Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Audi Q8 – teaser rasmi menjelang pengenalan Jun ini

    Audi Q8 – teaser rasmi menjelang pengenalan Jun ini

    Audi mula menunjukkan teaser rasminya sempena kedatangan Q8 baharu menerusi laman Facebook dengan imej yang menggambarkan garisan SUV berkenaan. Q8 ini merupakan model perdana dalam barisan Q bagi pengeluar Jerman ini, yang turut disertai Q7, Q5, Q3 dan Q2.

    Tidak banyak informasi yang dibekalkan, namun difahamkan Q8 bakal menggunakan MLB Evo platform, seperti yang digunakan oleh Q7 dan model lain di bawah Volkswagen Group. Dijangkakan enjin hibrid juga akan ditawarkan, dengan pacuan semua-roda quattro, sementara penjana kuasa plug-in hybrid bakal ditawarkan kemudian.

    Membandingkan imej teaser dengan spyshot yang pernah disiarkan, tiada banyak perbezaan di antara kedua-duanya. Dua garisan melintang merentasi gerbang roda hadapan dan belakang memang agak jelas kelihatan, di samping jaluran krom di sisi bawah SUV berkenaan.

    Foto spyshot Audi Q8

    Pita reflektif menggambarkan garisan bumbung yang rendah sehingga ke cermin belakang dan tiang-D. Selain itu, Q8 turut menampilkan gril bingkai tunggal haksagon yang menyerlah bersama lampu belakang bersaiz-penuh.

    Di dalamnya, Q8 masih mengekalkan bentangan yang sama seperti model konsepnya dan Q8 Sport yang pernah dipertontonkan sebelum ini, dengan larasan dua skrin seperti model A8 terkini. Skrin ketiga akan menjadi sistem kokpit maya pada panel instrumen.

    Pada Mac lalu, Peter Mertens, ahli lembaga pengarah Audi, telah mendedahkan Q8 hanya akan dipertontonkan di peringkat dunia di Shanghai pada Jun ini. Jadi kena nantikan bersama perincian dan informasi selanjut mengenainya.

    GALERI: Spyshot Audi Q8

     
     
  • Fast and Furious bakal tampil dalam bentuk animasi

    Fast and Furious bakal tampil dalam bentuk animasi

    Siri filem aksi lumba kereta jalanan Fast and Furious bakal dihasilkan pula dalam bentuk siri animasi dan akan ditayangkan secara dalam talian di Netflix. Siri berkenaan merupakan hasil pertama dari perjanjian berberapa tahun yang telah ditandatangani antara Netflix dan juga Dreamworks Animation Television.

    Walau bagaimanapun, siri ini bukanlah berkisar kisah Dominic Toretto bersama pasukannya, sebaliknya watak utama animasi berkenaan adalah Tony Toretto iaitu sepupu kepada Dominic. Tony dan rakan-rakannya mengikut jejak langkah Dom apabila direkrut oleh agensi kerajaan untuk menyusup masuk ke liga perlumbaan elit yang menyembunyikan aktiviti sebuah organsasi jenayah jahat.

    “Kami teruja untuk melanjutkan dan meluaskan lagi kerjasama yang berjaya dengan Netflix bukan hanya untuk memberikan program berkualiti tinggi DreamWorks, malah menghubungkan peminat dari Universal Films dengan cerita-cerita baharu yang menarik,” kata Margie Cohn, presiden DreamWorks Animation Television.

    Menerusi imej yang disiarkan, nampaknya siri ini akan dihasilkan menerusi teknik 3D. Manakala kereta yang digunakan pula adalah kereta imaginasi tanpa lesen dari pengeluar – kereta berwarna putih kelihatan seakan badan Mercedes-Benz SLS bersama muka seperti Alpine A110 klasik, manakala ‘American Muscle’ disebelahnya nampak seperti Dodge Challenger tetapi dengan gril hadapan berlainan.

