Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Op Selamat 12 sempena TBC catat 9,466 kemalangan, 91 kematian serta lebih 89 ribu saman dikeluarkan

    Op Selamat 12 sempena TBC catat 9,466 kemalangan, 91 kematian serta lebih 89 ribu saman dikeluarkan

    Op Selamat 12 sempena Tahun Baharu Cina (TBC) yang dilancarkan pada 9 Februari lalu, menyaksikan penurunan kes kemalangan dan kematian berbanding operasi yang sama pada tahun lalu. Di mana sebanyak 9,466 kemalangan jalan raya telah dilaporkan dengan 91 kematian.

    Menurut Pengarah Jabatan Penguatkuasaan dan Siasatan Trafik Bukit Aman SAC Sharul Othman Mansor, jumlah kemalangan yang direkodkan sepanjang enam hari pelaksanaan Op Selamat itu menunjukkan penuruhan sebanyak 554 kes berbanding 10,020 kes yang dicatatkan pada operasi yang sama tahun lalu. Malah jumlah kematian juga menurun sebanyak enam kes berbanding 98 kes pada Op Selamat 2017.

    Daripada 91 kes kematian bagi tahun ini, sebanyak 61 mangsa adalah terdiri daripada penunggang dan pembonceng motosikal, laporan The Sun.

    “Oleh itu, Op Selamat 12 akan memberi tumpuan kepada pengguna motosikal, selain enam kesalahan utama yang sering dilakukan pengguna jalan raya. Saman yang dikeluarkan ini akan dikenakan bayaran maksimum dan tiada sebarang diskaun diberi sepanjang Op Selamat dijalankan,” katanya.

    Katanya lagi, sebanyak 89,385 saman trafik atas pelbagai kesalahan telah dikeluarkan sepanjang tempoh tersebut.

    Enam kesalahan utama itu ialah memandu melebihi had laju, menggunakan lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, tidak mematuhi lampu isyarat, menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan memotong barisan.

     
     
  • Toyota Corolla hatchback generasi terbaru akan ke Geneva Motor Show – enjin 2.0L Toyota Hybrid System

    Toyota Corolla hatchback generasi terbaru akan ke Geneva Motor Show – enjin 2.0L Toyota Hybrid System

    Model generasi baru bagi Toyota Corolla (juga dikenali sebagai Auris di Eropah) akan dipertontonkan buat pertama kali di Geneva Motor Show nanti. Syarikat itu juga mula mengeluarkan imej rasmi pertama model berkenaan.

    Menurut Toyota, kereta baru itu akan menampilkan “rekaan yang lebih dinamik” dan imej yang ditunjukkan ini memang memperlihatkan sisi berkenaan. Rekaan bahagian lampu di hadapan dan belakang juga nampak lebih tirus, seperti yang dilihat pada model yang sedang diuji sebelum ini.

    Dari segi profilnya, kereta ini nampak lebih rendah berbanding model sebelumnya, dengan garis bumbung yang tidak terlalu rendah dibahagian belakang. Elemen sama juga pernah dilihat pada unit spyshot sebelumnya, begitu juga dengan wajah depan dengan dua peringkat serta lebih lebar.

    Toyota Corolla hatchback generasi terbaru akan ke Geneva Motor Show – enjin 2.0L Toyota Hybrid System

    Bagi bahagian dalaman pula, imej dari unit yang sedang diuji itu mencadangkan bahawa rekaan yang ditampilkan adalah serba baru. Begitu juga dengan antaramuka baru bagi sistem kawalan suhu, tuil gear yang lebih kecil, rekaan stereng baru serta paparan sistem infotainmen terapung ditengah.

    Platform Toyota New Global Architecture (TNGA) yang digunakan pada model-model seperti C-HR, Prius dan Camry akan digunakan untuk model Corolla ini juga. Toyota menjelaskan, Corolla/Auris baru ini nanti akan menampilkan enjin 2.0 liter dengan Toyota Hybrid System, yang menjadi sebahagian daripada teknologi bau yang dibangunkan untuk TNGA.

    Ia menggunakan unit kawalan kuasa (PCU) yang lebih kecil berbanding sistem pacuan 1.8 liter hybrid sebelum ini, serta bateri nickel-metal hydride 6.5 Ah yang bersaiz lebih kecil dan output yang lebih tinggi (180 vs 168).

    GALERI: Spyshot Toyota Corolla hatchback generasi ke-12

     
     
  • Toyota siapkan litar ujian Nürburgring mini di Jepun?

    Toyota siapkan litar ujian Nürburgring mini di Jepun?

