Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Pagani Huayra L’Ultimo – model coupe terakhir khas

    Pagani Huayra L’Ultimo – model coupe terakhir khas

    Selepas tujuh tahun dan 99 unit dikeluarkan, akhirnya Pagani Huayra telah diberhentikan pengeluarannya. Bagi menandakan pengakhirannya secara istimewa, pengeluar tersebut telah menunjukkan model terakhir, iaitu L’Ultimo. Menurut duPont Registry, model ini dibina khas untuk CEO pengedar Pagani di Miami, Brett David.

    Kereta ini akan keluar pada bulan Jun, dan merupakan hasil kolaborasi selama lapan bulan antara pengeluar kenderaan dari Itali tersebut dengan David. Ia juga menggunakan satu teknologi baru yang membolehkan pelanggan mereka lukisan render kenderaan mereka secara virtual.

    Huayra L’Ultimo menggunakan warna perak serta perincian hijau yang memberi penghormatan kepada kenderaan F1 Mercedes-AMG yang mendominasi perlumbaan tersebut menggunakan khidmat Lewis Hamilton. Ia juga diberikan sedikit naik taraf berbanding coupe biasa, termasuk splitter hadapan lebih besar dan sayap belakang yang tetap. Bahagian dalam juga menggunakan warna sama, dipadankan bersama tempat duduk putih dan tentunya kemasan gentian karbon.

    Bahagian mekanikal tidak berubah, bermakna ia masih lagi menggunakan enjin 6.0 liter V12 twin turbo daripada Mercedes-AMG. Sudah jelas ia tidak memerlukan kuasa yang lebih kerana dalam pakej standard sahaja, ia sudah mampu menghasilkan 720 hp pada 5,800 rpm dan 1,000 Nm tork antara 2,600 hingga 4,200 rpm. Transmisi adalah unit manual automatik sequential tujuh kelajuan daripada XTrac.

    Jika masih ada yang berminat dengan Huayra, Pagani sebenarnya masih lagi menghasilkan Huayra Roadster dan Huayra BC yang lebih berprestasi. Malah, anda juga mungkin boleh mendapatkan model khas tersendiri sekiranya mampu kerana melihat kepada Zonda, walaupun dikatakan sudah diberhentikan pengeluarannya, masih ada model baru yang diperkenalkan.

     
     
  • PEDA gesa kerajaan jalankan polisi Jangka Hayat Kenderaan untuk naikkan jumlah jualan kereta baharu

    PEDA gesa kerajaan jalankan polisi Jangka Hayat Kenderaan untuk naikkan jumlah jualan kereta baharu

    Persatuan Pengedar Proton Edar Malaysia (PEDA) telah menggesa kerajaan untuk melupuskan kereta lama untuk meningkatkan jualan dan pertumbuhan sektor automotif, lapor The Malaysian Reserve.

    Menurut berita tersebut, PEDA mahu kerajaan meneruskan polisi Jangka Hayat kenderaan yang diketengahkan pada 2009 dahulu. Ketika dicadangkan, polisi berkenaan memerlukan pemilik kenderaan yang berusia lebih dari 15-tahun atau lebih untuk dibawa ke pemeriksaan mandatori bagi membolehkan cukai jalan dihidupkan semula.

    Sekiranya kenderaan tersebut gagal ujian, ia perlu diperbaiki sehingga mematuhi kesemua kriteria, atau dilupuskan terus seperti yang dibuat di Singapura. Polisi ini sepatutnya telah dijalankan pada tahun 2014, namun atas rungutan orang ramai, menteri MITI Datuk Seri Mustapa Mohamed mennyatakan bahawa “rakyat masih belum bersedia” untuk polisi sedemikian.

    Isu ini sekali lagi ‘berbunyi’ pada 2015 apabila Institut Automotif Malaysia (MAI) mencadangkan agar polisi tersebut ditukar kepada skim yang menawarkan wang tunai untuk kenderaan lama. Skim yang dicadangkan ini membolehkan pemilik mendapat rebat tunai RM5,000 apabila mereka mahu menukar kereta lama ke kereta baharu (tidak kira apa-apa jenama) dari mana-mana pengilang OEM. Untuk rekod, Proton sendiri telah menjalankan skim sedemikian pada tahun 2007 menerusi Program Proton Xchange.

    Sistem yang dicadangkan ini nampak seperti akan dijalankan, namun tarikh implementasinya masih lagi belum diumumkan. Tahun lalu, menteri pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata polisi ini penting kerana makin berusia sesebuah kenderaan itu, makin banyak masalah yang akan timbul. Beliau turut menyatakan bahawa kajian terhadap polisi tersebut kini dalam peringkat akhir.

