Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Goodyear taja tayar bernilai RM30k kepada St. John

    Goodyear taja tayar bernilai RM30k kepada St. John

    Goodyear Malaysia telah menyerahkan tayar buatannya dengan nilai tajaan RM30,000 kepada St. John Ambulance Malaysia dalam usaha meningkatkan keselamatan terhadap ambulans dan penumpangnya. Tajaan ini melibatkan tayar Goodyear Cargo Marathon 2 dan Assurance Duraplus 2. Penyerahan tajaan ini telah disempurnakan oleh Pengarah Urusan Goodyear Malaysia, Alex Ng kepada Dato’ Yeo Kim Thong selaku Ketua Pegawai Operasi St. John Ambulance Malaysia.

    “Di Goodyear, kami sentiasa mahu menyokong usaha kemanusiaan untuk membantu rakyat Malaysia yang memerlukan. Kami mula menaja St. John Ambulance sejak tahun 2006 dan ia diteruskan sehingga kini. Dengan menaja St. John Ambulance, kami ingin membantu mengekalkan keadaan tayar untuk kenderaan ambulans, bagi memastikan perjalanan yang selamat dari satu destinasi ke destinasi yang lain,” kata Alex Ng.

    Selain St. John Ambulance Malaysia, Goodyear Malaysia turut menaja tayar untuk Pertubuhan Amal Uncle Kentang Malaysia sejak tahun 2021 dengan tajaan keseluruhan hampir 1,000 unit tayar untuk kegunaan lebih 50 buah ambulans kendaliannya.

     
     
  • JPJ eBid: Siri plat nombor PQL bakal dibuka bidaan

    JPJ eBid: Siri plat nombor PQL bakal dibuka bidaan

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan siri plat nombor dari Pulau Pinang, PQL, bersedia untuk dibida menerusi platform bidaan dalam talian, JPJ eBid.

    Bidaannya bakal dibuka mulai 25 Ogos 2022 dan berlangsung selama lima hari yang akan berakhir jam 10 malam pada 29 Ogos ini. Seperti biasa, keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 30 Ogos 2022. Kini keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima sebarang perkhabaran (sama ada baik atau sebaliknya) menerusi e-mel.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Nismo hasilkan semula panel meter Nissan Skyline R34 GT-R dan GT-T, Silvia S15; produksi terhad

    Nismo hasilkan semula panel meter Nissan Skyline R34 GT-R dan GT-T, Silvia S15; produksi terhad

    Sayap perlumbaan rasmi untuk Nissan iaitu Nissan Motorsport International (Nismo) sebelum ini telah pun menghasilkan semula pelbagai alat ganti untuk model lagenda mereka khususnya untuk model Skyline GT-R R32, R33 dan R34 menerusi program Heritage Parts. Dalam kemaskini terbaharu katalog atas talian syarikat berkenaan, Nismo kini menawarkan semula panel meter asli aftermarket untuk model Skyline GT-R R34, Skyline GT-T R34 dan juga Silvia S15.

    Untuk panel meter GT-R R34, ia dihasilkan dalam dua versi; versi latar belakang hitam dengan tulisan berwarna kuning dan versi latar belakang putih dengan tulisan berwarna hitam. Kedua-dua versi ini menampilkan jarum berwarna merah, takometer dengan logo Nismo bersama bacaan sehingga 11,000 rpm serta meter kelajuan dengan logo GT-R memberikan bacaan sehingga 320 km/j.

    Bagi panel meter Nismo untuk Skyline GT-T R34 pula, ia hanya boleh digunakan untuk model yang menggunakan kotak gear manual, dan diberikan takometer dengan bacaan sehingga 10,000 rpm serta meter kelajuan dengan bacaan maksima 300 km/j. Manakala untuk panel meter Sylvia S15, ia juga hanya untuk versi manual dan memberikan bacaan putaran enjin sehingga 10,000 rpm dan kelajuan maksima 280 km/j.

    Panel-panel meter ini dijual pada harga dengan cukai 107,800 yen (RM3,524) untuk GT-R R34 panel belakang hitam, 110,000 yen (RM3,596) untuk GT-R R34 panel belakang putih, 99,000 yen (RM3,237) untuk GT-T R34 dan 85,000 yen (RM2,779) untuk Silvia S15. Kesemua produk ini akan dijual di Jepun menerusi fasiliti Nismo Performance Center (NPC) dan juga pengedar-pengedar sahnya iaitu HPI Co., Ltd, Takama Competition Products Co., Ltd dan Tomei Powered Co., Ltd.

    Menurut Nismo lagi panel-panel meter ini hanya akan diproduksi dalam dua kumpulan iaitu pada Disember 2022 dan April 2023. Ia tidak akan dihasilkan semula selepas stok kedua-dua kumpulan produksi ini habis dijual.

    Program Nismo Heritage Parts sebelum ini telah menawarkan bukan sahaja komponen-komponen mekanikal dan perincian luaran serta dalaman untuk Skyline GT-R R32 hingga R34, malah ia turut menghasilkan semula ‘enjin kosong’ baharu RB26DETT untuk dibeli pemilik-pemilik model legenda berkenaan bagi melengkapkan restorasi masing-masing.

