Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Volkswagen Care Plus – program keahlian baharu untuk pemilik VW dengan kereta 5 tahun ke atas

    Volkswagen Care Plus – program keahlian baharu untuk pemilik VW dengan kereta 5 tahun ke atas

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) secara rasminya telah memperkenalkan Volkswagen Care Plus (VCP), program eksklusif untuk pemilik Volkswagen dengan kenderaan yang berusia lima tahun dan ke atas. Untuk mendaftarnya cukup mudah, hanya dengan sekali pembayaran berjumlah RM138, dan ia boleh dilakukan di mana-mana rangkaian pengedaran Volkswagen bertauliah.

    Kad keistimewaan VCP ini termasuk dengan tiga baucer 20% diskaun servis, lanjutan dua tahun bagi Bantuan tepi Jalan Volkswagen dan juga baucer cenderahati bernilai RM100. Semua ini boleh dilihat dan diuruskan menerusi aplikasi dalam talian selepas jualan yang baru dilancarkan.

    Maklumat yang diperoleh menerusi laman web juga mendedahkan ahli VCP boleh mendapatkan penjimatan sehingga RM1,500 apabila menyelenggara kenderaan mereka, namun diskaun terbabit hanya untuk servis jadual berkala seperti Volkswagen Standard Maintenance Schedule (termasuk alat ganti dan kos buruh). Untuk maklumat lanjut mengenai Volkswagen Care Plus, sila KLIK DI SINI.

     
     
  • TAS 2019: Nissan X-Trail Impul nampak lebih sporty

    TAS 2019: Nissan X-Trail Impul nampak lebih sporty

    Melalui laporan Tokyo Auto Salon 2019 yang kami naikkan sebelum ini, anda sudah melihat pelbagai konsep rekaan yang menonjol daripada beberapa nama besar dalam industri ubah suai kenderaan. Ini pula daripada Impul, di mana kit badan terbarunya diletakkan pada X-Trail T32.

    Walaupun SUV asalnya lebih kepada pemanduan lasak, kini ramai penggemar yang setakat menggunakannya di bandar dan kit badan yang sporty dirasakan lebih relevan. Itulah yang dilakukan oleh Impul dan X-Trail talaan mereka ini nampak lebih rendah dan bergaya.

    Seperti yang boleh dilihat, keliling X-Trail ini menggunakan bahagian dari Impul, di mana untuk bahagian depan, keseluruhan bampar adalah baru dan di bawahnya terdapat kemasan tajam yang nampak terkeluar ke hadapan dan tepi. Tidak cukup dengan itu, Impul turut meletakkan lampu di penjurunya.

    TAS 2019: Nissan X-Trail Impul nampak lebih sporty

    Untuk gril, unit V-Motion standard sekarang diganti dengan unit yang menggunakan garisan mendatar, dan di tengahnya terdapat lambang Impul besar dengan lampu di belakangnya. Pada bahagian tepi, terdapat side skirt nipis manakala rim pula adalah unit 20 inci daripada Impul sendiri.

    Untuk mengikuti konsep agresif sama seperti di hadapan, bampar belakang juga diberi tambahan kemasan baru di bawahnya, siap dengan diffuser di tengah dan dua muncung ekzos petak di penjuru. Lihat ke bahagian atas pula, anda akan nampak Impul telah menambah satu lagi spoiler di atas spoiler biasa X-Trail.

     
     
  • Volvo S60 T5 Inscription 2019 ditayang di Singapura

    Volvo S60 T5 Inscription 2019 ditayang di Singapura

    Satu lagi sedan membuat penampilan di Singapore Motor Show 2019, S60, mencuri tumpuan umum. Unit pemanduan sebelah-kiri yang ditayangkan ini menggunakan platform Scalable Product Architecture (SPA) buatan Volvo, seperti S90 dan XC60. Membuatkan S60 menjadi pesaing rapat dengan Mercedes-Benz C-Class, BMW 3 Series dan Audi A4.

    Unit yang ditayangkan ini merupakan varian T5 Inscription, dan dijanakan oleh enjin 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder dengan kuasa 254 hp dan tork 350 Nm. Dengan unit Drive-E, dipadankan bersama transmisi automatik sumber-Aisin lapan-kelajuan, dengan pacuan disalurkan ke roda hadapan.

    Bagi rekaannya, S60 menampilkan imej yang dibayangi model Volvo baharu, termasuk lampu nyalaan siang LED “Thor’s Hammer” dan lampu belakang seperti S90. Lain-lain elemen termasuk gril enam-poin dan sepasang corong ekzos yang disambungkan ke bampar belakang.

    Didatangkan dengan pakej kemasan Inscription, gril hadapannya tampil dengan kepingan menegak tanpa bingkas bersama hiasan krom berhampiran lampu kabus dan jaluran nipis bersambung dengan ekzos. Model ini turut dipadankan dengan roda aloi potongan berlian hitam lima-jejari 19-inci.

    Di dalamnya, bentangan papan pemuka juga hampir sama dengan model terbaharu Volvo, dengan kluster instrumen digital 12.3-inci, sistem infotainmen Sensus, Linear Lime inlays dan sistem bunyi Bowers & Wilkins.

    Untuk pasaran kita S60 dijangka tiba di Malaysia pada suku ketiga 2019. Malaysia merupakan hub pemasangan serantau Volvo dan S60 akan dipasang di kilang di Shah Alam bagi pengedaran domestik dan turut dieksport ke Thailand, tetapi untuk edaran awal, ia mungkin unit yang diimport (CBU).

