Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Honda Civic Type R pasaran Australia terima pilihan rim forged berharga RM42k seiras Integra-R DC2

    Honda Civic Type R pasaran Australia terima pilihan rim <em>forged</em> berharga RM42k seiras Integra-R DC2

    Generated by pixel @ 2018-09-27T03:32:11.981280

    Honda Australia telah melancarkan barisan aksesori asli baharu untuk Honda Civic Type R FK8, yang menawarkan komponen-komponen lebih ringan dan meningkatkan lagi rupa agresif hot-hatch dengan enjin 2.0 liter VTEC Turbo berkuasa 310 PS/400Nm berkenaan.

    Kita mulakan dengan rim, di mana satu set roda aloi jenis forged bersaiz 20-inci ditawarkan untuk Civic R ini. Diameter rim tersebut sememangnya sama dengan saiz standard, namun menerusi proses penghasilan, ia berjaya diringankan 2.1 kg untuk setiap unit, menjadikan berat keseluruhan yang berjaya dikurangkan adalah 8.4 kg untuk satu set lengkap.

    Satu lagi yang menarik berkenaan rim ini adalah rekaannya – diinspirasikan dari rim model lagenda Type R terdahulu seperti Integra Type-R DC2. Ia juga tidak dijual murah, di mana harga yang ditawarkan adalah AUD13,999 (RM41,913).

    Selain itu, pemilik Civic Type R di Australia turut boleh memilih pakej penggayaan komponen gentian karbon. Ia terdiri dari ‘bilah sayap’ pada spoiler belakang berharga AUD2,899 (RM8,680), kemasan diffuser belakang berharga AUD1,999 (RM5,985), manakala penutup cermin sisi pula berharga AUD1,299 (RM3,889) – kesemuanya diperbuat dari gentian karbon asli.

    Kemasan-kemasan gentian karbon turut ditawarkan untuk bahagian kabin. Ia termasuk kemasan di bahagian bendul pintu berharga AUD1,599 (RM4,787), dan juga pakej yang terdiri dari kemasan untuk bahagian kiri papan pemuka dan juga disekeliling tuil penukar gear berharga AUD1,699 (RM5,087) – juga kesemuanya adalah gentian karbon asli.

    Jika anda memilih kesemua aksesori yang ditawarkan ini, secara matematiknya ia berjumlah AUD23,494 (RM70,387) atau hampir separuh harga sebuah Civic Type R FK8 itu sendiri di Australia. Sekiranya pelanggan membeli kereta ini dan terus dipadankan dengan barisan aksesori ini, harga yang perlu dibayar adalah AUD74,484 (RM223,151).

    Selain dari aksesori serius ini, Honda Australia turut menawarkan aksesori lain untuk Civic Type R seperti karpet kaki, visor pintu, tray untuk bahagian kargo, lampu suasana, pencahayaan pada panel dalaman pintu – dijual pada harga antara AUD179 (RM536) hingga AUD699 (RM2,094). Nat pengunci rim dari McGard turut ditawarkan dengan harga AUD179 (RM536) yang berupaya melindungi rim RM42k berkenaan dari dicuri.

     
     
  • SST: Hyundai umum harga – Ioniq turun, Elantra kekal

    SST:  Hyundai umum harga – Ioniq turun, Elantra kekal

    Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) telah mengumumkan senarai harga baharu bagi model semasa Hyundai yang dijual di negara ini, berikutan pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sejak 1 September lalu.

    Berdasarkan senarai terbabit, terdapat penurunan harga bagi dua model, dan tiga model lagi tiada perubahan berbanding sewaktu cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan sebelum ini.

    SST:  Hyundai umum harga – Ioniq turun, Elantra kekal

    Klik untuk besarkan

    Model yang terlibat dengan penurunan harga ialah Ioniq Hybrid yang kini RM500 lebih murah dan Ioniq Hybrid Plus pula mengalami penurunan harga sebanya RM600, dan tiga varian Elantra iaitu 2.0 Executive, 2.0 Dynamic dan Sport pula kekal seperti zaman GST.

    Manakala model yang tidak disenaraikan dalam harga SST itu ialah empat model Tucson dan Starex. Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, Sonata dan Santa Fe telah dihentikan dalam barisan model baharu. Bagi Veloster pula, ia telah lama ditiadakan dalam pasaran dan hingga kini tidak khabar untuk model penggantinya, yang telah diperkenalkan di pasaran lain. Syarikat ini berkata senarai harganya akan dikemaskini apabila ada model terbaharu dilancarkan.

