Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • JPJ Melaka kesan 7,564 kesalahan pandu lebih had laju menerusi kamera AWAS sepanjang Op HRA 2022

    JPJ Melaka kesan 7,564 kesalahan pandu lebih had laju menerusi kamera AWAS sepanjang Op HRA 2022

    Sepanjang 10 hari pelaksanaan Op Hari Raya Aidilfitri (HRA) bermula 29 April 2022,
    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka telah mengesan 7,564 kesalahan memandu melebihi had laju melalui kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) di Lebuh Raya Utara-Selatan dalam kawasan negeri itu.

    Menurut Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Shariff, daripada jumlah itu 2,834 kesalahan memandu melebihi had laju dikesan bagi daerah Alor Gajah di Kilometer (KM) 214.4 Lebuh Raya Utara Selatan menghala ke selatan dan di KM214.4 Lebuh Raya Utara-Selatan menghala utara (2,679 kesalahan), laporan Bernama.

    Seperti yang pernah diumumkan sebelum ini, kesalahan memandu melebihi had laju adalah antara lima kesalahan utama dalam tempoh Ops HRA 2022 yang telah ditetapkan bahawa pesalah tidak akan dikompaun lagi, sebaliknya terus dikenakan tindakan mahkamah.

    JPJ Melaka kesan 7,564 kesalahan pandu lebih had laju menerusi kamera AWAS sepanjang Op HRA 2022

    Mana-mana pemandu yang dikesan melakukan kesalahan ini boleh dikenakan denda hingga RM2,000 di bawah Seksyen 79 Akta Pengangkutan Jalan 1987 sekiranya sabit kesalahan, dan pemandu terbabit akan mendapat surat saman dalam tempoh sebulan manakala denda perlu diselesaikan di mahkamah yang ditetapkan.

    “Dalam tempoh 10 hari Op HRA dilaksanakan itu, jumlah saman tertinggi yang dikeluarkan menerusi kamera AWAS berkenaan adalah pada 2 Mei atau hari raya pertama iaitu 1,213 kesalahan dikesan,” katanya.

    Sepanjang Op HRA 2022, JPJ telah mengeluarkan 16,377 saman kesalahan jalan raya di seluruh negara. Di mana kesemua saman berkenaan dikeluarkan hasil pemeriksaan terhadap 89,490 kenderaan sejak aktiviti penguatkuasaan penuh bermula 29 April lalu.

    Menurut Ketua Pengarah JPJ Datuk Zailani Hashim, dalam tempoh itu juga, pihaknya turut mengesan sebanyak 58,182 kesalahan memandu melebihi had laju melalui kamera AWAS. Di mana kesalahan tersebut dikesan menerusi 45 kamera Awas membabitkan 29 kamera bagi tujuan memantau kesalahan melebihi had laju dan 16 kamera bagi kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat.

     
     
  • Mercedes-AMG A35 Sedan CKD akan dilancarkan tak lama lagi, RM306k untuk 306 PS? Tempahan dibuka

    Mercedes-AMG A35 Sedan CKD akan dilancarkan tak lama lagi, RM306k untuk 306 PS? Tempahan dibuka

    Sedan prestasi, Mercedes-AMG A 35 4Matic sedan mungkin akan menjadi model seterusnya yang di pasang secara tempatan (CKD) di Malaysia. Ini berikutan dakwaan dalam hantaran Facebook satu pengedar Mercedes-Benz tempatan (hantaran tersebut baru sahaja dibuang sebentar tadi) bahawa A 35 Sedan berkenaan kini adalah model CKD dan bakal dilancarkan tak lama lagi, serta tempahannya sudah boleh dibuat.

    A 35 Sedan ini telah pun rasmi diperkenalkan di Malaysia pada September 2019 sebagai model yang diimport sepenuhnya (CBU), dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM348,888 ketika itu. Apabila kerajaan memulakan insentif pengecualian cukai jualan (SST), model ini dijual pada harga RM336,278. Namun hasil tinjauan kami buat masa sekarang, model ini tidak lagi disenaraikan dalam laman web rasmi Mercedes-Benz Malaysia (MBM).

    Model-model A-Class Sedan biasa sudah pun dihasilkan secara CKD di Malaysia, dilancarkan pada Oktober 2021. Ia ditawarkan dalam dua varian, dijual pada harga bermula RM220,459 untuk model asas A 200 Progressive Line dan RM243,858 bagi model A 250 AMG Line, dengan kedua-duanya menerima pengecualian 100% SST kerana ianya model pemasangan tempatan. Namun harganya naik masing-masing RM9,555.79 dan RM3,999.88 pada Mac lalu kerana diberikan beberapa peningkatan ciri.

    Mercedes-AMG A35 Sedan CKD akan dilancarkan tak lama lagi, RM306k untuk 306 PS? Tempahan dibuka

    Hantaran Facebook yang dibuat oleh pengedar berkenaan masih belum menyatakan sebarang angka jualan sama ada sebenar atau anggaran untuk Mercedes-AMG A 35 Sedan CKD berkenaan. Namun kami sendiri boleh membuat anggaran berdasarkan pelbagai faktor.

    Ketika A-Class sedan hanya dijual dalam versi CBU sebelum ini, A 35 AMG dijual pada harga RM81,000 lebih mahal berbanding varian A 250 AMG Line. Apabila insentif SST melibatkan pengurangan sebanyak 50% cukai berkenaan untuk model CKD pada Jun 2020 (sebelum A-Class Sedan ditawarkan dalam versi CKD), perbezaan harga berkenaan berkurangan sehingga RM77,203.

    Oleh itu, Mercedes-AMG A 35 Sedan 4Matic CKD ini mungkin akan dijual pada harga hampir serendah RM300,000 – mungkin RM306k untuk sedan prestasi berkuasa 306 PS ini? Sekiranya harga tersebut menjadi kenyataan, A 35 Sedan berkenaan nampaknya bakal dijual pada harga yang jauh lebih murah dengan hot-hatch Jerman 2.0L 320 PS/400 Nm AWD Volkswagen Golf R Mk8, kini dijual pada harga RM358k.

    Mercedes-AMG A35 Sedan CKD akan dilancarkan tak lama lagi, RM306k untuk 306 PS? Tempahan dibuka

    Seperti model-model sebelum ini, kami juga jangkakan tiada sebarang perubahan besar dari segi spesifikasi antara versi CBU dan CKD bagi Mercedes-AMG A 35 Sedan 4Matic ini. Ia dijana oleh enjin M260 2.0 liter empat silinder turbo berkuasa 306 PS (302 hp) dan tork maksima 400 Nm.

    Enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan AMG Speedshift 7G, serta sistem pacuan semua roda AMG Performance 4Matic. Ini membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4.8 saat.

    Perincian-perincian lain yang diberikan pada A 35 Sedan versi CBU termasuk suspensi AMG Ride Control dengan penyerap hentak adaptif, pakej penggayaan penuh AMG Line, rim aloi lima-jejari 19-inci, dua skrin bersaiz 10.25-inci yang dihubungkan kepada sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX), roda stereng AMG Performance, lampu hadapan Multibeam LEM bersama Adaptive Highbeam Assist Plus, pendingin hawa dua-zon, lampu suasana 64-warna, Pre-Safe dan Acitve Brake Assist.

    Walau bagaimanapun, sebarang maklumat menerusi hantaran FB ini kami kira masih lagi belum muktamad, sehingga kami mendapat kenyataan rasmi dari MBM sendiri. Berminat sekiranya sedan prestasi ini dijual pada harga lebih rendah? Pastikan terus anda bersama kami untuk maklumat-maklumat lebih terkini.

     
     
  • Amalkan corak pemanduan selamat untuk menghindari kemalangan jalan raya – MIROS

    Amalkan corak pemanduan selamat untuk menghindari kemalangan jalan raya – MIROS

    Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) telah mengeluarkan pendapat bahawa semua pemandu boleh menghindari berlakunya kemalangan jalan raya sekiranya mengamalkan corak pemanduan selamat.

    Menurut ketua pengarahnya Datuk Dr Khairil Anwar Abu Kassim, ini bagi membolehkan pemandu kenderaan belakang mempunyai masa dan jarak tindak balas yang mencukupi tatkala berlaku kecemasan yang membabitkan kenderaan hadapan berhenti atau memperlahankan kenderaan, laporan Harian Metro.

    Walau bagaimana pun, perkara ini bukanlah satu perkara yang baharu di mana elemen pemanduan dengan mengekalkan jarak selamat memang diajar dalam silibus institut memandu.

    Amalkan corak pemanduan selamat untuk menghindari kemalangan jalan raya – MIROS

    “Isu yang kedua pula adalah pematuhan had laju. Pengguna jalan raya secara umumnya perlu sentiasa mematuhi had laju yang ditetapkan termasuk apabila melalui kawasan pembinaan di mana had laju sementara akan dipaparkan. Had laju ini adalah lebih rendah berbanding had laju umum dengan mengambil kira risiko yang wujud di kawasan pembinaan berkenaan,” katanya.

    Tambahnya lagi, pemanduan pada waktu malam dengan kadar pencahayaan yang minimum juga akan mendatangkan kesan kepada pemandu dalam mengandaikan kelajuan serta jarak kenderaan di hadapan.

    “Oleh sebab itu, aspek jarak selamat dan pematuhan had laju perlu lebih dititikberatkan pada waktu sebegini. Kegagalan pemandu berbuat demikian, ditambah juga dengan faktor manusiawi yang lain seperti kelesuan serta pemanduan tidak fokus akan meningkatkan risiko kemalangan,” katanya.

    Jelasnya, impak besar dihasilkan oleh perlanggaran dengan kenderaan berat akan menyebabkan kenderaan yang lebih kecil mengalami kegagalan struktur lebih serius termasuk komponen kritikal seperti tangki dan saluran minyak yang seterusnya akan membawa kepada risiko kebakaran.

    “Bagi mengelakkan kejadian seumpama berulang, pemandu kenderaan keseluruhannya perlu sentiasa mengekalkan jarak yang selamat dengan kenderaan hadapan ketika memandu serta sentiasa peka dan patuh kepada had laju serta persekitaran.

    “Selain itu, syarikat pengendali kenderaan perdagangan juga perlu cakna dengan aspek keselamatan dengan mengamalkan penyelenggaraan kenderaan secara berkala serta pemilihan dan pemantauan ke atas pemandu supaya tidak mendatangkan risiko serta bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

     
     
  • GALERI: Subaru XV facelift 2022 di M’sia – GT Edition dengan EyeSight ADAS dan kit badan, RM146,788

    GALERI: Subaru XV facelift 2022 di M’sia – GT Edition dengan EyeSight ADAS dan kit badan, RM146,788

    Subaru XV facelift 2022 telah pun dilancarkan di pasaran Malaysia pada Disember lalu, dengan peningkatan imej yang minimal serta menampilkan beberapa ciri baharu, termasuk kelengkapan bagi aspek keselamatan. Untuk itu, kami membawakan galeri penuh crossover generasi kedua dengan suntikan yang lebih segar ini bagi memberikan gambaran lebih jelas buat anda.

    Seperti yang dilaporkan sebelum ini, XV baharu ini ditawarkan pada harga RM139,788 untuk varian 2.0-P EyeSight, namun untuk varian GT Edition yang anda lihat menerusi galeri foto ini, ia berharga RM146,788. Kedua-duanya adalah harga atas jalan tanpa insurans dan termasuk rebat cukai jualan dan perkhidmatan (SST) untuk kenderaan pemasangan tempatan (CKD) yang berlangsung hingga 30 Jun ini, serta diberikan waranti lima-tahun/100,000 km.

    Tidak kira apa varian yang dipilih, ia menerima enjin yang sama iaitu unit FB20D 2.0 liter naturally-aspirated suntikan-terus empat-silinder, dengan hamburan output 156 PS pada 6,000 rpm dan tork 196 Nm pada 4,000 rpm. Ia juga mengekalkan Lineartronic CVT dengan mod manual tujuh-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda Symmetrical. Versi facelift ini juga ditambahkan dengan pemilih mod pemanduan Subaru Intelligent Drive (SI-Drive) dan sistem X-Mode dwi-fungsi bagaru dengan ketetapan ‘dirt’ dan ‘mud’.

    GALERI: Subaru XV facelift 2022 di M’sia – GT Edition dengan EyeSight ADAS dan kit badan, RM146,788

    Perubahan terbesar yang diberikan sudah tentu dengan adanya bantuan pemandu EyeSight, yang sebelum ini telah ditawarkan di beberapa pasaran lain tapi baru kini didatangkan di Malaysia, dan diperkenalkan buat pertama kalinya menerusi model terkini Forester. Ciri keselamatan ini didatangkan secara standard untuk semua varian XV dan ditambah dengan brek kecemasan sendiri, kawalan kelajuan adaptif dengan fungsi stop and go, amaran ketibaan lorong, kepekaan ketibaan hadapan dan kawalan salahguna pedal. Dengan penambahan ciri ini, kosnya juga bertambah sebanyak RM8,000 berbanding model sebelum ini.