    Dalam rancangannya untuk meningkatkan pembangunan pelbagai jenis kenderaan mesra alam, Toyota bersedia untuk membina sebuah pusat pembangunan dan penyelidikan baru di Jepun. Menurut Nikkei Asian Review, ini akan menjadi tapak ujian kenderaan Toyota pertama di Jepun sejak yang pertama dibuka di Hokkaido pada tahun 1984.

    Kemudahan ini akan dibina di atas sebuah tanah seluas 6.5 kilometer persegi di kawasan Aichi, dengan jumlah pelaburan keseluruhan yang dijangka mencecah 300 bilion yen (RM11 bilion). Mengikut perancangannya, separuh daripada kemudahan ini akan dibuka seawal tahun depan, manakala operasi penuh pula dijangka dapat dilakukan pada tahun 2023. Apabila lengkap, kemudahan ini boleh menjadi hab R&D dengan 11 litar ujian yang meniru keadaan jalan di pelbagai tempat seluruh dunia.

    Satu daripadanya akan mengambil litar Nürburgring sebagai contoh, dan akan diguakan untuk menguji pengendalian, stabiliti waktu membrek serta fungsi lain kenderaan waktu berhadapan keadaan pemanduan yang teruk. Litar sepanjang 5.3 km itu akan direka dengan keadaan berbukit yang ketinggiannya boleh berubah sehingga 75 meter, dan mempunyai pelbagai turutan selekoh.

    Toyota siapkan litar ujian Nürburgring mini di Jepun?

    Dalam satu acara minggu lalu, timbalan presiden eksekutif Toyota, Shigeki Terashi berkata projek ini akan “dapat mempercepat penyelidikan dan pembangunan kelompok bermotor pada masa hadapan.” Syarikat ini mempunyai sasaran meningkatkan penjualan kenderaan elektrik – termasuk hibrid, plug-in hybrid, kenderaan sel hidrogen dan elektrik penuh – kepada sekurang-kurangnya 5.5 juta pada 2030.

    Kemudahan baru ini juga boleh digunakan untuk membantu Toyota melepasi peraturan dan keperluan pengguna seluruh dunia, termasuk pasaran membangun seperti China dan India. Untuk kemudahan sedia ada di Hokkaido, ia masih lagi akan digunakan untuk ujian musim sejuk, manakala kemudahan di Shizuoka pula untuk teknologi generasi seterusnya.

     
     
  • Lot parkir sewa khas hanya sah sepanjang tempoh waktu perniagaan sahaja, tindakan jika ingkar – DBKL

    Lot parkir sewa khas hanya sah sepanjang tempoh waktu perniagaan sahaja, tindakan jika ingkar – DBKL

    Bagi menyewa lot parkir sewa khas bagi premis mereka daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan berhadapan tindakan daripada majlis perbandaran tempatan itu sekiranya enggan mematuhi jam yang ditetapkan.

    Menurut pengarah Jabatan Perancangan Ekonomi dan Pembangunan Azmi Abdul Hamid, lot parkir ity hanya boleh disewa dari jam 7.30 pagi hingga 6 petang, dari hari Isnin hingga Sabtu.

    “Selepas jam 6 petang setiap hari, Ahad dan cuti umum, lot parkir tersebut akan dibuka kepada awam,” ujarnya memberitahu The Malaymail.

    Azmi berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada orang awam di mana terdapat lot parkir sewa khas dengan garisan merah telah diletakkan penghadang atau pun dikunci biarpun di luar waktu yang dibenarkan itu.

    Katanya lagi, pihaknya telah mula memberikan notis peringatan kepada semua penyewa berhubung dengan tempoh waktu tersebut sebelum tindakan lanjut bakal diambil sekiranya mengingkari arahan itu.

    Lot parkir sewa khas hanya sah sepanjang tempoh waktu perniagaan sahaja, tindakan jika ingkar – DBKL

    DBKL juga akan mengeluarkan notis amaran pertama dan langkah seterusnya adalah penyewa tidak dibenarkan memperbaharui sewaan tersebut yang perlu dibayar setiap tiga bulan.

    “Kawasan parkir memang tidak pernah mencukupi, dan bilangannya tidak ditambah untuk menggalakkan rakyat menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam. Namun untuk perkara ini, kami akan memastikan penguatkuasaan yang adil bakal dilaksanakan,” ujarnya lagi sambil menambah terdapat 3,883 petak parkir di pusat perniagaan di sekitar ibu kota yang disewa dengan bayaran RM400 setiap bulan, manakala di luar pusat bandar pula antara RM215 dan RM240 sebulan.

    Sambungnya lagi, walau bagaimana pun, syarat bagi lot parkir khas ini adalah bergantung pada DBKL sendiri, sama ada ia melibatkan perniagaan seperti bank (kenderaan keselamatan), klinik, dan sebagainya.