    “Setakat ini, kira-kira sejumlah 28 juta kenderaan telah didaftarkan, tetapi banyak daripadanya tidak lagi selamat untuk dipandu,” kata penasihat PEDA Datuk Armin Baniaz Pahamin. Beliau turut menambah bahawa skim pelupusan kenderaan ini telahpun diamalkan di negara membangun seperti Singapura, dan ia merupakan faktor untuk memacu jualan kereta baharu. “Kerajaan mesti perlu untuk membawa isu ini ke rebiu Dasar Automotif Nasional (DAN) seterusnya kerana pasaran kini sudah matang,” katanya.

    Walaupun skim ini diamalkan dinegara membangun sebagai contoh yang diberikan penasihat PEDA tadi iaitu Singapura, pasaran, situasi dan kemampuan antara republik berkenaan dengan negara kita tentunya berbeza. Apa pula pendapat anda? Kongsikannya pada ruang komen di bawah, atau pada laman facebook kami.

     
     
  • Toyota Prius facelift 2019 muncul dalam majalah Jepun

    Toyota Prius facelift 2019 muncul dalam majalah Jepun

    Jika apa yang muncul dalam majalah Best Car dari Jepun ini boleh dipercayai, nampaknya Toyota Prius akan diberikan facelift tidak lama lagi. Model hibrid generasi keempat sekarang sudah berada dalam pasaran sejak tahun 2015, dan waktu untuk pembaharuan sememangnya diperlukan.

    Melihat kepada gambar ini, bahagian depan Prius baru nampaknya akan menggunakan lampu utama yang lebih nipis, dan tiada lagi bahagian yang menurun ke bawah. Selain daripada itu, terdapat juga jalur LED menegak di hujung bampar tersebut, bersama bukaan udara bawah yang direka semula untuk menempatkan lampu kabus berbentuk bulat.

    Toyota Prius facelift 2019 muncul dalam majalah Jepun

    Pergi pula ke bahagian belakang, lampunya serba baru, dengan bentuk lebih tajam, dan garisannya bersambung dengan ‘spoiler‘ di atas penutup but belakang. Bampar juga adalah baru, dengan rekaan yang lebih bersih dan terdapat garisan ke bawah di penjurunya.

    Masih belum dapat dipastikan sama ada enjin hibrid pada kenderaan ini akan diberikan naik taraf, dan kita perlu menunggu pengumuman rasmi daripada Toyota sendiri. Prius yang ada sekarang menggunakan enjin petrol empat silinder 1.8 liter Atkinson Cycle VVT-i berkuasa 97 hp/ 142 Nm dan dipadankan bersama motor elektrik 71 hp/ 163 Nm tork.

     
     
  • Tol LPT2 turun 50% jika BN menang di Terengganu

    Tol LPT2 turun 50% jika BN menang di Terengganu

    Bahang pilihanraya makin terasa, dan bermacam ‘tawaran’ diberikan kepada pengundi oleh kesemua parti yang bertanding, termasuk tawaran-tawaran untuk sistem pengangkutan.

    Pagi tadi kami menyiarkan berita bahawa Barisan Nasional akan memansuhkan kutipan tol untuk pengguna motosikal di Jambatan Pulau Pinang, dan yang terbaharu ini parti yang sama berjanji akan mengurangkan kadar sehingga 50% untuk tol Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) jika mereka dapat menawan Terengganu.

    Pengumuman tersebut dinyatakan oleh timbalan perdana menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai salah satu perkara dalam manifesto 20-poin parti berkenaan untuk Terengganu ketika berkunjung ke negeri di Pantai Timur berkenaan.

    “Kami akan mengurangkan kadar tol di LPT2 sehingga 50% secara berperingkat,” kata menteri besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman selepas merasmikan jentera pilihanraya Barisan Nasional Kuala Berang.

    Buat masa sekarang, kenderaan Kelas 1 yang melalui lebuhraya itu bermula di Karak hingga ke Kuala Terengganu akan dikenakan bayaran RM43.30. Kadar berkenaan dikira berdasarkan kiraan 12 sen untuk setiap kilometer.

     
     
  • PSA Group lantik Laurence Noël sebagai CEO bagi usaha sama Naza Automotive Manufacturing di M’sia

    PSA Group lantik Laurence Noël sebagai CEO bagi usaha sama Naza Automotive Manufacturing di M’sia

    Susulan kepada pengambil alihan majoriti kepentingan di dalam Naza Automotive Manufacturing (NAM) oleh PSA Group, syarikat Perancis itu telah melantik Laurence Noël sebagai Ketua Pegawai Operasi (CEO) untuk usaha sama dengan NAM di Malaysia. Beliau juga akan menyandang jawatan Naib Presiden Kanan, Operasi ASEAN untuk kumpulan itu.

    Laurence pertama kali menyertai PSA Group pada 1995, dan memegang jawatan terakhir sebagai di bahagian projek powertrain. Pada 2014, beliau diberi tanggungjawab untuk mengetuai jabatan Powertrain, Platform and Module Programmes bagi PSA Group.

