Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Honda Jazz facelift 1.5 V petrol dipamer ketika SCKLM

    Honda Jazz <em>facelift</em> 1.5 V petrol dipamer ketika SCKLM

    Sabtu lalu, Honda Jazz versi facelift terbaru dipertontonkan buat pertama kalinya di Malaysia dalam varian i-DCD Sport Hybrid – juga penampilan sulungnya diperingkat global. Hari ini, peserta Standard Chartered KL Marathon 2017 (SCKLM) yang hadir ke Pusat Persidangan Kuala Lumpur untuk mendapatkan kelengkapan larian mereka berpeluang untuk melihat dengan dekat varian petrolnya pula, dalam spesifikasi paling tinggi, 1.5 V.

    Bahagian luaran kelihatan sama sahaja dengan versi hibrid yang dipamer sebelum ini. Dengan gril baru serta kemasan hitam dengan bahagian bampar rekaan baru turut ditampilkan pada versi petrol. Lampu nyalaan siang LED pada bahagian bawahnya juga sama.

    Namun, ada beberapa kelainan yang membesakan antara varian hibrid dan petrol 1.5 V ini. Antaranya lampu isyarat pada cermin sisi serta penyudah bagi rim dengan rekaan yang sama – ia menggunakan permukaan warna hitam berkilat berbanding kelabu pada versi hibrid.

    Selain itu, risalah dengan spesifikasi ringkas peringkat awal bagi model ini juga sudah beredar. Varian 1.5 V ini antara lain mungkin akan dilengkapi dengan enam beg udara, rim 16 inci (varian lebih rendah menggunakan rim 15 inci), pembalut tempat duduk kulit (varian lain menggunakan fabrik) serta turut dilengkapi paddle shift serta rekaan baru bagi lampu kabus LED.

    Ciri keselamatan seperti kawalan kestabilan (VSC), Hill-start Assist, ABS dan Brake Assist antara yang ditawarkan sebagai ciri standard bagi semua varian yang ada. Bagaimana pula dengan harganya? Dengan semua pertambahan ciri yang dipertingkatkan ini, dijangkakan harganya akan berada tidak jauh berbeza daripada penawaran Jazz sedia ada, yang berada sekitar RM74,000 hingga RM90,000 kini.

    Apa pun, semua ini hanyalah dari jangkaan awal sahaja. Untuk mengetahui dengan pasti penawaran yang akan diberikan terhadap Honda Jazz facelift terbaru ini, sama-sama kita nantikan makluman rasmi daripada Honda Malaysia tidak lama lagi.

    Honda Jazz facelift 2017 1.5 V

     
     
  • Mercedes-Benz A-Class 2018 ditayang dalam LinkedIn

    Mercedes-Benz A-Class 2018 ditayang dalam LinkedIn

    Dalam masa beberapa bulan ini, banyak gambar spyshot Mercedes-Benz A-Class 2018 yang diperolehi dan ini ada lagi. Walaubagaimanapun, gambar kali ini bukan daripada jurugambar risikan, tetapi daripada pengerusi lembaga pengurusan Daimer AG dan ketua Mercedes-Benz Cars sendiri iaitu Dieter Zetsche.

    Beliau turut memuat naik satu artikel di bersama gambar ini di LinkedIn, yang menyatakan berkenaan pengalaman beliau semasa memandu uji model baru ini. Apabila diperhatikan dalam salah satu gambar tersebut, anda boleh melihat CLS baru dan juga GLE yang dipertingkat.

    Tidak banyak informasi tambahan yang boleh didapati daripada gambar ini, dan ia sama sahaja seperti gambar spyshot yang pernah dimuat naik sebelum ini, melihatkan penggunaan lampu lebih nipis dengan pencahayaan unik baru Mercedes-Benz, rim banyak cabang, pengubahan tapak cermin sisi dan bonet yang lebih panjang.

