Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Enhanced Touch ‘n Go habis dijual, stok baru masuk Jun ini; kad yang dijual semula kini cecah RM100

    Enhanced Touch ‘n Go habis dijual, stok baru masuk Jun ini; kad yang dijual semula kini cecah RM100

    Permintaan yang tinggi terhadap kad Enhanced Touch ‘n Go, telah membuatkan ada pihak yang mengambil kesempatan menjualnya semula secara dalam talian dengan harga yang jauh tinggi dari harga sebenarnya iaitu RM10. Malahan sebelum ia dijual secara rasmi pada 22 April pun, ada yang menjualnya dengan harga yang tinggi dari yang ditetapkan.

    Tinjauan kami mendapati, beberapa penjual dalam talian telah menjual kad baharu Enhanced Touch ‘n Go tersebut pada harga mencecah RM100, seperti mana yang ditawarkan menerusi platform jualan dalam talian Shopee.

    Namun, sekiranya anda mahu membelinya menerusi dalam talian, walau pun dengan harga yang tinggi, kena pastikan ketulenan penawaran tersebut sebelum membuat pembelian.

    Enhanced Touch ‘n Go habis dijual, stok baru masuk Jun ini; kad yang dijual semula kini cecah RM100

    Jika sanggup menunggu stok baharu kad terbabit yang dijual dalam saluran rasmi Touch ‘n Go, hasil maklum balas dari pertanyaan yang dikemukakan kepada syarikat berkenaan, batch seterusnya boleh didapati sekitar Jun ini.

    Kad Enhanced Touch ‘n Go yang ditawarkan pada harga runcit RM10 ini adalah sama dengan kad versi sebelum ini tanpa fungsi Neaf-field Communication (NFC), dan versi baharu ini ditambahkan dengan ciri NFC yang boleh dihubungkan kepada aplikasi dengan meletakkannya di bahagian belakang telefon yang mempunyai fungsi NFC selama lima saat, dan selepas itu anda boleh menggunakan aplikasi untuk melihat baki serta melakukan tambah nilai kepadanya (letakkan kad sekali lagi pada telefon)

    Meskipun pengguna jalan raya kebanyakannya tidak lagi memerlukan tambah nilai secara fizikal kerana sudah ada fungsi PayDirect, kad Enhanced ini masih lagi berguna bagi mereka yang menggunakan kad Touch ‘n Go di Lebuh Raya Utara Selatan (tidak boleh guna PayDirect), lot parkir serta servis dan tempat lain.

     
     
  • Aprilia RSV4 1100 Factory tiba di Malaysia – RM170k

    Aprilia RSV4 1100 Factory tiba di Malaysia – RM170k

    Dilancarkan kepada dunia Mac tahun lalui, Aprilia RSV4 1100 Factory kini sudah berada di Malaysia dengan harga jualan RM169,900. Harga ini menunjukkan peningkatan RM10,000 berbanding RM159,900 yang ditetapkan pada tahun 2020 bagi model sebelumnya, dan tidak termasuk insurans serta cukai jalan.

    Antara yang baru bagi model tahun 2022 ini adalah pakej aerodinamik yang dipertingkat, tork sedikit lebih tinggi serta engine braking yang boleh dilaras. ECU Magnetti Marelli 11MP baru menyediakan tiga mod Cornering ABS, serta pemetaan enjin dan mod tunggangan yang baru untuk penunggang.

    Bagi mod tunggangan, ada enam pilihan disediakan dengan tiga daripadanya adalah untuk jalan biasa (Street, Sport dan User), dan tiga lagi untuk dalam litar (Race, Track 1 dan Track 2).

    Penambahbaikan aerodinamik yang dibuat pada motosikal ini telah memberikan peningkatan kepada tekanan dalam kotak udara sebanyak 7%, sementara bagi penunggang pula, perlindungan daripada udara telah meningkat 11%. Semua panel badan termasuk winglet telah dibangunkan melalui teknologi dinamik berkomputer.

    Suspensi RSV4 1100 Factory menggunakan unit semi aktif Ohlins Smart EC 2.0 bersama steering damper elektronik yang dua mod (semi aktif dan manual), dan penunggang boleh memilih tiga pemetaan untuk suspensi. Daripada tiga yang disediakan itu, mod A1 adalah khas untuk tayar slick dan dalam litar, A3 untuk jalan biasa dan A2 berada di tengah-tengah.

