Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Lamborghini Cervelo P5X – basikal RM80k, 25 unit saja

    Lamborghini Cervelo P5X – basikal RM80k, 25 unit saja

    Lamborghini telah mengeluarkan sebuah basikal prestasi tinggi dengan kerjasama Cervélo Cycles, menggunakan daripada model P5X. Ini adalah sebuah basikal triathlon yang menawarkan prestasi terbaik dan dipasarkan pada harga USD20,000 (RM80,000), namun hanya 25 buah sahaja yang dibuat, menjadikannya sebuah model edisi terhad.

    Lamborghini telah memilih Cervélo kerana kedua-dua syarikat dilihat berkongsi semangat sama dalam penyelidikan dan pembangunan produk masing-masing, dan sentiasa memberi komitmen untuk menghasilkan produk terbaru yang lebih baik.

    Bagi basikal P5X ini, aspek aerodinamik dan binaan ringan menjadi antara kelebihannya, dan ia dianggap hampir sama seperti sebuah kenderaan Lamborghini. Keseluruhan badan P5X dibuat daripada gentian karbon, dan boleh didapati dalam pilihan saiz S, M dan L.

    Antara kelengkapan lain pada basikal Lamborghini Cervélo P5X adalah set penukar gear Shimano Dura Ace SW-R9160, derailleur depan dan belakang Shimano Dura Ace 9150 11 kelajuan, crankset Shimano Dura Ace 9100 52/36, rim 700c, tayar Continental GP400 S II dan brek Shimano RT-9005.

    Disebabkan ini adalah model edisi terhad dan melibatkan kolaborasi khas, Lamborghini Cervélo P5X turut didatangkan dengan nombor edisi keluaran yang diletakkan pada bahagian atas head tube dan juga di belakang seat post.

     
     
  • Millennium Welt buka bilik pameran BMW Motorrad di Seremban – yang pertama di Negeri Sembilan

    Millennium Welt buka bilik pameran BMW Motorrad di Seremban – yang pertama di Negeri Sembilan

    Barisan motosikal premium BMW Motorrad kini boleh didapati di Seremban premis wakil pengedarnya, Millennium Welt yang kini telah dibuka secara rasmi. Ini merupakan bilik pameran BMW Motorrad yang pertama di Negeri Sembilan.

    Terletak di Jalan Tun Dr. Ismail, Seremban, bilik pameran berkenaan mempunyai ruang pameran yang mampu menampung sehingga 10 unit motosikal, dan merupakan pengedar BMW Motorrad yang ke-11 di seluruh Malaysia.

    Menurut Pengarah Urusan Millennium Welt, Bryan Wong, kerjasama dan hubungan baik pihaknya dengan jenama BMW dan MINI sejak dulu membuka ruang baru bagi perkembangan bersama BMW Motorrad. “Kami menjadi wakil penjual jenama-jenama ini di Seremban, serta di Batu Pahat dan Kuantan. Kami berbesar hati diberi kepercayaan untuk menjadi pengedar bagi jentera dua roda BMW pula,” ujar beliau.

    Bagi Ketua BMW Motorrad Malaysia, Owen Riley, perkembangan ini merupakan peluang terbaik untuk meluaskan pengaruh jenama berkenaan. “2017 ialah tahun kami memecahkan rekod bagi BMW Motorrad di Malaysia.

    “Selain angka jualan yang memberangsangkan, kami juga menambah lima model motosikal premium
    terbaru ke dalam portfolio sedia ada. Kami berharap untuk meneruskan perkembangan positif ini pada tahun 2018, bermula dengan pembukaan pengedar terbaharu, Millennium BMW Motorrad di Negeri Sembilan,” jelasnya.

    Tahun lalu, jualan semua model BMW Motorrad telah meningkat sebanyak 13.2% di serata dunia, dengan jumlah 164,153 unit terjual. Di Malaysia sahaja, 1,052 unit motosikal berjaya dijual, mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 5% berbanding tahun sebelumnya.

     
     
  • Volkswagen I.D. R Pikes Peak mahu catat rekod baru

    Volkswagen I.D. R Pikes Peak mahu catat rekod baru

    Sejak mengumumkan mahu menghasilkan lebih banyak kenderaan elektrik menjelang tahun 2025, Volkswagen telah memperkenalkan satu demi satu model dalam keluarga yang dinamakan sebagai I.D. Bermula dengan model konsep pertama yang mempunyai bentuk seperti Golf, ia kemudiannya diikuti pula oleh I.D. Buzz, I.D. Crozz dan I.D. Vizzion.

    Terbaru, syarikat dari Jerman ini memperkenalkan pula model paling sporty dalam keluarga I.D. ini iaitu I.D. R Pikes Peak. Ia adalah sebuah kenderaan elektrik sports yang akan digunakan oleh Volkswagen dalam perlumbaan Pikes Peak Hill Climb 24 Jun nanti di Colorado, Amerika Syarikat.