    Walaupun tidak mendedahkan banyak berkenaan kereta ini, Zetsche memberitahu berkenaan pembangunannya, di mana ia diuji dalam terowong angin bersuhu, yang boleh meniru pelbagai keadaan cuaca, sama ada yang paling sejuk ataupun paling panas.

    Terowong itu juga boleh meniru keadaan ribut dengan angin sehingga mencecah 265 km/j, hujan seperti di negara tropika dan ribut salji. Semua keadaan ini diuji untuk Mercedes-Benz A-Class 2018. Zetsche juga menyatakan sesi pandu uji dalaman ini penting supaya mereka sendiri boleh merasai sendiri pengalaman dengan kereta ini. Setakat ini, Zetsche berpuas hati dengan kerja yang telah dilakukan oleh pasukan pembangunan A-Class 2018 ini, dan memberitahu bahawa beliau tidak sabar untuk memperkenalkannya kepada orang awam.

    GALERI: Spyshot Mercedes-Benz A-Class 2018

     
     
  • Proton Saga Premium kini didatangkan dengan kit badan opsyenal dan dijual pada harga RM47,688

    Proton Saga Premium kini didatangkan dengan kit badan opsyenal dan dijual pada harga RM47,688

    Setelah lapan bulan berada dalam pasaran, Proton kini menawarkan kit badan asli untuk model Saga. Pembeli dari varian Premium boleh mendapatkan kit badan berkenaan dilengkapkan ketika kereta baharu mereka keluar dari bilik pameran dengan harga atas jalan termasuk insuran RM47,688. Kit badan yang dipasang itu bernilai RM1,888.

    Kit lengkap berkenaan terdiri daripada lip spoiler untuk bampar hadapan, skirt sisi, serta kemasan tambahan pada bampar belakang. Kesemua bahagian ini akan diwarnakan mengikut warna badan.

    Pemadanan kit badan berkenaan tidak merubah mana-mana bahagian luarannya dan Saga Premium masih diberikan lampu hadapan reflektor halogen, lampu kabus hadapan dan belakang serta rim aloi 15-inci yang sama. Bahagian kabin juga tidak menerima sebarang perubahan.

    Selain dari kit badan asli Proton ini, sebuah syarikat pembuat aksesori tempatan – TuneD – turut menawarkn kit mereka khas untuk Saga menampilkan rupa lain dari yang lain.

     
     
  • Ford bakal berhentikan 1,400 pekerja di Amerika, Asia

    Ford bakal berhentikan 1,400 pekerja di Amerika, Asia

    Berikutan rancangan Ford untuk memotong 10% tenaga kerjanya di seluruh dunia sebelum ini, hari ini, angka sebenar pemberhentian pekerja yang dirancang tersebut telah didedahkan – ia akan membabitkan 1,400 pekerja selain pekerja kilang di Amerika Utara dan Asia, menurut laporan berita.

    Langkah tersebut diambil bagi meningkatkan keuntungannya serta menaikkan harga saham dan diharap akan selesai pada akhir September ini. Ford akan menawarkan pakej bagi menggalakkan pekerja yang terlibat untuk berhenti secara sukarela. Syarikat berkenaan turut menambah langkah ini tidak akan melibatkan pekerja kilang dan juga staf kolar putih di kilang-kilang mereka, serta pekerja-pekerja di Eropah dan Amerika Selatan.

    Tawaran berkenaan akan dibuka kepada 9,600 pekerja di Amerika Syarikat, 1,000 di Mexico, 600 di Kanada dan 4,141 di Asia. Menurut Ford lagi, lebih perincian dan informasi akan diberikan kepada mereka yang terlibat bulan hadapan.

    Penurunan jualan di Amerika dan juga saham yang tidak menunjukkan prestasi yang baik (jatuh 40% sejak Julai 2014) merupakan sebab utama mengapa langkah sebegini perlu diambil. Ford juga telah mengumumkan rancangannya untuk mengurangkan kos sebanyak US$ 3 bilion tahun ini.

