Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Pusat servis Hyundai telah kembali beroperasi

    Pusat servis Hyundai telah kembali beroperasi

    Hyundai Sime Darby Motors (HSDM) mengumumkan semua pusat servis Sime Darby Auto Hyundai (SDAH)
    telah kembali beroperasi selepas menerima kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

    Memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih diteruskan, maka jumlah pelanggan dan juruteknik penyelenggaran dihadkan di setiap pusat servis. Pelanggan yang ingin menghantar kereta untuk diselenggara perlu membuat temujanji terlebih dahulu memandangkan SDAH tidak melaksanakan sistem walk-in.

    HSDM turut berkata semua pusat servis akan mengikuti garis panduan keselamatan dan kesihatan yang telah ditetapkan, seperti mengamalkan penjarakkan sosial dan kakitangan akan mengendalikan proses pembasmi kuman biasa. Semua kakitangan dan pelanggan juga akan disaring dan diperiksa suhu badan sebelum memasuki pusat servis, dan hand sanitiser juga akan disediakan di semua tempat yang disentuh pelanggan.

    Untuk membuat temujanji, pelanggan dikehendaki menghubungi pusat servis SDAH atau penasihat penyelenggara. Waktu operasi buat masa ini dihadkan dari jam 9 pagi hingga 4 petang pada hari biasa, dan 9 pagi hingga 12 tengahari pada hari Sabtu. Walau bagaimana pun, cawangan di Georgetown dan Prai akan beroperasi masing-masing pada jam 8 pagi hingga 5 petang dan 9 pagi hingga 2 petang.

     
     
  • Lotus akan keluarkan model tahap permulaan yang juga adalah model enjin pembakaran dalaman terakhir

    Lotus akan keluarkan model tahap permulaan yang juga adalah model enjin pembakaran dalaman terakhir

    Lotus Evora GT410

    Melalui laporan yang dikeluarkan oleh Automotive News Europe, Lotus dikatakan sedang membangunkan sebuah model tahap permulaan yang juga akan menjadi model terakhir menggunakan enjin pembakaran dalaman oleh pengeluar tersebut.

    Laporan itu turut memetik maklum balas daripada CEO Lotus, Phil Popham yang memberitahu model ini akan mempunyai ruang dalaman mencukupi untuk kegunaan harian, rekaan seperti Evija dan harga antara 55,000 hingga 100,000 pound sterling (RM295,449 hingga RM537,180).

    Pengeluaran model ini akan dibuat di satu cabang baru kilang Lotus di Hethel bermula bulan hadapan, iaitu selepas tempoh kawalan pergerakan di United Kingdom ditamatkan. Pengenalannya pula dijangka berlaku hujung tahun ini atau awal tahun hadapan.

    Lotus akan keluarkan model tahap permulaan yang juga adalah model enjin pembakaran dalaman terakhir

    Spyshot SUV Lotus

    Pengenalan model ini adalah antara cara Lotus untuk menawarkan model yang lebih mesra pengguna serta meningkatkan jumlah jualan buat sementara sebelum sebuah SUV serba baru (besar kemungkinan dibuat di China) diperkenalkan ke dalam pasaran.

    Memandangkan Lotus sekarang mahu menggunakan sepenuhnya kapasiti pengeluaran 5,000 unit setahun pada kilang mereka, model baru ini mempunyai kemungkinan menggunakan platform yang sudah sedia ada seperti Evora, dan bukannya platform serba baru.

    “Fokus kami sekarang adalah pada kereta sports, tapi kami rasa jenama ini mempunyai potensi memasuki segmen lain, dan Geely mempunyai kepakaran dalam pemacu elektrik serta pemanduan autonomous,” kata Popham. Model Evija yang menggunaan kuasa elektrik penuh serta kuasa hingga 2,000 PS akan mula memasuki fasa pengeluaran hujung tahun ini dan tempahan untuknya juga sudah diterima.

     
     
  • DS 7 Crossback kini berharga RM259,888 di Malaysia

    DS 7 Crossback kini berharga RM259,888 di Malaysia

    DS Automobiles Malaysia telah menyemak semula harga bagi DS 7 Crossback, yang kini berharga RM259,888 atas jalan tanpa insurans. SUV premium import sepenuhnya ini dilancarkan di pasaran tempatan pada Jun 2019 dengan harga RM199,888, sekaligus menyaksikan peningkatan sebanyak RM60,000.

    Bagi spesifikasinya, DS 7 ini dijanakan oleh enjin petrol 1.6 liter Turbo High Pressure (THP) empat-silinder yang mampu menghamburkan kuasa hingga 165 PS pada 6,000 rpm dan tork 240 Nm bermula 1,400 rpm. Kuasa pacuan disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi automatik enam-kelajuan dengan tuil gear elektronik dan pedal penukar gear.

    Bagi spesfikasi model pasaran kita, ia ditampilkan dengan kemasan Performance Line, yang ditambah serlahan black matte, lencana Carmin Red dan roda aloi gaya-turbin “Beijing” Black Onyx 19-inci. Bukan itu saja, ia ditampilkan dengan lampu utama Active LED Vision pada bahagian hadapan yang boleh dilaraskan penyebaran pencahayaan dengan lima mod, bergantung pada keadaan jalan.

    DS 7 Crossback kini berharga RM259,888 di Malaysia

    Selain itu, indikator arah, lampu kabus LED dan lampu nyalaan siang LED dengan paten titik menegak, juga juga ditampilkan. Di belakangnya, lampu LED nipis diinspirasikan dari model konsep E-Tense, dengan suluhan laser dan skala tiga-dimensi.

