Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • MyCar umum tambang dari RM59 untuk ke/dari KLIA

    MyCar umum tambang dari RM59 untuk ke/dari KLIA

    MyCar kini menawarkan harga termurah untuk perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) iaitu menetapkankadar rata dari RM59 untuk perjalanan pergi atau balik dari KLIA.

    Pengarah Platforms Apps Sdn Bhd, Mohd Noah Maideen berkata, “Harga kadar rata ini ditetapkan untuk menyediakan harga termurah di samping memudahkan dan memendekkan masa perjalanan orang ramai yang ingin ke KLIA. Ini adalah selari dengan visi MyCar untuk meyediakan perkhidmatan e-hailing terbaik untuk pengguna di rantau ini”.

    Platform Apps adalah pengendali MyCar, platform e-hailing yang pesat berkembang dengan 65,000 pemandu dan lebih 1.2 juta pengguna yang berdaftar.

    “Dengan ini, orang ramai mempunyai lebih pilihan untuk pergi ke KLIA selain menaiki tren atau bas dari KL Sentral. Pengguna juga boleh merancang perjalanan mereka lebih awal dengan membuat tempahan awal untuk ke KLIA atau mana-mana lokasi,” tambah Mohd Noah.

    Untuk melakukan tempahan awal, pengguna hanya perlu memilih jenis kereta dan klik pada ‘Book Later’ serta nyatakan tarikh dan masa yang diinginkan.

    MyCar juga giat menjalankan aktiviti pengiklanan dan promosi aplikasi tersebut dengan pemasangan beberapa papan iklan di KLIA seperti di kawasan tuntutan bagasi. Ini bertujuan untuk memberi kesedaran kepada pengguna mengenai aplikasi MyCar.

     
     
  • KTM beri diskaun 20% mulai 1 April ini – Loke

    KTM beri diskaun 20%  mulai 1 April ini – Loke

    Khas untuk penumpang Keretapi Tanah Melayu (KTM) Komuter warga Malaysia, KTM Berhad bakal menawarkan menikmati diskaun tambang sebanyak 20% mulai 1 April ini, seperti yang diumumkan oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

    Menurut Loke, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat kabinet semalam susulan cadangan kementerian itu pada mesyuarat Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara minggu lepas bagi meringankan kos sara hidup pengguna komuter, Bernama

    “Inisiatif itu akan memanfaatkan kira-kira 94,000 penumpang setiap hari di lima jajaran iaitu Padang Rengas-Butterworth, Butterworth-Padang Besar, Port Klang-Tanjung Malim, Seremban-Batu Caves, dan Sungai Gadut-Tampin. Bagi warganegara Malaysia yang menggunakan sistem transaksasi tanpa wang pula di stesen-stesen komuter, mereka sudahpun menikmati diskaun 20% dan akan mendapat tambahan 20% yang diputuskan ini. Jadi mereka mendapat diskaun sehingga 40%.

    “Ini sudah tentu dapat memberi manfaat kepada penumpang yang menggunakan komuter secara harian. Ini adalah inisiatif kerajaan memandangkan faktor kos pengangkutan merupakan faktor ketiga tertinggi yang menyumbang kepada kos sara hidup,” kata Loke Pada pemberita semalam.

    KTM beri diskaun 20%  mulai 1 April ini – Loke

    Walau bagaimana pun, katanya lagi, pemberian diskaun itu dijangka menyebabkan pengurangan hasil sebanyak RM43 juta setahun kepada Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan ini akan ditampung oleh Perbadanan Aset Keretapi (RAC). Di mana inisiatif itu akan disemak semula setiap tahun.

    Loke berkata inisiatif pemberian diskaun itu diharapkan dapat meningkatkan jumlah penumpang KTM Komuter antara 120,000 ke 130,000 pengguna.

    “Tujuan beri diskaun ini antara lain untuk ‘boost ridership’. Sejak kebelakangan ini, jumlah pengguna menggunakan komuter telah berkurangan disebabkan oleh projek menaik taraf landasan keretapi yang telah menyebabkan kekerapan tren di stesen-stesen telah berkurangan. Kalau dulu kena tunggu 20 minit, sekarang kena tunggu 40 minit. Ramai orang merungut kerana tren lambat,” katanya.

     
     
  • SsangYong Korando 2019 – imej awalan disiarkan

    SsangYong Korando 2019 – imej awalan disiarkan

    SsangYong telah pun menyiarkan imej-imej awalan untuk SUV terbaharunya, Korando yang bakal masuk kepasaran Korea Selatan pada Mac tahun ini. SUV ini bakal diletakkan ditengah antara dua lagi model dalam barisannya iaitu Tivoli dan Rexton. Model ini juga bakal membuat kemunculan sulung global pada Geneva Motor Show bulan hadapan.

    Model baharu ini menerima banyak inspirasi dari Tivoli seperti lampu hadapan berbentuk trapezoid, gril atas lebih kurus, ‘otot-otot’ pada bahagian fender dan juga kemasan hitam pada tiang-C bagi memberikan rupa seakan bumbung terapung. Pada bahagian belakang, lampu-lampu direka dengan grafik berbentuk anak panah, disepadukan dengan bar krom bagi memberikan cerminan yang sama pada mukanya.

    Pada bahagian dalaman, Korando menerima rekaan yag digelar sebagai “Blaze Cocokpit” mengambil inspirasi kokpit pesawat udara masa kini. Pemandu menerima instrumen paparan digital sepenuhnya, manakala pada papan pemuka pula dilengkapkan dengan skrin sesentuh infotaimen dan navigasi 10.25-inci.

    SsangYong Korando 2019 – imej awalan disiarkan

    Saluran udara direka sepanjang bahagian atas papan pemuka yang seolah-olah bersambung dengan panel pintu dan kabin SUV ini turut menerima lampu suasana 34-warna “infinity”. Bahagian kargo mampu menampung kapasiti sehingga 551 liter, cukup untuk memuatkan empat buah beg golf, dakwa Ssangyong. “Magic Tray” juga direka dibawah ruang tersebut bagi menyembunyikan barang-barang berharga untuk mengelakkan ia boleh diintai dari luar.

    Ssangyong Korando diberikan teknologi yang digelar Deep Control yang didakwa mempunyai kebolehan pemanduan autonomous “tahap 2.5”. Teknologi tersebut bersepadu dengan Intelligent Adaptive Cruise Control (IACC) yang mampu mengekalkan jarak antara kereta hadapan serta boleh mengekalkan kereta ini di tengah-tengah lorong laluan.

