Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • TINJAUAN AWAL: Nissan Serena S-Hybrid C27 2018

    Nissan Serena S-Hybrid C27 2018 kini mempunyai posisi yang sangat menarik dalam pasaran tempatan. Pertama, ia satu-satunya MPV terkini dalam erti kata yang sebenar – merujuk kepada saiz, keluasan ruang dan praktikalitinya – yang ditawarkan untuk di Malaysia ketika ini. Pesaing-pesaing lain ketika ini sama ada merupakan model lama atau tidak mempu menandingi senarai penawaran yang diberikannya.

    Untuk itu, tidak hairanlah selepas dilancarkan awal Mei lalu, dalam tempoh kurang lebih sebulan sahaja ia sudah mencatatkan tempahan sebanyak 2,500 unit. Popularitinya dijangka semakin meningkat dalam tempoh pengecualian cukai yang sedang berlangsung ketika ini; harga bagi varian tertinggi Premium Highway Star tanpa GST kini ialah RM139,195.59, pengurangan sebanyak RM8,304.41 berbanding harga yang diumumkan ketika pelancarannya.

    Nissan Serena S-Hybrid C27 2018 ini sebenarnya diberikan banyak juga pembaharuan berbandi model lamanya. Semua ini menyumbang kepada pertambahan kelebihan bagi model terbabit. Misalnya, walaupun beralih dari model lapan-tempat duduk kepada tujuh-tempat duduk kini, ia lebih selesa untuk penumpang dengan penggunaan dua captain seat untuk barisan tengah.

    Begitu juga dengan bukaan pintu sisi secara elektronik dan tanpa perlu menggunakan kunci, bukaan pintu belakang melalui dua tahap yang tersedia untuk memudahkan pengguna memasukkan barang dalam keadaan ruang terhad serta penampilan visual yang lebih menarik dan segar berbanding model lama.

    Walaupun faktor sistem janaan kuasanya masih lagi menggunakan unit yang sama, terdapat juga penambahbaikan yang telah dibuat untuk menjadikannya lebih cekap dan menjimatkan bahan api. Ini termasuk unit motor elektrik yang digunakan, yang kini memberikan bantuan lonjakan dari keadaan pegun satu saat lebih cepat kepada MPV ini.

    Banyak lagi kelebihan-kelebihan yang ditawarkan oleh model ini, terutamanya jika anda menilainya secara adil sebagai sebuah MPV untuk kegunaan seisi keluarga. Tonton video yang kami sediakan ini, yang antara lain meninjau segenap sudut model ini dan bagaimana ia dapat memudahkan urusan anda dan menjadi sebuah kenderaan yang sangat praktikal.

    Nissan Serena S-Hybrid C27 2018

     
     
  • TNGSB umumkan penamatan perkhidmatan selepas jualan untuk peranti SmartTag bagi model OBU 330

    TNGSB umumkan penamatan perkhidmatan selepas jualan untuk peranti SmartTag bagi model OBU 330

    Touch ‘n Go Sdn Bhd (TNGSB) telah memaklumkan perkhidmatan selepas jualan bagi peranti SmartTag model OBU 33O bakal ditamatkan berkuatkuasa 1 Julai 2018. Syarikat itu berkata, peranti yang telah digunakan lebih 10 tahun itu menyebabkan komponen untuk pembaikannya telah usang, terhad dan beberapa bahagian dalamannnya kini tidak dapat diperoleh lagi.

    Bagaimana pun, bagi pelanggan yang masih menggunakan peranti berkenaan, mereka boleh terus menggunakannya seperti biasa kerana makluman ini tidak menjejaskan fungsi operasi sedia ada.

    Namun demikian, selepas tarikh 1 Julai ini, TNGSB tidak akan menerima sebarang permintaan untuk membaiki model ini dan memohon maaf jika para pelanggan mengalami kesulitan berkaitan dengan perkara ini.

     
     
  • Lamborghini teguh pertahan enjin tanpa turbo untuk supercar, namun bakal guna teknologi hibrid elektrik

    Lamborghini teguh pertahan enjin tanpa turbo untuk supercar, namun bakal guna teknologi hibrid elektrik

    Disaat pengeluar-pengeluar kereta berprestasi tinggi kini mula mengecilkan sesaran kapasiti enjin dan menggunakan suapan pengecas turbo, Lamborghini masih kekal mempertahankan identiti supercar mereka dengan enjin V12 dan V10 tanpa teknologi induksi paksaan tersebut (kecuali super SUV Urus menggunakan enjin V8 turbo).

    Menurut laporan Autocar, pengarah teknikal Lamborghini, Maurizio Reggiani berkata bahawa beliau tidak menerima sebarang tekanan dari mana-mana pihak bagi mengurangkan jumlah silinder pada enjin model-model supercar syarikatnya untuk masa-masa akan datang.