    Jadi, apa pendapat anda berkenaan siri animasi ini? Adakah ia akan menjadi animasi yang sesuai untuk tontonan orang dewasa yang minat kereta seperti Initial D atau sekadar lagi satu kartun untuk hiburan kanak-kanak?

     
     
  • Proton Perdana Executive – teaser dari rekaan terbaru

    Proton Perdana Executive – <em>teaser</em> dari rekaan terbaru

    Imej render atau rekaan bayangan bagi model-model tertentu, terutamanya oleh pengeluar tempatan kerap kami paparkan di laman ini. Memang, tidak semestinya rekaan-rekaan itu akan menjadi kenyataan, tetapi dari satu sisi ia menjadi satu platform untuk meraikan kreativiti pelbagai pihak.

    Saharuddin Busri, yang sebelum ini antara nama yang kerap ditampilkan di sini hadir dengan satu teaser dari rekaan terbaru yang dibayangkan olehnya. Selepas Proton Savvy 18 dan juga Proton Suprima yang dibayangkan semula (masih ingat Suprima X dan Suprima R?), beliau kini tampil dengan rekaan konsep bagi Proton Perdana Executive pula.

    Rekaan ini masih menggunakan asas yang sama pada Proton Perdana semasa, tetapi dengan pendekatan rekaan bahagian hadapan dan belakang yang sama sekali berbeza. Di depan, melihat imej yang dihadirkan akan mengingatkan kita kepada Mitsubishi Lancer, dengan rekaan lampu dan “muncung” depan Perdana ini yang seperti mengambil inspirasi dari model berkenaan.

    Lampu utama juga hadir dengan dua jalur lampu LED yang bertindak sebagai DRL. Selain itu, turut dapat dilihat ialah sebahagian rekabentuk gril – yang terbahagi kepada dua ruang – serta kemasan-kemasan krom/satin yang turut menghiasi bahagian depan berkenaan. Kemasan krom yang sama turut dilanjutkan ke bahagian bamparnya.

    Proton Perdana Executive – <em>teaser</em> dari rekaan terbaru

    Bahagian belakang pula menampilkan visual yang lebih sporty dan elegan. Rekaan lampu LED yang digunakan lebih jelas kelihatan, dengan jalur tengahnya menyambungkan dua lampu belakang yang berada di sisi kira dan kanan. Mudah lihat, dan dalam masa yang sama ia menyuntik estetika rekaan yang sangat menarik bagi Perdana ini.

    Satu lagi jalur kemasan krom turut disertakan di bawah lampu melintang yang sama. Selain itu, lengkuk spoiler yang bersekali dengan bahagian belakang kereta ini juga menjadikan penampilannya lebih garang, tetapi tidak keterlaluan. Ini diikuti rekaan bampar yang kelihatan mempunyai garis yang berperingkat untuk menampakkannya lebih solid.

    Dan, tidak lupa juga, bahagian tengah pada badan kereta ini turut dipanjangkan sebanyak 200 mm, untuk menyesuaikan imej eksekutif dan mewah yang ingin dibawakan. Jadi, apa pula pandangan anda tentang teaser rekaan untuk Proton Perdana Executive ini?

     
     
  • PERCAMAS naungan penunda kereta – pastikan pengguna tidak ditindas termasuk elak caj tak relevan

    PERCAMAS naungan penunda kereta – pastikan pengguna tidak ditindas termasuk elak caj tak relevan

    Pertubuhan Kebajikan Callman SeMalaysia (PERCAMAS) menasihati orang ramai agar berwaspada dengan kewujudan individu menyamar sebagai penunda kereta yang mengenakan caj melebihi harga sepatutnya kerana ingin memperdayakan pengguna dan mengaut keuntungan mudah. Tanpa berdaftar dengan mana-mana persatuan berkaitan, mereka dikesan bergerak secara bebas, tidak mempunyai prosedur operasi standard dan meletakkan harga yang tinggi berbanding kadar biasa dikenakan kepada orang ramai.

