Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • GrabHitch JB-Singapura tidak patuhi peraturan – LTA

    johor causeway jam bernama pix

    Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat Singapura (LTA) telah mengeluarkan kenyataan memaklumkan bahawa GrabHitch iaitu perkhidmatan perkongsian kenderaan antara Singapura dan Johor Baharu adalah “tidak mematuhi undang-undang di Singapura.

    Menurut laporan yang disiarkan menerusi Channel NewsAsia, LTA memaklumkan bahawa pengangkutan perkongsian merentas sempadan secara percuma itu adalah sah asalkan ia tidak melibatkan sebarang bayaran.

    Di bawah Seksyen 101 Akta Trafik Singapura, sesiapa yang ditangkap kerana menggunakan kenderaan bermotor dengan pendaftaran luar dianggap tidak berlesen seandainya digunakan sebagai kenderaan mengangkut penumpang secara berbayar. Saman terhadap pesalah boleh dikenakan sehingga SGD$3,000 (RM9,072) dan penjara selama enam bulan.

    GrabHitch_infographics-02

    “Kenderaan pendaftaran Malaysia tidak dibenarkan sama sekali untuk menawarkan perkhidmatan sebgini tanpa lesen kenderaan pengangkutan awam,” ujar jurucakap LTA kepada Channel NewsAsia. Sama juga kenderaan dengan pendaftaran Singapura juga tidak dibenarkan berbuat demikian di Malaysia tanpa lesen kenderaan pengangkutan awam (PSV).

    GrabHicth yang diperkenalkan pada awal Mei lalu merupakan servis terbaharu bagi memenuhi persamaan antara pemandu dan penumpang. Pemandu yang mempunyai ruang lebih dalam kenderaan mereka mempunyai pilihan untuk mengambil penumpang yang menuju ke destinasi yang sama untuk mengurangkan kos perjalanan mereka, manakala penumpang pula hanya perlu membayar sebahagian daripada kos pengangkutan awam yang lain

    Walau bagaimana pun, Grab berkata pihaknya kini sedang berurusan dengan kedua-dua pihak berkuasa Singapura dan Malaysia bagi mendapatkan satu solusi bagi perkhidmatan ini, sebagai salah satu cara menambah baik jalinan antara kedua negara.

     
     
  • Honda memperkenalkan jentera perlumbaan NSX elektrik sepenuhnya (EV) untuk PPIHC 2016

    NSX-Inspired EV Concept Ready to ‘Charge Up’ Pikes Peak

    NSX-Inspired EV Concept Ready to ‘Charge Up’ Pikes Peak

    Setelah memperkenalkan dua jentera NSX dalam kelas berbeza sebelum ini untuk perlumbaan Pikes Peak International Hill Climb (PPIHC) 2016 yang bermula minggu ini, kini Honda memperkenalkan lagi sebuah jentera yang akan dipertaruhkan untuk kelas Electric Modified, iaitu sebuah jentera konsep elektrik sepenuhnya (EV) Super Handling All-Wheel Drive (SH-AWD) yang berinspirasikan Honda NSX.

    Jentera tersebut dibina berasaskan jentera prototaip CR-Z elektrik sepenuhnya yang memenangi kelas Exhibition tahun lalu, dan dipadankan dengan badan Honda NSX. Jentera yang dilengkapi dengan empat motor elektrik sepenuhnya SH-AWD ini mampu menghasilkan kuasa tiga kali lebih bertenaga dari jentera sebelum ini, dan masih akan dipandu oleh Tetsuya Yamano.

    NSX-Inspired EV Concept Ready to ‘Charge Up’ Pikes Peak

    NSX-Inspired EV Concept Ready to ‘Charge Up’ Pikes Peak

    Sebagai sebuah jentera “Race to The Clouds” (ingat lagi Suzuki Escudo Pikes Peaks yang dipandu oleh Monster Tajima dan popular dalam permainan video Gran Turismo 2?) sebenar, badan NSX menampilkan kerangka perlumbaan yang ringan serta kit aerodinamik agresif seperti sayap hadapan dan belakang yang sangat besar.

    “Kami telah menala kereta ini untuk berberapa minggu di Pikes dan telah meningkatkan prestasinya secara signifikan,” kata Tetsuya Yamano. “Kami berbangga dapat berlumba di Pikes pada ulangtahunnya yang bersejarah tahun ini – iaitu acara yang dihormati oleh peminat perlumbaan seluruh dunia.”

     
     
  • Puspakom anjur kempen pemeriksaan kenderaan percuma sempena Aidilfitri di cawangan terpilih

    puspakom-cermin-gelap

    Sempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba, Puspakom akan menawarkan perkhidmatan Pemeriksaan Kenderaan Persendirian Sukarela (Voluntary Vehicle Inspection-VVI) secara percuma mulai 23 Jun sehingga 5 Julai 2016 di semua cawangan Puspakom di seluruh negara kecuali di cawangan Shah Alam, Taman Bukit Maluri, Mak Mandin dan Kota Bharu.

    Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom Mohammed Shukor Ismail berkata, “Pada musim perayaan Aidilfitri tahun lepas, kempen yang sama telah dijalankan di mana lebih kurang 1,500 pemilik kenderaan persendirian telah menjalani pemeriksaan VVI secara percuma. Pada tahun ini, sasaran kami adalah untuk memanfaatkan lebih 2,500 pemilik kenderaan persendirian di seluruh negara.

    “Kami berharap agar lebih ramai pemilik kenderaan persendirian akan mengambil peluang ini untuk memeriksa kenderaan mereka. VVI adalah pemeriksaan sukarela dan bukan pemeriksaan mandatori. Ia bertujuan memastikan kenderaan selamat digunakan di jalan raya serta membolehkan pemilik kenderaan mengenal pasti sebarang masalah yang mungkin timbul sehingga mampu mengundang bahaya kepada pemandu, penumpang dan pengguna jalan raya yang lain,” ujar Shukor.