    “Setiap kereta mempunyai misi, dan berdasarkan misi yang anda perlu pilih enjin yang sesuai. Untuk [SUV Urus] keputusannya adalah turbo, tetapi kami akan terus memilih enjin NA untuk kereta super sport. Pada masa hadapan, kami perlu mengambil kira penggunaan bahan api dan pencemaran. Saya yakin bahawa enjin NA digabungkan dengan sistem hibrid merupakan jawapan yang tepat,” jelas Reggiani.

    Lamborghini teguh pertahan enjin tanpa turbo untuk supercar, namun bakal guna teknologi hibrid elektrik

    Pengganti Huracán dijadualkan bakal membuat kemunculannya pada tahun 2022, dan ia dijangka bakal menampilkan unit janakuasa hibrid plug-in. Walau bagaimanapun Reggiani membayangkan bahawa Aventador yang bakal diperkenalkan sebelum 2022 juga akan diberikan teknologi elektrik pada unit janakuasanya.

    Namun, Reggiani menegaskan mereka masih perlu mengekalkan karekter asal model tersebut walaupun berat tambahan pastinya akan menjadi isu kerana pelbagai komponen tambahan perlu dipadankan untuk sistem hibrid terutamanya sel bateri yang bersaiz besar. “Kami perlu menghasilkan semula ikon tersebut tanpa [kehilangan] karekteristik kereta sedia ada: gentian-karbon, enjin NA V12 dan komponen lain. Melihat kehadapan, jika ianya hibrid, jadi bagaimana kami perlu mengimbangi beratnya?” soal Reggiani.

    Menurutnya, bateri merupakan kegusaran yang besar kerana pek bateri berkenaan memerlukan jumlah sel yang banyak. Buat masa sekarang, Lamborghini sedang dalam projek bersama Massachusetts Institute of Technology (MIT) di Boston bagi menghasilkan panel badan gentian karbon yang turut boleh berperanan sebagai tempat penyimpanan bateri serta konduktor super, seperti yang telah ditunjukkan pada model konsep Terzo Millenio.

    Lamborghini teguh pertahan enjin tanpa turbo untuk supercar, namun bakal guna teknologi hibrid elektrik

    Beliau turut menjelaskan bahawa unit janakuasa elektrik ini mungkin boleh melancarkan transmisi klac-tunggal Aventador sedia ada yang kadang-kala terlalu agresif. “Anda boleh gunakan motor elektrik bagi memastikan anda tidak mempunyai gangguan tork,” terangnya.

    Pengganti Aventador akan terus menggunakan enjin V12 NA, begitu juga dengan Huracán yang akan terus dijana enjin V10. “Reaksi anda terhadap enjin 10-silinder tidak dapat dihasilkan dalam bentuk lain. Ini yang pelanggan kami suka. Kenapa saya perlu buat benda berbeza? Jika saya percayakan enjin NA, kenapa perlu guna enjin V8 atau V6 yang lebih rendah? Saya Lamborghini, saya adalah yang teratas dari yang paling atas untuk kereta super sports. Saya mahu kekal ditempat saya,” tegas Reggiani.

     
     
  • Keselamatan semua pihak adalah sama penting – Grab

    Keselamatan semua pihak adalah sama penting – Grab

    Dalam satu post di Facebook, Grab Malaysia menyatakan mereka memberi keutamaan yang sama terhadap keselamatan pemandu-pemandunya jika dibandingkan dengan penumpang dan pengguna. “Keselamatan pemandu-pemandu kami adalah sama penting dengan keselamatan penumpang. Kami mengambil berat tentang perkara itu,” jelas Grab dalam kenyataan itu.

    Perkara ini adalah susulan kepada satu kejadian di mana seorang pemandu Grab dibunuh selepas menyelesaikan satu tugas menghantar penumpang, baru-baru ini. Menurut satu laporan The Sun, lelaki berkenaan yang dikenal pasti oleh polis berusia 27 tahun dari Nilai, ditemui mati di tempat duduk belakang keretanya di sebuah tempat letak kereta di Gombak, Sabtu lalu.

    Grab menyatakan beliau seorang pemandu yang “bekerja keras dan menunjukkan prestasi cemerlang”. Penumpang juga rata-ratanya sangat senang dengan perkhidmatannya. Grab mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan berhadap kepada sesiapa yang mempunyai maklumat tentang kejadian itu untuk tampil dan memberi keterangan kepada polis.

    Syarikat itu tahun lalu telah memperkenalkan beberapa langkah keselamatan, termasuk menyediakan dashcam percuma kepada 3,500 pemandu yang memberikan prestasi terbaiknya diseluruh negara. Grab juga menambah fungsi butang “Kecemasan” pada aplikasinya dan memperkenalkan sistem telematik untuk mengesan tabiat memandu yang merbahaya.

