Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Proton X70 – perbandingan spesifikasi penuh

    Proton X70  – perbandingan spesifikasi penuh

    Seperti yang diketahui, Proton X70 yang dilancarkan malam ini menawarkan empat varian iaitu Standard 2WD, Executive 2WD, Executive AWD dan Premium 2WD.

    Walau bagaimana pun, semua varian masih menggunakan enjin yang sama iaitu 1.8 liter turbo TGDi empat-silinder petrol dengan hamburan kuasa 181 hp dan tork 285 Nm dari 1,700 hingga 4,400 rpm, bersama padanan kotak gear automatik enam-kelajuan dengan mod manual, dan boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 10.5 saat.

    Untuk pengetahuan, varian 2WD yang dipacukan oleh roda-hadapan, ia seberat 1,700 km, dan mempunyai penggunaan bahan api bercampur 7.8 l/100 km (bersamaan 12.8 km/l). Manakala bagi model AWD pula, ia melibatkan pertambahan berat sebanyak 100 kg disebabkan gandar belakang yang ditampilkannya. Sekali gus akan mempengaruhi bacaan kadar penggunaan bahan apinya. Sistem AWD berkenaan akan mengagihkan saluran kuasa antara 100:0 atau 70:30 dari roda depan ke roda belakang. Unit berkenaan dibangunkan oleh Borg Warner.

    Proton X70  – perbandingan spesifikasi penuh

    Proton X70 juga telah dibuka tempahannya sejak 17 Oktober lalu. Mulai esok, ia bakal berada di semua bilik pameran Proton di seluruh negara. Jadi, adakah anda antara ribuan rakyat Malaysia yang bakal mengunjungi bilik pameran Proton terdekat?

    Sebelum berbuat demikian, kami sarankan anda supaya meneliti lebih terperinci spesifikasi bagi setiap varian yang ditawarkan untuk barisan SUV X70 ini. Nah! Sekali lagi kami memberikan perbandingan bagi perincian dan spesifikasi penuh mengikut varian di sini. Moga sedikit sebanyak dapat membantu anda membuat pilihan yang tepat sekiranya berhajat untuk membelinya.

    Proton X70 Standard 2WD – RM99,800 (tanpa insurans)

    Luaran:

    • Lampu utama halogen
    • Rim aloi 17-inci dengan tayar profil 225/65
    • Lampu utama auto & Follow Me Home
    • Lampu kabus hadapan LED
    • Lampu belakang kombinasi LED

    Dalaman:

    • Tempat duduk balutan fabrik hitam
    • Roda stereng balutan kulit
    • Skrin sesentuh TFT 8.0-inci (resolusi 1,280 x 720)
    • Kamera undur
    • Brek parkir elektrik
    • Suis audio, telefon bebas tangan, kawalan kelajuan pada roda stereng
    • Drive Mode Selection (Normal, Eco & Sport)
    • Kemasukan pintar dengan butang penghidup enjin
    • Sistem infotainmen GKUI (dengan platform Android)
    • Pendingin hawa dwi-zon auto
    • Corong udara untuk tempat duduk belakang
    • Enam USB Port
    • Air purifier system
    • 4G WiFi (dengan Celcom)
    • Bluetooth
    • Sistem navigasi dalam talian
    • Pengenalan suara
    • 6-pembesar suara

    Keselamatan:

    • Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC)
    • ABS
    • EBD
    • Bantuan brek (BA)
    • Penahan brek auto
    • Sistem Kawalan Cengkaman (TCS)
    • Hill Hold Assist (HHA)
    • Kawalan Menurun Bukit (HDC)
    • Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS)
    • Empat pengesan parkir belakang
    • Enam beg udara SRS
    • Cagak ISOFIX
    • Tali pinggang keledar dengan sistem penegang dan pengehad beban

    Pilihan warna badan:

    • Snow White
    • Armour Silver

    Proton X70 Executive 2WD – RM109,800 (tanpa insurans)

    Tambahan:

      Luaran:

    • Lampu utama LED
    • Lampu nyalaan siang LED
    • Rim aloi 18-inci dengan tayar profil 225/60
    • Welcome lamp hadapan
    • Footwell lamp hadapan

    Dalaman:

    • Tempat duduk balutan kulit hitam
    • Larasan kuasa untuk tempat duduk pemandu
    • Auto dimming untuk cermin pandang belakang
    • 8-pembesar suara
    • Kamera pandangan 360-darjah

    Keselamatan:

    • Dua pengesan parkir hadapan

    Pilihan Warna:

    • Jet Grey
    • Cinnamon Brown

    Proton X70 Executive AWD – RM115,800 (tanpa insurans)

    Tambahan:

    Mekanikal:

    • Sistem pacuan semua roda Borg-Warner
    • Sistem pemantau tekanan angin tayar

    Luaran:

    • Rim aloi 19-inci dengan tayar profil 225/55
    • Dalaman:

      • 8-pembesar suara

      Hanya pilihan warna ini sahaja yang ditawarkan:

      • Snow White
      • Jet Grey

      Proton X70 Premium 2WD – RM123,800 (tanpa insurans)

      Tambahan:

      Luaran:

      • Rim aloi 19-inci
      • Bumbung panoramik

      Dalaman:

      • Tempat duduk kulit Nappa coklat
      • Roda stereng balutan kulit Nappa
      • Larasan kuasa untuk tempat duduk penumpang hadapan
      • 9-pembesar suara (dengan Power Amplifier dan subwoofer)

      Keselamatan:

      • Sistem Advanced Driver Assistance System (ADAS) (menampilkan lima kamera, 19 buah sensor dan satu radar yang mampu mengesan objek pada jarak 160 m)
      • Brek Kecemasan Sendiri (AEB)
      • Kawalan Kelajuan Adaptif (ACC)
      • Amaran Perlanggaran Hadapan (FCW)
      • Amaran Tukaran Lorong (LDW)
      • Amaran Titik Buta (BLIS)
      • Kawalan Lampu Tinggi Pintar (IHBC)

      Pilihan Warna:

      • Flame Red

      Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perincian dan spesifikasi penuh setiap varian bagi barisan Proton X70 ini, sila layari Carbase.my.

      GALERI: Proton X70 Standard 2WD

      GALERI: Proton X70 Executive 2WD

      GALERI: Proton X70 Executive AWD

      GALERI: Proton X70 Premium 2WD

     
     
  • Proton X70 menentang SUV segmen B dan C yang lain

    Proton X70 menentang SUV segmen B dan C yang lain

    Model SUV pertama Proton iaitu X70 akhirnya sudah pun dilancar, selepas sekian banyak teaser dan dipertonton dalam beberapa acara. Model ini menggunakan asas sama dengan Geely Boyue, dan ia dijual pada harga antara RM99,800 hingga RM123,800, sekaligus meletakkan ia di tengah dalam pasaran SUV yang agak banyak pesaingnya.

    Senarai model yang ditawarkan cukup pelbagai. Selain SUV segmen B dan C yang menggunakan platform kereta biasa (berkongsi dengan model hatchback kompak), terdapat juga model yang menggunakan platform pacuan roda belakang seperti Honda BR-V dan Toyota Rush. Perodua juga akan tampil dengan SUV yang menggunakan asas sama dengan Rush tidak lama lagi.

