Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Hafizh Syahrin dipilih untuk menguji YZR-M1 Monster Yamaha Tech3 di Litar Buriram, Thailand 16 Februari

    Hafizh Syahrin dipilih untuk menguji YZR-M1 Monster Yamaha Tech3 di Litar Buriram, Thailand 16 Februari

    Pasukan lumba Monster Yamaha Tech3 telah mengeluarkan pengumuman bakal menggunakan khidmat pelumba negara berusia 23 tahun, Hafizh Syahrin, untuk menguji jentera YZR-M1 mereka semasa sesi ujian di Litar Buriram, Thailand bermula 16 Februari ini.

    Daripada sesi ujian itu juga, pasukan tersebut akan menilai kemampuan Hafizh, sebelum dapat membuat keputusan untuk memberikan beliau tempat tetap bagi musim 2018. Seperti yang dilaporkan sebelum ini, tempat Hafizh dalam Moto2 telah diganti oleh Zulfahmi Khairuddin dan khabar beliau akan berlumba dalam MotoGP menggantikan Jonas Folger yang tidak sihat telah tersebar sejak minggu lepas.

    Hafizh ternyata gembira dengan peluang yang diberi ini dan berterima kasih kepada semua pihak termasuk ketua pasukan Monster Yamaha Tech3, Herve Poncharal dan seluruh pasukannya, ketua pegawai eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali dan orang-orang lain yang telah menyokong beliau dan menjadikan perkara ini realiti.

    Hafizh Syahrin dipilih untuk menguji YZR-M1 Monster Yamaha Tech3 di Litar Buriram, Thailand 16 Februari

    “Saya tahu masih banyak yang perlu saya pelajari berkenaan Yamaha YZR-M1 ini dan saya bersemangat untuk memahami bagaimana pasukan ini bekerja dan saya tahu mereka berpengalaman luas. Jadi, saya mahu mendapatkan segala input yang boleh. Saya tidak sabar untuk memulakan ujian ini,” kata Hafizh.

    “Selepas ujian di Sepang, kami melakukan banyak pertemuan, telah diputuskan bahawa Hafizh Syahrin adalah pilihan yang bagus untuk sesi ujian Monster Yamaha Tech3. Buat masa ini, ia hanya untuk tiga hari, tapi saya rasa lebih daripada yakin bahawa beliau akan menunjukkan apa yang beliau boleh lakukan.”

    “Beliau masih muda, baru berusia 23 tahun, tetapi sudah mendapat beberapa podium dalam kelas Moto2, yang sebenarnya bukanlah mudah. Beliau juga menamatkan perlumbaan dalam kedudukan 10 teratas pada musim 2017, dan ini adalah satu pencapaian yang besar, kerana saya tahu betapa susahnya saingan dalam kategori ini. Seperti yang saya selalu katakan, mempunyai pelumba yang muda adalah lebih bermakna bagi pasukan berbanding pelumba yang sudah tersohor,” kata Poncharal.

     
     
  • MINI Urbanite dan Amplified kini di Malaysia – edisi istimewa dengan harga RM198,888 dan RM248,888

    MINI Urbanite dan Amplified kini di Malaysia – edisi istimewa dengan harga RM198,888 dan RM248,888

    Selepas teaser dikeluarkan, MINI Malaysia akhirnya telah melancarkan secara rasmi dua model edisi istimewa iaitu MINI Urbanite dan MINI Amplified. Secara asasnya, dua model ini adalah sama seperti MINI Clubman Sterling Edition, di mana ia diasaskan daripada model sedia ada, tetapi ditambah dengan pelbagai kelengkapan.

    Bermula dengan Urbanite Edition, yang dijual pada harga RM198,888 tanpa insurans, ia menggunakan asas daripada MINI Cooper 5 Door F55. Enjin yang digunakan masih adalah unit tiga silinder 1.5 liter turbo dengan kuasa sebanyak 136 hp dan 220 Nm tork, dan dipadankan bersama transmisi automatik enam kelajuan. Hasilnya, kenderaan ini boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 8.1 saat dan mencapai kelajuan maksimum 207 km/j.

    Secara visualnya, MINI Urbanite menampilkan tambahan sepasang lampu LED di bahagian hadapan, inspirasi daripada model rali klasik MINI. Model ini juga datang dengan rim 16 inci Victory Spoke berwarna hitam, bersama kemasan hitam berkilat di sekeliling lampu dan gril.

    Turut digunakan adalah jalur perlumbaan, dari hadapan sampai ke belakang, yang boleh didapati dalam warna yang berbeza mengikut warna badan yang dipilih. Pelanggan mempunyai pilihan sama ada warna Midnight Black dengan jalur merah ataupun Blazing Red dengan jalur Pepper White.

    Masuk ke dalam, MINI Urbanite ini menggunakan kemasan warna Glowing Red John Cooper Works, bersama lapik bumbung Anthracite dan lencana Urbanite. Pemilik juga diberikan kamera undur dengan sistem bantuan letak kereta yang mempunyai paparan jalur serta halangan yang ada, dan roda stereng sports.

    MINI Urbanite dan Amplified kini di Malaysia – edisi istimewa dengan harga RM198,888 dan RM248,888

    Pergi kepada Amplified Edition yang dijual pada harga RM248,888 (tidak termasuk insurans) pula, ia menggunakan asas daripada MINI Cooper S 3 Door F56, namun enjin empat silinder 2.0 liter turbonya dinaik taraf dengan kit talaan JCW Pro dan sistem injap penyenyap JCW Pro dengan kawalan Bluetooth – sebelum ini boleh didapati pada model MINI JCW Pro Edition 2016.

    Hasilnya, enjin tersebut mampu menghasilkan 211 hp dan 300 Nm tork, dan ini adalah peningkatan yang banyak berbanding 192 hp dan 280 Nm tork pada model standard. Bagi memadankan ia dengan naik taraf ini, MINI Amplified turut dilengkapi dengan kit aerodinamik JCW bersama spoiler belakang. Rim yang digunakan adalah unit 17 inci JCW Track Spoke berwarna hitam.

    Seperti MINI Urbanite, MINI Amplified ini juga mendapat jalur perlumbaan di bahagian luarnya, inspirasi daripada model konsep MINI John Cooper Works tahun 2014. Padanan warna yang diberi adalah Midnight Black dengan jalur merah, Chilli Red atau Pepper White dengan jalur hitam.

