Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Kia duduki tangga #1 kebolehpercayaan kereta baharu di Amerika 2016 menerusi kaji selidik JD Power

    Kia badge

    Kia secara rasminya menduduki tangga pertama Kaji Selidik Kualiti Awal (IQS) JD Power untuk kereta baharu di Amerika Syarikat, setelah 27 tahun kedudukan tersebut didominasi oleh jenama mewah.

    Menurut kaji selidik yang dijalankan, hanya 83 masalah dihadapi pemilik Kia dalam setiap 100 kenderaan (PP100) keluaran Korea tersebut, mengalahkan Porsche (84 PP100), Hyundai (92 PP100), Toyota (93 PP100) dan BMW (94 PP100). Tahun lalu, Kia menduduki tangga kedua di belakang Porsche. Kesemua jenama dalam lima tangga teratas ini mempunyai kurang masalah berbanding jenama lain yang dicatatkan pada purata 105 PP100, yang juga telah meningkat berbanding 112 PP100 pada tahun lalu.

    Menurut CNBC, Timbalan Presiden JD Power untuk kualiti automotif Renee Stephens berkata, prestasi Kia yang kuat tahun ini adalah kerana jenama tersebut menumpukan kepada pelancaran model-model baharu yang lebih “bersih” dari masalah berulang serta kilang dan pengedarnya di Amerika Syarikat menghasilkan kereta yang lebih baik.

    “Sepuluh tahun lalu, mereka berada di tangga bawah kedudukan dan mereka perlahan-lahan mendaki tangga, dan mendaki keatas lagi ke kedudukan lebih tinggi beberapa tahun kebelakangan ini,” kata beliau.


    Klik untuk besarkan

    Ketua pegawai operasi Kia Motors Amerika Micheal Sprague berkata kedudukan nombor satu tersebut “adalah hasil tumpuan selama sedekad Kia terhadap hasil kerja dan peningkatan secara berterusan, dan mewakili suara dari pelanggan kami, yang merupakan ikrar yang muktamad.”

    Perhatian yang diberikan pada kualiti kereta baharu tersebut walau bagaimanapun menyebabkan Kia jatuh ke tangga ke-17 dalam Kaji Selidik Keboleharapan Kenderaan dalam Jangka Masa Panjang (VDS) JD Power yang telah dikeluarkan awal tahun ini, yang mengambil kira masalah dihadapi pengguna dalam masa tiga tahun, berbanding IQS yang mengambil kira tempoh dalam masa 90 hari sahaja. Untuk VDS, Kia mencatatkan markah 153 PP100, lebih tinggi berbanding markah purata yang dicatatkan pada 152 PP100.

    Prestasi Kia tahun ini merupakan penunjuk prestasi am jenama kenderaan arus perdana, menerima aduan yang kurang dari pemilik jenama mewah. Salah satu sebab utama adalah trend yang sedang meningkat dalam industri kerana penambahbaikkan telah dilakukan pada sistem infotaimen – yang merupakan sebab utama ketidakpuasan hati pelanggan sebelum ini -dengan sistem pada model baharu yang lebih mudah dan kurang mengalami kerosakan.

    “Pengeluar telah memudahkan kawalannya dengan hanya menyerlahkan kawalan yang hanya relevan kepada pengguna sahaja,” kata Stephens.

     
     
  • SPYSHOT: Ford Fiesta ST 2017 lima pintu

    ford-fiesta-st-7-e1466599059223_BM

    Imej Ford Fiesta ST 2017 telah ditangkap oleh jurugambar pengintip kami di Eropah dan kini dapat disahkan varian hatchback berprestasi tinggi segmen-B berkenaan turut akan diteruskan pada Fiesta generasi ke-tujuh.

    Menerusi badan yang dilindung oleh pelekat penyamaran, bentuk keseluruhan varian ST ini masih lagi sama dengan varian Fiesta biasa. Tetapi ST dilengkapi dengan liang kemasukan udara, roda aloi dan brek yang lebih besar. Brek belakang juga dilengkapi dengan cakera (dram untuk model biasa) dan ekzos berkembar. Badan keseluruhan Fiesta generasi baharu ini juga kelihatan lebih besar, mungkin untuk memberikan lebih ruang pada kelegaan kaki pada bahagian belakang.

    Fiesta ST generasi baharu yang diuji ini juga tampil dengan bentuk badan lima pintu, berbanding model sedia ada hanya hadir dengan bentuk badan tiga pintu. Ini berkemungkinan ST bakal hadir dengan dua bentuk badan, atau mungkin hanya ditawarkan dalam bentuk badan lima pintu sahaja, mengkuti langkah pesaingnya dari Perancis iaitu Renault Clio RS 200. Ia mungkin juga unit untuk pasaran Amerika Utara di mana Fiesta hanya ditawarkan dengan bentuk badan lima pintu untuk pasaran berkenaan.

    ford-fiesta-st-4_BM

    Fiesta generasi baharu ini dijangka menggunakan platform Global B sama seperti model B299 sedia ada, tetapi dengan peningkatan dilakukan pada kualiti, perincian, ciri-ciri serta harga untuk memastikan ia seiring dengan permintaan pelanggan masa kini. Ia juga bagi memberi laluan kepada Ford Ka+ pasaran Eropah baharu, yang diasaskan dari Ford Figo untuk pasaran India.

    Bahagian dalaman turut dijangka akan diberi perhatian dimana Fiesta sedia ada mempunyai kualiti bahagian dalaman yang agak rendah. Bukan sahaja dari segi material binaan akan ditingkatkan, skrin sesentuh kapasitif besar lapan inci pada sistem infotaimen SYNC 3 turut dijangka akan dipadankan.