    SsangYong Korando 2019 – imej awalan disiarkan

    Ia juga menerima sistem Exit Assist Function (EAF) yang akan memberikan amaran kepada penumpang dan pemandu sekiranya terdapat trafik yang lalu ketika mahu membuka pintu. Sistem bantuan pemanduan juga diberikan terdiri dari brek kecemasan automatik, bantuan kekal lorong, Amaran Jarak Selamat (SDA), Front Vehicle Start Alarm (FVSA) dan Driver Attention Alert (DAA). Tujuh-beg udara diberikan sebagai ciri keselamatan pasif.

    Walau bagaimanapun, masih lagi belum ada perincian berkenaan unit janakuasa Korando ini. Namun berkemungkinan besar ia akan menerima enjin 1.6 liter turbodiesel sama seperti Tivoli, dipadankan dengan pilihan kotak gear enam-kelajuan manual atau automatik.

     
     
  • Toyota Prius C bersara, digantikan Corolla Hybrid?

    Toyota Prius C bersara, digantikan Corolla Hybrid?

    Toyota Prius C dikatakan bakal bersara tidak lama lagi. Menurut Motor1, hatchback hibrid kompak ini bakal digantikan dengan Corolla Hybrid yang lebih menjimatkan bahan api dan lebih besar. Timbalan presiden kumpulan Pemasaran Toyota, Ed Laukes memberitahu penerbitan terbabit: “Anda mungkin tidak akan nampak Prius C dalam tempoh yang lebih lama. Prius C telah berkhidmat sebaiknya.”

    Produksi bagi Prius C (atau dikenali sebagai Toyota Aqua di Jepun) bermula pada akhir 2011, dan ia diletakkan di bawah jentera yang lebih kecil, berbanding Prius standard. Kuasanya dihasilkan dari enjin 1NZ-FXE 1.5 liter Atkinson cycle, menghasilkan 74 PS dan 111 Nm.

    Enjin tersebut bekerjasama dengan motor elektrik/bateri Ni-Mh menawarkan 61 PS dan 169 Nm, dengan kuasa keseluruhan yang terhasil mencecah 100 PS. Angka prestasi ini termasuk 0-100 km/j dalam 10.7 saat dan penggunaan bahan api sekitar 35.4 km per liter, di bawah kitaran ujian JC08.

    Di USA, jualan untuk Corolla Hybrid baharu akan bermula bulan hadapan. Ia dijanakan oleh sistem Hybrid Synergy Drive yang dipertingkatkan daripada Prius yang baharu. Ia turut menggandingkan unit 2ZR-FXE 1.8 liter empat-silinder Atkinson-cycle dengan e-CVT dan dua motor elektrik. Terdapat juga pembezaan pra-bebanan yang menghantar tork di antara roda kiri dan kanan pada kelajuan rendah, dan bertindak sebagai pembezaan terbuka pada beban enjin yang lebih tinggi.

    Jumlah keseluruhan kuasa mencecah 121 hp, dan penggunaan bahan api didakwa sekitar 5.6 liter per 100 km (standard EPA). Motor elektrik dikuasakan oleh bateri hidrida nikel-logam baharu yang menampilkan teknologi Hyper-Prime Nickel, yang membolehkan prestasi bateri lebih baik dengan pakej yang lebih kecil dan ringan. Ini membolehkan bateri diletakkan di bawah tempat duduk belakang tanpa mengambil ruang pada but, membolehkan tempat duduk belakang dibaringkan 60:40 dan membolehkan pusat grafiti yang lebih rendah berfungsi.

    Bagi kelengkapan yang lain, Corolla Hybrid didatangkan dengan sistem infotainmen Entune 3.0 dan skrin sesentuh lapan-inci secara standard, bersama lapan beg udara dan Toyota’s Star Safety System. Semua model Corolla 2020 juga akan dilengkapi secara standard dengan Toyota Safety Sense 2.0, ini termasuk PCS (Pre-Collision System), Full-Speed DRCC (Dynamic Radar Cruise Control), LDA (Lane Departure Alert) w/ Steer Assist, LTA (Lane Tracing Assist), AHB (Automatic High Beam) dan RSA (Road Sign Assist).

     
     
  • Subaru Viziv Adrenaline Concept bersedia ke Geneva

    Subaru Viziv Adrenaline Concept bersedia ke Geneva

    Subaru telah menyiarkan teaser pertama untuk model konsep baharu yang bakal dipersembahkan di Geneva Motor Show tahun ini. Digelar Viziv Adrenaline Concept, model konsep ini merupakan crossover kecil, walau bagaimana pun perinciannya tidak didedahkan buat masa ini.

    Menerusi teaser ini, kelihatan gril hadapan berbentuk haksagon disambungkan ke lampu utama nipis dengan lampu nyalaan siang berbentuk-C. Gril tersebut juga senada dengan ketebalan bonet, sementara lower apron mengetengahkan rekaan bersudut.

    Di sisinya pula, model konsep ini menyerlahkan bahagian gerbang rodanya, dengan hadapan yang menyertai sambungan badan bermula daripada lampu utama hadapan. Juga kelihatan kamera yang menggantikan cermin sisi tradisional, seperti yang kita lihat pada beberapa model konsep sedia ada.

    Berdasarkan imej teaser, model konsep Viziv baharu ini kelihatan seperti kenderaan sporty, dengan bumbung rendah dan gaya kerangka tiga-pintu. Malah ada juga yang berpendapat, ini merupakan versi coupe untuk XV semasa, dengan rekaan yang agak keterlaluan.

    Nak tahu selanjutnya, kena nantikan penampilannya di Geneva dengan dua model lain yang dilengkapi e-Boxer.

     
     
  • Honda Civic Type R FK8 dinilai PDRM – ganti Mitsubishi Lancer Evo X sebagai Helang Lebuhraya?

    Honda Civic Type R FK8 dinilai PDRM – ganti Mitsubishi Lancer Evo X sebagai Helang Lebuhraya?

    Semalam tersebar satu gambar Honda Civic Type R FK8 dengan grafik badan Polis DiRaja Malaysia (PDRM), dibawa oleh sebuah lori pengangkut, apa cerita sebenarnya? Adakah ia bakal menggantikan peronda berprestasi tinggi pasukan berkenaan atau dikenali sebagai ‘Helang Lebuhraya’ menggantikan Mitsubishi Lancer Evo X sebelum ini?

    Kami berjaya mendapatkan berberapa imej yang lebih jelas, dan menerusi apa yang kami tahu kereta ini masih lagi milik Honda Malaysia, tetapi ia kini sedang diuji oleh pihak PDRM sebelum membuat keputusan bagi menggunakannya sebagai senjata baharu mereka.