    Bahagian kabinnya diperlengkap dengan tempat duduk lumba JCW bersama penyandar kepala bersepadu, dibalut kulit dan Alcantara, serta jahitan kontras Red Dinamica. Pada bahagian lain, terdapat kemasan warna Glowing Red, bersama lapik bumbung Anthracite, roda stereng balutan kulit berliang JCW dan balutan kain Black Chequered. Kamera pandangan belakang turut diberikan secara standard, bersama sistem Comfort Access.

    Selain kelengkapan yang diberitahu tadi, kedua-dua model edisi istimewa ini juga didatangkan dengan lampu utama LED, Park Distance Control, pengawal pendingin hawa dua zon, lampu suasana 12 warna, MINI Visual Boost 6.5 inci, MINI Connected dan pemula enjin tanpa kunci. Jaminan yang diberi adalah empat tahun tanpa had batuan, bersama servis berkala percuma dan program bantuan tepi jalan selama lima tahun.

    GALERI: MINI Urbanite


    GALERI: MINI Amplified

     
     
  • Geely lengkap beli 5% saham Daimler – laporan

    Geely lengkap beli 5% saham Daimler – laporan

    Walaupun bidaan untuk mendapatkan 5% saham Daimler (pemilik jenama Mercedes-Benz) gagal sebelumnya, pembuat kenderaan dari China iaitu Geely dilaporkan telah berjaya berbuat demikian baru-baru ini. Berita tersebut disiarkan oleh Gasgoo, dan turut menyatakan status perjanjian berkenaan akan diumukan tidak lama lagi.

    Permohonan Geely yang juga pemilik jenama Volvo dan rakan strategik serta pemegang saham dalam jenama automotif Malaysia iaitu Proton tersebut dikatakan ditolak oleh Daimler setelah menawarkan harga lebih rendah dari kadar semasa. Walau bagaimanapun syarikat tersebut berjaya memperolehi saham berkenaan menerusi pasaran sekunder pada harga pasaran.

    Geely lengkap beli 5% saham Daimler – laporan

    Kini dengan pegangan saham 5% berkenaan, Geely merupakan pemegang saham individu ketiga terbesar dalam Daimler, selepas Kuwait Investment Authority (6.8%) dan BlackRock (6%). Sehingga 31 Disember 2017, 71.2% saham Daimler dimiliki oleh pelabur-pelabur institusi, 18.9% oleh pelabur persendirian, 6.8% oleh Kuwait Investment Authority dan 3.1% oleh Pakatan Renault-Nissan.

    Buat masa sekarang, Daimler sememangnya mempunyai kerjasama dengan BYD dan BAIC di China, termasuk dalam penghasilan kenderaan elektrik. Dan ini merupakan antara sebab mengapa Geely bersungguh-sungguh untuk mendapatkan saham dalam Daimler – memudahkan akses mereka kepada teknologi bateri kereta elektrik sepenuhnya (EV) yang dimiliki Daimler, serta mahu memulakan kerjasama EV di Wuhan.

     
     
  • Perodua catat lebih 40% perkongsian pasaran bagi Januari 2018, pencapaian tertinggi dalam sejarahnya

    Perodua catat lebih 40% perkongsian pasaran bagi Januari 2018, pencapaian tertinggi dalam sejarahnya

    Januari 2018 baru saja berlalu, dan Perodua sudah mendapat petunjuk prestasi yang sangat memberangsangkan sebagai permulaan untuk tahun ini. Berdasarkan anggaran angka dalaman, hanya bagi bulan pertama tahun ini sahaja syarikat itu telah menjual sebanyak 17,693 unit kenderaan.

    Ini seterusnya menyumbang kepada lebih 40% bagi kadar perkongsian pasaran, jika mengambil kira jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi bulan yang sama, sebanyak 43,930 unit. Ini adalah pencapaian tertinggi sepanjang sejarah jenama itu di Malaysia.

    Sepanjang bulan Januari, semua model keluaran Perodua mendahului di dalam segmen masing-masing; 9,029 unit Myvi, 4,085 unit Axia, 2,776 unit Bezza dan 1,803 Alza telah berjaya dijual. “Walaupun bukan merupakan angka rasmi daripada MAA, kami sangat optimistik dapat mencapai angka-angka ini, dan menjadi kadar perkongsian pasaran terbesar yang pernah Perodua capai,” jelas Presiden dan CEO Perodua, Datuk Dr Aminar Rashid Salleh.

    Perodua catat lebih 40% perkongsian pasaran bagi Januari 2018, pencapaian tertinggi dalam sejarahnya

    Menurut beliau lagi, prestasi ini antaranya didorong oleh penyerahan Myvi terbaru, serta permintaan yang masih lagi kukuh bagi model-model lain. Satu lagi berita gembira buat Perodua, tempahan terkini bagi model popular Myvi juga sudah mencecah 48,000 unit sejak tempahan mula dibuka November lalu.

    Daripada jumlah berkenaan, serahan unit ke-18,000 juga dilakukan hari ini kepada pemiliknya, Wong Wai Cheng dari Negeri Sembilan. “Kami juga sangat berbesar hati untuk umumkan bahawa sebanyak 20,000 unit Myvi sudah menemui pemilik baru mereka setakat ini, dan sudah sejuta unit Myvi didaftarkan di Malaysia sejak tahun 2005,” tambah Aminar.

    Dalam perkembangan berkaitan vendor pula, tahun ini Perodua mensasarkan untuk membeli lebih dari RM5 bilion komponen dan alat ganti daripada vendor-vendor tempatan. Dengan semua model Perodua menggunakan lebih daripada 90% komponen tempatan, langkah ini dijangka akan dapat memperkukuh kedudukan ekonomi dalam eko-sistem industri automotif yang terlibat.

     
     
  • Mercedes-Benz A-Class Sedan 2018 lukisan digital

    Mercedes-Benz A-Class Sedan 2018 lukisan digital

    Pendedahan Mercedes-Benz A-Class W177 baru kini menjadi perhatian di seluruh dunia. Itu adalah versi hatchback, dan Mercedes sebelum ini juga pernah menunjukkan model konsep A Sedan, bagi menjawab pasaran yang gemarkan bentuk seperti ini seperi China, Amerika Syarikat dan Malaysia.