     
     
  • Mazda MX-5 generasi NA pertama siap direstorasi oleh Mazda – kunci kini diserah semula kepada pemilik

    Mazda MX-5 generasi NA pertama siap direstorasi oleh Mazda – kunci kini diserah semula kepada pemilik

    Ogos tahun lalu, Mazda telah mengumumkan program restorasi kilangnya terhadap model roadster Miata MX-5 (dikenali juga sebagai Eunos roadster dengan kod casis NA). Program tersebut mendapat sambutan hangat apabila menerima lebih dari 600 permohonan pada penghujung 2017 dari pemilik-pemilik model berkenaan yang kini ada yang telah mencecah 28 tahun.

    12 September lalu, secara rasminya kereta pertama dalam program tersebut telah siap direstorasi sepenuhnya. Kereta tersebut adalah milik seorang pesara peladang tomato, Keiji Nishimoto dari Hiroshima. Satu majlis penyerahan kunci telah dibuat bagi meraikan kejayaan pertama berkenaan, dalam masa yang sama meraikan pemilik bertuah tersebut.

    MX-5 generasi pertama milik Nishimoto berkenaan adalah model edisi terhad yang diproduksi pada tahun 1997, menampilkan pelbagai ciri standard istimewa seperti roda stereng dan tombol penukar gear dari Nardi. Menurut Nishimoto, dia ternampak pengumuman dari Mazda tahun lalu dalam suratkhabar dan kemudian terus membuat permohonan. Kerja-kerja restorasi kereta ini walau bagaimanapun hanya bermula pada Jun 2018 dan siap lebih kurang tiga bulan selepas itu.

    Nishimoto sebenarnya agak terkejut kerana dipilih sebagai orang pertama yang diterima dalam program ini. Dan dalam majlis penyerahan kunci tersebut, dia turut di bawa untuk melihat fasiliti yang digunakan untuk kerja-kerja restorasi berkenaan.

    Menurutnya lagi, kereta ini dibeli 26 tahun lalu, dan telah membawa dia dan isteri, Norimi, ke serata Jepun. “Saya telah membuat memori terbaik yang pernah saya ada,” jelas Nishimoto.

    Apabila ditanya apa yang akan dibuat terhadap MX-5 berkenaan setelah menerima proses restorasi lengkap ini, Nishimoto menjawab “saya bercadang untuk memandunya bagi tempoh 25 tahun lagi.”

     
     
  • EFKON kendali jualan dan perkhidmatan SmartTAG – turut tawarkan jenama lain untuk peranti yang sama

    EFKON kendali jualan dan perkhidmatan SmartTAG – turut tawarkan jenama lain untuk peranti yang sama

    Baru-baru ini, Touch ‘n Go Sdn Bhd telah mengumumkan pemberhentian penjualan peranti SmartTAG menerusi rangkaiannya serta-merta bagi memberikan laluan kepada Radio Frequency Identification (RFID) yang kini dalam peringkat percubaan terakhir.

    Walau bagaimana pun, terdapat sebuah lagi syarikat swasta yang akan bertanggungjawab dalam penyediaan perkhidmatan seumpama itu iaitu EFKON Asia Sdn Bhd. Syarikat penyedia teknologi Sistem Kutipan Tol Infra-merah di lebuhraya Malaysia dari Austria, telah memberi jaminan kepada lebih empat juta pengguna di negara ini. Malahan turut memaklukan ia akan terus menyediakan sokongan jualan dan perkhidmatan bagi sistem SmartTAG.

    Menjelang Oktober ini juga, EFKON Asia merancang untuk mengadakan rangkaian jualan dan perkhidmatan di seluruh negara untuk memastikan ketersediaan serta kemudahan yang lebih meluas bagi pengguna lebuhraya yang berhasrat membeli atau mendapatkan servis bagi peranti TAG Infra-merah.

    EFKON kendali jualan dan perkhidmatan SmartTAG – turut tawarkan jenama lain untuk peranti yang sama

    Produk EFKON telah disepadukan sebagai peranti terbina dalam beberapa model baru kereta yang diperkenalkan oleh pengeluar automotif utama di negara ini. Kadar pengeluaran kini mencecah beberapa ratus ribu unit setahun. TAG tersebut yang dihasilkan di Malaysia, turut dieksport ke Vietnam dan Indonesia yang mempunyai komuniti pengguna yang pesat berkembang.

    Menurut pengarah EFKON Asia, Helmuth Blasch, sistem Kutipan Tol Infra-merah mereka juga sedia digunakan dan sesuai untuk lalu lintas aliran bebas berbilang lorong. “Di Jerman, Sistem Infra-merah yang sama telah terbukti berkesan dan boleh diharap dalam persekitaran lalu lintas aliran bebas berbilang lorong bagi kelajuan lebih daripada 120 km/j.”

    Sambungnya, “Kami juga telah berjaya mengulangi ujian ini di Malaysia. Berbeza dengan penyelesaian mudah yang lain, system DSRC (Dedicated Short-Range Communication) Infra-merah juga menawarkan tahap keselamatan yang tinggi serta perlindungan dari penyalahgunaan menerusi pengklonan TAG,” ujarnya.

