Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Nissan Note e-Power Nismo mula dijual di Jepun – harga dari RM93k, dengan ciri Vehicle Control Module

    Nissan Note e-Power Nismo mula dijual di Jepun – harga dari RM93k, dengan ciri Vehicle Control Module

    Nissan kini telah mula menjual model Note e-Power Nismo, sebuah kenderaan elektrik yang kini tampil dengan imej yang lebih ranggi, sebagai tambahan kepada dua lagi versi terdahulu – Note Nismo dan Note Nismo S. Penawaran terbaharu ini dijual pada harga 2,458,080 yen (RM92,900).

    Versi Nismo dibezakan dari model-model e-Power yang lain melalui penampilan bampar depan yang agresif dengan lampu nyalaan siang LED, kit badan sisi serta diffuser dibahagian belakang – semuanya disertakan dengan perincian rona merah, seperti juga cermin sisi. Turut menguatkan lagi penampilannya ialah gril unik dengan logo Nismo (kemasan biru untuk membezakannya dengan model Nismo yang lain), dan penggunaan rim aloi 16 inci dwi-tona dengan tayar Yokohama DNA S.drive.

    Untuk bahagian dalam, versi ini menggunakan stereng tiga-jejari balutan kulit Alcantara, tempat duduk sport serta padel pintu dengan material suede serta pedal aluminium. Panel meter kluster juga khas Nismo, dengan lambang dan perinciannya yang tersendiri.

    Ia menggunakan enjin 1.2 liter HR12DE tiga-silinder 79 PS/103 Nm yang digandingkan dengan motor elektrik dengan janaan kuasa 109 PS/254 Nm yang sama seperti model terdahulu. Namun, versi Nismo kali ini dilengkapi Vehicle Control Module (VCM) bagi mendapatkan maklum balas pendikit dan regenarative braking yang lebih baik.

    Sistem suspensi juga menerima pembaharuan, termasuk palang kestabilan di depan, pengukuhan badan pada bahagian-bahagian tertentu dan stereng elektrik yang ditala semula untuk pemanduan yang lebih “keras”. Paip ekzosnya pula bersaiz 85 mm yang melengkapkan imej agresif dan sporty model ini.

     
     
  • PANDU UJI: Volkswagen Jetta 1.4 TSI Highline – diperbaharui untuk menjadi lebih cekap, puas dipandu

    PANDU UJI: Volkswagen Jetta 1.4 TSI Highline – diperbaharui untuk menjadi lebih cekap, puas dipandu

    September lalu, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) melancarkan Volkswagen Jetta facelift 2016, dan ini adalah model pengganti bagi Jetta CKD yang mula dipasarkan di Malaysia pada bulan April 2014. Langkah ini adalah perlu bagi memastikan Jetta dapat bersaing dalam pasaran menentang model-model baru dalam segmennya seperti Mazda 3 Sedan, Honda Civic dan Ford Focus Sedan.

    Pembaharuan yang diberikan pada Jetta facelift ini, selain penampilan, juga termasuk enjin dan transmisi. Oleh itu, VPCM menganjurkan satu sesi pandu uji ulang alik ke Melaka khas untuk wakil media bagi merasakan sendiri bagaimana ia dapat menjadikan model ini lebih baik. Kenderaan yang disediakan semua terdiri daripada varian Highline, iaitu varian tertinggi yang mengatasi Comfortline dan Trendline.

    Harga jualan Jetta Highline adalah RM129,578, dan ini sebenarnya adalah sedikit rendah berbanding Jetta CKD yang dulunya dijual pada harga RM130,888, meskipun ia mempunyai lebih banyak kelengkapan. Jika dibandingkan pula dengan pesaingnya, Jetta facelift lebih murah sekitar RM10,000 dan RM2,300 berbanding Ford Focus Sedan dan Honda Civic 1.5 TC Premium, dan lebih mahal RM8,473 berbanding Mazda 3 Sedan.

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • Dasar Automotif Nasional (NAP) 2014 galak lebih banyak EEV dalam pasaran tempatan – Menteri

    Dasar Automotif Nasional (NAP) 2014 galak lebih banyak EEV dalam pasaran tempatan – Menteri

    Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, lebih ramai rakyat Malaysia akan menerima konsep Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) melalui inisiatif di bawah Dasar Automotif Nasional (NAP) 2014, menurut laporan Bernama.

    Tambah beliau lagi, NAP 2014 yang menggariskan usaha Malaysia ke arah untuk menjadi hab EEV pada masa akan datang, akan membawa kepada peningkatan pendaftaran EEV baharu.

    “Pada 2015 sahaja, sebanyak 32.6 peratus daripada jumlah kereta baharu yang didaftarkan adalah EEV. Kami menjangka jumlah ini akan terus meningkat hingga 2017.

    “Kerajaan, melalui Institut Automotif Malaysia (MAI), baru-baru ini menggariskan pelan tindakannya hingga 2050, dan mahu memastikan kita terus kompetitif dengan memudahkan pembangunan teknologi dalam industri domestik kita,” katanya.

    Antara polisi Dasar Automotif Nasional yang diumumkan pada 2014 berkenaan adalah mensasarkan Malaysia akan menjadi hab kenderaan EEV di rantau ASEAN. Skop EEV digunakan supaya ianya mencakupi kenderaan-kenderaan cekap tenaga bukan sahaja dari jenis hibrid atau elektrik sepenuhnya (EV), tetapi turut melibatkan kenderaan yang dijana enjin pembakaran dalam biasa dan kesemua kenderaan yang diiktiraf sebagai EEV ini perlulah dipasang secara CKD di Malaysia.

    Insentif khas pengecualian cukai akan diberikan kepada kereta-kereta yang diiktiraf sebagai EEV, bagi membolehkan ianya dijual dengan harga lebih mampu milik, seterusnya memberikan daya saing yang lebih kompetitif. Setakat ini, EEV bukan sahaja memberikan faedah kepada kereta-kereta biasa seperti Toyota Vios dan Perodua Bezza, malah jenama-jenama mewah seperti BMW dan Volvo turut menerima potongan cukai yang membolehkan ianya dijual dengan harga yang lebih rendah.

    Awal tahun lalu, Mustapa turut menyatakan sejumlah 200,260 EEV dijual pada tahun 2015, meningkat sebanyak 19% berbanding tahun sebelumnya.