    Oleh itu, kami dapatkan pelukis digital kami, Theophilus Chin untuk menghasilkan sebuah versi sedan bagi Mercedes-Benz A-Class baru ini. Hasilnya seperti yang boleh dilihat, bahagian hadapan panjang yang diambil dari model hatchback nampak sesuai dengan bahagian belakang yang juga dipanjangkan.

    Pada bahagian belakang, lampu yang terdiri daripada dua bahagian dijadikan lebih tajam, manakala bahagian atas penutup but kurang tajam berbanding kereta pameran Mercedes sebelum ini. Bahagian belakang model sedan ini juga sudah pernah tersebar, jadi ia tidaklah begitu mengejutkan.

    Mercedes-Benz A-Class Sedan 2018 lukisan digital

    Versi sedan ini dijangkakan datang dengan enjin sama seperti versi hatchback iaitu bagi unit petrol, terdapat enjin empat silinder turbo M282 1.4 liter (sebenarnya 1.33 liter) untuk A 200 yang mampu menghasilkan 163 hp/250 Nm (menggantikan enjin 1.6 liter sebelum ini) dan unit 2.0 liter turbo M260 berkuasa 224 hp/ 350 Nm tork untuk A 250 (model sekarang menggunakan unit M270). Varian A 180 d pula dikuasakan oleh enjin empat silinder 1.5 liter OM608 turbodiesel yang mampu menghasilkan 116 hp dan 260 Nm tork.

    Model A-Class hatchback dan sedan ini adalah sebahagian daripada pembangunan model kompak baru yang dihasilkan atas daripada Modular Front Architecture (MFA) baru. Model coupe empat pintu CLA pula dijangka menerima rupa fastback seperti AMG GT sedan, manakala MPV B-Class, crossover GLA dan GLB baru juga akan diperkenalkan tidak lama lagi.

     
     
  • BMW M3 bakal terkorban kerana undang-undang pencemaran udara baharu yang semakin ketat

    BMW M3 bakal terkorban kerana  undang-undang pencemaran udara baharu yang semakin ketat

    Dengan undang-undang penggunaan bahan api dan pencemaran bahan api Worldwide Harmonised Light Vehicle Test Procedure (WLTP) yang lebih ketat bakal menggantikan New European Driving Cycle (NEDC), BMW M3 F80 nampaknya bakal disingkirkan dari barisan model. Menurut laporan Autocar, produksi sedan berprestasi tinggi berkenaan bakal berakhir Ogos ini kerana dengan spesifikasi terkini, M3 tidak boleh lagi lulus ujian tersebut.

    Jurucakap BMW memberitahu Autocar bahawa M3 perlu dipadankan dengan particulate filter khas bagi membolehkan ia lulus ujian had emisi nitrogen oksida WLTP. Proses homologasi semula berikutnya telah membolehkan model 3 Series generasi G20 yang akan diperkenalkan Oktober tahun ini masuk dalam pasaran, tetapi tidak untuk M3 yang masih kekal diasaskan dari model 3 Series F30.

    Manakala untuk model dua pintu M4 F82 (coupe) dan F83 (convertible) pula masih lagi boleh dijual dalam pasaran, bersama produksi 4 Series lain yang akan diteruskan untuk tahun berikutnya. Namun kedua-dua model berkenaan masih perlu “diberhentikan buat berberapa bulan”, bagi membolehkan ia dipasang dengan penapis khas tersebut sebelum kembali semula ke bilik pameran.

    BMW M3 bakal terkorban kerana  undang-undang pencemaran udara baharu yang semakin ketat

    Prestasi M4 berkenaan dikatakan tidak akan terjejas menerusi pengubahsuaian tersebut di mana enjin 3.0 liter enam-silinder turbo berkembar yang dibekalkan masih mampu mengekstrak 431 hp dan tork maksima 550 Nm, membolehkan model sport itu memecut dari pegun hingga 100 km/j dalam masa hanya 4.3 saat.

    Ogos tahun lalu, aci pacu (driveshaft/propeller shaft) M3 yang asalnya diperbuat dari material gentian karbon (CFRP) telah digantikan dengan aci pacu khas M berprestasi tinggi yang diperbuat dari logam kerana alasan yang sama iaitu tidak mematuhi peraturan emisi semasa; petrol particulate filter (PPF) pada sistem ekzos perlu dipadankan secara tidak langsung memakan ruang pada rekaan aci pacu gentian karbon berkenaan.

    M3 generasi baharu dari siri G80 pula disasarkan akan diperkenalkan pada tahun 2020, bakal dijana enjin yang sama pada generasi sedia ada tetapi diberikan pelbagai kemaskini. Kuasa dari enjin tersebut dijangka bakal meningkat 10% kepada 465 hp, dan disalurkan ke gandar belakang menerusi pilihan kotak gear sama ada automatik lapan-kelajuan atau manual enam-kelajuan.

     
     
  • Nissan 370Zki – 332 hp RWD untuk dibelasah atas salji

    Nissan 370Zki – 332 hp RWD untuk dibelasah atas salji

    Nissan telah membawa satu model istimewa ke Chicago Auto Show, iaitu sebuah 370Z Roadster yang diubah suai untuk dipandu atas salji. Bahagian tayar kenderaan ini telah diganti dengan pemacu ski dan kuasa dari enjin masih lagi sampai ke bahagian belakang, manakala bahagian hadapan cuma untuk mengawal arah kenderaan.

    Menghasilkan kenderaan ini sememangnya adalah satu cabaran, terutamanya di bahagian belakang bagi menempatkan pencengkam salji dari American Track Truck, Inc. Kenderaan ini perlu ditinggikan sebanyak tiga inci, dan kemudiannya menggunakan tapak buatan khas untuk suspensi belakang dan hub. Brek asal masih dikekalkan tetapi laluan minyak brek diubah, bersama sistem ekzos.

    Pada bahagian depan, suspensi turut diubah suai untuk memadankannya dengan kedudukan yang lebih tinggi, dan satu pendakap khas dibuat supaya ski di bahagian hadapan ini dapat pusing dan bergerak dengan bebas. Bahagian hadapan turut diletakkan dengan skid plate untuk melindungi bawah enjin.

    Nissan 370Zki – 332 hp RWD untuk dibelasah atas salji

    Untuk bentuk badannya, tidak banyak perubahan yang dibuat, cuma ia dibalut dengan pelekat khas, dan lampu hadapannya dilapik dengan plastik kuning bagi menjadikannya seperti goggle ski. Lengkuk roda juga sebenarnya telah diubah suai untuk menjadi lebih besar.

