Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Naza Kia tawar promosi hebat sempena Raya

    5 STAR RAYA BONUS WITH NAZA KIA MALAYSIA

    Seperti kebiasannya menjelang musim perayaan, kebanyakan pengeluar mahu pun pengedar kenderaan akan mengadakan jualan promosi khas dengan menawarkan pelbagai kempen menarik. Sempena Hari Raya yang bakal kunjung tiba tidak lama lagi, Naza Kia turut mengambil kesempatan menawarkan promosi hebat bagi modelnya, Bagi Cerato KX, ia ditawarkan dengan harga dari RM79,000 bagi jangka masa terhad dan terhad untuk 100 unit sahaja.

    Manakala, bagi Rio K2 Sedan,Cerato K3 dan Optima K5 pula, ia didatangkan dengan waranti lima tahun, lima tahun penyelenggaran percuma, lima tahun nilai cukai jalan, lima tahun pelan perlindungan Kia Cares percuma, dan duit raya sehingga RM10,000.

    Bagi bonus Raya untuk model-model yang disebut termasuk promosi untuk Cerato KX ini hanya terhad sehingga 5 Julai 2016. Anda boleh menghubungi Ejen Jualan Sah di CarBase.my untuk menempah pandu uji.

    GALERI: Kia Rio Sedan di Malaysia

    GALERI: Kia Cerato KX

    GALERI: Kia Cerato 1.6

    GALERI: Kia Optima K5

     
     
  • Lego Creator Volkswagen Beetle lengkap dengan para bumbung, bakul berkelah dan papan luncur

    2016-Lego-Creator-Volkswagen-Beetle-10252-10-e1465970887784_BM

    Selepas memperkenal Lego Technic Porsche 911 GT3 RS awal bulan ini, Lego kini memperkenalkan pula set siri Creator #10252 Volkswagen Beetle. Set berkenaan mengandungi 1,167 bongkah dan ia tidak serumit set siri Technic Porsche sebelum ini.

    Model yang direplikakan oleh Lego ini mewakili VW Beetle dari era “flower power” dengan warna badan keseluruhan azure blue dan dilengkapi para bumbung, bakul berkelah serta papan luncur. Bumbungnya boleh dibuka untuk mempamerkan bahagian dalaman berwarna beige, tempat duduk yang boleh bergerak, roda stereng dan papan pemuka.

    Tayar gantian turut boleh ditemui dalam but hadapan, manakala enjin empat silinder bentangan boxer turut boleh dijumpai pada bonet belakang. Set VW Beetle ini dikelaskan sebagai set ‘expert‘ dalam siri Creator. Ia juga dilengkapi dengan set pelekat nombor pendaftaran beberapa negara berbeza dan set pelekat “surfing” untuk melengkapkan rupa paras Beetle ini.

    Kemaskini lain yang dapat dilihat termasuk bongkah berbentuk istimewa bagi memberikan rupa yang lebih menyerupai dapra hadapan dan belakang Beetle, berbanding set pada tahun 2008 yang lebih berkotak. Cermin hadapan baharu juga kini lebih menyerupai cermin hadapan rata VW Beetle sebenar, dan logo ‘VW’ khas pada bahagian hadapan.

    Diinspirasikan VW Beetle sebenar, Lego berusaha keras untuk memastikan model ini menyerupai kereta sebenar, termasuk beberapa bahagian yang tidak boleh dijumpai pada set Lego lain. Dijual pada harga USD99.00 (RM410), set Lego Creator Volkswagen Beetle ini boleh ditempah atas talian menerusi laman web Lego bermula Ogos 2016.

     
     
  • SPYSHOT: Nissan Serena generasi seterusnya dilihat sedang diuji – bahagian dalaman turut didedahkan

    Spy-Shots of Cars This image has been optimized for a calibrated screen with a Gamma of 2.2 and a colour temperature of 6500°K

    Spy-Shots of Cars
    This image has been optimized for a calibrated screen with a Gamma of 2.2 and a colour temperature of 6500°K

    Nissan Serena generasi berikutnya dilihat diuji diatas jalan raya. Ujian kali ini nampaknya Nissan sedang menguji MPV tersebut dalam keadaan panas berbanding sebelum ini ia dilihat diuji dalam cuaca sejuk dan bersalji.

    Rekaan keseluruhan Serena yang menampilkan konsep Van masih lagi dilihat pada model generasi baharu ini walaupun dilitupi pelekat penyamaran pada keseluruhan badan. Bahagian hadapan menyaksikan ia dilengkapi dengan gril satu bar, berbanding sebelum ini dilihat menggunakan gril dua bar. Walau bagaimanapun, unit yang menggunakan gril dua bar tersebut dilihat diuji bersama dengan unit baharu ini, mungkin kedua-duanya merupakan varian yang berbeza.

    Perbezaan turut dilihat pada gril bahagian bawah pada bampar dimana unit yang mendahului menerima gril pelbagai jalur dan unit di belakang menerima gril bawah dengan hanya satu bar merentanginya. Kedua-duanya dilengkapi dengan sepasang lampu hadapan baharu bersama hud hadapan yang direka semula untuk disesuaikan dengan bentuk lampu. Lampu belakang juga telah ditukar dengan sepasang unit yang lebih besar.

    Bahagian dalaman Serena ini juga didedahkan buat pertama kali. Seperti yang boleh dilihat, keseluruhan bentangan papan pemuka telah diberi sentuhan semula. Bahagian atas papan pemuka kini direka lebih panjang tetapi dilengkapi dengan paparan instrumen baharu yang lebih pendek, diikuti dengan upholstery balutan kulit yang bakal memberikan sentuhan yang lebih premium.

    Liang penghawa dingin tengah kini mengapit unit infotainmen. Bahagian tengah papan pemuka juga diserlahkan dengan kemasan perak disekelilingnya dan turut menempatkan suis kawalan penghawa dingin, tuil penukar gear dan brek parkir elektronik.

    Ia juga dilengkapi dengan roda stereng empat jejari rata dibawah, pelbagai fungsi baharu dan ruang storan yang direka semula di hadapannya. Butang penghidup enjin, pintu gelangsar belakang berkuasa dan mod pemanduan ‘Eco’ turut kelihatan. Ruang storan pada bahagian penumpang hadapan turut dibesarkan dan dilengkapi punca kuasa yang lebih mudah dicapai.

    Perehat kepala turut kelihatan pada bahagian tengah antara tempat duduk pemandu dan penumpang, berkemungkinan Serena generasi berikutnya ini menawarkan tempat duduk ketiga pada bahagian hadapan.