    Menurutnya lagi, proses pemeriksaan VVI ini hanya mengambil masa 30 minit. Kemudian pelanggan boleh merujuk kepada bengkel yang bertauliah untuk membaik pulih kenderaan berpandukan laporan VVI sebelum pulang ke kampung.

    puspakom-test

    Di mana bagi pemeriksaan sukarela di Puspakom, kenderaan akan diperiksa mengikut 25 peringkat ujian yang menyeluruh termasuklah ujian pengeluaran asap, gelincir sisi, suspensi, ketelusan cahaya cermin, brek dan sebagainya. Pemeriksaan dijalankan oleh pemeriksa kenderaan Puspakom yang bertauliah dengan menggunakan peralatan dan perisian yang terbaik untuk memastikan keselamatan kenderaan berada pada tahap paling optimum.

    Sambungnya lagi, “Setiap kenderaan perlu diselenggara mengikut tempoh atau jumlah jarak yang melibatkan penukaran alat-alat ganti seperti minyak hitam, perlu dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan di dalam buku panduan. Pemeriksaan kenderaan adalah prosedur yang dapat memastikan bahawa keadaan sesebuah kenderaan itu mematuhi peraturan keselamatan kenderaan, pelepasan asap dan lain-lain aspek yang berkaitan mengikut ketetapan yang telah ditentukan oleh akta-akta yang berkaitan.”

    Kempen VVI secara percuma ini adalah sebahagian daripada inisiatif dan tanggungjawab korporat Puspakom dalam meningkatkan tahap kesedaran keselamatan kenderaan di kalangan orang ramai, terutamanya mengenai kepentingan menjalankan pemeriksaan kenderaan secara berkala. Inisiatif ini juga adalah seiring dengan seruan kerajaan dalam mengurangkan kadar kemalangan jalan raya yang tinggi pada musim perayaan.

    Selain itu, pelanggan VVI akan diberikan keutamaan dengan terus mengunjungi cawangan dari jam 8.00 pagi sehingga 5.00 petang setiap hari (mengikut waktu operasi setiap cawangan) tanpa perlu menunggu dan membuat temujanji.

    Puspakom turut memaklumkan, waktu operasi di cawangan-cawangan akan dilanjutkan bagi memenuhi permintaan yang tinggi sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri. Waktu operasi dilanjutkan pada hari Sabtu, 25 Jun 2016 dan 2 Julai 2016, dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang di cawangan-cawangan yang berikut:

    Screen Shot 2016-06-21 at 10.02.58 AM

     
     
  • Ford Mustang baharu bakal dilengkapi dengan transmisi automatik 10-kelajuan pada 2018?

    Ford-Mustangs-2

    Menurut Mustang6g.com, terdapat perkhabaran yang mengatakan model Ford Mustang akan datang bakal dilengkapi dengan transmisi automatik 10-kelajuan. Khabar ini diperoleh dari sumber pengedar Ford sendiri. Di mana terdapat kenyataan yang kotak gear itu akan ditawarkan bersama penjana kuasa pilihan bagi Mustang akan datang itu iaitu yang akan diperkenalkan pada tahun 2018.

    Walau bagaimana pun, maklumat ini masih belum menerima kesahihan dari Ford sendiri dan masih dianggap sebagai spekulasi di kalangan peminat Mustang.

    Kotak gear automatik 10-kelajuan juga telah diaplikasikan pada model F-150 dan Chevy Camaro, hasil kerjasama antara GM dan Ford. Ia adalah menerusi perjanjian perkongsian rekaan bagi dua transmisi iaitu
    pacuan-hadapan sembulan-kelajuan oleh GM dan Ford pula dengan pacuan-belakang 10-kelajuan.

    Ford berkata, dengan adanya transmisi baharu ini, ia mampu memberikan penjimatan bahan api yang lebih efisien. Chevy pula mendakwa, transmisi automatik 10-kelajuan pada Camaro ZL1 adalah lebih pantas berbanding kotak gear Porsche.

    Apa pun, kita nantikan perkembangan selanjutnya dari Ford sendiri, adakah benar dakwaan mengenai transmisi baharu ini bagi Mustang akan datang.

     
     
  • Local Motors bangunkan Olli – Bas mini elektrik sepenuhnya (EV) yang berfungsi tanpa pemandu

    local-motors-olli-3_BM

    Local Motors yang sebelum ini menghasilkan jentera perlumbaan off-road Rally Fighter, kini hadir dengan rekaan terbaharu mereka, Olli iaitu sebuah bas mini elektrik sepenuhnya (EV) yang mampu memuatkan 12 orang penumpang.

    Olli bukan sahaja menggunakan elektrik sepenuhnya, malah ia adalah sebuah bas tanpa pemandu yang bergerak sendiri mengikut laluan yang telah ditetapkan, serta mampu untuk memenuhi arahan dari penumpang. Bas mini ini dibina sendiri oleh Local Motor, dengan sistem kawalan komputer yang diambil dari Watson, iaitu sistem kognitif dari IBM.

    Sistem tersebut membolehkan Olli menerima permintaan laluan, dan juga menerima serta bertindak balas arahan yang diberikan. Olli turut boleh memberikan cadangan restoran kepada penumpang berdasarkan laluan yang diminta oleh penumpang.

    Olli mampu bergerak sendiri sepenuhnya dengan teknologi pengesanan cahaya dan jarak (LIDAR), bersama kamera dan penderia lain yang mampu untuk mengemudi jalan dan trafik secara automatik.

    Bas mini yang menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya ini digerakkan oleh motor elektrik berkuasa 20 hp dan tork 125 Nm serta mampu mencapai kelajuan maksima 20 km/j. Bateri yang digunakan mampu untuk membawa Olli sejauh 50 km, cukup untuk kegunaannya yang ditetapkan di kawasan universiti dan dalam bandar.

    Setakat ini, hanya sebuah Olli yang telah dibina dan kini sedang beroperasi dibawah pengawasan manusia di Maryland. Jika perkara yang tidak diingini berlaku, Local Motors berkata, tanggungjawab sepenuhnya akan diambil oleh mereka. Local Motors turut bercadang untuk membina unit Olli tambahan untuk beroperasi dibeberapa kawasan lain iaitu satu di Las Vegas, dua di Florida serta empat di Denmark menjelang akhir tahun ini.