    “Ia bukanlah untuk tujuan parkir peribadi pemilik premis terbabit. Malah ramai penyewa parkir tersebut berkata mereka tidak menghalang lot parkir tersebut selepas waktu perniagaan, dan apabila mereka beroperasi keesokan harinya, petak tersebut dihunakan oleh orang lain.

    “Kita akan menggunakan trak tunda untuk menunda kenderaan yang terlibat. Namun mereka (penyewa) juga perlu mengikut peraturan yang ditetapkan, iaitu hanya menggunakan lot parkir tersebut pada waktu perniagaan sahaja,” ujar Azmi lagi.

     
     
  • Dari penganjuran Art Of Speed (AOS) ke All Car Nation

    Dari penganjuran Art Of Speed (AOS) ke All Car Nation

    Kalau sebelum ini anda sering mendengar dan mengenali nama Art Of Speed (AOS) yang sinonim dengan pameran dan perhimpunan motosikal kustom saban tahun, penganjur yang sama kini mengorak satu lagi langkah dengan memperkenalkan pula acara All Car Nation.

    Dengan penganjuran pertamanya berlangsung hujung minggu lalu, acara yang bermula secara spontan dan ini berkemungkinan besar akan diteruskan dengan lebih teratur dan menghimpunkan lebih banyak kepelbagaian di masa hadapan.

    Menurut penganjurnya, Asep Ahmad, All Car Nation bermula sebagai memenuhi permintaan penganjur acara utama, iaitu Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) di MAEPS, Serdang hujung minggu lalu yang meminta bantuan pihaknya untuk mengadakan satu perhimpunan kereta sebagai acara sampingan di perkarangan premis berkenaan sepanjang acara utama berlangsung.

    “Jadi, dalam tempoh sebulan yang berbaki ketika itu, kami cuba himpunkan seberapa ramai penggiat yang ada. Kami juga mendapat kerjasama yang baik antaranya dari kelompok yang dikenali dengan nama NoEqual,” jelas beliau.

    Hasilnya adalah seperti apa yang dapat dilihat minggu lalu; sebuah perhimpunan yang diuruskan melalui pendekatan “community base” dalam kalangan peminat-peminat dan kelab yang berasingan, yang diberikan ruang masing-masing untuk mempamerkan kenderaan atau produk-produk berkaitan.

    Perkarangan luar dewan utama MAEPS sepanjang hujung minggu berkenaan meriah dengan kehadiran lebih daripada 1,000 kenderaan – terdiri daripada kenderaan yang dipamerkan serta ahli kelab-kelab yang datang memberikan sokongan.

    Dari penganjuran Art Of Speed (AOS) ke All Car Nation

    Tidak hanya kenderaan modifikasi ekstrem saja yang menarik perhatian – terutama diruang dyno test yang disediakan – kenderaan-kenderaan lain seperti kereta-kereta klasik turut menjadi antara tarikan kepada pengunjung.

    Melihat kepada sambutan yang diterima, pihak penganjur berhasrat untuk memperkemas dan mengukuhkan jenama acara ini untuk masa hadapan. “All Car Nation mungkin akan jadi satu platform yang menarik dengan fokus terhadap budaya modifikasi kereta pula, seperti mana Art Of Speed yang telah menjadi pemangkin terhadap budaya kustom motosikal di negara ini. Kemungkinan untuk ini sentiasa terbuka,” tambah Asep.

    Jika anda tidak berkesempatan untuk berkunjung ke acara ini, lihat galeri yang kami sediakan untuk mendapat gambaran kemeriahannya. Jika acara ini diteruskan nanti, jangan ketinggalan untuk ikut serta dan beri sokongan.

     
     
  • PSA Group ambil alih saham majoriti kilang Naza di Gurun – sasar CKD Peugeot 3008, Citroen C5 Aircross

    PSA Group ambil alih saham majoriti kilang Naza di Gurun – sasar CKD Peugeot 3008, Citroen C5 Aircross

    Naza Corporation Holdings dan Groupe PSA telah mengumumkan pemeteraian perjanjian jualan saham kerjasama, secara rasminya dengan menubuhkan operasi bagi kilang Naza Automotive Manufacturing (NAM) di Gurun, Kedah sebagai hab pengeluaran pertama bagi ASEAN untuk pengeluar kereta Perancis itu. Majlis menandatangani perjanjian ini telah disaksikan sendiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pagi ini.

    Dengan perjanjian tersebut, pengeluar Peugeot dan Citroen (pengeluar kereta kedua terbesar di Eropah selepas VW, kini turut mengendalikan Opel/Vauxhall) bakal memegang saham majoriti dalam operasi perniagaan NAM. Kumpulan Naza pula akan bertanggungjawab sepenuhnya untuk pengedaran jenama Peugeot, Citroen dan DS di Malaysia. Dengan PSA, ia akan meneroka prospek pengagihan di pasaran ASEAN yang lain.

