Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • VW beli semula kenderaan dari pelanggan yang terlibat dalam isu Dieselgate di Amerika Syarikat dan Kanada

    VW beli semula kenderaan dari pelanggan yang terlibat dalam isu Dieselgate di Amerika Syarikat dan Kanada

    Perkembangan terbaharu dalam penyelesaian antara Volkswagen AG dan pihak berkuasa Amerika Utara berhubung skandal penipuan ujian pencemaran enjin diesel menyaksikan syarikat berkenaan bersetuju untuk membeli semula 83,000 unit kenderaan yang dijana enjin 3.0 liter V6 TDI di Amerika Syarikat, dan juga 105,000 kenderaan yang dijana enjin 2.0 liter empat-silinder TDI di Kanada, menurut laporan Reuters.

    Kenderaan yang terlibat untuk pasaran Amerika Syarikat termasuk VW Touareg dan Audi Q7 2009-2012, VW Touareg 2013-2016, Audi Q7 2013-2015, Porsche Cayenne 2013-2016 dan juga Audi A6 Quattro, A7 Quattro, A8 serta Q5 2014-2016.

    Selain dari pembelian semula ini, VW turut bersetuju membayar lebih dari US$225 juta (RM1 bilion) kepada dana untuk mengurangkan pencemaran enjin diesel di Amerika, tambahan kepada US$2.7 bilion yang dipersetujui sebelum ini untuk menyelesaikan isu 475,000 kenderaan yang dijana oleh enjin 2.0 liter TDI.

    Sejumlah US$2 bilion (RM8.96 bilion) tambahan akan diperuntukan bagi pembangunan dan infrastruktur kenderaan tanpa pencemaran dalam tempoh 10 tahun akan datang. Syarikat tersebut juga bersetuju untuk memperkenalkan sekurang-kurangnya tiga kenderaan elektrik sepenuhya (EV) dalam barisan modelnya menjelang 2020, termasuk model SUV. VW juga akan membayar saman berjumlah US$25 juta (RM12 juta) kepada lembaga udara California.

    Di Kanada pula, Volkswagen akan mengeluarkan belanja sebanyak C$2.1 bilion (RM7.04 bilion) untuk membeli semula kenderaan-kenderaan dijana enjin 2.0 liter TDI yang terlibat dalam skandal ini, selain dari penalti sivil berjumlah C$15 juta (RM50.3 juta). Antara kenderaan yang terlibat adalah Jetta 2009-2015, Jetta Wagon 2009, Golf 2010-2013 dan 2015, Passat 2012-2015, Beetle 2013-2015, Golf Wagon 2010-2014, Golf SportWagen 2015 serta Audi A3 2010-2013 dan 2015 .

     
     
  • Aprilia RSV4 FW-GP – jentera lumba untuk pasaran awam; enjin V4 999 cc ditala untuk capai 250 hp

    Aprilia RSV4 FW-GP – jentera lumba untuk pasaran awam; enjin V4 999 cc ditala untuk capai 250 hp

    Antara tujuan perlumbaan antarabangsa seperti MotoGP dan WSBK adalah sebagai tapak untuk pengeluar menunjukkan kemampuan dan membangunkan teknologi terbaik untuk jentera masing-masing. Sudah banyak teknologi pada motosikal moden datang daripada pengalaman di litar, dan kini, pengeluar juga menawarkan motosikal yang mempunyai kelengkapan sama seperti jentera perlumbaan. Antaranya seperti KTM RC16, Ducati 1299 Superleggera dan RC213V-S.

    Terbaru, Aprilia juga melakukan perkara sama melalui penawaran siri model RSV4 FW. Perkataan siri digunakan kerana bermula tahun 2017, Aprilia akan menawarkan jentera dengan DNA lumba ini dalam empat pakej iaitu FW-SSTK1, FW-SSTK2, FW-SBK dan FW-GP. Kesemuanya menggunakan asas daripada model RSV4 RR Race Pack 2017, dengan enjin V4 999.6 cc dan ditala sendiri oleh cabang prestasi syarikat dari Itali itu, Aprilia Factory Racing.

    Setiap pakej ini mempunyai tetapan khas untuk perlumbaan berbeza, namun paling tinggi sudah tentu adalah yang sama dengan jentera MotoGP iaitu FW-GP. Menurut Aprilia, RSV4 FW-GP mempunyai spesifikasi hampir sama dengan jentera MotoGP Aprilia Racing tahun 2015 dan ia menggunakan gerek (bore) 81 mm, pemasaan injap pneumatic dan ekzos lengkap Akrapovic, boleh menghasilkan sehingga 250 hp.

    Turut dilengkapi pada jentera untuk jualan awam ini adalah suspensi Ohlins, brek Ohlins dengan angkup monoblock dan panel badan dibuat daripada gentian karbon.

    Sebelum anda bertanya harganya, yang setakat ini juga tidak diumumkan secara rasmi, ambil kira perkara ini pula – setiap pembeli Aprilia RSV4 FW-GP akan mendapat sesi litar khas, di mana jurutera pakar akan membuat talaan kepada motosikal supaya sesuai dengan penunggang serta gayanya, kehadiran jurutera setiap kali motosikal ini ditunggang dan pas paddock MotoGP untuk semua perlumbaan.

     
     
  • Toyota panggil semula 97 unit 86 di Amerika Syarikat kerana masalah sambungan pada kunci penghidup

    Toyota panggil semula 97 unit 86 di Amerika Syarikat kerana masalah sambungan pada kunci penghidup

    Toyota Motor North America telah mengumumkan panggilan semula terhadap 97 unit model Toyota 86 2017 pasaran Amerika Syarikat berhubung masalah berkaitan keselamatan.

    Masalah berkenaan timbul kerana penyambung dari transmisi automatik ke silinder kunci penghidup dikhuatiri tidak dihubungkan semasa servis pra-penghantaran dilakukan sebelum dijual. Jika perkara ini terjadi, kunci kereta dapat dicabut dari suis silinder pada mana-mana kedudukan gear selain ‘P’.

    Ini mungkin akan membawa kepada kemalangan sekiranya pemandu terlupa untuk mengalihkan gear ke kedudukan ‘P’, dan terus manarik kuni dan keluar dari kereta, menyebabkan kereta menggelongsor sendiri.

    Model yang dilengkapi sistem kunci pintar dan suis tekan penghidup enjin tidak terlibat dalam panggilan semula ini. Kesemua pemilik yang terlibat akan diberitahu menerusi surat kelas pertama yang menyatakan masalah ini dan meminta mereka untuk menghantar semula kereta masing-masing ke pengedar Toyota bagi memeriksa semula sambungan berkenaan. Sambungan akan dilakukan semula sekiranya perlu, tanpa sebarang pembayaran.

     
     
  • Tesla Model S – GreenTech Malaysia bawa S 75, mungkin tawar model asas S 60 tahun hadapan

    Tesla Model S – GreenTech Malaysia bawa S 75, mungkin tawar model asas S 60 tahun hadapan

    Sebelum ini, kami telah melaporkan Malaysian Green Technology Corporation (GreenTech Malaysia) telah membawa 10 unit permulaan Tesla Model S facelift ke dalam negara untuk disewa, dan hampir semua unit-unit tersebut telah pun diterima oleh pelanggan.

    Susulan dari inisiatif ini, syarikat tersebut akan membawa lagi empat unit sedan elektrik mewah berkenaan pada suku pertama tahun hadapan. Menurut CEO GreenTech Ahmad Hadri Haris, jumlah yang kecil dibawa untuk sesi seterusnya ini adalah kerana stok Model S itu sendiri sememangnya sudah berkurangan – setakat ini permintaan lebih banyak dari pengeluaran.

    Faktor Ringgit yang kini lemah berbanding Dolar Amerika juga menjadi salah satu sebab, tetapi menurut Ahmad Hadri, walaupun perubahan yang drastik berlaku pada kadar tukaran wang asing (kos untuk program ini telah dibuat terlebih dahulu), tiada lagi rancangan untuk meminda kadar sewaan kereta-kereta berkenaan.

