisi lengkap dengan emblem TuneD, dan juga cat badan keseluruhan yang digelar Fierce Red oleh TuneD.

    TuneD umum pakej kit badan baharu untuk Proton Saga yang diperkemas, tampil rupa lebih garang

    Selain dari kelengkapan yang dinyatakan diatas, TuneD turut menampilkan pelbagai aksesori lain untuk Saga yang diumumkan sebelum ini, antaranya rim aloi berdiameter 16-inci, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, upholsteri kulit untuk bahagian dalaman, pakej tingkat taraf aspek NVH, dan pelbagai lagi.

    Selain dari Saga, TuneD turut menghasilkan barisan aksesori untuk model Proton lain seperti Preve dan Persona. Namun versi kemaskini baharu ini hanya dikeluarkan untuk Saga buat masa sekarang.

    GALERI: Saga TuneD versi pertama

    GALERI: Persona TuneD

    GALERI: Preve TuneD

     
     
  • Suzuki Swift Sport buat kemunculan sulung di Frankfurt – 1.4L turbo, 6-kelajuan manual, 970 kg

    Suzuki Swift Sport buat kemunculan sulung di Frankfurt – 1.4L turbo, 6-kelajuan manual, 970 kg

    Sebuah lagi hot-hatch yang ditunggu-tunggu tahun ini telah pun membuat kemunculan sulungnya di Frankfurt Motor Show 2017 – Suzuki Swift Sport generasi baharu. Model yang diasaskan dari Swift generasi terkini berkenaan akhirnya turut mengikuti trend janakuasa terkini dengan pemadanan pengecas turbo, yang Suzuki sifatkan sebagai “membawa Swift Sport ke wilayah hot-hatch sebenar.”

    Model ini dijana enjin K14C 1.4 liter turbo Boosterjet yang diambil dari Vitara, menghasilkan 135 hp pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 230 nm bermula 2,500 hingga 3,500 rpm. Peningkatan kuasa kuda mungkin sedikit dengan hanya 4 hp lebih kuat berbanding enjin M16A 1.6 liter NA generasi terdahulu (134 hp), namun ia menerima lonjakkan tork yang agak drastik iaitu 70 Nm lebih tinggi dari sebelum ini.

    Tambahan pula, model generasi baharu ini turut direka 80 kg lebih ringan dari model sebelumnya dengan berat hanya 970 kg. Ini membolehkan Swift Sport baharu ini mencapai nisbah tork kepada berat sekitar 4.2 kg/Nm, yang membolehkan ianya menjadi “salah satu hot-hatch paling kompetitif dalam pasaran” buat masa sekarang, dakwa Suzuki.

    Tidak seperti model sebelum ini yang turut ditawarkan dengan transmisi CVT automatik, Swift Sport baharu ini lebih mensasarkan pasaran mereka yang benar-benar gemar memandu dengan hanya menawarkan kotak gear manual enam-kelajuan. Unit transmisi berkenaan sebenarnya diambil dari model terdahulu, tetapi ia telah ditala semula bagi memberikan kelancaran serta tindak balas yang lebih baik.

    Suzuki Swift Sport buat kemunculan sulung di Frankfurt – 1.4L turbo, 6-kelajuan manual, 970 kg

    Seperti juga Swift standard, model Sport ini dibina di atas platform Heartect dan diberikan penyerap hentak Monroe pada bahagian hadapan. Ia dipadankan dengan penyambung bar penstabil yang lebih besar serta diberikan cagak penstabil dari material Teflon. Manakala hab roda dan hab galas (bearing) kereta ini pula kini direka sebagai satu unit komponen.

    Bagi meningkat ketegaran sudut kamber semasa mengambil selekoh pada kadar 15%, bahagian berkenaan diberikan jarak antara galas yang lebih lebar. Rombakan semula ini membantu memberikan lebih kekerasan pada suspensi tanpa meningkatkan kadar spring mahupun bar penstabil hadapan.

    Untuk bahagian belakang, talaan difokuskan untuk mendapatkan kestabilan pada kelajuan tinggi dan ini dilakukan dengan menningkatkan kekuatan sudut Toe yang 1.4 lebih tegar dari model sebelumnya, begitu juga pada kekuatan kamber.