    Penggayaan luarannya ternyata senada dengan bahagian dalaman, termasuk material Basalt Black Alcantara yang menutupi permukaan kabin, termasuk pada tempat duduk, papan pemuka dan panel pintu. Lain-lain serlahan termasuk ukiran “Clous de Paris” pada suis toggle konsol tengah serta jam analog BRM R180 yang diletakkan di atas papan pemuka.

    Ciri tambahan baharu yang ditampilkan ialah skrin sesentuh infotainmen 12-inci yang menggantikan unit lapan-inci terdahulu, yang menyokong fungsi multimedia, Apple CarPlay dan Android Auto, ketersambungan MirrorLink, DS Connect dan kawalan suhu. Sistem ini dipadankan dengan 14-pembesar suara, sistem bunyi Focal Electra Hi-Fi 515 wat, dengan skrin paparan 12-inci sebagai kluster instrumen digital.

    DS 7 Crossback kini berharga RM259,888 di Malaysia

    Unit infotainmen skrin sesentuh lapan-inci pada model sebelum ini

    Kit standard lain termasuk kemasukan tanpa kunci dan butang penghidung enjin, tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan fungsi memori pada bahagian pemandu, tempat duduk belakang boleh dibaringkan secara berkuasa dengan fungsi satu sentuhan, kawalan kelajuan, kawalan suhu auto tiga-zon, cermin pandang belakang anti silau, pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi, kamera undur, cermin hadapan kaca akustik dan tailgate berkuasa bebas tangan.

    Bagi aspek keselamatan, DS 7 didatangkan dengan ciri standard termasuk enam beg udara, ABS dengan EBD dan bantuan brek, kawalan kestabilan, dan Amaran Perhatian Pemandu, bersama cagak ISOFIX pada tempat duduk penumpang hadapan dan belakang. Walau bagaimana pun, brek kecemasan sendiri masih tidak ditampilkan bagi model pasaran tempatan.

    Masih ditawarkan dengan pilihan warna seperti sebelum ini, iaitu Nera Black, Pearl White, Absolute Red dan Platinum Grey. Ia juga didatangkan dengan waranti lima-tahun/120,000 km, lima tahun bantuan tepi jalan 24 jam, akses ke SkyLounge di Subang Skypark dan juga perkhidmatan DS Only You.

    GALERI: DS 7 Crossback 1.6 THP Performance Line 2019

     
     
  • Honda Malaysia, Socar sediakan 50 buah City untuk kegunaan pelanggan yang juga barisan hadapan

    Honda Malaysia, Socar sediakan 50 buah City untuk kegunaan pelanggan yang juga barisan hadapan

    Honda Malaysia telah mengadakan satu kerjasama dengan SOCAR Mobility Malaysia Sdn Bhd (SOCAR) untuk menyediakan 50 buah Honda City bagi kegunaan petugas barisan hadapan yang juga merupakan pelanggan Honda.

    Bermakna, sekiranya anda seorang petugas barisan hadapan dan memiliki kenderaan Honda tetapi tidak boleh menggunakannya buat masa ini, anda layak untuk menggunakan khidmat yang disediakan oleh Honda dengan Socar ini, di mana City tersebut boleh digunakan selama satu bulan secara percuma (sewa dibayar oleh Honda).

    “Inisiatif bersama Socar ini diperkenalkan demi membantu petugas barisan hadapan yang mana kenderaan Honda mereka tidak boleh digunakan pada waktu sekarang, dan diganti dengan City buat sementara. Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada petugas barisan hadapan sepanjang bertempur dengan pandemik Covid-19 ini,” kata pengarah urusan dan CEO Honda Malaysia, Toichi Ishiyama.

    Petugas barisan hadapan yang berminat mahu menggunakan khidmat ini boleh melayari laman web rasmi Honda Malaysia untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaannya.

     
     
  • Mitsubishi Express – van Delica generasi baharu rebadge dari Renault Trafic akan ke Australia Julai ini

    Mitsubishi Express – van Delica generasi baharu <em>rebadge</em> dari Renault Trafic akan ke Australia Julai ini

    Jika di Jepun nama Mitsubishi Delica kini masih lagi wujud tetapi telah bertukar dari van ke MPV, lain pula halnya di Australia – Delica yang dikenali dengan nama Mitsubishi Express disana akan hadir dalam versi generasi baharu yang akan dilancarkan pada Julai ini, namun ia bukan lagi model yang sama seperti di Jepun, sebaliknya masih lagi van tetapi di’rebadge’ dari Renault Trafic.

    Ini bermaksud, Mitsubishi Express akan kembali ke pasaran Australia selepas model terakhirnya ditamatkan pada tahun 2014, dan ini adalah salah satu hasil setelah Mitsubishi menyertai Pakatan Renault-Nissan pada tahun 2016.

    Menerusi foto rasmi yang disiarkan oleh Mitsubishi, tidak banyak perubahan pada Express ini yang dibuat berbanding kembarnya Renault Trafic. Antara yang dilihat berbeza adalah pada gril dan bonet hadapan serta lencana-lencana Renault yang ditukar kepada Mitsubishi.

    Mitsubishi Express akan ditawarkan dalam pilihan dua enjin empat-silinder turbodiesel, serta badan jarak roda panjang dan pendek. Untuk enjin, pilihan yang diberikan adalah sama ada versi 1.6 liter dengan dua pengecas turbo (hanya dipadankan kotak gear manual enam-kelajuan), dan versi 2.0 liter turbo tunggal (hanya dengan kotak gear klac berkembar automatik enam-kelajuan).