     
     
  • BMW panggil semula lebih 210k unit SUV keluarannya di Amerika berhubung masalah ISOFIX dan aci pacu

    2014_F25_BMW_X3_M_Sport_LCI

    Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuhraya Nasional Amerika Syarikat (NHTSA) telah mengumumkan BMW akan akan memanggil semula sejumlah 210,161 unit SUV X3, X4, X5 dan X6 yang telah dijual di Amerika Syarikat atas dua masalah berasingan iaitu masalah pada cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX dan masalah pada aci pacu (driveshaft).

    Kempen panggilan pertama melibatkan sejumlah 188,668 unit BMW X3 sDrive28i, xDrive28i dan xDrive35i tahun 2011-2017, BMW X3 xDrive28d tahun 2015-2017 dan BMW xDrrive28i tahun 2015-2017. Bar bahagian bawah cagak ISOFIX pada model-model yang terlibat ini mungkin mengalami kerosakan apabila menggunakan tempat duduk kanak-kanak ISOFIX, dan boleh meningkatkan risiko kecederaan pada kanak-kanak jika berlakunya kemalangan.

    Pemilik yang terlibat akan diberitahu, dan pengedar akan memperbaiki masalah berkenaan dengan mengimpal bar cagak sebelah bawah berkenaan dengan badan kereta untuk memperkuatkannya. Tiada sebarang kos dikenakan dan panggilan semula tersebut akan berjalan bermula 12 Julai ini.

    P90045797

    Sementara itu, BMW turut memanggil semula sejumlah 21,493 unit BMW X5 xDrive35i, xDrive35d dan xDrive50i, BMW X5 M, BMW X6 xDrive50i, BMW X6 Active Hybrid dan BMW X6 M tahun 2011 berhubung sambungan CV pada aci pacu bahagian hadapan yang mungkin tidak benar-benar kedap, membolehkan air dan kotoran lain masuk kedalamnya menyebabkan kerosakan pada unit aci pacu tersebut.

    Kerosakan berkenaan akan menyebabkan roda hadapan tidak dapat dipacu, menjejaskan cengkaman kenderaan dan mungkin boleh merosakkan komponen lain jika kenderaan tersebut terus dipandu. Kedua-dua masalah ini meningkatkan risiko kemalangan. Seperti juga panggilan semula sebelum ini, BMW akan memberitahu pemilik terlibat dan pengedar akan menukar unit aci pacu baharu tanpa sebarang caj. Panggilan semula ini akan berjalan bermula 1 Julai.

     
     
  • Toyota dinobatkan sebagai jenama kereta paling berharga di dunia oleh Forbes, tewaskan BMW

    2016-GMS_Toyota-C-HR_07-e1456830734756

    Setiap tahun, Forbes akan menyenaraikan jenama paling berharga di dunia dari syarikat berteraskan teknologi hingga ke farmaseutikal dan banyak lagi. Untuk edisi 2016, buat pertama kalinya senarai berkenaan disertai oleh jenama pembuat automotif.

    Lima tangga teratas senarai berkenaan dihuni oleh Apple, Google, Microsoft, Coca-Cola dan Facebook. Apa yang menarik, tangga keenam pada senarai tersebut diberikan kepada Toyota, menjadikan jenama automotif dari Jepun itu sebagai jenama pembuat kereta paling berharga untuk tahun ini.

    Turut dilihat dalam senarai tersebut ialah BMW (#14), Mercedes-Benz (#20), Honda (#23), Ford (#35), Audi (#36), Chevrolet (#59), Lexus (#63), Porsche (#67), Nissan (#70), Hyundai (#71), dan Volkswagen (#77). Secara keseluruhan, 12 jenama pembuat kereta disenaraikan dalam senarai 100 teratas.

     
     
  • Kerajaan dan DBKL tidak akan membayar sebarang pampasan untuk mangsa banjir kilat bulan lalu

    Malaysia-Flash-Flood-2016

    Kerajaan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menegaskan sekali lagi tidak akan memberikan sebarang pampasan kepada mangsa banjir kilat di sekitar Lembah Klang bulan lalu. Ini kerana banjir tersebut merupakan “bencana alam,” lapor The Sun Daily.

    “Kami tidak menimbangkan untuk memberikan pampasan kepada pemilik rumah dan kenderaan yang terjejas dalam banjir berkenaan kerana jumlah hujan yang turun pada hari tersebut adalah luar biasa, tidak dijangka, dan dikelaskan sebagai ‘bencana alam’,” kata Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Loga Bala Mohan.

    Loga Bala menjelaskan jumlah hujan yang turun pada hari berkenaan adalah luar biasa tinggi. Beliau berkata Jabatan Perparitan dan Saliran Wilayah Persekutuan (JPSWP) merekodkan jumlah hujan 106.5 mm turun dalam masa dua jam, di mana sistem perparitan bandaraya berkenaan hanya mampu menampung sejumlah 70 mm.

    Banjir kilat tersebut telah menyebabkan lebih dari 100 buah kenderaan tenggelam di pelbagai lokasi dalam bandar, yang bukan sahaja menyebabkan kerosakan, ia juga turut menyebabkan aliran trafik tidak bergerak untuk beberapa jam pada hari berkenaan. Sistem saliran yang teruk dipersalahkan atas kejadian banjir itu.

    Menurut Loga Bala, operasi pembersihan longkang di kawasan yang terjejas telah pun dilakukan tepat pada jadualnya, dan DBKL akan memulakan kerja-kerja tebatan banjir yang dianggarkan menelan belanja RM85 juta. Usaha berkenaan termasuk meningkat taraf sistem saliran sepanjang anak sungai Air Batu, sungai Pantai dan sungai Klang dengan memasang sistem paip pada kawasan yang terlibat untuk menangani air hujan yang turun lebih dari 70 mm di Jalan Pantai Baru.

    DBKL turut menasihati Universiti Malaya untuk menyelenggara tasik tadahan air banjir mereka yang dikesan berlumpur, menyebabkan ia tidak mampu untuk menampung lebih banyak air. Di Jalan Tuanku Abdul Halim pula, DBKL telah menukar paip armco dalam Taman Botani Perdana.

    Pembinaan tasik tadahan air banjir bersebelahan lokasi berkenaan turut dicadangkan, bersama pembentung tambahan merentasi Lebuhraya Sultan Iskandar di bawah Taman Botani Perdana.