    Swift Sport menerima trailing arm baharu yang direka bagi mengurangkan perubahan semasa mengambil selekoh, dan ia turut disokong dengan penggunaan penyerap hentak Monroe bagi memberikan daya olengan yang lebih minima.

    Suzuki Swift Sport buat kemunculan sulung di Frankfurt – 1.4L turbo, 6-kelajuan manual, 970 kg

    Sama seperti model-model generasi sebelumnya, versi Sport ini diberikan penampilan lebih garang berbanding versi standard. Ia diberikan bampar rekaan khas bersama gril sarang lebah, serta diberikan spoiler tambahan di bawah bampar hadapan dan belakang dan juga di bawah skirt sisi.

    Spoiler bumbung turut diberikan pada bahagian belakang, bersama tip ekzos berkembar bagi melengkapkan penampilah agresifnya. Model ini juga diberikan rim aloi jejari runcing berdiameter 17-inci.

    Suzuki turut memberitahu bahawa model Sport ini 40 mm lebih lebar bagi memberikan kestabilan lebih baik untuk pemanduan lurus. Ia juga direndahkan sebanyak 15 mm dan secara tidak langsung memberikan rupa dan stance yang nampak lebih lincah.

    Tujuh warna ditawarkan iaitu Burning Red Pearl Metallic, Speedy Blue Metallic, Pure White Pearl, Premium Silver Metallic, Mineral Grey Metallic, Super Black Pearl dan seperti biasa, warna hero untuk Swift Sport ini adalah Champion Yellow.

    Hanya sedikit perubahan dalaman diberikan pada model Sport ini berbanding model biasa. Panel instrumen direka berorentasikan pemanduan prestasi manakala kemasan lain diserlahkan dengan elemen berwarna merah. Model ini turut diberikan meter boost turbo, dan juga meter suhu minyak pelincir, bukan sahaja untuk kegunaan pemandu, malah ia sebagai amaran bahawa model ini bukan hatchback biasa.

    Ciri lain yang turut ditampilkan termasuk roda stereng rata di bawah balutan kulit, tempat duduk separa-bucket, tombol gear krom serta pedal aloi. Bagi sistem hiburan pula, ia diberikan sistem Smartphone Linkage Display Audio Display menerusi skrin sesentuh tujuh-inci.

    Selain dari prestasi pemanduan yang lebih baik, Suzuki Swift Sport generasi baharu ini juga diberikan pakej sistem keselamatan yang lebih menyeluruh. Ia termasuk amaran pelanggaran hadapan, Dual Sensor Brake Support (DSBS), amaran keluar laluan, bantuan lampu tinggi, cruise control adaptif dan pelbagai lagi.

     
     
  • Honda Urban EV Concept – jelmaan semula Civic generasi pertama dalam janaan elektrik sepenuhnya

    Honda Urban EV Concept – jelmaan semula Civic generasi pertama dalam janaan elektrik sepenuhnya

    Honda Urban EV Concept unveiled at the Frankfurt Motor Show

    Honda telah memperkenalkan kereta konsep baharu elektrik sepenuhnya pada Frankfurt Motor Show 2017 yang kini sedang berlangsung, digelar Honda Urban EV Concept. Menurut Honda, kereta konsep ini “akan menetapkan arah tuju untuk teknologi dan rekaan yang akan muncul pada model produksi Honda janaan bateri elektrik pada masa hadapan.”

    Jadi, model elektrik yang direka seolah-olah jelmaan semula hatchback comel Honda Civic generasi pertama ini bukan sekadar bayangan, ianya bakal muncul dalam bentuk produksi sebenar pada tahun 2019. “Ini bukan sebagai visi masa hadapan; versi produksi sebenar kereta ini akan muncul di Eropah pada tahun 2019,” jelas Takahiro Hachigo, presiden dan CEO Honda, mengesahkan secara rasmi perkara ini.

    Model ini direka dengan panjang keseluruhan 3,855 mm, atau 100 mm lebih pendek berbanding Honda Jazz sedia ada. Ia diberikan lampu hadapan bulat seperti Civic generasi pertama bersama jalur LED nyalaan siang disekeliling, mengapit ‘gril’ dengan logo Honda yang menyala, serta paparan yang emblem #Honda EV. Paparan berkenaan turut berfungsi untuk menunjukkan pelbagai mesej dan juga status cas kereta tersebut.

