Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Toyota Corolla GRMN sah akan di bina – mungkin guna enjin 1.6 liter turbo, tiada janakuasa hibrid

    Toyota Corolla GRMN sah akan di bina – mungkin guna enjin 1.6 liter turbo, tiada janakuasa hibrid

    Sebelum ini, berberapa eksekutif Toyota telah menyuarakan bahawa kemungkinan jenama tersebut akan menghasilkan Corolla berprestasi tinggi berdasarkan versi hatchback generasi baharu. Dan ini sekali lagi perkara itu disuarakan, kali ini giliran penolong ketua pereka Toyota, Toshio Kanei.

    Menurut laporan Autocar New Zealand, eksekutif Toyota berkenaan mengesahkan bahawa hot-hatch Corolla yang akan diberikan lencana Gazoo Racing Master of Nurburgring (GRMN) tersebut kini berada dalam peringkat perancangan awal. Kanei berkata bahawa Toyota sedang menyiasat apa yang terbaik untuk pasaran Eropah, dan Corolla GRMN adalah “sangat realistik”.

    Kanei juga mengesahkan bahawa kereta tersebut tidak akan diberikan janakuasa hibrid, tetapi berkemungkinan ia akan dibekalkan dengan enjin petrol 1.6 liter turbo. Menurutnya, konfigurasi berkenaan nampak sangat menarik.

    Autocar NZ turut menyebut dalam laporan ini bahawa Corolla GRMN mungkin akan muncul pada pertengahan hayat produksinya, dan pembinaan kereta ini sebahagian besarnya akan melibatkan jurutera janakuasa. Toyota juga akan menilai semua pasaran di mana kereta ini akan dijual.

    Toyota Corolla hatchback generasi baharu berkenaan dibina berasaskan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) yang mempunyai ketegaran torsi 60% lebih baik. Ia juga mempunyai pusat graviti lebih rendah yang semestinya memudahkan Gazoo Racing membuat pengubahsuaian tertumpu pada aspek prestasi tinggi.

    Dalam versi standard, Corolla generasi ke-12 versi hatchback tersebut hanya ditawarkan dengan enjin petrol NA empat silinder M20A-FKS 2.0 liter Dynamic Force. Enjin berkenaan ditawarkan dengan pilihan kotak gear automatik Direct-Shift CVT yang lebih responsif dari sebelum ini atau manual enam-kelajuan yang lengkap dengan fungsi rev-match.

    Sejak generasi pertama, Toyota Corolla sering dikaitkan dengan ‘kereta keluarga’, tetapi sebenarnya Corolla sememangnya telah mempunyai varian lebih sportynya sendiri bermula dengan Sprinter KE15 pada tahun 1968, dan yang terakhir pasangan kembar Levin/Sprinter Trueno AE111 pada tahun 2000.

    Ramai yang menjangka sebelum ini Corolla GRMN bakal masuk ke liga hot-hatch segmen-C arus perdana, bagi berhadapan dengan model-model seperti Honda Civic Type R FK8, Volkswagen Golf GTI, Hyundai i30 N dan juga Renault Megane RS. Namun dengan ‘petunjuk’ bahawa ia hanya aka dijana oleh enjin 1.6 liter turbo, adakah ia cukup kuat untuk masuk ke gelanggang tersebut? Malah hot-hatch yang lebih kecil dari Corolla iaitu Yaris GRMN dijana oleh enjin 1.8 liter Supercharged, mampu menghasilkan 205 hp.

    GALERI: Blitz Toyota Corolla Sport Turbo di Tokyo Auto Salon 2019

    GALERI: TOM’s Toyota Corolla Sport di Tokyo Auto Salon 2019

     
     
  • Proton Iriz dan Persona 2019 – apa beza pembaharuan yang dilakukan, dan bagaimana jika wajahnya ditukar?

    Jelas sekarang ini, kita boleh jangkakan pengenalan rasmi bagi dua model adik-beradik dari barisan kenderaan sedia ada keluaran Proton, Iriz dan Persona, dalam masa terdekat ini. Kedua-duanya telah ditunjukkan kepada umum melalui gambar-gambar rasmi awal sebelum ini.

    Tapi, perasan tak ada perbezaan rekaan antara kedua-dua model ini? Walaupun dua-dua berwajah baru, ada kelainan khusus yang membezakan antara Iriz dan Persona. Soalannya, kalau kita tukar wajah depan antara Iriz dan Persona, macam mana agaknya rupa kereta-kereta ini?

    Itulah yang akan kita lihat dalam artikel ini. Mulakan dari depan. Walaupun kedua-duanya memang tampil dengan wajah depan yang berbeza, dalam gambar ini Iriz menerima lampu depan reflektor halogen dari Persona, menggantikan unit projektornya.

    Bahagian atas gril menjadi perbezaan ketara antara keduanya, dengan rekaan yang sama sekali berlainan, terutama jalur krom yang menghubungkan lampu. Kedua-duanya kini menampilkan rekaan “Ethereal Bow” yang digunakan ketika ini.

    Bezanya, jalur krom Persona melingkari bahagian gril, manakala pada Iriz elemen yang sama pula terarah kepada logo Proton di tengah-tengah. Corak “Infinite Weave” pada gril berkenaannya ada sedikit perbezaan, dengan elemen yang lebih nipis pada Iriz.

    Rekaan bampar pula nampak sama, dengan tiga ruang masukan udara di bawah serta DRL LED yang melintang (pertama bagi Persona). Iriz juga menerima spoiler hitam di depan dengan sedikit kemasan krom, sementara Persona menerima elemen dalaman bentuk U hitam berkilat pada bucu bukaan masukan udaranya.

    Perbezaan rekaan semula paling ketara tentulah pada bahagian belakang, walaupun kedua-duanya hadir dengan tulisan Proton yang lebih berjarak antara hurufnya. Iriz juga menerima bahagian hitam berkilap pada pintu ruang barangannya, menampakkan cermin belakang seperti lebih lebar.