    Sekitar sepuluh tahun lalu, PDRM membeli 25 unit Lancer Evolution X bagi kerja-kerja mengejar dalam kelajuan tinggi seperti kes-kes mencuri kereta, menculik dan juga merampas kenderaan. Kesemua pemandu Helang Lebuhraya tersebut juga diberikan latihan khas bagi membolehkan mereka memandu jentera berprestasi tinggi tersebut dengan berkesan.

    Jika PDRM bersetuju untuk membeli Civic Type R FK8 ini, mereka bakal mempunyai jentera dengan bekalan kuasa 310 PS pada takat 6,500 rpm dan tork maksima 400 Nm dari enjin 2.0 liter VTEC Turbo, memacu roda hadapan dengan kotak gear manual enam-kelajuan.

    Buat masa ini, PDRM telahpun menerima 15 unit SUV Mitsubishi Outlander 2.4 yang disumbangkan oleh syarikat konsesi lebuhraya PLUS tahun lalu bagi digunakan sebagai Peronda Lebuhraya (EMPVs). Selain Lancer Evo X, PDRM juga sebelum ini mempunyai berberapa lagi peronda lebuhraya yang sangat cool seperti Proton Satria GTI dan juga wagon turbo Volvo 850 T5.

     
     
  • Honda sah tutup kilang Swindon UK, henti produksi Civic sedan di Turki pada 2021, tumpu kereta elektrik

    Honda sah tutup kilang Swindon UK, henti produksi Civic sedan di Turki pada 2021, tumpu kereta elektrik

    Three in three for Type R: British Touring Car champion, Matt Neal, takes third lap record of ‘Type R Challenge 2018’ at Silverstone GP circuit

    Desas-desus bahawa Honda bakal menutup kilang mereka di Swindon, UK pada 2021 kini bukan lagi khabar angin kerana jenama tersebut secara rasmi telah mengeluarkan kenyataan bahawa langkah itu sudah sah akan diambil. Namun langkah untuk menutup kilang yang memproduksi Jazz, CR-V, Civic Hatchback dan Civic Type R itu bukan disebabkan Brexit, tetapi adalah langkah penstrukturan semula jaringan pembuatan global Honda yang akan menumpukan kepada teknologi elektrik.

    “Penstrukturan semula ini dijalankan kerana Honda mahu memacu komitmennya kepada kereta dengan teknologi elektrik, dalam respon kepada perubahan yang sukar dijangka pada industri automotif global. Cabaran yang signifikant dalam teknologi elektrik akan menyaksikan Honda merombak operasi pembuatan global, dan menumpukan aktiviti dalam rantau yang dijangka mempunyai jumlah pengeluaran yang tinggi,” kata kenyataan rasmi Honda.

    Buat masa sekarang, kilang Swindon ini memproduksi 150,000 unit kereta setahun dioperasikan oleh kira-kira 3,500 orang pekerja. Walaupun kilang tersebut akan ditutup, ibu pejabat Honda Eropah masih akan kekal di UK. Jadi Honda menyatakan bahawa rundingan untuk pekerja-pekerja yang mungkin akan terjejas akan bermula sekarang.

    Bukan hanya di UK, penstrukturan semula global Honda ini turut akan melibatkan operasinya di Turki. Honda kini menghasilkan 38,000 unit kereta setahun di Turki, namun mereka akan menghentikan produksi Civic sedan sedia ada di sana pada 2021. Jenama tersebut menyatakan bahawa mereka masih lagi berminat untuk meneruskan operasi perniagaan mereka di negara itu dan akan terus mengadakan dialog konstruktif dengan pemegang-pemegang kepentingan di Turki.

    Honda sah tutup kilang Swindon UK, henti produksi Civic sedan di Turki pada 2021, tumpu kereta elektrik

    HUM – 2012 Civic Production

    “Dalam situasi perubahan yang tidak boleh dijangka yang menjejaskan industri kita, ia amat penting untuk kami memacu strategi teknologi elektrik kami dan menstruktur kembali operasi global kami. Hasilnya, kami terpaksa mengambil keputusan yang sukar ini bagi berunding dengan tenaga kerja kami bagaimana kami boleh bersedia untuk jaringan pengeluaran kami untuk masa akan datang. Perkara ini tidak akan dipandang ringan dan kami benar-benar kesal bagaimana pengumuman hari ini akan diterima oleh orang-orang kami,” kata presiden Honda Motor Europe, Katsushi Inoue.

    Kilang Swindon ini dibina di atas bekas lapangan terbang, yang sebelum itu hanya digunakan untuk membuat pemeriksaan akhir sebelum penghantaran (PDI) pada tahun 1985. Operasi penghasilan enjin bermula pada tahun 1989 dan tiga tahun selepas itu Honda UK mula memasang model lengkap Accord di kilang berkenaan.

    Fasiliti ini juga adalah pusat dimana terhasilnya model-model Type R dari Honda UK seperti Honda Accord Type R, Civic Type R EP3, Civic Type R FN2 dan Civic Type R FK2 – kesemua ini tidak dibuat di Jepun. Malah model Type R terkini iaitu Civic Type R FK8 juga hanya dihasilkan di Swindon dan dieksport keseluruh dunia termasuk Jepun.

     
     
  • Mazda 3 2019 untuk Eropah – spesifikasi dan galeri

    Mazda 3 2019 untuk Eropah – spesifikasi dan galeri

    Mazda Eropah telah mendedahkan spesifikasi penuh bagi Mazda 3 serba baharu untuk rantau itu, termasuk enjin dan ciri yang ditawarkan. Untuk yang berminat ingin tahu bagaimana rupa model generasi keempat itu, kami sajikan galeri foto untuk varian sedan dan hatchback ini.

    Bagi penawaran enjinnya, Mazda 3 bagi pasaran Eropah hadir dengan unit 1.8 liter empat-silinder turbodiesel dengan kuasa 116 PS pada 4,000 rpm dan tork 270 Nm dari 1,600-2,600 rpm. Penjana kuasa SkyActiv-D baharu ini menggantikan unit 1.5 liter dan 2.2 liter yang digunakan sebelum ini, dilengkapi dengan pengecas turbo tunggal, geometri boleh ubah dan sistem NOx Storage Catalyst (NSC).

    Untuk unit petrol pula, ia ditawarkan dengan SkyActiv-G 2.0 liter naturally-aspirated empat-silinder dengan 112 PS pada 6,000 rpm dan tork 213 Nm pada 4,000 rpm. Peningkatan dibuat termasuk menaiktaraf piston skirt dan mengoptima oil ring profile, bersama piston top profile dan multi-stage injection.

