Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Proton Saga-4k unit ditempah, 500 unit diserahkan; Proton Persona-14k unit ditempah, 2k unit diserahkan

    protonsaga_bm_premium_ext-4

    Pengeluar automotif nasional – Proton kini dilihat berada dalam landasan pemulihannya. Proton Saga yang baharu sahaja dilancarkan dua minggu lalu kini sudah pun mendapat tempahan sebanyak 4,000 unit, dan 500 unit daripadanya telah diserahkan pada pelanggan. Manakala untuk sedan segmen-B Proton Persona yang dilancarkan akhir Ogos lalu kini telah menerima 14,000 unit tempahan di mana 4,000 unit sudah pun sampai ke tangan pelanggan.

    Setakat ini, angka-angka yang dicatatkan ini dilihat mencapai sasaran yang diumumkan Proton sebelum ini di mana Saga dijangka bakal dijual sebanyak 5,000 unit sebulan, manakala Persona pula disasarkan dapat dijual sebanyak 3,000 hingga 4,000 unit sebulan.

    Proton telah menyusun semula strategi mereka tahun ini untuk memulihkan kembali prestasi mereka dengan pelan untuk melancarkan empat model baharu. Setakat ini, tiga model telah dilancarkan bermula dengan sedan premium segmen-D Proton Perdana, sedan segmen-B Proton Persona dan diikuti dengan sedan segmen-A Proton Saga. Dalam masa terdekat, Proton dijangka akan melancarkan pula MPV segmen-B yang diasaskan dari Suzuki Ertiga.

    Proton_Persona_Premium_Ext-3

    Proton juga telah menyusun semula pasaran modelnya agar tidak membunuh sesama sendiri di mana Proton Saga kini hanya ditawarkan dengan pilihan enjin 1.3 liter VVT dan Persona hanya ditawarkan dengan enjin 1.6 liter VVT. Kedua-dua model ini tampil dengan tiga varian bagi memberikan pilihan lebih luas untuk bajet pengguna, di mana varian paling asas diberikan pilihan transmisi manual dan CVT, sementara varian lebih tinggi hanya diberikan transmisi CVT.

    Kami sudah pun menguji Persona 2016 di litar ujian Proton dan juga sesi pandu uji media ke Kuantan, manakala untuk Saga pula, kami telah pun mengujinya pada sesi pandu uji prebiu di litar ujian Proton. Anda juga boleh menyemak spesifikasi terperinci Persona baharu di sini dan Saga 2016 di sini. Bagi mereka yang berminat tentang perincian pembelian model-model baharu Proton ini pula, anda boleh menyemaknya dengan mengunjungi Carbase.my.

    GALERI: Proton Saga 1.3L Premium CVT 2016

    Proton Persona 2016 1.6 Premium CVT dengan kit badan

     
     
  • BMW keluarkan model ‘bagger’ K1600B di Amerika

    2017-bmw-motorrad-k1600-b-10-e1476146826277-850x586bm

    Sesetengah pasaran mempunyai kemahuan yang unik dan jika permintaannya cukup tinggi, pengeluar akan menghasilkan model yang bersesuaian. Di Amerika Syarikat model bagger cukup terkenal dan BMW tidak mahu ketinggalan, seterusnya memperkenalkan model khas K1600B.

    Asas motosikal ini adalah dari model K1600 GT, menggunakan enjin enam silinder berkemampuan 160 hp dan 175 Nm tork. Cuma, ia dijadikan sebuah bagger untuk pasaran Amerika Syarikat dengan kedudukan yang rendah, kedudukan menunggang santai dan beg sisi yang mengikut bentuk belakang motosikal tersebut.

    Beg sisi ini, mempunyai penutup yang lebih nipis bagi mendapatkan ruang dalam yang luas dan ia dilengkapi dengan lampu LED supaya mudah dilihat oleh pengguna jalan raya lain di belakangnya. Sementara itu, penghadang lumpur yang menyembunyikan tayar pula boleh dilipat ke atas bagi memudahkan tayar dibawa keluar apabila perlu.

    BMW turut melengkapkan motosikal ini dengan suspensi semi aktif Dynamic ESA oleh BMW Motorrad sendiri, yang datang dengan penyerapan automatik. Penunggang boleh memilih antara mod ‘Road’ atau ‘Cruise’ bagi menyesuaikan hentakan suspensi dengan jenis tunggangan yang dimahukan.