    Menurut orang kuat PERCAMAS, Ramlan Ramli, walau pun pertubuhan ini baru dilancarkan pada 18 April lalu namun sebenarnya ia telah diwujudkan sejak Disember 2017. Sejak itu, pihaknya menerima banyak aduan mengenai salah laku penunda kereta seperti mengenakan caj tinggi, bertindak kasar serta menipu pengguna, laporan Harian Metro.

    “Semakan mendapati ramai penunda kereta yang tidak berdaftar menyebabkan mereka tidak ada garis panduan di dalam perkhidmatan dan gemar mengambil tindakan sendiri yang akan memberi masalah kepada pengguna. Justeru, PERCAMAS memberi fokus untuk memberikan khidmat terbaik kepada pengguna dan pada masa sama menjaga kebajikan penunda kereta yang berdaftar,” ujarnya.

    Katanya lagi, ini merupakan satu tanggungjawab yang besar kerana sejak lebih 35 tahun yang lalu, tiada pihak tampil untuk menjadi penaung kepada penunda kereta menyebabkan mereka tiada tempat mengadu terutama apabila membabitkan masalah dalam pekerjaan.

    “Kita juga kumpulkan maklumat mengenai penunda kereta dan akan berikan sijil penghargaan kepada mereka kerana jasa dan kebajikan yang dilakukan. Ini sebagai nilai tambah kepada perkhidmatan yang selama ini hanya dilakukan di jalanan,” sambungnya lagi.

     
     
  • Ford Mustang EcoBoost dengan sistem ekzos aktif – bunyi lebih garang, boleh diubah mengikut keadaan

    Menerusi pakej Performance Pack baharu yang diperkenalkan untuk Ford Mustang EcoBoost 2.3 liter, Ford turut menyertakan sekali sistem ekzos berprestasi aktif yang didakwa mampu “mengujakan deria dan memberikan bunyi prestasi”.

    Sistem berkenaan dihasilkan spesifik untuk model yang menggunakan enjin EcoBoost empat silider turbo berkuasa 310 hp tersebut oleh para “pereka bunyi’ Ford. Ia direka agar boleh dihidupkan atau dimatikan mengikut pilihan pengguna, dan memberikan bunyi yang jauh lebih garang dari asal. Walau bagaimanapun, ia masih tidak dapat menandingi bunyi yang dihasilkan oleh enjin V8 sebenar pada model Coyote 5.0 liter.

    “Kami adalah berberapa orang jurutera yang tidak perlu merekabentuk sesuatu berdasarkan nombor mahupun spesifikasi,” kata jurutera pembangunan ekzos Ford, Hani Ayesh. “Sebaliknya, kerja kami adalah untuk mengenalpasti bunyi DNA signatur yang menghubungkan pemandu kepada jangkaan emosi untuk kereta tertentu.”

    Tugas jurutera bunyi ini adalah bergantung kepada analisis untuk membuat rekaan, contohnya, sistem ekzos aktif kawalan komputer yang membuka injap seperti saksofon atau organ paip besar bagi mengubah bunyi kereta berdasarkan mood pemandu.

    Ford juga mendakwa, dengan menekan pendikit Mustang EcoBoost yang dilengkapi sistem ini, ia akan memberikan ngauman yang akan membuatkan bulu roma anda berdiri, seperti pada Mustang GT atau Shelby GT350 dengan enjin yang lebih besar.

    Butang untuk mengkatifkan sistem tersebut berada pada konsol tengah, dan pemandu boleh memilih sama ada mahu menggunakan mod senyap, normal atau sport/track – kesemua memberikan bunyi yang berbeza. “Ketika saya mengambil anak dari sekolah, mereka mahu mendengar bunyi yang garang dari enjin,” kata Ayesh, “tetapi isteri dan jiran saya, tidak berapa suka. Jadi saya boleh memilih mod ‘jiran yang baik’ yang lebih senyap, bagi terus menggembirakan mereka juga.”

