Kelendar automotif di Malaysia tidak kurang meriahnya bagi tahun 2018. Pelbagai model diperkenalkan, dan sebahagian besarnya sempat kami di paultan.org/bm dekati, termasuk untuk melakukan pandu uji bagi melihat sendiri keupayaan serta kelebihan-kekurangan sesebuah model itu dan menyatakan pandangan kami tentangnya.

Sebagai melabuhkan tirai 2018, setiap seorang individu dari pasukan editorial paultan.org/bm menyenaraikan lima kenderaan yang meninggalkan kesan paling dalam terhadap kami, tentunya dengan alasan-alasan tersendiri. Sebagai menyambung “tradisi” setiap hujung tahun, sama seperti tahun-tahun 2016 dan 2017 dahulu, berikut merupakan senarai peribadi daripada kami. Pilihan anda pula bagaimana?

IZWAASHURA SADALI

Tempoh kadar sifar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) selama 3 bulan sejak Jun hingga Ogos lalu menyaksikan keghairahan rakyat Malaysia untuk membeli kenderaan baharu melonjak. Memandangkan harga kenderaan di pasaran ketika itu ibarat “durian runtuh”, ia mendorong peningkatan jualan bagi kebanyakan syarikat kereta.

Selepas Cukai Jualan dan PerKhidmatan (SST) dikembalikan mulai September lalu, ada di antara model kenderaan baharu mengalami sedikit penurunan harga yang melibatkan unit pemasangan tempatan (CKD), berbanding unit import sepenuhnya (CBU) yang rata-ratanya naik harga. Jadi mana yang tak sempat menempah model baharu ketika “cuti GST”, bolehlah meneruskan hasrat itu sebelum (mungkin) harganya berubah lagi pada masa hadapan.

Penganjuran Kuala Lumpur International Motorshow 2018 (KLIMS18) November lalu, memang dinanti-nantikan oleh pencinta dunia automotif tempatan, setelah menunggu ketibaannya hampir 5 tahun selepas kali terakhir ia diadakan pada tahun 2013.

Walaupun acaranya tidaklah berskala besar, namun banyak syarikat kenderaan mengambil kesempatan untuk mempertontonkan model baharu yang bakal dilancarkan, dan juga menayangkan model konsep yang memberikan bayangan perancangannya untuk diproduksi pada masa akan datang. Namun sejauh mana impak KLIMS18 terhadap automotif tempatan?

Dalam suasana pasaran automotif tempatan dengan segala turun-naiknya sepanjang 2018, ini lima kenderaan yang meninggalkan kesan paling ketara bagi penulis.

5. Kia Picanto

Merupakan model kenderaan pertama yang dilancarkan pada 2018, Kia Picanto ini bukan sekadar model kompak segmen-A yang biasa-biasa. Walaupun ia digandingkan dengan enjin 1.2 MPI DOHC dengan hamburan kuasa 83 hp pada 6,000 rpm dan tujahan tork 122 Nm pada 4,000 rpm, bagi kenderaan dalam segmennya, Picanto agak membanggakan dari segi pemanduan dan pengendalian. Ia “kecil-kecil cili padi”.

Jangan pandang enteng dengan ketangkasannya, kerana ia boleh bertindak mengikut kesesuaian pemanduan. Pengendaliannya cukup jinak, malah jarang menghampakan serta kekal selesa biarpun dalam kelajuan yang sedikit tinggi.

Selain itu, imej rekaan luarannya juga lebih kemas dan menarik perhatian berbanding model sebelum ini. Malah ia juga nampak lebih sporty dengan rekaan gril open-link yang menyerlahkan bahagian hadapannya dan menampakkan ia lebih lebar walau pun masih kekal ringkas. Bahagian kabinnya juga tidak kurang menarik dan sesuai dengan imej luaran dan harga yang ditawarkan.

Dengan harga RM50k (tanpa insurans), Picanto 2018 mampu memberikan persaingan buat Perodua Myvi 1.3L dan Proton Iriz 1.3L yang harganya lebih kurang saja. Tetapi Picanto ini memiliki satu kelebihan yang tiada pada model Perodua dan Proton tersebut; ia dibuat oleh pengeluar antarabangsa. Jadi, kalau anda mahukan kereta kompak dengan logo jenama luar pada harga murah, Picanto pilihan yang harus dipertimbangkan.