    Melihat ke satu bahagian lain, terdapat juga model yang lebih premium dari Eropah seperti Volkswagen Tiguan dan Peugeot 3008. Walaupun begitu, Proton akan bersaing di bahagian tengah, antara semua SUV ini – menarik pembeli Rush dan BR-V untuk mengeluarkan bayaran lebih sedikit untuk model asas X70, atau mengubah pandangan pembeli SUV yang lebih mahal kepada X70 Premium.

    Proton X70 menentang SUV segmen B dan C yang lain

    Proton X70 sebenarnya adalah sebuah SUV segmen C, yang bermakna ia lebih besar berbanding Honda HR-V, Toyota C-HR dan juga Mazda CX-3. Dengan ukuran 4,519 mm panjang dan 1,831 mm lebar, X70 adalah 59 mm lebih lebar berbanding HR-V, yang kami ambil sebagai penanda aras SUV segmen B.

    Saiz X70 adalah lebih hampir dengan Tiguan dan Mazda CX-5 (31 mm lebih pendek dan kurang lebar 9 mm berbanding CX-5), tetapi lebih kecil daripada dua model yang mempunyai pilihan tiga baris tempat duduk iaitu Honda CR-V (lebih pendek 77 mm dan kurang lebar 24 mm) dan Nissan X-Trail (lebih pendek 121 mm).

    Jarak roda 2,670 mm pada X70 ini menandakan ia 10 mm lebih panjang berbanding CR-V, tetapi kurang 30 mm berbanding CX-5 dan 35 mm lebih pendek berbanding X-Trail.

    Proton X70 menentang SUV segmen B dan C yang lain

    Proton X70 dikuasakan oleh enjin turbo 1.8 liter dengan kuasa 182 hp (184 PS) dan 285 Nm tork dari antara 1,700 hingga 4,400 rpm. Satu-satunya SUV segmen C Jepun yang menggunakan enjin turbo adalah CR-V; dengan enjin 1.5L VTEC Turbo yang menawarkan 190 hp (+8 hp) dan 243 Nm (-42 Nm), manakala model Eropah yang menggunakan turbo pula adalah Tiguan (1.4L, 148 hp, 250 Nm) dan Peugeot (1.6L, 165 hp, 240 Nm).

    X70 menggunakan transmisi automatik torque converter enam kelajuan dengan mod manual, sama seperti Peugeot 3008 manakala enjin TSI Tiguan pula dipadankan bersama kotak gear automatik klac berkembar. Melihat kepada CX-5 dan X-Trail pula, kedua-duanya ditawarkan dengan pilihan enjin NA 2.0L atau 2.5L (Mazda juga ada pilihan enjin 2.2L diesel turbo). CX-5 menggunakan transmisi 6AT manakala CX-5 dan CR-V menggunakan CVT.

    Proton ada menawarkan satu pilihan pacuan semua roda untuk X70 (Executive AWD), tetapi tiga varian lain adalah pacuan roda hadapan (FWD), termasuklah varian Premium paling tinggi. CR-V, CX-5 dan X-Trail juga boleh didapati dalam pilihan FWD atau AWD, tetapi Tiguan dan 3008 cuma datang dengan FWD manakala Subaru XV pula cuma datang dengan AWD sahaja.

    Selain daripada rekaan, kekuatan X70 turut berada pada senarai kelengkapannya. Model paling asas datang dengan lampu utama halogen dan tempat duduk fabrik, tetapi sistem infotainmen Geely Smart Ecosystem (GKUI) berasaskan Android, dengan ciri navigasi, streaming muzik dan kawalan suara dengan artificial intelligence datang terus secara standard untuk semua model.

    Kelengkapan lain yang diberikan untuk semua varian X70 adalah sistem masuk tanpa kunci dan butang pemula, pengawal pendingin hawa dua zon dengan corong di belakang dan sistem pembersihan udara, enam beg udara, Electronic Stability Control (ESC), Hill Descent Control dan kamera undur.

    Varian pertengahan Executive pula ditambah dengan lampu utama dan lampu siang LED, rim 18 inci, tempat duduk dibalut kulit tiruan, tempat duduk pemandu larasan kuasa, pengelap cermin automatik, cermin pandang belakang malap sendiri, pengesan jarak hadapan dan kamera 360 darjah. Varian Executive AWD juga mendapat semua kelengkapan ini, dan ditambah dengan sistem pemerhati tekanan angin tayar.

    Proton X70 menentang SUV segmen B dan C yang lain

    Kereta yang anda lihat ini, dan juga di dalam risalah jualan adalah varian Premium 2WD, yang mendapat rim 19 inci dan bumbung panoramik di luar. Di dalam pula, varian paling tinggi X70 datang dengan balutan kulit Nappa pada stereng dan tempat duduk, tempat duduk pemandu larasan lapan cara (dan sokongan belakang), tempat duduk penumpang hadapan larasan kuasa empat cara, kawalan suara dan sembilan pembesar suara (dengan amp dan subwoofer).

    Varian Premium yang paling tinggi juga datang dengan sistem Advanced Driver Assistance System (ADAS), yang termasuk Autonomous Emergency Braking (AEB), Forward Collision Warning (FCW) Adaptive Cruise Control (ACC), Lane Departure Warning (LDW), Blind Spot Information System (BLIS), Door Opening Warning System (DOW) dan Intelligent High Beam Control (HBC).

    Bumbung panoramik pada varian Premium adalah unik untuk segmennya, sementara satu-satunya SUV yang mempunyai Adaptive Cruise Control (ACC) pula adalah CR-V varian paling atas dengan Honda Sensing. Untuk AEB, memang semakin banyak model yang dilengkapinya, tetapi di antara pesaing X70, ia hanya boleh didapati pada CR-V, CX-5 dan Toyota Rush. Ya, model Eropah juga tidak mempunyai AEB dan ACC.

    Proton X70 menentang SUV segmen B dan C yang lain

    Selain Proton X70 (lima bintang dalam ASEAN NCAP), hanya CR-V dan CX-5 sahaja yang boleh didapatkan dengan “pakej penuh” sistem bantuan pemandu, tapi itupun CR-V tidak mempunyai sistem lampu tinggi automatik manakala CX-5 pula tidak mempunyai ACC. Untuk kamera pandangan 360 darjah, SUV lain yang mempunyainya adalah Nissan X-Trail dan Toyota Rush.

    Itulah dia – Proton X70 yang merupakan SUV segmen C dilancarkan dengan harga yang hampir seperti Honda HR-V. Selain enjin turbo, kelebihan lain yang dapat dilihat atas kertas pada X70 ini adalah kelengkapan, terutamanya sistem keselamatan dan bantuan pemandu. Honda dan Mazda memang ada menawarkan pakej keselamatan mereka sendiri, tetapi pada harga lebih tinggi (RM163,191 untuk CR-V 1.5TC Premium 2WD, dan dari RM148,214 untuk CX-5 GLS) dan X70 sebenarnya lebih lengkap dan tidak boleh dibanding lagi pada harga ini.