    Mitsubishi Express – van Delica generasi baharu <em>rebadge</em> dari Renault Trafic akan ke Australia Julai ini

    Mitsubishi masih belum mendedahkan angka kuasa enjin-enjin ini, namun pada Trafic ia menjana 138 hp/340 Nm untuk versi 1.6L dan 168 hp/380 Nm untuk versi 2.0L. Namun apa yang pasti, kesemua pilihan janakuasa ini hanya memacu roda hadapan.

    Kesemua varian ini akan dibekalkan dengan sistem Extended Grip, iaitu mod yang boleh diaktifkan oleh pemandu untuk sistem traction control elektronik bagi memberikan bantuan ketika memandu pada permukaan yang licin.

    Juga, kesemua model akan hadir pintu gelangsar pada kedua-dua sisi, serta pintu belakang dengan bukaan 90- dan 180-darjah. Bagi model jarak roda pendek, ia akan menawarkan kapasiti muatan 5,200 liter, manakala versi jarak roda panjang pula hadir dengan kapasiti muatan 6,000 liter.

    Ciri standard lain yang turut dibekalkan adalah pemijak kaki pada bampar belakang, rim besi 16-inci bersama tayar gantian saiz penuh yang disimpan di bawah lantai kargo.

    Untuk bahagian kabin hadapan pula, Express akan diberikan tempat duduk bench yang boleh memuatkan tiga-orang dewasa bersama perehat tangan untuk pemandu yang boleh disimpan, pemain audio utama 1DIN dengan sokongan Bluetooth dan USB serta ruang-ruang storan yang mencukupi.

    Manakala bagi ciri keselamatan pula, Mitsubishi Express hadir standard dengan lima-beg udara, (dua di hadapan, dua tirai dan satu untuk toraks pemandu), cruise control, pengehad kelajuan manual, bantuan mula mendaki dan juga penderia parkir belakang.

    Model 2.0 liter turut diberikan lampu dengan penderia senja, penegelap cermin dengan penderia hujan serta kamera undur yang memberikan visual pada cermin pandang belakang tengah.

    Van Mitsubishi Express ini akan ditawarkan dengan empat warna badan iaitu putih, hitam, merah dan Platinum Grey (perak), manakala bahagian dalaman pula hanya hadir dengan warna hitam dengan upholsteri fabrik. Harga van ini akan diumumkan ketika pelancarannya nanti.

     
     
  • Hap Seng Star umum pusat servis Mercedes-Benz terpilih telah kembali beroperasi sepanjang PKP

    Hap Seng Star umum pusat servis Mercedes-Benz terpilih telah kembali beroperasi sepanjang PKP

    Hap Seng Star (HSS) telah mengumumkan beberapa pusat servis Mercedes-Benz terpilih kembali beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai hari ini, selepas menerima kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

    Pelanggan yang ingin menghantar kenderaan masing-masing untuk diselenggara perlu membuat temujanji terlebih dahulu, kerana sistem ‘walk-in’ tidak dibenarkan buat masa ini. Untuk berbuat demikian, pelanggan perlu menghubungi pusat perkhidmatan pelanggan HSS di talian 03-2116 9250. Pelanggan juga diberi pilihan untuk perkhidmatan ‘drop-and-go’ atau ‘door-to-door’.

    HSS turut menyenaraikan pusat servis yang beroperasi iaitu di bahagian sentral termasuk cawangan HSS di Kinrara, Balakong, Jalan Ipoh, Puchong South, Bukit Tinggi dan Setia Alam.

    Manakala untuk bahagian selatan, pusat servis di Melaka dan Iskandar (Johor) akan dibuka, sementara di Timur Malaysia, fasiliti di Kota Kinabalu, Kuching dan Miri juga akan beroperasi.

     
     
  • Toyota tunjuk crossover segmen B baru 23 April ini

    Toyota tunjuk crossover segmen B baru 23 April ini

    Setelah pengenalannya yang dijaudualkan ketika pameran Geneva tahun ini terpaksa di tangguhkan, Toyota akhirnya akan memperkenalkan model SUV segmen B terbarunya esok, 23 April, menurut Autonicion.

    Kenderaan crossover kompak baru itu menggunakan platform TNGA-B yang sama digunakan pada Yaris terkini. Untuk itu, model baru ini juga dijangka akan berkongsi sistem janaan kuasa yang sama dengan hatchback berkenaan. Ini termasuklah enjin M15A 1.5 liter Dynamic Force NA tiga-silinder, yang digandingkan sama ada dengan kotak gear Direct-Shift CVT atay manual enam-kelajuan.

    Bagi sistem janaan kuasa dengan elektrikfikasi, ia mungkin juga tak lari jauh daripada penawaran yang diberikan pada Yaris. Ini terdiri daripada unit 1.5 liter NA dengan janaan 91 hp/120 Nm serta motor elektrik magnet synchronous kekal dengan kuasa 79 hp/141 Nm. Ia juga ada dalam versi pacuan semua roda.

    Model ini akan memenuhi permintaan pasaran segmen B bagi SUV yang kian berkembang, yang ketika ini bagi Toyota paling hampir hanya diwakili oleh model C-HR satu segmen di atasnya. Menurut pemerhati pasaran JATO Dynamics, 1.9 juta SUV kompak telah dijual di Eropah tahun lalu, mewakili 20% pertambahan angka jualan berbanding tahun 2018.

    Pengenalan pada 23 April ini juga akan awal, memandangkan Mac lalu sumber Toyota memaklumkan Automotive News Europe bahawa SUV segmen B ini hanya akan mula dijual selepas 12 bulan, sementara aktiviti-aktiviti lain yang dirancang selepas Geneva yang telah dibatalkan itu juga terpaksa dikurangkan. Betul atau tidak, dan apa penawaran yang ada untuk crossover segmen B terbaru Toyota ini, kita tunggu esok.