    Untuk model facelift ini, tidak banyak perubahan imej yang diberikan. Ia hanya ditambahkan dengan bampar hadapan yang disemak semula dengan sudut berbentuk-L, kemasan gril baharu, lampu hadapan yang direka semula dan roda aloi dua-tona 17-inci. Selain itu, GT Edition ini turut ditambah dengan spoiler bampar hadapan dan belakang, skirt sisi yang lebih dalam dan kemasan perak.

    Imej dalamnya pula lebih kurang dengan Impreza dan ditambah dengan kemasan jahitan jingga. Selain itu, Subaru telah memberikannya tempat duduk pemandu dengan larasan kuasa lapan-hala bersama fungsi memori, cermin sisi yang boleh dicondongkan secara automatik dan juga penahan brek auto. Bukan itu sahaja, ia juga diberikan unit utama baharu iaitu dengan sistem Panasonic bersama skrin sesentuh lapan-inci dan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

    Ciri standard lain termasuk lampu utama LED adaptif, lampu kabus, rel bumbung, kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin, pedal penukar gear, kawalan suhu automatik dwi-zon, lampu dan bilah pengelap cermin automatik, pedal aloi dna kamera undur. GT Edition turut menerima balutan kulit untuk tempat duduk dan juga kamera 360-darjah dengan pandangan 3D.

    Kedua-dua varian ditawarkan dengan enam pilihan warna, termasuk Crystal Black Silica, Magnetite Grey Metallic, Ice Silver Metallic, Dark Blue Pearl dan Pure White. Warna Cool Grey Khaki, yang ditunjukkan di sini, telah diperkenalkan di pasaran Malaysia sejak 2018.

     
     
  • Ora Good Cat lancar di Malaysia tidak lama lagi? Versi pemanduan sebelah kanan ditemui di Petaling Jaya

    Ora Good Cat lancar di Malaysia tidak lama lagi? Versi pemanduan sebelah kanan ditemui di Petaling Jaya

    Great Wall Motors Ora Good Cat memang sudah beberapa kali dilihat di Malaysia. Ia pernah dipertontonkan kepada awam semasa acara Tindakan Pembangunan Bumiputera 2021, dan sebelum itu, dilihat atas jalan sekitar Elmina pada bulan April 2021.

    Walaubagaimanapun, dalam kedua-dua kemunculan itu, Ora Good Cat yang ditemui itu adalah versi pemanduan sebelah kiri, yang merupakan unit ujian dari China dan tidak bersesuaian untuk jualan di Malaysia. Versi pemanduan sebelah kanan sebenarnya memang ada dikeluarkan oleh GWM, dan ia sudah dijual di Thailand pada harga 828,500 baht.

    Berita baiknya, model pemanduan sebelah kanan ini juga sudah tiba di Malaysia! Ia ditemui sedang dicas di Vision Motorsports, Kampung Sungai Kayu Ara, Petaling Jaya, menggunakan pengecas DC Pekema. Dalam gambar ini, walaupun sedikit kabur kerana pantulan cahaya, anda boleh melihat sterengnya berada di sebelah kanan. Orang yang mengambil gambar ini juga mengesahkan perkara tersebut.

    Dengan ini, ia boleh membawa makna pelancaran Ora Good Cat di Malaysia semakin hampir. Agak menarik untuk kita lihat adakah ia akan menjadi EV paling murah di Malaysia kerana setakat ini, gelaran tersebut dipegang oleh Hyundai Kona Electric e-Lite, yang dijual pada harga RM149,888.

    Di Thailand, Ora Good Cat dijual serendah RM105k, iaitu untuk varian Tech yang menggunakan bateri lithium ion phosphate dan bateri 143 PS/210 Nm. Jarak gerak yang mampu disediakan adalah sehingga 400 km manakala laju maksimum pula adalah 125 km/j.

    Varian paling tinggi adalah Ultra, dijual pada harga 1.0385 juta baht (RM132k) dan dilengkapi dengan bateri 63.1 kWh untuk memberikan jarak gerak lebih jauh, iaitu 500 km sementara motornya pula masih adalah unit 143 PS/210 Nm yang sama.

    Semua varian Ora Good Cat dapat menerima pengecasan AC sehingga 6.6 kW melalui sambungan Type 2 sementara untuk pengecasan pantas DC, ia boleh menerima sehingga 60 kW menggunakan sambungan CCS2, membolehkan tahap bateri naik dari kosong ke 80% dalam masa 45 minit untuk varian Tech dan sekitar satu jam untuk varian Ultra.

     
     
  • Perodua daftar nama Traz dan Nexis di MyIPO – pilihan nama untuk model MPV gantian Alza selepas ini?

    Klik untuk besarkan

    Perodua telah dilihat mendaftarkan tanda dagang untuk nama ‘Traz’ dan ‘Nexis di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) bulan lalu. Kedua-dua nama berkenaan difailkan di bawah kelas 12 dan kelas 37, menandakan ianya diletakkan pada kategori yang berkaitan dengan kereta.

    Fail berkenaan dijumpai oleh pengguna Facebook dengan akaun Vanhoe Rage, yang memuat naik kedua-dua pemfailan berkenaan minggu lalu. Boleh jadi kedua-dua nama berkenaan adalah untuk model-model baharu Perodua akan datang, seperti yang dilakukan mereka untuk nama Axia yang didaftarkan di MyIPO pada 2014.

    Walau bagaimanapun, bukan semua nama yang didaftarkan di MyIPO tersebut sah akan digunakan untuk model-model akan datang kerana ia mungkin hanya sebagai antara pilihan yang mungkin akan diambil. Contohnya ketika Perodua mendaftarkan nama Axia tersebut, mereka turut mendaftarkan dua lagi nama iaitu Eliana dan Atrivia yang masih belum digunakan sehingga kini.

    Perodua daftar nama Traz dan Nexis di MyIPO – pilihan nama untuk model MPV gantian Alza selepas ini?

    Dalam masa yang sama, Perodua dikhabarkan bakal melancarkan sekurang-kurangnya dua model serba baharu selepas ini. Yang pertama dan juga yang paling hampir pelancarannya adalah MPV tujuh-tempat duduk yang kini hanya dikenali dengan kod projek D27A.

    MPV berkenaan adalah model gantian kepada MPV Alza yang telahpun dihentikan produksinya bulan lalu selepas berada lebih 12-tahun dalam pasaran. Model penganti yang dihasilkan dari platform Daihatsu New Global Achitecture yang jauh lebih canggih serta merupakan kembar kepada Toyota Avanza/Daihatsu Xenia berkenaan dikhabarkan akan dijual pada harga bermula RM69k, jauh lebih mahal dari Alza sebelum ini, dan tidak mustahil ia tidak lagi akan menggunakan nama Alza.