4. Toyota C-HR

Ini antara model panas 2018, dan kelibatnya juga makin banyak di jalan raya. Motif utama kenapa ia digemari, pastinya gaya yang nampak begitu moden, futuristik dan stailo. Walau pun harganya agak tinggi iaitu mencecah RM150k (tanpa insurans), crossover C-HR buatan Toyota ini lebih mahal berbanding pesaingnya yang terdahulu dilancarkan di pasaran lokal termasuk HR-V (RM110k), CX-3 (RM121k) dan XV (RM118k).

Untuk pasaran Malaysia, C-HR hadir dengan satu varian saja dengan enjin 1.8 liter empat-silinder naturally aspirated Dual VVT-i dengan hamburan kuasa 138 hp pada 6,400 rpm dan tork 171 Nm pada 4,000 rpm. Kuasanya disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi automatik CVT dengan mod manual Sequential Shiftmatic tujuh-kelajuan. Tiada pilihan enjin iaitu 1.2 liter turbo dan 1.8 liter hibrid seperti yang ditawarkan dipasaran lain.

Walaupun pemanduannya lebih sesuai untuk di dalam bandar, namun C-HR mampu memberikan pengendalian yang dinamik dalam pemanduan yang agak agresif. Sterengnya mudah dikawal dan mampu mempamerkan sifat sporty dalam pemanduan sebegini, termasuk ketika melayan selekoh. Bertambah menyeronokkan bila menggunakan mod Sport yang menghasilkan pemanduan lebih berdaya tinggi. Dengan imej luaran dan dalaman yang ditampilkan, termasuklah prestasi kuasa yang sederhana, pasti ramai yang tak kisah dengan harganya.

3. MINI Cooper S Countryman Sports

Walaupun model baharu silih berganti, namun sentuhan moden klasik masih dipersembahkan oleh barisan MINI Cooper S Countryman Sports. Gayanya kekal unggul, prestasinya mengujakan dengan impak yang tersendiri. Ia masih tidak pernah gagal mengundang jelingan cemburu tatkala kelibatnya kelihatan. Diperkenalkan di pasaran Malaysia pada awal April lalu, MINI Cooper S Countryman Sports ini ditawarkan pada harga RM241k (tanpa insurans) yang hadirnya turut ditemani kembarnya, MINI Cooper S E Countryman plug-in hybrid.

Walau bagaimanapun, Cooper S Countryman Sports masih mengekalkan enjin 2.0 liter pengecas turbo DOHC dengan suntikan terus bahan api. Ia mampu meledakkan kuasa sehingga 195 hp pada 5,000 rpm dan tork 280 Nm pada 1,350 rpm, dengan padanan kotak gear automatik 8-kelajuan yang menyalurkan kuasanya ke roda hadapan. Malahan gabungan mekanikal ini mampu mendorong Cooper S Countryman Sports 2018 untuk dipecut dari titik sifar ke 100 km/j dalam masa 7.4 saat dengan kelajuan maksimum mampu dicapai 224 km/j.

Pengendaliannya cukup memuaskan, terutamanya ketika memacunya di lebuhraya. Malah sistem penyerap hentak (damping) pula boleh dikatakan terbaik dan kestabilan jentera juga agak optimum walau pun ketika jentera berada dalam kelajuan tinggi. Malah ia juga lebih tangkas dan lebih cengkaman.

2. Ford F-150 Raptor a.k.a Sutton MonsterRaptor

Trak pikap keluaran Ford ini memang cukup menggiurkan. Umpama jatuh cinta pandang pertama! Empat hari sebelum 2018 berakhir, harga untuk pasaran Malaysia didedahkan oleh Hamawangsa Kredit, mencecah RM788k! Agak-agak siapa yang sanggup berbelanja besar untuk memiliki F-150 Raptor yang dijual di Malaysia sebagai versi Sutton MonsterRaptor ini? Ia juga datang dalam bentuk badan SuperCrew, dengan ruang untuk penumpang belakang yang lebih luas, pintu saiz penuh, jarak roda 30 cm lebih panjang berbanding Raptor SuperCab dan lebih lebar 15 cm berbanding F-150 biasa.

Enjin yang digunakan adalah unit V6 3.5 liter twin-turbo EcoBoost, dipadankan bersama transmisi automatik 10-kelajuan, mampu menghasilkan kuasa sehingga 450 hp dan 691 Nm tork. Untuk pengetahuan anda, enjin ini juga mampu menghasilkan kuasa yang lebih berbanding enjin V8 6.2 liter yang digunakan pada Raptor sebelumnya. Pastinya imej garang dan penuh agresif yang ditampilkan haruslah senada dengan penjana kuasa yang luar biasa.