    Jawatan terbaru ini nanti, yang akan memerlukan beliau bertugas di Kuala Lumpur, beliau bertanggungjawab untuk mempercepat pembangunan syarikat itu di Asia Tenggara, seperti yang diumumkan dalam pelan “Push to Pass” pada 2016. Ini termasuk mengeluarkan dan memasarkan kenderaan Peugeot, Citroen dan DS Automobiles di Malaysia dan pasaran ASEAN yang lain.

    Seperti dilaporkan sebelum ini, pelaburan PSA di NAM akan menyaksikan pelaksanaan pemasangan platform modeular EMP2 untuk kenderaan segmen C dan D. Model pertama yang akan dipasang di Gurun, Kedah itu tahun ini ialah Peugeot 3008 (ketika ini dijual sebagai unit CBU) serta Citroen C5 Aircross pada 2019.

    Kilang NAM telah beroperasi sejak 2004 dan mempunyai kapasiti 50,000 unit setahun, dengan tenaga kerja seramai 450 orang. NAM dijangka akan menjadi hab eksport bagi PSA di rantau ini, dengan sasaran pengeluaran 18,000 unit pada 2019 dan 21,000 unit pada 2020.

     
     
  • Terowong Smart akan ditutup sementara malam Sabtu ini untuk acara Viper Tunnel Challenge 2018

    Terowong Smart akan ditutup sementara malam Sabtu ini untuk acara Viper Tunnel Challenge 2018

    Perhatian untuk pengguna jalan raya sekitar Kuala Lumpur, berberapa jalan sekitar Terowong Smart bakal ditutup kepada semua kenderaan bermula 11 malam pada Sabtu ini, dan dijangka akan dibuka semula pada hari Ahad pukul 8 pagi. Penutupan berkenaan adalah untuk memberi laluan untuk penganjuran acara Viper Tunnel Challenge yang akan dijalankan di kawasan tersebut.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengendali Terowong Smart, penutupan tersebut akan melibatkan berberapa jalan dan pintu masuk terowong berkenaan, termasuk keseluruhan Jalan Imbi di hadapan Berjaya Times Square. Walau bagaimanapun lorong bertentangan Jalan Imbi ke Jalan Sultan Ismail akan dibuka seperti biasa.

    “Tambahan lagi, penutupan jalan ini turut melibatkan jalan masuk ke Jalan Kampung Pandan melalui persimpangan lampu isyarat di Jalan Imbi dan Jalan Sultan Ismail serta jalan masuk ke Jalan Kampung Pandan melalui Jalan Barat.

    “Penutupan ini turut melibatkan jalan masuk ke Jalan Kampung Pandan melalui Jalan Changkat Thambi Dollah dan jalan masuk ke Jalan Sultan Ismail dari bulatan Kampung Pandan, kenderaan akan dilencongkan ke Jalan Davis manakala laluan di bulatan Kampung Pandan akan dibuka seperti biasas,” kata kenyataan tersebut lagi.

    Jalan masuk ke Jalan Kampung Pandan dari Jalan Perkasa menuju ke Jalan Sultan Ismail turut ditutup. Jika anda merancang untuk ke kawasan-kawasan terlibat pada masa yang dinyatakan, anda dinasihatkan untuk membuat perancangan semula bagi mengelakkan sebarang kesulitan.

     
     
  • Hapus tol untuk motosikal di jambatan P.Pinang – BN

    Hapus tol untuk motosikal di jambatan P.Pinang – BN

    Satu lagi janji dibuat oleh presiden Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Tun Razak, dan kali ini adalah untuk penunggang motosikal. Menurut laporan The Sun, jika parti itu menang PRU 14 9 Mei nanti, Najib memberitahu akan menghapuskan tol jambatan Pulau Pinang untuk pengguna motosikal.

    Perkara ini diberitahu semasa beliau melancarkan satu program di SMK Seri Balik Pulau, dan akan dimasukkan dalam manifesto BN Pulau Pinang selepas berbincang dengan pemimpin di negeri itu.

    Pada masa ini, pengguna motosikal perlu membayar tol berharga RM1.40 untuk laluan jambatan dari Perai, manakala untuk jambatan kedua, ia berharga RM1.70. Kedua-dua bayaran ini dikenakan untuk satu hala sahaja, iaitu sewaktu menghala ke pulau.

    Menurut Najib lagi, janji ini juga dibuat sebagai tambahan kepada manifesto sedia ada, yang turut termasuk peruntukan untuk membina jambatan lintasan untuk motosikal di Kampung Seronok, Sungai Ara, Pulau Pinang sebanyak RM10.5 juta.

     
     
  • Peugeot 5008 2018 dibuka untuk tempahan – RM174k

    Peugeot 5008 2018 dibuka untuk tempahan – RM174k

    Pengedar rasmi kenderaan Peugeot di Malaysia, Nasim Sdn Bhd bakal melancarkan crossover 5008 terbaru di Malaysia 25 April ini, tetapi sebelum itu, ia dipertonton kepada orang ramai di Sunway Velocity Mall sehingga Ahad ini. Di bawah, kami ada galeri penuh untuk crossover tujuh tempat duduk ini.