    Manakala satu lagi model yang disebut-sebut akan dilancarkan oleh Perodua adalah SUV segmen-B penuh, diletakkan lebih tinggi berbanding Ativa (yang lebih hampir dengan saiz SUV segmen-A), dengan saiz hampir sebesar Proton X50. Walau bagaimanapun, SUV ini tidak akan dilancarkan tahun ini, dan ia mungkin akan muncul pada 2023.

    Perodua daftar nama Traz dan Nexis di MyIPO – pilihan nama untuk model MPV gantian Alza selepas ini?

    Apa yang menarik, tanda dagang e-Smart, e-Smart Hybrid dan e-Smart Technology turut ditemui telah didaftarkan di MyIPO oleh Daihatsu Motor. Tahun lalu, Perodua dilihat menguji kembar Ativa iaitu Daihatsu Rocky dalam varian hibrid yang dikenali sebagai Rocky e-Smart Hybrid di Jepun.

    Dengan model perniagaan Perodua-Daihatsu di Malaysia sekarang, tidak mungkin Rocky e-Smart Hybrid tersebut akan dijual pada pasaran Malaysia, dan kemungkinan besar nama e-Smart Hybrid ini akan digunakan pada Ativa sekiranya ia turut ditawarkan dalam versi hibrid kelak.

     
     
  • Denza D9 diperkenal – MPV elektrik hasil kerjasama BYD dan Mercedes-Benz, jarak gerak sehingga 600 km

    Denza D9 diperkenal – MPV elektrik hasil kerjasama BYD dan Mercedes-Benz, jarak gerak sehingga 600 km

    Ini adalah Denza D9, model terbaru daripada pengeluar China iaitu Denza, yang juga merupakan satu kerjasama antara BYD dan Mercedes-Benz. Ia boleh didapati dalam versi empat tempat duduk atau tujuh tempat duduk, sekaligus memberikan pilihan kepada pengguna untuk menyesuaikannya dengan keperluan mereka.

    MPV ini mempunyai saiz yang agak besar, dengan ukuran panjang 5,250 mm, lebar 1,950 mm, tinggi 1,920 mm dan jarak roda 3,110 mm. Sebagai gambaran kasar, saiznya terletak antara Toyota Alphard (lebih kecil) dan Hyundai Staria (lebih besar).

    Di China, Denza D9 versi tujuh tempat duduk dijual pada harga 390,000 yuan (RM254k), dan ia boleh pergi sehingga 460,000 yuan (RM299k) bergantung kepada spesifikasi yang dipilih oleh pelanggan. Versi empat tempat duduk diletakkan sebagai pilihan lebih mewah, dengan harga 660,000 yuan (RM430k).

    Denza D9 diperkenal – MPV elektrik hasil kerjasama BYD dan Mercedes-Benz, jarak gerak sehingga 600 km

    Penggerak elektrik Denza D9 mendapat kuasa daripada bateri Blade BYD, tetapi kapasiti kWh untuknya masih belum didedah. Apa yang diberitahu, ia boleh menyediakan jarak gerak sehingga 600 km, dengan pengecasan paling tinggi 166 kW.

    Bagi yang memerlukan jarak lebih jauh, Denza turut menyediakan D9 versi plug-in hybrid yang menggunakan gabungan enjin petrol 1.5 liter turbo dengan motor serta bateri yang lebih kecil. Model PHEV ini masih boleh dicas menggunakan bekalan arus DC pada kadar 80 kW.

    Jarak gerak menggunakan tenaga elektrik bagi model hibrid adalah 190 km, sementara jarak gerak keseluruhan pula adalah 1,040 km. Kadar pengecasan DC tinggi dan jarak gerak elektrik yang jauh memberi petunjuk model ini menggunakan bateri yang agak besar.

    Bahagian dalam MPV ini mendapat pelbagai kelengkapan mewah seperti bumbung panoramik besar, peti sejuk di bawah perehat tangan depan, tempat duduk kapten di baris kedua dengan pelarasan 10 arah, perehat kaki, pemanas, liang udara serta fungsi mengurut, dan juga pengecas tanpa wayar.

    Memandangkan Denza adalah satu jenama khas untuk pasaran China, D9 cuma ditawarkan dalam versi panduan sebelah kiri, sekaligus mengurangkan kebarangkalian ia akan tiba ke dalam negara kita, termasuk melalui pengimport persendirian. Di negara asalnya, sambutan untuk D9 dikatakan sangat baik sehingga mendapat 3,000 unit tempahan dalam masa 30 minit pertama ia dibuka.

     
     
  • Harga minyak 19-25 Mei – RON 97 naik 2 sen seliter

    Harga minyak 19-25 Mei – RON 97 naik 2 sen seliter

    Nampak gayanya harga petrol RON 97 makin naik, dan untuk minggu bertarikh 19 hingga 25 Mei 2022, bahan api tersebut dilaporkan mengalami kenaikan sebanyak dua sen seliter. Sekaligus menjadikan harga baharunya mencecah RM4.33 seliter, berbanding RM4.31 seliter pada minggu sebelumnya.

    Walau bagaimana pun, harga untuk petrol RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan sejak lebih setahun yang lalu iaitu pada paras RM2.05 seliter.

    Begitu juga dengan harga diesel Euro B10/B20 yang juga masih dikekalkan pada harga RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Kesemua harga yang diumumkan oleh Kementerian Kewangan ini akan dilaksanakan bermula jam 12 tengah malam ini, 19 Mei 2022, sehingga Rabu hadapan, 25 Mei.

     
     
  • Nissan X-Trail 2022 untuk pasaran Australia – 2.5L NA 184 PS/245 Nm, CVT, ProPilot; bakal tiba di Malaysia?

    Nissan X-Trail 2022 untuk pasaran Australia – 2.5L NA 184 PS/245 Nm, CVT, ProPilot; bakal tiba di Malaysia?

    Ia mengambil sedikit masa untuk model terkini Nissan X-Trail sampai ke pasaran global, selepas diperkenalkan pada Jun 2022 sebagai Rogue di Amerika Syarikat. Kini SUV generasi ke-empat ini bakal memasuki pasaran Australia dan spesifikasinya telah pun disahkan serta akan memulakan penjualan pada separuh kedua tahun ini.