    Walau bagaimanapun, penghantaran selepas ini mungkin melibatkan pertukaran varian. Buat masa sekarang, GreenTech menawarkan model pacuan roda belakang Model S 70 dan juga model pacuan semua roda S 90D. 90 D akan dikekalkan tetapi untuk model S 70 yang kini telah diberhentikan pengeluarannya oleh Tesla, ia perlu digantikan dengan S 75 pada masa akan datang. GreenTech juga sedang melihat idea untuk membawa model asas S 60, tetapi masih lagi belum membuat apa-apa keputusan.

    Tesla Model S – GreenTech Malaysia bawa S 75, mungkin tawar model asas S 60 tahun hadapan

    Inisiatif membawa kesemua Tesla ini telah dimulakan GreenTech setelah kerajaan memberi lampu hijau untuk membenarkan pengimportan tanpa cukai 100 unit Tesla model S pada Februari lalu. Perkara berkenaan diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, sebagai satu usaha dari kerajaan untuk mempromosikan teknologi hijau dan kenderaan elektrik.

    Kesemua Tesla ini ditawarkan kepada syarikat-syarikat GLC dan juga swasta (PLC) serta syarikat-syarikat multi-nasional (MNC) yang menyertai agenda hijau tersebut dengan dua pilihan skim sewaan, sama ada untuk menyewanya sahaja dengan tempoh sewaan dua hingga empat tahun atau menerusi skim sewa-beli.

    Skim sewaan berkenaan dijalankan oleh PRAC GreenTech (PRAC GT), iaitu syarikat usahasama antara subsidiari GreenTech Malaysia – GreenTech Catalyst (GTC) dan juga subsidiari Insas Pacific Rent-A-Car (PRAC) – PRAC Logistic. Untuk mengetahui lebih terperinci berkenaan skim sewaan ini, anda boleh membaca laporan kami sebelum ini DI SINI.

     
     
  • JPJ Kelantan saman 280 kenderaan dari Thailand

    JPJ Kelantan saman 280 kenderaan dari Thailand

    Hasil Ops Kenderaan Thailand yang dilaksanakan secara berterusan sepanjang tahun ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan telah mengambil tindakan terhadap 280 kenderaan dari Thailand atas pelbagai kesalahan sejak Januari hingga November lepas.

    Menurut Pengarah JPJ Kelantan, Mahasan Mustapha, antara kesalahan paling ketara yang dilakukan ialah tiada Permit Edaran Antarabangsa (ICP) dengan sebanyak 257 saman dikeluarkan, laporan Bernama.

    Selain itu, kesalahan lain yang turut dikesan termasuklah tiada lesen memandu sebanyak tujuh kes, lesen pemandu tamat tempoh (tiga), langgar syarat permit ICP (dua), cermin gelap (dua), kesalahan tenikal (sembilan), memotong di garisan berkembar (tujuh), dan lain-lain kesalahan (11 kes), katanya kepada pihak media semalam.

    Mahasan berkata JPJ Kelantan melaksanakan Ops Kenderaan Thailand ini dengan objektif utama bagi mengawal kemasukan kenderaan Thailand ke Malaysia yang tidak mengikut peraturan dan memastikan pemandunya mematuhi undang-undang ketika berada di negara ini.

    “Terdapat tiga pintu masuk ke Malaysia di sempadan Kelantan-Thailand iaitu Rantau Panjang, Pengkalan Kubor di Tumpat dan Bukit Bunga di Tanah Merah yang dikawal oleh JPJ melalui Stesen Kawalan Sempadan (SKS). Fungsi utama stesen ini ialah mengeluarkan ICP, menjalankan penguatkuasaan di pintu masuk sempadan dan merekodkan jumlah kemasukan kenderaan Thailand ke negara ini atau sebaliknya,” katanya.

    Mahasan berkata sehingga November lepas, sebanyak 36,038 ICP dikeluarkan kepada kenderaan asing dengan SKS Rantau Panjang adalah pintu masuk paling banyak mengeluarkan ICP iaitu 20,358.

     
     
  • Jejantas menghubungkan stesen-stesen MRT dengan bangunan bersebelahan dibina oleh pemilik hartanah

    Jejantas menghubungkan stesen-stesen MRT dengan bangunan bersebelahan dibina oleh pemilik hartanah

    Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) memaklumkan bahawa semua jejantas yang menghubungkan stesen berkenaan dengan bangunan bersebelahan di semua stesen hentiannya akan dibina oleh pemilik hartanah yang terlibat.

    Ini susulan daripada maklum balas daripada segelintir pengguna di media sosial, sebaik sahaja mereka mencuba perkhidmatan MRT percuma yang bermula sejak 16 Disember lalu. Menurut syarikat pengendali MRT itu, sepanjang tempoh pembinaan MRT laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK), mereka telah menandatangani beberapa perjanjian bersama pemilik hartanah persendirian.

    Kebanyakannya melibatkan pembangunan hartanah komersial dan campuran, yang terletak bersebelahan dengan stesen-stesen MRT berkaitan pembinaan jejantas itu. Memandangkan jejantas-jejantas berkenaan yang terletak di luar kawasan selenggaraan dan kawalan MRT Corp, kedua-dua pihak bersetuju bahawa jejantas-jejantas itu akan dibina oleh pemilik hartanah persendirian terlibat, yang akan bertanggungjawab ke atas kos dan jadual pembinaan masing-masing.

    Jejantas menghubungkan stesen-stesen MRT dengan bangunan bersebelahan dibina oleh pemilik hartanah

    Bagi MRT Corp pula, binaan stesen-stesennya akan disesuaikan untuk membolehkan jejantas-jejantas tersebut disambungkan ke struktur stesen. Bagi fasa pertama laluan SBK, jejantas-jejantas yang telah dipersetujui adalah seperti berikut:

  • Stesen Kampung Selamat dengan bangunan D’sara Sentral dan SqWhere
  • Stesen Surian, dengan Sunway Nexis dan Tropicana Gardens
  • Stesen Mutiara Damansara dengan Surian Tower (dengan sambungan laluan yang turut menghubungkan Hotel Chulan, e-Curve, The Curve dan IPC)
  • Stesen Bandar Utama dengan beberapa premis terdekat seperti One Utama dan 1Powerhouse
  • Dengan itu, walaupun usaha-usaha telah dibuat untuk menyelaraskan tempoh waktu bagi menyiapkan jejantas-jejantas berkenaan, jadual pembinaannya adalah berada di luar kawalan MRT Corp. Memandangkan jejantas-jejantas ini tidak dapat disiapkan sama waktu ketika MRT memulakan operasinya Jumaat lalu, MRT Corp ingin menasihatkan pengguna tentang laluan alternatif ke bangunan dan hartanah persendirian yang terlibat sementara menunggu ia siap dibina.

    Jejantas menghubungkan stesen-stesen MRT dengan bangunan bersebelahan dibina oleh pemilik hartanah

    Dari Stesen Surian, pengguna boleh berjalan keluar menggunakan pintu B ke Sunway Nexis. Dari Stesen Mutiara Damansara ke e-Curve dan bangunan disekitrnya pula, pengguna boleh keluar ke pintu B ke Jalan PJU 7/1, dan berjalan menuju Jalan PJU 7/2 untuk ke Hotel Royale Chulan dan sekitarnya.

    Dari Stesen Bandar Utama ke One Utama Mall, pengguna boleh berjalan kaki melalui jejantas ke bangunan 1Powerhouse yang terletak di Persiaran Bandar Utama. Mereka perlu ke aras bawah untuk menaiki bas perantara T812 untuk ke One Utama. Pengguna boleh juga ke Stesen Mutiara Damansara dengan dan menaiki bas pengantara T809 di Pintu B, yang akan membawa mereka ke One Utama.

