Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Proton, Altel, ECarX jalin kerjasama teknologi digital

    Proton, Altel, ECarX jalin kerjasama teknologi digital

    Ada satu lagi perkembangan yang melibatkan Proton selain daripada pemasangan percubaan bagi X70. Proton hari ini turut menandatangani perjanjian usahasama antara Proton Edar Sdn Bhd, Altel Communications Sdn Bhd dan ECarX (Hubei) Technology Co. Ltd, China.

    Syarikat usaha sama ini akan memberi kelebihan kepada Proton, terutama dalam bidang teknologi digital serta sistem keterhubungan (connectivity) dalam kenderaan. Penggunaan ciri-ciri seumpama ini kini menjadi trend antarabangsa dan dijangka menjadi salah satu pemacu utama jualan automotif pada masa hadapan.

    Langkah ini akan membuka kemungkinan baru untuk Proton mempunyai R&D serta menghasilkan pengeluaran paranti atau aplikasi keterhubungan kenderaan tempatan. Ini akan mendorong kepada peningkatan kandungan tempatan dalam produk akhir, mengurangkan kos serta mengurangkan kebergantungan terhadap alatan dari luar.

    Selain itu, perkembangan ini juga memungkinkan penawaran “Hi Proton” untuk pasaran eksport serantau di ASEAN dan membolehkannya disesuaikan bagi setiap pasaran terlibat melalui R&D tempatan yang dapat dilakukan nanti. Ini secara tidak langsung memberikan kelebihan dan manfaat besar kepada Proton, baik untuk pasaran di Malaysia mahupun pasaran eksport. Sebagai contoh, “Hi Proton” misalnya telah juga diperkenalkan pada model Iriz, Persona dan Exora 2019 yang diperkenalkan baru-baru ini.

    “Dengan menandatangani perjanjian hari ini, Proton mengambil langkah kehadapan dalam perancangan syarikat untuk menjadi jenama automotif yang menawarkan produk-produk bertaraf global. Kerjasama seperti ini membolehkan Proton mendapat kedudukan yang lebih tinggi dalam teknologi penyelesaian perhubungan dalam kenderaan yang sedang berkembang pesat. Ini juga dapat meningkatkan asas pengetahuan jurutera R&D di Proton.

    “Ia juga membolehkan kami meneroka pelbagai kemungkinan untuk mengembangkan penyelesaian keterhubungan kenderaan ke pasaran eksport Proton, terutamanya di negara-negara ASEAN yang berdekatan. Ini akan memberi satu kelebihan teknologi kepada Proton, dalam keadaan industri automotif kini sedang menuju ke peringkat seterusnya dalam penyelesaian mobiliti,” ujar Pengerusi Proton, Dato’ Sri Syed Faisal Albar.

     
     
  • Pemasangan tempatan bagi Proton X70 sedang diuji

    Pemasangan tempatan bagi Proton X70 sedang diuji

    Dalam perkembangan terbaru berkaitan kesediaan pemasangan tempatan model Proton di Tanjung Malim, syarikat itu memaklumkan naik taraf kemudahan yang bernilai RM1.2 bilion itu semakin hampir siap dibina. Dan, ketika ini, kerja-kerja percubaan pemasangan telah pun dijalankan untuk model X70.

    Bahagian-bahagian seperti semakan akhir, mengecat dan pemasangan bagaimanapun masih dalam fasa disiapkan sepenuhnya. Bagaimanapun, jurutera dan pekerja pengeluaran Proton sudah boleh menjalankan proses percubaan pemasangan kenderaan secara semi automatik untuk tujuan mendapatkan pendedahan serta pengalaman awal bagi proses pengeluaran SUV Proton X70 CKD kelak.

    Perlu jelas, bahawa yang sedang dilakukan ini ialah percubaan bagi kerja-kerja pemasangan tempatan kelak, dan bukannya pengeluaran sebenar bagi unit CKD X70 yang akan diperkenalkan. Unit X70 yang digunakan dalam gambar berkenaan juga sangat mirip dengan versi CBU yang ada ketika ini. Lain halnya dengan unit CKD nanti, yang khabarnya akan turut menerima sedikit kelainan dari sudut rekaan dan lokalisasi lainnya. Itu kita perlu tunggu bila versi CKD ini dikeluarkan secara rasmi untuk tahu lebih lanjut.

    “PROTON berhasrat untuk memulakan pengeluaran X70 di Tanjung Malim pada separuh kedua tahun ini, jadi kami berusaha keras untuk memastikan sasaran itu dicapai. Ini akan menjadi pencapaian yang luar biasa kerana dalam masa kurang dari dua tahun sejak perjanjian antara DRB-Hicom dan Geely ditandatangani, Proton telah mencapai kejayaan penting dalam usaha bersama kami untuk mengembalikan jenama ini kembali kepada kedudukan yang dikenali,” jelas Pengerusi Proton, Dato’ Sri Syed Faisal Albar.

    Pemasangan tempatan bagi Proton X70 sedang diuji

    April lalu dalam satu sesi bersama media, Syed Faisal memaklumkan bahawa pemasangan tempatan (CKD) bagi X70 adalah mengikut jadual dan model berkenaan akan diperkenalkan dalam tahun ini. Berkaitan kadar kandungan tempatan (local content) yang akan dilakukan terhadap X70 CKD nanti, tidak ada anggaran peratusan yang didedahkan.

    “Tetapi, ciri seperti sistem GKUI yang digunakan ketika ini antara perkara yang akan diberikan kemaskini dan disesuaikan untuk pengguna tempatan,” tambah beliau. Sebagai contoh, sistem peta yang menjadi sebahagian daripada sistem berkenaan pada X70 ketika ini menggunakan versi dari Baidu yang dibangunkan di China.

    “Kerja-kerja naik taraf dan persiapan di kilang Proton di Tanjung Malim untuk menampung pemasangan CKD X70 berjalan seperti dirancang dan hampir selesai. Selepas ini, ujian pemasangan kenderaan akan dilakukan serta memperkemaskan proses terlibat untuk memastikan kualiti berada pada tahap tertinggi. Begitu juga dengan untuk mempersiapkan vendor-vendor terlibat untuk tujuan ini,” ujar beliau.

     
     
  • Audi, Renault dan Honda akan guna speaker Alibaba

    Audi, Renault dan Honda akan guna <em>speaker</em> Alibaba

    Kenderaan-kenderaan Audi,Renault dan Honda di China selepas ini akan menggunakan pembesar suara atau speaker Tmall Genie Auto oleh Alibaba. Perkara ini diumumkan oleh syarikat berkenaan ketika pameran CES Asia 2019 di Shanghai, seperti dilaporkan Reuters.

