Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Haval H6 Plug-in Hybrid ditayang untuk global di Thai Dis ini – sama enjin seperti Hybrid, bateri lebih besar

    Haval H6 Plug-in Hybrid ditayang untuk global di Thai Dis ini –  sama enjin seperti Hybrid, bateri lebih besar

    Haval H6 Hybrid dilaporkan sebagai SUV segmen-C paling laris di Thailand, dan awal tahun ini Great Walls Motors (GWM) mengesahkan bakal memperkenalkan varian plug-in hybrid baharu. Menurut Headlight Magazine, model tersebut akan dipertontonkan di peringkat global di Thai Motor Expo pada 1 Disember ini.

    Walau bagaimana pun tiada perincian yang didedah, namun penerbitan terbabit melaporkan PHEV baharu itu akan dipadankan dengan penjana kuasa seperti Hybrid. Ia adalah enjin 1.5 liter pengecas turbo empat-silinder yang menghasilkan kuasa sehingga 150 hp dari 5,500 hingga 6,000 rpm dan tork 230 Nm antara 1,500 dan 4,000 rpm.

    Ia turut dipadankan dengan motor elektrik 177 hp/300 Nm dan transmisi dwi-klac tujuh-kelajuan, yang mampu menghasilkan keseluruhan kuasa mencecah 243 hp dan tork 530 Nm. Bateri ini dijangka lebih besar sedikit berbanding unit lithium-ion 1.6. kWh yang digunakan pada Hybrid, membolehkan PHEV berkenaan dipacu dalam mod elektrik-penuh dengan tempoh yang lebih panjang.

    Selain bateri yang lebih besar, H6 Plug-in Hybrid ini juga dijangka berkongsi banyak ciri yang lebihkurang sama dengan abangnya, termasuk rekaan luaran yang menawan, dalaman minimalis, dan pelbagai teknologi menarik (termasuk paparan instrumen 10.25-inci dan skrin sesentuh infotainmen 12.3-inci) dan ciri keselamatan aktif termasuk keupayaan pemanduan semi-autonomous Tahap 2.

    GALERI: Haval H6 Hybrid

     
     
  • Harga minyak 18-24 Nov – Semuanya tidak berubah

    Harga minyak 18-24 Nov – Semuanya tidak berubah

    Bagi minggu bertarikh 18 hingga 24 November 2021, Kementerian Kewangan (MOF) telah memaklumkan, harga runcit bagi semua bahan api iaitu petrol dan diesel tiada perubahan. Bagi petrol RON 97, harganya dikekalkan pada RM3.08 seliter.

    Manakala harga runcit bagi petrol RON 95 juga dikekalkan iaitu RM2.05 seliter. Harga tersebut tidak berubah sejak Februari lalu dan telah mencapai harga siling.

    Begitu juga dengan harga diesel Euro B10/B20 juga masih kekal pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.25 seliter.

    Harga baharu ini berkuatkuasa mulai 12.01 tengahmalam ini, sehinggalah Rabu hadapan iaitu pada 24 November 2021.

     
     
  • Chery jenama China pertama berjaya eksport lebih 200,000 kenderaan setahun — 212,959 unit Jan-Okt

    Chery jenama China pertama berjaya eksport lebih 200,000 kenderaan setahun — 212,959 unit Jan-Okt

    Chery telah mengeluarkan data jualan terbaru jenama itu bagi bulan Oktober 2021, dengan mencatatkan 88,342 kenderaan di China, mewakili 16.7% peningkatan berbanding September. Ini menjadikan jualan terkumpul syarikat itu bagi 10 bulan pertama 2021 kini berada pada angka 739,730 unit, 44.3% lebih banyak berbanding tempoh sama tahun lalu.

    Apa yang lebih menarik adalah prestasi eksport Chery, yang berjaya mencapai sasaran tahunannya dengan sejumlah 200,000 kenderaan yang telah ditetapkan, lebih awal dengan masih berbaki dua bulan. Angka sebenar eksportnya bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini adalah 212,959 unit, mewakili peningkatan 145.7% bagi tempoh sama tahun lalu.

    Ini menjadikan Chery sebagai jenama China pertama untuk mengeksport lebih daripada 200,000 kenderaan ke pasaran luar setahun, mengukuhkan lagi posisinya sebagai pengeluar kenderaan yang mengeksport sejak 2003. Bulan lalu sahaja, Chery mengeksport 25,049 kenderaan — peningkatan tempoh sama tahun lalu 92.7% — menjadikannya kali keenam tahun ini syarikat itu berhasil mengeksport bulanan melebihi 20,000 kenderaan.

    Di Rusia, data daripada Association of European Businesses (AEB) menunjukkan jualan model Chery telah meningkat sebanyak 266% tempoh sama tahunan dari Januari hingga Oktober, mendahului jenama kenderaan lain di negara tersebut. Tiggo 7 Pro menjadi model paling popularnya di Russia bagi Oktober.

