Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Honda Malaysia sahkan inflator beg udara model City 2004 pecah dalam kemalangan maut pada 27 Mei lalu

    Honda Malaysia sahkan inflator beg udara model City 2004 pecah dalam kemalangan maut pada 27 Mei lalu

    Hasil pemeriksaan bersama Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Honda Malaysia (HMSB) telah mengesahkan inflator beg udara hadapan pemandu buatan Takata di dalam sebuah Honda City tahun 2004 yang dipandu oleh seorang pemuda telah pecah di dalam satu kemalangan maut pada 27 Mei 2018 lalu. Bagaimana pun, punca sebenar kematian mangsa masih belum dipastikan.

    Menurut kenyataan rasmi syarikat itu, kenderaan terbabit tersenarai di dalam panggilan semula Honda yang dikeluarkan pada 21 Mei 2015. Panggilan semula itu melibatkan penggantian inflator beg udara pemandu dan penumpang depan buatan Takata dengan unit yang baharu.

    HMSB juga menyatakan beberapa notis makluman yang meminta pemilik untuk menghantar kenderaan mereka bagi menggantikan alatan yang terlibat sudah diedarkan, berdasarkan maklumat dari pangkalan data mereka. Walau bagaimana pun tiada rekod dicatatkan mengenai penggantian unit baharu tersebut dan kenderaan terbabit tidak diselenggara di rangkaian Honda yang diiktiraf.

    Syarikat ini juga telah menguatkuasakan notifikasi pemberitahuan mengenai kempen panggilan balik inflator beg udara hadapan Takata, dengan menggunakan pelbagai medium makluman. Ini termasuklah penyebaran kenyataan media rasmi, pengiklanan, kempen menerusi siri jelajah, panggilan terus (melibatkan 71,700 panggilan telah dibuat) dan SMS (3.66 juta mesej telah dihantar), serta menerusi khidmat surat-menyurat (melibatkan 3.2 juta surat).

    Honda Malaysia juga sudah memastikan kesediaan stok 100% bagi inflator depan bagi pemandu dan penumpang depan untuk diganti, serta pelbagai pendekatan telah dijalankan untuk melakukannya, seperti Hab Sentrak Servis, hab bergerak serta termasuk hab di stesen Petronas terpilih dan juga ketika siri jelajah Honda.

    Sehingga 29 Mei 2018, HMSB telah menyempurnakan lebih 224,000 unit inflator beg udara pemandu Takata, iaitu meliputi 85% keseluruhan panggilan. Jumlah inflator beg udara pemandu dan penumpang hadapan Takata yang telah siap digantikan adalah melebihi 445,000 unit atau 75% secara keseluruhan.

    HMSB turut berkata barisan model semasa Honda tidak menggunakan beg udara yang sama jenis dengan unit buatan Takata yang terjejas itu dan tidak terlibat dengan panggilan balik ini.

    Bagaimana pun, pemilik kenderaan Honda bolehlah menyemak status unit beg udara masing-masing menerusi www.productrecall.honda.com.my atau www.honda.com.my atau hubungi terus talian bebas tol Honda Malaysia di 1-800-88-2020 atau berkunjung di mana-mana pusat pengedaran Honda yang diiktiraf.

     
     
  • Huansu C60 Hyosow – Lambo Urus tiruan dari China

    Huansu C60 Hyosow – Lambo Urus tiruan dari China

    Huansu Auto, salah satu syarikat di bawah naungan Beijing Auto International Corporation (BAIC) telah memperkenalkan SUV terbaharunya digelar Huansu C60 Hyosow. Macam pernah nampak rekaan SUV ini? Ya tuan-tuan, C60 Hyosow ini adalah versi klon dari SUV Itali, Lamborghini Urus!

    SUV ini direka dengan sangat agresif dengan lampu hadapan yang tajam dan tirus serta diberikan liang udara pada bahagian fender. Walaupun tidak ‘sebiji’ seperti Urus, sekali imbas anda pasti menyangka ia sebuah Lamborghini sebenar.

    Dengan rupa yang agresif sebegini, C60 Hyosow dijual pada harga hanya 100,000 hingga 150,000 yuan atau sekitar RM62k hingga RM93k. Jika Urus dijana enjin V8 4.0 liter turbo berkembar berkuasa 641 hp/850 Nm, model klon ini pula diberikan enjin yang jauh lebih kecil iaitu pilihan 1.5 liter 150 hp dan 2.0 liter 195 hp – kedua-duanya dengan bentangan empat siinder sebaris.