    Dikuasakan oleh (artificial intelligence) AI dan bantuan kawalan suara, peranti ini akan membolehkan pemandu untuk menggunakan arahan suara untuk membuat pesanan di laman atas talian Alibaba dan juga tiket wayang, misalnya. Di dalam kenyataan bersama dengan tiga jenama pengeluar kenderaan itu, Alibaba memaklumkan dalam masa terdekat, Tmall Genie Auto akan membolehkan pemandu untuk meninjau dan mengawal peranti pintar mereka di rumah yang juga dilengkapi dengan peranti yang serasi dengan Tmall Genie.

    “Kami berbesar hati untuk menjadi rakan niaga bagi jenama automotif global seperti Audi, Renault dan Honda. Kami akan mempertingkatkan lagi perkhidmatan dalam kenderaan dan menjadikan pengalaman pemanduan lebih pintar dan semakin terhubung,” ujar Pengurus Besar Alibaba AI Labs, Miffy Chen.

    Laporan itu juga menjelaskan, Tmall Genie adalah mirip Echo oleh Amazon. Alibaba melancarkan peranti berkenaan pada 2017 dan mengeluarkan alatan sama versi kegunaan pada kenderaan pada April 2018. Antara jenama automotif lain yang khabarnya akan mengikut jejak yang sama memasang speaker pintar dalam kenderaan mereka termasuk BMW dan Volvo. Echo Auto yang dibangunkan oleh Amazon telah diumumkan pada September tahun lalu.

     
     
  • BMW 3 Series Touring G21 tampilkan lebih praktikaliti

    BMW 3 Series Touring G21 tampilkan lebih praktikaliti

    Kereta jenis wagon (juga dipanggil estate di beberapa tempat) masih lagi popular bagi pengguna kenderaan di Eropah, dan disebabkan itu BMW telah memperkenalkan 3 Series Touring G21 baru untuk mereka yang mencari lebih praktikaliti berbanding 3 Series Sedan G20.

    Jika dibandingkan dengan 3 Series Touring F31 sebelumnya, model baru ini adalah lebih besar, dengan ukuran 4,709 mm panjang (+76 mm), 1,827 mm lebar (+16 mm) dan 1,470 mm tinggi (+8 mm). Jarak roda depan dan belakang pula sekarang menjadi 2,851 mm (+41 mm), sementara jarak roda kiri dan kanan adalah 1,573 mm (+43 mm) di hadapan dan 1,569 mm (+21 mm) di belakang.

    Walaupun mempunyai dimensi lebih besar, model baru ini masih mencatat berat kurang 10 kg berbanding model sebelumnya, hasil daripada penggunaan lebih banyak besi berkekuatan tinggi dan aluminium. Ketegaran badan juga meningkat 25% secara keseluruhan dan mempunyai pembahagian berat 50:50.

    Melihat kenderaan ini daripada depan, tidak banyak beza rekaannya berbanding model sedan. Antara yang dilihat sama adalah gril hadapan besar serta lampu utama nipis yang didatangkan dengan sistem LED penuh secara standard (Adaptive LED dengan BMW Laserlight didatangkan sebagai pilihan tambahan).

    BMW 3 Series Touring G21 tampilkan lebih praktikaliti

    Barangan lain yang ditawarkan sebagai pilihan adalah lampu kabus, yang disepadukan pada bukaan udara luar, serta Air Curtain yang terdapat pada bucu bampar; kelengkapan ini adalah untuk varian Sport Line dan Luxury Line, dan bukannya Advantage Line yang paling asas. Model M Sport pula mendapat rekaan bampar yang lebih agresif dengan bukaan udara lebih besar.

    Pergi ke belakang, aspek praktikaliti yang diambil berat menyaksikan cermin belakang lebih lebar 20 mm berbanding model sebelum ini dan ia boleh dibuka secara berasingan untuk akses ke ruang barangan tanpa membuka pintu but. Lampu belakang pula mempunyai pencahayaan berbentuk L dan di hujung bampar terdapat kemasan berbentuk T (untuk semua varian kecuali M Sport).

    Kelebihan utama 3 Series Touring sudah tentu adalah ruang kargonya, yang menyaksikan peningkatan berbanding model sebelumnya. Bahagian but ini sekarang 112 mm lebih lebar dan bukaannya 30 mm lebih tinggi dan 125 mm lebih lebar di bahagian atas.

    Hasilnya, bahagian barangan belakang ini sekarang menyediakan ruang 500 liter (+5 liter) dengan semua tempat duduk berada tegak seperti asal, dan apabila dilipat (40:20:40), anda akan mempunyai 1,510 liter ruang barangan.

    BMW 3 Series Touring G21 tampilkan lebih praktikaliti

    Memasukkan barang ke bahagian ini juga menjadi lebih mudah kerana ia lebih rendah 616 mm, dan jarak antara atas bampar dengan lantai but cuma 8 mm berbanding 35 mm sebelum ini. BMW menambah, 3 Series Touring juga boleh didapati dengan rel anti gelincir, petak barangan serta fungsi melipat tempat duduk secara elektronik.

    Bahagian lain dalam kabin berkongsi banyak sistem dan ciri dengan model sedan, termasuk Live Cockpit Professional berserta panel instrumen 12.3 inci dan paparan infotainmen Control Display 10.25 inci dengan BMW Operating System 7.0 yang disediakan sebagai pilihan tambahan.

    Versi yang lebih asas untuk sistem ini (Live Cockpit and Live Cockpit Plus) menggunakan panel instrumen warna hitam dengan skrin 5.7 inci dan Control Display 8.8 inci, dengan Live Cockpit Plus yang mempunyai Touch Controller, sistem navigasi, dua soket USB untuk penukaran data, sambungan Apple CarPlay dan Wi-Fi. Pilihan lain yang disedikan adalah seperti sistem bunyi Harman Kardon 16 pembesar suara, pengawal suhu tiga zon, bumbung panoramik, lampu suasana serta kemasan dalam.

    BMW 3 Series Touring G21 tampilkan lebih praktikaliti

    Sistem bantuan pemandu juga tidak berkurangan pada model ini, dengan brek kecemasan autonomous serta amaran keluar lorong diberikan secara standard. Sistem yang disediakan sebagai pilihan tambahan adalah Driving Assistant Professional, yang termasuk Active Cruise Control dengan fungsi Stop & Go, Steering and Lane Control Assistant, Lane Change Warning, Side Collision Protection, Evasion Assistant, Cross Traffic Alert, Priority Warning dan Wrong-Way Warning.

    Semasa pelancaran, BMW menawarkan beberapa variasi enjin petrol untuk model ini, bermula dengan unit enam silinder 3.0 liter turbo xDrive M340i dengan jumlah kuasa 374 PS (369 hp) dan 500 Nm tork (0-100 km/j dalam masa 4.5 saat, laju maksimum 250 km/j).

    Dua lagi varian selebihnya menggunakan enjin empat silinder turbo 2.0 liter. Pada 330i, enjin ini menghasilkan 258 PS (255 hp) dan 400 Nm (0-100 km/j dalam 5.8 saat, laju maksimum 250 km/j), manakala pada 320i ia menghasilkan 184 PS (181 hp) dan 300 Nm (0-100 km/j dalam 7.6 saat, laju maksimum 230 km/j). Semua varian petrol ini datang dengan transmisi automatik lapan kelajuan Steptronic, dengan ciri pacuan xDrive disediakan sebagai pilihan untuk 330i (standard untuk M340i).