    Bampar ini turut menerima profil baru, dengan rekaan bahagian bawah bampar belakang yang lebih sporty, lengkap dengan rekaan corong udara hiasan di bucu. Panel hitam juga kini lebih besar, menempatkan nombor plat dan rekaan ala diffuser ke bawah. Persona pula sebaliknya mempunyai rekaan bampar belakang yang lebih ringkas; dihiasi paling ketara dengan pengunaan jalur krom melintang yang ada.

    Rekaan rim baru dwi-tona warna melengkapi imej baru kedua-dua model ini – rekaan bilah pada Iriz, manakala Persona dengan rekaan jejari berkembar. Selain itu, kedua-dua kereta ini nampak gayanya akan ditawarkan dengan pilihan warna baru – Iriz juga mungkin kekal dengan pilihan bumbung hitam untuk varian paling tinggi.

    Di dalam, pembaharuan yang sama diberikan kepada keduanya. Kluster instrumen rekaan baru dengan jarum-jarum yang lebih kemas dan mudah dilihat (110 km/j kini pada kedudukan pukul 12). Lingkaran warna perak memberikan kemasan tambahan pada bahagian ini, dengan jenis muka huruf yang sama pada X70. Penunjuk bahan api dan suhu minyak juga dalam bentuk digital yang baru.

    Lain-lain pembaharuan termasuk tombol gear dari X70, cermin pandang belakang tanpa bingkai serta fabrik tempat duduk yang diperbaharui bagi Persona (Iriz masih dengan rekaan berjalur). Skrin sentuh dan sistem tunjuk arah juga baru, dibangunkan bersama dengan syarikat ECARX dari China – yang turut membangunkan Geely Smart Ecosystem (GKUI) pada X70.Bagi Persona, bahagian bawah papan pemukanya, terowong transmisi serta panel pintu adalah berwarna biege.

    Manakala pada Iriz, semuanya hitam. Selain itu Theophilus Chin juga telah menukar wajah antara keduanya, seperti yang dapat anda lihat dalam gambar terakhir ini. Dalam dunia nyata, ini tidak sukar untuk dilakukan kerana Iriz dan Persona berkongsi rekaan yang sama. Mana satu pilihan anda?

     
     
  • Zero Motorcycles SR/F – motosikal elektrik dengan laju maksimum 200 km/j, cas penuh dalam masa 1.5 jam

    Zero Motorcycles SR/F – motosikal elektrik dengan laju maksimum 200 km/j, cas penuh dalam masa 1.5 jam

    Satu lagi motosikal elektrik mula memasuki pasaran antarabangsa, iaitu Zero Motorcycles SR/F 2019, dengan harga yang bermula USD 18,999 (RM77,350). Menurut syarikat pengeluarnya yang berpusat di California, motosikal ini boleh mencapai kelajuan maksimum sehingga 200 km/j dan baterinya boleh dicas daripada kosong ke 95% dalam masa satu jam sahaja, bergantung kepada pakej yang dipilih.

    Kuasa penggerak SR/F datang daripada motor permanent magnet penyejukan udara Z-Force 75-10, yang mampu menghasilkan kuasa 110 hp pada 5,000 rpm dan 189 Nm tork sebaik pendikit dipulas. Motor elektrik ini mendapat tenaga daripada bateri lithium ion yang didatangkan dalam dua pilihan iaitu 6.0 kW ataupun 3.0 kW, dengan kapasiti maksimum 14.4 kWh.

    Menurut Zero Motorcycles lagi, apabila menggunakan pek bateri 6.0 kW, motosikal ini boleh dicas penuh dalam masa 2.5 jam, manakala pek bateri 3.0 kW pula akan mengambil masa 4.5 jam. Walaubagaimanapun, apabila menggunakan pengecas Rapid Charge yang disediakan sebagai pilihan tambahan, bateri 6.0 kW dan 3.0 kW masing-masing boleh dicas penuh dalam masa 1.5 jam dan 1.8 jam.

    Zero Motorcycles SR/F – motosikal elektrik dengan laju maksimum 200 km/j, cas penuh dalam masa 1.5 jam

    Daripada motor, kuasa disampaikan ke roda belakang melalui sistem tanpa klac dan tali sawat karbon HTD. Mengikut Zero Motorcycles, apabila SR/F dipasang dengan Power Tank (pilihan tambahan), ia boleh digunakan bagi perjalanan sehingga 321 km (259 km jika dalam bandar).

    Walaubagaimanapun, tanpanya, motosikal ini hanya boleh pergi 159 km pada kelajuan 89 km/j di atas lebuh raya, dan apabila digunakan pada kelajuan 113 km/j, jaraknya turun lagi menjadi 131 km. Paling baik, ia boleh mencatat 175 km dalam keadaan 50/50 antara dalam bandar dan lebuh raya.

    Berat SR/F dalam keadaan standard adalah 207 kg, manakala dalam spesifikasi premium, ia menjadi 225 kg. Tinggi tempat duduk pula adalah 790 mm, manakala suspensi hadapan menggunakan unit fork Showa Big Piston Separate Function 43 mm yang boleh dilaras sepenuhnya dan di belakang menggunakan monoshock, juga boleh laras, daripada Showa.

    Zero Motorcycles SR/F – motosikal elektrik dengan laju maksimum 200 km/j, cas penuh dalam masa 1.5 jam

    Pemilik boleh menggunakan motosikal ini dalam empat mod tunggangan – Street, Sport, Eco dan Rain – dengan tambahan 10 lagi mod yang boleh dilaras untuk mengikuti kegemaran penunggang. Pada bahagian kokpit, terdapat skrin TFT-LCD lima inci warna penuh, yang boleh disambung dengan aplikasi Cypher III, seterusnya membenarkan telefon pintar penunggang disambungkan kepada sistem itu untuk mengetahui waktu pengecasan, navigasi dan status motosikal.

    Di Amerika Syarikat, dua versi Zero Motorcycles SR/F 2019 ditawarkan, iaitu Standard pada harga USD 18,999 (RM77,350), manakala versi Premium yang datang dengan penghadang angin kecil di hadapan, pemanas tangan serta hujung bahagian pemegang aluminium dijual pada harga USD 20,995 (RM85,496).