    Dari segi saiz pula, C60 Hyosow ini dibina dengan jarak roda 2,815 mm – agak panjang, namun masih 188 mm lebih pendek dari Urus asli. Walaupun telah didedahkan, model ini sebenarnya hanya akan membuat penampilan sulungnya pada 6 Jun ini.

    GALERI: Lamborghini Urus asli

     
     
  • Mercedes-Benz dahului jenama kereta yang dicari di Internet, Proton dipilih reputasi paling dipertingkatkan

    Mercedes-Benz dahului jenama kereta yang dicari di Internet, Proton dipilih reputasi paling dipertingkatkan

    YouGov BrandIndex telah menyenaraikan 10 jenama di Malaysia yang paling dicari di Internet di antara 1 Mei 2017 hingga 30 April 2018. Di mana Mercedes-Benz menjadi jenama kereta yang paling dicari oleh pengguna Internet dengan memperoleh 43.7 mata dan menduduki tangga kedua dalam senarai bagi kategori ini.

    Diikuti pula dengan BMW dengan catatan 43.2 mata dan menduduki tangga ketiga di belakang Mercedes-Benz. Dua lagi jenama kereta yang popular turut menduduki carta 10 jenama teratas yang paling dicari di Internet iaitu Honda (37.5 mata) di tangga ke-9 dan Toyota (36.0 mata) di tangga ke-10.

    Bagi kategori ini, semestinya Facebook menjadi jenama yang paling dicari dengan mengungguli tangga pertama dalam carta bersama 51.7 mata. Lain-lain jenama yang turut menjadi perhatian termasuklah Lazada (tangga ke-4/41.9 mata), Maybank (tangga ke-5/41.1 mata), Whatsapp (tangga ke-6/40.9 mata), Apple (tangga ke-7/40.0 mata), dan Google tangga ke-8/38.1 mata).

    Klik untuk besarkan

    Kaji selidik ini turut menampilkan kategori bagi 10 jenama di Malaysia yang memiliki reputasi paling dipertingkatkan. Bagi jenama automotif, Proton mencatatkan kedudukan yang membanggakan iaitu di tangga ke-tiga dengan memperoleh 6.5 mata. Di belakangnya pula, Perodua menduduk tangga ke-lima dengan perolehan 5.4 mata dan Volkswagen pula berada di tangga ke-tujuh dengan 4.7 mata.

    Lain-lain jenama (yang bukan berada dalam industri automotif) ialah Huawei di tangga pertama dengan 11.3 mata, diikuti dengan Mc’Donald (tangga kedua/6.6 mata), Instagram (tangga ke-empat/5.7 mata), Samsung (tangga ke-enam/5.3 mata), Watsons (tangga ke-lapan/4.6 mata), Alibaba (tangga ke-sembilan/4.4 mata) dan yang terakhir, Telekom Malaysia dengan 4.3 mata.

    Untuk pengetahuan, YouGov adalah agensi kaji selidik pasaran bertaraf antarabangsa, malah merupakan perintis pada penyelidikan pasaran menerusi kaedah dalam talian. Bagi kajian ini, terdapat 1600 jenama dalam YouGov BrandIndex yang dinilai dengan menggunakan pemarkahan Reputasi, termasuk mengemukakan pertanyaan kepada responden bagi mendapatkan senarai 10 jenama teratas bagi setiap kategori yang dikaji. Selain 10 jenama yang paling dicari di Internet dan 10 jenama yang memiliki reputasi yang dipertingkatkan, kategori lain melibatkan 10 tempat kerja yang paling dibanggakan.

     
     
  • Promosi Hari Raya Proton – Saga kini di bawah RM30k, penjimatan tambahan, pemeriksaan 20-mata percuma

    Promosi Hari Raya Proton – Saga kini di bawah RM30k, penjimatan tambahan, pemeriksaan 20-mata percuma

    Sempena musim perayaan Aidilfitri yang akan datang tak lama lagi, Proton ada tawaran paling menarik kepada pelanggan-pelanggannya. Yang dimaksudkan ialah, model Proton Saga, yang kini ditawarkan pada harga di bawah RM30,000 (jimat sehingga RM3,500 berbanding harga biasa) untuk memudahkan dan meringankan beban mereka yang memerlukan sebuah kereta baru.

