Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Benelli 402S – enjin 399 cc, bentuk tiru Ducati XDiavel?

    Benelli 402S – enjin 399 cc, bentuk tiru Ducati XDiavel?

    Semasa model terbaru Benelli iaitu 402S diperkenalkan di EICMA 2017, ia membuatkan ramai yang berkata ia seperti satu motosikal yang meniru rekaan Ducati XDiavel. Perkara ini lebih jelas apabila dilihat betul-betul dari tepi, tetapi Benelli masih memasukkan rekaan mereka sendiri contohnya pada bahagian lampu hadapan dan lampu belakang.

    Namun apa yang pasti, Benelli 402S ini tidak akan akan dapat menyaingi prestasi Ducati XDiavel kerana ia hanya menggunakan enjin dua silinder selari 399 cc, dengan sistem penyejukan cecair dan EFI, dipadankan kepada kotak gear enam kelajuan. Kuasa yang mampu dihasilkan adalah 39 hp pada 9,000 rpm dan 35 Nm tork pada 7,000 rpm.

    Pada bahagian roda hadapannya, motosikal ini menggunakan tetapan brek cakera berkembar, bersaiz 260 mm, berserta angkup empat piston, manakala di belakang pula terdapat brek cakera 240 mm tunggal dan angkup satu piston. Datang secara standard adalah sistem brek ABS two-channel pada motosikal ini.

    Rim yang digunakan pada Benelli 402S kedua-duanya adalah bersaiz 17 inci, tetapi bahagian hadapan dibalut dengan tayar 120/70 manakala di belakang terdapat tayar 160/60 yang lebih lebar. Beratnya pula adalah 160 kg, dan turut dilengkapi dengan barangan lain seperti fork USD, monoshock yang boleh dilaras dan kerangka Trellis.

    Apabila masuk ke pasaran nanti, pastinya ramai yang akan menghargai rekaan Benelli 402S ini, apatah lagi, ia memberikan tunggangan yang lebih santai, seperti yang boleh dilihat, tempat pemegangnya lebih ke belakang dan tempat duduk tenggelam dan luas.

     
     
  • Infiniti Q Inspiration Concept didedahkan lebih awal

    Infiniti Q Inspiration Concept didedahkan lebih awal

    Infiniti telah mendedahkan gambar pertama model sedan hasil dan pemerhatian dan kajian lebih awal sebelum Pameran Auto Antarabangsa Amerika Utara di Detroit minggu depan. Infitini Q Inpiration Concept menampilkan pendekatan rekaan terbaru jenama itu, dengan mengenakan garis-garis badan yang lebih jelas serta bentuk umum rekaan kenderaan fastback.

    Bahagian depan kereta ini sudah pernah ditunjukkan sebagai teaser bulan lalu. Manakala gril dalam bentuk trapezoid dikekalkan, ia diberi interpretasi baru dengan tertutup sepenuhnya melainkan terdapat beberapa bukaan kecil pada permukaannya. Selebihnya, ia menggunaan rekaan lampu utama yang tirus serta ruang masukan udara kecil dan menegak di sisi.

    Menurut pengarah eksekutif reka bentuk, Karim Habib, idea di sebalik kajian ini adalah untuk melangkau lebih daripada menghasilkan senibina sedan tradisional dengan menawarkan bentuk alternatif, sesuatu yang kelihatan lebih mengalir dan tegap, walaupun dengan kabin yang panjang dan seimbang.

    Rekaan Infiniti Q Inspiration Concept ini menawarkan imej yang lebih dekat bagi arah tuju rekaan model-model akan datang yang bakal menggantikan sedan Q70 sedia ada. Sedan baru itu nanti turut dijangka akan menggunakan enjin variable compression Infiniti, yang mula digunakan pada crossover QX50.

     
     
  • SPYSHOT: Ford Ranger facelift 2018 diuji di Thailand

    SPYSHOT: Ford Ranger <em>facelift</em> 2018 diuji di Thailand

    Ford Ranger T6 mula diperkenalkan pada tahun 2011 dan menerima facelift pertama pada tahun 2015 termasuk pada pasaran Malaysia. Namun apa yang ditemui oleh ahli kelab Ford Ranger Thai dan disiarkan oleh Headlightmag ini petanda jelas bahawa trak pikap berkenaan akan disegarkan sekali lagi untuk tahun 2018.