    Kuasa untuk RSV4 1100 2022 datang daripada enjin empat silinder V 1,099 cc, berjumlah 217 hp pada 13,000 rpm dan 125 Nm tork pada 10,500 rpm. Sistem brek adalah daripada Brembo, dengan angkup Stylema empat piston di hadapan, satu piston di belakang serta sistem ABS Bosch 9.1 MP.

     
     
  • QJMotor SRT800 dan SRT800X 2022 tiba di Malaysia – model touring 745 cc dengan harga bermula RM40k

    QJMotor SRT800 dan SRT800X 2022 tiba di Malaysia – model touring 745 cc dengan harga bermula RM40k

    Selepas satu pra tonton ringkas pada bulan Januari, QJMotor SRT800 dan SRT800X kini dilancarkan secara rasmi di Malaysia dengan harga masing-masing RM39,888 dan RM42,888 (tidak termasuk insurans dan cukai jalan). Tempahan kini sudah dibuka, manakala penghantaran kepada pelanggan pula dijangka bermula bulan Julai ini.

    Dibuat sebagai penyambung generasi model Benelli TRK dalam kategori motosikal adventure-touring, SRT 800 ini menggunakan rekaan inspirasi daripada Jerman dan Itali, sementara kuasa pula datang daripada unit dua silinder selari 745 cc.

    Enjin ini menggunakan sistem suntikan bahan api, DOHC, lapan injap, penyejukan cecair dan mendapat penarafan Euro, dengan kuasa maksimum 75 hp pada 8,500 rpm dan 67 Nm tork pada 6,500 rpm. Ia disampaikan kepada roda belakang melalui kotak gear enam kelajuan dengan klac slip & assist, serta sistem rantai.

    QJMotor SRT800 dan SRT800X 2022 tiba di Malaysia – model touring 745 cc dengan harga bermula RM40k

    Perbezaan utama antara SRT800 dan SRT800X adalah rim, di mana SRT 800 dilengkapi unit aloi bersaiz 17 inci, dibalut tayar masing-masing 120/70 di hadapan dan 180/55 di belakang, sementara SRT800X pula mendapat rim spoked tanpa tiub bersaiz 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, dibalut dengan tayar masing-masing 110/80 dan 150/70.

    Kedudukan dua model ini juga berbeza, dengan SRT800 menyediakan tinggi tempat duduk 810 mm sementara SRT800X 835 mm, dan ini dibuat melalui pelarasan suspensi. Walaubagaimanapun, barangan suspensi itu sendiri masih sama, iaitu fork dan monoshock yang kedua-duanya boleh dilaras untuk mampatan dan pra beban.

    SRT800 juga datang dengan sistem brek berprestasi, menggunakan unit daripada Brembo yang terdiri daripada angkup Brembo berkembar serta cakera 320 mm di hadapan dan angkup satu piston berserta cakera 260 mm di belakang, dan ia dilengkapi dengan ABS two-channel daripada Bosch secara standard. Kemudiannya, SRT800X juga diberikan terus dengan kotak barangan aluminium.

    Pada bahagian kokpit, terdapat skrin TFT-LCD lima inci berwarna penuh untuk memaparkan segala informasi penting, dan apabila kuasa dihidupkan butang pada bahagian pemegang mempunyai lampu supaya mudah dilihat oleh penunggang. Tangki bahan api kedua-dua SRT800 dan SRT800X adalah sama, iaitu 18.5 liter.

     
     
  • Kerajaan Perak setuju cadangan bina jalan pintas di Lebuhraya PLUS berhampiran Terowong Menora – MB

    Kerajaan Perak setuju cadangan bina jalan pintas di Lebuhraya PLUS berhampiran Terowong Menora – MB

    Kerajaan Perak bersetuju dengan cadangan membina jalan pintas sebagai laluan alternatif kepada kenderaan supaya tidak melalui Terowong Menora di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), sebagai mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.

    Menurut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, cadangan membina laluan pintas sejauh 64 km bermula dari susur keluar Gopeng melalui Seputih sebelum keluar di Kuala Kangsar itu sudah diluluskan kabinet bulan lalu untuk membina, laporan Sinar Harian.

    “Kerajaan negeri menerima satu cadangan daripada pihak swasta untuk membina jalan pintas yang tidak melalui Terowong Menora. Jaraknya panjang sedikit tetapi masa yang diambil sama kerana (laluan) tidak perlu mendaki bukit. Kerajaan negeri bersetuju untuk menyokong cadangan berkenaan,” katanya.