     
     
  • Renault masukkan unit terpakai Captur dalam senarai model yang boleh dilanggan – dari RM599 sebulan

    Renault masukkan unit terpakai Captur dalam senarai model yang boleh dilanggan – dari RM599 sebulan

    Pelan langganan kenderaan Renault yang ditawarkan oleh TC Euro Cars (TCEC) sebelum ini cuma melibatkan kenderaan baru tapi sekarang ia telah disertai pula oleh unit Captur terpakai (berusia tidak lebih dua tahun dan melepasi pemeriksaan kualiti khas), sekaligus menjadikan harganya lebih mampu milik.

    Bagi pelan satu tahun, harga yang perlu dibayar adalah RM1,299 sebulan, termasuk cukai jalan, insurans, servis biasa dan mengikut had jarak perjalanan 20,000 km (boleh dinaik taraf dengan pilihan lain). Walaubagaimanapun, kini syarikat itu sedang mengadakan promosi dengan menawarkan harga RM599 untuk enam bulan pertama dan apabila memasuki bulan ketujuh hingga 12, ia kembali kepada RM1,299 sebulan (pelan satu tahun).

    Sesiapa yang berminat boleh membuat tempahan atas talian melalui Renault E-Store dari sekarang hingga 15 Mei, dengan bayaran RM200. Sebagai perbandingan, harga pelan langganan satu tahun untuk model Captur baru sebelum ini adalah RM1,499 sebulan atau RM1,299 sebulan untuk tempoh dua tahun.

    Renault masukkan unit terpakai Captur dalam senarai model yang boleh dilanggan – dari RM599 sebulan

    Demi mendekati lebih ramai pelanggan, TCEC juga melakukan kerjasama dengan Shopee untuk menawarkan baucar diskaun 25% untuk bayaran tempahan (RM50). Hanya 40 pelanggan berpeluang merebut baucar ini kerana ia diadakan dua kali sehari pada 23 April dan 24 April, iaitu pada jam 12 tengah malam dan 12 tengah hari, dengan setiap sesi menawarkan 10 baucar.

    Mereka yang sudah menempah langganan ini melalui Renault E-Store ataupun Shopee kemudiannya boleh mengesahkan perjanjian langganan mereka dari 15 Mei hingga 31 Julai 2020. Bagi yang tidak mahu meneruskan langganan, meskipun sudah membuat tempahan akan mendapat kembali bayaran langganan mereka sekiranya dalam tempoh 60 hari pertama – RM5 akan ditolak sebagai bayaran pentadbiran.

    Apabila sudah mengesahkan langganan, pelanggan perlu membayar yuran bulanan pertama setelah ditolak dengan bayaran tempahan awal yang telah dibuat, berserta deposit RM2,500. Deposit ini akan dipulangkan semula pada akhir tempoh langganan bergantung kepada keadaan kenderaan.

     
     
  • ‘The Touge’ – siri video yang pernah sebabkan lesen lumba Keiichi Tsuchiya digantung pada tahun 1987

    Kompilasi tiga video yang diterbitkan oleh Pluspy of Kanagawa

    Rasanya kalau anda suka kereta, semestinya anda kenal Keiichi Tsuchiya – pelumba profesional Jepun yang sinonim Toyota Corolla AE86, dan mendapat gelaran ‘The Drift King’. Namun tahukah anda, budaya ‘street drifting’ ini meledak selepas Tsuchiya menghasilkan satu siri video yang menyebabkan lesen pelumba profesionalnya digantung?

    Video dimaksudkan adalah siri video yang diterbitkan oleh sebuah bengkel ubahsuai bernama Pluspy of Kanagawa, dan dijual menerusi majalah ubahsuai Carboy Magazine dalam bentuk pita video VHS pada tahun 1987. Video tersebut dihasilkan dalam tiga episod iaitu ‘The Touge part.1’, ‘The Touge part.2’ dan yang terakhir ‘West of Sendai’.

    Keiichi Tsuchiya ketika ini sudahpun berlumba secara profesional dalam kejuaraan Fuji Freshmen Series bermula pada tahun 1977, dan gaya pemanduannya yang mirip dengan mentornya, Takahasi Kunimitsu yang gemar membuatkan bahagian belakang kereta menggelangsar ketika mengambil selekoh sudahpun dikenali.

    Pada tahun 1984, Keiichi Tsuchiya menang enam perlumbaan dalam kejuaraan tersebut dengan Toyota Corolla AE86. Manakala tahun berikutnya, dia berjaya bergelar juara siri perlumbaan All Japan Touring Car Championship dalam kategori Class 3, juga dengan AE86.

    ‘The Touge’ – siri video yang pernah sebabkan lesen lumba Keiichi Tsuchiya digantung pada tahun 1987

    Berbalik pada video yang diperkatakan tadi, ia dihasilkan adalah untuk mempopularkan satu budaya baru, iaitu melakukan aksi drift di jalan raya awam, atau lebih spesifiknya di jalan kawasan bukit bukau yang di sebut ‘Touge’ dalam bahasa Jepun. Tidak seperti ramai pelumba yang datang dari keluarga berada, Tsuchiya tidak pernah menerima sebarang latihan dari mana-mana sekolah perlumbaan. Dan inilah yang dilakukannya untuk mendapat kemahiran memandu sebelum bergelar pelumba profesional – berlatih di Touge.