     
     
  • Renault Trafic SpaceClass ditampilkan awal di Cannes

    Renault Trafic SpaceClass ditampilkan awal di Cannes

    Renault telah mengambil peluang untuk memperkenalkan MPV terbaru mereka yang dikenali sebagai Trafic SpaceClass semasa festival filem Cannes 2017, di mana MPV tersebut digunakan sebagai pengangkut para tetamu VIP. Kenderaan yang boleh memuatkan sembilan penumpang ini muncul sebagai pra tonton awal sahaja dan ia hanya dijangka dilancarkan di Eropah dalam masa beberapa bulan lagi.

    Tempat duduk baris kedua dan ketiga dalam Trafic SpaceClass diletakkan atas tapak rel, seterusnya membolehkan ia dilaras kepada lebih 50 kedudukan berbeza. Bergantung pada varian, penumpang juga akan diberikan keselesaan maksimum dengan adanya cermin gelap, pendingin hawa tersendiri, lampu membaca LED bagi setiap tempat duduk dan kemasan kulit.

    Renault Trafic SpaceClass ditampilkan awal di Cannes

    Kenderaan ini juga boleh diubah menjadi pejabat bergerak, dengan adanya tempat duduk yang boleh dipusing pelbagai kedudukan dan meja yang boleh dipasang dan dicabut dengan mudah. Semua varian akan dilengkapi dengan soket 220 V dan USB untuk mengecas alat elektronik seperti komputer riba dan telefon, termasuk di tempat duduk belakang.

    Pada bahagian papan pemuka pula, terdapat kelengkapan yang praktikal dan kemas, termasuk roda stereng yang dibalut kulit, banyak ruang simpanan dan kemasan krom dan hitam berkilat. Skrin 7 inci yang berada di tengah menempatkan sistem navigasi MediaNav atau R-Link dengan Android Auto, dan paparan kamera undur, bergantung kepada varian.

    Renault masih merahsiakan unit penggerak (enjin dan transmisi) Trafic SpaceClass, dan orang ramai perlu menunggu sehingga ia dilancarkan pada bulan September di pasaran utama Eropah nanti.

     
     
  • Volvo akan hentikan pembangunan enjin diesel baharu

    Volvo akan hentikan pembangunan enjin diesel baharu

    The new Volvo XC60

    Enjin diesel generasi terkini yang digunakan pada model-model Volvo sedia ada mungkin merupakan yang terakhir, memandangkan kos untuk mengurangkan pembebasan nitrogen oksida menjadi semakin mahal. Perkara ini didedahkan oleh CEO Volvo, Hakan Samuelsson dalam satu temuramah dengan Frankfurter Allgemeine Zeitung, seperti yang dilaporkan oleh Autonews.

    Bagaimanapun, syarikat itu akan tetap meneruskan kerja-kerja terhadap barisan enjin diesel Drive-E yang ada kini untuk menepati piawaian emisi akan datang, dengan pengeluarannya dijangka berakhir pada 2023. Ini disebabkan oleh populariti kenderaan diesel di Eropah, merangkumi lebih 50% daripada pendaftaran keseluruhan di sana.

    Sebab lain adalah kerana pengnalan peraturan baru, di mana had purata pembebasan karbon dioksida pengeluar kenderaan Eropah perlu diturunkan dari 130 g/km kepada 95 g/km pada 2021. Kos untuk membolehkan enjin menepati piawaian ini dengan standard anti-pencemaran yang tinggi adalah tidak berbaloi bagi Volvo.

    Untuk itu, Volvo akan menumpukan perhatian terhadap pembangunan teknologi elektrik bagi model-model masa depan, dan sudah mempunyai perancangan untuk memperkenalkan kenderaan elektrik sepenuhnya pada 2019. Kenderaan bateri elektrik (BEV) akan diasaskan kepada Compact Modular Architecture (CMA), yang turut termasuk model seperti XC40 dan S40 serba baru.

    Bentuk lain teknologi elektirk untuk kenderaan yang akan ditumpukan ialah sistem hibrid, melalui enjin T8 Twin Engine plug-in hybrid pada XC90 dan XC60. Turut didedahkan ialah yang terbaru, T5 Twin Engine bagi model-model CMA.

