Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Yamaha Y15ZR 2016 – tampil dengan warna kelabu – ungu baharu, dijual dengan harga RM8,210

    Y15ZR_Brochure_F

    “Supercub” Yamaha – Y15ZR – kini menerima sedikit kemaskini untuk model 2016 iaitu hadir dengan warna kelabu dengan kemasan berwarna ungu baharu. Walaupun sekadar sebuah kapchai, Y15ZR menampilkan rupa bentuk yang disadur terus dari siri superbike Yamaha YZF.

    Ia dijana oleh enjin empat-lejang 150 cc empat injap, dengan sistem penyejukan cecair dan menerima suapan bahan api menerusi sistem EFI. Kuasa 15.1 hp pada takat 8,500 rpm dan tork maksima 13.8 Nm pada takat 7,000 rpm yang dihasilkan dihantar ke roda belakang menerusi kotak gear lima-kelajuan manual dan sistem rantai.

    Untuk memberhentikan kapchai ini, ia dilengkapi dengan sistem brek cakera serta angkup brek silinder tunggal pada bahagian hadapan dan belakang. Tangki bahan api yang diletakkan dibawah tempat duduk mempunyai kapasiti 4.2 liter, dan tempat duduk berkenaan sendiri agak mesra pengguna dengan tinggi 670 mm.

    Berat keseluruhan Yamaha Y15ZR ini ditimbang pada 115 kg, dan ia ditampung dengan sistem suspensi sepit udang teleskopik pada bahagian hadapan dan sistem monoshock pada bahagian belakang. Warna biru dan merah masih lagi boleh dipilih, manakala warna hitam pada katalog sebelum ini telah digugurkan dan digantikan dengan warna kelabu baharu yang disebutkan tadi.

    Yamaha Y15ZR dijual pada harga RM8,210 termasuk GST, tetapi tanpa insuran dan cukai jalan. Ia akan berhadapan saingan sengit dari Honda RS150R yang juga baharu dilancarkan dalam pasaran dan dijual dengan harga RM8,213.94 untuk varian standard, dan RM8,374.94 untuk varian Advanced – harga yang dinyatakan adalah termasuk GST, tanpa insuran dan cukai jalan.

     
     
  • Toyota Kuala Selangor kini berfungsi sebagai pusat 3S

    Toyota_KualaSelangor2

    UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) telah membuka satu lagi pusat 3S di Selangor. Dikendalikan oleh Target Orion Corporation Sdn Bhd, pusat 3S tersebut terletak di Pekan Assam Jawa, Kuala Selangor, yang sebelum ini hanya berfungsi sebagai bilik pameran Toyota sahaja.

    Dengan jumlah kos pelaburan hampir RM10 juta, bilik pameran yang sebelum ini beroperasi di Bangunan UMNO sejak 12 tahun lalu, juga di daerah tersebut, telah berpindah ke premis yang lebih besar pada tahun 2013. Malah kini, ia telah memperluaskan lagi fungsinya termasuk bagi perkhidmatan selepas jualan dan pusat servis.

    Majlis pelancarannya telah disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi UMWT, Akio Takeyama, Datuk Ismet Suka selaku Presiden UMWT dan Pengarah Target Orion Corporation Sdn Bhd, Dato’ Adam Khan Omar Khan serta Justin See Kok Wah.

    “Kami sangat menghargai usaha yang dilakukan oleh pengedar bertauliah di dalam mengembangkan lagi perniagaan mereka bagi menawarkan perkhidmatan jualan dan selepas jualan untuk para pelanggan Toyota. Ini termasuklah Target Orion Corporation, antara rakan bisnes lama UMWT, sanggup melaburkan sejumlah kos yang besar untuk mengembangkan lagi perkhidmatan mereka ini,” ujar Takeyama.

    Toyota Kuala Selangor terletak dalam bangunan dua tingkat yang berkeluasan 1.8 ekar, turut mempunyai bilik pameran yang mampu mempamerkan lima model Toyota serta pusa servis dengan 10 ruang penyelenggaran yang mampu menyelenggara 17 buah kenderaan sehari. Selain itu, ia turut menyediakan ruang lounge untuk para pelanggan di samping kaunter jualan alat ganti tulen Toyota.

    Sehingga kini, UMWT telah mempunyai hampir 100 cawangan Toyota bertauliah yang memberikan perkhidmatan jualan dan selepas jualan.