     
     
  • PANDU UJI: Toyota Harrier 2.0T Luxury – ketelitian dan kemewahan dalam satu pakej SUV yang sarat kualiti

    PANDU UJI: Toyota Harrier 2.0T Luxury – ketelitian dan kemewahan dalam satu pakej SUV yang sarat kualiti

    Kebelakangan ini, semakin banyak masa diluangkan untuk mencuba dan memandu uji jenis kenderaan SUV, semakin terserlah pula kelebihan dan ketenangan ketika memandu kenderaan dalam segmen berkenaan. Tambahan pula, penawaran SUV generasi baru ketika ini – dari jenama mana pun – jika diperhatikan dengan dekat, akan membuatkan ramai orang untuk menghargainya dengan lebih baik.

    Ini didorong pula oleh senarai kelengkapan dan spesifikasi yang sangat mengkagumkan, bahkan ada ciri-ciri yang termaju juga, yang melengkapi penawaran SUV-SUV yang sekaligus menjadikan pasaran dalam segmen itu sangat menarik dan kompetitif sekali. Jika anda ingin mencari sebuah SUV, dan sekiranya tidak terlampau terikat dengan kekangan wang ringgit, pilihan yang ada sangat meriah dan pelbagai.

    Jika anda kerap mengikut perkembangan artikel di laman kami ini, tentunya anda pernah terserempak dengan beberapa ulasan pandu uji model yang pernah ditampilkan – sebagai contoh Volvo XC60 dan BMW X5 xDrive 40e – dan anda akan faham mengapa segmen kenderaan ini semakin berkembang dan lebih menarik berbanding sebelumnya.

    Penawaran teknologi termaju (misalnya teknologi plug-in hyrbid bagi kedua model yang disebutkan itu), dengan perincian sistem bantuan memandu yang lain serta ciri-ciri keselamatan yang ada mencerminkan perkara yang dimaksudkan di sini.

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • Mitsubishi Triton khas untuk jelajah Fast & Furious

    Mitsubishi Triton khas untuk jelajah <em>Fast & Furious</em>

    Setakat ini memang sudah banyak keluaran khas untuk Mitsubishi Triton (dikenali sebagai L200 di United Kingdom) di luar negara seperti Barbarian SVP dan SVP II. Kini, ia disertai satu lagi model yang dibuat khas untuk kempen jelajah Fast & Furious Live.

    Enjin 2.4 liter turbodiesel daripada Triton standard turut diubah suai untuk model khas ini, dengan termasuk pengecas turbo Garrett baru, manifold buatan khas, intercooler yang lebih besar, penapis udara prestasi tinggi, ECU prestasi serta salur pemasukan udara khas. Jumlah kuasa sebenar tidak disiarkan, tapi pastinya, ia akan menghasilkan kuasa yang lebih.

    Sudah tentu, bahagian luarnya diubah suai secara ganas dengan adanya roll cage di luar yang melindungi keseluruhan kenderaan termasuk bampar hadapan, fender, A-pillar serta bahagian-bahagian lain. Seperti yang anda boleh lihat, bahagian badan belakang Triton ini dijadikan singkat dan tinggi supaya suspensinya boleh bergerak lebih banyak.

    Mitsubishi Triton khas untuk jelajah <em>Fast & Furious</em>

    Ekzos juga dibuat khas untuk keluar di tepi, manakala rim belakang pula menggunakan unit 15 inci yang lebih lebar supaya nampak lebih ganas. Masuk ke dalam pula, mereka yang berada di hadapan akan mendapat manfaat daripada tempat duduk bucket bersama tali pinggang keledar four-point.

    Triton ubah suai khas ini akan menjadi satu daripada tiga kenderaan ubah suai Mitsubishi yang akan ditampilkan semasa pameran jelajah Fast & Furious Live. Salah satu kenderaan itu adalah Tokyo Drift Lancer Evolution yang akan melibatkan aksi interaktif serta penyertaan penonton.