    Turut difahamkan bahawa pihak pengurusan One Utama Mall telah memulakan perkhidmatan bas ulang-alik percuma yang menghubungkan stesen dan pusat beli-belah berkenaan. Maklumat berkaitan hal ini boleh diperoleh di 1Powerhouse. Pengalaman kami menggunakan perkhidmatan ini Jumaat lalu boleh diikuti di sini.

     
     
  • Mercedes-Benz E-Class Coupe Edition 1 – model istimewa, dibina terhad hanya sebanyak 555 unit

    Mercedes-Benz E-Class Coupe Edition 1 – model istimewa, dibina terhad hanya sebanyak 555 unit

    Disamping pendedahan Mercedes-Benz C238 C-Class Coupe sebelum ini, jenama dari Jerman berkenaan turut melancarkan edisi terhad model tersebut iaitu Edition 1, dihasilkan terhad hanya 555 unit.

    Untuk membezakannya dengan model standard, model istimewa ini diberikan warna badan matte khas digelar designo cashmere white magno, bersama roda aloi AMG berdiameter 20-inci kemasan hitam dan aloi berkilat. Ia turut diberikan pakej AMG Line yang lebih agresif pada bahagian luaran dan juga pakej Night yang memberikan kemasan hitam pada gril diamond, penutup cermin sisi serta pada sekeliling tingkap sisi.

    Pada bahagian dalaman, C-Class Coupe Edition 1 menerima roda stereng AMG dengan bahagian bawah rata dibaluti gentian-mikro Dinamica, kemasan struktur logam serta uphosteri kulit Nappa berwarna putih dan hitam. Lencana Edition 1 diberikan pada papan pemuka dan turut diletakkan pada karpet alas kaki serta logo lencana berlampu pada bendul pintu.

    E-Class Coupe merupakan model pertama selepas 20 tahun yang menggunakan nama yang sama seperti model sedan (merujuk kepada E-Class sedan W213), berbanding model C-Class sebelum ini di mana model dua pintunya diberikan nama CLK. Ciri lain yang diberikan pada model coupe ini adalah hampir sama dengan versi sedan W213, termasuk sistem pemanduan sendiri separa-automatik Drive Pilot.

    Semasa dilancarkan, E-Class Coupe hadir dengan tiga pilihan enjin iaitu enjin petrol empat-silinder 2.0 liter turbo berkuasa 184 hp/300 Nm pada varian E 200 dan 245 hp/370 Nm pada varian E 300, enjin petrol V6 3.0 liter turbo pada varian E 400 4Matic serta enjin baharu 2.0 liter turbo diesel berkuasa 194 hp/400 Nm pada varian E 220 d. Kesemua enjin ini dipadankan bersama kotak gear automatik sembilan-kelajuan 9G-Tronic sebagai ciri standard.

     
     
  • TUNGGANG UJI: Benelli TnT135 – si genit padu 135 cc

    TUNGGANG UJI: Benelli TnT135 – si genit padu 135 cc

    Setiap kali ke negara jiran, Thailand, penulis pasti tertarik dengan banyak model motosikal yang tidak terdapat di negara kita. Ini termasuklah jenis yang bertayar kecil seperti Honda Zoomer X, MSX125 dan pelbagai lagi. Sehinggakan, mereka juga ada model seperti Ducati Monster tetapi bersaiz kecil. Di Malaysia, bagi motosikal jenis ini, Kawasaki Malaysia pernah memasarkan KSR110 (satu tempat duduk), tetapi sudah diganti dengan model Z125 Pro (dua tempat duduk) sejak akhir tahun lalu. Menjelang akhir tahun 2016 ini, ia disertai oleh dua lagi pencabar iaitu Honda MSX125 dan Benelli TnT 135.

    Di antara tiga model ini, Benelli TnT135 mempunyai dua kelebihan iaitu pertama, kapasiti enjin yang lebih besar dan kedua, harganya lebih rendah iaitu RM8,469 sementara Z125 Pro dan MSX125 dijual pada harga masing-masing RM10,435 dan RM11,128. Semua harga ini adalah termasuk GST, tetapi tanpa insurans dan kos pendaftaran lain.

    Rekaan Benelli TnT135 adalah unik. Ia seperti sebuah motosikal dengan rekaan hibrid – bahagian tangki berserta kerangka Trellis mirip KTM Duke manakala bahagian ‘ekor’ belakang dan ekzos tirus pula seperti MV Agusta Brutale. Menariknya, Benelli berjaya menggabungkan gaya ini, bersama lampu hadapan LED unik untuk menjadikan rekaan keseluruhannya serba padan dan tampan.

    Mengikut ukuran, TnT135 mempunyai panjang 1,750 mm, tinggi 1,025 mm dan jarak di antara roda 1,215 mm, manakala tempat duduknya pula berketinggian 780 mm. Sebenarnya, walaupun kurang, ukuran ini tidaklah jauh bezanya dengan kapcai biasa, malah bagi ketinggian tempat duduk, jika dibandingkan dengan Yamaha Lagenda, TnT135 ini lebih tinggi sebanyak 25 mm. Jika diletakkan bersebelahan dengan kapcai biasa juga anda akan dapat melihat ia tidaklah begitu kecil.

    Cuma yang menjadikan ia berbeza adalah penggunaan rim saiz 12 inci – sama seperti kebanyakan skuter Vespa, sekaligus mewujudkan satu visual yang menunjukkan motosikal ini kecil. Juga, bentuk seperti ini kebiasaannya terdapat pada motosikal yang lebih besar.

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • Jualan kenderaan November 2016 mengikut jenama – Proton dan Perodua catat penurunan sekitar 4%

    Jualan kenderaan November 2016 mengikut jenama – Proton dan Perodua catat penurunan sekitar 4%

    Susulan daripada artikel berkaitan angka jualan keseluruhan industri automotif di Malaysia bagi bulan November 2016, berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) sebelum ini, berikut pula ialah statistik berdasarkan pecahan mengikut beberapa jenama utama dalam pasaran Malaysia.

    Dua jenama automotif nasional, Proton dan Perodua kedua-duanya mencatatkan penurunan sekitar 4% jika dibandingkan dengan bulan Oktober 2016. Sebagai contoh, angka jualan Perodua menurun sebanyak 4.3%; bagi November 2016, syarikat itu berjaya mencapai jualan 15,448 unit kenderaan, berbanding 16,148 unit pada bulan sebelumnya. Ini melibatkan pengurangan 700 unit kenderaan terjual. Bagaimanapun, Perodua kekal di tempat teratas dengan angka jualan tertinggi.

    Proton juga berdepan dengan prestasi yang sama, jualan menyusut 4% berbanding bulan sebelumnya. Jika pada Oktober Proton mencatatkan jumlah jualan 7,640 unit, November 2016 menyaksikan angkanya menurun kepada 7,336 unit, berkurangan sebanyak 304 unit. Proton bulan ini jatuh ke tempat keempat, berbanding kedudukan ketiga bulan lalu.

    Jualan kenderaan November 2016 mengikut jenama – Proton dan Perodua catat penurunan sekitar 4%

    Honda, yang masih kekal di kedudukan kedua sebaliknya mencatatkan pertambahan positif; jualannya meningkat 8.5% berbanding Oktober lalu. Daripada angka 8,204 unit pada bulan sebelumnya, jualan pada November syarikat berkenaan naik kepada 8,903 – peningkatan sebanyak 699 unit kenderaan.

    Pencabar terdekatnya, Toyota pula tetap kekal di kedudukan keempat, dengan mencatatkan peningkatan sebanyak 16.2%. Angka jualan Oktober lalu sebanyak 5,500 unit naik kepada 6,390 unit pada November – peningkatan sebanyak 890 unit kenderaan.

