Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Singapura mula laksana larangan kemasukan kenderaan asing yang miliki saman tertunggak

    Singapura mula laksana larangan kemasukan kenderaan asing yang miliki saman tertunggak

    Mulai hari ini, Singapura telah melaksanakan larangan kemasukan bagi mana-mana kenderaan asing termasuk Malaysia, yang memiliki saman tertunggak. Ia berikutan tindakan republik berkenaan yang mengeluarkan kenyataan pada Februari lalu yang bercadang untuk tidak membenarkan kenderaan asing yang masih belum menjelaskan sebarang saman trafik di negara berkenaan, laporan Kosmo.

    Saman yang dimaksudkan termasuklah kesalahan jalan raya termasuk parkir dan juga pelepasan asap kenderaan.

    Sebelum ini, sebanyak 400,000 saman telah dikeluarkan pihak berkuasa Singapura kepada pemilik kenderaan asing yang melibatkan sejumlah S$32 juta (RM96 juta). Difahamkan, kira-kira 60,000 kenderaan asing memasuki Singapura setiap hari.

    Singapura mula laksana larangan kemasukan kenderaan asing yang miliki saman tertunggak

    Maklumbalas daripada tindakan ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kerajaan akan membangkitkan isu tersebut pada sesi Pemukiman Pemimpin Singapura-Malaysia yang dijadualkan berlangsung pada 8 April ini. Katanya, pihaknya akan mendapatkan penjelasan Singapura berhubung larangan tersebut selain ingin perbincangan diadakan.

    “Itu (larangan) adalah di bawah bidang kuasa kerajaan Singapura. Jika mereka mengambil pendekatan itu, ia di bawah kuasa mereka. Bagaimanapun,, hal ini akan kita bincangkan ketika pemukiman antara kedua-dua kerajaan. Kita akan bangkitkan perkara itu nanti,” jelasnya.

    Sebelum ini, Anthony pernah mengeluarkan kenyataan bahawa Malaysia juga akan mengenakan larangan yang sama, di mana tindakan menyekat kemasukan kenderaan asing yang masih miliki saman tertunggak akan dilaksanakan apabila sistem Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) di pintu masuk sempadan negara mula dijalankan. Fasa pertama perlaksanaan tersebut bermula di sempadan Malaysia-Singapura, manakala fasa kedua pula melibatkan sempadan Malaysia-Thailand.

     
     
  • Diskaun tol 20% setiap Isnin dan Jumaat untuk pengguna Lebuhraya AKLEH sepanjang April ini

    Diskaun tol 20% setiap Isnin dan Jumaat untuk pengguna Lebuhraya AKLEH sepanjang April ini

    Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS), pemegang konsesi Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), telah mengumumkan pemberian diskaun tol sebanyak 20% untuk pengguna lebuhraya berkenaan sepanjang bulan April ini.

    Diskaun 20% ini iaitu pengurangan kepada kadar RM2 berbanding kadar asal RM2.50 ditawarkan kepada pengguna kenderaan Kelas 1 bermula 5 pagi hingga 8 pagi, setiap Isnin dan Jumaat.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, tawaran ini diharap dapat membantu mengurangkan kos perjalanan pengguna Lebuhraya AKLEH dan sekali gus menarik lebih ramai pemandu menggunakan lebuh raya tersebut terutama penduduk dari kawasan Ulu Klang, Bukit Antarabangsa, Taman Melawati, Keramat, Wangsa Maju, Ampang dan sekitarnya.

    Ia juga bagi menggalakkan pengguna Lebuhraya AKLEH merancang perjalanan bagi mengurangkan keadaan trafik yang sesak di waktu puncak sebelah pagi.

    Pengguna Lebuhraya AKLEH boleh mendapat maklumat lanjut di Twitter @AKLEHtrafik, laman sesawang rasmi www.prolintas.com.my, Facebook PROLINTAS Highways atau menghubungi talian bebas tol 1-300-88-1012.

     
     
  • Nismo Heritage Parts – enjin RB26DETT untuk Nissan Skyline GT-R R32, R33, dan R34 kini boleh dibeli baru!

    Nismo Heritage Parts – enjin RB26DETT untuk Nissan Skyline GT-R R32, R33, dan R34 kini boleh dibeli baru!

