Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Jaguar E-type Zero – model klasik pacuan elektrik

    Jaguar E-type Zero – model klasik pacuan elektrik

    Di samping Future-Type, Jaguar juga memperkenalkan E-Type Zero, iaitu sebuah E-Type Roadster tahun 1968 yang telah dibaik pulih oleh Land Rover Classic. Dari luar, anda akan melihat kereta ini seperti sebuah kereta klasik biasa, tetapi badannya menyembunyikan penjana kuasa elektrik moden.

    Secara asalnya, kereta ini menggunakan enjin enam silinder sebaris 4.2 liter, tetapi telah diganti dengan motor elektrik yang memberi kuasa sebanyak 220 kW (295 hp), iaitu 30 hp lebih banyak berbanding E-Type asal. Tetapan ini dibangunkan oleh jurutera sumber elektrik khas Jaguar Land Rover.

    Motor dan reduction gear pada kereta ini terletak pada bahagian kotak gear biasa, bersama bateri lithium-ion 40 kWh. Pek bateri yang digunakan mempunyai saiz dan berat yang sama seperti enjin enam silinder asal kereta ini, jadi, suspensi dan brek masih dibiarkan tanpa modifikasi. Dari hadapan, kuasa dihantar kepada roda belakang menggunakan propshaft.

    Disebabkan motor ini lebih berkuasa dan kenderaan adalah 46 kg lebih ringan, E-Type Zero boleh memecut dari kosong ke 100 km/j dalam masa satu saat lebih pantas berbanding E-Type Series 1, iaitu mengambil masa 5.5 saat. Jarak pergerakan dengan satu cas penuh dikatakan boleh mencecah 270 km, dan dari kosong, boleh dicas dalam masa enam ke tujuh jam untuk penuh, bergantung kepada sumber kuasa yang digunakan.

    Bagi bahagian badan, Jaguar telah membiarkan kereta ini tampil klasik seperti asal, dengan badan yang diwarnakan biru muda terang dan rim jenis jejari krom, tetapi lampunya menggunakan unit LED yang mempunyai penutup kaca seperti Series 1 dulu.

    Pada bahagian dalam pula, anda akan dapat melihat papan pemuka yang direka semula untuk menempatkan panel meter digital, tetapi mempunyai paparan inspirasi klasik, skrin sesentuh di bahagian tengah dan pemilih gear berbentuk tombol yang boleh dipusing. Roda stereng pula adalah binaan daripada kayu manakala tempat duduk mempunyai bentuk klasik dan jahitan berjalur.

     
     
  • Jaguar Future-Type – kereta autonomous boleh kongsi

    Jaguar Future-Type – kereta autonomous boleh kongsi

    Semakin banyak pengeluar kereta yang berpendapat bahawa sistem perkongsian kenderaan akan menjadi penyelesaian kepada pengangkutan peribadi masa hadapan. Jaguar juga sebegitu, dan mereka telah menunjukkan sebuah kenderaan autonomous sepenuhnya yang berbentuk kompak, dinamakan sebagai Future-Type. Kenderaan ini memberi gambaran kepada kenderaan mereka pada tahun 2040 dan seterusnya.

    Dalam konsep kenderaan elektrik autonomous yang boleh dikongsi oleh Jaguar ini, anda tidak akan memiliki kereta tersebut, tetapi hanya diberi dengan roda stereng canggih yang digelarkan sebagai Sayer. Melalui roda stereng ini, anda boleh melakukan pelbagai tugas seperti memanggil kereta tersebut, memainkan muzik, menyemak jadual dan pelbagai lagi. Alat canggih ini juga boleh membantu anda membuat perancangan harian.

    Malah secara sendiri, Sayer boleh mengetahui jadual anda, mengejutkan anda, membawa kereta yang sudah dicas penuh ke depan rumah dan memberi cadangan jalan mana yang boleh dilalui. Jika anda mahu menikmati sendiri pemanduan, stereng tersebut oleh digunakan untuk mengendali Future-Type.

    Kereta ini berbentuk kurus, dan di dalamnya terdapat susunan tempat duduk 2+1. Anda juga boleh melaras tempat duduk ini untuk jadi bertentangan antara satu sama lain untuk keadaan seperti terdapat perbincangan atau kedua-duanya menghadap ke depan seperti biasa.