     
     
  • Volkswagen Group tegaskan jenama motosikal Ducati yang berada di bawah naungannya tidak akan dijual

    2016 Ducati 959 Panigale Buriram DRE - 7

    Laporan oleh Bloomberg pada 15 Jun lalu berkenaan Volkswagen Group yang dikatakan akan melepaskan beberapa jenama yang tidak penting milik mereka telah menimbulkan spekulasi jenama motosikal Ducati antara yang akan dijual. Walau bagaimanapun, VW dengan segera menegaskan bahawa jenama motosikal berprestij dari Itali itu akan kekal berada dibawah naungannya.

    Menurut laporan Motorcycle News, CEO Audi Rupert Stadler yang juga merupakan salah seorang ahli lembaga dalam VW menyatakan bahawa “Ducati tidak akan dijual”. Khabar angin ini tersebar setelah skandal “Dieselgate” Volkswagen kini dikatakan memerlukan dana mencecah USD55 billion (RM224 billion) untuk memperbaiki semula semua kereta yang gagal melepasi ujian pencemaran udara.

    Laporan sebelum ini menyebut VW sedang mempertimbangkan untuk melepaskan jenama trak MAN dan Scania, serta Ducati. Menurut perjanjian antara VW dan Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat (EPA) April lalu, dianggarkan 480,000 buah kenderaan yang dilengkapi dengan enjin diesel 2.0 liter EA189 terlibat dalam kes ini, lebih rendah daripada anggaran asal sebelum ini yang menjangkakan sejumlah 600,000 unit.

     
     
  • Nissan sedia memperhebatkan pasaran EV di China

    Nissan_Leaf_015

    Nissan Motor bersedia memperhebatkan lagi pasaran kenderaan elektrik (EV) ke China apabila negara berkenaan telah memulakan kempen kenderaan mesra alam. Malahan EV di sana akan dijual pada harga kurang 30% berbanding sebelum ini, iaitu hasil insentif yang diberikan oleh kerajaan China, laporan Nikkei Asia.

    Malah pengeluar kenderaan dari Jepun itu yang pernah melancarkan model Venucia e30, versi kemas kini model EV Leaf di China pada tahun 2014, turut merancang untuk memperkenalkan satu lagi model EV baharu pada musim panas ini. Di mana model EV berkenaan akan dibangunkan dengan kerjasama rakan strategik tempatan Nissan iaitu Dongfeng Motor Group.

    Nissan akan memproduksikan model baharu itu di kilang pemasangan di China dan menggunakan banyak komponen dari negara berkenaan. Nissan turut mensasarkan harga jualan bagi model EV terbabit adalah sama dengan model pesaingnya yang lain di negara berkenaan.

    Ia akan dijual pada harga antara 100,000 yuan (RM61,960) hingga 150,000 yuan (RM92,940) selepas subsidi yang ditawarkan oleh kerajaan China. Malah Nissan turut mensasarkan untuk mengembangkan pasaran di China bagi EV dari 2% pada 2015 menjadi 5% hingga 10% beberapa tahun akan datang, menerusi model EV yang lebih murah ini.

    China telah menggalakkan rakyatnya membeli kenderaan yang “lebih menjimatkan tenaga” termasuk kenderaan elektrik dan plug-in hybrid, bagi mengurangkan pencemaran dan membangunkan industri baharu. Kerajaan pusat China telah memperuntukkan sejumlah 55,000 yuan (RM34,067) sebagai subsidi pembelian EV kepada rakyatnya.

    Pada tahun 2015, sebanyak 330,000 unit EV telah dijual di negara tersebut dan Beijing mensasarkan penjualannya bakal meningkat sehingga lima juta menjelang tahun 2020.

    Memandangkan di Jepun dan beberapa buah negara barat lain, penjualan EV agak mengecewakan memandangkan harganya yang agak tinggi dan kekurangkan prasarana. Lantas membuatkan CEO Nissan, Carlos Ghosn sangat mengalu-alukan kempen China ini untuk memperhebatkan lagi jualan EV di sana.

     
     
  • Le Mans 2016 – Toyota terkandas tiga minit sebelum perlumbaan tamat, dipintas dan dimenangi Porsche

    high_romain_dumas_marc_lieb_l_r_wec_le_mans_2016_porsche_ag-2-e1466387591485_BM

    Setelah berhempas pulas hampir 24 jam, Toyota TS050 Hybrid #5 yang dipandu Anthony Davidson, Sebastien Buemi dan Kazuki Nakajima mengalami kerosakan enjin ketika mendahului perlumbaan di laluan lurus utama, tiga minit sebelum perlumbaan Le Mans 24 Jam 2016, dan dipintas seterusnya dimenangi oleh Porsche 919 Hybrid #2 dipandu oleh Romain Dumas, Neel Jani dan Marc Lieb.

    Minit-minit terakhir perlumbaaan menyaksikan episod kekecewaan untuk Toyota Gazoo Racing, yang seperti sudah jelas bakal memenangi kemenangan keseluruhan untuk pertama sejak penyertaan Toyota dalam kancah perlumbaan Le Mans 24 pertama kali pada tahun 1985 – sehinggalah Nakajima melaporkan pada pasukannya kurang enam minit sebelum perlumbaan tamat, kereta yang dipandu kehilangan kuasa.