    Berat keseluruhan motosikal ini masih belum disiarkan oleh BMW tetapi ia kelihatan seperti tidak jauh beza dengan K1600 GT yang mencatat 319 kg. Jadi, keputusan untuk meletakkan gear undur pada motosikal ini sememangnya berguna.

    BMW K1600 B turut didatangkan dengan pelbagai aksesori dan antaranya termasuk penghadang udara hadapan yang boleh dikawal secara elektronik dan quickshifter, yang dipanggil oleh BMW sebagai Shift Assist Pro. Barangan lain adalah seperti tempat letak kaki berserta tuil pengawal yang lebih ke hadapan dan tempat letak kaki yang lebih selesa bagi penumpang.

    Masih belum ada harga untuk K1600 B tetapi jika di Malaysia, K1600 GT dijual pada harga RM159,900, sementara GTL dan GTL Exclusive pula masing-masing RM167,900 dan RM185,900 termasuk GST.

     
     
  • Michelin ganti Pilot Super Sport dengan Pilot Sport 4 S

    michelin-pilot-sport-4-s-zoom-vue-45-avec-jante-fond-blanc_bm

    Pada Paris Motor Show 2016 lalu, Michelin telah mengumumkan tayar berprestasi-ultra paling tinggi dalam barisan produknya – Pilot Super Sport – akan digantikan dengan siri tayar baharu yang diberi nama Pilot Sport 4. Michelin Pilot Sport 4 akan berada di pasaran Eropah bermula Januari 2017 dan di Amerika Syarikat bermula Mac, ditawarkan dalam 34 saiz, dari diameter rim 19-inci hingga 20-inci.

    Sama seperti Pilot Super Sport, siri tayar baharu ini turut akan digunakan pada kereta sport dan sedan berprestasi tinggi seperti BMW M, Ferrari, Mercedes-AMG dan Porsche. Di reka untuk meningkatkan ketepatan stereng dan kestabilan ketika menukar arah, Pilot Super Sport 4 dikatakan akan memberikan prestasi maksimum dan keselamatan diatas semua permukaan, dengan bunga tayar yang telah dioptimakan.

    Dengan teknologi dwi-kompaun, prestasi membrek pada keadaan kering dan basah kini dipertingkatkan. Kompoun hibrid pada bunga bahagian luar meningkatkan cengkaman pada permukaan kering, manakala pada bunga bahagian dalam yang dibina menggunakan kompaun dengan silika dan elastomer memberikan cengkaman yang konsisten pada permukaan basah. Tayar Pilot Sport 4 S ini merupakan antara tayar pertama yang mendapat markah yang diklasifikasikan dalam kelas A pada skala label Eropah dalam brek ketika basah.

    michelin-pilot-sport-4-s-longevity_bm

    Menerusi ujian yang dilakukan organisasi bebas TÜV SÜD di Jerman, Pilot Sport 4 S mendahului pencabarnya seperti Continental SportContact 6, Bridgestone Potenza S001, Goodyear Eagle F1 Asymmetric 3, Dunlop Sport Maxx RT 2 dan Pirelli P Zero Nero GT dalam empat faktor utama, termasuk brek ketika kering dan basah dan lap terpantas. Pilot 4 S juga merupakan tayar yang mendahului aspek ketahanan di mana ia satu-satunya tayar yang melepasi ujian 50,000 km di Pusat Ujian Dekra.

    Seperti juga tayar berprestasi-ultra Michelin yang lain, Pilot Sport 4 turut dibina dengan Premium Touch Technology dari Michelin, dengan kemasan akhir seperti baldu pada bahagian sidewall. Tayar ini juga direka dengan pelindung rim yang membantu mengelakkan kerosakan rim berdiameter besar dari rosak jika terlanggar lubang dan bendul.

     
     
  • Naza serah ganjaran buat atlet paralimpik Rio 2016

    Naza Corporation Holdings telah memberi ganjaran kepada empat atlet Malaysia yang memenangi pingat emas dan gangsa di Sukan Paralimpik Rio 2016. Di mana atlet paralimpik negara yang berjaya membawa pulang pingat emas iaitu Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, Mohamed Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly, masing-masing menerima unit suite kediaman di Trion 888, Equine Park dan Kia Sportage baharu.

