Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Suzuki Burgman Street 125 dilancarkan untuk India

    Suzuki Burgman Street 125 dilancarkan untuk India

    Pasaran India telah menerima satu model skuter baru apabila Suzuki melancarkan Burgman Street 125 di sana. Model ini sekarang menjadi skuter paling tinggi yang dipasarkan oleh Suzuki di India dan ia datang dengan pelbagai kelengkapan yang lebih moden.

    Burgman Street 125 mempunyai pengaruh rekaan daripada model Burgman berenjin kapasiti lebih besar, dan badannya juga lebih besar berbanding skuter biasa. Lampu depan dan belakangnya adalah unit LED, dan ia datang terus dengan penghadang angin kecil di hadapan.

    Untuk memberi kesenangan kepada pengguna, skuter ini dilengkapi dengan pengecas USB di ruang simpanan bawah pemegang, meter informasi digital, tempat kaki yang luas untuk penunggang utama, cangkuk meletak barangan, tempat letak kaki penumpang aluminium, pemula enjin elektrik dan ruang simpanan 21.5 liter di bawah tempat duduk.

    Suzuki Burgman Street 125 dilancarkan untuk India

    Bagi menggerakkannya, unit enjin satu silinder 124 cc berpenyejukan udara dan sistem karburetor digunakan, dan ia mampu menghasilkan kuasa sehingga 8.6 hp pada 7,000 rpm dan 10.2 Nm tork pada 5,000 rpm. Enjin ini kemudiannya dipadankan bersama transmisi CVT.

    Secara keseluruhannya, Burgman Street 125 mencatat berat 108 kg, dan ia datang dengan tangki bahan api berkapasiti 5.6 liter. Rim yang digunakan pula adalah bersaiz 12 inci di hadapan dengan tayar 90/90 manakala di belakang terdapat rim 10 inci dengan tayar 90/100.

     
     
  • Honda Malaysia jual 51k unit pada separuh pertama 2018 – kekal No.1 bagi segmen bukan-nasional

    Honda Malaysia jual 51k unit pada separuh pertama 2018 – kekal No.1 bagi segmen bukan-nasional

    Honda Malaysia telah berjaya menjual 51,354 kenderaan pada separuh pertama 2018, sekaligus menguasai 17.7% perkongsian pasaran dalam industrti automotif tempatan. Malahan dengan prestasi yang memberangsangkan ini telah mengekalkan Honda sebagai No.1 dalam segmen bukan-nasional, dan keseluruhannya berada di kedudukan kedua di belakang Perodua.

    Dalam kenyataan yang dihantar, syarikat ini berkata pencapaian ini mendorong keyakinan mereka untuk mencapai sasaran jualan bagi tahun 2018 iaitu sebanyak 109,000 unit.

    Malahan mengesahkan telah menerima jumlah tempahan tertinggi dalam sejarahnya yang dicatatkan pada Jun lalu iaitu sebanyak 20,000 tempahan. Ia didahului dengan tempahan City sebanyak 36%, diikuti dengan CR-V dan Civic masing-masing sebanyak 14%. Ia berikutan kadar sifar GST, ditambah pula dengan promo sempena perayaan Aidilfitri. Jangkaan menunggu bagi sesetengah model kini telah meningkat sehingga empat bulan.

    Model paling popular bagi Honda Malaysia pada separuh pertama 2018 ialah City, dengan 15,400 unit sedan segmen-B itu telah terjual. Tempat kedua dan ketiga pula diduduki oleh HR-V dan CR-V, dengan masing-masing 16% dan 13% dalam keseluruhan jualan. Hodan malaysia berkata tiga model ini, termasuk Jazz (hatchback segmen-B), BR-V (MPV), Accord (sedan segmen-D) dan Civic (sedan segmen-C) mendahului semua segmen daripada segi jualan.

    Berkenaan produk baharu, tahun ini agak kurang agresif berbanding 2017. Pada Februari lalu, Honda Malaysia telah memperkenalkan MPV Honda Odyssey dan HR-V facelift pula telah dibuka tempahannya serta bakal dilancarkan pada suku ketiga ini.

    GALERI: Prebiu Honda HR-V RS facelift

     
     
  • SST akan dikecualikan untuk kereta CKD – harga mungkin kekal seperti sekarang menjelang 1 Sept

    SST akan dikecualikan untuk kereta CKD – harga mungkin kekal seperti sekarang menjelang 1 Sept

    Berita yang baru diterima ini mungkin akan melegakan banyak pihak – menurut laporan Malaysiakini, Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dijadualkan akan berkuatkuasa 1 September ini tidak akan dikenakan kepada jualan kereta penumpang yang dipasang secara pemasangan tempatan (CKD).