    Menurut Naza, kilang NAM yang mula beroperasi sejak 2004, mempunyai tenaga pekerja hampir 450 orang dan kapasiti produksi pula mencecah 50,000 unit setahun.

    Perlaburan PSA dalam NAM bakal menyaksikan implementasi bagi platfor modular EMP2 yang didedikasikan untuk segmen C dan D – dengan model pertama yang bakal diproduksi di Kedah ialah Peugeot 3008 pada tahun ini (buat masa ini, model CBU yang berada di pasaran Malaysia) dan Citroen C5 Aircross pada 2019, SUV yang diperkenalkan pada April 2017.

    “Mewujudkan hab ASEAN di Gurun, Kedah adalah lonjakan penting untuk Groupe PSA yang bakal membawakan perkembangan dalam perniagaan yang menguntungkan di rantai ini sebagai sebahagian daripada pelan strategik kami. Kami gembira dapat bekerjasama dengan Naza dan akan terus memanfaatkan hubungan kami ini,” ujar Carlos Tavares, pengerusi Groupe PSA.

    “Kami turut bersyukur dengan sokongan dan keyakinan Groupe PSa terhadap Naza yang mengambil kami sebagai rakan kerjasama ini. Melalui perjanjian sefahaman ini, ia memberi potensi besar bagi Kedah sebagai hab pembuatan automotif terkemuka di Malaysia,” ujar SM Nasarudin SM Nasimuddin, pengerusi eksekutif kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Naza Corporation Holdings.

    Seperti yang diketahui umum, PSA Groupe memang memiliki hasrat untuk melabur dalam pasaran kita dan rantau ini. Malah pengeluar kenderaan terkemuka Perancis ini pernah membida Proton sebagai rakan kongsi strategik termasuk untuk menggunakan fasiliti kilang di Tanjung Malim. Namun kini, terbukti PSA Groupe mampu menunaikan impian mereka, namun beralih ke kilang pemasangan di Gurun. Namun buat masa ini, tidak dipastikan sama ada kilang terbabit bakal terus memasang kereta Kia mahu pun tidak.

     
     
  • Nissan Terra – gambar rasmi pertama SUV ladder frame tujuh tempat duduk disiar, guna asas Navara

    Nissan Terra – gambar rasmi pertama SUV <em>ladder frame</em> tujuh tempat duduk disiar, guna asas Navara

    Nissan telah menyiarkan beberapa gambar awal untuk Nissan Terra, iaitu SUV tujuh tempat duduk body-on-frame yang menggunakan asas daripada Navara, sebelum ia diperkenalkan secara rasmi di China nanti. Model ini akan menjadi kenderaan pertama yang dilancarkan oleh bahagian rangka dan kenderaan komersial ringan (LCV) Nissan dalam rancangan enam tahun mereka yang dinamakan sebagai ‘Nissan M.O.V.E. to 2022’.

    Secara visualnya, SUV ini nampak sama seperti imej yang pernah dilihat dalam spyshot sebelum ini, dan ia termasuklah bahagian luar dan dalam. Jika diperhatikan dari luar, yang membezakan Terra ini dengan Navara adalah bampar, gril utama V-Motion Nissan bersaiz besar serta lampu hadapan yang lebih tajam.

    Pada bahagian belakang pula, rekaan diberikan agak ringkas tetapi masih mempuyai DNA Nissan. Lampunya menggunakan rekaan terpisah, bersama jalur krom yang merentangi pintu tailgate yang besar. Keseluruhan bahagian bermula dari pintu depan ke belakang adalah baru, termasuk pintu belakang yang lebih besar serta cermin tambahan.

    Nissan Terra dirancang untuk pelancaran di China tidak lama lagi, sebelum diperkenalkan pula di pasaran Asia lain. Informasi lain termasuk pilihan enjin, dan spesifikasi hanya boleh diketahui pada bulan April nanti. Penawaran Nissan Terra ini akan memberi saingan kepada kenderaan seperti Ford Everest, Pajero Sport dan Toyota Fortuner.

    Menurut Nissan, satu daripada enam kenderaan Nissan yang dijual secara global adalah kenderaan berasaskan rangka atau LCV, dan mereka bercadang meletakkan sasaran kepada potensi yang ada ini. Tujuannya adalah untuk meningkatkan jualan sehingga 40% menjelang 2022, dan menjadi peneraju global dalam segmen pikap dan SUV berasaskan rangka.