     
     
  • Lexus LC Convertible Concept muncul di NAIAS 2019

    Lexus LC Convertible Concept muncul di NAIAS 2019

    Lexus LC mungkin adalah antara model flagship paling menarik yang pernah diperkenalkan oleh sayap kenderaan premium jenama Jepun itu setakat ini dan di Malaysia, harganya mencecah RM940k tidak termasuk insurans. Namun, pasti ada yang mahukan sesuatu yang berbeza berbanding bentuk coupe sekarang dan sebagai jawapan, Lexus telah menghasilkan pula LC bumbung boleh buka dipanggil sebagai LC Convertible. Walaupun begitu, ia masih sebuah konsep.

    Melalui model ini, bumbung gentian karbon pada model coupe diganti dengan bumbung boleh buka, tetapi tetapan tempat duduk masih lagi sama (2+2). Bukan setakat itu, Lexus juga berjaya menghasilkan bumbung ini tanpa mengubah banyak rekaan LC dan mengekalkan karekternya. Di belakang, LC Convertible ini nampak seakan lebih panjang dan terdapat bonjolan di belakang penyandar kepala penumpang belakang.

    Sudah tentu, sebagai sebuah kereta konsep untuk masa ini, ia juga diberikan barangan yang lebih menonjol seperti rim aloi dua tona 22 inci, manakala di bahagian dalam, ia menggunakan balutan kulit warna putih dengan jahitan benang kuning yang lebih menyerlah.

    Lexus LC Convertible Concept muncul di NAIAS 2019

    Spesifikasi teknikal untuk model bumbung boleh buka ini masih belum didedah tetapi kita boleh menjangka model produksi akan ditawarkan dengan enjin yang sama seperti model coupe iaitu unit V8 NA 5.0 liter 471 hp dan 540 Nm yang dipadankan bersama transmisi automatik 10 kelajuan serta unit hibrid padanan enjin petrol V6 3.5 liter dengan motor elektrik dengan jumlah kuasa keseluruhan 354 hp.

    “Versi produksi bagi kereta konsep ini akan menjadi sangat mengujakan dalam pelbagai cara. Anda akan dapat melihat garisan dinamiknya apabila semakin dekat, dengar bunyi enjinnya apabila hidup dan rasa semua benda di sekelilingnya apabila bergerak. Ia akan menghidupkan deria dalam pelbagai cara dan menyeronokkan setiap kali dipandu,” kata ketua perekanya, Tadao Mori.

     
     
  • KTM Komuter beroperasi tanpa henti mulai 19 hingga 22 Jan ini sempena Thaipusam, 934 tren disediakan

    KTM Komuter beroperasi tanpa henti mulai 19 hingga 22 Jan ini sempena Thaipusam, 934 tren disediakan

    Sempena dengan sambutan Thaipusam pada 21 Januari ini, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTM Berhad) bakal menyediakan perkhidmatan tren KTM Komuter yang beroperasi tanpa henti selama empat hari tiga malam bermula 19 Januari ini.

    Menurut KTMB, operasi tren yang akan dilanjutkan itu membabitkan laluan Seremban-Batu Caves, Batu Caves-Seremban, Pelabuhan Klang-KL Sentral dan KL Sentral-Pelabuhan Klang. Perkhidmatan itu disediakan bagi memberi kemudahan pengangkutan kepada orang ramai khususnya penganut Hindu serta pelancong untuk ke Batu Caves.

    “Operasi tren akan dilanjutkan selepas waktu perkhidmatan sedia ada, dengan penambahan 132 perkhidmatan tren, menjadikan jumlah tren yang disediakan adalah sebanyak 934 tren. Kita jangkakan lebih dua juta pengguna akan menggunakan perkhidmatan KTM Komuter sempena Thaipusam 2019 berbanding 1.3 juta pengguna pada perayaan yang sama tahun lalu,” ujar Pengurus Besar Operasi KTM Berhad S. Mahendran seperti yang dilaporkan Bernama.

    Katanya lagi, perkhidmatan tren ulang-alik dari Batu Caves-Sentul-Batu Caves turut disediakan buat penumpang bagi mengelakkan kesesakan di Stesen Batu Caves. Kemudahan bas turut disediakan secara percuma di Stesen Sentul untuk ke Stesen KL Sentral dan penumpang boleh menyambung perjalanan menaiki tren mahupun mod pengangkutan awam lain untuk ke destinasi seterusnya.

    “Kaedah bayaran tambang perlu dibuat menggunakan Kad Komuter Link atau Touch n Go sahaja dan bersempena Thaipusam, Kad Komuter Link akan dijual pada harga RM3 berbanding RM5 bermula 19 hingga 22 Januari ini. Penumpang warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan kanak-kanak berumur dua hingga enam tahun perlu menggunakan tiket khas untuk mendapatkan harga konsesi dengan diskaun tambang sebanyak 50%,” katanya.

     
     
  • Lorong kiri jalan raya khusus untuk motosikal berkuasa kecil belum dimuktamadkan – Anthony Loke

    Lorong kiri jalan raya khusus untuk motosikal berkuasa kecil belum dimuktamadkan – Anthony Loke

    Statistik Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) 2018 menunjukkan lebih 60 peratus daripada 6,742 kes kemalangan maut lalu lintas melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal. Justeru, JKJR kini mengkaji cadangan untuk menghadkan lorong kiri jalan raya khusus untuk pengguna motosikal terutama kapcai sebagai usaha mengurangkan kadar kemalangan maut bagi pengguna kenderaan itu.