     
     
  • No. pendaftaran ‘F 1’ terima bidaan hampir RM5 juta?

    W1A

    Selepas pengumuman nombor pendaftaran baharu yang bermula dengan abjad ‘F’ dan ‘V’ untuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya nampaknya mencapai objektifnya dimana dapat disaksikan bidaan untuk nombor dan abjad unik untuk pendaftaran kenderaan tersebut telah memecahkan rekod nilai bidaan sebelum ini.

    Laporan dari The Sun Daily menyebut, selebriti tempatan dari Ipoh telah membida nombor pendaftaran ‘F 1’ dengan nilai hampir RM5 juta sebelum bidaan berkenaan ditutup semalam di Ibu Pejabat JPJ Putrajaya. Menurut sumber berkenaan juga, nombor pendaftaran yang bermula dari ‘F 1’ hingga ‘F 7’ dibida dengan nilai minima bermula setengah juta ringgit setiap satu.

    Kerana menjadi rebutan dikalangan komuniti berbangsa Cina, nombor pendaftaran ‘F 8’ dilaporkan menerima bidaan permulaan pada nilai RM 1 juta manakala untuk ‘F 333’ dan ‘F 888’ menerima bidaan bernilai RM330,000 dan RM360,000. Nama-nama mereka yang berjaya membida nombor-nombor berkenaan akan diumumkan pada 30 Jun ini selepas persidangan jawatankuasa khas JPJ.

    Harga tertinggi yang pernah dibayar untuk nombor pendaftaran biasa Malaysia ialah RM748,000 untuk ‘W 1 N’ yang dibida oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang juga membida nombor ‘WWW 1’ dengan nilai RM520,000 pada tahun 2012. Pembeli nombor pendaftaran istimewa ‘PATRIOT 1’ pula dilaporkan membayar sejumlah RM1,308,000 untuk nombor pendaftaran tersebut.

     
     
  • Polestar tala Volvo XC90 T8 Twin Engine – 421 hp

    Volvo XC90 T8 Twin Engine with Polestar Performance Optimisation

    Volvo XC90 T8 Twin Engine with Polestar Performance Optimisation

    Selepas Volvo S90 dan V90, Polestar kini menumpukan perhatian mereka kepada sebuah lagi siri 90 Volvo iaitu XC90 T8 Twin Engine. SUV dari pembuat kereta Sweden berkenaan kini menerima pakej Pengoptimuman Prestasi Polestar, yang memperkenalkan tingkat taraf pada unit janakuasa.

    Pakej ini dimulakan dengan talaan enjin dimana unit T8 Twin Engine pada XC90 kini berkuasa 421 hp dan 680 Nm, peningkatan kuasa kuda kepada 14 hp dan tork 60 Nm. Menurut Polestar, XC90 kini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 5.5 saat, 0.1 saat lebih pantas dari sebelum ini.

    Agak mengejutkan, walaupun menerima peningkatan dari segi prestasi, penggunaan bahan api pada XC90 kekal tidak berubah. SUV berkenaan menggunakan 2.1 liter petrol untuk 100 km perjalanan dan jarak menggunakan elektrik sepenuhnya sejauh 43 km, dimana kedua-dua bacaan tersebut berdasarkan kitaran NEDC Eropah. Polestar juga turut mendakwa XC90 T8 kini “mencapai tahap keseronakan memandu baharu” dengan peningkatan pada respon pendikit, tahanan pada penukaran gear, kelajuan dan ketepatan, begitu juga pada prestasi keseluruhan enjin.

    “Hanya selepas seminggu pengenalan pengoptimunan untuk S90 dan V90, kami mara lebih kehadapan dengan melancarkan pengoptimunan untuk XC90 T8 Twin Engine yang canggih dan mengujakan. Ini akan memberikan pelanggan yang mahukan tahap baharu untuk keseronokan memandu bersama XC90 mereka yang prestasinya mudah dan menarik untuk dipertingkatkan,” kata Niels Möller, CEO Polestar.

     
     
  • Lebuhraya baharu India ke Thai bakal menghubungkan terus laluan ke Malaysia tidak lama lagi

    Screen Shot 2016-06-13 at 8.52.51 PM

    Mungkin tidak lama lagi, anda boleh merencana road trip dari Malaysia menuju ke India! Sebelum ini, jarak perjalanan keseluruhan (ikut jalan darat) mencecah 5,585 km termasuk merentasi Thailand, Myanmar, Bangladesh sebelum tiba di India.

    Akhbar dalam talian, The Economic Times of India, melaporkan lebuhraya sepanjang 1,400 km sedang dibina dari negara tersebut dan dijangka siap menjelang akhir tahun 2017. Lebuhraya tersebut dari Moreh yang terletak di bahagian Timur, India dan berakhir di Tamu, Myanmar.

    Kemudian ia disambungkan ke daerah Mae Sot di Thailand, seterusnya mampu dihubungkan terus ke utara Malaysia dengan memasuki Lebuhraya Bukit Kayu Hitam. Jarak antara Bukit Kayu Hitam ke Mae Sot hanyalah 1,500 km, menjadikan perjalanan darat dari sempadan Malaysia ke Moreh, India hanyalah sekitar 3,000 km sahaja.

    Memetik kenyataan yang dikeluarkan oleh Duta India ke Thailand, Bhagwant Singh Bishnoi, sebanyak 73 jambatan di Myanmar yang dibina lebih tujuh dekad lalu semasa Perang Dunia Kedua, akan diubahsuai dengan dana dari kerajaan India untuk kenderaan merentasi kedua negara berkenaan dengan lebih selamat. Apabila kerja membaikpulih jambatan tersebut siap dalam tempoh 18 bulan, lebuhraya tersebut sudah boleh dibuka kepada laluan trafik yang merentasi tiga buah negara iaitu India, Myanmar dan Thailand (tanpa melalui Bangladesh).

     
     
  • Proton Perdana 2016 miliki potensi yang cerah bagi menembusi pasaran Argentina – laporan

    Proton_Perdana_24_Red_Ext_04

    Pelancaran Proton Perdana 2016 semalam turut menarik perhatian negara Argentina.

    Menurut Dutanya ke Malaysia, Manuel Balaguer Salas, Perdana baharu ini dilihat memiliki peluang yang cerah untuk menembusi pasaran Argentina memandangkan negara tersebut secara perlahan-lahan membuka ekonominya di bawah kerajaan pimpinan baharu Presiden Mauricio Macri, laporan Bernama.

