Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • JPJ laksana sistem e-bidding mulai 15 April ini

    JPJ laksana sistem e-bidding mulai 15 April ini

    Mulai 15 April ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan sistem bidaan nombor pendaftaran kenderaan dalam talian (e-bidding).

    Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid, sistem itu membolehkan pemilik kenderaan membida nombor plat pilihan tanpa perlu ke pejabat JPJ dan bertepatan dengan tema Hari Ulang Tahun Penubuhan JPJ ke 73 – ‘Digitalisasi Ke Arah Integriti’, laporan Bernama.

    e-bidding akan bermula dengan siri nombor plat FC… bermakna, nombor itu akan ditender secara dalam talian. Ia juga bukan tertakluk kepada kawasan sekitar negeri berkenaan contohnya di Putrajaya sahaja… ia akan bergerak, dibida oleh rakyat Malaysia di mana-mana menggunakan dalam talian,” katanya.

    Tambahnya lagi, e-bidding memudahkan pengguna mendapatkan nombor pendaftaran kenderaan tanpa perlu menghantar borang seperti sebelum ini.

    Selain itu, turut dimaklumkan JPJ juga akan memperkenalkan satu lagi projek iaitu sistem pemanduan kenderaan secara elektronik yang menguji kenderaan di dalam bilik kawalan menggunakan pemanduan secara digital.

     
     
  • Toyota Yaris pasaran Amerika – rebadge dari Mazda 2

    Toyota Yaris pasaran Amerika – rebadge dari Mazda 2

    Tahun lalu Toyota Amerika telah memperkenalkan model Yaris Sedan, yang di rebadge dari Mazda 2 Sedan. Dan tahun ini, versi hatchback pula diperkenalkan pada pasaran berkenaan, dan ia turut dihasilkan dari Mazda 2 hatchback.

    Ini bermakna, ada tiga model Toyota Yaris dipasarkan serentak di seluruh dunia, yang mana ketiga-tiganya adalah model tidak ada kaitan antara satu sama lain – Yaris pasaran Eropah yang dihasilkan dari Toyota Vitz dari Jepun, manakala Yaris pasaran ASEAN yang akan dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi adalah versi hatchback Toyota Vios versi terkini.

    Bagi model pasaran Amerika ini, ia diberikan muka yang sama dengan versi sedannya. Lampu Mazda 2 masih lagi kekal, manakala gril hadapan direka semula menempatkan logo Toyota diapit oleh liang udara seperti ‘misai’, manakala di bawahnya menerima gril lebih besar berbentuk trapezoid dengan lampu kabus diletakkan pada kedua-dua belah sudut bawah.

    Toyota Yaris pasaran Amerika – rebadge dari Mazda 2

    Model tertinggi Yaris hatchback XLE diberikan lampu LED automatik, manakala rim 16-inci yang nampak seperti diambil terus dari Mazda 2 dipadankan pada semua varian.

    Toyota juga tidak bersusah payah untuk mereka semula bahagian kabin Yaris ini, dan boleh dikatakan kesemua rekaan Mazda 2 terus diambil untuk digunakan. Papan pemuka kereta ini menampilkan skrin sesentuh tujuh-inci berdiri sendiri di bahagian tengah, dan dihubungkan kepada suis putar yang diletakkan antara tempat duduk hadapan bagi mengawal sistem infotainmen MZD Connect. Ia turut menerima sokongan Apple Carplay dan Android Auto sebagai ciri standard.

    Toyota Yaris pasaran Amerika – rebadge dari Mazda 2

    Ciri-ciri standard lain yang turut diterapkan pada Yaris ini termasuk sistem kunci pintar dengan suis penghidup enjin, pemanas tingkap cermin pintu, sistem navigasi (kad SD untuk peta dijual berasingan) dan sistem Low-speed Pre-collision Safety dengan brek kecemasan automatik. Varian tertinggi XLE pula ditambah dengan upholsteri kulit palsu serta penghawa dingin dan pengelap cermin automatik.

    Seperti Mazda 2, Toyota Yaris ini turut dijana enjin 1.5 liter NA SkyActiv-G berkuasa 106 hp dan tork maksima 140 Nm. Enjin ini hanya digandingkan dengan kotak gear enam-kelajuan automatik SkyActiv-Drive, memacu roda hadapan.

    GALERI: Toyota Yaris Sedan pasaran Amerika Syarikat

    GALERI: Toyota Yaris pasaran Eropah

    GALERI: Toyota Yaris pasaran ASEAN

     
     
  • Haval H1 dinaiktaraf – dapat Android HU, aloi baharu

    Haval H1 dinaiktaraf – dapat Android HU, aloi baharu

    Go Automobile Manufacturing (Go Auto) telah mengumumkan SUV Haval H1 telah menerima ciri-ciri yang dinaiktaraf, kini hadir dengan unit utama (HU) skrin sesentuh berdasarkan-Adroid double-din baharu, dan juga roda aloi dwi-tona 16-inci dengan rekaan lima jejari-Y. Di mana ciri terakhir itu untuk varian tertinggi Elite, dan varian lain masih kekal dengan unit pelbagai-jejari seperti sebelum ini. Malah perehat kepala boleh laras juga telah direka semula untuk tempat duduk tengah di belakang, dan ia untuk semua varian.

    Selain daripada itu, tiada perubahan lain. Haval H1 boleh didapati dengan tiga varian, bermula model asas Comfort (RM59,748), Premium (RM65,583) dan Elite (RM72,389). Harga termasuk atas jalan dan waranti tujuh-tahun, perbatuan tanpa terhad.

    Secara mekanikalnya, H1 dijanakan oleh enjin petrol 1.5 liter naturally-aspirated empat-silinder yang mampu memberikan 105 hp dan tork 138 Nm. Pacuannya disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi manual automatik (AMT) enam-kelajuan.

    Kit standard termasuk lampu utama halogen reflektor, lampu kabus, rel bumbung, roda stereng pelbagai-fungsi balutan kulit, tempat duduk fabrik, dan pengesan undur. Untuk keselamatan pula, semua model didatangkan dengan ABS dengan EBD dan bantuan brek, kawalan kestabilan dan bantuan mula mendaki.

    Manakala model Premium ditambah dengan tempat duduk kulit, navigasi GPS, kamera undur, Battery Alert Sensor (BAS) dan cermin pandang belakang dengan pembaca SmartTAG. Sementara, varian Elite ditambah pula dengan lampu utama halogen dengan lampu posisi LED, lampu nyalaan siang LED, perehat tangan hadapan tengah, perakam video digital dan tingkap dengan filem tinted.

     
     
  • Bangkok 2019 : Nissan Teana facelift pasaran Thai

    Bangkok 2019 : Nissan Teana facelift pasaran Thai

    Pasaran ASEAN masih lagi belum menerima Nissan Teana generasi baharu berdasarkan model Altima 2020 yang muncul di Amerika Syarikat Mac tahun lalu. Namun di Thailand, Teana telah pun diberikan satu lagi facelift pada November 2018, di mana kami dapat saksikan sendiri model tersebut ketika berlangsungnya Bangkok International Motor Show 2019.