    Ketua Pengarah JKJR Datuk Rosli Isa berkata pihaknya kini sedang melihat keberkesanan pelaksanaan langkah itu di negara-negara maju seperti Hong Kong dan Australia. Menurutnya lagi, penggunaan lorong kiri untuk motosikal berkuasa kecil 150 cc dan ke bawah telah lama dipraktikkan di negara-negara tersebut.

    Walau bagaimana pun, buat masa ini, Kementerian Pengangkutan belum membuat sebarang keputusan muktamad mengenai perkara tersebut.

    Lorong kiri jalan raya khusus untuk motosikal berkuasa kecil belum dimuktamadkan – Anthony Loke

    Menurut menterinya Anthony Loke, mengambil maklum akan cadangan itu, namun ia perlu dikaji, laporan Bernama.

    “Jika kita nak kurangkan kadar kemalangan maut sudah semestinya kita kena kurangkan kadar kemalangan motosikal… jadi apa apa cadangan kita terbuka untuk melihatnya. Kita tidak boleh meletakkan satu tempoh muktamad untuk ia dilaksanakan, daripada segi undang-undang kita boleh sahaja bersetuju dengan cadangan itu namun yang paling penting bagaimana cara kita boleh menguatkuasakannya,” katanya kepada pemberita semalam.

    Beliau berkata pihaknya juga mengambil maklum akan aspek penguatkuasaan lemah yang mendorong kepada peningkatan statistik kemalangan lalu lintas, justeru langkah penguatkuasaan serta peraturan sedia ada akan diperketatkan lagi.

     
     
  • TAS2019: Honda Civic Type R HKS FK380R – 380 PS!

    TAS2019: Honda Civic Type R HKS FK380R – 380 PS!

    Antara banyak-banyak Honda Civic Type R FK8 yang diubahsuai di Tokyo Auto Salon 2019, unit yang diubahsuai oleh badan penala ‘otai’ Jepun – HKS – ini adalah yang paling saya suka. Civic R yang diberi nama HKS FK380R ini langsung tidak diberikan perubahan pada kit badan, tetapi dipenuhi dengan kelengkapan mekanikal untuk berperang!

    Seperti namanya, Type R kepunyaan HKS ini dibekalkan kuasa 380 PS dan tork maksima 510 Nm dari enjin K20C 2.0 liter VTEC Turbo yang asalnya hanya menghasilkan 320 PS/400 Nm. Menurut maklumat yang dipaparkan, angka kuasa yang dicapai ini diekstrak dengan hanya menggunakan turbin standard yang dibekalkan dari kilang Honda.

    Jadi apa yang dilakukan HKS bagi mendapatkan kuasa sedemikian? Pertama sistem ekzos disentuh dahalu dengan menukar down pipe asal serta kit ekzos penuh HKS Legamax Premium, dan diakhir dengan muffler HKS HiPower Spec-L menggantikan tiga muncung ekzos asal Type R FK8.

    TAS2019: Honda Civic Type R HKS FK380R – 380 PS!

    Kemudian sistem kemasukan turut dirombak dengan pemadanan kotak angin gentian karbon HKS untuk pengambilan udara lebih sejuk dan juga kit penapis udara ‘cendawan’ HKS berwarna merah yang digelar Racing Suction (berbanding hijau untuk HKS Power Super Flow biasa) lengkap dengan ram udara ke sistem asal.

    Sebelum udara yang disedut tadi masuk ke throttle body, ia terlebih dahulu disejukkan dengan lebih efisien dengan kit Intercooler HKS R Type, manakala lebihan boost akan dibuang oleh injap blow-off HKS Super SQV. Dengan perubahan corak dan jumlah kemasukan udara kedalam kebuk pembakaran ini, talaan semula dibuat dengan pemadanan kotak komputer Hondata Flash Pro. Kit penyejuk minyak pelincir turut dipadankan bagi memastikan suhunya kekal rendah walaupun kereta ini sedang dibelasah di atas litar.

    Tiada sebarang maklumat berkenaan sistem transmisi. Jadi berkemungkinan ia masih menggunakan sistem klac. kotak gear manual enam-kelajuan dan juga LSD asal Honda Civic Type R FK8.

    Kuasa yang besar ini turut hadir sekali dengan sistem pengendalian dan brek yang lebih baik bagi memastikan ia masih boleh dikawal dengan baik. HKS memberikan set lengkap suspensi boleh laras sepenuhnya HKS Hipermax IV SP. Oleh kerana suspensi asal Civic Type R menggunakan sistem adaptif yang dihubungkan pada mod pemanduan, set dari HKS ini turut hadir dengan kit Suspension Error Canceler SEC Type H.

    Untuk set rim dan roda, HKS membuktikan lebih besar tidak semestinya lebih baik. Rim asal Type R FK8 yang berdiameter 20-inci ditukarkan dengan rim aloi forged Advan Racing RS DF dan dibaluti tayar litar Yokohama Advan AD52 bersaiz 265/35R18 – kombinasi rim lebih kecil dengan tayar gemuk ini nampak lebih racing dari tayar ‘sotong’ asal kan?