    Tidak banyak yang didedahkan pada masa awal ini berkenaan I.D. R Pikes Peak, tetapi ia diberitahu menggunakan pacuan empat roda dan juga menandakan kerjasama yang lebih hebat antara cabang Volkswagen R dan Volkswagen Motorsport.

    Volkswagen I.D. R Pikes Peak mahu catat rekod baru

    “Bertanding dalam perlumbaan mendaki bukit paling tekenal di dunia dengan I.D. R Pikes Peak bukan sahaja mempunyai makna yang simbolik, malah ia juga adalah ujian penting untuk pembangunan am kenderaan elektrik,” kata ahli lembaga pengarah pengurusan bahagian pembangunan Volkswagen, Dr. Frank Welsch.

    Perlumbaan Pikes Peak melibatkan jarak sejauh 19.99 kilometer dan jalannya mendaki bukit sehingga ke ketinggian 4,300 meter dari paras laut di garisan penamatnya. Rekod kelas kenderaan prototaip elektrik kini dipegang oleh Rhys Millen yang memandu e0 PP100, dan Volkswagen akan cuba memecahkannya dengan I.D. R Pikes Peak.

     
     
  • Kereta Uber tanpa pemandu melanggar mati wanita di Arizona – ujian kenderaan pandu sendiri digantung

    Kereta Uber tanpa pemandu melanggar mati wanita di Arizona – ujian kenderaan pandu sendiri digantung

    Sebuah kereta Uber tanpa pemandu telah melanggar mati seorang wanita yang sedang menyeberang jalan di Arizona, Amerika Syarikat (AS) pada Isnin lalu. Dalam insiden tersebut, Elaine Herzberg, 49, telah dilanggar ketika cuba melintas jalan di pinggir bandar Pheonix. Dia kemudiannya disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.

    Menurut laporan Reuters, ini merupakan kes kematian pertama yang melibatkan kenderaan tanpa pemandu, sekali gus memberi tamparan hebat kepada teknologi yang dijangka membawa transformasi kepada dunia pengangkutan itu. Ekoran kejadian tersebut, Uber kini menggantung semua ujian kenderaan pandu sendiri yang mereka lancarkan di Amerika Utara.

    Uber bekerjasama dengan Alphabet Inc dan General Motors Co. bagi menjalankan perkhidmatan kereta tanpa pemandu yang dijangka dapat mengurangkan kes kemalangan jalan raya secara drastik dan dalam masa yang sama mampu menjana perniagaan dengan keuntungan berbilion dolar.

    Kereta Uber tanpa pemandu melanggar mati wanita di Arizona – ujian kenderaan pandu sendiri digantung

    Bagaimana pun, kes kemalangan tersebut membutktikan masih ada halangan tertentu dalam penyediaan teknologi terbabit terutamanya yang melibatkan situasi sebenar manusia, sekaligus menunjukkan ia masih belum bersedia untuk dilancarkan.

    Kemalangan berkenaan juga mencetus reaksi pantas para penggubal undang-undang yang sebelum ini terus berdebat sama ada mahu meluluskan undang-undang yang mempercepatkan penggunaan kenderaan tanpa pemandu itu di AS.

    “Kemalangan tragik ini adalah amaran untuk kita supaya perlu berhati-hati apabila menjalankan ujian dan melancarkan teknologi kenderaan pandu sendiri di jalan raya,” ujar Senator Demokrat Edward Markey dari Massachusetts.

     
     
  • Siri nombor plat YY dibuka untuk bidaan hingga 6 April

    Siri nombor plat YY dibuka untuk bidaan hingga 6 April

    Nampak gayanya penggunaan siri nombor plat khas kian popular. Bagi yang ada bajet tertentu, bolehlah membida nombor terbaik yang dipadankan bersama siri plat terbabit.

    Terkini, siri plat nombor YY pula muncul yang telah pun boleh dibida dari 15 Mac lalu sehingga 6 April ini. Nombor tersebut dari YY 1 hingga YY 9999, bidaan yang berjaya akan diumumkan pada 30 April ini. Tidak seperti plat UU yang tidak ditawarkan dengan harga minimum, siri plat YY pula mempunyai garis harga asas yang ditetapkan. Harga bidaan paling minimum untuk nombor biasa (contohnya 1389, 3569) adalah RM300, manakala nombor yang lebih dari biasa seperti 2268 dan 9962 ditetapkan pada harga RM1,000.

    Manakala untuk nombor tiga berkembar (contoh; 2228, 3336, 6999) ditetapkan pada harga RM2,000, sementara untuk nombor berkembar istimewa (contoh; 2266, 9898) pula RM3,000. Bagi nombor digit berkembar, bidaan bermula RM3,000, dan nombor tiga digit istimewa (3335, 565, 898) pula RM6,000.

    Sebelum ini, beberapa siri plat nombor khas telah mendapat perhatian termasuk Q, T1M, NBOS, Y, G, NAAM, F1, GG, SAM, K1M, RIMAU dan banyak lagi.