    Hanya satu varian, iaitu Allure THP ditawarkan untuk 5008 yang diimport sepenuhnya (CBU) ini, dan ia telah pun dibuka untuk tempahan pada harga RM173,888 atas jalan tidak termasuk insurans. Ini menjadikan ia RM18,000 lebih mahal berbanding 3008 Allure THP, tetapi dengan menawarkan lebih tempat duduk dan ruang yang lebih besar. Turut disertakan adalah jaminan lima tahun/120,000 km serta 24-hour Peugeot Assistance selama tiga tahun.

    Jika melihat kepada dimensi, 5008 boleh dikatakan agak besar berbanding 3008, dengan ukuran 4,641 mm panjang (lebih 194 mm), 1,640 mm tinggi (lebih 16 mm) dan 1,844 mm lebar (lebih tiga mm). Jarak roda 5008 pula adalah 2,840 mm, iaitu 165 mm lebih panjang berbanding 3008.

    Peugeot 5008 2018 dibuka untuk tempahan – RM174k

    Anda juga mungkin boleh melihat beza badannya yang panjang serta cermin belakang yang lebih tegak berbanding 3008, tetapi bahagian lain masih lagi mirip antara keduanya. Ini termasuklah lampu hadapan LED penuh dengan lampu siang LED dan lampu penunjuk arah sequential, rim 18 inci “Los Angeles” dan lampu belakang LED dengan pencahayaan seperti cakar harimau.

    Bahagian dalam juga sama seperti 3008, menggunakan rekaan Peugeot i-Cockpit. Di atas roda sterengnya terdapat panel instrumen digital 12.3 inci, manakala di bahagian tengah mempunyai satu lagi skrin sesentuh lapan inci untuk sistem infotainmen – dengan sambungan MirrorLink, Apple CarPlay dan Android Auto.

    Bila pergi ke bahagian belakang, barulah bezanya lebih jelas. Tempat duduk baris kedua 5008 ini boleh dilipat secara 40:20:40, dan apabila tegak, ia boleh disandar dan dilungsur ke depan dan belakang. Dengan hanya satu sentuhan, tempat duduk ini boleh dilipat dan dilungsur sedikit ke hadapan untuk masuk pula ke tempat duduk baris ketiga, dan bahagian ini boleh dilipat rata dengan pembahagian 50:50 atau dicabut terus kalau mahu.

    Seperti kebanyakan crossover tujuh tempat duduk lain, ruang simpanan apabila semua tujuh tempat duduk tegak adalah terhad, tetapi apabila baris ketiga dilipat, ia boleh memberikan ruang 702 liter – lebih 182 liter berbanding 3008. Apabila tempat duduk baris kedua juga dilipat, ruangnya menjadi 1,862 liter, dan anda boleh meningkatkannya lagi menjadi 1,940 liter apabila tempat duduk baris ketiga dicabut terus. Sama seperti 3008, tempat duduk penumpang hadapan juga boleh dilipat rata untuk memuatkan barang yang lebih panjang.

    Barangan standard yang diberikan adalah sama dengan 3008 Allure, termasuk lampu kabus LED, sistem masuk tanpa kunci, butang pemula enjin, kemasan dalam kulit “Claudio”, papan pemuka dan trim pintu yang dibalut fabrik, tempat duduk pemandu larasan kuasa dengan memori, lampu dan pengelap cermin automatik, cermin pandang belakang malap sendiri, corong pendingin hawa baris kedua dan kamera undur.

    Untuk aspek keselamatan pula, kenderaan ini didatangkan dengan enam beg udara, ABS, EBD, BA, Dynamic Stability Control (DSC), Electronic Stability Programme (ESP), Hill Assist Descent Control (HADC), Hill Start Assist, Lane Departure Warning, pengenalan tanda jalan, pemerhati tekanan angin tayar serta pengesan jarak depan dan belakang.

    Peugeot 5008 2018 dibuka untuk tempahan – RM174k

    Model baru ini masih lagi menggunakan khidmat enjin empat silinder 1.6 liter THP 165 turbo dengan sistem start/stop, dan ia mampu menghasilkan sehingga 165 hp pada 6,000 rpm dan 240 Nm tork pada 1,400 rpm. Transmisi adalah daripada Aisin dengan enam kelajuan automatik, dan kuasa dihantar ke roda hadapan.

    Walaupun merupakan kenderaan pacuan dua roda, pengguna masih boleh menggunakan ciri Advanced Grip Control untuk membenarkan bahagian elektronik pada casis untuk menghasilkan cengkaman yang bersesuaian dengan permukaan jalan. Turut disediakan adalah lima mod pemanduan – Mud, Snow, Sand, ESP Off dan Standard – yang boleh dipilih menggunakan tombol di konsol tengah.