    Selain itu, kenderaan ini juga boleh berkomunikasi dengan Future-Type yang lain, seterusnya membenarkan perjalanan yang lebih pendek dan pergerakan di atas jalan raya dapat dilakukan dengan lebih selamat dan cekap.

     
     
  • Renault Malaysia umum kempen servis brek untuk semua modelnya kecuali bagi EV, Koleos baharu

    Renault Malaysia umum kempen servis brek untuk semua modelnya kecuali bagi EV, Koleos baharu

    Demi mengutamakan keselamatan di jalan raya, TC Euro Cars (TCEC) telah menawarkan satu kempen servis ke atas alat ganti brek dan kos buruh untuk para pelanggan Renault.

    Kempen Servis Brek Renault ini melibatkan semua model Renault, kecuali kenderaan elektrik (EV) dan Koleos baharu. Ia menawarkan pelanggan diskaun sebanyak 20% ke atas beberapa alat ganti brek terpilih iaitu pad, tapak dan cakera.

    Selain itu, ia turut menawarkan pengurangan 10% ke atas kos buruh untuk kerja-kerja servis brek berkaitan. Manakala para pelanggan RENCARE akan menikmati tambahan diskaun 10% ke atas kos buruh untuk pembaikan dan servis brek yang relevan.

    Kempen ini sah mulai 1 September hingga 31 Oktober di semua 14 pusat servis sah Renault di seluruh negara.

     
     
  • Mercedes-Benz M’sia lantik Auto Commerz sebagai pengedar baharu – bilik pameran sementara di KL

    Mercedes-Benz M’sia lantik Auto Commerz sebagai pengedar baharu – bilik pameran sementara di KL

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah mengumumkan perlantikan Auto Commerz sebagai rakan pengedar baharu pada majlis pelancaran bilik pameran sementara, Mercedes-Benz Auto Commerz Autohaus di Jalan Genting Klang semalam.

    Auto Commerz adalah sebahagian daripada Swire Group, yang juga merupakan pengedar kenderaan Mercedes-Benz di Taiwan. Syarikat ini dengan kerjasama MBM, telah melabur lebih daripada RM10 juta untuk menjalankan operasi di Malaysia dalam tempoh dua tahun akan datang.

    Bilik pameran sementara ini turut mematuhi standard Mercedes-Benz Presentation System II bagi fasiliti global Autohaus, yang juga merupakan identiti korporat terkini bagi jenama ini. Ia mampu menempatkan empat model kenderaan serta sudut menjual aksesori dan cenderahati. Menurut MBM, bilik pameran kekal akan dibuka pada tahun 2019.

    “Dengan pelancaran Auto Commerz Autohaus baharu ini, kami dapat mengekalkan dakwaan sebagai rangkaian pengedar premium terbesar di Malaysia dengan memiliki 32 Autohaus di seluruh negara. Malah kami percaya dengan pengenalan pengedar baharu di Malaysia mampu memperkukuhkan lagi jenama kami di negara ini dan dapat memberikan kepuasan kepada para pelanggan kami,” ujar Presiden dan CEO MBM Claus Weidner.

    Eric Khoo yang mengetui Auto Commerz pula berkata, “Kami sangat teruja dengan kerjasama ini. Malah kami disokong oleh pengalaman dan kepakaran di peringkat global yang utuh, sekaligus membantu kami untuk mengekalkan jenama Mercedes-Benz ini serta meletakkan pengalaman pelanggan di peringkat tertinggi.”

    Mercedes-Benz Auto Commerz Autohaus beroperasi di G-1, PV128, Jalan Genting Klang, Kuala Lumpur. Para pelanggan boleh menghubungi bahagian khidmat pelanggan bilik pameran berkenaan di talian 03-4144 5000 untuk mengetahui lebih lanjut mengenainya.

     
     
  • TINJAUAN AWAL: Kia Rio 2017 – imej lebih segar

    Kia Rio 2017 iaitu dari generasi ke-empat ini telah pun dilancarkan di pasaran Malaysia pada 20 Julai lalu. Jika anda masih belum berkesempatan untuk meninjau hatchback ini di bilik pamerdan Kia, sila tonton video ini untuk mengetahui serba sedikit mengenai pembaharuan yang ditampilkan.