     
     
  • Kereta terbang pertama M’sia akan dipacu teknologi tempatan, prototaip muncul tahun ini – Menteri

    Kereta terbang pertama M’sia akan dipacu teknologi tempatan, prototaip muncul tahun ini – Menteri

    Adakah kereta terbang yang pernah dibayangkan bakal muncul seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak menerusi aspirasi Wawasan 2020 akan direalisasikan? Adakah ia bukan omong kosong atau pun ‘coooobaaan’, sebaliknya akan diperkenalkan tidak lama lagi? Cubit pipi anda kiri dan kanan (nak cubit pipi orang rumah pun boleh juga)…ini bukan main-main, tapi inilah kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Redzuan Md Yusof, yang mengesahkan kereta terbang pertama Malaysia akan dipacu oleh teknologi tempatan.

    Seperti yang dilaporkan Bernama, Redzuan berkata, prototaip kereta itu sudah ada dan dijangka diperkenalkan kepada awam tahun ini. Malah menambah, kereta itu adalah selamat dan berupaya terbang pada altitud rendah dan pada kelajuan munasabah.

    “Tahun ini adalah sasaran yang realistk kerana kita sudah ada teknologinya. Semua ini tentang kecepatan pelaksanaan. Pelaburan untuk membina prototaip lebih sedikit daripada RM1 juta,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Kereta terbang pertama M’sia akan dipacu teknologi tempatan, prototaip muncul tahun ini – Menteri

    Terrafugia Transition yang diperkenalkan oleh Geely

    Menurutnya, projek kereta terbang adalah cara untuk kerajaan mewujudkan persekitaran yang mendorong rakyat untuk memikirkan tentang teknologi baharu.

    Sambungnya lagi, “Kami menyediakan pemangkin dan ekoistem bagi merangsang rakyat untuk berfikir melangkaui apa yang kami lakukan hari ini. Malah projek itu juga bagi memanfaatkan keupayaan negara dalam sektor aeroangkasa, dron, kenderaan tanpa pemandu (UAV) dan automotif.

    “Malaysia mempunyai kepakaran untuk cemerlang dalam bidang aeroangkasa, dron, UAV dan kereta nasional, dan kita perlu menggunakan kemahiran kita kerana apa yang penting adalah kita mahu menjadi negara pengeluar,” katanya.

    Bagaimanapun, beliau berkata projek itu berasingan daripada projek kereta nasional ketiga yang diilhamkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

     
     
  • Kit untuk menyumbat enjin 2JZ-GTE ke perut Toyota GR Supra A90 kini sudah boleh ditempah di CX Racing

    Kit untuk menyumbat enjin 2JZ-GTE ke perut Toyota GR Supra A90 kini sudah boleh ditempah di CX Racing

    Ok, ramai yang tak puas hati Toyota GR Supra A90 pakai enjin BMW kan? Ramai yang “rindu zaman 2JZ” kan? Nah, tak sampai sebulan Supra generasi baharu berkenaan diperkenalkan pada peringkat global, penala dari Amerika Syarikat, CX Racing telah pun mengumumkan bahawa mereka bakal menghasilkan kit untuk anda menyumbat enjin 2JZ-GTE dari Toyota Supra JZA80, dan tempahan sudah pun dibuka sekarang untuk mereka yang berminat.

    CX Racing masih lagi belum mengeluarkan sebarang perincian apa yang terkandung dalam ‘swap-kit‘ berkenaan, dan cuma menyiarkan imej mock-up sebuah Supra A90 dengan enjin 2JZ-GTE. Namun jika dilihat dari kit-kit yang mereka sediakan untuk model-model lain, ia terdiri dari set cagak enjin, cagak transmisi dan juga header untuk sistem ekzos.

    Enjin 2JZ-GTE adalah enjin yang menjana Toyota Supra generasi keempat. Ia mempunyai asas yang hampir sama dengan enjin BMW B58 yang menjana Supra generasi kelima (berkongsi dengan BMW Z4) iaitu berkapasiti 3.0 liter, enam silinder turbo (turbo berkembar pada 2JZ). Dalam keadaan standard, 2JZ-GTE menghasilkan 325 PS untuk pasaran Amerika dan Eropah.

    Supra generasi baharu A90 dibekalkan dengan kuasa 340 PS/500 Nm, jadi apa keperluan untuk menggunakan enjin dari era 90’an pada perut kereta lebih moden ini? Sejak diperkenalkan, 2JZ-GTE sentiasa menjadi bahan uji kaji ramai penala dari seluruh dunia. Jadi peralatan prestasi untuk enjin ini sudah banyak dipasaran. Untuk mendapatkan 1,000 hp dari enjin tersebut bukanlah satu perkara pelik pada masa sekarang.

    Toyota GR Supra A90 (kanan) dan Toyota Supra JZA80 (kiri)

    Kuasa yang sama masih boleh dijana oleh enjin baharu dari BMW tersebut, tetapi pastinya ia lebih sukar pada masa sekarang kerana pengeluar-pengeluar masih perlu menjalankan pelbagai proses R&D bagi menghasilkan komponen-komponen tingkat-tarafnya.

    Sebenarnya sebelum Supra A90 ini diperkenalkan secara rasmi, ketua jurutera kereta berkenaan iaitu Tetsuya Tada telahpun meramalkan bahawa akan ada pemilik yang akan menyumbat enjin 2JZ pada model baharu tersebut. Jadi Tada mencadangkan agar mereka yang berminat untuk melakukan projek sedemikian agar membeli Supra dari versi asas, dijana enjin 2.0 liter empat-silinder turbo berkuasa hanya 197 PS/320 Nm.

    Selain dari model paling rendah dan paling tinggi, Toyota GR Supra A90 juga hadir dengan versi pertengahan, dijana enjin 2.0 liter yang sama, tetapi ditala dengan kuasa 258 PS/400 Nm.

    UMW Toyota juga sudah mengesahkan bahawa mereka bakal membawa Supra A90 ini kepasaran Malaysia tahun ini, namun spesifikasi dan varian yang akan kita terima masih lagi belum jelas.