     
     
  • Nissan Serena 2.0L S-Hybrid 2018 – spesifikasi dan harga didedahkan, bermula di bawah RM140k

    Nissan Serena 2.0L S-Hybrid 2018 – spesifikasi dan harga didedahkan, bermula di bawah RM140k

    Kini bukan lagi rahsia; selepas agak lama menyepi dari memperkenalkan model baru untuk pasaran tempatan, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) Sdn Bhd bakal memperkenalkan MPV Nissan Serena 2.0L S-Hybrid 2018.

    Selepas pernah dilihat sedang diuji di jalan raya Malaysia, serta dipertontonkan di Bagan Datok, Perak beberapa minggu lalu dan kemudiannya dibuka untuk tempahan, kini MPV ini dipertontonkan secara rasmi buat pertama kali kepada wakil media.

    ETCM turut mengumumkan MPV ini turut akan ditawarkan di dalam varian Premium Highway Star sebagai tambahan kepada varian Highway Star biasa, dengan harga anggaran masing-masing ialah di bawah RM155k dan di bawah RM140k.

    Nissan Serena 2.0L S-Hybrid 2018 – spesifikasi dan harga didedahkan, bermula di bawah RM140k

    Bagi membezakan varian Premium Highway Star daripada model asas, antara tambahan ciri yang ditawarkan padanya ialah warna luaran dwi-tona dan senarai kelengkapan eksklusif untuk varian ini. Tiga pilihan warna dwi-tona disediakan – Imperial Umber (bumbung)/Cashmere Gold (badan), Diamond Black (bumbung)/Tungsten Silver (badan) dan Diamond Black (bumbung)/Brilliant White (badan).

    Di dalam, ia hadir dengan tempat duduk material gabungan kulit dengan dua pilihan warna – dwi-tona Truffle Brown/Chesnut atau dalam warna hitam sepenuhnya. Kelengkapan lain yang ada termasuk panel LCD 10.1-inci pada bumbung, Tech-On Tray Mat, perakam video DVR, lampu kabin LED, rim aloi 16-inci, visor pintu, filem keselamatan V-Kool 4Mil dan body coating ThreeBond Ultra Glass.

    Secara umumnya, MPV ini menggunakan penjana kuasa yang sama seperti C26 Serena, dengan enjin MR20DD 2.0 liter suntikan-terus CVTC-berkembar empat-silinder petrol yang menawarkan 150 PS pada 6,000 rpm dan 200 Nm pada 4,400 rpm.

    Nissan Serena 2.0L S-Hybrid 2018 – spesifikasi dan harga didedahkan, bermula di bawah RM140k

    Unit ini turut dipadankan dengan transmisi Xtronic CVT, yang ditambah dengan motor ECO (1.9 kW) untuk mengawal fungsi Idling Stop dan berfungsi juga sebagai pengganti semasa nyah-pecutan. Ia juga mempunyai 48 Nm tork tambahan.

    Tahap penggunaan minyak yang dicatatkan oleh model ini pula ialah 14.2 km/l (kitaran NEDC). Ini memberikan peningkatan kecekapan bahan api sebanyak 13% berbanding yang sebelumnya.

    Untuk keselesaan penumpang, ruang kabinnya juga menerima keluasan tambahan – lebar ruang dalamnya ditambah sebanyak 65 mm, manakala panjang ruang berkenaan pula ditambah 180 mm berbanding versi sebelum ini. Barisan kedua juga menggunakan “captain seat” dengan dua perehat lengan.

    Ciri-ciri menarik lain yang ada pada model ini adalah seperti tujuh slot USB untuk mengecas peranti elektronik setiap penumpang, pintu belakang yang mempunyai dua bahagian untuk bukaan, Intelligent Key dengan fungsi Push/Start serta paparan audio Clarion 6.75-inci dengan enam pembesar suara.

    Antara pembaharuan yang diberikan pada model baru Serena S-Hybrid ini termasuk kabin yang lebih senyap, nisbah steering rack yang ditingkatkan (untuk maklum balas yang lebih cepat) serta variable assist pada stereng kuasa elektriknya agar menjadi lebih ringan ketika kelajuan rendah dan menjadi lebih berat ketika kelajuan ditingkatkan.

    Selain itu, mounting suspensi depan dan belakang juga dikeraskan, disertakan dengan injap prestasi tiggi di dalam penyerap hentak, menjadikan pemanduan lebih stabil dan selesa.

    Kelengkapan standard yang ada bagi MPV tujuh-tempat duduk ini (dengan 13 konfigurasi berbeza) termasuk pintu gelungsur dwi-kuasa, Paparan Pandangan Sekeliling 360-sudut (I-AVM) dengan Pengesan Objek Bergerak Pintar (I-MOD). Kelengkapan keselamatan yang tersedia termasuklah kawalan dinamik kenderaan (VDC), ABS dan EBD, bantuan mula mendaki, kawalan cengkaman (TCS) enam beg udara dan dua cagak Isofix.