    Jika dilihat sekilas, mungkin kita tidak begitu perasan dengan perubahan yang ditampilkan. Namun Rio 2017 ini memiliki perbezaan yang paling ketara berbanding model terdahulu iaitu daripada segi binaan saiznya. Jika meneliti dimensi bagi Rio versi sebelum ini, ia berukuran 4,045 mm bagi panjang, selebar 1,720 mm, setinggi 1,455 mm dan jarak rodanya pula 2,570 mm.

    Namun, bagi Rio 2017 ini, panjangnya kini bertambah 20 mm (menjadi 4,065 mm), 5 mm lebih panjang (1,725 mm) tetapi tingginya dikurangkan sebanyak 5 mm (kini 1,450 mm), manakala jarak rodanya pula lebih 10 mm (dengan 2,580 mm).

    Malah ia juga menampilkan beberapa pembaharuan yang lebih segar untuk imej dalaman dan luarannya. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Rio 2017, sila tonton video ini sehingga tamat. Selamat menonton!

     
     
  • Mercedes-Benz EQ A – lakaran tunjuk bentuk seksi

    Mercedes-Benz EQ A – lakaran tunjuk bentuk seksi

    Semasa Frankfurt Motor Show yang akan berlansung minggu hadapan, Mercedes-Benz bakal memberi fokus kepada barisan kenderaan elektrik mereka yang dijenamakan sebagai EQ. Satu model yang digelar sebagai “kenderaan konsep EQ elektrik penuh pertama dalam segmen kompak” akan dipamerkan di sana, menggunakan nama EQ A.

    Selepas mengeluarkan teaser, lukisan rekaan kenderaan tersebut pula didedah bagi memberikan gambaran awal bagaimana rupanya nanti. Melalui lukisan ini, kita dapat melihat EQ A adalah sebuah hatchback tiga pintu yang nampak seperti Volkswagen Scirocco ataupun Opel Astra GTC.

    Terdapat juga beberapa gambar pandangan dekat perincian EQ A seperti lampu LED depan dan belakang. Bagi yang di belakang, ia kelihatan begitu menarik dengan pencahayaan 3D di dalamnya manakala yang di depan mempunyai nyalaan biru untuk menunjukkan penggunaan kuasa elektrik. Walaupun begitu, kita masih perlu menunggu model sebenar muncul untuk mengetahui sama ada ia masih menggunakan rim yang besar dan kedudukan rendah seperti di dalam gambar.

    EQ A akan menjadi kenderaan permulaan dan disasarkan dengan penjualan yang paling banyak bagi barisan kenderaan EQ. Ia akan berada di bawah SUV EQ C, yang akan membuat penampilan pada tahun 2020. Mercedes-Benz telah memberi gambaran awal EQ C melalui model konsep Generation EQ yang dipertonton semasa Paris Motor Show 2016.

    Laporan daripada Autocar menjangkakan EQ A akan menggunakan sumber kuasa yang lebih ringkas dan murah untuk dibangunkan, dan berkemungkinan adalah unit motor elektrik tunggal di hadapan, yang menghantar kuasa kepada roda hadapan melalui kotak gear nisbah tetap. Satu lagi kemungkinan adalah versi yang lebih berkuasa dengan satu lagi motor di belakang untuk mendapatkan pacuan 4WD.

     
     
  • NPE ditutup separuh hari ahad ini untuk acara larian

    NPE ditutup separuh hari ahad ini untuk acara larian

    Kepada mereka yang tinggal berdekatan atau kerap menggunakan Lebuh Raya Pantai (NPE), ini adalah satu maklumat penting. Ahad ini, 10 September, lebuh raya tersebut akan ditutup dari jam 2 pagi sehingga 11 pagi.

    Ini adalah bagi memberi laluan kepada acara larian IJM Allianz Duo Highway Challenge yang akan diadakan pagi itu. Acara ini terdiri daripada dua pusingan, iaitu pusingan pertama berlangsung di Lebuh Raya Besraya Julai lalu, dan larian di NPE ini adalah pusingan kedua yang terbahagi kepada kategori 10 km dan 21 km.