    Kuasa pemberhentian juga diambil berat pada jentera dengan kuasa liar ini. Oleh itu, FK380R diberikan sistem brek lengkap dari Endless untuk bahagian hadapan manakala di belakang hanya menerima pad brek juga dari Endless.

    Seperti yang disebutkan tadi, tiada sebarang kit aero tambahan pada Civic ini. Ia tampil dengan warna badan hitam, kemudian HKS memberikan grafik ringkas dengan jalur pelekat krom pada bawah pintu bersama logo-logo HKS dan juga peralatan prestasi lain yang digunakan kereta ini.

    Untuk pameran di Tokyo Auto Salon ini, HKS turut memotong berberapa bahagian bampar hadapan bagi membolehkan anda melihat kelengkapan prestasi yang dipadankan seperti intercooler, dan juga corong udara khas untuk oil cooler.

    Ini kerana, setiap komponen ini dijual oleh HKS dan anda boleh membina FK380R anda sendiri sekiranya anda membeli setiap peralatan berkenaan. Kami juga difahamkan HKS kini turut sedang membangunkan kit bagi mendapatkan 430 PS dan 600 PS menerusi pelbagai kelengkapan lain termasuk turbin lebih besar!

     
     
  • TAS2019: Toyota Mark X GRMN – 3.5L V6 NA, 318 PS/380 Nm, manual 6-kelajuan, terhad hanya 350-unit

    TAS2019: Toyota Mark X GRMN – 3.5L V6 NA, 318 PS/380 Nm, manual 6-kelajuan, terhad hanya 350-unit

    Satu ketika dahulu, pasaran Jepun dipenuhi dengan sedan-sedan besar yang sporty dan berkuasa tinggi seperti Toyota MkII dan Chaser dijana siri enjin JZ serta Nissan Laurel dan Cedric dijana enjin siri RB dan VG. Namun sekarang, sedan-sedan besar JDM tidak lagi dihasilkan dengan konsep yang sama, sebaliknya ia kini hanya menampilkan imej yang mewah.

    Jika anda rindu dengan kereta-kereta sedemikian, Toyota Mark X GRMN ini adalah untuk anda, itu pun kalau anda kini menetap di Jepun. Kereta ini didedahkan di Tokyo Auto Salon 2019, dan menurut Toyota ia hanya dibina sebanyak 350 unit sahaja.

    Mark X ini diberi lencana GRMN (Gazoo Racing Meister of Nürburgring) dan bukan hanya GR atau GR Sport, jadi ia adalah model ubahsuai penuh yang diberikan peningkatan kuasa kuda, prestasi pengendalian dan juga rupa yang lebih sporty seperti apa yang telah diterapkan pada model Toyota Yaris GRMN.

    TAS2019: Toyota Mark X GRMN – 3.5L V6 NA, 318 PS/380 Nm, manual 6-kelajuan, terhad hanya 350-unit

    Sedan ini dijana oleh enjin NA 3.5 liter V6 yang mampu menghasilkan 318 PS dan tork maksima 380 Nm dengan kuasa hanya dialirkan ke gandar belakang. Cukup seronok bukan? Tetapi Toyota bakal memberikan anda senyuman yang lebih lebar kerana Mark X GRMN ini turut diberikan dengan kotak gear manual enam-kelajuan!

    Untuk membezakan model istimewa ini dengan versi Mark X normal, gril hadapannya direka lebih kecil tetapi bahagian ‘mulut’ pada bampar hadapan direka lebih besar, memberikan muka yang lebih garang. Bampar belakang pula dirombak sepenuhnya dengan diberikan sepasang liang udara menegak pada kedua-dua sisi dan diffuser udara yang turut menempatkan sepasang tip ekzos berkembar.

    Selain itu, kereta ini juga diberikan lencana-lencana GRMN pada tempat-tempat sepatutnya, dan juga lid spoiler pada penutup bonet belakang. Sekiranya anda mahu lebih lagi, opsyen bumbung yang diperbuat dari gentian karbon CFRP juga ditawarkan dengan harga tambahan, yang didakwa Toyota bahawa ia boleh mengurangkan berat sebanyak 10 kg serta merendahkan lagi titik graviti bagi membantu aspek pengendalian.

    Bagi melengkapkan rupanya, Toyota Mark X GRMN didatangkan dengan rim forged BBS bersaiz 19-inci, bersama tayar 235/40 R19 di hadapan dan 255/35 R19 di belakang. Angkup brek GR berwarna putih juga dapat dilihat disebalik set rim berkenaan yang memberikan kuasa pemberhentian yang lebih baik.

    Kabin sedan ini turut dihasilkan bagi menaikkan semangat memandu. Pemandu dan penumpang kini ‘dipeluk’ lebih kemas dengan pemadanan tempat duduk bucket GR, manakala kemasan gentian karbon diberikan pada konsol terowong dan sedikit pada panel pintu. Pemandu juga dapat memijak setiap pedal dengan lebih yakin kerana ia dipadankan dengan set pedal aluminium.

     
     
  • TAS2019: Honda S660 Neo Classic Racer Concept – kereta sport K-Car dengan gaya jentera lumba klasik

    TAS2019: Honda S660 Neo Classic Racer Concept – kereta sport K-Car dengan gaya jentera lumba klasik

    Ketika Honda mengumumkan bahawa kereta ini bakal di bawa ke Tokyo Auto Salon 2019, saya tidak berapa teruja melihat gambarnya. Tetapi apabila melihat Honda S660 Neo Classic Racer Concept ini depan mata, terus saya jatuh cinta dengan segala perincian yang diberikan.