    Teknologi pengaktifan silinder (juga didapati pada unit 2.5 liter), turut diletakkan pada enjin anjakan-kecil. Untuk pengetahuan, SkyActiv-G 2.0 untuk Eropah lebih kurang kuasanya berbanding bagi pasaran Asia dan Amerika Syarikat, di mana ia menerima talaan yang lebih tinggi. Sebagai tambahan, untuk pasaran terpilih dalam rantau (seperti Turki), ia turut menerima pilihan SkyActiv-G 1.5 liter empat-silinder (120 PS pada 6,000 rpm dan 150 Nm pada 4,000 rpm).

    Pilihan enjin yang lain ialah enjin pencucuhan mampatan SkyActiv-X, tapi kita harus menantikan spesifikasi rasminya dikeluarkan. Walau bagaimana pun, berdasarkan dokumen sebelum ini dari Mazda Slovakia, enjin yang dilengkapi Spark Controlled Compression Ignition (SPCCI) ini bakal memberikan 181 PS dan 222 Nm.

    Kedua-dua enjin SkyActiv-G 2.0 dan SkyActiv-X bekerja mengikut sistem Mazda M Hybrid, yang beropeasi pada sistem hibrid ringan 24-voltan. Ia turut menampilkan integrated starter generator (ISG) dan lithium-ion dengan kapasiti 600 kJ (0.17 kWh).

    Bateri tersebut dicas menerusi brek regeneratif, di mana ia membekalkan elemen elektrikal kereta, menyokong lanjutan enjin untuk sistem start-stop, dan memberikan bantuan apabila ia dimatikan. ISG pula beroperasi apabika sistem motor menggerakkan piston ke posisi di mana ia akan bergerak kembali secara lebih lancar.

    Semua enjin ini dipadankan sama ada dengan kotak gear manual atau automatik enam-kelajuan, dengan pilihan SlyActiv-X turut ditawarkan dengan sistem i-Activ AWD (hanya hatchback). Tidak kira modelnya, G-Vectoring Control Plus (GVC Plus) turut didatangkan secara standard.

    Sementara itu, elemen yang didatangkan untuk Mazda 3 termasuklah roda aloi 16- dan 18-inci dengan pemilihan kemasan metalik, paparan kluster instrumen 7-inci, Paparan Pemanduan Aktif yang dipancarkan ke cermin hadapan, sistem bunyi lapan-pembesar suara (pilihan sistem Bose 12-pembesar suara), paparan tengah cermin hadapan 8.8-inci dan sistem infotainmen MZD Connect.

    Elemen yang terakhir yang dipertingkatkan dengan grafik baharu, menambahbaik pengesan suara dan struktur antara muka, dengan paparan skrin-terpisah. Menu pada bahagian kiri skrin pula kini ditawarkan dengan pilihan pada bahagian kanan, dengan navigasi dan informasi audio pada paparan yang sama.

    Bagi keselamatan hadapan, sejumlah tujuh beg udara diletakkan dengan tambahan pada bahagian lutut pemandu, tirai dan sisi hadpaan – standard untuk pasaran global. Turut dilengkapi dengan keselamatan aktif i-Activsense dan sistem bantuan pemandu termasuk kehadiran sistem baharu Driver Monitoring, Front Cross Traffic Alert (FCTA) dan Cruising & Traffic Support (CTS) – kawalan kelajuan adaptif kelajuan rendah.

    Bukan itu sahaja, ia turut didatangkan dengan Intelligent Speed Assistance (ISA) yang bekerjasama dengan Traffic Sign Recognition (TSR) untuk mengelak pemandu melebihi had laju yang ditetapkan oleh pengehad kelajuan. Turut didatangkan dengan pemantauan pandangan 360-darjah dan Adaptive LED Headlights (ALH) yang boleh dihidupkan dan dimatikan secara automatik.

    Mazda 3 2019 untuk Eropah – spesifikasi dan galeri

    Lain-lain peningkatan termasuklah Mazda Radar Cruise Control (MRCC) yang menerima fungsi stop dan go untuk model transmisi automatik, sementara Smart Brake Support (SBS) telah diperluaskan operasinya (jarak, basikal dan arah pejalan kaki pada waktu malam serra tambahan brek auto untuk Rear Cross Traffic Alert).

    Mazda turut berkata fungsi Advanced Smart City Brake Support (Advanced SCBS) telah disertakan ke Smart Brake Support (SBS), di mana kaedah pengesanan digunakan untuk kamera pengesan hadapan berbanding pengesan infra merah yang digunakan sebelum ini.

    Mazda 3 baharu ini dibina dengan SkyActiv-Vehicle Architecture, dan menampilkan kerangka yang menggunakan rangka lurus dan struktur continuous ring. Ia digunakan bersama keluli ketahanan tinggi tegar sehingga 1,310 MPa (30% dari 3%), memberikannya ia lebih ringan, dengan rekaan badan yang lebih berketahanan tinggi. Suspensinya menggunakan topang MacPherson di hadapan dan larasan torsion beam yang baharu dibangunkan untuk belakang.

     
     
  • Toyota GR Supra bakal dilancarkan di Malaysia

    Toyota GR Supra  bakal dilancarkan di Malaysia

    UMW Toyota Motor (UMWT) telah mengesahkan bakal melancarkan jentera prestasi Supra untuk pasaran Malaysia. Walau pun tidak menyatakan lebih terperinci bilakah ia bakal dilancarkan, namun kami jangkakan ia bakal berlangsung sebelum 2019 melabuhkan tirainya.

    Dua pilihan enjin telah ditawarkan untuk pasaran dunia, yang pertama dengan enjin 2.0 liter pengecas turbo yang mampu menghasilkan kuasa 197 PS dari 4,500 hingga 6,000 rpm dan tork 320 Nm dari 1,450 hingga 4,200 rpm.

    Enjin yang sama turut ditawarkan tetapi dengan talaan yang lebih tinggi, mampu meledakkan 258 PS dari 5,000 hingga 6,000 rpm dan tork 400 Nm dari 1,550 hingga 4,400 rpm. Ia dikatakan mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.2 saat berbanding unit yang lebih rendah dengan 6.5 saat.

    Pilihan kedua pula ialah enjin petrol 3.0 liter enam-silinder dengan pengecas turbo twin-scroll, bersama sistem suntikan terus dan injap kawalan bervariasi, menghasilkan kuasa lebih dari 295 hp dan tork maksima 450 Nm. Toyota mendakwa ia mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa tidak sampai lima saat. Kesemua versi enjin digandingkan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik.

    Buat masa sekarang, UMWT juga belum mendedahkan varian dan harganya bagi pasaran Malaysia. Jadi, sesiapa yang berminat, dah boleh mula buka tabung baharu untuk miliki Supra idaman hati ini.