    Pada tahun 2017, Nismo melancarkan program Heritage Parts iaitu satu program pengeluaran semula pelbagai alat ganti bagi pemilik-pemilik Nissan Skyline GT-R R32 untuk merestorasi semula jentera mereka, dan setahun kemudian ia turut meliputi model R33 GT-R dan R34 GT-R. Kini, satu lagi kejutan dalam program ini diumumkan sayap penala rasmi Nissan berkenaan – enjin RB26DETT untuk ‘Godzilla‘ berkenaan sudah boleh dibeli baharu!

    Menurut Nismo, set enjin tersebut (yang terdiri dari blok dan kepala silinder) kini sudahpun dijadualkan untuk diproduksi, dan pesanan pelanggan akan mula dihantar bermula 1 April nanti. Blok baharu RB26 berkenaan dijual pada harga 187,000 yen (RM6,890) manakala kepala silinder pula berharga 170,000 yen (RM6,264).

    Enjin RB26DETT ini diperkenalkan buat pertama kali pada Skyline GT-R R32 pada tahun 1989. Dengan kapasiti 2.6 liter, enam-silinder sebaris, DOHC dan dua pengecas turbo, ia mampu menghasilkan 280 PS/353 Nm dalam keadaan standard, dan ia mampu menghasilkan lebih dari 300 PS dengan hanya talaan semula kotak komputer dilakukan.

    Ia terus digunakan untuk generasi seterusnya Skyline GT-R iaitu R33 dan R34, namun untuk model Nissan GT-R R35, khidmat RB26 tidak lagi digunakan bagi memberi laluan kepada enjin V6 3.8 liter turbo berkembar VR38DETT.

    Selain dari enjin ini, Nismo Heritage Parts turut menawarkan 160 komponen alat ganti lain untuk Skyline GT-R R32, R33 dan R34. Ia termasuk set-set pendawaian, hos dan tiub, pelbagai emblem, komponen-komponen untuk bahagian luaran, janakuasa, elektrikal dan pelbagai lagi komponen mekanikal.

     
     
  • Harga minyak 30 Mac-5 April – RON97 naik 2 sen

    Harga minyak 30 Mac-5 April – RON97 naik 2 sen

    Bagi minggu bertarikh 30 Mac hingga 5 April 2019, harga runcit bagi petrol RON97 sekali lagi dilaporkan naik sebanyak 2 sen seliter, menjadi RM2.63 seliter. Menurut Kementerian Kewangan, walau bagaimana pun harga runcit petrol RON95 dan diesel masih kekal.

    Petrol RON95 masih dijual pada harga RM2.08 seliter. Manakala diesel Euro 2M juga kekal pada harga RM2.18 seliter, dan diesel Euro 5 pula 10 sen lebih mahal, dijual pada kadar RM2.28 seliter.

    Harga ini sah dari tengah malam ini (30 Mac) sehingga Jumaat hadapan, 5 April 2019.

     
     
  • Bangkok 2019: Hyundai Kona Electric dilancarkan di Thailand – bateri 39.2 atau 64 kWh, dari RM237k

    Bangkok 2019: Hyundai Kona Electric dilancarkan di Thailand – bateri 39.2 atau 64 kWh, dari RM237k

    Hyundai Kona Electric telah pun dilancarkan di Thailand dalam penganjuran Bangkok International Motor Show 2019 yang sedang berlangsung. Ini adalah model yang dijana oleh kuasa daripada bateri dan menggunakan asas sama seperti crossover kompak Kona, yang juga bakal tiba di pasaran Malaysia tidak lama lagi dengan enjin 1.6 liter petrol turbo. Kona Electric pernah dipertontonkan di KLIMS 2018 lalu.

    Kona Eletric muncul pada Februari 2018 sebagai kereta produksi. Merupakan salah satu model yang cukup diminati dalam pasaran EV semasa hari ini, Kona Electric dijanakan oleh bateri 64 kWH dan ia mampu digunakan sehingga 482 km (mod WLTP). Kuasa maksimum yang boleh dicetuskan mencecah 204 PS/395 Nm, memacu EV ini dari 0-100 km/j dalam 7.6 saat. Manakala versi asas pula dengan bateri 39.2 kWh, cukup untuk 312 km dan 136 PS.

    Pengecasan bateri lithium-ion polymer ini sehingga 80% hanya mengambil masa 54 minit menggunakan pengecas pantas 100 kW DC (CCS). Dengan pengecas on-board pula, pengecasan dengan AC (Type 2) mengambil masa 9 jam 40 minit dengan pek bateri besar dan 6 jam 10 minit untuk pek bateri jangka masa pendek.

