Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • MRT Fasa Kedua dari Semantan ke Kajang siap 97%

    MRT Fasa Kedua dari Semantan ke Kajang siap 97%

    Pembinaan Transit Aliran Massa (MRT) Fasa Kedua dari Semantan ke Kajang kini 97% siap dan akan beroperasi mengikut jadual menjelang Julai depan.

    Menurut Timbalan Menteri Kewangan Datuk Othman Aziz, ketika ini kerja-kerja akhir sedang dilaksanakan termasuk pembinaan, reka bentuk dalaman, struktur pintu masuk, laluan pejalan kaki, landskap dan pemasangan peralatan sistem elektrikal dan mekanikal, laporan Berita Harian.

    “Tahap kemajuan keseluruhan projek MRT (Fasa Dua) adalah 97%. Seperti yang pernah diumumkan, kos pembinaan keseluruhan projek MRT ini dianggarkan RM21 bilion dan kos ini tidak melebihi daripada kos disasarkan sebelum ini,” katanya menjawab soalan Dr Ismail Daut (BN-Merbok) di Dewan Rakyat semalam.

    Katanya lagi, kerja pemeriksaan dan pentauliahan sistem akan dimulakan tidak lama lagi dan semua aktiviti itu berjalan mengikut jadual.

    Fasa Kedua melalui kawasan berpopulasi tinggi seperti Kajang dan Cheras serta destinasi popular pelancong seperti Muzium Negara dan Pasar Seni yang sebelum ini tidak mendapat liputan meluas pengangkutan awam. Bagi memastikan kesalinghubungan yang lancar, laluan Sungai Buloh-Kajang Fasa Kedua ini bakal mempunyai enam stesen pertukaran yang menyambungkan rangkaian MRT dengan rangkaian perkhidmatan tren yang lain seperti LRT, KTM, Monorel, KLIA Ekspres dan KLIA Transit.

    Stesen MRT Fasa Kedua ini berlokasi di Muzium Negara, Pasar Seni, Dataran Merdeka, Bukit Bintang, Maluri dan Kajang. Kemudahan Park N’ Ride turut disediakan di stesen MRT terpilih di bawah Fasa Kedua ini seperti Maluri, Taman Midah, Taman Suntex, Sri Raya, Bandar Tun Hussein Onn, Bukit Dukong, Sungai Jernih dan Kajang.

     
     
  • MBSA lancarkan perkhidmatan bas elektrik percuma

    MBSA lancarkan perkhidmatan bas elektrik percuma

    Majlis Bandaraya Shah Alam semalam telah melancarkan dua bas elektrik yang akan memulakan perkhidmatan secara percuma selari dengan matlamatnya untuk menjadi bandar dengan kadar pembebasan karbon yang rendah menjelang 2030, lapor Bernama.

    Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata dua bas berkenaan akan menggantikan dua bas diesel yang digunakan sebelum ini untuk kegunaan awam. Laluannya menghubungkan Seksyen 19 dan 7 melalui pusat bandar yang turut meliputi Seksyen 2, 3, 6 dan 7.

    Menurut beliau, inisiatif untuk menggunakan bas elektrik itu diambil berdasarkan permintaan penggunaan yang semakin bertambah kini, dengan jumlah penumpang sebulan mencecah 100,000 orang. “Perkhidmatan bas mesra alam secara percuma ini diperkenalkan sebagai sebahagian daripada usaha ‘hijau’ MBSA untuk mengurangkan pembebasan karbon sehingga 45%, setara dengan 31,914.54 tan,” ujar beliau.

    Bas berkenaan mampu menampung seramai 67 orang penumpang dalam satu masa, serta mesra OKU. Ia turut menggunakan panel LED, kamera litar tertutup dan menyediakan Wi-Fi. Perkhidmatan bas ini bermula dari 6 pagi hingga 10 malam setiap hari, dengan perancangan untuk menambah bilangan bas yang beroperasi di masa hadapan.

     
     
  • GALERI: Mitsubishi Triton 2017 di Malaysia dipertingkatkan – tujuh beg udara, kawalan kestabilan aktif didatangkan standard untuk varian Adventure

    GALERI: Mitsubishi Triton 2017 di Malaysia dipertingkatkan – tujuh beg udara, kawalan kestabilan aktif didatangkan standard untuk varian Adventure

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) bakal melancarkan model pikap Triton versi 2017 yang dijangkakan berlangsung pada 7 April ini. Kini ia juga sedang dipamerkan di pusat membeli-belah Mid Valley, Kuala Lumpur.

    Apakah perubahan yang dibawakan oleh Mitsubishi untuk Triton 2017 ini? Seperti yang semua sedia maklum, tahun lalu, Triton telah memperkenalkan enjin baharu 2.4 liter MIVEC Turbodiesel untuk semua varian VGT. Ia menggantikan enjin 2.5 liter Turbodiesel sebelum ini. Walaupun dengan kapasiti kurang 100cc, enjin baharu ini menghasilkan kuasa 3 PS dan tork 30 Nm lebih tinggi, dengan jumlah kuasa keseluruhan 181 PS pada takat 3,500 rpm dan tork maksima 430 Nm pada takat 2,500 rpm.

    Bagi Triton 2017, bahagian mekanikalnya dikekalkan termasuk masih menggunakan transmisi lima-kelajuan automatik. Jadi Triton 2017 ini hanya dipertingkatkan daripada segi imej luaran, dalaman dan elemen keselamatan.

    Walau tidak banyak berbeza berbanding model sebelum ini, imej luaran Triton 2017 turut dipertingkatkan. Ia jelas kelihatan pada bahagian hadapannya, di mana ia telah menerima gril baharu dengan material logam yang lebih gelap. Lain-lain elemen luaran masih kelihatan sama termasuk padanan lampu utama Bi-xenon HID yang disambung dengan lampu nyalaan siang (DRL).

    Untuk varian VGT standard, ia dipadankan dengan rim aloi 16-inci, manakala 17-inci pula bagi varian VGT Adventure dan VGT Adventure X. Varian VGT juga hadir dengan ruang kargo belakang bedliner, manakala sport bar bagi VGT Adventure dan VGT Adventure X (dengan tambahan Tonneau cover).

    Varian VGT Adventure dan VGT Adventure X bagi Triton G ini menerima pakej keselamatan yang dipertingkatkan. Elemen baharu secara standard yang ditampilkan termasuk tujuh beg udara (dua di hadapan, sisi, tirai dan di bahagian lutut pemandu), Kawalan Kestabilan Aktif dengan kawalan cengkaman, Bantuan Mula Mendaki, Trailer Sway Control dan pengunci pintu dengan pengesan-kelajuan automatik.