    Terdapat juga satu varian hibrid petrol 330e, yang akan ditawarkan menjelang tahun 2020, dengan kuasa keseluruhan 252 PS (248 hp). Ia menggunakan gabungan enjin empat silinder turbo 2.0 liter (184 PS atau 181 hp) dengan motor elektrik (109 PS or 107 hp) yang disepadukan pada kotak gear automatik lapan kelajuan.

    Pergi kepada model diesel, terdapat varian 330d xDrive yang menggunakan enjin enam silinder turbo 3.0 liter dengan kuasa 265 PS (261 hp) dan 580 Nm (0-100 km/j dalam 5.4 saat, laju maksimum 250 km/j). Ia kemudiannya diikuti oleh 320d yang menggunakan enjin empat silinder turbo 2.0 liter dengan kuasa 190 PS (188 hp) dan 400 Nm (0-100 km/j dalam 7.4 saat, laju maksimum 225 km/j).

    Akhir sekali adalah varian 318d yang menggunakan enjin empat silinder 2.0 liter tetapi cuma menghasilkan 150 PS (148 hp) dan 320 Nm. Transmisi manual enam kelajuan datang secara standard untuk 318d dan 320d, tetapi 320d boleh dipilih dengan transmisi automatik lapan kelajuan. Sistem pacuan empat roda juga boleh didapati untuk 320d, tetapi tiada pilihan transmisi automatik baginya.

    Sama seperti model sedan, 3 Series Touring boleh didapati dengan suspensi M Sport untuk menggantikan suspensi standard. Dengan suspensi ini, ia 10 mm lebih rendah, dan ditambah dengan pendakap badan, spring dan anti-roll bar lebih tegar serta sudut camber yang lebih.

    Kedua-dua tetapan suspensi ini bekerja dengan pengawal penyerap baru, yang merupakan satu sistem pasif yang memberikan serapan hidraulik tambahan pada roda hadapan dan sistem pengehad mampatan di bahagian belakang.

    Sekiranya itu masih tidak mencukupi, pemilik juga boleh mendapatkan suspensi Adaptive M dengan penyerap kawalan elektronik yang disambungkan kepada Driving Experience Control dengan mod Comfort, Adaptive dan Sport. Variable Sport Steering diberikan secara terus untuk kedua-dua sistem suspensi M yang ditawarkan.

    Pemilik juga kemudiannya boleh menambah lagi brek M Sport yang terdiri daripada cakera brek lebih ringan serta angkup empat piston di hadapan dan satu piston di belakang yang diwarnakan biru. Differential M Sport ditawarkan untuk 330i, 330i xDrive dan 330d xDrive dengan suspensi M Sport atau Adaptive M.

    BMW 3 Series G21 Touring M Sport

    BMW 3 Series G21 Touring Luxury Line

     
     
  • Skoda Karoq Velo – ada mesin basuh baju!

    Hari ini 12 Jun 2019, bukannya 1 April yang biasanya kita akan dihidangkan dengan berita pelik-pelik sebegini – ini betul punya berita, Skoda telah menghasilkan sebuah model khas dari SUV Karoq, digelar Karoq Velo yang mempunyai mesin basuh baju di dalamnya!

    Walau bagaimanapun, Karoq Velo ini sebenarnya bukanlah model produksi, tetapi model konsep dari Skoda UK dengan rekaan dan ciri-ciri dihasilkan khas untuk mereka yang gemar berbasikal. Sebelum projek ini dijalankan, pasukan rekaan Skoda telahpun menjalankan kaji selidik terhadap 1,500 penunggang basikal tentang kenderaan sokongan yang ideal untuk aktiviti tersebut.

    Dengan itu, terhasillah SUV dengan pelbagai ciri unik seperti ruang untuk menyimpan set peralatan lengkap bagi menukar tayar basikal bersama lampu LED bagi memudahkan kerja-kerja tersebut dibuat pada kawasan gelap, tempat penyimpanan basikal di dalam kabin selain dua lagi boleh diletakkan di bumbung, dan juga mesin basuh baju yang dinyatakan tadi.

    Skoda Karoq Velo – ada mesin basuh baju!

    Mesin basuh berkenaan menerima bekalan air dari sistem paip dan simpanan khas pada SUV tersebut, yang turut boleh digunakan untuk membasuh basikal. Walaupun Ia menerima pelbagai kelengkapan, ruang kabin Karoq Velo ini turut boleh dimuatkan dengan tiga orang dewasa termasuk pemandu.

    Pada bahagian luaran, Karoq Velo ini menampilkan rupa yang hampir sama dengan dengan Karoq standard. SUV ini diberikan warna badan kelabu bersama grafik berbentuk rantai basikal bagi memberitahu bahawa ia adalah model yang tidak sama dengan versi biasa.

    Apa yang menarik lagi, SUV istimewa ini turut dilengkapi dengan sebuah dron bagi melakukan berberapa tugasan. Dron ini mempunyai pad mendarat magnetik serta juga fungsi Follow Me yang menggunakan penderia dan teknologi pengesan bagi membolehkan ia mengikut penunggang basikal secara automatik bagi mengambil gambar.

    Dron berkenaan juga mempunyai Wi-Fi Hotspot bagi membolehkan gambar-gambar yang diambil terus dimuat naik setelah mereka pulang ke kereta. Karoq Velo ini turut dilengkapi dengan sistem panggilan kecemasan, yang akan terus menghantar lokasi kereta ke pihak Skoda sendiri, seterusnya menghubungi pihak yang terdekat bagi memberikan bantuan – dengan semudah menekan satu butang.

    Menurut Skoda, walaupun Karoq Velo ini tidak dijual, mereka ada menghasilkan berberapa aksesori diinspirasikan dari SUV ini dan ia boleh dibeli di pengedar bertauliah. Antara barangan tersebut adalah Skoda Multi-tool, pam tayar basikal bersama pendakap Skoda dan juga lampu basikal Skoda.

     
     
  • Op Selamat 15 Aidilfitri: 229 maut, 22,852 kemalangan dan 319,576 saman dalam tempoh dua minggu

    Op Selamat 15 Aidilfitri: 229 maut, 22,852 kemalangan dan 319,576 saman dalam tempoh dua minggu

    Sejak dilancarkan pada 29 Mei lalu, Op Selamat ke-15 sempena Hari Raya Aidilfitri telah mencatatkan 22,852 kes kemalangan jalan raya dengan melibatkan 229 kematian.