    Menurut laporan itu, satu senarai telah dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kastam diRaja Malaysia, Datuk Subromaniam Tholasy dan kenderaan penumpang bermotor CKD adalah termasuk dalam senarai berkenaan.

    Pengecualian tersebut adalah termasuk dalam kategori sedan, pacuan empat roda, station wagon dan kereta lumba. Selain dari kereta, sebahagian alat ganti kenderaan juga akan terlibat dalam pengecualian ini, antaranya aksesori, pam bahan api dan juga injap cut-off bahan api.

    Ini bermaksud, harga kereta dan juga alat ganti yang terlibat mungkin akan kekal seperti 1 Jun lalu apabila Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dikadarkan pada sifar peratus walaupun sistem SST mula berjalan pada September nanti. ‘Cuti cukai’ yang bermula Jun lalu secara jelas menunjukkan kesan positif apabila jumlah jualan kenderaan naik 50% berbanding Mei 2018.

    KEMASKINITerdapat salah faham dari sumber berita iaitu Malaysiakini terhadap isu ini. Kereta masih lagi akan dikenakan cukai SST berkuatkuasa 1 September ini setelah penafian dibuat oleh pihak Kastam sendiri. Perincian lebih lanjut boleh ada baca pada artikel ini: Kastam nafi kenderaan penumpang CKD tak kena SST

     
     
  • Nissan Leaf Nismo akan mula dijual di Jepun Julai ini

    Nissan Leaf Nismo akan mula dijual di Jepun Julai ini

    Setelah ditunjukkan sebagai satu konsep waktu Tokyo Motor Show tahun lepas, Nissan akhirnya mengumumkan model Leaf Nismo akan mula dijual di Jepun hujung bulan ini. Walaupun Leaf merupakan sebuah model elektrik, Nissan mahu menunjukkan ia juga berpotensi menjadi sporty dengan talaan Nismo.

    Pada bahagian luarannya, Leaf Nismo ini menggunakan kit badan lebih agresif yang terdiri daripada bampar hadapan dan belakang baru, skirt sisi, dan juga rim Nismo berdiameter 18 inci. Di bahagian belakang, terdapat sayap berlapis yang dapat meningkatkan daya tolakan ke bawah tanpa menjejaskan rintangan angin, serta diffuser dengan jalur kontras dan lampu kabus.

    Bahagian dalam juga dijadikan lebih sporty, dengan terdapat jalur merah pada corong pendingin hawa, panel pintu, tempat duduk, serta roda stereng. Panel instrumen pula mempunyai kemasan seperti gentian karbon dan penukar pacuan elektroniknya diwarnakan krom kelabu.

    Bukan setakat penampilan, pengendalian Leaf Nismo turut dipertingkat dengan penggunaan suspensi, stereng kuasa serta Intelligent Trace Control (sistem penstabil selekoh) yang ditala khas, bersama tayar Continental ContiSportContact.

    Untuk penggerak elektriknya, Leaf Nismo ini masih menggunakan motor elektrik EM57 berkuasa 148 hp/320 Nm yang menerima bekalan kuasa dari pek bateri lithium-ion 40 kWh, namun tindak balasnya dijadikan lebih responsif melalui talaan komputer khas.

    Secara keseluruhannya, Nissan bakal menawarkan Leaf Nismo dalam sembilan warna berlainan dan ini termasuk warna unik siri Nismo iaitu Brilliant Silver (M)*/Super Black dua tona dan Dark Metal Grey (M)/Super Black dua tona.

     
     
  • Toyota Supra generasi baharu berkumpul bersama empat generasi sebelumnya di Goodwood FOS 2018

    Toyota Supra generasi baharu berkumpul bersama empat generasi sebelumnya di Goodwood FOS 2018

    Selain dari membuat penampilam awam pertamanya di Goodwood Festival of Speed 2018 baru-baru ini, prototaip Toyota Supra generasi baharu (A90) sebenarnya turut dipertemukan dengan ‘abang-abangnya’ dari empat generasi sebelumnya menerusi perjumpaan dengan pemilik-pemilik Supra di UK pada acara yang sama.