     
     
  • Volkswagen up! GTI disahkan – guna enjin 1 liter turbo


    Volkswagen up! GT

    Sebuah laporan oleh Autocar UK mengesahkan Volkswagen akan memperkenalkan model up! GTI yang akan menjadi penawaran spesifikasi paling tinggi bagi kereta urban berkenaan. Dijangka mula dikeluarkan pada 2018, ia akan didatangkan dalam kedua-dua versi tiga pintu dan juga lima pintu.

    Menjadikan Fiat Abarth 595 sebagai “sasaran”, Volkswagen up! GTI akan menggunakan enjin baharu yang lebih berkuasa syarikat itu, 1.0L turbocaj tiga-silinder. Pada Volkswagen up! versi facelift, enjin berkenaan menghasilkan 90 PS dan 160 Nm tork. Bagi versi GTI, ia akan memberikan output 115 PS dan 200 Nm tork.

    Ia juga didatangkan dengan pilihan kotak gear manual lima kelajuan atau mungkin juga kotak gear klac berkembar tujuh-kelajuan automatik. Dari segi prestasi, laporan berkenaan juga menyatakan prototaip model berkenaan mampu mencapai 0-100 km/j dalam masa 8.8 saat (berbanding 10 saat bagi model facelift), dengan kelajuan maksimum 191 km/j.


    Volkswagen up! Facelift

    Jika dibandingkan dengan pesaing keluaran Itali itu, yang menggunakan enjin lebih besar, 1.4 liter turbocaj empat-silinder, up! GTI ada kekurangan dari segi janaan kuasa. Enjin T-Jet pada 595 Turismo menyediakan 165 PS kuasa dan 230 Nm tork, manakala 595 Competizione lebih lagi – 179 PS/250 Nm.

    Selain kuasa, up! GTI turut menerima sistem suspensi yang ditala semula; dari jenis MacPherson strut di bahagian hadapan dan torsion beam di belakang – yang menampilkan kadar penyerapan tersendiri, serta kedudukan yang lebih rendah.

    Kemasan luarannya juga akan menerima penggayaan GTI yang khusus, untuk melengkapi aspek prestasinya. Antaranya, bampar berlainan, roda 16 inci dengan profil 205/40 serta penghadang bahagian tingkap. Konsep GT up! yang diperkenalkan di Frankfurt pada 2011 mungkin menjadi rujukan terbaik bagaimana versi GTI nanti akan ditampilkan.

     
     
  • Suzuki Ertiga Diesel bakal tiba di Indonesia pada 2017

    Suzuki Ertiga Diesel bakal tiba di Indonesia pada 2017

    MPV segmen-B Suzuki Ertiga dengan unit janakuasa diesel bakal diperkenalkan di Indonesia pada awal tahun 2017, menurut laporan berita di republik berkenaan. Setakat ini, pasaran Indonesia hanya menerima Ertiga yang di jana oleh enjin petrol 1.4 liter, sama seperti kembarnya di Malaysia iaitu Proton Ertiga.

    Ertiga diesel bakal diberikan enjin turbodiesel DDiS empat silinder 1.3 liter D13A dipadankan bersama sistem Smart Hybrid Vehicle by Suzuki (SHVS), serta kotak gear manual lima-kelajuan, memacu roda hadapan.

    Walau bagaimanapun, sistem ‘hibrid’ pada SHVS ini bukanlah sistem hibrid komprehensif seperti pada Toyota Prius mahupun Honda Insight. Komponen SHVS terdiri dari sebuah bateri 12V berkapasiti tinggi (juga bertindak sebagai bateri utama kereta) serta unit alternator lebih besar digelar Intergrated Starter Generator (ISG) yang bukan sahaja boleh mengecas tenaga elektrik semasa enjin berputar, malah turut boleh bertindak sebagai generator untuk sistem regenerative braking.

    Bateri berkapasiti tinggi berkenaan akan membantu sistem auto start/stop enjin ketika kenderaan berhenti seketika, manakala ISG pula membantu meringankan beban enjin diesel tersebut ketika MPV ini memecut. Secara ringkas, SHVS berfungsi hampir sama seperti sistem S-Hybrid pada Nissan Serena C26, tetapi tanpa sebuah lagi bateri tambahan.

    Di India, unit janakuasa ini berupaya menjana 90 ps/200 Nm dan penggunaan bahan api dicatatkan pada kadar 24.52 km/l. Suzuki Indonesia juga dilaporkan tidak akan memasang Ertiga Diesel ini secara CKD di sana, sebaliknya membawa unit-unit CBU dari India.

    GALERI : Suzuki Ertiga facelift pasaran Indonesia

     
     
  • Subaru Impreza generasi kelima terima penarafan lima-bintang dalam ujian pelanggaran terbaharu ANCAP

    Subaru Impreza generasi kelima terima penarafan lima-bintang dalam ujian pelanggaran terbaharu ANCAP

    Ujian terbaharu dari Program Penilaian Kereta Baharu Australiasian (ANCAP) menyaksikan Subaru Impreza generasi kelima menerima penarafan lima-bintang. Model Impreza generasi terbaharu ini dijual dalam versi hatchback dan sedan di Australia, dengan empat varian iaitu 2.0i, 2.0i-L, 2.0i Premium dan 2.0i-S.

    Impreza pasaran Australia ini diberikan kelengkapan keselamatan standard yang terdiri dari tujuh-beg udara (dua hadapan, dua sisi, tirai dan lutut pemandu), amaran pemakaian tali pinggang keledar untuk semua tempat duduk serta cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix. Semua varian kecuali varian asas 2.0i diberikan pakej EyeSight sebagai ciri standard yang terdiri dari adaptive cruise control, amaran keluar laluan, dan juga sistem brek pra-pelanggaran.

    Ciri tambahan dari pakej EyeSight iaitu Vision Assist pula hanya diberikan pada varian tertinggi 2.0i-S. Pakej ini terdiri dari pemantau titik buta, bantuan tukar laluan, amaran lintasan trafik belakang, pemantau bahagian sisi serta bantuan lampu tinggi.

    Subaru Impreza generasi kelima terima penarafan lima-bintang dalam ujian pelanggaran terbaharu ANCAP

    Menurut ANCAP, Impreza berjaya mendapat 14.8 markah dari 16 markah penuh bagi ujian pelanggaran offset hadapan, manakala untuk pelanggaran bahagian sisi, ia berjaya menerima 16 markah penuh. Untuk ujian perlindungan pejalan kaki pula, Impreza menerima 29.93 markah dari 36 markah penuh, dikelaskan dalam penarafan ‘Baik’.