    Menurut Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Asmawati Ahmad berkata, Selangor dan Johor mendahului jumlah kematian paling ramai membabitkan 37 orang diikuti Perak (24), Kedah dan Pahang (masing-masing 18), Kelantan (17), Sabah (16), Sarawak (15), Terengganu (12), Negeri Sembilan (9), Pulau Pinang (8), Kuala Lumpur (7), Melaka (6) dan Perlis (5).

    “Selangor masih mencatat jumlah kes kemalangan tertinggi dengan 5,949 kemalangan, diikuti Johor (3,550), Kuala Lumpur (2,629), Perak (1,958) dan Pulau Pinang (1,835). Sepanjang dua minggu Op Selamat ke-15, sebanyak 4,195 operasi dijalankan di seluruh negara dengan 319,576 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Op Selamat 15 yang berlangsung dari 29 Mei hingga 12 Jun ini, memberi tumpuan terhadap enam kesalahan utama melibatkan memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit, memotong barisan, memandu laju dan tidak mematuhi lampu isyarat.

     
     
  • Continental dan Leia bangunkan sistem paparan 3D – akan masuk fasa pengeluaran seawal tahun 2022

    Continental dan Leia bangunkan sistem paparan 3D – akan masuk fasa pengeluaran seawal tahun 2022

    Semasa pameran CES 2019 di Shanghai, Continental telah menunjukkan buat pertama kalinya kepada orang awam satu sistem paparan 3D yang menggunakan teknologi digelar Lightfield, hasil kerjasama dengan sebuah syarikat teknologi dari Silicon Valley, California, Amerika Syarikat, iaitu Leia Inc.

    Berbeza dengan teknologi paparan 3D yang ada sekarang, Lightfield tidak memerlukan sebarang peranti tambahan yang perlu dipakai di kepala atau mata, dan ia boleh dilihat oleh semua orang di dalam kenderaan. Ini adalah hasil daripada kaedah istimewa menghalang dan membiaskan cahaya.

    Secara keseluruhannya, imej 3D yang oleh Lightfield dihasilkan melalui lapan perspektif berbeza setiap objek dan ia berubah mengikut sudut pandangan. Selain paparan penting informasi kenderaan dan navigasi, Continental juga sedang meneroka kandungan lain untuk paparan 3D ini seperti panggilan video, melayari internet ataupun menonton video sebagai aktiviti tambahan untuk pengguna kenderaan autonomous.

    Continental dan Leia bangunkan sistem paparan 3D – akan masuk fasa pengeluaran seawal tahun 2022

    Menurut Continental, Lightfield boleh memasuki fasa produksi menjelang tahun 2022, dan pengeluar kenderaan yang mahu menggunakannya boleh memilih perincian tersendiri bagi membezakannya dengan pengeluar lain yang juga menggunakan Lightfield.

    “Antara cabaran hebat dalam industri automotif sekarang adalah untuk membangunkan konsep pintar bagi interaksi antara mesin dan manusia. Untuk mencipta penyelesaian yang dapat meningkatkan pengalaman pemandu dalam kenderaan dan membenarkan mereka berhubung dengan kenderaan tanpa terganggu dalam pemanduan. Lightfield adalah antara teknologinya,” kata ketua bahagian perniagaan Instrumen dan Pemandu HMI Continental, Dr. Frank Rabe.

     
     
  • Lorong Perbandaran di Klang dibuka semula untuk lalu lintas mulai 20 Jun 2019 – Presiden MPK

    Lorong Perbandaran di Klang dibuka semula untuk lalu lintas mulai 20 Jun 2019 – Presiden MPK

    Ini ada berita baik untuk penduduk Klang dan pengguna jalan raya di daerah berkenaan. Selepas ditutup mulai 3 April 2018, Majlis Perbandaran Klang (MPK) membuat keputusan untuk membuka semula Jalan Perbandaran, iaitu salah satu laluan utama paling sibuk di dearah berkenaan, kepada lalu lintas bermula 20 Jun ini.

    “Walau bagaimana pun, laluan berkenaan dibuka setiap waktu puncak iaitu dari jam 6.30 pagi hingga 8.30 pagi dan 4 petang hingga 6 petang pada setiap Isnin hingga Jumaat. Ia akan ditutup pada trafik setiap hujung minggu dan juga cuti umum,” ujar presiden MPK Datuk Mohamad Yasin Bidin seperti yang dilaporkan oleh The Star.

    Tambahnya lagi, pada waktu berkenaan, pihak MPK akan sentiasa mengawal pergerakan trafik, dari Jalan Raya Barat ke Jambatan Kota menerusi Jalan Perbandaran.

    Lorong Perbandaran merupakan antara laluan untuk pengguna jalan raya ke bandar Klang, Meru dan Kapar menerusi Jambatan Kota, serta ke kawasan berdekatan dengannya termasuk pejabat tanah dan daerah Klang, Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan juga kawasan komersil Little India.

    Penutupan jalan terbabit sebelum ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pengguna jalan raya dan penduduk setempat. Di mana ia telah menambah kesesakan trafik yang teruk berhampiran kuil Kuan Yin di Jalan Raya Barat setiap kali waktu puncak. Justeru, MPK membuat keputusan untuk membuka semula laluan terbabit pada setiap waktu puncak.

     
     
  • Op Selamat 15 sempena Aidilfitri: Guna lorong kecemasan antara punca kemalangan – PDRM

    Op Selamat 15 sempena Aidilfitri: Guna lorong kecemasan antara punca kemalangan – PDRM

    Masih ramai lagi pengguna jalan raya mengabaikan larangan penggunaan lorong kecemasan terutamanya bila mahu mengelak kesesakan lalu lintas. Ia bukan sahaja boleh menyulitkan keadaan terutamanya jika berlaku kecemasan termasuk bila ada ambulans terpaksa bergegas untuk ke lokasi kejadian atau pun hospital. Malah memandu di lorong kecemasan juga boleh mengakibatkan kemalangan jalan raya.

    Perkara ini dinyatakan oleh Pegawai Turus Operasi Lebuhraya Zon Tengah A Jabatan Siasatan dan penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Asisten Superintendan Nasyrul Ridzuan Ab Razak berkata, kesalahan menggunakan lorong kecemasan dilihat sebagai penyumbang utama kemalangan dalam Operasi Selamat 15 (Op Selamat 15).

    “Jika dilihat kepada fungsi lorong kecemasan adalah untuk digunakan pihak berkuasa bagi memberi bantuan kepada pengguna jalan raya yang berdepan masalah termasuk kemalangan. Namun, wujud segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan laluan terbabit sesuka hati untuk kepentingan diri sendiri.

    “Berdasarkan jumlah kemalangan maut direkodkan bagi tempoh 29 Mei hingga 10 Jun lalu, sebanyak tiga kes direkodkan dalam Op Selamat 15 membabitkan lorong kecemasan di Zon Tengah A meliputi Shah Alam, Selangor hingga Tanjung Malim, Perak.