    Nismo juga ada menawarkan program restorasi kilang untuk Skyline GT-R R32, R33 dan R34 menerusi program Nismo Restored Car, yang bukan sahaja membolehkan pemilik-pemilik berkenaan memulihkan kereta-kereta mereka kepada keadaan seperti baru keluar kilang dan diberikan waranti, malah turut menawarkan pelbagai spesfikasi tingkat taraf seperti yang pernah diperkenalkan pada pelbagai model produksi tingkat taraf edisi terhad Nismo dahulu.

     
     
  • FAM terima 3 unit Kia Carnival 2022 tajaan Dinamikjaya Motors untuk kegunaan skuad Harimau Malaya

    FAM terima 3 unit Kia Carnival 2022 tajaan Dinamikjaya Motors untuk kegunaan skuad Harimau Malaya

    Kia menerusi Dinamikjaya Motors Sdn Bhd, anak syarikat kepada Bermaz Auto Berhad (BAuto) telah menjalinkan kerjasama strategik dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). Perkara ini diumumkan sendiri oleh FAM menerusi laman web rasminya.

    Menerusi kerjasama bersama Dinamikjaya Motors ini, FAM akan meraih faedah terutama sekali buat Unit Pasukan Kebangsaan yang diketuai oleh Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon untuk melakukan pemerhatian pemain-pemainnya di seluruh negara selain akan melancarkan kerja-kerja logistik Unit Pentadbiran FAM.

    Menerusi kerjasama strategik itu, Dinamikjaya Motors telah menyerahkan tiga unit Kia Carnival 2022 bagi kegunaan FAM serta skuad Harimau Malaya. Majlis penyerahan kenderaan Kia menerusi syarikat pengedarnya itu telah berlangsung di Pusat 3S Kia Flagship yang baharu di Glenmarie, Shah Alam baru-baru ini.

    Pengerusi dan Pengarah Eksekutif Prima Auto Sdn Bhd/Dinamikjaya Motors Sdn Bhd, Dato Amer Hamzah Ahmed berkata pihaknya komited terhadap pembangunan sukan di Malaysia di mana ia adalah salah satu medium untuk mencipta serta menggalakkan persekitaran yang sihat demi membangunkan negara.

    Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin pula berkata, kerjasama bersama Dinamikjaya Motors ini telah bermula pada kempen Kelayakan Piala Asia 2023 Jun lalu namun ketika itu, ia khusus untuk tempoh kejohanan sahaja.

    “Menerusi kejayaan serta persembahan berkualiti Harimau Malaya pada Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, ia berjaya menarik perhatian Dinamikjaya Motors untuk meneruskan jalinan kerjasama bersama kami sekali gus menjadi rakan rasmi automotif FAM dan Harimau Malaya.

    “Sebagai presiden FAM, sudah tentu jalinan kerjasama ini adalah pencapaian yang amat membanggakan di mana FAM dapat meluaskan lagi hubungan strategik bersama syarikat-syarikat gergasi di luar sana. Harapan saya menerusi jalinan kerjasama bersama Dinamikjaya Motors, ia dapat memberi motivasi kepada skuad Harimau Malaya untuk terus melakukan yang terbaik demi mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia,” kata Datuk Haji Hamidin.

     
     
  • Mercedes-Benz C-Class 2022 CKD di M’sia — murah hingga RM17k berbanding CBU; harga dari RM288k

    Mercedes-Benz C-Class 2022 CKD di M’sia — murah hingga RM17k berbanding CBU; harga dari RM288k

    Mercedes-Benz C-Class W206 generasi kelima pertama kali dilancarkan di Malaysia sebagai unit CBU pada Februari lalu. Tak sampai sebulan selepas itu, ia dilaporkan sudah habis dijual pada Mac, dan tempahan selepas itu beralih kepada unit CKD yang bakal dilancarkan pada separuh kedua tahun ini.

    Ia nampaknya akan berlangsung tidak lama lagi, kerana pengedar Mercedes-Benz di Malaysia kini mula memuat naik senarai kelengkapan bagi model W206 CKD tersebut, yang akan ditawarkan dalam varian yang sama dengan model CBU sebelum ini.

    Variannya bermula dengan C200 Avantgarde yang dijual pada harga RM287,888, menjadikannya RM12,000 lebih murah berbanding harga dengan SST bagi versi CBU. Versi paling lengkap pula, C300 AMG Line juga lebih murah berbanding model CBU, dengan beza harga sebanyak RM17,000 dan dijual pada harga RM327,888.

    Dari segi kelengkapan, varian CKD hampir serupa dengan model CBU, walaupun tetap melibatkan perubahan minor. Bukaan but berkuasa bagi kedua-dua varian CKD kini datang dengan fungsi tanpa kendalian tangan, dan kit keselamatan kini disertai oleh ciri Pre-Safe.

    Bagi enjin, kedua-dua varian dikuasakan oleh unit turbocas empat-silinder yang menampilkan ciri integrated starter generator (ISG) yang boleh membekalkan lonjakan 20 PS (20 hp atau 15 kW) dan 200 Nm.

    C200 menggunakan unit M254 1.5 liter yang membekalkan kuasa sebanyak 204 PS (201 hp) dari 5,800 hingga 6,100 rpm dan 300 Nm tork dari 1,800 hingga 4,000 rpm. C300 pula dilengkapi enjin M254 versi 2.0 liter dengan janaan kuasa 258 PS (255 hp) dan 400 Nm dari 2,000 hingga 3,200 rpm. Transmisi pula menggunakan automatik 9G-Tronic sembilan-kelajuan bagi kedua-duanya.