    Kerajaan Perak setuju cadangan bina jalan pintas di Lebuhraya PLUS berhampiran Terowong Menora – MB

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan kerajaan negeri susulan kekerapan kejadian kemalangan jalan raya berhampiran Terowong Menora termasuk yang terbaru mengakibatkan lima penuntut universiti rentung pada minggu lalu.

    Tambah beliau, tujuan asal pembinaan adalah mengurangkan risiko berlakunya kemalangan kerana laluan berbukit, kesesakan dan laluan menurun yang agak curam di terowong itu.

    Menurutnya, ketika ini, syarikat berkenaan sedang mencari pembiaya dalam tempoh dua tahun ini untuk membolehkan projek pembinaan berkenaan dilaksanakan.

    Kerajaan Perak setuju cadangan bina jalan pintas di Lebuhraya PLUS berhampiran Terowong Menora – MB

    “Apabila syarikat sudah dapat pembiaya, kita akan membuat pengambilan tanah dan pembinaan akan dimulakan,” katanya.

    Sebelum ini akhbar yang sama turut melaporkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Muhamad Shahrizal Aris
    yang berkata, dalam tempoh setahun ini, laluan di Kilometer 231.4 hingga 257.8 Lebuhraya Utara Selatan arah utara selepas Terowong Menora yang menjadi lokasi tragedi lima pelajar rentung, telah merekodkan 17 kes kemalangan.

    Di mana nahas yang direkodkan antara Mac 2021 hingga Mac 2022 telah menyebabkan dua kematian dan kecederaan kepada 11 mangsa. Malahan pihak bomba juga mengakui sedikit kesukaran untuk menyelamatkan mangsa kemalangan di kawasan berkenaan kerana faktor kesesakan trafik, di samping tiada akses mudah untuk ke lokasi kejadian menyebabkan jentera bomba terpaksa membuat pusingan U sebelum Terowong Menora pada jarak lebih kurang 24 km.

     
     
  • Model street Triumph 2022 dapat pilihan warna baharu

    Model <em>street</em> Triumph 2022 dapat pilihan warna baharu

    Bagi tahun ini, Triumph memberikan pilihan warna baru bagi model street mereka, dengan Rocket 3 GT mendapat dua skema warna baru. Bagi motosikal cruiser produksi dengan enjin paling besar di dunia itu, ia kini boleh didapati dalam warna dua tona Carnival Red/Sapphire Black dan Sapphire Black.

    Sementara itu, satu lagi model Rocket, iaitu Rocket 3 R ditawarkan dalam warna Matt Silver Ice, sebagai tambahan kepada warna Silver Ice/Cranberry Red dan Phantom Black sebelum ini. Di Malaysia, Rocket 3 GT dijual pada harga RM136,900 manakala Rocket 3 R pula RM130,900.

    Pergi pula kepada model roadster naked, Speed Triple 1200 RS kini boleh didapati dalam warna Matt Baja Orange baru, sementara pilihan warna Matt Silver Ice dan Sapphire Black masih lagi disediakan. Street Triple 765 RS pula sekarang hanya ditawarkan dalam warna yang dipanggil sebagai Carbon Black, dengan selingan warna emas.

    Menyertai 765 RS adalah Street Triple 765 R, yang tahun ini boleh didapati dalam warna Matt Carbon Black. Turut menerima tambahan warna baru adalah model permulaan jenama United Kingdom itu, Trident 660.

    Sama seperti Speed Triple 1200 RS, Trident 660 juga kini boleh didapati dalam warna Matt Baja Orange/Matt Storm Grey sementara warna Silver Ice/Diablo Red, Matt Jet Black/Silver Ice dan Sapphire Black juga masih disediakan. Tempahan untuk model Triumph 2022 ini sudah boleh mula dibuat di Malaysia melalui pengedar sahnya, Fast Bikes.