    Manakala Siti Noor Radiah Ismail yang memenangi pingat gangsa menerusi acara lompat jauh wanita T20 pula dihadiahkan seunit Kia Rio Sedan.

    “Untuk prestasi yang luar biasa dan memecah rekod mereka di Paralimpik Rio 2016, juara-juara ini layak untuk diiktiraf dan diberikan ganjaran dengan suite kediaman di Trion 888, Equine Park bernilai RM350,000 sebagai tambahan kepada Kia Sportage baharu bernilai RM121,888 dan Kia Rio Sedan bernilai RM72,888 yang keseluruhannya berjumlah hampir RM1.5 juta,” kata SM Nasarudin SM Nasimuddin, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Naza Corporation Holdings.

    Sambungnya lagi, “Kami juga turut memberikan ganjaran kepada ketiga-tiga jurulatih Paralimpik, Jaganathan Ramasamy, Mohd Faizol Bin Harun dan Mohd Syahrul Amri Bin Mohd Suhaimi di atas usaha dan dedikasi mereka yang melatih atlit paralimpik sehingga menjadi seorang juara.”

    Dengan pencapaian ini di Rio, SM Nasarudin berharap kejayaan ini dapat dilakukan di Sukan Paralimpik di Tokyo 2020. “Saya amat gembira dan berbangga kerana kejayaan ini merupakan kejayaan yang terbesar di dalam sejarah sukan para negara. Sebagai wakil Naza dan juga Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, perasaan bangga yang saya rasai amat berlainan sekali kerana saya diberi peluang untuk memberi penghargaan kepada individu-individu yang menakjubkan.”

    Naza Corporation Holdings sebelum ini telah menaja pertandingan terbesar di peringkat antarabangsa dalam skuasy wanita, Kejohanan Skuasy Naza-PSA Dunia Wanita. Mereka juga akan menjadi penaja platinum untuk Sukan Kuala Lumpur 2017 yang akan datang.

     
     
  • SPYSHOT: Ford Mustang Convertible facelift 2018

    2017-ford-mustang-convertible-spy-2_bm

    Untuk pasaran Malaysia, kita baharu sahaja menerima Ford Mustang S550 yang dilancarkan pada Jun lalu. Hakikatnya, untuk pasaran global, Mustang generasi keenam ini sudah pun berada dalam pasaran hampir tiga tahun, selepas didedahkan pada penghujung tahun 2013. Oleh itu, pembangunan untuk versi facelift model ini dilaporkan sedang dijalankan, dan bakal membuat kemunculan sulungnya sama ada pada Los Angeles Auto Show bulan hadapan, atau di Detroit Januari nanti, serta dijangka menembusi pasaran pada tahun hadapan sebagai model tahun 2018.

    Jururgambar risikan kami telah pun mendapat imej Mustang facelift ini yang sedang diuji dijalan raya, dan yang terbaharu dari versi convertible, dikesan sedang diuji di Dearborn, Michigan, Amerika Syarikat. Unit yang sedang diuji ini mengenakan penyamaran yang agak berat, menandakan mungkin tidak banyak perubahan yang dilakukan pada bahagian luaran, tetapi bentuk pada gril hadapan berkemungkinan akan dirombak semula.

    Rekaan pada bahagian luaran juga dikhabarkan tidak akan mengalami perubahan kepada bentuk lebih radikal. Edisi istimewa juga akan ditawarkan dan pilihan pakej kemasan lebih banyak turut akan diberi kepada pelanggan. Kebanyakkan rombakan besar akan dilakukan pada bahagian mekanikal model ini.

    2017-ford-mustang-convertible-spy-11_bm

    Model facelift ini dikhabarkan akan menerima kotak gear 10R80 automatik 10-kelajuan dari Ford, menggantikan kotak gear 6R80 enam kelajuan dari ZF yang digunakan pada model sedia ada. Transmisi baharu ini merupakan hasil usahasama dengan GM, di mana model dari GM seperti Chevrolet Camaro sudahpun mula menggunakannya. Kotak gear enam-kelajuan Getrag MT-82 berkemungkinan akan terus digunakan tanpa sebarang perubahan.

    Sebelum ini dinyatakan kotak gear baharu ini belum lagi disahkan sama ada akan digunakan atau tidak bagi pasaran Eropah, tetapi dilaporkan ia akan dipadankan pada model pasaran benua berkenaan berberapa bulan kemudian. Setakat ini, model Cyclone 3.7 liter V6 masih lagi belum dipasarkan di Eropah (dan pasaran lain seperti Malaysia) yang diletakkan diantara model paling rendah 2.3 liter EcoBoost dan model tertinggi Cayote 5.0 liter V8.