    Walaupun menerima markah yang cukup baik, ANCAP tidak berpuas hati kerana pakej EyeSight tidak diberikan pada model asas 2.0i. “Agak mengecewakan teknologi-teknologi ini tidak diberikan sebagai ciri standard untuk setiap varian dalam barisan model dan untuk keselamatan semua pengguna jalan raya kami mahu lihat peningkatan penggunaan teknologi ini,” kata CEO ANCAP James Goodwin.

    Impreza generasi baharu ini membuat kemunculan sulungnya pada New York International Auto Show (NYIAS) awal tahun ini, dan dibina menggunakan Subaru Global Platform baharu yang menawarkan dinamik yang lebih baik. Platform baharu ini juga dibina dengan dimensi yang lebih besar, seterusnya menjadikan Impreza baharu tersebut lebih besar dari generasi sebelum ini.

    Subaru Impreza generasi kelima terima penarafan lima-bintang dalam ujian pelanggaran terbaharu ANCAP

    Model baharu ini dijana oleh enjin boxer empat-silinder FB20 2.0 liter DOHC suntikan bahan api terus yang diolah semula, dipadankan bersama kotak gear Lineartronic CVT serta sistem pacuan semua roda Subaru Symmetrical AWD. Menurut Subaru, unit janakuasa baharu ini memberikan daya pecutan lebih baik serta penggunaan bahan api yang lebih ekonomi.

    Di Malaysia, Impreza generasi sebelum ini dibayangi oleh model berprestasi tingginya iaitu Impreza WRX dan WRX STi (untuk model-model baharu, WRX dan WRX STi tidak lagi menggunakan plat nama Impreza) kerana pengimport persendirian (grey importer) lebih gemar mengimport model berkenaan berbanding model biasa tanpa pengecas turbo.

    Walau bagaimanapun, menerusi pengedar rasmi Subaru terbaharu di Malaysia iaitu Motor Image (dibawah naungan Tan Chong Motor), Impreza dijangka akan dipasang secara pemasangan tempatan (CKD) di Malaysia bersama XV dan Forester, dan bakal bersaing dengan Honda Civic, Toyota Altis, Mazda 3 serta pesaing-pesaing lain dalam pasaran sedan segmen-C tempatan.

    Dalam laporan sebelum ini, pengarah eksekutif Tan Chong International, Glenn Tan memberitahu paultan.org bahawa kilang syarikatnya yang terletak di Segambut bersedia untuk memproduksi model-model Subaru generasi-seterusnya yang meggunakan platform baharu berkenaan pada bila-bila masa sahaja.

    GALERI: Subaru Impreza 2017

     
     
  • CarBase.my – aplikasi Android sedia dimuat turun

    CarBase.my – aplikasi Android sedia dimuat turun

    Kini, untuk memilih, menilai dan membeli kenderaan tidak lagi sesukar mana, semuanya di hujung jari sahaja. CarBase.my merupakan laman web bagi pangkalan data yang lebih meluas dan komprehensif sebagai pusat sehenti mencari kenderaan baharu yang dijual di Malaysia.

    Laman web ini mula diperkenalkan sejak Mei 2014, menawarkan pelbagai keperluan yang dikehendaki bagi mereka yang mencari maklumat pembelian, senarai harga, spesifikasi lengkap, perincian mengenai waranti (pengeluar atau lanjutan-insurans), foto resolusi tinggi dan juga pendapat umum/pakar, semuanya terhimpun di bawah laman web yang sama.

    Kini, anda tidak perlu lagi bergantung pada PC atau komputer riba untuk mencari maklumat seumpamanya, kerana ia juga telah ditawarkan untuk pengguna telefon bimbit menerusi peranti Android yang boleh diakses dengan lebih mudah. Ya, aplikasi CarBase.my kini telah sudah boleh dimuat turun menerusi telefon bimbit yang menggunakan sistem Android.

    Seperti versi laman web, anda kini boleh mencari maklumat mengenai jenis kerangka, segmen, harga dan banyak lagi, malah ulasan dari pengguna serta berita terkini dari paultan.org juga terpapar menerusi aplikasi ini. Bukan itu sahaja, turut disertakan ialah kalkulator untuk pinjaman kenderaan, insurans dan cukai jalan, serta panduan nilai pasaran bagi kereta.

    Aplikasi CarBase.my Android kini sudah boleh dimuat turun menerusi Google Play, dan anda boleh muat turunnya di sini.

     
     
  • Mazda CX-5 2017 kini mula dijual untuk pasaran Jepun – penawaran harga bermula daripada RM94k

    Mazda CX-5 2017 kini mula dijual untuk pasaran Jepun – penawaran harga bermula daripada RM94k

    Baru saja dipertonton ketika pameran Los Angeles Auto Show bulan lalu, Mazda CX-5 2017 kini mula dijual untuk pasaran Jepun. Tempahan bagi model ini sudah mula diambil, dan dijangka akan mula diserahkan kepada pemilik pada 2 Januari.

    Ia menggunakan barisan enjin sedia ada, dengan tambahan enjin 2.2 liter SkyActiv-D Twin Turbo diesel dengan janaan kuasa 172 PS/420 Nm serta enjin 2.0 liter (155 PS/196 Nm) dan 2.5 liter (184 PS/245 Nm) SkyActiv-G yang dipadankan dengan transmisi SkyActive-Drive automatik enam-kelajuan. Sistem pacuan pula terdirid daripada dua jenis; 2WD atau Mazda i-Activ All-Wheel Drive.

    Untuk pasaran Jepun, Mazda CX-5 dijual pada harga 2,462,400 yen (RM93,600) bagi CX-5 20S 2WD petrol, hinggalah 2,689,200 yen (RM102,200) bagi versi 20S Proactive 2WD yang ditambah dengan ciri i-ActivSense sepenuhnya sebagai ciri keselamatan serta rim aloi 19 inci.

    Mazda CX-5 2017 kini mula dijual untuk pasaran Jepun – penawaran harga bermula daripada RM94k

    Bagi varian dengan enjin yang lebih besar, versi 25S AWD dan 25S Proactive AWD masing-masing dijual pada harga 2,689,200 yen dan 2,916,000 yen (RM110,800), dan bagi spesifikasi paling tinggi, 25S L Package yang melibatkan tambahan material kulit serta lampu kabus LED dijual pada harga 2,986,200 yen (RM113,500) bagi model 2WD dan 3,213,000 yen (RM122,100) bagi versi AWD.