    Katanya lagi, Perdana merupakan sebuah kereta yang cantik dan memiliki harga yang berpatutan. Jadi ia mempunyai peluang yang cerah untuk diimport ke Argentina.

    Walau bagaimana pun, mengikut perjanjian, terma dan syarat bersama Honda, Perdana 2016 ini tidak akan dipasarkan ke pasaran luar dan hanya tertumpu pada Malaysia sahaja.

    Dalam sidang media sempena pelancaran model baharu segmen-D ini, Ketua Pegawai Operasi Proton Datuk Ahmad Fuaad Kenali berkata, “Kami menghormati permintaan dari Honda yang enggan membenarkan Perdana 2016 ini dieksport ke luar negara memandangkan kami menggunakan penjana kuasa dari mereka.

    “Namun untuk model Perdana yang dijangka dinaik taraf dengan menerima kehadiran enjin dan transmisi baharu yang sedang kami bangunkan, barulah ia dirancang akan dieksport ke negara luar. Enjin dan transmisi baharu ini dijangka akan siap pada akhir 2017 dan model Perdana (serta model-model lain Proton yang terlibat) yang dinaiktaraf kemungkinan besar akan diperkenalkan pada tahun 2018.”

     
     
  • Renault Clio 2017 diberi suntikan lebih segar

    2017-renault-clio

    Renault telah pun menyediakan model penambahbaikan (facelift) bagi Clio 2017 yang tampil dengan pelbagai elemen yang lebih segar. Malah ia juga ditampilkan dengan identiti baharu bagi jenama ini.

    Bahagian hadapannya diperkemaskinikan termasuk menampilkan gril yang direka semula dan lampu utama baharu dengan dilengkapi pencahayaan LED penuh. Malah sesetengah versi juga akan ditawarkan dengan lampu utama LED Pure Vision. Clio 2017 ini juga akan ditawarkan dengan empat warna badan baharu dan memiliki pemilihan tersendiri bagi roda baharu serta rekaan kekemasan yang lebih terkini.

    Bagi sudut mekanikalnya, Clio 2017 ini menerima juga akan menerima pilihan enjin diesel 1.5 liter dari siri dCi yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 110 hp dan dipadankan dengan kotak gear manual enam-kelajuan. Malah bagi versi Clio TCe 120 pula, ia turut ditampilkan dengan transmisi manual baharu enam-kelajuan. Memberikan pilihan bagi enjin dan transmisi bagi Clio ini sebanyak 11 pilihan.

    Selain itu, sistem hiburan R&Go baharu juga akan ditawarkan dengan menyertai sistem Media Nav Evolution dan Renault R-Link. Malah sistem bunyi Bose turut tersenarai dalam pilihan.

    Bagi pasaran Eropah, Clio ini dibuka tempahan mulai musim panas dan bagi varian Initiale Paris yang lebih eksklusif juga turut ditawarkan. Ia hadir dengan warna eksklusif Givré Grey, kekemasan roda stereng dengan balutan sepenuhnya kulit Nappa, kekemasan kulit Nappa pada tuil gear, panel pintu yang lebih spesifik dan kekemasan papan pemuka, serta pilihan balutan kulit bagi tempat duduk sama ada berwarna hitam atau hitam-putih.

     
     
  • Proton mampu mengorak langkah lebih cemerlang selepas berakhirnya campur tangan Mahathir – Najib

    2016 Proton Perdana 2
    Proton dilihat mampu memulihkan kembali imejnya dan mengorak langkah lebih cemerlang selepas berakhirnya campur tangan politik Tun Dr Mahathir Mohamad dalam syarikat tersebut, ujar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Dalam majlis pelancaran Proton Perdana 2016 yang berlangsung pagi tadi, beliau berkata, akibat terlalu banyak campur tangan politik di dalam pengurusan strategik Proton hingga membabitkan pekerja dan model perniagaannya, syarikat tersebut dilihat kian goyah, laporan Bernama.

    “Saya dengan sukacitanya ingin menyatakan bahawa terdapat perubahan besar di peringkat atasan Proton. Era campur tangan politik Tun Mahathir sudah pun berakhir. Kita dapat lihat akibatnya awal tahun ini. Sebuah syarikat pengeluar, yang sepatutnya menjadi kebanggaan negara, telah menghadapi keadaan yang amat menyulitkan,” katanya.

    Bagi menyelamatkan Proton, khususnya melindungi para pekerjanya serta menjaga pendapatan dan mata pencarian rakan kongsi perniagaan syarikat itu, pihak kerajaan terpaksa campur tangan dan bersetuju memberikan dana bantuan sejumlah RM1.5 bilion secara bersyarat.

    Katanya, “Kerajaan terpaksa campur tangan kerana kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan kami. Kerajaan akan sentiasa memberi sokongan kepada pekerja dan pembekal Malaysia. Kami akan selalu berjuang untuk memastikan tiada siapa yang tercicir.”

    Alami_Proton_-001

    Beliau turut menambah sekarang adalah masanya untuk mengambil iktibar daripada perkara yang telah berlaku, serta melaksanakan langkah dan pembaharuan serius supaya Proton kembali berada di landasan betul untuk merealisasikan potensi sebenarnya sekali lagi.

    “Pengurusan baharu Proton juga memberitahu saya bahawa mereka yakin pelanggan bukan sahaja akan menyukai penampilan menawan Perdana, malah akan tertarik dengan pemanduannya.

    Biarlah kereta baharu ini dan pengurusan baharu Proton dihakimi melalui merit mereka.

    “Saya tahu, kita semua ingin melihat mereka berjaya meningkatkan jualan, menerajui inovasi dan memastikan syarikat ini mempunyai masa depan yang cerah dari segi produk dan kesejahteraan warganya yang begitu gigih bekerja,” kata perdana menteri.

    Pada 31 Mac lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad telah melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi PROTON, berkuatkuasa serta merta. Dalam masa yang sama, Tun Mahathir turut melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Group Lotus plc, anak syarikat milik penuh Proton. (Baca DI SINI sebab-sebab perletakan jawatan beliau).

     
     
  • Pemandu guna lorong kecemasan dalam insiden di Melaka bulan lalu bakal didakwa di Mahkamah

    traffic-jam-bernama-2

    Seramai 22 pemandu kenderaan yang dikenal pasti menggunakan lorong kecemasan semasa insiden di Kilometer 228 Lebuh Raya Utara Selatan dekat Simpang Ampat, Alor Gajah bulan lalu bakal didakwa di Mahkamah Majistret Alor Gajah pada 18 Julai ini, lapor BH Online.