    Untuk pasaran Malaysia, Mustang 2.3 liter EcoBoost dijual pada harga RM489k manakala untuk model GT 5.0 liter V8 pula dijual pada harga RM599k.

     
     
  • Nissan perkenal peranti perakam video DVR baharu

    02-nissan-almera-with-dvr-recorder-bm

    Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) kini memperkenalkan perkam video pemanduan (DVR) baharu yang boleh diperolehi bagi semua model keluarannya. Mudah digunakan, ia memaparkan visual sudat pandangan 150 darjah melalui lensa enam lapisan.

    Dengan kemampuan kualiti rakaman video HD 1296 piksel, sensor yang digunakan juga membolehkan rakaman dalam keadaan yang malap tetap boleh dilihat dengan jelas. Dipasangkan pada cermin pandang belakang, ia mudah digunakan – sambungan tanpa wayar untuk paparan di telefon pintar juga boleh dilakukan.

    01-all-new-dvr-bm

    Ia serasi dengan penggunaan peranti IOS mahupun Android menerusi aplikasi TCAT DVR yang membolehkan pengguna untuk melakukan konfigurasi, paparan secara langsung serta muat turun video yang dirakam.

    Peranti ini akan diaktifkan secara automatik dan akan terus merakam visual sebaik sahaja enjin kenderaan dihidupkan. Ia turut dilengkapi dengan alat pengesan graviti binaan dalaman untuk kekal merakam dengan terang dan jelas sekiranya kenderaan yang dipandu terlibat di dalam perlanggaran, membelok atau menukar arah dengan mengejut atau ketika membrek dalam kecemasan.

    Jika dibeli secara berasingan, ETCM menawarkannya pada harga RM999 termasuk GST dan kos pemasangan. Namun, bagi tempoh promosi “Millionaire Drive” yang sedang berlangsung sepanjang Ogos, peranti berkenaan ditawarkan pada harga istimewa; tambahan hanya RM1 pada Nissan Almera, selain daripada promosi Aerokit NISMO dan sistem navigasi multimedia 6.5 inci yang turut ditawarkan.

     
     
  • Kia K2 2017 – sedan berdasarkan Rio untuk China

    kia-k2-1-bm

    Selepas Kia Rio 2017 didedahkan pada bulan lalu, baru-baru ini laman portal automotif China, autohome.com.cn mendedahkan foto model Kia K2 sedan, yang dikatakan hanya akan dijual di negara berkenaan sahaja. Dikatakan bakal dilancarkan pada November ini, K2 2017 ini seakan memberikan gambaran bagaimana imej bagi Rio empat-pintu baharu.

    Kia K2 sedan ini juga memiliki bonet yang lebih panjang, ketinggian yang dikurangkan dan beltline yang lebih melintang, dengan memberikan rekaan yang lebih bersepadu pada K2 berbanding model semasa Rio sedan dan pesaingnya yang lain.

    Apa pun ia ada sedikit perbezaan dengan Rio hatch. Bahagian hadapannya lebih konvensional, dengan lampu utama projektor yang dibentuk semula disambung pada gril “hidung harimau” yang lebih besar. Selain itu, gril bawah pula lebih kecil, dan dipadankan dengan corong udara luaran yang lebih lebar berserta dengan lampu kabus dan lampu nyalaan siang (DRL) LED.

    Pada bahagian sisinya, garisan tingkap turut direka semula dengan garisan karakter melintang yang digantikan rekaan jejalur ke bawah. Manakala pada bahagian belakangnya pula, lampu LED berbentuk-L turut dipadankan dengan palang melintang, bersama valence berwarna hitam yang turut menempatkan plat nombor dan lampu kabus.

    Bagi kabinnya pula, kekemasan hitam berkilat menjalari bahagian papan pemuka. Kekemasannya diambil sedikit daripada Rio, walau bagaimana pun, ia turut menempatkan roda stereng tiga-jejari, panel kawalan suhu dan instrumen dwi-meter disusun semula. Malahan tempat duduknya turut tampil dengan rekaan yang sama, namun menggunakan kekemasan upholstery kulit yang berbeza.