    Dalam video tersebut, Tsuchiya memandu kereta kegemarannya – Toyota Corolla AE86; untuk The Touge part.1, dia memandu AE86 Levin GTV di kawasan pergunungan Usui, manakala untuk The Touge part.2 pula dia memandu AE86 Sprinter Trueno GTV di kawasan berbukit Gotemba. Dalam siri ketiga, dia masih memandu Trueno GTV yang sama, tetapi kali ini di kawasan tertutup iaitu di litar Sendai Hi-Land.

    Selepas video ini ‘meletup’ di pasaran, maka bermulah aktiviti sukan drift di jalan-jalan bukit ‘berjangkit’ ke komuniti peminat-peminat kereta ubahsuai di Jepun. Ia kemudian berubah menjadi satu sukan profesional menerusi penganjuran pertandingan drift D1 Grand Prix pada tahun 2000, di mana Tsuchiya sendiri adalah salah seorang hakim dalam pertandingan berkenaan.

    Dan seperti anda lihat selepas sukan ini diterjemahkan dalam manga dan animasi ‘Initial D’, ia telah menular ke seluruh dunia!

    ‘The Touge’ – siri video yang pernah sebabkan lesen lumba Keiichi Tsuchiya digantung pada tahun 1987

    Walau bagaimanapun, detik bersejarah ini sebenarnya telah menjejaskan karier Keiichi Tsuchiya pada tahun 1987 itu. Ini kerana Tsuchiya telah didapati bersalah kerana merakam dan menyebarkan aksi merbahaya di jalan raya awam (juga dikelaskan sebagai lumba haram) menerusi kedua-dua video The Touge berkenaan. Sebagai hukuman, lesen perlumbaannya telah digantung sementara oleh pihak Persekutuan Automobil Jepun (JAF).

    Namun, ia langsung tidak mematahkan semangat Keiichi Tsuchiya untuk terus berlumba secara profesional. Selepas menerima semula lesen untuk berlumba, Keiichi Tsuchiya menyertai siri perlumbaan All Japan Formula 3, dan kemudian ke ke Japanese Touring Car Championship memandu jentera ikonik Nissan Skyline GT-R R32 Taisan dengan livery merah-hitam Yokohama Advan.

    Karier Keiichi Tsuchiya tidak terhad hanya dalam Jepun, di mana dia pernah bertanding di puncak dunia perlumbaan dengan menyertai Le Mans 24-jam dalam pasukan Honda (memandu Honda NSX) pada tahun 1995, dan pasukan Toyota (memandu Toyota GT-One) pada tahun 1999 – apa yang dilakukan oleh Tsuchiya ini amat jarang dapat dilakukan oleh pelumba lain; bermula sebagai pelumba haram, dan kemudian mampu mara sehingga ke Le Mans!

    Keiichi Tsuchiya mengumumkan persaraannya dari dunia perlumbaan profesional pada tahun 2003 dalam usia 47. Walaupun tidak lagi berlumba, Tsuchiya masih lagi aktif mengendalikan pelbagai rancangan automotif seperti Best Motoring, dan yang paling ikonik – Hot Version yang padat dengan aksi perlumbaan tertutup di Gunsai Touge, bersama AE86 Trueno GT-V miliknya.

     
     
  • PKP: Buat laporan polis atau mohon menerusi aplikasi ‘Gerak Malaysia’ jika ingin pulang ke bandar – menteri

    PKP: Buat laporan polis atau mohon menerusi aplikasi ‘Gerak Malaysia’ jika ingin pulang ke bandar – menteri

    Dalam sidang media harian yang berlangsung sebentar tadi, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ada menyatakan kerajaan banyak menerima aduan daripada orang ramai yang sempat pulang ke kampung halaman sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula, bahawa kebanyakan mereka mahu kembali ke kediaman masing-masing.

    Antara alasan yang diberikan termasuklah ada anak yang ditinggalkan bersendirian di rumah, bimbang rumah dimasuki pencuri dan ‘alasan yang paling melucukan’ ialah sudah kehabisan pakaian hendak dipakai di kampung.

    Oleh yang demikian, kerajaan mungkin memberikan kelonggaran untuk golongan ini kembali ke bandar. Walau bagaimana pun, mereka perlulah membuat permohonan sama ada secara dalam talian menggunakan aplikasi ‘Gerak Malaysia’ yang dibangunkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Kementerian Komunikasi dan Multimedia atau memohon di balai polis berhampiran. Semua ini boleh dilakukan mulai Sabtu ini, 24 April 2020.

    PKP: Buat laporan polis atau mohon menerusi aplikasi ‘Gerak Malaysia’ jika ingin pulang ke bandar – menteri

    “Bagaimanapun perkara ini masih dalam kajian, jika pergerakan akan bermula pun saya percaya mungkin selepas 1 Mei nanti…tak ada jaminan lagi, kerana setakat ini kita masih tunggu laporan mulai 25 April ini sebab setiap laporan ke balai polis atau dalam talian pun akan bermula pada 25 haribulan.

    “Waktu itu kita akan lihat seramai mana nak pulang dan sebagainya, barulah kita boleh merancang dan keluarkan SOP (Prosedur Operasi Standard) tertentu yang ketat dan sebagainya,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Ini bermakna, tidak semestinya permohonan yang mula dibuka pada Sabtu ini, anda sudah boleh membuat perjalanan pada masa yang sama. Anda harus tunggu permohonan tersebut diluluskan untuk tarikh yang ditetapkan serta mengikuti SOP yang bakal diumumkan kelak.