    Bagi enjin diesel, varian spesifikasi asas XD dijual pada harga 2,775,600 yen (RM105,500) untuk 2WD dan 3,002,400 yen (RM114,100) untuk AWD, varian XD Proactive pula pada harga 3,002,400 yen bagi 2WD dan 3,229,200 yen (RM122,800) bagi AWD. Sementara itu, varian XD L Package dijual pada harga 3,299,400 yen (RM125,400) bagi 2WD dan 3,526,200 yen (RM134,000) bagi AWD.

    Merupakan model generasi baharu Mazda yang pertama menerima reka bentuk semula, CX-5 baharu ini tampil dengan pendekatan rekaan Kodo dengan lebih “pekat”, dengan tema “refined toughness” digunakan pada kenderaan terbabit. Gril depan yang besar mungkin nampak biasa, sebaliknya ia menampilkan corak tiga dimensi bahari bagi mendapatkan imej yang lebih sporty. Lampu utama juga kelihatan lebih “sempit”.

    Sementara itu, “sayap” yang ada pada bahagian gril berkenaan juga lebih lebar dan kini diletakkan di bawah lampu utama. Bampar pula menggunakan bentuk trapezoidal untuk kelihatan lebih kukuh. Ia menggunakan SkyActiv-Body yang diperkukuh dilebih banyak bahagian, seperti A-pillar – kini 15.5% lebih kukuh daripada sebelumnya.

    Model ini datang dengan ciri G-Vectoring Control sebagai standard. Dari segi keselamatan, ia dilengkapi antaranya oleh ciri seperti lampu adaptif LED, Trafic Sign Recognition, pengesan pejalan kaki bagi sistem Advanced Smart City Brake Support (SCBS) dan sistem Mazda Radar Cruise Control (MRCC) yang membolehkannya mengikut kenderaan di depan dari kedudukan pegun hingga 100 km/j.

     
     
  • MRT akan beroperasi secara percuma selama sebulan

    MRT akan beroperasi secara percuma selama sebulan

    Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan hari ini bahawa perkhidmatan Mass Rapid Transit (MRT) yang akan memulakan operasi seawal 6 pagi esok akan ditawarkan secara percuma selama sebulan, seperti dilaporkan The Malay Mail.

    Hadir pada majlis pelancarannya hari ini, bagi fasa satu laluan Sungai Buloh-Kajang, beliau turut memaklumkan bahawa perkhidmatan percuma itu juga akan melibatkan bas perantara yang disediakan untuk kemudahan pengguna.

    “Sebagai hadiah tahun baru kepada orang-ramai serta memberi peluang kepada semua untuk mencuba perkhidmatan baharu ini, saya ingin mengumumkan bahawa Rapid Rail akan menyediakan perkhidmatan percuma bagi MRT bermula esok hingga 16 Januari 2017,” ujar beliau.

    “Ini termasuk perkhidmatan bas perantara. Tambang hanya akan dikenakan bermula 17 Januari 2017,” tambah beliau lagi.

     
     
  • Toyota dan Daihatsu umum syarikat dalaman baharu yang bakal beroperasi bermula 1 Januari 2017

    Toyota dan Daihatsu umum syarikat dalaman baharu yang bakal beroperasi bermula 1 Januari 2017

    Susulan dari laporan sebelum ini yang menyatakan Toyota Motor Corporation dan subsidiari penuhnya Daihatsu Motor Co., Ltd merancang untuk mewujudkan sebuah syarikat dalaman baharu yang akan bertanggungjawab keatas kereta kompak untuk pasaran baharu yang penting, syarikat dalaman berkenaan diumum akan beroperasi bermula 1 Januari 2017 dan akan digelar sebagai ‘Syarikat Kereta Kompak Pasaran-Penting Baharu’.

    Presiden Daihatsu Masanori Mitsui akan mengambil peranan sebagai pengerusi, manakala pegawai pengurus Toyota Shinya Kotera dilantik sebaagi presiden syarikat dalaman baharu ini.

    Menurut kenyataan media yang disiarkan, syarikat ini akan membina kereta kompak khas untuk negara-negara membangun, mengambil kesempatan atas kepakaran Daihatsu membina produk berkualiti dan mampu milik, dan “tidak tertakluk pada amalan konvensional dan peraturan” sedia ada.

    Syarikat dalaman ini akan terdiri dari tiga bahagian iaitu Perancangan Produk dan Perniagaan Kereta Kompak Pasaran Penting Baharu, Perancangan Kereta Kompak Pasaran Penting Baharu dan Perancangan Kualiti Kereta Kompak Pasaran Penting Baharu.

    Toyota dan Daihatsu umum syarikat dalaman baharu yang bakal beroperasi bermula 1 Januari 2017

    Toyota dan Daihatsu akan menjalankan perancangan keseluruhan bagi produk dan operasi perniagaan, termasuk mencadangkan barisan kenderaan berjenama Toyota bagi pasaran penting baharu, serta strategi keseluruhan.

    Syarikat itu turut menyatakan Daihatsu akan lebih bertanggungjawab terhadap pembangunan produk, dengan perancangan produk dan bahagian perancangan kualiti syarikat dalaman tersebut dipertanggungjawabkan bagi pembangunan produk akhir dan kualiti untuk kenderaan jenama Toyota.

    Selain dari pembentukan syarikat dalaman ini, nama Toyota Motor Asia Pacific Engineering and Manufacturing (TMAP-EM) akan diubah kepada Toyota Daihatsu Engineering and Manufacturing (TDEM), dan menjadi entiti di bawah syarikat dalaman baharu ini.

    Tugas TMAP-EM sebelum ini yang berperanan untuk membekalkan pembangunan, logistik dan sokongan penyediaan produksi untuk model kenderaan yang diproduksi secara tempatan, tidak akan diperluaskan untuk menyokong produksi kenderaan kompak Daihatsu untuk pasaran penting baharu seperti TDEM.

     
     
  • Lucid Motors Air – sedan elektrik mewah berkuasa 1,000 hp, 640 km perjalanan dengan sekali cas penuh

    Lucid Motors Air – sedan elektrik mewah berkuasa 1,000 hp, 640 km perjalanan dengan sekali cas penuh

    Sedan mewah elektrik sepenuh (EV) Air keluaran Lucid Motor iaitu pengeluar EV baharu yang berpangkalan di Califronia, Amerika Syarikat dijangka akan diperkenalkan pada 2018. Model ini dilihat akan memberikan saingan sengit kepada sedan mewah EV sedia ada – Tesla Model S – kerana dikatakan menawarkan ciri yang lebih baik dari setiap sudut, dari segi prestasi dan jarak operasi sehingga kepada ciri-ciri mewah.