    Model ini diberikan sentuhan perubahan yang agak ringan. Ia menerima gril hadapan V-Motion baharu bersama sepasang lampu hadapan LED berbentuk Boomerang, lengkap dengan lampu nyalaan siang. Ia juga hadir dengan set rim 18-inci dua-tona baharu untuk model-model tertinggi, namun tiada sebarang perubahan dilihat pada bahagian belakang.

    Begitu juga pada bahagian kabin, hampir tiada perubahan disaksikan selain fungsi memori larasan diberikan pada tempat duduk hadapan untuk semua model, kecuali varian asas 2.0XE. Unit janakuasa juga sama di mana model 2.0 liter diberikan enjin MR20DE empat-silinder petrol NA berkuasa 136 PS/190 Nm, manakala versi 2.5 liter petrol pula menerima enjin QR25DE empat-silinder NA berkuasa 173 PS/234 Nm.

    Bangkok 2019 : Nissan Teana facelift pasaran Thai

    Kedua-dua enjin tersebut digandingkan dengan kotak gear CVT automatic Xtronic Nissan, memacu roda hadapan. Untuk model 2.0XL, 2.0XL Navi dan 2.5XV Navi, Teana dibekalkan dengan ciri keselamatan seperti amaran keluar laluan, pemantau titik buta, monitor paparan sekeliling 360-darjah dengan pengesan objek bergerak. Manakala semua model diberikan enam-beg udara, kawalan kestabilan serta brek ABS lengkap dengan EBD dan BA.

    Di Thailand, Nissan Teana facelift ini dijual pada harga bermula 1.336 juta baht (RM171,710) untuk model asas 2.0XE, 1.426 juta baht (RM183,278) untuk 2.0XL dan 1.476 juta baht (RM189,661) untuk 2.0XL Navi yang hadir dengan skrin tujuh-inci dan sistem navigasi. Model tertinggi 2.5XV Navi pula dijual pada harga 1.674 juta baht (RM215,163).

    Teana juga berhadapan dengan lawan yang agak sukar pada pasaran tersebut iaitu Toyota Camry dan Honda Accord, kerana kedua-dua model ini adalah versi generasi baharu sepenuhnya.

     
     
  • Sistem AES sumbang penurunan kesalahan pemandu sebanyak 13%, pematuhan had laju naik 95% – Menteri

    Sistem AES sumbang penurunan kesalahan pemandu sebanyak 13%, pematuhan had laju naik 95% – Menteri

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, mengesahkan, mengikut kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS), pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) telah berjaya menyumbang kepada penurunan kesalahan pemandu daripada 24% kepada 13%. Bukan itu sahaja, ia juga telah meningkatkan jumlah pematuhan peraturan had laju dari 63% sebelum pemasangan kepada 95% selepas pemasangan di lokasi berkenaan.

    Sementara itu, jumlah notis saman yang dikeluarkan dari September 2018 hingga Disember tahun sama adalah sebanyak 84,165 notis, manakala bagi tempoh Januari 2019, sebanyak 22,981 notis saman dikeluarkan, katanya ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh Datuk Hasbullah Osman (BN-Gerik) dalam Dewan Rakyat, semalam.

    Dalam hal lain, beliau turut berkata, kementeriannya kini di peringkat kajian bagi menyelaraskan bidang tugas agensi penguatkuasaan undang-undang jalan raya, laporan Berita Harian.

    Sistem AES sumbang penurunan kesalahan pemandu sebanyak 13%, pematuhan had laju naik 95% – Menteri

    “Langkah itu bagi membolehkan rakyat memahami bidang tugas penguatkuasaan agensi berkenaan. Cadangan penyelarasan agensi penguatkuasaan undang-undang jalan raya bertujuan mengelak penguatkuasaan yang bercelaru supaya rakyat tahu agensi mana yang menjalankan penguatkuasaan.

    “Kita berharap cadangan ini dapat dilaksanakan… kalau dilaksanakan nanti, saya harap Kubang Kerian dan pembangkang memberi sokongan penuh kepada cadangan ini,” katanya ketika menjawab soalan dikemukan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS-Kubang Kerian) yang bertanya sama ada kerajaan berhasrat menyelaras tugas agensi penguatkuasaan jalan raya supaya tidak berlaku tugas yang bertindan antara agensi terbabit.

     
     
  • Hyundai Venue 2020 terdedah – guna enjin 1.0L turbo?

    Hyundai Venue 2020 terdedah – guna enjin 1.0L turbo?

    Minggu lalu Hyundai telah memberitahu mereka akan menunjukkan sebuah model baru dipanggil sebagai Venue pada 17 April nanti di New York Auto Show. Bersama berita itu, mereka dedahkan satu gambar bahagian belakang, yang menunjukkan logo serta nama model tersebut.

    Namun, sebelum hari pendedahan rasmi itu tiba, gambar crossover kecil Hyundai tersebut telah pun tersebar dan set yang kami terima ini datang dari India. Melalui gambar ini, Venue dilihat menggunakan gril baru Hyundai dengan jalur krom seperti jalinan, lampu DRL LED nipis, lampu utama jenis projector serta lampu kabus di penjuru bampar.

    Daripada set gambar ini juga kita boleh melihat bahagian lain Venue yang termasuk rim aloi dua tona (mungkin 16 atau 17 inci), tayar yang tebal dan kemasan plastik hitam di keliling lengkuk roda. Bahagian belakangnya pula seperti mengingatkan kita kepada Volkswagen Polo generasi kelima dengan bentuk pintu but seperti itu, lampu yang petak dan logo besar di tengah.

    Anda juga akan dapat melihat lencana SX yang menggambarkan varian tinggi dan juga Turbo. Kita masih belum tahu apa enjin yang akan dimasukkan pada Venue ini, tetapi unit tiga silinder 1.0 liter petrol yang sudah dimiliki oleh Hyundai mungkin adalah calon yang sesuai. Pada model i20, enjin ini menghasilkan 100 PS dan 171 Nm tork, dan varian yang lebih berkuasa mampu mengeluarkan 120 PS dan 171 Nm tork.

    Pergi ke bahagian dalam pula, gambar ini menunjukkan Venue mempunyai skrin infotainmen yang seperti terapung di tengah papan pemuka, butang kawalan sistem multimedia di bawahnya, stereng dengan butang pengawal dan panel instrumen analog biasa dengan paparan info digital kecil di tengahnya.

     
     
  • TINJAUAN AWAL: BMW 330i M Sport G20 – RM329k

    BMW 3 Series G20 2019 telahpun dilancarkan untuk pasaran tempatan. Awal ini, cuma ada satu varian sahaja diperkenalkan, BMW 330i M Sport. Unit CBU sepenuhnya dari Jerman, model ini dijual untuk pasaran Malaysia pada harga RM328,800.