    Nissan 370Zki ini menggunakan enjin asal 370Z iaitu unit V6 3.7 liter DOHC yang mampu menghasilkan 332 hp dan dipadankan bersama transmisi automatik tujuh kelajuan. Bumbung kain juga masih dibiarkan dan ia boleh ditutup dengan kawalan elektronik.

     
     
  • PM beri jaminan Proton tidak akan dibiar tenggelam

    PM beri jaminan Proton tidak akan dibiar tenggelam

    Pada majlis pelancaran Kluster Automotif Nasional di Kompleks Sukan Proton, Proton City Sabtu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberikan jaminannya bahawa kerajaan yang ada sekarang akan terus membantu memulih dan memajukan Proton bagi memastikan pengeluar automotif nasional berkenaan menempa nama dipersada antarabangsa, lapor Berita Harian.

    Menurut berita tersebut, Najib menjelaskan kerajaan sudahpun mengkaji sejarah Proton tanpa tanpa perasaan dan emosi yang sempit kerana menyedari masalah menimpa syarikat berkenaan adalah disebabkan model ekonomi yang berpaksikan semangat nasionalisme, bukannya global.

    “Terlalu banyak campur tangan politik dalam pentadbiran Proton, kita tidak akan membiarkan Proton tenggelam, tidak akan membiarkan Proton lenyap,” kata Najib.

    “Sebab itulah, kalau ada orang kata kita tak tolong Proton, itu adalah pendustaan, kita bagi pinjaman, kita bagi suntikan modal, kita bagi insentif dan kita syaratkan bahawa kalau Proton hendak maju, kena ada rakan strategik.”

    Kita tidak kira siapa, kita tak arah Proton pilih dari mana-mana negara atau syarikat, kita cuma kata ini ia akan diputuskan Proton dan DRB-Hicom yang kemudiannya memilih Geely,” jelas Najib.

     
     
  • Mercedes-Benz A-Class 2018 – banyak peningkatan

    Mercedes-Benz A-Class 2018 – banyak peningkatan

    Mercedes-Benz A-Class W177 akhirnya didedahkan secara rasmi. Hatchback generasi keempat ini melihatkan banyak perubahan, bermula dengan bahagian hadapan yang semakin agresif, inspirasi daripada CLS, lampu lebih runcing (unit Multibeam turut ditawarkan) dan gril bentuk trapezoid. Pada bahagian sisi, jarak roda yang lebih panjang, serta garis bahu yang lebih jelas menjadikannya nampak lebih panjang.

    Pergi ke belakang, A-Class baru ini nampak lebih lebar hasil penggunaan cermin yang lebih condong ke hadapan, serta lampu belakang yang terbahagi dua dan jarak lebih luas antara pemantul cahaya. Pilihan rim yang disediakan dalah dari 16 hingga 19 inci. Turut diperbaiki adalah rintangan angin, menjadi 0.25 Cd, di mana ia turut dibantu Airpanel (pilihan tambahan) yang boleh menutup gril dan bukaan udara apabila tidak diperlukan.

    Dengan ukuran 4,419 panjang, 1,796 mm lebar dan 1,440 mm tinggi, A-Class baru ini adalah 127 mm lebih panjang, 16 mm lebih lebar dan 7 mm lebih tinggi berbanding model generasi ketiga. Jarak rodanya pula 30 mm lebih panjang. Mercedes mendakwa kereta ini menawarkan ruang kepala, bahu dan siku lebih luas, serta akses lebih mudah ke tempat duduk belakang dan ruang simpanan 29 liter lebih besar (370 liter).

    Mercedes-Benz A-Class 2018 – banyak peningkatan

    Bahagian dalam A-Class baru ini mengikut model lain seperti E-Class, dengan papan pemukanya didominasi panel paparan besar yang seperti terapung. Varian asas menggunakan panel paparan 7.0 inci untuk instrumen dan infotainmen – skrin sesentuh buat pertama kali untuk infotainmen – dan anda boleh memilih sehingga skrin yang bersaiz 10.25 inci.

    Sistem yang digunakan untuk infotainmen ini juga kini menawarkan kawalan suara, serta boleh ditambah dengan navigasi Hare dengan augmented reality. Ia dapat menunjukkan keadaan sekeliling menggunakan kamera hadapan, dan paparan digabungkan dengan paparan navigas. Ciri lain yang diberi adalah sambungan USB C, serta kelengkapan lain yang boleh ditambah seperti panel sesentuh, sambungan Car-to-X, head-up display dan sistem bunyi Burmester.

    Pada bahagian dalaman yang lain, pembeli boleh mendapatkan tempat duduk yang dilengkapi dengan ciri pemanas, penyejuk dan mengurut, serta lampu suasana 64 warna. Tidak seperti E-Class, warna ini dibahagikan kepada 10 warna utama dan pencahayaan tersebut boleh bertukar warna.

    Mercedes-Benz A-Class 2018 – banyak peningkatan

    Pada aspek keselamatan, A-Class baru ini boleh didapati dengan fungsi pemanduan semi-autonomous S-Class. Pakej bantuan pemanduannya pula dimasukkan dengan cruise control adaptif Distronic, Active Emergency Stop Assist dan Active Lane Change Assist. Brek kecemasan autonomous Extended Active Brake Assist diberikan secara standard dan boleh membantu mengelakkan kemalangan dengan kenderaan lain, pejalan kaki ataupun penunggang basikal, manakala Pre-Safe Plus kini boleh mengesan perlanggaran dari belakang dan menekan brek apabila tidak bergerak untuk mengurangkan impak.

    Semasa pelancaran, A-Class baru ditawarkan dengan tiga varian yang dikuasakan oleh enjin baru. Bagi unit petrol, terdapat enjin empat silinder turbo M282 1.4 liter (sebenarnya 1.33 liter) bagi A 200 yang mampu menghasilkan 163 hp/250 Nm (menggantikan enjin 1.6 liter sebelum ini) dan unit 2.0 liter turbo M260 berkuasa 224 hp/ 350 Nm tork untuk A 250 (model sekarang menggunakan unit M270). Varian A 180 d pula dikuasakan oleh enjin empat silinder 1.5 liter OM608 turbodiesel yang mampu menghasilkan 116 hp dan 260 Nm tork.