     
     
  • Chevrolet Blazer 2019 – kebangkitan nama lama

    Chevrolet Blazer 2019 – kebangkitan nama lama

    Chevrolet telah membangkitkan kembali plat nama lama untuk SUV saiz sederhana moden – yang diletakkan di antara model Equinox dan Traverse bagi barisan jenama ini untuk pasaran Amerika Utara. Blazer 2019 direncana untuk bersaing hebat dengan Ford Edge dan Jeep Grand Cherokee apabila ia berada di pasaran pada awal tahun hadapan.

    Dua pilihan enjin ditawarkan untuk SUV lima-tempat duduk ini, yang turut hadir dengan versi pacuan roda-hadapan dan pacuan semua-roda – dengan unit asas dipadankan bersama enjin Ecotec 2.5 liter empat-silinder (193 hp/255 Nm), serta 3.6 liter V6 (305 hp/365 Nm). Kedua-duanya adalah enjin suntikan-terus, turut menampilkan teknologi berhenti/mula, dipadankan dengan transmisi automatik sembilan-kelajuan.

    Barisan model termasuk dengan varian spesifikasi tertinggi Premier, yang turut didatangkan dengan gril unik dan kekemasan krom tambahan untuk luaran, serta versi yang lebih sporty RS, yang mudah dibezakan dengan unsur berwarna hitam.

    Berkenaan dengan rekaannya, ia menampilkan lampu utama HID yang diposisikan sedikit rendah, lampu belakang LED dengan dwi-elemen, ekzos dengan dwi-corong dan spoiler belakang. Turut diberikan beberapa pilihan untuk roda – standard didatangkan dengan aloi 18-inci, dan unit 21-inci bagi RS dan Premier.

    SUV ini turut mendapat beberapa pilihan warna dan kekemasan bagi dalaman, dan elemen yang menarik termasuk pengecas tanpa wayar, enam USB port dan kota penyimpanan dengan pengunci elektronik yang mampu memuatkan beg tangan bersaiz kecil, ia turut dilengkapi dengan ciri keselamatan Valet Mode. Turut ditampilkan termasuklah sistem Chevrolet Infotainment 3 dengan skrin sesentuh berwarna lapan-inci bersama ketersambungan Apple CarPlay/Android Auto dan LTE Wi-Fi.

    Blazer baharu ini turut menawarkan sistem pengurusan kargo, tang menampilkan sistem rel dan pagar kargo untuk membantu melindungi barangan kecil yang diletakkan di bahagian kargo. Selain itu, tempat duduk barisan-kedua yang boleh dilaraskan juga boleh dibaringkan rata, Blazer turut menawarkan dek belakang dengan kapasiti 1,818 liter untuk ruang kargo. Pintu belakang larasan berkuasa bebas-tangan juga ditampilkan bagi kemudahan akses.

     
     
  • Volvo bakal lengkapi sistem autonomous Tahap 4 pada model XC90 generasi akan datang menjelang 2021

    Volvo bakal lengkapi sistem <em>autonomous</em> Tahap 4 pada model XC90 generasi akan datang menjelang 2021

    Volvo telah mengumumkan rancangan syarikat itu untuk memperkenalkan teknologi pemanduan autonomous tahap 4 pada tahun 2021. Kemungkinan besar ia akan disertakan pada model generasi seterusnya SUV XC90 kelak. Volvo akan membangunkan XC90 baru itu dikilangnya di South Carolina.

    Naib Presiden Kanan Volvo, Hendrik Green memberitahu The Car Connetion bahawa XC90 generasi seterusnya mampu membawa “penumpang tidur” ke destinasi mereka, walaupun hanya pada laluan yang terhad. “Itu matlamatnya,” jelas beliau. Ura-ura menyebut ciri berkenaan akan dipanggil Highway Assist, versi yang lebih maju bagi sistem Pilot System sedia ada.

    Bagaimanapun, Hendrik menjelaskan sistem berkenaan hanya akan ditawarkan sebagai pilihan premium, dan berada di antara kos tambahan empat angka; harga tepatnya masih belum ditentukan. Teknologi pemanduan semi-autonomous Tahap 4 masih belum ditawarakan secara meluas kepada pengguna umum ketika ini. Sistem berkenaan juga memerlukan campur-tangan pemandu dalam situasi kecemasan.

    Volvo bakal lengkapi sistem <em>autonomous</em> Tahap 4 pada model XC90 generasi akan datang menjelang 2021

    Volvo sebelum ini telah menguji sistem yang sama di perkarangan ibupejabat syarikat itu di Gothenburg, Sweden. Ia juga turut dibekalkan dalam jumlah yang kecil bagi tujuan ujian pemanduan sendiri kenderaan fleet, misalnya seperti yang dilakukan oleh Uber.

    Hendrik menjelaskan, program Highway Assist berkenaan menggunakan maklumat dari pendekatan cloud dan tidak bergantung kepada sistem komunikasi kenderaan-kepada-infrastruktur. Sebaliknya, ia akan menggunakan pendekatan pengesanan jarak, dengan radar serta kamera yang tersedia di dalam kereta. Menurut Volvo, langkah seterusnya adalah untuk bekerjasama dengan penguatkuasa setempat bagi meluluskan sistem pemanduan sendiri seperti itu.