    Selain itu, tiga lagi jenama kenderaan Jepun turut mencatatkan peningkatan; Nissan dengan pertambahan 24.3% (pertambahan 596 unit); Subaru dengan peningkatan 41.2% (peningkatan sebanyak 101 unit); dan Lexus meningkat sebanyak 88.6% (naik 62 unit). Sementara itu, Mazda sebaliknya mencatatkan penurunan 20.1%; dari 1,004 unit pada Oktober 2016 kepada 802 unit pada November 2016 – pengurangan 202 unit.

    Perincian lanjut bagi jualan semua jenama automotif yang terlibat boleh dirujuk pada rajah di atas. Statistik sama bagi bulan Oktober 2016 pula boleh dicapai di sini.

     
     
  • ASEAN NCAP – Proton Ertiga 4-bintang; Hyundai Elantra, Mitsubishi Pajero Sport terima 5-bintang

    ASEAN NCAP – Proton Ertiga 4-bintang; Hyundai Elantra, Mitsubishi Pajero Sport terima 5-bintang

    Hasil terbaharu ujian keselamatan yang dijalankan Program Penilaian Kereta Baharu untuk Negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP) telah pun diumumkan, dan kali ini melibatkan tiga buah kereta iaitu Proton Ertiga, Mitsubishi Pajero Sport dan juga Hyundai Elantra.

    MPV Proton yang baharu sahaja dilancarkan bulan lalu, Proton Ertiga telah berjaya menerima 12.39 markah dari 16 markah penuh dalam ujian pelindungan penumpang dewasa (AOP), melayakkannya menerima penarafan empat-bintang. MPV enam-tempat duduk yang diasaskan dari Suzuki ini dilengkapi dengan dua-beg udara hadapan serta sistem brek ABS dan EBD untuk kesemua tiga varian. Namun ia tidak diberikan sistem kawalan kestabilan elektronik (ESC) dan juga sistem amaran pemakaian tali pinggang keledar untuk penumpang hadapan.

    Untuk ujian perlindungan kanak-kanak (AOP) pula, Ertiga memenuhi 33% dengan 16.37 markah dari 49 markah penuh, melayakkannya hanya menerima penarafan dua-bintang. MPV ini dibekalkan dengan cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX lengkap dengan cagak atas pada tempat duduk barisan ketiga.

    ASEAN NCAP – Proton Ertiga 4-bintang; Hyundai Elantra, Mitsubishi Pajero Sport terima 5-bintang

    Untuk Hyundai Elantra pula, model yang diuji kali ini adalah model generasi ke-enam (berdasarkan gambar yang disertakan laporan) – model yang dijangka akan tiba di Malaysia tahun hadapan. Model yang diuji pada sesi kali ini dilengkapi dengan beg-udara minimun enam-unit (ada varian yang dibekalkan hanya dua-unit), ABS, ESC dan juga vehicle stability management (VSM).

    Dengan kesemua ciri ini, Elantra berjaya menerima 14.73 markah dari 16 markah penuh untuk ujian AOP, melayakkannya menerima penarafan lima-bintang. Untuk COP pula, ia memenuhi 76% dengan 37.75 markah, melayakkannya menerima penarafan empat-bintang. Walau bagaimanapun, varian Elantra yang tidak dilengkapi ESC dan sistem amaran pemakaian tali pinggang keledar untuk penumpang hadapan hanya menerima penarafan empat-bintang.

    ASEAN NCAP – Proton Ertiga 4-bintang; Hyundai Elantra, Mitsubishi Pajero Sport terima 5-bintang

    Bagi Pajero Sport generasi ketiga pula, SUV yang diasaskan dari trak pikap Triton ini menerima 15.29 markah dari 16 markah penuh dalam ujian AOP seterusnya diberikan penarafan lima-bintang. Untuk ujian COP pula, Pajero Sport memenuhi 76% dengan menerima 37.04 markah dari 49 markah penuh, memberikannya penarafan empat-bintang.

    Seperti juga mana-mana kenderaan lain yang diuji, varian lebih rendah Pajero Sport yang tidak dilengkapi ESC hanya menerima empat-bintang. Pajero Sport generasi terbaharu ini sudah pun dilancarkan di Thailand dan Indonesia, tetapi masih lagi belum tiba di pasaran Malaysia. Hasil ujian pada model terkini ini juga menyaksikan peningkatan di mana model generasi terdahulu menerima 12.08 markah dan hanya layak menerima penarafan empat-bintang.



     
     
  • VW setuju bayar US$200 juta kepada dana pencemaran alam AS sebagai syarat selesaikan skandal Dieselgate

    VW setuju bayar US$200 juta kepada dana pencemaran alam AS sebagai syarat selesaikan skandal Dieselgate

    Agensi berita Reuters melaporkan Volkswagen AG bersetuju untuk membayar lebih dari US$200 juta kepada dana yang diwujudkan untuk mengurangkan pencemaran alam disebabkan oleh enjin diesel.

    Ini adalah sebagai salah satu syarat dalam persetujuan yang dibuat untuk menyelesaikan isu lebih dari 80,000 kenderaan dijana enjin diesel 3.0 liter TDI syarikat berkenaan, yang didakwa menghasilkan pencemaran udara lebih banyak berbanding yang dibenarkan di Amerika Syarikat, menurut individu yang menjelaskan berkenaan penyelesaian isu ini.

    Persetujuan tersebut dijangka akan diumumkan minggu ini, dan ia merupakan jumlah tambahan dari US$2.7 bilion yang dipersetujui dibayar oleh Volkswagen untuk menyelesaikan isu yang sama pada 475,000 kenderaan dijana oleh enjin 2.0 liter diesel. Jumaat lalu, Hakim Daerah Amerika Syarikat Charles Breyer berkata kesemua pihak telah menunjukkan “kemajuan yang besar dan saya optimistik bahawa akan ada jalan penyelesaian.”

    Pihak yang terlibat dalam perbincangan selama seminggu ini adalah Volkswagen, pemilik-pemilik yang menyaman dan juga Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan Amerika Syarikat. Perbincangan adalah tertumpu kepada perjanjian komprehensif menyaksikan VW akan bersetuju untuk membayar ganti rugi untuk memperbaiki semula kenderaan atau membeli kembali kenderaan-kenderaan terlibat.

    Dilaporkan bahawa 80,000 unit dari kenderaan yang dijana enjin 3.0 liter TDI, sekitar 20,000 model SUV Audi dan VW akan dibeli semula oleh VW, dan 60,000 unit SUV dan kereta keluaran Porsche, Audi dan VW akan menerima pembaikan perisian.

    VW setuju bayar US$200 juta kepada dana pencemaran alam AS sebagai syarat selesaikan skandal Dieselgate

    Jun lalu,VW bersetuju untuk membayar US$2.7 bilion selama lebih tiga tahun kepada dana yang diwujudkan untuk mengurangkan pencemaran diesel. Tambahan US$200 juta akan ditambah dalam dana ini. Kerajaan Amerika Syarikat boleh menggunakan dana tersebut untuk menukar dan melupuskan atau menggantikan teknologi ekzos yang lebih bersih dan baharu kepada model-model lama.

    Menurut dokumen peneyelesaian isu ini, kenderaan yang layak untuk mengambil bahagian dalam usaha ini adalah termasuk bot tunda, bas transit, feri, trak tugas berat dan sederhana, kenderaan sokongan darat di lapangan terbang serta kapal-kapal laut dalam. Sebagai contoh, sekolah yang menggunakan bas yang berusia lebih sepuluh tahun atau lebih boleh menggunakan dana ini untuk membeli bas baharu.

    Dengan dana tambahan US$200 juta ini juga, VW bersetuju menggunakan lebih dari US$16.7 juta untuk menyelesaikan dakwaan skandal penipuan emisi diesel di AS. VW juga turut dijangka akan berhadapan dengan saman bernilai berbilion dolar sebagai sebahagian penyelesaian yang berpontensi berasingan dengan Jabatan Kehakiman untuk menyelesaikan penyiasatan jenayah dan saman sivil yang didakwa melanggar Akta Udara Bersih yang sedang berjalan.