     
     
  • Proton X70: Tiada beza harga di Sabah dan Sarawak

    Proton X70: Tiada beza harga di Sabah dan Sarawak

    Ada seperkara lagi yang menarik tentang pelancaran rasmi dan pengumuman harga bagi model SUV pertama Proton X70 yang baru saja berlangsung. Seperti yang ramai sudah sedia maklum, harga rasmi telah pun diumumkan, bermula dari RM99,800 hingga RM123,800.

    Pada kebiasaannya, harga yang diumumkan itu merujuk kepada harga jualan di Semenanjung Malaysia sahaja. Bagi pelanggan di Sabah dan Sarawak, ia akan menjadi lebih tinggi, oleh kerana faktor pengangkutan dan logistik lainnya. Tetapi kini tidak lagi; Proton X70 akan dijual pada satu harga yang sama di Semenanjung dan juga Sabah dan Sarawak.

    Proton X70 ditawarkan dalam empat varian, dengan model paling asas, Standard 2WD (RM99,800), Executive 2WD (RM109,800), Executive 4WD (RM115,800) dan Premium 2WD (RM123,800). Menarik juga untuk melihat perbezaan antara model ini dengan “raja” SUV segmen C di Malaysia untuk sekian lama, Honda CR-V.

    Proton X70: Tiada beza harga di Sabah dan Sarawak

    Sebagai contoh, di Semenanjung, Honda CR-V 2.0 dijual pada harga RM138,308 tetapi di Sabah dan Sarawak, harganya ialah RM139,212. Bezanya mungkin tidak banyak, tetapi untuk Proton X70 menawarkan satu harga yang setara bagi seluruh Malaysia merupakan satu langkah yang bermakna.

    Ikuti juga laporan kami berkaitan pelancaran rasmi Proton X70; ketika ini merupakan unit CBU dari China, dengan model CKD akan diperkenalkan tahun hadapan. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang perbezaan perincian bagi setiap varian, baca juga laporan pecahan penawaran bagi setiap varian.

    GALERI: Proton X70 Executive 2WD

    GALERI: Proton X70 Executive AWD

    GALERI: Proton X70 Premium 2WD

     
     
  • Proton X70 dilancar secara rasmi – harga bermula RM99,800 hingga RM123,800, 4 varian ditawarkan

    Proton X70 dilancar secara rasmi – harga bermula RM99,800 hingga RM123,800, 4 varian ditawarkan

    SUV pertama dari Proton – X70 akhirnya dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohammed di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. Boleh dikatakan semua perincian berkenaan SUV segmen-C tersebut sudah pun didedahkan oleh Proton, cuma yang belum adalah harganya sahaja.

    Seperti diketahui, empat varian ditawarkan untuk model ini, bermula dengan varian asas Standard 2WD dijual pada harga RM99,800, varian Executive 2WD berharga RM109,800, varian Executive AWD berharga RM115,800 manakala varian tertinggi Premium 2WD berharga RM123,800. Kesemua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan, tanpa insuran, termasuk waranti lima-tahun/150,000 km. Istimewa untuk pelanggan di Sabah dan Sarawak, Proton X70 akan dijual di dua negeri Borneo berkenaan dengan harga yang sama dengan di semenanjung.

    Dengan pengumuman harga ini, sah Proton menawarkan sebuah SUV segmen-C seperti Honda CR-V, Mazda CX-5 dan Volkswagen Tiguan, pada harga sekitar SUV segmen-B yang lebih kecil seperti Honda HR-V dan Mazda CX-3. Malah model varian tertinggi X70 juga dijual jauh lebih murah dari Toyota C-HR yang juga dari segmen-B. Versi-versi awalan ini juga adalah dari unit CBU dari China, sementara produksi model CKD dengan lebih banyak perincian tersendiri dari Proton dihasilkan di Tanjung Malim hanya akan bermula tahun hadapan.

    Proton X70 dilancar secara rasmi – harga bermula RM99,800 hingga RM123,800, 4 varian ditawarkan

    Proton X70 mempunyai dimensi 4,519 mm panjang, 1,831 mm lebar, 1,694 mm tinggi serta jarak roda 2,670 mm. Bagi memudahkan anda membuat perbandingan, SUV Proton ini adalah 77 mm lebih pendek dan 24 mm kurang lebar dari CR-V, tetapi 15 mm lebih tinggi dan mempunyai jarak roda 10 mm lebih panjang dari SUV segmen-C Honda tersebut.

    Kesemua varian yang ditawarkan ini berkongsi enjin dan transmisi yang sama iaitu enjin petrol empat silinder 1.8 liter TGDI turbo berkuasa 181 hp dan tork maksima 285 Nm digandingkan dengan kotak gear enam kelajuan automatik. Enjin ini diambil terus dari asas X70 iaitu Geely Boyue dan ia perlu diselenggara menggunakan minyak pelincir dari Shell.

    Untuk model 2WD dengan berat 1,700 kg, X70 mencatatkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 10.5 saat manakala penggunaan bahan api kitaran campuran pula adalah 7.8 l/100 km (bersamaan 12.8 km/l). Tiga pilihan mod memandu boleh dipilih oleh pemandu iaitu Normal, Eco dan Sport.

    Proton X70 dilancar secara rasmi – harga bermula RM99,800 hingga RM123,800, 4 varian ditawarkan

    Ketiga-tiga mod ini akan melibatkan perubahan warna pada bahagian meter; warna putih bagi mod Normal, beralih ke Eco dalam warna hijau dan terakhir mod Sport dalam warna merah untuk memudahkan pemandu serta mewujudkan kelainan rasa pemanduan bagi setiap mod yang ada.

    Proton mengambil pendekatan yang hampir sama dengan Honda CR-V, di mana versi dengan sistem pacuan semua roda hanya ditawarkan pada model pertengahan, sementara versi dengan spesifikasi tertinggi hanya menerima pacuan roda hadapan. Juga seperti CR-V, ia hanya datang dengan versi lima tempat duduk, tanpa pilihan tempat duduk pada baris ketiga.

    Rekaan luaran SUV ini menampilkan rekaan sedikit berbeza dari Geely Boyue facelift. Pada bahagian hadapan, gril asal Boyue digantikan dengan gril Proton yang dihasilkan dari inspirasikan dari busur panah dengan kemasan krom, manakala rekaan bahagian tengahnya digelar infinite weave yang diambil dari elemen ukiran kayu pada rumah-rumah tradisi melayu.

    Bahagian lain dilihat masih sama seperti Boyue facelift, dan kerja-kerja penghasilan X70 ini sebenarnya tertumpu kepada untuk merubah kedudukan pemandu dari sebelah kiri ke sebelah kanan memandangkan tiada lagi Boyue atau produk lain dari Geely dengan konfigurasi pemanduan sedemikian.

    Menurut ketua pereka Proton, Azlan Othman, perubahan kosmetik kecil ini adalah untuk mempercepatkan pengenalan X70 dalam pasaran, manakala versi CKD yang akan hadir pertengahan tahun hadapan bakal menampilkan perubahan yang lebih besar.