     
     
  • MV Agusta siarkan teaser model RVS – gaya scrambler

    Satu video teaser telah dikeluarkan oleh pembuat motosikal dari Itali, MV Agusta melalui salurannya di dalam Youtube. Video selama 37 saat ini hanya menunjukkan logo RVS diukir atas sekeping blok aluminium, namun di penghujungnya, bayang motosikal baru tersebut boleh dilihat. RVS adalah singkatan bagi Reparto Veicoli Speciali yang juga bermaksud bahagian kenderaan istimewa.

    Badan motosikal tersebut kelihatan menyerupai model Dragster 800 yang merupakan antara model terkenal dalam barisan motosikal MV Agusta, namun tayarnya dilihat menggunakan unit berbunga kasar, memberi bayangan kepada sebuah motosikal yang boleh meredah jalan kasar, atau scrambler. Triumph dan Ducati pastinya sudah mula tidak senang kerana apabila diperkenalkan nanti, model MV Agusta ini akan menjadi pesaing model scrambler mereka .

    MV Agusta sentiasa terkenal dengan motosikal yang mempunyai gaya unik, dan enjin tiga silinder mereka yang cukup agresif. Pada Dragster 800, enjin 798 cc tiga silindernya mampu menghasilkan kuasa sehingga 125 hp dan 81 Nm tork. Jika pakej sama digunakan pada model RVS ini, mereka mungkin perlu melengkapkannya dengan satu mod offroad khas supaya kuasa lebih mudah dikawal di atas jalan offroad yang licin.

    GALERI: MV Agusta Brutale 800

     
     
  • Pemansuhan tempat letak kereta dalam bangunan selepas MRT siap sepenuhnya – Datuk Bandar KL

    Pemansuhan tempat letak kereta dalam bangunan selepas MRT siap sepenuhnya – Datuk Bandar KL

    Semalam, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dilaporkan dalam proses mempertimbang untuk tidak lagi membenarkan penyediaan tempat letak kereta dalam bangunan baru yang berada di bawah kawasan seliaannya bertujuan untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas dalam pusat bandar.

    Namun, menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Amin Nordin Ab Aziz memaklumkan sekiranya langkah itu dibuat, ia hanya akan dilaksanakan hanya selepas rangkaitan Mass Rapid Transit (MRT) siap sepenuhnya.

    “Kami masih mengkaji idea berkenaan bagi bangunan baru yang berada ditengah pusat bandar. Maksudnya, ia masih di dalam fasa perancangan. Kami mempertimbangkannya untuk pembinaan bangunan baru. Ini kerana, sekiranya rangakaian MRT siap nanti, mungkin kita tidak lagi memerlukan ruang letak kereta tambahan lagi,” ujar Amin.

    Sekiranya perancangan ini dilaksanakan kelak, lebih ramai warga kota akan menggunakan perkhidmatan tren, ini bermakna mereka akan meninggalkan kenderaan di stesen-stesen berkenaan. Memandangkan jumlah tempat letak kereta yang terhad di stesen-stesen itu, Amin menjelaskan perkara itu akan menjadi tugas Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) atau Prasarana untuk mencari jalan penyelesaian.

    Dalam laporan semalam, Menteri Wilayah, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata dasar untuk tidak menyediakan ruang letak kereta dalam bangunan adalah perkara biasa di kota-kota seperti Tokyo, Hong Kong, Melbourne dan London.

    Beliau menambah, langkah itu bertujuan untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas dan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam dalam kalangan warga. Ia juga bukanlah satu idea baru, memandangkan sudah pernah dicadangkan pada 2015, termasuk untuk melaksanakan caj laluan seperti ERP di Singapura bagi kenderaan yang ingin masuk ke pusat kota.