    Pendakwaan terhadap semua pemandu berusia lingkungan 20-an itu akan dilakukan setelah notis temu siasat diberikan kepada mereka pada 26 Mei lalu untuk melaporkan diri ke JPJ Melaka bagi membantu siasatan kata Pengarah Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk V Valluvan.

    “Hanya 22 daripada 79 kenderaan yang dikesan menggunakan lorong kecemasan ketika kejadian hadir ke JPJ Melaka setakat ini selepas kita menghantar notis temu siasat.

    “Kita beri tempoh 21 hari hingga 21 Jun ini kepada mereka yang belum hadir. Jangan tunggu hingga tempoh itu berakhir kerana pihak JPJ mempunyai bukti kenderaan terbabit berada di Selangor dan Johor,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JPJ Melaka, Bukit Katil, selepas menyampaikan sumbangan kepada ibu dua beradik yang maut dalam kejadian itu.

    Dalam insiden tersebut, seorang penunggang motosikal melanggar sebuah kereta yang diletakkan di laluan kecemasan Km228 (menghala ke selatan) Lebuhraya Utara Selatan pada pukul 4.30 petang. Penunggang tersebut tercampak ke bahagian tengah lebuhraya, dan sebuah lori berpusing setelah mengelak penunggang tersebut. Pasukan perubatan kecemasan pertama sepatutnya sampai ke tempat kejadian dalam masa 20 minit, tetapi terpaksa mengambil masa hampir sejam kerana halangan trafik tersebut.

     
     
  • Proton beri tempoh setahun cari rakan strategik

    2016 Proton Perdana press con 4

    Mengikut syarat yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia selepas meluluskan dana berjumlah RM1.5 bilion kepada Proton, antaranya ialah syarikat tersebut perlu mendapatkan rakan kongsi asing terkemuka yang akan membantu dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D).

    Dalam sidang media selepas pelancaran Proton Perdana 2016 pagi tadi, barisan tertinggi pengurusan Proton mengakui akan mengenal pasti secara rasmi rakan kongsi strategik bagi tujuan R&D. Malah perkara ini turut akan dipantau oleh pasukan petugas khas yang diketuai oleh CEO Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (Pemandu) Datuk Seri Idris Jala.

    Menurut CEO Proton Datuk Ahmad Fuaad Kenali, pengeluar kereta nasional itu telah menetapkan tempoh selama satu tahun kepada syarikat mencari rakan kongsi strategik bagi kerjasama lebih mendalam. Dalam masa yang sama beliau tidak menafikan kemungkinan kerjasama itu termasuk memiliki ekuiti.

    Sebelum ini Proton pernah menjalinkan kerjasama dengan Mitsubishi dan Honda (termasuk bagi Perdana 2016 ini). Januari lalu, Proton telah memeterai perjanjian usahasama dengan Suzuki dan bakal memperkenalkan model kerjasama pertama di bawah jalinan tersebut pada Oktober tahun ini.

     
     
  • Latin NCAP: Kia Picanto terima ‘0-Bintang’, Peugeot 208 jatuh ke 2-Bintang kerana tiada perlindungan sisi

    Kia Picanto sekali lagi menunjukkan kelemahannya dalam siri ujian kemalangan dalam penilaian kereta baharu setelah Latin NCAP mengumumkan hatchback segmen-A buatan Korea tersebut sekali lagi menerima penarafan ‘0-Bintang’. Picanto pasaran Thai dan Indonesia yang kedua-duanya tidak dilengkapi beg udara, sebelum ini sudah pun menerima penarafan 0-Bintang yang sama pada ujian ASEAN NCAP.

    Latin NCAP menguji varian paling asas yang dijual dalam pasaran rantau terbabit, yang sememangnya tidak dilengkapi dengan sebarang beg udara. Ketiadaan beg udara tersebut merupakan sebab utama Picanto menerima markah yang rendah dalam Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP), kerana struktur badan keselurahannya dinilai sebagai stabil selepas ujian pelanggaran bahagian hadapan dilakukan.

    Picanto juga hanya menerima 1-Bintang untuk Perlindungan Penumpang Kanak-Kanak (COP), kerana bacaan tinggi direkodkan pada patung dummy, tiada tali keledar tiga titik bahagian tengah belakang serta aturan pemasangan tempat duduk kanak-kanak yang salah.

    Keputusan tersebut agak kontras jika dibandingkan pada Picanto seperti pasaran Malaysia – dilengkapi enam beg udara, kawalan kestabilan, tali keledar tiga point bahagian tengah belakang – yang menerima penarafan 4-Bintang pada ujian Euro NCAP dan ASEAN NCAP dan 5-Bintang pada ujian Program Penilaian Kereta Baharu Australiasian (ANCAP).

    “Latin NCAP agak terperanjat kerana melihat pembuat kereta bertaraf global seperti Kia menawarkan model yang berjaya seperti Picanto dengan prestasi keselamatan yang teruk,” kata Ketua Setiausaha Latin NCAP Alejandro Furas.

    Latin NCAP turut menguji semula Peugeot 208 dibawah protokol baharunya. Peugeot 208 yang dipasang di Brazil terbabit menerima penarafan 4-Bintang untuk AOP pada 2014, dimana ketika itu ujian pelanggaran sisi belum lagi diperlukan. Ujian terbaharu yang memerlukan ujian pelanggaran sisi diperlukan menyaksikan 208 hanya menerima penarafan 2-Bintang. Walau bagaimanapun hasil ujian untuk pelanggaran bahagian hadapan masih lagi kekal sama seperti tahun 2014.

    Agensi tersebut turut menyatakan, 208 bukan sahaja tidak dilengkapi dengan beg udara sisi atau langsir, malah ia turut kekurangan struktur untuk menahan hentakan sisi pada pintu dan perlindungan pelvis pada bahagian dalaman pintu, seterusnya menyebabkan kelemahan keseluruhan perlindungan sisi untuk kepala dan dada. Untuk COP, 208 masih menerima penarafan yang sama seperti sebelum ini iaitu 3-Bintang.

    Latin NCAP turut menyatakan walaupun Picanto tidak perlu menjalani ujian perlanggaran sisi kerana menerima penarafan 0-Bintang, ia dilengkapi dengan perlindungan pelanggaran dan dalaman asas pada bahagian sisi, seperti penahan pelanggaran sisi pada pintu.