    Bangkok 2019: Hyundai Kona Electric dilancarkan di Thailand – bateri 39.2 atau 64 kWh, dari RM237k

    Di Thailand, Kona Electric adalah model CBU dengan bateri 39.2 kWh bersama lencana SE, dan berharga 1.849 juta baht (RM237,285). Manakala versi 64 kWh pula dikenali sebagai SEL, berharga 2.259 juta baht (RM289,916). Jaminan pengilangan sehingga tiga tahun atau 100,000 km, sementara jaminan untuk bateri EV pula sehingga lapan tahun atau 160,000 km.

    Bagi pekakasan untuk EV, ia dilengkapi dengan kit termasuk pencahayaan semua-LED, panel meter LCD berwarna kluster Supervision tujuh-inci, paparan unit utama, pengecasan tanpa wayar, butang dioperasikan shift-by-wire, unit utama skrin sesentuh tujuh-inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, sistem pemantauan tekanan tayar, sistem pemanduan pedal-tunggal (seperti Nissan Leaf) dan tempat duduk dengan fungsi haba pemanas.

    Kona Electrik menyertai barisan EV Ioniq Electric Hyundai di Thailand. Sementara Nissan Leaf generasi kedua yang dilancarkan di sana pada Disember 2018 – didatangkan dengan bateri 40 kWh (270 km WLTP, 148 hp, 320 Nm) dan dijual pada harga 1.99 juta baht (RM255,325).

    GALERI: Hyundai Kona Electric di KLIMS 2018

     
     
  • Ford Ranger Raptor 2019 kini dalam dua warna baru

    Ford Ranger Raptor 2019 kini dalam dua warna baru

    Sime Darby Auto Connexion telah umumkan dua warna baru bagi Ford Ranger Raptor di Malaysia, dengan pilihan antara Absolute Black dan Arctic White. Ia akan menyertai dua lagi warna yang ditawarkan terdahulu, iaitu Lightning Blue dan Conquer Grey. Ini bermaksud, untuk tahun 2019, pelanggan tempatan mempunyai empat pilihan warna.

    Bagaimanapun, ruang dalaman masih lagi akan menggunakan kemasan benang biru untuk tempat duduk separa kulitnya. Selain daripada itu, semuanya kekal sama dengan senarai spesifikasi ketika model ini diperkenalkan tahun lalu. Ranger Raptor dijual pada harga RM199,888 atas jalan tanpa insurans dan datang dengan jaminan tiga-tahun atau 100,000 km.

    Ia menggunakan enjin Panther 2.0 liter EcoBlue bi-turbo empat-silinder diesel yang menghasilkan sebanyak 213 PS dan 500 Nm tork. Kuasa disalurkan menerusi transmisi automatik 10-kelajuan 10R80 Getrag untuk memberikan maklum balas yang lebih baik.

    Ford Ranger Raptor 2019 kini dalam dua warna baru

    Kelengkapan lain antaranya DRL dan lampu kabus LED, sistem tanpa kunci dengan butang Push Start, kawalan cruise, active noise cancellation, kawalan pendingin hawa dua zon dan banyak lagi. Stereng juga lebih tebal, dengan balutan kulit serta ada paddle shifter.

    Bagi sistem infotainmen, ia menggunakan sistem SYNC 3 dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay. Dari segi keselamatan, ada enam beg udara, ABS dan EBD, kawalan kestabilan, kawalan menuruni bukit, ISOFIX dan lain-lain. Ia tidak mempunyai ciri yang ada pada Wildtark paling lengkap – misalnya tiada AEB, bantuan mengekalkan lorong dan tiada juga kawalan cruise adaptif.

    Aksi Ford Ranger Raptor

    Ford Ranger Raptor di Malaysia

     
     
  • Hyundai Sonata 2020 – 1.6 Turbo GDI, 180 hp, 8AT

    Hyundai Sonata 2020 – 1.6 Turbo GDI, 180 hp, 8AT

    Awal bulan ini Hyundai telah mendedahkan rupa untuk sedan segmen-D Sonata generasi baharu, tetapi tidak memperincikan spesifikasi mekanikalnya. Semakin hampir dengan kemunculan rasminya di Seoul Motor Show 2019 hujung minggu ini, jenama Korea tersebut membocorkan sedikit lagi maklumat – kereta ini bakal dijana oleh enjin baharu Smart Stream 1.6 liter turbo dengan sistem suntikan bahan api terus, menghasilkan 180 hp bersama kotak gear automatik konvensional lapan-kelajuan.