    Menurut laporan tersebut, K2 tidak akan menggunakan enjin Rio baharu iaitu 1.0 liter pengecas turbo T-GDI, sebaliknya akan terus memadankan enjin 1.4 liter dan 1.6 liter naturally-aspirated, yang menghasilkan kuasa 107 hp dan 123 hp. Manakala transmisi dijangkakan automatik enam-kelajuan.

     
     
  • GrabCar umum kadar tambang baharu di Lembah Klang, bermula tengah malam ini – kini RM1.10 per km

    NPL new fare

    Aplikasi perkongsian kenderaan atas talian, GrabCar hari ini mengumumkan kadar baharu bagi perkhidmatannya; penurunan daripada RM1.30 per km kepada RM1.10 per km. Ini adalah sebahagian daripada pendekatan perkhidmatan itu untuk menawarkan pengalaman yang lebih baik kepda pelanggannya.

    Kadar baharu itu adalah bagi perkihdmatan di Lembah Klang, dihujung minggu (sepanjang hari) dan hari bekerja di luar waktu puncak (sepanjang hari kecuali dari 6 pagi hingga 10 pagi dan 5 petang hingga 8 malam), bermula tengah malam ini.

    “Dengan struktur kadar tambang baharu ini, Grab menyediakan perkhidmatan pengangkutan yang paling kompetetif dengan permintaan tinggi bagi kenderaan persendirian di Lembah Klang dengan menawarkan kadar tambah tetap yang lebih rendah, tetapi tahap perkhidmatan yang jauh lebih baik kepada pengguna,” jelas Ketua, Grab Malaysia, Jaygan Fu.

    Struktur tambang baharu di Lembah Klang itu bertujuan membantu pengguna dan pemandu sekaligus. “Pelanggan boleh merancang perjalanan mereka dengan lebih baik untuk mengelak waktu kemuncak dan menikmati tambang yang lebih rendah ini. Tanpa bergantung kepada keadaan lalu lintas semasa, perjalanan yang lebih selesa pada kadar yang lebih berpatutan adalah satu jaminan,” tambah beliau.

    Sebagai contoh, perlajanan dari Bangsar ke KLCC kini hanya RM11. Jika dibandingkan dengan pesaingnya, ia mungkin mencecah antara RM12 dan RM17, seperti dinyatakan oleh GrabCar. Langkah ini juga akan memberi manfaat kepada pemandu separuh masa yang berkerjaya dan cenderung untuk memandu pada waktu puncak (sebelum atau selepas waktu bekerja) dan membantu mereka untuk meraih pendapatan lebih.

     
     
  • Pakatan Renault-Nissan bakal umum rancangan besar untuk Mitsubishi, termasuk di pasaran Amerika

    nissan carlos ghosn

    Pakatan Renault-Nissan bakal mengumumkan pelan yang besar untuk Mitsubishi, termasuk di Amerika Syarikat selepas pihak berkuasa meluluskan pengambilalihan 34% pegangannya dalam syarikat tersebut bernilai US$2.2 billion (RM9,118,670,000) akhir tahun ini, lapor Automotive News.

    “Ini bukan urus janji di mana kami katakan, ‘Ok, kita telah membuat urus janji, jadi mari fikirkan apa yang kita boleh lakukan bersama,” kata CEO Renault-Nissan Carlos Ghosn. “Tidak. Pada hari kami mengumumkan urus janji berkenaan, kami terus memberitahu apa sebenarnya yang akan dilakukan bersama. Dan ianya besar. Ia besar antara Mitsubishi dan Nissan. Dan juga, ia mungkin sangat signifikan antara Renault dan Mitsubishi.”

    Tambah beliau lagi, rancangan berkenaan belum lagi memperincikan bagaimana tiga pengeluar automotif ini akan bekerjasama di Amerika Syarikat, tetapi ia akan menjadi lebih besar, bukan sekadar urus janji seperti Mitsubishi membekalkan kereta kecil untuk Nissan di Jepun.

    Ghosn berminat untuk menjadikan Mitsubishi sebahagian dari Pakatan Renault-Nissan, yang telah dihubungkan dalam pembelian, pentadbiran, pembangunan kenderaan dan penyelidikan selama 17 tahun. “Mitsubishi dalam hal ini akan menyertai Pakatan. Pakatan ini adalah semua berkenaan pembinaan sinergi. Kami tahu bahawa banyak sinergi dengan Mitsubishi dan secara strategiknya kami mempunyai banyak hubungan,” kata beliau.