    Ini merupakan tawaran terbaik dengan harga yang paling rendah bagi model berkenaan yang pernah ditawarkan dalam tempoh 10 tahun terakhir ini. Tetapi, bukan model Saga sahaja yang didatangkan dengan tawaran istimewa seperti ini.

    Model-model seperti Iriz dan Ertiga kini ditawarkan dengan penjimatan sehingga RM4,000, manakala Persona pula sehingga RM3,000. Secara keseluruhannya, penjimatan tambahan selain faktor sifar GST juga adalah kira-kira dua kali ganda dari jumlah berkenaan. RM10 daripada setiap pembelian kenderaan juga akan disalurkan ke Tabung Harapan Malaysia.

    Promosi Hari Raya Proton – Saga kini di bawah RM30k, penjimatan tambahan, pemeriksaan 20-mata percuma

    “Ini adalah masa yang terbaik untuk memiliki Proton, terutamanya dengan kadar sifar GST yang telah berkuatkuasa. Pelanggan berpotensi untuk mendapat penjimatan antara 12% – 18%, bergantung kepada model kereta, jika penjimatan tambahan daripada GST berkadar sifar turut diambil kira,” jelas Naib Presiden, Jualan dan Pemasaran Proton, Abdul Rashid Musa.

    Selain daripada promosi jualan khas Aidilfitri ini, Proton turut menyediakan pemeriksaan 20-mata percuma di semua cawangannya di seluruh negara. Ia berlangsung dari sekarang hingga 15 Jun 2018 nanti. Pemeriksaan yang akan dilakukan merangkumi operasi pedal brek dan klac, suis-suis, lampu dan penunjuk di dalam panel instrumen, tali pinggang keselamatan, pemeriksaan bateri, bilah pengelap cermin, minyak enjin, cecair penyejuk dan lain-lain.

    Promosi Hari Raya Proton – Saga kini di bawah RM30k, penjimatan tambahan, pemeriksaan 20-mata percuma

    Beberapa stesen Petronas terpilih juga ada menyediakan perkhidmatan yang sama bagi pelanggan yang memerlukan pemeriksaan saat akhir. Lokasi-lokasi stesen Petronas yang dimaksudkan adalah di lebuhraya-lebuhraya utama. Rujuk jadual untuk maklumat lanjut.

    Bagi pelanggan yang menghantar kenderaan mereka untuk diservis dengan menggunakan minyak pelincir Syntium SE 3000 dan Syntium SE 800 di mana-mana cawangan Proton, mereka layak untuk menerima sekaki payung eksklusif atau set pemutar skru Rolson sebagai hadiah. Tawaran ini sah sehingga 15 Jun 2018 dan selagi stok masih ada.

     
     
  • Nissan Terra sah akan dibawa ke pasaran Asia Tenggara, namun Malaysia tidak tersenarai

    Nissan Terra sah akan dibawa ke pasaran Asia Tenggara, namun Malaysia tidak tersenarai

    SUV ladder frame Nissan yang diasaskan dari trak pikap Navara NP300Nissan Terra – yang baru-baru ini didedahkan di China disahkan akan turut dipasarkan di negara-negara Asia Tenggara.

    Menurut Nissan, pelanggan untuk pasaran Filipina merupakan pasaran kedua di dunia akan menerima SUV berkenaan dan kini sudah boleh mula membuat pra-tempahan manakala penghantarannya akan bermula Ogos 2018. Berbeza dengan Terra pasaran China yang dijana enjin petrol, versi pasaran Filipina akan dijana enjin turbodiesel YD25DDTi 2.5 liter empat silinder berkuasa 190 hp dan tork maksima 450 Nm.

    Terra juga akan di bawa ke Thailand dan Indonesia tahun ini, manakala Brunei, Cambodia, Laos, Myanmar dan Vietnam akan menyusul kemudian, namun spesifikasi setiap pasaran berkenaan masih belum diumumkan. Walau bagaimanapun, Malaysia nampaknya tersisih dari menerima SUV Nissan Terra ini.

    Nissan Terra sah akan dibawa ke pasaran Asia Tenggara, namun Malaysia tidak tersenarai

    Terra akan diproduksi di hub pemasangan Nissan di Thailand untuk model-model pasaran Asia Tenggara. “Nisaan Terra baharu ini dibina bagi kesesuaian dan untuk Asia Tenggara. Ia menunjukkan komitmen kami untuk menjadikan innovasi dapat dicapai oleh lebih pelanggan di rantau ini,” kata Yutaka Sanada, naib presiden senior Nissan untuk rantau Asia dan Oceania.