    Dalam perjumpaan tersebut, ketua jurutera Tetsuya Tada yang memandu sendiri Supra A90 tersebut pada laluan mendaki bukit FOS turut memberikan pengenalan eksklusif model berkenaan kepada pemilik-pemilik Supra A40, A60, A70 dan A80. Perjumpaan istimewa ini juga menyaksikan 50 buah Supra berkumpul, terdiri dari sebuah model generasi pertama (dikenali sebagai Celica Supra atau Celica XX), empat model generasi kedua, lapan buah model generasi ketiga, dan selebihnya adalah model generasi keempat JZA80 atau Mk.IV.

    Perjumpaan berkenaan dimulakan dengan Tada memandu Supra A90 ke dalam bangunan sambil disambut dengan tepukan gemuruh oleh pemilik-pemilik Supra yang sedang berkumpul. Selepas itu, ketua jurutera berkenaan memperkenalkan jentera generasi baharu tersebut, dan ini turut merekodkan Supra A90 berkumpul bersama empat generasinya yang lain buat pertama kali, menurut Toyota.

    “Saya sangat gembira pada ketika ini. Saya akhirnya dapat mendedahkan kereta ini di UK; ia merupakan hari yang paling gembira dalam hidup saya. Dan untuk memandunya mendaki bukit di Goodwood merupakan pengalaman yang mengujakan,” kata Tada dalam majlis berkenaan.

    Toyota Supra generasi baharu ini dibina oleh Toyota dengan kerjasama BMW dimana ia berkongsi platform dengan BMW Z4 generasi baharu. Ia juga bakal dijana oleh enjin yang sama dengan roadster BMW tersebut, namun akan diberikan talaan yang berbeza. Tada juga turut mengesahkan Supra A90 turut akan hadir dengan varian asas menggunakan enjin empat silinder 2.0 liter juga diambil dari BMW.

    Tada turut menjelaskan model asas tersebut akan dibina lebih ringan dari versi paling berkuasa engan enjin enam-silinder, secara tidak langsung menawarkan pengendalian yang lebih tajam kerana pembahagian nisbah berat yang lebih baik. Ketua jurutera berkenaan turut mencadangkan bagi mereka yang sudahpun berkira-kira untuk menyumbat enjin 3.0 liter 2JZ dari Supra generasi keempat ke kerangka Supra baharu ini, pilihan versi asas tersebut adalah yang terbaik kerana ia lebih murah.

     
     
  • Biodiesel B10 akan dilaksanakan pada 2019 – laporan

    Biodiesel B10 akan dilaksanakan pada 2019 – laporan

    Setelah senyap untuk beberapa ketika, kini hal berkaitan biodiesel B10 muncul lagi. Terbaru, dari sebuah laporan Nikkei Markets, kerajaan persekutuan ketika ini sedang mempertimbangkan pelaksanaan mandat biodiesel B10 di Malaysia pada separuh kedua 2019.

    “Kami masih lagi berusaha ke arah penggunaan B10 kerana kami mempunyai banyak stok kelapa sawit yang perlu digerakkan serta ingin menaikkan harganya. Kami perlu mendapat jaminan dari pengeluar kenderaan bahwa penggunaan biodiesel B10 ini tidak akan mendatangkan masalah kepada kenderaan,” jelas Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Md Akin.

    Ketika ini, biodiesel yang digunakan di Malaysia mengandungi 7% campuran daripada minyak kelapa sawit. Program awal B10 di negara ini dimulakan pada 2013, walaupun mendapat bantahan daripada beberapa syarikat pengeluar kenderaan yang khuatir campuran itu tidak sesuai untuk enjin kereta. Sebahagian lagi syarikat pengeluar pula menyatakan penggunaan B10 tidak akan menjadi masalah.

    Tahun lalu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menamatkan ujian jangka panjang melibatkan tempoh tiga tahun setengah dengan jarak terkumpul sejauh tiga juta kilometer, menggunakan 50 unit kenderaan pelbagai saiz dan kapasiti dengan bahan api B10. Semua unit yang digunakan menggunakan enjin dengan piawaian Euro2 dan Euro3, dan berusia dari tiga hingga 15 tahun.

     
     
  • HSR KL-Singapura: Angka RM110 bilion adalah anggaran, turut libatkan kos tersembunyi – Azmin Ali

    HSR KL-Singapura: Angka RM110 bilion adalah anggaran, turut libatkan kos tersembunyi – Azmin Ali

    Berkaitan kos RM110 bilion bagi projek HSR Kuala Lumpur-Singapura, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali menjelaskan angka itu merupakan anggaran, dan jumlah akhir mungkin akan lebih rendah. Di dalam sebuah laporan oleh The Sun, Azmin menyatakan angka yang lebih tinggi itu diberikan atas sebab terdapat banyak kos tersembunyi yang tidak didedahkan sebelum ini.