     
     
  • Proton dilaporkan berbincang dengan beberapa syarikat asing untuk menjual kepentingan ekuiti – MAI

    2016 Proton Perdana 1

    Menurut laporan Nikkei Asian Review, Proton sedang dalam perbincangan dengan beberapa syarikat asing yang dikatakan berminat bagi membeli kepentingan ekuiti di dalam empayar pengeluar kenderaan nasional tersebut, sebagai sebahagian daripada pelan pemulihannya. Sebelum ini, Mitsubishi Motors memiliki kepentingan di dalam Proton, namun mereka telah menjualnya pada Mac 2004, mengakhiri pelaburan selama 22 tahun dalam Proton.

    “Kami mahukan rakan kongsi yang memiliki kepentingan ekuiti di dalam Proton,” ujar Madani Sahari, CEO Institut Automotif Malaysia (MAI). Beliau menambah, beberapa pengeluar peralatan tulen (OEM) di peringkat global telah menghantar kertas cadangan masing-masing, dan kini Proton sedang menilai setiap satu daripadanya.

    Proton telah menerima pinjaman mudah bernilai RM1.5 bilion daripada kerajaan, namun ia perlulah menepati beberapa syarat yang telah ditetapkan, termasuk mengenalpasti rakan kongsi asing. Sebagai tambahan, pelan strategik juga telah dipertingkatkan bagi memperluaskan pasaran tempatan, selain menembusi pasaran antarabangsa.

    Bagi merealisasikan pelan pemulihan tersebut, jawatankuasa pemantau turut diwujudkan, ia diketuai oleh CEO Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) Datuk Idris Jala. Di mana jawatan kuasa ini akan bertanggungjawab untuk memantau implementasi Proton terhadap pelan pemulihan yang dirancang, dengan menjadikan syarikat tersebut lebih kompetitif.

    Pelancaran Perdana baharu, yang merupakan salah satu model yang menjadi sebahagian daripada pelan pemulihan Proton. Malah Proton juga akan melancarkan tiga lagi model baharu dalam tempoh tiga bulan akan datang iaitu bermula dengan Persona pada Ogos, Saga pada September dan Ertiga pada Oktober nanti.

     
     
  • DBKL tawar kadar khas kompaun trafik mulai 6 Ogos

    dbkl parking tow bernama pix

    Mulai 6 hingga 20 Ogos ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menawarkan kadar khas kompaun trafik sempena kempen ‘Membayar Tunggakan Hasil DBKL’ di 32 lokasi di seluruh ibu negara.

    Menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abd Aziz, dalam tempoh tersebut, pesalah trafik yang mempunyai tunggakan kompaun hanya perlu membayar RM20 bagi motosikal. Manakala RM30 untuk MPV, van, lori kecil, pikap dan SUV serta RM100 bagi kenderaan berat, laporan Bernama.

    Katanya lagi, “Sepanjang tahun lepas, 1.2 juta kompaun tertunggak bernilai RM1.4 juta melibatkan kesalahan trafik dicatatkan dan DBKL berharap agar melalui kadar khas ini warga kota boleh mengambil peluang melunaskan hutang masing-masing.”

    Beliau berkata kaunter berkenaan dibuka dari 9 pagi hingga 2 petang dan senarai lokasi boleh didapati di laman web DBKL www.dbkl.gov.my.

     
     
  • VIDEO: Perodua Bezza jalani ujian perlanggaran ASEAN NCAP; penarafan 5-bintang untuk AOP

    Pada 16 Julai lalu, MIROS telah mengumumkan hasil ujian Program Penilaian Kereta Baharu untuk Negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP) bagi suku ketiga 2016 yang melibatkan Perodua Bezza.

    Hari ini, menerusi Youtube rasmi ASEAN NCAP, MIROS telah menyiarkan video yang menunjukkan ujian perlanggaran yang dijalani terhadap Bezza serta keputusan penuhnya.

    Di mana Bezza bagi varian Advance yang dilengkapi dengan dua Amaran Pemakaian Tali Pinggang (SBR) hadapan dan Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) telah berjaya memperoleh 15.38 markah dalam kategori Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP), sekaligus ia diiktiraf dengan penarafan ASEAN NCAP lima-bintang. Walau bagaimanapun untuk varian lain yang lebih rendah dan tidak lengkapi dengan dua ciri tadi hanya menerima penarafan empat-bintang.