     
     
  • Pengasas Zhejiang Geely Holding, Li Shufu kini sah sebagai pemegang saham terbesar dalam Daimler AG

    Pengasas Zhejiang Geely Holding, Li Shufu kini sah sebagai pemegang saham terbesar dalam Daimler AG

    Pemilik jenama Mercedes-Benz, Daimler AG mengesahkan bahawa pengerusi dan pengasas Zhejiang Geely Holding, Li Shufu kini merupakan pemegang saham terbesarnya dengan kepentingan 9.69%. Dengan perolehan berkenaan, Li kini di hadapan Kuwait Investment Authority (6.8%), BlackRock (5.95%) serta Pakatan Renault-Nissan (3.1%).

    Menurut laporan Bloomberg, pegangan yang bernilai sekitar 7.3 bilion euro (sekitar RM35 bilion) tersebut merupakan pelaburan paling besar yang pernah dibuat syarikat dari China dalam sektor pengeluar automotif luar negara. Dengan perjanjian rasmi berkenaan, spekulasi yang menyatakan Geely akan menjadi pemegang saham terbesar dalam Daimler kini sudah menjadi nyata.

    “Daimler merupakan syarikat yang cemerlang dengan pengurusan kelas-pertama. Ia merupakan satu penghormatan untuk menyokong pasukan unik ini di bawah kepimpinan Dieter Zetsche pada masa akan datang. Saya sangat gembira untuk bersama Daimler dalam perjalanannya bagi menjadi peneraju penyedia mobiliti-elektro,” kata Li.

    Kedua-dua syarikat belum lagi membuat apa-apa perbincangan berkenaan rancangan masa hadapannya, tetapi berkemungkinan besar kerjasama berkenaan akan melibatkan perkongsian teknologi, di mana Geely berminat untuk mendapatkan akses terhadap teknologi kereta elektrik serta pemanduan sendiri Daimler.

    “Pesaing yang tidak mencabar industri kereta global dalam abad ke-21 secara teknologinya adalah bukan sebahagian dari industri automotif hari ini. Dalam usaha untuk berjaya dan mengusai teknologi, mereka perlu mempunyai kawan-kawan, rakan kongsi, dan pakatan serta mengadaptasi pemikiran gaya baharu dari segi perkongsian dan kekuatan bersatu,” kata Li dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    Daimler sebenarnya sebelum ini sudahpun mempunyai kerjasama dengan BAIC dan BYD, bagi mengeluarkan kenderaan elektrik di China di mana kedua-dua pihak bercadang untuk melabur lebih dari 11.9 bilion yuan (lebih dari RM7 bilion) untuk membina kilang di China. Namun, kedua-dua syarikat berkenaan merupakan pesaing Geely di China, dan adakah pengambilalihan saham ini akan menjejaskan perjanjian berkenaan masih lagi belum diketahui.

     
     
  • PLUS tutup lorong kiri di Jambatan Pulau Pinang mulai 26 Feb hingga 21 Ogos ini untuk penyelenggaraan

    PLUS tutup lorong kiri di Jambatan Pulau Pinang mulai 26 Feb hingga 21 Ogos ini untuk penyelenggaraan

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah memaklumkan bahawa mulai hari ini, 26 Februari, sehingga 21 Ogos 2018, lorong kiri di KM4.2 sehingga KM5.8 di Jambatan Pulau Pinang ditutup bagi fasa kedua kerja-kerja pemeriksaan dan penyelenggaraan berjadual kabel. Bagi kelancaran lalu lintas, satu lencongan trafik dilaksanakan sepanjang penutupan lorong kiri tersebut.

    Kerja-kerja pemeriksaan dan penyelenggaraan secara menyeluruh adalah antara kerja-kerja berjadual yang dilaksanakan bagi memastikan struktur kabel Jambatan Pulau Pinang berada di tahap yang terbaik untuk keselamatan orang ramai. Kabel Jambatan Pulau Pinang merupakan elemen penting yang perlu diperiksa setiap empat tahun untuk mengesan sebarang kerosakan.

    Fasa Pertama yang dilaksanakan sejak 22 Ogos lalu yang melibatkan laluan yang bertentangan, telah pun selesai mengikut jadual.

    Justeru, PLUS menasihatkan orang ramai supaya merancang perjalanan dan menggunakan laluan alternatif seperti Jambatan Kedua Pulau Pinang atau menggunakan perkhidmatan feri untuk menikmati perjalanan yang lebih selesa dalam tempoh tersebut.

    PLUS turut menasihatkan pengguna lebuh raya supaya mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi laman Twitter PLUSTrafik dan aplikasi PLUS Mobile App.

     
     
  • Rosenbauer Panther CA-5 – trak gergasi untuk tugas menyelamat di lapangan terbang; 695 hp/945 Nm

    Rosenbauer Panther CA-5 – trak gergasi untuk tugas menyelamat di lapangan terbang; 695 hp/945 Nm

    Ketika acara All Car Nations x SL1M yang berlangsung di MAEPS Serdang yang berakhir semalam, ada sebuah jentera yang jarang-jarang dilihat turut membuat penampilan di sana. Yang dimaksudkan ialah Rosenbauer Panther CA-5 milik Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), yang merupakan sebuah jentera pemadam api dengan sistem pacuan 6×6.