    Terra direka bagi boleh memuatkan bentangan tempat duduk sama ada lima- atau tujuh-tempat duduk (pasaran China hanya hadir dengan lima-tempat duduk). SUV ini turut dilengkapi pakej bantuan pemanduan Nissan Intelligent Mobility (Amaran Keluar Laluan, Amaran Titik Buta dan Pemantau sekeliling pintar bersama Pengesan Objek Bergerak), locking differential pada gandar belakang, Bantuan Mula Mendaki, Kawalan Menurun Curam dan juga kelegaan tanah 225 mm.

     
     
  • Proton sokong usaha Tabung Harapan Malaysia; RM10 daripada jualan setiap kenderaannya akan disumbang

    Proton sokong usaha Tabung Harapan Malaysia; RM10 daripada jualan setiap kenderaannya akan disumbang

    Di dalam perkembangan terbaru selain perihal sifar GST selepas tarikh 1 Jun 2018 yang dengan rasminya telah bermula hari ini, Proton turut mengumumkan sokongan syarikat itu terhadap Tabung Harapan Malaysia yang diumumkan baru-baru ini.

    Sebagai tanda sokongan terhadap usaha berkenaan, Proton akan menjadi pengeluar kenderaan pertama di Malaysia yang akan menyediakan saluran rasmi kepada pelanggan-pelanggannya untuk menyalurkan bantuan berkenaan, iaitu melalui pembelian model-model Proton yang ada.

    Bermula dari 1 Jun 2018 hingga 31 Disember 2018 nanti, RM10 hasil daripada pembelian setiap kenderaan Proton akan disumbangkan untuk tabung berkenaan sebagai dana kerajaan. Ini juga adalah seiring dengan perkembangan semasa serta kesungguhan yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia untuk membantu kedudukan kewangan negara, dan Proton ingin bersama-sama dalam usaha yang baik ini.

    Di dalam perkembangan lain, Proton kini turut menjalankan promosi khas bagi model Saga yang terhebat pernah ditawarkan bagi tempoh 10 tahun terakhir ini, yang dijual pada harga di bawah RM30,000 sempena Hari Raya Aidilfitri ini.

     
     
  • GST-Sifar: Infiniti turunkan harga hingga RM21.9k

    GST-Sifar: Infiniti turunkan harga hingga RM21.9k

    Infiniti Malaysia turut mengumumkan harga baharu bagi barisan model Infiniti selepas pemansuhan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) mulai hari ini.

    Harga baharu tersebut melibatkan tiga model, empat varian bagi barisan pasaran tempatan yang akan kekal sehingga pelaksanaan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada kadar 10% mulai 1 September ini.

    GST-Sifar: Infiniti turunkan harga hingga RM21.9k

    Klik untuk besarkan

    Tanpa GST, harga terkini bagi Infiniti bermula RM226,267 bagi Q50 GT, penurunan sebanyak RM13,530 dari harga sebelum ini. Sementara bagi varian Q50 GT Technology, ia kini lebih murah sebanyak RM15,570, iaitu dengan harga RM260,229.

    Manakala untuk Q60 pula, harganya kini lebih murah sebanyak RM17,438 selepas ketiadaan GST, dan untuk varian coupe pula kini RM291,361. Untuk varian QX70 pula, kini ia RM21,899 lebih murah, iaitu berharga RM368,100. Semua harga yang berada dalam senarai ini adalah harga atas jalan tanpa insurans.

     
     
  • Apungan harga RON 97 mulai 7 Jun ini; subsidi kereta bawah 1,300 cc, motosikal bawah 125 cc ditangguh

    Apungan harga RON 97 mulai 7 Jun ini; subsidi kereta bawah 1,300 cc, motosikal bawah 125 cc ditangguh

    Menurut menteri kewangan Lim Guan Eng, harga untuk petrol RON 97 akan diapungkan mengikut harga pasaran semasa bermula 7 Jun ini, lapor The Star. Tarikh tersebut telah disahkan oleh Lim pada satu sidang media semalam dan turut menambah bahawa harga untuk petrol RON 95 dan diesel Euro 2M akan terus kekal pada harga RM2.20 dan RM2.18 seliter.