    GALERI: Toyota Supra A90

     
     
  • Toyota Yaris sah masuk Malaysia; pemasangan CKD di Bukit Raja, jangka dilancarkan suku kedua tahun ini

    Toyota Yaris sah masuk Malaysia; pemasangan CKD di Bukit Raja, jangka dilancarkan suku kedua tahun ini

    Tahun ini, UMW Toyota Motors ada beberapa buah tangan untuk peminat jenama itu di sini. Satu daripada perkara yang sudah disahkan adalah bahawa model hatchback segmen B, Toyota Yaris akan diperkenalkan secara rasmi untuk pasaran tempatan, kemungkinan pada suku kedua tahun ini.

    Model berkenaan bukan terlalu asing di sini. Yaris pernah dilihat di Malaysia sebelum ini, sedang diangkut di atas lori. Yaris untuk pasaran Malaysia akan dipasang secara CKD di kilang baru Toyota di Bukit Raja. Toyota Vios 2019 menjadi model pertama yang dipasang di situ. Dan Yaris ini tak lari jauh pun sebenarnya, bolehlah dianggap sebagai Vios versi hathcback.

    Unit yang pernah dilihat sebelum ini diberikan kit badan yang berwarna merah, sedangkan warna keseluruhan badannya adalah Citrus Mica Metallic. Itu mungkin kit badan Yaris TRD Sportivo, namun ia kelihatan tidak sama dengan versi pasaran Indonesia (Thailand tidak menerima versi berkenaan). Di Indonesia, Yaris menggunakan enjin 2NR 1.5 liter empat-silinder sama seperti Perodua Myvi.

    Toyota Yaris sah masuk Malaysia; pemasangan CKD di Bukit Raja, jangka dilancarkan suku kedua tahun ini

    Untuk rekod, UMW Toyota pernah memasarkan Yaris di Malaysia, iaitu model pre-facelift generasi sebelum ini pada tahun 2014. Namun dengan harga jualan melebihi RM100k untuk sebuah hatchback segmen-B, maka jumlahnya tidak terlalu banyak di atas jalan.

    Ketika ini, Yaris ada dijual di Thailand dan Indonesia; di Thailand misalnya, Yaris bersama model sedannya iaitu Yaris Ativ merupakan model yang dijual di bawah program kereta eco yang memerlukan ia dijana enjin dengan kapasiti maksima 1.2 liter.

     
     
  • Perodua Aruz vs Honda BR-V: kami bandingkan jadual penyelengaraan, servis SUV-MPV mana lebih murah?

    Perodua Aruz vs Honda BR-V: kami bandingkan jadual penyelengaraan, servis SUV-MPV mana lebih murah?

    Sebelum ini kami telah menguji SUV/MPV tujuh tempat duduk Perodua Aruz, dan banyak karekter model tersebut kami bandingkan dengan pesaing terdekatnya iaitu Honda BR-V. Dah baca ULASAN PANDU UJI tersebut? Dah tahu nak pilih yang mana? Nanti sekejap, baca satu lagi perkara penting ini; antara Aruz dan BR-V, kos servis mana yang lebih rendah?

    Sebelum itu, biar kami ulang semula berkenaan harga kedua-dua model ini. Perodua Aruz datang dalam dua varian iaitu model asas 1.5X berharga RM72,900, manakala model sepsifikasi penuh 1.5 Advance berharga RM77,900. Manakala BR-V pula model asas E dijual pada harga RM80,989, dan versi tertinggi V dijual pada RM87,701. Kesemua harga ini adalah harga atas jalan tanpa insuran.

    Kedua-duanya diberikan waranti pengeluar lima tahun, tetapi Honda menawarkan perbatuan tanpa had, sebaliknya waranti Perodua terhad pada 150,000 km. Harga-harga servis yang bakal kami paparkan ini diperolehi dari laman web rasmi Perodua dan Honda, dan kesemua varian berkongsi jadual servis penyelenggaraan yang sama.

    Kedua-dua model ini juga perlu diservis dengan jarak yang serupa iaitu setiap 10,000 km. Setelah kami bandingkan kedua-duanya, apa yang kami perasan Aruz mempunyai kos penyelenggaraan yang lebih tinggi berbanding BR-V dalam tempoh masa lima tahun. Ini adalah disebabkan dalam berberapa perkara, Aruz perlu penyelenggaraan yang lebih kerap.

    Jadual servis Perodua Aruz (kiri) dan jadual servis Honda BR-V (kanan)

    Perkara berkenaan adalah termasuk penukaran bendalir (minyak) brek yang perlu dilakukan setiap 20,000 km (setiap 60,000 km untuk BR-V) dan juga penukaran penuras udara (air filter) setiap 20,000 km (berbanding setiap 30,000 km untuk BR-V). Aruz juga merupakan sebuah model pacuan roda belakang (pacuan hadapan untuk BR-V) yang memerlukan minyak differential pada gandar belakang ditukar setiap kali minyak transmisi automatik (ATF) ditukar.

    Walau bagaimanapun, jumlah kos untuk kesemua minyak pada transmisi Aruz (automatik konvensional empat kelajuan) termasuk pada gandar tersebut masih lagi rendah berbanding penukaran minyak transmisi BR-V (CVT automatik) yang perlu menggunakan minyak CVTF untuk setiap 40,000 km.

    Perodua juga turut memasukkan penjagaan untuk tayar dalam jadual penyelenggaraan mereka, iaitu penjajaran (alignment), imbangan semula (balancing) dan pusingan kedudukan roda (rotation) yang bernilai RM60 untuk setiap 20,000 km.

    Untuk palam pencucuh (spark plug) pula, satu set mengandungi empat plug untuk Aruz dijual pada harga RM220.40 dan perlu ditukar setiap 50,000 km. BR-V menggunakan komponen dari jenis Iridium yang lebih mahal berharga RM380.80 satu set, tetapi ia lebih tahan kerana hanya perlu ditukar setiap 100,000 km.

    Perodua Aruz vs Honda BR-V: kami bandingkan jadual penyelengaraan, servis SUV-MPV mana lebih murah?

    Jadual perbezaan untuk kedua-dua model, Perodua Aruz dan Honda BR-V. Klik untuk besarkan

    Cecair penyejuk radiator (Coolant) pada Aruz juga perlu ditukar setiap 40,000 km, tetapi BR-V boleh bertahan sehingga 100,000 km. Secara keseluruhan untuk tempoh lima tahun, pemilik Aruz perlu membelanjakan sebanyak RM4,044.59 untuk servis, berbanding pemilik BR-V yang perlu mengeluarkan kos sebanyak RM3,014,12, atau sekitar RM1,000 lebih murah.