     
     
  • Land Rover Discovery terkini dipertonton secara maya di Malaysia – 3.0 V6 HSE, dilancar Disember nanti

    Land Rover Discovery terkini dipertonton secara maya di Malaysia – 3.0 V6 HSE, dilancar Disember nanti

    Land Rover Discovery terbaru, yang dilancarkan hujung tahun lalu, kini dipertontonkan buat pertama kali di Malaysia, walaupun dalam versi maya sahaja. Tiada unit fizikal model generasi kelima berkenaan yang dipamerkan di Bangsar Shopping Centre (hingga Ahad ini). Namun, apa yang ada ialah peranti Samsung Gear VR yang akan membolehkan anda mendekati model itu dengan lebih dekat secara maya.

    Pelancarannya dijangka berlangsung pada Disember 2017 atau awal 2018. Varian yang berkemungkinan besar ialah Si6, dengan enjin 3.0 liter V6 supercharged yang menjana kuasa 340 PS/450 Nm. Ini digandingkan pula dengan transmisi lapan-kelajuan ZF. Ia akan tiba dalam kemasan tertinggi HSE.

    Rupa Discovery terbaru ini berbeza jauh daripada model sebelumnya; ia lebih dekat dengan rekaan barisan kenderaan semasa jenama itu. Garis bumbungnya yang tinggi masih dikekalkan, memberi ruang kepada konfigurasi tempat duduk dan ruang dalaman yang selesa. Ciri baru Intelligent Seat Fold membolehkan barisan kedua dan ketiga ditentukan konfigurasinya dari belakang kenderaan, atau dari skrin sentuh ditengah dan dari jauh menggunakan aplikasi dalam telefon.

    Land Rover Discovery terkini dipertonton secara maya di Malaysia – 3.0 V6 HSE, dilancar Disember nanti

    Ia sebuah kenderaan yang mampu digunakan untuk pelbagai permukaan, dan itu menjadi kelebihannya. Ia mempertemukan geometri off-road dengan teknologi maju. Kelegaan tanahnya ialah 283 mm (+43 mm) dengan tahap maksimum redahan kedalaman air ialah 900 mm (+200 mm). Ia juga dilengkapi dengan sistem Terrain Response 2 untuk pacuan off-road.

    Binaan struktur badan monocoque aluminium yang digunakannya menyumbang kepada pengurangan 480 kg berat berbanding jika menggunakan binaan steel ladder. Pengeluarnya juga menyatakan ciri suspensi belakang integral link yang digunakan memberikan pengendalian terbaik tanpa mengorbankan keselesaan.

     
     
  • FlashBattery bagi kereta elektrik dari StoreDot mampu dicas penuh dalam masa 5 minit untuk jarak 483 km

    Salah satu kelemahan untuk kereta elektrik buat masa sekarang adalah masa cas yang diperlukan – mengambil masa agak lama untuk satu cas penuh. Antara sistem pengecas paling pantas buat masa ini adalah jaringan Supercharger Tesla yang mampu memberikan jarak perjalanan 273 km bagi tempoh cas selama 30 minit.

    Pada CUBE Tech Fair di Berlin minggu lalu, StoreDot telah mengumumkan FlashBattery rekaannya yang didakwa mampu memberikan satu cas penuh dalam masa hanya lima minit, bagi memberikan jarak perjalanan sejauh 483 km. Bateri berkenaan dikatakan dibina dengan berberapa lapis bahan nano dan sebatian proprietari organik, serta mengelakkan penggunaan grafit (selalu digunakan pada bateri Lithium-Ion) yang menjadikan ia tidak mampu untuk menahan arus kuat yang diperlukan untuk cas cepat.

    Sebatian proprietari kimia StarDot pula didakwa mudah terbakar dan mempunyai suhu pembakaran lebih tinggi bagi mengurangkan rintangan bateri dan mempertingkatkan keselamatan.

    Menurut StoreDot lagi, bateri berkenaan kini dalam peringkat tinggi pembinaannya, dan dijangka akan dipadankan pada kereta elektrik produksi dalam masa tiga tahun lagi. Syarikat tersebut buat masa ini sedang meneroka pilihan rakan strategik yang ada dalam industri automotif bagi membantu proses produksinya di Asia dan mencapai pengeluaran secara besar-besaran secepat mungkin.