     
     
  • MaxTag perkenalkan SmartTag Edisi Terhad Merdeka — warna Jalur Gemilang, pilihan bateri 9V cas semula

    MaxTag perkenalkan SmartTag Edisi Terhad Merdeka — warna Jalur Gemilang, pilihan bateri 9V cas semula

    MaxTag kini menawarkan SmartTags Edisi Terhad Merdeka bagi mereka yang masih ingin menggunakan lorong berkenaan di plaza tol seluruh negara.

    MaxTag dalam warna lain bukanlah perkara baru ditawarkan: sebelum ini ia pernah juga ditawarkan dalam warna hijau sempena edisi Hari Raya. Untuk Edisi Merdeka tahun ini, ada tiga warna disediakan, sempena tema warna bendera Malaysia — merah, kuning dan biru.

    Anda boleh membeli sama ada satu unit dengan jaminan dua tahun yang menggunakan bateri GP 9V pada harga RM160 atau memilih untuk menyertakan bateri 9V boleh cas semula dengan pengecas USB pada harga RM174.90, tetapi pakej kedua ini hanya datang dengan jaminan setahun. Untuk naik taraf kepada jaminan dua tahun bagi pakej bateri cas semula ini akan menjadikan harganya RM184.90.

    Berminat untuk mendapatkan MaxTag Edisi Merdeka ini? Boleh ke pautan berikut:

    MaxTag Merdeka SmartTag – Merah
    MaxTag Merdeka SmartTag – Kuning
    MaxTag Merdeka SmartTag – Biru

     
     
  • Mitsubishi Motors buka pusat 3S di Rawang

    Mitsubishi Motors buka pusat 3S di Rawang

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah mengumumkan pembukaan pusat 3S baharu di Rawang, Selangor. Cawangan ini dikendalikan oleh Lofty Ambition, yang turut memiliki tiga lagi pusat pengedaran Mitsubishi di Ipoh, Taiping dan Setiawan. Pusat 3S Rawang ini merupakan cawangan pengedaran yang ke-16 di Lembah Klang.

    Terletak di Jalan Millenium, Pusat Perniagaan Rawang Millenium, fasiliti ini ditempatkan di tiga lot kedai dan berkeluasan 4,000 kaki persegi. Menggunakan identiti jenama terkini Mitsubishi, pusat 3S ini turut menempatkan ruang lounge untuk pelanggan dengan kemudahan Wifi serta pusat servis yang lengkap dengan peralatan terkini.

    “Mitsubishi Motors dan Lofty Ambition telah menjadi rakan kerjasama sejak tahun 2014 dan dalam lapan tahun ini, Lofty Ambition telah mempunyai empat bilik pameran Mitsubishi. Ini menunjukkan bahawa syarikat tersebut memiliki keyakinan terhadap jenama Mitsubishi, dan komitmen tersebut memperkukuhkan lagi kedudukan Mitsubishi di Malaysia.

    “Bilik pameran baharu ini dapat memberikan kemudahan yang lebih baik untuk pelanggan kami di Lembah Klang kerana kita melihat potensi besar untuk pertumbuhan perniagaan, terutamanya untuk trak pikap Triton dan crossover tujuh-tempat duduk Xpander. Sepanjang separuh pertama tahun ini, MMM telah menjual sebanyak 12,261 kereta, di mana ia menunjukkan perkembangan sehingga 63% berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu. Kami turut menjangkakan perkongsian pasaran mampu mencecah 4% dan Mitsubishi Motors dapat kekal di tangga ketiga bagi jenama bukan-nasional di Malaysia,” kata CEO MMM Shinya Ikeda.

    Mitsubishi Rawang dibuka dari Isnin hingga Sabtu dari jam 9 pagi hingga 6 petang dan 11 pagi hingga 4 petang pada Ahad.

     
     
  • SPYSHOT: Proton S50 dijumpai lagi; pengganti Preve dengan enjin 1.5L Turbo bakal muncul tak lama lagi?

    SPYSHOT: Proton S50 dijumpai lagi; pengganti Preve dengan enjin 1.5L Turbo bakal muncul tak lama lagi?

    Nampaknya Proton dilihat semakin rancak menguji sedan baharu mereka yang dijangka akan digelar sebagai S50 – selepas unit prototaip ujian model berkenaan dilihat diuji di jalan raya awam bulan lalu, ia sekali lagi muncul di khalayak umum dan kali ini imejnya sempat dirakam oleh pembaca paultan.org, Muhammad Bin Md. Yazed.

    Unit kali ini dilihat mengenakan nombor pendaftaran perdangan ‘B 4155 A’ yang sama dengan unit yang dijumpai sebelum ini. Malah plat berkenaan sebelum itu sebenarnya telah dilihat digunakan oleh unit-unit prototaip ujian Proton yang lain termasuk Ertiga dan X70.

    Berdasarkan bentuknya, sedan S50 ini berkemungkinan diasaskan dari Geely Emgrand yang sudahpun dilancarkan di China dan Filipina. Ini adalah selari dengan dengan apa yang disebutkan oleh Proton sebelum ini bahawa mereka bakal membangunkan model secara tempatan menggunakan platform BMA, iaitu sama dengan asas yang digunakan oleh X50 serta Emgrand berkenaan.