    Masuk ke kabin, hampir keseluruhan rupa adalah seiras dengan Boyue facelift. Namun Proton turut memberikan ‘sentuhan Malaysia’ pada bahagian dalaman X70. Jika gril pembesar suara dan kemasan bahagian belakang pembuka pintu Boyue diberikan rekaan ‘G’ yang membentuk motif seperti dinding tembok besar negeri China, komponen yang sama pada X70 menerima elemen infinite weave seperti pada gril hadapan.

    Bagi varian asas Standard 2WD, ia datang dengan lampu utama halogen, rim 17-inci, tempat duduk balutan fabrik hitam serta skrin sesentuh 8.0 inci yang disambung dengan kamera undur. Sistem infotainmen GKUI yang dibekalkan menggunakan asas Android, dan datang sekali dengan kad SIM, memori dalaman 16 GB, sambungan WiFi, Bluetooth, navigasi, pengenalan suara serta bermacam lagi. Untuk mengetahui lebih berkenaan sistem infotaimen pintar ini, baca berkenaan sistem GKUI pada ARTIKEL PADA PAUTAN INI.

    Untuk varian pertengahan Executive 2WD, ia ditambah dengan lampu utama serta lampu siang LED bersama rim 18 inci bagi bahagian luar. Manakala dalam kabin, versi ini tempat duduk balutan kulit sintetik hitam, larasan kuasa untuk tempat duduk pemandu serta pandangan kamera 360 darjah. Bagi varian Executive AWD pula, ia menerima sistem pacuan semua roda Borg-Warner serta sistem pemerhati tekanan angin tayar.

    Varian paling tinggi Premium 2WD diberikan kelengkapan penuh yang mampu menandingi spesifikasi model-model SUV Jepun dalam kelas yang sama. Ia menerima kesemua ciri yang ada pada varian Executive, bersama penambahan lain seperti tempat duduk kulit Nappa berwarna perang, tempat duduk penumpang hadapan larasan berkuasa, bumbung panoramik dan sistem Advanced Driver Assistance System (ADAS).

    Sistem ADAS tersebut menggunakan kamera dan radar ini menghasilkan pelbagai ciri keselamatan lain seperti Autonomous Emergency Braking (AEB), Adaptive Cruise Control (ACC, dari 30 hingga 150 km/j), Lane Departure Warning (LDW, amaran atau bantuan fizikal pada stereng), Blind Spot Information System (BLIS) dan Intelligent High Beam Control (IHBC yang dapat merendahkan kembali lampu tinggi secara automatik apabila ada kenderaan yang datang).

    SUV keluaran Proton ini turut dilengkapi dengan ciri lebih maju yang tidak ada pada saingan sekelasnya. Antaranya adalah hubungan dengan aplikasi telefon pintar untuk semua varian yang memaparkan pelbagai maklumat seperti jarak yang boleh dicapai dengan bahan api yang ada, purata penggunaan bahan api, jarak untuk servis seterusnya, serta boleh mengawal pelbagai fungsi seperti lampu dan juga kunci. X70 juga dibekalkan dengan lampu yang dipancarkan pada permukaan tanah apabila pintu hadapan dibuka (untuk varian Executive keatas sahaja)

    Ciri Electronic Stability Control (ESC) dan enam beg udara diberikan standard untuk semua varian. Sebelum dilancarkan, Proton X70 ini telah pun melalui ujian pelanggaran ASEAN NCAP, dan ia lulus cemerlang dengan mendapat keputusan lima-bintang penuh. Menurut Proton lagi, Geely Boyue facelift sendiri sebenarnya telah berjaya mendapat lima bintang serta markah yang tertinggi bagi kelasnya dalam ujian perlanggaran China NCAP – lebih tinggi daripada markah 56.6 yang diperoleh BMW X1.

    Proton X70 akan ditawarkan dalam lima warna iaitu Flame Red, Snow White, Armour Silver, Jet Grey dan Cinnamon Brown, tetapi ia bukanlah untuk semua varian. Varian Premium 2WD yang paling tinggi disediakan dengan Flame Red sebagai warna eksklusifnya, dan empat warna lain juga masih boleh didapati manakala varian Executive 2WD disediakan dalam empat warna dan dua lagi varian yang lebih rendah cuma boleh didapati masing-masing dalam dua pilihan warna sahaja.

    Harga yang disebutkan di atas juga adalah sekali dengan pakej data internet untuk kad sim bina dalam yang disertakan pada sistem infotainmen GKUI yang dinyatakan sebelum ini. Lebih perincian berkenaan SUV ini boleh anda ketahui di laman Carbase.my.

    GALERI: Proton X70 Standard 2WD

    GALERI: Proton X70 Executive 2WD

    GALERI: Proton X70 Executive AWD

    GALERI: Proton X70 Premium 2WD

     
     
  • TVS Apache RTR200 dan Neo X3i tiba di Malaysia – harga masing-masing RM10,950 dan sekitar RM4k

    TVS Apache RTR200 dan Neo X3i tiba di Malaysia – harga masing-masing RM10,950 dan sekitar RM4k

    Satu jenama motosikal yang terkenal di India iaitu TVS Motor Company membuat kemunculan di Malaysia dengan pelancaran dua model iaitu Apache RTR200 dan Neo X3i. Harga untuk Apache RTR200 ditetapkan pada RM10,950 tidak termasuk insurans manakala untuk Neo X3i ia masih belum ditetapkan secara rasmi (mungkin berada sekitar RM4k). Pengedaran, penjualan dan khidmat lain berkaitan jenama ini diuruskan oleh Daju Motors Sdn Bhd.

    Apache RTR200 yang dilancarkan di Malaysia ini adalah model terbaru tahun 2018, dan ia dikuasakan oleh enjin satu silinder 197.75 cc yang dipadankan bersama kotak gear lima kelajuan dengan klac jenis slipper, untuk menghantar kuasa sebanyak 21 PS pada 8,500 rpm dan 18.1 Nm tork pada 7,000 rpm ke roda belakang. Enjin ini mempunyai empat injap untuk setiap silinder, penyejuk minyak dan menggunakan sistem suntikan bahan api elektronik (EFI) Bosch.

    Kemudiannya di bahagian depan anda dapat melihat ia menggunakan fork teleskopik KYB dan brek cakera tunggal 270 mm manakala di belakang terdapat monoshock yang boleh dilaras untuk pra beban serta brek cakera tunggal 240 mm. Walaupun begitu, tiada sistem brek ABS pada motosikal ini.

    Berat keseluruhan Apache RTR200 adalah 149 kg, dan kelengkapan lain yang ada padanya termasuk tangki bahan api 12 liter, meter jenis digital dengan fungsi Lap Time dan lampu penanda waktu tukar gear, rim 17 inci serta tayar Pirelli Angel CT saiz 80/90 di depan dan 130/90 di belakang.

    Melihat kepada satu lagi model iaitu Neo X3i, ia adalah sebuah kapcai yang dikuasakan oleh enjin satu silinder SOHC 109.7 cc, bersama padanan kotak gear empat kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 8.5 hp pada 8,000 rpm dan 8.5 Nm tok pada 4,500 rpm.