    Kereta ini menggunakan enjin 2.0 liter TwinPower yang menjana sebanyak 258 hp dengan tork maksimum 400 Nm dari 1,550 rpm hingga 4,400 rpm. Ini digandingkan dengan sistem transmisi Steptronic Sport lapan-kelajuan. Pecutan 0-100 km/j pula dicapai dalam masa 5.8 saat, dengan kelajuan maksimumnya sehingga 250 km/j.

    Pakej M Sport yang melengkapi model ini terdiri daripada bodykit dengan penampilan lebih sporty, begitu juga dengan stereng khusus serta sistem suspensinya. Turut tersedia ialah Intelligent Personal Assistant, sistem kawalan suara yang lebih maju.

    Dari segi keselamatan, ia hadir dengan beg udara dan kawalan kestabilan sebagai ciri standard. Tetapi, tak ada ciri maju seperti AEB ataupun sistem kamera 360-darjah. Nak tahu apa lagi pembaharuan yang dilakukan terhadap BMW 3 Series G20 terbaru ini, tonton video yang disediakan ini.

     
     
  • Mari berkenalan dengan Hadri & Toyota AE86 Sprinter Trueno yang akan ke Nürburgring ikut jalan darat!

    Mari berkenalan dengan Hadri & Toyota AE86 Sprinter Trueno yang akan ke Nürburgring ikut jalan darat!

    Mula bercampur dengan komuniti yang berminat dengan kereta lama pada usia remaja, mendedahkan saya dengan pelbagai ‘jenis’ pemilik kereta sebegini dengan pegangan masing-masing. Tak dinafikan, mereka yang benar-benar perfectionist mempunyai kereta yang paling sempurna pada pandangan mata, tetapi kadang-kadang mereka ini terlalu ‘kedekut’ untuk memandu kereta berkenaan kerana bimbang dengan pelbagai perkara.

    Bagi saya sendiri pula yang sukakan kereta lama kerana karekter yang ada pada kereta tersebut, terutama ‘rasa mekanikal’ yang begitu membuatkan saya rasa bersemangat untuk memandu, menyebabkan saya memilih kereta sebegini sebagai pengangkutan harian. Maklumlah, untuk membeli sebuah kereta moden dengan karekter sedemikian buat masa sekarang bukanlah sesuatu yang murah.

    Jadi, dari Honda Civic generasi kedua kemudian ke Datsun 120Y B310 dan akhirnya kini saya memandu sebuah Volvo 240, kesemua kereta-kereta ini saya kekalkan kondisinya agar sebaik sahaja kunci diputar, ia boleh dipandu sama ada ke Johor Bahru, Bukit Kayu Hitam, mahupun ke Rantau Panjang, sama seperti kereta-kereta yang masih berbau kedai – tidak perlu kata-kata semangat seperti “geran simpan sendiri” atau “hobi kami hebat” bagi menyedapkan hati sendiri, kerana kepuasan itu memang datang setiap kali memandu dan bukan kerana terikut-ikut dengan trend kereta lama dilihat agak hip 7-8 tahun kebelakangan ini.

    Mari berkenalan dengan Hadri & Toyota AE86 Sprinter Trueno yang akan ke Nürburgring ikut jalan darat!

    Jadi bila saya bertemu dengan Engku Mohamed Hadri ketika majlis sidang media Retro Havoc 2019 tempoh hari, dan mendengar rancangannya untuk ke litar ‘The Green Hell’ Nürburgring Nordschleife yang terletak di Jerman melalui jalan darat menerusi ekspedisi yang digelar Retro Havoc World Motorsport Tour, saya amat teruja.

    Dari gaya beliau bercerita, saya faham benar perasaan dan tujuannya untuk melakukan ‘kerja gila’ seperti ini. Menurut Hadri, memandu dan mengembara adalah aktiviti kegemarannya sejak dari kecil lagi, dan dengan latar belakang pernah menjadi seorang mekanik dan juga pelumba, sudah tentu ekspedisi ini adalah impian hidupnya.

    Retro Havoc World Motorsport Tour bukan semata-mata kembara dari Malaysia ke Jerman, sebenarnya dalam perjalanan Hadri akan singgah ke 12 litar perlumbaan seluruh dunia antaranya Litar Antarabangsa Buriram Thailand, Litar Silverstone di UK dan Litar Spa Francorchamps di Belgium, selain turut singgah ke acara-acara lain seperti Goodwood Festival of Speed juga di UK.

    Mari berkenalan dengan Hadri & Toyota AE86 Sprinter Trueno yang akan ke Nürburgring ikut jalan darat!

    Secara keseluruhan, 24 negara perlu ditempuhi dalam perjalanan sejauh lebih dari 32,000 kilometer. Dalam ekspedisi ini, Hadri akan ditemani oleh tiga orang yang lain dalam pasukannya bersama sebuah van Toyota Hiace untuk membawa segala kelengkapan lain. Menurutnya lagi, perjalanan yang dijadualkan bermula tahun hadapan ini akan ditamatkan dalam masa satu tahun.

    Sebenarnya selain dari mengembara, Hadri turut mempunyai tujuan lain dalam ekspedisi ini. Pertama, tentulah untuk mempromosikan jenama Retro Havoc itu sendiri dan secara tidak langsung mempromosikan Malaysia dan budaya automotif kita kepada ‘mat-mat kereta’ seluruh dunia bahawa kita juga mempunyai pengikut-pengikut budaya automotif yang begitu kuat.

    Kedua, Hadri juga akan mewujudkan satu jaringan hubungan antara kumpulan automotif di seluruh dunia, dengan berjumpa sendiri kumpulan-kumpulan berkenaan sepanjang perjalanan ini. Hadri turut menyatakan sudah ada kumpulan yang telah bersedia untuk menyambutnya di negara masing-masing setelah video pengumuman projek ini disiarkan di Youtube yang diterbitkan oleh saluran Tokyo Tuner.

    Selain dari semangat, sudah tentu pengembaraan ini memerlukan kos yang cukup tinggi. Setakat ini, Hadri masih belum menerima tajaan besar dari mana-mana pihak. Katanya, dia tidak akan mengemukakan permohonan tajaan dengan tangan kosong, dan sekiranya tiada pihak yang mahu menaja, projek ini tetap akan diteruskan dengan pembiayaan sendiri.

    Oleh itu, buat masa sekarang Hadri melakukan pelbagai usaha bagi membuktikan dia benar-benar bersedia dan mampu bertahan untuk perjalanan ini, antaranya adalah sesi ujian yang dilakukan di litar Sepang hujung minggu lalu, sehari selepas berlangsungnya Retro Havoc 2019 di Kompleks BRT Sunway.

    Pemandu rasmi Toyota Gazoo Racing yang berlumba di Kejohanan Super GT, Akira Iida turut dijemput untuk menguji kereta ini, bukan sahaja untuk mendapatkan maklum balas, malah pengesahan dari pelumba professional itu juga sangat penting bagi Hadri untuk mendapatkan tajaan dari mana-mana pihak selepas ini.