    Perincian rasmi awal dari Lucid Motor menyatakan, Air akan menerima motor-motor elektrik yang menjana 1,000 hp secara keseluruhan, disuapkan dengan tenaga elektrik dari pek bateri 130 kWh, serta mampu bergerak dalam jarak 640 km dengan satu cas penuh bateri. Syarikat berkenaan juga mendakwa sedan ini turut menerima sistem pemanduan automatik, lengkap dengan penderia-penderia komprehensif yang mampu memenuhi pemanduan automatik pada masa hadapan.

    Pek bateri untuk sedan ini diletakkan pada bentangan lantainya, membolehkan kabin dibina lebih luas tanpa mengorbankan sebarang ruang. Menurut Lucid Motors, kabin Air mempunyai dimensi sebuah sedan mewah bersaiz penuh, dibina pada ruang bersaiz sederhana. Ciri lain yang diterapkan termasuk pilihan tempat duduk belakang eksekutif (boleh dibaringkan hingga 55 darjah), kawalan suara serta sistem audio dengan 29-pembesar suara bersama penyenyap bunyi aktif.

    Lucid Motors Air dijangka akan dijual pada harga sekitar US$100,000 (RM446,000) untuk model spesifikasi penuh, manakala varian yang lebih murah akan dijual pada harga sekitar US$65,000 (RM290,000).

    Lucid Motors yang menerima sokongan dari China berkenaan sebelum ini lebih dikenali sebagai Atieva. Nama Atieva ditukar kepada Lucid Motors Oktober lalu kerana haluan syarikat tersebut yang kini dikenali sebagai pembuat automotif dengan pengenalan sedan elektrik ini.

    Bulan lalu, Lucid Motors mengumumkan fasiliti untuk produksi model ini akan ditempatkan di Casa Grande, Arizona. Awal bulan ini juga, Samsung SDI diumumkan sebagai rakan strategiknya dan berperanan sebagai pembekal utama sel lithium-ion yang akan digunakan dalam pek bateri Air.

     
     
  • Jualan kenderaan di Thailand menurun sebanyak 6.2%

    Jualan kenderaan di Thailand menurun sebanyak 6.2%

    Thai Motor Expo 2016, sebuah siri pameran tahunan yang antara lain bertujuan untuk jual-beli kenderaan, telah melabuhkan tirai dengan jumlah tempahan yang diterima tidak mampu menepati sasaran awal. Secara keseluruhannya, pasaran automotif di Thailand dijangka akan mengakhiri tahun 2016 dengan jualan sebanyak 750,000 unit kenderaan, memetik laporan Bangkok Post.

    Menurut jurucakap kelab automotif Federation of Thai Industries, Surapong Paisitpatanapong, sekali lagi angka jualan kenderaan di Thailand bakal menyaksikan penurunan, jatuh 6.2% daripada 799,592 unit kenderaan yang berjaya dijual tahun lalu.

    Perkembang ini meneruskan trend penurunan angka jualan di sana. Pada 2012, angka jualan kenderaan di Thailand mencecah 1.45 juta unit, dengan pengecualian cukai bagi pembeli kereta pertama menjadi pemangkinnya. Ini termasuk permintaan yang tinggi daripada kawasan yang teruk dilanda banjir pada 2011. Setelah itu, jualannya mula menurun; 1.33 juta unit pada 2013, 881,832 unit pada 2014 dan 799,592 unit pada 2015.

    Bagi Januari hingga Oktober 2016, jualan jatuh lagi sebanyak 0.7% berbanding tempoh sama tahun lalu kepada 617,159 unit. Minggu hadapan, badan berkenaan bakal mengumumkan jumlah jualan bagi November dan Surapong angka yang akan dicatatkan ialah sekitar 62,000 hingga 63,000 unit.

    Penganjur Thai Motor Expo, Inter-Media Consultant menyatakan terdapat 40,364 tempahan diambil pada pameran berkenaan bagi tempoh 30 November hingga 12 Disember lalu, turun 10.1% berbanding ketika pameran tahun sebelumnya. Daripada jumlah itu, 32,422 merupakan tempahan bagi kereta penumpang; jatuh 17.1%. Toyota mendahului dengan 5,124 unit tempahan, diikuti Honda (4,902 unit), Isuzu (3,620 unit), Mazda (3,434 unit) dan Ford (2,441 unit).

    Trend yang sama turut dicatatkan di Malaysia. Bagi 10 bulan pertama, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) melaporkan jumlah jualan ialah 466,208 unit, turut 13.9% berbanding tempoh sama tahun lalu. 2015 pula mencatatkan jumlah tertinggi bagi kenderaan yang didaftarkan, iaitu 666,674 unit.

    Di awal 2016, MAA menjangkakan akan berlaku penurunan sebanyak 2.5% tahun ini. Angka sebenarnya akan kita ketahui tidak lama lagi, sebaik 2016 melaburkan tirainya nanti.

     
     
  • Renault, Nissan guna platform sama untuk EV baharu

    Renault dan Nissan akan bekerjasama dalam membangunkan platform baharu bagi model kereta elektrik (EV) Zoe dan Leaf generasi akan datang, menurut Automotive News Europe. Malahan kerjasama di antara kedua-dua syarikat ini bagi mempertingkatkan lagi skala ekonomi, menurut matlamat yang ditetapkan oleh Carlos Ghosn selaku pengerusi dan CEO Renault-Nissan Alliance.

    Di mana kedua-dua model kenderaan berkenaan akan berkongsi motor elektrik yang sama, tetapi boleh tampil dengan penggayaan yang tersendiri, ujar Arnaud Deboeuf, timbalan kanan presiden Renault-NIssan BV. Malah kedua-dua model juga akan bersaing dalam segmen yang sama, namun buat masa ini, Deboeuf enggan mendedahkan perincian lebih lanjut termasak mungkin ada perubahan saiz pada kenderaan terbabit.

    Bukan itu sahaja, beliau juga tidak memaklumkan jangka waktu untuk memperkenalkan Leaf dan Zoe baharu, tetapi memberikan sedikit gambaran, ia akan berlaku selepas Leaf facelift pada 2018. Laman berita Perancis Les Echos melaporkan Zoe akan menjadi model pertama Renault-Nissan Alliance yang menggunakan platform EV baharu itu sebelum tahun 2020.