    Pilihan transmisi termasuk manual enam kelajuan (A 200 sahaja), serta klac berkembar tujuh kelajuan (unit baru dari Getrag untuk A 200 dan A 180 d, manakala A 250 menggunakan unit 7G-DCT Daimler sendiri yang telah dipertingkat). Sistem pacuan semua roda 4Matic juga ada ditawarkan. A-Class baru ini mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 8.0 saat untuk A 200 (8.2 menggunakan unit manual), 6.2 saat untuk A 250 dan 10.5 saat untuk A 180 d.

    Untuk suspensi, orang ramai mempunyai pilihan dua tetapan berbeza. Bahagian hadapan masih lagi menggunakan penyerap MacPherson, tetapi di belakang kini ia adalah unit asas torsion beam bagi A 200 dan A 180 d, manakala suspensi independent four-link dipasang kepada A 250. Suspensi standard biasa boleh dipasang dengan spring 15 mm lebih rendah, serta juga penyerap adaptif.

    Mercedes juga mendakwa kereta ini sekarang lebih senyap, lebih tegar, mempunyai sambungan lebih kuat di antara bahagian badan, suspensi dan enjinnya, penyerap bunyi lebih efektif pada bahagian badan dan suspensi serta sistem penyejukan yang direka semula. Tahap kebisingan udara juga dapat dikurangkan agak banyak berbanding model sebelumnya.

     
     
  • Betul harga kereta semakin rendah beberapa tahun terakhir ini? Kami analisa laporan ‘Harga Kereta Turun’

    Betul harga kereta semakin rendah beberapa tahun terakhir ini? Kami analisa laporan ‘Harga Kereta Turun’

    Kalau anda sempat bangun pagi dan minum kopi sambil belek surat khabar BH Ahad (edisi Ahad bagi Berita Harian) semalam, pasti anda akan perasan satu laporan yang didakwa eksklusif dan terpampang besar di muka hadapannya – “Harga Kereta Turun”.

    Secara umumnya, rajah yang digunakan untuk mengulas isu berkenaan memaparkan harga beberapa model terpilih yang dijadikan contoh, dengan dua garis masa yang diberi perhatian dengan sangat jelas – iaitu pada tahun 2013 dan harga terkini setakat tahun 2018.

    Memetik laporan berkenaan, antara model-model yang dimaksudkan serta penurunan harga yang didakwa adalah seperti berikut; Perodua Alza (-14.18%, turun RM8,369.27), Proton Exora (-2.25%, turun RM1,509.67), Volkswagen Golf (-11.77%, turun RM20,000), Honda Jazz Hybrid (-8%, turun RM7,650), Perodua Myvi (-12.15%, turun RM6,124), Proton Preve (-20.77%, turun RM15,157.19), Proton Saga (-14.88%, turun RM6,220.71) dan Proton Persona (-15.59%, turun RM8,281.91).

    Betul harga kereta semakin rendah beberapa tahun terakhir ini? Kami analisa laporan ‘Harga Kereta Turun’

    Melihat kepada laporan berkenaan, tidak dapat tidak, kita akan bertanya; adakah laporan ini benar? Mungkin. Tetapi, kami mengambil langkah yang lebih lagi untuk meneliti dengan lebih terperinci angka-angka yang dinyatakan itu untuk melihat sejauh mana kesahihannya.

    Terutama sekali kerana dalam tempoh yang dinyatakan itu (2013-2018), ada beberapa kali pengeluar terpaksa mengumumkan kenaikan harga (terutama disebabkan nilai matawang yang tinggi), begitu juga dengan kelengkapan penawaran yang berbeza-beza yang ada – jika perbandingan ingin dibuat, sewajarnya ia dilakukan terhadap penawaran bagi varian atau senarai spesifikasi yang hampir sama, agar lebih objektif.

    Kita mulakan dengan Perodua Alza. Harga yang dirujuk, iaitu RM59,017 itu adalah bagi varian Alza 1.5 SE Manual. Dan, sekiranya dibandingkan dengan harga terakhir yang diumumkan bagi versi semasa Perodua Alza 1.5 Standard Manual (yang setara, bukan SE), penurunan hanya melibatkan 2.1%.

    Betul harga kereta semakin rendah beberapa tahun terakhir ini? Kami analisa laporan ‘Harga Kereta Turun’

    Bagi Proton Exora pula, harga yang dinyatakan iaitu RM67,212 adalah selepas kenaikan harga yang dimumkan pada tahun 2016, merupakan harga atas jalan dengan insurans yang kemudiannya dibandingkan dengan harga atas jalan terbaru tanpa insurans. Pada tahun 2014, harganya ialah RM63,552.54, kemudian bagi tempoh 2015-2017 harganya menjadi RM64,498. Kini, harganya ialah RM65,702.33, tetapi dengan tambahan lebih banyak ciri dan kelengkapan.

    Harga lama Volkswagen Golf yang dipetik pula terdapat kesilapan. Model Mk7 yang dilancarkan pada awal 2013 ialah RM157,888. Model Mk6 2013 ketika itu harganya sama. Harga baru yang dinyatakan pula adalah bagi varian 1.4 Comfortline, yang senarai kelengkapannya adalah kurang. Varian Highline sebenarnya lebih hampir dan setanding dari segi spesifikasi bagi berbandingan itu, dengan senarai kelengkapan yang lebih banyak dan dijual pada harga RM159,888.

    Honda Jazz Hybrid pula, harga yang dinyatakan itu adalah bagi unit CBU, tanpa insurans, yang kemudiannya dibandingkan dengan Jazz Hybrid terkini, juga tanpa insurans. Jazz Hybrid sebelum ini dari versi CKD yang dilancarkan pada 2012 dijual pada harga RM87,404.50. Jadi, penurunan yang berlaku cuma 2.9% sahaja.

    Betul harga kereta semakin rendah beberapa tahun terakhir ini? Kami analisa laporan ‘Harga Kereta Turun’

    Sampai pula ke model paling popular, Perodua Myvi. Sekali lagi, harga lama yang dinyatakan itu adalah bagi model Myvi 1.3 SE AT yang dibandingkan dengan varian Myvi 1.3 Standard G MT. Pada tahun 2013, Myvi paling murah dijual pada harga RM40,650.45. Sekarang, Myvi paling murah ialah RM44,300, tetapi dengan tambahan lebih banyak kelengkapan (lampu LED, 4 beg udara – berbanding dua beg udara – kini juga dengan ciri VSA dan ABS).