    Klik untuk besarkan imej

    Selain itu, dengan dilengkapi cagak ISOFIX tempat duduk kanak-kanak pada bahagian belakang secara standard pada untuk semua varian juga membolehkan Bezza menerima markah yang baik dalam kategori Perlindungan Penumpang Kanak-kanak (COP) iaitu 85% sekaligus menerima penarafan empat-bintang untuk kategori berkenaan.

    Menurut Ketua Setiausaha ASEAN NCAP Khairil Anwar Abu Kassim, “ASEAN NCAP telah mengeluarkan konsep ‘Keselamatan Mampu Milik’ pada 2014 lalu. Secara prinsipal, konsep berkenaan akan memastikan walaupun ia sebuah kereta yang paling murah, ia masih boleh mencapai keperluan asas dalam ASEAN NCAP.

    “Axia merupakan salah satu kereta yang menerima penarafan empat-bintang yang menepati konsep berkenaan. Saya percaya Bezza telah lebih kehadapan berbanding keperluan asas dengan dilengkapi VSC dan dua amaran pemakaian tali pinggang hadapan pada varian tertinggi, tetapi masih menawarkan harga mampu milik kepada pengguna.”

    Galeri: Perodua Bezza Standard G

    Galeri: Perodua Bezza Premium X

    Galeri: Perodua Bezza Advance

    Galeri: Perodua Bezza dengan aksesori GearUp

     
     
  • Proton akan mulakan khidmat pusat tuntutan jaminan tujuh hari seminggu, tingkatkan aspek lepas jualan

    CEO Proton Fuaad Kenali

    Sebagai langkah untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan lepas jualan bagi kenderaan keluarannya, Proton antaranya bakal memulakan khidmat pusat tuntutan jaminan tujuh hari seminggu tidak lama lagi. Ia akan melibatkan cawangan dan pusat servis dan jualan sedia ada yang mempunyai kepadatan pengguna yang tinggi terlebih dahulu. Sebelum ini, hanya pusat jualan Proton beroperasi tujuh hari seminggu.

    Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Ahmad Fuaad Kenali menyatakan perkara itu ketika mengulas berkaitan rancangan beliau sebagai pengemudi baharu syarikat pengeluar kenderaan nasional berkenaan. Beliau menggariskan tiga tunjang utama perubahan drastik bagi aspek khidmat lepas jualan Proton, yang memerlukan pemerhatian dan tindakan segera untuk meraih semula keyakinan pelanggan.

    Dua lagi perkara utama yang kini sedang diteliti dan diambil tindakan segera oleh pihak pengurusan Proton ialah dengan menstrukturkan semula terhadap pemerhatian dan kendalian perkhidmatan diperingkat bahagian dan daerah. Kedua, ia turut melibatkan latihan perubahan minda serta pertambahan juruteknik di pusat servisnya. Pengumuman lanjut berkaitan perkara ini akan dilakukan dalam jangka masa terdekat.

    Beliau juga turut mengesahkan bahawa Proton akan melancarkan tiga model baharu dalam tempoh tiga bulan akan datang; bermula dengan Persona pada Ogos, Saga pada September dan Ertiga pada Oktober nanti.

     
     
  • Renault Koleos 2016 diperkenalkan di M’sia Sept ini

    Renault-Koleos-France-1

    Renault Koleos baharu bakal diperkenalkan untuk pasaran Malaysia pada September ini dan tempahannya dijangka dibuka pada bulan hadapan. Walau bagaimana pun, harganya masih belum dipastikan, namun apa yang dimaklumkan kepada kami, SUV dari segmen-D ini akan didatangkan dengan varian 4×2 (turut terdapat konfigurasi pacuan empat-roda).

    Koleos generasi kedua ini, yang pernah dipamerkan di Beijing pada April lalu, menyaksikan perubahan yang besar. Ia menggunakan Renault-Nissan Alliance’s Common Module Platform (CMF-CD) sama seperti Espace, Talisman, Kadjar, Scenic serta Nissan X-Trail dan Qashqai.