    Satu lagi kos penyelengaraan yang tidak termasuk dalam jadual diatas adalah tayar, kerana ia bergantung kepada penggunaan pemilik. Aruz yang dilengkapkan dengan rim 17-inci menerima tayar bersaiz 215/60R17, BR-V pula diberikan rim 16-inci yang lebih kecil, dibaluti tayar 195/60R16 yang tentunya lebih murah.

    Suka kami ingatkan sekali lagi bahawa semua harga ini diambil dari laman rasmi pengeluar pada waktu artikel ini ditulis, dan harga sebenar mungkin berbeza dan mungkin berubah pada masa-masa akan datang. Honda sentiasa memberikan diskaun sebanyak 15% terhadap alat gantinya, dan pada masa-masa tertentu diskaun tersebut mungkin ditambah dan mungkin juga dikurangkan.

     
     
  • Kilang Honda Swindon UK akan ditutup, bakal jejas mata pencarian 3,500 orang pekerja – laporan

    Kilang Honda Swindon UK akan ditutup, bakal jejas mata pencarian 3,500 orang pekerja – laporan

    Ini mungkin berita yang agak mengejutkan – Honda dilaporkan bakal menutup antara fasiliti paling pentingnya diluar Jepun, iaitu kilang Swindon di UK pada 2022. Menurut laporan The Guardian, pekerja-pekerja kilang berkenaan kini sedang gusar dengan masa depan mereka, dan turut menyalahkan Brexit sebagai sebab utama yang mungkin menyebabkan penutupan tersebut.

    Salah seorang pekerja yang enggan namanya disiarkan menyatakan bahawa keadaan di dalam kilang kini “jelas tidak gembira” dengan situasi ini. Dia yang telah 24 tahun bekerja disitu menegaskan bahawa ini semua adalah salah Brexit, dan dia sendiri mengundi untuk UK kekal di dalam Kesatuan Eropah.

    Manakala satu lagi laporan dari BBC menyebut sekitar 3,500 orang pekerja akan kehilangan mata pencarian mereka sekiranya kilang ini ditutup. Tiada lagi sebarang pengumuman rasmi dibuat oleh Honda, namun ahli parlimen UK, Justin Tomlinson berkata beliau telah berhubung dengan Honda berkenaan perkara ini bagi membincangkan hal nasib pekerja. Menurut Tomlinson, buat masa ini sehingga 2021, dia perubahan dalam produksi, dan dijangka tiada sesiapa yang akan kehilangan pekerjaan.

    Dalam laporan yang sama, kesatuan The Unite menyatakan bahawa sekiranya perkara ini benar-benar berlaku, ia bakal menjadi “satu tamparan yang membinasakan”. Pegawainya Des Quinn berkata “industri kereta di UK selama dua dekad kebelakangan ini adalah ibarat permata pada mahkota dalam sektor pembuatan – sekarang ia jatuh dan menjadi huru-hara kerana ketidaktentuan Brexit yang diwujudkan oleh pendekatan keras diambil perdana menteri Theresa May”.

    Des Quinn turut menambah, penutupan kilang ini kelak bukan sahaja akan menjejaskan periuk nasi pekerjanya serta keluarga mereka, malah ia turut boleh menyebabkan pekerja-pekerja dalam rantaian pembekalan seluruh negara turut akan kehilangan mata pencarian.

    Kilang Swindon ini dibina di atas bekas lapangan terbang, yang sebelum itu hanya digunakan untuk membuat pemeriksaan akhir sebelum penghantaran (PDI) pada tahun 1985. Operasi penghasilan enjin bermula pada tahun 1989 dan tiga tahun selepas itu Honda UK mula memasang model lengkap Accord di kilang berkenaan.

    Fasiliti ini juga adalah pusat dimana terhasilnya model-model Type R dari Honda UK seperti Honda Accord Type R, Civic Type R EP3, Civic Type R FN2 dan Civic Type R FK2 – kesemua ini tidak dibuat di Jepun. Malah model Type R terkini iaitu Civic Type R FK8 juga hanya dihasilkan di Swindon dan dieksport keseluruh dunia termasuk Jepun.

    Tahun lalu sahaja, sebanyak 160,000 unit Honda Civic generasi kesepuluh dihasilkan di Swindon, di mana 90% daripadanya dieksport ke seluruh Eropah. Selain kereta lengkap, kilang ini juga kini memproduksi enjin-enjin petrol Earth Dreams VTEC Turbo dan enjin diesel I-DTEC. Honda juga telah membuka kilang kedua di Swindon pada 2001 bagi membolehkan ia memproduksi 250,000 unit kereta setahun. Namun akibat ketidaktentuan Brexit ini, ia kini hanya beroperasi dengan separuh kapasitinya sahaja.

     
     
  • Audi Q8 2019 dapat dua tambahan enjin V6 hibrid

    Audi Q8 2019 dapat dua tambahan enjin V6 hibrid

    Di Eropah, model SUV mewah Audi Q8 kini ditawarkan dengan dua lagi tambahan enjin enam silinder baru, sekaligus memberikan pelanggan di sana lebih lagi pilihan. Enjin baru yang pertama adalah unit petrol V6 3.0 liter untuk Q8 55 TFSI, dengan kuasa 340 hp dan 500 Nm tork. Enjin ini juga berkemungkinan tiba di Malaysia, dan mampu menyediakan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.9 saat sebelum mencapai laju maksimum 250 km/j.

    Kedua adalah unit diesel 3.0 liter, yang digunakan untuk Q8 45 TDI, dengan menyediakan kuasa sebanyak 231 hp dan 500 Nm tork antara 1,750 hingga 3,250 rpm. Melalui enjin diesel ini, pengguna dapat melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.1 saat, dengan kelajuan maksimum 233 km/j.

    Kedua-dua enjin baru ini dipadankan bersama sistem hibrid ringkas 48 volt, yang dikatakan dapat mengurangkan penggunaan bahan api sehingga 0.7 liter bagi 100 km dalam penggunaan dunia sebenar. Sistem hibrid ini melibatkan penggunaan bateri lithium ion dan belt alternator starter (BAS) yang dapat menjana semula sehingga 12 kW dan disalurkan kepada bateri.

    Dalam kelajuan antara 55 hingga 160 km/j, Q8 dapat meluncur selama 40 saat dengan enjin tertutup, apabila kaki pemandu diangkat daripada pedal minyak. Selepas itu, sistem BAS tadi akan menghidupkan kembali enjin secara pantas dan lancar. Walaupun nampak menarik, kita masih tidak tahu sama ada sistem hibrid ini akan ditawarkan di Malaysia.