    TVS Apache RTR200 dan Neo X3i tiba di Malaysia – harga masing-masing RM10,950 dan sekitar RM4k

    Bahagian hadapan motosikal ini menggunakan fork teleskopik biasa dengan brek cakera manakala di belakang pula terdapat dua penyerap hentak bersama brek jenis dram. Tangki bahan api pula berkapasiti empat liter, dan ia turut dilengkapi dengan rim 17 inci serta soket pengecas USB untuk kesenangan pengguna.

    Seperti yang diberitahu di atas, harga untuk Neo X3i masih belum ditetapkan dan menurut wakil Daju Motors ia berkemungkinan akan diumumkan sekitar bulan Februari tahun hadapan. Apabila diumumkan nanti, X3i ini adalah model pemasangan tempatan manakala Apache RTR200 pula untuk unit awal ini adalah diimport dari India (versi CKD akan muncul tahun depan)

    GALERI: TVS Apache RTR 200 2018

    GALERI: TVS Neo X3i

     
     
  • PM lancar program biodiesel B10 – bakal di pasaran mulai 1 Februari 2019, kurangkan CO2 sebanyak 10%

    PM lancar program biodiesel B10 – bakal di pasaran mulai 1 Februari 2019, kurangkan CO2 sebanyak 10%

    Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah pun melancarkan program biodiesel B10 untuk sektor pengangkutan di Putrajaya semalam. Biodiesel B10 – yang mengandungi 10% minyak sawit, meningkat dari 7% adunan yang buat masa ini dijual di stesen minyak – bakal di pasaran mulai 1 Februari 2019.

    Perdana Menteri berkata, penggunaan B10 itu bagi semua jenis kenderaan diesel seperti pacuan empat roda, lori dan bas juga akan mengurangkan pelepasan gas rumah kaca sebanyak 1.6 juta tan karbon dioksida setahun, laporan Berita Harian

    Dalam masa yang sama, beliau turut berharap program biodiesel itu diberikan perhatian serius dalam Dasar Automotif Kebangsaan (NAP) yang sedang dirangka dengan memastikan hanya kenderaan diesel yang boleh menerima biodiesel lebih daripada 10% dijual di Malaysia pada masa akan datang.

    PM lancar program biodiesel B10 – bakal di pasaran mulai 1 Februari 2019, kurangkan CO2 sebanyak 10%

    “Saya menyeru agar pengeluar kenderaan dan pengeluar peralatan asa (OEM) bekerjasama dengan kerajaan dalam menjayakan pelaksanaan program B10 ini termasuk sebarang program biodiesel pada masa akan datang. Program B10 akan menyumbang kepada pengurangan pembebasan gas karbon dioksida bersamaan dengan 10 peratus daripada jumlah kenderaan diesel setahun di Malaysia,” katanya ketika majlis pelancaran semalam.

    Tambahnya lagi, pelaksanaan Program B10 adalah tepat pada masa ini memandangkan harga biodiesel sawit yang rendah berbanding dengan diesel petroleum.

    “Hari ini, negara jiran kita Indonesia telah mengatasi Malaysia dan muncul sebagai pengeluar minyak sawit terbesar di dunia. Indonesia juga sudah berjaya melaksanakan program B20, iaitu 20% adunan biodiesel sawit dengan 80 peratus diesel fosil secara mandatori sejak Januari 2016 pada sektor pengangkutan tanpa sebarang masalah,” katanya.

    PM lancar program biodiesel B10 – bakal di pasaran mulai 1 Februari 2019, kurangkan CO2 sebanyak 10%

    Beliau juga berharap semua pihak akan bersedia sepenuhnya bagi peningkatan kadar adunan biodiesel kepada B20, iaitu 20% adunan biodiesel sawit dengan 80% diesel petroleum menjelang 2020. Malah, industri sawit di Malaysia digesa untuk berani meneroka pasaran baharu dan membuktikan di mata dunia bahawa kualiti minyak sawit Malaysia adalah antara yang terbaik.

    “Penggunaan biodiesel sawit akan memberi impak yang positif terhadap industri sawit melalui pengurangan stok minyak sawit dan seterusnya menstabilkan harga minyak sawit. Malah program Biodiesel negara juga akan membantu negara mencapai objektif mobiliti karbon rendah seperti yang digariskan dalam kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK- 11),” katanya.

     
     
  • Perodua dedah teaser kedua SUV D38L – wajah lain dari Rush, ASA 2.0 dengan pengesan pejalan kaki

    Perodua dedah <em>teaser</em> kedua SUV D38L – wajah lain dari Rush, ASA 2.0 dengan pengesan pejalan kaki

    Isnin lalu, Perodua telah mula mendedahkan iklan teaser pertama bagi model terbaru keluarannya, sebuah SUV yang dikenali dengan kod nama D38L (atau dipanggil juga dengan nama New Sport Utility, NSU). Iklan awal itu menampakan sosok SUV berkenaan – yang tampil dengan bentuk yang sama dengan Toyota Rush – dan mempunyai tiga barisan, tujuh-tempat duduk.

    Kali ini, Perodua muncul lagi dengan iklan teaser kedua bagi model sama. Jika yang pertama memberi tumpuan kepada saiz dan ruang yang ditawarkan, iklan kedua ini memberi tumpuan kepada aspek keselamatan pula.

    Mengikut jejak yang dimulakan oleh Myvi, SUV Perodua akan datang juga akan dilengkapi dengan enam beg udara dan sistem keselamatan Advanced Safety Assist (ASA). Tetapi, bagi penawaran terbaru kali ini, sistem berkenaan telah dikemaskini kepada ASA 2.0 dengan tambahan ciri pengesanan pejalan kaki.

    Perodua dedah <em>teaser</em> kedua SUV D38L – wajah lain dari Rush, ASA 2.0 dengan pengesan pejalan kaki

    Bagi Toyota Rush untuk pasaran tempatan, yang merupakan model yang berkongsi banyak persamaan dengan SUV Perodua ini, didatangkan dengan Sistem Pra-Perlanggaran (PCS). Ia merupakan versi yang ditambahbaik dari ASA yang digunakan Myvi; kelajuan aktifnya kini dinaikkan kepada 80 km/j (dari 30 km/j) serta pengesanan pejalan kaki dan membrek sehingga 50 km/j. ASA 2.0 yang dinyatakan ini sepatutnya akan menerima peningkatan yang sama.

    Dalam iklan terbaru ini, Perodua menunjukkan juga bahagian atas wajah depan NSU berkenaan, yang menampakkan persamaan dan perbezaannya berbanding Rush. Bonet dengan dua garis alun yang jelas nampak sama, begitu juga dengan bentuk lampu utama dan gril. Ini menunjukkan dengan jelas bahawa kedua-dua model ini sebenarnya ada pertalian rapat, tetapi dipisahkan dari sudut perincian yang lain.

    Gril pada SUV Perodua ini mempunyai lebih satu bilah; di kedudukan kedua, ia bertindak sebagai sayap bagi logo Perodua yang ditempatkan di tengahnya. Satu bilah krom dalam warna yang lebih cerah pula menghubungkan DRL dari kedua-dua sisi, dengan ketebalan yang sama. Lihat lebih dekat, DRL itu juga berbeza, mempunyai dua jalur berbanding Toyota Rush.