    Peranti TAG Infra-merah boleh diperoleh dalam pelbagai jenama dan sesuai dengan sistem tol di Malaysia pada masa ini. Salah satu jenama, MaxTAG oleh Sigma Technology Sdn Bhd, sudah pun berada di pasaran melalui platform e-dagang Lazada.

     
     
  • Honda Monkey tiba di pasaran Malaysia – harga RM14k

    Honda Monkey tiba di pasaran Malaysia – harga RM14k

    Awal tahun ini, Honda telah mendedahkan kepada dunia model Monkey generasi baru, yang menggunakan asas daripada model MSX125. Enjin juga sama seperti MSX125 iaitu unit satu silinder penyejukan udara 125 cc suntikan bahan api PGM-Fi yang mampu menghasilkan 9.6 hp dan 11 Nm tork dengan padanan kotak gear empat kelajuan, tetapi badannya mengekalkan penampilan unik Monkey yang sudah dikenali.

    Sekarang, Monkey generasi baru ini sudah tiba di Malaysia, dan dilancarkan dengan harga jualan RM13,999 tidak termasuk insurans. Warna yang ditawarkan pula ada tiga iaitu kuning, biru dan merah, dan ia datang dengan jaminan dua tahun atau 20,000 km.

    Walaupun masih lagi menggunakan elemen rekaan yang sama seperti Monkey 50 cc asal seperti saiz yang kecil, lampu bulat di hadapan, ekzos naik ke atas dan pemegang yang tinggi, Monkey baru ini diterapkan dengan barangan moden seperti semua lampu LED, rim aloi 12 inci, meter digital LCD, fork USD di hadapan dan brek cakera depan dan belakang.

    Selain daripada itu, ia juga mempunyai tangki bahan api 5.6 liter, sistem penggera dengan fungsi panggil balik, dua penyerap hentak di belakang dengan jarak pergerakan 4 inci, tinggi tempat duduk 776 mm serta butang pemula enjin elektronik.

     
     
  • MBSA tawar diskaun kompaun parkir sepanjang Okt ini

    MBSA tawar diskaun kompaun parkir sepanjang Okt ini

    Majlid Bandaraya Shah Alam (MBSA) menawarkan pengurangan sehingga RM30 daripada jumlah asal bagi kompaun tempat letak kereta (Perintah Pengangkutan Jalan MBSA) sepanjang bulan Oktober ini.

    Kompaun terbabit boleh dibayar di semua kaunter pembayaran MBSA, malahan PBT ini turut menyediakan perkhidmatan Pejabat Bergerak Shah Alam ‘On Wheel’ (SAOW) yang akan beroperasi pada setiap Sabtu di pasar raya terpilih di kawasan pentadbiran MBSA. Orang ramai juga boleh membuat pembayaran kompaun di Kaunter Utama, Wisma MBSA, Persiaran Perbandaran, Seksyen 14, Shah Alam, Pejabat Cawangan Sungai Buloh, Pejabat Cawangan Kota Kemuning, dan Pejabat Cawangan Setia Alam.

    Selain itu, bayaran bagi kesalahan tempat letak kereta boleh dijelaskan melalui Maybank2U, kaunter Bank Muamalat, kaunter Bank Rakyat dan melalui JomPAY, di mana orang yang dikompaun hanya perlu memasukkan biller code 6726, nombor kompaun pada ‘ref1’ serta nombor telefon pada ‘ref2’, seterusnya jumlah bayaran.

    Justeru, MBSA menasihati orang ramai yang mempunyai kompaun supaya mengambil peluang ini untuk menjelaskan tunggakan kompaun masing-masing sebelum tindakan tegas diambil, seperti sekatan urusniaga di kaunter-kaunter MBSA atau membawa tindakan ke mahkamah.

     
     
  • Waze kini boleh digunakan melalui ciri Apple CarPlay

    Waze telah mengumumkan bahawa perisian berkenaan kini telah disepadukan dengan Appla CarPlay. Sebagai antara aplikasi tunjuk arah untuk platform berkenaan, integrasi berkenaan akan membolehkan jutaan pengguna CarPlay untuk menggunakan Waze dengan lebih mudah, terus pada paparan dalam kenderaan mereka.

    Sekiranya head unit kereta anda dilengkapi dengan ciri CarPlay, dan anda ada aplikasi Waze pada telefon pintar, anda hanya perlu sambungkan peranti itu ke kereta melalui kabel USB atau sambungan tanpa wayar agar Waze boleh dipaparkan pada skrin sentuh berkenaan. Integrasi ini memastikan semua ciri-ciri Waze disesuaikan secara khusus kepada sistem operasi CarPlay.