Dipasang di Malaysia di kilang yang terletak di Gurun, Kedah, Sutton MonsterRaptor ini ditawarkan dalam lima warna iaitu putih, hitam, biru, merah dan kelabu. Hanya mensasarkan sekitar 20 hingga 30 unit untuk dijual dalam setahun, Sutton MonsterRaptor ini pasti menjadi idaman ramai terutamanya jejaka macho, maskulin dan yang memiliki gaya hidup lasak. Adakah anda termasuk dalam golongan sebegitu? Saya yang wanita tulen ini pun jatuh cinta dengannya!

1. Proton X70

Proton X70, SUV pertama dari Proton, hasil kerjasama dengan Geely, merupakan model terakhir yang dilancarkan sebagai penutup 2018. Malah ini merupakan model baharu yang cukup dinantikan oleh ramai orang, kerana tak sabar mahu melihat produk hasil kerjasama itu. Sebelum ini ramai yang masih menganggap, kualiti produk buatan China tidaklah semegah mana. Kualiti masih di takuk lama. Namun masih relevankah anggapan itu?

Batch pertama X70 ini didatangkan dari China, unit CBU kerana produksi pemasangan tempatan hanya akan berlangsung pada tahun hadapan. Jika anda berkesempatan mengunjungi mana-mana bilik pameran Proton berhampiran, cuba lihat kualiti yang dipamerkan pada SUV ini. Lihat juga segala elemen yang ditampilkan khususnya untuk varian tertinggi, X70 Premium 2WD. Boleh dikatakan apa yang ditampilkan pada X70 ini agak hampir dengan kenderaan dari Jepun dan mungkin… Eropah.

Walau bagaimanapun difahamkan, untuk unit CKD kelak, ada beberapa elemen akan diubah, selari dengan imej tempatan. Cuma buat masa ini, Proton masih menyimpul rapi rahsia tentang itu. Apa pun, kita harapkan X70 versi Tanjung Malim itu nanti tidak mengetepikan kualiti yang sepatutnya. Biarlah pembeli merasakan pemilikannya berbaloi dengan RM yang dikeluarkan.

FARID AWALUDIN

Pada saya, tahun 2018 agak ‘slow‘ dalam dunia automotif, terutamanya untuk kereta-kereta dalam kelas marhaen. Sepanjang tahun 2018, saya jarang berkesempatan untuk menguji model-model kebanyakkan kerana kurangnya model-model baharu sepenuhnya dan juga hanya versi facelift yang dilancarkan. Jadi, untuk senarai kali ini adalah terdiri hampir semua dari model-model kelas ‘bangsawan’. Jangan marah haaa…

5. Kia Optima GT

Ini antara model yang saya tidak sangka akan di bawa oleh Naza Kia ke Malaysia. Optima GT ini bukan seperti Optima biasa, kerana ia adalah versi lebih berkuasa dan tentunya tidak boleh dijual pada harga yang sama seperti sedan segmen-D yang lain, terutamanya jenama-jenama dari Jepun. Secara logik berdasarkan sentimen pasaran di Malaysia, siapa yang nak beli sebuah sedan ‘ayah-ayah’ dari Korea dengan harga yang lebih mahal dari Honda Accord?

Ini yang saya tabik kepada Naza Kia, kerana mereka masih mahu memberikan peluang kepada rakyat Malaysia untuk merasa model unik dari Kia ini. Optima GT ini dijana oleh enjin empat-silinder Theta II 2.0 liter dengan pengecas turbo dan sistem suntikan bahan api terus (T-GDI). Ia berupaya menghasilkan 242 hp/350 Nm atau 69 hp/125 Nm lebih berkuasa dari Honda Accord 2.4L.

Selain dari laju, kereta ini turut dibekalkan dengan sistem Electronic Sound Generator (ESG) yang memberikan bunyi deruman enjin palsu seakan V8, meningkatkan semangat anda untuk memandu. Walau bagaimanapun, saya masih tidak berapa gemar lagi dengan karekter pada kotak gear dan juga dinamik pengendalian Optima GT ini yang rasanya ia masih belum menerima ‘Biermann Effect‘ seperti Hyundai Elantra Sport yang saya pandu tahun lalu.