    “Cas-cepat merupakan hubungan kritikal yang hilang bagi membolehkan kenderaan elektrik sentiasa ada,” kata pengasas bersama dan CEO StoreDot, Doron Myersdorf. “Teknologi bateri sedia ada memerlukan masa cas yang lama membuatkan pengangkutan berasaskan EV tidak sesuai untuk orang awam dalam skala yang besar.”

     
     
  • Mellors Elliot Motorsport sahkan Proton Iriz R5 akan bertanding pada Kejohanan Rali Dunia musim 2018

    Lanjutan dari teaser dan imej penuh jentera rali Proton Iriz R5 yang kami dedahkan sebelum ini, laporan dari Autosport mengesahkan kereta berkenaan akan mula bertanding pada Kejohanan Rali Dunia (WRC) dalam kategori WRC2 dan juga Kejohanan Rali Asia Pasifik (APRC) musim 2018.

    Mellors Elliot Motorsport (MEM) – syarikat yang berpengkalan di UK yang bertanggungjawab membina jentera rali Iriz R5 ini mengesahkan kereta tersebut akan didedahkan sepenuhnya pada Goodwood Festival of Speed bulan hadapan.

    Menurut Chris Mellors dari MEM, Iriz ini akan dijana enjin petrol turbo 4B11T dari Mitsubishi Lancer Evolution X yang telah diturunkan kapasitinya dari 2.0 liter kepada 1.6 liter (bagi membolehkan ia diiktiraf dalam kategori R5 dan bertanding dalam WRC2), digandingkan bersama transmisi dari Xtrac. Untuk suspensi, ia akan diberikan set penyerap hentak dari Reiger, dan turut menerima sistem brek dari Brembo. Seluruh kawalan elektronik jentera ini pula akan menerima peralatan dari Cosworth.

    Bahagian luaran, ia menampilkan fender hadapan dan ruang roda belakang yang lebih lebar. Panel lebih lebar pada fender hadapan bersambung dengan bampar hadapan yang direka mengekalkan susun atur Iriz versi produksi, serta gril bawah mesh dengan tulisan “IRIZ” yang besar.

    Lampu hadapan serta gril kekal menggunakan rekaan dari Iriz standard, begitu juga dengan penutup bonet enjin, tetapi diberikan sepasang liang udara tambahan pada bahagian atas. Melengkapkan rupa sebuah jentera rali R5 sebenar, ia turut diberikan liang kemasukan udara pada bumbung, cermin sisi gentian-karbon dengan bentuk lebih aerodinamik serta spoiler bumbung belakang lebih besar.

    Ini bukan kali pertama MEM membina jentera rali untuk Proton. Sebelum ini, MEM merupakan badan yang bertanggungjawab membina Satria Neo S2000 yang bertanding di kejohanan Intercontinental Rally Challenge (IRC), S-WRC, dan juga dinobatkan sebagai juara APRC 2011. Lagenda rali tanah air ‘The Flying Sikh’ Karamjit Singh turut menggunakan Proton PERT Evo VI yang dibina oleh MEM untuk pusingan-pusingan WRC di Eropah pada tahun 2002 dan akhirnya dinobatkan sebagai Juara Dunia kategori Production Car (PWRC) musim berkenaan.

    Berbalik pada Iriz R5, Mellors turut memberitahu bahawa projek ini telah bermula tahun lalu dan saiz serta bentuk hatchback segmen-B dari Malaysia ini adalah sempurna untuk perlumbaan rali.

    “Semuanya pada tempat yang betul: panjang keseluruhan kereta ini kurang dari Satria, tetapi jarak rodanya lebih panjang; cagak atas topang berada pada tempat yang betul; banyak ruang pada bahagian hadapan yang sangat baik untuk penyejukan. Kami mempunyai kereta asas yang baik dan menerusinya kami letakkan segala bahan yang betul,” jelas Mellors.