    Geely Emgrand pasaran China dan Filipina yang hanya dijana oleh enjin 1.5 liter NA

    Walaupun Emgrand dikelaskan sebagai sedan segmen-B, ia menampilkan dimensi 4,638 mm panjang, 1,820 mm lebar, 1,460 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,650 mm. Jadi saiz sedan berkenaan sebenarnya adalah lebih besar dari sedan segmen-C terakhir Proton iaitu Preve dengan kelebihan 95 mm lebih panjang dan 34 mm lebih lebar, serta menampilkan jarak roda yang sama.

    Oleh itu ada kemungkinan Proton S50 ini bukanlah model gantian untuk Persona yang kini dijual sebagai sedan segmen-B Proton, tetapi ia adalah untuk mengisi tempat kosong yang telah ditinggalkan oleh Preve setelah produksi model berkenaan dihentikan.

    Di China, Geely Emgrand ini menerima enjin 1.5 liter empat-silinder NA berkuasa 114 PS dan tork maksima 147 Nm, digandingkan dengan pilihan kotak gear CVT automatik atau manual lima kelajuan. Manakala di Filipina, Emgrand menerima enjin dan kotak gear yang sama, tetapi diberikan talaan kuasa lebih rendah iaitu hanya 102 PS dan tork maksima 142 Nm.

    SPYSHOT: Proton S50 dijumpai lagi; pengganti Preve dengan enjin 1.5L Turbo bakal muncul tak lama lagi?

    Tetapi untuk Proton S50, ia dijangka akan menerima enjin yang jauh lebih berkuasa kerana Proton sebelum ini mengesahkan bahawa model yang dibangunkan secara tempatan menggunakan platform BMA tersebut akan digandingkan dengan enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo dengan sistem suntikan bahan api pelbagai titik.

    Enjin berkenaan kini sudahpun boleh ditemui pada X50 varian Premium dan ke bawah, menghasilkan kuasa 150 PS dan tork maksima 226 Nm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik DCT tujuh-kelajuan. Sedan yang sedang dibangunkan ini juga dikhabarkan menggunakan kotak gear yang sama.

    Malah ketika perasmian fasiliti baharu di Tanjung Malim yang kini telah pun mula memasang enjin 1.5 liter turbo berkenaan secara tempatan, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah mengesahkan bahawa enjin berkenaan menjadi enjin utama untuk Proton bagi model-modelnya yang akan datang – dan perancangan paling hampir, Proton bakal melancarkan tiga model baharu dalam tempoh 2023 hingga 2024, serta sekurang-kurangnya dua dari tiga model berkenaan akan menggunakan enjin tiga-silinder baharu ini.

    GALERI: Geely Emgrand pasaran Filipina

     
     
  • Acura Precision EV Concept didedah – EV premium pertama Honda akan diperkenal pada tahun 2024

    Acura Precision EV Concept didedah – EV premium pertama Honda akan diperkenal pada tahun 2024

    Acura telah mendedahkan model konsep Precision EV, yang digunakan untuk menunjukkan rekaan serta hala tuju baru syarikat apabila memasuki dunia elektrifikasi bermula tahun 2024. Pada tahun itu jugalah “SUV elektrik penuh dengan gaya dinamik” hasil kesinambungan daripada model konsep ini akan didedah.

    Gaya rekaan yang digunakan mendapat inspirasi daripada kesenian, bentuk serta fungsi bot mewah Itali dan turut memaparkan fokus kepada prestasi dengan bentuk yang lebar serta kedudukan yang gagah. Warna matte pada model konsep ini dipanggil sebagai Double Apex Blue.

    Antara ciri rekaan yang boleh dilihat pada SUV elektrik konsep ini adalah gril Acura Diamond Pentagon berlampu, DRL Chicane serta lampu Particle Glitch baru pada bahagian hadapan dan belakang. Tema rekaan Particle Glitch turut digunakan pada rim 23 incinya.

    Di dalam, kabin SUV ini mendapat inspirasi daripada kereta lumba Formula 1, dengan kedudukan pemandu yang rendah, serta roda stereng yang cuma boleh dipegang di kiri dan kanan. Dua mod pemanduan disediakan iaitu Instinctive Drive dan Spiritual Lounge.

    Mod pertama meningkatkan hubungan antara kereta dan pemandu dengan paparan digital gaya lumba, serta lampu suasana warna merah. Bagi mod Spiritual Lounge pula, stereng akan disimpan dan kabin ditukar menjadi ruang rehat dengan bau yang menyenangkan serta paparan animasi bawah laut.

    Bahagian kabin juga dipenuhi dengan bahan-bahan mesra alam, termasuk plastik dan aluminium kitar semula, serta kulit biomass 100%. Model ini juga menunjukkan sistem paparan generasi baru Acura melalui panel lutsinar dengan fungsi sesentuh.

    Perincian penggerak model ini masih belum didedahkan, tetapi laporan menjangkakan ia akan menggunakan platform Ultium daripada General Motors hasil kerjasama antara syarikat itu dengan Honda. Melalui khabar yang tersebar, EV pertama Acura akan dipanggil sebagai ZDX, mempunyai saiz hampir seperti RDX dan mempunyai banyak persamaan dengan Honda Prologue.