    Pada satu sidang Parlimen sebelum ini, Datuk Seri Najib Abdul Razak mengajukan soalan tentang bagaimana kerajaan memperoleh jumlah RM110 bilion berkenaan, dengan menambah bahawa proses tender terbuka untuk projek berkenaan hanya akan ditutup pada 28 Disember nanti.

    “Seperti yang saya nyatakan, RM110 bilion itu merupakan kos anggaran selepas kiraan dilakukan oleh Kementerian Kewangan, dan bukannya kos akhir selepas tender terbuka. Sudah tentu, dalam mana-mana proses tender terbuka, akan terdapat pengurangan daripada bidaan yang dilakukan. Inilah sebabnya kerajaan PH selalu menekankan semua projek perlu dilakukan secara tender terbuka,” jelasnya.

    HSR KL-Singapura: Angka RM110 bilion adalah anggaran, turut libatkan kos tersembunyi – Azmin Ali

    Dalam hal berkaitan, Naib Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong turut mempersoalkan jumlah berkenaan, dan menyatakan anggaran projek berkenaan adalah antara RM55 dan RM74 bilion sahaja. Dalam jawapan balasnya, Azmin berkata; “dalam banyak kes (berkaitan projek itu), terdapat banyak kos tersembunyi yang tidak didedahkan oleh kerajaan BN sebelum ini. Dan kerajaan PH fikir adalah wajar untuk mendedahkan kos keseluruhan yang terlibat.”

    Azmin juga mengesahkan terdapat klausa di dalam perjanjian dua hala dengan Singapura itu yang membenarkan salah sebuah negara menarik diri dari projek berkenaan. “Bagaimanapun, ada beberapa syarat yang perlu dipatuhi terlebih dahulu,” tambah beliau.

    Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan sekiranya terdapat sebarang bayaran pampasan yang perlu dilakukan terhadap Singapura jika Malaysia menarik diri dari projek berkenaan. Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, penalti sebanyak RM500 juta akan dikenakan sekiranya projek pembinaan ini dibatalkan oleh Malaysia.

     
     
  • MRT Laluan SSP: Penutupan laluan di Besraya, hadapan jejantas stesen LRT Sg Besi diumumkan

    MRT Laluan SSP: Penutupan laluan di Besraya, hadapan jejantas stesen LRT Sg Besi diumumkan

    MMC-Gamuda KVMRT (PDP SSP) Sdn Bhd telah memaklumkan penutupan satu lorong secara berkala di sepanjang Lebuhraya Besraya akan dilanjutkan selama 10 hari lagi untuk kerja-kerja pembinaan MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) bermula Jumaat ini, 20 Julai 2018.

    Syarikat berkenaan berkata penutupan itu berikutan kerja-kerja pelebaran jalan, kerja premix, menanda jalan, pemasangan penghadang konkrit dan kerja-kerja berkaitan. Di mana laluan yang akan ditutup dari 10 malam hingga 5 pagi itu adalah susur masuk jalan (lorong kecemasan) KM8.20 dari simpang Pekan Sungai Besi Exit 905 ke arah Sungai Besi dan Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) Cheras.

    MRT Laluan SSP: Penutupan laluan di Besraya, hadapan jejantas stesen LRT Sg Besi diumumkan

    Selain itu, jalan di hadapan jejantas stesen LRT Sungai Besi (arah Kuala Lumpur) akan ditutup selama sebulan bermula Jumaat ini bagi kerja-kerja meroboh dan menurunkan jejantas pejalan kaki dan pengalihan utiliti.

    Sepanjang penutupan jalan tersebut, pengguna jalan raya dari Seri Kembangan, Serdang atau MINES yang ingin ke pusat bandar raya/Terminal Bersepadu Selatan (TBS) dan laluan yang bertentangan juga akan dilencongkan ke Jalan Suasa 2 melalui aliran kontra yang disediakan.

     
     
  • Mercedes-Benz S-Class Cabrio A217 – di M’sia kelak?

    Mercedes-Benz Malaysia telah memberikan bayangan menerusi laman Facebook rasmi mereka, pasaran tempatan bakal dimeriahkan kehadiran model serba mewah yang menguja, Mercedes-Benz S-Class Cabrio A217 facelift, yang telah dipertontonkan di peringkat dunia September lalu di IAA 2017 di Frankfurt.