    GALERI: Toyota GR Supra A90

     
     
  • ECRL diteruskan jika sesuai dengan harganya – Tun M

    ECRL diteruskan jika sesuai dengan harganya – Tun M

    Buat setakat ini, Projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) masih belum dapat kata putus daripada kerajaan setelah ia dimaklumkan pernah terbatal sebelum ini. Walau bagaimana pun, terkini, Perdana Menteri Tun Mahathir berkata, ECRL hanya akan diteruskan sekiranya harga yang ditawarkan bersesuaian.

    “Ketika ini, Malaysia tidak bersetuju dengan harga yang ditawarkan dan berharap untuk mengeluarkan perbelanjaan kurang daripada kos sebelum ini (yang ditawarkan) iaitu lebih RM55 bilion. Bukan kita tidak mahu meneruskan projek itu kerana ketika ini kita tidak mempunyai wang berkenaan. Kita perlu 30 tahun untuk membayar balik pinjaman dan kita akan dibebankan dengan faedah yang banyak dan akhirnya membayar sehingga RM140 bilion ,” ujarnya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.

    Kerajaan dijangka akan mengadakan rundingan dengan kontraktor ECRL, China Communications Construction Company (CCCC) yang dijadualkan minggu ini.

    Dr Mahathir berkata, kerajaan kini perlu membelanjakan kewangan negara dengan baik berikutan hutang yang banyak termasuk yang membabitkan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

    Katanya, semua hutang berkenaan ditanggung sejak pentadbiran sebelum ini.

    “Dan sekarang, sudah tentu mereka (pembangkang) memberitahu kita bagaimana nak mentadbir negara, tetapi ketika mereka mentadbir negara, mereka tidak melakukan kerja yang baik, mereka menanggung begitu banyak hutang yang menyebabkan negara perlu membelanjakan semua pendapatan untuk membayar hutang atau kita mungkin dikenakan tindakan muflis,” katanya.

     
     
  • Volvo Cars Malaysia buka pusat 3S Setia Alam secara rasmi – dioperasikan oleh Motion Beyond Sdn Bhd

    Volvo Cars Malaysia buka pusat 3S Setia Alam secara rasmi – dioperasikan oleh Motion Beyond Sdn Bhd

    Bagi memberikan capaian lebih mudah kepada pemilik Volvo di Setia Alam dan Klang, Volvo Cars Malaysia (VCM) secara rasmi membuka fasiliti 3S terbaharunya yang terletak di Setia Avenue, Setia Alam. Pusat 3S yang terletak di kawasan strategik berkenaan dioperasikan oleh satu lagi pengedar baharu VCM iaitu Motion Beyond Sdn. Bhd.

    “Sejak kami mulakan pelan transformasi, kami nampak galakan luar biasa dari pelanggan berdasarkan tinjauan yang dijalankan. Sebagai jenama yang bersandarkan masyarakat, ini merupakan penunjuk yang penting bahawa kami sedang menuju kearah yang betul,” kata Lennart Stegland, Pengarah Urusan VCM.

    Sehingga kini VCM mempunyai 11 pengedar di seluruh negara, dengan lima daripadanya beroperasi untuk pelanggan-pelanggan di Kuala Lumpur dan Lembah Klang. Usaha syarikat berkenaan tidak akan terhenti setakat ini kerana mereka berminat untuk membuka lebih banyak fasiliti di kawasan lain dalam negara, terutamanya di kawasan-kawasan yang masih belum diteroka.

    Volvo Cars Malaysia buka pusat 3S Setia Alam secara rasmi – dioperasikan oleh Motion Beyond Sdn Bhd

    “Perkara yang paling penting untuk kami adalah untuk mendapatkan pengedar-rakan kongsi kompeten yang bersungguh dengan jenama dan memastikan bahawa mereka mewakili jenama dengan cara yang betul secara konsisten – ini janji kami kepada pelanggan,” tambah Stegland.

    Motion Beyond sudahpun berada 15 tahun dalam industri automotif. Untuk fasiliti 3S di Setia Alam ini, ia sudahpun mencapai standard bilik pameran dan servis global Volvo iaitu standard Volvo Retail Experience (VRE).

    Bilik pameran berkenaan lengkap dengan lounge untuk pelanggan dan juga studio bagi memudahkan pilihan warna, opsyen dan aksesori yang diperlukan untuk pembeli kereta baharu Volvo. Manakala untuk servis, pusat ini mempunyai tiga ruang kerja untuk menyelesaikan tugas-tugas menyelenggara dan pembaikkan.

    Bilik pameran Volvo Setia Alam dibuka bermula pukul 9 pagi hingga 7 petang untuk Isnin hingga Sabtu, dan dari pukul 10 pagi hingga 5.30 petang pada hari Ahad dan cuti am. Manakala pusat servis pula beroperasi bermula 9 pagi hingga 5 petang dari Isnin hingga Sabtu, dan tutup pada hari Ahad serta kelepasan am.

     
     
  • Pemilik Proton X70 mulakan perjalanan 13,000 km ke Hangzhou – rentas 4 negara, 13 kota dalam 33 hari

    Pemilik Proton X70 mulakan perjalanan 13,000 km ke Hangzhou – rentas 4 negara, 13 kota dalam 33 hari

    Sebanyak 10 buah Proton X70 telah memulakan perjalanan jarak jauh hari ini, dengan jarak 13,000 km melalui empat buah negara. Bakal merentasi sempadan Malaysia, Thailand, Laos dan China, kembara ini menuju ke ibu pejabat Geely di Hangzhou, China – dan singgah di 13 kota di antaranya.

    Akan mengambil masa selama 33 hari, kumpulan ini membiayai sendiri perjalanan mereka – bagi kos penginapan dan bahan api serta perbelanjaan lainnya. Proton terlibat dalam menyediakan sokongan teknikal dan servis kenderaan yang terlibat, selain selaku pemudah cara bagi melicinkan lagi perjalanan itu.