    Dari situ, Nakajima berusaha keras untuk membawa jenteranya menuju ke garisan penamat untuk memenangi perlumbaan, tetapi akhirnya gagal. Porsche #2 yang dipandu oleh Neel Jani berjaya memintas kereta Nakajima yang terhenti sepenuhnya sebelum tiba di garisan penamat seterusnya menghabiskan lap terakhir dan merangkul gelaran ke-18 serta yang kedua secara beturut-turut. Kejayaan ini turut melebarkan lagi pencapaian Porsche sebagai pengeluar paling banyak memenangi perlumbaan endurance paling berprestij di dunia berkenaan.

    tjm1619ju708-e1466387038534_BM

    Jentera Porsche #2 memintas Jentera Toyota #5 untuk mendahului perlumbaan pada lap terakhir

    Lebih malang untuk Toyota, apabila Nakajima berjaya menghidupkan semula jenteranya melepasi garisan penamat, dia tidak dikira sebagai menghabiskan perlumbaan, dan lap terakhirnya dicatatkan 12 minit ketinggalan dari Porsche #2 berkenaan.

    Tempat kedua dimenangai oleh Toyota #6 yang dipandu oleh Stéphane Sarrazin, Mike Conway dan Kamui Kobayashi, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Audi R18 #8 yang dipandu oleh Lucas Di Grassi, Loïc Duval dan Oliver Jarvis, menjadikan Audi sebagai pasukan yang tidak pernah menamatkan perlumbaan tanpa podium sejak penyertaan pertama mereka pada 1999.

    Audi #7 yang dipandu Marcel Fässler, Andre Lotterer dan Benoit Tréluyer menghabiskan perlumbaan di tempat keempat apabila pengecas turbo jentera tersebut terpaksa ditukar selepas dua jam perlumbaan berlangsung, manakala Porsche #1 yang dipandu oleh Timo Bernhard, Mark Webber dan Brendon Hartley menghabiskan perlumbaan di tempat ke-13 keseluruhan selepas jentera mereka terpaksa masuk ke garaj dua kali untuk memperbaiki masalah suhu enjin yang terlalu tinggi.

    Porsche Team: Romain Dumas, Marc Lieb, Neel Jani (l-r)

    Porsche Team: Romain Dumas, Marc Lieb, Neel Jani (l-r)

    Signatech Alpine A460 #36 dipandu oleh Menezes Gustavo, Nicolas Lapierre dan Stéphane Richelmi mengungguli kelas LMP2, manakala Ford GT pasukan Chip Ganassi #68 yang dipandu oleh Joey Hand, Dirk Müller dan Sébastien Bourdais memenangi perlumbaan kelas GTE dihadapan Ferrari 488 GTE pasukan Risi Competizione #82.

    Kemenangan pasukan Chip Gannassi tersebut mengulangi kejayaan pertama Ford di Le Mans 50 tahun lalu dengan Ford GT40 yang ketika itu turut menewaskan Ferrari di tempat kedua.

     
     
  • Brabus 850 6.0 Biturbo Cabrio berasaskan Mercedes-AMG S63 Cabriolet – 850 hp, 1,450 Nm, 350km/h

    mercedes-amg-s63-cabriolet-by-brabus-e1466388235886

    Apabila Brabus menghasilkan sebuah jentera berasaskan Mercedes-Benz, pastinya ledakan kuasa yang lebih besar akan dijangkakan. Ternyata ia tepat apabila Brabus 850 6.0 Biturbo Cabrio yang dihasilkan berdasarkan model Mercedes-AMG S 63 Cabriolet mempunyai angka kuasa yang penuh menguja.

    Dengan ledakan kuasa 850 hp pada 5,400 rpm dan tork 1,450 Nm pada 2,500 hingga 4,500 rpm, puncak tork telah dihadkan secara elektronik menjadi 1,150 Nm bagi mengekalkan jentera ini dengan pacuan semua-roda dan transmisi automatik tujuh-kelajuan.

    Enjin standard pada S 63 iaitu 5.5 liter turbo-berkembar V8 telah dipertingkatkan dari 5,461 cc ke 5,912 cc untuk memberikan memanjangkan pukulan aci engkol, mengembangkan jarak silinder dan menyesuaikan omboh dan penyambungan rod. Dua silinder utama pula telah dimodifikasi bagi meningkatkan prestasi kuasanya.

    mercedes-amg-s63-cabriolet-by-brabus-8-e1466390574412

    Malah turbo standard juga telah digantikan dengan unit turbo Brabus sendiri yang lebih besar dengan unit pemampat yang besar bersama jujukan pancarongga ekzos. Turut dipasang ialah set paip 75 mm dengan pemangkin logam yang disemak semula, bagi menyalurkan gas buangan menerusi sistem ekzos keluli tahan karat.

    Selain itu, kotak penapis udara besar dan saluran udara karbon turut dipasang bagi membantu enjin menerima lebih banyak udara, sementara pelindung haba pula diperbuat dari emas.

    mercedes-amg-s63-cabriolet-by-brabus-21

    Dengan jumlah muntahan kuasa yang dihamburkan, jentera ini mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 3.5 saat, sementara 200 km/j dalam 9.4 saat. Malahan kuasa 850 hp yang ada itu turut membolehkan Brabus ini mencecah kuasa maksimum sehingga 350 km/j.

    Luarannya, Brabus 850 Biturbo Cabrio dipadankan dengan roda Monoblock “Platinum Edition” 21-inci yang dibaluti tayar 255/35ZR21 di hadapan dan 295/30ZR21 di belakang. Ia juga bagi dipadankan dengan modul suspensi yang direndahkan sekitar 15 mm, bersama kekemasan gentian karbon yang lebih agresif pada bahagian bampar hadapan dan belakang serta skirt sisi, di samping sistem ekzos dengan tip seramik.

    Untuk bahagian kabinnya, kekemasan gentian karbon menjalari kebanyakan sudut, serta kehadiran plat sisi Brabus, pedal penukar, pedal dan pin pengunci pintu aluminium menyerlahkan lagi gayanya.

     
     
  • Mazda SkyActiv-D bakal tiba ke Malaysia – pengedar

    Pengedar tempatan Mazda telah mewar-warkan di laman media sosial Facebook mengenai kenderaan Mazda yang dijanakan oleh enjin diesel, SkyActiv-D bakal tiba tidak lama lagi.