     
     
  • Aseel Al Hamad ‘sesah’ Jaguar F-Type di litar sempena wanita dibenarkan untuk memandu di Arab Saudi

    Sempena pemansuhan larangan memandu untuk golongan wanita di Arab Saudi semalam, 24 Jun 2018, pelumba wanita dari negara tersebut, Aseel Al Hamad diberi peluang oleh Jaguar untuk memandu jentera sport F-Type di atas litar di negara berkenaan bagi meraikan hari bersejarah tersebut. Menurut Jaguar lagi, mereka turut menamakan tarikh berkenaan sebagai “Hari Memandu Sedunia” dan menggalakkan orang ramai berkongsi pengalaman memandu mereka dengan tanda pagar #worlddrivingday.

    “Saya cintakan kereta sejak dari kanak-kanak, hari ini merupakan detik yang sangat beremosi untuk saya. Ini merupakan detik memandu terbaik dalam hidup saya. Tiada lagi cara yang lebih baik untuk memulakan Hari Memandu Sedunia dengan melakukan pusingan lap penghormatan di tanah air sendiri dengan Jaguar F-Type – kereta yang hebat untuk mengaum di dalam litar. Saya harap masyarakat dunia akan berkongsi kegembiraan kami hari ini dengan berkongsi kisah memandu mereka menggunakan #worlddrivingday,” kata Aseel.

    Sambutan Hari Memandu Sedunia ini dijalankan oleh Jaguar bagi menggalakan masyarakat bagi memperingati peristiwa bersejarah ini dan apa ertinya pada wanita, untuk Arab Saudi dan juga perkembangan dunia secara am. Jenama kereta sport dari British tersebut turut bekerjasama dengan lebih 40 universiti dan institusi akademik dari seluruh dunia untuk penyelesaian mobiliti masa hadapan.

    Jaguar turut menjalinkan kerjasama dengan universiti-universiti di Arab Saudi bagi menyertai jaringan antarabangsa berkenaan. Kerjasama tersebut akan diumumkan kemudian tahun ini, yang bakal menyaksikan pertukaran pelbagai idea dan pandangan dari bakat-bakat muda di Arab Saudi bagi membentuk Jaguar kearah inovasi ACES iaitu masa hadapan pemanduan sendiri, terhubung, teknologi elektrik dan perkongsian.

    “Sangat mudah untuk melupakan dan mengambil ringan keseronokan memandu dan apa keistimewaannya untuk berada di belakang roda stereng sebuah kereta. Hari Memandu sedunia adalah komitmen Jaguar bagi meraikan saat penting bagi lelaki dan wanita setiap tahun. Tahun ini, kami sangat teruja untuk bekerjasama dengan pelajar-pelajar hebat dari Arab Saudi bagi membentuk mobiliti masa hadapan untuk masyarakat seluruh dunia,” kata jurucakap dan pengarah pengalaman pelanggan Jaguar Land Rover, Fiona Pargeter.

    Pengumuman pemansuhan larangan memandu untuk wanita di Arab Saudi ini telah pun diumumkan pada September tahun lalu. Ia adalah sebahagian agenda perubahan ekonomi yang dibuat oleh Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman dalam rancangan yang dikenali sebagai Visi 2030. Visi berkenaan adalah untuk membolehkan wanita bergerak dengan lebih bebas, sekaligus memberikan ruang kepada mereka bagi bersama-sama membangunkan negara.

     
     
  • Saman trafik catat penurunan sebanyak 19% dalam Ops Bersepadu sepanjang Aidilfitri 2018 – KP JPJ

    Saman trafik catat penurunan sebanyak 19% dalam Ops Bersepadu sepanjang Aidilfitri 2018 – KP JPJ

    Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan, Datuk Seri Shaharuddin Khalid mengesahkan jumlah saman trafik yang dikeluarkan sepanjang operasi sempena Hari Raya Aidilfitri 2018 menunjukkan penurunan sebanyak 19% iaitu 30,820 saman berbanding 37,913 saman musim perayaan sama tahun lalu.

    Menurutnya, beberapa strategi berbentuk pendidikan, pencegahan dan penguatkuasaan telah dilaksanakan oleh JPJ sepanjang operasi terbabit, rondaan bermotosikal membantu mengurangkan kemalangan, laporan Berita Harian.

    Selain rondaan membabitkan 200 motosikal JPJ di ‘kawasan panas’ di seluruh negara yang diperkenalkan tahun ini, pegawai dan anggota meneruskan strategi menyamar sebagai penumpang bas sepanjang operasi berkenaan sejak 8 Jun lalu dan telah berakhir semalam.