    Toyota Corolla AE86 Sprinter Trueno milik Hadri ini mungkin tidak mempunyai penampilan yang sempurna. Dengan warna badan ‘Panda’ persis jentera Project D Takumi Fujiwara, ia tidaklah berkondisi seperti sebuah ‘show car‘ dengan berberapa ‘battle scar‘ pada badannnya. Tetapi disebaliknya, sistem mekanikal kereta ini berada dalam keadaan yang sangat sihat, dengan aura ia mampu bergerak ke mana sahaja asalkan mempunyai permukaan jalan.

    Enjin 1.6 liter Twin Cam 16V 4A-GE ini dibiarkan standard bagi memastikan tahap reliabilitinya. Bukan sahaja sistem ekzosnya masih lengkap dengan catalytic converter asal dan juga sistem kemasukan Toyota Variable Induction System (T-VIS) masih berada di tempatnya, buat pertama kali juga saya menyaksikan depan mata sebuah AE86 yang masih mempunyai kotak angin bagi menempatkan penuras udara asal!

    Hadri telah melakukan ujian dyno ke atas enjin ini dan ia terbukti masih menghasilkan kuasa yang sepatutnya iaitu lebih dari 90 whp pada roda belakang atau 120 hp pada roda tenaga mengikut spesifikasi asal. Namun sedikit pengubahsuaian pada sistem-sistem sokongan telah dibuat bagi meningkatkan lagi ketahanan enjin tersebut, antaranya sistem penyejuk minyak pelincir, radiator aluminium lebih tebal dari SARD serta hos-hos laluan cecair penyejuk lebih tahan lasak dari Forged Racing, serta wayar-wayar bumi tambahan lebih tebal untuk memastikan bekalan kuasa elektrik dari alternator sentiasa berada pada tahap terbaik.

    Mari berkenalan dengan Hadri & Toyota AE86 Sprinter Trueno yang akan ke Nürburgring ikut jalan darat!

    Sistem suspensi asal kereta ini telah digantikan dengan set penyerap hentak dan spring boleh laras. Talaan yang diberikan bukan untuk pemanduan di litar semata-mata, tetapi ia dibuat seimbang untuk pemanduan jalan raya, kerana dengan suspensi yang terlalu keras untuk perjalanan jauh pastinya akan membuatkan pemandu letih dengan lebih cepat.

    Bagi memastikan kuasa dari enjin dapat digunakan sepenuhnya, Hadri tidak menggunakan set rim bersaiz besar, sebaliknya menggayakan rim dengan diameter hanya 15-inci. Set rim Black Racing dipilih oleh Hadri bagi melengkapkan rupa Panda Trueno miliknya ini, bersama tayar semi-slick Hankook Ventus TD bersaiz 195/55R15 – tetapi tayar ini akan diganti dengan tayar lebih sesuai dengan jalan raya ketika ekspedisi, dan untuk litar Hadri mungkin akan menggunakan Yokohama Advan Neova selepas ini.

    Dengan rim bersaiz kecil ini sebenarnya ada satu lagi masalah – agak sukar untuk mendapatkan sistem brek yang lebih berkuasa bagi dimuatkan pada diameter yang agak terhad. Namun perkara ini dapat diselesaikan setelah Hadri berjaya mendapatkan angkup brek hadapan lengkap dengan cakera AP Racing dari siri klasik yang memang di reka khas untuk kereta-kereta seperti AE86 ini.

    Bahagian kabin AE86 ini juga mendapat sentuhan minimal di mana roda stereng asal digantikan dengan roda stereng OMP deep dish bersama bosskit lebih panjang, manakala tempat duduk pemandu ditukar dengan tempat duduk bucket penuh perlumbaan Corbeau Sprint.

    Walaupun hadir dalam bentuk sebuah kereta sport, AE86 Sprinter Trueno ini masih lagi sebuah Corolla. Dari segi rekaan kerangka, model ini sebenarnya adalah hampir seiras dengan Corolla satu generasi di belakangnya iaitu KE70, sebab itulah banyak komponen antara dua model ini boleh ditukar antara satu sama lain.

    Dengan faktor ini, jika diikut logik, memang tiada masalah untuk AE86 ini untuk tiba ke Nürburgring melalui jalan darat. Bukan sahaja rekaannya ringkas memudahkan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikkan dilakukan, komponen-komponen Toyota pada era ini juga sudah terbukti sangat lasak dan tahan lama – lihat sahaja berapa banyak lagi KE70 yang masih cemerlang melingkar di atas jalan raya, malah model-model lebih lama dari itu seperti KE30 dan KE20 dengan enjin siri K masih lagi boleh cruising di lebuh raya pada kelajuan 110 km/j tanpa masalah.

    Tambahan pula, kereta ini juga bukanlah kereta hujung minggu buat Hadri, sebaliknya ia adalah pengangkutan utama yang dipandu setiap hari. Menurut Hadri, proses overhaul bagi menyegarkan kembali semua komponen dalaman enjin ini hanya akan dilakukan hampir dengan hari bermulanya pengembaraan ini nanti.

    Dalam sesi ujian hari ini, Akira Iida telah memberikan maklum balas positif terhadap kereta berkenaan. Menurutnya, suspensi telah ditala dengan baik, begitu juga prestasi yang diberikan pada sistem brek. Cuma suhu minyak pelincir sedikit tinggi dari biasa – Hadri sengaja memilih sesi ujian dari pukul 11 pagi hingga 1 petang yang sememangnya sangat terik di Sepang, semata-mata untuk menguji perkara ini.

    Hadri nyata gembira dengan sesi ujian tersebut. Sesi pada hari berkenaan juga turut di sokong oleh pengasas Retro Havoc sendiri, Alie Kuoppa yang turut membawa bersama delegasi Jepun seperti Daijiro Inada (pengasas majalah Option), Shoji Inoue (pengasas Star Road), Ron Celestine (Speedhunters) dan Ichiraku Toshiya (1048 Japan). Sama-sama kita doa kan apa yang dirancang oleh anak muda Malaysia ini berjaya, dan tunjukkan pada dunia komuniti sukan permotoran di negara kita ini bukan biasa-biasa!

    Kemaskini: Hadri sudah mengesahkan bahawa dia akan memulakan ekspedisi ini bermula 19 Ogos 2019!

     
     
  • Proton catat jualan 6,145 unit pada bulan Mac 2019 – 2,979 adalah X70, rekod baru dalam sejarah Malaysia

    Proton catat jualan 6,145 unit pada bulan Mac 2019 – 2,979 adalah X70, rekod baru dalam sejarah Malaysia

    Suku pertama tahun 2019 (Q1 2019) telah berakhir dengan menyaksikan Proton mencatat jualan sebanyak 6,145 buah kenderaan pada bulan Mac sahaja, dan ini bersamaan dengan 11% perkongsian pasaran, dan peningkatan 2.6% berbanding bulan sama tahun 2018. Jumlah ini juga melebihi catatan 5,283 unit yang dicapai pada bulan Februari 2019 dan 4,783 pada bulan Januari 2019.