     
     
  • Daihatsu Rocky 2022 pasaran Indonesia terima kemaskini ringkas; bermula RM62k hingga RM82k

    Daihatsu Rocky 2022 pasaran Indonesia terima kemaskini ringkas; bermula RM62k hingga RM82k

    Baru sahaja dilancarkan pada April tahun lalu, kembar Perodua Ativa di Indonesia iaitu Daihatsu Rocky kini diberikan penyegaran kecil bagi model 2022. Model kemaskini berkenaan membuat kemunculannya di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2022 yang berlangsung minggu lalu.

    Secara asasnya, rupa Rocky 2022 pasaran Indonesia ini masih lagi sama seperti sebelum ini – hampir sama dengan Rocky untuk pasaran domestik Jepun. Tetapi dengan sedikit perubahan dibuat pada kemasan tertentu, ia memberikan rupa baharu untuk SUV segmen-B tersebut. Jika sebelum ini gril hadapan Rocky ini diberikan kemasan berwarna perak pada kedua-dua sisi dan jalur merah di atas, model 2023 ini menampilkan gril dengan kemasan hitam keseluruhan (kecuali logo Daihatsu).

    Kemasan hitam turut diberikan pada cermin sisi, manakala kemasan skid plate bawah bampar hadapan dan juga kemasan pelindung badan pada skirt sisi diberikan warna gunmetal. Walau bagaimanapun kemasan-kemasan gelap yang lebih sporty ini hanya ditawarkan untuk pelanggan yang memilih pakej ADS.

    Daihatsu Rocky 2022 pasaran Indonesia terima kemaskini ringkas; bermula RM62k hingga RM82k

    Pada pasaran Indonesia, Rocky ditawarkan dalam dua jenis enjin; unit 1.0 liter tiga silinder turbo berkuasa 98 PS dan tork maksima 140 Nm bermula 2,400 hingga 4,000 rpm sama seperti Ativa di Malaysia, dan juga unit WA-VE 1.2 liter NA berkuasa 88 PS pada 6,000 rpm dan tork 113 Nm pada 4,500 rpm.

    Bagi model dengan enjin NA tetapi dengan gred kemasan lebih tinggi iaitu 1.2X, ia menerima rim 16-inci berwarna hitam serta ditawarkan dengan dua warna badan istimewa yang sebelum ini hanya diberikan pada model turbo iaitu Shining Pearl White dan Red Compagno.

    Untuk perincian lain, penawaran untuk Rocky pasaran Indonesia ini nampaknya masih tidak berubah. Sistem bantuan pemanduan Advanced Safety Assist (ASA) hanya ditawarkan untuk varian paling mahal iaitu 1.0 R TC CVT. Ini agak berbeza dengan Ativa di Malaysia kerana Perodua memberikan sistem berkenaan kepada semua varian termasuk varian paling asas X.

    Juga, Rocky varian paling tinggi ini juga tidak dilengkapi dengan sistem cruise control asas, berbanding Ativa varian tertinggi iaitu AV diberikan sistem cruise control adaptif yang didatangkan sekali fungsi Kawalan Kekal Lorong bagi melengkapkan sistem pemanduan autonomi Tahap 2. Sistem lain termasuk pemantau titik buta dan amaran lintasan trafik belakang seperti pada Ativa AV juga tidak diberikan pada Rocky pasaran Indonesia ini.

    Dalam kabin, Daihatsu Rocky di Indonesia ini diberikan panel kawalan pendingin hawa yang berbeza dari Rocky JDM dan Ativa. Panel tersebut tidak menampilkan fungsi memori seperti Ativa tetapi menerima fungsi ‘Max Cool’ dengan satu sentuhan butang.

    Manakala untuk skrin infotainmen, Rocky dari ADM ini sudahpun sedia datang dengan sistem Android Auto dan Apple CarPlay, sementara Perodua hanya baru dapat menyediakan sistem yang sama pada Alza 2022, sementara Ativa masih perlu menggunakan Smart Link screen mirroring untuk menggunakan sistem dari telefon pintar pada skrin berkenaan.

    Di Indonesia, Daihatsu Rocky dijual pada harga bermula Rp 205.2 juta (RM61,825) untuk varian paling asas 1.2L NA dengan kotak gear manual lima kelajuan hingga Rp 273.6 juta (RM82,433) untuk model 1.0 R TC CVT. Apa yang menarik, Rocky di Indonesia ini turut ditawarkan dalam versi turbo dengan kotak gear manual.

     
     
  • Kerajaan peruntukkan RM1.08b untuk selenggara jalan persekutuan di seluruh negara tahun ini – Menteri KKR

    Kerajaan peruntukkan RM1.08b untuk selenggara jalan persekutuan di seluruh negara tahun ini – Menteri KKR

    Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM1.08 bilion bagi kerja-kerja penyenggaraan Jalan Persekutuan di seluruh Malaysia, pada tahun ini.

    Perkara ini dinyatakan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, yang turut berkata daripada jumlah tersebut, RM150 juta membabitkan kerja penyenggaraan di zon selatan iaitu Pahang, Johor dan Negeri Sembilan.

    “Bagi zon selatan, kerja penyenggaraan untuk negeri Pahang adalah sebanyak RM66.08 juta, Johor (RM60.9 juta) dan Negeri Sembilan (RM23.63 juta). Kerja-kerja penyenggaraan ini penting untuk memastikan jalan-jalan ini berada dalam keadaan baik,” katanya seperti dilaporkan oleh Bernama.