    Beliau menyatakan bahawa dengan menstabilkan harga bahan api ini merupakan salah satu usaha bagi mengembalikan wang kepada rakyat Malaysia serta menggalakkan pertumbuhan “ekonomi sebenar”, dalam masa yang sama membolehkan rakyat berjimat sehingga RM3 bilion.

    Lim juga mengesahkan bahawa kerajaan akan memberikan subsidi tersasar bagi kereta dengan kapasiti enjin di bawah 1,300 cc dan motosikal di bawah 125 cc, namun ia perlu ditunda dahulu buat masa sekarang. Perkara ini merupakan salah satu janji 100-hari selepas pemerintahan dalam manifesto Pakatan Harapan untuk Pilihanraya Umum ke-14 lalu. Menurut manifesto tersebut, mekanisma pemberian subsidi ini akan menggunakan kad identiti untuk setiap individu yang berhak bagi mengelakkan sebarang penipuan.

    Menteri tersebut menjelaskan dalam laporan New Straits Times, subsidi tersebut akan ditunda dan hanya akan dijalankan setelah situasi kewangan negara bertambah baik kelak.

    “Walaupun kerajaan ingin melaksanakan semua janji 100 harinya, namun kerajaan juga mempunyai tanggungjawab fiskal dan tidak akan mengulangi kesilapan kerajaan dahulu dengan menyebabkan masalah kewangan yang tentunya akan membawa negara ke arah muflis jika tidak dibendung. Jika keadaan kewangan negara bertambah baik dalam tempoh 100 hari, kita akan laksanakan, tetapi jika tidak kita akan tunggu sehingga ia baik,” jelasnya.

     
     
  • Ford daftar paten sistem kesan motosikal mencelah

    Ford daftar paten sistem kesan motosikal mencelah

    Semakin banyak teknologi baru yang dibangunkan untuk kenderaan, dan tidak lupa adalah untuk membantu meningkatkan keselamatan. Antara yang terkini adalah oleh Ford, iaitu satu sistem mengesan motosikal yang mencelah antara kenderaan, dan paten untuk rekaan sistem ini telah didaftarkan di Amerika Syarikat.

    Walaupun sekadar satu paten yang didaftar, dan masih belum pasti sama ada akan dipasang pada kenderaan produksi, ia dilihat cukup berguna untuk memastikan keselamatan bersama atas jalan raya. Sistem ini menggunakan tiga kamera yang menghadap ke belakang, dan dapat mengesan motosikal yang berada di antara kereta pada jarak tertentu.

    Ford daftar paten sistem kesan motosikal mencelah

    Apabila ada motosikal yang dikesan, sistem ini boleh menghantar maklumat kepada unit kawalan elektronik kenderaan, dan memutuskan sama ada sebarang amaran, brek atau tindak balas stereng akan dilakukan. Ia cukup berguna bukan sahaja bagi kereta biasa, malah juga kereta boleh gerak sendiri yang kini jumlahnya semakin bertambah atas jalan raya.

    Seperti yang diketahui, motosikal yang mencelah antara kenderaan ada kalanya sukar dilihat, dan kepantasan mereka bergerak sukar dijangka. Dengan sistem ini, pergerakan dan keberadaan sesebuah motosikal dapat diketahui, dan diharap dapat menjadikan jalan raya lebih selamat.

     
     
  • SIC dalam perbincangan dengan Dorna – penubuhan pasukan MotoGP 2019 bagi tempatkan Hafizh Syahrin?

    SIC dalam perbincangan dengan Dorna – penubuhan pasukan MotoGP 2019 bagi tempatkan Hafizh Syahrin?

    Di sebalik kehangatan aksi dalam perlumbaan MotoGP, banyak juga perkara lain yang menjadi perhatian peminat siri perlumbaan ini. Antaranya adalah perubahan pasukan dan kedudukan pelumba untuk musim hadapan. Kebanyakan nama besar sudah pun menandatangani kontrak untuk musim hadapan, tapi bagi Jorge Lorenzo, keadaan seperti tidak pasti.

    Prestasi beliau dalam pasukan Ducati tidak begitu memberangsangkan, dengan kontrak juga masih belum disambung, sementara seorang lagi pelumba Ducati, Andrea Dovizioso sudah selamat menandatangani kontrak sehingga tahun 2020. Menurut laporan dalam laman GPOne.com, Lorenzo juga mempunyai kemungkinan diserap ke dalam pasukan Suzuki, kerana Monster juga mahu menaja pasukan itu, tetapi masih adalah satu spekulasi.