    Kereta ini sebenarnya diubahsuai dari model asas kereta sport K-Car berenjin tengah Honda S660, kemudian diberikan kit badan Neo Classic yang telah dijual secara rasmi bermula September tahun lalu. Kit badan berkenaan menawarkan perubahan muka dan bahagian belakang secara keseluruhan menjadikan ia seolah-olah kereta sport dari era 60’an.

    Muka asal S660 yang kelihatan seperti ‘Baby NSX‘ dengan lampu hadapan tirus digantikan dengan muka yang diberikan lampu bulat serta bampar yang juga merubah imej bersegi kepada lebih bulat. Bahagian belakang juga mendapat rombakan menyeluruh di mana rekaan landai diganti dengan bentuk yang lebih bersegi bersama lampu belakang bulat. Bumbung kanvas pada S660 standard juga digantikan dengan bumbung keras, bersama panel tambahan pada sisi bonet enjin.

    TAS2019: Honda S660 Neo Classic Racer Concept – kereta sport K-Car dengan gaya jentera lumba klasik

    Manakala Neo Classic Racer ini pula menggambarkan bagaimana sekiranya Neo Classic dijelmakan dalam bentuk jentera lumba sebenar. Oleh itu, lampu hadapan menerima kemasan pelindung berbentuk-X (seperti kereta-kereta lumba era tersebut yang menampal pita berbentuk-X pada lampu) dan juga bampar yang dilengkapi gril yang lebih banyak liang kemasukan udara bersama rekaan seakan spoiler hadapan.

    Fender hadapan diberikan flare tambahan manakala bahagian ruang roda belakang pula diberikan panel sisi yang lebih lebar – kesemua komponen tambahan ini bersama spoiler ‘ekor itik’ dipasang dengan rivet yang diserlahkan, membuatkan ia sedikit kelihatan seperti Lotus Elise.

    Bampar belakang pula menerima rombakan keseluruhan menampilkan liang udara lebih besar, manakala corong ekzos tunggal asal pada tengah bampar digantikan dengan tip berkembar diletakkan pada bahagian atas-membuatkan ia seakan jentera lumba Le Mans era 60’an.

    Cermin sisi pandang belakang asal pula telah digantikan cermin sisi jenis ‘tanduk’ diletakkan di atas fender hadapan, diambil dari Datsun Fairlady 240Z/Nissan Skyline C10 Hakosuka. Klip bampar hadapan yang diperbuat dari kulit seperti tali pinggang turut dipadankan bagi menambah perincian seperti kereta lumba klasik sebenar. Bahan yang sama juga dibuat sebagai lencana ‘Neo Classic Racer’ diletakkan pada muncung hadapan.

    Kereta ini berikan set rim aloi forged Work Meister berdiameter 17-inci, dibaluti tayar Toyo Proxes 888R. Turut kelihatan disebalik rim berkenaan adalah cakera brek yang ditebuk, bersama angkup dari Endless pada bahagian hadapan.

    Masuk ke kabin yang sangat kecil ini, pemandu akan disambut oleh tempat duduk perlumbaan klasik Bride tanpa perehat kepala, dibaluti kulit merah. Sekali lagi, bagi memperlihatkan ia seperti kereta lumba sebenar, Neo Classic Racer diberikan tali pinggang perlumbaan dua-poin, tiada tempat duduk penumpang diberikan, roda stereng perlumbaan klasik Momo California balutan kulit, serta dilindungi dengan binaan rollcage penuh.

    Perincian lain yang turut diberikan pada kabin kereta ini termasuk set pedal dan tombol gear aluminum dan juga jalur merah-biru pada panel dalaman pintu serta bahagian kiri papan pemuka-yang turut menyerlahkan perkataan ‘Neo Classic Racer.

    Tiada perincian mekanikal didedahkah bagi model istimewa ini. Untuk Honda S660 versi standard, model pengganti Honda Beat ini menerima enjin petrol tiga-silinder 660cc dengan pengecas turbo diletakkan di belakang tempat duduk pemandu. Enjin yang menjana 64 hp dan tork maksima 104 Nm tersebut memacu tayar belakang menerusi kotak gear manual enam-kelajuan.

    GALERI: Honda S660 Modulo X

     
     
  • TAS2019: DAMD Suzuki Jimny Little G dan Little D – Merc G-Wagen dan Land Rover Defender skala kecil!

    TAS2019: DAMD Suzuki Jimny Little G dan Little D – Merc G-Wagen dan Land Rover Defender skala kecil!

    Cuba teka, apa model yang paling popular di bawa untuk diubahsuai ke Tokyo Auto Salon (TAS) tahun ini? Nissan GT-R R35? Honda Civic Type R FK8? Tet, salah! Jawapannya Suzuki Jimny generasi baharu. Boleh dikatakan purata 50 meter anda berjalan dalam dewan pameran acara ini akan terserempak dengan Jimny. SUV ladder frame kompak tersebut bukan sahaja diubahsuai oleh pembuat peralatan 4X4, malah dari pengeluar kit badan mewah seperti DAMD dan Liberty Walk, sehingga penala hardcore seperti Trust turut mempunyai demo car yang diasaskan dari Jimny!