     
     
  • BMW Malaysia eksport model 3 Series, 5 Series dan 7 Series ke Vietnam, Filipina mulai suku ketiga 2018

    Pada April 2016 lalu, BMW Malaysia telah mengumumkan bakal mengeksport tiga model pemasangan tempatan (CKD) ke Vietnam dan Filipina bermula tahun 2018. Baru-baru ini, syarikat terbabit mengulangi kenyataan yang sama dan mengesahkan bahawa perlaksanaan eksport ke dua negara terbabit akan bermula suku ketiga 2018 ini.

    Model kenderaan yang terbabit iaitu BMW 3 Series, 5 Series dan 7 Series itu adalah hasil pemasangan kilang tempatan yang terletak di Kulim Hi Tech Park, Kedah. Perlaksanaan eksport terbabit adalah berdasarkan perjanjian dengan ibu pejabat BMW di Jerman.

    “Kilang pemasangan di Malaysia memiliki kelebihan kapasiti dan logistik untuk membekalkan model kereta ke dua pasaran terbabit, malah BMW turut mensasarkan untuk meningkatkan pasaran kita dalam sektor yang pesat membangun termasuk negara-negara di Asia Tenggara,” ujar Ketua Komunikasi Korporat BMW Malaysia Sashi Ambi kepada The Malaysia Reserve baru-baru ini.

    Sashi turut berkata syarikat ini merancang untuk mengeksport 100 kereta ke Vietnam dan Filipina dalam tempoh setahun bagi memenuhi peningkatan permintaan bagi kedua-dua negara terbabit.

    Buat masa ini, Vietnam dan Filipina mengimport kereta BMW terus dari Jerman.

    Malaysia merupakan hab BMW di rantau ini dengan fasiliti pemasangan di Kulim yang buat masa ini memproduksi lapan model dengan 11 varian iaitu dengan kapasiti lebih 8,000 unit kenderaan setahun, selain memiliki pusat pengedaran alat ganti di Senai, Johor Bahru yang turut menjadi hab bagi 23 negara bagi Asia Pasifik.

     
     
  • Ford siar teaser Mustang Cobra Jet – kereta drag produksi dengan kebolehan 0-400 meter sekitar 8 saat

    Ford siar <em>teaser</em> Mustang Cobra Jet – kereta drag produksi dengan kebolehan 0-400 meter sekitar 8 saat

    Ford telah menyiarkan teaser untuk model Mustang yang dibina khas sempena ulangtahun ke-50 kereta muscle ikonik berkenaan, digelar Mustang Cobra Jet 2018. Model tersebut akan dihasilkan secara terhad, hanya diproduksi sebanyak 68 unit dalam warna Race Red dan Oxford White.

    Model istimewa ini akan dihasilkan dengan kerjasama rapat bersama sayap perlumbaan Ford iaitu Ford Performance, dan ia bakal dijana enjin Coyote V8 dengan sesaran 5.2 liter serta disuap dengan unit supercharger. Ford mendakwa jentera tersebut boleh memecut dalam jarak 0 hingga suku batu (400 meter) dengan masa sekitar 8 saat serta boleh mencapai kelajuan 241 km/j juga dalam jarak tersebut!

    Mustang ini juga direka berdasarkan undang-undang perlumbaan drag yang ditetapkan oleh National Hot Rod Association (NHRA) dan juga bersama berberapa kategori dalam National Mustang Racers Association dan National Muscle Car Association.

    Jadi, Mustang Cobra Jet ini sebenarnya tidak sah untuk digunakan diatas jalan raya, berbanding Dodge Challenger SRT Demon (0-400 m dalam 9.65 saat) yang masih lagi boleh dipandu di atas jalan raya secara sah.