    Chery jenama China pertama berjaya eksport lebih 200,000 kenderaan setahun — 212,959 unit Jan-Okt

    Di Chile, Association National Automotive Riz de Chile A.G. meletakkan Chery di tempat keempat daripada semua jenama lain pada Oktober, melangkaui jenama seperti Toyota, Kia dan Volkswagen. Jualan Chery pada Oktober meningkat 101.4% bagi tempoh sama tahunan, melibatkan perkongsian pasaran sebanyak 6.3%. Dalam segmen SUV pula, model Chery mempunyai perkongsian pasaran sebanyak 15.3% bulan lalu, meletakkan jenama itu di tempat pertama dalam kategori itu bagi 10 bulan berturut-turut, dengan Tiggo 2 sebagai model paling laris.

    Di Brazil, National Federation of Automotive Vehicles Distribution meletakkan Chery di kedudukan kesembilan bagi jualan kenderaan penumpang, dengan peningkatan 127% tempoh sama tahunan dan membolehkannya mendahului Nissan. Jualan dipacu oleh Tiggo 8, Tiggo 3X dan model lain, Chery mencatat pencapaian terbaik dengan perkongsian pasaran 3.97% di sana.

    Chery mengeksport kenderaannya ke lebih daripada 80 negara ketika ini, dan telah mendirikan 10 kilang seberang laut dengan 1,500 pengedar dan cawangan servis di luar China. Jenama itu juga dikhabarkan bakal kembali ke pasaran Indonesia tahun ini, dan kelibat Tiggo 5x yang dilihat di Malaysia Mac lalu juga mencadangkan hal sama untuk pasaran tempatan.

     
     
  • Honda Navi diperkenal di AS – motosikal ringkas yang lebih kecil daripada Grom, enjin 109 cc, brek dram

    Honda Navi diperkenal di AS – motosikal ringkas yang lebih kecil daripada Grom, enjin 109 cc, brek dram

    Sedang negara kita kecoh dengan cadangan seorang “pakar” yang mahu mengharamkan kapcai di atas jalan raya, negara maju lain pula semakin banyak yang menerima masuk motosikal berkapasiti rendah. Contoh terbaru adalah Honda Navi yang dilancarkan untuk pasaran Amerika Syarikat.

    Model ini adalah lebih kecil berbanding Grom (MSX 125), dan dikuasakan oleh enjin satu silinder karburetor 109 cc bersama padanan transmisi automatik V-Matic. Jumlah kuasa tidak didedahkan, tetapi ia diberitahu menawarkan tunggangan serba mudah serta menjimatkan.

    Kelengkapan pada motosikal ini juga agak ringkas, dengan kedua-dua breknya menggunakan unit dram, di hadapan dan belakang, meter analog serta rim kecil 12 inci di hadapan dan 10 inci di belakang (dibalut tayar 90/90 dan 90/100).

    Bagi memberikan lebih kemudahan kepada pengguna, Navi juga didatangkan dengan ruang simpanan dengan kunci di bahagian tepi, pemula enjin elektrik, tangki bahan api 3.8 liter, tinggi tempat duduk 764 mm dan berat keseluruhan 107 kg. Suspensi menggunakan fork teleskopik di hadapan dan satu penyerap hentak di belakang.

    Selain daripada semua ciri serta kelengkapan yang ada, Honda juga menyatakan Navi mudah diakses oleh semua orang dan disediakan pada harga yang murah iaitu USD1,800 (RM7,516). Ia ditawarkan dalam empat warna menarik dan pelbagai aksesori tambahan untuk menjadikannya lebih bersesuaian dengan pemilik.

     
     
  • Mazda CX-60 2022 – imej tertiris; bakal guna enjin enam-silinder sebaris dan pacuan roda belakang?

    Mazda CX-60 2022 – imej tertiris; bakal guna enjin enam-silinder sebaris dan pacuan roda belakang?

    Sebelum ini Mazda telah mengumumkan bahawa barisan model-model SUVnya bakal dikembangkan lagi – minggu ini jenama automotif dari Hiroshima berkenaan telah pun memperkenalkan siri baharu pertama dari rancangan tersebut, digelar CX-50. Apa pula selepas ini? Nah, ini dia gambar satu lagi model baharu yang digelar CX-60 yang telah pun tertiris menerusi video yang disiarkan oleh CSK Review Channel (video tersebut telah dipadamkan tidak lama selepas itu).

    Mazda CX-60 ini merupakan SUV dengan dua baris tempat duduk yang menjadi sebahagian dari kumpulan Produk Besar Mazda, dan bakal dijual di pasaran-pasaran “dengan jalan lebih sempit dan lot pakir lebih kecil” seperti Eropah, Jepun dan lain-lain. Ia bakal disertai oleh model CX-80 dengan konfigurasi tiga baris tempat duduk pada pasaran-pasaran yang sama.

    Manakala model baharu lain seperti CX-50 (dua baris tempat duduk), CX-70 (dua baris tempat duduk, badan lebar) dan CX-90 (tiga baris tempat duduk, badan lebar) akan dijual di pasaran Amerika Utara dan lain-lain.

    Mazda CX-60 2022 – imej tertiris; bakal guna enjin enam-silinder sebaris dan pacuan roda belakang?