    Op Selamat 15 sempena Aidilfitri: Guna lorong kecemasan antara punca kemalangan – PDRM

    “Jumlah itu meningkat sebanyak dua kes berbanding hanya satu kes kemalangan maut dilaporkan di zon ini pada Op Selamat 13 membabitkan lorong kecemasan,” katanya seperti mana yang dilaporkan oleh Harian Metro.

    Nasyrul Ridzuan berkata, peningkatan jumlah kemalangan maut membabitkan lorong kecemasan direkodkan di zon berkenaan amat membimbangkan kerana permasalahan itu boleh dibendung jika ada kesedaran dalam kalangan pengguna jalan raya.

    “Dalam usaha mengelakkan kadar kemalangan semakin meningkat, seramai tiga pegawai dan 25 anggota ditugaskan bagi memastikan kelancaran lalu lintas serta memantau kesalahan dilakukan pengguna jalan raya termasuk menyalahgunakan lorong kecemasan.

    “Kerjasama daripada orang awam amat diperlukan bagi mengatasi permasalahan ini dengan bertimbang rasa terhadap pengguna jalan raya lain selain melaporkan insiden penyalahgunaan lorong kecemasan yang berlaku di depan mata mereka kepada pihak berkuasa. Tanpa kerjasama ini, sukar untuk mengatasi masalah ini seperti kata pepatah, ‘bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat’,” katanya.

    Op Selamat 15 sempena Aidilfitri: Guna lorong kecemasan antara punca kemalangan – PDRM

    Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung penyalahgunaan lorong kecemasan diminta menghubungi Pusat Kawalan Trafik PLUS (Lebuhraya Utara-Selatan) di talian 03 78016666 atau hubungi hotline JSPT di talian 03 22734086 untuk tindakan lanjut,” katanya.

    Dalam masa yang sama, setakat 10 Jun 2019, sebanyak 221 kematian akibat kemalangan jalan raya dicatatkan sepanjang Op Selamat 15 sempena Aidilfitri ini. Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Asmawati Ahmad berkata 14 kematian direkodkan pada Isnin dengan empat daripada kematian itu berlaku di Perak.

    Laporan Bernama turut menyebut, Terengganu dan Johor semalam masing-masing merekodkan dua kematian manakala Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Pahang dan Sarawak menunjukkan satu angka kematian. Jumlah kemalangan dicatatkan sehingga semalam ialah 21,265 kes iaitu pertambahan 1,750 kes berbanding sebelumnya.

    “Op Selamat yang akan berakhir dua hari lagi juga menunjukkan Selangor selaku penyumbang terbesar angka kemalangan dengan 5,487 kes, diikuti Johor dengan 3,293 kes, Kuala Lumpur dengan 2,405 kes sementara Perak dengan 1,843 kes,” kata Asmawati.

     
     
  • Mercedes-Benz GLB didedah – model kompak dengan pilihan tujuh tempat duduk, fungsi offroad, 4Matic

    Mercedes-Benz GLB didedah – model kompak dengan pilihan tujuh tempat duduk, fungsi offroad, 4Matic

    Model segmen kompak sekarang menjadi antara penyumbang penting bagi Mercedes-Benz dalam menarik pengguna lebih muda. Dengan sekarang terdapat empat produk berbeza – A-Class, B-Class, CLA dan GLA – dan pelbagai varian antaranya, pilihan adalah banyak, tetapi pengeluar itu masih dapat melihat ruang untuk satu model lagi iaitu SUV GLB.

    Diangkat sebagai satu pilihan yang lebih praktikal dan luas berbanding GLA, GLB ini adalah model kompak pertama Mercedes yang datang dengan pilihan tujuh tempat duduk. Untuk memuatkan satu lagi baris tempat duduk ini, ukuran GLB dijadikan 4,634 mm panjang, 1,834 mm lebar dan 1,658 mm (1,662 mm untuk versi tujuh tempat duduk) tinggi. Ukuran jarak roda pula adalah 2,829 mm (100 mm lebih panjang berbanding B-Class baru).

    Apabila diletakkan bersebelahan dengan GLA – yang sekarang ini sememangnya memerlukan pembaharuan – bezanya adalah jelas. GLB adalah 53 mm lebih panjang, 30 mm lebih lebar dan 164 mm lebih tinggi berbanding GLA, manakala jarak roda pula 130 mm lebih panjang. Semua ini adalah untuk memberikan ruang pada penumpang belakang serta barangan.

    Mercedes-Benz GLB didedah – model kompak dengan pilihan tujuh tempat duduk, fungsi offroad, 4Matic

    Mercedes mendakwa GLB dapat memberikan ruang kepala yang terbaik dalam segmennya iaitu 1,035 mm dan ruang kaki 967 mm untuk model lima tempat duduk, serta ruang barangan 560 liter (boleh dibesarkan menjadi 1,755 liter apabila tempat duduk belakang dilipat). Pada baris tempat duduk ketiga, ruangnya dikatakan cukup untuk orang sehingga ketinggian 168 sm, dan pemilik juga boleh menggunakan cagak ISOFIX serta cangkuk atas untuk sehingga empat tempat duduk kanak-kanak di dua baris belakang.

    Rekaan badan model ini juga adalah ringkas, tidak keterlaluan dan dikatakan oleh Mercedes sebagai mirip kepada kenderaan offroad sebenar. Banyak garis berpetak digunakan termasuk pada gril, lengkuk roda, lampu serta skid plate belakang. Pemilik juga diberikan pilihan lampu utama LED, Multibeam LED dan lampu kabus LED.

    Konsep offroad itu juga diteruskan pada bahagian dalam dengan rekaan biasa Mercedes diserapkan dengan sudut lebih tajam. Sementara corong udara bentuk turbin serta skrin rata besar masih dikekalkan, di depan bahagian penumpang pula terdapat kemasan plastik berwarna coklat dan di bawahnya plastik kelihatan seperti aluminium. Kemasan sama turut digunakan pada konsol tengah serta pemegang pintu.

    Mercedes-Benz GLB didedah – model kompak dengan pilihan tujuh tempat duduk, fungsi offroad, 4Matic

    Sudah tentu, pemilik juga diberikan dengan sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX), yang ditawarkan bersama pengawal keselesaan Energizing yang kini boleh disambungkan dengan jam pintar Garmin tertentu untuk meningkatkan kecekapannya. Penumpang baris ketiga boleh menggunakan fungsi Easy Entry satu sentuhan untuk masuk dengan lebih mudah dan terdapat soket USB di belakang.

    Semasa dilancarkan, GLB akan ditawarkan dengan pilihan dua enjin petrol dan diesel, bermula dengan unit empat silinder petrol M282 1.33 liter untuk GLB 200. Ia mampu menghasilkan 163 hp pada 5,500 rpm dan 250 Nm tork antara 1,600 hingga 4,200 rpm, dengan penggunaan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan Getrag. Pergi pula kepada GLB 250, ia menggunakan enjin petrol M260 2.0 liter, yang digabungkan dengan transmisi lapan kelajuan 8G-DCT baru, untuk menghasilkan kuasa 224 hp pada 5,800 rpm dan 350 Nm tork antara 1,800 hingga 4,000 rpm.