    Untuk Proton Preve, harga lama yang disebut itu ialah ketika pelancarannya dulu bagi model 1.6 CFE Premium, harga atas jalan termasuk insurans. Ini dibandingkan pula dengan harga Preve 1.6 NA Manual, harga atas jalan tanpa insurans. Ada perbezaan di situ, tentunya.

    Proton Saga pula, harga lama yang digunakan untuk perbandingan itu ialah bagi varian 1.3 Executive MT atas jalan tanpa insurans berbanding varian baru 1.3 Standard MT tanpa insurans. Pada 2013, Saga paling murah ialah Saga 1.3 SV MT pada harga RM32,836.50. Kini, Saga 1,3 Standard MT dijual pada harga RM35,590.29, tetapi dengan ciri ABS.

    Betul harga kereta semakin rendah beberapa tahun terakhir ini? Kami analisa laporan ‘Harga Kereta Turun’

    Bagi Proton Persona pula, harga lama yang dipetik ialah dari varian 1.6 Executive AT atas jalan dengan insurans, dibandingkan pula dengan harga varian 1.6 Standard MT atas jalan tanpa insurans. Pada 2013, Persona paling murah ialah Persona SV MT pada harga RM44,007.50. Kini, varian paling murah ialah 1.6 Standard MT pada harga RM44,831.09, dengan tambahan ciri VSC.

    Berdasarkan daripada pemerhatian yang dilakukan ini, secara umumnya, harga kereta (jika dibandigkan dengan model/varian/kelengkapan yang setara) tidaklah menyaksikan banyak penurunan seperti didakwa dalam laporan berkenaan. Proton dan Perodua misalnya kelihatan mengekalkan tanda harga yang ada, tetapi dengan tambahan ciri keselamatan dan kelengkapan lainnya sebagai nilai tambah.

    Walaupun begitu, memang ada kes-kes di mana harga kereta menyaksikan penurunan yang ketara – ia melibatkan kereta dari jenama premium yang menerima insentif sebagai EEV CKD, seperti model-model keluaran Mercedes-Benz, BMW dan Volvo yang ada kini, terutama bagi model plug-in hybrid.

     
     
  • Sarawak bertegas hanya bas elektrik patut digunakan

    Sarawak bertegas hanya bas elektrik patut digunakan

    Kerajaan negeri Sarawak telah menolak cadangan Putrajaya untuk menggunakan bas yang dikuasakan oleh bahan api diesel bagi program transformasi perkhidmatan bas di Kuching. Sarawak memaklumkan perkara berkenaan kepada Putrajaya dan Konsortium BBK Sdn Bhd (KBBK) hanya bas elektrik yang sepatutnya digunakan.

    Menurut sebuah laporan The Malaysian Insight, KBBK telah diberikan kontrak bernilai RM204.9 juta oleh kerajaan pusat November lalu untuk menjalankan program transformasi perkhidmatan bas henti-henti di Kuching dan Samarahan.

    “Tiada siapa menggunakan bas dengan asap tebal lagi ketika ini. Apa kata pelancong dan pelawat yang prihatin tentang alam sekitar nanti?” jelas Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari Openg. Antara cadangan dalam transformasi pengangkutan awam itu ialah sebanyak 130 bas, dengan mesin tiket elektronik, CCTV dan sistem pengesan lokasi akan diperkenalkan.

    Semua bas diesel itu, yang menelan kos RM600,000 setiap satu sepatutnya akan mula beroperasi pada suku ketiga thaun ini. Bagaimanapum menurut Abang Johari, disebabkan penolakan cadangan itu, projek transformasi berkenaan akan dianjakkan lagi dan menjelaskan bahawa pengenalan bas elektrik boleh direalisasikan dalam masa tiga tahun akan datang.

    Beliau juga sedar dengan penggunaan bas elektrik, kos juga akan lebih tinggi, misalnya untuk menyediakan infrastruktur stesen mengecas. Ada juga cadangan supaya Putrajaya mengurangkan jumlah bas yang akan diperkenalkan dan kerajaan negari akan menampung sekiranya ada kekurangan dari segi kewangan untuk menjayakan program berkenaan.

    KBBK terdiri daripada beberapa syarikat pengusaha bas di bandaraya Kuching, seperti City Public Link Bus Services Sdn Bhd, Sarawak Transport Company Bhd, Bau Transport Company Sdn Bhd, Petra Jaya Transport (Sarawak) Sdn Bhd dan Biaramas Express Sdn Bhd. Konsortium ini menyediakan perkhidmatan ke 27 laluan di Kuching dan Samarahan.

     
     
  • Honda X-ADV, CRF1000L, CB1000R di M’sia separuh pertama 2018 – harga bawah RM70k, RM80k, RM90k

    Honda X-ADV, CRF1000L, CB1000R di M’sia separuh pertama 2018 – harga bawah RM70k, RM80k, RM90k

    Semasa majlis pembukaan cawangan BigWing pertama di Setapak, Kuala Lumpur, Boon Siew Honda (BSH) telah mengumumkan tiga model baru mereka akan tiba di Malaysia pada separuh pertama tahun ini, iaitu X-ADV, Africa Twin CRF1000L dan Neo Sports Cafe CB1000R.

    Semua model ini akan diimport terus dari Jepun, dan harga jangkaan yang diberi adalah bawah RM70k untuk X-ADV, bawah RM80k untuk Africa Twin CRF1000L standard dan bawah RM90k untuk Africa Twin CRF1000L dan Neo Sports Cafe CB1000R. Tiga model ini kemudiannya akan disertai oleh dua lagi model berkuasa tinggi yang akan tiba pada separuh tahun kedua tahun ini, yang kami jangkakan adalah CBR1000 dan Gold Wing 2018.

    Honda X-ADV adalah sebuah skuter bergaya kembara yang dikuasakan oleh enjin dua silinder 745 cc dengan sistem penyejukan cecair dan SOHC. Kuasa yang mampu dihasilkan adalah 54 hp pada 6,250 rpm dan 68 Nm pada 4,750 rpm, dan ia menggunakan transmisi automatik klac berkembar enam kelajuan DCT yang juga boleh dikawal menggunakan butang penukar gear di bahagian pemegang.