    Honda Urban EV Concept – jelmaan semula Civic generasi pertama dalam janaan elektrik sepenuhnya

    Honda Urban EV Concept unveiled at the Frankfurt Motor Show

    Bahagian belakang turut menerima konsep yang hampir sama dengan apa yang terapkan pada sebelah hadapan, tetapi bahagian lampu direka dengan bentuk segi empat, juga seakan lampu belakang Civic generasi pertama.

    Beralih ke bahagian sisi pula, bayangan badan hatchback elektrik ini jelas hampir sama dengan Civic. Selain itu, ia diberikan kamera sisi pada bahagian pintu yang menggantikan fungsi cermin sisi. Tiang-A pula digelapkan bagi memberikan imej seolah-olah tingkap pintu bersambung dengan cermin hadapan.

    Terdapat satu garis yang bermula dari hujung hadapan fender, dan ia berakhir dengan ukiran seperti kepala plag elektrik di sebelah tingkat sisi belakang. Bagi menyempurnakan rekaan kereta ini, ia diberikan rim pelbagai jejari dengan diameter yang agak besar serta tayar berprofil rendah.

    Honda Urban EV Concept – jelmaan semula Civic generasi pertama dalam janaan elektrik sepenuhnya

    Honda Urban EV Concept unveiled at the Frankfurt Motor Show

    Rekaan diinspirasi dari Civic generasi pertama terus diterapkan pada bahagian dalaman – jelas menerusi rekaan papan pemuka dua dek serta kemasan-kemasan dengan elemen kayu gelap. Ia juga turut diberikan paparan skrin informasi yang sangat lebar, bersama roda stereng berbentuk-empat segi.

    Pintu kereta elektrik ini direka dengan bukaan terbalik atau lebih dikenali sebagai suicide door. Kedua-dua pintu berkenaan turut dipadankan dengan skrin yang memberikan imej dari kamera sisi pandang belakang.

    Menurut Honda, kereta ini mampu membawa empat orang penumpang dengan selesa menerusi dua baris tempat duduk jenis ‘bench‘ (seperti bangku kantin sekolah). Paksi untuk tali pinggang keledar belakang juga berbeza dengan kereta biasa, di mana ia berpusat pada bahagian tengah, bagi membolehkan penumpang keluar dengan lebih mudah.

    Kereta konsep elektrik ini juga diberikan sistem Honda Automated Network Assistant, yang menganalisa setiap keputusan destinasi yang diambil oleh pemandu bagi memberikan pilihan dan juga cadangan untuk keputusan seterusnya.

    Kabel dan penyambungan pengecas hatchback elektrik ini ditempatkan di dalam bonet. Namun, Honda masih lagi belum mendedahkan perincian penuh berkenaan unit janakuasa kereta ini.

    Buat masa ini, Honda masih lagi belum mempunyai model produksi sebenar kereta elektrik yang dijual dalam pasaran. Tetapi untuk masa depan, jenama dari Jepun berkenaan nampaknya bakal menawarkan kereta-kereta elektrik yang begitu menarik dan tidak membosankan.

     
     
  • Mitsubishi Outlander 2.0L 4WD versi CKD bakal dilancarkan di M’sia – harga pengenalan RM140k

    Mitsubishi Outlander 2.0L 4WD versi CKD bakal dilancarkan di M’sia – harga pengenalan RM140k

    Pada April tahun lalu, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah melancarkan SUV Outlander iaitu model import sepenuhnya (CBU) untuk pasaran tempatan. Dengan enjin petrol 2.4 liter Mitsubishi Innovative Valve timing Electronic Control (MIVEC), Outlander CBU yang didatangkan dari Jepun ini dijual pada harga bermula RM167k.

    Lebih setahun berlalu, akhirnya MMM membuat keputusan untuk memperkenalkan pula versi pemasangan tempatan (CKD) bagi SUV tujuh-tempat duduk ini. Walau bagaimana pun, ia ditawarkan dengan enjin 2.0 liter MIVEC, selain masih mengekalkan varian Outlander 2.4L versi CBU.

    Ini merupakan model CKD kedua buat MMM selepas SUV ASX, yang juga menjalani proses pemasangan oleh Tan Chong Motor Assemblies (TCMA) di Segambut, Kuala Lumpur. Malah MMM telah pun mempertontonkan Outlander 2.0L 4WD kepada pihak media sewaktu majlis pemulaan pemasangan rasminya (line-off) yang berlangsung pagi ini.