    Sistem SYNC 3 tersebut sebenarnya telah ditawarkan sebagai pilihan opsyen pada Fiesta sedia ada pasaran Amerika Syarikat. Disebabkan skrin yang terlalu besar, papan pemuka telah diubah sedikit dan hasil akhirnya membuatkan papan pemuka tersebut kelihatan agak janggal. Papan pemuka untuk model generasi baharu ini bakal direka dengan lebih sempurna untuk memuatkan sistem SYNC 3.

    Spy-Shots of Cars This image has been optimized for a calibrated screen with a Gamma of 2.2 and a colour temperature of 6500°K

    Spy-Shots of Cars
    This image has been optimized for a calibrated screen with a Gamma of 2.2 and a colour temperature of 6500°K

    Ciri lain yang turut dijangka akan dipadankan termasuk sistem bantuan pemanduan seperti Pengesan Pejalan Kaki (sistem Active Stop sudahpun dilengkapi pada Fiesta pasaran Eropah), AMmaran Keluar Laluan, SIstem Informasi Titik Buta serta Pengesan Papan Tanda Trafik.

    Fiesta ST generasi baharu ini turut dijangka akan dibekalkan dengan enjin 1.6 liter turbo empat-silinder EcoBoost dari model sedia ada, tetapi dengan talaan berbeza menghasilkan kuasa yang lebih tinggi (Fiesta sedia ada berkuasa 182 PS/240 Nm). Ford setakat ini telah pun menala enjin tersebut untuk mengekstrak sejumlah 200 PS/290 Nm khas untuk Fiesta ST200. Model generasi terbaharu ini juga dikatakan turut akan dipadankan dengan kotak gear manual enam kelajuan.

     
     
  • Adakah kerusi khas anak anda dipasang dengan sempurna? Adakah ia sesuai untuk anak anda? Daftar untuk pemeriksaan percuma kerusi khas kanak-kanak!

    Child car seats paultan.org 008

    Anda telah membeli sendiri kerusi khas kanak-kanak untuk keselamatan anak anda. Bagus, permulaan yang baik! Tetapi adakah kerusi tersebut dipasang dengan sempurna? Adakah kerusi tersebut sesuai untuk anak anda? Terdapat banyak variasi kerusi khas kanak-kanak yang dijual di Malaysia, dan setiap satunya memiliki kaedah pemasangan yang tersendiri. Dan 90% daripada kerusi khas kanak-kanak di Malaysia tidak dipasang secara sempurna.

    Kesilapan pemasangan yang kerap berlaku termasuklah:

    • Kerusi khas kanak-kanak tersebut tidak dipasang secara betul atau terlalu longgar.
    • Pemilihan kerusi khas kanak-kanak yang tidak mengikut usia, berat dan ketinggian anak anda. Contohnya, anak kecil berusia tiga tahun diletakkan di dalam bakul bayi atau pun pengalas tempat duduk (booster seat)
    • Kerusi khas kanak-kanak dipasang, tetapi anak anda tidak dipakai tali pinggang keselamatan dengan sempurna, atau longgar – sama ada anak anda mengadu tali tersebut ketat atau dia membuka sendiri tali pinggang keselamatan tersebut.
    • Anak anda dipakaikan tali pinggang keselamatan biarpun kerusi khas untuknya tidak dipasang sempurna. Ada sesetengah ibu bapa beranggapan, asalkan anak mereka dipakaikan tali pinggang keselamatan itu sudah mencukupi dan selamat.
    • Slot tali pinggang keselamatan salah digunakan. Ada sesetengah kerusi khas kanak-kanak yang perlu ditukarkan slot tali keselamatannya apabila anak sudah membesar.
    • Menggunakan kerusi khas kanak-kanak yang sudah rosak atau tamat tempoh penggunaannya.

    Memandangkan perkara ini sangat penting demi keselamat si kecil anda, kami di paultan.org dengan Child Passenger Safety Malaysia (CPS Malaysia) akan mengadakan kempen pemeriksaan kerusi khas kanak-kanak secara percuma pada hujung minggu ini (25 dan 26 Jun). Anda boleh menyertai kempen ini sekiranya anda ragu-ragu mengenai pemasangan atau pemilihan kerusi khas kanak-kanak yang tepat. Isi borang di bawah untuk menyertainya, pemeriksaan akan dilakukan oleh mereka yang pakar.

     
     
  • PLUS tawar rebat tol sebanyak 30% sempena Aidilfitri

    toll booth

    PLUS Malaysia Berhad telah mengeluarkan kenyataan media berhubung tawaran rebat tol sebanyak 30% kepada orang ramai yang membayar tol secara elektronik menggunakan kad PLUSMiles, kad Touch ‘n Go atau SmartTAG di lebuh raya PLUS bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan datang.

    Menurut Pengarah Urusannya, Dato’ Noorizah Hj Abd Hamid, “Rebat tol tersebut ditawarkan kepada pengguna kenderaan Kelas 1 yang membayar tol secara elektronik pada Hari-Hari Bukan Puncak iaitu 4, 8 dan 11 Julai bersempena dengan perayaan Hari Raya Aidilfitri. Ia boleh dinikmati oleh pengguna yang menggunakan lebuh raya untuk perjalanan jarak jauh iaitu melebihi 100 kilometer pada hari-hari tersebut.”

    Pemberian rebat tol ini adalah salah satu daripada strategi PLUS untuk mengagihkan trafik serta menggalakkan orang ramai bergerak pulang ke kampung sebelum Hari Raya Aidilfitri dan kembali ke bandar selepas berhari raya pada Hari-hari Bukan Puncak. Ia juga merupakan penghargaan PLUS kepada orang ramai yang terus menyokong perkhidmatan rangkaian lebuh raya tersebut.