    Dalam masa yang sama, beliau turut berkata, projek cadangan menaik taraf jalan di Jalan Persekutuan FT050 dari Ayer Hitam ke Kluang di Seksyen 33.8 hingga ke persimpangan Stadium Kluang di Seksyen 49.1, akan dikemukakan ke peringkat Persekutuan tahun hadapan.

    Kerajaan peruntukkan RM1.08b untuk selenggara jalan persekutuan di seluruh negara tahun ini – Menteri KKR

    Katanya, projek Fasa 3B dengan anggaran nilai RM385.13 juta itu adalah di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang dilaksanakan bagi mengurangkan kemalangan maut sepanjang jajaran tersebut. Di mana ia juga merupakan kesinambungan daripada projek Fasa 3A bernilai RM219 juta yang sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada Oktober 2024.

    “Lokasi ini telah direkodkan sebagai lokasi kemalangan tertinggi di Malaysia akibat ketiadaan bahu jalan, median dan pusingan U dan sebanyak 52 kemalangan dicatatkan dari tahun 2020 sehingga Jun 2022.

    “Jalan ini merupakan laluan utama tanpa tol yang menghubungkan Daerah Batu Pahat, Kluang dan Mersing melibatkan kerja-kerja membina bahu jalan, median, pusingan U dan juga kerja-kerja berkaitan,” katanya.

    Jelas beliau lagi, tambahan sebanyak RM600,000 juga diluluskan untuk menambah baik lampu jalan di Jalan Persekutuan FT050 bagi memastikan pelbagai aspek terutama aspek keselamatan kepada pengguna.

     
     
  • GALERI: Kia Carnival CKD 2022 di Malaysia – foto varian Mid dan High 8-tempat duduk; dari RM231k

    GALERI: Kia Carnival CKD 2022 di Malaysia – foto varian Mid dan High 8-tempat duduk; dari RM231k

    Versi pemasangan tempatan (CKD) bagi Kia Carnival generasi ke-empat telah pun dilancarkan pada akhir bulan lalu, dan kini kami membawakan anda galeri foto penuh untuk MPV besar dengan varian lapan-tempat duduk ini, iaitu 2.2D Mid 8-tempat duduk dan 2.2D High 8-tempat duduk.

    Carnival CKD yang dipasang di kilang pemasangan di Kulim ini juga ditawarkan dengan varian tertinggi 2.2D H 7-tempat duduk serta versi CBU untuk 2.2D 11-tempat duduk yang dilancarkan pada Januari lalu dan masih dijual di pasaran kita.

    Enjin yang digunakan tetap sama untuk semua varian dan konfigurasi tempat duduk, iaitu unit 2.2 liter Smartstream 2.2D empat-silinder turbodiesel, yang menjana sebanyak 202 PS (199 hp) pada 3,800 rpm dan 440 Nm tork dari 1,750-2,750 rpm. Pacuan ke roda depan melalui transmisi automatik lapan-kelajuan, memberikan kadar penggunaan minyak 6.5 l/100 km dalam kitaran NEDC.

    Varian lapan-tempat duduk ini didatangkan dengan tiga barisan bentangan 2-3-3, dan pemiliknya mempunyai pilihan untuk konfigurasi 40:20:40 bagi barisan kedua untuk memberikan lebih banyak ruang atau pun mengubahsuainya termasuk saling menghadap secara face to face.

    Sementara itu, barisan paling akhir pula boleh dibaringkan dengan nisbah 60:40 dan terus rata ke lantai. Untuk yang mempunyai anak kecil, MPV ini diberikan lima cagak ISOFIX untuk diletakkan kerusi keselamatan kanak-kanak, iaitu tiga di barisan kedua dan dua lagi di barisan ketiga. Berbanding versi tujuh-tempat duduk (bentangan 2-2-3) yang memiliki empat cagak, dan tambahan tiga lagi untuk versi 11-tempat duduk (bentangan 2-3-3-3).

    Satu ciri menarik bagi versi lapan-tempat duduk ialah barisan kedua boleh ditanggalkan dan boleh dipasang semula menghadap ke belakang jika perlu. Untuk keluarga, ini mewujudkan “ruang tamu” seperti memiliki kawasan kabin belakang di mana semua penumpang di enam tempat duduk boleh bercakap antara satu sama lain dengan mudah kerana mereka semua secara bersemuka. Atau anda boleh mengalihkan sementara tempat duduk barisan kedua dan lipat ke bawah barisan ketiga untuk mendapatkan ruang seperti van untuk mengangkut barangan yang besar.

    Bagi kelengkapannya, semua varian bagi Carnival CKD, termasuk versi lapan-tempat duduk ini, didatangkan dengan roda aloi 18-inci (dengan tayar profil 235/60), lampu utama LED automatik, lampu nyalaan siang LED, lampu belakang LED, lampu kabus hadapan LED, lampu kabus belakang jenis mentol, bilah pengelap cermin penderia-hujan, kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, dua pintu sisi gelangsar bukaan-kuasa, tailgate bukaan-kuasa, lapan penderia parkir (empat di hadapan dan empat di belakang) serta cermin sisi dengan indikator membelok dan fungsi pemanas.