    Untuk pengetahuan anda, Ranger sememangnya dihasilkan di Thailand untuk pasaran seluruh dunia, dan tidak hairanlah ia ditemui diuji di negara gajah putih berkenaan. Untuk facelift 2018 ini juga, nampaknya ia hanya menerima sedikit perubahan berbanding versi 2015.

    Berbeza dengan versi sedia ada (tidak termasuk model Wildtrak), perbezaan paling ketara adalah pada bahagian gril hadapan yang menampilkan jalur krom sekeliling yang lebih nipis serta tidak lagi kelihatan bersambung terus dengan gril bawah pada bampar. Bar tebal yang memegang logo Ford juga telah digantikan dengan dua jalur lebih nipis dan panjang, manakala bahagian atas gril yang menempatkan perkataan “Ranger” juga turut lebih nipis.

    Secara keseluruhan, gril tersebut menjadikan Ranger 2018 ini lebih classy dan kurang garang – lebih hampir kepada versi SUV Everest. Gril berkenaan turut disertakan dengan bampar yang direka semula, dan juga sepasang lampu hadapan baharu menampilkan lampu nyalaan siang pada bahagian bawah.

    Unit yang diuji tanpa sebarang penyamaran ini juga diberikan lencana “Limited” pada bahagian sisi dan belakang, yang mungkin menandakan ia adalah varian tertinggi sebelum varian XLT. Dijangkakan versi lebih garang FX4 dan Wildtrak turut akan ditawarkan untuk mereka yang mahukan trak pikap dengan gaya lebih lasak.

    Untuk versi sedia ada, Ranger dijana enjin turbodiesel dari siri “Puma” yang terdiri dari versi 2.2 liter Duratorq TDCi berkuasa 125 hp/320 Nm dan 160 hp/385 Nm serta versi 3.2 liter lima-silinder berkuasa 200 hp/470 Nm. Enjin-enjin berkenaan dipadankan dengan pilihan kotak gear sama ada enam-kelajuan manual atau automatik.

    Selain dari Ranger facelift, peminat trak pikap dari “The Blue Oval” pastinya tertunggu-tunggu sebuah lagi versi istimewa Ranger iaitu Ranger Raptor – model berprestasi tinggi yang dibina bagi pasaran yang tidak menerima model penuh trak F-150 Raptor. Trak pikap istimewa berkenaan dijangka akan dijana enjin diesel turbo berkembar “Panther” 2.0 liter EcoBlue baharu yang mampu menjana 190 hingga 215 hp, digandingkan dengan kotak gear automatik 10-kelajuan.

     
     
  • Biasakan diri dengan perubahan harga minyak – PM

    Susulan pelaksanaan sistem apungan terkawal bagi harga minyak, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru agar rakyat di negara ini membiasakan diri dengan perubahan harga yang mungkin naik dan turun pada setiap minggu.

    Katanya lagi, seperti negara maju yang lain, situasi perubahan harga minyak yang berlaku setiap hari adalah kebiasaan, laporan Berita Harian.

    “Kita sudah beritahu, kita tidak mampu nak memberi subsidi pukal, sebab itu buat subsidi secara lebih fokus. Cuma kalau harga minyak RON95 naik sehingga RM2.50 (secara berterusan selama tiga bulan), kerajaan akan membuat sesuatu untuk membantu rakyat. Itu kita sudah bagi jaminan,” katanya dalam program ‘Bicara 4 Mata’ bersama Datuk Aznil Nawawi yang disiarkan portal theRakyat, RTM dan TV3, malam tadi.

    Pada November lalu, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, harga minyak mentah dunia yang turun naik adalah di luar kawalan kerajaan, dan apa yang boleh dilakukan oleh kerajaan ialah memantau, mengagihkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) serta menimbang bantuan bagi mereka yang berpendapatan rendah agar tidak jatuh ke paras kemiskinan.