    Menurut Noorizah, bagi perjalanan pada 4, 8 dan 11 Julai ini, pengguna yang membayar tol menggunakan kad PLUSMiles, kad Touch ‘n Go atau SmartTAG masih perlu membuat bayaran tol seperti biasa, tetapi rebat tol 30% tersebut boleh ditebus dalam bentuk tambah nilai di antara 15 Ogos 2016 sehingga 14 November 2016 akan datang di semua pusat khidmat pelanggan di lebuh raya PLUS.

    PLUS akan turut mengambil pelbagai langkah lain untuk membantu orang ramai menikmati perjalanan yang lebih selesa pada musim perayaan yang akan datang. Ia termasuklah mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang bakal diumumkan tidak lama lagi.

     
     
  • Aston Martin Vanquish Zagato – Terhad 99 unit sahaja

    Aston-Martin-Vanquish-Zagato-03

    Aston Martin Vanquish Zagato bukan lagi sekadar model konsep. Gaydon telah mengumumkan kerjasama terkini dengan pereka terkemuka Itali Zagato, bagi melahirkan Aston Martin Vanquish Zagato sebagai model produksi. Walau bagaimana pun, ia hanya akan diproduksi dalam jumlah yang terhad iaitu 99 unit sahaja.

    Pembuat kereta Britain itu berkata, Vanquish Zagato akan diproduksikan agak mirip dengan model konsep yang pernah dipertontonkan di Lake Como. Jentera GT ini adalah bancuhan kekemasan dan keupayaan Aston Martin dengan padanan rekaan karakteristik Zagato.

    Keseluruhan badannya disaluti dengan gentian karbon, Manakala perumah kacanya pula membaluti seluruh badannya termasuk visor, malah jejalur sisi diolah dengan evolusi terkini yang merentasi dari gerbang roda ke pintu, sama seperti model baharu DB11. Satu lipatan tajam pada roda belakang turut diubah menjadi rusuk belakang, hingga ke garisan bumbung.

    Aston-Martin-Vanquish-Zagato-06

    Bahagian belakangnya juga nampak memiliki persamaan dengan profil aerodinamik DB11, dilengkapi dengan spoiler dan hatch yang boleh ditarik balik untuk akses yang lebih mudah. Ambang gentian karbon juga menjalari pada bahagian bawah badan dari hadapan ke belakang, hingga ke ekzos berkembar. Malah turut menampilkan bumbung double-bubble yang merupakan signatur bagi Zagota.

    Selain itu, ia turut menampilkan lampu baharu dengan reflektor lampu belakang seperti Zagota klasik, serta teknologi LED mirip dengan Aston Martin Vulcan. Sementara cermin sisinya pula kelihatan sama seperti One-77.

    Bahagian dalamnya, ia turut dipadankan bersama gentian karbon dengan konsep bayangan dan kekemasan tembaga serta pilihan kulit anilin. Malah turut menampilkan jahitan paten lapis unik ‘Z’ pada tempat duduk dan panel pintu, serta sulaman ‘Z’ pada perehat tangan dan jahitan pada konsol tengah.

    Jentera ini bakal dijanakan oleh enjin 6.0 liter V12 yang telah dipertingkatkan dengan kuasa 600 PS, mampu dipacu dari 0-96 km/j dalam hanya 3.5 saat. Malah sistem suspensinya juga telah dilaras semula bagi memberikan “pengalaman pemanduan GT yang lebih unik dan spesifik bagi model Vanquish Zagato.

    Vanquish Zagato merupakan projek kereta kelima yang menerima kerjasama ini sejak lima dekad yang lalu. Ia bermula dengan model perlumbaan DB4 GT Zagato pada tahun 1960, yang kini memiliki nilai melebihi £10 million. Selain itu, V8 Vantage Zagato dilancarkan pada 1986, DB7 Vantage Zagato (2002) dan V12 Vantage Zagato (2011). Perhantaran pertama Vanquish Zagato ini dijangka bermula pada suku pertama 2017.

     
     
  • Honda Malaysia panggil balik 147,894 unit kenderaannya ekoran masalah beg udara – lapan model buatan tahun 2003-2011 terlibat

    Honda Malaysia mengumumkan sebanyak 147,894 unit kenderaannya terlibat dengan kempen panggilan balik (recall) untuk menggantikan inflator beg udara bahagian penumpang hadapan buatan Takata.

    Model yang terlibat dengan kempen ini ialah Accord (tahun buatan 2003-2011), City (2009-2011), Civic (2007-2011), CR-V (2008-2011), Freed (2009-2011), Insight (2011), Jazz (2009-2011) dan Odyssey (2004-2008).

    Penggantian komponan terbabit adalah sangat diperlukan bagi memastikan keselamatan para pemandu dan penumpangnya. Kos penggantian komponen terbabit termasuk kos buruh adalah ditanggung oleh pihak Honda Malaysia sendiri.

    Para pemilik model kenderaan yang terlibat akan dimaklumkan oleh pihak Honda dalam jangka masa terdekat ini. Malah boleh juga menghubungi talian bebas tol Honda di 1-800-88-2020 atau larari www.honda.com.my, atau segera berkunjung ke mana-mana pusat serbis Honda bertauliah untuk pemeriksaan lanjut.

    Walau bagaimana pun Honda Malaysia mengesahkan model-model baharunya di pasaran tidak terlibat dengan masalah ini.

    Senarai model Honda dan tahun buatan yang terlibat adalah seperti berikut:

    Honda_Malaysia_recall

    Sehingga kini, terdapat 13 kematian telah diumumkan di seluruh dunia akibat kegagalan beg udara Takata ini, termasuk dua kes yang berlaku baru-baru ini di Malaysia.