    Tahun lalu, Bermaz Motor telah mengesahkan kenderaan diesel SkyActiv-V akan diperkenalkan pada tahun 2016, namun buat setakat ini tidak mengatakan model pertama yang bakal diperkenalkan itu. Kemungkinan besar ia adalah CX-5 janaan diesel yang telah pun dipasang di kilang Inokom di Kulim bagi dieksport ke pasaran Thailand.

    CX-5 diesel dijanakan oleh enjin 2.2 liter turbo-berkembas SkyActiv-D empat-silinder sebaris, dan dipadankan dengan transmisi automatik SkyActiv-Drive enam-kelajuan. Untuk pasaran Thai, enjin ini mampu menghasilkan kuasa sehingga 175 PS pada 4,500 rpm dan tork 420 Nm pada 2,000 rpm.

    Penjana kuasa ini juga telah dikonfigurasi dan digunakan untuk Mazda 6 2.2L SkyActiv-D. Bagi Mazda 6 tersebut, ia sepatutnya ditawarkan dengan penjana kuasa diesel yang memiliki pelarasan penjana kuasa yang sama, meski pun ia merupakan unit CBU yang diimport dari Jepun.

    Selain itu, model popular lain yang mungkin ditawarkan dengan penjana kuasa ini ialah Mazda 2 dan CX-3. Kedua-duanya dikuasakan oleh enjin 1.5 liter SkyActiv-D empat-silinder (104 hp/270 Nm), dipadankan dengan transmisi automatik SkyActiv-Drive enam-kelajuan.

    Bagi Mazda 3 pula, kemungkinan besar ia bakal menggunakan penjana kuasa yang sama dengan Mazda 6 dan CX-5 di Jepun. Turut didatangkan dengan enjin 1.5 liter SkyActiv-D bagi pasaran Eropah. Walau bagaimana pun, kita menjangkakan model tersebut tidak akan diperkenalkan di Malaysia dalam waktu terdekat ini.

     
     
  • Implementasi biodeisel B10 ditangguh sehingga diberitahu – data ditunjukkan tidak mematuhi piawaian

    biodiesel1

    Setelah dilaporkan mendapat bantahan minggu lalu, kerajaan dan sektor swasta akan menangguhkan implementasi biodiesel B10 (adunan 10% minyak kelapa sawit metil ester dengan 90% diesel petroleum) sehingga diberitahu kelak. Keputusan tersebut diambil selepas mesyuarat yang diadakan oleh Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), berikutan kegusaran yang dibangkitkan oleh Institut Automotif Malaysia (MAI).

    Menurut laporan The Sun Daily, KPPK mengatakan tiada data cukup mengatakan biodiesel B10 memenuhi spesifikasi untuk semua pembuat automotif yang melabur dalam dalam program Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) di Malaysia.

    Antara yang hadir ke mesyuarat tersebut termasuk Ketua Setiusaha KPPK Datuk M. Nagarajan, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Persatuan Biodiesel Malaysia (MBA), Institut Automotif Malaysia (MAI), Kementerian Perdangangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

    2016 Malaysian Bio-diesel Camerons drive - 1

    “Ia bukan kerana kami tidak menyokong biodeisel B10. Tetapi ia berkenaan data saintifik dan yang ditunjukkan. Pembuat kenderaan perlu menghormati pelanggan mereka berhubung perlindungan waranti,” menurut sumber dari The Sun Daily.

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) mendakwa penggunaan biodiesel bergred lebih tinggi B7 mungkin boleh menyebabkan asid-tebal metil ester (FAME) bercampur dengan minyak enjin, seterusnya menyebabkan minyak pelincir tersebut menipis dan berkemungkinan besar menghasilkan enap cemar (sludge) di dalam enjin.

    Banyak pengeluar automotif seperti BMW Malaysia, Isuzu, Toyota dan Volkswagen telah menzahirkan kebimbangan mereka berhubung implementasi biodiesel B10 ini. Mercedes-Benz Malaysia pula sebaliknya mengatakan enjin keluaran mereka tidak mempunyai masalah beroperasi menggunakan biodiesel B10 tersebut.

    2016 Malaysian Bio-diesel Camerons drive - 2

    “Telah dinyatakan pada mesyurat yang pandu uji telah dijalankan pada beberapa kereta berkuasa diesel turun dan naik jalan Cameron Highlands bukanlah ujian yang benar-benar menyakinkan. Adalah ideal untuk MPOB melakukan ujian makmal dengan kerjasama pembuat kenderaan yang berkaitan.

    “Persatuan Pengeluar Automotif Jepun (JAMA) juga telah memberikan amaran kepada ahli mereka yang beroperasi di Malaysia agar tidak menggunakan biodiesel B10 yang dicadangkan oleh MPOB,” kata ahli majlis MAA.

     
     
  • Polis beri amaran kepada penunggang motosikal yang menggunakan laluan kereta di Lebuhraya Persekutuan

    FW302026_SG14_301013_JELAJAH

    Amaran tegas telah dikeluarkan oleh pihak polis untuk semua penunggang, tanpa mengira saiz motosikal, mereka perlu untuk menggunakan lorong motosikal di sepanjang Lebuhraya Persekutuan. Amaran ini telah disuarakan sendiri oleh Pengarah Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman SAC Mahamad Akhir Darus, dan menambah penunggang motosikal yang didapati melakukan kesalahan sedemikian akan disaman dengan jumlah RM300.

    Menurut laporan The Star, SAC Mahamad Akhir berkata “Trafik di Lebuhraya Persekutan adalah sangat sibuk semasa waktu puncak dan kenderaan lain juga cenderung untuk memandu dengan laju ketika bukan waktu puncak. Dengan menggunakan laluan motosikal, kemalangan yang melibatkan motosikal boleh dielakkan.” Kata beliau lagi, dengan keadaan trafik sibuk, motosikal yang keluar masuk laluan akan menyebabkan keadaan menjadi bertambah buruk.

    SAC Mahamad Akhir turut menyatakan tiada pengecualian diberikan kepada penunggang motosikal berkapasiti besar, “itu merupakan alasan yang lemah dan tidak boleh diterima. Tiada diskriminasi apabila ia melibatkan keselamatan. Tiada penunggang motosikal mempunyai hak ekslusif berbanding yang lain. Jurutera telah membuat kajian mereka dan merekabentuk laluan untuk digunakan semua jenis motosikal.”