     
     
  • Harga minyak 4 hingga 10 Januari 2018 – semua naik

    Harga minyak 4 hingga 10 Januari 2018 – semua naik

    Masuk minggu pertama tahun baru, harga bahan api petrol dan diesel untuk seminggu ke hadapan akan dinaikkan. Ini selepas harga bagi petrol turun satu sen minggu lalu. Bagi pengguna diesel pula, ini mungkin berita yang tidak menyeronokkan; harganya naik lagi – semuanya naik antara tiga hingga enam sen.

    Bermula tengah malam nanti, harga bagi petrol RON 95 akan dinaikkan sebanyak tiga sen, menjadikan harga runcit seliter dijual pada harga RM2.29. Kenaikkan yang sama turut melibatkan RON 97; naik tiga sen kepada harga RM2.56 seliter.

    Harga bahan api diesel pula terus meningkat; kini naik enam sen berbanding minggu lalu. Diesel Euro 2M akan dijual pada harga RM2.32 seliter, manakala diesel Euro 5 akan dijual pada harga RM2.42 seliter.

    Harga runcit terbaru ini akan berkuatkuasa tengah malam nanti dan akan kekal sehingga Rabu minggu depan, 10 Januari 2018.

     
     
  • Toyota Rush 2018 di Indonesia – tiada peningkatan harga walau pun spesifikasi tinggi, dari RM72k-RM78k

    Toyota Rush 2018 di Indonesia – tiada peningkatan harga walau pun spesifikasi tinggi, dari RM72k-RM78k

    Toyota telah memperkenalkan Rush baharu di Indonesia pada tahun lalu, serentak dengan kembarnya, Daihatsu Terios – tetapi ketika itu harganya masih belum dinyatakan. Terkini, syarikat tersebut telah mengumumkan bahawa SUV tujuh-tempat duduk baharu ini ditawarkan dengan harga yang sama seperti sebelum ini, menurut laporan AutonetMagz.

    Malah, menurut Toyota, varian auto untuk TRD Sportivo juga sebenarnya lebih murah sebanyak tiga juta rupiah berbanding sebelum ini. Harganya bermula 239.9 juta rupiah (RM71,500) bagi model asas G manual, meningkat sehingga 249.9 juta rupiah (RM74,500) untuk G auto, 251.3 juta rupiah (RM74,900) bagi TRD Sportivo manual dan 261.3 juta rupiah (RM77,900) untuk TRD Sportivo auto.

    Elemen standard termasuklah lampu utama dan lampu belakang LED, butang penghidup enjin dan kamera undur. Manakala varian TRD Sportivo pula didatangkan dengan papan pemuka dua-tona sentuhan lembut, paparan pelbagai-info berwarna, port USB di kesemua barisan tempat duduk, sistem infotainmen DVD-AVX dengan skrin sesentuh tujuh-inci, Miracast, Weblink, Bluetooth dan sokongan Waze, serta lapan pembesar suara.

    Model TRD Sportivo ini juga tampil lebih garang dengan pemadanan pelindung bawah pada bahagian hadapan dan belakang, perumah lampu kabus lebih menonjol dan juga kemasan sisi tambahan. Model varian tertinggi ini juga menerima rim aloi 17-inci, berbanding model G yang hanya diberikan rim 16-inci. Kit keselamatan pula termasuk enam beg udara, ABS, Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Bantuan Mula Mendaki (HSA), isyarat berhenti kecemasan dan pengingatan tali pinggang keledar untuk kesemua tujuh tempat duduknya sebagai standard untuk semua varian.

    Model generasi baharu ini dijana enjin baharu 2NR 1.5 liter DOHC – enjin dari siri yang sama pada Perodua Myvi 2018 dan juga Toyota Avanza generasi terkini. Namun, unit dengan teknologi Dual VVT-i pada Rush ini ditala untuk mengekstrak kuasa 104 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 136 Nm pada takat 4,200 rpm. Ia digandingkan dengan pilihan sama ada kotak gear lima-kelajuan manual atau empat-kelajuan automatik

    Dengan harga yang dikekalkan antara generasi, Rush sepatutnya tidak perlu terlalu mahal berbanding model semasa apabila ia sampai ke pasaran Malaysia, di mana SUV sedia ada ini berharga antara RM101,900 hingga RM106,700. Bagaimana pendapat anda – adakah anda mahukan Rush dengan kerangka yang lebih tegar ini atau pun kenderaan penumpang seperti Honda BR-V?