     
     
  • GALERI: Toyota Alphard, Vellfire facelift 2018 – senarai kelengkapan penuh, harga antara RM351k-RM541k

    GALERI: Toyota Alphard, Vellfire facelift 2018 – senarai kelengkapan penuh, harga antara RM351k-RM541k

    Berita baik bagi penggemar MPV besar, Toyota Alphard dan Velffire facelift kini sudah berada di pusat pameran UMW Toyota, sekaligus menandakan pelancarannya akan berlangsung tidak lama lagi. Sebelum ini, dua model MPV terkenal tersebut telah dibuka untuk tempahan, dan kini spesifikasi penuhnya pula disiarkan.

    Seperti yang kami laporkan, dua MPV ini dijual pada harga tinggi sedikit berbanding sebelum ini, iaitu RM350,800 untuk Vellfire 2.5 liter (peningkatan sebanyak RM5,600 berbanding model sebelum ini), RM429,800 untuk model 3.5 liter standard dan RM540,800 untuk 3.5 Executive Lounge. Ini masing-masing adalah peningkatan sebanyak RM26,400 dan RM35,100.

    Perubahan paling besar, bagi Alphard adalah enjinnya, iaitu sekarang menggunakan unit 2GR-FKE 3.5 liter V6 dengan sistem suntikan terus D-4S dan VVT-iW. Kuasanya meningkat sebanyak 29 PS dan 21 Nm menjadi 300 PS pada 6,600 rpm dan 361 Nm tork pada antara 4,600 hingga 4,700 rpm. Transmisi automatik Direct Shift lapan kelajuan baru juga diguna untuk menggantikan unit enam kelajuan sebelum ini.

    Toyota mendakwa penggunaan bahan api untuk kenderaan ini juga bertambah baik dalam ujian JC08 Jepun, menjadi antara 10.4 dan 10.6 km/l berbanding 9.5 km/l sebelum ini. Untuk Vellfire, enjin empat silinder 2AR-FE 2.5 liter Dual VVT-i masih dikekalkan, di mana ia mampu menghasilkan 180 PS pada 6,000 rpm dan 235 Nm tork pada 4,100 rpm, dipadankan dengan transmisi CVT yang juga sama seperti sebelum ini.

    Perubahan lain lebih kepada kosmetik, di mana kedua-duanya mempunyai ‘muka’ yang baru. Alphard kini mempunyai gril yang lebih besar, dengan kemasan krom berjalur turun ke bawah, manakala lampunya pula menggunakan unit LED boleh laras sendiri dengan lampu selekoh dan lampu siang LED (grafik baru).

    Vellfire pula mempunyai gril krom dengan permukaan rata lebih besar, bersama lampu kabus bersegi dan di penjuru bampar terdapat bahagian seperti bukaan udara yang besar. Akhir sekali, terdapat lampu belakang baru, dengan pencahayaan dalaman berpetak, hiasan krom pada pintu but dan rekaan rim 18 inci baru.

    GALERI: Toyota Alphard, Vellfire facelift 2018 – senarai kelengkapan penuh, harga antara RM351k-RM541k

    Di dalam, kenderaan ini menggunakan rekaan panel instrumen baru, serta ciri standard baru yang termasuk pengecas Qi tanpa wayar, dan cermin pandang belakang berasaskan kamera digital yang dipanggil full display mirror (FDM) – pertama kali digunakan pada Lexus LS baru.

    Lain daripada itu, senarai kelengkapan masih lagi sama, Vellfire datang dengan sistem masuk tanpa kunci, butang pemula enjin, pintu gelungsur kuasa elektrik, tempat duduk balutan kulit, boleh dilaras secara elektrik dan mempunyai liang udara, tempat duduk kapten di baris kedua, tempat duduk Ottoman untuk bahagian hadapan dan baris kedua, bumbung suria hadapan, bumbung panoramik di belakang, sistem navigasi DVD-AVN dengan skrin sesentuh tujuh inci dan lapan pembesar suara.

    Untuk Alphard pula, model standard datang dengan jumlah kelengkapan yang sama, tetapi model Executive Lounge menerima tempat duduk baris kedua VIP yang lebih lebar, boleh disandar secara elektrik, pelarasan Ottoman dan mempunyai liang udara. Model ini juga menggunakan balutan kulit semi-aniline, skrin sesentuh lapan inci untuk sistem navigasi dan sistem bunyi JBL 17 pembesar suara.

    GALERI: Toyota Alphard, Vellfire facelift 2018 – senarai kelengkapan penuh, harga antara RM351k-RM541k

    Pada bahagian keselamatan, semua model kini mendapat Blind Spot Monitor (BSM) dan Rear Cross Traffic Alert (RCTA) sebagai tambahan kepada tujuh beg udara, ABS, EBD, BA dan Vehicle Stability Control (VSC). Walaubagaimanapun, pakej Toyota Safety Sense yang datang secara standard untuk model Jepun tidak diberitahu ada pada unit pasaran Malaysia ini.