    Mellors juga memberitahu bahawa Proton tidak pernah hilang minat dan kemahuan untuk bertanding dalam rali dan jenama berkenaan sangat teruja dengan apa yang dilakukan oleh MEM. Proton Iriz R5 akan disediakan dalam versi pemanduan sebelah kiri dan kanan (bakal dipandu oleh pemandu-pemandu rali tanah air?) dan homologasinya akan bermula pada 1 Januari 2018.

     
     
  • Go Auto masuk pasaran Batam, perkenal tiga model

    Go Auto masuk pasaran Batam, perkenal tiga model

    Selain pasaran tempatan, pengedar kenderaan Haval di Malaysia, Go Auto Sdn Bhd turut memperluaskan rangkaian pemasarannya ke negara-negara ASEAN yang lain. Terbaru, syarikat itu menembusi pasaran Batam, Indonesia dengan pengenalan tiga model.

    Model-model yang akan dibawa masuk ke pasaran Batam pada peringkat awal ini terdiri daripada Haval H1, SUV H2 dan H8. Selain Batam, setakat ini Go Auto telah juga memasarkan kenderaan Haval ke Brunei dan Kemboja. Selain Kemboja, Brunei dan Batam, Go Auto turut merancang memasuki beberapa negara ASEAN lain seperti Vietnam, Filipina serta Myanmar antara tahun ini dan tahun hadapan.

    “Kami sudah menerima tempahan hampir 100 unit untuk pasaran Batam dan optimis angka ini akan terus meningkat selepas dilancarkan secara rasmi. Sasaran untuk 2017 di Batam adalah sebanyak 400 unit,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Go Auto, Ahmad Azam Sulaiman.

    Selain Azam, pelancaran model serta rangkaian pengedaran kenderaan Haval di sana turut disertai oleh wakil pengedar tempatan, Pengarah Urusan PT Makmur Andalan Indonesia (MAI), Sudry Aliyanto dan wakil pihak pengurusan PT Nusa Jaya Mobilindo.

    Selain tiga pasaran ini, Go Auto turut mengintai peluang untuk memasarkan model-model Haval ke Singapura. “Bukan kerana nilai pasaran, tetapi kemasukan Haval ke Singapura akan menjadi penanda aras yang baik untuk jenama itu di ASEAN,” tambah Azam.

     
     
  • Harga bahan api 18-24 Mei – petrol, diesel semua naik

    Harga bahan api 18-24 Mei – petrol, diesel semua naik

    Selepas harga minyak turun bagi beberapa minggu sebelum ini, minggu dari 18-24 Mei nanti ia akan kembali naik semula. Berbanding minggu lalu, minyak petrol RON 95 akan naik sebanyak 7 sen, menjadikan harganya RM2.08 seliter.

    Bagi petrol RON 97 pula, harganya naik sebanyak 7 sen, menjadikannya RM2.36 seliter. Diesel pula akan dijual pada harga RM1.99 seliter, mencatatkan kenaikan 4 sen berbanding minggu lepas – pada kadar separuh daripada kenaikan petrol RON 97.

    Bagi diesel Euro 5 pula, seperti biasa ia akan lebih mahal berbanding diesel Euro 2 sebanyak 10 sen, dan akan dijual pada harga RM2.09 seliter. Semua harga yang diumumkan ini akan mula berkuatkuasa pada tengah malam ini, dan seperti biasa, ia akan kekal bagi tempoh seminggu sehingga 24 Mei nanti.

     
     
  • VIDEO: Teaser baharu hot-hatch Hyundai i30 N – terima talaan di jalan berliku United Kingdom

    Sebelum ini, Hyundai telah pun menyiarkan dua video teaser memaparkan hot-hatch dan juga kereta berprestasi tinggi sebenar talaan divisi perlumbaan Hyundai N mereka – i30 N – bermula dengan ujian litar memperdengarkan bunyi enjinnya yang begitu mengujakan, dan kemudian ujian musim sejuk yang menampilkan pemandu WRC mereka iaitu Thierry Neuville memandu jentera berkenaan pada permukaan salji.