     
     
  • Volkswagen mungkin hasilkan Polo R versi produksi?

    Volkswagen mungkin hasilkan Polo R versi produksi?

    Pada tahun 2012, Volkswagen telah memperkenalkan Polo R WRC – Polo produksi paling pantas pernah dihasilkan, dan dibina hanya 2,500 unit sempena versi prototaip model tersebut yang bertanding dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC). Berbanding model GTI yang diberikan enjin TSI 1.8 liter turbo berkuasa 190 PS/320 Nm, model R berkenaan berkongsi enjin TSI 2.0 liter turbo dari Golf GTI berkuasa 220 PS/349 Nm digandingkan dengan kotak gear enam-kelajuan manual memacu roda hadapan.

    Setelah model generasi baharu (Mk6) didedahkan tahun lalu, setakat ini hanya model GTI diperkenalkan sebagai model berprestasi tinggi, juga dijana enjin TSI 2.0 liter turbo tetapi hanya berkuasa 200 PS/320 Nm.

    Namun ketua pembangunan casis Volkswagen Karsten Schebsdat memberitahu Autocar, versi lebih berkuasa mungkin akan diperkenalkan kerana casis baharu ini “mampu menampung lebih kuasa”.

    Volkswagen Polo R 2013

    “Kereta tersebut sangat stabil walaupun pada selekoh berkelajuan tinggi yang tentunya mampu menampung kapasiti untuk versi yang lebih fokus,” jelas Schebsdat.

    Kenyataan Schebsdat tersebut jelas memberi gambaran bahawa Volkswagen berminat untuk menghasilkan Polo GTI yang lebih berkuasa, dan mengikut hieraki model ia mungkin akan digelar sebagai Polo R. Apa yang menarik, Polo generasi baharu ini juga dibina berasaskan platform MQB, iaitu asas yang sama dengan Golf tetapi dipendekkan. Jadi tidak mustahil jika ianya nanti turut akan diberikan sistem pacuan semua roda Haldex sama seperti Golf R.

    Walau bagaimanapun, ia masih terlalu awal untuk berbicara berkenaan perincian Polo yang lebih berkuasa berkenaan.

    GALERI: Volkswagen Polo GTI Mk6

     
     
  • Brembo panggil balik motosikal yang guna pam brek PR16 di Amerika Syarikat – Ducati dan Aprilia terkesan

    Brembo panggil balik motosikal yang guna pam brek PR16 di Amerika Syarikat – Ducati dan Aprilia terkesan

    Satu panggilan balik dikeluarkan oleh NHTSA di Amerika Syarikat, untuk silinder brek utama hadapan Brembo, yang turut digunakan pada motosikal Aprilia dan Ducati tertentu. Panggilan balik ini dilakukan kerana dikhuatiri piston silinder utama brek hadapan ini, yang diperbuat daripada plastik berkemungkinan retak.

    Setakat ini, model yang terlibat dalam panggilan balik ini adalah Aprilia RSV4 dan Aprilia Tuono 1100 2017, sementara Ducati juga telah mengeluarkan panggilan balik berkenaan perkara sama untuk model tahun antara 2015 hingga 2018 bagi 1299 Panigale, Panigale R, Monser 1200, Multistrada 1200, Multistrada 1260, XDiavel S dan Scrambler 800 Cafe Racer.

    Secara khususnya, silinder brek Brembo yang dipanggil balik adalah model PR16, yang biasanya digunakan bersama angkup Brembo M50. Masalah timbul apabila silinder utama brek ini, yang diperbuat daripada plastik polyphenylene sulphide boleh retak apabila digunakan secara ekstrem seperti dalam perlumbaan ataupun bila sistem ABS terlalu kerap diaktifkan.