    Untuk transmisi, kedua-duanya dipadankan dengan unit tiptronik lapan kelajuan, menghantar kuasa kepada semua roda melalui sistem pacuan quattro jenama itu. Kedua-dua Q8 55 TFSI dan 45 TDI dipasang secara standard dengan rim 19 inci yang dibalut tayar 265/55. Turut diberikan adalah suspensi dengan pengawal serapan, sistem kawalan dinamik Drive Select, sistem infotainmen MMI Navigation Plus serta kokpit virtual Audi.

    GALERI: Audi Q8 yang dipertonton di Malaysia

     
     
  • Nissan Livina 2019 dilancar di Indonesia – asas sama dengan Mitsubishi Xpander, tujuh tempat duduk, 1.5L

    Nissan Livina 2019 dilancar di Indonesia – asas sama dengan Mitsubishi Xpander, tujuh tempat duduk, 1.5L

    Setelah kelibatnya dijumpai sedang diuji atas jalan di Indonesia, kini Nissan Livina baru rasmi dilancarkan di negara tersebut. Secara keseluruhannya, ia ditawarkan dalam lima varian iaitu bermula 1.5 E MT, 1.5 EL MT, 1.5 EL AT, 1.5 VE AT dan 1.5 VL AT. Harga pula terletak di antara 198.8 juta Rupiah (RM57,525) hingga 266 juta Rupiah (RM76,971).

    Livina baru ini berkongsi asas yang sama dengan Mitsubishi Xpander (Nissan merupakan pemegang saham terbesar dalam Mitsubishi Motors), dan disebabkan itu anda boleh lihat terdapat persamaan pada bentuknya. Walaupun begitu, beberapa bahagian dijadikan berbeza supaya dapat menghasilkan identiti yang tersendiri, seperti pada gril, bampar dan juga lampu belakang.

    Kesemua varian Livina baru ini dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 1,499 cc dengan DOHC dan Twin VTC (Variable Valve Timing Control), dan ia mampu menghasilkan kuasa sebanyak 104 PS pada 6,000 rpm dan 141 Nm tork pada 4,000 rpm. Pilihan transmisi pula ada dua, sama ada manual lima kelajuan atau automatik empat kelajuan.

    Nissan Livina 2019 dilancar di Indonesia – asas sama dengan Mitsubishi Xpander, tujuh tempat duduk, 1.5L

    Melihat kepada varian paling asas 1.5 E MT, ia masih mendapat lampu utama halogen, lampu siang LED, lampu belakang LED, cermin sisi larasan elektronik, brek ABS dan EBD, serta dua beg udara hadapan sama seperti varian lain, tetapi ia cuma menggunakan tempat duduk fabrik, kawalan pendingin hawa manual (depan sahaja) dan rim besi 15 inci.

    Pergi pula kepada varian paling tinggi 1.5 VL AT, barangannya lebih lengkap dengan lampu kabus, cermin sisi warna krom dan boleh dilipat secara elektronik, pemegang pintu krom, sistem kunci pintar dan butang pemula enjin dan rim 16 inci dengan tayar 205/55R16.

    Masuk ke dalam, varian ini turut menyaksikan penggunaan kulit warna hitam pada tempat duduk dan stereng, panel hiasan kayu, panel paparan informasi LCD berwarna, butang kawalan multimedia pada stereng, blower pendingin hawa belakang, enam pembesar suara dan head unit skrin sesentuh 7.0 inci dengan sambungan Android Auto dan Apple CarPlay.

    Ciri keselamatan bagi varian paling tinggi MPV tujuh tempat duduk ini juga dipertingkat dengan Brake Assist, Vehicle Dynamic Control (VDC), Traction Control System (TCS), Hill Start Assist (HSA), kamera belakang serta pengesan undur.

    Secara keseluruhannya, terdapat enam pilihan warna untuk Livina baru yang dilancarkan di Indonesia ini iaitu Ruby Red, Sunset Orange, Black Knight, Timeless Grey, Silver Tech dan White Pearl, dan ia akan bersaing dalam segmen sama dengan Avanza, Xpander, Ertiga, Xenia, dan Mobilio.

     
     
  • Ford Focus ST 2019 – 2.3L Ecoboost petrol dengan antilag 280 PS/420Nm, 2.0L turbodiesel 190 PS/400 Nm

    Ford Focus ST 2019 – 2.3L Ecoboost petrol dengan antilag 280 PS/420Nm, 2.0L turbodiesel 190 PS/400 Nm

    Hampir setahun setelah Ford Focus generasi keempat diperkenalkan, kini model berprestasi tingginya, Sport Technologies atau Focus ST telah membuat kemunculan secara rasmi. Seperti model generasi sebelumnya, Focus ST baharu ini tampil dengan dua pilihan janakuasa petrol turbo EcoBoost dan turbodiesel EcoBlue – kedua-duanya menghasilkan kuasa yang lebih besar.

    Untuk model petrol, Focus ST dijana enjin 2.3 liter EcoBoost dibina dengan bahan aluminium keseluruhannya, sama seperti Focus RS pada model generasi ketiga dan juga Mustang EcoBoost. Namun ia ditala lebih ‘jinak’ bagi menjana 280 PS pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 420 Nm bermula 3,000 hingga 4,000 rpm, membolehkan hot-hatch ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa di bawah enam saat.

    Ford menghasilkan enjin ini sebagai sebuah enjin yang mempunyai respon yang baik. Ia dipadankan dengan pengecas turbo twin scroll inersia rendah yang digerakkan oleh aliran ekzos lebih efektif, menampilkan saluran tambahan bagi ‘mengaut’ lebih gas ekzos bagi meminimakan gangguan antara aliran.

    Waste-gate sistem turbo ini beroperasi secara elektronik bagi membolekan tekanan boost dikawal dengan lebih tepat sekaligus mengotimakan penghasilan kuasa. Saluran kemasukan udara direka bagi mengoptimakan fungsi unit intercooler, manakala ekzos pula dihasilkan bagi mengurangkan back pressure sistem berkenaan.

    Ford Focus ST 2019 – 2.3L Ecoboost petrol dengan antilag 280 PS/420Nm, 2.0L turbodiesel 190 PS/400 Nm

    Focus ST EcoBoost turut menerima sistem turbo anti-lag bagi memastikan boost sentiasa tersedia walaupun pada rpm rendah. Sistem ini diambil dari supercar Ford GT dan trak F-150 Raptor. Dalam mod pemanduan Sport dan Track, sistem anti-lag ini akan membuka injap pendikit walaupun pemandu telah melepaskan pedal. Dengan cara ini, pengecas turbo akan terus berputar pada kelajuan tinggi, membolehkan boost diberikan sejurus selepas pedal pendikit ditekan semula.