    Di mana Kedua-dua kemalangan yang berlaku di negara ini menyebabkan kematian tragik kepada pemandu. Kemalangan pertama dilaporkan pada 16 April tahun lalu yang berlaku di Sabah. Honda telah mengesahkan pemeriksaan yang dilakukan bersama Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menemui inflator beg udara Takata SDI bahagian pemandu telah pecah dalam kemalangan yang melibatkan Honda City 2006.

    Kereta tersebut adalah tersenarai dalam panggilan semula oleh pihak Honda Malaysia yang diumumkan pada 21 Mei 2015, yang memerlukan unit inflator beg udara Takata SDI bahagian pemandu tersebut ditukar.

    Kemalangan kedua pula berlaku pada 1 Mei 2016 di Kedah. Hasil pemeriksaan yang dilakukan bersama PDRM menemui inflator beg udara Takata SDI bahagian pemandu telah pecah dalam kemalangan yang melibatkan Honda City 2003.

     
     
  • Usah hon jika ada haiwan liar di jalan raya – Perhilitan

    Chickaboo-Ostrich-Federal-Highway

    Selepas burung unta yang diberi nama Chickaboo menjadi viral selepas kemunculannya berlari di Lebuhraya Persekutuan baru-baru ini, tiba pula giliran seekor kuda yang ‘marathon’ di Jalan Sultan Yahya Petra, Kota Baharu pula.

    Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) menyeru kepada orang ramai agar tidak membunyikan hon sekiranya terserempak dengan haiwan-haiwan ini di jalan raya. Ini kerana bunyi hon tersebut boleh mencetuskan rasa panik haiwan terbabit, sekali gus membuatkan ia bertambah sukar untuk dikawal.

    Timbalan Pengarah II Perhilitan, Fakhrul Hatta Musa, berkata, selain panik, bunyi hon tersebut boleh menyebabkan haiwan itu keliru, malah ia boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya dan haiwan itu sendiri.

    “Jika berhadapan dengan situasi ini, pemandu harus memperlahankan kenderaan dan cuba membantu menyelamatkan haiwan tersebut dengan menghubungi pihak-pihak berkaitan seperti PLUS, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Perhilitan sendiri untuk tindakan seterusnya,” ujarnya kepada Bernama.

    Fakhrul Hatta berkata, insiden baru-baru ini yang melibatkan dua haiwan terbabit adalah disebabkan kecuaian pemiliknya dan mereka boleh disaman sekiranya ia melibatkan kemalangan. “Pemilik atau pembiak berlesen haruslah mengikuti garis-garis panduan yang ditetapkan termasuk menempatkan haiwan ini di tempat yang selamat.

    Sekali lagi diingatkan, jika terserempak dengan haiwan liar di jalan raya, jangan hon! Dan utamakan keselamatan anda dan haiwan terbabit. Segera hubungi jabatan terlibat untuk menyelamatkan haiwan tersebut.

     
     
  • Polis nafi laporan serangan beramai-ramai terhadap kereta Uber di KL Sentral, beri amaran kepada pemandu teksi usah bertindak keterlaluan

    Malaysia-Taxi-02

    Polis telah menafikan terdapat laporan yang mengatakan kereta Uber telah diserang di KL Sentral, yang melibatkan seramai 50 pemandu teksi dengan menarik pelancong asing keluar dan seterusnya merosakkan kereta tersebut.

    Wanita dari Iran berusia 43 tahun yang membuat laporan polis ekoran insiden tersebut dikatakan mengalami sedikit kecederaan pada tangannya. Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah KL, SAC Rusdi Mohd Isa memberitahu The Sun, wanita asing berkenaan adalah penuntut di Malaysia dan bukannya pelancong, dan serangan tersebut tidaklah melibatkan kumpulan yang besar seperti mana yang dilaporkan.

    “Kami tidak menerima sebarang laporan daripada pemandu Uber. Mangsa hanya mengalami sedikit kecederaan ringan di tangannya apabila dia ditarik keluar dari kereta terbabit. Hanya seorang atau dua orang pemandu teksi yang terlibat, bukannya lebih daripada 50 orang pemandu teksi dalam insiden tersebut. Jika ia melibatkan serangan beramai-ramai, pastinya polis mengetahuinya dan akan segera ke sana untuk tindakan,” ujarnya.

    Dalam masa yang sama, Rusdi turut memberikan amaran kepada pemandu teksi agar tidak bersikap keterlaluan dan bertindak melulu, jika tidak, mereka akan berhadapan dengan tindakan dari polis. “Jika ada penumpang yang memilih untuk menggunakan perkhidmatan menerusi aplikasi ini, itu pilihan mereka. Saya percaya kerajaan sedang mengkaji isu ini sebelum membuat keputusan,” ujarnya lagi.

    Sambungnya lagi, “Sementara itu, pemandu teksi harus menantikan keputusan muktamad dari kerajaan, bukannya bertindak dengan kekerasan. Kita tidak ada pilihan lain untuk bertindak sekiranya mereka ini melakukan sesuatu di luar batasan termasuk mengancam keselamatan orang awam.”

     
     
  • Jualan kenderaan tahunan keseluruhan di Malaysia sehingga Mei 2016 jatuh 17.6% berbanding tahun lalu

    MAA-Sales-Data-May-2016-e1466501117415_BM

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan data jualan keseluruhan kenderaan di Malaysia untuk bulan Mei 2016. Data berkenaan nampaknya menunjukkan peningkatan selepas jualan keseluruhan yang merudum pada bulan lalu.

    Sejumlah 38,699 unit kenderaan penumpang persendirian dan 5,970 kenderaan komersial dijual bulan lalu, menjadikan jumlah keseluruhannya berjumlah 44,669 unit. Jumlah tersebut menyaksikan peningkatan sebanyak 6% atau 2,492 unit dari jumlah keseluruhan 42,177 unit berbanding bulan April 2016.