    Renault-Koleos-France-2

    Bagi model serba baharu ini, pilihan penjana kuasa yang ditawarkan ialah dua enjin petrol dan dua enjin diesel, dengan hamburan kuasa dari 130 hp hingga 175 hp. Manakala pilihan transmisi ialah kotak gear manual enam-kelajuan atau automatik X-Tronic CVT.

    Koleos bagi spesisifikasi Malaysia ialah varian 2.5 liter, iaitu QR25DE-k2 sama seperti T32 X-Trail. Ia mampu menjanakan kuasa sehingga 171 PS dan tork 233 Nm. Dan pastinya bagi transmisinya, unit CVT bakal ditawarkan untuk pasaran tempatan.

    Malaysia juga bakal menjadi pasaran pertama yang menjual Koleos baharu, yang dipasang di Busan, Korea Selatan. Manakala Australia pula menjadi pasaran pertama di dunia, apabila SUV tersebut bakal dilancarkan pada 1 Ogos ini, dengan pilihan unit petrol 2.5 liter.

     
     
  • RENCANA: Sedan atau Hatchback, yang mana lebih sesuai untuk kegunaan dan gaya hidup anda?

    Selain dari harga, bentuk badan kereta – sama ada sedan atau hatchback – sering menjadi salah satu faktor penting dalam mempengaruhi keputusan seseorang itu memilih kereta yang ingin dibelinya. Secara logik, sedan adalah pilihan yang paling praktikal untuk kegunaan harian. Namun mengikut fakta angka, Perodua Myvi telah dinobatkan sebagai kereta paling laris di Malaysia selama 10 tahun berturut-turut, dan kemudian gelaran berkenaan dirampas oleh adiknya Perodua Axia, di mana kedua-dua model berkenaan adalah model hatchback.

    Walaupun berada dalam tahap sangat selesa dengan dua model hatchback yang sangat berjaya berkenaan, Perodua melancarkan sedan pertamanya – Perodua Bezza baru-baru ini. Begitu juga dengan Proton, kini dilihat sedang giat menguji Proton Persona generasi baharu yang diasaskan dari hatchback Iriz dan dijangka akan dilancarkan Ogos ini. Ini jelas menunjukkan kepentingan dan permintaan sedan kompak dalam pasaran bukanlah perkara yang boleh dipandang ringan.

    Kali ini, kami akan mengupas dan memberikan idea kepada anda dengan fakta-fakta kelebihan dan kekurangan pada sebuah sedan dan hatchback, yang mungkin akan membantu anda untuk membuat keputusan berkenaan kereta baharu pilihan anda kelak.

    RUANG BUT/AKOMODASI

    Jelas, sedan mempunyai kelebihan pada ruang but. Tetapi untuk kereta hatchback moden, bahagian but berkenaan boleh dimanipulasi menerusi ciri tempat duduk belakang yang boleh dilipat, seterusnya memberikan ruang but yang kadang kala lebih praktikal dari sedan dan hampir menyerupai kebolehan sebuah SUV kerana fleksibilitinya.

    Contohnya, ‘adik-beradik’ Perodua Bezza dan Perodua Axia. Secara ringkasnya, Bezza dibina berdasarkan platform yang sama dengan Axia, cuma ditambah bahagian but untuk menjadikan ia sebuah sedan. Bezza mempunyai ruang but 508 liter berbanding Axia yang hanya berkapasiti 260 liter. Dengan ruang but berkenaan, sebuah keluarga yang terdiri dari empat orang dewasa dapat menikmati perjalanan yang selesa serta masih boleh membawa barang dan beg yang banyak ke destinasi percutian.

    Namun, dengan bentuk bahagian belakang Axia yang lebih tinggi dan pintu tailgate yang luas, Axia mampu memuatkan barang yang lebih besar dan tinggi di bahagian belakang – mampu memuatkan rak buku mahupun mesin basuh berkapasiti kecil setelah tempat duduk belakang dilipat – ini tidak dapat dilakukan pada Bezza. Malah untuk hatchback yang lebih besar seperti Honda Jazz, ia turut boleh memuatkan basikal dan tangga lipat.

    Satu lagi faktor yang membezakan sedan dan hatchback adalah pembahagian ruang kargo dengan ruang penumpang. Ruang kargo hatchback adalah sebahagian dari ruang penumpang utama, dan dipisahkan hanya dengan tempat duduk belakang dan juga penutup para bahagian belakang. Ini bermaksud, jika penutup para tidak ditutup, barang di dalam ruang but boleh dilihat menerusi tingkap dan cermin kereta. Juga, jika anda membawa barangan dengan bau yang kurang menyenangkan, ia akan terus masuk ke bahagian penumpang.