    Pemilik Proton X70 mulakan perjalanan 13,000 km ke Hangzhou – rentas 4 negara, 13 kota dalam 33 hari

    Untuk hari pertama kembara, konvoi ini akan bermalam di Hatyai terlebih dahulu. Pusingan penuh kembara ini nanti akan berakhir di kilang Proton Tangjung Malim. Konvoi ini dianjurkan oleh Borneo Automobile Leisure Touring Team. Bagi Proton, secara tidak langsung ini peluang yang baik untuk mempromosi jenama Proton serta SUV pertama keluarannya dirantau ini melalui kembara ini.

    Mereka dijangka tiba di Hangzhou pada 12 Mac nanti, dan mengakhiri perjalanan panjang ini di Tangjung Malim pada 28 Mac. Semua Proton X70 yang terlibat adalah milik persendirian semua peserta yang ikut serta. Semoga perjalanan mereka lancar dan selamat pulang ke tanah air.

     
     
  • Peugeot 208 2019 hadir dengan model elektrik 340 km

    Peugeot 208 2019 hadir dengan model elektrik 340 km

    Nampak gayanya pasaran hatchback segmen-B kian sibuk tahun ini, dengan beberapa model baharu dijadualkan akan diperkenalkan pada 2019. Antara yang terawal diperkenalkan di pasaran ialah Peugeot 208, yang direka semula untuk bersaing dengan model terkini Volkswagen Polo dan Ford Fiesta.

    Ia dibangunkan dengan senibina Common Modular Platform (CMP) terbaharu dari PSA Group, dan ini merupakan pertama kali ia direka dengan elektrifikasi selengkapnya.

    Bercerita tentang gaya penampilannya, ia hadir dengan kebanyakan sudut rekaannya yang dipinjamkan dari sedan 508 baharu . Dengan model yang lebih besar, lampu utamanya tampil dengan pencahayaan yang lebih dramatik untuk mencapai keseluruhan tinggi bampar, dan sesetengah varian turut menerima lampu “three-claw” LED penuh. Gril enam-poin besar turut ditampilkan memberikan pandangan yang lebih tajam, dengan padanan corong udara berbentuk-U dan logo 208 di atasnya.

    Peugeot 208 2019 hadir dengan model elektrik 340 km

    Untuk cermin hadapannya, ditolak sedikit ke belakang untuk memberikan hadapan yang lebih panjang bagi 208 ini, dengan sisi yang bersimbah dengan tingkap cahaya yang separa menegak memberikan pandangan yang lebih menguja. Malah kehadiran gerbang roda hitam pada versi GT Line dan GT, didatang dengan roda aloi 17-inci.

    Manakala bahagian belakangnya pula, kelihatan panel hitam bersaiz penuh, seperti yang ditampilkan pada 508, 3008 dan 5008, dengan lampunya yang sama, turut memiliki rekaan “three-claw”. Plat nombornya pula telah dipindahkan ke bampar, yang turut kelihatan diffuser hitam berkilat dengan paip ekzos berkembar.

    Pilihan warna pula kini dihadirkan dengan kuning Faro metalik, biru Vertigo dengan tiga lapisan coating dan merah Elixir. Kini hanya versi lima-pintu sahaja yang ditawarkan, tiada lagi model tiga-pintu.

    Peugeot 208 2019 hadir dengan model elektrik 340 km

    208 yang mula memperkenalkan konsep dalaman Peugeot i-Cockpit, dan model yang terkini telah mengangkat keseluruhan tahap baharu. Masih kelihatan kluster instrumen yang ditempatkan sedikit tinggi di atas roda stereng, tetapi kini ditampilkan dengan paparan digital tiga-dimensi golografik sebagai pilihan.

    Turut ditampilkan dengan skrin sesentuh tegah yang besar, didapati dengan versi lima-, tujuh- dan 10-inci, bergantung pada varian. Pembeli juga boleh memilih navigasi TomTom, fungsi Mirror Screen yang menyokong MirrorLink, Apple CarPlay dan Android Auto, serta empat soket USB – termasuk satu untuk Type C.

    Peugeot turut memperkenalkan beberapa ruang storan ekstra, termasuk satunya pada konsol tengah di mana anda boleh mengecas telefon bimbit secara tanpa wayar atau meletakkan barangan kecil di dalamnya. Papan pemuka sentuhan lembut pula ditampilkan di rak kedua bagi model Active dan yang ke atas.

    Peugeot 208 2019 hadir dengan model elektrik 340 km

    Untuk aspek keselamatan, 208 didatangkan dengan teknologi terkini, termasuk brek kecemasan sendiri (dengan pengesan pejalan kaki dan penunggang basikal pada waktu siang dan malam), kawalan kelajuan aktif (dengan stop-go untuk model automatik), bantuan posisi lorong, bantuan kekal lorong aktif, bantuan parkir penuh, pemantauan titik buta, pengesan isyarat trafik dan lampu tinggi auto. Malah brek parkir elektronik juga telah menggantikan brek tangan manual.

    Peugeot berkata dengan senibina CMP, syarikat ini mampu mengehadkan emisi karbon dioksida bagi 208, hasil pengurangan berat sehingga 30 kg, menambahbaik aerodinamik, mengurangkan rintangan olengan, dan mengoptimakan penjana kuasa. Ia turut mendakwa tahap getaran dan bunyi bising juga dapat dikurangkan untuk kereta ini.

    Barisan enjin juga telah dicantas, dengan hanya ada satu enjin petrol yang ditawarkan – 1.2 liter PureTech tiga-silinder dengan menawarkan 75 hp, 100 hp dan 130 hp, semua dengan fungsi start/stop automatik dan dipadankan sama dengan kotak gear manual lima-kelajuan (74 hp), manual enam-kelajuan (100 hp) dan auto baharu lapan-kelajuan (100 hp, 130 hp). Dalam sesetengah pasaran (mungkin pasaran kita juga), ia turut menawarkan kotak gear auto enam-kelajuan.