    Katanya lagi, menerusi strategi rondaan bermotosikal, sebanyak 5,341 saman dikeluarkan oleh peronda motosikal dan antara kesalahan dikesan termasuk tidak mempunyai lesen memandu serta cukai jalan tamat tempoh.

    “Pada masa sama, kita turut mengadakan Ops Khas Motosikal pada 12 dan 13 Jun lalu di seluruh negara, yang mana kita membuat pemeriksaan terhadap 25,304 motosikal dan daripada jumlah itu kita mengeluarkan sebanyak 4,400 saman,” katanya kepada pemberita kelmarin.

    Saman trafik catat penurunan sebanyak 19% dalam Ops Bersepadu sepanjang Aidilfitri 2018 – KP JPJ

    Shaharuddin berkata dalam masa yang sama, sebanyak 35,948 saman dikeluarkan berdasarkan kesalahan yang dikesan menerusi Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS).

    “Semua saman berkenaan membabitkan kesalahan melebihi had laju iaitu sebanyak 33,727 saman manakala bagi kesalahan melanggar arahan lampu isyarat sebanyak 2,221 saman dikeluarkan. Setakat ini sebanyak 47 kamera AWAS ditempatkan di seluruh negara termasuk 17 daripadanya di semua lebuh raya,” katanya.

    Selain itu, operasi secara penyamaran pegawai JPJ dalam bas ekspres pula pihaknya mengeluarkan 658 saman ke atas bas termasuk 139 daripadanya terhadap pemandu kenderaan awam itu.

    “Di semua terminal bas di seluruh negara, kita buat pemeriksaan pemandu dan secara keseluruhannya seramai 11 pemandu bas positif dadah dalam ujian awal air kencing, yang mana jika disabit kesalahan kita boleh membatalkan lesen memandu mereka,” katanya.

     
     
  • Honda CB1000R dan CB250R dilancarkan di Malaysia – harga jualan masing-masing RM74,999 dan RM22,999

    Honda CB1000R dan CB250R dilancarkan di Malaysia – harga jualan masing-masing RM74,999 dan RM22,999

    Pada bulan Februari yang lalu, Boon Siew Honda (BSH) telah mengumumkan model Neo Sports Cafe CB1000R akan tiba di pasaran Malaysia dengan harga jangkaan bawah RM90,000. Kini, ia sudah pun dilancarkan secara rasmi dan harga yang ditetapkan jauh lebih rendah iaitu RM74,999. Pada hari yang sama, BSH turut melancarkan sebuah lagi model naked iaitu CB250R pada harga RM22,999.

    CB1000R pertama kali diperkenalkan kepada orang ramai semasa EICMA 2017, dan ia menggunakan enjin sama seperti CBR1000R, iaitu unit empat silinder 998 cc DOHC, namun kini dinaik taraf dengan piston diperkuat, angkatan injap lebih tinggi, injap lebih besar, lubang pemasukan angin lebih besar dan kebuk pembakaran bentuk baru yang dapat meningkatkan pergerakan udara serta tork di tahap pertengahan rpm.

    Nisbah gear model ini juga dikurangkan sebanyak 4% untuk pecutan lebih baik, dan ia dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan yang mempunyai klac assist/slipper yang lebih ringan. Sistem ekzos 4-2-1 baru turut dipadankan pada motosikal ini, dan ia adalah 4.5 kg lebih ringan dan dapat memberikan lebih tork semasa rpm tinggi.

    Kelengkapan lain yang ada pada CB1000R 2018 adalah empat mod tunggangan (Standard, Sport, Rain, User), kesemua lampu LED, pemegang yang 0.5 inci lebih lebar dan lebih tinggi, tayar lebih lebar (190/55 ZR17), fork hadapan Showa Separate Function Big Piston (SFF-BP), kerangka besi Mono-backbone dan sistem Honda Selectable Torque Control (HSTC).

    Sementara itu, CB250R pula dikuasakan oleh enjin satu silinder 250 cc DOHC dengan sistem penyejukan cecair, bersama padanan transmisi enam kelajuan. Kuasa yang mampu dihasilkan aalah 27.2 hp pada 9,000 rpm dan 23.3 hp pada 8,000 rpm. Enjin ini juga menggunakan sistem suntikan PGM-FI, dan sebenarnya adalah unit sama seperti yang terdapat pada CBR250R pasaran Malaysia sekarang.

    Keistimewaan CB250R adalah ia mempunyai catatan berat cuma 145 kg, dan suspensi hadapannya menggunakan unit Showa USD 41 mm. Suspensi belakang pula adalah unit monoshock dengan pelarasan pra beban. Untuk brek, bahagian hadapan menggunakan cakera tunggal 296 mm bersama angkup Nissin empat piston manakala di belakang pula terdapat cakera 220 mm bersama angkup satu piston. Kedua-duanya juga disambungkan dengan sistem ABS two-channel.