    GALERI: Triumph Rocket 3 GT Carnival Red/Sapphire Black 2022

    GALERI: Triumph Rocket 3 R Matt Silver Ice 2022

    GALERI: Triumph Speed Triple 1200 RS Matt Baja Orange 2022

    GALERI: Triumph Street Triple 765 RS Carbon Black 2022

    GALERI: Triumph Street Triple 765 R Matt Carbon Black 2022

    GALERI: Triumph Trident 660 RS Matt Baja Orange/Matt Storm Grey 2022

     
     
  • Lexus NX 2022 di Malaysia — spesifikasi dan perincian lokal, NX 250 Luxury, NX 350 F Sport, dari RM371k

    Lexus NX 2022 di Malaysia — spesifikasi dan perincian lokal, NX 250 Luxury, NX 350 F Sport, dari RM371k

    Bulan lepas, Lexus NX 2022 mula dibuka untuk tempahan. Dan ini, perincian lengkap serta spesifikasi tempatan bagi model berkenaan didedahkan pula. SUV generasi kedua ini ditawarkan dalam dua varian, NX 250 Luxury dengan enjin 2.5L dan NX 350 F Sport dengan enjin 2.4L turbocas.

    Kini menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) versi GA-K (turut digunakan oleh Toyota RAV4 dan Harrier, Lexus ES), NX mempunyai badan yang sedikit lebih besar — 4,660 mm panjang dan 1,865 mm lebar, dengan 20 mm lebih besar. Jarak antara roda pula 2,690 mm kini 30 mm lebih panjang berbanding model lama, dengan tinggi juga bertambah 5 mm. Rim 20-inci dan jejak yang lebih lebar juga menjadikannya lebih tegap.

    Rekaan yang membezakannya adalah seperti gril “spindle” yang lebih tinggi dan tegak, percantuman DRL LED dengan kluster lampu utama (untuk kurangkan berat dan tampil lebih ringkas) serta profil yang kelihatan lebih lembut dan organik yang digabungkan dengan garis tajam yang sinonim dengan rekaan moden Lexus.

    Lexus NX 2022 di Malaysia — spesifikasi dan perincian lokal, NX 250 Luxury, NX 350 F Sport, dari RM371k

    Dari sisi, garis badannya kini tidak lagi panjang ke belakang, sebaliknya setakat pemegang pintu belakang sahaja, kemudiannya dengan garis tingkap lebih tinggi. Menurut Lexus, ini akan memberikan rasa lebih padat. Garis bahagian bawahnya juga mengikut pendekatan ini, lebih pendek daripada kebanyakan kereta.

    Perbezaan paling ketara mungkin di bahagian belakangnya, dengan logo besar LEXUS kelihatan lebih menonjol, dan tiada lagi logo L sebelum ini. Jalur lampu melintangnya juga, dengan bentuk L di sisi memberikan menampilan yang khusus.

    Varian dengan enjin 2.5L NA menghasilkan 204 hp dan 243 Nm tork dari 4,000-5,000 rpm. Unit A25A-FKS ini diganding bersama transmisi automatik Direct Shift lapan-kelajuan (NX lama dengan 6AT) dan Dynamic Torque Control AWD. Pecutan 0-100 km/j dalam masa 9.1 saat sementara laju maksimum 200 km/j — enjin untuk pemanduan lancar.

    Namun, enjin 2.4L turbo dengan janaan 275 hp dan 430 Nm dari 1,700 hingga 3,600 rpm pada F Sport tentunya lebih menarik. Unit T24A-FTS ini menggabungkan 8AT yang sama serta AWD sepenuh masa kawalan elektronik dan mencatatkan 0-100 km/j dalam masa 7 saat, dan laju maksimum yang sama 200 km/j.

    Nisbah mampatan tinggi dan kecekapan thermal dalam enjin 2.4T, disertai dengan sudut injap dan silinder berkecekapan tinggi yang diperbesar memberikan pembakaran lebih pantas, menyumbang janaan kuasa lebih tinggi dan prestasi mesra alam.

    Enjin turbo berkenaan juga menampilkan ciri suntikan minyak pusat Lexus yang pertama, yang mana petrol disuntik oleh penyuntik multi-lubang pada tekanan tinggi ke tengah kebuk pembakaran, menjadikan pembakaran optimum dan lengkap. Unit pengecas turbo kini berkecekapan tinggi dengan sistem penyejuk sendiri, yang menggunakan pam elektrik serta intercooler sejukan cecair.

    NX 250 ada mod pemanduan Normal, Eco dan Sport, sementara varian F Sport mempunyai Normal, Eco, Sport S, Sport S+ dan Custom. Beza antara Sport S dan Sport S+ adalah yang kedua ini membolehkan larasan sistem Adaptive Variable Suspension (AVS) dan stereng kuasa elektrik lebih dinamik.

    AWD sepenuh masa kawalan elektronik merupakan yang pertama bagi model Lexus. Agihan tork antara gandar depan dan belakang berbeza dari 75:25 hingga 50:50, bergantung kepada situasi, dan status akan dipaparkan.