    Ia akan bermula dan tamat di Sunway Pyramid, dengan pusingan kembali dilakukan di Kuchai Lama. Selain lebuh raya itu sendiri, anda juga harus ingat, keadaan sekitar Sunway Pyramid juga mungkin sesak teruk kerana peserta akan meletakkan kenderaan mereka di kawasan tersebut. Jadi, jika ingin menikmati hari Ahad anda dengan tenang, elakkanlah jalan tersebut.

     
     
  • Kia Proceed Concept – luaran ditunjukkan lebih awal

    Kia Proceed Concept – luaran ditunjukkan lebih awal

    Selepas satu teaser ringkas, Kia kini mendedahkan bagaimana rupa kereta pameran terbaru mereka yang akan dibawa ke Frankfurt Motor Show, iaitu Proceed Concept. Kia memanggil model ini sebagai “hot-hatch yang dipanjangkan”, dan ia memberi gambaran kepada kemungkinan rupa barisan kenderaan cee’d akan datang.

    Kereta konsep ini kelihatan seperti model Stinger, yang menggunakan bentuk sebuah sportwagon, dengan muka yang agresif, bucu-bucu tajam, bukaan udara yang besar, gril ‘tiger nose‘, dan bonet hadapan yang berlekuk. Satu lagi ciri yang diketengahkan oleh Kia adalah lampu yang menunjukkan bayangan bentuk kenderaan tersebut, yang menyala apabila pemilik mendekati kenderaan mereka.

    Berbeza dengan cee’d, kereta ini tidak lagi menggunakan lampu kabus LED empat petak kecil, sebaliknya diganti dengan unit yang berbentuk segi tiga di penjuru bampar. Lampu hadapannya pula lebih nipis, dan terdapat LED berbintik empat hampir seperti model Porsche.

    Kia Proceed Concept – luaran ditunjukkan lebih awal

    Kereta konsep ini juga kelihatan menarik dari tepi, dengan garis bumbung yang rendah, serta cermin yang luas, seakan-akan ia tidak mempunyai tiang tengah. Perincian lain bagi Proceed Concept adalah pemegang pintu tenggelam, rim 20 inci, warna cat ‘Lava Red‘ dan kemasan perak.

    “Disebabkan semakin banyak pemandu Eropah yang mencari kenderaan prestasi sebagai alternatif kepada hot hatch tiga pintu, kami mula memikirkan sebuah model pengenalan yang berbeza dalam barisan model cee’d. Kereta konsep ini boleh menunjukkan bagaimana kemungkinan penampilan model cee’d akan datang,” kata ketua pereka Eropah untuk Kia Motors, Gregory Guillaume.

     
     
  • Honda City Hybrid akan dijual pada harga lebih RM100k jika tiada pelepasan cukai kenderaan hibrid

    Honda City Hybrid akan dijual pada harga lebih RM100k jika tiada pelepasan cukai kenderaan hibrid

    Honda City Hybrid telah dilancarkan pada bulan Julai yang lalu dengan harga RM89,200 – terletak di bawah varian paling atas iaitu City V pada harga RM89,240. Menurut sumber daripada Honda Malaysia, jika tiada insentif cukai kenderaan hibrid yang diberikan sekarang, harga City Hybrid boleh mencecah lebih RM100,000.

    Toyota juga mengeluarkan kenyataan yang sama pada tahun 2015, dengan mengatakan Camry Hybrid akan berharga sekitar RM250,000 jika tiada insentif cukai untuk kenderaan hibrid (kereta tersebut dijual pada harga RM175k sewaktu dilancarkan). BMW pula mengatakan harga 740Le dapat dikurangkan kepada RM599k daripada RM854k.

    Kembali kepada City Hybrid, apa yang menjadikan kereta ini lebih mahal untuk dibina berbanding kereta petrol sudah tentu adalah sistem hibrid i-DCD yang terdiri daripada motor elektrik, pek bateri lithium-ion dan transmisi klac berkembar tujuh kelajuannya.

    Barangan lain yang terlibat adalah modifikasi kepada sistem brek (sistem brek servo elektrik) yang dapat memberikan sistem penjanaan semula kuasa, compressor pendingin hawa dan nisbah stereng yang lebih pantas (meningkat sehingga 15.6%), seterusnya memberikan tindak balas lebih baik.