    Hanya ada dua kemungkinan sekiranya anda pernah ternampak jentera ini “berkeliaran”; pertama, untuk menghadiri acara pameran khas di mana-mana lokasi seperti di MAEPS ini dan kedua, sekiranya anda cukup bertuah untuk ternampak trak besar ini keluar ke landasan pesawat terbang di mana-mana lapangan terbang antarabangsa seluruh negara.

    Untuk kemungkinan kedua ini berlaku, itu tandanya ada sesuatu yang terjadi pada mana-mana pesawat yang berada di landasan, yang memerlukan pasukan khas ini bersiap siaga. Ia adalah sebuah jentera pemadam api terkini yang sudah digunakan di Malaysia sejak 2014.

    Rosenbauer Panther CA-5 – trak gergasi untuk tugas menyelamat di lapangan terbang; 695 hp/945 Nm

    Di KLIA misalnya, ada lima buah jentera yang sama yang sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Untuk seluruh negara pula, terdapat 27 buah Rosenbauer Panther CA-5 ini sedia untuk berkhidmat, yang turut disertai oleh satu lagi model yang lebih awal dengan pacuan 8×8.

    Trak gergasi ini menggunakan enjin CAT C 18 Euro 3 diesel yang mampu menghasilkan kuasa maksimum sebanyak 518 kW (695 hp) pada 2,300 rpm dan tork puncak sebanyak 945 Nm. Ada yang cukup teruja dengan angka-angka ini?

    Lagi tentang prestasi trak gergasi ini. Sekadar untuk mengetahui keupayaannya, ia mampu mencapai kelajuan dari 0-80 km/j dalam masa 26 saat. Macam mana pula dengan kelajuan maksimum? Di sebabkan trak ini dalam kapasiti air yang penuh seberat 38 tan – dan tambahan pula ia direka bukan untuk berlumba – laju maksimum yang mampu dicapai ialah sekitar 120 km/j. Taklah teruk sangat kan?

    Berakap tentang kapasiti, trak ini mampu membawa sebanyak 12,000 liter air dan 1,500 liter buih dalam satu-satu masa untuk tujuan menyelamat. Dan, walaupun nampak sangat rumit dan sofistikated, ia sebenarnya boleh dikendalikan minimum oleh seorang petugas terlatih sahaja – yang dimaksdukan ialah untuk mengendalikan pancur utamanya yang terletak diatas bumbung kabin depan.

    Dalam satu-satu masa, walaupun trak ini hadir dengan saiz yang sangat besar, ia hanya boleh membawa empat orang indivdu petugas sahaja. Dan di lapangan terbang yang ada kelengkapan trak ini, petugas-petugas terdiri daripada 18 orang dan dibahagikan kepada tiga shift/jadual bekerja.

    Berapa kos untuk sebuah trak ini? Memandangkan ia dibuat di Austria dan spesifikasinya boleh dipilih-dan-padan (customisable), kenderaan dengan binaan untuk menyandang tugas khas memadam api dengan cekap ini mencecah kos RM3.8 juta sebuah. Tapi itu pada tahun 2014. Dari sebut harga terbaru tahun lalu, harganya sudah melangkau hingga ke RM4.2 juta sebuah. Ada yang teringin nak naik trak ini?

     
     
  • NAZA jual kepentingan di kilang di Gurun kepada PSA Group, perjanjian bakal ditandatangani – laporan

    NAZA jual kepentingan di kilang di Gurun kepada PSA Group, perjanjian bakal ditandatangani – laporan

    Naza Corporation Holdings Sdn Bhd (Naza Group), syarikat konglomerat persendirian automotif terbesar di Malaysia dijangka menandatangani perjanjian dengan pengeluar kenderaan terkenal dunia, PSA Group, hari ini.

    Majlis menandatangani antara kedua syarikat tersebut bakal disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, bertempat di pejabat Perdana Menteri, laporan News Strait Times.

    Dalam majlis tersebut, Naza Group akan diwakili oleh pengerusi eksekutif kumpulan dan ketua pegawai eksekutif SM Nasarudin SM Nasimuddin. Manakala PSA GRoup pula bakal diwakili oleh timbalan presiden eksekutif (China dan Asia Tenggara) Carlos Gomes.

    Sebelum ini, PSA Group pernah membida untuk menjadi rakan strategik Proton, namun nasib tidak menyebelahi syarikat dari Perancis ini. Di mana PSA berimpian tinggi untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran Asia bagi pasaran global.

    Naza Group bukanlah syarikat asing buat PSA kerana turut menjadi pengedar rasmi jenama Peugeot di Malaysia.