    Apabila mendapatkan kenderaan dengan UMWT, pembeli akan menerima sebuah kenderaan yang ditala khas untuk keadaan cuaca, jalan serta peraturan di Malaysia. Ini termasuklah talaan yang dilakukan pada ECU enjin, cermin sisi yang lebih lebar serta sistem nevigasi dan audio yang khas untuk Malaysia. Dan sudah tentu, kereta yang dipasarkan melalui pengedar rasmi diberikan jaminan lima tahun tanpa had batuan, dan jaminan keberadaan alat ganti selama 10 tahun.

    GALERI: Toyota Vellfire 2.5

    GALERI: Toyota Alphard 3.5

    GALERI: Toyota Alphard 3.5 Executive Lounge

     
     
  • GALERI: Toyota Avanza 1.5X – bawa imej ranggi SUV

    GALERI: Toyota Avanza 1.5X – bawa imej ranggi SUV

    Februari lalu, UMW Toyota Motor (UMWT) telah mengumumkan varian Toyota Avanza 1.5X sebagai penawaran paling tinggi model MPV tujuh-tempat duduk itu. Dengan harga RM82,700 atas jalan tidak termasuk insurans, Avanza X ini menampilkan imej yang lebih gagah yang dipinjam dari penampilan SUV. Ada iras Honda BR-V?

    Tambahan kosmetik paling ketara pada Avanza X ialah bahagian pelindung hitam yang digunakan disekiling bahagian bawah badannya. Turut disertakan ialah kemasan perak di depan dan belakang yang mencadangkan rekaan skid plate yang biasa ada pada model SUV. Bahagian pelindung tambahan hitam kesat itu turut diganding dengan kemasan hitam berkilat pada bahagian atas badan kenderaan ini, dan tidak lupa juga DRL LED yang terletak dibahagian bawah lampu kabus.

    Bahagian D-pillar pula digelapkan, mencadangkan kesan “bumbung terapung” pada MPV ini. Lencana X juga digunakan untuk menghias bahagian sisi, sementara lampu belakang pula menerima reflektor tambahan disamping lampu utama yang melintang.

    Kit pilihan yang ditunjukkan di sini antaranya ialah rim aloi 16-inci dua-tona dan kemasan pada bumbungnya, yang kami rasa nampak seperti roof rail, tetapi hanya bertujuan sebagai hiasan. Sama seperti model diedarkan UMWT sebelum ini, pelanggan boleh memilih head unit antara DVD-AVX atau DVD-AVN, kedua-duanya dengan skrin sentuh.

     
     
  • GALERI: Toyota Hilux L-Edition – varian 2.4L 4×4

    GALERI: Toyota Hilux L-Edition – varian 2.4L 4×4

    UMW Toyota Motor baru saja melancarkan Toyota Hilux L-Edition (‘L’ membawa maksud mewah atau luxury),menandakan model facelift bagi trak pikap ini bakal diperkenalkan tidak lama lagi. Galeri di bawah merupakan L-Edition 2.4L AT 4×3, salah satu dari varian yang ditawarkan selain 2.8L AT 4×4.

    L-Edition ini adalah model Hilux yang diberikan suntikan lebih segar dengan imej yang berinspirasikan Tacoma. Antara elemen utama yang dipertaruhkan termasuklah gril haksagon yang lebih besar dengan bampar yang direka semula yang diletakkan corong udara di tengah serta lampu kabus baharu.

    Elemen spesifik bagi model ini termasuklah roda aloi lima-jejari dua-tona 18-inci (dengan tayar 265/65), kekemasan krom dan hitam untuk gril hadapan, kekemasan hitam pekat berbanding perak, serta tempat duduk balutan kulit.

    Varian L-Edition 2.4L AT 4×4 ini turut dilengkapi dengan lampu utama halogen (dengan lampu nyalaan siang jenis mentol), sistem pendingin hawa manual, paparan kluster instrumen pelbagai-info, kemasukan dan pemula pintar, unit utama biasa, tempat duduk pemandu larasan elektronik lapan-arah, tujuh beg udara, Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), pengesan undur dan ABS dengan EBD serta bantuan brek.

    Kelengkapan tersebut lebih kurang sama seperti yang ditawarkan pada model pra-peningkatan Hilux 2.4L AT 4×4, termasuk apa yang ada di bawah hudnya. Di mana yang didatangkan dengan enjin 2GD-FTV 2.4 liter turbodiesel dengan 150 PS dan tork 400 Nm, dipadankan bersama transmisi automatik enam-kelajuan. Juga ditampilkan dengan Active Traction Control (A-TRC) dan sistem pacuan semua-roda dengan suis on-the-fly dan rear differential lock.