    Suzuki Jimny Little G dan Little D hasil ubahsuai DAMD ini pernah kami paparkan sebelum ini. Alang-alang dah terserempak secara berdepan dengan replika Land Rover Defender dan Mercedes-Benz G-Class (a.k.a G-Wagen) skala kecil ini, kami bawakan galeri langsung untuk anda.

    Little G di berikan perumah lampu hadapan baharu bersama lampu isyarat membelok menegak dan juga gril dengan rekaan G-Wagen AMG, lengkap dengan logo Mercedes-Benz bersama bampar ala-AMG. Jalur kemasan sisi diberikan sepanjang badan SUV ini, dan turut disempurnakan dengan ruang roda yang direka semula dengan lebih berpetak dan juga tip ekzos yang keluar dari sisi – sama seperti G Wagen sebenar.

    Bahagian belakang hanya menampilkan perubahan pada perumah tayar gantian yang dilekatkan dengan Logo DAMD bersama lampu dengan grafik LED baharu. Dan bagi melengkapkan G-Class kecil ini, rim asal digantikan dengan rim pelbagai jejari digilap seperti rim pada Mercedes-AMG G63.

    Manakala untuk Little D, bahagian-bahagian yang sama seperti perumah lampu dengan lampu kecil dan lampu isyarat bulat, gril hadapan, bampar hadapan dan skid plate, ruang roda sisi direka bagi mendapatkan rupa seiras Land Rover Defender. Bahagian muncung bonet hadapan diberikan perkataan ‘LITTLE D’ bagi mengajuk perkataan ‘DEFENDER’ pada Land Rover sebenar.

    Tiada perumah roda gantian pada bahagian belakang untuk Little D di mana set roda tersebut digantung tanpa sarung. Berbeza dengan Little G, Defender kecil ini menerima perubahan yang banyak pada lampu belakang apabila set lampu asal tidak digunakan lagi, digantikan dengan lampu bulat individu, seperti konsep pada Defender sebenar. Bagi pembeli yang berminat, rak bumbung turut ditawarka sebagai opsyen.

    Little D turut didatangkan dengan set roda baharu. Rim asal Jimny ini ditukar kepada rim besi yang kelihatan seperti rim Defender klasik sebenar. Perincian kecil lain seperti rivet-rivet yang kelihatan serta mud-flap bersaiz besar turut diberikan pada SUV kecil ini membolehkan ia kelihatan seperti Defender jika dilihat hanya sekali imbas.

    Oh ya, kami juga dapat melihat ruang dalaman kedua-dua SUV ini (tetapi tidak dibenarkan masuk). Anda boleh lihat bahawa Little G menerima balutan kulit pada tempat duduk digabungkan dengan corak berlian pada bahagian tengah seperti Mercedes-AMG G63, manakala Little D pula diberikan balutan kulit bersama fabrik tartan menyerlahkan imej sebuah kenderaan dari British.

     
     
  • Toyota RAV4 2019 dilancarkan di S’pore Motor Show

    Toyota RAV4 2019 dilancarkan di S’pore Motor Show

    Toyota RAV4 generasi kelima buat pertama kali melakukan penampilan peringkat ASEAN di Singapore Motor Show 2019, hanya selepas sembilan bulan ia didedahkan di New York International Auto Show tahun lalu. Kini telah pun boleh ditempah, RAV4 ditawarkan dengan varian tunggal oleh Borneo Motors, berharga SGD119,988 dengan COE.

    Ia menerima enjin 2.0 liter empat-silinder Dynamic Force, dengan hamburan kuasa 170 hp pada 6,600 pm dan tork 203 Nm pada 4,400 rpm. Penjana kuasa ini, yang menampilkan VVT-iE (intake) dan VVT-i (ekzos), menyalurkan pacuan ke roda hadapan menerusi Direct Shift-CVT terkini dari Toyota.

    Berbanding model sebelumnya, RAV4 baharu ini menampilkan gaya yang lebih agresif, dengan banyak permukaan rata dan bersudut pada bahagian badan. Dengan pengaruh dari konsep FT-AC, ia menampilkan gril umpama Tacoma, lapisan plastik pada gerbang roda, “bumbung terapung” dan lampu belakang kombinasi LED yang lebih langsing.

    Ciri luaran lain yang turut didatangkan secara standard termasuklah roda 18-inci, lampu utama LED projektor automatik dengan lampu nyalaan siang, lampu kabus hadapan dan tailgate berkuasa dengan operasi tanpa kunci dan fungsi memori.

    Di dalamnya pula, bentangan yang disemak semula dengan gaya yang lebih kontemporari dan reflek dengan rekaan luaran, turut mendatang ciri termasuk unit utama ‘freestanding’.

    Semana lain termasuk corong udara mendatar, yang disambung ke suis baharu untuk sistem kawalan suhu dwi-zon (dengan corong belakang), rekaan roda stereng baharu, tuil gear baharu, brek parkir elektronik dan paparan pelbagai-info tujuh-inci pada kluster instrumen.

    Untuk kit keselamatam pula, RAV4 spesifikasi Singapura dilengkapi dengan Toyota Safety Sense Package, dengan Sistem Pra-Pelanggaran (PCS), Lampu Utama Automatik (AHB), Kepekaan Ketibaan Lorong (LDA) dan Kawalan Kelajuan Radar Dinamik (DRCC), bersama tujuh beg udara, VSC, ABS, Bantuan Brek dan Kawalan Bantuan Mula Mendaki (HAC).