    Walaupun angka peningkatan ditunjukkan berbanding bulan lalu, angka berkenaan sebenarnya jauh lebih rendah berbanding bulan yang sama tahun lalu. Sejumlah 51,252 unit kenderaan berjaya dijual pada Mei 2015, menjadikan jumlah jualan bulan yang sama tahun ini jatuh 12.8% atau 6,583 unit.

    Jumlah jualan keseluruhan tahunan dalam tempoh masa yang sama tahun lalu juga dilihat menurun dimana dari Januari hingga Mei 2015 menyaksikan jualan keselurahan kenderaan di Malaysia adalah 235,914 unit berbanding hanya 193,953 unit untuk tempoh yang sama tahun ini – menyaksikan penurunan sebanyak 17.6%

    MAA menyatakan sebab utama kelembapan pasaran masih sama iaitu syarat pinjaman yang dikenakan oleh Bank Negara kini semakin ketat, walaupun kempen jualan dan pasaran yang agresif telah dilakukan oleh syarikat pengeluar kenderaan berbanding bulan April.

    Pihak MAA juga telah menjangkakan jualan akan bertambah bulan ini kerana kempen jualan Hari Raya yang sedang giat dijalankan oleh pengeluar kenderaan serta pelancaran beberapa model baharu seperti Honda Civic dan Proton Perdana.

     
     
  • Litrak umum diskaun tol sempena Hari Raya pertama – diskaun 60 sen di LDP dan 20 sen Sprint

    LDP_Toll_EXTRA

    Kumpulan Lingkaran Trans Kota Sdn.Bhd (Litrak) telah mengumumkan pemberian diskaun tol bagi pengguna Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Lebuhraya Sprint sempena Aidilfitri ini.

    Menurut CEO Litrak, Sazally Saidi, diskaun tol yang bakal diberikan adalah sebanyak 60 sen bagi LDP untuk semua kelas kenderaan. Manakala pengguna Sprint pula bakal menikmati diskaun tol sebanyak 20 sen.

    “Diskaun tol berkenaan akan diberikan pada 6 Julai ini iaitu Hari Raya pertama bermula jam 12.01 tengah malam sehingga 11.59 malam,” ujar Sazally.

     
     
  • Datuk Vida sedia membida VIP 1 dan VIP 6

    vida-qu-putih

    Jutawan kosmetik popular, Datuk Seri Hasmiza Othman, atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida bersedia membida nombor pendaftaran khas siri VIP 1 dan VIP 6 apabila bidaannya dibuka kelak. Baru-baru ini pemohonan dari Jawatankuasa Pelancongan Dan kebudayaan negeri Pahang untuk menggunakan nombor pendaftaran khas siri VIP 1 hingga VIP 9 sempena Tahun Melawat Pahang 2017 telah pun diluluskan oleh Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai

    Menerusi laporan Kosmo hari ini, nombor pendaftaran tersebut dirancang untuk dipadankan dengan kereta Bugatti Veyron dan bakal diberikan kepada anak lelakinya yang berusia 9 tahun. Katanya, kereta sport yang hanya dikeluarkan secara terhad di seluruh dunia itu memang menjadi idaman anak lelakinya, Muhammad Eric Zacquan.

    “Saya melihat nombor pendaftaran VIP ini unik dan bersesuaian jika diletakkan pada Bugatti Veyron yang diminati anak saya,” ulasnya.

    Baru-baru ini, Datuk Vida turut meletakkan harga yang tinggi bagi membida nombor pendaftaran F 1 bagi Wilayah Persekutuan Putrajaya dan dengan penuh keyakinan katanya mampu memenangi bidaan tersebut.

     
     
  • Hyundai dan Kia panggil semula lebih dari 400,000 unit kenderaan keluaran mereka dalam pasaran Amerika

    Kia Sedona 2006-10

    Hyundai dan Kia telah mengeluarkan notis panggilan semula terhadap lebih dari 400,000 unit kenderaan keluaran mereka di Amerika Syarikat berhubung empat masalah berbeza. Tiga daripada panggilan semula tersebut melibatkan jenama Kia, dua untuk Sedona (juga dikenali sebagai Carnival untuk pasaran lain) generasi kedua dan ketiga melibatkan Forte. Untuk Hyundai pula, panggilan semula ini melibatkan SUV Tucson.

    Panggilan semula pertama terhadap Sedona melibatkan sejumlah 97,884 unit yang di produksi dari Jun 2006 hingga Ogos 2012. Kia mengatakan karat mungkin akan terjadi pada bahagian bawah lengan kawalan (control arm) sistem suspensi hadapan kerana ia terdedah pada air masin yang terdapat pada garam yang digunakan untuk jalan raya. Ini akan menyebabkan lengan kawalan tersebut patah, dan berisiko untuk menyebabkan kemalangan. Lengan kawalan pada kenderaan-kenderaan ini akan ditukar.

    Panggilan semula kedua untuk Sedona pula melibat kenderaan yang diproduksi dari Jun 2005 hingga April 2014 yang berjumlah 219,800 unit. Selak pada penutup hud enjin kenderaan yang terlibat pada panggilan semula ini dikhuatiri melekat dan tidak terkunci setelah penutup hud tersebut ditutup. Ini mungkin akan menyebabkan penutup but berkenaan terbuka sendiri ketika kereta sedang berjalan jika selak utama dilepaskan. Untuk masalah ini, selak berkenaan mungkin atau ditukar atau dibersihkan dan dilincirkan semula, bergantung pada keadaan.

    Panggilan semula ketiga melibatkan 5,245 Forte 2013 yang diproduksi antara September 2012 dan Oktober 2012. Untuk panggilan semula ini, skru yang memegang plat penahan retraktor tali keledar hadapan dikatakan tidak diikat sepenuhnya, menyebabkan plat tersebut mungkin akan patah. Kia akan menggantikan kedua-dua belah pemasangan lengkap tali keledar hadapan untuk memperbaiki masalah ini tanpa sebarang bayaran.