    Kemudiannya, Proton juga mencatatkan peningkatan 46.1% dalam pendaftaran kenderaan pada bulan Mac, yang dikatakan oleh mereka sebagai sama dengan kadar pertumbuhan empat kali ganda lebih tinggi berbanding industri sendiri secara keseluruhan. Untuk tiga bulan pertama 2019, jumlah terkumpul adalah 43.5% atau lebih enam kali ganda daripada Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) iaitu 6.7%. Catatan jualan ini juga meletakkan Proton di hadapan berbanding pesaingnya.

    Ketua pegawai eksekutif Proton, Dr Li Chunrong berkata: “Jumlah jualan yang dicatat oleh Proton pada 2019 adalah hasil terus daripada kerja keras yang dilakukan oleh semua bahagian dalam syarikat. Ia dapat dicapai dengan peningkatan jumlah pusat khidmat 3S/4S, kualiti produk, memberi semula fokus kepada layanan pelanggan dan pelbagai penambahbaikan lain. Dengan hujung tahun nanti model yang diperbaharui akan diperkenal, Proton yakin pelaburan dalam perniagaan ini akan terus menaikkan jumlah jualan.”

    Daripada jumlah keseluruhan yang didaftar pada bulan Mac ini, 2,979 unit adalah model X70, dan ia sekaligus mencatat rekod baru sebagai jumlah pendaftaran paling tinggi yang pernah dicapai oleh sebuah SUV dalam masa satu bulan di Malaysia. Ia juga menjadi SUV paling popular dalam tiga bulan pertama tahun 2019, dengan 25,000 tempahan telah diterima sehingga kini.

    “Dengan jumlah penghantaran X70 yang semakin meningkat, kami harap dapat mengurangkan masa menunggu untuk pelanggan. Dalam masa sama, kami bekerja tekun untuk memastikan setiap unit yang diserah adalah sempurna memandangkan kami mempunyai sasaran untuk SUV ini menjadi kenderaan dengan penilaian tertinggi dalam kajian kualiti di Malaysia tahun 2019,” tambah Dr Li.

    Untuk rangkaian pengedar pula, Proton sekarang mempunyai 75 pusat khidmat 3S/4S di seluruh negara, dan mereka mendakwa ini adalah jumlah paling tinggi bagi pusat sebegitu apabila dibandingkan dengan jenama automotif yang lain.

     
     
  • Toyota Yaris 2019 kini sudah muncul di laman web rasmi di Malaysia – harga dijangka bermula dari RM72k

    Toyota Yaris 2019 kini sudah muncul di laman web rasmi di Malaysia – harga dijangka bermula dari RM72k

    Toyota tetap mahu menerjah pasaran segmen-B di Malaysia – kurang daripada dua bulan selepas Vios sedan dilancarkan, versi hatchback, Yaris, pula akan mengambil giliran. Terkini, ia telah muncul di laman web rasmi UMW Toyota Motor. Nampak gayanya pelancarannya memang tidak lama lagi.

    Antara informasi yang tersenarai termasuklah harga jangkaannya, yang bermula pada RM71,888 untuk varian asas 1.5J, meningkat sehingga RM77,888 untuk 1.5E dan RM84,888 untuk varian tertinggi 1.5G. Harga ini antara RM2,400 ke RM5,300 lebih murah berbanding Vios, yang ditawarkan dari RM77,200 hingga RM87,300.

    Tidak seperti model terdahulu (model pasaran ASEAN adalah berdasarkan Vios, bukan model pasaran Eropah generasi ketiga), mempunyai sedikit perubahan luaran, dan Yaris baharu ni boleh dikatakan membawa banyak elemen seperti Vios. Perubahan yang paling ketara pula melibatkan bahagian belakangnya, di mana kelihatan C-pillar berwarna hitam dan lampu belakang yang lebih tajam.


    Klik untuk besarkan

    Di bahagian dalamnya, Yaris menerima konsol tengah yang sama seperti gaya Lexus NX dan jahitan tiruan pada papan pemuka. Berdasarkan sedikit spesifikasi yang diberikan, ia turut dilengkapi dengan lampu utama follow-me-home, kluster instrumen Optitron dengan paparan pelbagai-info 4.3-inci, cermin pandang belakang auto-kelam, pendingin hawa auto, kamera 360-darjah dan unit utama DVD-AVX dengan screen mirroring.

    Dengan semua ciri ini boleh dijumpai dalam Vios, termasuk juga dengan enjin dan transmisi – 2NR-FE 1.5 liter Dual VVT-i dengan 107 PS dan tork 140 Nm, dipadankan bersama CVT dengan tujuh nisbah maya. Kit keselamatan pula termasuk tujuh beg udara, bantuan mula mendaki, pemantauan titik buta dengan kepekaan lintasan trafik belakang, juga sama seperti Vios.

    Juga seperti Vios, Yaris ini dipasang di kilang baharu UMW Toyota yang terletak di Bukit Raja, Klang, Terdapat lima warna pilihan (termasuk warna baharu Citrus Mica Mettalic yang anda boleh lihat di sini) dan juga bodykit piihan dengan tona kontras hitam dan merah, pada harga RM2,450 untuk 1.5J dan RM2,800 untuk 1.5E dan 1.5G. Anda boleh KLIK DI SINI UNTUK PENDAFTARAN MINAT.

    GALERI: Toyota Yaris spesifikasi Indonesia

    GALERI: Toyota Yaris spesifikasi Thailand

     
     
  • Mitsubishi eK X, eK Wagon dilancarkan di Jepun – kei car berwajah Dynamic Shield, ciri semi-autonomous

    Mitsubishi eK X, eK Wagon dilancarkan di Jepun – kei car berwajah Dynamic Shield, ciri semi-autonomous

    Model kei-car hasil kerjasama antara Mitsubishi dan Nissan yang diumumkan sebelum ini, dikenali sebagai Mitsubishi eK X, akhirnya dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Jepun. Walaupun ia merupakan model rebadge dari Nissan, Mitsubishi tetap mengenakan wajah depan “Dynamic Shield” yang kini sinonim dengan model-model SUV dan trak pikapnya.

    Satu lagi versi yang lebih asas, eK Wagon bagaimanapun tidak menggunakan wajah depan yang sama. Ia sebaliknya kekal dengan penampilan seperti Nissan Dayz, dengan lampu utama trapezoid dan gril bawah yang lebih luas. Satu-satunya perbezaan yang ada ialah gril bentuk X yang menggantikan gril “V-motion” Nissan.

    Di dalam, eK Wagon dan ek X berkongsi rekaan dalaman asas yang sama; dengan keutamaan yang diberikan terhadap keluasan dan keselesaan yang maksimum. Kawalan pendingin hawa juga hanya melalui permukaan sentuhan sensitif dan turut ada sekali paparan multi-info. Bahagian bumbungnya pula diberikan kesan visual “floating roof” dengan bahagian tiang A diberikan warna hitam.