     
     
  • TAS2019: Daihatsu Copen Coupe terhad 200 unit

    TAS2019: Daihatsu Copen Coupe terhad 200 unit

    Pada penghujung Disember lalu, Daihatsu Copen Coupe disahkan akan diproduksikan untuk pasaran negara kelahirannya, Jepun. Walau bagaimana pun hanya 200 unit sahaja yang akan diproduksi, jadi kena terap konsep “siapa cepat, dia dapat”.

    Sedang dipertontonkan di Tokyo Auto Salon 2018 setelah model konsepnya diperkenalkan di penganjuran yang sama dua tahun lalu, coupe ini dibangun berdasarkan model Copen Cero iaitu versi roadster yang mengingatkan pada Copen original.

    Ia dilengkapi dengan bumbung hardtop gentian karbon boleh lipat dengan penukaran bagi panel badan boleh tanggal Dress-Formation pada model standard. Malah bahagian belakangnya yang kecil kini menjadi sebahagian daripada bumbung dan turut memberikan akses untuk but.

    TAS2019: Daihatsu Copen Coupe terhad 200 unit

    Selain itu, ia juga didatangkan dengan cermin hadapan anti-kabus, dengan lapisan eXeview buatan AGC. Beberapa pilihan bagi coupe biasa turut diberikan secara standard, termasuk roda aloi BBS 16-inci, roda stereng Momo (dengan padanan penukar pedal bagi varian CVT) dan juga limited-slip differential bagi varian manual.

    Malah pembeli juga berpeluang untuk menyuaipadankan dengan beberapa pilihan termasuk HKS sport muffler, kit suspensi HKS baharu dan sistem bunyi Daitone yang dipertingkatkan. Hanya dua pilihan warna ditawarkan – British Green Mica dengan warna dalaman tan dan Pearl White III dengan dalaman hitam.

    Walau bagaimana pun, bagi sistem mekanikalnya tiada perubahan, Coupe masih mengekalkan enjin 660 cc pengecas turbo tiga-silinder seperti peraturan yang ditetapkan bagi kei car, mampu menghasilkan 64 PS pada 6,400 rpm dan tork 92 Nm pada 3,200 rpm. Ia dipadankan sama ada dengan transmisi CVT tujuh-kelajuan atau manual lima-kelajuan.

     
     
  • TAS2019: Suzuki Jimny Sierra Pick-up Concept – jelmaan semula Toyota BJ40 dalam era moden!

    TAS2019: Suzuki Jimny Sierra Pick-up Concept – jelmaan semula Toyota BJ40 dalam era moden!

    Untuk generasi-genarasi awal Suzuki Jimny, ia sememangnya hadir sekali dengan varian badan pikap selain dari model penuh biasa. Tetapi untuk model generasi baharu, versi khas untuk kegunaan mengangkat barang tersebut masih belum diperkenalkan. Pada Tokyo Auto Salon 2019 yang sedang berlangsung, jenama berkenaan telah pun mendedahkan model Jimny Pick-up berasaskan versi generasi terkini.

    Apa yang menarik, model yang digelar Suzuki Jimny Sierra Pick-up Concept ini menampilkan ubahsuai kearah retro. Gril asal Jimny generasi baharu ditukar kepada yang menyerupai model generasi JA12, kemudian panel-panel kemasan kayu diberikan pada sekeliling badan dan turut menampilkan logo Badak Sumbu ikonik Jimny.

    Bagi menjadikan ia sebuah pikap, kabin bahagian belakang dipotong dan digantikan dengan bed. Panel checkered plate diberikan pada bahagian pintu tailgate dan sedikit pada atas bampar hadapan dan belakang. Kemudian sports bar bersama empat lampu sorot dipadankan, bersama over fender pada setiap ruang roda bagi melengkapkan rupa sebuah pikap off-road sebenar.

    TAS2019: Suzuki Jimny Sierra Pick-up Concept – jelmaan semula Toyota BJ40 dalam era moden!

    Untuk kelihatan lebih old school, Suzuki memberikan warna badan kuning cair pada trak pikap ini, bersama rim klasik kemasan putih lengkap dengan penutup hab roda krom. Secara keseluruhan, model pikap konsep Jimny ini kelihatan seperti Toyota Land Cruiser klasik generasi BJ40!

    Untuk pengetahuan anda, di Jepun Jimny dijual dengan menggunakan badan standard yang kurang lebar, bersama enjin 660 cc tiga silinder bagi mengekalkannya sebagai sebuah model di bawah undang-undang Kei-Car.

    SUV ini juga sebenarnya masih kekal dibina menggunakan asas ladder frame; tiga sudut bersama gandar hidup tiga hubungan dan spring gegelung. Digandingkan dengan sistem 4WD separa masa bersama gear peralihan (2H, 4H, 4L), Jimny masih kekal sebagai jentera off-road sebenar, bukan crossover seperti Suzuki Vitara.

     
     
  • TAS2019: Toyota Hilux TRD Black Rally Edition

    TAS2019: Toyota Hilux TRD Black Rally Edition

    Tahukah anda, Toyota Hilux tidak lagi dijual di Jepun bermula tahun 2004 dan hanya kembali ke negara tersebut pada September 2017? Itu pun trak pikap berkenaan tidak dipasang di sana, sebaliknya diimport dari kilang Toyota Thailand. Jadi dengan kembalinya semula Hilux di pasaran JDM, trak pikap ini tidak terkecuali untuk mendapat sentuhan lebih sporty dari Toyota Racing Development (TRD).