    Semua ciri umum Waze dikekalkan. Anda boleh pergi terus laman utama atau cari senarai lokasi kegemaran yang diprogramkan, memeriksa laluan sebelum keluar, melaporkan sebarang kejadian dan menerima amaran audio atau visual.

    Di Malaysia, Waze mempunyai pengguna bulanan seramai 5.9 juta orang, kebanyakannnya melalui telefon pintar. Integrasi Waze-CarPlay ini membolehkan pengguna iOS menggunakan aplikasi ini tanpa memerlukan mereka memasang pemegang telefon pada papan pemuka, atau memerhati laluan pada skrin telefon yang kecil. Bagi pengguna Android, mereka telah lama boleh menikmati ciri yang sama ini.

     
     
  • Yamaha Tenere 700 World Raid pusing dunia – model produksi akan diperkenal di INTERMOT Jerman 2018?

    Yamaha Tenere 700 World Raid pusing dunia – model produksi akan diperkenal di INTERMOT Jerman 2018?

    Pada tahun 2016, Yamaha telah menunjukkan sebuah model konsep yang menggunakan nama T7 Concept. Ia adalah sebuah motosikal yang mempunyai bentuk dan kelengkapan kembara lasak, dan digerakkan oleh enjin CP2 700 cc dua silinder sebaris daripada model MT-07 yang berkuasa 74 hp.

    Daripada T7 Concept ini, muncul pula satu lagi model prototaip iaitu Tenere 700 World Raid Edition. Asas motosikal ini masih sama, iaitu bentuk dual purpose dan enjin 700 cc, tetapi ia kelihatan sudah semakin bersedia untuk memasuki pasaran kerana sudah mempunyai lampu yang lengkap dan peralatan lain untuk kegunaan jalan biasa.

    Daripada kemunculannya juga, Yamaha jelas menunjukkan mereka mahu memperkenalkan Tenere generasi baru, dan ia dijangka mendapat perhatian ramai kerana trend sekarang menunjukkan permintaan kepada motosikal dual purpose berkapasiti sederhana, di bawah 800 cc. Kelebihan utamanya sudah tentu adalah berat yang lebih ringan dan lebih mudah dikendali.

    Selepas pengenalan model Tenere 700 World Raid Edition ini, Yamaha telah menyiarkan beberapa siri video yang menunjukkan aksi motosikal tersebut di beberapa negara termasuk Australia, Morocco dan terbaru, ia tiba di Eropah.

    Kami menjangkakan, ini adalah satu siri video yang akan berakhir dengan penampilan model produksi di INTERMOT bulan hadapan, kerana Tenere 700 ini memang sudah kelihatan lengkap untuk kegunaan orang ramai. Bagi yang gemarkan tunggangan adventure, ini memang satu model yang cukup menarik.


    GALERI: Yamaha Tenere 700 World Raid Prototype

     
     
  • Hyundai i30 N Fastback didedahkan – 2.0L turbo, 275 PS/300 Nm, manual 6-kelajuan, 0-100 km/j 6.1 saat!

    Hyundai i30 N Fastback didedahkan – 2.0L turbo, 275 PS/300 Nm, manual 6-kelajuan, 0-100 km/j 6.1 saat!

    Sayap penala dan perlumbaan rasmi Hyundai iaitu Hyundai N telah memperkenalkan jentera ketiga dalam barisan model jalan raya mereka iaitu Hyundai i30 N Fastback, diasaskan dari model i30 Fastback standard. Seperti namanya, model ini menampilkan bentuk belakang berbeza dari versi hatchback yang hadir setahun yang lalu.

    Dari segi unit janakuasa, model ini nampaknya masih mengekalkan konfigurasi sama seperti versi hatchback, dijana enjin 2.0 liter dengan sistem suntikan petrol terus, hadir dengan dua talaan kuasa – 250 untuk model standard dan 275 PS bagi model dengan Performance Pack. Walau bagaimanapun, kedua-dua versi berkenaan kekal dengan bekalan tork maksima 353 Nm bermula 1,450 hingga 4,000.

    Enjin tersebut hanya menerima kotak gear enam-kelajuan manual memacu roda hadapan. Walaupun model ini mempunyai bahagian belakang yang sedikit panjang, prestasinya kekal sama; versi standard mencatat 6.4 saat dalam pecutan 0-100 km/j, manakala versi 275 PS pula mampu mencatatkan 6.1 saat. Kedua-dua model ini mempunyai kelajuan maksimum yang sama iaitu 250 km/j.