    SUV segmen-C ini dibangunkan dengan Common Modular Platform (CMF-C), ia turut menerima beberapa rekaan yang sama seperti yang diperkenalkan dua tahun lalu, bermula dengan lampu utama LED dua-tingkat yang nipis, gril V-motion, bampar hadapan dan belakang yang menyerlah, garisan tingkap yang melunjur ke atas dan kemasan tingkap krom yang melintang hingga ke cermin belakang, sekaligus membentuk rupa ala “bumbung terapung”. Manakala lampu belakang berbentuk anak panah dan skid plate perak yang sedikit besar turut menyerlahkan lagi bahagian belakangnya.

    Di dalamnya, X-Trail menerima bentangan papan pemuka mendatar, konsol tengan yang tinggi (dengan ruang storan di bawahnya), perehat tangan tengah dengan dua-bukaan dan skrin sesentuh infotainmen freestanding. Manakala paparan lapan-inci didatangkan secara standard, sementara varian Ti dan Ti-L menerima skrin 12.3-inci untuk instrumen dan infotainmen, bersama paparan utama 10.8-inci.

    Nissan X-Trail 2022 untuk pasaran Australia – 2.5L NA 184 PS/245 Nm, CVT, ProPilot; bakal tiba di Malaysia?

    Ciri lain yang turut diberikan termasuklah kawalan penghidup enjin, tempat duduk dengan pemanas, upholstery kulit Nappa, sistem kamera 360-darjah, pengecas tanpa wayar Qi, ketersambungan Apple CarPlay tanpa wayar, sistem bunyi Bose 10-pembesar suara dan tailgate kuasa bebas-tangan.

    Bagi aspek keselamatan, X-Trail diberikan ciri standard dengan brek kecemasan sendiri, kawalan kelajuan adaptif, bantuan kekal lorong, pengesan isyarat trafik, dan AEB. Manakala varian ST-L ditambah dengan keupayaan pemanduan separa-sendiri ProPilot Level 2 dengan bantuan pemusatan lorong. Malahan beg udara tengah juga diberikan.

    SUV ini dikuasakan oleh enjin 2.5 liter naturally-aspirated empat-silinder dengan output 184 PS dan tork 245 Nm, iaitu tambahan kuasa sebanyak 12 PS dan 19 Nm. Walau bagaimana pun, enjin ini digantikan dengan penjana kuasa 1.5 liter pengecas turbo (204 PS/300 Nm) di USA dan China.

    Nissan X-Trail 2022 untuk pasaran Australia – 2.5L NA 184 PS/245 Nm, CVT, ProPilot; bakal tiba di Malaysia?

    Buat masa ini, belum dipastikan adakan X-Trail baharu ini akan dilancarkan di Malaysia, walaupun sudah tiba masanya Edaran Tan Chong Motor (ETCM) mengantikan model semasa dengan versi terkini ini. Dilaporkan Nissan Thailand telah menghentikan pengeluaran SUV ini di negara tersebut, bagi memfokuskan kenderaan yang lebih kecil dan juga kenderaan elektrik (EV).

    Tidak didedahkan di mana model untuk pasaran Australia itu akan dipasang, tetapi berkemungkinan ia akan diimport dari Jepun. Namun membawa masuk X-Trail dari Jepun ke Malaysia bukan suatu perkara yang tepat kerana ia akan menjejaskan harganya dan ETCM juga berkemampuan untuk memasangnya di sini, namun cukai yang lebih tinggi mungkin akan dikenakan berbanding jika ia diimport dari Thailand. Apa pun, kita kena nantikan perkembangan selanjutnya dari ETCM untuk X-Trail versi Malaysia.

     
     
  • Toyota Gazoo Racing Vios Sprint Cup – pusingan 1 bermula 21-22 Mei ini bersama M’sia C’ship Series

    Toyota Gazoo Racing Vios Sprint Cup – pusingan 1 bermula 21-22 Mei ini bersama M’sia C’ship Series

    Seperti yang diumumkan tempoh hari, hujung minggu ini iaitu bermula 21 hingga 22 Mei, pusingan pertama Vios Sprint Cup akan diadakan di Litar Antarabangsa (SIC), berlansung sekali dengan kejohanan Malaysia Championship Series (MCS).

    Vios Sprint Cup ini merupakan satu lagi usaha dari UMW Toyota Motors bagi membolehkan pemilik pasukan dan kereta lumba Vios yang digunakan dalam satu lagi siri perlumbaan ‘one make’ Vios Challenge Festival Perlumbaan Toyota Gazoo Racing Malaysia, untuk beraksi dalam lebih banyak perlumbaan.

    Jadi kesemua jentera yang digunakan dalam Vios Sprint Cup ini adalah sama dengan jentera yang berlumba dalam Vios Challenge, iaitu jentera lumba yang masih menggunakan enjin asal Vios, diubahsuai dengan pelbagai kelengkapan perlumbaan yang sama untuk semua pasukan termasuk transmisi, susupensi, tayar, bahan api dan pelbagai lagi, bagi memastikan semua peserta berlumba dengan kemampuan yang setara.

    Menurut UMWT lagi, sejumlah 38 pelumba akan bertanding dalam siri Vios Sprint Cup ini. Setiap jentera akan menampilkan dua pemandu, namun pasangan berkenaan perlulah dari terdiri dari pelumba dari perlumbaan Vios Challenge dengan kombinasi kategori berbeza -Super Sporting (profesional), Sporting (amatur), Promotional (selebriti) dan Rookies (pelumba muda dan baharu).

    Toyota Gazoo Racing Vios Sprint Cup – pusingan 1 bermula 21-22 Mei ini bersama M’sia C’ship Series

    Antara pelumba profesional yang bertanding dalam Vios Sprint Cup ini termasuk Tengku Djan Ley, Mark Darwin, Mohd Fariqe Hairuman, Eddie Lew, Boy Wong dan William Ho. Manakala bintang muda yang turut serta berlumba adalah Naquib Azlan, Hayden Haikal, Mika Hakimi, Nabil Azlan, Bradley Benedict Anthony, Timothy Yeo dan Alister Yoong.

    Bagi pasukan Prima Pearl TD Racing, Tengku Djan bergandingan dengan Mika Hakimi bagi memenuhi peraturan yang ditetapkan dalam perlumbaan Vios Sprint Cup ini. Pasukan Laser Motor Racing pula akan diwakili oleh Mark Darwin dan Bradley Benedict Anthony.

    Manakala pasukan yang diuruskan oleh bekas pemandu F1 negara, Alex Yoong iaitu Axle Motorsports menampilkan empat pemandu muda untuk dua jentera mereka. Kereta pertama dipandu oleh juara Race 1 kategori Super Sporting pusingan pertama Vios Challenge musim kelima Mac lalu iaitu Hayden Haikal yang baru berumur 17 tahun, bersama pelumba simulator juga yang juga juara Vios Challenge dalam kategori Rookie musim lalu, Naquib Azlan.