    GALERI: Mitsubishi Triton 2017 di Malaysia dipertingkatkan – tujuh beg udara, kawalan kestabilan aktif didatangkan standard untuk varian Adventure

    Di dalamnya, tempat duduk pemandu larasan manual telah digantikan dengan larasan elektronik. Selain itu, cermin pandang belakang juga kini didatangkan dengan fungsi anti-silau. Ketiga-tiga varian yang dipamerkan di Mid Vallley iaitu VGT Adventure, VGT Adventure X dan VGT AT 4×4 juga berkongsi elemen standard baharu iaitu roda stereng pelbagai-fungsi empat-jejari balutan kulit yang menggantikan rekaan empat-jejari pada model sebelum ini.

    Lain-lain elemen yang masih dikekalkan bagi varian VGT Adventure dan VGT Adventure X termasuklah kawalan kelajuan, pendingin hawa dwi-zon, dan pedal penukar gear. Hanya varian Adventure X sahaja ditampilkan dengan kamera undur.

    Manakala bagi varian VGT standard pula, elemen lain yang masih kekal termasuklah tempat duduk balutan fabrik dan pendingin hawa zon tunggal. Ia juga berkongsi elemen yang sama dengan Adventure dan Adventure X termasuk butang penghidup enjin dan kemasukan tanpa kunci, sistem audio dengan skrin sesentuh bersama sambungan iPod dan USB, Easy Select 4WD dengan Shift-on-the fly 4WD Selector, paparan pelbagai-informasi.

    Untuk harga dan warantinya, kita akan ketahui tentang perkara ini sewaktu majlis pelancarannya kelak. Begitu juga dengan perincian yang lebih lanjut. Nantikan perkembangannya bersama kami.

    Mitsubishi Triton VGT A/T

    Mitsubishi Triton Adventure

    Mitsubishi Triton Adventure X

     
     
  • Harga bahan api bermula 6 April 2017- petrol Ron 95 naik 3 sen, Ron 97 naik 2 sen, diesel pula turun 3 sen

    Harga bahan api bermula 6 April 2017- petrol Ron 95 naik 3 sen, Ron 97 naik 2 sen, diesel pula turun 3 sen

    Harga bahan api untuk minggu kedua perlaksaan harga siling mingguan kini telah pun diumumkan, menyaksikan sedikit peningkatan untuk petrol, dan sedikit penurunan untuk diesel.

    Untuk petrol, Ron 95 naik sebanyak 3 sen berbanding minggu lalu dan dijual pada harga RM2.16 seliter, manakala Ron 97 pula naik 2 sen kepada RM2.43 seliter. Bagi diesel pula, ia turun 3 sen menjadikan harga jualannya RM2.08 seliter.

    Mengikut kaedah baharu ini, harga yang ditetapkan kekal selama seminggu iaitu bermula tengah malam ini hingga 12 April 2017.

     
     
  • JKR bakal perkenal teknologi kaedah turapan berdaya tahan baharu untuk elak masalah jalan berlubang

    JKR bakal perkenal teknologi kaedah turapan berdaya tahan baharu untuk elak masalah jalan berlubang

    Dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Gerik Datuk Hasbullah Osman mengenai langkah-langkah diambil kerajaan bagi menangani masalah jalan berlubang, di Dewan Rakyat hari ini, Jabatan Kerja Raya (JKR) menjelaskan pihak mereka akan menggunakan kaedah turapan teknologi baharu yang lebih berdaya tahan di seluruh negara secara berperingkat, lapor Bernama.

    Menurut Kementerian Kerja Raya, kaedah-kaedah berkenaan dikenali sebagai ‘cement stablised base‘, ‘Polymer Modified Asphalt‘ (PMA) dan ‘Stone Mastic Asphalt‘ (SMA) adalah reka bentuk turapan baharu bagi mengatasi masalah kerosakan jalan raya.

    Kementerian berkenaan juga telah menetapkan dasar 5% daripada turapan ‘premix‘ jalan untuk menggunakan teknologi turapan sama ada dari jenis konkrit, PMA atau SMA.

    Kementerian Kerja Raya turut menjelaskan, isu jalan berlubang ini berlaku disebabkan oleh sesuatu jalan itu telah menghampiri had usia semasa sesuatu jalan itu direka bentuk iaitu di antara tujuh hingga 20 tahun. Teknologi baharu yang diperkenalkan ini merupakan antara kaedah alternatif JKR dalam mengatasi isu jalan berlubang yang boleh menyebabkan kemalangan terutamanya di laluan melibatkan bilangan kapasiti trafik yang tinggi.

    “Bagaimanapun, faktor jalan berlubang boleh berlaku lebih awal apabila laluan itu sering digunakan kenderaan berat yang melebihi had muatan dibenarkan mengikut peraturan jalan atau disebabkan oleh faktor bencana banjir,” jelas kementerian tersebut lagi dan menerangkan faktor berkenaan juga boleh memendekkan had usia jalan berbanding tempoh reka bentuk sebenar.

     
     
  • Sistem Kejara hanya akan dikira bermula 15 April ini

    Sistem Kejara hanya akan dikira bermula 15 April ini

    Walaupun sebelum ini telah diumumkan perlaksaannya akan dimulakan 1 April lalu, Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) yang menyatukan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA) hanya akan berkuatkuasa sepenuhnya pada 15 April ini, menurut laporan The Star.

    “Kami memberikan semua pengguna jalan raya tempoh penangguhan selama dua minggu. Menjelang 15 April, kami akan mengazetkan sistem demerit. Untuk masa sekarang, ia masih lagi dalam peringkat percubaan. Pengguna jalan raya yang dikesan melakukan kesalahan melebihi had laju dan tidak mematuhi lampu isyarat menerusi kamera automatik kami dalam tempoh percubaan ini akan diberikan peringatan,” kata menteri pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai kepada pemberita di Sepang hari ini.

    Setakat ini, sebanyak 14 kamera AES telah dipasang di seluruh negara, tetapi angkanya akan meningkat “dari masa ke masa,” kata Liow.

    Laporan sebelum ini menyebut, sistem markah demerit Kejara ini akan dimulakan dengan dua kesalahan iaitu melebihi had laju dan melanggar isyarat lampu merah. Kesemua pengguna jalan raya akan bermula dengan diberikan 20 mata, dan lesen mereka akan digantung sekiranya kesemua mata telah ditolak (saman juga akan diberikan pada setiap kesalahan dilakukan).