     
     
  • Volvo tidak akan membangunkan enjin pembakaran dalaman generasi berikutnya, tumpu teknologi elektrik

    Volvo tidak akan membangunkan enjin pembakaran dalaman generasi berikutnya, tumpu teknologi elektrik

    Pembuat automotif dari Sweden -Volvo- tidak akan membangunkan enjin-enjin konvensional pembakaran dalaman (petrol dan diesel) baharu pada masa akan datang, di mana enjin-enjin dalam barisan produk sedia ada ini adalah yang terakhir, lapor portal Road and Track.

    Perkara ini dinyatakan oleh CEO Volvo, Håkan Samuelsson dan rakan-rakan setugasnya ketika pendedahan model wagon V60 di Stokholm, Sweden, baru-baru ini. Menurutnya, untuk masa hadapan, kuasa yang lebih besar akan menggerakkan model-model baharu Volvo, tetapi tidak semestinya menggunakan enjin pembakaran dalaman.

    Bermula tahun 2019, kesemua model baharu akan diberikan lebih dari satu varian hibrid – contohnya V60 baharu ini bakal ditawarkan dengan versi T8 dan T6 Twin Engine. Volvo juga bakal menghasilkan versi hibrid menggunakan enjin tiga-silinder yang diperkenalkan pada Volvo XC40 baru-baru ini. Namun kesemua ini adalah sebelum Volvo dapat mengikut jejak langkah sub-jenamanya, Polestar, yang kini menumpukan hanya pada teknologi elektrik.

    Volvo tidak akan membangunkan enjin pembakaran dalaman generasi berikutnya, tumpu teknologi elektrik

    Polestar 1 white exterior, front

    Coupe elektrik sepenuhnya Polestar 1

    Dalam masa yang sama, model-model hibrid Volvo bakal digandingkan dengan motor elektrik yang lebih berkuasa serta mempunyai kebolehan berputar pada takat rpm lebih tinggi pada gandar belakang. Ini bermaksud, pada masa hadapan, model-model hibrid AWD Volvo bakal dilengkapi sistem pacuan semua roda yang menghantar tork lebih kepada roda belakang, yang memberikan lebih keseronokan memandu dengan mengurangkan understeer.

    Dengan pembangunan difokuskan pada teknologi elektrik ini, bermaksud enjin-enjin 2.0 liter empat silinder Drive-E dan 1.5 liter tiga-silinder Drive-E yang digunakan pada masa sekarang merupakan enjin petrol terakhir keluaran Volvo kerana selepas itu kesemua modelnya bakal digerakkan dengan motor elektrik sepenuhnya.

    Walau bagaimanapun, Volvo masih lagi berminat dalam rancangannya untuk menggunakan satu lagi pengecas turbo elektrik selain pengecas turbo konvensional bersama supercharger sedia ada enjin 2.0 liter Drive-E berkenaan bagi menghasilkan kuasa hampir 400 hp. Namun, sekiranya pada masa yang sama mereka dapat menghasilkan motor elektrik yang lebih berkuasa, rancangan berkenaan mungkin tidak akan direalisasikan.

     
     
  • TINJAUAN AWAL: Volvo XC60 T8 di M’sia, dari RM299k

    Volvo kini merupakan jenama yang sangat menarik untuk diperhatikan. Model-model baru yang diperkenalkan akhir-akhir ini juga menampilkan pakej keseluruhan yang sangat kompetetif. Untuk pasaran Malaysia, SUV XC60 T8 Twin Engine menjadi taruhan paling baru.

    Dengan versi CBU dari Sweden yang dijual pada harga RM373,888, ia tidak berhenti sekadar di situ. April nanti, versi pemasangan tempatan pula akan diperkenalkan, terdiri daripada tiga varian – T5 Momentum, T8 Inscription dan T8 Inscription Plus. Harganya masing-masing bermula dari RM298,888, RM333,888 dan RM343,888.

    Untuk pasaran tempatan, model ini menggunakan enjin 2.0 liter Drive-E, dengan supercas dan turbocas, T8 plug-in hybrid – menghasilkan sebanyak 320 hp dan 400 Nm kuasa dan tork. Ia digandingkan pula dengan motor elektrik dengan bekalan kuasa 87 hp dan 240 Nm tork. Gabungan kedua-dua sistem ini memberikan janaan kuasa sebanyak 407 hp dan 640 Nm. Kuasanya cukup besar untuk anda?

    Ini memberikannya prestasi yang juga mengkagumkan. 0-100 km/j dalam masa 5.3 saat dan kelajuan maksimum pula 230 km/j. Ia memiliki sistem pacuan semua roda dan dilengkapi sistem transmisi automatik lapan-kalajuan.