    Kereta kedua pula dipandu oleh anak Alex Yoong sendiri yang juga pernah berlumba dalam Formula 4 SEA sebelum ini iaitu Alister Yoong, bergandingan Muizz Musyaffa, pelumba yang masih berlumba dalam kategori Rookie Vios Challenge musim ini.

    Toyota Gazoo Racing Vios Sprint Cup – pusingan 1 bermula 21-22 Mei ini bersama M’sia C’ship Series

    Gandingan-gandingan ini dibentuk bagi memberikan peluang yang sama untuk pasukan bagi memenangi perlumbaan tersebut. Kedua-dua pelumba berkenaan perlu memandu dalam sesi kelayakan secara berasingan – pelumba yang mencatatkan masa terpantas bagi setiap pasukan perlu memulakan perlumbaan sebagai pemandu pertama untuk Race 1 (dilangsungkan selama sejam), sebelum digantikan dengan pemandu kedua ketika melakukan pit stop mandatori.

    Manakala pelumba yang mencatatkan masa kurang pantas pada sesi kelayakan berkenaan perlu menjadi pelumba pertama yang bermula di grid ketika Race 2 (juga dilangsungkan selama sejam), sebelum digantikan dengan pasangannya ketika pit stop mandatori. Walau bagaimanapun, susunan di grid permulaan untuk Race 2 adalah ditentukan berdasarkan keputusan Race 1 yang diterbalikkan, sama seperti Vios Challenge.

    Secara keseluruhan hadiah wang tunai berjumlah RM60,000 akan menjadi rebutan sepanjang Vios Sprint Cup ini berlangsung. Juara keseluruhan untuk setiap pusingan Vios Sprint Cup ini akan menerima wang tunai sebanyak RM10,000, diikuti RM8,000 untuk tempat kedua, RM6,000 untuk tempat ketiga, RM4,000 untuk tempat keempat dan RM2,000 untuk tempat kelima.

    Berita baik, dengan keadaan pandemik Covid-19 yang semakin reda sekarang, anda boleh menonton MCS pusingan pertama ini secara langsung di Litar Antarabangsa Sepang, dan masuk ke Grandstand utama adalah percuma, manakala tiket akses untuk ke paddock dijual pada harga RM80. Tak sempat nak pergi Sepang sebab masih beraya? Jangan risau kerana perlumbaan ini turut akan disiarkan secara langsung menerusi laman-laman media sosial Toyota Malaysia!

     
     
  • Android Auto oleh Google terima kemaskini utama — wajah baru, tambahan ciri, mod pemisah paparan skrin

    Android Auto oleh Google terima kemaskini utama — wajah baru, tambahan ciri, mod pemisah paparan skrin

    Tiga tahun selepas diberikan naiktaraf menyeluruh, Android Auto oleh Google kini sekali lagi diberikan kemaskini utama, bermula Jun ini di Amerika Syarikat. Pertama kali diperkenalkan pada 2014, Android Auto telah melalui beberapa peringkat kematangan dan kini telah melengkapi lebih 150 juta kenderaan di peringkat global, melibatkan hampir semua jenama.

    Didedahkan ketika Google I/O 2022, versi terkini Android Auto menampilkan antaramuka pengguna yang baru, disesuaikan mengikut pelbagai saiz skrin kereta, yang sebelum ini tidak dapat dilakukan. Ini merupakan penambahbaikan penting kerana ia memaksimumkan keluasan skrin yang ada dengan mod paparan pemisah yang akan mengikut saiz skrin lebar secara automatik — begitu juga dengan tataan paparan potret.

    Sepilihan panel berkaitan ciri yang kerap digunakan juga akan dipaparkan di satu tempat — seperti pada Apple CarPlay — termasuk pemain media, sistem tunjuk arah dan mesej. “Kami dapati ada tiga fungsi utama yang kerap dimanfaatkan oleh pemandu; tunjuk arah, media dan komunikasi,” jelas Google.

    Akan ada juga panel kekal untuk capaian kepada pelancar aplikasi, notifikasi dan Google Assistant. Untuk ini, ciri bantuan suara yang ada juga kini menawarkan cadangan kontekstual untuk membantu anda menjadi lebih produktif dalam kereta.

    Contoh yang ada termasuklah cadangan jawapan, kepada mesej, kepada berkongsi masa ketibaan dengan rakan atau untuk memainkan cadangan muzik. Sebagai tambahan, pengguna kini boleh mengirim mesej dan buat panggilan kepada nombor “Favorite” dengan hanya satu sentuhan, dan juga menjawab mesej dengan memilih jawapan yang dicadangkan pada skrin.

    Selain Android Auto, Google juga menunjukkan kemaskini yang dilakukan terhadap Android Automotive OS (AAOS), sebuah platform infotainmen yang ketika ini digunakan untuk model Volvo seperti C40, XC40 dan Polestar — beberapa pengeluar lain juga khabarnya akan beralih kepada AAOS ini.

    Baru untuk AAOS ialah sokongan untuk aplikasi penstriman video penyedia luar seperti Tubi dan Epix Now, membolehkan pengguna mempunyai lebih banyak pilihan selain Youtube untuk kegunaan hiburan dalam kenderaan. Pengguna juga boleh memanfaatkan pelayar web dan memancarkan kandungan mereka sendiri dari telefon sebaik sahaja ciri ini ditawarkan nanti.

     
     
  • VIDEO: Toyota GR Supra A90 vs. Nissan Z 2023 – yang mana kena tapau dalam perlumbaan drag 402 meter?

    VIDEO: Toyota GR Supra A90 vs. Nissan Z 2023 – yang mana kena <em>tapau</em> dalam perlumbaan drag 402 meter?

    Toyota GR Supra A90, sejak diperkenalkan pada Januari 2019, ia sentiasa menjadi bahan troll peminat-peminat kereta seluruh dunia kerana ia diasaskan dari bukan sahaja kerangka badan malah menggunakan enjin, transmisi serta diproduksi oleh kilang yang sama dengan BMW Z4 G29.

    Namun ia berlawanan dengan situasi ketika Nissan Z 2023 didedahkan – Z generasi baharu tersebut masih lagi asli rekaan Nissan dari kerangka hingga enjin, ditambah pula dengan nilai nostalgia di mana sebahagian besar rekaan kereta sport tersebut diilhamkan dari model generasi pertama Datsun 240Z bersama lampu belakang inspirasi dari Nissan 300ZX, model ini diberikan ‘tepukan gemuruh’ dari peminat automotif khususnya dari ‘mazhab’ JDM.