     
     
  • Daimler bekerjasama dengan Bosch untuk bangunkan sistem kenderaan tanpa pemandu tahap SAE 4 dan 5

    Daimler bekerjasama dengan Bosch untuk bangunkan sistem kenderaan tanpa pemandu tahap SAE 4 dan 5

    Daimler dan pengeluar komponen automotif, Bosch telah bersetuju untuk sama-sama membangunkan sistem kenderaan autonomous tanpa pemandu untuk kawasan urban. Projek ini mensasarkan untuk mengumpul segala kepakaran dalam teknologi kenderaan, sistem serta alatan yang ada pada kedua-dua syarikat dan digunakan untuk pembangunan perisian dan algortima untuk sistem pemanduan autonomous.

    Menurut Daimler, hasil daripada kerjasama ini sepatutnya dapat memastikan pengenalan kenderaan tanpa pemandu atas jalan kawasan urban dalam masa paling cepat. Bosch dan Daimler bercita-cita untuk memperbaiki pergerakan trafik dengan pengenalan kenderaan tanpa pemandu automatik penuh (Tahap 4 dan 5 SAE), sambil menyediakan komponen penting dalam aliran trafik masa hadapan.

    Contoh yang diberi, adalah orang ramai antaranya boleh menggunakan telefon pintar untuk menempah kenderaan automatik yang dikongsi (teksi), yang boleh datang sendiri dan menghantar mereka ke destinasi yang dipilih.

    Mercedes-Benz sudah mempunyai beberapa model konsep dengan tahap pemanduan automatik yang hampir seperti yang digambarkan bagi projek ini seperti F 015 Luxury In Motion, S 500 Intelligent Drive, Vision Van dan Vision Tokyo MPV.

    GALERI: Mercedes-Benz F 015 Luxury In Motion Concept

     
     
  • Tesla dinilai pada lebih RM230 bilion, jenama kereta Amerika Syarikat paling atas, melebihi General Motors

    Tesla dinilai pada lebih RM230 bilion, jenama kereta Amerika Syarikat paling atas, melebihi General Motors

    Tesla bukan setakat menunjukkan catatan baik dalam pecutan yang dihasilkan oleh kenderaannya, malah juga sebagai sebuah syarikat secara keseluruhannya. Menurut Inside EV, nilai saham pengeluar kenderaan yang berpusat di California itu telah melebihi US$300 (RM1,329), seterusnya menolak permodalan pasarannya kepada US$52.08 bilion (RM230.71 bilion). Jumlah ini adalah melebihi nilai General Motors yang berada pada US$51.23 bilion (RM226.95 bilion) dan meletakkan Tesla sebagai jenama kenderaan Amerika Syarikat paling atas.

    Sekiranya saham Tesla terus menaik, ia akan seterusnya mensasarkan Honda, di mana pengeluar Jepun tersebut dinilai pada US$53.08 bilion (RM235.14 bilion). Lonjakan nilai saham Tesla boleh dikaitkan dengan berita tentang Tesla Model 3 baru mereka, serta penyerahan kereta pada suku pertama tahun 2017, yang menunjukkan peningkatan sebanyak 6% berbanding tempoh sama tahun lepas.

    Pengeluaran Tesla Model 3, iaitu kereta paling mampu milik syarikat itu dijangka bermula pada bulan Julai, dalam jumlah yang terhad, dengan 5,000 buah kenderaan akan dikeluarkan setiap minggu menjelang suku keempat tahun ini, dan selepas itu, 10,000 buah kenderaan setiap minggu pada tahun 2018.

    GALERI: Tesla Model 3

     
     
  • Jualan Altima akan dihentikan, Nissan Australia kini tiada lagi model sedan keluarga dalam barisan produk

    Jualan Altima akan dihentikan, Nissan Australia kini tiada lagi model sedan keluarga dalam barisan produk

    Sedan terakhir dalam barisan model yang dijual oleh Nissan Australia iaitu Altima (dikenali sebagai Teana di Malaysia) telah pun disahkan tidak lagi akan dijual bagi pasaran negara tersebut, lapor Car Advice. Menurut syarikat berkenaan, mereka kini masih lagi mempunyai stok Altima, tetapi tidak akan mengimportnya lagi untuk masa akan datang.

    Pengurus besar komunikasi korporat Nissan Australia, Peter Fedeyev berkata, Altima memerlukan enjin yang memenuhi standard emisi Euro 5 baharu yang diimplementasikan oleh Australia, dan proses berkenaan pastinya memerlukan pelaburan tambahan.

    “Nissan telah mengambil keputusan untuk tidak melabur untuk perkara ini, jadi, untuk masa sekarang, Altima tidak akan berada lagi dalam katalog kami pada masa hadapan. Oleh itu, produksi untuk Altima sedan akan dihentikan untuk Australia,” jelas Fedeyev.

    Jualan Altima akan dihentikan, Nissan Australia kini tiada lagi model sedan keluarga dalam barisan produk

    Awal tahun ini, Nissan Australia turut menggugurkan sedan lebih kecil mereka iaitu Pulsar (Sylphy untuk pasaran Malaysia) dan telah disahkan tidak akan kembali dijual. “Nissan Altima sedan dan Pulsar sedan tidak akan ditawarkan di Australia pada masa akan datang,” kata Fedeyev.

    Untuk itu, Nissan Austrlia kini hanya menjual SUV, kereta sport (Fairlady Z dan GT-R) dan juga model-model trak pikap – dengan model paling mampu milik yang ditawarkan buat masa ini adalah SUV kompak Nissan Juke dijual pada harga AUD$23,490 (RM78,898).

    Sepanjang sekitar tiga tahun setengah berada dalam pasaran Australia, Altima dijual sebanyak 4,593 unit dan jumlah jualan terbaiknya ialah pada tahun 2014 (1,791 unit) dan 2015 (1,488 unit). Tahun lalu, hanya sejumlah 890 unit Altima berjaya dijual, dan untuk tahun
    2017 sehingga kini, ia hanya dijual dalam jumlah 154 unit. Sebagai perbandingan, Toyota Camry telah pun dijual sebanyak 4,389 unit di Australia, untuk tahun ini sahaja.