    Menurut Hyundai, rekaan muka Sonata ini menampilkan rupa signatur baharu dengan gril hadapan yang digelar ‘Parametric Jewel’. Ia diapit oleh lampu yang direka dengan kluster baharu unik, seiring dengan rekaan liang udara kedua-dua sisi bampar yang kelihatan seperti sayap – bukan liang palsu, sebaliknya memang mengalirkan udara bagi mengurangkan rintangan angin pada mukanya. Bercakap berkenaan lampu hadapan, Sonata 2020 diberikan unit dengan empat elemen lampu individu dalam kluster tersebut.

    Garis sisi kereta ini juga agak unik, menampilkan garis atas yang bermula dari pintu hadapan hingga lampu belakang yang seakan membentuk otot di atas ruang roda belakang. Manakala satu lagi garis dibahagian bawah juga direka beralun ke dalam. Dengan rupa coupe yang landai di bahagian belakang, lampu belakang kereta ini di reka seakan Civic generasi ke-10, dengan jalur LED yang juga nampak seperti ‘sepit ketam’ ketika dihidupkan.

    Hyundai Sonata 2020 – 1.6 Turbo GDI, 180 hp, 8AT

    Lampu tersebut bersambung dengan unit yang terdapat pada penutup but, di mana pada bahagian atas ia turut membentuk sebahagian rupa ‘ekor itik’, manakala satu jalur nipis pada bahagian bawah merentangi keseluruhan penutup but berkenaan bagi menghubungkan kedua-dua unit lampu. Nombor plat terletak pada bahagian bampar, yang turut mempunyai kemasan seperti diffuser bersama tip ekzos berkembar.

    Pada bahagian dalam, papan pemuka Sonata 2020 ini direka dengan paparan meter yang diinspirasikan dari pesawat Stealth, dan turut menyerlahkan rekaan skrin utama pada bahagian tengah. Hyundai menjelaskan bahawa kedua-dua paparan tersebut diletakkan dalam susunan-S bagi mengelakkan sebarang halangan pada penglihatan pemandu.

    Secara keseluruhan, rekaan kabin kereta ini akan menghasilkan ‘perasaan yang ringan’ kepada penumpang dan pemandu, dakwa Hyundai lagi. Tombol gear konvensional pula digantikan dengan butang, di mana transmisi juga menggunakan teknologi shift-by-wire. Suis-suis untuk memilih mod pemanduan dan juga kawalan sistem bantuan pemanduan juga diletakkan berhampiran.

    Hyundai Sonata 2020 – 1.6 Turbo GDI, 180 hp, 8AT

    Model generasi baharu ini dihasilkan dengan panjang 4,900 mm, lebar 1,890 mm dan jarak roda 2,840 mm. Oleh itu, Sonata 2020 ini adalah 45 mm lebih panjang, 25 mm lebih lebar serta jarak roda 35 mm lebih jauh dari model generasi ke-tujuh. Rupa sporty pada badan kereta ini bukan sekadar ilusi, tetapi ia benar-benar 30 mm lebih rendah dari sebelum ini dengan ukuran 1,835 mm.

    Nak tahu lebih perincian berkenaan Sonata generasi ke-lapan ini? Tunggu sehingga Hyundai mendedahkan segalanya berkenaan lawan Honda Accord dan Toyota Camry ini, dan kami akan terus sampaikan kepada anda.

     
     
  • Bangkok 2019: Toyota C-HR dengan kit GT diperkenal

    Bangkok 2019: Toyota C-HR dengan kit GT diperkenal

    Kalau sebelum ini kit badan Modellista dan TRD sudah pernah ditunjukkan untuk model C-HR, pasaran Thailand nanti akan dapat satu lagi versi kit GT sebagai tambahan sebagai penghias. Ia direka oleh syarikat tempatan di sana, Faustino dan ditawarkan secara rasmi oleh Toyota Motor Thailand.

    Kit C-HR GT ini terdiri daripada kemasan hahagian depan, sisi dan diffuser belakang. Semua komponen tambahan berkenaan datang dalam gabungan warna hitam dan warna badan (putih bagi kereta dalam gambar ini) serta sedikit perincian merah. Diffuser belakang pula datang dengan ekzos paip berkembar palsu, untuk hiasan.