4. Mercedes-AMG GT C

Sehari selepas Mercedes Benz Malaysia (MBM) melancarkan Mercedes-AMG GT C dan model-model ‘Dream Cars‘ mereka di Malaysia untuk tahun 2018, syarikat tersebut telah mengadakan satu sesi pandu uji barisan kereta-kereta berkenaan dari Kuala Lumpur ke Kuantan. Rezeki saya pada hari itu, saya orang pertama terpilih untuk memandu Mercedes-AMG GT C ini dari Kuala Lumpur meredah laluan berbukit dengan selekoh-selekoh mengujakan di lebuhraya Karak.

Ini adalah supercar sebenar dari Mercedes-AMG dan ia adalah varian pertengahan antara GT S dan model paling buas GT R. Di jana enjin M178 4.0 liter biturbo V8 berkuasa 549 hp/680 Nm digandingkan dengan transmisi AMG Speedshift 7G-DCT automatik dan hanya memacu roda belakang, pengalaman meratah selekoh-selekoh di Karak adalah sesuatu yang sukar untuk digambarkan.

Bunyi V8 yang mengaum, pecutan gila yang diberikan tidak kira pada mana-mana kedudukan gear, posisi pemanduan yang cukup rendah dengan muncung yang sangat panjang sementara roda belakang hanya berada di belakang tempat duduk, dan cengkaman dari tayar Michelin Pilot Super Sport 305/30ZR20 adalah sesuatu yang sukar untuk saya lupakan.

3. Mercedes-AMG E 63 S

Ini satu lagi jentera Dream Cars yang di bawa oleh MBM dalam sesi pandu uji yang sama. Berbanding GT C, Mercedes-AMG E 63 S ini adalah supercar tetapi menyamar sebagai sedan ‘ayah-ayah.’ Saya tidak sempat untuk berkenalan lebih rapat dengan AMG E 63 S ini, kerana hanya diberi peluang untuk memandunya kira-kira 20 minit sekitar pesisir pantai Cherating.

Walaupun hanya sedan, kereta ini diberikan enjin AMG M178 4.0 liter V8 biturbo yang menjana 612 hp/850 Nm – jauh lebih berkuasa dari AMG GT C tadi! Ia dipadankan dengan transmisi AMG Speedshift MCT sembilan-kelajuan, dan kuasa dialirkan ke kesemua roda menerusi sistem AWD Mercedes 4Matic. Bunyi yang dihasilkan juga lebih garang, dan pecutannya…astaghfirullahalazim.

Bukan sahaja kuasa, sebenarnya saya suka segala-gala tentang kereta ini berbanding GT C. Laju tak masuk akal, empat pintu, boleh naik empat orang dengan selesa dan juga ada ruang kargo seperti sedan normal. Jadi apa perlunya nak beli Lamborghini Huracan yang boleh naik dua orang saja?

2. Mazda CX-5 2.2 GLS SkyActiv-D 4WD

Sejak dari model generasi sebelumnya, Mazda CX-5 versi diesel sememangnya telah menambat hati saya. Enjin diesel Mazda ini bukanlah seperti enjin-enjin turbodiesel pada trak-trak pikap, sebaliknya ia adalah enjin turbodiesel berteknologi tinggi yang senyap dan menghasilkan tork yang cukup tinggi membolehkan SUV segmen-C mereka tersebut bersifat cukup cergas.

Juga sama seperti model sebelumnya, nisbah kotak gear telah disesuaikan dengan sangat baik, membolehkan tork 420 Nm pada enjin 2.2 liter SkyActiv-D ini mampu untuk membawa SUV berkenaan pada kelajuan 200 km/j dalam masa yang singkat, tanpa anda sedari. Manakala sistem AWD yang dibekalkan adalah sangat bersesuai untuk memberikan cengkaman untuk semua roda memandangkan bekalan tork yang diberikan adalah sangat besar.

Apa yang membuatkan saya lebih suka terhadap model generasi baharu ini adalah ciri-ciri yang diperhalusi oleh Mazda. Ia jelas lebih senyap dari model sebelum ini, manakala suspensinya telah ditala bagi mengekalkan sifatnya yang keras bagi membolehkan anda mengambil selekoh dengan lebih yakin, dalam masa yang sama ia masih lagi selesa untuk dinaiki oleh seisi keluarga.

1. Mercedes-AMG C 43

Dua model Mercedes-AMG yang saya sebutkan di atas kalau anda lihat ia mempunyai satu sifat yang sama iaitu ia dibekalkan dengan kuasa yang sangat liar. Memang best sifat seperti itu, tapi sebenarnya ada satu perasaan yang tidak selesa ketika memandu kereta-kereta sebegini di jalan raya awam – takut. Ya, takut. Tork melebihi 650 Nm bukan perkara main-main, dan anda mungkin berani untuk menggunakan tujahan penuh sedemikian hanya di litar sebenar.