    Dalam video tersebut dapat dilihat bahawa CX-60 nampak lebih besar dari CX-5 sedia ada, dan rekaannya nampak lebih elegan dan bersegi berbanding CX-50 yang tampil dengan gaya lebih lasak. CX-60 ini juga menampilkan gril lebih tinggi, lampu hadapan lebih nipis, ruang roda yang lebih normal dengan bentuk bulat, serta menampilkan liang udara hitam pada kedua-dua sisi bampar hadapan.

    Video berkenaan menampilkan dua unit CX-60, di mana unit yang berwarna merah datang dengan penutup cermin sisi dan juga kemasan sekeliling gril yang berwarna hitam, manakala unit yang berwarna putih pula menampilkan kemasan masing-masing warna badan dan krom pada bahagian sama. Ini mungkin menandakan kedua-dua unit tersebut adalah dari varian berbeza.

    Namun imej yang tertiris ini tidak menunjukkan bahagian belakang CX-60 berkenaan. Mazda juga belum menyiarkan sebarang maklumat rasmi terhadap SUV baharu tersebut setakat ini.

    Mazda CX-60 2022 – imej tertiris; bakal guna enjin enam-silinder sebaris dan pacuan roda belakang?

    Mazda CX-60 ini dijangka diasaskan dari platform baharu Mazda yang menampilkan konfigurasi enjin hadapan, pacuan roda belakang. Platform tersebut sebelum ini telah disahkan dihasilkan sekali dengan pilihan enjin petrol sepenuhnya bentangan enam-silinder sebaris, atau unit rangkaian kuasa hibrid gandingan enjin petrol empat-silinder dan motor elektrik.

    Berdasarkan jarak antara roda hadapan dan tiang-A CX-60 ini, nampak seakan nisbah pemuka-ke-gandar model ini lebih panjang berbanding model-model terkini Mazda yang lain, menjadi satu lagi petanda bahawa ia memang adalah model pacuan roda belakang.

     
     
  • Ducati Streetfighter V4 SP diperkenal – suspensi elektronik Ohlins, rim gentian karbon, 208 hp, 123 Nm

    Ducati Streetfighter V4 SP diperkenal – suspensi elektronik Ohlins, rim gentian karbon, 208 hp, 123 Nm

    Selain daripada memperkenalkan varian asas bagi Streetfighter, iaitu Streetfighter V2, Ducati juga telah mendedahkan varian paling tinggi model tersebut, iaitu Streetfighter V4 SP dalam siri keempat Ducati World Premiere.

    Streetfighter V4 SP ini masih lagi menggunakan enjin Desmosedici Stradale V4 1,103 cc yang berkuasa 208 hp pada 13,000 rpm dan 123 Nm tork pada 9,500 rpm, sama seperti Streetfighter V4 S, tetapi transmisi enam kelajuan dengan quickshifter DQS EVO 2 padanya telah dinaik taraf dengan klac slipper jenis kering.

    Kemudiannya, ia dipasang dengan suspensi elektronik yang terdiri daripada fork Ohlins NIX30 40 mm dan monoshock Ohlins TTX36 yang kedua-duanya boleh dilaras sepenuhnya. Damper stereng juga menggunakan unit daripada Ohlins. Brek masih lagi adalah set berkembar cakera 330 mm dengan angkup Brembo Monobloc Stylema di hadapan dan cakera 245 mm tunggal bersama angkup dua piston di belakang.

    Jika dibandingkan lagi dengan Streetfighter V4 S di bawahnya, Streetfighter V4 SP ini juga adalah 3 kg lebih ringan (berat kering), dengan catatan berat 177 kg, hasil daripada penggunaan barang seperti rim dan penghadang lumpur depan gentian karbon, peletak kaki aluminium boleh laras dengan penghadang tumit gentian karbon serta bateri lithium ion.

    Pada bahagian keselamatan dan elektronik, ia dilengkapi dengan mod tunggangan dan kuasa, Cornering ABS EVO, Ducati Traction Control (DTC) EVO 2, Ducati Wheelie Control (DWC) EVO, Ducati Slide Control (DSC), Engine Brake Control (EBC) EVO, kalibrasi tayar automatik, Ducati Power Launch serta Ducati Quick Shift EVO 2.

     
     
  • Perodua Ativa Hybrid: Kajian pasaran sedang dibuat

    Perodua Ativa Hybrid: Kajian pasaran sedang dibuat

    Perodua ketika ini sedang menjalankan kajian pasaran bagi kenderaan hibrid di Malaysia. Syarikat ini juga telah mengesahkan secara rasmi bahawa Daihatsu Rocky e-Smart Hybrid yang dilihat sedang diuji di KL baru-baru ini — bahkan sebelum pelancarannya di Jepun — adalah milik mereka.

    Presiden dan CEO Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad memaklumkan kepada media ketika acara pratonton Perodua Myvi 2022 semalam bahawa unit ujian Daihatsu Rocky Hybrid tersebut berada di jalanraya tempatan untuk tujuan penilaian dan kajian, dengan perincian lanjutnya akan didedahkan bila tiba waktu yang sesuai.