    Konsep kembara yang mahu diketengahkan pada motosikal ini disampaikan melalui penggunaan barangan seperti penghadang tangan, pelindung bahagian depan enjin dan rim jenis lidi; depan 17 inci dibalut dengan tayar 120/70 dan belakang bersaiz 15 inci bersama tayar 160/60. Penghadang udara di hadapannya pula boleh dilaras dalam beberapa kedudukan, tinggi dan rendah.

    Berat keseluruhan X-Adv adalah 238 kg dan ia dilengkapi dengan tangki bahan api berkapasiti 13.1 liter. Antara kelengkapan lain yang ada padanya adalah sistem tanpa kunci, ruang barangan 21 liter (boleh memuatkan helmet full face), soket pengecas USB di bawah tempat duduk, meter digital gaya rali yang lengkap dengan pelbagai informasi dan suspensi fork USD di hadapan dan monoshock dengan Pro-Link di belakang.

    Africa Twin CRF1000L pula adalah sebuah motosikal kembara sebenar, yang boleh didapati dalam dua versi iaitu standard, yang menggunakan transmisi manual enam kelajuan biasa seperti kebanyakan motosikal manakala sebuah lagi adalah model yang menggunakan transmisi klac berkembar enam kelajuan (masih boleh dikawal secara manual menggunakan butang).

    Walaupun begitu, kedua-duanya masih dikuasakan oleh enjin dua silinder selari 998 cc SOHC, dan untuk model 2018 ini ia dinaik taraf dengan kotak udara dan bahagian dalam ekzos baru, balancer shaft lebih ringan, pam air di dalam perumah klac, termostat dalam head, bateri lithium ion, sistem throttle-by-wire, empat mod tunggangan dan sistem Honda Selectable Torque Control (HSTC) dengan tujuh tahap (sebelum ini cuma tiga).

    Berat motosikal ini adalah 232 kg, dan ia datang dengan kelengkapan lain termasuk tangki bahan api 18.8 liter, fork teleskopik 45 mm di hadapan, monoshock boleh laras pra beban dan lantunan, brek cakera berkembar 310 mm dan angkup empat piston di hadapan, brek cakera 256 mm dan angkup dua piston di belakang, siap dengan sistem brek ABS dan rim 12 inci di hadapan dan 18 inci di belakang.

    Neo Sports Cafe CB1000R pula adalah sebuah motosikal naked yang dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 998 cc dengan teknologi PGM-Fi, penyejukan udara dan DOHC. Kuasa maksimum sebanyak 143 hp pada 10,500 rpm dan 104 Nm tork pada 8,250 rpm mampu disampaikan ke tayar belakang melalui kotak gear enam kelajuan.

    Berat motosikal ini adalah 212 kg, dan ia menyediakan kelengkapan lain termasuk brek cakera berkembar 310 mm di hadapan, cakera 256 mm di belakang, fork USD Showa di hadapan, monoshock Showa BRFC di belakang, rim 17 inci, lengan ayun tunggal, tangki bahan api 16.2 liter dan panel instrumen digital.

    GALERI: Honda X-ADV


    GALERI: Honda Africa Twin CRF1000L

    GALERI: Honda CB1000R Neo Sports Cafe

     
     
  • Honda BigWing – cawangan pertama di Setapak, KL

    Honda BigWing – cawangan pertama di Setapak, KL

    Boon Siew Honda (BSH) telah membuka cawangan BigWing mereka yang pertama di Setapak, Kuala Lumpur. BigWIng adalah satu jenama pusat sehenti motosikal berkuasa tinggi, iaitu berkapasiti 250 cc ke atas, yang lengkap dengan bahagian jualan, servis, alat ganti dan ruang rehat.

    Pembukaan BigWing juga adalah satu langkah BSH untuk memberikan servis lebih baik bagi pengguna motosikal berkuasa tinggi di negara ini, dan tiga lagi cawangan akan dibuka dalam tahun ini iaitu di Pulau Pinang, Selangor dan Johor. Dengan rangkaian ini juga, BSH mensasarkan peningkatan 30% jualan motosikal berkuasa tinggi.

    Cawangan BigWing di Setapak, Kuala Lumpur ini diuruskan oleh Ee Tiong Motorsports Sdn Bhd, dan terletak di lot kedai yang berkeluasan 5,535 kaki persegi di 384, 386, 388, 390, Jalan Pahang, Setapak, Kuala Lumpur.

    Honda BigWing – cawangan pertama di Setapak, KL

    Pada masa hadapan, lebih banyak lagi keistimewaan yang akan diberi kepada pelanggan BigWing, dengan antaranya pelanggan diberi kad ahli BigWIng secara percuma. Dengan adanya kad ini, pelanggan dapat menikmati diskaun minimum 10% ke atas alat ganti dan aksesori Honda asli, pakej insuran khas serta khidmat nasihat daripada juruteknik pakar.

    Semasa majlis pembukaan BigWing Setapak ini juga, BSH telah mempertontonkan dua buah motosikal baru iaitu X-Adv dan Africa Twin CRF1000L. Dua model ini, bersama CB1000R disasar supaya dapat dilancarkan di pasaran Malaysia menjelang separuh pertama tahun ini. Dua lagi model baru dijangka dilancarkan pada separuh kedua 2018.

     
     
  • Zulfahmi Khairuddin diumum bakal berlumba dalam kategori Moto2 musim 2018, ganti Hafizh Syahrin

    Zulfahmi Khairuddin diumum bakal berlumba dalam kategori Moto2 musim 2018, ganti Hafizh Syahrin

    Bekas pelumba Moto3 dan Supersport 600 negara iaitu Zulfahmi Khairuddin telah diumumkan menjadi pengganti kepada Hafizh Syahrin untuk kategori Moto2 musim 2018 dalam pasukan SIC Racing. Perkara ini diumumkan sendiri oleh SIC Racing Team, dan Zulfahmi bakal memulakan latihan menggunakan jentera Kalex Moto2 buat pertama kali 6 Februari ini di Valencia, Sepanyol.

    Walaupun diumumkan dalam masa yang singkat, Zulfahmi menyatakan beliau telah bersedia, dan akan menggunakan segala pengalaman yang ditimba semasa perlumbaan World Supersport Championship selama dua musim. Perlumbaan pertama MotoGP akan bermula 18 Mac di Qatar, dan Zulfahmi cuma mempunyai masa sembilan hari untuk menguji jentera Moto2 dan melakukan pelarasan yang bersesuaian.