    Peugeot 208 2019 hadir dengan model elektrik 340 km

    Untuk yang memilih varian diesel, ditawarkan dengan enjin 1.5 liter BlueHDi empat-silinder 100 hp, dan berita yang paling gempak sekali, Peugeot turut menawarkan versi elektrik yang dipanggil e-208. Ia mampu menghasilkan 136 hp dan tork 260 Nm dari motor elektrik tunggal, memberikan pecutan sifar ke 100 km/j dalam 8.1 saat dan paling mengujakan ia mampu mencapai sehingga jarak 340 km, dengan kiyaran WLTP.

    Dengan bateri 50 kWh, ia memiliki 200 liter volume, yang ditempatkan di bawah lantai tanpa kompromi dengan ruang dalaman dan but. Pengecasan sekitar 16 jam menerusi soket domestik, atau lima jam 15 minit dengan wallbox tiga-fasa 11 kW (lapan jam untuk fasa-tunggal 11 kW). Sebagai alternatif, pemandu boleh menggunakan pengecas awam 100 kW yang mampu menyalurkan 80% untuk pengecasan dalam 30 minit.

    e-208 dilengkapi dengan gril sama warna dengan badan, lencana singa biru, aloi 17-inci dengan kemasan unik dan upholstery kelabu Alcantara/Greval sentuhan 3D.

     
     
  • Volkswagen Transporter T6.1 – ada pilihan model EV

    Volkswagen Transporter T6.1 – ada pilihan model EV

    Volkswagen baru saja menunjukkan Transporter T6.1 facelift, yang memberikan model komersial generasi keenam tersebut dengan beberapa peningkatan sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 2015. Sebagai permulaan, model standard kini datang dengan tingkap kuasa elektrik, central lock, cermin sisi boleh laras secara elektrik berserta pemanas dan juga muka yang baru yang lebih serasi dengan model-model lain Volkswagen.

    Di bahagian depan, Transporter T6.1 ini mendapat bukaan udara lebih besar, yang menurut Volkswagen memang adalah sesuatu yang diperlukan bagi enjin masa kini. Semua lampu utama, lampu siang serta lampu belakang jenis LED model ini telah direka semula dan pelanggan mempunyai lebih banyak pilihan warna badan. Warna di dalam gambar ini diambil daripada model Multivan (atau Caravelle), yang akan digunakan sebagai asas untuk campervan T6.1 California.

    Di bahagian dalam, bahagian papan pemuka telah direka semula dan dimasukkan dengan sistem infotainmen terbaru MIB3, berserta Discover Media lapan inci dan skrin sesentuh Discover Pro 9.2 inci. Lebih menarik, head unit yang lebih tinggi daripada pilihan Composition Colour 6.5 inci akan mempunyai eSIM bersepadu, yang memboleh pengguna membuat panggilan. Ciri eSIM ini juga membawa sekali fungsi “Volkswagen We” dan menawarkan radio internet, stream lagu serta arahan suara (bergantung kepada pasaran).

    Di hadapan pemandu, terdapat kokpit digital 10.25 inci boleh laras, bagi model bermula daripada Multivan Highline. Kemudahan lain yang disediakan adalah App Connect, pengecas Qi tanpa wayar untuk telefon pintar, sambungan Apple CarPlay tanpa wayar dan juga soket kuasa 230 volt berhampiran tempat duduk pemandu.

    Untuk sumber kuasa, semasa pelancaran, Transporter T6.1 diperkenalkan dengan enjin empat silinder TDI 2.0 liter, yang datang dalam beberapa talaan – 90 PS untuk yang asas, diikuti 110 PS dan paling tinggi 199 PS (bi-turbo dan kotak gear DSG). Model pertengahan dengan kuasa 150 PS juga ada ditawarkan, dan ia boleh didapati dengan kotak gear DSG klac berkembar serta sistem pacuan semua roda.

    Sebagai alternatif, T6.1 juga nanti akan ditawarkan sebagai kenderaan tanpa emisi, dan dibangunkan bersama dengan ABT. Ia nanti akan menggunakan motor elektrik 112 PS, dan dikuasakan oleh pilihan bateri sama ada 38.8 kWh atau 77.6 kWh. Bateri 77.6 kWh ini mampu memberikan jarak gerak lebih 400 km (berdasarkan kitaran NEDC), sekaligus menurut Volkswagen, menjadikan ia sesuai untuk kerja komersial dalam dunia urban.

    Dalam aspek keselamatan, van ini sekarang datang dengan Cross Wind Assist secara standard. Melalui sistem ini, apabila terdapat angin lintang yang kuat secara tiba-tiba, pergerakan kenderaan secara automatik akan distabilkan. Melalui stereng kuasa elektromekanikal baru pula, sistem Lane Assist pada van ini dapat disambungkan dengan pembetulan input stereng apabila diaktifkan. Ciri keselamatan lain yang ada adalah termasuk Rear Traffic Alert, Trailer Assist (berat treler maksimum 2,500 kg), Park Assist, kamera belakang dan pengenalan tanda jalan.

     
     
  • GPX Racing Gentleman 200 dan Demon 150 GR kini dijual di Malaysia – harga RM10,978 dan RM9,800

    GPX Racing Gentleman 200 dan Demon 150 GR kini dijual di Malaysia – harga RM10,978 dan RM9,800

    Dua model motosikal dari Thailand iaitu GPX Racing Gentleman 200 dan GPX Racing Demon 150 GR kini sudah dijual di Malaysia dengan harga RM10,978 untuk Gentleman 200 yang bergaya retro dan RM9,800 untuk Demon 150 GR yang bergaya sports (tidak termasuk insurans).

    Kuasa untuk Gentleman 200 datang daripada enjin empat strok satu silinder 197 cc dengan kotak gear enam kelajuan, dan ia mampu menghasilkan kuasa 20 hp, tork 18 Nm dan laju maksimum 135 km/j. Bagi membantu pemilik menikmati kuasa ini, ia didatangkan dengan tayar Pirelli bersaiz 110/70 di hadapan dan 140/70 di belakang manakala berat pula cuma 160 kg.