    Ciri lain yang turut diberikan termasuklah pedal penukar gear, kawalan suhu hadapan dwi-zon, kawalan suhu belakang zon-tunggal (dengan corong di bahagian siling), tempat duduk hadapan dengan lapan-hala larasan kuasa, upholstery kulit Saddle Brown, sistem infotainmen skrin sesentuh 12.3-inci dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, sistem bunyi Bose 12-pembesar suara, tujuh port USB dan pengecas tanpa wayar Qi.

    Khas untuk varian Mid 8-tempat duduk ialah paparan pelbagai-inco TFT-LCD 4.2-inci, pencahayaan dalaman jenis mentol dan kamera undur. Manakala varian High 8-tempat duduk ditambahkan dengan ciri termasuk dua bumbung suria larasan kuasa, kluster instrumen digital 12.3-inci, pencahayaan dalaman LED serta tempat duduk hadapan dengan fungsi pengudaraan dan pemanasan serta tambahan ketetapan memori untuk tempat duduk pemandu.

    Bagi aspek keselamatan, ia menerima tujuh beg udara (hadapan, tirai sisi dan bahagian lutut pemandu) secara standard untuk Carnival CKD, bersama sistem pasif seperto ABS, EBD, bantuan brek, ESC, kawalan cengkaman, Kawalan Brek Pelbagai-Pelanggaran, bantuan mula mendaki,dan Kepekaan Penumpang Belakang. Selain itu, ia juga diberikan brek parkir elektronik dengan fungsi menahan brek auto secara standard.

    Risalah spesifikasi Kia Carnival 2022 (CBU dan CKD); Klik untuk besarkan

    Manakala varian High 8-tempat duduk ditambah dengan sistem bantuan pemandu dan keselamatan aktif yang merangkumi Bantuan Lampu Tinggi, Amaran Pelanggaran Titik Buta, Bantuan Mengelak-Pelanggaran Titik Buta, Bantuan Mengelak-Pelanggaran Trafik Lintasan Belakang, Bantuan Kekal Lorong, Amaran Perhatian Pemandu, Bantuan Mengelak-Pelanggaran Hadapan (AEB) dengan sokongan belok di persimpangan, Bantuan Ikut Lorong dan Kawalan Kelajuan Pintar (ACC).

    Varian Mid tempat duduk diberikan kemasan Meteor Gray dan untuk High 8-tempat duduk pula dengan warna Snowflake White Pearl. Ia adalah dua warna daripada lima pilihan secara keseluruhan yang ditawarkan untuk Carnival CKD, selain rona Astra Blue, Sonic Silver dan Jet Black.

    Untuk harganya, Mid 8-tempat duduk ditawarkan pada RM231,228 dan High 8-tempat duduk pula berharga RM247,228. Varian High 7-tempat duduk pula paling murah dalam barisan Carnival CKD iaitu RM261, 228.80, sementara versi CBU 11-tempat duduk pula yang diklasifikasikan sebagai kenderaan komersil pula berharga RM196,340.80 kerana diberikan cukai yang lebih rendah.

    GALERI: Kia Carnival (CKD) 2.2D High 2022 8-tempat duduk

    GALERI: Kia Carnival (CKD) 2.2D Mid 2022 8-tempat duduk

     
     
  • SYM MMBCU dilancar di Taiwan – skuter 158 cc dengan sistem ABS two-channel, kawalan cengkaman

    SYM MMBCU dilancar di Taiwan – skuter 158 cc dengan sistem ABS two-channel, kawalan cengkaman

    SYM memperkenalkan sebuah skuter baru untuk pasaran Taiwan, dipanggil sebagai MMBCU. Tiga huruf pertama dalam akronim tersebut datang daripada ular Mamba, yang dijadikan inspirasi untuk rekaan skuter ini, C adalah untuk crossover dan U adalah unik.

    Menggerakkan skuter ini adalah enjin satu silinder empat injap, 158 cc dengan sistem penyejukan cecair dan dipadankan bersama transmisi jenis CVT. Jumlah kuasa masih belum didedah, tetapi ia boleh dijangka menjadi sekitar 15 PS dan 14.6 Nm seperti model SYM lain yang menggunakan enjin sama.

    Meskipun terdapat perkataan crossover di dalam namanya, seakan mahu memberi gambaran ia ingin memberi cabaran kepada Honda ADV160, MMBCU masih kelihatan seperti skuter biasa, dengan tayar bersaiz 120/70 di hadapan dan 130/70 di belakang pada rim 13 incinya juga masih menggunakan tayar jenis jalan biasa.

    Selain ciri moden seperti semua lampu jenis LED serta panel meter digital LCD, SYM juga telah memasang MMBCU dengan sistem brek anti kunci (ABS) two-channel Bosch serta sistem kawalan cengkaman yang dipanggil sebagai Tracking Anti-Skid System.

    Perincian lain MMBCU adalah termasuk berat keseluruhan 136 kg, ruang simpanan barang bawah tempat duduk 28 liter, brek cakera hadapan dan belakang, fork teleskopik, monoshock di belakang, sistem start/stop enjin serta ruang kaki yang luas.

     
     
  • Volkswagen ID.4 dilihat di M’sia — EV dengan platform MEB, 520 km jarak, 204 PS; bakal dilancarkan di sini?

    Volkswagen ID.4 dilihat di M’sia — EV dengan platform MEB, 520 km jarak, 204 PS; bakal dilancarkan di sini?