    April lalu, Mitsubishi dilanda skandal berkaitan manipulasi keputusan ujian penggunaan bahan api kenderaan jualannya dan membawa kepada perletakkan jawatan Persidennya, Tetsuro Aikawa. Kejatuhan nilai saham Mitsubishi akibat krisis ini menyaksikan 34% pegangan sahamnya di beli oleh Nissan.

     
     
  • Ford tutup kilang pengeluarannya di Australia – Holden, Toyota bakal ikut jejak pada 2017 dan 2018

    ford-territory

    Pada tahun 1925, Ford Motor Company menjadi pengeluar automotif terbesar pertama yang mula memproduksi kenderaan di Australia. Namun setelah 91 tahun bertapak di sana, kilang pengeluaran bagi model Ford Falcon dan SUV Territory yang terletak di utara Melbourne akhirnya ditutup. Sebelum ini, Ford turut menamatkan operasi bagi kilang pengeluaran enjin di sana.

    Pesaing Ford di Australia, Holden, turut menamatkan pengeluaran bagi Chevrolet Cruze generasi sebelumnya, namun masih meneruskan penghasilan model Commodore tetapi turut dijangka akan menutup operasinya pada akhir 2017 ini.

    Manakala Toyota yang turut memiliki kilang pengeluaran bagi model Camry di negara berkenaan juga, dijangka akan menamatkan operasinya pada tahun 2018.

    Menurut Motor Authority, penutupan ketiga-tiga kilang pengeluaran berkenaan juga pastinya menjejaskan periuk nasi hampir 15,000 hingga 20,000 tenaga kerja.

    Ford dan Holden Australia, kedua-duanya telah mencatatkan keuntungan yang tidak memberangsangkan sejak beberapa yahun ini, disebabkan faktor permintaan yang berkurangan serta kos pengeluaran yang semakin tinggi. Manakala Toyota yang menerima faedah daripada program bagi eksport untuk Camry pemasangan Australia, pula berkata permintaan bagi rantaian bekalan mula berkurangan.

    Menurut Ford, buat masa ini mereka belum membuat sebarang keputusan untuk menggantikan model Falcon, tetapi akan terus mengimport model Edge dan Everest bagi menggantikan Territory. Menurut rekod, sejak tahun 1960, Ford telah menghasilkan sebanyak 3.4 juta unit Falcon.

     
     
  • KTM RC390, RC200 dan RC125 2017 berwarna baharu

    2017-ktm-rc390bm

    Pengeluar motosikal jenama dari Austria, KTM mengeluarkan gambar studio bagi model KTM RC390, RC200 dan RC125 2017. Seperti yang boleh dilihat, ia kini menggunakan warna baharu, dan akan membuat penampilan semasa pameran motosikal EICMA di Itali bulan hadapan. Walaubagaimanapun, tiada sebarang perubahan mekanikal dilakukan pada barisan motosikal ini.

    Awal tahun ini, KTM mengeluarkan KTM RC390 yang dipertingkat bagi tahun 2016 dengan kelengkapan antaranya seperti ride-by-wire, pematuhan tahap Euro 4, ekzos di tepi dan klac jenis slipper.

    Penggunaan skema warna baharu ini dilakukan bagi memastikan barisan model RC terus segar sehingga model generasi seterusnya dikeluarkan menjelang akhir tahun hadapan. Kebiasaannya, selepas beberapa bulan dilancarkan di pasaran antarabangsa, barulah ia akan tiba di Malaysia.

    Di Malaysia, KTM RC ditawarkan dalam tiga pilihan iaitu RC390, RC250 dan RC200 dengan harga di dalam lingkungan RM15,000 hingga RM23,000.

     
     
  • Mitsubishi Malaysia lantik CEO baharu efektif 28 Okt

    new-ceo-of-mmm-mr-tomoyuki-shinnishi

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah melantik Tomoyuki Shinnishi sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu berkuat kuasa 28 Oktober ini.

    Shinnishi memulakan kerjayanya di Mitsubishi Corporation (MC), Tokyo, sejak tahun 1997 dan telah memegang jawatan tinggi di syarikat berkenaan.