    REKABENTUK

    Sedan mempunyai rupa bentuk yang lebih tradisional dan sering dikaitkan bagi mereka yang berkeluarga, manakala hatchback menampilkan rekaan yang lebih sesuai untuk orang bujang dan muda – hanya mengambil kira faktor gaya hidup melebihi praktikaliti.

    Namun pada penghujung era 00’an di mana pereka bentuk mengambil serius hal praktikaliti dan kapasiti ruang but, ada pengeluar yang mengambil faktor ini sebagai elemen utama rekaan, sehinggakan menghasilkan sebuah sedan berasaskan model hatchback yang kelihatan pelik dan janggal, contohnya Ford Fiesta sedan, Honda City GD dan Mazda 2 sedan generasi sebelum ini.

    Namun, menerusi sedan-sedan kompak terbaharu, pengeluar-pengeluar nampaknya sudah menjumpai formula terbaik dalam rekaan yang bukan sahaja menampilkan ruang but yang besar, tetapi masih mengekalkan rupa paras menarik seperti Honda City GM2/GM5 dan juga Mazda 2 generasi terkini.

    PEMANDUAN

    Hatchback yang dibina lebih pendek tanpa but belakang adalah lebih mudah dipandu di dalam kawasan bandar. Ia lebih mudah untuk membelok pada ruang yang sempit serta ia juga lebih mudah untuk diparkir diruang yang sempit serta mudah diagak kerana hujung belakang kereta adalah hampir dengan cermin belakang.

    Untuk pengendalian, tiada perbezaan besar untuk model biasa contohnya antara City dan Jazz, Polo Hatchback dan Polo sedan (kini dikenali sebagai Vento) serta Mazda 2 hatchback dan sedan. Tetapi dengan bentuk badan hatchback yang lebih kompak yang menjadikan keseluruhan badannya lebih tegar, lebih ringan serta rupa paras yang lebih sporty menyebabkan pengeluar lebih cenderung untuk memberikan talaan pengendalian yang lebih sporty untuk platform hatchback. Contohnya untuk Ford Focus terbaharu, Ford memberikan talaan pengdalian yang lebih keras pada model hatchback untuk pengendalian kelajuan tinggi yang lebih stabil, manakala untuk model sedan, ia diberikan talaan suspensi lebih lembut untuk memberikan keselesaan kepada penumpang.

    Pengeluar juga cenderung untuk memilih platform hatchback sebagai model berprestasi tinggi sebenar contohnya seperti model Peugeot 208 GTI, VW Polo GTI begitu juga hatchback lagenda Proton – Satria GTI.

    Jadi, adakah sedan atau hatchback yang lebih sesuai untuk kegunaan gaya hidup anda? Kongsikan pendapat anda pada ruang komen di bawah.

     
     
  • Perodua kekalkan sasaran jualan 216k unit untuk 2016, 97,400 unit terjual bagi enam bulan pertama tahun ini

    Perodua 1H2016 26

    Perodua berjaya menjual sebanyak 97,400 unit kenderaan untuk enam bulan pertama tahun 2016, seperti yang diumumkan oleh syarikat itu hari ini. Rekod berkenaan turut membuatkan Perodua membuat keputusan untuk mengekalkan sasaran jualan bagi tahun ini iaitu sebanyak 216,000 unit.

    Bagi tujuan untuk mencapai angka itu, sebanyak 118,600 unit jualan dianggarkan bagi separuh kedua 2016, walau pun jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi tahun ini telah dikurangkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) baru-baru ini iaitu dari 650,000 menjadi 580,000.

    Perodua Bezza dilihat mampu membantu syarikat pengeluar kenderaan nasional kedua ini untuk mencapai sasaran jualan, memandangkan sehingga pagi ini, sebanyak 10,115 unit telah ditempah, dan 500 unit perhantaran pertama telah dilaksanakan sejak ia dilancarkan pada 21 Julai lalu. Bagi model lain pula, Perodua telah menjual 28,100 unit bagi Myvi, 51,100 unit untuk Axia dan 18,150 unit bagi Alza pada separuh pertama 2016 ini.