    Bangkok 2019: Toyota C-HR dengan kit GT diperkenal

    Kemasan dan hiasan tambahan juga dapat dilihat pada bahagian bampar depan, misalnya pada bukaan udara dengan perincian merah yang ada. Rim pula menggunakan jenis yang sama seperti yang ada di Malaysia bagi versi facelift terbaru C-HR.

    Toyota Thailand menawarkan pakej promosi bagi kit GT ini; nilai sebenarnya 20,000 baht (RM2,563) dan ditawarkan hanya pada harga 2,000 baht (RM256) dengan pembelian Toyota C-HR. Di Thailand, model berkenaan ditawarkan dengan enjin 1.8 liter untuk dua varian paling rendah dan pertengahan, manakala veri 1.8 hibrid bagi varian pertengahan dan paling tinggi.

     
     
  • JPJ wajibkan nombor Sijil Kelulusan Jenis Kenderaan dalam sistem e-DAFTAR untuk daftar kenderaan

    JPJ wajibkan nombor Sijil Kelulusan Jenis Kenderaan dalam sistem e-DAFTAR untuk daftar kenderaan

    Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia telah mengumumkan, mulai 1 April 2019, setiap proses pendaftaran kenderaan motor melalui sistem e-Daftar adalah diwajibkan menggunakan nombor siri Sijil Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) yang sah.

    Menurut kenyataan yang dihantar, JPJ berkata, setiap pengeluar kenderaan serta pihak yang berkenaan perlu mematuhi ketetapan tersebut bagi mengelakkan sebarang kesukaran atau sekatan terhadap proses pendaftaran kenderaan masing-masing. Berikutan itu, setiap pengeluar kenderaan hendaklah memastikan telah mempunyai medan data berkaitan dengan nombor siri Sijil Kelulusan VTA di dalam sistem e-Daftar masing-masing sebelum 31 Mac 2019 seperti mana spesifikasi yang ditetapkan oleh pihak JPJ.

    JPJ berkata, perkara ini dikuatkuasakan bagi memastikan setiap kenderaan motor yang akan didaftarkan dan dilesenkan mempunyai kelulusan VTA yang sah serta sebagai instrumen kawalan dan sekatan terhadap mana- mana pihak yang ingkar mendapatkan kelulusan VTA daripada pihak JPJ.

    Secara dasarnya, Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) adalah proses mandatori terhadap kenderaan model baharu sebelum dibenarkan untuk didaftarkan dan dilesenkan oleh pihak JPJ. Proses VTA ini dikuatkuasakan adalah untuk memastikan setiap model baharu kenderaan tersebut telah mematuhi ciri-ciri pembinaan dan spesifikasi seperti mana ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-kaedah di bawahnya.

    Sehubungan itu, pihak JPJ menasihatkan kepada semua pengeluar kenderaan perlu mengambil tindakan sewajarnya dan memastikan supaya sistem e-Daftar masing- masing dapat berfungsi dengan baik bagi mengelakkan sebarang masalah semasa proses pendaftaran kenderaan.

     
     
  • BMW 3 Series G20 – kit M Performance turut dipamer

    BMW 3 Series G20 – kit M Performance turut dipamer

    Sempena pengenalan model BMW 3 Series G20, BMW Group Malaysia turut mempamerkan kelengkapan bagi M Performance untuk model sedan sport berkenaan. Unit dalam warna Alpine White yang anda lihat ini siap dipasang dengan kit dari M Performance yang dimaksudkan dari katalog terkini.

    Di depan, gril hitam digunakan sebagai ganti kepada gril krom versi standard. Turut ada ialah splitter dan jika kit sisi badan yang memberikan penampilan sporty dan kemas kepada unit ini, dalam warna hitam berkilat yang sama – menjadi pelengkap kepada imej mata 330i M Sport sedia ada.

    BMW 3 Series G20 – kit M Performance turut dipamer

    Di belakang pula, ada spoiler kecil menghiasi bahagian atas but, dengan bahagian diffuser yang lebih besar. Kereta ini juga hadir dengan jalur kelabu kesat di sepanjang bahagian tepinya – dengan nama M Performance – serta rim aloi 20-inci dari Style 795 M dalam dua tona warna.

    Ketika ini, belum ada senarai harga yang ditetapkan bagi semua komponen ini dan akan dikemaskini sebaik sahaja maklumat itu diperoleh nanti, walaupun jangkaannya ia tidaklah murah. Jika anda belum sempat membaca sepenuhnya lagi, BMW 330i M Sport telah pun dilancarkan di Malaysia pada harga RM328,800.