    Selain dari ubahsuai pada enjin, Mustang istimewa ini juga bakal menerima sistem suspensi four link pada bahagian belakang bersama gandar solid dari Strange Engineering. Ia turut diberikan roll cage yang disahkan oleh NHRA, tempat duduk Racetech FIA, suspensi boleh laras yang direka spesifik untuk perlumbaan drag serta rim khas ulangtahun ke-50 Mustang dari Weld Racing.

    Kereta ini juga tidak akan dapat didaftarkan secara sah untuk digunakan di atas jalan raya awam kerana Ford tidak mengeluarkan nombor identiti kenderaan (nombor VIN/casis) pada kesemua 68 unit Mustang Cobra Jet tersebut.

     
     
  • Vision Mercedes-Maybach Ultimate Luxury terdedah

    Vision Mercedes-Maybach Ultimate Luxury terdedah

    Kereta konsep Vision Mercedes-Maybach Ultimate Luxury hanya direncana untuk pengenalan awam semasa Beijing Motor Show nanti, tetapi gambarnya sudah tersebar di internet. Seperti yang diketahui sebelum ini, kenderaan tersebut sememangnya menggunakan bentuk sebuah SUV, tetapi tidak kelihatan seperti GLS generasi seterusnya.

    Walaubagaimanapun, ia tetap sesuatu yang menyerlah, dengan gril hadapan yang jelas mendapat inspirasi daripada satu lagi kenderaan konsep, Vision Mercedes-Maybach 6. Persamaan lain antara dua kenderaan ini adalah pada lampu utama, hiasan di tepi fender, lencana pada C-pillar dan bukaan yang terpisah di bahagian bawah bampar.

    Bahagian belakang menunjukkan lebih keunikan pada kenderaan ini, di mana ia menggunakan penutup but seperti sebuah kereta sedan, dan bukannya yang terangkat ke atas seperti kebiasaan sebuah SUV. Ada juga beberapa bahagian yang mendapat inspirasi daripada Vision Mercedes-Maybach 6 di belakang seperti lampu, cermin terbahagi dua dan lencana.

    Masuk ke bahagian dalam, anda akan disambut permukaan yang kebanyakannya dibalut dengan kulit, serta beberapa bahagian yang menggunakan kemasan krom serta trim emas. Perincian ini, bersama set minuman teh binaan dalaman pada kenderaan ini juga menunjukkan ia mungkin dicipta untuk memuaskan pasaran China. Selain itu, terdapat juga lampu suasana biru dan kemasan premium lain.

    Melihat kepada papan pemuka kenderaan ini, ia mempunyai corong pendingin hawa yang direka menyamai gril hadapan, dan di tengahnya terdapat skrin infotainmen seperti kenderaan Mercedes-Benz. Begitu juga keadaannya dengan pad sesentuh kawalan serta sterengnya.

     
     
  • MRT laluan Sg Buloh-Serdang-Putrajaya 24% siap

    MRT laluan Sg Buloh-Serdang-Putrajaya 24% siap

    Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) memaklumkan Projek Transit Aliran Massa (MRT) bagi laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) mencatat kemajuan yang memberangsangkan apabila kerja-kerja pembinaan bagi keseluruhan projek itu adalah mengikut jadual dengan melepasi 24% telah siap.

    Menurut Pengarah Komunikasi Strategik dan Perhubungan Pihak Berkepentingan MRT Corp, Datuk Najmuddin Abdullah, tahap kemajuan laluan itu adalah petanda baik bagi memastikan projek berkenaan siap mengikut jadual ditetapkan, laporan Bernama.

    “Secara keseluruhan, kemajuan projek sudah melepasi 24% dan kita berada beberapa minggu lebih awal dari jadual asal. Ini adalah satu petanda baik bagi sebuah projek besar dan adalah penting pada peringkat awal untuk kemajuan projek berada lebih awal daripada jadual kerana kita tidak tahu apa cabaran yang akan menanti,” katanya kepada pemberita hari ini.

    MRT laluan Sg Buloh-Serdang-Putrajaya 24% siap

    Katanya lagi, berdasarkan perkembangan kerja-kerja pembinaan semasa, diyakini projek dianggar bernilai RM32 bilion itu dapat disiapkan tepat mengikut garis masa yang ditetapkan sama seperti projek MRT bagi laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK).