    Selain itu, jabatan selepas jualan pula mencatatkan rekod sebanyak satu juta kenderaan yang berkunjung ke pusat servis di seluruh negara, menunjukkan peningkatan sebanyak 5% dari 965,000 kenderaan dalam tempoh yang sama tahun lalu.

    Bagi pengambilan pendapatan pula, sebanyak RM330 juta telah dicatatkan bagi separuh pertama 2016, iaitu meningkat 13% berbanding RM292 juta pada tempoh yang sama tahun lalu. Begitu juga dengan jualan alat ganti (termasuk aksesori) yang meningkat sehingga 5% menjadi RM126 juta berbanding RM120 juta (2015).

    Walau bagaimana pun, Perodua turut menyaksikan 14% pengurangan bagi pengeluaran iaitu daripada 116,400 unit pada tahun 2015 menjadi 100,300 unit untuk 2016 dalam tempoh yang sama. “Memandangkan sasaran jualan untuk separuh kedua tahun ini dijangka meningkat, kami mengekalkan ramalan produksi iaitu 216,000 kenderaan untuk tahun ini, dan telah pun bersedia dengan rancangan produksi yang dijanjka, termasuk bagi Perodua Bezza,” ujar Presiden dan CEO Perodua, Datuk Dr Aminar Rashid Salleh.

     
     
  • LTA Singapura akan mengenakan kompaun kepada mereka yang mengelak tol dan fi bermula Ogos ini

    johor-causeway-jam-bernama-pix-630x388

    Mulai 1 Ogos ini, pemilik kenderaan dari Malaysia yang mengelakkan tol atau fi di Pusat Pemeriksaan Tuas dan Woodlands akan dikenakan kompaun sebanyak S$50 (RM149.50) dan S$100 (RM299) untuk mereka yang melakukan kesalahan berulang, lapor Bernama.

    Oleh itu, pemilik kenderaan Malaysia yang merancang memasuki atau meninggalkan Singapura dinasihatkan supaya mempastikan kad Autopas mereka – kad simpan nilai dikeluarkan untuk kenderaan berdaftar asing – diisi semula sepenuhnya.

    “Ini naik dari fi pentadbiran S$10 yang dibayar hari ini,” kata Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura di laman webnya.

    LTA mengambil perhatian pemilik kenderaan yang tidak membayar jumlah kompaun dan yang kemudian dicaj kerana mengelak tol dan fi boleh dijatuhkan hukuman bila sabit kesalahan, denda tidak melebihi S$1000, atau penjara bagi tempoh tidak lebih tiga bulan bagi kesalahan pertama.

    Langkah ini merupakan sebahagian usaha LTA yang dipertingkatkan dalam beberapa bulan lepas di kedua-dua pusat pemeriksaan itu bagi mengesan perbuatan mengelak bayaran fi untuk Permit Masuk Kenderaan dan fi Bayaran Jalan Elektronik (ERP) dan caj tol.

    LTA menganggarkan kehilangan hasil kira-kira lapan peratus dari jumlah hasil tol dan fi dalam tiga bulan dari Mac hingga Mei tahun ini.

    Menurut LTA lagi, jumlah pegawai yang ditempatkan untuk tugas penguatkuasaan di kedua-kedua pusat pemeriksaan itu telah ditambah sebanyak 20 peratus hingga hampir 100 orang, dan akan ditambah seterusnya bila perlu. Selain itu, LTA turut meletakkan lebih banyak papan tanda menuju ke pusat pemeriksaan dan sekitarnya.

    Dua pendekatan lain turut dikaji LTA. Pertama, kemungkinan Akta Trafik Jalan Raya akan dipinda bagi melarang kenderaan asing masuk dan keluar tanpa membayar tol, fi, cukai dan denda atau bayaran komposisi. Manakala untuk pendekatan kedua, kawalan akan dikukuhkan ke atas kutipan fi dan tol bagi kenderaan yang memasuki/meninggalkan Singapura.

    LTA juga berkata satu pilihan yang sedang dikaji dengan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemerikasan (ICA) Singapura ialah kemungkinan memasang palang sekatan ICA yang hanya terangkat bila semua tol dan fi telah dibayar.

    Butir-butir seterusnya akan diumumkan bila tiba masanya, kata lembaga itu.