     
     
  • Indian Chieftain Limited dan Elite 2017 dilancar di AS

    Indian Chieftain Limited dan Elite 2017 dilancar di AS

    Selepas menghentikan pengeluaran motosikal Victory, Polaris Corporation, iaitu pemilik bagi kedua-dua Indian Motorcycles dan Victory kini menumpukan perhatian kepada jenama Indian sahaja. Untuk tahun 2017 ini, syarikat itu telah memperkenalkan model Chieftain Limited dan Chieftain Elite 2017 di Amerika Syarikat (AS), dengan harga jualan masing-masing USD 24,499 (RM108,598) dan USD 31,499 (RM139,524).

    Kedua-dua model ini menggunakan padanan enjin dan transmisi yang sama, iaitu unit Thunderstroke 111 V-Twin berkapasiti 1,811 cc dan kotak gear enam kelajuan, namun jumlah kuasanya tidak disiarkan. Walaubagaimanapun, diketahui bahawa enjin tersebut mampu mengeluarkan 161.6 Nm tork pada tahap 3,000 rpm.

    Sistem penyampaian bahan api motosikal ini adalah menggunakan closed-loop EFI dan ia mempunyai throttle body berukuran 54 mm. Turut disertakan adalah ciri moden seperti brek ABS dan butang pemula enjin, meskipun ia mempunyai penampilan cruiser klasik.

    Roda di bahagian hadapan motosikal ini melihatkan penggunaan rim 19 inci, dan terdapat brek cakera 300 mm terapung dan angkup empat piston manakala di belakang terdapat rim 16 inci, berserta brek cakera 300 mm dan angku dua piston. Tugas menyerap hentakan dijalankan oleh unit fork teleskopik 46 mm dengan jarak pergerakan 119 mm di hadapan, dan monoshock dengan Air Adjust di belakang.

    Beza di antara dua model ini adalah Chieftain Elite mempunyai lampu LED dan kemasan krom pada peletak kakinya manakala Chieftain Limited menggunakan peletak kaki standard. Selain itu, Chieftain Elite juga menggunakan cermin penghadang udara depan Clear Flare dan sistem bunyi 200 Watt, berbanding 100 Watt yang dipasang pada Chieftain Limited.

    GALERI: Indian Chieftain Elite 2017

    GALERI: Indian Chieftain Limited 2017

     
     
  • Porsche Panamera 2017 – semakin hampir tiba di M’sia

    Porsche Panamera 2017 – semakin hampir tiba di M’sia

    Porsche Panamera 2017, yang merupakan generasi kedua bagi model coupe empat pintu itu akan tiba di Malaysia tidak lama lagi dan Porsche Centre Malaysia telah mengeluarkan beberapa gambar teaser dalam laman Facebook mereka.

    Barisan varian yang akan ditawarkan masih belum diumumkan, tetapi secara global, model ini diperkenalkan dalam tiga variasi iaitu Panamera Turbo, Panamera 4S dan Panamera 4S Diesel. Ketiga-tiganya dilengkapi dengan sistem pacuan empat roda tetap dan kotak gear automatik klac berkembar lapan kelajuan. Kotak gear sebegitu adalah pertama kali digunakan pada model Panamera diesel.

    Pada Panamera Turbo, terdapat satu sistem yang digelar sebagai cylinder deactivation, yang boleh menghentikan operasi empat daripada lapan silinder yang ada bergantung kepada tekanan di pedal minyak dan ini adalah pertama kali ia digunakan oleh Porsche. Panamera Turbo menggunakan enjin 4.0 liter bi-turbo V8 yang berkemampuan 550 PS dan 770 Nm tork, dan ia lebih jimat bahan api sebanyak 30%. Masa pecutan yang dicatat adalah 3.8 saat untuk 0-100 km/j (3.6 saat dengan pakej Sport Chrono) dan 306 km/j laju maksimum.

    Panamera 4S pula menggunakan enjin V6 2.9 liter bi-turbo, berkuasa 440 PS dan 550 Nm, membolehkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa 4.4 saat (4.2 saat dengan pakej Sport Chrono) dan 289 km/j laju maksimum. Model ketiga, iaitu Panamera 4S Diesel datang dengan enjin 4.0 liter bi-turbo V8, dan ia boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 4.5 saat (4.3 saat dengan pakej Sport Chrono) dan mencecah kelajuan maksimum 285 km/j.

    Pada bahagian casis, sistem stereng gandar belakang disediakan sebagai pilihan tambahan, manakala tugas suspensi dijalankan oleh unit udara adaptif dengan sistem Porsche Active Suspension Management (kawalan serapan elektronik). Turut dilengkapkan pada Panamera 2017 adalah Porsche Torque Vectoring Plus (PTV Plus), active roll stabilisation dan tetapan stereng elektromekanikal baru.

    Persembahan pada bahagian dalaman turut dipertingkatkan, dan selain dari suasana mewah dan perlalatan yang dipertingkat (opsyen termasuk bumbung panaromik boleh buka, tempat duduk dengan pengurut badan, lampu suasana dan sistem bunyi 3D dari Brumester), ia turut dilengkapi dengan sistem digital yang banyak.

    Porsche Panamera 2017 – semakin hampir tiba di M’sia

    Porsche Advanced Cockpit seperti yang terdapat pada model 918 Spyder turut diterapkan pada Panamera dengan perincian yang lebih tinggi. Porsche mengatakan walaupun tahap sistem komunikasi, keselesaan dan bantuan yang lebih canggih, fungsi yang berbeza dapat digunakan dengan lebih jelas dan mudah.

    Permukaan panel dan paparan interaktif baharu menampilkan ciri permukaan sensitif-sentuh menggantikan instrumen dengan suis kawalan konvensional. Panel kawalan baharu pada konsol tengah berkenaan membolehkan pengguna mengawal pelbagai fungsi dan liang penghawa dingin juga boleh dilaras secara elektronik dengan pengalih sensitif-sentuh.

    Untuk paparan instrumen pula, ia menampilkan paparan 7-inci yang di tempatkan terus di hadapan pemandu untuk ergonomik yang ideal. Takometer (masih lagi analog) yang diletakkan diantara dua paparan tadi dikatakan direka diinspirasikan dari model 356 A 1955.

    Harga pasaran model baru ini masih belum diketahui, tetapi bagi Panamera generasi sebelumnya, ia dijual pada harga dari RM740k untuk model diesel yang asas hinggalah RM1.2 juta untuk model Turbo.

    GALERI: Porsche Panamera 2017

     
     
  • Denda RM2,000 jika hilang kod bar bila keluar dari Thai

    Denda RM2,000 jika hilang kod bar bila keluar dari Thai

    Penguatkuasa Thailand telah mengimplementasi satu undang-undang baharu iaitu bagi rakyat Malaysia yang kehilangan kod bar dalam borang perisytiharan untuk kenderaan yang dibawa memasuki negara berkenaan berhadapan dengan denda sebanyak RM2,000, laporan The New Straits Times.