    Ketika berlangsungnya Tokyo Auto Salon 2019, Toyota turut membawa salah satu Hilux TRD berkenaan, dan yang anda lihat kali ini digelar sebagai Hilux TRD Black Rally Edition. Model istimewa ini diberikan scuff plate hadapan bersama pelindung bawah yang dilarik dengan perkataan “TRD”, perumah lampu kabus berwarna merah, mud flap ala-kereta rali dengan kemasan aluminium di bawah, tip ekzos berkembar, sports bar TRD pada bed belakang, pemijak sisi dan juga pelekat TRD pada bahagian bawah pintu.

    Trak pikap TRD ini juga diberikan rim baharu kemasan hitam bersaiz 17-inci. Tetapi walaupun ada perkataan ‘Rally’ pada namanya, ia hanya dipadankan dengan tayar jenis All-Terrain dan tidak khusus untuk penggunaan permukaan off-road lebih lasak.

    TAS2019: Toyota Hilux TRD Black Rally Edition

    Kami tidak diberikan kebenaran untuk melihat bahagian dalaman Hilux TRD ini, namun dalam brosur yang diberikan tercatat bahawa ia menerima sistem pembesar suara JBL bersama peralatan-peralatan TRD lain seperti tombol gear kulit balutan kulit, pelindung pemegang pintu, penutup pengisi minyak serta penghadang matahari.

    Tiada peningkatan kuasa kuda diberikan. Untuk pasaran Jepun, Hilux hanya menerima enjin 2GD-FTV 2.4 liter turbodiesel dengan sistem suntikan diesel terus common-rail menghasilkan kuasa 148 hp pada takat 3,400 rpm dan juga tork maksima 400 Nm bermula 1,600 rpm.

    Tidak ada kotak gear manual ditawarkan, di mana ia hanya diberikan kotak gear automatik enam-kelajuan Super ECT. Kesemua model juga datang standard dengan bentuk badan twin-cab dan juga sistem 4WD yang boleh diubah menggunakan suis putar serta mod pemanduan Eco dan Power.

     
     
  • TAS2019: Mugen Honda Civic Type R FK8 Prototype

    TAS2019: Mugen Honda Civic Type R FK8 Prototype

    Menyampah tengok Mugen RC20GT tadi? Okeh, ini satu yang lebih releven dari Mugen dalam menala Honda Civic Type R FK8 di Tokyo Auto Salon 2019. Model ini digelar Mugen Civic Type R Prototype, dan seperti namanya tentulah ia belum lagi diproduksi dan masih dalam peringkat pembinaan.

    Kereta ini tidaklah melampau dari RC20GT, tetapi memandangkan FK8 itu sendiri dalam keadaan standard sememangnya sudah pun agak melebih-lebih, jadi prototaip ini juga sebenarnya nampak agak keanak-anakkan.

    Hanya perubahan ringan diberikan pada hadapan di mana Mugen telah memadankan spoiler bampar yang lebih besar dengan warna badan, sepasang kemasan penutup pada kedua-dua liang udara hadapan, kemasan gentian karbon pada gril bersama emblem Mugen, dan juga skup udara pada bonet yang diberikan pembahagi tambahan di tengahnya.

    TAS2019: Mugen Honda Civic Type R FK8 Prototype

    Bahagian sisi, model ini diberikan skirt lebih labuh juga dengan kemasan warna badan, penutup cermin sisi dari material gentian karbon serta set rim Mugen pelbagai jejari 20-inci sama seperti RC20GT, dibaluti tayar Pilot Sport Cup 2 bersaiz 245/30ZR20.

    Beralih kebelakang, lampu-lampu asal telah ditukar dengan lampu LED dengan rekaan grafik tersendiri, bersama spoiler belakang boleh laras lebih besar dengan rekaan sama seperti RC20GT tetapi dibuat dari aluminium (RC20GT menerima unit dari gentian karbon).

    Manakala pada bahagian bampar pula, diffuser udara lebih besar diberikan dengan kemasan hitam. Dan jika anda perhatikan, tip ekzos tiga corong asal Type R FK8 pada bahagian tengah telah digantikan dengan sistem hanya dua corong, dilindung dengan perumah berwarna perak.

    Mugen turut memberikan sentuhan pada bahagian dalaman. Tempat duduk bucket merah dengan perehat belakang boleh laras asal Type R digantikan dengan unit bucket tetap dari Mugen berwarna hitam. Roda stereng menerima kemasan gentian karbon, manakala tombol gear pula dibalut dengan kulit merah, dengan grafik penunjuk lengkap bersama perkataan ‘Mugen’.

    Mugen tidak mendedahkan sebarang perubahan pada sistem mekanikal (kalau ada pun mungkin kami tidak faham kerana semua material media diberikan dalam bahasa Jepun, dan tiada sorang pun wakil mereka tahu berbahasa Inggeris), namun apa yang pasti, tiada lagi sebarang angka kuasa dinyatakan.

    Dalam keadaan standard, Civic Type R FK8 dijana enjin K20C1 2.0 liter VTEC Turbo yang mampu untuk menghasilkan 320 PS dan tork maksima 400 Nm, dipadankan dengan kotak gear manual enam-kelajuan memacu roda hadapan. Jadi macam mana? Yang ini ok ke tidak?

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025