    Mitsubishi eK X, eK Wagon dilancarkan di Jepun – kei car berwajah Dynamic Shield, ciri semi-autonomous

    Perbezaan ruang dalaman kedua-dua model berkenaan boleh dilihat pada warna dan upholstery yang digunakan. Versi eK X menggunakan kemasan hitam dan biru serta fabrik bercorak. Sementara bagi eK Wagon pula, ia menggunakan kemasan warna biege.

    Mitsubishi eK X diberikan penampilan yang lebih agreasif. Dari segi keselamatan pula, semua model ini hadir dengan enam beg udara dan pakej e-Assist merangkumi ciri seperti Forward Collision Mitigation (FCM), Emergency Assist for Pedal Misapplication, Lane Departure Warning (LDW), Automatic High Beam (AHB) dan satu ciri baru, Lane Departure Prevention (LDP).

    Turut ditampilkan pertama kali ialah sistem semi autonomous Mitsubishi Intelligent Pilot (MI-Pilot); yang pertama dari Mitsubishi dengan pertambahan Active Cruise Control (ACC) dan Lane Keep Assist (LKA). Ciri baru lainnya termasuklah Grip Control, cermin pandang belakang digital (pertama untuk kelasnya) serta sistem kamera 360-darjah dengan ciri pengesanan objek bergerak oleh Nissan.

    Seperti kei-car kebiasaannya, eK dijana oleh enjin 660 cc tiga-silinder. Ia menjana sebanyak 51 hp dan 60 Nm tork, sementara versi dengan turbocaj (hanya bagi eK X) menerima janaan yang lebih iaitu 63 hp dan 100 Nm.

    Model eK X juga ditawarkan standard dengan sistem mild hybrid dengan motor elektrik yang memberi tambahan 3 hp/40 Nm dengan kebolehan untuk meluncur dan berhenti tanpa fungsi enjin dari 13 km/j. Semua model menggunakan trasmisi CVT – dengan pilihan sistem pacuan semua roda atau dua roda sahaja.

     
     
  • Data jualan kenderaan bagi Februari 2019 ikut jenama

    Data jualan kenderaan bagi Februari 2019 ikut jenama

    Seperti kebiasaannya, bulan Februari bukanlah bulan yang memberangsangkan untuk angka jualan kenderaan di Malaysia. Jumlah hari bekerja yang pendek serta cuti panjang untuk Tahun Baru China menjadikan jualan perlahan, dan untuk tahun ini hanya 39,838 kenderaan diserahkan, turun 18% (atau 8,612 unit) berbanding Januari lalu.

    Berikut ringkasan prestasi jualan bagi sebahagian jenama utama sepanjang Februari. Jika dilihat jenama pada kedudukan 10 teratas, lapan daripadanya mencatatkan penurunan. Ini sahaja sudah memberi gambaran kepada keseluruhan suasana sepanjang Februari 2019.

    Pendahulu pasaran, Perodua yang berada ditangga pertama mencatatkan penurunan sebanyak 14.3%. Ini diikuti pula oleh Honda (-20.2%) dan Proton yang menghuni tempat ketiga (-23.0%). Nissan pula yang berada ditangga keempat mengalami penurunan 44.8% manakala mengikut di belakang ialah Mazda, dengan penyusutan sebanyak 56.6%.

    Lain-lain jenama yang turut sama menyaksikan penurunan adalah seperti berikut; Mitsubishi (-42.0%), Volkswagen (-53.1%), Hyundai (-61.5%) dan Renault (-69.8%). Tetapi, tetap ada jenama-jenama yang mencatatkan peningkatan jualan sepanjang Februari, misalnya Toyota (+49.7%) dan BMW (+5.6%).

    Bagi jenama premium selebihnya, keadaan tidak menyebelahi jenama-jenama lain yang ada; Mercedes-Benz menyaksikan penurunan sebanyak 44.5%, manakala Volvo pula terpaksa akur dengan penurunan angka jualan sebanyak 11.9%.

     
     
  • Mercedes-Benz A-Class Sedan V177 bakal tiba di M’sia

    Mercedes-Benz Malaysia telah mula menyebarkan perkhabaran mengenai model A-Class Sedan V177 menerusi lama Facebook rasminya, yang dijangka bakal dilancarkan di negara ini tidak lama lagi. Pertama kali tampil di khalayak global pada Julai tahun lalu, dan ini merupakan alternatif bagi mereka yang inginkan ruang but yang lebih besar berbanding apa yang A-Class Hatchback W177 tawarkan.

    Buat masa ini, perincian spesifikasinya masih kekal misteri, dan teaser yang disiarkan hanya memberikan sedikit informasi. Bagi enjinnya, A-Class Sedan ini ditawarkan dengan dua enjin petrol pengecas turbo empat-silinder atau unit diesel OM608 1.5 liter.

    Bagi pilihan petrol, yang pertama ialah M282 1.33 liter dengan kuasa 161 hp (163 PS) dan 250 Nm, sementara M260 2.0 liter pula menawarkan sama ada 188 hp (190 PS) dan 300 Nm pada A 220, dan 221 hp (224 PS) dan 350 Nm bagi varian A 250.

    Di Malaysia, model semasa A-Class Hatchback didatangkan dengan varian A 200 dan A 250, kedua-duanya dengan transmisi 7G-DCT wet dual-clutch tujuh-kelajuan. Kami jangkakan penjana kuasa ini juga akan ditawarkan pada A-Class Sedan, tapi apa pun kenalah tunggu dan lihat.

    Seperti W177, A-Class Sedan ini dibangunkan dengan platform Modular Front Architecture 2 (MFA2), tetapi ia lebih panjang (4,549 mm) berbanding hatchback (4,419 mm) dan sedikit tinggi (1,446 mm) dengan perbandingan (1,440 mm). Namun kedua-duanya berkongsi kelebaran (1,796 mm) dan jarak roda (2,729 mm) yang sama.

    Penambahan panjang dan ketinggian ini memberikan hasil yang lebih memuaskan bagi ruang kepala di bahagian belakang dan ruang antara bahu dan siku, sementara but pula berkapasiti 420 liter iaitu 50 liter lebih berbanding versi hatchback.

    Di dalamnya, A-Class Sedan banyak berkongsi ciri dengan hatchback, termasuklah paparan yang lebih lebar yang disambungkan pada antara muka Mercedes-Benz User Experience (MBUX).

    Kalau nak tahu lebih banyak mengenai A-Class Sedan ini, kena tunggukan pelancarannya di Malaysia tidak lama lagi.

     
     
  • Jualan kenderaan di Malaysia bagi Feb 2019 turun 18%

    Jualan kenderaan di Malaysia bagi Feb 2019 turun 18%

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan data jualan dan produksi bagi Februari 2019, dan tidak mengejutkan apabila angka jualannya dilaporkan menurun berbanding Januari.

    Secara keseluruhannya sebanyak 39,838 kenderaan telah dihantar pada Februari, di mana 8,612 unit atau 18% kurang berbanding 48,450 unit pada Januari. Jumlah tersebut juga dilihat lebih rendah berbanding tempoh yang sama pada 2018, walau pun tidak banyak beza.