    L-Edition 2.4L AT 4×4 ditawarkan pada harga RM119,300 (harga atas jalan tanpa insurans), sementara varian 2.8L AT 4×4 pula berharga RM133,900. Setiap pembelian termasuk dengan waranti lima-tahun/150,000 km, bersama tujuh pilihan warna. Sila layari CarBase.my bagi perincian dan spesifikasi penuh mengenai model Toyota Hilux L-Edition baharu ini.

     
     
  • VW jadi penaja kereta rasmi Le Tour De Langkawi ’18

    VW jadi penaja kereta rasmi Le Tour De Langkawi ’18

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah dilantik sebagai sebagai rakan automotif rasmi dalam acara Le Tour de Langkawi (LTDL) 2018. Untuk LTDL tahun ini, VPCM akan menyediakan sebanyak 180 buah kereta Volkswagen yang terdiri daripada rangkaian model terkininya.

    Ia merangkumi model Polo, Vento Highline, Passat Trendline, Passat Highline dan Tiguan Highline. Semua kenderaan ini akan digunakan sepanjang perlumbaan tersebut oleh para pelumba, marshal keselamatan dan pegawai. Selaku rakan automotif rasmi, VPCM juga akan menyerahkan Jersi Putih kepada Juara Asia.

    Mengulas tentang kerjasama tersebut, Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter menyatakan bahawa Volkswagen berbangga kerana sekali lagi dapat menjadi sebahagian daripada acara perlumbaan basikal paling berprestij di Asia itu.

    “Kami gembira kerana dapat menyokong perlumbaan ini dengan rangkaian model Volkswagen. Kami tidak sabar untuk melihat daya ketahanan, kelincahan dan kekuatan yang bakal dipamerkan oleh pelumba bertaraf dunia yang mengambil bahagian. Bagi pihak Volkswagen, kami ucapkan selamat maju jaya kepada semua peserta,” katanya.

    Sebelum ini, Volkswagen juga pernah terlibat dalam penganjuran LTDL pada tahun 2016.

     
     
  • Jualan kenderaan Februari 2018 di M’sia menurun 9%

    Jualan kenderaan Februari 2018 di M’sia menurun 9%

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan data jumlah jualan untuk bulan Februari 2018, dan ia menunjukkan penurunan tiga bulan beturut-turut, dengan kali ini menurun sebanyak 9% berbanding bulan Januari. Secara keseluruhannya jualan pada bulan Februari cuma 40,578 unit.

    Jika dibandingkan dengan jumlah bulan sebelumnya, iaitu 44,575 unit, ini adalah pengurangan sebanyak 3,997 unit. Ia bukan sesuatu yang pelik kerana secara amnya, jualan bulan Februari memang selalunya kurang kerana pelbagai promosi perayaan baru sahaja tamat. Jumlah hari bekerja yang pendek juga menjadi antara penyebabnya.

    Apabila dibandingkan pula dengan tempoh sama tahun lepas (2017), jualan bulan Februari tahun ini mencatat pengurangan sebanyak 4%, bersamaan 1,877 unit, manakala pada tahun 2016 jumlahnya adalah kurang lagi daripada 2017.

    Melihat kepada jumlah kenderaan yang dijual pada tahun ini (YTD), jumlah yang dicatat adalah 85,153 unit, dan ini adalah pengurangan sebanyak 2.3% (1,969 unit) berbanding tahun lepas, di mana 87,122 berjaya dijual pada bulan Januari dan Februari.

    Masih awal untuk menjangkakan keadaan seterusnya, tetapi MAA berpandangan bulan Mac nanti jualan akan bertambah baik kerana hari bekerja lebih panjang dan biasanya syarikat kenderaan akan bekerja keras untuk memberikan kenderaan kepada pelanggan demi menutup tahun kewangan yang akan berakhir pada 31 Mac.

     
     
  • Manifesto PAS untuk GE14 – mansuh duti eksais bagi pembeli kenderaan pertama; adakah ini langkah baik?

    Manifesto PAS untuk GE14 – mansuh duti eksais bagi pembeli kenderaan pertama; adakah ini langkah baik?

    Pilihanraya makin dekat. Jadi, bermulalah kempen-kempen menabur janji – untuk nampak lebih sophisticated disebut manifesto – oleh kedua-dua belah pihak, baik pemerintah semasa mahupun pembangkang.

    Bezanya untuk Pilihanraya Umum ke-14 (GE14) ini, tak kedengaran terlalu kuat janji untuk turunkan harga kereta oleh pembangkang. Sekadar rekod, pada pilihan raya umum 2013, itu menjadi antara “slogan” utama pembangkang (dulu Pakatan Rakyat, sekarang Pakatan Harapan) untuk menarik perhatian umum.

    Menariknya kali ini, yang masih bercakap tentang penawaran harga kenderaan ialah PAS – yang dahulunya bersama pembangkang dan kini tidak lagi – yang membawa nada janji yang sama. Di dalam Gagasan Sejahtera, senarai janji-janji yang akan digunakan untuk GE14 parti itu (yang turut disertai Parti Ikatan dan Parti Berjasa), antara yang disebut ialah untuk menghapuskan GST dan juga memansuhkan cukai eksais bagi mereka yang pertama kali membeli kereta.