    “Saya faham setiap kenderaan yang dibawa masuk ke Thailand perlu diisytihar di jabatan kastam dan imigresen, termasuk jumlah penumpang, yang sebelum ini tidak dipraktikkan. Kod bar berkenaan kemudiannya akan dikepilkan sekali pada borang pengisytiharan terbabit.

    “Bagi pemandu yang kehilangan kod bar berkenaan tidak akan dibenarkan meninggalkan Thailand melainkan mereka membayar denda sebanyak RM2,000,” ujar Khaw Hock Kong, anggota Dewan Undangan Negeri Titi Tinggi bagi parlimen Padang Besar.

    Justeru, beliau menasihati rakyat negara ini supaya mematuhi undang-undang yang termaktub bagi mengelakkan sebarang masalah, termasuk risiko kenderaan mereka mungkin akan disita.

    Dalam satu perkara yang berkaitan, cadangan untuk pintu masuk sempadan Malaysia-Thailand yang dibuka pada siang dan malam tidak disokong oleh majoriti penduduk di Padang Besar atas faktor keselamatan. Buat masa ini, pintu masuk sempadan berkenaan hanya dibuka dari jam 6 pagi hingga 10 malam atau 5 pagi hingga 11 malam (waktu Thailand).

     
     
  • Mercedes-Benz A-Class sedan mungkin dilancar di China – bakal dipamerkan di Shanghai tidak lama lagi

    Mercedes-Benz A-Class sedan mungkin dilancar di China – bakal dipamerkan di Shanghai tidak lama lagi

    Menurut laporan yang disiarkan oleh Autoblog Hungary, Mercedes-Benz boleh meluaskan barisan kereta kompaknya kepada lapan model. Ini didedahkan oleh Marco Ebler, pengurus produk bagi kereta kompak Mercedes, dalam kenyataan yang dikeluarkan dari Hungary.

    Buat masa ini, lima model bagi barisan itu termasuk A-Class, B-Class, CLA< CLA Shootimg Brake dan GLA. Model baharu pertama bagi perancangan ini mungkin sedan A-Class, yang dipertontonkan dengan bentuk Aesthetics A pada Januari lalu. Autocar turut melaporkan, model konsep tersebut juga akan muncul di Shanghai Motor Show pada pertengahan bulan ini. A-Class sedan ini mampu bersaing dengan Audi A3 sedan, BMW 1 Series sedan, dan akan diposisikan di atas CLA.

    Ia juga dilaporkan akan menggunakan platform Modular Front Architecture (MFA) dengan versi yang telah dipertingkatkan, bersama penjana kuasa pacuan roda-hadapan dan pacuan semua-roda. Walau bagaimana pun, belum dipastikan adakah A-Class sedan ini bakal menjadi model eksklusif untuk pasaran China sahaja, sama seperti model 1 Series sedan.

     
     
  • Lexus LS 500 F Sport bakal diperkenalkan di New York

    Lexus LS 500 F Sport bakal diperkenalkan di New York

    Selepas pengenalan LS 500 di Detroit dan LS 500h di Geneva, Lexus bakal memperkenalkan model baharu bagi LS 500 F Sport di New York International Auto Show (NYIAS) tidak lama lagi. Menurut pengeluar kenderaan berkenaan, F Sport akan “menawarkan pengalaman pemanduan LS yang paling menawan, dan boleh didapati pada LS 500 dan LS 500h.”

    Imej teaser di atas turut disebarkan bersama dengan pengumuman ini, di mana kelihatan ia menampilkan sedikit peningkatan berbanding model standard LS 500 seperti peresap hitam berkilat, lampu belakang gelap dan logo F Sport.

    Lexus turut berkata versi F Sport “akan mewakili platform ketangkasan dan responsif”, dengan merujuk pada rekaan global Lexus serba baharu bagi kenderaan mewah (GA-L). Platform ini paling tegar yang pernah dibangunkan oleh Lexus, dan ia mendakwa mampu meningkatkan lagi pengendalian, lebih lancar dan kabin yang lebih senyap.

    LS generasi ke-lima ini boleh didapati dengan enjin petrol 3.5 liter turbo-berkembar V6 (415 hp dan tork 599 Nm), sementara versi hibrid pula menerima enjin petrol 3.5 liter naturally-aspirated V6 dengan Dual VVT0i dan suntikan terus (295 hp/350 Nm) dibantu oleh dua motor elektrik. Versi hibrid juga didatangkan dengan Lexus Multi Stage Hybrid Transmission iaitu kombinasi automatik empat-kelajuan dengan CVT hibrid tradisional untuk menghasilkan transmisi 10-kelajuan.

    GALERI: Lexus LS 500 2018

     
     
  • Mercedes-AMG GLC 63 4MATIC+ dan GLC 63 4MATIC+ Coupé – SUV saiz sederhana dengan enjin 4.0L V8

    Mercedes-AMG GLC 63 4MATIC+ dan GLC 63 4MATIC+ Coupé – SUV saiz sederhana dengan enjin 4.0L V8

    Seawal tahun 1999, Mercedes-AMG sudah menetapkan tahap baru dengan pengenalan SUV prestasi ML 55. Kini, perkara sama dilakukan sekali lagi apabila syarikat tersebut memperkenalkan pula SUV saiz sederhana Mercedes-AMG GLC 63 4MATIC+ dan GLC 63 4MATIC+ Coupé, yang menggunakan enjin 4.0L V8 Twin Turbo sama seperti yang terdapat pada model AMG GT.

    Enjin ini, boleh menghasilkan sehingga 476 hp pada 5,500 hingga 6,250 rpm dan 650 Nm tork pada 1,750 hingga 4,500 rpm, dan bagi yang mahukan lebih, Mercedes-AMG turut menawarkan varian S (Mercedes-AMG GLC 63 S 4MATIC+ and GLC 63 S 4MATIC+ Coupé) bagi kedua-dua model, yang masih menggunakan enjin sama, tetapi ditala untuk memberi kuasa sebanyak 510 hp pada 5,500 hingga 6,250 rpm dan 700 Nm pada 1,750 hingga 4,500 rpm.