    Jadi, apa yang membuatkan hatchback dan fastback ini tidak akan bersaing sesama sendiri tentulah disebabkan bentuk badannya. Rekabentuk Fastback ini menyebabkan kereta berkenaan mempunyai dimensi 115 mm lebih panjang dan 30 mm lebih rendah, membuatkan ia kelihatan seperti coupe dengan lima pintu. Selain dari garis bumbung, kerendahan model fastback ini turut disumbang oleh talaan suspensi.

    Hyundai i30 N Fastback didedahkan – 2.0L turbo, 275 PS/300 Nm, manual 6-kelajuan, 0-100 km/j 6.1 saat!

    Seperti model hatchback juga, versi N untuk Fastback ini turut menerima rupa lebih garang yang terdiri gril hadapan, bampar hadapan dan belakang yang unik untuknya, dan turut diserlahkan dengan jalur merah. Bendul sisi menerima kemasan hitam bersama logo N, manakala pada bahagian belakang diberikan spoiler but dengan sudut lentik yang agresif serta diffuser pada bahagian bawah yang turut menempatkan dua tip ekzos.

    Bahagian dalam model ini juga hampir seiras dengan model hatchback. Ia diberikan stereng sport rata di bawah N, serlahan jahitan benang merah pada gaiter gear, tempat duduk dan perehat tangan serta logo-logo N pada tempat sepatutnya. Perubahan ketara tentunya pada bahagian belakang di mana model Fastback ini menawarkan kapasiti but 450 liter (1,351 liter apabila tempat duduk dibaringkan), lebih besar dari model hatchback.

    Untuk pemanduan, i30 N menerima sistem kawalan N Grin bagi membolehkan pemandu memilih lima mod berbeza – Eco, Normal, Sport, N dan N Custom – yang boleh dipilih hanya menggunakan butang pada roda stereng.

    Tiada perincian lain untuk Performance Pack dinyatakan, namun bagi model hatchback versi dengan pakej tersebut, ia turut hadir dengan rim 19-inci dibaluti tayar Pirelli P-Zero 235/35R19 (225/40R18 pada model standard) angkup brek N berwarna merah, cakera brek lebih besar (18-inci di hadapan, 17-inci di belakang), LSD elektronik dan juga sistem ekzos bervariasi. Kesemua ciri ini sepatutnya masih sama pada model Fastback berkenaan.

    Pembeli juga boleh memilih antara dua sistem infotainmen. Sistem asas display audio diberikan skrin sesentuh LCD kapasitif lapan-inci, kamera undur dan Bluetooth, manakala pilihan dengan sistem navigasi pula akan disertakan dengan langganan servis “Live” selama tujuh tahun. Namun kedua-dua pilihan ini hadir standard dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.

    Skrin infotaimen pada model berprestasi tinggi ini juga menampilkan menu skrin N Mode. Menerusi menu ini, pemandu boleh membuat tetapan untuk enjin, sistem rev-matching, bunyi ekzos dan juga larasan lain untuk Performance Package.

    Manakala untuk ciri keselamatan, i30 N Fastback menerima teknologi keselamatan aktif dan bantuan pemanduan terkini SmartSense. Ia terdiri dari sistem Bantuan Mengelak Pelanggaran Hadapan, Amaran Tumpuan Pemandu, Bantuan Kekal Laluan, Bantuan Lampu Tinggu, dan Amaran Had Laju Pintar.

     
     
  • Teaser Suzuki untuk INTERMOT – sah adalah Katana

    Acara motosikal penting di Eropah iaitu INTERMOT semakin hampir dan banyak pengeluar yang akan membawa model terbaru ke sana. Bagi meningkatkan keghairahan sebelum ia benar-benar dipertonton, video teaser telah dikeluarkan dan ini termasuk oleh Suzuki.

    Setakat ini sudah ada empat video teaser yang dikeluarkan oleh Suzuki, dan dalam kesemuanya, perkara yang banyak ditunjukkan adalah tentang pedang tradisional Jepun iaitu Katana dan slogan “Feel The Edge“. Dalam video nombor satu dan dua, tiada bentuk motosikal yang dapat dilihat, namun memasuki video ketiga bahagian tangki mula didedahkan.

    Kini, sudah keluar pula siri video yang keempat dan melaluinya kita dapat melihat dengan jelas bahagian hadapan serta keseluruhan motosikal waktu ia mengambil selekoh ke kanan. Suzuki setakat ini masih belum menyiarkan apa-apa informasi atau spesifikasi tentang motosikal ini, dan tidak menyatakan ia adalah sebuah Katana generasi baru.

    Namun, daripada video ini akhirnya (selain video berkonsep pedang yang jelas menunjuk kepada Katana) kita dapat melihat skema warna motosikal ini sama dengan Katana lama dan di bahagian panel tepinya memang terdapat logo Katana yang sudah cukup terkenal.