    Motorcycles

    Menurut beliau lagi, isunya di sini bukan berkenan kelebaran laluan berkenaan tidak boleh menampung motosikal yang lebih besar tetapi kerana mereka tidak boleh menunggang dengan laju di laluan berkenaan. Beliau turut mengatakan ketika ini rondaan dilakukan setiap hari di Lebuhraya Persekutuan, dan tidak mustahil peguatkuasaan secara tetap akan dilakukan, walau bagaimanapun, kamera mudah alih akan digunakan untuk menangkap pesalah.

    Kebanyakkan penunggang mendakwa lorong motosikal sepanjang Lebuhraya Persekutuan adalah tidak selamat digunakan, dengan kebanyakkan daripada mereka mendakwa laluan tersebut, terutamanya pada bahagian terowong yang agak gelap dan terdedah kepada banjir. Ada juga penunggung yang mengatakan lebar pada laluan tersebut tidak mencukupi untuk memotong dengan selamat, serta laluan masuk dan keluar laluan tersebut adalah tidak selamat, menyaksikan banyak kemalangan yang berlaku.

    johor causeway jam bernama pix

    Penyelenggaran yang teruk pada laluan motosikal berkenaan turut telah dilaporkan, dengan permukaan tar yang teruk dan lubang yang banyak, menyebabkan penunggang jatuh, terutamanya pada waktu malam. Tambahan pula, rekaan pada laluan tersebut juga dikatakan agak bahaya, terutamanya banyak selekoh tajam dan buta yang boleh menyebabkan kemalangan.

    Jadi, apa pendapat anda? adakah lebih selamat penunggang menggunakan laluan motosikal atau sebaliknya? Tuliskan pendapat anda pada ruang komen dibawah.

     
     
  • Mitsubishi peruntukkan RM1.9 bilion untuk bayar pampasan kepada pemilik kenderaan yang terlibat akibat skandal manipulasi penjimatan bahan api

    mitsubishi-pajero-facelift-malaysia-cropped-18

    Mitsubishi Motors Corporation (MMC) akan memperuntukkan dana sebanyak 50 bilion yen (RM1.9 bilion) sebagai pampasan kepada pemilik kenderaan yang terlibat dengan skandal manipulasi penjimatan bahan api. Syarikat pengeluar kenderaan Jepun itu telah mengakui memanipulasi ujian penjimatan bahan api bagi sesetengah model yang dijual di Jepun, laporan Automotive News.

    Bagi pemilik model kereta mini yang terlibat dengan skandal ini akan menerima pampasan sebanyak 100,000 yen (RM3,899) setiap seorang, dan akan menerima kos bahan api cukai secara berasingan. Sementara itu, syarikat terbabit juga akan membayar 30,000 yen (RM1,690) kepada setiap pemilik bagi lima lagi model kenderaan yang terlibat.

    Selain itu, MMC juga akan mengumumkan pakej pampasan kepada Nissan dan pembekal-pembekal lain tidak lama lagi.

    Pada April lalu, MMC telah mengakui, ujian penggunaan bahan api telah ‘diubah’ ketika mengendalikan ujian terhadap Mitsubishi eK Wagon dan eK Space serta Nissan Dayz dan Dayz Roox, yang dibangunkan dan dibekalkan kepada Nissan sejak Jun 2013.

    Terdapat lebih setengah juta kereta yang terlibat dan MMC berkata sehingga Mac tahun ini, sebanyak 157,000 unit eK Wagon dan eK Space telah terjual dan telah membekalkan sejumlah 468,000 unit Dayz dan Dayz Roox kepada Nissan. Mitsubishi juga berkata sejak pembangunan model-model tersebut dan bertanggungjawab mendapatkan pensijilan yang relevan untuk mereka, maka adalah perlu untuk mengendalikan ujian penggunaan bahan api.

    Malahan Tetsura Aikawa, presiden Mitsubishi Motors telah meletakkan jawatannya berikutan skandal tersebut.

    Skandal ekonomi bahan api ini menyebabkan nilai pasaran Mitsubishi Motors jatuh sehingga separuh daripada nilai asalnya dalam masa hanya seminggu. Berikutan kejatuhan tersebut, Nissan membeli 34% pegangan saham dalam MMC pada nilai US$2.2 bilion (RM8.8 bilion).

    Perjanjian pembelian tersebut dijangka akan dilengkapkan pada akhir 2016, dan akan menyaksikan Nissan sebagai pemegang saham terbesar dalam MMC. Ini akan memberi faedah kepada Nissan dalam masa terdekat kerana perjanjian pembelian berkenaan akan memberikan jenama tersebut skala pengeluaran yang lebih besar, membolehkan kos pengeluaran menjadi lebih rendah.

     
     
  • Volkswagen akan singkirkan 40 model dari senarai portfolionya kerana kelembapan jualan – laporan

    volkswagen logo wm

    Menurut akhbar Jerman Handelsblatt, Volkswagen Group sedang merancang untuk menyingkirkan 40 model dari senarai portfolionya tidak lama lagi. Walau bagaimana pun, senarai penyingkiran model yang terlibat masih belum bersedia untuk diumumkan.

    Menurut jurucakap syarikat pengeluar kenderaan terbabit, pihaknya masih sedang meneliti satu persatu model yang ada dalam portfolio mereka dan akan mengambil kira kepentingannya dalam pasaran.

    Pada April lalu, Volkswagen dikatakan bakal menghentikan pengeluaran model Beetle mulai akhir tahun 2018, walau bagaimana pun perkhabaran tersebut masih dianggap sebagai gosip kerana tiada pengesahan dari Volkswagen setakat ini.

    Tindakan Volkswagen untuk penyingkiran ini adalah untuk mengurangkan kos pengeluaran termasuk kerugian. Malah Volkswagen dikaatakan mahu menyelamatkan dana sebanyak $2.1 bilion ekoran kelembapan jualannya dalam pasaran global. Selain itu, ia juga adalah untuk menampung ganti rugi yang melibatkan kos yang sangat besar akibat skandal ‘Dieselgate’.