    F Sport turut menerima AVS dan penyerap hentak prestasi di depan dan belakang untuk karektor lebih sporty. Kedua-dua varian 250 dan 350 ini menggunakan rim 20-inci aloi dengan tayar 235/50, tetapi dengan penyudah yang berbeza — kelabu gelap bagi Luxury dan hitam berkilau untuk F Sport. Perbezaan lain F Sport adalah rekaan grilnya, bucu bampar depan yang 18 mm lebih rendah, bingkai gril hitam, perumah cermin sisi hitam, landasan bumbung hitam dan lencana F Sport di sisi.

    Lexus NX 2022 di Malaysia — spesifikasi dan perincian lokal, NX 250 Luxury, NX 350 F Sport, dari RM371k

    Ruang dalaman pula mempamerkan perubahan yang lebih banyak. Antaranya, kini tiada lagi Remote Touch Controller yang bermasalah digunakan. Kokpitnya menerapkan konsep Tazuna yang dipertontonkan pada model LF-30 Electrified yang dipamer ketika Tokyo Motor Show 2019 — sebuah konsep yang “menghubungkan pemandu dengan kereta agar lebih memberi tumpuan kepada pemanduan”. Ini melibatkan penggunaan skrin 14-inci yang enam-inci lebih besar berbanding yang lama.

    Skrin besar berkenaan dikelilingi beberapa tombol kawalan fizikal. Butang penghidup enjin dan pemilih mod pemanduan misalnya ditempatkan dalam kedudukan agar pemandu boleh mencapainya dengan mudah tanpa mengubah postur memandu mereka. Menurut Lexus, jumlah suis fizikal telah dikurangkan daripada 78 kepada 45, hanya untuk fungsi yang kerap digunakan.

    Skrin baru itu juga membawa bersama sistem baru. Menu dipaparkan sebagai ikon lebih dekat dengan pemandu, dan tataletak skrin dibahagi kepada kawasan yang mengikut butiran maklumat berkaitan. Sambungan telefon melalui Android Auto dan Apple CarPlay; yang kedua adalah sambungan tanpa wayar, pertama untuk Lexus.

    Lexus NX 2022 di Malaysia — spesifikasi dan perincian lokal, NX 250 Luxury, NX 350 F Sport, dari RM371k

    Touch Tracer Operation yang menggabungkan head-up display dengan suis sensor sentuh pada stereng juga memudahkan lagi pengguna. Ketika pemandu menyentuh butang stereng, panduan operasi dipaparkan pada HUD 10-inci (atau panel meter digital ketika HUD ditutup). HUD berkenaan menawarkan tiga mod dengan maklumat serta tataletak berbeza.

    Dengan tiada lagi Remote Touch Controller, Lexus memasukkan pula ciri pengecas tanpa wayar Qi. Sistem bunyi pula Lexus Premium Sound System dengan amp Pioneer dan 10-pembesar suara, termasuk subwoofer berkapasiti besar.

    Lantai ruang kargo pula 34 mm lebih panjang, memberikan peningkatan 14% ruang kargo kepada 520 liter. Ini boleh ditingkatkan lagi kepada 1,411 liter dengan 60:40 ketika kerusi belakang dilipat (dengan kuasa elektrik pada NX 250 Luxury). Pintunya ada ciri bukaan automatik dengan gerak kaki, melibatkan motor baru yang lebih pantas separuh daripada masa bukaan sebelum ini (empat saat kini) dan lebih senyap.

    Lexus NX 2022 di Malaysia — spesifikasi dan perincian lokal, NX 250 Luxury, NX 350 F Sport, dari RM371k

    Aspek keselamatan, NX lengkap dan meyakinkan. Ia hadir dengan Lexus Safety System+, yang termasuk ciri seperti Pre-Collision System (PCS), Dynamic Radar Cruise Control (DRCC) dengan Stop & Go Function, Lane Keeping System (dengan Lane Tracing Assist dan Lane Departure Alert) serta Adaptive High-beam System (AHS). Kamera undurnya mempunyai pandangan panoramik dan ada tujuh beg udara termasuk untuk lutut pemandu.

    Lapan pilihan warna ditawarkan, termasuk warna eksklusif untuk F-Sport, White Nova dan Heat Blue. Kabin F Sport boleh dipilih antara hitam sepenuhnya atau Flare Red.