     
     
  • Perodua Bezza catat rekod 10,115 unit tempahan setakat 26 Julai, lebih kurang 1,000 unit sehari

    Perodua Bezza Launch Stage

    Sejak dilancarkan pada 21 Julai lalu, Perodua Bezza telah mencatatkan tempahan sebanyak 10,115 unit, setakat pagi ini, 26 Julai 2016. Iaitu lebih kurang 1,000 unit tempahan sehari bagi Bezza ini.

    Malah setakat ini, sebanyak 500 unit Bezza telah diserahkan kepada pembelinya pada hari pertama pelancarannya.

    Menurut Presiden & CEO Datuk Dr Aminar Rashid Salleh, “Perodua Bezza telah mula diproduksi sejak Jun lalu dan kini sudah mempunyai stok sebanyak 7,000 unit (sehingga 21 Julai). Jadi menjelang 31 Julai ini, kami menjangkakan sebanyak 9,000 unit Bezza sudah bersedia untuk dihantar ke seluruh negara.”

    Bezza ditawarkan dalam tiga varian utama iaitu 1.0L Standard G, 1.3L Premium X dan 1.3L Advance. ditawarkan dengan dua pilihan enjin baharu iaitu 1.0L VVT-i (dengan ciri VVT-i, dan tambahan 1 hp dan 1 Nm berbanding enjin Axia) dan 1.3L Dual VVT-i, yang lebih maju berbanding enjin 1.3L yang ada pada Myvi.

    Kami juga telah membuat liputan menyeluruh terhadap model sedan pertama yang dibangunkan Perodua ini. Malah kami juga telah memandu ujinya beberapa minggu sebelum ia dilancarkan.

    Juga, jangan lupa untuk menonton video ringkas berkaitan lapan perkara menarik tentang Perodua Bezza.

     
     
  • 100,000 kenderaan elektrik disasar akan digunakan di atas jalan raya menjelang tahun 2020 – Mustapa

    Mustapa

    Kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan dan Industri mensasarkan 100,000 unit kenderaan elektrik akan digunakan di atas jalan raya menjelang tahun 2020, lapor The Sun Daily.

    Menterinya Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, setakat ini hanya 891 kenderaan elektrik didaftarkan di bawah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dan kerajaan akan terus menggalakkan penggunaan kenderaaan cekap tenaga kerana kelebihan-kelebihan yang ada padanya.

    “Salah satu sebab utama mengapa kami menggalakkan penggunaannya adalah kerana ia akan mengurangkan pencemaran karbon dalam negara, seterusnya memberikan persekitan yang lebih baik untuk semua.

    “Keduanya, menggunakan kenderaan elektrik akan mengurangkan kos penyelenggaraan, dengan penjimatan sekitar RM5,000 setiap tahun berbanding kenderaan konvensional,” kata beliau semasa melancarkan motosikal elektrik Treeletrik yang diedarkan oleh Tree Movement (M) Sdn Bhd di Hotel Royale Chulan Hotel semalam.

    Beliau juga menggalakan lebih banyak syarikat tempatan untuk mengeluarkan kenderaan elektronik selari dengan matlamat kerajaan untuk menggalakkan penggunaan teknologi hijau untuk mengurangkan pencemaran karbon.

    Tambah Mustapa lagi kerajaan turut menjangkakan 5,000 motosikal elektrik akan digunakan dijalan raya akhir tahun ini, berbanding hanya 100 unit setakat ini, selepas pelancarannya tempoh hari.

    Dalam masa yang sama, Tree Movement menjangkakan 11,000 unit motosikal-eko Treeletrik akan dijual dalam tempoh 12 bulan pertama dalam pasaran motosikal yang sememangnya sangat sengit. Dua daripada 12 model mereka, T-90 dan T-Cargo (model motosikal penghantaran) dijangka akan dilancarkan akhir September ini.

    Menurut Ketua Pegawai Eksekutif syarikat berkenaan Micheal Yap, selain dari kos penyelenggaraan dan bebas pencemaran karbon, motosikal berkenaan turut boleh dicas semula menerusi mana-mana soket plug. Beliau menambah rakyat Malaysia turut menyukai rekaan motosikal berkenaan yang ditawarkan dengan pelbagai rekabentuk seperti skuter, superbike dan Vespa tradisional.