    Tetapi jika kedua-dua kereta sport GT dua pintu pacuan roda belakang dengan enjin turbo berkembar dari Jepun berentap di atas garis lurus, mana yang lebih pantas? Anda tidak perlu menunggu lama kerana Jason Camissa dari saluran YouTube Hagerty telah pun melakukan ujian berkenaan untuk mengetahui jawapannya.

    Di Amerika Syarikat, Toyota GR Supra 2022 dengan enjin BMW B58 3.0 liter enam-silinder sebaris, dua pengecas turbo menghasilkan 382 hp dan tork maksima 500 Nm tersebut dijual pada harga US$ 56,000 (RM265k). Baru-baru ini Toyota telah pun mengumumkan bahawa Supra sudahpun diperkenalkan dengan versi yang menerima kotak gear manual enam-kelajuan, namun unit yang digunakan dalam video kali ini adalah dari versi kotak gear automatik sembilan-kelajuan.

    Manakala untuk Nissan Z, kesemua varian hanya menerima enjin asli Nissan iaitu VR30DDTT 3.0 liter V6 dengan pengecas turbo berkembar, menghasilkan 400 hp dan tork maksima 475 Nm. Ia dijual di AS pada harga lebih rendah dari Supra iaitu US$ 51,000 (RM224k) untuk varian tertinggi Z Performance. Sejak didedahkan, Nissan Z sudahpun ditawarkan dengan kotak gear manual enam kelajuan, tetapi unit yang beradu dengan Supra ini adalah dari versi automatik dengan kotak gear sembilan-kelajuan.

    Dalam video ini, Camissa turut membawa Ford Mustang Mach 1 2022 – ia dijual pada harga US$ 55,500 (RM244k), atau lebih murah dari Supra tetapi hadir dengan enjin jauh lebih berkuasa iaitu V8 5.0L yang menjana 480 hp dan tork maksima 570 Nm, digandingkan dengan kotak gear automatik 10-kelajuan.

    Sebaik sahaja ketiga-tiga kereta ini dilepaskan, saingan sengit tertumpu antara Supra dan juga Mustang. Walaupun Supra dibekalkan dengan kuasa sekitar 100 hp lebih rendah dari Mustang, namun dengan kelebihan sekitar 200 kg lebih ringan membolehkan kedua-dua kereta berkenaan menghabiskan laluan lurus 402 meter/suku batu berkenaan dalam masa yang sama iaitu 12.1 saat. Tetapi Mustang diisytihar pemenang kerana ketika melepasi garisan penamat ia mencatatkan kelajuan 3 bsj/4.8 km/j lebih laju dari Supra pada kelajuan 120 bsj.

    Nissan Z nampaknya menjadi model paling lambat dalam perlumbaan ini dengan menghabiskan jarak suku batu berkenaan dalam masa 12.3 saat. Adakah kuasa yang menjadikan Z kalah dalam perlumbaan ini? Menurut Cammisa, faktor utama mengapa kereta sport Nissan ini tertinggal 0.2 saat berbanding Supra dan Mustang adalah kerana tayar.

    Z dibekalkan dengan tayar Bridgestone Potenza S007 dari kilang, yang memberikan cengkaman kurang baik berbanding tayar Michelin pada Supra dan Mustang. Video ini turut menguji pecutan bagi untuk Nissan Z dari versi manual, dan ia mencatatkan masa 0.3 saat lebih perlahan dari versi automatik untuk pecutan 400 meter tersebut.

     
     
  • Pemilik Ford Ranger/Raptor rasai latihan pemanduan mencabar, off-road ke Penang sambil nikmati durian

    Pemilik Ford Ranger/Raptor rasai latihan pemanduan mencabar, off-road ke Penang sambil nikmati durian

    Pengedar rasmi Ford di Malaysia, Sime Darby Auto ConneXion (SDAC), menganjurkan program bagi mempromosikan “Gaya Hidup Ford Ranger” untuk pemilik trak pikap Ranger dan Raptor. Ia membolehkan para pemilik trak pikap berkenaan berpeluang menikmati latihan pemanduan secara mencabar termasuk pengalaman merentasi laluan off-road.

    Dengan memperkenalkan Ford Ranger Getaways yang merupakan sebuah platform digital, ia menawarkan para pelanggan untuk menikmati pengalaman unik ‘Live the Ranger Life’ melalui pelbagai pilihan pengembaraan yang menarik. Antaranya program menarik yang julung kali diadakan pada Mac lalu di Sepang, Selangor, di mana para pemilik dapat merasai keupayaan sebenar trak pikap berprestasi mereka.

    Direka untuk menawarkan platform interaktif dan berharga kepada pemilik Ranger dan Ranger Raptor untuk merealisasikan keupayaan sepenuhnya gaya hidup dan prestasi pikap mereka bersama individu yang mempunyai minat yang sama, sesi intensif sehari bersama pelatih profesional menawarkan pengalaman latihan lain daripada yang lain. Antara modul yang ditawarkan termasuk senario pemanduan off road dan jalan raya di Litar Antarabangsa Sepang dan sekitar daerah Sepang.

    “Ini merupakan segmen pertama di Malaysia di mana para pengguna dapat membuat tempahan melalui platform digital, untuk memberi para pelanggan, rakan dan keluarga peluang berkumpul dan mewujudkan kemesraan bersama individu yang mempunyai minat yang sama. Secara tidak langsung, ia dapat menyokong aktiviti pelancongan tempatan yang terkesan akibat pandemik yang melanda,” kata Turse Zuhair, Pengarah Urusan, Sime Darby Auto ConneXion-Ford.

    Tidak setakat itu sahaja, program susulan juga akan dianjurkan pada ada 18 Jun 2022 di Ford Juru, Pulau Pinang, di mana para peserta akan berkumpul bersama pemilik Ranger yang lain beserta teman mereka yang mempunyai minat pengembaraan yang sama.

    Para peserta bakal bergerak ke Jeti Batu Musang di mana mereka berpeluang untuk menguji keupayaan Ranger mereka melalui pelbagai jenis laluan atas jalan dan off road, dengan bimbingan para pelatih profesional. Laluan yang bakal ditempuhi termasuk mengharungi air, pemanduan trek hutan, mendaki batu dan banyak lagi.

    Setelah menempuhi cabaran 4×4, para peserta akan kembali ke Balik Pulau, destinasi terkenal durian, bertempat di Green Acres Orchard, yang ditempah khas buat pengembaraan ini. Di samping lawatan sekitar kebun tersebut, para peserta dapat berehat dan menikmati bufet durian tanpa had termasuk menikmati makan tengahari yang menyelerakan.