    Enjin ini kemudiannya dipadankan bersama transmisi AMG SPEEDSHIFT MCT 9-kelajuan, yang pertama kali digunakan pada model Mercedes-AMG E 63 4MATIC+, dan ia dapat memberikan penukaran serta masa respon yang lebih pendek. Pengagihan kuasa kepada keempat-empat tayar pula dilakukan oleh sistem pacuan AMG Performance 4MATIC+. Sistem ini boleh menyampaikan tork yang berlainan kepada setiap tayar, bergantung kepada keadaan.

    Mercedes-AMG GLC 63 4MATIC+ dan GLC 63 4MATIC+ Coupé – SUV saiz sederhana dengan enjin 4.0L V8

    Hasilnya, Mercedes-AMG GLC 63 4MATIC+ dan GLC 63 4MATIC+ Coupé boleh memecut dari pegun ke 100 km/j dalam masa hanya empat saat, manakala bagi versi S, ia boleh dilakukan dalam 3.8 saat. Kelajuan maksimum pula ditetapkan secara elektronik pada 250 km/j.

    Bagi membantu pemandu menyesuaikan kenderaan prestasi ini dengan keadaan pemanduan, ia dilengkapi dengan empat mod pemanduan AMG DYNAMIC SELECT iaitu Comfort, Sport, Sport Plus dan Individual. Bagi setiap satu mod ini, perkiraan tindak balas enjin, transmisi, suspensi, stereng, ESP dan sistem pacuan empat rodanya akan berubah. Bagi versi S, terdapat satu lagi mod tambahan iaitu Race.

    Sebagai alternatif, satu butang ‘M’ turut disediakan dan selepas ditekan, pemandu boleh mengawal pemasukan gear secara manual melalui penukar gear di stereng. Suspensi juga boleh dilaras secara sendiri jika perlu.

    Bagi memastikan SUV prestasi ini kekal stabil dengan jumlah kuasa sebegitu, Mercedes-AMG telah melengkapkannya dengan suspensi udara AMG, yang mempunyai kemampuan menyerap boleh ubah sepanjang masa, dan ia boleh dilaras dalam tiga tetapan iaitu Comfort, Sport dan Sport Plus. Untuk spring, terdapat tiga tahap berbeza dan ia bergantung kepada mod pemanduan. Walaupun begitu, ia masih boleh berubah secara automatik jika keadaan memerlukan.

    Bukan setakat itu, GLC 63 4MATIC+ juga didatangkan terus dengan gandar belakang limited-slip differential (LSD) mekanikal, manakala GLC 63 S 4MATIC+ menggunakan LSD gandar belakang elektronik. Alat ini bekerjasama dengan tiga tahap Electronic Stability Programme (ESP On, ESP Sport Handling Mode dan ESP Off) untuk memberi dinamik kenderaan terbaik.

    GLC 63 4MATIC+ didatangkan secara standard dengan rim aloi 19 x 8.0 J di depang dan 19 x 9.0 J di belakang, dan ia diwarnakan dengan warna kelabu titanium dan dibalut dengan tayar 235/55 R 19 di depan dan 255/50 R 19 di belakang. Bagi versi S, ia menggunakan rim saiz 20 x 9.5 di hadapan dan 20 x 10.0 J di belakang. Turut disediakan adalah beberapa pilihan kombinasi rim dan tayar yang lain sehingga saiz 265/40 R 21 dan 21 x 9.5 J di hadapan dan 295/35 R 21 pada rim 21 x 10.0 J di belakang.

    Pada aspek penampilan, terdapat pelbagai perkara yang dilakukan untuk menjadikannya lebih garang, dan yang utama adalah gril Panamericana sama konsep seperti GT R dan GT C. Selain itu, bamparnya juga lebih sporty seperti E 63, dengan diffuser di depan dan belakang, muncung ekzos berkembar disalut krom, lengkuk roda lebar dan spoiler di atas bumbung.

    Pada bahagian dalam, kulit jenis Artico boleh dilihat diguna secara meluas, termasuk pada panel instrumen (dengan jahitan yang kontras) dan tempat duduk sport, dan ia dipadankan dengan gentian mikro Dinamica di beberapa bahagian.

    Bagi model S, kelengkapan yang diberi termasuk stereng prestasi yang dibalut dengan kulit Nappa dan gentian mikro Dinamica, sulaman lencana AMG pada penyandar kepala hadapan serta panel instrumen AMG dengan kemasan berwarna merah.

    Mercedes-AMG GLC 63 4MATIC+ dan GLC 63 4MATIC+ Coupé – SUV saiz sederhana dengan enjin 4.0L V8

    Mercedes juga menawarkan pelbagai kelengkapan tambahan bagi mereka yang ingin menjadikan kenderaan lebih menarik, termasuk Night Package, Exterior Carbon Fibre Package dan dalaman Performance Studio. Paling eksklusif adalah pakej Edition 1, yang selain mempunyai pelbagai kelengkapan, turut diberikan penampilan yang lebih ke arah perlumbaan termasuk kit aerodinamik.

    Menurut Mercedes, GLC 63 4MATIC+ dan GLC 63 4MATIC+ Coupé akan mula dijual pada bulan Jun 2017, manakala pelancaran pasaran akan dilakukan pada bulan September 2017.

     
     
  • Pengangkutan awam di M’sia dinilai terbaik di ASEAN

    Pengangkutan awam di M’sia dinilai terbaik di ASEAN

    Malaysia menerima lebih banyak perkhidmatan pengangkutan awam yang terbaik, setanding dengan negara jirannya di Asia Tenggara, menurut laporan yang dikeluarkan oleh FT Confidential Research.

    Laporan tersebut turut menyebut, Malaysia membelanjakan sejumlah kos yang besar untuk membangunkan sistem pengangkutan setanding dengan negara jiran. Malahan para pengguna juga berpeluang menikmati kemudahan pengangkutan yang berkualiti, berbaloi dengan nilai wang yang dibelanjakan, seperti yang disiarkan oleh Malay Mail.

    Di mana Malaysia telah menduduki tempat ke-11 daripada 138 negara lain bagi infrastruktur pengangkutan dalam laporan yang dikeluarkan semasa World Economic Forum (WEF) Global Competitive Index 2016-2017 pada September lalu.

    Dengan memperoleh 5.7 mata (daripada 7 mata penuh) secara keseluruhan dalam indeks infrastruktur pengangkutan, Malaysia dianggap sebagai salah sebuah negara yang agresif membangunkan sistem pengangkutan awam yang efisien lebih awal berbanding kebanyakan negara ASEAN lain.

    FT Confidential Research turut menambah Malaysia telah menaikkan kos bagi pengangkutan ke 0.7% bagi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tahun lalu berbanding 0.6% pada tahun 2015.