    Versi CKD nanti pula tak jauh berbeza. Spesifikasi hampir sama, kecuali tiada suspensi udara, dan kurang pilihan kemasan bagi ruang kabin. Untuk itu, di dalam video ini, kami cuba dekati versi CBU model berkenaan, dan melihat penawaran yang ada padanya berbanding model-model pesaing yang lain, seperti BMW X3, Mercedes-Benz GLC dan Audi Q5.

    Sekiranya kewangan bukan kekangan bagi anda, adakah anda akan berminat untuk memilikinya? Untuk maklumat lanjut tentang SUV ini, layari juga laman CarBase.my.

    Volvo XC60 T8 Twin Engine 2018 CBU

     
     
  • Data jualan kenderaan M’sia bagi Jan 2018 ikut jenama

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) baru saja mengeluarkan data jualan kenderaan di Malaysia bagi Januari 2018. Ternyata bulan pertama bagi 2018 bergerak agak perlahan dengan hanya 44,575 unit, sekaligus mencatatkan penurunan sebanyak 19% (10,154 unit) berbanding Disember 2017. Malahan rekod bagi Januari 2018 juga dikatakan lebih rendah sebanyak 2% (92 unit) berbanding bulan yang sama tahun lalu.

    Rekod di bawah ini menunjukkan pecahan data bagi setiap jenama untuk bulan lalu. Selepas promosi hujung tahun tamat, kebanyakan jenama yang mendahului pasaran turut menunjukkan penurunan – Perodua -12.3%, Honda -27.5%, Toyota -50.8% dan Nissan -11.3%, ini termasuklah Proton yang mengalami penurunan minimal sebanyak -0.4%. Selain itu, BMW (-16.8%), VW (-42.4%), Subaru (-40.5%), Volvo (-56.1%) dan Audi (-34.8%) juga mengalami penurunan jualan.

    Walau bagaimana pun, terdapat beberapa jenama menunjukkan peningkatan iaitu Mazda (+82.8%), Peugeot (+37.5%) dan Mitsubishi (+21.5%), ini termasuklah pendahulu segmen premium Mercedes-Benz (+6.0%).

    Dan buat pertama kalinya dalam data bulanan dari MAA bagi tahun ini, tidak menyenaraikan Lamborghini, Chery dan Yutong, jenama yang telah terkeluar daripada industri tempatan. Namun terdapat beberapa jenama baharu yang disenaraikan termasuklah dari China King Long (mungkin anda pernah melihat jenama ini pada bas), JAC and CAM. Klik carta di bawah untuk melihat senarai penuh dan rekod yang dicatatkan bagi bulan lalu.

    Data jualan kenderaan M’sia bagi Jan 2018 ikut jenama

     
     
  • McLaren MCL33 didedahkan – Jentera F1 musim 2018, enjin Honda kini diganti dengan janakuasa Renault

    McLaren MCL33 didedahkan – Jentera F1 musim 2018, enjin Honda kini diganti dengan janakuasa Renault

    Pasukan Formula 1 McLaren telah mendedahkan jentera mereka untuk musim 2018, digelar MCL33. Musim ini juga, pasukan dari British berkenaan meraikan ulangtahun ke-52 mereka dalam perlumbaan ‘single seater’ paling berprestij tersebut.

    Jentera ini bakal dikemudi dua pemandu McLaren dari musim lalu iaitu Fernando Alonso dan Stoffel Vandoorne serta tentunya ia diharapkan dapat mengubah nasib yang tidak berapa baik pasukan tersebut sepanjang 2017.

    MCL33 menampilkan ciri-ciri yang direka berdasarkan undang-undang F1 yang dikemaskini termasuk pelindung pemandu yang diletakkan pada kokpit digelar Halo, serta kit aero tanpa T-wings dan penutup enjin seperti sirip yu, yang kini tidak lagi dibenarkan.

    Setelah berhempas pulas selama tiga tahun menggunakan enjin Honda yang menghadapai pelbagai masalah, tahun ini MCL33 dijana enjin yang dibekalkan dari pengeluar Perancis iaitu Renault. Jentera ini juga mengenakan livery baharu dengan elemen warna ikonik biru dan papaya orange yang pernah digunakan oleh Mclaren dalam F1 50 tahun lalu.

    “Melihat kepada kereta baharu kami, saya rasa sangat teruja – tetapi dalam masa yang sama masih lagi bimbang. Saya tahu betapa pentingnya kereta terhadap pasukan, dan saya hanya berharap ia akan beraksi seperti apa yang kami mahu. Jika kami mampu untuk membina kekuatan utama dari casis tahun lalu dan menggabungkannya dengan enjin Renault, jadi saya rasa kami mampu untuk mengambil langkah yang lebih kehadapan,” kata Alonso.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025