    Beliau turut menambah yang kajian pasaran bagi model hibrid melibatkan kedua-dua sisi pelanggan dan juga kawal selia. “Kami menjalankan kajian pasaran, meninjau sejauh mana penerimaan pelanggan di Malaysia, takat harga yang boleh diterima serta untuk melihat sama ada model hibrid kami mampu menepati peraturan dan keperluan badan kawal selia yang ada,” ujarnya.

    Dilancarkan di Jepun awal bulan ini, Daihatsu Rocky e-Smart Hybrid dikuasakan oleh siri sistem hibrid yang ada persamaan dengan cara kerja sistem pada e-Power Nissan. SUV berkenaan dikuasakan oleh motor elektrik 106 PS/170 Nm, dengan enjin WA-VEX 1.2 liter kitaran Atkinson tiga-silinder yang bertindak hanya sebagai generator. Enjin petrolnya menghasilkan 82 PS pada 5,600 rpm dan 105 Nm tork dari 3,200 hingga 5,200 rpm.

    Pendekatan ini membolehkan transmisi biasa digugurkan dan digantikan dengan motor pendorong elektrik dan unit motor-generator yang selari untuk tatasusun yang lebih kompak. Sistem e-Smart Hybrid ini menurut Daihatsu akan disertakan juga untuk model kei kar JDM. Kelebihan lain sistem ini adalah bateri lithium-ion (4.3 Ah) bersaiz kecil dan cekap kos.

    Rocky Hybrid juga datang dengan “Smart Pedal” untuk membolehkan kendalian pedal tunggal, dengan mod normal dan eco akan mempunyai respon pendikit yang berbeza. Penebat bunyi yang lebih baik untuk bonet dan di bawah enjin dan papan pemuka mengurangkan lagi bunyi enjin ke dalam kabin. Kadar penggunaan minyak bagi Rocky e-Smart Hybrid ini adalah 28 km/l (3.6 liter per 100 km) menggunakan kitaran WLTP.

     
     
  • GALERI: Perodua Aruz 2021 di M’sia – pemijak sisi, pengunci pintu auto, warna baharu; dari RM69k-RM73k

    GALERI: Perodua Aruz 2021 di M’sia – pemijak sisi, pengunci pintu auto, warna baharu; dari RM69k-RM73k

    Perodua Aruz telah pun menerima sedikit peningkatan awal tahun ini, dengan kedua-dua varian X dan AV diberikan beberapa ciri baharu. Kali ini kami membawakan galeri penuh untuk varian tertinggi AV untuk anda lihat apakah ciri penambahbaikan yang telah diberikan.

    Pertamanya, Aruz kini didatangkan dengan ciri standard termasuk pemijak sisi di bawah pintu yang membolehkan penumpang masuk dan keluar dengan lebih mudah – yang juga ada lencana Aruz padanya. Lain-lain ciri tambahan baharu ialah fungsi pengunci pintu automatik yang diaktifkan apabila kenderaan dipacu melebihi 20 km/j, tetapi kunci pintu tersebut akan terbuka secara automatik sekiranya terlibat dengan kemalangan.

    Aruz 2021 juga diberikan kemasan warna baharu Passion Red Metallic yang menggantikan warna hero Amazon Green, walau pun ia eksklusif untuk varian tertinggi AV sahaja. Empat lagi pilihan warna masih dikekalkan – Granite Grey, Electric Blue, Glittering Silver, dan Ivory White (warna solid).

    Selain itu, tiada lagi perubahan. Semua varian dipadankan dengan enjin yang dikekalkan iaitu unit 2NR-VE 1.5 liter NA empat-silinder yang menghasilkan 102 PS pada 6,000 rpm dan 133 Nm tork pada 4,200 rpm. Enjin Dual VVT-i ini menghantar kuasanya melalui transmisi automatik empat-kelajuan dan memberikan bacaan penggunaan minyak 15.6 km/l (6.4 l/100 km) dengan sistem Eco Idle.

    Untuk kelengkapan lain, kedua-dua varian dipadankan dengan roda aloi 17-inci, lampu utama LED, lampu belakang LED, kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, pengimbas tol binaan-dalam, pendingin hawa manual dengan kawalan digital dan corong belakang, sistem infotainmen skrin sesentuh tujuh-inci, enam-pembesar suara, enam beg udara, ABS, EBD, bantuan brek, VSC, kawalan cengkaman, bantuan mula mendaki, kamera undur serta lapisan cermin tingkap keselamatan dan solar.

    AV turut menerima ciri tambahan seperti fungsi automatik untuk lampu utama, rel bumbung, SmartLink smartphone mirroring, upholstery kulit (varian X dapat fabrik), perakam video pemanduan (dashcam) dan sistem Advance Safety Assist 2.0 (ASA 2.0) yang merangkumi Amaran Pra-pelanggaran, Brek Pra-Pelanggaran, Kepekaan Ketibaan Hadapan dan Pedal Misoperation Control.