    Bagi kita di Malaysia, keadaan semestinya tertumpu kepada pelumba negara yang berada dalam perlumbaan berprestij tersebut, iaitu Hafizh Syahrin. Pasukan beliau, Monster Yamaha Tech3 juga akan dibubar tahun hadapan, dan Tech3 akan kemudiannya menggunakan jentera KTM. Rakan sepasukan Hafizh, iaitu Johann Zarco pastinya mahu diserap sekali dalam pasukan baru ini, tetapi masih belum ada kata untuk Hafizh.

    SIC dalam perbincangan dengan Dorna – penubuhan pasukan MotoGP 2019 bagi tempatkan Hafizh Syahrin?

    Semalam, telah keluar pula satu laporan dalam laman New Straits Times – ketua pegawai eksekutif Sepang International Circuit (SIC), Datuk Razlan Razali kini berada di Mugello, Itali untuk membincangkan sesuatu bersama Dorna, iaitu pemegang hak untuk MotoGP dan beberapa lagi sukan permotoran lain. Laporan itu juga menyatakan bahawa ketua pegawai komersial SIC, Sharmila Nadarajah memberitahu satu pengumuman yang bersejarah akan dilakukan nanti.

    Sharmila turut menambah, ia tiada kaitan dengan perlumbaan Formula 1, seterusnya meningkatkan debaran bagi peminat sukan permotoran di Malaysia. Harapan utama, termasuk dari kami tentunya adalah untuk melihat Hafizh dapat terus berlumba untuk musim hadapan, dan lebih bagus kalau dalam pasukan SIC sendiri atau dengan penaja tempatan. Sama-sama kita nantikan pengumuman tersebut tidak lama lagi.

     
     
  • GST-Sifar: Perodua turunkan harga hingga RM3.5k

    GST-Sifar: Perodua turunkan harga hingga RM3.5k

    Ya, hari ini adalah permulaan bagi pemansuhan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), iaitu kini dengan kadar sifar peratus. Dengan itu, Perodua turut membuat perubahan harga bagi semua modelnya, iaitu lebih kurang 5.6% lebih rendah berbanding sebelum ini, ujar Pengarah Urusan Jualan Perodua Datuk Dr Zahari Husin.

    Penjimatan bermula dari RM1,344 untuk Perodua Axia 1.0 Standard E transmisi manual, di mana harga atas jalan (tanpa insurans) sebelum ini adalah RM23,966 yang termasuk GST bagi model tersebut, kini menjadi RM22,622. Varian baharu Myvi juga kini lebih murah, dengan penurunan dari RM2,492 bagi 1.3 Standard G manual hingga RM3,114 bagi versi 1.5 Advance.

    GST-Sifar: Perodua turunkan harga hingga RM3.5k

    Klik untuk besarkan

    Di antara barisan modelnya, perbezaan yang paling ketara ialah melibatkan Alza 1.5 Advanced auto. Harga atas jalan sebelum ini ialah RM63,390 tanpa insurans, kini ia menjadi RM59,818 selepas ketiadaan GST, menjadikannya pengurangan sebanyak RM3,572.

    Selain GST sifar, Perodua turut menawarkan rebat sehingga RM800 untuk model dan varian terpilih sepanjang Jun ini. Syarikat ini turut menambah, harga baharu tanpa GST ini akan digunapakai sehinggalah Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak 10% dilaksanakan semula mulai 1 September ini, malah pembayaran balik GST bagi pembelian, servis dan alat ganti antara 18 hingga 31 Mei ditamatkan, selepas pelanggan membayar 0% bagi GST mulai hari ini.

     
     
  • Kutipan tol Jajaran Kuala Lumpur-Seremban Expressway, Salak Expressway ditamatkan mulai esok

    Kutipan tol Jajaran Kuala Lumpur-Seremban Expressway, Salak Expressway ditamatkan mulai esok

    Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) baru saja mengumumkan bahawa bermula jam 12.01 tengah malam 1 Jun 2018, tiada lagi bayaran tol dikutip bagi Jajaran Kuala Lumpur-Seremban Expressway dan Salak Expressway (yang dahulunya dikenali sebagai sebahagian daripada Jajaran Lebuhraya Metramac) di Plaza Sungai Besi kendalian PLUS Malaysia Berhad (PLUS).