    Nissan Serena S-Hybrid 2018 Highway Star

     
     
  • Aston Martin DB11 V8 kini di Malaysia – enjin dari Mercedes-AMG, 510 PS/675 Nm, bermula RM1.8 juta

    Aston Martin DB11 V8 kini di Malaysia – enjin dari Mercedes-AMG, 510 PS/675 Nm, bermula RM1.8 juta

    Setelah versi yang dijana enjin V12 diperkenalkan pada pasaran tempatan hampir dua tahun lalu, kini Aston Martin membawa pula model DB11 yang dijana enjin V8 ke Malaysia secara rasmi.

    Untuk versi enjin lapan-silinder ini, DB11 dijana enjin yang dibekalkan oleh rakan teknikal Aston Martin iaitu Mercedes-AMG, dengan unit V8 turbo berkembar dari siri ’63’. Enjin M177 yang turut boleh ditemui pada model Mercedes-AMG C63 S tersebut menggunakan sistem pelinciran jenis takungan basah, berbanding enjin M178 pada AMG GT S yang menggunakan sistem takungan minyak pelincir jenis kering.

    Dari segi kuasa pula, versi V8 ini menghasilkan 510 PS dan tork maksima 675 Nm, berbanding versi V12 5.2 liter turbo berkembar yang mampu menjana 608 PS/700 Nm. Walau bagaimanapun, Aston Martin tidak menggunakan sekali kotak gear klac berkembar AMG SpeedShift tujuh-kelajuan untuk mengalirkan kuasa dari enjin ke roda belakang, sebaliknya menggunakan unit automatik konvensional lapan-kelajuan dari ZF.

    Aston Martin DB11 V8 kini di Malaysia – enjin dari Mercedes-AMG, 510 PS/675 Nm, bermula RM1.8 juta

    Walaupun kuasa yang dihasilkan kurang 98 PS/25 dari model V12, versi V8 ini masih mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4 saat dan mencatatkan kelajuan maksima 301 km/j, atau hanya 0.1 saat lebih lambat dan 21 km/j kurang pada kelajuan maksima.

    Ini adalah kerana model dengan enjin lebih kecil ini dibina 115 kg lebih ringan (1,760 kg) berbanding model V12 yang ditimbang pada 1,875 kg. Bagi memuatkan enjin yang jelas berbeeza tersebut, cagak enjin untuk DB11 V8 ini telah direka semula. Talaan suspensi pada badan yang kini lebih ringan ini juga telah dibuat kembali.

    Rupa keseluruhan model V8 ini sebahagian besarnya masih sama seperti versi V12. Bagi membezakan antara keduanya, model V8 diberikan sepasang liang udara pada bonet (empat pada model V12), bezel lampu lebih gelap dan juga rim aloi berbeza.

    Bahagian dalam juga direka hampir seiras untuk kedua-dua model. Ia dilengkapi dengan kluster informasi digital dengan paparan TFT LCD bersaiz 12-inci, serta skrin tengah utama pada bahagian tengah yang dihubungkan pada sistem infotaimen COMAND – satu lagi contoh kerjasama teknikal antara Mercedes dan Aston Martin.

    Aston Martin DB11 V8 ini dijual ‘lebih murah’ dengan harga asas termasuk cukai “sekitar RM1.8 juta” berbanding versi V12 yang dijual pada harga “sekitar RM2 juta”. Ok, sekarang boleh berangan, nak yang V8 ke atau nak tambah lagi RM200k untuk versi V12?

     
     
  • PANDU UJI: Volvo S90 T8 Twin Engine Inscription Plus plug-in Hybrid – selamat datang ke masa hadapan

    PANDU UJI: Volvo S90 T8 Twin Engine Inscription Plus plug-in Hybrid – selamat datang ke masa hadapan

    Sejak sekian lama, Volvo sering digambarkan sebagai jenama alternatif bagi mereka yang mahukan sebuah kereta premium tetapi bukan berasal dari Jerman seperti Mercedes-Benz dan BMW. Dari satu sudut, ya Volvo memang berada pada aras yang sama ketika bersaing dalam pasaran, namun dari segi penghasilan produk, Volvo seringkali tidak dapat menghasilkan model-model ‘sehalus’ saingan-saingannya dari Jerman berkenaan.

    Dari segi saiz syarikat, jelas jenama dari Sweden ini tidak sebesar BMW dan Mercedes-Benz, secara tidak langsung ia mengehadkan kemampuan Volvo untuk meneroka teknologi yang lebih kehadapan. Malah ketika sahamnya dikuasai Ford Motor Co., Volvo pernah hampir bankrap sewaktu berlakunya krisis ekonomi global 2008.