    Panggilan semula terakhir pula melibatkan 81,000 unit Tucson 2016 yang dibuat antara Mei 2015 hingga Mac tahun ini. Masalah yang dihadapi Tucson ini adalah sama seperti Sedona, iaitu selak pada penutup hud hadapan yang melekat dan tidak mengunci penutup hud berkenaan setelah ditutup. Ini akan memungkinkan penutup hud tersebut terbuka sendiri ketika kereta sedang dipandu dan akan menyebabkan kemalangan. Hyundai akan menukar selak berkenaan pada semua Tucson yang terlibat dalam panggilan semula ini.

     
     
  • UMW Toyota tawar promosi hebat sempena Aidilfitri

    2016-Toyota-Hilux-47_BM

    Sempena dengan Hari raya Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi, UMW Toyota Motor Sdn Bhd telah memulakan kempen promosi tawaran hebat bagi model Toyota terpilih.

    Bagi yang memilih model Vios, para pelanggan berpeluang menerima rebat tunai sebanyak RM6,500 atau pun penyelenggaraan percuma selama lima tahun bersama rebat tunai bernilai RM4,000. Manakala bagi Corolla Altis pula, akan ditawarkan dengan rebat tunai sebanyak RM5,500 atau pun penyelenggaraan percuma selama lima tahun bersama rebat tunai bernilai RM3,000.

    Manakala Camry 2.5 Hybrid pula ditawarkan dengan rebat tunai berjumlah RM4,500 atau pun penyelenggaraan percuma selama lima tahun bersama rebat tunai bernilai RM2,000. Bagi Innova dan Avanza pula, rebat tunai masing-masing sebanyak RM2,000 dan RM1,000 akan ditawarkan.

    Toyota_Avanza_facelift_Malaysia_ 004

    Di samping tawaran menarik in juga, para pelanggan berpeluang menerima ‘Duit Raya’ sehingga RM3,500 jika membuat tempahan sebelum 5 Julai 2016. Ia adalah bagi tempahan Vios, Altis, Camry, Innova atau pun Avanza.

    Manakala bagi yang menempah model terbaharu Hilux pula, berpeluang menerima ‘Duit Raya’ bernilai RM2,000 jika membuat tempahan juga pada tarikh berkenaan.

    Menurut Presiden UMW Toyota Motor, Datuk ismet Suki, “Ramai yang ingin memiliki kenderaan baharu menjelang Hari Raya, jadi inilah masa yang sesuai untuk membeli mana-mana model terpilih Toyota. Malah dengan adanya tawaran menarik ini, ia mampu memberikan penjimatan sehingga RM8,000 bagi model terpilih, termasuk peryelenggaran percuma selama lima tahun, di samping waranti selama lima tahun tanpa had perbatuan.”

    Selain itu, semua pemilik kenderaan Toyota juga ditawarkan dengan alat ganti dan aksesori tulen Toyota terpilih dari semua pusat servis UMW Toyota Motor seluruh negara. Ia hanya boleh diperoleh sehingga 31 Ogos 2016 ini.

    June Promo Ad

     
     
  • CEO Volkswagen Group umum langkah strategik dan pengurangan kos untuk pulihkan semula jenamanya

    Volkswagen Jetta CKD 14

    Setelah berhadapan dengan pelbagai situasi getir, CEO Volkswagen Group Matthias Mueller telah mengumumkan 15 perkara dalam pelan strategik mereka untuk memulihkan semula imej positif pembuat kenderaan dari Jerman berkenaan.

    VW Group dijangka akan memotong kos sebanyak US$9 billion; memerlukan 25% dari barisan kenderaan mereka dikuasakan dengan beberapa tahap kuasa elektrik, samada hibrid atau elektrik sepenuhnya; memperkasa binaan kenderaan; dan menjadikan operasi alat ganti mereka sebagai perniagaan bebas yang akan melibatkan lebih 10% dari kakitangannya.

    “Tidak dinafikan kami mempunyai kelemahan yang teruk, terutamanya pada struktur, budaya dan kecekapan kami; kami mahu melenyapkannya, dan strategi baharu ini akan memberikan sumbangan yang sepatutnya,” kata Mueller semasa sidang akhbar bersama ketua strategi, Thomas Sedran.

    Mueller turut mengumumkan sasaran VW Group untuk menjual 2-3 juta kenderaan elektrik sepenuhnya (EV) dan plug-in hybrid menjelang 2025. Ini akan menghasilkan jumlah keseluruhan dalam kumpulan 20-25%, Mueller membuat jangkaan.

    porsche-mission-e-frankfurt-2016-0013

    Porsche Mission E Concept

    Untuk memastikan ia dicapai, Mueller berkata syarikatnya telah membuat penilaian untuk memproduksi pek bateri mereka sendiri dan juga sel bateri dalam skala industri. Mueller menjangkakan VW akan memerlukan bekalan bateri 150 gigawatt-jam; tiga kali lebih besar dari Gigafactory yang dirancang oleh Tesla.

    Jika VW memproduksi bateri mereka sendiri, kilang bateri tersebut bakal menjadi sebahagian dari bahagian operasi alat ganti yang dipisahkan seperti yang dinyatakan tadi, serte memerlukan lebih dari 10% daripada stafnya. Ia juga memerlukan kosnya ditadbir semula, di mana ia akan menggunakan lebih dari 90% pendapatan tahunan VW yang berjumlah US$240 bilion.

    Untuk masa hadapan, VW turut merancang untuk mengurangkan bajet penyelidikan dan pembangunan mereka dari 6.4% daripada pendapatan automotifnya ke 6%, yang akan mencapai sasaran mengurangkan kos sebanyak US$9 bilion.