    Jajaran Kuala Lumpur-Seremban Expressway/Salak Expressway ini kodnya adalah E 37. Jalannya pula bermula dari berhampiran Lapangan Terbang Sg Besi hingga ke Tol Sg Besi. Kadar yang dikenakan bagi laluan ini adalah antara RM0.40 hingga RM1.70. Ramai yang mungkin tidak tahu bayaran ini dikenakan sebab ia dicampur sekali dengan bayaran tol bagi sesiapa yang melalui Plaza Tol Sg Besi.

    Ini bermakna, dengan penamatan tempoh konsesi jajaran tersebut, bayaran tol di semua laluan keluar dan masuk di Plaza Tol Sungai Besi dikurangkan di antara RM0.40 hingga RM1.70, bergantung pada jarak perjalanan dan kelas kenderaan.

    Menerusi kenyataan akhbar yang disiarkan menerusi laman rasmi Facebook LLM, penamatan ini juga sekali gus bakal memberikan manfaat kepada hampir 130,000 pengguna yang sering menggunakan plaza tol berkenaan setiap hari. Pengguna yang melalui Plaza Tol Sungai Besi kini hanya perlu membayar tol mengikut jajaran Lebuhraya PLUS yang dilalui mereka sahaja.

     
     
  • GST-Sifar: Mercedes-Benz potong harga hingga RM94k

    GST-Sifar: Mercedes-Benz potong harga hingga RM94k

    Syarikat terbaru yang menyiarkan harga tanpa cukai GST 6% yang akan bermula esok, 1 Jun 2018 adalah Mercedes-Benz Malaysia (MBM), dan ia akan digunakan sehinggalah pengenalan semula cukai SST yang telah diumumkan akan bermula 1 September nanti.

    Pengurangan harga kenderaan premium Mercedes-Benz bermula dari RM11,799, iaitu bagi model A 200 AMG line (A 180 Urban Line kini sudah tiada), yang kini harganya terletak bawah RM200,000, iaitu RM197,089. Bagi model paling mahal pula, iaitu Mercedes-AMG GT R kini RM94,924 lebih murah selepas tiada lagi GST, tapi masih terletak lebih RM1 juta iaitu pada RM1,588,964.

    Daripada senarai harga baru yang dikeluarkan juga, kita boleh menyaksikan MBM telah memberhentikan pengeluaran beberapa model termasuk CLA 250 Sport 4Matic, C 200 Avantgarde dan Exclusive, serta sedan AMG C 63 S (versi coupe masih ada). Model AMG E 43 4Matic juga sudah tiada, dan ini mungkin kerana dalam pasaran global, ia telah diganti dengan E 53 4Matic+.

    GST-Sifar: Mercedes-Benz potong harga hingga RM94k

    Terdapat juga perubahan bagi barisan model E-Class tempatan, di mana E 200 Avantgarde telah diberikan pengurangan harga RM15,000 – bersama potongan GST RM18,858. Kini, model itu dijual pada harga RM315,030. Sementara itu, bagi E 250 Exclusive pula, ia melibatkan pengurangan harga RM5,000, dan kini terletak pada harga sama dengan E 250 Avantgarde iaitu RM357,483. Perubahan harga ini adalah disebabkan oleh perubahan spesifikasi, yang akan diberitahu nanti.

    MBM juga sekarang sedang mengadakan promosi jualan yang berlangsung sehingga 15 Julai, dengan menawarkan orang ramai sama ada kadar faedah 1.98% dengan Hire Purchase Classic untuk tempoh tiga atau lima tahun, ataupun Agility Financing. Kedua-dua pilihan ini datang dengan insurans percuma satu tahun atau empat baucar servis percuma.

     
     
  • GST-Sifar: Kadar baharu parkir kenderaan di Laluan MRT Sg Buloh-Kajang diumumkan – RM4 sehari

    GST-Sifar: Kadar baharu parkir kenderaan di Laluan MRT Sg Buloh-Kajang diumumkan – RM4 sehari

    Ekoran pemansuhan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) mulai 1 Jun ini, Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) memaklumkan bahawa kadar parkir baharu akan dikenakan di sepanjang Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang (SBK).

    Ia hanyalah melibatkan kemudahan Park and Ride yang dikendalikan oleh MRT Corp iaitu di stesen Sungai Buloh, Phileo Damansara, Maluri, Taman Midah, Taman Suntex, Bandar Tun Hussein Onn, Bukit Dukung dan Sungai Jernih. Di mana mulai esok, bayaran parkir di Kemudahan Park and Ride bagi pengguna MRT adalah RM4 bagi setiap kemasukan sehari.