    Brembo panggil balik motosikal yang guna pam brek PR16 di Amerika Syarikat – Ducati dan Aprilia terkesan

    Baik pulih yang akan dilakukan untuk mengatasi masalah ini adalah dengan menggantikan piston silinder utama brek ini kepada unit aluminium. Penukaran akan dilakukan di wakil pengedar jenama yang terlibat, tanpa sebarang kos kepada pemilik bermula 15 Februari.

    Silinder brek Brembo PR16 ini sebenarnya oleh banyak motosikal, termasuk dari jenama KTM, Kawasaki, Triumph dan pelbagai lagi. Walaubagaimanapun, setakat ini, panggilan balik hanya dilakukan oleh Ducati dan Aprilia. Pemilik dua jenama ini di Malaysia boleh menghubungi pengedar rasmi untuk mengetahui sama ada motosikal mereka terlibat, manakala mereka yang membelinya sebagai aksesori tambahan boleh menghubungi Brembo secara terus.

     
     
  • Volkswagen beri penyelenggaraan percuma tiga tahun

    Volkswagen beri penyelenggaraan percuma tiga tahun

    Semua kenderaan Volkswagen yang didaftarkan mulai 1 Januari 2018 kini ditawarkan dengan program penyelenggaraan percuma selama tiga tahun atau 45,000 km (mana-mana tiba dahulu). Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) yang mengumumkannya hari ini menjelaskan bahawa program berkenaan adalah untuk semua modelnya di pasaran negara ini.

    Menurut Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter, program penyelenggaraan percuma selama tiga tahun ke atas kenderaan Volkswagen itu akan memberi ketenangan minda kepada para pemilik kerana kos menjaga kereta mereka ditanggung oleh Volkswagen.

    “Dengan adanya program ini, pemilik tidak perlu bimbang tentang penyelenggaraan kereta Volkswagen mereka. Ia juga mengukuhkan komitmen kami terhadap para pelanggan – bukan sekadar menguatkan perkhidmatan selepas jualan, malah dari segi pengalaman pemilikan kepada pelanggan kami,” katanya.

    Volkswagen beri penyelenggaraan percuma tiga tahun

    Program ini merangkumi semua kos penyelenggaraan sebagaimana yang diperlukan dalam servis berkala. Namun ia tidak melibatkan alat-alat ganti lusuh seperti cakera brek, pad brek, penggilap cermin dan mentol lampu. Pemilik kenderaan juga perlu mematuhi jadual penyelenggaraan di pusat servis sah Volkswagen atau berisiko jaminannya terbatal.

    Sebagai tambahan kepada program baharu itu, pelanggan yang membeli mana-mana varian Passat juga akan menikmati kadar faedah rendah bermula 0.88% setahun. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web www.volkswagen.com.my.

     
     
  • Datsun Cross akan tampil kali pertama di Indonesia

    Datsun Cross akan tampil kali pertama di Indonesia

    Selepas membuat kemunculan semula pada tahun 2012, satu lagi jenama di bawah Nissan selain Infiniti, iaitu Datsun terus ke hadapan dengan kini berada dalam pasaran India, Indonesia, Rusia, dan Afrika Selatan. Terbaru, syarikat itu mengumumkan akan mempertontonkan buat kali pertama di dunia model Cross produksi di Indonesia.

    Ini adalah sebuah model crossover kompak, dan berdasarkan satu gambar teaser bahagian hadapan yang dikeluarkan oleh syarikat itu di laman webnya, hampir keseluruhan rekaannya menyamai model konsep Go Cross yang pernah muncul semasa Tokyo Motor Show 2015.

    Kenderaan ini mempunyai gril yang besar di hadapan, dengan logo Datsun di tengah, dan di antara lampu utamanya, terdapat satu lagi lampu berbentuk bulat, seperti model Nissan Juke. Bahagian bawah bamparnya pula mempunyai kemasan yang ranggi seperti kebanyakan crossover.

    Datsun Cross akan tampil kali pertama di Indonesia

    Selain daripada itu, Datsun Indonesia tidak mengeluarkan banyak informasi berkenaan kereta ini, namun ada menyatakan ia dibangunkan khas untuk Indonesia, dengan ciri antaranya jarak kelegaan tanah yang tinggi dan boleh menyokong pelbagai gaya hidup pemiliknya.