    Semua barangan ini menambah berat sebanyak 69 kg, yang seterusnya memberikan kesan kepada kawalan dan dinamik kenderaan tersebut. Untuk berhadapan dengan perkara ini, City Hybrid menggunakan suspensi belakang lebih besar, kerangka belakang lebih tegar dan tiang sokongan lebih kuat untuk menyokong suspensi hadapan. Menurut Honda, semua kelengkapan ini membantu kawalan City Hybrid atas jalan raya, termasuk stabiliti dan kelincahannya.

    Honda City Hybrid menggunakan enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC Atkinson Cycle, dengan jumlah kuasa keseluruhan sebanyak 137 PS dan 170 Nm. Sebagai perbandingan, model City petrol menggunakan enjin 1.5 liter i-VEC SOHC yang berkuasa 120 PS dan 145 Nm, dengan padanan kotak gear CVT.

    Anda boleh melihat lebih terperinci berkenaan penjana kuasa hibrid yang digunakan oleh Honda di sini, dan untuk bateri hibrid tersebut, Honda Malaysia memberikan jaminan selama lapan tahun tanpa had batuan. Jika perlu pun ia untuk ditukar, kosnya cuma RM5,513, dan kadar pertukaran bateri ini di Jepun hanyalah 0.103% daripada 250,000 unit yang telah terjual.

     
     
  • Lotus Evora GT430 Sport – laju maksimum 315 km/j

    Lotus Evora GT430 Sport – laju maksimum 315 km/j

    Lotus telah mengeluarkan sebuah model baru yang dinamakan sebagai kenderaan mereka yang paling laju, iaitu Evora GT430 Sport. Walaupun namanya lebih panjang, model ini sebenarnya mempunyai kurang barangan berbanding Evora GT430 biasa termasuk sayap belakang, sirip udara di roda hadapan dan splitter yang agresif di depan.

    Evora GT430 Sport masih lagi menggunakan rim 19 inci di hadapan, dan rim 20 inci di belakangnya kurang lebar, iaitu 9.5J, berbanding 10.5J yang digunakan pada Evora GT430 biasa. Disebabkan itu, saiz tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 yang digunakan juga berbeza, iaitu 235/35 di depan dan 285/30 di belakang. Untuk mendapatkan rim yang mempunyai saiz sama seperti GT430 biasa, pembeli boleh menambah bayaran.

    Kelengkapan prestasi kenderaan ini walaubagaimanapun masih lagi sama, bermula dengan enjin V6 3.5 liter yang dipadankan dengan supercharger Edelbrock, menghasilkan 430 hp pada 7,000 rpm dan 450 Nm tork pada 4,500 rpm. Jumlah tork ini boleh didapati dengna penggunaan transmisi automatik enam kelajuan, tetapi apabila menggunakan transmisi manual enam kelajuan, ia sekadar menjadi 440 Nm.

    Untuk memastikan prestasinya berpadanan, GT430 Sport masih lagi menggunakan penyerap boleh laras Ohlins TTX, cakera brek berliang, angkup brek AP Racing, LSD jenis Torsen dan sistem kawalan cengkaman yang boleh dilaras. Dengan semua ini, GT430 Sport boleh memecut 0-96 km/j dalam masa 3.7 saat bagi versi manual, dan 3.6 saat bagi versi automatik. Kelajuan maksimum pula adalah 315 km/j untuk manual dan 280 km/j bagi automatik.

    Membantu prestasi kenderaan ini adalah pengurangan berat yang didapati daripada pakej aerodinamik yang menjadikannya 10 kg lebih ringan berbanding GT430 biasa. Beratnya adalah 1,248 kg bagi versi manual dan 1,259 kg untuk versi automatik. Bahagian dalam pula mempunyai tempat duduk lumba Sparco yang dibalut kulit dan Alcantara. Pemilik juga boleh menambah sistem hiburan dengan skrin sesentuh dan sambungan iPhone, Bluetooth, navigasi, serta kamera undur.

    Untuk pasaran United Kingdom, GT430 Sport dijual pada harga 104,500 pound (RM573,927), menjadikan ia lebih murah berbanding GT430 biasa yang dijual pada harga 112,500 pound (RM618,559). Model ini juga tidak mempunyai jumlah yang terhad untuk pasaran seperti GT430.