    Sementara menantikan senarai penyingkiran tersebut, ada juga perkhabaran mengatakan beberapa model sedang dalam perancangan untuk diproduksi. Antaranya model Tiguan dan CrossBlue yang sedang menanti giliran untuk memasuki produksi. Selain itu, Volkswagen juga dikatakan sedang memperhebatkan rancangan pengeluaran bagi kenderaan elektrik (EV) dan hibrid apabila kebanyakan negara termasuk Jerman sendiri sedang merancang untuk menghentikan penggunaan kenderaan berenjin petrol dan diesel.

     
     
  • Mazda Malaysia umum panggilan semula untuk Mazda 6 dan BT-50 berhubung masalah beg udara Takata

    Mazda-Malaysia-Takat-recall-850x1085_BM

    Mazda Malaysia telah mengumumkan panggilan semula terhadap model generasi pertama Mazda 6 (GG) dan BT-50 (J97M) kerana inflator beg udara dari Takata yang dibekalkan berkemungkinan bermasalah. Program panggilan semula ini adalah sama seperti pengeluar lain yang menggunakan beg udara dari pembekal yang sama, memerlukan pemilik untuk menghantar kenderaan mereka ke pusat servis bertauliah untuk menukar unit inflator tersebut secepat mungkin.

    Untuk Mazda 6, inflator beg udara untuk kedua-dua bahagian iaitu penumpang dan pemandu perlu ditukar. Menurut Mazda Malaysia, 427 unit Mazda 6 generasi pertama yang dibuat antara 2003 hingga 2007 terlibat dalam panggilan semula ini. Untuk Mazda BT-50 generasi pertama pula, sejumlah 576 unit yang terlibat dibuat antara tahun 2006 hingga 2011 dan hanya inflator beg udara sebelah pemandu yang perlu ditukar. Panggilan semula ini tidak melibatkan Mazda 6 dan BT-50 generasi terkini yang sedang dalam pasaran sekarang.

    Pelanggan dinasihatkan untuk menghubungi Mazda Malaysia di talian 03-7627 8999 untuk memastikan samada kenderaan mereka terlibat atau tidak dengan panggilan semula ini. Pemilik kenderaan juga boleh menyemaknya di laman web khas yang disediakan di sini atau di alamat pada pemberitahuan di di atas dengan cara memasukkan nombor casis (nombor VIN) kereta mereka untuk mengesahkan kenderaan mereka terlibat atau tidak.

    Menurut Mazda lagi, penukaran unit inflator ini mengambil masa antara 1 hingga 1.5 jam, dan kerana stok unit inflator beg udara baharu ini agak terhad buat masa sekarang, kempen panggilan semula ini kini diberikan kepada pelanggan terlebih dahulu menghubungi dan datang ke pusat servis Mazda. Diingatkan sekali lagi kepada pemilik-pemilik yang terlibat, anda diminta tidak menangguhkan penukaran unit inflator beg udara ini kerana ia melibatkan keselamatan dalam kenderaan anda.

     
     
  • SPAD cadang Uber dan Grab dibenarkan beroperasi

    uber-x-car_BM

    Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengemukakan cadangan dalam Program Transformasi Industri Teksi untuk membenarkan dari segi undang-undang perkhidmatan Uber dan Grab bagi meyamaratakan medan persaingan untuk pemandu teksi.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, SPAD berkata, tujuannya adalah untuk membenarkan dari segi undang-undang pola permintaan yang dipacu teknologi bagi mengawal selia perkhidmatan e-hailing (e-panggilan) seperti Uber dan Grab, laporan Utusan Malaysia.

    “Selain itu, ia boleh menyamaratakan medan persaingan untuk pemandu sedia agar mereka mempunyai peluang yang lebih adil untuk berdaya saing,” ujar kenyataan terbabit.

    Menurut kenyataan itu lagi, SPAD turut mengesyorkan agar lesen baharu dikeluarkan kepada pemandu teksi yang mempunyai rekod prestasi bersih bagi memupuk semangat keusahawanan di peringkat individu.

     
     
  • Bekas menteri jadi pemandu Uber?

    Screen Shot 2016-06-18 at 11.55.21 AM

    Pada saat kerajaan masih belum memuktamadkan lagi sebarang keputusan mengenai konflik Uber yang menjadi kemarahan para pamandu dan pengusaha teksi, Tan Sri Abdul Wahid Omar, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri baru-baru ini dikatakan telah memilih untuk menjadi pemandu Uber.

    Viral di laman media sosial Facebook, Wahid dikatakan baru saja memulakan ‘kerjaya baharunya’ itu beberapa hari lalu dan berkata sebab beliau mahu menjadi pemandu Uber adalah “untuk merasai denyut nadi rakyat”, laporan News Strait Times.

    Menerusi status yang dimuat naikkan oleh Norizan Bin Sharif di Facebook, yang memaklumkan Wahid baru sahaja menjadi pemandu Uber selama tiga hari sebelum pergi menunaikan Umrah. Malah pada hari tersebut, beliau telah mendapat lapan orang penumpang.

    Salah seorang lagi penumpangnya, Firdaus Fadzil, yang turut memuat naik status di Facebook, lima-bintang telah diberikan kepada Wahid kerana kecemerlangannya sebagai pemandu Uber.

    Malah Wahid yang juga pernah menjawat jawatan sebagai presiden dan CEO Maybank sebelum ini dikatakan telah ‘meminjam’ Proton Perdana 2016 yang baru dilancarkan pada 14 Jun lalu untuk mengambil penumpang di sekitar Putrajaya, selain turut mempromosikan model segmen-D tersebut.