    Manifesto PAS untuk GE14 – mansuh duti eksais bagi pembeli kenderaan pertama; adakah ini langkah baik?

    Cadangan daripada PAS itu tertakluk kepada kenderaan dengan kapasiti enjin bawah 1.3 liter. Parti itu juga mencadangkan pinjaman tanpa faedah diberikan bagi mereka yang pertama kali membeli kenderaan. Bagaimanapun, tidak pula dinyatakan bagaimana mereka akan melaksanakan cadangan itu sekiranya berjaya membentuk kerajaan – terutama kerana cukai merupakan sumber pendapatan kerajaan yang sangat penting.

    Pada 2014, Menteri MITI, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata bahawa kerajaan tidak boleh membatalkan duti eksais kenderaan dalam keadaan ekonomi ketika itu. “Sektor automotif merupakan penyumbang yang sangat penting kepada kerajaan — 75% daripada duti yang dikumpulkan daripada sektor automotif datang dari duti eksais,” ujarnya ketika pengumuman Dasar Automotif Nasional 2014.

    Namun, dalam ucapan sama, beliau tidak menolak kemungkinan untuk menilai semula duti eksais sekiranya kedudukan kewangan negara bertambah kukuh bagi tempoh beberapa tahun selepas itu.

    Manifesto PAS untuk GE14 – mansuh duti eksais bagi pembeli kenderaan pertama; adakah ini langkah baik?

    Untuk kenderaan yang dibeli ketika ini, kita membayar tiga jenis cukai — duti import, duti eksais dan GST. Duti import semakin berkurangan, mengambil kira Malaysia sebagai ahli di dalam perjanjian perdagangan serantau. Misalnya, duti import adalah 0% bagi kenderaan yang dibawa masuk dari negara ASEAN ketika ini. Bagaimanapun, duti eksais sebaliknya adalah tertakluk sepenuhnya kepada kerajaan. Seperti yang dinyatakan oleh menteri MITI, ia menjadi sumber pendapatan penting untuk negara.

    Tidak seperi cukai import, duti eksais dikenakan pada semua produk, sama ada diimport, pengilangan tempatan ataupun diperingkat nasional. Kadar yang dikenakan sekitar 65% hingga 105%, tetapi kebanyakan pengeluar kereta di sini membayar kurang daripada jumlah itu dengan meningkatkan kadar kandungan tempatan. Menurut Tok Pa, kadar duti eksais yang dibayar bagi setiap kereta ialah sekitar 50% (angka tahun 2014).

    Janjin PAS ini juga bukanlah satu perkara baru. Pada 2014, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin pernah mencadangkan “Skim Kenderaan Pertama Belia” di mana golongan berkenaan yang berpendapatan RM4,000 sebulan boleh membeli kereta pertama mereka tanpa sebarang cukai.

    Manifesto PAS untuk GE14 – mansuh duti eksais bagi pembeli kenderaan pertama; adakah ini langkah baik?

    Mengikut kiraan kami, berdasarkan 10% pendahuluan, kadar faedah 3.5% dan ansuran bulanan selama tujuh tahun, pembeli boleh jimat dari RM30 hingga RM330 sebulan bagi kenderaan pemasangan tempatan, dari model seperti Perodua Axia dan Toyota Vios.

    Tetapi, adakah kereta yang murah benar-benar memberi manfaat kepada rakyat? Katakanlah pemansuhan duti eksais menjadi kenyataan, dan pengeluar serta pembeli berasa lega, sementara keadaan pasaran yang perlahan kembali melonjak sebagai kesan jangka masa pendek. Tetapi, untuk jangka masa panjang, keadaan sebaliknya mungkin berlaku – Thailand adalah contoh negara yang nsudah menghadapi kitara yang dimaksudkan ini.

    Suasana pasaran automotif di Thailand menerima kesan teruk selepas tamatnya skim kereta pertama pada Disember 2012, yang diperkenalkan bermula pada September 2011. Kerajaan di sana memberikan pulangan cukai sebanyak 100,000 baht bagi pembeli kereta pertama yang memilih model keluaran tempatan yang berharga di bawah 1 juta baht, dengan enjin di bawah 1.5 liter.

    Manifesto PAS untuk GE14 – mansuh duti eksais bagi pembeli kenderaan pertama; adakah ini langkah baik?

    Seperti yang pernah dilaporkan, langkah itu menyebabkan kerajaan Thailand terpaksa menanggung kos sebanyak US$2.5 bilion (RM9.79 bilion) dalam bentuk pendapatan dari cukai, berdasarkan anggaran Bank Dunia. Ia juga menyebabkan 100,000 pelanggan yang menggunakan skim itu tidak mampu melangsaikan hutang bank kerena mereka sebetulnya dari awal lagi tidak layak atau mampu untuk membeli kenderaan dalam keadaan biasa. Memiliki kenderaan pula bukanlah sekadar ansuran bulanan sahaja. Banyak lagi perkara yang perlu dipertimbangkan – misalnya kos minyak, servis, parking dan tol.