     
     
  • Adakah motosikal dibenar guna lorong kecemasan?

    Adakah motosikal dibenar guna lorong kecemasan?

    Baru-baru ini tersebar dalam media sosial menunjukkan penunggang motosikal menggunakan lorong kecemasan, dan melepaskan kemarahan kepada kereta yang menggunakan lorong sama. Dalam bahagian komen, ramai yang menyokong, menyatakan kenderaan empat tayar tidak dibenarkan melalui lorong kecemasan, sementara motosikal pula diberikan kelonggaran.

    Ini kerana motosikal tidak menggunakan keseluruhan lorong itu, tidak menjadi penyebab kepada kesesakan trafik di lebuh raya dan boleh memberi laluan secara pantas sekiranya terdapat kenderaan kecemasan yang mahu menggunakan lorong tersebut. Selain itu, penggunaan lorong kecemasan oleh penunggang motosikal juga dapat mengurangkan risiko bahaya antara penunggang dan pemandu kereta.

    Walaupun begitu, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman telah memberitahu mStar Online bahawa lorong kecemasan hanyalah untuk kegunaan pihak berkuasa di waktu kecemasan. “Mana-mana kenderaan termasuk motosikal tidak dibenarkan menggunakan lorong kecemasan,” kata beliau.

    Adakah motosikal dibenar guna lorong kecemasan?

    Menurut Wan Ahmad lagi, pengguna jalan raya yang didapati menggunakan lorong kecemasan boleh didakwa di mahkamah di bawah Akta JPJ 1987, di mana jika bersalah, boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

    Dalam laporan sebelum ini, yang memetik kenyataan daripada New Straits Times, ketua polis trafik Kuala Lumpur, ACP Nadzri Hussain turut memberitahu perkara yang sama, dengan merujuk kepada penunggang motosikal yang menyepak cermin sisi kereta yang melalui lorong kecemasan sebagai melakukan dua kesalahan, iaitu merosakkan kenderaan orang lain dan menggunakan lorong kecemasan.

    Tetapi apa yang boleh dilihat sekarang, motosikal masih diberi kelonggaran untuk menggunakan lorong kecemasan demi memastikan keadaan trafik tidak bertambah teruk, termasuk di lebuh raya. Walaupun begitu, peraturannya adalah jelas, lorong kecemasan hanya untuk kegunaan pihak berkuasa sewaktu kecemasan.

     
     
  • BMW X7 Concept – imej SUV PHEV 7-tempat duduk bocor lebih awal sebelum penampilan rasmi pertama

    BMW X7 Concept – imej SUV PHEV 7-tempat duduk bocor lebih awal sebelum penampilan rasmi pertama

    Sebelum ini, BMW pernah mengeluarkan teaser di laman Twitter dengan memberi amaran kepada orang ramai supaya “bersiap-sedia untuk sesuatu yang besar.” Imej yang bocor melalui Bimmerpost ini mungkin adalah sebabnya, iaitu model BMW X7 Concept, yang akan membuat penampilan di Frankfurt Motor Show.

    Sekiranya gambar ini boleh dipercayai, anda sedang melihat kepada rekaan akhir sebuah SUV akan datang BMW yang akan terletak atas daripada X5 dalam aspek saiz dan harganya. Ia sangat besar dan gagah, dengan gril yang kelihatan seperti hidung yang kembang. Lampu hadapan yang digunakan pula lebih nipis manakala di penjuru bamparnya terdapat bukaan udara menegak.

    BMW X7 Concept – imej SUV PHEV 7-tempat duduk bocor lebih awal sebelum penampilan rasmi pertama

    Konsep yang sama, iaitu lampu nipis dan garisan menegak di penjuru bampar juga digunakan pada bahagian belakang, dan ini adalah elemen sama yang diberi kepada kebanyakan model konsep terbaru BMW seperti Z4 Concept dan 8 Series Concept. Bagi 8 Series Concept, ia juga mempunyai gril yang besar di hadapan, tetapi lebih lebar dan rendah.