    Sebelum ini, dari tahun 2001 hingga 2008, Shinnishi berkhidmat dengan PT. Krama Yudha Tiga Belian Motors (KTB) iaitu pengedar rasmi bagi Mitsubishi di Indonesia. Beliau bertindak sebagai penasihat bagi bahagian Produksi dan Kejuruteraan sebelum mengetuai bahagian Jualan dan Pemasaran.

    Pada tahun 2008 hingga 2012 pula, beliau memegang jawatan sebagai Pengurus bagi Motor Vehicle ASEAN dan South West Asia Department di MC.

    Selepas itu, beliau berpindah ke Mitsubishi Motors Corporation (MMC), Tokyo, mengendalikan bahagian jualan dan pemasaran bagi Mitsubishi Motors Rusia.

    “Shinnishi memiliki pengalaman yang luas selama hampir 20 tahun di dalam industri automotif dan dengan komitmen yang tinggi terhadap Mitsubishi Motors, kami percaya beliau mampu memacu lagi jenama ini di serata Malaysia,” ujar Tan Sri Marzuki Mohd Nor, Pengerusi Lembaga Pengarah MMM.

    Manakala CEO MMM sebelum ini iaitu Yang Won-Chul akan kembali ke MC, Tokyo.

     
     
  • Mercedes AMG Petronas rangkul juara kategori pengeluar F1 musim 2016 – kali ketiga berturut-turut

    petronas-championship-1

    Pusingan perlumbaan F1 di Litar Suzuka, Jepun yang baru berakhir semalam menyaksikan pasukan Mercedes AMG Petronas dinobatkan sebagai juara pengeluar bagi musim 2016 ini. Walaupun dianggap lebih manis jika ia berlaku semasa pusingan di Litar Sepang minggu sebelumnya, anugerah ini tetap bermakna kerana ia adalah kali ketiga berturut-turut Mercedes AMG Petronas mendapat gelaran ini.

    Anugerah ini diberikan dengan perlumbaan masih lagi berbaki empat pusingan dan setelah pemandu pasukan Mercedes AMG Petronas, Nico Rosberg menjuarai pusingan di Suzuka manakala seorang lagi pemandu pasukan itu, Lewis Hamilton mendapat tempat ketiga walaupun berhadapan permulaan yang tidak lancar. Rosberg kini berada di tempat teratas bagi kategori pemandu dengan jumlah mata 313 manakala Hamilton pula di tempat kedua dengan 280 mata.

    petronas-championship-8

    Peristiwa bermakna ini turut diraikan pekerja Petronas di KLCC dan pagi tadi, satu sesi fotografi diadakan sebagai satu kenangan untuk syarikat. Turut hadir pada majlis tersebut adalah Timbalan Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif (Hiliran) Petronas, Md Ariff Mahmood.

    “Kami cukup bangga dengan kejayaan ini kerana penglibatan Petronas bukan setakat sebagai penaja tetapi juga rakan kongsi teknikal. Semua pelincir yang ada pada kereta F1 itu adalah produk Petronas,” tambah beliau.

    Mercedes AMG Petronas adalah pasukan kelima yang berjaya mendapatkan gelaran juara tiga kali berturut-turut ini selepas Ferrari, Williams dan Red Bull. Rekod tertinggi adalah empat kali berturut-turut yang dicatat oleh McLaren (1988-1991) dan Red Bull (2010-2013). Mungkinkah Mercedes dapat melakukannya musim hadapan?

     
     
  • Jerman usul cadangan larangan penjualan kenderaan dengan enjin bahan api konvensional menjelang 2030

    mercedes-benz-eg-bm-3

    Pemerintah di Jerman sudah meluluskan resolusi untuk melarang penjualan kenderaan yang menggunakan enjin petrol atau diesel konvensional (pembakaran dalaman) di Kesatuan Eropah (EU) menjelang 2030, lapor Der Spiegel. Selepas tempoh berkenaan, hanya kenderaan sifar pembebasan sisa pembakaran enjin (zero-emission vehicle; kenderaan elektrik atau fuel-cell hidrogen) dibenarkan untuk dijual dalam pasaran.

    Resolusi berkenaan diluluskan di Bundesrat, majlis persekutuan negara itu, tetapi masih tidak mempunyai kesan perundangan setakat ini. Bagaimanapun, mereka mahu Suruhanjaya Eropah untuk menguatkuasakan larangan berkenaan di seluruh EU, dan peraturan atau perundangan di Jermanlah yang secara tradisinya membentuk amalan di EU dan juga peraturan United Nations Economic Commission for Europe (UNECE).