Tetapi tidak dengan Mercedes-AMG C 43. Model AMG sebenar yang dijana oleh enjin M276 DELA 30 3.0 liter V6 turbo berkembar berkuasa 362 hp dan tork maksima 520 Nm ini di tala cukup baik untuk kegunaan di jalan raya. Dengan sistem AWD Mercedes-AMG 4Matic, ia adalah sebuah jentera ‘touge’ yang sangat seronok.

Anda boleh menggunakan hampir semua kuasa di selekoh, bersama penggunaan mod gear manual yang sangat mudah untuk dijangka. Dengan kuasa yang ‘sedang-sedang elok’ dan tidak melebih-lebih, saya sangat sukakan sedan sport yang bersifat wasatiyyah ini.

DURRANI SHAROM

Daripada berita yang dinaikkan sebelum ini, boleh dilihat sememangnya berita berkenaan motosikal adalah antara yang sering mendapat sambutan ramai. Pengeluar dan pengedar motosikal di negara kita juga sedar perkara ini, dan saban tahun pastinya banyak model baru diperkenalkan.

Sebagai penutup tahun ini, saya senaraikan lima model yang menjadi pilihan dan kesemuanya pernah saya tunggang sendiri. Agak sukar untuk menamakan sesebuah model sebagai model yang terbaik secara keseluruhan, jadi ada di antaranya termasuk dalam senarai kerana dianggap memberikan kualiti tunggangan yang baik serta berbaloi untuk dimiliki jika dibanding dengan pesaing terdekatnya.

5. TVS Apache RTR200

Pasti ada yang mahu mempersoalkan kenapa model ini berada dalam senarai, tapi saya ada sebab tersendiri. Pengeluar motosikal dari India iaitu TVS baru sahaja membuat kemunculan dalam pasaran Malaysia beberapa minggu lepas dengan antara model yang dilancarkan adalah Apache RTR200. Saya bernasib baik kerana sebelum pelancarannya, telah berpeluang menguji model ini selama satu hari.

Mungkin ada yang tertanya bagaimana sebuah model dari India boleh masuk dalam senarai ini, kan? Memanglah TVS bukan satu jenama baru, malah mereka sudah mendapat kepercayaan daripada BMW untuk menghasilkan model yang menggunakan logo jenama dari Jerman itu, tetapi ia bukanlah sebab utama.

Melalui pengalaman menguji jentera yang ada kaitan dengan pengeluaran dan penggunaan alat ganti dari India, saya sedikit sebanyak sudah ada jangkaan bagaimana rasanya. Walaupun begitu, Apache RTR 200 tidak seperti yang saya jangka dan ia menghancurkan segala jangkaan awal saya berkenaan jentera dari negara tersebut.

Motosikal itu sendiri sudah bagus, tetapi sekarang kita masih perlu melihat bagaimana khidmat sokongan yang bakal disediakan oleh syarikat baru yang membawa TVS ini ke Malaysia. Harapnya mereka serius untuk menjaga pelanggan dan bukannya setakat mahu menjual motosikal sahaja.

4. Yamaha MT-09 2018

Barisan model naked MT dari Yamaha sememangnya mempunyai penampilan yang menarik, dan keputusan Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) untuk memasangnya di dalam negara memberikan peluang kepada lebih ramai orang untuk memilikinya (kerana harga yang lebih menarik).

Bagi MT-09, ia sudah beberapa tahun berada dalam pasaran Malaysia dan ramai yang sudah tahu kelebihan dan kekurangannya. Masuk tahun ini, model baru diperkenalkan dan ia bukan setakat melibatkan perubahan grafik atau warna, tetapi juga beberapa masalah yang dihadapi model lama telah diperbaiki.

Ini termasuklah tempat duduk yang lebih selesa serta tindak balas pendikit yang lebih baik. Selain daripada itu, MT-09 2018 juga datang dengan kelengkapan lain yang menjadikan tunggangan lebih memuaskan seperti quickshifter, kawalan cengkaman serta fork hadapan yang boleh dilaras.

3. Triumph Tiger 800 XCX

Untuk model tiga yang teratas ini, saya mengalami masalah untuk meletakkannya di kedudukan mengikut turutan. Sebabnya, saya memang cukup menggemari ketiga-tiganya, tetapi ia mempunyai karekter yang berbeza. Triumph Tiger 800 XCX yang saya pilih ini berada dalam kategori kembara.