     
     
  • Kia Optima EX dilancarkan di Malaysia – RM139,888

    Kia Optima EX dilancarkan di Malaysia – RM139,888

    Naza Kia Malaysia telah memperkenalkan Optima EX baharu, yang diposisikan di bawah varian GT, yang dijual pada harga RM139,888 (atas jalan tanpa insurans). Ia menjadikannya RM30,000 lebih murah berbanding GT, tetapi tidak seperti GT, sedan segmen-D ini menerima enjin 2.0 liter naturally-aspirated.

    Enjin 2.0 CVVL ini memberikan kuasa sehingga 163 PS dan tork 196 Nm, dan dipadankan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan konvensional. Ia sebenarnya adalah kurang prestasi sedikit berbanding enjin GT yang dipadankan dengan unit 2.0 T-GDi dengan kuasa 245 PS dan 350 Nm. Walau bagaimana pun, untuk varian baharu ini, tiada angka prestasi yang diberikan secara terperinci.

    Bagi rekaannya, Optima EX menerima gril “vertical intaglio”, dengan lampu utama LED projektor berkembar, serta corong bawah baharu dengan palang mendatar berbanding rekaan yang lebih sarat pada GT. Walau bagaimana pun lampu kabus LED mirip dengan GT. Lain-lain ciri untuk luaran termasuk lampu belakang kombinasi LED dan roda aloi pelbagai-jejari 17-inci.

    Di dalamnya, kabinnya dilengkapi tempat duduk pemandu berkuasa elektrik dengan fungsi memori, tempat duduk fabrik hitam, brek parkir elektrik, kunci pintar dengan butang penghidup enjin dan sistem infotainmen tujuh-inci dengan fungsi Android Auto dan Apple CarPlay. Malah ia turut dilengkapi dengan Paparan Pandangan Sekeliling 360-darjah yang tidak disertakan pada model Optima EX terdahulu .

    Terdapat tiga pilihan warna iaitu Aurora Black, Snow White Pearl dan Platinum Graphite. Sekali lagi, Optima EX ditawarkan pada harga RM139,888, dan termasuk dengan waranti lima-tahun/tanpa had perbatuan.

    GALERI: KIa Optima GT facelift

     
     
  • Proton X70 – 8,500 unit berjaya diserahkan kepada pelanggan dalam masa 100 hari, catat rekod baharu

    Proton X70 – 8,500 unit berjaya diserahkan kepada pelanggan dalam masa 100 hari, catat rekod baharu

    Nampaknya usaha pemulihan Proton dengan langkah memperkenalkan SUV Segmen-C pada pasaran tempatan berada pada landasan yang betul – seramai 8,500 pelanggan sudahpun menerima Proton X70 mereka walaupun baharu sahaja dilancarkan pada Disember tahun lalu, atau hanya 100 hari selepas masuk ke pasaran secara rasmi.

    Unit yang ke 8,500 telah diserahkan kepada pelanggan hari ini – menjadi milik firma undang-undang Malaysia, Lee Allen Hishammuddin & Gledhill (LHAG). Dengan rekod ini, secara tidak langsung Proton X70 telah mencipta rekod bagi jumlah penghantaran paling banyak dalam segmennya, dan Proton kini telah pun bergelar sebagai salah satu pengeluar utama dalam pasaran SUV di Malaysia.

    Proton X70 – 8,500 unit berjaya diserahkan kepada pelanggan dalam masa 100 hari, catat rekod baharu

    Menurut Proton dalam satu kenyataannya, dengan kadar pertumbuhan jualan kumulatif sebanyak 42% untuk dua bulan pertama tahun 2019, mereka telah mencatatkan kadar pertumbuhan jualan tertinggi di kalangan jenama automotif di barisan ketiga teratas di Malaysia mengikut volum. Pemacu utama kepada peningkatan ini adalah Proton X70, merupakan model paling popular untuk bulan Januari dan Februari (berdasarkan angka pendaftaran rasmi) dan berada di landasan yang tepat untuk mencapai peningkatan sama untuk bulan ketiga berturut-turut.

    “Dengan menyerahkan sebanyak 8,500 unit Proton X70 dalam masa 100 hari, Syarikat telah membuktikan bahawa pembeli-pembeli kereta di Malaysia amat tertarik dengan SUV pertama kami. Kami terharu dengan sokongan daripada mereka dan akan terus berusaha dengan lebih lagi untuk menyerahkan lebih banyak unit secepat mungkin bagi mengurangkan masa menunggu oleh para pelanggan syarikat,” kata CEO Proton, Dr Li Chunrong.