    Walau pun berkongsi komponen, namun Renault dan Nissan mungkin akan menggunakan sel bateri yang berbeza, dengan pembelian terdahulu dari LG Chem, sementara Nissan pula akan mengeluarkan bateri sendiri, hasil kerjasama Automotive Energy Supply Corporation, bersama NEC. Walau bagaimana pun, Nikkei Asian Review melaporkan bahawa Nissan sedang mencari peluang untuk menghentikan kerjasama tersebut dan berpendapat membeli daripada pembekal luar lebih menjimatkan.

     
     
  • Toyota C-HR terima kit talaan TRD dan Modelista

    Serentak dengan pelancaran Toyota C-HR di Jepun, divisi perlumbaan dan aksesori rasmi jenama berkenaan iaitu Toyota Racing Development (TRD) dan Modelista turut melancarkan barisan aksesori mereka untuk SUV segmen-B berkenaan. Kit-kit menyeluruh ini bukan sahaja melibatkan aspek estetika, malah ia turut melibatkan tingkat taraf mekanikal khususnya dari TRD.

    TRD hadir dua pakej rekaan berbeza, yang mana kedua-duanya memberikan imej berbeza dan tersendiri. Kit pertama dari TRD digelar Agressive Style, menampilkan imej agresif untuk kegunaan jalan raya. Kit ini hadir dengan spoiler hadapan (dengan atau tanpa lampu nyalaan siang LED), skirt sisi, diffuser belakang dan juga spoiler tailgate belakang bersaiz kecil, yang kesemuanya menampilkan rekaan yang agak agresif. Kemasan gril hadapan baharu juga diberikan dengan pilihan warna hitam atau perak.

    Satu lagi kit dari TRD digelar Extreme Style yang memberikan imej lebih kepada sebuah kenderaan lasak kepada C-HR. Kit ini hadir dengan spoiler hadapan yang lebih kecil, pelindung fender lebih lebar, mud flap serta spoiler tailgate berwarna hitam.

    Kedua-dua pakej ini boleh dipadankan dengan roda aloi TRD TF6 berdiameter 18-inci sama ada berwarna hitam atau perak. TRD turut menawarkan roda aloi berdiemter 17-inci dari pengeluar lain iaitu Works WIL-02D, Kyoho CDF 1 dan Tom’s TH-01.

    Pada bahagian dalaman pula, TRD menawarkan sarung tempat duduk lebih sporty dibuat menggunakan material yang boleh menyerap hentakan digelar Exgel, diletakkan pada perehat belakang dan kedua-dua belah pad sisi. Sarung ini juga menawarkan upholsteri urethene rendah daya geseran serta pegangan badan yang lebih kuat.

    Selain itu, kit TRD ini turut menawarkan suis penghidup enjin jenis tekan, sarung untuk kunci pintar, set mentol penunjuk serta pelindung pemegang pintu.

    TRD turut menawarkan motion control beam (MCB) untuk suspensi C-HR yang didakwa boleh menyerap atau mengecilkan getaran badan yang terjadi semasa kereta ini bergerak, meningkatkan ketegaran badan serta meningkatkan respon, mengurangkan kelajuan golekan dan meningkatkan ground contact feel keempat-empat tayar. Sistem pemantauan tekanan angin tayar juga disertakan dengan penerima berbentuk seperti kunci pintarnya yang tersendiri.

    Pakej kit yang ditawarkan oleh Modelista juga terbahagi kepada dua. Yang pertama digelar Boost Impulse Style, menampilkan rekaan yang juga agak agresif pada spoiler hadapan, skirt sisi dan kemasan bawah bampar belakang. Ia juga menerima kemasan gril hadapan, liang sisi palsu dan juga spoiler tailgate.

    Pakej kedua pula digelar Elegant Ice Style, menampilkan kit aero yang lebih lembut dan elegan pada kit-kit aeronya. Selain itu, pakej ini turut hadir bersama elemen krom pada cermin sisi, pintu dan juga pembuka pintu.

    Kedua-dua pakej ini turut diberikan lampu LED pada cermin sisi, antena dan juga kemasan nombor pendaftaran belakang, kemasan pada tip ekzos, serta pilihan roda aloi Modelista berdiameter antara 17- hingga 19-inci.

    Modelista juga hadir dengan aksesori untuk bahagian dalaman C-HR yang terdiri dari kemasan akhir berwarna biru atau titanium, set lampu kabin LED, lampu puddle LED pintar dan juga lampu LED pada bahagian kargo belakang. Lampu jalur LED turut diberikan mengelilingi tuil gear.

    GALERI:Toyota C-HR TRD

    GALERI:Toyota C-HR Modelista

     
     
  • Crossover 7 tempat duduk Mitsubishi akan masuk fasa pengeluaran tahun 2017; versi Nissan akan cabar BR-V

    Crossover 7 tempat duduk Mitsubishi akan masuk fasa pengeluaran tahun 2017; versi Nissan akan cabar BR-V

    Dengan Mitsubishi Motors juga kini sebahagian daripada perikatan Nissan-Renault, sebuah crossover tujuh tempat duduk yang akan dipasarkan menggunakan jenama Nissan dan Mitsubishi boleh menjadi model kerjasama pertama antara syarikat pengeluar dari Jepun itu. Ini adalah berdasarkan laporan daripada Bangkok Post.

    Dalam laporan itu juga ada menyebut bahawa sumber kedudukan tinggi di Nissan mendedahkan bahawa model tersebut, yang dibangunkan menggunakan asas daripada model konsep Mitsubishi XM akan memberi cabaran kepada Honda BR-V. Model konsep tersebut pertama kali ditunjuk semasa Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) sebagai sebuah kenderaan tujuh tempat duduk dengan tiga barisan.

    Versi crossover Mitsubishi kemungkinan besar akan diperkenalkan terlebih dahulu kepada pasaran Asean berbanding model Nissan, seperti yang dilaporkan oleh Autonetmagz yang mengatakan bahawa pengeluaran model baru tersebut akan bermula pada tahun 2017 di kilang Mitsubishi di Bekasi, Jawa Barat, Indonesia. Gambar spyshot prototaip yang ditutup rapi juga menunjukkan bentuknya tidak lari jauh daripada model konsep XM.