    Diperingkat cadangan, memang harga kereta murah itu bertujuan untuk membantu golongan muda, tetapi seperti yang berlaku di Thailand, ia menyebabkan ramai belia terperangkap dalam hutang. Kesan yang sama akan berlaku sekiranya skim yang sama diperkenalkan di sini.

    Hutang isi rumah di Malaysia adalah antara yang tertinggi di rantau ini (84.6% dari GDP pada September 2017; ia RM1.086 trilion atau 88.4% dari GDP pada penghujung 2016) dan memberikan alasan untuk para siswa untuk membeli kereta baru mungkin tidak baik bagi keadaan kewangan jangka panjang mereka. Apa pandangan anda?

     
     
  • Suzuki Intruder 150 FI dilancarkan di India – RM6,000

    Suzuki Intruder 150 FI dilancarkan di India – RM6,000

    Pasaran India telah menerima sebuah model cruiser baru dengan pelancaran Suzuki Intruder 150 pada harga 100,000 rupee (RM6,000). Sebelum ini, Intruder sememangnya sudah ada dalam pasaran India tetapi model baru ini dipertingkat dengan enjin yang menggunakan sistem suntikan bahan api SEP.

    Enjin tersebut menggunakan satu silinder, berkapasiti 154.9 cc dan mampu menghasilkan kuasa sebanyak 14.8 PS pada 8,000 rpm dan 14 Nm tork pada 6,000 rpm. Transmisi pula adalah unit lima kelajuan. Ini adalah padanan sama yang digunakan pada model Gixxer 150 yang dipasarkan di sana.

    Daripada aspek penampilan, tiada sebarang perbezaan antara Intruder FI dengan Intruder karburetor dan ia masih mempunyai gaya santai dengan pemegang yang lebih dekat kepada penunggang, tempat duduk lebar dan rendah (740 mm), serta lampu hadapan yang menyerupai model cruiser lebih besar, Suzuki Boulevard.

    Suzuki Intruder 150 FI dilancarkan di India – RM6,000

    Perincian lain Intruder 150 FI ini adalah berat 148 kg, brek cakera depan dan belakang, rim bersaiz 17 inci, tayar 100/80 di depan dan 140/60 di belakang, fork teleskopik, monoshock di belakang dan lampu belakang LED. Untuk kesenangan pengguna, tangki bahan apinya mampu mengisi 11 liter.

    Intruder 150 FI juga menunjukkan ciri moden dengan penggunaan meter jenis digital, dan menurut mereka, penunjuk RPM pada meter ini adalah sama seperti Hayabusa dan GSXR-1000. Pada bahagian brek, ciri keselamatan ABS turut disediakan.

     
     
  • K-One – kereta elektrik China tiru Mercedes-Benz GLA

    K-One – kereta elektrik China tiru Mercedes-Benz GLA

    Tidak kisahlah apa jenama kenderaan sekalipun, pasti akan terdedah risiko ditiru oleh pengeluar dari China. Mercedes-Benz GLA adalah mangsa terbaru, di mana rekaan mirip dengannya telah digunakan pada model elektrik dari China, yang dinamakan sebagai K-One. Bukan setakat itu, mereka juga menggabungkannya dengan beberapa ciri daripada CLA dan A-Class.

    Menuru AutoHome, K-One mempunyai ukuran 4,100 mm panjang, 1,710 mm lebar, 1,595 tinggi dan jarak roda 2,520 mm. Ini adalah sedikit kecil berbanding GLA sekarang yang mempunyai ukuran panjang 4,417 mm (-317 mm), lebar 1,804 mm (-94 mm) dan jarak roda 2,699 mm (-179 mm). Tetapi, K-One lebih tinggi, di mana GLA cuma 1,494 mm (-101 mm).

    Berat K-One dikatakan sekitar 1,400 kg dan menggunakan kuasa pacuan elektrik. Kuasa yang dihasilkan adalah sekitar 54 PS (kuasa paling tinggi 130 PS), dan datang daripada pek bateri lithium-ion yang dibuat oleh Harbin Coslight Power. Tidak banyak perincian prestasi lain untuk kenderaan ini tetapi ia dikatakan mampu mencapai laju maksimum 102 km/j.

    Daripada aspek rekaan, bahagian hadapannya boleh dilihat diambil terus daripada CLA, termasuklah bentuknya, serta rekaan lampu utama, gril serta cermin sisi. K-One ini menggunakan rim 16 inci yang dibalut tayar 205/55. Pergi ke bahagian belakang, ia menyerupai GLC dan bamparnya dijadikan agresif dengan bukaan udara hiasan, kemasan biru dan dua muncung ekzos (barang kali juga hiasan kerana ini adalah kereta elektrik).