    Informasi penting motosikal boleh dilihat melalui meter LCD digital tetapi ia tidak mempunyai penunjuk kedudukan gear. Walaubagaimanapun, pengguna disediakan dengan lampu tukar gear dan tangkinya boleh menyimpan 10.1 liter bahan api. Semua lampu pada motosikal ini juga adalah daripada unit LED.

    GALERI: Honda CB1000R

    GALERI: Honda CB250R

     
     
  • Program Pelapis MSF-TOC bermula dengan sesi teori

    Program Pelapis MSF-TOC bermula dengan sesi teori

    SONY DSC

    Kelas pertama Program Pelapis MSF-TOC, iaitu satu kerjasama antara Malaysia Speed Festival (MSF) dan Kolej Otomotif TOC telah pun bermula Rabu lalu, dan 76 daripada 80 pelajar yang mendaftar telah hadir untuk melengkapkan sesi pembelajaran secara teori.

    Topik pertama yang didedahkan kepada pelajar kursus ini adalah pengenalan kepada MSF, dengan termasuk bagaimana ia bermula, serta peraturan yang dikenakan sepanjang siri perlumbaan. Semua syarahan dilakukan sendiri oleh pengetua MSF, Adian Yein.

    Bagi peraturan, terdapat dua pecahan utama yang dikuat kuasakan oleh MSF iaitu Sporting dan Technical. Pada bahagian Sporting, ia melibatkan peraturan untuk memotong, memulakan perlumbaan, format, tingkah laku pelumba dan pelbagai lagi.

    Program Pelapis MSF-TOC bermula dengan sesi teori

    SONY DSC

    Dalam bahagian teknikal pula, pelajar didedahkan dengan pelbagai peraturan lain yang termasuk kapasiti enjin, modifikasi kenderaan yang dibenarkan dan tidak dibenarkan, syarat aerodinamik dan pelbagai lagi. Senarai penuh peraturan ini sebenarnya ada terdapat dalam laman web rasmi MSF.

    Sepanjang kelas berlangsung, Adian kerap menekankan aspek keselamatan dalam semua perkara, dan apabila pelajar sudah faham kesemuanya, mereka beralih pula kepada kategori yang terdapat dalam siri perlumbaan MSF. Ini adalah supaya pelajar sudah dapat mempunyai jangkaan keadaan sebelum betul-betul turun ke acara tersebut.

    Program Pelapis MSF-TOC bermula dengan sesi teori

    SONY DSC

    Secara keseluruhannya, Program Pelapis MSF-TOC ini akan melibatkan kursus 22-minggu dan apabila tamat, pelajar akan mempunyai pengetahuan tentang pelbagai perkara dalam perlumbaan seperti keselamatan acara dan pengawasan, kawalan perlumbaan dan disiplin pemandu, pemasaan dan pemilihan, penyediaan badan dan casis, pengubahsuaian enjin dan penyediaan, aerodinamik asas, penggantungan serta pengujian dan strategi.

    Jika tidak kerana kursus ini, perkara-perkara yang disebutkan sukar dipelajari oleh peserta. Selain daripada itu, pandangan mereka juga akan lebih terbuka kepada pelbagai kerjaya dalam industri ini seperti pengawal perlumbaan rasmi, penjaga masa, pemerhati proses, marsyal grid, pengurus pasukan, tukang tala enjin dan bermacam lagi. Perkara yang dipelajari semasa kursus ini juga sudah menyediakan mereka dengan pengetahuan yang diperlukan bagi kerjaya tersebut.

     
     
  • Polis digesa segera siasat sindiket ‘lesen memandu terbang’, masih tular di laman media sosial – Chung

    Isu ‘lesen memandu terbang’ masih tidak dapat dirungkai, kerana terdapat beberapa sindiket yang tetap aktif mempromosikan iklan tersebut di laman media sosial terutamanya di Facebook.

    Itu yang mendorong Pegawai Tugas-Tugas Khas di Pejabat Menteri Pengangkutan Chung Yi Fan untuk membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di sini, hari ini mengenai gejala ini. Beliau turut berkata, sindiket haram berkenaan menawarkan lesen memandu di laman sosial dengan harga mencecah ribuan ringgit, laporan Bernama.

    “Kumpulan ini disyaki melakukan pemalsuan dokumen serta terlibat kegiatan rasuah. Tindakan menjual lesen adalah bertentangan dengan undang-undang dan saya berharap siasatan segera dijalankan oleh pihak polis untuk mencari serta mengesan kumpulan ini,” katanya kepada pemberita.

    Polis digesa segera siasat sindiket ‘lesen memandu terbang’, masih tular di laman media sosial – Chung

    Rabu lepas, sebuah akhbar tempatan berbahasa Cina melaporkan wujud kumpulan yang menawarkan lesen memandu pada harga antara RM990 hingga RM2,900 tanpa perlu menjalani ujian serta latihan memandu.

    Menurut Chung, sindiket berkenaan menggunakan akaun palsu untuk membuat iklan penjualan lesen berkenaan. “Segala dokumen mengenai aktiviti kumpulan ini telah diserahkan kepada polis untuk tindakan seterusnya,” katanya.