    Kelengkapan lain yand ada pada motosikal ini adalah termasuk tangki bahan api 12 liter, sistem bahan api karburetor, fork USD tanpa larasan di hadapan, monoshock YSS di belakang, brek cakera berkembar di hadapan, tinggi tempat duduk 730 mm, panel instrumen LCD berwarna serta rim 17 inci jenis spoked.

    Demon 150 GR pula dikuasakan oleh enjin satu silinder empat strok 149 cc dan ia mempunyai gaya seakan sebuah superbike Ducati Panigale. Model ini juga didatangkan dengan fork jenis USD di hadapan manakala di belakang ia menggunakan monoshock daripada YSS.

    Berat Demon 150 GR cuma 133 kg, dan ia menyediakan tinggi tempat duduk 780 mm, tangki bahan api lapan liter, rim 14 inci, tayar 120/70 di hadapan dan 140/70 di belakang, panel paparan LCD monochrome, lampu siang, lampu LED di belakang dan juga pengecas USB 5 volt.

    GALERI: GPX Racing Gentleman 200

    GALERI: GPX Racing Demon 150 GR

     
     
  • Proton Persona facelift – gambar rasmi mula ditunjuk

    Proton Persona <em>facelift</em> – gambar rasmi mula ditunjuk

    Proton telah mendedahkan beberapa gambar terawal model Persona facelift. Model ini dijangka akan dilancarkan tahun ini, bersama dengan Iriz yang telah pun mula didedahkan awal Februari lalu.

    Pembaharuan luaran Persona nampaknya agak ketara, mengikut sentuhan rekaan yang diwarisi daripada SUV X70 dan juga Iriz. Di depan, gril baru memberi penampilan segar, dengan pendekatan rekaan yang sama pernah dilihat pada model X70 sebelum ini – dan nampak lebih kemas serta menonjol berbanding pada Iriz.

    Proton Persona <em>facelift</em> – gambar rasmi mula ditunjuk

    Bahagian bampar Perosna juga turut menerima rekaan yang dikemaskini. Perhatikan bahagian bawah bamparnya, kini dilengkapi oleh bukaan udara serta bahagian dalam bentik trapezoid dengan tujuan yang sama. DRL LED pula ada terletak di kedua-dua belah sisinya.

    Di belakang, nama Proton kini terbentang besar dan memenuhi pada pintu ruang barangannya; ini bukan baru, kita pernah melihat pendekatan yang sama pada X70 dan juga Iriz. Sama seperti di depan, bahagian bawah bampar ini juga hadir dengan rekaan baru. Lain-lain pembaharuan termasuk antena “sirip jerung” dan rekaan rim 15-inci yang baru.

    Proton Persona <em>facelift</em> – gambar rasmi mula ditunjuk

    Ruang dalam menyaksikan pembaharuan yang sama seperti yang diterima oleh Iriz. Ini termasuk paparan multi-info dengan warna pada panel instrumen. Sistem infoitainmen dengan skrin sentuh juga ada, dibangunkan oleh Proton dan syarikat China eCarX – pihak yang sama membangunkan antaramuka GKUI pada X70.

    Selebihnya, pilihan akses capaian serta fungsi voice command juga tersedia. Tombol gear kini kelihatan lebih mirip dengan rekaan tombol X70, serta corak baru yang lebih menarik pada tempat duduknya. Apa tanggapan anda tentang Persona facelift ini?

     
     
  • Volvo dedahkah sistem hibrid ringkas ‘B’ baharu untuk model petrol dan diesel – 15% lebih jimat dan hijau

    Volvo dedahkah sistem hibrid ringkas ‘B’ baharu untuk model petrol dan diesel – 15% lebih jimat dan hijau

    Volvo seperti diketahui kini mempunyai sistem plug-in hibrid penuh yang digelar Twin Engine (T5, T6 dan T8). Pada sesi pengenalan SUV XC90 versi facelift, jenama Sweden tersebut turut mengumumkan mereka akan memperkenalkan sistem hibrid ringkas berberapa bulan akan datang.

    Sistem ini hadir dengan lencana ‘B’ seperti B4, B5 dan B6, dan ia akan digandingkan sama ada pada enjin petrol atau enjin diesel. Menurut Volvo, sistem hibrid ringkas mereka ini akan dikuasakan oleh bateri yang menerima suapan dari sistem advanced kinetic energy recovery braking.

    Ia akan beroperasi bersama sistem brake-by-wire terbaharu, membolehkan tenaga dapat dicas semula semasa membrek, dan ini membolehkan penggunaan bahan api dijimatkan dan pencemaran direndahkan pada kadar 15% pada pemanduan dunia sebenar.

    Volvo dedahkah sistem hibrid ringkas ‘B’ baharu untuk model petrol dan diesel – 15% lebih jimat dan hijau

    Unit janakuasa ini akan mula diperkenalkan pada XC90 facelift, yang akan diperkenalkan dalam versi B5, dijana dengan pilihan enjin petrol dan diesel, manakala XC90 B6 menerima sistem hibrid ringkas digabungkan dengan enjin petrol sahaja. XC60 juga akan ditawarkan unit janakuasa B5 dan B6, serta bonus pilihan lebih kecil iaitu B4.

    Menurut Volvo, untuk versi B5 ia hadir sama ada dengan pacuan hadapan atau pacuan semua roda. Buat masa sekarang, hanya spesifikasi teknikal untuk versi diesel B5 sahaja didedahkan, iaitu enjin diesel 2.0 liter empat silinder dengan pengecas turbo berkembar, berupaya menghasilkan 235 PS pada takat 4,000 rpm, serta tork maksima 480 Nm bermula 1,750 hingga 2,250 rpm.

    Enjin berkenaan digandingkan bersama kotak gear AWF8G55 lapan-kelajuan automatik, membolehkan XC90 B5 memecut dari pegun hingga 100 km/j dalam masa 7.6 saat, sebelum mencapai kelajuan maksima 220 km/j. Motor elektrik pada sistem hibrid ringkas ini membekalkan kuasa 14 PS dan tork maksima 40 Nm ketika diperlukan.