Motosikal dalam kategori ini adalah antara yang paling sukar untuk dihasilkan kerana penggunanya berpotensi untuk menjadikan model yang dipilih sebagai ‘satu untuk semua benda’. Tidak keterlaluan untuk saya katakan, apa saja yang dicari pada motosikal kembara bukan setakat ada pada Tiger 800 XCX ini, malah cukup memuaskan.

Melihat kepada senarai barangan dan ciri yang ada pada motosikal ini sahaja ia sudah cukup lengkap, tapi apa yang membuatkan saya lebih tertarik padanya adalah padanan kualiti tunggangan, keselesaan dan serba boleh.

Bila sudah memiliki motosikal ini, anda akan mencari sebab untuk keluar menjelajah, tidak kiralah sama ada jarak destinasi itu jauh atau bagaimana keadaan jalannya. Saya mengalami perkara ini sendiri, dan saya telah membuat keputusan tidak masuk akal untuk melakukan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Gua Musang, Dungun, Kuantan dan kembali ke Kuala Lumpur dalam masa dua hari sahaja.

Saya bukan setakat melalui jalan lebuh raya, malah meneroka ‘jalan-jalan lama’ yang lebih kecil dan ada di antaranya jalan tidak berturap. Habis sahaja perjalanan, tidak ada sebarang benda yang saya tidak gemari pada motosikal ini dan ia akhirnya bergantung kepada penunggang sama ada anda cukup kuat untuk menunggang tanpa henti.

2. Kawasaki Z900 RS

Model seterusnya berbentuk klasik. Seperti yang anda boleh lihat, model rekaan seperti ini kembali mendapat sambutan ramai dan makin banyak jenama yang mengeluarkan model baru tetapi menggunakan inspirasi daripada model lama, termasuklah Kawasaki Z900 RS.

Interpretasi moden kepada model lama Z1 tahun 70-an ini dianggap mudah diterima dan dalam warna gabungan perang dan oren seperti dulu, ia cukup menarik. Walaupun kelihatan klasik, Z900 RS memberikan kualiti tunggangan yang cukup memuaskan dan sebab itulah ia berada dalam kedudukan kedua bagi motosikal pilihan saya tahun ini.

Enjinnya cukup lancar, ia mudah dikendali, mempunyai kuasa yang tinggi, cukup selesa dan mampu mengejutkan mereka yang memandang rendah model klasik. Saya yang lebih cenderung kepada motosikal kembara juga hampir terperdaya untuk memiliki model ini.

Kemudiannya juga, cuba anda fikirkan sekiranya anda adalah seorang yang mahu mendapatkan model klasik. Walaupun ada syarikat yang membawa model lama dari Jepun dengan AP klasik, harganya juga tidak murah. Jadi, Z900 RS ini adalah pilihan yang lebih munasabah untuk motosikal yang berbentuk klasik tetapi dengan kualiti tunggangan yang lebih moden dan memuaskan.

1. Ducati Panigale V4

Menjuarai pilihan lima motosikal terbaik yang pernah saya cuba bagi tahun 2018 adalah model sports jenama dari Itali iaitu Ducati Panigale V4. Seperti biasa, model sports seperti ini adalah platform untuk pengeluar menawarkan teknologi terkini kepada pengguna dan ini adalah versi yang lebih ‘mampu milik’ dan bukannya bernilai lebih RM500,000 seperti BMW HP4 Race atau Honda RC213V-S.

Saya berpeluang menguji jentera yang menjadi bualan ramai ini di Litar Sepang dan itu memang adalah tempat terbaik baginya. Jika anda tertanya kenapa Panigale V4 ini kerap disebut-sebut, ini adalah kerana ia bukan sahaja sebuah model serba baru malah turut memberikan perubahan kepada karekter Panigale yang dikenali sebelum ini.

Sebaik tetapan enjin V4 digunakan oleh Ducati dalam perlumbaan, ia jelas menunjukkan perubahan positif dan bagi orang biasa, anda akan dapat merasakan Panigale kini tidak terlalu liar, lebih lancar dan mudah dikawal tapi tetap berkuasa. Kelengkapan elektronik padanya juga adalah antara yang termaju jika dibandingkan dengan model yang setara.