    Dengan itu, Nissan berkemungkinan besar akan mengambil model tersebut untuk dimasukkan dalam barisan penawaran modelnya bagi pasaran lain, meskipun masih belum pasti sama ada ia akan menjadi model yang sekadar ditukar lencananya atau lebih komprehensif seperti X-Gear baru contohnya. Apa pun, kerjasama Nissan dengan Mitsubishi juga akan melibatkan model lain termasuk pembangunan model pikap Nissan Navara dan Mitsubishi Triton generasi seterusnya.

    Syarikat-syarikat ini juga akan berkerjasama dalam bahagian kenderaan elektrik, di mana pembangunan dan pembelian komponen secara bersama dapat mengurangkan kos. Pada masa ini, Mitsubishi menawarkan model elektrik i-MiEV manakala Nissan pula mempunyai Leaf.

    GALERI: XM Concept semasa GIIAS 2016

     
     
  • SPYSHOT: Volkswagen Tiguan generasi kedua dalam video, model CKD akan dipasarkan pada tahun 2017

    Semasa pelancaran Passat B8 bulan lalu, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) mendedahkan bahawa SUV Tiguan generasi kedua akan diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2017, dan akan dipasang di Pekan, Pahang (CKD). Kewujudan Tiguan ini di Malaysia sudah dipastikan apabila pembaca kami, “Tan Tai Chi” menjumpainya atas jalan dan direkod dalam satu video. Kenderaan tersebut didapati menggunakan no plat perdagangan Pahang.

    Masih tidak dapat dipastikan spesifikasi sebenar Tiguan pemasangan tempatan ini kerana masih terlalu awal, tetapi secara amnya, ia adalah lebih besar berbanding Tiguan sebelum ini, iaitu 60 mm lebih panjang, 30 mm lebih lebar dan jarak roda 77 mm lebih panjang. Ruang but juga lebih besar 145 liter, menjadi 615 liter, atau 1,655 liter apabila tempat duduk belakang dilipat.

    Tiguan baru dipertonton pertama kali semasa IAA 2015 dan ia dibina atas platform modular MQB yang turut digunakan untuk Golf Mk7. Penampilannya lebih ‘tajam’ dan duduk 33 mm lebih rendah berbanding asal. Dengan teknologi baru ini juga, walaupun saiz bertambah, beratnya masih dapat dikurangkan sebanyak 50 kg.

    Enjin biasa Volkswagen iaitu TSI turbo dan TDI boleh didapati pada kenderaan ini, dan dengan pengiktirafan Euro 6, enjin tersebut 24 peratus lebih cekap dalam penggunaan bahan api. Turut boleh didapati adalah pacuan semua roda 4Motion dengan penyambung (coupling) Haldex generasi kelima.

    Suis pengawal 4Motion Active Control baru juga boleh didapati pada konsol tengah, dengan empat pilihan profail – dua untuk jalan biasa (Onroad dan Snow), dan dua mod offroad (Offroad dan Offroad Individual). Tiguan AWD mempunyai ruang kelegaan 11 mm lebih tinggi, (200 mm), dan terdapat bahagian bampar hadapan khas dengan sudut menjunam 25.6 darjah. SUV ini boleh didapati dalam varian kelengkapan Trendline, Comfortline dan Highline. Untuk yang lebih sporty, pakej R-Line juga disediakan.

    GALERI: Volkswagen Tiguan semasa Frankfurt Motor Show 2015

     
     
  • VIDEO:Nissan Leaf digunakan sebagai kereta tunda tanpa pemandu untuk memindahkan stok di kilangnya

    Nissan menggunakan hatchback elektrik sepenuhnya (EV) Leaf sebagai kereta tunda tanpa pemandu bagi tujuan pengangkutan untuk memindahkan stok-stok kereta di kawasan kilangnya yang terletak di Oppama, Jepun.

    Leaf yang dibina khas ini merupakan sebahagian dari sistem Intelligent Vehicle Towing (IVT) yang kini sedang diuji di kilang berkenaan untuk memindahkan kereta-kereta yang telah siap dari barisan pemasangan ke pelabuhan bersepadu.

    Sistem ini direka seakan sistem penghantaran automatik lain yang kini digunakan secara meluas di kilang-kilang, tetapi ia berfungsi tanpa infrastruktur khas seperti jalur magnetik atau rel, serta mampu membawa barang yang lebih besar.

    VIDEO:Nissan Leaf digunakan sebagai kereta tunda tanpa pemandu untuk memindahkan stok di kilangnya

    Setiap Leaf yang ditugaskan ini dilengkapi dengan kamera dan pengimbas laser yang boleh mengesan garisan penanda, bendul, kereta, orang dan juga objek-objek lain. Ia juga diberikan peta dan laluan yang telah di pratakrif bagi membolehkan ia berubah mengikut keperluan pengangkutan dalam kilang berkenaan.

    Kesemua Nissan Leaf ini akan dihubungkan kepada sistem pemantauan trafik berpusat bagi mengesan kedudukan, kelajuan, status serta bateri setiap kereta berkenaan. Ia juga turut mengawal dan membenarkan kereta mana yang perlu bergerak dahulu sekiranya dua buah kereta bertemu di simpang.

    Menurut Nissan, sistem IVT ini telah dipasang hampir setahun lalu dan sekitar 1,600 ujian telah dijalankan. Setakat ini Nissan masih lagi belum menyatakan sama ada akan meneruskan ujian tersebut di kilang Oppama, tetapi mereka “akan mengkaji kemungkinan” untuk menggunakan sistem IVT ini di kilang lain, sama ada di dalam atau di luar Jepun.

    VIDEO:Nissan Leaf digunakan sebagai kereta tunda tanpa pemandu untuk memindahkan stok di kilangnya

    Selain sebagai memudahkan kerja pengangkutan di kilang, maklumat dari hasil ujian ini turut akan digunakan pada teknologi pemanduan sendiri Nissan yang akan digunakan untuk tujuan komersial.

    Sebelum ini, Nissan telah pun melancarkan sistem pemanduan sendiri yang digelar ProPilot generasi pertama dan telah dipadankan pada MPV Nissan Serena generasi terbaharu. Sistem berkenaan berfungsi seakan sistem adaptive cruise control dan sterengnya hanya boleh berfungsi sendiri pada satu laluan jalan sahaja.

    Walau bagaimanapun, Nissan menyatakan sistem berkenaan akan dikemaskini dari masa ke masa dan akan sempurna sebagai sistem pemanduan sendiri yang boleh berfungsi di lebuhraya pelbagai lorong menjelang 2018, serta mampu berfungsi sendiri di persimpangan jalan pada tahun 2020.