    Seperti juga Piacanto, Peugeot 208 yang diuji ini bukanlah dari varian tertinggi yang dilengkapi dengan enam beg udara dan kawalan kestabilan, seperti yang dijual dalam pasaran Malaysia (menerima 5-Bintang dari Euro NCAP dan ANCAP serta 4-Bintang dari ASEAN NCAP.

    “Latin NCAP terkejut dengan strategi Peugeot yang menjual kereta mereka pada pasaran tempatan tanpa perlindungan sisi yang diwajibkan di Eropah sejak 1995,” kata Presiden Latin NCAP Maria Fernanda Rodriguez.

     
     
  • Kenaikan kadar tol belum muktamad – PSKLM

    toll booth

    Persatuan Syarikat-Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) mengumumkan tiada sebarang keputusan dibuat bagi kenaikan kadar tol di lapan lebuh raya di negara ini.

    Menurut Naib Yang Dipertuanya Sazally Said, rundingan mengenai isu ini masih lagi berjalan, laporan Bernama.

    “Berdasarkan Perjanjian Konsesi memang terdapat beberapa lebuh raya yang layak mendapat kenaikan tol pada tahun ini. Namun hingga sekarang, ia masih belum ada kata putus kerana rundingan antara syarikat konsesi dan pihak kerajaan masih lagi berlangsung,” katanya.

    Ia adalah bagi mengulas laporan media tempatan semalam yang menyebut kerajaan akan membuat keputusan muktamad dalam masa terdekat ini mengenai jumlah kenaikan kadar tol di lapan lebuh raya di negara ini.

    Lapan buah lebuhraya tersebut ialah Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Lebuhraya Hubungan Kedua (Linkedua), Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) dan Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara Baru (NNKSB).

     
     
  • Proton bakal memperkenalkan model pertama kerjasama Suzuki Oktober ini – MPV Ertiga

    Proton Ahmad Fuaad Kenali

    Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Proton Ahmad Fuaad Kenali telah mengesahkan model pertama hasil kerjasama dengan Suzuki akan diperkenalkan pada Oktober tahun ini. Beliau berkata pada pihak media dalam sidang akhbar selepas pelancaran Proton Perdana 2016 di Putrajaya pagi ini.

    Walau pun tidak menyebut secara spesifik model apa, namun kami menjangkakan ia adalah MPV yang berasaskan Suzuki Ertiga. Malah model tersebut juga telah dikesan beberapa kali sedang diuji di jalan raya di Malaysia sejak kebelakangan ini.

    Pada bulan Januari lalu, laporan berita dari Indonesia mengesahkan PT Suzuki Indomobil Sales (SIS) akan mengeksport Ertiga dalam bentuk kit komponen terurai (knocked down) ke Malaysia sebanyak 1,500 unit sebulan bermula suku kedua 2016 dan akan di‘rebadge’ dengan jenama Proton.

    Pendedahan seterusnya juga mengatakan komponen-komponen terbabit diproduksi di kilang SIS Cikarang bermula Mei 2016. Proton secara rasminya telah mengumumkan perkara ini pada Januari lalu di mana model kerjasama Proton-Suzuki itu akan memasuki produksi sebelum 2016 berakhir.

    Selepas diperkenalkan pada tahun 2012, Ertiga telah menerima penambahbaikan kecil pada tahun lalu. Baru-baru ini, model ujiannya yang dikesan dalam balutan penyamaran yang menutupi seluruh bahagian terutamanya bampar dengan lampu kabus belakang dan peresap yang telah dibentuk semula. Ia juga dipadankan dengan roda 15-inci dibaluti tayar GT Radial. Walau bagaimana pun, tidak jelas kelihatan adakah MPV ini telah pun ‘diProtonkan’ atau belum.

    MPV tujuh-tempat duduk ini memiliki ukuran 2,740 mm bagi jarak roda (Perodua Alza 2,750 mm, Proton Exora 2,730 mm) dan dijanakan oleh enjin 1.4 liter dengan kuasa 92 PS dan tork 130 Nm. Motor K14B ini dipadankan dengan kotak gear manual lima-kelajuan dan automatik empat-kelajuan. Manakala varian Ertiga Dreza pula ditampilkan dengan imej yang lebih unik dan lebih banyak elemen dipertaruhkan, dan ia boleh didapati di pasaran Indonesia dan Thailand. Malah di Indonesia, Mazda turut ‘rebadged’ model Ertiga dengan nama VX-1.

    GALERI: Imej render “Proton Ertiga”


    GALLERY: Suzuki Ertiga facelift di GIIAS 2015

     
     
  • Proton Perdana baharu bakal menggunakan enjin NE01 dari Petronas dijangka bermula awal 2018

    Proton_NE01_01

    Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Proton Perdana 2016 bakal menggunakan enjin dan transmisi dari Proton sendiri setelah program pembangunan enjin baharu mereka tamat pada akhir 2017 nanti.

    Perkara ini dijelaskan lebih lanjut lagi oleh Proton semasa sesi sidang akhbar selepas berakhirnya majlis pelancaran Perdana 2016. Menurut Proton, model yang baharu sahaja dilancarkan ini – dengan menggunakan enjin dan transmisi sepenuhnya dari Honda – hanya akan di produksi sebanyak 7,000 unit setahun.

    Model versi dikemas kini tersebut kelak akan menggunakan enjin NE01 2.0 liter empat-silinder dengan pendesak turbo yang diambil dari Petronas. Enjin ‘square‘ (dengan ukuran gerek dan strok 86mm x 86 mm) tersebut berupaya menjana sejumlah 135 kW (181 hp) pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 245 Nm dicapai sepenuhnya pada 1800 hingga 5000 rpm.

    Proton_NE01_06

    Walaupun mempunyai kapasiti lebih kecil berbanding enjin K24Z2 DOHC i-VTEC berkuasa 177 hp/222 Nm pada varian 2.4L, enjin NE01 2.0 liter tersebut nyata lebih berkuasa.

    Enjin berkenaan juga bakal dipadankan dengan kotak gear CVT Proton baharu yang menggunakan torque converter (konsep yang sama digunakan pada transmisi CVT terbaharu dari Honda) berbanding menggunakan start-up clutch pada model-model Proton sebelum ini bagi memastikan aliran kuasa dari enjin yang lebih lancar.

    GALERI: Enjin Proton NE01

     
     
  • Proton Perdana 2016 sasar pengeluaran 7,000 unit setahun – tidak akan dieksport ke negara luar

    Proton Ahmad Fuaad Kenali

    Sejak tempahan mula dibuka pada Februari lalu, Proton telah menerima kira-kira 900 tempahan dari seluruh negara dan dijangka mampu menjual kira-kira 3,000 buah Perdana baharu ini pada akhir 2016. Namun menurut Ketua Pegawai Operasi Proton Datuk Ahmad Fuaad Kenali, pihaknya mensasarkan sebanyak 7,000 unit pengeluaran setahun bagi model ini.