    Walau pun menerima beberapa ciri tambahan baharu, harga untuk Alza ini masih dikekalkan. Dengan varian asas X ditawarkan pada harga RM68,526, manakala AV berharga RM73,226. Setiap pembelian didatangkan dengan waranti lima-tahun, 150,000 km secara standard. Ia adalah harga atas jalan tanpa insurans dan juga pengecualian cukai jualan yang berakhir pada 30 Jun 2022.

     
     
  • Spoon Sports Meister MK3 – jam tangan edisi terhad berharga RM1.2k, dihasilkan hanya sebanyak 450 unit

    Spoon Sports Meister MK3 – jam tangan edisi terhad berharga RM1.2k, dihasilkan hanya sebanyak 450 unit

    Jenama pakar penala untuk model-model Honda, Spoon Sports telah memperkenalkan jam tangan edisi terhad yang dihasilkan bersama pengeluar jam dari Amerika Syarikat iaitu Meister Watches (MSTR). Jam yang diberi nama Spoon Sports Meister MK3 tersebut dibuat hanya sebanyak 450 unit.

    Menurut Spoon, jam ini juga sebenarnya mendapat lesen rasmi dari Honda dan sebab itulah logo ‘H’ krom jenama automotif Jepun tersebut diletak pada kedudukan pukul 12 jam berkenaan, bersama logo skrip Spoon Sports di bawahnya serta jarum dengan satu lagi warna ikonik Spoon selain biru iaitu kuning.

    Jam ini dikuasakan oleh 6-hand chronograph Jepun, dan ia kalis air sehingga kedalaman 100 meter. Badan jam berkenaan dibuat menggunakan material logam tahan karat 316L sepenuhnya, bersama cermin kristal mineral tahan calar.

    Spoon Sports Meister MK3 – jam tangan edisi terhad berharga RM1.2k, dihasilkan hanya sebanyak 450 unit

    Di belakang, jam ini diberikan penutup yang turut menampilkan logo Honda, Spoon Sports dan MSTR, serta paling penting nombor siri unik yang menandakan ia salah satu dari hanya 450 utas yang dihasilkan.

    Spoon Sports Meister MK3 ini disertakan dengan tali saffiano dari material kulit Itali yang mudah untuk ditukar, dalam kemasan kemasan biru dan serlahan benang jahitan putih, bersama logo Spoon Sports di belakang.

    Untuk pengetahuan anda, jam ini bukan dihasilkan oleh Spoon Sports Jepun, tetapi Spoon Sports divisi Amerika Syarikat. Jadi untuk membeli jam ini anda perlu ke laman sesawang Spoon Sports USA, dan ia dijual pada harga US$295 atau sekitar RM1.2k.

     
     
  • Honda City Hatchback 2021 dipamer di M’sia – warna baharu merah, kelabu, tempat duduk Ultra, Sensing

    Honda City Hatchback 2021 dipamer di M’sia – warna baharu merah, kelabu, tempat duduk Ultra, Sensing

    Honda Malaysia telah pun mempertontonkan City Hatchback di Litar Antarabangsa Sepang semalam. Dalam sesi tersebut, hanya dua varian sahaja yang dipertontonkan iaitu V dan RS e:HEV, dan difahamkan ia turut ditawarkan dengan dua lagi varian iaitu S dan E.

    Walau pun belum dilancarkan, namun model yang menggantikan Jazz ini telah pun dibuka tempahan sejak 9 November lalu. City Hatchback ini juga diberikan penawaran warna luaran baharu iaitu Ignite Red Metallic, yang lebih menyerlah merahnya berbanding Passion Red Pearl yang berada dalam senarai warna pilihan dalam barisan model Honda masa kini.

    Selain itu, ia juga diberikan tona kelabu baharu, yang lebih gelap berbanding Modern Steel Metallic sedia ada. Dan kalau mengikut laman web Honda Thailand, ia dinamakan sebagai Meteoroid Grey Metallic. Ia bakal menjadi yang pertama buat kereta Honda di Malaysia, tetapi belum dipastikan adakah warna ini juga akan diberikan kepada model CKD yang lain.

    Honda City Hatchback 2021 dipamer di M’sia – warna baharu merah, kelabu, tempat duduk Ultra, Sensing

    Menurut Honda Malaysia, hatchback ini diberikan sedikit peningkatan dalam ketegaran kilasan berbanding sedan, dan lebih banyak material penebat bunyi (termasuk di bawah bonet) telah diberikan untuk meningkatkan tahap NVH. Manakala wheel well dibiarkan kosong, tetapi kami dimaklumkan kereta yang dipamerkan ini adalah unit pra-produksi, jadi mungkin ada perubahan atau pun tidak semasa pelancarannya.

    Untuk RS, ia diberikan ciri yang mirip dengan varian tertinggi sedan, termasuk lampu utama LED penuh, lampu kabus. LED, gril Solid Wing hitam berkilat dengan honeycomb di dalamnya, lip hadapan dengan gentian karbon tiruan, perumah cermin sisi hitam, logo Honda dengan rona biru serta lencana RS di hadapan dan belakang.