    Outlander 2.0L 4WD ini dijanakan oleh enjin 2.0 liter DOHC MIVEC bersama hamburan kuasa 145 PS dan 196 NM, serta dipadankan bersama transmisi INVECS-III CVT. Menurut MMM, ia mampu memberikan penjimatan bahan api sekitar 13.7 liter bagi setiap 100 km (13 liter per 100 km bagi varian 2.4 liter).

    Mitsubishi Outlander 2.0L 4WD versi CKD bakal dilancarkan di M’sia – harga pengenalan RM140k

    Seperti mana model 2.4L, Outlander 2.0L ini juga didatangkan dengan sistem 4WD pintar sebagai standard. Ia juga memiliki sistem Multi-Select 4WD dengan tiga pilihan mod iaitu 4WD Eco, 4WD Auto dan 4WD Lock, yang sesuai untuk semua keadaan jalan dan laluan termasuk off-road.

    Antara daya penarik bagi Outlander 2.0L 4WD ini ialah ia hadir dengan senarai elemen keselamatan asas yang boleh dikatakan agak lengkap, termasuklah tujuh beg udara, ABD dengan EBD, Bantuan Brek, Kestabilan Aktif dan Kawalan Cengkaman (ASTC), Bantuan Mula Mendaki (HSA) dan cagak ISOFIX. Malahan SUV ini juga dibina dengan struktur badan Reinforced Impact Safety Evolution (RISE) yang boleh dianggap tegar.

    Selain itu, ia juga didatangkan dengan Rest Reminder, di mana ia mengingatkan pemandu untuk rehat sekiranya keletihan. Bukan itu sahaja, tidak lengkap rasanya sekiranya tidak disertakan dengan kamera undur, maka Outlander 2.0L juga ditampilkan dengan elemen itu.

    Tanpa gaya yang menarik, pastinya bonus untuknya juga ‘berkurangan’. Outlander 2.0L 4WD versi Malaysia ini juga dilengkapi dengan elemen luaran dan dalaman yang tetap menguja. Walau pun tidak semewah elemen versi CBU 2.4L 4WD, namun Outlander 2.0L ini tetap dianggap menarik. Ia masih mengekalkan paras rupa yang sama, namun dibezakan dengan padanan lampu utama projektor halogen bersama lampu nyalaan siang LED, serta rim aloi 18-inci, sama seperti Outlander 2.4L.

    Lain-lain elemen standard termasuklah kemasukan tanpa kunci dengan butang push start, pendingin hawa dwi-zon, sistem infotainmen bersama skrin sesentuh HD tujuh-inci dengan fungsi Apple CarPlay serta fungsi Air Gesture Control. Ia turut menerima perakam video digital (dashcam) dan lapisan filem solar/keselamatan untuk semua cermin tingkapnya.

    Walau bagaimana pun, Outlander 2.0L AWD ini tidak didatangkan dengan bumbung matahari, tailgate berkuasa dan pedal penukar gear, serta tempat duduknya hanya balutan fabrik (material kulit bagi Outlander 2.4L) dengan larasan manual untuk tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan.

    Khas untuk pasaran Malaysia, Outlander 2.0L CKD ini turut diberikan warna eksklusif iaitu Ruby Black, serta mengekalkan warna Red Metallic dan Solar White.

    Sudah pun mula dibuka tempahannya, Outlander 2.0L 4WD ini ditawarkan dengan harga pengenalan RM139,988 (tanpa insurans) sehingga hujung tahun ini. Ia turut didatangkan dengan waranti pengeluar standard lima-tahun dengan perbatuan tanpa terhad. Untuk pengetahuan, Outlander 2.4L CBU bagi pasaran Malaysia ditawarkan pada harga RM171,000 dan mempunyai satu lagi warna pilihan termasuk Grey Metallic selain merah dan putih.

     
     
  • Renault Megane RS generasi baharu diperkenalkan – 280 hp/390 Nm, transmisi 6-kelajuan manual atau EDC

    Renault Megane RS generasi baharu diperkenalkan – 280 hp/390 Nm, transmisi 6-kelajuan manual atau EDC

    Lebih tiga tahun lalu, Renault Megane RS merupakan kereta pacuan roda hadapan produksi paling pantas di litar Nürburgring. Tetapi selepas itu nama Megane jatuh sedikit demi sedikit setelah pertarungan kelas berkenaan tertumpu kepada Volkswagen Golf Clubsport S dan juga Honda Civic Type R FK2, dan kini gelaran ‘King of the Ring’ tersebut dipegang oleh Civic Type R FK8.