    Pengembaraan ini menawarkan pakej berharga RM976 untuk setiap kenderaan dengan cadangan maksimum seramai empat orang. Tempahan dan bayaran boleh dilakukan di laman web SDAC-Ford di platform Ford Ranger Getaways.

    Terbuka kepada semua pemilik Ranger dan Ranger Raptor, Ford Ranger Getaways merangkumi semua kategori bagi menyediakan peluang kepada semua rakyat Malaysia yang berkeinginan untuk mengembara dalam negara, sama ada bersendirian, bersama rakan rakan atau ahli keluarga atau sekadar ingin berjumpa individu yang berkongsi minta yang sama.

    Selain daripada pengembaraan yang melibatkan aktiviti luar jalan dan aktiviti pelancongan secara berjadual tetap, terdapat juga aktiviti yang boleh dibuat mengikut kesuaian waktu dan kemudahan pemilik. Mereka hanya perlu membuat tempahan dan hadir bersama Ranger dan teman mereka.

    Antara program lain yang bakal dianjurkan termasuklah pemanduan santai ke Desaru, Johor untuk mengalami pengembaraan bertemu haiwan ternakan atau penerokaan hutan hujan pra-sejarah di Bukit Bendara, Pulau Pinang.

    Malahan jika ada yang berkeinginan untuk memandu kapal terbang boleh menyertai Simulator Penerbangan Kokpit Lengkap Airbus A320 dan mengembara di langit virtual di Kuala Lumpur. Bagi mereka yang inginkan sesuatu yang lebih mencabar, mereka berpeluang untuk menjadi juruterbang sehari dan melihat pemandangan luas Kuala Lumpur dengan mengemudi kapal terbang setinggi 1,500 kaki di bawah pengawasan juruterbang terlatih.

     
     
  • Dashcam perlu ada dalam kereta – Pensyarah USIM

    <em>Dashcam</em> perlu ada dalam kereta – Pensyarah USIM

    Rakaman kamera papan pemuka atau dashcam kini semakin banyak dipertontonkan menerusi saluran media sosial, terutamanya video yang melibatkan insiden jalan raya yang banyak menarik perhatian ramai. Malahan video terbabit juga boleh dijadikan sebagai bukti untuk melindungi mangsa yang tidak bersalah serta ‘memerangkap’ pihak yang berniat jahat atau pun pelaku insiden terbabit.

    Fungsi dashcam sebagai peranti untuk mengumpulkan bahan bukti untuk sesuatu perkara atau kejadian yang serius adalah amat penting, justeru ia (dashcam) sepatutnya diwajibkan dipasang di dalam kenderaan, menurut pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Muzaffar Syah Mallow, menerusi surat yang dihantar kepada The Sun.

    Dalam surat tersebut, Muzaffar memetik Seksyen 3 Akta Keterangan Malaysia 1950 (Akta 56), yang mengatakan bahawa “semua pernyataan yang dibenarkan atau dikehendaki mahkamah dibuat di hadapannya oleh saksi berhubung dengan perkara fakta dalam siasatan,” dikenali sebagai keterangan lisan, dan “semua dokumen yang dikemukakan untuk pemeriksaan mahkamah,” iaitu sebagai bukti dokumentari.

    Muzaffar turut berkata, “Adalah penting untuk mengambil perhatian perkataan ‘termasuk’ dalam seksyen tertentu Akta ini dalam takrif keterangan, bermakna mana-mana bukti boleh dibawa sebagai keterangan untuk menyokong atau untuk mengesahkan kes seseorang di mahkamah.

    <em>Dashcam</em> perlu ada dalam kereta – Pensyarah USIM

    “Tambahan pula, rakaman dashcam boleh dikemukakan sebagai bukti tersendiri di mahkamah, sama ada dalam kes sivil atau jenayah apabila perlu,” kata Muzaffar.

    Tambahnya lagi, walau pun dascham boleh digunakan sebagai alat untuk menangani kemalangan serta trafik atau perkara jenayah lain yang mungkin timbul, peranti itu juga boleh berfungsi sebagai platform untuk pemandu menyemak semula tabiat pemanduan mereka dan membuat pelarasan sekiranya perlu.

    Pada tahun 2019, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) turut menganggap trend penggunaan dashcam ini sebagai perkembangan yang positif, dan menurut ketua pengarahnya, Dr Siti Zaharah Ishak, ini kerana dashcam mampu merekodkan pelbagai kejadian di atas jalan raya dan boleh dijadikan sebagai maklumat tambahan untuk mengenal pasti punca sesuatu kemalangan.

    Jadi, apa komen anda berhubung dengan penggunaan dashcam ini, adakah ia wajar untuk digunakan secara wajib dalam kenderaan? Kongsikan pendapat anda bersama kami. Kalau anda ada cerita tersendiri mengenai penggunaan peranti ini, pun boleh kongsikan bersama kami.

     
     
  • Rapid KL sediakan Bus Skip Stop Xpress untuk Jalan Ampang – Dari LRT Ampang ke Ampang Park, KLCC

    Jalan Ampang antara laluan yang paling sibuk di bandaraya Kuala Lumpur. Jalannya sempit dan banyak selekoh, namun ia tetap menjadi laluan utama untuk orang ramai memasuki pusat bandar. Walau oun ada laluan alternatif iaitu menerusi Lebuhraya AKLEH, tetapi kadar tol mungkin akan menjadi bebanan kos jika digunakan setiap hari.

    Justeru, Rapid KL memutuskan untuk memperkenalkan satu lagi perkhidmatan alternatif, yang mungkin mampu menjimatkan masa dan wang anda. Dipanggil Bus Skip Stop Xpress, perkhidmatan percubaan selama tiga bulan bermula 16 Mei lalu dan akan berakhir pada 16 Ogos 2022. Ia digambarkan sebagai perkhidmatan bas untuk komuniti Ampang, di mana bas perantara ini bermula dari stesen LRT Ampang dan hanya akan ke Ampang Park dan KLCC – tidak akan berhenti selain dari destinasi yang disebut ini.

    Tambangnya pula hanya RM1.90 sehala dan masa ketibaannya adalah pada waktu pagi dari LRT Ampang dan petangnya pula dari Ampang Park dan KLCC. Anda boleh rujuk jadual di atas untuk waktu perjalanannya.

    Jika anda bekerja berhampiran Ampang Park dan KLCC, ternyata perkhidmatan bas ini amat sesuai untuk anda. Jika tidak, terdapat stesen LRT di kedua-dua destinasi. Jadi ia memudahkan perjalanan anda, tidak perlu lelah memandu dalam kesesakan trafik, malah ia juga menjimatkan kos minyak kenderaan dan juga parkir (yang bukan murah kalau di sekitar pusat bandar).

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025