    MRT laluan SSP bakal menggunakan sebanyak 12 Mesin Pengorek Terowong Ketumpatan Berubah (VDTBM) bagj kerja pembinaan berkenaan yang turut merangkumi pembinaan stesen yang antaranya berada sehingga 44 meter di bawah tanah.

    Keseluruhan laluan ini dijangka siap pada Julai 2022 dan bakal memiliki 35 stesen, termasuk 11 stesen bawah tanah sepanjang 52.2 kilometer (km).

     
     
  • Honda Monkey dihidupkan semula guna asas MSX125

    Honda Monkey dihidupkan semula guna asas MSX125

    Tahun lepas Honda telah mengumumkan pemberhentian pengeluaran motosikal kompak Honda Monkey yang telah wujud sejak tahun 1960-an. Namun kini, penggemarnya boleh gembira kembali kerana Honda akan mengeluarkan Monkey generasi baru yang lebih moden.

    Ia masih lagi menggunakan elemen rekaan yang sama seperti Monkey 50 cc asal, termasuk saiz yang kecil, lampu bulat di hadapan, ekzos naik ke atas dan pemegang yang tinggi, tetapi diterapkan dengan barangan moden seperti lampu LED, rim aloi, meter LCD, fork USD dan brek ABS.

    Di sebalik badan itu pula, terdapat asas yang sama dengan MSX125 atau juga lebih dikenali dengan nama Grom. Bukan setakat kerangka, enjin sama seperti MSX125 juga akan digunakan untuk Monkey baru ini, iaitu unit satu silinder penyejukan udara 125 cc suntikan bahan api PGM-Fi yang mampu menghasilkan 9.6 hp dan 11 Nm tork.

    Perincian lain yang sudah diketahui berkenaan Monkey baru ini adalah tangki bahan api 5.6 liter, berat 107 kg, rim 12 inci, brek cakera 220 mm di hadapan, brek 190 mm di belakang, dan pilihan warna yang termasuk Banana Yellow, Pearl Nebula Red dan Pearl Shining Black.

     
     
  • Royal Enfield buka pusat pameran baru di Shah Alam

    Royal Enfield buka pusat pameran baru di Shah Alam

    Jenama motosikal British yang sudah wujud sejak tahun 1901 iaitu Royal Enfield tiba di Malaysia dengan identiti baru apabila sebuah pusat pameran bersepadu dibuka di Shah Alam, bawah pengurusan RE Motorcycles Sdn Bhd. Pusat pameran ini terletak di 33, Jalan 15/23, Taman Perindustrian Tiong Nam, Seksyen 15, Shah Alam, Selangor.

    Perasmian pembukaan pusat pameran ini dilakukan semalam, sambil turut dihadiri oleh wakil pengurusan antarbangsa Royal Enfield dan di situ, pelanggan boleh menyaksikan pameran model yang ditawarkan untuk pasaran Malaysia, khidmat jualan, servis, alat ganti serta barangan rasmi jenama tersebut.

    Secara keseluruhannya, model yang ditawarkan untuk pasaran Malaysia terbahagi kepada tiga yang utama iaitu Bullet, Classic, Rumbler dan Continental GT. Untuk Bullet 350 harganya adalah RM28,388, Bullet 500 RM36,888, Classic 350 RM30,388, Classic 500 RM39,888, Rumbler 500 41,688 dan Continental GT RM44,509.

    Untuk setiap motosikal Royal Enfield yang dibeli, pelanggan akan menerima jaminan dua tahun atau 20,000 km, dan melalui laporan sebelum ini juga, kita sudah mengetahui bahawa mereka akan menambah satu lagi model baru iaitu Himalayan yang akan dilancarkan pada bulan hadapan.