    Bahagian bawah bampar juga kelihatan ada sentuhan unik untuk versi Perodua. Bahagian berkenaan pada Rush nampak lebih besar dan agresif, manakala bagi unit Perodua ini ia kelihatan lebih ringkas. Wajah SUV Perodua ini juga berbeza dari Daihatsu Terios di Indonesia; Terios lebih mirip kepada penampilan Rush – gril krom yang lebih jelas, dengan bilangan bilah gril yang sama seperti Rush.

    Dalam iklan berkenaan, Perodua menyatakan yang D38L ini “mesra subsidi petrol”, dengan penggunaan enjin 1.5L. Rush menggunakan enjin 2NR Dual VVT-i yang sama dengan Myvi, dan kami jangkakan SUV Perodua ini juga akan gunakan unit jana kuasa yang sama. Bagi model Toyota itu, penggunaan minyak didakwa boleh mencapai 15.6 km/l, yang membolehkan SUV berkenaan tergolong sebagai kenderaan cekap tenaga (EEV).

    Kita juga boleh mengandaikan bahawa SUV Perodua nanti akan dijual pada harga yang lebih rendah berbanding “saudaranya” yang dipasarkan oleh Toyota; harga anggaran bagi Rush ialah dari RM93k hingga RM98k. Pesaing paling rapat SUV Perodua ini pula sebenarnya ialah Honda BR-V, yang dijual antara RM81k hingga RM88k. Jadi, ada kemungkinan D38L ini akan dijual pada harga sekitar RM70k, dengan kelebihan ciri seperti ASA 2.0?

    Jika ini menjadi kenyataan, adakah SUV Perodua nanti menjadi pilihan yang sangat berbaloi? Jangan lupa untuk daftarkan minat anda di sini.


    GALERI: Toyota Rush 1.5 S 2018

     
     
  • Volkswagen lakukan restorasi percuma untuk sebuah Beetle keluaran 1966 milik wanita berumur 73 tahun

    Volkswagen lakukan restorasi percuma untuk sebuah Beetle keluaran 1966 milik wanita berumur 73 tahun

    Ketika Adolf Hitler merancang untuk menghasilkan kereta bagi kegunaan rakyatnya dahulu, beliau menetapkan bahawa kereta tersebut perlu ringkas, tahan lasak, mudah dihasilkan dalam produksi yang besar dan murah – idea tersebut telah direalisasikan oleh ketua jurutera projek berkenaan iaitu Ferdinand Porsche dengan menghasilkan Volkswagen Beetle.

    Sejauh mana kejayaan projek tersebut? Seperti yang anda boleh lihat sekarang, terdapat banyak lagi Beetle yang masih merayap di atas jalan seluruh dunia walaupun produksi pertamanya sudah bermula pada tahun 1938. Produksi Beetle ini juga hanya dihentikan pada tahun 2003 dengan jumlah keseluruhan yang dihasilkan sebanyak 21,529,464 unit, membolehkan ia diiktiraf sebagai kereta paling lama dibuat menggunakan satu platform yang sama.

    Salah satu dari Beetle berkenaan telah dibeli oleh Kathleen Brooks dari Califronia, Amerika Syarikat. Kereta tersebut dibeli baru pada Disember 1966 di Riverside dan kemudian Beetle yang diberi nama “Annie” itu terus dipandu oleh Brooks sehingga hari ini. Tahun ini, Brooks telah pun berumur 73 tahun, sementara Annie pula 51 tahun dengan catatan perbatuan mencecah 350,000 batu atau 563,270 km, namun kedua-duanya masih setia antara satu sama lain untuk mengharungi kehidupan bersama.

    Apa yang lebih mengharukan, Annie dipandu Brooks setiap hari ke tempat kerja di mana dia bertugas untuk memberikan keselesaan dan penjagaan kosmetik kepada pesakit barah payudara, di mana dia sendiri sebenarnya sudah tiga kali bertarung dengan penyakit yang sama. Kisah Brooks dan Annie ini sampai ke telinga Volkswagen sendiri, dan jenama dari Jerman tersebut bersetuju untuk merestorasi semula Annie, secara percuma.

    “Sudah banyak kali saya katakan yang dia (Annie) dan saya banyak persamaan kerana dia sudah tua, dia sudah pudar, dia sudah kemek, dia sudah berkarat, tapi anda tahu tak? Dia masih lagi berjalan. Dan selagi saya menjaga dia dengan sebaiknya, dia akn terus berjalan,” kata Brooks kepada Volkswagen.

    Proses baikpulih Annie ini bukan dilakukan di bengkel biasa, sebaliknya ia di bawa semula ke kilang yang menghasilkannya dahulu, terletak di Puebla, Mexico. Menurut Volkswagen, proses restorasi Annie ini bukan disasarkan untuk menjadikannya seperti sebuah kereta yang hendak diletakkan sebagai pameran di muzium dengan komponen-komponen asli dari tahun yang dihasilkkan, sebaliknya akan dilakukan dengan konsep resto-mod iaitu baik pulih bagi membolehkan kereta itu dipandu dengan lebih relevan pada masa sekarang dan memastikan ia akan terus dipandu dalam tempoh masa selama yang mungkin.

    Kerja-kerja restorasi Annie ini telah berjalan selama 11 bulan, dilakukan oleh seramai 60 orang pekerja. Volkwagen menyatakan bahawa 357 komponen telah direstorasi semula, mankala 40% komponen lain telah ditukar. Selain menjalankan baikpulih terhadap casis, badan dan juga sistem pendawaian, Volkswagen menggantikan sistem brek dram kepada brek cakera, suspensi yang ditingkat taraf, enjin yang dirombak rawat dan dilengkapkan dengan peralatan lebih moden.

    Badan kereta ini menerima cat merah baharu tetapi masih menggunakan kod merah yang sama pada warna asal. Bahagian bumbung kini telah dilengkapkan dengan rak manakala kesemua tayar menerima ‘white wall‘, membolehkan Annie nampak lebih ranggi. Setiap pelekat yang telah di lekatkan oleh Brooks kepada Annie turut ditampal semula bagi mengekalkan kenangan antara tuan dan kereta tersebut.

    Pada bahagian kabin, papan pemuka dan panel-panel logam turut menerima cat baharu sama seperti warna badan. Ia menerima upholsteri baharu bersama sulaman nama “Kathleen” dan “Annie” pada tempat duduk hadapan. Volkswagen turut memberikan radio baharu untuk Annie bagi menggantikan sistem stereo lama.

    Annie baharu sahaja dipulangkan kepada Brooks setelah semua kerja-kerja restorasinya lengkap. Ia secara tidak langsung menjadi hadiah Krismas untuk Brooks dan Annie dapat dipandu dengan lebih selesa ketika cuti perayaan yang akan tiba tidak lama lagi.