    Jentera ini dikuasakan oleh enjin yang sama dengan S 560 Cabriolet, iaitu M176 4.0 liter biturbo petrol V8 yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 469 hp dan tork mencecah 700 Nm. Enjin ini menggantikan penjana kuasa terdahulu M278 4.7 liter biturbo V8 pada versi S-500 pre-facelift.

    Selain menerima padanan bampar depan dan belakang baharu, suntikan yang lebih segar kelihatan pada skirt sisi dan roda, dengan pilihan lampu belakang OLED (organic light emitting diode) dan juga paip ekzos berkembar kemasan krom.

    Elemen lain yang turut didatangkan termasuklah roda stereng baharu dengan butang kawalan sentuhan dan bantuan pemandu Intelligent Drive, serta kawalan keselesaan Energising sebagai pilihan baharu.

    Mercedes-Benz S-Class Cabrio A217 – di M’sia kelak?

    S-Class Cabriolet juga boleh didapati dengan varian berlogo AMG, dua versi yang ditawarkan di pasaran lain, iaitu S 63 dengan enjin 4.0 liter biturbo petrol V8 (612 hp/900 Nm) dan S 65 yang dipadankan penjana kuasa 6.0 liter biturbo petrol V12 (630 hp/1,000 Nm).

    Versi S 63 janaan V8 dipadankan dengan kotak gear AMG Speedshift MCT sembilan-kelajuan, sementara S 65 V12 pula masih mengekalkan transmisi lama tujuh-kelajuan. Pasaran pemanduan sebelah kanan hadir tanpa AMG Performance 4Matic+ pacuan semua-roda, jadi jika varian AMG ditawarkan di sini, ia hanya pacuan roda-belakang sahaja.

    Kalau betullah dengan teaser yang ditunjukkan ini, ia meruakan S-Class Cabriolet generasi A217 yang pertama yang bakal kita dapat bagi pasaran Malaysia. Pada tahun 2016, ada ura-ura model pre-facelift bakal tiba, tetapi hingga akhirnya tetap tak kunjung tiba.

    Mercedes-Benz S-Class Cabriolet

    Mercedes-AMG S 63 4Matic+ Cabriolet

    Mercedes-AMG S 65 Cabriolet

     
     
  • MAA jangka separuh kedua 2018 lebih mencabar walaupun jualan bulanan untuk Jun pecah rekod

    MAA jangka separuh kedua 2018 lebih mencabar walaupun jualan bulanan untuk Jun pecah rekod

    Persatuan Automotif Malaysia telahpun mendedahkan prestasi pasaran untuk separuh pertama 2018, di mana jualan dan produksi kedua-duanya mencatatkan sedikit peningkatan berbanding tempoh sama tahun lalu.

    Jumlah Pengeluaran Keseluruhan Industri (TIV) untuk enam bulan pertama ini dicatatkan pada 289,714 unit, yang terdiri 261,043 unit kenderaan penumpang dan 28,671 unit kenderaan komersil. Ini mewakili peningkatan sebanyak 1.85% dari 284,453 unit yang dicatatkan pada separuh pertama 2017 (255,748 kenderaan penumpang, 28,705 kenderaan komersil).

    Trend jualan tahun-ke-tahun menunjukkan penurunan pada separuh pertama 2018 ini berbanding tahun sebelumnya, kecuali pada April dan Jun. Manakala untuk bulan Mei, jualan dilihat menjunam setelah pengumuman bahawa Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) diumumkan pada 16 Mei, akan berkadar sifar bermula 1 Jun.

    MAA jangka separuh kedua 2018 lebih mencabar walaupun jualan bulanan untuk Jun pecah rekod

    Seperti dijangka juga, jualan dilihat naik dengan lebih tinggi pada Jun setelah GST dikecualikan dari pembelian, membolehkan rekod jualan bulanan menjadi yang tertinggi untuk separuh pertama 2018. Malah jualan 64,502 unit yang dicatatkan bulan lalu (naik 50.1% dari 42,983 unit pada Mei) juga merupakan satu-satunya rekod TIV yang melebihi 60,000 dalam sebulan pernah dicapai.

    Untuk kategori kenderaan penumpang, jumlah jualan mencatatkan 192,772 unit pada separuh pertama 2018, 4.1% lebih tinggi atau 7,518 unit lebih banyak berbanding tempoh yang sama pada 2017. Sub-segmen 4×4/SUV juga menunujukkan pertumbuhan dengan 36,179 unit berjaya dijual tahun ini atau peningkatan 29.5% dari 27,935 unit yang dijual pada separuh pertama tahun lalu.