    Pada bulan Jun lalu juga, VW bersetuju untuk membayar sehingga US$10.03 bilion dan menawarkan pembelian semula sejumlah 475,000 unit kenderaan yang dijana enjin diesel 2.0 liter serta menawarkan ganti rugi sekitar US$5,100 hingga US$10,000 untuk setiap pemilik. Pembelian semula berkenaan telah dimulakan pada bulan lalu.

    VW setuju bayar US$200 juta kepada dana pencemaran alam AS sebagai syarat selesaikan skandal Dieselgate

    Kereta-kereta yang dijana enjin 2.0 liter TDI dilengkapi perisian yang mampu ‘menipu’ dengan mengubah talaan agar pencemaran yang dihasilkan 40 kali lebih rendah berbanding yang dibenarkan dalam pemanduan normal ketika ia diuji.

    Enjin 3.0 liter TDI pula dipadankan dengan peranti tambahan untuk sistem emisi yang tidak diisytiharkan bagi membolehkan ia menghasilkan jumlah pencemaran sembilan kali lebih rendah berbanding yang dibenarkan. Semua kenderaan Volkswagen yang dijana enjin diesel diharamkan penjualannya di Amerika sejak tahun 2015.

    Dalam perkembangan berasingan, pembekal peralatan jenama Bosch juga dijangka akan menyelesaikan tuntutan mahkamah bernilai lebih US$300juta yang difailkan oleh pemilik-pemilik kenderaan yang terlibat dengan skandal Dieselgate ini.

    Pemilik-pemilik berkenaan menyaman vendor dari Jerman tersebut pada tahun 2015 kerana didakwa bersubahat dengan VW untuk menghasilkan perisian “peranti pengubah” berkenaan yang digunakan untuk menipu dalam ujian pencemaran Amerika Syarikat. Tuntutan mahkamah tersebut mendakwa Bosch sebagai “pihak yang dikenali dan terlibat secara aktif” dalam skandal ini, yang mana syarikat tersebut menafikan dan menyifatkannya sebagai “liar dan tidak berasas”.

     
     
  • Memandu ketika hujan – gandakan fokus, jangan laju!

    Memandu ketika hujan – gandakan fokus, jangan laju!

    Nampaknya musim tengkujuh kian ligat melanda negara kita, al-maklum sajalah kalendar bakal berganti ke Tahun Baharu. Sana sini dilaporkan hujan, dan ada sampai yang melibatkan banjir kilat termasuklah ibu kota Kuala Lumpur. Cuma mohon pada Tuhan agar banjir besar seperti yang melanda negara khususnya di Pantai Timur dua tahun yang lalu, tidak berulang.

    Dan hujan yang turun juga bagaikan tidak mengenal waktu. Ada masanya seharian bumi Malaysia dibasahi hujan. Adakalanya cuma gerimis dan ketikanya, hujan lebat yang menggila. Lantas, ia sedikit sebanyak pasti akan mengganggu pemanduan. Jalan raya bertambah licin, dan adakalanya air yang melimpah hingga ke jalan (ada yang disebabkan faktor sistem perparitan yang tidak sempurna).

    Tidak kira apa jua keadaan jalan, tambah lagi dengan hujan, ia memang mampu mengundang bahaya ketika memandu. Dalam situasi yang tidak terduga atau terjangka, apa pun sila gandakan tahap fokus anda ketika memandu dalam keadaan sebegini.

    Kami kongsikan tip pemanduan ketika hujan untuk anda. Jangan sekadar baca, tetapi praktikkan, demi keselamatan anda, penumpang anda dan juga pengguna jalan raya yang lain. Jangan dirasakan, kenderaan anda dilengkapi dengan aspek keselamatan aktif dan pasif, atau kenderaan anda besar, membuatkan keselamatan di dalam pemanduan diabaikan. Atau, usah pentingkan diri sendiri. Adakalanya kerana kelalaian kita, mungkin orang lain yang menjadi mangsa.

    Memandu ketika hujan – gandakan fokus, jangan laju!

    Perkara paling utama ialah sebelum memandu ialah pastikan kenderaan anda berada dalam keadaan yang baik.

    1) Sila periksa tekanan dan keadaan tayar anda. Tayar harus mempunyai banyak kedalaman bunga untuk aliran air dari antara permukaan jalan dan tayar anda. Jika bunga tayar yang dipakai itu hanya tinggal sekitar 2.5 mm atau 3.0 mm, itu menandakan sudah tiba masanya untuk anda mendapatkan tayar yang baharu.

    2) Tekanan angin tayar jika terlalu rendah atau terlalu tinggi juga boleh mengurangkan cengkaman, kehausan bunga atau tayar itu sudah tidak boleh digunakan. Sila periksa tekanan tayar anda sekurang-kurangnya sebulan sekali untuk memastikan ia berada dalam keadaan yang baik.

    3) Pastikan bilah pengelap cermin turut berfungsi dengan baik. Jika ia sukar mengelap cermin dengan baik, pastikan anda menukarkannya.

    4) Pastikan lampu kenderaan anda boleh berfungsi dengan baik. Ini kerana, anda perlu memasang lampu utama sewaktu memandu dalam hujan lebat biar pun pada waktu siang hari. Ia sangat perlu, bukan setakat memastikan anda mampu melihat keadaan jalan dengan lebih jelas, sebaliknya ia juga memberikan ‘isyarat’ pada pemandu kenderaan lain yang anda turut berada di jalan yang sama. Bukannya menggunakan hazard light. Untuk pengetahuan anda, kegunaan hazard light adalah menandakan kenderaan sedang berhenti.

    Sebenarnya, pastikan kenderaan anda dalam keadaan yang baik setiap masa. Cuma ia perlu dipertingkatkan sekiranya melibatkan perjalanan yang jauh dan juga dalam musim hujan. Bayangkanlah kalau kenderaan anda break-down hujan lebat, faktor kesusahan yang perlu anda tempuh dalam waktu darurat ini pastinya lebih berganda dan menyulitkan.

    Memandu ketika hujan – gandakan fokus, jangan laju!

    Berikut merupakan tip pemanduan dalam keadaan jalan raya yang basah dan licin:

    1) Paling penting, elak memandu dalam kelajuan yang tinggi. Bila memandu laju di permukaan jalan yang kering pun, ada kemungkinan kenderaan hilang kawalan, apatah lagi sekiranya dalam hujan dan jalan yang licin. Risikonya adalah berlipat kali ganda. Waima besar atau berat mana pun kenderaan anda, perlahankan kenderaan adalah perkara yang sewajarnya. Ingat, bas persiaran yang besar atau pun lori yang berat pun boleh hilang kawalan dan terbalik!

    2) Jika cermin kenderaan anda berkabus, gunakan penghawa dingin untuk pengeringan udara di dalam kenderaan anda. Jika sistem penghawa dingin anda bermasalah, turunkan sedikit cermin tingkap sisi untuk membolehkan udara keluar.

    3) Jangan lupa untuk memasang lampu utama kenderaan anda, bukannya menggunakan hazard light kerana ia akan mengelirukan pemandu di belakang anda. Dan sekiranya jarak penglihatan menurun kurang dari 100 m, pasang lampu kabus hadapan, dan jika memang diperlukan, lampu kabus belakang juga boleh digunakan, khususnya bagi membantu pemandu kenderaan di belakang anda mengagak jarak antara kenderaan di hadapannya.

    Diingatkan, penggunaan lampu kabus hanya diperlukan dalam keadaan di mana jarak penglihatan yang teruk, bukannya sesuka hati menggunakannya kerana ia boleh mengganggu penglihatan pemandu lain. Penggunaan lampu kabus hadapan, pada masa yang memang tidak sesuai, akan mengganggu penglihatan pemandu kenderaan di hadapan kerana silau, begitu juga dengan lampu kabus belakang yang boleh menyilaukan mata pemandu kenderaan di belakang. Sebelum itu, tahukah anda bagaimana hendak mematikan suiz lampu kabus ini? Ini kerana ada pengguna kenderaan yang langsung tidak tahu cara dan fungsi penggunaan lampu kabus ini. Sila rujuk buku panduan manual kenderaan anda atau GOOGLE!