    Volkswagen ID.4 mungkin akan menjadi model elekrtrik (EV) yang akan dijual di Malaysia; ini kerana model berkenaan — tanpa sebarang samaran — telah dilihat di negara ini seperti yang dikongsikan oleh seorang pembacan paultan.org, WK Foong.

    Pertama kali didedahkan pada September 2020, ID.4 merupakan model susulan kepada ID.3 dan menggunakan platform MEB (untuk model elektrik) pengeluarnya. EV berkenaan juga telahpun dinobatkan sebagai Kereta Tahunan DUnia 2021, mengalahkan Honda e dan Toyota Yaris.

    Unit yang dilihat ini pula seperti dari varian Pro berdasarkan lecana di fender. Ia menggunakan bateri lithium-ion yang diletakkan di bawah lantai dengan kapasiti tenaga 77 kWh (82 kWh janaan kasar). Ini boleh memberikan jarak 520 km mengikut piawai WLTP, dan ia boleh memanfaatkan pengecasan AC hingga 11 kW (sambungan Type 2 di Eropah) serta pengecasan pantas DC hingga 125 kW (sambungan CCS).

    Baterinya membekalkan kuasa ke motor elektrik di belakang yang menghasilkan 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan 310 Nm tork, memberikan pecutan 0-100 km/j dalam masa 8.5 saat dan laju maksimum 160 km/j. Varian lebih rendah dengan kapasiti bateri lebih rendah (52 kWh) juga ditawarkan, begitu juga dengan pilihan pacuan semua roda.

    Volkswagen ID.4 dilihat di M’sia — EV dengan platform MEB, 520 km jarak, 204 PS; bakal dilancarkan di sini?

    Dari segi saiz, ID.4 berukuran 4,584 mm panjang, 1,852 mm lebar dan 1,636 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,765 mm. Ini menjadikannya lebih kecil berbanding Hyundai Ioniq 5 yang hadir dengan 4,635 mm panjang, 1,890 mm lebar, 1,605 mm tinggi dengan jarak antara roda 3,000 mm.

    Walaupun telah mula dilihat di sini, ID.4 tidak mungkin akan dilancarkan dalam masa terdekat. Ini kerana, Mac lalu, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) memaklumkan syarikat itu belum lagi ada perancangan segera untuk memperkenalkan EV di pasaran tempatan.

    Untuk itu, ID.4 yang dilihat ini mungkin dibawa masuk untuk tujuan penilaian dan ujian terlebih dahulu. Di Jerman, model berkenaan ditawarkan dalam varian Pro dan GTX, dengan harga bermula 46,335 Euro (RM208,428). Jika model ini tiba di Malaysia dalam tempoh pelaksanaan pengecualian cukai import dan duti eksais untuk EV sebelum 31 Disember 2023, ia mungkin akan dijual dalam julat harga yang sama.

     
     
  • Jualan tiket MotoGP lembab kerana cukai hiburan 25%: KBS bakal runding dengan MB Selangor

    Jualan tiket MotoGP lembab kerana cukai hiburan 25%: KBS bakal runding dengan MB Selangor

    Kejuaraan Dunia Grand Prix Motosikal (MotoGP) bakal kembali ke Malaysia bermula 21 hingga 23 Oktober ini selepas dua tahun ia tidak diadakan kerana pandemik Covid-19. Walaupun acara berkenaan dijangka sangat dinantikan oleh peminat sukan dua roda dalam negara, jualan tiket masuk ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) untuk perlumbaan berkenaan dilihat lembab kerana cukai hiburan berjumlah 25% yang dikenakan oleh kerajaan negeri Selangor.

    Sehubungan itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyatakan bahawa beliau bakal mengadakan rundingan bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, minggu depan bagi membincangkan isu kenaikan harga tiket berkenaan, lapor Bernama. Ahmad Faizal berkata, kenaikan harga tiket itu dilihat menjadi antara faktor yang menyebabkan penjualan tiket MotoGP, bermula April lalu, masih belum mencecah 50 peratus daripada jumlah keseluruhan.

    “Saya amat yakin kerajaan negeri Selangor juga akan memberi perhatian serius kepada perkara ini kerana ia juga melibatkan penjanaan ekonomi daripada aspek pelancongan masuk ke dalam negeri tersebut.

    “Jadi, tentunya mereka akan memberi pertimbangan sewajarnya bagi memastikan lebih ramai pengunjung akan datang menyaksikan kejohanan MotoGP pada tahun ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Rukun Negara@Belia (RNB) di Ipoh, Sabtu lalu.

    Perkara ini telah pun disuarakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif pada 13 Ogos lalu. Beliau menjelaskan bahawa kelembapan penjualan tiket MotoGP pada tahun ini adalah disebabkan caj 25 peratus cukai hiburan yang dikenakan, menyebabkan tiket yang hanya berharga RM40 sebelum ini meningkat kepada RM90.

    Walau bagaimanapun, Ahmad Faizal optimis sasaran 170,000 penonton ditetapkan SIC akan dapat direalisasikan berdasarkan komitmen dan pengalaman luas selaku penganjur utama kejohanan tersebut.

    “Kalau sebelum ini kita dapat tarik sambutan sehingga 120,000 penonton, saya percaya SIC akan berusaha dengan lebih kuat untuk kejohanan kali ini. Kalau tak dapat melepasi sasaran pun tidak mengapa, asalkan kita dapat kekalkan rekod sedia ada juga sudah dikira baik,” katanya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025