    Walau bagaimanapun, jumlah jualan MPV nampaknya menurun dimana jumlah jualan mencatatkan angka 30,694 unit tahun ini, 10,397 unit atau 25.3% kurang berbanding tempoh sama tahun lalu.

    MAA jangka separuh kedua 2018 lebih mencabar walaupun jualan bulanan untuk Jun pecah rekod

    Untuk produksi, jumlah pengeluaran pada enam bulan pertama tahun ini adalah 280,947 unit, dimana 261,324 unit daripadanya adalah kenderaan penumpang dan 19,623 unit selebihnya adalah kenderaan komersil. Angka tersebut adalah 10% lebih tinggi berbanding separuh pertama 2017. Jumlah pengeluaran ini dijangka akan kekal tinggi sekurang-kurangnya sehingga Ogos memandang permintaan tinggi sempena tempoh ‘cuti cukai’ yang berjalan hingga 31 Ogos 2018.

    Dengan situasi pasaran sekarang, MAA telah mengemaskini semula jangkaannya terhadap TIV untuk tahun ini iaitu 590,000 (dibuat pada Januari) kepada hanya 585,000 atau 5,000 unit kurang dari asal.

    Kemaskini berkenaan dibuat adalah berdasarkan angka-angka dari faktor ekonomi dan persekitaran yang dijangka akan memberikan kesan, dan ini turut termasuk pengenalan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada 1 September ini – ia dijangka akan memberikan impak kepada kebolehan berbelanja pengguna, khususnya pada suku terakhir tahun ini. Catatan TIV pada separuh pertama 2018 yang mencapai 49.1% jangkaan asal juga memainkan peranan atas penentuan jangkaan baharu berkenaan.

    Walau bagaimanapun, pretasi lebih baik akan dijangka pada masa akan datang dengan pertumbuhan TIV dicatatkan pada kadar lebih dari dua peratus setiap tahun untuk empat tahun akan datang – TIV disasarkan akan mencapai 596,700 unit pada 2019 dan kemudian terus naik melangkaui 600,000 unit pada tahun seterusnya dengan jumlah 609,200 unit. TIV untuk 2021 diramal pada 622,650 unit manakala 2022 pula dijangka mencecah 637,000 unit.

     
     
  • Audi TT 2018 tampilkan pembaharuan gaya dan ciri

    Audi TT 2018 tampilkan pembaharuan gaya dan ciri

    Tahun 2018 sebenarnya adalah ulang tahun ke-20 bagi Audi TT. Bagi memberikan lebih makna kepada waktu ini, pengeluar dari Jerman ini telah memberikan facelift kepada model generasi ketiga. Bukan setakat itu, satu model edisi khas ‘Audi TT 20 Years’ turut diperkenalkan, dengan jumlah yang terhad kepada 999 unit.

    Model asas TT facelift ini mendapat pilihan dua enjin – kedua-duanya adalah unit empat silinder 2.0 liter turbo tetapi dengan jumlah kuasa yang berbeza. Yang pertama dinamakan sebagai 40 TFSI, mampu menghasilkan 197 hp dan 320 Nm tork, manakala satu lagi, 45 TFSI mampu menghasilkan sehingga 245 hp dan 370 Nm tork serta didatangkan dengan pilihan sistem pacuan semua roda Quattro.

    Lebih tinggi daripada dua model asas ini, terdapat satu lagi model yang dinamakan sebagai TTS, dengan kuasa sehingga 306 hp dan 400 Nm tork, dan datang dengan sistem pacuan AWD secara standard. Pilihan transmisi yang disediakan untuk TT facelift ini pula termasuk manual enam kelajuan dan automatik S Tronic klac berkembar tujuh kelajuan – kedua-duanya boleh didapati untuk model 40 TFSI dan 45 TFSI. Untuk model 45 TFSI Quattro dan TTS, ia hanya datang dengan transmisi S Tronic.

    Untuk rekaan, hanya sedikit sahaja perubahan yang diberi, termasuk pada gril Singelframe tiga dimensinya, serta lubang angin yang lebih besar pada penjuru bampar hadapan. Orang ramai juga diberi pilihan tiga warna untuk model ini iaitu Cosmos Blue, Pulse Orange dan Turbo Blue.

    Untuk warna biru tersebut, ia hanya disediakan bersama pakej luaran S Line dan model TTS, yang mana sekarang ini seperti menyamai model versi RS bagi TT. Apabila anda memilih pakej ini, kenderaan anda akan dipasang dengan splitter penuh, bukaan udara menegak di bampar dan gril yang diwarnakan hitam titanium.