    Selain itu, ia ditampilkan dengan LED tunggal untuk nombor plat di belakang, yang merupakan ciri yang dipertingkatkan dari sedan. RS juga merupakan varian tunggal dengan diffuser belakang terpisah dengan rona karbon, sementara ciri standard lain termasuk reflektor menegak dan lampu belakang kombinasi LED.

    Kedua-dua varian V dan RS turut diberikan roda 16-inci yang sama rekaan dengan sedan, dan juga tayar yang sama iaitu Toyo Proxes R57. Ciri yang membezakan versi hatchbackini ialah kemasan gril bawah pada City Hatchback V turut menerima honeycomb seperti RS, tidak seperti sedan yang hanya dengan lourvred berkembar konvensional sahaja.

    Untuk ruang dalaman, dalam sesi pra-tonton berkenaan, Honda Malaysia hanya membenarkan kami mendedahkan tiga ciri sahaja, bermula dengan paparan skrin sesentuh lapan-inci. Ia sama dengan sedan, dan menyokong ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto (dengan sambungan wayar), dan mungkin menggunakan sistem bunyi lapan-pembesar yang sama.

    Ciri kedua pula ia menampilkan corong udara belakang, juga sama dengan sedan. Manakala ciri terakhir yang boileh dikongsikan buat masa ini ialah tempat duduk Ultra yang unik. Ia sama seperti yang diberikanpada Jazz, dan menawarkan empat larasan tempat duduk fleksibel – mod Refresh, Long, Tall dan Utility.

    Untuk mekanikal, hatchback ini sama dengan sedan, dijanakan oleh enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC yang menghamburkan kuasa sehingga 121 PS dan tork 145 Nm, paling berkuasa dalam segmennya. Pacuannya disalurkan oleh CVT ke roda hadapan. Manakala RS e:HEV pula menampilkan enjin kitaran Atkinson 1.5 liter dengan dua motor elektrik, yang menawarkan kuasa hingga 109 PS dan tork 253 Nm.

    Malahan Honda Sensing juga ditawarkan hanya untuk varian tertinggi RS e:HEV, yang merangkumi tujuh fungsi seperti sedan. Ia termasuk kawalan kelajuan adaptif (tanpa low speed follow), sistem brek mitigasi pelanggaran (AEB, hadapan sahaja), amaran pelanggaran hadapan, sistem bantuan kekal lorong, mitigasi ketibaan jalan, amaran ketibaan lorong dan lampu tinggi automatik. Manakala model V tidak pula dikhabarkan turut dilengkapi dengan Sensing. Kena tunggu perincian penuhnya didedahkan sewaktu pelancarannya.

    Bagi saiznya, versi hatch ini berukuran 4,345 mm panjang (4,349 mm dengan bampar RS; 208 mm lebih pendek dari sedan), 1,488 mm tinggi (+21 mm), 1,748 mm lebar dan jarak roda 2,589 mm. Berbanding Jazz, Cith Hatchback ini lebih panjang dan lebih lebar tetapi kurang tinggi. Jarak roda untuk Jazz pula kurang 59 mm berbanding City Hatchback.

     
     
  • GDEX mula guna motosikal elektrik untuk operasi penghantaran di Malaysia, selaras inisiatif Go Green

    GDEX mula guna motosikal elektrik untuk operasi penghantaran di Malaysia, selaras inisiatif Go Green

    Syarikat perkhidmatan penghantaran ekspres dan logistik tempatan, GD Express Carrier Bhd (GDEX) telah mula memperkenalkan penggunaan motosikal elektrik dalam operasinya di Malaysia. Menurut syarikat tersebut, ini adalah sebahagian daripada inisiatif Go Green yang telah dirancang.

    GDEX menyatakan bahawa penggunaan kenderaan elektrik (EV) adalah sejajar dengan matlamat negara untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah kaca (GHG) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 45 peratus menjelang 2030 seperti yang ditekankan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

    Menurut GDEX lagi, penggunaan motosikal elektrik ini juga dilihat lebih jimat kerana kos penyelenggaraannya adalah 50% lebih murah berbanding motosikal konvesional biasa.

    Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Teong Teck Lean berkata logistik dan penggiat dalam perkhidmatan penghantaran memainkan peranan penting dalam mengurangkan pelepasan karbon dioksida dengan meneroka dan mengguna pakai lebih banyak penyelesaian hijau dalam operasi harian.

    “Motosikal elektrik menandakan permulaan inisiatif hijau yang dimulakan oleh GDEX dan kami berharap untuk meneruskan kajian dan melaksanakan lebih banyak langkah lestari pada masa hadapan,” katanya.

    Dalam masa yang sama, Teong mewakili kumpulan berkenaan berterima kasih atas inisiatif kerajaan dalam Bajet 2022 untuk menyokong penggunaan kenderaan elektrik di Malaysia, ia sudah pasti dapat menyokong perjalanan amalan lestari syarikat tersebut.

    Selain dari penggunaan motosikal elektrik ini, GDEX turut akan meneroka penggunaan basikal elektrik dan basikal roda tiga selepas ini yang akan memenuhi segmen lokasi yang berbeza seperti kawasan kejiranan.