    Selain daripada itu, motosikal ini juga dilihat menggunakan tetapan empat silinder, mempunyai brek Brembo berkembar di hadapan, pemegang yang tinggi (kedudukan menunggang tidak terlalu menunduk), lampu belakang LED dan penghadang lumpur belakang yang bersambung kepada lengan ayun. Satu yang mungkin menghampakan peminat Katana, lampu depannya tidak boleh terlipat masuk ke dalam seperti model lama.



     
     
  • SPYSHOT: Honda Jazz generasi baru sedang diuji

    SPYSHOT: Honda Jazz generasi baru sedang diuji

    Honda Jazz generasi ketiga (GK), yang juga dikenali dengan nama Fit di beberapa pasaran lain, kini sudah beberapa tahun beredar. Dan, untuk itu, penggantinya juga sudah mula kelihatan sedang diuji di selatan Eropah.

    Berdasarkan daripada apa yang dapat dilihat, secara umumnya bentuk Jazz masih dikekalkan, tetapi dengan keseimbangan yang berbeza. Dari sisi, cermin kecil pada A-pillar masih dikekalkan. Cermin sisi pula dialih sedikit kedudukannya.

    Bagaimanapun agak sukar untuk melihat perubahan pada rekaan badan kendearaan ini kerana ia ditampal dengan pelekat samaran secara menyeluruh. Antara yang boleh dilihat dan diagak ialah potongan pada bahagian lampu utamanya yang kini lebih kecil. Di belakang, rekaan lampu menegak sebelum ini telah digantikan dengan rekaan lampu melintang pula.

    SPYSHOT: Honda Jazz generasi baru sedang diuji

    Ada laporan yang menyebut bahawa Jazz baru ini akan diperkenalkan pada 2020 nanti, dengan sistem janaan petrol dan hibrid – sistem hibridnya mungkin akan menggunakan versi terbaru yang ada pada model Insight terkini.

    Varian elektrik juga kemungkinan akan diperkenalkan di pasaran penting seperti di China. Nikkei melaporkan model itu nanti akan mempunyai jarak perjalanan sekitar 300 km. Honda juga sudah bersedia untuk kerjasama dengan syarikat China, Contemporary Amperex Technology (CATL) untuk pembangunan kenderaan elektrik – kemungkinan Jazz EV.

     
     
  • Skoda dedah lakaran Vision RS sebelum diperkenal

    Skoda dedah lakaran Vision RS sebelum diperkenal

    Skoda telah mendedahkan lakaran rekaan dan infomasi mengenai model konsep Vision RS yang bakal ditampilkan di Paris Motor Show tahun ini. Ia bukan sekadar mempertontonkan model elektrifikasi jenama berkenaan, malahan turut mendedahkan bahasa rekaan bagi model akan datang Skoda RS dan serta menjadi pembayang untuk kenderaan kompak baharu (yang mungkin bakal menggantikan Rapid).

    Vision RS merupakan jentera plug-in hybrid, dan dijanakan oleh enjin 1.5 liter pengecas turbo empat-silinder TSI petrol yang mampu menghasilkan kuasa 148 hp (150 PS), dengan bantuan motor elektrik dan pek bateri 13 kWh yang bakal menambahkan lagi kuasanya sebanyak 101 hp (102 PS). Jumlah keseluruhan kuasa yang mampu dihasilkan ialah 242 hp (245 PS), sementara pacuan semua-elektrik mencecah 70 km (NEDC) dan emisi bagi CO2 pula dilaporkan sekitar 33 g/km.

    Skoda mendakwa pacuan dari 0-100 km/j mampu dicapai dalam 7.1 saat dan kelajuan maksimum pula 209 km/j. Manakala pengecasan bateri lithium-ion pula mengambil masa sekitar 2.5 jam apabila menggunakan penyambung seperti Type 2, CCS dan sebagainya, manakala pengecasan standard pula belum didedahkan lagi.

    Daripada segi rekaannya, Vision RS tidak banyak berbeza dengan sentuhan biasa Skoda, ia hadir dengan sudut yang tajam dan menonjol. Bahagian hadapannya ditampilkan dengan gril yang menjadi signatur dengan lampu utama tiga-elemen, sementara apron yang lebih rendah mempunyai corong yang lebih lebar.

    Sementara di bahagian belakang pula, kelihatan peredap yang agresif dengan kemasan hitam senada gaya pada hadapan. Lampu belakang berbentuk-J dengan paten segitiga menjadi pilihan, di samping tingkap belakang berbentuk unik.

    Bagi dalamannya pula, ia menampilkan rekaan yang bersifat emotif. Paparan digital pada papan pemuka, konsol tengah dan instrumen dikekalkan, bersama roda stereng sporty, tuil gear yang pendek dan sedikit besar dan juga tempat duduk moden. Model konsep ini banyak menggunakan material yang bersifat kekal, termasuk gentian karbon yang dikitar semula yang banyak digunakan untuk ruang dalaman ini.