     
     
  • Proton sudah menerima pinjaman mudah pertama bernilai RM300 juta – bakinya secara berperingkat

    2016 Proton Perdana 1

    Proton telah pun menerima fasa pertama pinjaman mudah bernilai RM300 juta daripada nilai keseluruhan RM1.5 bilion dari kerajaan, ujar Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Siregar Abdullah. Di mana baki pinjaman tersebut akan diberikan secara berperingkat atas permintaan Proton sendiri, laporan Bernama.

    “Pertama, mereka (Proton) perlu melunaskan semua pembayaran kepada pelbagai pihak termasuk vendor. Kita bertindak berdasarkan perkembangan yang berlaku, penilaian dan penyerahan (pinjaman mudah) itu,” ujar Mohd Irwan.

    Pinjaman mudah bernilai RM1.5 bilion yang telah diluluskan pada April lalu dengan matlamat untuk membantu Proton muncul sebagai entiti baharu dengan tenaga yang lebih besar, menurut Mohd Irwan.

    Tegasnya lagi, kerajaan menyokong syarikat kereta nasional berkenaan secara teguh namun pinjaman itu juga didatangkan dengan beberapa syarat tertentu yang harus dipenuhi oleh Proton.

    “Kami telah pun meletakkan garis panduan untuk mereka terlebih dahulu bagi mencari rakan strategik dan mesti membuat pelan perubahan, mesti membayar semua vendor dan banyak lagi,” ujarnya, sambil menambah Proton sedang membuat perbincangan dengan beberapa rakan potensi, tetapi beliau enggan mendedahkan sebarang nama.

    Mohd irwan juga menambah, Proton seharusnya menggunakan 70% penguasaan daripada pasaran kenderaan tempatan, namun ia menurun kepada 18% pada masa kini. “Perkongsian terhadap pasaran tempatan oleh Proton telah menurun secara drastik. Namun dengan strategi baharu ini, kami berharap Proton mampu menguasai semula pasaran,” ujarnya.

     
     
  • PLUS umum penutupan sementara beberapa R&R selama tiga hari mulai 21 Jun ini

    R&R

    Projek Lebuhraya Usahasama Berhad (PLUS) mengumumkan beberapa kawasan rehat dan rawat (R&R) dan hentian sebelah di bawah kendalian syarikat konsesi terbabit akan ditutup tiga hari kepada pengguna, mulai Selasa depan.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, PLUS memaklumkan penutupan sementara itu bertujuan melancarkan kerja penyelenggaraan di kawasan R&R serta hentian terlibat.

    Hentian yang akan ditutup di Lebuhraya Utara-Selatan pada 21 Jun ialah kawasan R&R Ayer Keroh (Arah Utara) di KM205 dan kawasan R&R Pagoh (Arah Selatan) di KM135.5 pada pukul 9 pagi hingga 4 petang manakala Hentian Sebelah Taiping (Arah Selatan) di KM212.6 akan ditutup dari pukul 8 pagi hingga 5 petang.

    Bagi Lebuhraya Seremban-Port Dickson, kawasan R&R Mambau (Arah Timur) di KM12.5 turut ditutup sementara dari pukul 7 pagi hingga 12 tengah hari manakala kawasan R&R Machap (Arah Selatan) di KM74.7 Lebuhraya Utara-Selatan ditutup dari pukul 9 pagi hingga 4 petang pada 22 Jun.

    Penutupan pada 23 Jun pula melibatkan kawasan R&R Rawang (Arah Utara) di KM440 Lebuhraya Utara-Selatan yang akan ditutup pada pukul 9 pagi hingga 6 petang.

    Walau bagaimana pun, sepanjang kerja penyelenggaraan ini dijalankan, semua gerai, kiosk dan kemudahan awam lain akan ditutup kepada orang ramai manakala stesen minyak masih dibuka seperti biasa.

     
     
  • VIDEO: Temu ramah dengan CEO baharu Proton – Perdana 2016 bukan berkenaan kuantiti, tetapi prestij dan tahap kepuasan perkhidmatan pelanggan

    Semasa pelancaran Proton Perdana 2016 tempoh hari, CEO baharu Proton Datuk Ahmad Fuaad Kenali memperkatakan mengapa Perdana merupakan model yang penting bagi Proton untuk mereka melangkah lebih jauh kehadapan, dan mengapa melancarkan model segmen-D semasa keadaan ekonomi yang lembab.

    Menurut Datuk Ahmad Fuaad, Proton Perdana 2016 merupakan model berprestij yang akan mengembalikan kepercayaan umum terhadap jenama Proton. “Perdana melambangkan Proton yang baharu. Proton yang baharu pada perspektif saya ialah Proton dengan minda yang berubah. Kami mahu fokus dalam memberikan yang terbaik kepada pelanggan untuk kereta yang ‘bernilai untuk wang’, begitu juga servis selepas jualan,” kata beliau.

    Datuk Ahmad Fuaad turut memperkatakan tentang jumlah pendaftaran kereta Proton baharu yang semakin meningkat dan tiga lagi model baharu yang bakal diperkenalkan. Beliau mengaku jumlah jualan kereta Proton yang rendah adalah kerana kekurangan model baharu, dan memetik Persona serta Saga sebagai contoh model lama Proton yang masih lagi duduk di dalam barisan model jualan Proton.

    Proton_Perdana_24_Grey_Ext_03

    Beliau turut menyatakan 2016 merupakan tahun yang sibuk untuk Proton kerana Persona dan Saga baharu serta MPV segmen-B baharu yang diasaskan dari Suzuki Ertiga akan menyertai Perdana dalam pasaran tahun ini, dengan sasaran merebut semula bahagian pasaran Proton yang hilang sejak beberapa tahun sebelum ini.

    Menurut beliau lagi, penambahbaikkan turut dibuat pada pasukan jualan dan servis Proton. Masa yang cukup telah diberikan kepada staf servis untuk latihan, dan beliau mahu staf-staf Proton memberikan khidmat yang lebih baik kepada pelanggan Proton mulai sekarang.

    GALERI: Proton Perdana 2.4L 2016

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.47 (-0.25)
RON 97 RM4.10 (-0.25)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.07 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.27 (-0.30)
Last Updated Jun 25, 2026