    “Dalam tempoh enam bulan pertama ini, kami hanya meletakkan sasaran sebanyak 3,000 unit. Tetapi kami optimis dengan mensasarkan pengeluarannya sebanyak 7,000 unit setahun. Namun ia adalah bergantung pada jumlah permintaan dalam pasaran,” ujar Ahmad Fuuad.

    Selain itu, mengikut perjanjian, terma dan syarat bersama Honda, Perdana 2016 ini tidak akan dipasarkan ke pasaran luar dan hanya tertumpu pada Malaysia sahaja.

    Sambungnya lagi, “Kami menghormati permintaan dari Honda yang enggan membenarkan Perdana 2016 ini dieksport ke luar negara memandangkan kami menggunakan penjana kuasa dari mereka.

    “Namun untuk model Perdana yang dijangka dinaik taraf dengan menerima kehadiran enjin dan transmisi baharu yang sedang kami bangunkan, barulah ia dirancang akan dieksport ke negara luar. Enjin dan transmisi baharu ini dijangka akan siap pada akhir 2017 dan model Perdana (serta model-model lain Proton yang terlibat) yang dinaiktaraf kemungkinan besar akan diperkenalkan pada tahun 2018.”

     
     
  • PANDU UJI: Proton Perdana 2016, mampukah ‘Prime’ mengangkat semula survival armada Proton?

    Proton_Perdana_24_Grey_Ext_04

    Syarikat pembuat kereta nasional pertama negara – Proton mula memperkenalkan Perdana generasi pertama yang diasaskan dari Mitsubishi Galant Eterna generasi ke-tujuh 21 tahun yang lalu iaitu pada tahun 1995. Seperti yang anda boleh lihat sekarang, sebahagian dari Perdana tersebut masih lagi gah menyelusuri jalan raya di Malaysia.

    Dilaporkan Proton telah menjual lebih dari 80,000 unit Perdana bermula dari tahun 1995 hingga tahun 2010, dengan harga yang bukan murah iaitu RM85k ketika dilancarkan pada tahun 1995 dan lebih dari RM100k untuk model V6 yang dilancarkan pada tahun 1998.

    Namun, setelah penjualannya dihentikan pada 2010 iaitu kira-kira 15 tahun dalam pasaran, Proton seakan kurang yakin dengan segmen pasaran Perdana, dan dilihat tiada langsung usaha pembangunan untuk meneruskan legasi yang ditinggalkan oleh model tertinggi dalam barisan kereta keluaran Proton itu.

    Tahun 2012, Proton kembali berminat untuk menyertai pasaran sedan eksekutif segmen-D Malaysia dengan mengumumkan kerjasama bersama gergasi automotif Jepun, iaitu Honda. Hasil awal kerjasama tersebut menyaksikan lebih kurang 3,000 unit Honda Accord CP (generasi ke-lapan) diubah sedikit pada beberapa bahagian kemasan dan kemudiannya diberi lencana Proton Perdana.

    Proton_Perdana_24_Grey_Ext_21

    Kereta-kereta tersebut tidak dijual dalam pasaran umum, tetapi hanya untuk kegunaan pegawai-pegawai kerajaan Malaysia, menggantikan Proton Perdana V6 terdahulu yang semakin berusia.

    Untuk pasaran umum, Proton telah melancarkan Perdana 2016 hari ini, jauh berbeza dari versi awalnya yang hanya dilakukan beberapa sentuhan ‘rebadge’ mudah.

    Sebenarnya, sekitar tiga minggu sebelum dilancarkan, Proton telah menjemput jurnalis-jurnalis automotif di Malaysia untuk menguji dua Perdana 2016 iaitu 2.0L dan 2.4L ini di litar ujian mereka yang terletak di Pusat Kecermelangan Proton, Shah Alam.

    Seperti yang boleh dilihat, bentuk asal Accord CP sudah tidak lagi kelihatan pada rupa luaran Perdana. Secara ringkas, muka hadapan Accord telah ‘diProtonkan’ pada segenap segi termasuk lampu hadapan, gril, bampar hadapan, bonet dan dapra.

    Proton_Perdana_24_Grey_Ext_10

    Pada bahagian sisi, Perdana masih menggunakan pintu hadapan Accord. Tiang-C telah ‘ditarik’ kebelakang bagi memberikan ruang kepada ‘quater window‘ tambahan. Oleh sebab perubahan rekaan pada tiang-C ini, tetapi Proton masih mahu menggunakan panel pintu bahagian dalam yang diambil terus dari Accord, bahagian belakang pintu bermula panel tingkap pintu terpaksa dipanjangkan sedikit. Satu perkara yang agak membimbangkan pada rekaan tersebut, ia berisiko untuk mendatangkan kecederaan pada pengguna kerana kemasan krom pada pintu itu bukan sahaja panjang, ia juga agak tajam.

    Kedua-dua varian dilengkapi dengan roda aloi berdiameter 17-inci pelbagai jejari yang sama tetapi berbeza kemasan akhir (warna perak untuk 2.0L dan warna hitam-aloi digilap untuk 2.4L). Kesemua roda dibaluti tayar Goodyear EfficientGrip bersaiz 225/50R17.

    Bahagian belakang menyaksikan rupa bentuk yang lain sepenuhnya berbanding Accord. Perdana menerima lampu belakang LED berbentuk-C dihubungkan dengan bar krom merentangi penutup but serta menempatkan logo 3D Proton yang besar. Bampar belakang pula ‘sarat’ dengan kemasan ala-diffuser yang turut menempatkan ruang nombor pendaftaran, dua reflektor serta dua perumah tip ekzos palsu.

    Apa yang nampak sedikit pelik disini, keseluruhan kemasan tersebut diwarnakan dengan warna badan, seolah-olah Proton mahu menonjolkan dan ‘membuka rahsia’ dua tip ekzos tersebut sememangnya palsu.