     
     
  • Kontena khas unit bergerak saringan Covid-19 rekaan anak tempatan — prototaip pertama siap dalam 10 hari

    Kontena khas unit bergerak saringan Covid-19 rekaan anak tempatan — prototaip pertama siap dalam 10 hari

    Dalam keadaan yang mendesak dan di luar jangka seperti sekarang, banyak cara sebenarnya untuk kita memainkan peranan masing-masing, tak kisahlah sekecil mana pun. Bahkan, dalam berdepan dengan penularan Covid-19, peranan yang paling kecil inilah yang menjadi paling penting untuk memutuskan rantaian jangkitan – tentulah, untuk kita semua kekal duduk di rumah. Ini perkara yang paling penting untuk dilakukan.

    Namun, bagi sekumpulan profesional ini, mereka menyalurkan kepakaran dan pengetahuan ke arah perkara lain, iaitu menghasilkan apa yang dipanggil unit mobile ujian Covid-19, atau COMBAT C19MY. Ini merupakan sebuah projek kebajikan bertujuan untuk membantu memperbanyakkan lagi pusat ujian dan saringan bagi wabak Covid-19. Dalam kes ini, ia dirancang dan direka untuk menjadi unit bergerak.

    Konsep rekaan digital dan grafik yang anda lihat ini merupakan salah seorang daripada mereka, yang membantu menyumbang tenaga dan kreativiti mengikut kepakaran masing-masing. Beliau sebelum ini pernah kami tampilkan di ruangan ini; siapa lagi kalau bukan pereka tempatan, Saharudin Busri. Masih ingat dengan rekaan yang pernah dihasilkan beliau sebelum ini, misalnya Proton Suprima X, Proton Suprima R dan Proton Bayu?

    Jangan salah sangka, Combat C19MY ini bukan sekadar rekaan konsep semata-mata, sekurang-kurangnya bagi kontena yang dijadikan makmal ujian berkenaan. Unit prototaip pertamanya sudah pun siap, memakan masa hanya dalam 10 hari dan kini berada di Hospital UiTM Sungai Buloh. “Matlamat asalnya adalah untuk membantu petugas-petugas frontliner menyaring pesakit tanpa membahayakan diri mereka sendiri,” jelas Saharudin.

    Bagi beliau sendiri, penglibatannya di dalam projek ini antara lain untuk menunjukkan kepentingan elemen rekaan industri dalam apa saja usaha yang dilakukan. “Semuanya cuba difikir dan dibayangkan secara menyeluruh, biar hasil yang kita keluarkan nanti setanding dengan tahap yang ada di persada antarabangsa,” tambah beliau.

    Bagi rekaan drone dan trak yang ditampilkan pula, itu pun bukan sekadar suka-suka. Hasratnya adalah untuk membayangkan pembangunan masa hadapan bagi projek ini sekiranya ia nanti semakin berkembang dan mendapat sambutan dan kelulusan untuk beroperasi. Maksudnya, kelompok berkenaan ketika ini sedang mempersiap idea dan konsep yang menyeluruh untuk membantu pihak-pihak terlibat di dalam waktu krisis. Bila diperlukan nanti, semua fungsi ini ada untuk dimanfaatkan.

    “Sebaik sahaja prototaip pertama ini siap, kami berharap agensi bertanggungjawab dan pihak berwajib akan menilai dan memberi akreditasi prototaip COMBAT ini untuk membolehkan kami memasuki fasa pengeluaran kelompok pula,” memetik satu kenyataan rasmi mereka. Selain itu, mereka juga sedang membangunkan sistem pengumpulan data dan pemantauan Pesakit Dalam Siasatan (PUI) melalui kemudahan yang sama.

    Hal-hal beginilah yang menjadi hikmah di sebalik musibah yang melanda. Rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang bersedia untuk berganding bahu dan menyumbang kepakaran masing-masing dalam maksud untuk mendepani apa saja masalah yang muncul kesan daripada Covid-19. Kepada kelompok profesional yang terlibat di sebalik COMBAT, kami ucapkan terima kasih di atas usaha dan semangat sukarela yang ditunjukkan.

    Kepada anda pula, panjangkanlah perkara dan usaha murni ini supaya sampai kepada pengetahun pihak berkuasa kesihatan supaya usaha ini boleh diperkembang dari semasa ke semasa dan memberi manfaat kepada semua warga. Sama-sama kita mainkan peranan kita, tak kiralah sekecil mana. Kekal selamat semua.

     
     
  • Audi A3 Sedan 2021 dilancarkan di Eropah – imej dan ciri keselamatan dipertingkatkan, dari RM132k

    Audi A3 Sedan 2021 dilancarkan di Eropah – imej dan ciri keselamatan dipertingkatkan, dari RM132k

    Audi telah pun melancarkan model A3 Sedan 2021, selepas dua bulan A3 Sportback diperkenalkan. Bakal mula dijual di Eropah pada musim panas ini, A3 Sedan ini ditawarkan dengan harga bermula 27,700 euro (RM132k).

    Sedan kompak generasi kedua (hatch kini sudah capai kitaran hayat ke-empat) ini lebih besar berbanding model semasa. Ia memiliki dimensi 40 mm lebih panjang iaitu mencapai 4,500 mm, 20 mm lebih lebar menjadi 1,820 mm dan 10 mm lebih tinggi iaitu 1,430 mm, sementara jarak rodanya dikekalkan pada 2,637 mm. Audi berkata ruang kepala kini dipertingkatkan sebanyak 20 mm disebabkan posisi pemanduan yang lebih rendah dan ruang but juga dikekalkan pada 425 liter.