     
     
  • Pembukaan MRT Putrajaya Fasa Satu ditangguh; dijangka beroperasi pada suku kedua 2022 – MRT Corp

    Pembukaan MRT Putrajaya Fasa Satu ditangguh; dijangka beroperasi pada suku kedua 2022 – MRT Corp

    Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) telah mengumumkan perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya Fasa Satu tidak dapat dimulakan bulan ini seperti dijadualkan berikutan ujian yang belum lengkap. Menurut CEO MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Hashim, pembukaan operasi fasa pertama MRT Laluan Putrajaya yang kini siap 99.9% harus ditunda ke suku kedua 2022 berbanding sasaran awal pada hujung bulan ini.

    “Tren MRT mencatatkan lebih 3,000 jam operasi percubaan dan mengumpul banyak data. Selepas meneliti data itu, kami mendapati antara beratus-ratus modul sistem dilaksanakan, dua modul perlu diperhalusi lebih lanjut. Kami perlu memastikan semua lapisan sistem primer, sekunder dan ketiga stabil sebelum dapat mengambil alih aset ini dan meluluskannya untuk operasi,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Operasi percubaan untuk MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu berjalan sejak 29 April, 2021. Di mana sejumlah 16 tren diuji beroperasi antara Stesen MRT Kwasa Damansara dan Stesen MRT Kampung Batu dalam keadaan perkhidmatan penuh tetapi tanpa penumpang dalam simulasi operasi sebenar.

    Pembukaan MRT Putrajaya Fasa Satu ditangguh; dijangka beroperasi pada suku kedua 2022 – MRT Corp

    Tambah Mohd Zarif lagi, pihaknya telah menjalankan banyak operasi percubaan, termasuk pemeriksaan terperinci akhir. Jelasnya, penambahbaikan subsistem perlu untuk menyelesaikan isu data tertiari bagi memastikan perkhidmatan itu boleh beroperasi dalam keadaan baik.

    “Oleh itu, kami tiada pilihan lain kecuali menangguhkan pembukaan MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu. Justeru, MRT Corp tidak dapat mengambil alih aset MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu daripada kontraktor serah kunci yang dilantik,” katanya.

    MRT Putrajaya merangkumi jarak 52.2 km keseluruhannya – dengan 38.7 km laluan bertingkat dan 13.5 km laluan bawah tanah. Fasa pertama bagi laluan ini yang menelan belanja RM32 bilion dijangka akan mula beroperasi pada suku ketiga 2021 sebelum selesai sepenuhnya pada 2022. MRT pertama dengan laluan Sg Buloh-Kajang telah beroperasi sejak Julai 2017.

     
     
  • Polis Negeri Sembilan terima Toyota Hilux GS Cargo dan van Go Auto Higer, ganti kenderaan berusia

    Polis Negeri Sembilan terima Toyota Hilux GS Cargo dan van Go Auto Higer, ganti kenderaan berusia

    Polis Diraja Malaysia kontinjen Negeri Sembilan telah pun menerima 25 kenderaan baharu, yang diserahkan oleh Timbalan Ketua Polis Negara DIG Datuk Seri Hj. Mazlan Lazim ketika lawatan kerjanya ke negeri berkenaan semalam.

    Dalam ucapannya beliau berharap dengan penambahan kenderaan baharu ini, ianya dapat meningkatkan lagi mutu perkhidmatan warga Kontinjen Negeri Sembilan dan melancarkan penugasan khususnya dalam aspek pencegahan jenayah serta pemantauan kepada pematuhan masyarakat menerusi penugasan Operasi Covid-19.

    Kenderaan-kenderaan yang diserahkan tersebut termasuk sembilan unit van komersil Higer Ace (dibekalkan oleh Go Auto) dan juga 16 unit Toyota Hilux GS Cargo. Kesemua kenderaan ini adalah sebahagian dari perolehan 640 unit kenderaan seluruh negara dengan kos RM108 juta.

    Bagi Toyota Hilux GS Cargo yang dibekalkan kepada PDRM ini, ia diasaskan dari Hilux Single Cab 2.4 MT 4×4, kemudian menerima penambahan kelengkapan seperti khemah kargo untuk bed binaan khas di belakang, bull bar, pelbagai lampu tambahan dan juga unit snorkel pada liang kemasukan udara enjin.

    Hilux GS Cargo ini telah pun digunakan oleh polis Johor, dengan 34 unit telah dibekalkan kepada kontinjen tersebut pada Februari lalu. Trak pikap tersebut kini menggantikan Land Rover Defender yang telah digunakan sekian lama dan sudah tiba masa untuk dilupuskan.

    Menurut laporan Bernama, 82% dari 827 kenderaan polis kontinjen Negeri Sembilan kini telah mencapai had umur penggunaannya. Kenderaan-kenderaan tersebut memerlukan kos penjagaan yang tinggi sekiranya ia terus digunakan.