    GALERI: Proton X70 Standard 2WD

    GALERI: Proton X70 Executive 2WD

    GALERI: Proton X70 Executive AWD

    GALERI: Proton X70 Premium 2WD

     
     
  • Tak suka “kereta terbang”, boleh naik “kereta buluh”

    Tak suka “kereta terbang”, boleh naik “kereta buluh”

    Model skala kecil “kereta terbang” yang mula menjadi buat mulut orang ramai selepas muncul di LIMA 2019 semalam mengundang banyak maklum balas dari pelbagai lapisan masyarakat. Dan, selepas melihat model contoh berkenaan, ramai yang agak sinis dengan perkembangan itu – ia bukan prototaip yang pernah disebut-sebut sebelum ini.

    Namun, apa yang lebih menarik ialah cara Menteri Pembangunan Usahawan, Minister Redzuan Yusof yang selalu ke depan untuk menjadi jurucakap kepada hal ini. Kata beliau, “kalau tak gembira dengan kereta terbang, boleh pandu kereta buluh.” Ini yang beliau nyatakan ketika di Parlimen hari ini, seperti dilaporkan oleh The Star.

    “Mereka boleh pilih sama ada untuk bergerak ke hadapan atau kekal ketinggalan. Orang panggil ini penafian, di mana mereka boleh memilih untuk tertinggal di belakang. Ok saja kalau nak duduk bawah buluh. (Kalau mereka) nak naik kereta buluh pun ok juga,” kata beliau.

    Menurut Redzuan, sokongan kerajaan terhadap projek “kereta terbang” secara swasta adalah bertujuan untuk membangunkan model insan di negara ini. “Ia untuk memberikan pendidikan pengetahun kepada mereka. Kita tak mahu kumpulan ini ketinggalan,” jelas beliau.

    Tak suka “kereta terbang”, boleh naik “kereta buluh”

    “Sebenarnya, belia-belia Malaysia di belakang projek ini sudah jauh ke hadapan, dan berada sama tahap dengan orang lain yang mencipta dan melakukan kajian (tentang projek ini) diperingkat antarabangsa,” tambah Redzuan.

    Sebahagian warga Malaysia sebelum ini mempersenda “kereta terbang” berkenaan di media sosial, memerli sama ada unit model skala yang ditunjukkan di Langkawi itu diperbuat menggunakan kipas KDK, sementara yang lain tetap bernada skeptikal dengan apa yang ditunjukkan itu.

    Sementara itu, CEO Aerodyne, Kamarul Muhamed berkata prototaip sebenar kenderaan itu nanti dijangka boleh disiapkan menjelang hujung tahun ini, dengan kos sekitar RM500,000. Aerodyne merupakan sebuah syarikat utama dalam industri perkhidmatan drone dan dinobatkan tangga ke-7 diperingkat antarabangsa oleh Drone Industry Insight.

     
     
  • Mercedes-AMG A 45 – ‘menari’ pada permukaan salji

    Sebelum ini, Mercedes-AMG telah menyiarkan video teaser yang membayangkan model generasi baharu A 45 berasaskan A-Class hatchback generasi W177 telah dilengkapi dengan ‘drift mode’. Manakala menerusi video teaser terbaharu ini, sayap prestasi tinggi jenama Jerman berkenaan sekali lagi mendemonstarsikan kebolehan sistem pacuan semua 4Matic tersebut dengan ‘persembahan tarian’ di atas permukaan salji.

    Penggambaran video ini dilakukan Sweden, di mana dua buah A 45 melakukan aksi drift dengan sudut yang agak besar pada jalan di atas salji dan ais. Kereta-kereta berkenaan juga nampak sangat mudah untuk di kawal dan drift yang dilakukan sempurna mengikut ‘racing line‘ setiap selekoh. Akhir sekali kedua-duanya mempamerkan aksi ‘donut’ secara berhadapan tanpa masalah.

    Aksi tersebut sekali lagi mengesahkan laporan dari CarAdvice sebelum ini yang memetik bahawa boss Mercedes-AMG, Tobias Moers menyatakan lebih tork akan dialirkan pada gandar belakang berbanding model sedia ada dan pemandu boleh memandu secara menggelangsar seperti Mercedes-AMG E 63.