    Pada pertengahan Mei lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke merancang untuk menghapuskan amalan rasuah dan sogokan di dalam pengeluaran lesen memandu di negara ini. Dengan langkah ini, diharap tidak akan ada lagi pemandu yang mendapatkan “lesen terbang” atau dari mana-mana saluran tidak sah yang lain.

     
     
  • Ford Focus Mk4 terima sistem pengesan lubang jalan khas untuk model yang dijual pada pasaran UK

    Ford Focus generasi keempat yang bakal masuk ke pasaran UK bermula musim panas tahun ini akan dilengkapi dengan teknologi pengesan lubang jalan bagi meminimakan kerosakan setiap kali kereta berkenaan dipandu di atas jalan dengan permukaan sedemikian.

    Sistem tersebut merupakan sistem yang sama diperkenalkan pada Ford Fusion tahun lalu, dan pengenalannya pada Focus Mk4 ini merupakan yang pertama untuk model-model pasaran UK. Selepas ini, Ford akan memadankan sistem tersebut untuk model-model yang lebih tinggi dari Focus, dan ia akan diberikan secara standard bagi model yang dilengkapi dengan sistem penyerap hentak yang sentiasa dikawal (continuously controlled damping).

    Sistem ini berfungsi dengan menggunakan teknologi tebatan lubang yang mengesan lubang pada jalan raya seterusnya menghalang tayar dari jatuh terus ke dalam dasar lubang. Komputer pada kereta akan mengesan pelbagai isyarat yang diterima daripada 12 penderia beresolusi tinggi, dan membantu menyelaraskan penyerap hentak setiap dua milisaat untuk respons kenderaan terbaik dalam setiap situasi.

    Apabila sistem mengesan lubang yang akan dilalui, komputer pada kereta akan melaras penyerap hentak lebih pantas dari sekelip mata kepada tahap yang paling keras, jadi tayar kereta akan ‘tergantung’ dan tidak jatuh ke dasar lubang, dakwa Ford. Disebabkan tayar dan roda tidak jatuh jauh ke dasar lubang, ia tidak akan menghentam tebing lubang yang bertentangan dengan begitu kuat.

    Suspensi belakang akan bertindak balas dengan lebih cepat, kerana kejadian yang terjadi pada bahagian hadapan akan memberikan isyarat pra-amaran kepada roda belakang sebelum ia sampai ke lubang tersebut. Menurut Ford, sistem ini telah diuji di litar ujian Ford Eropah yang terletak Lonmel, Belgium – yang mempunyai lebih 100 permukaan ekstrem yang ditiru dari 25 buah negara, termasuk jalan berlubang sepanjang dua kilometer.

    “Jurutera-jurutera kami sentiasa mencari jalan dengan permukaan paling lasak bagi menguji suspensi sehingga ke hadnya, tetapi lama kelamaan kami dapati jalan sedemikian pula yang mula mencari kami,” kata Guy Mathot, penyelia dinamik kenderaan untuk Ford Focus generasi baharu. “Lubang jalan merupakan masalah yang tidak akan selesai dalam masa terdekat tetapi, dengan teknologi suspensi terkini kami untuk Focus baharu, kami mampu untuk mengurangkan impaknya.”

    Sekarang, siapa setuju untuk minta Ford bawa teknologi ini ke Malaysia sila angkat tangan!

    Ford Focus ST-Line 2019

    Ford Focus Vignale 2019

    Ford Focus Titanium 2019

    Ford Focus Active 2019

     
     
  • Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi lapor penjimatan kos €5.7 bilion hasil daripada kerjasama lebih rapat

    Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi lapor penjimatan kos €5.7 bilion hasil daripada kerjasama lebih rapat

    Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi telah mengeluarkan laporan bahawa dengan kerjasama yang lebih rapat di antara ahli, mereka berjaya mencatat peningkatan nilai dan prestasi tahunan sebanyak 14%, iaitu menjadi €5.7 bilion (RM26.5 bilion) bagi tahun 2017, berbanding €5 bilion (RM23.2 bilion) pada tahun 2016.

    “Pakatan ini mempunyai kesan yang terus dan positif terhadap pertumbuhan dan serta keuntungan setiap syarikat yang menjadi ahli. Pada tahun 2017, pakatan ini telah memacu prestasi semua tiga syarikat termasuk Mitsubishi Motors yang baru menikmati keuntungan buat tahun pertama,” kata pengerusi dan CEO pakatan tersebut, Carlos, Ghosn.

    “Kami menjangkakan sinergi yang lebih tinggi pada tahun-tahun akan datang, memandangkan pakatan ini akan mempercepatkan lagi penumpuan melalui peningkatan penggunaan kilang bersama, platform kenderaan yang dikongsi, perkongsian teknologi dan penyatuan dalam pasaran matang dan membangun. Sekarang kami boleh mengesahkan semula sasaran sinergi lebih €10 bilion menjelang akhir tahun 2022,” tambah beliau.

    Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi lapor penjimatan kos €5.7 bilion hasil daripada kerjasama lebih rapat

    Keuntungan berasaskan kejuruteraan yang diperoleh datang daripada perkongsian kos R&D serta pelaburan, manakala dalam aspek pengilangan pula, kos pengeluaran yang lebih rendah dapat dicapai dengan perkongsian platform seperti Datsun Redi-GO dengan Renault Kwid. Pengurangan kos yang lebih jelas juga dapat diperoleh melalui penggunaan sumber berpusat bagi alat ganti, kelengkapan, alatan dan barangan lain.

    Turut menyumbang kepada perkara ini adalah perkongsian gudang alat ganti antara Renault, Nissan dan Mitsubishi Motors di Eropah, Jepun dan Australia. Dengan ini juga, kos yang berkaitan dengan pengangkutan kenderaan dapat dijimatkan. Sebagai contoh, kenderaan Nissan dan Mitsubishi yang datang daripada kilang sama boleh dihantar menggunakan pengangkutan sama kepada pengedar.

    Untuk tahun 2017, pakatan ini telah mencatat jualan sebanyak 10.6 juta kenderaan, dan berdasarkan pelan strategik 2022, ia dijangka dapat mencapai jumlah jualan lebih 14 juta kenderaan. Sembilan juta kenderaan daripada jumlah keseluruhan tersebut akan dibina menggunakan platform yang dikongsi termasuk kenderaan elektrik dan segmen B.

     
     
  • MRT jajaran Sg. Buloh-Serdang-Putrajaya diteruskan, dengan syarat kos pembinaan perlu dikurangkan

    MRT jajaran Sg. Buloh-Serdang-Putrajaya diteruskan, dengan syarat kos pembinaan perlu dikurangkan

    MRT laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) akan diteruskan pembinaannya dan tidak akan menerima nasib yang sama seperti laluan lingkaran MRT3 yang dibatalkan oleh kerajaan buat masa ini. Namun, MRT Corp diberikan tanggungjawab oleh Majlis Penasihat Kerajaan untuk mencari jalan bagi mengurangkan kos projek itu, lapor Malay Mail.

    Perkara ini dimaklumkan oleh CEO MRT Corp, Datuk Shahril Mokhtar selepas pertemuan dengan majlis penasihat berkenaan hari ini. “Kami sedang mengusahan sesuatu, dan akan berbincang untuk mencari jalan mengurangkan kos laluan kedua MRT yang terlibat itu. Matlamatnya adalah untuk mengurangkan kos supaya wang rakyat boleh dijimatkan,” tambah beliau. Ketika ini, pembinaan laluan terbabit telah siap sebanyak 24%.

    MRT SSP merangkumi jarak 52.2 km keseluruhannya – dengan 38.7 km laluan bertingkat dan 13.5 km laluan bawah tanah. Fasa pertama bagi laluan ini yang menelan belanja RM32 bilion dijangka akan mula beroperasi pada suku ketiga 2021 sebelum selesai sepenuhnya pada 2022. MRT pertama dengan laluan Sg Buloh-Kajang telah beroperasi sejak Julai tahun lalu.

    Perdana Menteri, Tun Mahathir mengumumkan pada 30 Mei lalu kerajaan akan membatalkan projek MRT3, yang melibatkan laluan lingkaran bersepadu bagi rangakaian dan laluan sistem pengangkutan di Lembah Klang.

     
     
  • Ops Selamat 13 – kes kemalangan, kematian menurun

    Ops Selamat 13 – kes kemalangan, kematian menurun

    Operasi keselamatan jalan raya, Ops Selamat 13, yang dilaksanakan di seluruh negara sempena Hari Raya ini menyaksikan penurunan sebanyak 9% bagi kadar kemalangan maut, dengan 189 kes direkodkan berbanding 207 kes pada tempoh yang sama tahun lalu, laporan Bernama.

    Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman SAC Shahrul Othman Mansor bagaimanapun bagaimana pun berkata, penunggang dan pembonceng motosikal masih menjadi penyumbang utama kemalangan maut dengan mencatatkan 119 kes pada Ops Selamat kali ini.

    “Jumlah kemalangan yang menyebabkan kecederaan parah pula menurun sebanyak 34 kes iaitu 72 kes berbanding 106 kes tahun lepas, ” katanya pada sidang media sempena Ops Khas Bersepadu di Plaza Tol Sungai Besi arah Utara semalam.

    Walau bagaimana pun, Ops Selamat 13, yang berakhir hari ini, merekodkan peningkatan jumlah saman sebanyak 40% iaitu mencecah 201,835. Katanya, memandu melebihi had laju adalah kesalahan tertinggi yang dicatatkan iaitu sebanyak 175,745 kes.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025