Dari pengalaman saya memandu pelbagai superbike dalam litar, sebelum ini saya berpendapat BMW S1000R adalah yang paling memuaskan tetapi kini, pilihan saya telah beralih kepada Panigale V4. Anda bukan sahaja dapat menikmati sebuah jentera yang cukup berkuasa, tetapi ia juga tidak menakutkan dan membolehkan anda melakukan pelbagai tindakan lebih hebat (biasanya dilakukan pelumba profesional) seperti membrek semasa motosikal condong, menghalakan motosikal ke garis lumba terbaik dan laju dalam masa sama serta menggunakan posisi lumba.

Itulah dia pilihan saya untuk tahun 2018, dan pastikan juga anda terus mengikuti laporan dari paultan.org kerana akan ada lebih banyak laporan tunggang uji model baru, bukan sahaja yang akan dilancarkan tahun 2019, tapi yang sudah dilancarkan tahun 2018 juga masih ada yang saya masih belum berpeluang mengujinya.

HAZRIL HAFIZ

Tahun 2018 menyaksikan banyak model-model kenderaan yang sangat menarik diperkenalkan. Bagi saya, dua model dari pengeluar tempatan, SUV pertama Proton X70 dan Perodua D38L (yang belum dilancarkan ketika artikel ini ditulis) menjadi tumpuan utama secara peribadi. Ramai juga dalam lingkungan teman-teman dan kenalan yang tertanya-tanya tentang perbezaan penawaran dan dan prestasi kedua-duanya, dalam usaha untuk membuat pertimbangan yang mana satu wajar dibeli, kemungkinan pada tahun 2019 nanti.

Selebihnya, banyak juga model-model lain yang memberi kesan tersendiri kepada saya. Sebahagiannya sempat saya meluangkan masa untuk memandu uji, ada juga yang memberi tanggapan yang sangat kuat dari segi penawaran serta kualitinya dalam sekali pandang. Jadi, berikut lima kenderaan yang saya pilih untuk mewakili pengalaman di sepanjang 2018 yang akan meninggalkan kita. Bawa datang 2019!

5. Ferrari GTC4 Lusso

Jarang-jarang dapat peluang untuk memandu uji genre supercar mewah seperti Ferrari. Dan, dalam kesempatan yang sebelum ini, pengalaman bersama model-model dalam kategori berkenaan juga sangat tertumpu kepada dimensi penawaran yang hampir sama – sebuah kereta sport yang tidak terlalu menghiraukan aspek selain prestasi semata-mata.

Tetapi Ferrari GTC4Lusso ini mengubah beberapa sisi pandangan saya terhadap kereta sport mewah seperti ini. Bahawa ia tidak semestinya “keras” dan merimaskan ketika perlu dipandu perlahan, itu menjadi satu tarikan yang tidak saya jangkakan awalnya. Ruang juga tidak terbatas hanya kepada dua tempat duduk depan; model ini yang direka antaranya untuk membolehkan ia digunakan dengan selesa sebagai kenderaan harian hadir dengan empat tempat duduk.

Dari segi rekaan gaya Itali yang terperinci dan menawan, sehinggalah kepada prestasi janaan enjin serta aspek pemanduan yang jitu, model ini akan saya kenang sebagai sebuah model yang berhasil “mengingatkan semula” saya kepada Ferrari, dalam maksud yang sangat menyenangkan.

Sebab itu jugalah ia sempat menarik perhatian ramai orang ketika saya memandunya dari KL ke Ipoh – termasuk menarik perhatian dua kereta peronda polis, mungkin kerana unit yang diuji itu belum didaftarkan atau memang kerana ia terlalu seksi. Ikuti pengalaman saya dalam laporan ini.

4. Toyota Harrier

SUV JDM dari Jepun. Ini saja sudah menjadi satu pernyataan yang tersendiri tentunya. Seingat saya, ketika memandunya, ia terasa begitu solid dan memuaskan, hadir bersama enjin baru 2.0L turbo dengan janaan kuasa yang mencukupi untuk memberikan aspek pengendalian padu sebagai sebuah SUV.

Sebagai tambahan, ia juga lengkap dengan feel dan fungsi yang lebih premium sifatnya, berada satu takuk lebih tinggi berbanding SUV massa yang lebih popular lainnya. Untuk tahu lebih lanjut tentang pandangan saya tentang model ini, boleh ikuti laporan pandu uji yang ada ini.

3. Proton X70

Sekali lagi, sebuah SUV. X70 menjadi penting kerana dengan satu model ini, Proton akan mengukir jalannya ke hadapan. Jika percaturannya menjadi, maka kita bakal menyaksikan era baru Proton, yang diharap kemudiannya akan dapat memberi banyak manfaat kepada pembeli di sini. Jika sebaliknya yang berlaku, maka makin panjanglah ceritanya.