     
     
  • MEX buka laluan kontra mulai esok hingga 25 Ogos ini

    MEX-Highway-01

    Maju Expressway Sdn Bhd, pengendali Lebuhraya MEX, telah mengeluarkan kenyataan media, bakal melaksanakan percubaan laluan kontra mulai esok hingga 25 Ogos ini. Ia adalah bagi usaha mengurangkan kesesakan lalu lintas ekoran daripada peningkatan aliran trafik di lebuhraya tersebut, sekaligus memberikan manfaat kepada pengguna khususnya semasa waktu puncak.

    Laluan kontra akan bermula dari KM11.5 hingga KM7.9 (arah ke Kuala Lumpur) dan dijangka dapat mewujudkan aliran trafik yang lebih lancar untuk semua pengguna Lebuhraya MEX, laporan Bernama.

    Ia akan dibuka pada Isnin hingga Jumaat sahaja bermula pukul 7 pagi sehingga 9 pagi untuk kenderaan ringan sahaja bagi yang datang dari arah Putrajaya menuju ke Jalan Tun Razak.

     
     
  • Lagi 19 pemandu kenderaan yang guna lorong kecemasan dalam insiden di Melaka Mei lalu disaman

    AppleMark

    Lagi 19 pemandu kenderaan, termasuk wanita, telah disaman oleh Mahkamah Melaka semalam ekoran memandu di lorong kecemasan dalam satu insiden di KM228 (menghala ke selatan) Lebuhraya Utara Selatan pada 22 Mei lalu sehingga mengakibatkan ambulans tersekat dalam kesesakan trafik dan tiba lewat di lokasi bagi menyelamatkan mangsa kemalangan terbabit.

    Majistret Nor Azizah Yusof memerintahkan saman trafik terhadap 19 tertuduh di antara RM1,500 hingga RM2,000 setiap seorang, sekiranya gagal membayar saman tersebut, hukuman penjara antara satu dan dua bulan bakal dijatuhkan, laporan The News Strait Times.

    Mereka dituduh mengikut Kaedah 53(1) Kaedah Lalulintas Jalan Raya 1959 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 119 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Dalam rayuan bagi meringankan hukuman, pemandu berkenaan berkata mereka menggunakan lorong kecemasan kerana ingin cepat menuju ke destinasi, menziarahi anggota keluarga sakit tenat, kereta rosak dan mengalami masalah kesihatan.

    Majistret berkata tertuduh tidak sepatutnya memikirkan tentang kepentingan diri sendiri semata-mata dan perlu memikirkan kepentingan semua orang awam terutamanya mangsa yang terlibat dalam kemalangan.

    “Jika semua tidak guna lorong kecemasan, ambulans akan cepat sampai dan bantuan juga sampai cepat. Kesesakan lalu lintas pun dapat dileraikan segera sekiranya kemalangan itu dapat diberikan bantuan segera,” katanya.

    Pada 18 Julai lalu, seramai 20 pemandu kenderaan yang melakukan kesalahan tersebut turut dijatuhkan hukuman saman yang sama, dengan keseluruhan berjumlah RM28,000.

     
     
  • Proton umum bakal lancar Persona 2016 pada Ogos, Saga pada September dan Ertiga pada Oktober

    Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Ahmad Fuaad Kenali di dalam satu sidang media mengumumkan bahawa bermula Ogos nanti, pelancaran model baharu syarikat berkenaan akan diteruskan momentumnya.

    Selepas melancarkan Proton Perdana 2016 Jun lalu, Proton Persona 2016 bakal menjadi model baharu seterusnya yang akan diperkenalkan Ogos nanti. Jika semuanya mengikut perancangan, dua lagi model akan mengikut jejak yang sama; iaitu model Saga baharu yang dijangka akan diperkenalkan pada September dan diikuti model MPV yang berdasarkan model Suzuki Ertiga pada Oktober nanti.

    Persona 2016 dibangunkan menggunakan platform Iriz, manakala model Saga kelihatannya bakal menerima wajah baharu yang menyeluruh, termasuk di bahagian luaran dan dalamannya. Kedua-duanya turut menerima peningkatan dari aspek kejuruteraan dan mekanikal yang lebih signifikan.

    Bagi Ertiga pula, ia akan ditawarkan sebagai model dari segmen-B bagi MPV, dan tidak akan bertembung dengan segmen yang diwakili model Exora sedia ada.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 02, 2024