    Bagi rekaannya, bahagian hadapan lebih kurang sama dengan Sportback (lampu Matrix LED sebagai pilihan), tapi sedan ini memiliki perbezaan pada bahagian bawah kerangka pintu, sekeliling tingkap dan belakang. Ciri lain yang memiliki persamaan termasuk lampu belakang LED, rekaan pada bahagian bawah bampar dan sambungan diffuser.

    Audi A3 Sedan 2021 dilancarkan di Eropah – imej dan ciri keselamatan dipertingkatkan, dari RM132k

    Ada beberapa varian termasuk A3 2.0 TDI didatangkan dengan dua modul struktur janaan elektrik yang ditempatkan di belakan gril radiator, membantu sedan ini mencapai nilai pekali seretan yang lebih rendah sekitar 0.25 Cd. Lain-lain ciri aerodinamik termasuklah panel bawah badan, bingkai cermin sisi dan penyejuk brek aktif yang membantu mengurangkan rintangan angin.

    Bahagian kokpit kedua-dua model A3 Sportback dan A3 Sedan juga mirip. Ciri standard termasuk kluster instrumen digital 10.25-inci dan paparan sesentuh MMI 10.1-inci yang dipertingkatkan ke Audi Virtual cockpit plus 12.3-inci dengan paparan grafik dan ciri yang lebih baik.

    Paparan utama juga boleh dipilih sendiri, dengan pilihan sistem infotainmen termasuk MMI Navigation Plus yang menggunakan platform modular infotainment (MIB) generasi ketiga ciptaan jenama ini sendiri. Ia menawarkan ketersambungan LTE dengan fungsi Wi-Fi hotspot, info trafik dalam talian, imej Google Earth untuk navigasi, ketersambungan car-to-X dengan parkir tepi jalan dan informasi lampu isyarat, Apple CarPlay, Android Auto, pengecas telefon pintar tanpa wayar dan ketersambungan dengan aplikasi telefon pintar myAudi.

    Audi A3 Sedan 2021 dilancarkan di Eropah – imej dan ciri keselamatan dipertingkatkan, dari RM132k

    A3 Sedan ini akan ditawarkan dengan tiga pilihan penjana kuasa, bermula dengan 35 TDI dengan enjin 2.0 liter empat-silinder bersama hamburan kuasa 150 PS pada 3,000 hingga 4,200 rpm dan tork 360 Nm pada 1,600 hingga 2,750 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi dwi-klac S tronic tujuh-kelajuan dengan teknologi shift-by-wire, dengan pacuan disalurkan ke roda hadapan. Pacuan 0-100 km/j boleh dicapai dalam 8.4 saat, sementara kelajuan tertinggi sehingga 232 km/j.

    Varian petrol 35 TFSI pula dijanakan oleh enjin 1.5 liter empat-silinder, dengan output 150 PS dan tork 250 Nm. Kotak gear manual enam-kelajuan yang baru dibangunkan didatangkan secara standard, dengan transmisi automatik S tronic tujuh-kelajuan ditawarkan secara pilihan. Menariknya, Audi mendakwa kedua-dua kotak gear berkenaan mampu mencapai pacuan 0-100 km/j dalam tempoh 8.4 saat, kelajuan maksimum juga sama iaitu pada 232 km/j.

    Enjin diesel menggabungkan penggunaan bahan api sekitar 3.9 liter ke 3.6 liter bagi setiap 100 km, manakala untuk petrol pula lebih kurang 5.0 liter ke 4.7 liter per 100 km. Sementara itu, suspensi juga ditala semula untuk memberikan pengendalian yang lebih baik, walau pun dalam konfigurasi standard.

    Manakala suspensi sport juga ditawarkan secara pilihan dengan ciri peredam adaptif, yang memberikan kepelbagaian pengendalian bergantung ada pemilihan mod pemanduan. Walau bagaimana pun, tidak seperti A3 Sportback, suspensi belakangnya hanya menerima empat sambungan larasan secara standard bukannya dengan palang torsion.

    Bagi aspek keselamatan, A3 Sedan didatangkan dengan sistem bantuan pemandu Audi Pre Sense termasuk menampilkan ciri seperti mitigasi pelanggaran hadapan, bantuan kelajuan adaptif, bantuan lintasan-trafik, dan kamera pandangan sekeliling, tapi standard untuk semua model ialah bantuan mengelak pelanggaran.

     
     
  • Tunjuk lagak tunggang lebih 260 km/j atas Jambatan Pulau Pinang, pemuda berumur 28 tahun ditangkap

    Tunjuk lagak tunggang lebih 260 km/j atas Jambatan Pulau Pinang, pemuda berumur 28 tahun ditangkap

    Zaman sekarang ini, demi mendapatkan populariti dalam media sosial, ramai yang sanggup memuat naik apa sahaja bahan termasuklah perkara yang melanggar peraturan. Itulah yang dilakukan oleh seorang pemuda dari Pulau Pinang, apabila memuat naik video beliau memecut laju atas Jambatan Pulau Pinang menggunakan motosikal Kawasaki ZX-6R.

    Bukan setakat laju, motosikal itu juga dilihat dikerah hampir maksimum sehingga mencecah kelajuan 260 km/j dan bertukar-tukar lorong sehingga masuk ke lorong kecemasan. Tindakan ini bukan setakat menyalahi undang-undang, tetapi juga membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain.

    Penularan video ini atas talian turut mendapat perhatian pihak berkuasa dan membawa kepada penangkapan seorang lelaki yang merupakan jururawat hospital swasta berusia 28 tahun. Menurut laporan The Star, beliau ditangkap di sebuah rumah di Ayer Itam jam 5.52 petang semalam.