    Turut dimasukkan dalam pakej adalah side sill khas pada bahagian tepi kenderaan, manakala bahagian belakang dijadikan lebih sporty dengan diffuser yang lebih lebar dan terdapat bukaan udara yang menegak di bawah lampu. Model TTS mendapat lencana, kemasan warna perak pada gril serta muncung ekzos tambahan yang khas untuknya.

    Audi TT 2018 tampilkan pembaharuan gaya dan ciri

    Bahagian dalam juga tidak banyak berubah, tetapi lebih kelengkapan diberikan secara terus. Model asas kini didatangkan dengan Audi Virtual Cockpit, Audi Drive Select, cermin yang boleh dipanaskan, pengesan hujan dan cahaya, soket USB berlampu, sambungan Bluetooth serta roda stereng dengan pelbagai butang kawalan.

    Seperti yang diberitahu di atas, model keluaran khas turut ditawarkan, dan ia boleh didapati dalam versi coupe dan roadster. Model ‘Audi TT 20 Years’ ini memberikan penghormatan kepada TTS Concept pada tahun 1995, dan kabinnya dipasang dengan kulit coklat serta jahitan kontras. Bahagian luar pula menampilkan lampu utama Matrix OLED, dan disudahi dengan warna sama ada Arrow Gray atau Nano Gray, bersama lencana khas dan lambang Audi warna matte.

    GALERI: Audi TT Coupe 2018


    GALERI: Audi TT Roadster 2018

     
     
  • VIDEO: Jangan halang laluan di lorong kecemasan

    Respon kes MVA ???? vs ????..ada lagi yang menggunakan lorong kecemasan..nilaikan sikap pengguna jalanraya mcm nie..Lokasi : putrajaya menghala simpang 4 dengkil#abam_ambulans????

    Posted by Safwan Anaqi on Isnin, 16 Julai 2018

    Walaupun sudah banyak peringatan dan penguatkuasaan dilakukan oleh pihak berkuasa terhadap penyalahgunaan lorong kecemasan, masih ramai sebenarnya pengguna jalan raya yang berdegil. Dalam satu video yang dimuatkan naikkan oleh Safwan Anaqi di Facebook ini, sebabnya ditunjuk jelas – lorong kecemasan adalah untuk waktu kecemasan.

    Dalam video ini, sebuah ambulans sedang menggunakan laluan kecemasan di sebuah jalan dua lorong dari Putrajaya menghala ke Dengkil, Selangor. Kedua-dua lorong yang ada pada jalan itu sesak dengan kenderaan, namun ada pengguna yang tidak sabar, masuk pula ke lorong kecemasan.

    Akibatnya, pergerakan ambulans tersebut terhalang, dan kenderaan yang berada dalam lorong kecemasan di hadapan ambulans tersebut mengambil masa yang lama untuk masuk ke lorong yang sepatutnya. Bukan hanya disebabkan satu kereta, tapi ada beberapa buah lagi yang melakukan perkara sama.

    Sepatutnya daripada video ini, anda boleh nampak, lorong kecemasan tetap tidak boleh digunakan sesuka hati meskipun lorong lain di sebelahnya sesak dengan kenderaan. Ini supaya apabila ada kenderaan kecemasan yang mahu menggunakannya, mereka boleh lalu dengan lancar.

    Cubalah anda bayangkan, langkah anda menyalah gunakan lorong kecemasan ini mungkin boleh jadi penentu kepada hidup dan mati seseorang. Sebagai contoh, ketibaan ambulans seperti ini dengan cepat ke kawasan kemalangan mungkin boleh menyelamatkan mangsa. Jadi, sama-samalah kita patuhi peraturan yang ada.

     
     
  • VW Group catat prestasi jualan 5.5 juta kenderaan pada separuh pertama 2018, tertinggi setakat ini

    VW Group catat prestasi jualan 5.5 juta kenderaan pada separuh pertama 2018, tertinggi setakat ini

    Volkswagen Group telah merekodkan prestasi yang sangat memberangsangkan bagi separuh pertama tahun ini, dengan menghantar 5.5 juta kenderaan dalam tempoh enam bulan. Ia mewakili peningkatan sebanyak 7.1% dan dipengaruhi jualan selepas Jun yang meningkat sebanyak 4.1% iaitu mencecah 958,600 unit. Separuh pertama 2018 sebenarnya tidaklah berjalan dengan begitu lancar.