     
     
  • GALERI: Honda HR-V 1.8L SE 2021 dilengkapi BLIS, bantuan tukar lorong dan RCTA; berharga RM105k

    GALERI: Honda HR-V 1.8L SE 2021 dilengkapi BLIS, bantuan tukar lorong dan RCTA; berharga RM105k

    Bulan lalu, Honda Malaysia (HM) telah memperkenalkan Honda HR-V 1.8L SE, varian baharu yang diposisikan antara E dan model pertengahan V. Varian tertinggi 1.8L ialah RS dan juga Hybrid. Untuk varian SE adalah diasaskan oleh E, tetapi ditambahkan kit bantuan pemandu dan Aksesori – ini adalah galerinya.

    SE mungkin membawa maksud Safety Edition, yang melibatkan penambahan curi termasuk informasi titik buta, bantuan menukar lorong dan kepekaan trafik lintasan belakang. Walau Bagaimana pun, ia tidak diberikan Honda Lane Watch namun ciri tersebut ada pada varian V dan ke atas.

    Ciri BLIS yang diberikan adalah sistem tambahan dengan lampu amaran yang ditempatkan di dalam tiang-A. Selain itu, ia juga diberikan indikator amaran pintu terbuka, perakam video digital a.k.a dashcam dan alas trunk serta trunk organiser. Varin baharu ini juga diberikan lencana belakang SE.

    Tiada perubahan untuk kelengkapan lain, ini termasuklah kemasukan pintar dan butang penghidup enjin, pendingin hawa automatik, lampu utama auto, kawalan kelajuan, pedal penukar gear, brek parkir elektronik dengan penahan auto, roda stereng dengan kawalan kelajuan, dan sistem audio empat-pembesar suara/paparan tujuh-inci. Bagi aspek keselamatan, ia diberikan enam beg udara, VSA, bantuan mula mendaki, isyarat berhenti kecemasan dan kamera pandangan belakang pelbagai-sudut. Ia juga diberikan roda dua-tona 17-inci.

    Begitu juga dengan bahagian mekanikalnya, tiada sebarang perubahan. Untuk HR-V varian bukan-hibrid, ia dijanakan oleh enjin 1.8 liter dengan hamburan kuasa 142 PS pada 6,500 rpm dan tork 172 Nm pada 4,300 rpm. Enjin SOHC i-VTEC ini juga dipadankan dengan kotak gear CVT.

    Honda Malaysia berkata Honda HR-V 1.8L SE adalam varian edisi terhad. Ia berharga atas jalan RM105,364 tanpa insurans, termasuk pengecualian SST yang sedang berlangsung. Ia hanya lebih RM1,364 berbanding Grade E (RM104,000), dan SE boleh dikatakan kereta asas yang mempunyai nilai yang lebih baik. Manakala varian V berharga RM113,421 dan RS pula RM118,581.

     
     
  • Pelajar M’sia gembira jumpa Perodua Myvi di Scotland

    Pelajar M’sia gembira jumpa Perodua Myvi di Scotland

    Sebagai sebuah model kereta yang memegang gelaran “yang paling laris di Malaysia” selama bertahun-tahun, tidak hairanlah kita boleh jumpa dengan Perodua Myvi tak kira di mana ceruk pun dalam negara. Penulis pernah menyertai ekspedisi 4X4 di Borneo satu ketika dulu, dan setelah bersusah payah mengharungi jalan lasak yang jauh, ada sebuah Perodua Myvi yang dimiliki oleh penduduk di kawasan pedalaman berkenaan.

    Begitulah Perodua Myvi, sebuah model yang boleh dikatakan paling ikonik di Malaysia dan dikaitkan dengan pelbagai kisah suka dan duka rakyat negara kita. Jadi tak hairanlah mengapa viral satu hantaran Facebook oleh pengguna laman sosial berkenaan yang bernama Mahziah Ramly di grup Myvi Club Malaysia (Official) yang menunjukkan betapa gembira anaknya dan rakan-rakan yang lain terjumpa sebuah Perodua Myvi generasi pertama di Scotland.

    “Anak saya yang study di Edinburgh hantar gambar ni. Seronok katanya hilang rindu pada kereta Myvinya yang warna biru kat Malaysia bila lihat ada Myvi ni di Scotland,” tulis Mahziah dan turut meletakkan tag anaknya yang bernama Irfan Zulkiflee di hujung hantaran tersebut.

    Bagi yang belum mengetahui, selain Proton, Perodua juga ada mengeksport model-model mereka ke UK pada era 90’an, bermula dengan model Kancil sehingga awal era 2000. Malah ada pengedar Proton di UK yang turut menawarkan model-model dari Perodua bagi mereka yang mahukan kereta-kereta yang lebih kompak.

    Ingat lagi bagaimana Jeremy Clarkson memusnahkan sebuah Perodua Kelisa dalam satu episod Top Gear? Itu adalah salah satu contoh unit-unit Perodua yang berada di sana. Malah Clarkson juga turut pernah memandu Myvi generasi pertama dalam satu lagi episod Top Gear yang bertajuk “Small Car Challenge”.

    GALERI: Perodua Myvi dari setiap generasi dan facelift

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 02, 2024