    “Datsun Cross merupakan generasi baru compact crossover. Dengan rekaannya yang bergaya dan kelengkapan canggih, Datsun Cross akan menjadi pasangan yang sesuai untuk gaya hidup pelanggan baru kami,” kata Presiden PT. Nissan Motor Indonesia, Eiichi Koito.

    GALERI: Datsun GO-Cross Concept di Tokyo Motor Show 2015

     
     
  • Mercedes-Benz G-Class terbaru di dalam video teaser

    Akan membuat kemunculan pertamanya ketika North American International Auto Show 2018 di Detroit pada 15 Januari ini, video teaser Mercedes-Benz G-Class terbaru kini sudah didedahkan – memberi petunjuk bahawa model baru itu nanti akan tetap membawakan semangat dan imej versi lamanya dahulu.

    Dalam video ini, model lama G-Class ditampilkan “terperangkap” di dalam kiub beku dengan segala DNA-nya masih terpelihara – baris ayat “The DNA lives one” juga terpampang di dalam video ini. Ini memang sudah dapat dijangkakan; ia masik mengekalkan bentuk berkotak yang ada, dengan perincian lain di bahagian luar disifatkan menerima sentuhan baru.

    Ruang dalamannya pula sebelum ini telah pun ditunjukkan kepada umum melalui gambar-gambar yang diedarkan. Ia antara lain dilengkapi paparan digital 12.3 inci serta pendekatan rekaan pada tombol pendingin hawa dan gril pembesar suara yang masing-masing mengambil visual daripada rekaan lampu utama dan lampu isyaratnya.

    Mercedes-Benz G-Class terbaru ini dijangka akan terus menggunakan enjin 4.0 liter biturbo V8 seperti yang ada pada model G500 facelift 2015 sebelum ini. Varian AMG juga dijangka akan turut ditawarkan bersama. Ia akan dipasang di kilang Magna syarikat itu, di Graz, Austria; sama seperti tempat model lamanya dikeluarkan sebelum ini.

     
     
  • Suzuki Swift generasi baharu masuk pasaran Thai bulan hadapan – Kereta Eco, hanya 1.2 liter NA

    Suzuki Swift generasi baharu masuk pasaran Thai bulan hadapan – Kereta Eco, hanya 1.2 liter NA

    Setelah dilancarkan di Jepun pada Disember 2016, kini Suzuki Swift generasi baharu akan menerjah pasaran Thailand awal tahun ini, lapor Headlightmag.

    Model generasi keempat ini akan dilancarkan di Thai sebagai kenderaan yang diiktiraf dalam skim Kereta Eco Peringkat Kedua yang pastinya mampu milik serta menawarkan penjimatan bahan api yang baik. Bagi diiktiraf untuk mendapat potongan cukai di bawah skim ini, Swift Thailand bakal dijana enjin K12C Dualjet 1.2 liter NA empat-silinder tanpa pilihan enjin Boosterjet 1.0 liter turbo seperti pada pasaran lain.

    Enjin berkenaan juga tidak hadir dengan sistem hibrid ringkas yang menggunakan integrated starter generator (ISG) seperti yang ditawarkan di Jepun – sebagai syarat untuk merendahkan lagi kos penghasilan kereta berkenaan.

    Selepas dilancarkan di Thailand nanti, model generasi baharu ini bakal berhadapan dengan Toyota Yaris Ativ dan Nissan Note, yang juga dikelaskan sebagai Kereta Eco Thailand. Kedua-dua model ini juga merupakan model yang dihasilkan khas bagi menerima insentif tersebut di mana Toyota menggunakan model Vios generasi baharu dan menyumbatnya dengan enjin 1.2 liter yang lebih kecil, manakala Nissan Note di Jepun yang menerima sistem hibrid e-Power juga diubah kepada enjin petrol 1.2 liter untuk pasaran Thailand.