    “Ini merupakan separuh pertama tahunan yang terbaik setakat ini bagi sejarah syarikat kami. Di mana penghantaran telah meningkat secara lebih signifikan ke semua rantau. Jenama teras kami telah mencatatkan pertumbuhan yang kukuh pada separuh pertama tahunan. Kami menjangkakan penghantaran kenderaan bagi separuh kedua 2018 mungkin sedikit terjejas kerana pengenalan standard WLTP yang baharu. Sesetengah kenderana mungkin boleh diserahkan kepada pelanggan lebih awal daripada yang dirancang,” ujar Fred Kappler, ketua jualan kumpulan di Volkswagen AG.

    Klik untuk besarkan

    Di Eropah, syarikat ini telah menjual 2.4 juta kenderaan (+6.5%), sementara di Amerika Utara pula melibatkan penghantaran yang stabil (+0.8%). Selain itu, pasaran yang melibatkan peningkatan termasuklah di Amerika Selatan (+13.1%) dan Asia Pasifik (+8.9%). Walau bagaimana pun, prestasi jualan di Mexico dan China agak kurang memberangsangkan, mungkin terdorong dengan sikap “tunggu dan lihat” oleh pelanggan di China terhadap tarif yang lebih rendah bagi kenderaan yang diimport, yang mula dilaksana sejak 1 Julai.

    Jadual di atas menunjukkan jualan mengikut rantau dan jenama. Bagaikan isu dieselgate tidak memberikan kesan terhadap angka jualan ini bukan?

     
     
  • Jualan kenderaan di Malaysia untuk Jun 2018 naik 50% berbanding Mei – kesan dari tempoh ‘cuti cukai’

    Jualan kenderaan di Malaysia untuk Jun 2018 naik 50% berbanding Mei – kesan dari tempoh ‘cuti cukai’

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mendedahkan jumlah jualan dan produksi kenderaan dalam negara untuk bulan Jun 2018. Dengan bermulanya Cukai Barangan dan Jualan yang dikadarkan pada 0% bermula 1 Jun, menyebabkan orang ramai menunda pembelian kereta mereka pada Mei, menyebabkan lonjakkan jualan pada bulan lalu.

    Selain dari itu, pengeluar-pengeluar automotif juga kebanyakkannya menjalankan promosi hari raya sepanjang bulan lalu, seterusnya merancakkan lagi jualan. Secara keseluruhan, jumlah jualan dicatatkan pada 64,502 unit, atau 50% lebih tinggi dari Mei yang mencatatkan jumlah 42,983 unit. Kenaikan 50% ini sebenarnya telah dijangka oleh pemain industri dengan bermulaya tempoh ‘cuti cukai’ berkenaan.

    Jumlah jualan pada Jun tahun ini juga 28% atau 14,229 unit lebih tinggi dari bulan yang sama tahun lalu, dan MAA turut menyatakan bahawa ini adalah kali pertama pasaran Malaysia mencatatkan jualan melebihi 60,000 unit sebulan. Rekod jualan enam bulan pertama 2018 yang mencatatkan 289,714 unit ini pula mencatatkan kenaikan 1.85% berbanding tempoh sama tahun lalu dengan jualan sebanyak 284,453 unit.

    Untuk Julai, MAA menjangkakan jualan akan kekal atau hampir kepada apa yang dicatatkan pada jumlah jualan Jun 2018 kerana pelanggan terus akan membeli kereta baharu bagi mengambil kesempatan sebelum Cukai Jualan dan Servis mula dikuatkuasakan semula pada 1 September ini.

     
     
  • Harga petrol RON 97 turun 3 sen minggu ini – RM2.56

    Harga petrol RON 97 turun 3 sen minggu ini – RM2.56

    Sekarang ini, hari Rabu mungkin adalah hari yang ditunggu bagi mereka yang menggunakan petrol RON 97 kerana pengumuman harganya akan dilakukan. Bermula esok sehingga 25 Julai, harga RON 97 di stesen adalah RM2.56 bagi setiap liter.

    Ini bersamaan dengan penurunan sebanyak tiga sen berbanding harga sekarang, iaitu RM2.59 seliter, dan juga lebih rendah berbanding minggu sebelum itu iaitu RM2.58 seliter. Pengumuman mingguan bagi petrol RON 97 ini dilakukan setelah kerajaan memutuskan harganya akan ditetapkan secara apungan.

    Harga bahan api lain pula masih kekal kerana diberikan subsidi sehingga hujung tahun ini iaitu RON 95 dijual pada RM2.20 seliter, diesel Euro 2M RM2.18 seliter dan diesel Euro 5 RM2.28 seliter.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025