    Pada Frankfurt Motor Show tahun ini, Renault telah memperkenalkan generasi baharu Megane RS yang dijangka bakal menggoyahkan kembali kedudukan Civic-R. Seperti yang dijangka, model baharu ini dijana dengan enjin yang lebih bertenaga dan juga pelbagai teknologi yang lebih tinggi.

    Namun apa yang mengejutkan, Renault Megane RS generasi keempat ini dijana enjin dengan kapasiti lebih kecil dari sebelum ini iaitu 1.8 liter berbanding 2.0 liter pada model sebelumnya. Enjin empat silinder 1.8 liter turbo dengan suntikan bahan api terus berkenaan mampu menghasilkan 280 hp dan tork maksima 390 Nm, atau 5 hp dan 30 Nm lebih berkuasa dari enjin 2.0 liter turbo sebelum ini.

    Pendedahan Megane RS ini juga mengesahkan ia masih mengekalkan konfigurasi pacuan roda hadapan, dan bukan pacuan semua roda seperti khabar angin yang bertiup sebelum ini. Tidak seperti Clio RS baharu yang menerima kritikan kerana hanya diberikan transmisi EDC automatik, kuasa dari enjin Megane RS ini dialirkan ke roda menerusi dua pilihan kotak gear iaitu sama ada enam-kelajuan manual atau enam kelajuan klac berkembar automatik EDC bersama pedal penukar gear.

    Renault Megane RS generasi baharu diperkenalkan – 280 hp/390 Nm, transmisi 6-kelajuan manual atau EDC

    Pengendalian model generasi baharu ini turut dibantu dengan sistem four-wheel steering digelar 4Control yang diperkenalkan buat pertama kali pada model Megane GT sebelum ini. Seperti generasi-generasi sebelumnya juga, Megane RS diberi dua pilihan talaan suspensi – sama ada suspensi Sport standard, dan juga yang lebih hardcore dan lebih sesuai untuk litar iaitu casis Cup.

    Kedua-dua jenis talaan tersebut menerima unit bump stop jenis mampatan hidraulik seperti yang digunakan pada jentera rali di keempat-empat sudut. Sistem berkenaan mampu memberikan pengendalian dan juga keselesaan yang lebih baik, bergantung mod pemanduan yang dipilih.

    Suspensi hadapan model generasi baharu ini telah dirombak sepenuhnya dengan pemadanan paksi stereng jenis bebas bagi meningkatkan ketepatan pengendaliannya. Bagi casis Cup pula, ia turut menerima LSD jenis Torsen. Lima mod pemanduan diberikan untuk dipilih pemandu untuk disesuaikan dengan situasi iaitu Comfort, Normal, Sport, Race dan Perso (talaan pengkhususan oleh pemandu).

    Pada bahagian luaran, Megane RS generasi baharu ini turut menampilkan rupa yang lebih agresif. Muka hot-hatch ini direka dengan liang kemasukan udara pada bampar yang lebih besar bersama mesh sarang lebah tiga dimensi, dan menempatkan turut lampu nyalaan siang LED RS Vision (seakan corak bendera perlumbaan).

    Renault Megane RS generasi baharu diperkenalkan – 280 hp/390 Nm, transmisi 6-kelajuan manual atau EDC

    Keempat-empat ruang roda kereta ini direka lebih lebar dari model standard dan aerodinamiknya turut dibantu oleh spoiler belakang bersama diffuser udara pada bampar belakang yang turut menempatkan tip ekzos besar pada bahagian tengah. Bagi melengkapkan rupanya, dua pilihan rim aloi diberi – sama ada berdiameter 18-inci atau 19-inci.

    Ruang dalaman masih lagi kekal direka ringkas. Ia menerima tempat duduk sport yang dibalut dengan pilihan fabrik atau Alcantara kemasan charcoal grey dan diakhiri dengan serlahan jahitan benang merah. Upholsteri yang sama turut diterapkan pada roda stereng dan juga tombol gear.