    Bagi enjin K12C dengan sistem suntikan berkembar Swift ini, ia akan menghasilkan kuasa 91 hp/118 Nm sama seperti model sedia ada. Namun sudah pasti enjin tersebut ditala dengan lebih efisien dan mesra alam bagi memenuhi standard regulasi Kereta Eco Thai yang menetapkan ia perlu sekurang-kurangnya berada pada bacaan 23.3 km/l dan kadar emisi CO2 100 g/km.

    Manakala asas Swift ini sendiri yang kini menggunakan platform baharu digelar Heartect sememangnya dibina lebih tegar dan lebih ringan (model JDM kini 30 hingga 160 kg lebih ringan dari sebelumnya), sudah tentu turut akan membantu aspek penggunaan bahan api.

    Untuk peringkat global, versi prestasi tinggi Swift Sport juga telah membuat kemunculan sulungnya di Frankfurt Motor Show 2017 September lalu. Manakala bagi kita di Malaysia, nampaknya masih lagi belum nampak sinar harapan untuk menerima model ini setelah Suzuki menutup operasinya di sini dan menjalankan kerjasama strategik bersama Proton bermula pada 2016.

    GALERI: Suzuki Swift pasaran Jepun

     
     
  • SsangYong Rexton Sports – imej, video pikap disiar

    SsangYong Rexton Sports – imej, video pikap disiar

    Selama beberapa tahun ini, satu-satunya model pikap dari SsangYong adalah Actyon Sports. Tapi kini, ada model baru yang lebih besar, dan lebih mewah iaitu Rexton Sports (juga akan dipanggil sebagai Musso di beberapa pasaran). Syarikat ini telah mengeluarkan imej serta video pertama bagi model ini, sebelum ia membuat penampilan di Geneva Motor Show Mac nanti.

    Seperti yang dijangka, model pikap ini banyak persamaan dengan Rexton biasa, dengan segala yang terdapat dari tiang B-pillar ke hadapan, adalah sama dengan SUV tersebut. Belakang pada itu, ia mempunyai bentuk biasa pikap namun ruang barangannya kelihatan seperti agak pendek.

    Seperti juga versi SUV, Rexton Sports ini hanya ditawarkan dengan enjin diesel turbo 2.2 liter yang mampu menghasilkan 187 PS dan 420 Nm tork. Ia dipadankan dengan transmisi sama ada manual enam kelajuan atau automatik enam kelajuan dari Aisin. Sistem pacuan pula sama ada 2WD belakang sahaja, atau 4WD 4Tronic.

    Empat varian bagi pikap ini akan ditawarkan, dengan varian permulaan, Wild berharga 2,350,000 won (RM88,700), dan dilengkapi dengan cermin sisi dengan ciri pemanas dan boleh lipat, rim 17 inci, lampu siang LED, cruise control, sambungan Bluetooth dan enam pembesar suara.

    Varian Adventure yang berharga 2,600,000 won (RM98,000) pula mempunyai rim 18 inci, lampu utama projector, lampu penanda dan penunjuk arah LED, balutan kulit di dalam, pemanas pada stereng, cermin pandang belakang boleh malap sendiri dan sistem masuk tanpa kunci.

    Dengan membayar 2,750,000 won (RM103,800) pula, pengguna boleh mendapatkan varian Prestige, yang mempunyai skrin paparan pelbagai informasi TFT LCD tujuh inci, lampu utama automatik, pengawal suhu dua zon, tempat duduk dengan ciri pemanas, tempat duduk pemandu larasan kuasa dan stereng kuasa yang sensitif kepada kelajuan.

    Varian paling atas dijual pada harga 3,060,000 won (RM115,500), dan ia mendapat lampu utama xenon, rim 20 inci, tempat duduk hadapan larasan kuasa, sistem brek kecemasan autonomous dan beg udara bidai dan tepi. Pilihan lain yang boleh diambil adalah skrin sesentuh 9.2 inci, sistem bunyi 3D dan sistem keselamatan lain seperti blind spot monitoring, lane keeping assist dan rear cross traffic alert.