     
     
  • HSR: Singkatkan masa perjalanan domestik, Negeri Sembilan rancang sambungan laluan Seremban-KLIA

    HSR: Singkatkan masa perjalanan domestik, Negeri Sembilan rancang sambungan laluan Seremban-KLIA

    Pelaksanaan High-Speed Rail (HSR) antara Kuala-Lumpur-Singapura tidak hanya memendekkan waktu perjalanan antara kedua negara, tetapi turut menyingkatkan waktu perjalanan bagi destinasi domestik.

    Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, projek yang turut melibatkan sebuah hentian di Seremban itu misalnya akan turut membolehkan pengguna bergerak dari bandar itu ke Johor Bahru dalam masa kurang daripada setengah jam, memetik laporan Bernama.

    “Jadi, dengan adanya stesen di Seremban nanti, kami merancang agar stesen berkenaan turut akan dihubungkan dengan KLIA, yang turut akan mewujudkan sebuah lokasi pusat baharu yang akan menjadi sebahagian daripada rancangan pembangunan yang dikenali sebagai Malaysia Vision Valley (MVV). Ini juga akan menggiatkan perkembangan rangkaian pengangkutan awam di dalam negara,” jelas beliau.

    Semalam, Malaysia dan Singapura menandatangani perjanjian dua hala yang akan menjadikan hal itu sebagai kenyataan di antara kedua-dua negara, memendekan tempoh perjalanan KL-Singapura yang melibatkan jarak kira-kira 350 km kepada hanya 90 minit dengan keretapi moden berkelajuan maksimum sekitar 300 km/j.

     
     
  • Kekerapan perkhidmatan tren perlu dipertingkat – Liow

    Kekerapan perkhidmatan tren perlu dipertingkat – Liow

    Bagi mencapai sistem pengangkutan awam terutamanya tren yang lebih efisien di negara ini, Kementerian Pengangkutan menyarankan agar penyedia perkhidmatan terbabit mempertingkatkan kekerapan tren kepada 90 saat atau 1.5 minit pada masa akan datang.

    Menurut menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai, pengalamannya semasa lawatan ke Moscow, Russia baru-baru ini, kekerapan sistem pengangkutan Transit Aliran Massa (MRT) di negara itu ditetapkan pada 1.5 minit dengan keupayaan membawa 8.5 juta penumpang setiap hari, laporan Berita Harian.

    “Dengan kekerapan tren pada setiap 1.5 minit, orang awam yang menggunakan pengangkutan tersebut di negara berkenaan tidak perlu menunggu lama. Justeru, kita juga berharap dapat mencapai sasaran berkenaan pada suatu hari dan ia juga adalah sebahagian daripada transformasi dalam pengangkutan awam negara,” ujarnya ketika berucap dalam majlis makan malam Kementerian Pengangkutan semalam.

    Dalam masa yang sama, beliau turut memberi contoh, kekerapan perkhidmatan komuter Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTM) berjaya ditambah baik daripada sejam kepada setengah jam dan yang terbaharu ialah 15 minit. Malahan melalui pelaksanaan Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT), tempoh menunggu komuter akan disingkatkan kepada 7.5 minit menjelang 2019 dan dikurangkan lagi kepada 3.5 minit.

     
     
  • GALERI: Peugeot 208, 2008 facelift dipertontonkan

    Pada awal bulan ini, Peugeot Malaysia telah pun mengesahkan model facelift bagi 208 dan 2008 mula dibuka tempahannya. Bakal dilancarkan tidak lama lagi, baru-baru ini kedua-dua model tersebut juga telah dipertontonkan di Queensbay Mall, Pulau Pinang. Lewat petang ini, model 208 dan 2008 facelift telah diprebiu di Saujana Subang untuk tontonan pihak media.

    Model 208 dan 2008 facelift ini telah diberikan sedikit suntikan peningkatan bagi bahagian luaran. Bagi 208 facelift ini, ia menerima kombinasi gril dan bampar baharu, bersama lampu utama signatur baharu dengan dwi-tona berwarna hitam yang lebih terang dan bezel krom. Untuk bahagian belakang pula, ia menerima padanan kluster lampu LED-penuh dengan motif cakaran yang menonjol.

    Manakala untuk 2008 pula, ia telah diberikan sedikit prubahan pada bahagian hadapan dengan menampilkan gril melintang baharu, di samping lampu utama dan sambungan gerbang roda hitam yang diperkemaskini serta scuff plates baharu bagi menyerlahkan lagi gaya SUV kompak tersebut.

    Bukan sahaja bahagian luarannya, kedua-dua model ini turut diberikan perubahan mekanikal. Jika model terdahulu, ia menerima enjin 1.6 liter 122 PS/160 Nm dan dipadankan dengan transmisi auto empat-kelajuan. Namun kedua-dua model facelift ini ditampilkan dengan enjin baharu 1.2 liter PureTech yang mampu menghamburkan output 112 PS dan 205 Nm, bersama transmisi automatik enam-kelajuan Aisin.


    Bagi 208, ia mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 9.8 saat dan mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 190 km/j. Manakala penggunaan bahan apinya sekitar 4.5 l/100 km bagi kitaran kombinasi. Model versi lama pula memerlukan 10.7 saat bagi 0-100 km/j dan penggunaan bahan api sekitar 6.7 l/100 km. Kelajuan maksimum tidak berubah.

    Manakala untuk model 2008 pula, kini ia mampu mencapai 9.9 saat bagi 0-100 km/j, kelajuan maksimum sehingga 188 km/j dan lebih kurang 4.8 l/100 km. Sebagai perbandingan, model pre-facelift hanya 11.2 saat bagi 0-100 km/j, kelajuan maksimum 190 km/j dan menggunakan 6.5 l/100 km.

    Untuk aspek keselamatan, kedua-duanya menerima enam beg udara dan kawalan kestabilan elektronik, seperti sebelum ini. Tiada harga yang diumumkan buat masa ini, namun mungkin ia tidak jauh berbeza dengan harga sedia ada iaitu RM85,888 untuk model 208 lima-pintu hatchback dan RM119,888 bagi 2008 crossover.

    GALERI: Peugeot 208 facelift

    GALERI: Peugeot 2008 facelift

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.47 (-0.25)
RON 97 RM4.10 (-0.25)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.07 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.27 (-0.30)
Last Updated Jun 25, 2026