    Untuk enjin diesel, GLB 200 d dan GLB 220 d menggunakan unit OM654q 2.0 liter sama, namun dengan kuasa yang berbeza iaitu masing-masing 150 hp/320 Nm dan 190 hp/440 Nm. Kedua-duanya juga menggunakan kotak gear 8G-DCT dan mampu memberikan penggunaan bahan api antara 4.9 dan 5.0 liter bagi setiap 100 km untuk 200 d serta 5.2 dan 5.5 liter bagi setiap 100 km untuk 220 d. Ia juga menepati peraturan Real Driving Emissions (RDE) 2.

    Sistem pacuan semua roda 4Matic dipasang secara standard pada GLB 250 dan GLB 220 d manakala untuk GLB 200 d ia disediakan sebagai pilihan tambahan. Pengagihan tork boleh ubah pada sistem ini menampilkan nisbah 80:20 antara roda hadapan dan belakang dalam mod Eco dan Comfort, sementara dalam mod Sport, ia menggunakan nisbah 70:30. Pakej tambahan Offroad Engineering yang datang dengan mod offroad pula dapat mengubah nisbah menjadi 50:50.

    Pakej ini juga datang dengan Hill Descent Control, paparan offroad khas di skrin tengah, lampu utama Multibeam LED, serta fungsi lampu offroad yang boleh menyalakan lampu membelok pada kelajuan sehingga 50 km/j. Penyerap adaptif juga datang sebagai pilihan tambahan.

    Pada aspek keselamatan, GLB ditawarkan dengan sistem bantuan pemandu yang termasuk Distronic Adaptive Cruise Control yang sekarang boleh menyesuaikan kelajuan dengan selekoh, persimpangan dan bulatan, serta penghidup automatik apabila Active Parking Assist dipilih. Fungsi Active Steering Assist pula kini datang dengan Active Lane Change Assist yang boleh menukar lorong.

     
     
  • Porsche Macan 2019 dibuka tempahan – dari RM455k

    Porsche Macan 2019 dibuka tempahan – dari RM455k

    Sime Darby Auto Performance (SDAP) telah mengumumkan model facelift bagi Porsche Macan bakal diperkenalkan di pasaran tempatan pada 21 Jun ini, dan pelanggan yang berminat sudah boleh menempahnya mulai sekarang.

    Buat masa ini, hanya varian asas Macan yang akan ditawarkan, dengan harga RM455,000 (termasuk cukai yang berkaitan, kecuali yuran pendaftaran, cukai jalan dan insurans) dan termasuk dengan waranti empat-tahun dan pakej penyelenggaraan. Dengan 360 Financing Calculator, SDAP menawarkan yuran pemilikan bulanan yang menarik dari RM5,700 untuk Macan baharu ini.

    Di bawah bonetnya, terletak enjin petrol 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder yang mampu menghasilkan 252 PS (248 hp) dan tork 370 Nm. Ia turut dipadankan bersama kotak gear dwi-klac PDK tujuh-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda aktif Porsche Traction Management (PTM).

    Porsche Macan 2019 dibuka tempahan – dari RM455k

    Bagi aspek prestasi, Macan boleh mencapai pecutan dari 0-100 km/j dalam hanya 6.7 saat dan kelajuan maksimum mampu dicapai sehingga 225 km/j. Penggunaan bahan api dianggarkan 8.1 liter per 100 km, sementara pelepasan CO2 pula sekitar 185 gram per km.

    Macan 2019 ini menerima unit pencahayaan yang disemak semula, dengan rekaan baharu bagi kluster lampu utama LED hadapan. Sementara di belakang pula menerima panel lampu LED tiga-dimensi seperti mana Cayenne terkini, dan lampu belakangnya juga memiliki rekaan empat-poin yang mirip dengan lampu utama. Lain-lain perubahan luaran termasuk bampar baharu menyerlahkan lagi kelebaran SUV ini.

    Untuk kabinnya, bahagian tengah telah direka semula untuk menyesuaikan dengan sistem Porsche Communication Management (PSM), yang merangkumi skrin sesentuh 10.9-inci yang menggantikan unit terdahulu 7.2-inci. Paparan skrin lebar ini memerlukan corong udara diprofilkan semula dan ditempatkan di bawah skrin infotainmen.

    Porsche Macan 2019 dibuka tempahan – dari RM455k

    Selain itu, Porsche Macan turut menerima paparan skrin sesentuh konsol tengah yang dipertingkatkan dari tujuh ke sebelas inci. Ia sama antara muka seperti Panamera dan Cayenne, dan turut ditempatkan sepasang corong pendingin hawa di tengahnya yang juga direka semula dan diletakkan di bawah skrin sesentuh tengah.

    Untuk pasaran Malaysia, Macan didatangkan dengan Pakej Premium, yang dilengkapi ciri standard termasuk tempat duduk hadapan dengan 14-cara larasan bersama fungsi memori, pencahayaan ambien, Power Steering Plus Park Assist, cermin anti silau automatik dan sistem bunyi Bose.

    Pelanggan boleh memilih beberapa ciri termasuk roda bersaiz 18- hingga 21-inci, serta Sport Chrono Package yang didatangkan dengan roda stereng GT Sport. Turut ditawarkan termasuklah warna pilihan yang boleh dipilih di pusat pengedar Porsche bertauliah.

     
     
  • Yamaha EC-05 – skuter elektrik berasaskan model Gogoro yang akan dijual di Taiwan bermula Ogos ini

    Yamaha EC-05 – skuter elektrik berasaskan model Gogoro yang akan dijual di Taiwan bermula Ogos ini

    Di Taiwan, Yamaha telah bekerjasama dengan sebuah syarikat pengeluar skuter elektrik bernama Gogoro untuk menghasilkan model baru EC-05. Ia digerakkan oleh elektrik sepenuhnya, dan bakal dilancarkan dalam tahun ini juga di sana dan dijual menjelang bulan Ogos.

    Dalam video yang dikeluarkan melalui Youtube, Yamaha EC-05 ini dikatakan menggunakan asas daripada model Gogoro sedia ada dalam pasaran, tetapi rekaan luarnya mendapat sentuhan sendiri Yamaha Japan. Perincian sebenar EC-05 tidak didedahkan tetapi kami menjangka ia menggunakan asas daripada model Gogoro 2 dan mempunyai kelengkapan sama.

    Gogoro 2 datang dalam beberapa variasi dengan prestasi yang boleh mencapai 6.4 kW (8.5 hp) pada 3,000 rpm, laju maksimum 90 km/j dan jarak perjalanan 150 km dengan setiap cas penuh bateri (pada kelajuan 30 km/j). Gogoro juga mempunyai rangkaian infrastruktur skuter elektrik yang membolehkan pengguna kenderaan mereka menukar pek bateri ini di lebih 1,000 tempat dan meneruskan perjalanan tanpa perlu menunggu bateri dicas penuh.