    Daripada gambar ini, boleh dilihat terdapat tempat mengecas di fender kirinya, bersama lencana ‘eDrive’ pada bahagian D-pillar, memberi makna ia adalah sebuah kenderaan jenis plug-in hybrid iPerformance. Turut boleh dilihat adalah gambar papan pemuka SUV tujuh tempat duduk ini, yang kelihatan cukup menarik sekiranya diguna untuk kenderaan produksi.

     
     
  • Tiada saman jika letak kenderaan di kawasan yang tiada ejen jualan kupon atau mesin bayaran – MBPJ

    Tiada saman jika letak kenderaan di kawasan yang tiada ejen jualan kupon atau mesin bayaran – MBPJ

    Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) tidak akan mengeluarkan saman kepada pemilik kenderaan sekiranya tiada ejen penjualan kupon atau mesin bayaran yang dapat dilihat dalam kawasan mereka. Mengikut laporan daripada The Star, pegawai komunikasi MBPJ, Hasbullah Juyahir memberitahu bahawa pihaknya sedar bahawa tidak semua kawasan di dalam Petaling Jaya mempunyai tempat penjualan tiket dan mesin bayaran ini.

    “Sistem letak-dan-pamer diperkenalkan secara berperingkat dan sekarang kami mempunyai 16 kedai yang menjual tiket ini. Buat masa ini, kami tidak akan mengeluarkan saman di kawasan yang tidak mempunyai ejen jualan kupon atau mesin bayaran,” kata beliau.

    Hasbullah turut menjelaskan sebab mengapa MBPJ melantik ejen kupon di luar bandar raya itu, dengan menyatakan bahawa ada di antara ejen ini mendaftarkan perniagaan mereka di luar Petaling Jaya, iaitu antaranya di Shah Alam, Puchong dan Semenyih.

    “Ejen-ejen ini mempunyai pejabat yang didaftarkan di tempat seperti Shah Alam. Walaubagaimanapun, mereka dilantik untuk bekerja dengan ejen yang lebih kecil di Petaling Jaya, untuk menjual kupon ini,” jelas Hasbullah. Sebelum ini, orang ramai telah mempersoalkan rasional melantik ejen di luar Petaling Jaya, sekaligus membiarkan kawasan yang sibuk seperti PJ New Town, Seksyen 14 dan SS2 tidak mempunyai ejen.

    Pada masa ini, terdapat 16 ejen yang dilantik untuk mengedarkan lembaran kupon letak kenderaan kepada kedai. Kupon ini datang dalam tiga variasi iaitu pek kupon jam yang berharga RM6 dengan setiap kupon bernilai RM0.60, pek kupon harian berharga RM25 dengan lima kupon berharga RM5 setiap satu, dan pas bulanan yang berharga RM100.

     
     
  • DRB-HICOM nafikan khabar angin CEO baharu Proton

    DRB-HICOM nafikan khabar angin CEO baharu Proton

    Dalam usaha untuk menidakkan khabar angin bahawa Proton melantik ketua pegawai eksekutif (CEO) baru, DRB-HICOM telah mengeluarkan satu kenyataan bahawa ia, bersama Geely masih lagi dalam proses memuktamadkan pengambil alihan syarikat dari China itu terhadap Proton.

    Konglomerat Malaysia menekankan bahawa kedua-dua syarikat kini lebih memberi kepentingan kepada pembangunan rancangan perniagaan untuk menaikkan kembali Proton, dan menurut laporan The Edge, ia akan lengkap pada tahun 2018. Rancangan perniagaan ini adalah sebahagian daripada perjanjian bersama yang ditandatangani pada 23 Jun, dengan melihatkan Geely membeli 49.9% pegangan dalam Proton.

    Minggu ini, beberapa laman berita melaporkan bahawa Geely telah memilih Li Chunrong sebagai CEO baru Proton. Berita ini bermula daripada laman automotif di China iaitu China Automotive Review dan Gasgoo bulan lepas, serta agensi berita negeri di China, Xinhua.

    Eksekutif ini sebenarnya bekerja dengan Dongfeng, di mana hanya baru-baru ini, beliau telah ditugaskan untuk menjaga kerjasama berkenaan enjin antara Dongfeng dan Honda. Pada masa itu, wakil Geely tidak mahu memberi sebarang komen terhadap spekulasi media, dan setiap berita akan diberitahu secara rasmi.