    GALERI: Volkswagen Beetle 1966 ‘Annie’ sebelum direstorasi

    GALERI: Proses restorasi Volkswagen Beetle 1966 ‘Annie’

    GALERI: Volkswagen Beetle 1966 ‘Annie’ setelah siap direstorasi

     
     
  • Kadar pemakaian tali pinggang keledar masih rendah; kesedaran, penguatkuasaan harus digiatkan – MIROS

    Kadar pemakaian tali pinggang keledar masih rendah; kesedaran, penguatkuasaan harus digiatkan – MIROS

    Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) meluahkan kebimbangan terhadap kadar pemakaian tali pinggang keledar yang dianggap masih rendah di negara ini. Jika terbabit dengan kemalangan jalan raya, ia boleh mengakibatkan pemandu atau penumpang cedera parah mahupun melibatkan kematian.

    Menurut pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye, perkara ini boleh dielakkan jika aspek pemakaian tali pinggang keledar ditekankan, kesedaran orang ramai ditingkatkan, dan aktiviti penguatkuasaan dipergiatkan lagi, laporan Bernama.

    “Pada masa ini, kadar pemakaian tali pinggang keledar bagi pemandu berada pada kadar 90% manakala penumpang hadapan pula pada kadar 70%. Bagi penumpang belakang pula, kadar pemakaian masih rendah iaitu kira-kira 5%. Kadar kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya boleh diturunkan jika aspek pemakaian tali pinggang keledar ini diutamakan,” katanya.

    Jelasnya, antara yang sepatutnya dilakukan adalah semua penumpang memasang tali pinggang keledar sebelum memulakan perjalanan dan kerusi keselamatan yang bersesuaian disediakan untuk bayi serta kanak-kanak.

     
     
  • Kenderaan cermin gelap melebihi had yang ditetapkan bakal dikenakan yuran – faktor kesihatan terkecuali

    Kenderaan cermin gelap melebihi had yang ditetapkan bakal dikenakan yuran – faktor kesihatan terkecuali

    Kerajaan berkata yuran bakal dikenakan terhadap pemilik kenderaan bercermin gelap melebihi had yang ditetapkan, laporanThe Star. Walau bagaimana pun, tidak semua yang memohon untuk cermin gelap ini akan mendapatkannya, menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

    “Tiada kelulusan automatik, jadi perlu ada permohonan untuknya dan ada yuran yang perlu dibayar,” ujarnya. Beliau menambah bahawa pengecualian akan diberikan kepada pemilik kenderaan yang perlu menggunakan cermin gelap atas faktor kesihatan.

    Tidak ada kelulusan atau bayaran yang dikenakan jika menggunakan lapisan filem cermin gelap mengikut spesifikasi yang dibenarkan. “Sekiranya ia sesuai dengan standard, tiada kelulusan diperlukan,” kata Loke.

    Kenderaan cermin gelap melebihi had yang ditetapkan bakal dikenakan yuran – faktor kesihatan terkecuali

    Garis panduan cermin gelap kenderaan telah disemak semula pada Februari 2016, apabila peraturan yang dikemaskini, yang difailkan di bawah Peraturan Kenderaan Bermotor (Larangan Jenis Kaca Tertentu) 2016 yang menggantikan peraturan tahun 1991.

    Peraturan semasa menetapkan bahawa peratusan transmisi cahaya (VLT) minimum adalah 70% untuk cermin depan, 50% untuk tingkap depan, dan 30% untuk tingkap belakang dan cermin belakang.

    Peraturan terkini untuk kenderaan cermin gelap ini adalah sebahagian daripada Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2018 yang dibentangkan di parlimen semalam. Rang undang-undang yang dipinda itu dijangka diluluskan dan diwartakan untuk pelaksanaan pada Januari 2019.

     
     
  • Kerajaan akan pastikan harga RON95 tidak naik mendadak apabila diapungkan – Menteri KPDNHEP

    Kerajaan akan pastikan harga RON95 tidak naik mendadak apabila diapungkan – Menteri KPDNHEP

    Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan kerajaan akan memastikan harga RON95 bagi pengguna yang tidak layak mendapat subsidi bersasar, tidak meningkat dengan margin terlalu besar walaupun harga bahan api itu diapungkan mengikut harga pasaran.

    Katanya, peningkatan dengan margin terlalu besar akan memberi kesan langsung kepada Indeks Harga Pengguna (IHP), sekali gus menyebabkan inflasi meningkat.

    “Katakanlah pada hari pertama pelaksanaan nanti, perbezaan harganya 30 sen. Itu kita tidak mahu berlaku. Walaupun harus berlaku kenaikan 30 sen, ia harus dilakukan secara berdikit-dikit dalam satu tempoh tertentu contohnya antara enam ke lapan bulan,” katanya seperti yang dilaporkan Bernama.

    Kerajaan akan pastikan harga RON95 tidak naik mendadak apabila diapungkan – Menteri KPDNHEP

    Beliau berkata kementerian juga mendapatkan panduan daripada Jabatan Statistik yang membuat simulasi impak kenaikan bahan api pada kadar tertentu terhadap kenaikan IHP dalam menetapkan harga bahan api.

    Ditanya sama ada penetapan harga minyak akan dibuat secara mingguan atau bulanan seperti yang dilaksanakan kerajaan terdahulu, Saifuddin berkata perkara itu masih dalam peringkat perbincangan dengan Kementerian Kewangan.

    “Sebelum ini diputuskan berdasarkan mingguan. Kami menerima banyak maklum balas daripada pengedar dan syarikat minyak serta orang ramai. Oleh itu, kita perlu mengkaji secara menyeluruh untuk menentukan format yang terbaik,” katanya.

     
     
  • Suzuki Hayabusa GSX1300-R – pengeluaran dihentikan

    Suzuki Hayabusa GSX1300-R – pengeluaran dihentikan

    Peraturan emisi untuk motosikal produksi sekarang semakin ketat, dan nampaknya model terkenal Suzuki Hayabusa GSX1300-R tidak dapat melepasi tahap Euro 4 yang ditetapkan, dan pengeluarannya sekarang sudah dihentikan. Hayabusa sudah wujud sejak tahun 1999, dan pembaharuan paling besar cuma diberikan 10 tahun lepas.

    Dengan kuasa 173 hp dan 135 Nm tork yang datang daripada enjin empat silinder sebaris DOHC penyejukan cecair 1,340 cc, Hayabusa pernah diangkat sebagai motosikal produksi terpantas, sebelum rekodnya diambil oleh Kawasaki H2. Dulu, dalam keadaan standard Hayabusa boleh mencecah kelajuan 330 km/j tetapi model yang lebih baru telah dihadkan demi keselamatan.

    Hayabusa mempunyai berat 266 kg, dan ini bukanlah yang paling ringan kalau mengikutkan standard superbike sekarang, manakala suspensi pula menggunaan fork USD di hadapan dan monoshock di belakang. Bagi model Hayabusa yang terbaru, ia turut dilengkapi dengan angkup brek empat piston Brembo di hadapan, dan angkup satu piston Nissin, bersama sistem ABS di belakang.

    Suzuki Hayabusa GSX1300-R – pengeluaran dihentikan

    Kalau mahu dibandingkan lagi, Kawasaki ZX-14 juga mempunyai kemampuan yang lebih daripada Hayabusa, sekiranya ia tidak dihadkan demi keselamatan. Walaubagaimanapun, disebabkan dasar polisi tertentu, Hayabusa telah mendapat gelaran motosikal paling laju dalam saingan pada tahun 90-an dengan Kawasaki ZZR1100.