     
     
  • Volvo XC40 diperkenal di Thailand – dari 2.09 juta baht

    Volvo XC40 diperkenal di Thailand – dari 2.09 juta baht

    Ramai yang ternanti-nanti model Volvo XC40 ini, terutama tarikh pengenalannya di Malaysia. Tapi, sebelum itu – dan seperti kebanyakan model-model lain – XC40 terlebih dahulu mendarat di Thailand. Di sana, ia ditawarkan dalam dua varian – T4 Momentum dan T5 AWD R-Design. Harga pula bermula dari 2,090,000 baht (RM266,768) dan 2,390,000 baht (RM305,060).

    SUV ini menggunakan enjin 2.0 liter turbocas empat-silinder Drive-E yang menghasilkan 190 hp/300 Nm bagi varian T4, manakala 252 hp/350 Nm pada model T5. Transmisi Geartronic lapan-kelajuan automatik sebagai padanan, dengan ciri pacuan semua roda disertakan bagi model T5.

    Dari sudut prestasi, versi T4 mampu memecut dari 0-100km/j dalam masa 8.4 saat dengan kelajuan maksimum 210 km/j. Sementara bagi T5 pula, 0-100 km/j adalah dalam masa 6.4 saat dengan laju maksimum 230 km/j. T5 juga menerima casis Sport, manakala T4 dengan casis Dynamic.

    Volvo XC40 diperkenal di Thailand – dari 2.09 juta baht

    Versi T4 datang dengan pakej perincian Momentum dan rim lima-jejari 18-inci (tayar 235/55). Pilihan warna luaran pula terdiri daripada Ice White, Bright Silver Metallic, Amazon Blue, Onyx Black Metallic dan Fusion Red Metallic; tiga pilihan terakhir ini juga boleh dipadankan dengan bumbung putih atas perminataan pelanggan.

    Model T5 R-Design pula menerima rekaan gril unik, bampar khusus yang bahagian belakangnya disepadukan dengan hujung corong ekzos) serta lambang R-Design pada C-pillar. Untuk pasaran Thailand, rim 19-inci motif mutiara dengan lima jejari berkembar dengan dwi-tona (tayar 235/50) adalah ciri standard. Pilihan warna pula terdiri daripada Crystal White Premium, Osmium Grey, Bursting Blue Premium atau Fusion Red, dengan padanan bumbung hitam semuanya.

    Ruang dalaman T4 dihiasi dengan kemasan kulit gelap dengan perincian Urban Grid, sementara T5 menerima kemasan kulit Nappa R-Design Charcoal Nubuck dengan perincian Cutting Edge. Semua varian lengkapi dengan sistem infotainmen Sensus Connect 9-inci, pengecas telefon tanpa wayar, kawalan pendingin dua zon (dengan penapis Clean Zone), skrin 12.3-inci Digital Driver serta tempat duduk depan kuasa elektrik.

    Volvo XC40 diperkenal di Thailand – dari 2.09 juta baht

    Selain itu juga, senarai ciri-ciri keselamatan bagi kedua varian ini adalah sama. Antaranya, ia terdiri daripada tujuh beg udara, kawalan Active High Beam, City Safety, Collision Avoidance and Mitigation Support with Auto Brake, Blind Spot Information System (BLIS), Cross Traffic Alert with Auto Brake, Lane Keeping Aid, amaran jarak, Dynamic Stability and Traction Control (DSTC) dan Roll Stability Control (RSC).

    T5 menerima lebih banyak kelengkapan tambahan seperti 13 pembesar suara, sistem bunyi Harman Kardon 600 watt, fungsi tunjuk arah, Pilot Assist with Adaptive Cruise Control, paddle shifter dan Park Assist Pilot. Walaupun kedua-dua varian ini datang dengan lampu utama LED, hanya versi T5 ada ciri Active Bending Lights (ABL).

    Bila pula agaknya Volvo XC40 nak sampai Malaysia? Macam dah tak lama, sebab pengedar rasmi telah mula ambil pendaftaran minat dari pelanggan. Akaun Instagram rasmi Volvo Cars Malaysia juga dah tunjuk “teaser” baru-baru ini. Jadi, bila agaknya tu?

     
     
  • Maserati Ghibli Ribelle – 200 unit untuk pasaran EMEA

    Maserati Ghibli Ribelle – 200 unit untuk pasaran EMEA

    Maserati telah memperkenalkan Ghibli Ribelle baharu, model edisi istimewa khas untuk pasaran Eropah, Timur Tengah dan Afrika (EMEA), dengan produksi terhad 200 unit sahaja. Pelanggan mempunyai tiga varian sahaja untuk dipilih – Ghibli diesel, Ghibli dan Ghibli S – semuanya dengan kemasan warna unik Nero Ribelle mica.