    Walau bagaimana pun, jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi dua bulan pertama pada tahun ini adalah lebih tinggi bagi angka tahun hingga ke tarikh tersebut berbanding 2018, iaitu 88,288 unit berbanding tahun sebelumnya dengan hanya 85,123 unit.

    Menurut MAA, angka jualan yang rendan disebabkan tempoh waktu bekerja yang lebih pendek disebabkan sambutan Tahun Baharu Cina. Dijangkakan bulan Mac mampu memberikan angka yang lebih baik, dengan tempoh waktu bekerja yang lebih panjang dan kebanyakan syarikat yang mahu cepat menghantar unit yang ditempah kepada pelanggan sebelum tarikh kewangan mereka berakhir pada 31 Mac.

     
     
  • Toyota Etios baru diperkenalkan, guna asas Bezza

    Toyota Etios baru diperkenalkan, guna asas Bezza

    Untuk pasaran di Pakistan, Toyota akhirnya menggantikan model sedan paling asas keluarannya, Etios dengan model generasi kedua. Dan, model Etios terbaru itu sebenarnya mengambil asasnya daripada Perodua Bezza! Ini model kereta Toyota yang pertama menggunakan asas dari Perodua, dan bukan sebaliknya seperti sebelum ini.

    Etios sudah berada dalam pasaran sejak 2010, dan pengenalan model baru berkenaan memberikan kelebihan kepada Toyota dalam menawarkan kenderaan dengan kelengkapan yang bertambah baik; sebagai contoh, ciri kawalan kestabilan VSC dan Eco Idle datang sekali seperti yang ada pada Bezza.

    Bagaimanapun, ia bukanlah hanya melibatkan sekadar rebadge yang mudah terhadap model Perodua berkenaan, memandangkan terdapat beberapa perubahan luaran yang dilakukan. Di depan, lampu utama LED digunakan dengan ciri Outer Oblique Light, sebuah teknologi lampu adaptif. Grilnya juga ditinggikan, dengan rekaan bampar yang baru lengkap dengan bukaan masukan udara.

    Di belakang, lampu direka semula untuk jadi lebih kurus, dan bampar belakang hadir dengan bahagian ala diffuser di bawahnya. Rekaan papan pemuka pula kekal sama dengan Bezza. Sedikit kelainan ialah penggunaan stereng tiga jejari dari Vios. Model pasaran Pakistan itu juga datang dengan kawalan cruise dan unit App Phone Receiver dengan Intelligent Logic – ini tak ada pada Bezza.

    Toyota Etios menggunakan enjin 1.3L yang sama dengan Bezza, digandingkan dengan transmisi automatik empat-kelajuan. Walaupun lebih kecil dari enjin 1.5L pada Etios sebelum ini, tetapi dengan ciri Dual VVT-i ia menjanakan kuasa yang lebih (95 PS/121 Nm). Enjin 1.4 diesel pula sama seperti sebelumnya, dengan janaan 68 PS dan 170 Nm.

    Toyota Etios baru ini mula dijual di Pakistan bermula hari ini, 1 April, sempena April Fools, dengan harga 2,019,401 rupees. Terima kasih Theophilus Chin untuk info ini! Eh, kejap. Boleh percaya ke ni?

     
     
  • Bangkok 2019: Toyota Commuter baru berenjin 2.8L

    Bangkok 2019: Toyota Commuter baru berenjin 2.8L

    Lepas ni kalau ke Thailand, anda pasti dapat melihat banyak van baru yang digunakan sebagai pengangkut. Ini kerana Toyota Hiace serba baru telah pun muncul di Bangkok International Motor Show, dipanggil sebagai Commuter, sebelum ia dilancarkan secara rasmi pertengahan tahun ini di sana.

    Model generasi keenam ini mungkin tidak mewah seperti Alphard atau Vellfire, tetapi Toyota memberitahu ia akan “menetapkan tahap baru untuk perjalanan unggul, dengan memastikan pengalaman terbaik untuk pemandu dan penumpang.” Perubahan paling jelas adalah bahagian depan yang lebih panjang, yang dikatakan “dapat memberi keselesaan yang luar biasa dan keselamatan terbaik.”

    Bangkok 2019: Toyota Commuter baru berenjin 2.8L

    Commuter yang ditunjukkan di Thailand ini sebenarnya adalah versi bumbung panjang dan tinggi, yang mana saiznya kini lebih besar. Ukuran tepatnya adalah 5,915 mm panjang (+535 mm), 1,950 mm lebar (+70 mm) dan 2,280 mm tinggi (-5 mm), dengan jarak roda pula 3,860 mm (+750 mm). Versi ini boleh membawa sehingga 17 orang dan tempat duduknya boleh didapati dengan 29 cara susunan.

    Commuter dikuasakan oleh enjin 2.8 liter turbodiesel GD sama seperti trak pikap Hilux, sementara sebelum ini ia menggunakan enjin 3.0 liter yang lebih besar. Transmisi enam kelajuan kini menggantikan unit automatik empat kelajuan dan manual lima kelajuan yang ditawarkan sebelum ini. Pada Hilux, enjin 2.8 liter ini menghasilkan 177 PS dan 450 Nm tork.

     
     
  • Renault Samsung Motors XM3 Inspire – SUV Coupe yang akan dijual di Korea Selatan pada tahun 2020

    Renault Samsung Motors XM3 Inspire – SUV Coupe yang akan dijual di Korea Selatan pada tahun 2020

    Semasa pameran Seoul Motor Show 2019, Renault Samsung Motors (RSM), iaitu sebuah syarikat milik bersama Renault (80.1%) dan Samsung (19.9%) telah menunjukkan sebuah kereta konsep yang dinamakan sebagai XM3 Inspire.

    Model yang menggunakan bentuk SUV Coupe ini sebenarnya menggunakan asas daripada model konsep Arkana, yang pernah ditunjukkan waktu Moscow International Motor Show, dan ia mempunyai bentuk yang sama – bumbung menjunam di belakang, garis badan tepi yang tinggi, jalur krom di bawah pintu serta bumbung kaca.

    Sementara bahagian atas kenderaan ini lebih kepada elegan seperti sedan, bahagian bawah pula dijadikan lebih lasak seperti SUV, dengan kedudukan yang tinggi, lengkuk roda besar serta rim 19 inci. Melengkapkan semuanya adalah muncung ekzos aluminium berkembar di belakang.

    Walaupun begitu, masih terdapat beberapa bahagian pada XM3 Inspire ini yang diubah untuk menjadikannya lebih unik, seperti gril, bampar dan rim tersendiri, warna putih mutiara, serta jalur warna oren pada gril, bawah pintu dan bampar belakang.

    Menurut RSM, XM3 Inspire ini memberi gambaran awal kepada model yang akan dilancarkan pada separuh pertama tahun 2020 di Korea Selatan, namun ia juga nanti akan menjadi penyumbang kepada perkembangan antarabangsa Renault, yang membawa maksud pasaran lain juga akan mendapat SUV Coupe seperti ini.