    DRB-HICOM nafikan khabar angin CEO baharu Proton

    Selain menjadi timbalan pengurus kanan Dongfeng Honda Engine, Li sebelum ini duduk dalam barisan lembaga pengarah kumpulan Dongfeng Automotive sebagai timbalan pengarah, dan juga adalah timbalan pengurus kanan Dongfeng Yueda Kia Motors.

    Khabar angin tentang perlantikan Li ini sudah bermula sejak bulan Ogos, dan apabila ditanya kepada menteri perdagangan antarabangsa dan industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed, beliau mengatakan kerajaan tidak akan campur tangan terhadap perlantikan sesiapa untuk menjadi peneraju Proton. Perkara ini adalah tanggungjawab sendiri lembaga pengarah syarikat itu. Ini adalah berdasarkan laporan daripada Berita Harian.

    “Kita perlu bersikap terbuka dan perlu melabur untuk mendapatkan bakat. Jika kita terlalu memikirkan sama ada mereka orang luar atau tidak, kita sukar untuk terus maju,” kata Mustapa. Beliau juga menambah bahawa Proton tetap akan menjadi syarikat tempatan, meskipun diketuai oleh orang luar.

     
     
  • Mitsubishi Triton VGT AT GL dilancar untuk Malaysia – varian permulaan untuk model VGT, RM103,800

    Mitsubishi Triton VGT AT GL dilancar untuk Malaysia – varian permulaan untuk model VGT, RM103,800

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah memperkenalkan varian baru bagi model Triton, iaitu Triton VGT AT GL, yang dipasarkan pada harga RM103,800 atas jalan tidak termasuk insurans. Model ini menjadi model Triton VGT paling murah, dan berada di bawah varian paling tinggi VGT Adventure X (RM130,900) diikuti VGT Adventure (RM123,130) dan VGT AT/MT (RM114,400 dan RM107,600).

    Sama seperti varian Triton VGT yang lain, varian baru ini menggunakan enjin sama iaitu unit 2.4 liter MIVEC turbodiesel dengan kuasa 181 PS pada 3,500 rpm dan 430 Nm tork pada 2,500 rpm. Transmisi yang digunakan pula adalah automatik lima kelajuan dengan sistem pacuan Easy Select 4WD.

    Varian VGT AT GL ini menggunakan asas VGT AT, dan datang lengkap dengan gril krom gelap, rim 16 inci, pengawal suhu automatik dan tempat duduk fabrik. Walaupun begitu, beberapa kelengkapan telah diubah supaya harganya boleh ditawarkan lebih murah.

    Mitsubishi Triton VGT AT GL dilancar untuk Malaysia – varian permulaan untuk model VGT, RM103,800

    Ini termasuk lampu xenon yang diganti dengan unit halogen reflector, dan ia tidak mempunyai lampu siang dan lampu kabus LED, serta penunjuk arah pada cermin sisi. Pada bahagian dalam, sistem pemasukan tanpa kunci serta skrin sesentuh turut dikeluarkan, diganti dengan sistem double-DIN. Jumlah pembesar suara juga hanya tinggal empat, daripada enam yang terdapat pada VGT AT.

    Satu perkara yang baik adalah kelengkapan keselamatannya masih lagi sama, dengan dua beg udara di hadapan, ABS, EBD, BA, Active Stability Control, Traction Control, Hill-Start Assist, Trailer Stability Assist, pengesan undur dan cagak ISOFIX pada tempat duduk belakang.

    Setiap pembelian Triton VGT AT GL turut datang dengan jaminan lima tahun atau 200,000 km, seterusnya menjadikan Triton VGT satu-satunya trak pikap yang mempunyai jaminan selama itu (sebelum ini tiga tahun atau 100,000 km) sejak April 2017. Untuk mendekati model ini, anda boleh mengunjungi pameran bergerak MMM di AEON Tebrau City, Johor pada 19 hingga 24 September dan di Mid Valley Megamall pada 27 Oktober hingga 1 Oktober.

    Anda juga boleh melihat lebih lanjut berkenaan spesifikasi serta kelengkapan bagi semua model Triton di Malaysia di CarBase.my.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.30
DIESEL
EURO 5 B10 RM3.35 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.55 (0.00)
Last Updated Jun 27, 2024