    Antara kelengkapan menarik lain yang ada pada Gogoro 2 adalah seperti gear undur, ruang simpanan 25 liter bawah tempat duduk, tiga mod tunggangan, sensor graviti, hentakan, suhu serta cahaya, sistem kunci pintar menggunakan cap jari, alat kawalan jauh atau aplikasi telefon, sambungan bluetooth dan semua lampu LED.

    Selain daripada itu, ia juga menggunakan fork teleskopik di hadapan, dua penyerap hentak di belakang dengan larasan pra beban, brek cakera depan dan belakang, sistem brek SBS, rim 12 inci, berat keseluruhan 122 kg (dengan dua pek bateri) dan tinggi tempat duduk antara 750 hingga 770 mm. Harganya pula di sekitar USD3,000 (RM12,493).

    GALERI: Gogoro 2

     
     
  • BMW M8 F92 dengan barangan khas M Performance

    BMW M8 F92 dengan barangan khas M Performance

    Model BMW M8 yang baru didedahkan dalam dua bentuk badan iaitu Coupe F92 dan Convertible F91 sudah sedia cukup garang. Kalau itu masih tidak cukup, dan pemilik mahukan kemasan yang lebih sporty, BMW turut menawarkan pilihan barangan M Performance.

    Sudah tentu, dalam katalog M Performance ini banyak pilihan barangan yang dibuat daripada gentian karbon termasuk untuk keliling gril, salur udara di tepi, lip hadapan, side skirt serta spoiler dan diffuser belakang. Di dalam, bahan ini digunakan pada roda stereng, yang juga mempunyai pedal penukar gentian karbon serta penanda tengah biru.

    Turut ditawarkan adalah pad brek M Performance yang boleh menjadikan jarak berhenti lebih pendek, maklum balas lebih baik dan lebih ketahanan terhadap suhu tinggi, lapik kaki M Performance serta kain penutup khas untuk melindungi kenderaan apabila disimpan.

    BMW M8 baru dikuasakan oleh enjin S63 V8 4.4 liter twin turbo yang dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan M Steptronic dengan tetapan Drivelogic, mampu menghasilkan 600 hp pada 6,000 rpm dan 750 Nm tork antara 1,800 hingga 5,600 rpm. Ia boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 3.3 saat dan mencapai kelajuan maksimum (telah dihadkan) 250 km/j. Jika memasang pakej M Driver’s, kelajuan ini akan dinaikkan kepada 305 km/j.

    Apabila memilih pakej Competition pula untuk M8 ini, kuasanya dinaikkan lagi menjadi 625 hp dan tork maksimum pada tahap 5,800 rpm. Versi ini juga akan mendapat pemegang enjin yang lebih keras untuk memastikan maklum balas pendikit yang lebih pantas, pusingan stereng lebih cepat serta sistem ekzos M Sport bersuis yang biasanya datang sebagai pilihan tambahan pada model lain

     
     
  • Proton jual 10,611 unit pada bulan Mei – naik 51.3% berbanding April, rekod tertinggi dalam 46 bulan

    Proton jual 10,611 unit pada bulan Mei – naik 51.3% berbanding April, rekod tertinggi dalam 46 bulan

    Satu pencapaian yang cukup memberangsangkan apabila Proton berjaya menjual sebanyak 10,611 unit pada Mei, iaitu meningkat sebanyak 51.3% berbanding April 2019. Sekali gus memecah rekod angka jualan tertinggi dalam tempoh 46 bulan. Proton berkata pencapaian itu merupakan angka jualan tertinggi yang pernah dicapai sejak Julai 2015.

    Malah ia turut mendorong pertumbuhan jualan keseluruhan bagi lima bulan pertama tahun ini kepada lebih 70% berbanding tempoh masa sama pada 2018. Peratusan pegangan pasaran untuk bulan tersebut dianggarkan pada 17.2% menandakan satu lagi catatan cemerlang Syarikat sejak Januari 2016.

    Pastinya Proton X70 merajai carta jualan, dengan 2,439 unit dihantar pada Mei, dan jumlah keseluruhan jualannya dalam lima bulan pertama tahun ini mencecah 13,572 unit. Ini termasuklah unit yang dihantar pada hujung 2018 dan kini hampir 15,000 unit telah berada di jalan raya di Malaysia. Proton mendakwa X70 merupakan SUV yang terlaris di negara ini bagi tahun 2019.

    Selain itu, Proton Iriz dan Persona 2019 juga agak kencang jualannya. Persona 2019 terjual hampir 2,972 unit sejak dilancarkan, sementara Iriz 2019 pula cecah 940 unit, di mana ia memberikan angka jualan bulanan tertinggi dalam tempoh dua tahun. Dengan hampir 4,000 unit, kedua-dua model berkenaan telah menyumbang sebanyak 36% bagi keseluruhan jualan pada bulan Mei. Proton berkata, pihaknya telah menerima lebih 10,000 tempahan untuk bulan yang akan datang.

    Malah Saga juga mencatatkan jualan yang memberangsangkan, kini mencecah 3,000 unit bagi dua bulan berturut-turut. Dengan jualan sebanyak 3,610 unit pada Mei, jualan bagi model berkenaan hingga ke tarikh tersebut meningkat sebanyak 41%. Proton turut mengesahkan, versi yang dipertingkatkan bagi sedan saiz sederhana tersebut akan diperkenalkan tahun ini. Model yang terbaharu dilancarkan ialah MPV Exora RC 2019.

    “Dengan peningkatan jumlah jualan setakat ini sebanyak 70% pada tahun 2019, Proton menerima hasil untuk pelaburannya pada produk-produk, kakitangan serta cawangan-cawangan jualan. Syarikat berharap dapat mengakhiri keseluruhan jualan di tempat kedua dalam bulan kedua berturut-turut apabila angka jualan industri keseluruhan dikongsi oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dan kami yakin dapat mengekalkan prestasi jualan yang mantap sepanjang tahun,” ujar Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

    Tambahnya lagi, “Strategi Proton bagi separuh kedua tahun ini adalah untuk terus meningkatkan jualan syarikat dengan memperkenalkan model-model sedia ada yang telah ditambahbaik serta meningkatkan pengalaman pelanggan dengan membuka lebih banyak cawangan 3S/4S kerana usaha ini telah mendapat maklum balas positif dari para pelanggan. Usaha-usaha ini akan membantu memastikan imej Proton ditambahbaik di mana kami akan terus mentakrifkan semula nilai jenama sebagai persediaan untuk pengenalan lebih banyak model yang akan dihasikan bersama-sama dengan Geely pada masa akan datang.”