    Bagi model diesel pula, enjin 2.0 liter EcoBlue tersebut diberikan pengecas turbo geometri bervariasi (VGT) inersia rendah dan juga omboh besi (bukan aloi) yang kurang mengembang pada suhu panas. Manifold kemasukan bersepadu enjin ini pula menerima proses porting berkilat bagi mengoptimakan pembakaran dan menghasilkan 10 peratus lebih kuasa.

    Secara keseluruhan, enjin EcoBlue ini mampu menjana 190 PS pada takat 3,500 rpm dan tork 360 Nm bermula 1,500 rpm dan tork maksima 400 Nm hadir pada 2,000 hingga 3,000 rpm, memberikan karekter pecutan linear pada enjin ini. Tork yang dihasilkan ini juga adalah lebih dua kali ganda berbanding enjin petrol 2.0 liter Duratec ST pada Focus generasi pertama ST170.

    Dua pilihan kotak gear diberikan untuk Focus ST generasi baharu ini iaitu enam-kelajuan manual dan juga tujuh-kelajuan automatik. Buat pertama kali juga Focus ST ditawarkan dengan teknologi Selectable Drive Modes yang akan menala semula karekter kereta ini berdasarkan pilihan dan senario pemanduan.

    Ford Focus ST 2019 – 2.3L Ecoboost petrol dengan antilag 280 PS/420Nm, 2.0L turbodiesel 190 PS/400 Nm

    Untuk versi manual, Focus ST diberikan short-shifter (7 peratus lebih pendek dari model standard), teknologi rev-match (membolehkan teknik heel and toe dilakukan secara automatik) dan juga LSD sebenar yang dikawal secara elektronik (eLSD) dari Borg Warner berbanding ‘LSD palsu’ Torque Vectoring pada model sebelumnya.

    Manakala untuk versi automatik, ia hadir dengan teknologi Adaptive Shift Scheduling yang sentiasa menilai gaya pemanduan oleh pemandu bagi memberikan pemasaan tukaran gear yang sesuai. Pemandu turut boleh bertukar ke mod manual dan menukar sendiri gear dengan pedal pada roda stereng. Namun versi ini tidak menerima eLSD, sebaliknya masih dibekalkan denga sistem Torque Vectoring yang akan memberikan sedikit brek pada roda sebelah dalam ketika mengambil selekoh bagi mengelakkan berlakunya understeer.

    Selain dari enjin dan transmisi, Selectable Drive Modes turut berhubung dengan sistem suspensi Continuously Controlled Damping (CCD). Teknologi CCD akan memantau bukan sahaja suspensi, malah badan, stereng dan input brek setiap dua milisaat dan melaras kembali respon penyerap hentak.

    Bahagian belakang Focus generasi baharu ini menerapkan suspensi gantungan bebas short long arm (SLA) yang direka bagi memberikan tindak balas yang baik tanpa mengorbankan keselesaan. Berbanding versi standard, Focus ST ini diberikan talaan suspensi lebih keras – 20 peratus di hadapan dan 13 peratus di belakang. Ia juga 10 mm lebih rendah dari model biasa yang bukan sahaja memberikan cengkaman lebih baik, malah turut tampil dengan stance lebih agresif.

    Ford Focus ST 2019 – 2.3L Ecoboost petrol dengan antilag 280 PS/420Nm, 2.0L turbodiesel 190 PS/400 Nm

    Ford menala sistem stereng berkuasa elektrik (EPAS) Focus ST ini 15 peratus lebih pantas, manakala perisian Steering Torque Disturbance Reduction pada sistem EPAS berkenaan direka bagi mengurangkan torque steer ketika memecut.

    Brek hadapan menerima cakera berdiameter 330mm x 27mm dengan angkup dua omboh, manakala belakang pula diberikan cakera 302mm x 11mm. Ia turut dilengkapkan dengan booster brek elektronik yang mempunyai respon yang lebih cepat dari booster vakum konvensional, manakala sistem brek ini secara keseluruhan telah diuji dan disahkan empat kali lebih tahan fade berbanding ST sebelum ini.

    Tiga mod pemanduan hadir secara standard iaitu Slippery/Wet, Normal, Sport. Jika anda memilih opsyen Performance Pack, ia turut mempunyai Launch Control dan mod Track Drive yang mampu melaras semula eLSD, CCD, EPAS, mapping pendikit, pemasa tukaran gear automatik, ESC dan electronic sound enhancement (ESE) serta. Anda tidak perlu tercari-cari cara untuk memilih mod Sport kerana butang berkenaan terletak pada roda stereng, manakala butang “mode” pula membolehkan anda mengalih kepada mod lain.

    Berbanding model standard, Focus ST direka lebih agresif dengan elemen sarang lebah pada gril trapezoid, liang kemasukan udara lebih besar dengan kemasan matte disekeliling, spoiler bumbung lebih besar dengan kemasan hitam berkilat bersama diffuser belakang lebih agresif yang turut menempatkan sepasang tip ekzos pada kedua-dua sisi (hanya satu ditengah untuk model biasa).

    Hot-hatch ini turut menerima skirt sisi lebih labuh, pembuka pintu berwarna hitam dan juga roda lebih garang dengan pilihan rim aloi 18-inci Dark Sparkle atau Magnetite yang turut ditawarkan dalam saiz 19-inci. Set rim berkenaan dibaluti dengan tayar berprestasi tinggi Michelin Pilot Sport 4S. Tujuh warna badan ditawarkan untuk Focus ST ini iaitu Ford Performance Blue, Orange Fury, Frozen White, Magnetic grey, Race Red, Ruby Red dan Shadow Black.

    Pada bahagian kabin, anda dapat lihat panel instrumennya direka diinspirasikan dari Ford GT, manakala skrin Ford Performance memaparkan bacaan digital untuk tekanan boost turbo, tekanan dan juga suhu minyak pelincir. Seperti model sebelumnya, ST baharu ini juga menerima tempat duduk hadapan dari Recaro.

    Ciri lain yang turut ditampilkan pada bahagian dalaman model baharu ini adalah roda stereng sport rata di bawah, tombol gear aloi dan scuff plate berlogo ST, set pedal aloi, elemen-elemen dekoratif metallic hexagonal dan satin silver, serta serlahan jahitan benang metal grey pada tempat duduk, kemasan pintu serta konsol tengah.

    Kelengkapan lain dari Focus Mk4 standard turut dibawa ke model lebih pantas ini seperti sistem infotaimen Ford SYNC 3 dengan skrin sesentuh lapan-inci, paparan Head-up, serta sistem-sistem keselamatan seperti Adaptive Cruise Control bersama fungsi Stop & Go, Speed Sign Recognition, Lane-Centring serta Adaptive Front Lighting System yang berfungsi menggunakan kamera bagi mengagak lengkung cahaya. Ford Focus ST akan mula di jual di Eropah bermula musim panas 2019.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025