    Sistem perkhidmatan Mass Rapid Transit (MRT) Sungai Buloh-Kajang turut dianggap sebagai penyumbang utama bagi kedudukan Malaysia dalam indeks infrastruktur pengangkutan ASEAN ini, selain perkhidmatan pengangkutan lain di negara ini.

     
     
  • Volkswagen Tiguan 1.4 TSI dilancarkan secara rasmi di Malaysia – dua varian, harga bermula RM149k

    Volkswagen Tiguan 1.4 TSI dilancarkan secara rasmi di Malaysia – dua varian, harga bermula RM149k

    SUV segmen-C Volkswagen Tiguan generasi kedua akhirnya dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia, setelah ianya diprebiu buat pertama kali bulan lalu. Model yang membuat kemunculan sulung pada peringkat global pada tahun 2015 ini hadir ke pasaran Malaysia dalam versi pemasangan tempatan (CKD) – SUV pertama jenama tersebut yang di pasang dikilang DRB-Hicom Pekan, Pahang.

    Untuk pasaran Malaysia, Tiguan ditawarkan dengan dua varian berbeza iaitu Comfortline dan Highline. Ia dibina berasaskan platform modular MQB Volkswagen, asas yang sama digunakan pada Golf Mk7. Dimensi model baharu ini lebih besar berbanding Tiguan sebelum ini, iaitu 60 mm lebih panjang, 30 mm lebih lebar dan jarak roda 77 mm lebih panjang. Walaupun saiz SUV ini kini bertambah, beratnya masih dapat dikurangkan sebanyak 50 kg dengan penggunaan pelbagai teknologi baharu.

    Penampilannya kini lebih ‘tajam’, lebih lebar dan dibina 33 mm lebih rendah berbanding model sebelumnya, membuatkan ia kelihatan lebih kepada sebuah kereta berbanding SUV. Ruang but juga direka 145 liter lebih besar, menjadi 615 liter, atau 1,655 liter apabila tempat duduk belakang dilipat. Tempat duduk penumpang hadapan boleh dibaringkan sehingga rata kehadapan, membolehkan kabin diisi dengan muatan yang benar-benar panjang. Di belakang tempat duduk hadapan pula diberikan meja lipat seperti pada kabin kapal terbang untuk digunakan oleh penumpang belakang.

    Volkswagen Tiguan 1.4 TSI dilancarkan secara rasmi di Malaysia – dua varian, harga bermula RM149k

    Kedua-dua varian Tiguan dijana oleh enjin TSI 1.4 liter berkuasa 150 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 250 Nm bermula 1,500 rpm hingga 3,500 rpm. Kuasa dialirkan kepada transmisi klac berkembar jenis basah enam-kelajuan automatik DSG, memacu roda hadapan. Padanan ini memberikan penggunaan bahan api 6.7 L/100 km, membolehkan Tiguan mendapat pengiktirafan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) untuk pasaran Malaysia.

    Pada bahagian luaran, Comfortline dan Highline dibezakan dengan berberapa perincian. Untuk varian Comfortline,ia diberikan lampu hadapan halogen biasa, gril dengan kemasan krom pada baris bawah sahaja, rel bumbung berwarna hitam, penderia parkir hadapan dan belakang, serta rim ‘Montana’ 17-inci.

    Bagi varian Highline pula, ia diberikan lampu hadapan lebih canggih dengan sistem LED bersama lampu nyalaan siang LED bina dalam berserta sistem Dynamic Conering Assist. Gril hadapan pula menerima kemasan krom pada kedua-dua tingkat jalur dan rel bumbung hadir dengan kemasan berwarna perak, manakala pada bahagian roda ia diberikan rim ‘Kingston’ 18-inci. Varian tertinggi ini turut diberikan bukaan pintu tailgate belakang dengan bantuan elektrik, di mana sudut bukaannya juga boleh dilaras.

    Volkswagen Tiguan 1.4 TSI dilancarkan secara rasmi di Malaysia – dua varian, harga bermula RM149k

    Kedua-dua varian menerima lampu dan pengelap cermin automatik serta lampu belakang LED. Pada bahagian dalaman, kedua-duanya diberikan pedal penukar gear, brek parkir elektronik dengan fungsi auto hold, roda stereng pelbagai fungsi tiga jejari rata dibawah balutan kulit serta sistem audio dengan skrin sesentuh lapan-inci dihubungkan kepada lapan pembesar suara.

    Untuk varian Comfortline, ia diberikan paparan instrumen analog bersama paparan pelbagai informasi berwarna pada bahagian tengah, sistem infotaimenya tidak dilengkapi dengan sistem navigasi serta upholsteri pula diberikan fabrik ‘Rhombus’.

    Untuk varian tertinggi Highline pula, paparan instrumen digital 12.3-inci Active Info Display diberikan menggantikan instrumen analog biasa. Sistem infotaimen Discover Media pada varian ini turut dilengkapi sistem navigasi serta boleh menyokong fungsi App-Connect yang memberikan hubungan Apple Carplay dan Android Auto (ditawarkan secara opsyen dengan harga promosi RM699 berbanding harga asal RM1,099).

    Volkswagen Tiguan 1.4 TSI dilancarkan secara rasmi di Malaysia – dua varian, harga bermula RM149k

    Ciri lain yang turut diberikan termasuk sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, sistem penghawa dingin tiga-zon (kawalan berasingan pada kabin belakang), Bantuan Parkir 3.0 (sokongan parkir secara menegak dan selari), kamera undur, lampu suasana, tempat duduk pemandu larasan berkuasa (dengan tiga set memori) serta upholsteri balutan kulit ‘Vienna’.

    Untuk keselamatan, Tiguan dilengkapi enam-beg udara, Driver Alert System, Kawalan Stabiliti Elektronik (ESC), ABS bersama bantuan brek dan juga cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix.

    Volkswagen Tiguan ditawarkan dalam lima warna berbeza iaitu Deep Black, Pure White, Atlantic Blue, Indium Grey dan Tungsten Silver. Ia dijual pada harga bermula RM148,990 untuk varian Comfortline, manakala varian tertinggi Highline pula dijual pada harga RM168,990.

    Setiap pembelian turut disertakan sekali dengan waranti pengeluar selama lima tahun tanpa had perbatuan. Khas untuk pembeli terawal, Volkswagen Passengger Car Malaysia (VPCM) turut menawarkan potongan harga sebanyak RM7,000.