     
     
  • Perodua menyumbang barang keperluan dan duit raya kepada 184 keluarga, 24 anak yatim sempena Aidilfitri

    Perodua

    Sempena meraikan bulan Ramadan, Perodua melalui Badan Agama Islam Perodua (BAIP), Jabatan Hal Ehwal Agama Perodua dan Masjid Nurul Islamiah, Sg.Choh telah mengagihkan barangan makanan keperluan harian kepada hampir 184 asnaf di sekitar kawasan tersebut di sini, baru-baru ini.

    Selain itu, Perodua juga turut memberikan duit raya kepada 24 anak yatim di sekitar kawasan ini sebagai persedian mereka menyambut Aidilfitri yang bakal tiba.

    Di majlis yang sama, Perodua telah mengadakan sesi bergotong royong bersama komuniti tempatan menerusi program Mahabbah Ramadan Perodua untuk menyediakan hidangan istimewa Ramadhan- bubur lambuk yang akan diagihkan kepada masyarakat di sini, hari ini.

    “Program tanggungjawab korporat Perodua ini yang diadakan setiap tahun di bulan Ramadan adalah bertujuan untuk menjalinkan hubungan persahabatan serta mengukuhkan perpaduan dan ukhuwah di antara Perodua dan masyarakat setempat, tambahan pula majoriti penduduk qariah di kawasan ini adalah kakitangan Perodua,” Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh berkata.

    Acara bermula pada jam 1 tengah hari dengan sesi gotong royong bagi menyediakan bahan-bahan bubur lambuk yang disertai oleh 50 sukarelawan Perodua dengan dibantu oleh komuniti tempatan. Antara aktiviti yang diadakan ialah majlis berbuka puasa, tahlil, doa selamat dan juga solat terawih bersama masyarakat di kawasan ini.

     
     
  • Kenderaan berat dilarang berada di jalan raya selama empat hari pada tarikh tertentu sempena Aidilfitri ini

    Lorry driveshaft 02

    Kementerian Pengangkutan telah mengeluarkan kenyataan berhubung larangan kenderaan berat termasuk lori dan treler di jalan raya terutamanya di lebuh raya dan jalan persekutuan di seluruh negara selama empat hari pada tarikh yang telah ditetapkan.

    Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata, tarikh larangan itu adalah pada 2, 3, 9 dan 10 Julai ini, dan pihaknya berharap pemandu lori dapat mematuhi arahan berkenaan, laporan Sinar Harian.

    Larangan ini adalah untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas pada dua hari sebelum dan selepas hari raya di mana pastinya orang ramai berpusu-pusu pulang ke kampung halaman dan kembali semula ke kediaman masing-masing.

    “Bagaimanapun, kenderaan berat yang menghantar keperluan harian seperti lori minyak, makanan dan perubatan terkecuali daripada larangan yang telah dikeluarkan ini,” katanya.

    Tambahnya, keputusan larangan sudah dimaklumkan kepada syarikat pengangkutan dalam pertemuan sebelum ini, dan ia tidak menjadi masalah kepada mana-mana syarikat atau pemandu lori untuk mematuhinya.

    Dalam masa yang sama, beliau turut berkata pihaknya akan melakukan Operasi Hari Raya selama dua minggu, bermula pada 29 Jun dan berakhir pada 14 Julai.

    Katanya, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan memantau perkembangan itu dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pemandu dan syarikat yang ingkar.

     
     
  • Skandal Dieselgate: Bekas CEO Volkswagen mungkin berhadapan dengan hukuman lima tahun penjara

    ExCEO_Volkswagen

    Akibat dari skandal Dieselgate yang masih masih belum menemui jalan penyudahnya, Jerman telah memulakan pendakwaan bagi siasatan jenayah terhadap dua eksekutif tertinggi Volkswagen termasuk bekas CEO syarikat itu sendiri, Martin Winterkorn. Manakala seorang lagi ahli lembaga pengurusan Volkswagen yang terlibat tidak didedahkan lagi identitinya.

    Jika didapati bersalah, Winterkorn dan individu lain yang terlibat akan dikenakan denda atau mungkin terpaksa meringkok di penjara selama lima tahun.

    Sumber mengesahkan, siasatan yang dijalankan adalah berdasarkan “bukti yang mencukupi terhadap petanda sebenar” yang membuktikan syarikat terbabit terlibat secara langsung dalam skandal terbabit. Volkswagen dikesan terlibat dengan skandal ini pada September tahun lalu. Di mana mereka didapati menggunakan “defeat device” ketika menjalani ujian emisi karbon rasmi untuk sejumlah 482,000 unit model kedua-dua jenama ini.

    Perisian terbabit digunakan ketika menguji Volkswagen Beetle, Golf, Jetta dan Audi 3 bagi model buatan tahun 2009-2015 serta Volkswagen Passat 2014 dan 2015. Selepas itu, perisian terbabit telah dimatikan perantinya ketika pemanduan sebenar peringkat global.

     
     
  • SPYSHOT: Honda Gienia – City versi hatchback

    Honda-Gienia-spyshots-1_BM

    Pada Beijing International Auto Show 2014, Honda telah mendedahkan model konsep hatchback Concept B yang dibina berasaskan Honda Greiz Sedan. Kini, Autohome telah mendedahkan versi produksi model konsep tersebut yang dilaporkan akan digelar sebagai Honda Gienia. Model tersebut diproduksi oleh kerjasama Dongfeng-Honda dan akan dijual secara ekslusif di China sahaja, bersama sedan Honda Greiz.