    Majlis berkenaan juga mahukan Suruhanjaya Eropah untuk “menilai semula amalan semasa berkaitan cukai berkaitan pendekatan serta rangsangan terhadap pergerakan sifar sisa pembebasan dari kenderaan.” Ini mungkin bermaksud agar EU memberikan lebih banyak insentif bagi pembelian kenderaan terlibat, serta mengakhiri era kelebihan cukai bagi kenderaan diesel bagi negara-negara kesatuan itu.

    mercedes-benz-eg-bm-2

    Harga diesel yang rendah serta kemampuannya memberikan jarak perbatuan yang lebih tinggi menjadi sebab kenapa kebanyakan kenderaan di sana dikuasakan oleh bahan api itu. Namun, dengan perkembangan teknologi, serta cabaran dari segi kos untuk memastikan enjin diesel menepati piawaian semasa yang lebih ketat memberi satu keperluan baharu untuk memansuhkan tangga cukai sedia ada terhadap kenderaan diesel.

    Kebanyakan pengeluar kenderaan kini juga sedang memberikan penekanan yang lebih kepada pembangunan kenderaan sifar pembebasan sisa pembakaran enjin. Sebagai contoh, jenama-jenama seperti Mercedes-Benz, Volkswagen dan Renault ketika berlangsungnya pameran permotoran di Paris, memperkenalkan model-model konsep terbaharu dengan ciri pacuan elektrik.

     
     
  • Volkswagen Scirocco R Wolfsburg – 150 unit edisi terhad tanda ucap selamat tinggal pasaran Australia

    vw-scirocco-r-wolfsburg2

    Selepas mengambil keputusan untuk tidak menyambung jualan bagi Scirocco di pasaran Australia, sebelum mengucapkan selamat tinggal pada negara berkenaan, Volkswagen mengambil keputusan untuk memperkenalkan edisi terhad untuk model tersebut.

    Hanya dikeluarkan sebanyak 150 unit, Scirocco R Wolfsburg didatangkan dengan dua pilihan transmisi. Iaitu hanya 30 unit daripadanya dipadankan dengan kotak gear manual enam-kelajuan, selebihnya dilengkapi dengan transmisi DSG dengan dwi-klac enam-kelajuan yang lebih pantas.

    Malahan pelanggan juga boleh memilih sama ada warna Rising Blue Metallic atau Oryx White Pearl Effect, yang kedua-duanya turut ditampilkan dengan rim aloi hitam 19-inci, perumah cermin sisi dengan kekemasan yang lebih kurang sama. Dengan kos tambahan sebanyak $1,750 (RM5,500) pula, pelanggan juga boleh memilih bumbung berkaca panoramik.

    vw-scirocco-r-wolfsburg1

    Bagi rekaan dalam kabin pula, ia turut didatangkan dengan elemen istimewa termasuk tempat duduk boleh laras ketinggian, tanpa beg udara sisi. Malah plak istimewa turut dipasang di dalamnya bagi menandakan ia bukanlah Scirocco biasa.

    Scirocco R Wolfsburg dijual pada harga $49,490 (RM58,618) bagi manual dan $51,990 (RM163,481) untuk DSG. Model edisi terhad ini dipadankan dengan enjin yang sama iaitu 2.0 liter yang mampu menghamburkan kuasa 252 hp pada 6,000 rpm dan tork 330 Nm dari 2,400 rpm, sama seperti model biasa Scirocco R.

    Dengan hamburan kuasa tersebut, varian manual mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 6.2 saat, iaitu 0.2 saat lebih perlahan berbanding varian DSG.

    Dijadualkan bakal memulakan jualannya pada 14 November ini, VW Scirocco R Wolfsburg edisi istimewa ini hanya untuk pasaran Australia, dan bakal disusuli dengan lain-lain model prestasi dan edisi Wolfsburg baharu pada tahun hadapan.

    Sebelum ini, model Scirocco generasi ketiga telah berada di pasaran Australia sejak lebih lapan tahun, dan tiada model gantinya sehinggalah Volkswagen mengambil keputusan untuk menamatkan pasaran model ini di sana.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM3.35 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.55 (0.00)
Last Updated Jul 04, 2024