    Kami telah memandu uji kedua-dua varian Tiguan ini dalam satu sesi pemanduan media sebelum ia dilancarkan dan ulasannya bakal disiarkan tidak lama lagi. Sementara itu jika anda mahu melihat spesifikasi lebih lengkap SUV ini dan membandingkannya dengan model lain, anda boleh layari laman Carbase.my.

    GALERI: Volkswagen Tiguan 1.4 TSI Highline

    GALERI: Volkswagen Tiguan 1.4 TSI Comfortline

     
     
  • VIDEO: Pemuda dari England sahut cabaran Top Gear letak enjin CBR600RR pada kereta mainan funfair

    Colin Furze yang berasal dari Lincolnshire, England sememangnya sudah terkenal melalui video yang dimuat naik dalam Youtube, menunjukkan bagaimana beliau menghasilkan pelbagai gabungan mesin/jentera unik. Untuk projek terbaru, Furze ditaja oleh BBC Worldwide untuk menghasilkan sebuah kenderaan mainan perlanggaran yang biasa terdapat di taman tema (funfair), tetapi dikuasakan oleh enjin superbike.

    Furze memulakan projek tersebut dengan menggunakan asas daripada sebuah kereta mainan tahun 1960-an dan untuk memacunya, beliau memilih enjin daripada motosikal Honda CBR600RR yang berkemampuan lebih daripada 100 hp. Sudah tentu, kereta tersebut secara asalnya tidak akan dapat bertahan dengan kuasa sedemikian, jadi, Furze mengubah suai kerangka serta banyak peralatan lain supaya ia dapat berfungsi dengan baik. Video proses pembikinan jentera ini turut dimuat naik.

    Kemudiannya setelah siap, Furze membawa jentera ini ke satu kawasan lapang dan ia diserahkan kepada watak terkenal dalam rancangan Top Gear iaitu THe Stig untuk dilihat berapa laju maksimumnya. Demi keselamatan, Furze memasang roll cage pada jentera tersebut dan Stig berjaya memecutnya sehingga kelajuan lebih sedikit daripada 160 km/j (100 bsj).

    Dalam video tersebut Furze kelihatan begitu teruja dengan jentera yang dihasilkan dan beliau menyatakan ia adalah antara projek yang paling menarik pernah dihasilkan dan ia berfungsi dengan mantap. Tetapi dalam video itu, kenderaan itu hanya dipecut di jalan lurus sahaja.

     
     
  • Honda Civic Si 2017 sedan, coupe dilancarkan 6 April

    Honda Civic Si 2017 sedan, coupe dilancarkan 6 April

    Civic Si Prototype

    Pertama kali dipertontonkan sebagai model konsep pada November 2016 ketika Pameran Permotoran Los Angeles, Honda Civic Si 2017 akhirnya akan membuat penampilan sulungnya pada 6 April ini dan rekabentuk sedan dan coupe.

    Dari segi prestasi, ia masih lagi sama dengan spesfikasi yang diumumkan sebelum ini. Enjin 1.5 liter turbocaj empat-silinder digunakan, dengan ciri dual variable cam timing (VTC) dan suntikan terus. Ia dipadankan dengan transmisi manual enam-kelajuan.

    Tiada maklumat berkaitan pertambahan kuasa setakat ini, tetapi, memandangkan Civic Si sepatutnya datang dengan prestasi yang lebih tinggi daripada Civic biasa, kuasanya mungkin akan diberikan peningkatan. Seperti dinyatakan sebelum ini, Civic Si akan menerima naik taraf prestasi, misalnya bagi sistem penyerap hentak, sistem stereng aktif, limited-slip differential dan tayar berprestasi tinggi.

    “Dengan Honda Civic Si, kami memberikan sentuhan lebih sporty kepada model berkenaan. Ini akan menjadi versi terpantas dengan pengendalian mantap bagi model Si yang pernah kami tawarkan kepada pelanggan,” kata Naib Presiden Kanan dan Pengarah Urusan Honda, Jeff Conrad.

    Pada model konsep sebelum ini, Si dilengkapi antaranya dengan kit Honda Factory Performance (HFP) termasuk bodykit, spoiler belakang dan rim aloi 19 inci dengan tayar prestasi bersaiz 235/35. Semua perincian ini mungkin akan dilanjutkan kepada versi produksinya nanti.

     
     
  • Pindaan undang-undang untuk Grab, Uber dibentang

    Pindaan undang-undang untuk Grab, Uber dibentang

    Pindaan terhadap dua undang-undang untuk mengawal selia perkhidmatan perkongsian kenderaan atas talian seperti Uber dan Grab telah dibentangkan buat kali pertama hari ini. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nancy Shukri membentangkan pindaan terhadap Akta Pengangkutan Awam Darat (LPT) 2010 dan Akta Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (CVLB) 1987.

    Seperti dilaporkan The Sun, Nancy turut menambah, kedua-dua pindaan itu akan dibentangkan untuk kali kedua dan ketiga pada sesi yang sama nanti. Rang undang-undang LPT, yang tertakluk di bawah Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan melibatkan pindaan terhadap undang-undang untuk memperkenal perniagaan perantaraan (intermediation business) dan memperluas definisi sedia ada.

    “Perniagaan perantaraan bermaksud perniagaan untuk memudah cara susunan, tempahan atau transaksi bagi perkhidmatan berkaitan perkhidmatan pengangkutan awam darat,” merujuk kepada rang undang-undang terbabit.

    Pindaan yang dicadangkan termasuk untuk memperkenalkan seksyen baru bagi mengawal selia perlesenan perniagaan perantaraan itu, merangkumi permohonan, syarat-syarat, pembaharuan dan pembatalan lesen yang dikeluarkan oleh SPAD.

    Setelah diluluskan nanti, rang undang-undang LPT itu akan memberi kuasa kepada SPAD untuk mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja yang “menyerang atau menghalang” pemegang lesen, pemilik perniagaan dan pengusaha. Lesen yang dikeluarkan juga tidak boleh dipindah milik kepada individu lain, melainkan mendapat pengesahan SPAD.

    Sementara itu, pindaan terhadap undang-undang CVLB pula akan membolehkan perkhidmatan seperti Uber dan Grab menjadi kenderaan pengangkutan awam. Sama seperti rang undang-undang LPT, pindaan yang dicadangkan ini akan berfungsi untuk mengawal selia perkhidmatan perkongsian kenderaan atas talian dan perniagaan pengantaraan yang terlibat dengan cara memperkenalkan seksyen baru bagi perlesenan yang sepatutnya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026