    Bagi pengguna yang menggunakan kemudahan parkir tetapi tidak menggunakan MRT akan dikenakan kadar parkir berbeza bergantung kepada lokasi kemudahan Park and Ride yang digunakan. Penunggang motosikal akan dikenakan bayaran RM1 bagi setiap kemasukan sehari di semua kemudahan Park and Ride.

    Klik untuk besarkan

    Kemudahan parkir lain di sepanjang Laluan SBK seperti di Kwasa Damansara, Kwasa Sentral, Bandar Utama, Pusat Bandar Damansara dan Kajang adalah dikendalikan oleh syarikat luar.

    Menurut MRT Corp, pihaknya telah bertemu dengan syarikat terbabit dan menasihati mereka agar menyemak semula kadar parkir berdasarkan GST sifar. Walau bagaimanapun, ia adalah terpulang kepada syarikat terbabit untuk melaksanakan sebarang perubahan pada kadar parkir yang dikendalikan itu.

     
     
  • Pertandingan ‘Ace The Space’ oleh Proton – berhimpit seramai yang mungkin dalam MPV dan menang hadiah

    Pertandingan ‘Ace The Space’ oleh Proton – berhimpit seramai yang mungkin dalam MPV dan menang hadiah

    Adakah anda cekap untuk berhimpit dalam tempat yang sempit untuk memanfaatkan ruang sebaik mungkin? Dan, anda ada ramai kawan yang mempunyai kebolehan yang sama? Jika jawapannya “Ya”, maka anda perlu mencuba nasib dalam pertandingan “Ace The Space Challenge” yang dianjurkan oleh Proton.

    Apa yang perlu dilakukan sangat mudah; anda hanya perlu “memasukkan” seberapa ramai orang yang boleh di dalam MPV Proton di dalam masa yang ditetapkan untuk muncul sebagai pemenang. Mudah saja bukan? Selain itu, hadiah yang ditawarkan juga tak kalah menarik.

    Antaranya baucar RM50 Aeon menanti 100 pasukan pertama yang mampu melepasi pusingan pertama. Ini diikuti dengan baucar Proton bernilai RM700 dan juga hadiah berupa telefon bimbit. Sekiranya anda berjaya melepasi pusingan akhir, ganjarannya bertambah menarik.

    Pasukan yang muncul sebagai pemenang keseluruhan berpeluang membawa pulang wang tunai RM10,000, telefon bimbit (untuk setiap ahli kumpulan), baucar Proton bernilai RM1,000 serta menyaksikan tayangan perlawanan akhir Piala Dunia 2018 tajaan TGV Cinema. Satu lagi peluang eksklusif ialah untuk menyaksikan pelancaran SUV sulung Proton dan menjadi yang terawal memandu uji model baru berkenaan.

    Berminat? Untuk mengambil bahagian dalam pertandingan ini, apa yang perlu dilakukan ialah memuat naik gambar kreatif pasukan anda pada laman Facebook atau Instagram dengan caption atau keterangan “We ACED THE SPACE in PROTON MPV” dan tag laman Facebook rasmi Proton (@ProtonCarsOfficial) atau Instagram (@ProtonCars).

    Selepas itu, emelkan gambar skrin (screenshot) berkenaan ke [email protected]. Jangan lupa untuk sertakan sekali nama pasukan, perincian ketua pasukan dan timbalannya (nama, K/P, nombor telefon dan alamat emel) serta lokasi pertandingan yang ingin disertai (pekan dan bandar).

    Pasukan yang layak akan dihubungi melalui telefon dan emel, dan akan dijemput untuk berkunjung ke lokasi pertandingan pada tarikh yang akan ditetapkan untuk mengambil bahagian di dalam pertandingan berkenaan. Anda tidak perlu membeli sebarang produk untuk ikut serta di dalam pertandingan ini. Had umur peserta adalah dalam lingkungan 18 ke 45 tahun.

    Tempoh pertandingan ini berlangsung adalah dari 23 Mei 2018 hingga 7 Julai 2018. Semua maklumat yang berkaitan boleh dicapai menerusi laman web rasmi Proton. Jika perlukan inspirasi macam mana untuk memuatkan seramai mungkin orang ke dalam MPV Proton, boleh tonton video yang disediakan. Semoga berjaya!

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025