    GALERI: Royal Enfield Bullet 350


    GALERI: Royal Enfield Classic 350

    GALERI: Royal Enfield Classic 500 EFI

    GALERI: Royal Enfield Classic 500 EFI Chrome Edition

    GALERI: Royal Enfield Rumbler 500

     
     
  • BMW Concept iX3 sah bakal ditampilkan di Beijing

    Model BMW Concept iX3 sah bakal ditampilkan di Beijing Motor Show minggu ini, apabila pengeluar kereta Jerman itu telah menyiarkan video teaser menjelang ketibaan kereta konsep janaan semua-elektrik tersebut.

    Dalam klip video pendek ini, kelihatan gril ‘kidney’ dari model semasa X3 G01, diikuti dengan model konsep iX3. Seperti yang boleh dilihat, unit kepingan-tunggal ini mengingatkan kita pada model konsep i Vision Dynamics, dan berkemungkinan bakal menjadi tanda dagang bagi model BMW i yang akan datang.

    Menurut spyshot terdahulu, versi produksi bagi Concept iX3 ini berasaskan X3, dengan gaya unik yang tersendiri, walau bagaimana pun, tidak kelihatan corong ekzosnya tetapi masih kelihatan sama dengan model standard X3.

    Buat masa ini, perincian mengenai kereta janaan elektrik ini masih tersimpul rapi, namun iX3 bakal dikenali sebagai “kenderaan bateri elektrik Gen 4” sama seperti MINI EV akan datang. Walau pun model konsep ini bakal didedahkan pada umum tidak lama lagi, namun difahamkan versi produksinya tidak akan diperkenalkan sebelum tahun 2020. Model lain BMW i yang dalam perancangan termasuklah iNEXT pada 2021 dan selepasnya adalah i4.

    GALERI: Spyshot BMW iX3

     
     
  • Volkswagen I.D. R Pikes Peak – 0-100 km/j dalam 2.25s

    Volkswagen I.D. R Pikes Peak – 0-100 km/j dalam 2.25s

    Volkswagen telah memperkenalkan versi realiti bagi I.D.R Pikes Peak, jentera lumba pacuan semua-elektrik yang diharap mampu mencatat rekod baharu dalam perlumbaan Pikes Peak Hill Climb di Colorado, Amerika Syarikat pada 24 Jun ini. Rekod semasa yang pernah dicatatkan ialah 8 minit 57.118 saat, oleh Rhys Millen menerusi e0 PP100 pada 2016.

    Bagi memastikan I.D. R Pikes Peak mampu melaksanakan tugasnya, ia digandingkan dengan dua motor elektrik yang berkeupayaan menyalurkan jumlah keseluruhan kuasa mencecah 680 PS (500 kW) dan tork 650 Nm. Ia memiliki berat kurang daripada 1,100 kg dan Volkswagen mendakwa penciptaannya mampu mengenepikan jentera lumba Formula 1 dan Formula E dengan pacuan 0-100 km/j, iaitu hanya mengambil masa 2.25 saat untuk berbuat demikian.

    Motor terbabit dibekalkan kuasanya oleh bateri lithium-ion dengan kejuruteraannnya untuk kepadatan kuasa maksimum bagi menyalurkan sebanyak mungkin kuasa yang paling tinggi, bukan mengoptimakan julatnya. Walau bagaimana pun, Volkswagen berkata secara kasarnya 20% bagi kuasa elektrik diperlukan untuk menjanakannya apabila dipacu lebih kurang 20 km, terutamanya ketika membrek.

    Pelumba yang bakal mengendalikan jentera ini ialah Romain Dumas, yang perlu melalui 156 selekoh dari garisan permulaan pada ketinggian 9,000 kaki dari paras laut, dan menamatkannya pada ketinggian 14,115 kaki. Beliau hanya berpeluang sekali sahaja untuk mencipta rekod dunia, itu pun sekiranya semua yang bersaing memberikan aksi secara sihat.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.08 (0.00)
Last Updated Sep 04, 2025