    Keseluruhan bahagian dalaman Perdana kelihatan hampir sama dengan Accord CP kecuali beberapa peningkatan pada sistem infotaimen. Dapat dilihat disini dua perbezaan hasil akhir pada kemasan yang diambil terus dari Honda dan komponen yang dibuat oleh Proton. Cuba anda bezakan bentuk tulisan dan hasil cetakan tulisan pada suis-suis kawalan penghawa dingin yang diambil terus dari Accord dan butang kawalan sistem audio yang direka oleh Proton, bukan sahaja jenis tulisan yang berbeza malah hasil cetakan dan kualiti ketika disentuh juga jelas terasa berbeza.

    Perdana masih mengekalkan enjin yang diambil terus dari Accord iaitu enjin R20A3 SOHC i-VTEC untuk varian 2.0 liter berkuasa 154 hp/189 Nm dan enjin K24Z2 DOHC i-VTEC untuk varian 2.4 liter berkuasa 177 hp/222 Nm. Kedua-dua enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear lima-kelajuan automatik.

    Dari segi prestasi enjin dan pengendalian, secara ringkas ia ‘bagai sebuah Accord’. Enjin 2.0 sebenarnya sudah memadai untuk memberikan kuasa pecutan yang mencukupi, linear dan sangat lancar digandingkan dengan kotak gear lima kelajuan automatik. Bagi mereka yang mahukan lebih ‘ummphh’, anda boleh memilih varian 2.4 liter yang bukan sahaja lebih berkuasa, malah anda turut boleh bermain dengan gear menerusi penukar gear yang dilengkapi pada roda stereng.

    Begitu juga pada bahagian suspensi, bukan sahaja kesemua komponen sistem double wishbone pada bahagian hadapan dan sistem multilink dibahagian belakang berkongsi dengan Accord, malah Proton berterus terang tiada sebarang perbezaan talaan dibuat memandangkan jurutera Honda sebelum ini telah pun memberikan talaan terbaik untuk kerangka siri CP pasaran Malaysia.


    Enjin DOHC i-VTEC 2.4L (kiri) dan enjin SOHC i-VTEC 2.0L (kanan)

    Saya hanya memandu lebih kurang enam pusingan untuk setiap varian di litar ujian Proton berbentuk oval tersebut. Jadi tiada ruang untuk menguji kelincahan sedan segmen-D ini. Seperti yang disebut tadi, keseluruhan sistem suspensi dan talaan dari Accord diserapkan terus ke Perdana, jadi pada kelajuan tinggi, karekter Perdana adalah setanding dengan segmen-D dalam pasaran, stabil dan selesa.

    Walaupun tiada ruang untuk menguji kelincahan pengendalian Perdana baharu ini, boleh dijangka karekter pengendalian Perdana juga adalah menyerupai dinamik pengendalian Honda Accord CP.

    Walaupun diberitahu secara jujur oleh jurutera-jurutera Proton yang segalanya adalah diambil terus dari Accord, saya dan rakan-rakan penulis yang lain sedar akan satu perkara iaitu Perdana lebih senyap dari Accord. Ini mungkin disebabkan tayar Goodyear Efficient Grip yang dibekalkan pada Perdana menjadikan keseluruhan NVH sedan ini lebih baik.

    Walau bagaimanapun, bunyi yang agak bising kedengaran pada bahagian belakang jika memandu kereta ini ketika hujan (kebetulan, hujan turun dengan lebat di litar ujian Proton ketika sesi pandu uji dijalankan) akibat percikan air dari tayar ke pelapik pada bahagian dalam ruang roda.

    Satu lagi perkara yang agak diluar jangkaan kami ialah keselesaan pada span yang digunakan untuk binaan tempat duduk. Kesemua tempat duduk Perdana dibina dengan sangat selesa, sehingga anda akan terasa sedikit tenggelam dek kerana empuknya tempat duduk tersebut.

    Dari segi sistem keselamatan, semua varian Perdana dibekalkan dengan empat beg udara, sistem brek ABS serta EBD, penderia parkir hadapan dan belakang, tingkap kuasa dengan fungsi anti-perangkap untuk semua bahagian serta cagak ISOFIX untuk tempat duduk kanak-kanak. Agak mengecewakan, sistem Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) hanya dilengkapi pada varian tertinggi 2.4L dan tiada pada varian 2.0L, walhal sistem tersebut dibekalkan secara standard pada Iriz varian terendah 1.3 Standard.

    Tentu ramai yang tertanya-tanya, mengapa ciri-ciri Perdana 2016 agak ketinggalan bukan sahaja dengan sedan segmen-D terkini, dengan adiknya sendiri iaitu Preve dan Suprima S. Perdana tidak dilengkapi dengan tujuh beg udara mahupun sistem kunci pintar beserta butang penghidup enjin. Sekali lagi ditegaskan, Perdana dibina dari Accord generasi ke-lapan atas sebab mahu menjimatkan kos.

    Ciri-ciri yang disebutkan tadi jika mahu ditambah bukan sahaja melibatkan rekaan semula pada komponen-komponen mudah, ia mungkin akan melibatkan rekaan semula keseluruhan pada sistem pendawaian, kotak komputer baharu dan juga sistem perisian komputer baharu. Ini tentunya melibatkan kos yang besar dan mungkin akan menyebabkan harga akhir Perdana ini tidak kompetitif.

    Namun, semua sistem ini mungkin akan ditingkat taraf oleh Proton setelah model Perdana dipadankan dengan enjin Proton sendiri, iaitu enjin Petronas NE01 2.0 liter dilengkapi pendesak turbo dan juga enjin turbo 1.5 liter pancitan bahan-api terus (TGDI) yang didakwa mampu menghasilkan kuasa 180 hp/250 Nm, apabila program pembangunan enjin mereka lengkap pada akhir 2017 nanti. Kedua-dua enjin baharu tersebut turut bakal dipadankan dengan kotak gear CVT torque converter automatik baharu. Dengan sistem enjin dan transmisi baharu kelak, sudah tentu sistem elektrikal badan Perdana turut mendapat sistem baharu, memungkinkan ciri elektronik lain turut dipertingkat.

    Jadi, dengan teknologi dan sistem mekanikal yang diambil dari Accord generasi terdahulu, dilengkapi dengan beberapa trend rekaan terkini serta harga jualannya yang hanya pada paras yang sama dengan sedan segmen-C, adakah Proton Perdana 2016 mampu bertahan dalam pasaran seperti generasi sebelum ini dan seterusnya mengangkat semula Proton ke landasan sebenar?

    GALERI: Proton Perdana 2.4L 2016

    GALERI: Proton Perdana 2.0L 2016

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.47 (-0.25)
RON 97 RM4.10 (-0.25)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.07 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.27 (-0.30)
Last Updated Jun 25, 2026