    Di bawah Geely, pasukan jurutera Volvo bukan sahaja bebas untuk meneroka pelbagai teknologi baharu, malah mereka juga diberikan suntikan modal yang begitu besar. Untuk memulihkan kembali jenama tersebut, Volvo mula membangunkan platform dan enjin-enjin baharu untuk menggantikan unit-unit sedia ada – yang sebahagiannya ‘terpaksa’ berkongsi dengan model-model dari Ford, dan akhirnya terhasillah platform Scalable Product Architecture (SPA) dan juga barisan enjin empat-silinder Drive-E baharu.

    Sedan Volvo S90 ini merupakan antara produk awal yang diasaskan dari platform SPA berkenaan, selain versi SUVnya iaitu XC90 yang hadir ke pasaran lebih awal. Untuk Malaysia, S90 dan kembar wagonnya V90 diperkenalkan terlebih dahulu dalam versi CBU T5 dan T6 pada March 2017, manakala versi CKD dengan unit janakuasa plug-in hybrid T8 Twin Engine yang lebih berkuasa ini pula muncul pada Oktober tahun lalu.

    Baca laporan selanjutnya di sini

     
     
  • Mercedes-Benz melancarkan jenama EQ di Malaysia

    Mercedes-Benz melancarkan jenama EQ di Malaysia

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) kini telah memperkenalkan sebuah lagi cabang jenama baru – EQ – sebagai pengenalan khas bagi barisan kenderaan elektrik atau plug-in hybrid selepas ini. EQ merupakan singkatan bagi “Electric Intelligence”, dan akan menjadi jenama khas seperti jenama-jenama lain yang digunakan ketika ini di bawah seliaan Mercedes-Benz – seperti AMG dan Maybach.

    Dengan pelancaran jenama baru ini – ia sudah diperkenalkan di Eropah juga – model-model PHEV yang sudah diperkenalkan untuk pasaran tempatan seperti E 350 e dan C 350 e akan dijenamakan semula sebagai barisan produk EQ Power.

    Antara perkhidmatan baru yang turut disertakan kepada pelanggan yang berminat untuk memiliki barisan kenderaan EQ Power selepas ini ialah ialah kad untuk mengecas kenderaan secara percuma bagi tempoh setahun.

    Selain itu, turut diperkenalkan ialah EQ Agility Plan Package untuk kemudahan dan kelegaan dari aspek pengalaman pemilikan pengguna. Melalui pelan ini, mana-mana pemilikan barisan kenderaan EQ Power bagi tempoh antara tiga hingga lima tahun akan ditawarkan dengan kemudahan bayaran ansuran.

    Mercedes-Benz melancarkan jenama EQ di Malaysia

    Turut termasuk di dalamnya ialah kos servis kenderaan serta peranti wallbox khusus untuk tujuan mengecas kenderaan berkenaan. Ini memudahkan pengguna untuk mengira dan menganggarkan perbelanjaan sepanjang pemilikan kenderaan terbabit.

    Di dalam perkembangan berkaitan, selepas memperkenalkan stesen pengecas dengan jenama Mercedes-Benz (yang terbuka untuk digunakan oleh kenderaan jenama lain) di Bangsar Shopping Center (BSC, tiga pengecas), MBM turut meluaskan lagi rangkaian stesen seperti itu antaranya ke Pavilion Kuala Lumpur (empat pengecas), Sunway Pyramid (dua pengecas) dan Desa Park City (dua pengecas).

    Selari dengan pengenalan jenama baru ini, semua stesen berkenaan juga akan menggunakan jenama EQ yang sama. Rangkaian stesen pengecas terbaru yang akan datang akan diumumkan dari semasa ke semasa.

     
     
  • Kawasaki Z900 ditambah dengan pilihan warna baru

    Kawasaki Z900 ditambah dengan pilihan warna baru

    Semasa dilancarkan pada bulan Mac tahun lalu, Kawasaki Z900 ditawarkan dalam pilihan tiga warna iaitu kelabu sebagai model standard yang dijual pada harga RM49,158 dan biru serta merah metalik sebagai model edisi khas berharga RM50,959. Model edisi khas ini juga mendapat tambahan pelbagai aksesori.

    Terbaru, Kawasaki telah menambah pilihan warna bagi model standard, iaitu warna yang digelar sebagai Metallic Green Black. Harganya masih lagi sama, iaitu RM49,158 termasuk GST, tanpa insurans dan kos pendaftaran lain.

    Z900 adalah pengganti bagi Z800, dan ia melibatkan binaan serba baru, bersama enjin berkapasiti 948 cc, empat silinder sebaris berpenyejukan cecair yang mampu menghasilkan 124 hp pada 9,500 rpm dan 98.6 Nm tork pada 7,700 rpm. Jumlah kuasa ini adalah 13 hp lebih berbanding enjin Z800.