    Semua varian dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan secara standard, bersama penjana kuasa 3.0 liter turbodiesel dengan kuasa 275 PS dan 600 Nm, sementara unit petrol pula dengan 3.0 liter turbo-berkembar V6 berkuasa 350 PS/500 Nm bagi Ghibli dan 430 PS/580 Nm pada Ghibli S.

    Bagi imej luarannya, secara asasnya ia kelihatan seperti Ghibli GranLusso, dengan apron hadapan lebih agresif dan ruang gril radiator. Ghibli turut dipadankan dengan aloi Proteo hitam berkilat 19-inci dengan kemasan kontra merah, selain kaliper brek juga merah.

    Di dalamnya, tema dua tona hitam dan merah membentangi bahagian papan pemuka, panel pintu, roda stereng, pedal penukar gear dan juga tempat duduk upholstery. Pada konsol tengah, tuil gear turut didatangkan dengan logo Ribelle bersama nombor siri, dikemasi hiasan kayuan hitam berkilat.

    Jika tidak cukup dengan itu, ia turut menampilkan pakej Ribelle Plus, termasuk lapisan cermin tingkap bagi mempertingkatkan penebatan termal dan bunyi, lampu utama adaptif Matrix LED-penuh, sistem bunyi premium Harman Kardon dan bumbung suria berkuasa.

     
     
  • Nissan Note e-Power Nismo S – terima rupa lebih garang serta pengendalian dan talaan kuasa lebih baik

    Nissan Note e-Power Nismo S – terima rupa lebih garang serta pengendalian dan talaan kuasa lebih baik

    Nampaknya bukan Nissan Leaf sahaja kereta elektrik yang mendapat sentuhan Nismo, kini satu lagi model mesra alam mendapat olahan semula sayap perlumbaan rasmi berkenaan iaitu Nissan Note e-Power. Model yang digelar Note e-Power Nismo S sudah pun mula dijual di pasaran Jepun bermula semalam.

    Sebenar sebelum ini Note e-Power telah pun dijual dalam versi Note e-Power Nismo, namun ia sekadar diberikan peningkatan dari segi visual. Manakala untuk Note e-Power Nismo S ini, Nismo turut memberikan talaan semula pada sistem pengendalian dan juga kuasanya.

    Bagi yang belum mengetahui, Nissan Note-Power ini sebenarnya adalah model hibrid jenis range extender. Ini bermaksud, enjin 1.2 liter HR12DE tiga silinder berkuasa 79 PS/103 Nm pada kereta ini hanya bertindak sebagai pengecas kuasa elektrik, tak ubah seperti ‘generator pasar malam’. Kuasa yang disampaikan ke roda hadapan adalah 100% dari motor elektrik yang padankan pada kereta berkenaan, dan ia turut tidak mempunyai port mengecas jenis ‘plug-in’.

    Nissan Note e-Power Nismo S – terima rupa lebih garang serta pengendalian dan talaan kuasa lebih baik

    Dalam versi standard, motor elektrik pada Note e-Power tersebut menghasilkan sejum 109 PS dan tork maksima 254 Nm. Namun setelah unit inverter dan modul kawalan ditala semula pada model Nismo S ini, motor berkenaan menghasilkan 25% lebih kuasa iaitu 134 hp dan tork maksima 320 Nm.

    Bagi mendapatkan pengendalian yang lebih mantap, Nismo telah memadankan cross bar hadapan dan belakang dan juga member stay pada hadapan dan belakang rekaan khas yang lebih tegar. Suspensi pada Note e-Power Nismo S ini juga hanya unik untuknya, serta menerima bar penstabil hadapan yang lebih keras, manakala sistem stereng kuasa elektriknya pula ditala semula.

    Model talaan istimewa ini juga nampak jauh lebih garang dari versi standard. Ia diberikan bampar hadapan yang lebih agresif, paip ekzos lebih besar, serta rim Nismo bersaiz 16-inci dibaluti tayar Yokohama S.Drive.

    Pada bahagian kabin, hatchback ini diberikan meter fine vision istimewa dengan logo Nismo, tempat duduk lebih sporty balutan sued khas dengan logo Nismo dan jahitan benang merah, panel pintu dengan kemasan yang sama, pedal dan juga perehat kaki aluminium juga dengan logo Nismo.

    Minggu lalu kami telah menerima gambar intipan sebuah Note e-Power JDM yang dipandu dengan menggunakan nombor pendaftaran sementara. Unit berkenaan berkemungkinan unit yang sedang diuji oleh Edaran Tan Chong Motor atau mungkin sebuah kereta yang di bawa ke sini menerusi pengimport persendirian.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025