    Suspek kini dilepaskan atas jaminan dan akan didakwa di bawah seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara merbahaya.

     
     
  • Bentley Bentayga V8 Design Series kini di Malaysia – RM1.045 juta sebelum cukai, hanya 1 unit ditawarkan

    Bentley Bentayga V8 Design Series kini di Malaysia – RM1.045 juta sebelum cukai, hanya 1 unit ditawarkan

    SUV mewah edisi istimewa, Bentley Bentayga V8 Design Series kini sudah pun berada di Bentley Kuala Lumpur. Model yang lebih unik dari versi biasa ini dijual pada harga RM1,045,000, sebelum cukai dan duti, dan ia hanya ditawarkan terhad satu unit sahaja di sini.

    Model ini disifatkan sebagai Bentayga dalam versi gaya kontemporari dan nampak lebih dinamik, dengan menggabungkan ciri-ciri unik luaran dan dalaman dari Mulliner bersama pelbagai ciri opsyen dari versi biasa bagi menghasilkan satu model edisi terhad yang eksklusif.

    Antara ciri Mulliner yang boleh dilihat pada model ini adalah rim aloi Grey Paragon dengan logo tengah yang sentiasa melintang walaupun sedang berputar. Rim gergasi tujuh-jejari berkenaan nampak lebih premium dengan diberikan kemasan digilap.

    Bentley Bentayga V8 Design Series kini di Malaysia – RM1.045 juta sebelum cukai, hanya 1 unit ditawarkan

    Selain itu, ia turut menerima perincian Blackline secara standard, yang menggantikan bahagian-bahagian krom dengan kemasan hitam, serta ditambah dengan apron bawah bampar hadapan yang diberikan warna badan, dan tip ekzos berkembar dalam kemasan hitam berkilat. Lencana Design Series diletakkan pada bahagian bawah pintu hadapan bagi memberitahu ini adalah Bentayga yang lebih istimewa dari biasa.

    Dalam kabin, SUV ini menerima skema gentian karbon dan warna Duotone buat pertama kali, bersama tempat duduk kulit Beluga yang disulam dengan loga Design Series dan juga serlahan kontras berwarna oren, serta kemasan-kemasan piano black.

    Jam yang diletakkan pada bahagian tengah papan pemuka Bentayga ini bukan jam biasa, sebaliknya ia dihasilkan oleh pembuat jam tangan mewah iaitu Breitling. Jam tersebut diberikan mutiara sebagai nombor untuk angka selain 12, 3, 6 dan 9, manakala bahagian bezel masih direka dengan paten biasa Bentley.

    Bentley Bentayga V8 Design Series kini di Malaysia – RM1.045 juta sebelum cukai, hanya 1 unit ditawarkan

    Bahagian dalaman Design Series ini dilengkapkan dengan plat injak menyala serta spesifikasi Front Seat Comfort serta pedal aloi yang ditebuk.

    SUV ini dijana oleh enjin V8 4.0 liter berkuasa 550 PS serta tork maksima 770 Nm, yang dihantar ke kesemua roda menerusi kotak gear lapan kelajuan dari ZF dan sistem AWD. Ini membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 4.5 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 290 km/j. Enjin ini juga dilengkapi sistem nyah aktif silinder dan start/stop automatik, membolehkan ia mencapai kadar penggunaan bahan api lebih efisien.

    Pemandu juga menerima lapan mod pemandu – empat untuk jalan biasa, empat lagi untuk off-road – dan dibantu oleh sistem pengunci differential elektronik serta bantuan menurun bukti. Sistem suspensi udara Bentayga V8 ini juga hadir dalam pelbagai mod.

     
     
  • Pemuda dari Terengganu hasilkan rekaan airbrush khas PKP pada helmet sebagai tanda penghargaan

    Pemuda dari Terengganu hasilkan rekaan airbrush khas PKP pada helmet sebagai tanda penghargaan

    Sepanjang tempoh kawalan pergerakan ini, disebabkan tidak boleh melakukan aktiviti luar, ramai yang mencari cara sendiri untuk meluangkan masa. Rakan sekerja kami contohnya, siap dapat membuat model replika kecil yang menyamai kereta beliau (hasilnya boleh dilihat di sini), dan satu lagi contoh adalah hasil kerja pemuda dari Terengganu, Rozamil Yatim.

    Beliau telah menghasilkan lukisan airbrush khas bertemakan PKP yang disembur ke atas helmet serta tangki minyak Yamaha RXZ, seterusnya mendapat perhatian ramai apabila gambarnya dimuat naik melalui akaun Facebook Zameer Pentbrush. Menurut laporan Harian Metro, ini adalah tanda Rozamil menyatakan terima kasih kepada barisan hadapan yang bertugas menentang Covid-19 dan dibuat sebagai satu tanda kenangan.

    Dalam lukisan tersebut anda boleh melihat, selain penggunaan warna-warna Jalur Gemilang, Rozamil turut meletakkan gambar individu penting seperti Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan pasukan barisan hadapan.

    Rozamil sememangnya mempunyai sebuah kedai menyembur cat dan airbrush tetapi disebabkan PKP, kedai beliau ditutup dan tempahan untuk pelanggan tidak dapat disiapkan. Dengan masa yang terluang di rumah, dan mengingati tempoh mencabar ini, muncullah pula idea untuk menghasilkan rekaan khas tersebut.

    Sebuah syarikat di Kuala Lumpur juga dilaporkan berminat dengan rekaan yang dibuat oleh Rozamil ini dan perbincangan sedang dibuat untuk menghasilkan 5,000 biji helmet keluaran khas yang akan dijual kepada orang ramai.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025