    Honda Greiz sebenarnya merupakan Honda City yang diberi perubahan pada muka, bahagian belakang dan beberapa bahagian lain. Oleh itu secara asasnya Geinia ini merupakan Honda City versi hatchback. Untuk pasaran Malaysia dan mahupun dunia, Honda Jazz/Fit telah pun dikenali sebagai versi hatchback untuk City, namun untuk pasaran China yang lebih kompetitif, Honda memperkenal sebuah lagi versi hatchback untuk City menerusi model Gienia ini.

    Rupa luaran Geinia versi produksi ini dilihat kurang garang berbanding model Concept B. Namun beberapa ciri rekaan utama masih lagi dikekalkan seperti muka berkonsep Solid Wing Honda dengan elemen krom, gril berwarna hitam, lampu hadapan projektor dan bampar hadapan yang kurang agresif.

    Honda-Gienia-spyshots-2_BM

    Walau bagaimanapun, bahagian belakang Gienia masih kekal seiras dengan dengan Concept B. Ia dipadankan dengan sepasang lampu belakang berbentuk boomerang dihubungkan menerusi jalur yang merentangi penutup but belakang. Setiap sisi bahagian bampar belakang pula menempatkan reflektor dengan kemasan krom disekelilingnya.

    Gienia diukur dengan 4,517 mm panjang, 1,705 mm lebar, 1,477 mm tinggi, dan jarak roda keseluruhan 2,600 mm. Jika dibandingkan dengan Greiz sedan, Geinia hanya 22 mm lebih pendek. Ia dijana oleh enjin petrol 1.5 liter i-VTEC berkuasa 129 hp/155 Nm. Ia dipadankan dengan pilihan kotak gear sama ada lima kelajuan manual atau CVT automatik.

    GALERI: Honda Concept B di Beijing 2014

     
     
  • Ducati 1199 Superleggera pasaran Amerika dipanggil semula kerana masalah klac – 168 unit terlibat

    2014 Ducati 1199 Superleggera (4)

    Ducati Amerika Utara telah mengeluarkan notis panggilan semula (bernombor SRV-RCL-16-002) untuk Ducati 1199 Superleggera 2014 kerana masalah klac yang mengkin boleh menyebabkan tayar belakang motosikal berkenaan terkunci. Menurut laporan fail Ducati di Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuhraya Kebangsaan Amerika Syarikat (NHTSA), masalah tersebut adalah disebabkan plat penyerap antara gear pacuan utama dan perumah klac yang mengalami kerosakan.

    Ini akan menyebabkan enjin mati ketika ditunggang dan seterusnya mengunci roda belakang, berkemungkinan akan menyebabkan kemalangan serta mendatangkan kecederaan kepada penunggang. Menurut notis tersebut, 168 unit Ducati 1199 Superleggera 2014 untuk pasaran Amerika Syarikat yang dibuat antara April hingga November 2014 terlibat dengan panggilan semula berkenaan. Klac baharu akan ditukar dan segala kos adalah ditanggung oleh pengedar Ducati.

    Panggilan semula ini dijangka akan bermula 18 Julai ini dan pemilik Ducati 1199 Superleggera boleh menghubungi pengedar untuk maklumat selanjutnya. Ducati 1199 Superleggera (yang bermaksud sangat ringan) merupakan superbike Ducati dalam barisan model Panigale, dan didakwa sebagai motosikal produksi yang mempunyai nisbah kuasa kepada berat paling tinggi, dengan 195 hp/ 132 Nm membawa badan 188 kg.

     
     
  • Nombor pendaftaran khas siri VIP 1 hingga VIP 9999 sempena Tahun Melawat Pahang 2017 diluluskan

    rr-vip-plate

    Pemohonan dari Jawatankuasa Pelancongan Dan kebudayaan negeri Pahang untuk menggunakan nombor pendaftaran khas siri VIP 1 hingga VIP 9 sempena Tahun Melawat Pahang 2017 telah pun diluluskan oleh Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

    Menurut laporan theSun, bagi mendapatkan hak eksklusif bagi siri nombor perndaftaran tersebut, kerajaan Pahang perlu membayar sejumlah RM1 juta kepada Jabatan pengangkutan Jalan (JPJ) iaitu sama seperti beberapa pertubuhan yang menjual nombor pendaftaran kenderaan dengan awalan “Patriot”, “G1M”, “1M4U”, “BAMbee”, “Sukom” dan banyak lagi.

    Bagi nilai keseluruhan RM1 juta untuk 9,999 nombor itu, ini bermakna JPJ akan menerima RM100 bagi setiap nombor tersebut, walau pun selalunya nombor-nombor khas ini boleh mencecah sehingga ribuan malah jutaan ringgit untuk membidanya. Ini termasuklah nombor pendaftaran “F1” yang dilaporkan menerima bidaan hampir RM5 juta baru-baru ini.

    Akhbar terbabit turut mempersoalkan mengapa pihak kementerian atau JPJ membenarkan beberapa pertubuhan menjana kewangan dengan menjual nombor pendaftaran khas sebegini sedangkan ia boleh disalurkan kepada kerajaan sendiri.

    Selain itu, terdapat juga isu lain iaitu berkaitan dengan ketelusan dalam proses pembidaan yang dikendalikan oleh pertubuhan persendirian bukan-kerajaan yang bertentangan dengan amalan yang dilakukan oleh JPJ ketika membina nombor ini.

    theSun turut menghubungi Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi bagi menjawab persoalan ini. Menurutnya, profit yang diperoleh dari hasil jualan nombor-nombor tersebut akan disalurkan terus kepada badan pertubuhan yang bertanggungjawab. “Contohnya plat nombor “G1M”, hasil jualan tersebut terus kepada Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia untuk dana ekpedisi ke Gunung Everest,” ujar Aziz.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.47 (-0.25)
RON 97 RM4.10 (-0.25)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.07 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.27 (-0.30)
Last Updated Jun 25, 2026