    4) Jika melalui jalan yang ada tiga lorong, pastikan anda memilih untuk menggunakan lorong tengah kerana biasanya air akan mudah bertakung di sebelah kiri atau kanan jalan.

    Memandu ketika hujan – gandakan fokus, jangan laju!

    5) Pastikan jarak yang selamat di antara kenderaan di hadapan kerana anda memerlukan jarak yang agak panjang ketika membrek dalam keadaan jalan yang basah dan licin. Bukan itu sahaja, jarak kenderaan di hadapan juga membantu menambahkan jarak penglihatan anda.

    Anda memerlukan sekurang-kurangnya jarak dalam empat saat di belakang kenderaan di hadapan apabila melalui permukaan jalan yang basah. Ini kerana, sekiranya kenderaan di hadapan tiba-tiba brek atau mungkin sudah terlanggar kenderaan di hadapannya, anda punya masa untuk menghentikan kenderaan anda, atau sekurang-kurangnya dapat bertindak sewajarnya untuk mengelak daripada terlanggarnya.

    Bagimana hendak menentukan jarak empat saat itu? Cuba perhatian kenderaan di hadapan yang melintasi lampu jalan, atau tanda jalan. Kemudian kira, berapa saat yang anda perlukan untuk melintasi objek yang sama. Jika kiraan anda kurang daripada empat saat, ini bermakna anda perlu memperlahankan kenderaan anda dan memberikannya ruang jarak dengan kenderaan di hadapan.

    6) Jika anda dapati kenderaan di belakang mengekori anda dengan jarak yang terlalu dekat, mengalahlah dan berikannya laluan. Jangan pula anda menambah kelajuan atau memandu lebih perlahan untuk membangkitkan kemarahannya pula.

    7) Jangan mengekori kenderaan yang lebih besar seperti bas atau pun lori terlalu dekat. Ini kerana percikan air dari tayar belakang kenderaan terbabit boleh tambah menjejaskan jarak penglihatan anda.

    8) Perubahan laluan mendadak boleh membuatkan stereng hilang kawalan terutamanya di jalan raya yang licin. Jadi kawal stereng anda sebaik mungkin bagi mengelakkan perkara ini berlaku.

    9) Jika hujan terlalu lebat dan anda tidak selesa dengan jarak penglihatan, disarankan agar anda berhentikan kenderaan di tempat yang selamat. Seelok-eloknya berhenti di kawasan rehat & rawat atau pun stesen minyak. Hujan yang lebat boleh menyulitkan pemanduan. Malah bilah pengelap cermin adakalanya gagal untuk berfungsi dengan baik bagi meningkatkan jarak penglihatan anda.

    10) Hujan akan membuatkan jalan raya menjadi licin, apatah lagi dengan kehadiran lumpur dan minyak sedia ada pada jalan yang kering, bila bercampur dengan air hujan, kelicinan itu akan bertambah. Ini boleh membuatkan kenderaan hilang kawalan jika kurang fokus dan memandu dalam keadaan laju, terutamanya setengah jam pertama selepas hujan turun.

    Memandu ketika hujan – gandakan fokus, jangan laju!

    11) Pernahkan anda mendengar terma ‘aquaplaning’? Atau kalau ikut kamus Dewan Bahasa & Pustaka membawa maksud ‘penyatahan air’. Ia terjadi apabila tayar kenderaan anda merentasi permukaan jalan yang banyak air. Hasilnya, air bertakung di bawah tayar, dan apabila tayar hilang ‘hubungan’ dengan permukaan jalan, maka ia akan membawa kesan umpama ‘terapung’ dan boleh menyebabkan tayar kurang atau hilang cengkaman.

    Anda boleh merasai aquaplaning ini apabila kawalan stereng terasa ringan dan tiada respons, dan boleh mendengar percikan air di bahagian gerbang roda. Sekiranya ini berlaku, elak dari membrek kerana ia boleh membuatkan kenderaan tergelincir atau pun terus hilang kawalan.

    Jadi, apa yang perlu anda lakukan ialah jangan cepat panik dan bertenang. Lepaskan kaki adan dari pedal pendikit dan biar kenderaan diperlahankan sendiri tetapi jangan lepaskan tangan daripada roda setereng. Bersedia untuk mengawal stereng sebaik mungkin. Apabila tayar mula terasa ada ‘hubungan’ kembali dengan jalan, dan kenderaan sudah mula stabil, barulah tekan pedal pendikit semula dan brek sekiranya perlu.

    12) Jangan sesekali ‘berani’ meredah air yang bertakung atau banjir sekiranya anda tidak dapat mengagak kedalamannya. Walau pun mungkin ada kenderaan di hadapan selamba sahaja merentasinya, dan anda pula mengekori dari belakang. Dan kemudian tiba-tiba kenderaan tersebut terhenti, dan ini mendorong anda untuk berhenti sama. Akibatnya, kenderaan anda juga boleh berisiko mengalami kerosakan apabila mungkin air termasuk ke dalam corong ekzos atau pun enjin. Hendak membaiki kenderaan yang terlibat dengan banjir ini memang memerlukan kos yang (sangat) tinggi.

    13) Selepas menempuhi jalan yang licin dan basah ini, cuba brek kenderaan anda dengan perlahan untuk memastikan kompenen tersebut kering. Tapi pastikan ia dilakukan di kawasan yang selamat, jangan pula suka hati main brek, sampai mengganggu pemanduan kenderaan di belakang.

    14) Jika kenderaan anda ada teknologi cruise control atau kawalan kelajuan, elak menggunakannya dalam keadaan jalan raya yang basah kerana ia boleh menyebabkan kenderaan hilang kawalan.

    15) Segala aspek keselamatan pasif mahupun aktif, termasuk dengan adanya teknologi seperti ABS dengan EBD, kawalan kestabilan kenderaan, kawalan cengkaman dan sebagainya pada kenderaan anda, jika anda sering mengamalkan pemanduan yang agresif termasuk memandu laju, ia memang boleh mengundang padah kerana dengan cuaca buruk sebegini, kita tidak dapat menduga bahana apakah yang menanti di hadapan sana. Mungkin juga kenderaan boleh hilang kawalan akibat jalan raya yang licin, dan ini memang boleh mengancam nyawa anda, penumpang dan juga pengguna jalan raya yang lain.

    Apa pun, sentiasa amalkan pemanduan berhemah dan berhati-hati tidak kira waktu mahu pun keadaan jalan. Sentiasa ingatlah kata-kata yang acapkali dilaungkan dalam kempen pemanduan berhemah iaitu ‘Pandu cermat, jiwa selamat. Ingatlah insan yang tersayang.’

     
     
  • Lebuhraya SMART beri diskaun 10% sempena Krismas

    Lebuhraya SMART beri diskaun 10% sempena Krismas

    Sempena dengan perayaan Hari Krismas yang bakal disambut pada 25 Dis ini, Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (SMART) menawarkan diskaun tol sebanyak 10% kepada semua pengguna lebuh raya itu.

    Menurut Ketua Pegawai Operasi Lebuh Raya SMART Sharifah Alauyah Wan Othman, pengguna lebuh raya tersebut akan menikmati diskaun berkenaan dari pukul 6 pagi Ahad pada 25 Dis hingga 6 pagi Isnin (26 Dis).

    Di mana kadar tol selepas diskaun yang dikenakan hanya RM2.70 berbanding kadar biasa iaitu RM3 untuk setiap hala masuk dan keluar Kuala Lumpur.

    “Diskaun tol yang diberikan ini merupakan pelaksanaan tanggungjawab sosial korporat SMART untuk memeriahkan sambutan Krismas tahun ini, seperti diskaun pada musim perayaan yang lain,” katanya.