     
     
  • Bangkok 2019: Subaru XV GT Edition dengan bodykit

    Bangkok 2019: Subaru XV GT Edition dengan bodykit

    Di Thailand, Subaru XV diperkenalkan dalam edisi istimewa dan diperkenalkan ketika Bangkok International Motor Show 2019. Dikenali sebagai Subaru XV GT Edition yang menggunakan asas varian 2.0i-P model yang sama.

    Pakej luaran edisi GT ini terdiri daripada kit bampar depan dan bahagian sisi, lanjutan pada bahagian bampar belakang serta penggunaan spoiler yang lebih jelas kelihatan. Kit badan yang digunakan pula mempunyai jalur warna perak padanya, memudahkan untuk membezakan edisi GT ini.

    Selebihnya, bahagian diffuser belakang diberikan warna hitam; sebelum ini ia dikenakan warna badan. Satu lagi kelainan pada edisi berkenaan ialah rim 18-inci yang ada padanya, besar satu inci berbanding sebelum ini, dengan logo GT terletak di tengah – tayar pula dalam saiz 225/55 Continental UltraContact UC6 SUV.

    Di dalam, XV GT ini dilengkapi dengan kerusi kulit khas dengan jahitan oren serta tikar lapik GT. Turut ditambah ialah kamera untuk membantu pemandu masuk ruang parkir; kamera ini terletak di bawah cermin sisi.

    Subaru XV GT Edition dijual pada harga 1.358 juta baht (RM174,550), atau 99,000 baht (RM12,723) lebih mahal dari varian 2.0i-P. Subaru XV dijana oleh enjin 2.0 liter boxer dengan kuasa 156 PS/196 Nm. Ramai yang tertarik dengan penampilan yang satu ini?

     
     
  • Volvo XC40 EV akan dilancar sebelum 2019 berakhir

    Volvo XC40 EV akan dilancar sebelum 2019 berakhir

    Volvo telah mendedahkan akan melancarkan versi elektrik sepenuhnya bagi XC40 sebelum 2019 berakhir, laporan Automotive News. Garis masa berikut yang diunjurkan tahun lepas oleh syarikat tersebut, apabila dikatakan bahawa model elektrik janaan bateri ini yang pertama dari jenama ini akan muncul selepas pelancaran Polestar 2.

    Walau bagaimana pun tiada perincian mengenai sistem pemanduan XC40 ini, tetapi kalau mengikut Polestar 2 – yang didedahkan pada Februari lalu dan ditampilkan secara rasmi di Geneva bulan lepas – mampu memberikan sedikit gambaran, walau pun output dan rangkaian sistemnya mungkin akan dikurangkan pada SUV kompak ini.

    Polestar 2 dilengkapi dengan sepasang motor elektrik, yang setiap satunya menghasilkan 150 kW (204 hp) dan tork 330 Nm, untuk setiap gandar yang disalurkan ke pacuan semua-roda. Dengan bateri 78 kWh, ia mampu dipacu sehingga 500 km, mengikut kitaran WLTP.

    Selain itu, versi semua-elektrik ini dijangka akan mempunyai output yang lebih kurang dengan XC40 T5 Twin Engine PHEV, yang diumumkan pada tahun lalu, dan disusuli dengan versi T4 Twin Engine.

    XC40 elektrik ini merupakan langkah pertama dari pengeluar kereta Sweden dalam perancangan elektrifikasi, yang mensasarkan untuk mempunyai versi elektrifikasi bagi setiap modelnya bermula tahun ini, dengan penjana kuasa mild hybrid, hibrid atau bateri-elektrik. Ia dijangka mampu memenuhi jualan global dari semua model elektrik-penuhnya menjelang 2025.

    GALERI: Volvo XC40 T5 Twin Engine PHEV

     
     
  • Givi lancar kotak barangan B270N dan G12 – bakal masuk pasaran, harga anggaran RM185 dan RM106

    Givi lancar kotak barangan B270N dan G12 – bakal masuk pasaran, harga anggaran RM185 dan RM106

    Jenama aksesori terkenal dari Itali iaitu Givi telah menunjukkan kepada media barisan produk terbaru tahun 2019 mereka, yang termasuk dua kotak barangan B270N dan juga G12 yang akan masuk ke pasaran untuk jualan umum tidak lama lagi. Harga anggarannya masing-masing adalah RM185 dan RM106.

    B270N yang merupakan kotak barangan yang diletakkan di bahagian belakang motosikal bukanlah sebuah model serba baru, tetapi disegarkan semula daripada model B27 sebelum ini. Ia mempunyai kapasiti 27 liter, boleh memuatkan satu helmet dan mampu menampung berat isi sehingga lima kilogram.

    Sementara bahagian dalam dan mekanisme kunci ini masih lagi sama, rekaan luarnya pula telah direka semula, dan kini mempunyai pemantul cahaya yang lebih nipis, bonjolan di bahagian atas dengan corak gentian karbon serta logo Givi yang lebih besar dan berwarna krom.

    Melihat kepada G12 pula, ia adalah sebuah model kotak barangan untuk kapcai yang diletakkan di antara dua kaki penunggang, dan disediakan sebagai pengganti kepada bakul yang biasa digunakan ramai. Kotak barangan G10N diambil sebagai asas untuk G12, dan sekarang ia telah diberikan beberapa naik taraf.

    Paling utama, kapasitinya telah ditambah sebanyak dua liter, menjadikan keseluruhannya 12 liter, dan kini terdapat satu lekuk khas untuk memastikan tempat duduk dapat diangkat dengan senang apabila mahu mengisi minyak (tidak lagi tersangkut pada kotak tersebut seperti model G10N).

    Sama seperti G10N, model G12 ini juga didatangkan dengan sistem kunci keselamatan dan pengguna tidak perlu risau barangan di dalamnya basah apabila sudah ditutup. Kotak ini boleh menahan berat barangan sehingga dua kilogram dan diangap berguna untuk meletakkan barangan seperti baju hujan atau lain-lain.

    Givi lancar kotak barangan B270N dan G12 – bakal masuk pasaran, harga anggaran RM185 dan RM106

    B270N dan G12 adalah satu produk rekaan anak muda tempatan dan ia juga akan dieksport ke negara lain yang tabiat penggunanya hampir seperti Malaysia dan memerlukannya. Ia boleh dipasang pada pelbagai jenis motosikal dengan menggunakan tapak Monorack khas yang dikeluarkan Givi dan dijual secara berasingan.

    Pada majlis pengenalan kotak baragnan ini, Givi turut menunjukkan beberapa produk baru lain mereka yang juga akan berada di pasaran tidak lama lagi. Ini termasuk beg kalis air, grafik baru untuk helmet M30.1 Cielo, kotak barangan B32N Bold yang dinaik taraf dengan jaring di atas serta penyandar belakang serta kunci keselamatan untuk tuil brek.