     
     
  • BMW M8 Coupe F92, Convertible F91 muncul – 625 hp

    BMW M8 Coupe F92, Convertible F91 muncul – 625 hp

    Kewujudan BMW M8 baru telah diketahui lama dulu, malah sebelum 8 Series G15 membuat penampilan pertamanya. Pada tahun 2017, BMW sendiri telah mendedahkan model ini akan berlumba dalam World Endurance Championship (WEC). Selepas model konsep ditunjukkan dan beberapa gambar bocor dalam internet, akhirnya pengeluar dari Jerman itu mendedahkan sendiri M8 versi produksi.

    Ditampilkan dalam versi Coupe F92 dan Convertible F91 (versi Gran Coupe akan menyusul kemudian), M8 menggunakan enjin yang diambil terus daripada M5 F90. Ia adalah unit S63 V8 4.4 liter twin turbo yang mampu menghasilkan 600 hp pada 6,000 rpm dan 750 Nm tork antara 1,800 hingga 5,600 rpm.

    Semua kuasa ini disampaikan kepada semua empat roda melalui transmisi automatik lapan kelajuan M Steptronic dengan tetapan Drivelogic. Hasil daripada itu, M8 boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 3.3 saat dan mencapai kelajuan maksimum (telah dihadkan) 250 km/j. Jika memasang pakej M Driver’s, kelajuan ini akan dinaikkan kepada 305 km/j.

    BMW M8 Coupe F92, Convertible F91 muncul – 625 hp

    Apabila dilancar nanti, M8 akan ditawarkan dengan versi Competition (sama seperti X3 M dan X4 M), yang meningkatkan lagi kuasanya kepada 625 hp dan tork maksimum pada tahap 5,800 rpm. Versi ini juga akan mendapat pemegang enjin yang lebih keras untuk memastikan maklum balas pendikit yang lebih pantas, pusingan stereng lebih pantas serta sistem ekzos M Sport bersuis yang biasanya datang sebagai pilihan tambahan pada model lain. Untuk itu, pecutan 0-100 km/j versi Competition menjadi cuma 3.2 saat (3.3 saat bagi yang berbadan Convertible).

    M8 baru juga mendapat sistem pacuan semua roda M xDrive, yang dapat mengagihkan tork secara berbeza untuk roda hadapan dan roda belakang, bergantung kepada keadaan jalan dan tetapan yang dipilih. Walaupun dalam keadaan standard sistem ini sudah menyampaikan lebih kuasa kepada roda belakang, tork akan ditambah lagi kepada gandar itu apabila diletakkan dalam mod 4WD Sport. Mod 2WD pula cuma boleh diguna apabila fungsi kawalan kestabilan ditutup, dan membolehkan pemandu berseronok dengan membuat aksi drift. Gandar belakang juga menggunakan Active M Differential.

    Untuk memastikan kenderaan dapat melekap atas jalan, bahagian casisnya disambung dengan kelengkapan seperti penyerap adaptif dan pembaca kinematik dan elastokinematik untuk memberikan kedudukan roda yang tepat dan stabiliti terbaik. Tetapan suspensi double wishbone di hadapan mempunyai bearing boleh pusing khas, torque arm, control arm dan bearing elastomer untuk mengagihkan semua tenaga pada suspensi kepada subframe dan struktur badan.

    BMW M8 Coupe F92, Convertible F91 muncul – 625 hp

    Sementara itu di belakang, gandar dengan gantungan five-link mendapat sambungan diperkuat khas M untuk meningkatkan kelincahannya, serta anti-roll bar yang lebih keras untuk maklum balas suspensi dan serapan yang lebih tepat. Daya tahan kilasan juga ditingkatkan melalui penggunaan penyerap tower-to-bulkhead serta panel lebih kuat di hadapan, serta pendakap besi di belakang. Kemampuan mengambil selekoh secara dinamik versi Competition diperelok lagi dengan camber hadapan yang ditingkatkan, dan penggunaan ball joint pada toe link belakang.

    Bahagian lain kenderaan juga telah berubah sejak M5 didedahkan. Sekarang ia mempunyai sistem brake-by-wire dengan modul kompak yang memadukan pengaktifan brek, fungsi boost dan kawalannya, serta booster brek tanpa vakum. Sistem ini dikata dapat mengurangkan berat sebanyak dua kilogram dan memberikan tekanan brek segera, campur tangan kawalan stabiliti yang lebih pantas dan tepat, serta rasa pada pedal lebih optimum dalam pelbagai keadaan.

    Sistem ini turut memberikan pilihan tetapan Comfort dan Sport yang mengubah penyampaian tekanan kuasa brek, dan ia boleh dipilih menggunakan butang Setup baru yang juga mengawal tetapan enjin, kotak gear, suspensi, nisbah stereng dan sistem pacuan empat roda. Satu lagi butang baru adalah untuk M Mode, yang mengubah sistem bantuan pemandu dan informasi yang disampaikan melalui skrin kenderaan untuk mengikut mood pemandu.

    Dalam mod standard Road, semua sistem dan paparan berfungsi seperti biasa, tetapi apabila mod Sport dipilih, paparan instrumen dan head-up display cuma akan mengeluarkan informasi penting sahaja dan pemandu juga boleh menutup terus semua paparan sistem bantuan pemandu, brek autonomous serta Evasion Assistant. Model Competition pula ditambah dengan satu lagi mod Track yang menutup semua sistem bantuan, skrin tengah serta audio, sekaligus memberikan peluang pemandu lebih fokus kepada pemanduan yang bersemangat.

    Disebabkan semua peningkatan prestasi ini, BMW juga mengubah bahagian luar kenderaan dengan ia sekarang menggunakan rekaan lebih agresif berserta tiga corong udara yang besar di hadapan, fender lebih lebar untuk memuatkan jarak roda yang juga lebih lebar, bukaan Air Breather serta diffuser belakang dengan empat muncung ekzos.

    Turut dipasang adalah spoiler belakang yang nipis, cermin sisi khas untuk model M, dan bagi model Coupe, terdapat bumbung gentian karbon. Rim aloi 20 inci datang secara standard dan di sebaliknya terdapat brek M dengan ukuran cakera 395 mm di hadapan atau pilihan unit seramik karbon 400 mm yang lebih besar. Model Competition mendapat kemasan hitam berkilat, rekaan rim khas serta pilihan pakej luar M Carbon.

    BMW M8 Coupe F92, Convertible F91 muncul – 625 hp

    Di dalam, anda akan menemui tempat duduk sport dengan bahagian tepi yang lebih besar, penyandar kepala bersepadu serta lambang M8 yang menyala, dan juga rekaan roda stereng unik berserta butang M1 dan M2 berwarna merah untuk pilihan tetapan kenderaan kegemaran anda. Terdapat juga butang pemula enjin berwarna merah dan tombol gear elektronik baru.

    M8 datang secara standard dengan balutan kulit Merino, tetapi model Competition turut mendapat pilihan kulit lain serta Alcantara dalam skema warna dua tona yang kontras. Model ini juga menggunakan Alcantara pada konsol tengah, bahagian bawah papan pemuka serta kemasan atas BMW Individual.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 02, 2024