Tetapi, melihat kepada angka tempahan yang diumumkan, serta senarai harga yang akhirnya diumumkan ketika pelancarannya awal Disember lalu, nampak gayanya Proton lebih cenderung untuk melalui jalan yang pertama itu – mendapat sambutan (10,000 pra-tempahan dan 200-300 unit sehari selepas pelancaran) dan semacam berjaya meraih semula kepercayaan umum. Tinggal lagi, Proton perlu mempercepatkan proses serahan kepada pelanggan.

Mendekati model ini beberapa kali sejak sebelum pelancarannya, saya merasakan ia memilik banyak kelebihan dan mampu memberikan nilai baru untuk ditawarkan, yang sebelum ini tidak dimiliki oleh Proton. Kualiti buatan, sekurang-kurangnya pada unit CBU awal-awal ini, nampak kemas dan berwibawa. Teknologi dan ciri keselamatan yang ada pun terkedepan berbanding pesaing yang lain, apa lagi kalau ambil kira tanda harga yang dikenakan. Sekarang ini cuma tinggal cari peluang untuk cuba pandu dan rasa sendiri pakej keseluruhan yang ada itu, sama ada ia betul-betul berbaloi atau sebaliknya.

2. Volvo XC40

Kereta terbaik Eropah dan Jepun untuk 2018. Apa lagi yang nak dikata? Saya agak berbelah bahagi awalnya ketika cuba membuat penilaian yang adil terhadap kereta ini. Dari segi reka bentuk, ia memang kuat dan tampil sangat menarik. Apalagi kalau kita letakkannya dalam konteks model-model yang pernah dikeluarkan oleh Volvo.

Di Malaysia, Volvo XC40 kini menjadi SUV yang paling “kecil” dalam barisan keluarga kenderaan siri XC yang ditawarkan (saiz dan tentulah harganya yang paling rendah) oleh jenama Sweden ini. Sebelumnya ada XC60 dan XC90 – dengan pilihan varian yang pelbagai, termasuk T8 Twin Engine untuk model “abang”nya.

Tetapi dari sudut pemanduan dan pengendalian, seperti ada yang “kurang garam”. Semuanya terlalu mudah, dan ada waktunya juga maklum balas stereng begitu ringan. Tetapi, setelah melihat kembali latar dan tujuan model ini direka – antaranya untuk kegunaan bandar dan untuk pemilik urban – maka XC40 ini boleh ditolak ansur untuk tampil dengan kelebihannya yang lebih terkedepan bagi memenuhi keperluan itu.

Perjalanan menjadi sangat selesa, jimat minyak, mudah dan bersahaja, luas dan praktikal serta akan sentiasa menerima pujian terhadap penampilannya, anda akan sentiasa berada dalam gaya yang rasanya mampu bertahan dalam satu tempoh yang agak lama.

1. Ford Ranger Raptor

Memang ia besar, berat dan keras. Tak mampu tawarkan keselesaan seperti sebuah kereta keluarga. Lebar, perlu lebih berhati-hati ketika masuk parking. Macam-macam lagi perkara yang mungkin akan menjauhkan anda daripada trak pikap ini. Tetapi bagi saya, semua itulah yang menjadikannya sangat berlainan dan berada di satu sudut yang tak mampu dihuni oleh kenderaan lain di dalam spektrum penawaran kenderaan yang ada.

Dengan kedudukan yang sedikit lebih tinggi dari permukaan jalan berbanding Ranger biasa, casis yang lebih besar, kehadirannya di atas jalan raya menjadi sesuatu yang luar biasa perasaannya. Itu belum mengambil kira yang Ranger Raptor ini menjadi trak pikap prestasi pertama yang ada dalam pasaran tempatan.

Dengan trak pikap ini, serta segala yang ada padanya, saya tak ragu-ragu untuk meredah ke lokasi manapun. Mungkin saiz dan beratnya (serta harganya yang tinggi) tidak begitu serasi jika ingin dijadikan kenderaan off-road yang hardcore, ia sentiasa bersedia untuk menggalas cabaran apa pun.

Enjin 2.0L bi-turbo dengan sistem suspensi Fox serta casis yang digunakan memberikan satu takrifan baru bagi penawaran mana-mana trak pikap di Malaysia sebelum ini. Serba-serbi tentang Ford Ranger Raptor ini sangat mengujakan.