    Kawasaki Z900 ditambah dengan pilihan warna baru

    Turut diberikan secara standard pada Z900 adalah klac jenis slipper, yang boleh mengelakkan lantunan pada tayar belakang semasa menurunkan gear secara agresif, panel instrumen skrin LCD, pilihan tiga mod tunggangan, serta lampu shift light pada bahagian meter rpm.

    Di bahagian hadapan, motosikal ini menggunakan fork USD yang boleh dilaras untuk lantunan dan pra beban, serta brek cakera berkembar 300 mm dengan angkup empat piston. Di bahagian belakang pula terdapat monoshock dengan pelarasan lantunan dan pra beban, serta brek cakera tunggal 250 mm serta angkup satu piston. Kedua-dua brek ini juga mempunyai sistem brek ABS.

    Berat keseluruhan Z900 adalah 210 kg (213 kg untuk model SE) dan ia menyediakan tangki bahan api berkapasiti 17 liter. Rim di kedua-dua bahagian adalah bersaiz 17 inci, dengan tayar 120/70 di hadapan dan 180/55 di belakang.

    GALERI: Kawasaki Z900 ABS SE

     
     
  • VIDEO: Nissan tunjuk kereta EV pertama dan terbaru

    Pada tahun 1947, telah wujud kenderaan elektrik prototaip yang dinamakan sebagai Tama, dibangunkan oleh Tachikawa Aircraft Company. Ini adalah sebuah syarikat yang kemudiannya dikenali sebagai Prince Motors, dan menjadi sebahagian daripada Nissan.

    Tama adalah sebuah kenderaan dua tempat duduk, yang dikuasakan oleh bateri dan kebanyakannya digunakan sebagai pengangkut barang kerana di hadapannya cuma ada dua tempat duduk, dan selebihnya adalah ruang kargo di belakang. Ia juga memainkan peranan penting waktu ketandusan minyak di Jepun selepas perang.

    Motor elektrik 4.5 hp pada Tama mendapat kuasa daripada bateri lead acid 40 volt dan ia boleh memberi jarak pergerakan 65 km dan laju maksimum 35 km/j. Ia juga mempunyai bateri yang terletak di bahagian lantai, sekaligus dapat merendahkan titik graviti seperti EV masa kini.

    Walaupun sudah berlaku di waktu dulu, Nissan cuba menunjukkan kembali bagaimana kereta elektrik terbaru mereka, Leaf juga dapat membantu cabaran masa kini. Leaf adalah sebuah kereta elektrik yang dikuasakan oleh motor elektrik 148 hp dan 320 Nm tork. Kuasa ini datang daripada bateri lithium ion 40 kWh yang boleh menawarkan jarak pergerakan 378 km.

    Sudah tentu, kereta elektrik terbaru Nissan ini lebih moden, dan ia lebih kepada tugas untuk membawa penumpang, berbeza dengan Tama yang lebih kepada pengangkut dengan had muatan 454 kg. Antara teknologi lain yang ada pada Leaf adalah termasuk e-Pedal, ProPILOT dan pemanduan autonomous satu lorong. Ia dijangka tiba di Malaysia pada suku keempat tahun ini.

    GALERI: Nissan Leaf di Singapura

     
     
  • China beri tawaran terbaik untuk projek ECRL – Najib

    China beri tawaran terbaik untuk projek ECRL – Najib

    Keputusan Malaysia memilih China untuk membina dan membiayai projek Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL) dilakukan kerana mereka menawarkan perjanjian yang terbaik, kata perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam laporan The Star.

    Perjanjian ini melibatkan perlepasan daripada servis pinjaman tersebut selama tujuh tahun, bersama kadar faedah paling rendah, kata Najib. “Dalam masa tujuh tahun, kita tidak perlu servis pinjaman tersebut. Pada masa itu, ringgit akan lebih dihargai, dan kadar faedah tersebut tidak begitu tinggi,” kata beliau waktu majlis pecah tanah kem ECRL Tunjung Rabu semalam.

    Kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPC) dianugerahkan kepada China Communication Construction Company Ltd (CCCC), sementara perjanjian kewangan pula dimeterai bersama Export-Import Bank of China (EXIM). Pemilik projek pula adalah Minister of Finance Incorporated, Malaysia Rail Link (MRL).

    Projek ECRL terdiri daripada dua fasa, iaitu fasa pertama melibatkan 21 stesen sepanjang 600.3 km yang menyambungkan Kota Bharu, Kelantan ke Terminal Bersepadu (ITT) Gombak di Selangor. Fasa kedua pula akan dilaksanakan dan menghubungkannya sehingga ke Pelabuhan Klang. Kelajuan tren akan mencecah 160 kilometer sejam dan ia akan membawa penumpang serta kargo.

    Secara keseluruhannya, kos pembinaan projek ini adalah RM55 bilion, dan peruntukan baginya telah diumumkan oleh kerajaan semasa pembentangan bajet tahun lepas. Ia dijangka siap pada Jun 2024.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.08 (+0.03)
Last Updated Aug 28, 2025