    Angka 280 hp ini kedengaran sangat kurang untuk bertempur dengan Civic Type R bukan? Tunggu dulu, model yang didedahkan ini sebenarnya hanya varian asas. Versi Trophy yang jauh lebih liar bakal diperkenalkan tahun hadapan, dibekalkan dengan kuasa 300 hp.

     
     
  • Volvo S90 T8 Twin Engine Inscription kini boleh ditempah – plug-in hybrid CKD, berharga RM348,888

    Volvo S90 T8 Twin Engine Inscription kini boleh ditempah – plug-in hybrid CKD, berharga RM348,888

    Ini mungkin berita yang ditunggu-tunggu oleh peminat Volvo tempatan – Volvo Car Malaysia (VCM) telah mengumumkan varian paling berkuasa untuk sedan flagship S90 iaitu varian T8 Twin Engine kini sudahpun mula ditempah. VCM bukan sahaja membawa varian janakuasa termaju Volvo, malah S90 tersebut hadir dalam kemasan tertinggi Inscription, sama seperti versi SUV XC90 T8.

    Apa yang menggembirakan lagi, versi plug-in hybrid yang dipasang secara tempatan (CKD) di kilang Volvo Shah Alam ini menerima insentif EEV dari kerajaan, membolehkan S90 T8 Twin Engine dijual pada pasaran Malaysia dengan harga atas jalan tanpa insuran RM348,888. Harga ini jelas jauh lebih murah dari varian-varian S90 lebih rendah sedia ada iaitu T5 Momentum dan juga T6 AWD R-Design yang hadir dalam bentuk CBU.

    Sebagai perbandingan, varian asas S90 T5 Momentum dengan enjin petrol 2.0 liter turbo Drive-E berkuasa 254 hp/350 Nm kini dijual pada harga RM388,888, atau RM40,000 lebih mahal dari versi T8 Twin Engine yang dijana enjin 2.0 liter Drive-E didesak pengecas turbo dan supercharger, bersama motor elektrik hibrid yang menghasilkan kuasa akhir 407 hp/640 Nm.

    Walau bagaimanapun, harga yang ditawarkan ini hanyalah harga pengenalan istimewa untuk pelanggan-pelanggan yang memuktamadkan pembelian mereka sebelum 31 Oktober 2017. Setiap pembelian juga akan disertakan dengan perlindungan waranti selama lima tahun atau 120,000 km, yang mana sampai duhaulu.

    Bagi varian T6 pula, ia dijana enjin petrol turbo superchager yang sama dengan versi T8, tetapi tanpa sistem hibrid dan dibekalkan kuasa 320 hp/400 Nm. Model CBU berkenaan kini dijual pada pasaran Malaysia dengan harga RM453,888.

    Untuk sistem plug-in hybrid yang diberikan pada model S90 T8 Twin Engine, ia terdiri dari motor elektrik berkuasa 87 hp/240 Nm yang diletakkan pada gandar belakang, yang secara tidak langsung menjadikan sedan tersebut sebuah model pacuan semua roda. Sebuah lagi motor elektrik yang dihubungkan pada aci engkol dikenali sebagai motor CISG, yang diletakkan diantara enjin dan kotak gear, bagi memberikan tork segera ketika ia memecut dari kedudukan pegun.

    Secara keseluruhan, kuasa pada S90 T8 Twin Engine membolehkan kereta berkenaan memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 5.2 saat. Selain dari sangat berkuasa, sedan ini juga mampu mencatatkan penggunaan bahan api serendah 2.1 liter untuk setiap 100 km, manakala kadar emisi karbon dioksida dicatat pada paras 47 gram setiap kilometer. Kereta ini juga mampu dipandu secara elektrik sepenuhnya pada jarak 48 km pada kitaran NEDC Eropah.

    Dijangkakan, versi T8 pada S90 ini bakal menerima kelengkapan yang hampir sama dengan XC90 berdasarkan kemasan Inscription yang diberikan, termasuk sistem penghawa dingin automatik empat-zon, hubungan Apple CarPlay, serta bantuan-bantuan pemanduan seperti sistem pemanduan separa automatik Pilot Assist dan lain-lain.

    GALERI: Volvo S90 T6 R-Design

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.30
DIESEL
EURO 5 B10 RM3.35 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.55 (0.00)
Last Updated Jun 27, 2024