    “Ya, peralihan Zulfahmi ke Moto2 ini boleh dianggap sukar. Tapi, kami mempunyai kepercayaan, dengan pengalaman yang telah dikumpul oleh semua ahli dalam pasukan baru ini, Zulfahmi akan dapat mencapai sasaran beliau dan membawa kebanggaan kepada Malaysia, bersama pelumba Moto3, Adam Norrodin sebagai rakyat Malaysia yang berlumba di kejohanan bertaraf dunia,” kata ketua pegawai eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali.

    Zulfahmi Khairuddin diumum bakal berlumba dalam kategori Moto2 musim 2018, ganti Hafizh Syahrin

    Manurut laporan daripada Berita Harian pula, Razlan turut memberitahu bahawa terdapat beberapa pelumba negara lain yang dimasukkan dalam senarai seperti Zaqhwan Zaidi, Azlan Shah Kamaruzaman dan Khairul Idham Pawi, tetapi Zulfahmi dipilih sebagai yang terbaik apabila melihat semua aspek termasuk kontrak.

    Pengumuman ini juga seakan memberi bayangan bahawa khabar berkenaan Hafizh Syahrin akan berlumba dalam kategori premier MotoGP hampir menjadi realiti. Jika benar itu berlaku, Hafizh akan menjadi pelumba pertama dari Asia Tenggara yang berlumba dalam kategori tersebut, bersaing dengan nama-nama popular seperti Valentino Rossi, Marq Marquez, Jorge Lorenzo dan ramai lagi.

     
     
  • Bentley Continental GT 2018 dilancarkan – RM1.9 juta!

    Bentley Continental GT 2018 dilancarkan – RM1.9 juta!

    Bentley Continental GT 2018 kini telah dilancarkan untuk pasaran Malaysia. Ini model dari generasi ketiganya, dan tiba di sini hanya selepas lima bulan membuat penampilan sulung di Frankfurt Motor Show tahun lalu.

    Bagaimanapun, belum ada harga akhir yang diperoleh. Yang didedahkan cuma harga anggaran, siap termasuk dengan cukai; iaitu RM1.9 juta dan bukan harga atas jalan serta belum termasuk GST. Serahan bagi pemilik tempatan akan dilakukan paling awal pada suku kedua tahun ini.

    Berbanding model lamanya, versi terbaru ini 44 mm lebih panjang (4,850 mm), 10 mm lebih lebar (1,954 mm) dan 1 mm lebih tinggi (1,405 mm). Rekaan yang ditampil juga adalah serba baru, dapat dicapai dengan penggunaan platform yang juga baru bagi Bentley – yang turut dikongsi dengan Porsche Panamera terkini.

    Bentley Continental GT 2018 dilancarkan – RM1.9 juta!

    Model ini dilengkapi dengan enjin 6.0 liter twin-turbo W12 suntikan terus yang menghasilkan sebanyak 626 hp pada 6,000 rpm dan 900 Nm tork dari 1,350 rpm – 4,500 rpm. Angka ini adalah 44 hp dan 180 Nm melebihi daripada apa yang diberikan oleh model lamanya.

    Ini membolehkan kereta dua-pintu yang besar dan berat ini – dengan berat 2 tan – mencapai pecutan 0-100 km/j dalam masa hanya 3.7 saat (0.8 saat lebih pantas). Kelajuan maksimum yang boleh dicapai pula ialah 333 km/j, lebih 14 km/j dari yang sebelumnya.

    Sistem pacuan semua roda terbaru kini menggantikan sistem 40:60 kekal sebelum ini. Struktur badan Continental GT ini juga menggunakan material campuran dengan bahan utama aluminium – mengurangkan 85 kg beratnya – walaupun masih dengan berat keseluruhan lebih 2 tan; 2,244 kg.

    Bentley Continental GT 2018 dilancarkan – RM1.9 juta!

    Ciri start/stop yang ada padanya membolehkan model ini memberikan bacaan penggunaan minyak pada kadar 12.2 liter bagi setiap 100 km. Walaupun masih lagi tinggi, ia sebenarnya sudah berhasil dikurangkan daripada bacaan terdahulu, yang memberikan 14.2 liter per 100 km. Pembebasan karbon monoksida juga telah dikurangkan sebanyak 16%, menjadikan 278 gram per kilometer.

    Seperti kebiasaan model kenderaan dengan prestij seperti ini, ia dilengkapi dengan segala macam ciri-ciri termaju. Antara yang utama ialah penggunaan sistem lampu utama matrix LED, dengan inspirasi dari kaca belahan kristal yang akan mula bercahaya sebaik pemiliknya mendekati kenderaan.

    Di bahagian dalam, terdapat kira-kira 10 kaki persegi kawasan yang dihiasi dengan kemasan kayu sebenar, yang memerlukan sembilan jam untuk dipasang secara manual oleh petugas. Sistem infotainmen dipaparkan pada skrin sentuh 12.3-inci dengan pilihan capaian Apple CarPlay, sistem tunjuk arah Google serta Private eCall untuk kegunaan dalam situasi kecemasan.

    Bagi sistem audio pula, pilihan yang diberikan termasuk sistem 650-watt 10-pembesar suara paling asas, sistem peringkat pertengahan dengan Bang & Olufsen BeaSonic 1,500 watt dengan 16-pembesar suara serta pilihan paling tinggi, sistem Naim 2,200-watt, 18-pembesar suara dan Active Bass Transducers yang dipasang pada tempat duduk hadapan.

    Suspensi yang digunakan pula adalah dari jenis double wishbone di depan dan belakang, dengan kawalan olengan adaptif penuh 48-volt seperti yang ada pada Bentayga. Turut dipasang ialah suspensi udara dengan three-chamber air springs. Ini memberikan lebih 60% jumlah udara dalam talaan paling lembut berbanding model sebelumnya.

    Selebihnya, model ini juga datang dengan ciri Continuous Damper Control (CDC) generasi terbaru serta stereng kuasa elektrik dengan variable-ratio untuk memberikan maklum balas yang lebih baik. Cakera brek pula 15 mm lebih besar untuk bahagia depan, dengan saiz 420 mm dengan kaliper 10-piston. Di belakang pula hanya menggunakan cakera 380 mm dengan kaliper empat-piston.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025