    Terbaharu, Hyundai menyiarkan sebuah lagi video teaser, kali ini memaparkan jentera tersebut diuji dan ditala untuk jalan berliku sekitar UK. Menurut Albert Biermann, ketua ujian kenderaan dan pembangunan prestasi tinggi Hyundai (bekas naib presiden kejuruteraan BMW M), talaan untuk i30 N ini masih lagi belum sampai ke peringkat akhir tetapi mereka semakin menghampirinya. Ujian yang dilakukan di UK ini dijalankan bagi memastikan jentera berprestasi tinggi ini memenuhi jangkaan pelanggan mereka.

    “Hyundai N bermaksud Namyang (pusat R&D Hyundai di Korea) dan ia juga bermaksud Nurburgring. Kami sukakan selekoh dan di sini terdapat banyak selekoh yang seronok dan mencabar. Di UK ini kami menguji prototaip i30 N dan kami perlu pastikan pada jalan raya yang mencabar di UK ini prestasi pemanduannya juga cukup selesa untuk kegunaan harian,” tambah Biermann.

    Hyundai i30 N akan diperkenalkan pada lewat tahun ini dan akan ditawarkan dalam dua versi iaitu 250 hp, dan yang paling berkuasa – 275 hp. Ketika dilancarkan nanti, i30 N akan dibekalkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan dan kemudiannya turut ditawarkan dengan transmisi klac berkembar lapan-kelajuan jenis klac basah.

    Apa yang menarik lagi, i30 N bakal dilengkapkan dengan LSD mekanikal pintar kawalan elektronik digelar E-LSD, pertama seumpamanya dari Hyundai. Kuasa dan pretasi yang dihasilkan enjin tersebut meletakkan ia sebaris dengan hot-hatch terkini dalam pasaran seperti VW Golf GTI dan Ford Focus ST, manakala halatuju Hyundai N seperti yang disebutkan sebelum ini disasarkan kearah BMW M.

    GALERI: Spyshot Hyundai i30 N

     
     
  • BMW atasi jualan Mercedes-Benz dan Audi di China

    BMW atasi jualan Mercedes-Benz dan Audi di China

    April merupakan bulan bertuah bagi BMW (dan MINI) di China; jenama itu mengatasi jumlah jualan kenderaan oleh Mercedes-Benz dan Audi, seperti dilaporkan Autonews.

    Pada bulan sebelumnya, BMW berjaya menjual sebanyak 48,869 unit kenderaan, mewakili peningkatan sebanyak 39% secara tahunan. Sementara itu, Mercedes-Benz mengikuti hampir di belakang, dengan jualan sejumlah 47,627 unit (peningkatan 35%). Audi pula mencatatkan penurunan sebanyak 6.9%, dengan jumlah jualan 46,166 unit.

    Laporan itu juga menyebut prestasi kurang baik Audi itu berpunca daripada ketidakupayaan syarikat itu untuk menyelesaikan pertelingkahan antara pengedarnya disebabkan rancangan untuk melancarkan rangkaian pengedaran baru di China. Ini menyebabkan pengedar Audi enggan memesan kenderaan baru.

    Bagi angka semasa tahunan, empat bulan pertama 2017 menyaksikan serahan kenderaan BMW meningkat 18% kepada 191,697 unit. Syarikat itu mensasarkan pertumbuhan jualan yang memberangsangkan ini dengan menggandakan pengeluarannya di China kepada 600,000 kenderaan dalam tempoh lima tahun ke hadapan.

    Di China, BMW memiliki kerjasama pengeluaran (agihan 50:50) dengan Brilliance China Automotive Holdings, dan merancang untuk menaik taraf kilangnya untuk menampung pengeluaran kenderaan elektrik, selari dengan permintaan di sana.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.21
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.93 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.13 (0.00)
Last Updated Sep 25, 2025