     
     
  • Renault Koleos Initiale Paris diperkenalkan di UK

    Renault Koleos Initiale Paris diperkenalkan di UK

    Renault Koleos Initiale Paris telah pun diperkenalkan di United Kingdom, selepas ia ditampilkan buat pertama kali di hadapan khalayak di paris Motor Show 2016. Pada dasarnya ia adalah Koleos biasa tetapi telah dilengkapi dengan beberapa elemen khas yang lain.

    Ditawarkan pada harga atas jalan 36,700 British pounds (RM200,630), Initiale Paris didatangkan dengan warna luaran yang dikenali sebagai Amethyst. Elemen luarannya termasuklah roda aloi dua-tona 19-inci, lampu utama LED penuh ‘Pure Vision’, tailgate berkuasa automatik dan logo spesifikasi model ini.

    Jika pada luarannya tidak menampakkan ia berbaloi dengan kos penambahan sebanyak 9,200 British pounds (RM50,294) melebih Koleos biasa, lihat pada bahagian dalamannya. Ia ditampilkan dengan balutan kulit upholstery Nappa dua-tona dengan fungsi haba dan aliran udara untuk tempat duduk hadapan, bumbung matahari panoramik, pencahayaan ambien dan sistem intertainmen R-Link 2 8.7-inci dengan fungsi navigasi TomTom, serta ketersambungan Android Auto dan Apple CarPlay.

    Renault Koleos Initiale Paris diperkenalkan di UK

    Bukan itu sahaja, ia juga dilengkapi dengan elemen keselamatan dan sistem bantuan pemanduan termasuklah Sistem Brek Kecemasan Termaju (AEBS), Amaran Titik Buta, Amaran Penukaran Lorong, Pengesan Isyarat Trafik dengan Pencegahan Terlebih-Laju dan Bantuan Mula Mendaki (HSS).

    Ia turut didatangkan dengan kamera undur, pengesan parkir hadapan dan belakang, ESC dengan kawalan cengkaman, kawalan kelajuan, pengehad kelajuan, enam beg udara dan cermin pandang belakang elektromatik.

    Koleos Initiale Paris hanya ditawarkan dengan enjin diesel dCi 175 2.0 liter, yang dipadankan dengan X-Tronic automatik CVT dan sistem pacuan semua-roda All Mode 4×4-I. Penjana kuasa ini mampu menghamburkan output sehingga 177 PS dan tork 380 Nm, serta didakwa mampu memberikan penjimatan bahan api sekitar 17 km/l (kitaran gabungan NEDC), kelajuan maksimum sehingga 201 km/j dan 0-100 km/j dalam 9.5 saat.

     
     
  • VIDEO: Fiat S61 1908 – kereta lumba yang hanya ada lima di dunia, dikuasakan enjin 10.0 liter, sistem SOHC

    Fiat adalah sebuah syarikat pengeluar kenderaan dari Itali yang sudah wujud sejak tahun 1899, dan memiliki banyak sejarah. Kereta yang ditampilkan ini adalah antara yang penting. Ia adalah model Fiat S61, yang merupakan hasil daripada sebuah projek bermula pada tahun 1908 dan di dalam dunia ini hanya ada lima unit sahaja.

    Lima unit ini dibina oleh Fiat untuk perlumbaan, dan satu-satunya unit yang tinggal ini berjaya dibaik pulih seperti asal. Tambah menarik juga, unit ini pernah memenangi perlumbaan American Grand Prix pada tahun 1912. Projek baik pulih S61 ini bermula pada tahun 2008 dan apa yang boleh dipakai pada kenderaan itu, dikekalkan. Ia juga tidak dicat warna baru bagi menampakkan keasliannya.

    Fiat S61 menggunakan enjin empat silinder, 10.0 liter, namun sudah mempunyai teknologi seperti single overhead cam, empat injap bagi setiap silinder dan empat palam pencucuh bagi setiap silinder. Teknologi kejuruteraan ini boleh dianggap mengagumkan kerana sudah diguna pada kereta tahun 1908 ini.

    Lihat lebih lagi berkenaan kereta ini dalam video di atas, dan bagaimana cara unik ia dihidupkan. Selepas dibaik pulih, kini kenderaan ini disimpan di dalam koleksi Fiat Automobiles.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025