     
     
  • Mazda akan bangunkan bateri lithium-ion 12-volt baru

    Mazda akan bangunkan bateri lithium-ion 12-volt baru

    Mazda telah mengumumkan bakal memulakan projek usaha sama dengan Ellity Power dan Ube Indsutries untuk membangunkan bateri lithium-ion – yang tahan lasak terhadap haba dan hentakan – untuk kegunaan pada kenderaan. Bertujuan menjadi gantian kepada bateri lead-acid pada kenderaan, projek berkenaan mensasarkan bateri baru ini akan masuk pasaran pada 2021.

    Bateri lithium-ion adalah alternatif yang sangat meyakinkan kepada bateri lead-acid yang banyak digunakan pada kenderaan. Tetapi, penggunaannya terhad disebabkan hal-hal keselamatan – bateri pada kenderaan perlu tahan terhadap haba dan suhu tinggi di dalam ruang enjin, dan perlu juga tahan dari sudut daya impak sekiranya berlaku perlanggaran. Projek baru ini diharap dapat mengatasi dua masalah berkenaan untuk menghasilkan bateri yang lebih stabil dan selamat.

    Mazda akan menjalankan kajian berdasarkan model terhadap reaksi kimia yang berlaku di dalam bateri dan akan membuat pemerhatian yang lebih terperinci tentang bagaimana untuk menguruskan bateri berprestasi tinggi dari perspektif kenderaan sepenuhnya serta membangunkan model bateri pelbagai guna untuk kegunaan pada kenderaan bermotor yang lain.

    Elity Power akan menggunakan pengalaman di dalam membangunkan teknologi bateri yang selamat, kalis air dan tahan hentakan dengan prestasi dalam cuaca sejuk yang sangat baik dan akan menerajui rekaan dan pembangunan unit bateri berkenaan.

    Sementara itu, Ube Indsutries pula akan memanfaatkan kepakaran kejuruteraan mereka dalam mebangunkan komponen utama seperti elektrolite dan pembahaginya untuk membangunkan elektrolite dengan ketahan tinggi dan tahan haba.

    Ketiga-tiga syarikat ini berkata, projek berkenaan akan turut menjurus kepada potensi untuk bekerja sama selanjutnya dalam lapangan yang berbeza, seperti menggunakan teknologi yang terhasil dari usaha sama ini sebagai asas pembangunan bateri lithium-ion voltan rendah untuk kegunaan kenderaan dengan ciri elektrifikasi yang lain, selain daripada bateri penghidup (starter batteries).

     
     
  • Plaza Tol Sg. Rasau – semua laluan utama kini dibuka, fasa akhir kerja perobohan masih giat dijalankan

    Plaza Tol Sg. Rasau – semua laluan utama kini dibuka, fasa akhir kerja perobohan masih giat dijalankan

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah memaklumkan semua laluan utama yang baharu di tapak Plaza Tol Sungai Rasau di Lebuhraya Persekutuan Laluan 2 (FHR2) telah dibuka sepenuhnya secara berperingkat kepada orang ramai mulai pagi semalam, 18 Mac 2018.

    Sebelum ini, laluan utama yang baharu di tapak Plaza Tol Batu Tiga telah dibuka kepada orang ramai pada 13 Mac lalu. Dengan pembukaan sepenuhnya kedua-dua laluan utama yang baharu ini, pengguna di lebuh raya tersebut kini boleh menikmati perjalanan yang lebih lancar.

    Pembukaan ini berikutan tamatnya Fasa Ketiga kerja-kerja perobohan struktur fizikal bangunan bekas Plaza Tol Sungai Rasau melibatkan kerja-kerja perobohan fizikal bahagian tengah bumbung plaza tol, kerja-kerja menanda jalan (roadmarking) serta pemasangan penghadang jalan bagi penjajaran semua laluan utama.

    Plaza Tol Sg. Rasau – semua laluan utama kini dibuka, fasa akhir kerja perobohan masih giat dijalankan

    Kerja-kerja perobohan fizikal fasa ketiga Plaza Tol Sungai Rasau telah berjalan dengan lancar mengikut jadual. Sehubungan itu, Fasa Terakhir yang melibatkan perobohan struktur fizikal bahagian tepi bumbung plaza tol tersebut kini sedang dijalankan. Fasa Pertama dan Kedua yang melibatkan proses pemindahan aset-aset plaza tol dan proses penutupan dan lencongan jalan telah dijalankan sejak 22 Januari dan 20 Februari lalu.

    Kerja-kerja perobohan Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau telah bermula sejak 20 dan 21 Februari lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung bulan Mac ini.

    PLUS juga menasihatkan semua pemandu yang melalui kawasan bekas plaza tol tersebut supaya mematuhi had laju yang ditetapkan serta berhati-hati kerana kerja-kerja perobohan bagi Fasa Terakhir masih lagi giat dijalankan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025