    Untuk sebarang maklumat lanjut, pengguna lebuh raya boleh melayari laman web SMART di www.smarttunnel.com.my, atau di laman Facebook SMART Tunnel, Twitter @Smarttunnel atau menghubungi talian bebas tol 1300-88-7188 untuk sebarang pertanyaan.

     
     
  • Toyota C-HR dengan ‘bodykit’ Kuhl Racing dipertonton

    Toyota C-HR dengan ‘bodykit’ Kuhl Racing dipertonton

    Kuhl Racing mendedahkan kit penggayaan terbaharu bagi Toyota C-HR sebagai suatu penawaran alternatif kepada kit yang dihasilkan sendiri oleh Toyota Racing Development (TRD) dan Modellista sebelum ini. Berdasarkan pendekatan yang sama digunakan bagi model Prius, serta Nissan GT-R Godzilla dan Mazda MX-5, usaha terbaharu ini juga pastinya menepati selera segelintir peminatnya.

    Perubahan paling ketara yang dilakukan ialah mengurangkan ketinggian kenderaan, dengan kedudukan yang lebih rendah yang dipadankan dengan roda negative camber. Bampar depan dan belakang turut diberikan sentuhan baharu untuk disesuaikan dengan kit badan khusus berkenaan, dengan bahagian diffuser yang lebih ketara.

    Toyota C-HR dengan ‘bodykit’ Kuhl Racing dipertonton

    Ia turut dilengkapi dengan half spoiler di bahagian belakang; skirting sisi turut menyumbang kepada imej C-HR yang dimodifikasi ini untuk tampil lebih garang. Walaupun nampak seperti sudah lengkap, syarikat berkenaan menyatakan bahawa versi ini masih lagi dalam proses pembikinan, dengan pembaharuan tambahan akan dilakukan awal tahun depan.

     
     
  • Ford GT 2017 – unit permulaan mula keluar dari kilang, penghantaran kepada pelanggan juga sudah bermula

    Supercar dari Ford – Ford GT 2017 versi jalan raya – sudah mula keluar dari barisan produksi kilang. Kereta yang dibina oleh Ford Performance ini diproduksi dalam jumlah terhad – dengan tangan – di kilang Multimatic, terletak di Markham, Ontario, Kanada.

    “Ketika kami bermula pada 2016, kami mempunyai dua objektif utama untuk supercar Ford GT – untuk berjaya di Le Mans, dan untuk mula menghantarnya kepada pelanggan sebelum akhir tahun. Kami mencapai kedua-duanya,” kata Raj Nair, Naib Presiden eksekutif pembangunan produk global dan ketua pegawai teknikal Ford.

    “Untuk semua yang terlibat dalam merekabentuk dan membangunkan kereta ini, termasuk semua pekerja dan pembekal kami, ini merupakan saat untuk diraikan. Ford GT serba baharu menunjukkan kekuatan kami dalam inovasi dan komitmen kami untuk memberikan lebih kepada pelanggan – terutamanya yang bersangkut paut dengan teknologi material ringan, aerodinamik, dan enjin EcoBoost,” tambahnya.

    Ford GT 2017 – unit permulaan mula keluar dari kilang, penghantaran kepada pelanggan juga sudah bermula

    Ford GT didedahkan buat pertama kali di Detroit 2015. Ford menetapkan bakal pembeli yang berminat perlu membuat permohonan dalam talian, berserta video menyatakan mengapa mereka layak untuk memiliki supercar ini. Tempoh permohonan dibuka selama sebulan, dan sejumlah 6,506 permohonan diterima untuk kereta yang buat hanya 500 unit.

    Atas permintaan yang menggalakkan ini, Ford mengumumkan akan melanjutkan produksi supercar ini selama dua tahun lagi, menjadikan tempoh keseluruhan untuk melengkapkan produksi Ford GT yang diambil ialah empat tahun.

    Tahun ketiga produksi Ford GT akan memenuhi permintaan mereka yang diletakkan dalam senarai menunggu, manakala permintaan untuk pemohonan yang ditunda sebelum ini dan mereka yang terlepas permohonan kali pertama hanya akan dilayan pada tahun keempat produksi. Pemohonan akan dibuka semula untuk orang ramai pada awal tahun 2018, dan mereka yang pernah memohon sebelum ini hanya perlu untuk mengemaskini permohonan mereka.

    Ford GT 2017 – unit permulaan mula keluar dari kilang, penghantaran kepada pelanggan juga sudah bermula

    Model asal Ford GT (dikenali sebagai Ford GT40) ini adalah kereta lumba berenjin tengah yang dibina oleh Ford untuk perlumbaan Le Mans 24 Jam dan memenangi perlumbaan tersebut empat tahun berturut-turut dari tahun 1966 hingga tahun 1969. Generasi terbaharu supercar ikonik ini direka dengan rekaan yang seiras model terdahulu, menampilkan panel badan yang diperbuat dari bahan gentian-karbon, dipadankan pada kerangka aluminium hadapan dan belakang.

    Model terbaharu ini dijana oleh enjin EcoBoost 3.5 liter V6 turbo berkembar yang turut diletakkan pada bahagian tengah, berkuasa lebih 600 hp serta dipadankan dengan kotak gear klac berkembar tujuh-kelajuan.

    GALERI: Ford GT di Geneva


    GALERI: Ford GT untuk perlumbaan Le Mans

     
     
  • VIDEO: 8 perkara menarik tentang Hyundai Ioniq

    Hyundai Ioniq Hybrid dilancarkan secara rasmi bagi pasaran Malaysia pada 29 November yang lalu. Ia merupakan model kenderaan hibrid terbaharu yang diperkenalkan. Tambahan pula, Ioniq dipasang di Kulim, Kedah, membariskannya dengan model-model hibrid CKD yang datang dengan penawaran harga yang sangat menarik.

    Dua varian ditawarkan; 1.6 (Auto) HEV dan 1.6 (Auto) HEV PLUS. Tanda harga yang ditawarkan pula adalah seperti berikut; varian 1.6 (Auto) HEV dijual pada harga RM100,328, manakala varian 1.6 (Auto) HEV Plus pula dijual pada harga RM110,828. Kedua-duanya merupakan harga atas jalan (termasuk GST) dan tanpa insurans.

    Ia dijana oleh enjin petrol 1.6 liter Kappa GDI empat-silinder dengan janaan kuasa 105 PS pada 5,700 rpm dan tork maksimum 147 Nm pada 4,000 rpm. Enjin berkenaan digabungkan pula dengan motor elektrik berkuasa 43 PS dan tork 170 Nm, menerima tenaga dari bateri polimer litium ion berkuasa 1.56 kWh yang ditempatkan di bawah tempat duduk belakang.

    Keseluruhan kuasa yang mampu dijana oleh gabungan dua unit ini ialah 141 PS/265 Nm dan disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear klac-berkembar (DCT) enam-kelajuan. Selain rekaan dan penawaran teknologi yang mengkagumkan, apa lagi perkara-perkara menarik yang ada pada model ini?

    Seperti biasa, video ini menggariskan lapan perkara menarik yang perlu anda tahu tentang Hyundai Ioniq Hybrid ini. Jangan terlepas menontonnya; maklumat-maklumat ringkas dan padat ini akan membolehkan anda mengenali model berkenaan dengan lebih dekat lagi.

     
     
  • Teaser Honda Odyssey generasi baharu pasaran Amerika di siar, bakal muncul di Detroit Januari ini

    Teaser Honda Odyssey generasi baharu pasaran Amerika di siar, bakal muncul di Detroit Januari ini

    Honda telah menyiarkan imej teaser berbentuk lakaran model Odyssey pasaran Amerika Syarikat generasi kelima dan mengumumkan ia akan melakukan kemunculan sulungnya di North American International Auto Show (NAIAS), Detroit pada 9 Januari akan datang.