    Volvo mula membangunkan kinetic energy recovery system (KERS) versi mereka ini sejak 2011. Sistem rekaan Volvo ini berbeza dengan sistem hibrid ringkas lain yang menggunakan unit starter-generator yang digerakkan oleh aci engkol menggunakan tali sawat. Sistem hibrid ringkas binaan Volvo ini mengecas semula kuasa elektrik menggunakan regenerative braking, seperti pada sistem hibrid penuh.

    Pada versi-versi prototaip sebelum ini, sistem KERS Volvo diletakkan pada gandar belakang, menggunakan roda tenaga gentian karbon. Semasa membrek, kuasa akan dipindahkan menerusi sistem pemulihan brake-by-wire kepada roda tenaga tersebut, yang akan berputar sendiri sehingga 60,000 rpm. Apabila kereta mula memecut kembali, putaran roda tenaga berkenaan akan memacu roda belakang menerusi sistem transmisi CVT istimewa, memberikan kuasa tambahan sehingga 80 hp.

    Selain dari sistem baharu ini, Volvo turut mengumumkan bahawa sistem T6 dan T8 Twin Engine sedia ada turut akan meneriman sistem pemulihan tenaga brake-by-wire yang sama serta bateri baharu, membolehkan sistem hibrid plug-in (PHEV) berkenaan mendapatkan jarak perjalanan menggunakan elektrik sepenuhnya 15% lebih jauh.

    Dalam masa yang sama, Volvo juga mengesahkan bahawa kesemua model bakal menerima pilihan sistem PHEV pada masa terdekat. Ini bermaksud, sistem PHEV bukan hanya akan ditawarkan pada model-model besar diasaskan dari platform Scalable Product Architecture (SPA), malah model lebih kecil dari platform Compact Modular Architecture (CMA) seperti XC40 juga menerima pilihan penuh.

    Buat masa sekarang, hanya Volvo XC40 T5 Twin Engine menerima sistem ini. Selepas ini SUV kompak berkenaan turut akan hadir dalam versi T4 Twin Engine dengan enjin yang lebih kecil, lengkap dengan sistem hibrid plug-in.

     
     
  • Ford Mustang 1967 dalam versi Lego Creator Expert

    Ford Mustang 1967 dalam versi Lego Creator Expert

    Lego bukan lagi sekadar barang mainan untuk kanak-kanak, tapi tak ketinggalan untuk bapa-bapa juga. Apa lagi untuk peminat-peminat model kenderaan ikonik. Bermula 1 Mac, Lego Creator Expert set akan memperkenalkan model Ford Mustang 1967 pula.

    Terdiri daripada 1,470 bahagian, model Lego untuk Mustang ini turut datang dengan stereng yang berfungsi, warna luaran biru tua, jalur lumba putih, scoop pada bonet, gril Mustang, logo GT serta rim lima-jejari dengan tayar getah sebenar.

    Ford Mustang 1967 dalam versi Lego Creator Expert

    Dengan ukuran 10 cm tinggi, 34 cm panjang dan 14 cm lebar, terdapat juga koleksi pilihan tambahan untuk model ini. Ia terdiri daripada supercharger, spoiler belakang, paip ekzos besar, spoiler depan dan tabung NOS.

    Replika ini juga membolehkan barangan diletakkan di boot, atau membuka hud depan untuk memperlihatkan blok enjin 6.4 liter V8 yang hadir sekali dengan perincian lain seperti bateri, hos dan penapis udara. Gandar belakang juga boleh ditinggikan untuk lebih garang. Pintu pula boleh dibuka dan panel bumbung boleh dibuka untuk memudahkan akses ke bahagian dalam.

    Ford Mustang 1967 dalam versi Lego Creator Expert

    Di dalam ada tempat duduk klasik, radio serta konsol tengah dengan gear. Lego Creator Expert Ford Mustang ini dijual pada harga 129.99 Euro (RM600) di Jerman dan £119.99 di UK. Jangan lupa, sebelum ini pun ada sebuah kereta yang Lego perkenalkan, terdiri daripada 3,599 bongkah – 1:8 Bugatti Chiron.

     
     
  • Pusingan MotoGP di Lombok sah bermula tahun 2021

    Pusingan MotoGP di Lombok sah bermula tahun 2021

    Sebelum ini hanya tersebar sebagai khabar angin, tapi sekarang, Dorna Group, bersama Indonesia Tourism Development Corporation (ITDC) telah mengeluarkan kenyataan rasmi satu perjanjian kontrak untuk FIM MotoGP dan juga FIM Superbike World Championship (WSBK) telah ditandatangani.

    Melalui perjanjian ini, Indonesia akan kembali menganjurkan MotoGP dan juga WSBK pada tahun 2021 di Mandalika, Lombok. Mengikut laporan motorsport.com, sebuah litar baru akan dibina untuk tujuan ini, dan ia melibatkan 18 selekoh, dengan jarak satu pusingan penuh 4.32 km.

    “Ini adalah satu projek yang unik, di mana kita akan mempunyai litar bertaraf antarabangsa di kawasan urban, dalam negara yang mempunyai ramai pengikut MotoGP. Indonesia adalah pasaran yang penting bagi kami, dengan banyak peminat sukan permotoran tinggal di sini dan suasana MotoGP akan jadi lebih kuat apabila litar ini siap nanti,” kata ketua pegawai eksekutif Dorna Group, Carmelo Ezpeleta.

    Pusingan MotoGP di Lombok sah bermula tahun 2021

    Sekarang ini untuk tahun 2019, terdapat 19 litar yang telah disenaraikan untuk perlumbaan MotoGP, namun ia juga mungkin akan ditambah dengan satu lagi litar iaitu Kymiring di Finland. Jadi, dengan penambahan Lombok sebagai satu lagi litar, pada tahun 2021 nanti akan ada 21 pusingan perlumbaan MotoGP.

    Sementara itu, bagi WSBK pula, tahun 2019 akan menyaksikan perlumbaan berlangsung di 13 litar termasuk di Buriram, Thailand. Bagi penganjuran MotoGP dan WSBK di Indonesia ini, Dorna Group dan ITDC akan mengeluarkan kenyataan lanjut dalam masa terdekat.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025