    Mercedes-AMG A 45 – ‘menari’ pada permukaan salji

    Model W177 ini masih menampilkan bentangan sistem yang sama seperti W176 sebelum ini iaitu enjin yang diletakkan menlintang untuk memacu roda hadapan, kemudian diberikan propeller shaft untuk memindahkan tork ke gandar belakang apabila diperlukan. Menerusi aksi yang dipamerkan ini, berkemungkinan tork yang dipindahkan berkenaan adalah melebihi 50% dan sistem 4Matic ini nampaknya semakin serius, seakan sistem-sistem saduran dari perlumbaan rali seperti pada Mitsubishi Lancer Evolution dan Subaru WRX STI.

    Laporan-laporan sebelum ini juga ada menyatakan bahawa Mercedes-AMG A 45 W177 akan menerima kuasa lebih buas dengan bekalan sekitar 400 hp, berbanding enjin 2.0 liter turbo pada A 45 W176 yang menghasilkan 381 hp/475 Nm. Sebelum kuasa dialirkan kepada sistem 4Matic, ia akan melalui kotak gear klac-berkembar automatik DCT lapan-kelajuan terlebih dahulu.

    Dari segi rupa pula, masih lagi agak sukar untuk membezakan ciri-ciri antara model A-Class paling berkuasa ini dengan adiknya, Mercedes-AMG A 35 yang telah pun muncul pada September lalu. Antara perkara yang jelas adalah perbezaan rim dan juga tip ekzos dimana A 35 diberikan tip muffler tunggal pada kedua-dua sisi bampar, manakala A 45 pula diberikan tip berkembar pada kedua-dua tempat yang sama.

    GALERI: Spyshot Mercedes-AMG A 45 W177

    GALERI: Mercedes-AMG A 35 W177

     
     
  • BMW Z4 G29 2019 dipertonton – dijangka RM460,000

    BMW Z4 G29 2019 dipertonton  – dijangka RM460,000

    Semasa pelancaran 3 Series G20 baru hari ini, BMW Malaysia turut melakukan pra tonton istimewa Z4 G29. Model dengan bumbung boleh buka ini pertama kali didedahkan di persada global Ogos tahun lalu, dan varian yang ditunjukkan di Malaysia adalah M40i.

    Ini adalah satu daripada tiga varian yang ada untuk Z4 G29, dengan dua yang selebihnya adalah sDrive20i dan sDrive30i. Z4 M40i dikuasakan oleh enjin 3.0 liter enam-silinder sebaris petrol, dengan kuasa 340 hp dari 5,000 hingga 6,500 rpm dan 500 Nm tork dari 1,600 hingga 4,500 rpm. Pecutan 0-100 km/j pula hanya dalam masa 4.5 saat, dengan laju maksimum 250 km/j. Penggunaan petrol dalam kadar antara 7.4 liter hingga 7.1 liter bagi setiap 100 km.

    Walaubagaimanapun, Malaysia tidak akan menerima varian M40i ini, sebaliknya yang akan dibawa adalah varian sDrive30i, yang dikuasakan oleh enjin 2.0 liter empat-silinder petrol dengan pengecas turbo twin-scroll, berkemampuan 258 hp pada 5,000 hingga 6,500 rpm dan 400 Nm tork dari 1,550 hingga 4,400 rpm. Pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.4 saat, dengan laju maksimum dihadkan secara elektronik pada 250 km/j. Harga jangkaannya adalah sekitar RM460,000.

    Transmisi untuk semua varian adalah sama, iaitu unit Steptronic lapan-kelajuan pacuan roda belakang dan setakat ini belum ada transmisi manual yang ditawarkan. Transmisi berkenaan mempunyai nisbah yang lebih luas, memberikan penukaran gear yang lebih sporty, namun varian M40i mempunyai kelebihan ciri Launch Control.

    Antara kelengkapan standard yang ada pada Z4 G29 ini adalah termasuk casis serba baru, sambungan spring berkembar strut axle di depan, suspensi jenis five-link rear axle di belakang, Dynamic Stability Control (DSC), yang merangkumi ABS, Dynamic Traction Control (DTC), Cornering Brake Control (CBC), Dynamic Brake Control (DBC), Start-Off Assistant serta Fungsi Performance Control yang memberikan kawalan lebih mantap dengan cara menyalurkan tork dalam kadar yang pelbagai kepada roda belakang.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025