    Untuk pengetahuan anda, bermula generasi kedua, Odyssey pasaran Amerika Syarikat (model sedia ada dalam pasaran ialah generasi keempat) dan model pasaran Jepun adalah berbeza. Kita di Malaysia menerima Odyssey seperti pasaran Jepun (siri RA dan RB) dan Honda Malaysia kini membawa Odyssey JDM generasi kelima (RC) untuk pasaran tempatan.

    Menurut Honda, Odyssey “telah direka semula sepenuhnya dan akan menampilkan teknologi janakuasa baharu, penggayaan lebih sofistikated dan akan dipadankan dengan pelbagai ciri yang innovatif.” Enjin berkuasa turbo mungkin salah satu ciri dalam rekaan semula ini, seperti SUV CR-V generasi seterusnya yang dijana enjin empat silinder 1.5 liter turbo dengan suntikan bahan api terus berkuasa 190 hp/243 Nm).

    Berdasarkan lukisan lakaran yang disiarkan ini, MPV berkenaan direka lebih rendah dan lebih lebar seperti model Odyssey JDM dari siri RB, berbanding model pasaran Amerika dan Jepun sedia ada yang menerapkan rekaan lebih seperti van. Antara ciri lain yang dapat dilihat dalam lakaran ini adalah rekaan “bumbung terapung”, lampu belakang berbentuk-C yang diberikan kemasan krom, dan juga dua garisan badan pada bahagian sisi yang kelihatan ketara bermula dari fender hadapan.

     
     
  • Volkswagen Tiguan Allspace – imej pertama muncul

    Volkswagen Tiguan Allspace – imej pertama muncul

    Semalam, lakaran pertama bagi Volkswagen Tiguan Allspace telah pun disebarkan. Dan kali ini pula, imej pertama bagi versi pasaran China, yang dilencanakan sebagai Tiguan L, pula disebarkan menerusi autonocion.com, yang bakal diperkenalkan di Detroit Auto Show 2017.

    Seperti yang dijangka, panjang model ini hampir sama dengan kereta standard, namun ukuran pintu belakangnya lebih panjang, hasil jaraj roda yang ditambah sebanyak 110 mm, malahan bahagian belakang juga telah dipanjangkan, bersama tiang-C yang dibentuk semula. Pada bahagian dalamnya, model pasaran China tidak didatangkan dengan kapasiti tujuh-tempat duduk, cuma panjangnya telah ditambah bagi meningkatkan ruang kaki dan ruang barangan.

    Volkswagen Tiguan Allspace – imej pertama muncul

    Tiguan generasi kedua ini, yang pertama kali diperkenalkan di Frankfurt 2015, kini akan tampil lebih panjang berbanding model asal. Bagi versi lima-tempat duduk, ia mencapai 60 mm lebih panjang dan 30 mm lebih lebar berbanding Typ 5N, dengan 70 mm lebih panjang bagi jarak roda. Manakala ruang but pula lebih 145 liter, menjadikannya 615 liter, atau 1,655 liter sekiranya tempat duduk belakang dibaringkan.

    Walau pun model bagi versi Eropah memilih untuk memperkenalkan Tiguan bersaiz XL dengan panggilan ‘Allspace’, namun untuk pasaran US pula lebih ringkas sebagai Tiguan sahaja iaitu dengan kapasiti lima-tempat duduk. Malah VW juga merancang untuk memperkenalkan versi bersaiz sederhana untuk pasaran Malaysia pada tahun hadapan sebagai model pemasangan tempatan. Malah kelibatnya juga telah dikesan diuji di Pantai Timur baru-baru ini.

    GALERI: Volkswagen Tiguan semasa Frankfurt Motor Show 2015

     
     
  • Diskaun tol 10% bagi transaksi secara elektronik di KLK, LPT 1 sempena Krismas, TTA turut dikeluarkan

    Diskaun tol 10% bagi transaksi secara elektronik di KLK, LPT 1 sempena Krismas, TTA turut dikeluarkan

    Sempena menyambut perayaan Hari Krismas hujung minggu ini, ANIH Berhad, pemegang konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) mengumumkan diskaun tol sebanyak 10% untuk semua pengguna yang membuat bayaran secara elektronik di KLK dan LPT 1. Ia akan ditawarkan secara 24 jam, bermula jam 12.01 pagi hari Ahad, 25 Disember 2016.

    Menurut Pengarah ANIH Berhad, Dato’ Nik Fauzi Tan Sri Nik Hussein, insiatif ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat syarikat terhadap komuniti, selain bertujuan memberi peluang kepada pengguna membuat pilihan dan menikmati nilai tambahan dengan bayaran tol yang lebih rendah pada musim perayaan.

    Selain daripada itu, ANIH Berhad juga turut mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) sebagai langkah untuk membantu pengguna menikmati perjalanan yang selesa di KLK dan LPT 1 pada waktu puncak di musim perayaan Hari Krismas. Pengenalan TTA bertujuan untuk membantu menyuraikan pergerakan trafik di laluan-laluan utama lebuh raya, plaza-plaza tol dan kawasan rehat pada waktu-waktu puncak.

    Pengguna dinasihati untuk merujuk kepada jadual TTA di laman web ANIH Berhad di www.anihberhad.com, mengikuti laman Twitter rasmi ANIH Berhad di @LPTTrafik atau Facebook di Lebuhraya Pantai Timur.

    Diskaun tol 10% bagi transaksi secara elektronik di KLK, LPT 1 sempena Krismas, TTA turut dikeluarkan

     
     
  • Honda BR-V dijumpai di M’sia, papan pemuka terdedah

    Honda BR-V dijumpai di M’sia, papan pemuka terdedah

    Kenderaan jenis SUV tujuh tempat duduk terbaru Honda iaitu BR-V akan dilancarkan dalam suku pertama tahun hadapan, dan kenderaan ini sudah pernah dipamerkan di MIECC, Serdang November lalu. Malah, tempahan juga sudah dibuka. Namun, sepanjang masa itu, Honda cukup pandai menyembunyikan bahagian papan pemuka kenderaan tersebut sehinggalah gambar pembaca paultan.org, Akmal Azmi ini sampai kepada kami.

    Kelihatan pada bahagian kabin kenderaan ini terdapat roda stereng daripada Civic FD (bukannya seperti Brio yang terdapat pada unit Indonesia), dengan butang pengawal multimedia, pendingin hawa automatik, papan pemuka dua tona warna dan tempat duduk kulit. Berkemungkinan ini adalah varian tertinggi yang akan ditawarkan.

    Sementara itu, bagi bahagian luar, walaupun sudah dikenali ramai, masih lagi menggunakan pelekat penyamaran di beberapa bahagian. Mungkin ia dilakukan untuk menyembunyikan kemasan krom, pemegang pintu dan lencana yang boleh menyatakan spesifikasi BR-V ini. Seperti yang pernah dilihat sebelum ini, rim 16 inci dengan rekaan seperti kipas masih lagi dikekalkan pada kenderaan ini.

    Honda BR-V akan dikuasakan oleh enjin 1.5 liter SOHC i-VTEC, seperti yang terdapat pada model Jazz dan City. Ia mampu menghasilkan 120 PS dan 145 Nm tork, dengan kuasa disampaikan kepada roda hadapan melalui kotak gear CVT Earth Dreams. Tujuh tempat duduk pada kenderaan ini dibahagikan kepada tiga baris, dan bagi tempat duduk belakang, ia boleh dilipat dengan mudah, memberi ruang simpanan seluas 539 liter.

    Turut diperlengkap BR-V adalah tali pinggang keledar three-point untuk semua penumpang, dan ia juga menerima penarafan lima bintang dalam ujian ASEAN NCAP (model dengan ESC). Sementara menunggu pelancarannya nanti, anda juga boleh membaca pengalaman kami memandu model ini di Thailand.

    GALERI: Honda BR-V dipamerkan di MIECC

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.47 (-0.25)
RON 97 RM4.10 (-0.25)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.07 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.27 (-0.30)
Last Updated Jun 25, 2026