    Pemberhentian pengeluaran Hayabusa ini seterusnya membuatkan ramai yang tertanya apa model seterusnya yang akan dikeluarkan oleh Suzuki untuk bersaing dalam segmen motosikal seperti ini. Dengan kemampuan GSXR-1000 yang boleh bersaing dengan nama-nama besar lain, pastinya hasil Suzuki nanti cukup menarik.

     
     
  • Toyota bakal bawa Gazoo Racing Supra Super GT Concept ke Tokyo Auto Salon Januari tahun hadapan

    Toyota bakal bawa Gazoo Racing Supra Super GT Concept ke Tokyo Auto Salon Januari tahun hadapan

    Sejak tahun 2006, tiada lagi nama Toyota pada perlumbaan Super GT untuk ketegori tertinggi di mana cabaran jenama tersebut diambil alih oleh divisi mewahnya iaitu Lexus, selepas Toyota Supra generasi ke-empat direhatkan. Dengan kemunculan semula Supra generasi baharu yang dijadualkan pada Januari 2019 di Detroit, jenama tersebut turut mengumumkan bahawa versi konsep perlumbaan Super GT jentera berkenaan turut akan membuat kemunculan di Tokyo Auto Salon tahun hadapan, juga akan dilangsungkan pada pertengahan Januari.

    Menurut Toyota, mereka turut akan membawa sekali jentera-jentera perlumbaan terkini seperti Yaris WRC, jentera Le Mans TS050 Hybrid dan juga Lexus LC Nurburgring-Spec 2019 ke acara tahunan budaya modifikasi kenderaan terbesar Jepun itu.

    Toyota Gazoo Racing menyatakan bahawa mereka mensasarkan aktiviti sukan bermotor bagi membangunkan kereta dan manusia dengan sasaran “untuk membuat kereta yang lebih baik.” Mereka mengambil bahagian dalam perlumbaan kategori tertinggi termasuk Kejohanan Rali Dunia (WRC), FIA World Endurance Championship (WEC), dan juga perlumbaan dan rali pada peringkat nasional. Teknologi dan pengetahuan yang ditempa ketika berlumba akan digunakan untuk pembangunan kenderaan produksi.

    Selain dari konsep Super GT ini, Supra sebenarnya telah didedahkan dalam bentuk konsep perlumbaan Gazoo Racing di Geneva Motor Show Mac lalu, dan juga telah dijelmakan sebagai jentera Nascar bagi berlumba dalam kejohanan NASCAR Xfinity Series (NXS) tahun hadapan.

    GALERI: Toyota Supra Gazoo Racing Concept

    GALERI: Toyota Supra Nascar Xfinity Series 2019

     
     
  • Pindaan RUU Akta Pengangkutan Jalan dibentangkan di Dewan Rakyat – PBT boleh lupus kenderaan terbiar

    Pindaan RUU Akta Pengangkutan Jalan dibentangkan di Dewan Rakyat – PBT boleh lupus kenderaan terbiar

    Hari ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2018 untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

    Dalam pembentangan tersebut, Loke berkata RUU itu antara lain akan memberi kuasa kepada Majlis Bandaraya untuk menubuhkan pasukan warden lalu lintasnya sendiri. Di mana penubuhan pasukan itu dapat membantu anggota polis trafik dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam melakukan tugas rondaan dan menjaga lalu lintas di bandar raya besar, laporan Bernama.

    Loke juga berkata pindaan baharu itu juga bakal menambah baik proses pembatalan pendaftaran kenderaan bagi memudahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) melupuskan kenderaan terbiar.

    “Sekarang ini, pihak PBT mempunyai masalah untuk melupuskan kenderaan terbiar di kawasan mereka kerana kebanyakan kenderaan ini masih mempunyai pendaftaran masih hidup (sah). Jadi dengan pindaan baharu ini dapat memudahkan kerja PBT melupuskan kenderaan terbiar,” katanya.

    Sementara itu, Loke berkata di bawah pindaan baharu itu juga menteri bakal diberikan kuasa untuk menetapkan fi terhadap penggunaan cermin gelap oleh kenderaan.

    “Sebelum ini, tiada peruntukan undang-undang untuk kerajaan meletakkan caj atau fi terhadap cermin gelap, cuma menteri diberi kuasa untuk beri pengecualian kepada mana-mana individu melalui surat,” katanya.

     
     
  • Ferox Azaris – guna enjin BMW R1200GS, pacuan air

    Ferox Azaris – guna enjin BMW R1200GS, pacuan air

    Jentera enam roda Ferox Azaris ini memang nampak seperti sebuah kenderaan dalam filem. Ia belum lagi dijual kepada umum dan masih lagi sebuah konsep, tetapi menampilkan sistem kejuruteraan yang berlainan berbanding apa yang kita sudah biasa lihat.

    Dari pandangan mata kasar sahaja anda sudah boleh melihat ia mempunyai enam tayar – dua tayar di hadapan untuk mengendalikan arah manakala empat tayar lagi di belakang mempunyai motor pada setiap satunya. Bermakna, ia adalah sebuah kenderaan pacuan empat roda belakang.

    Menariknya, semua motor dalam roda tersebut tidak digerakkan oleh shaft ataupun rantai, sebaliknya menggunakan sistem bendalir yang terdiri daripada 95% air dan 5% aditif lain. Kuasa yang menggerakkan air itu pula datang daripada enjin boxer daripada model BMW R1200GS.

    Ferox Azaris – guna enjin BMW R1200GS, pacuan air

    Supaya anda lebih jelas, konsepnya adalah begini. Kuasa daripada enjin pergi kepada transmisi, kemudian ke pam air yang menembak air mampatan tinggi ke motor dalam roda, dan seterusnya roda berpusing untuk mencengkam jalan. Menurut pengeluarnya, setiap motor pada roda Ferox Azariz ini boleh digunakan untuk kuasa sehingga 678 Nm tork.

    Bahagian suspensi kenderaan ini juga adalah unik. Saluran air yang datang daripada enjin, menuju ke roda dicetak secara 3D dalam lengan ayun, dan ia seterusnya disambung dengan sistem suspensi jenis rocker. Anda tidak akan dapat melihat sebarang spring atau penyerap hentak, tetapi setiap roda masih boleh bergerak secara berasingan.

    Ferox Azaris – guna enjin BMW R1200GS, pacuan air

    Menurut ketua pegawai eksekutif Ferox, Tony Wheeler, sistem pacuan bendalir ini memberikan lebih penjimatan berat berbanding hab pemacu elektrik. Setiap motor dalam roda Azari ini mempunyai berat 11 kg, manakala kalau hab motor elektrik yang sama kuasanya mempunyai berat sekitar 30 kg. Sistem ini juga dikatakan responsif dengan kadar kecekapan sebanyak 98%.

    Pada masa hadapan, Azari berkemungkinan akan dipacu oleh motor elektrik, bagi menggantikan enjin boxer BMW tersebut dan ini dianggap lebih bersesuaian dengan teknologi lain yang ada padanya. Prototaip yang ada ini masih belum diuji atas jalan offroad, tapi atas jalan biasa, ia berfungsi dengan baik.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025