    Merupakan model CBU, Lexus NX 250 Luxury ini dijual pada harga RM370,888 sementara NX 350 F Sport pula pada harga RM389,888. Harga adalah atas jalan tidak termasuk insurans, termasuk cukai jualan, bermaksud serahan akan dilakukan selepas 30 Jun. Tempahan sudah dibuka.

     
     
  • JPJ tidak akan berkompromi dengan pengendali kenderaan perdagangan yang langgar undang-undang

    JPJ tidak akan berkompromi dengan pengendali kenderaan perdagangan yang langgar undang-undang

    Pada 12 Mei 2022, satu insiden menyayat hati telah berlaku di Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran Terowong Menora, apabila sebuah kereta yang membawa lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) rentung dalam kebakaran selepas berlanggar dengan dua treler.

    Insiden terbabit telah mengorbankan nyawa kelima-lima pelajar terbabit, selepas kereta yang mereka naiki dirempuh dari arah belakang oleh treler yang membawa muatan besi pagar sebelum melanggar pula treler yang sarat dengan muatan jubin.

    Ekoran kejadian berkenaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang ketidakpatuhan mana-mana pengendali kenderaan perdagangan di Malaysia. Tindakan siasatan di bawah audit Tataamalan Industri Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Bagi Aktiviti Pengangkutan Jalan 2010 (ICOP) bersama-sama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sedang dilaksanakan untuk menentukan bentuk tindakan undang-undang yang boleh diambil.

    “Sekiranya hasil siasatan daripada ICOP mendapati pemandu dan pengendali gagal mematuhi syarat dan permit perkhidmatan oleh APAD dan JPJ, Permit dan Lesen Pengendali boleh digantung atau dibatalkan berdasarkan peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

    “Manakala, tindakan penggantungan lesen memandu boleh diambil oleh JPJ berdasarkan peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 sekiranya pemandu dituduh di mahkamah,” ujar kenyataan yang dikeluarkan JPJ sebentar tadi.

    JPJ tidak akan berkompromi dengan pengendali kenderaan perdagangan yang langgar undang-undang

    Selain itu, siasatan PDRM juga akan menentukan sabitan kesalahan di bawah Seksyen 41(1) Akta 333 APJ, kepada pemandu terbabit untuk hukuman Mahkamah serta, pemandu terbabit juga akan hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh yang ditentukan Mahkamah.

    Untuk makluman, hasil semakan dalam pengkalan sistem mySIKAP JPJ mendapati, pemandu treler terbabit mempunyai lapan rekod kesalahan yang telah selesai dan satu rekod kesalahan masih aktif dengan 12 mata demerit di bawah Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA). Jumlah mata demerit yang dikumpul akan memberi kesan kepada penggantungan atau pembatalan lesen memandu.

    “JPJ ingin menegaskan bahawa usaha JPJ termasuk pelaksanaan Larangan Kenderaan Barangan (Road Ban) sempena Perayaan Hari Raya Aidilfitri Tahun 2022 lalu adalah bermatlamat untuk memastikan nahas seperti ini dapat dielakkan sekaligus menurunkan kadar kemalangan di Malaysia.

    Pada masa sama, semua pengendali syarikat, pemandu dan pemilik kenderaan perdagangan disarankan untuk sentiasa mematuhi segala peraturan dan undang-undang jalan raya bagi meningkatkan tahap keselamatan jalan raya sekaligus mewujudkan ekosistem jalan raya yang selamat di negara ini. Diharapkan kejadian seperti ini tidak akan berlaku lagi pada masa akan datang,” tegas JPJ lagi.

    Salam takziah untuk keluarga kelima-lima pelajar terbabit. Moga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan mereka yang beriman.

     
     
  • Proton Saga MC2 2022 – kenapa masih facelift, tiada model generasi baru walaupun sudah 6 tahun?

    Proton Saga MC2 2022 – kenapa masih facelift, tiada model generasi baru walaupun sudah 6 tahun?

    Proton Saga generasi ketiga telah diperkenalkan buat pertama kali pada September 2016, bermakna ia sudahpun berada hampir enam tahun dalam pasaran. Ia telah diberikan versi facelift pertama (MC1) pada 2019, dan kemudian semalam versi facelift kali kedua (MC2) telah dilancarkan secara rasmi.

    Jika kita lihat model-model dari luar seperti Jepun dan Eropah, satu-satu generasi model itu hanya akan dijual sekitar enam tahun dalam pasaran, dan kemudian akan diganti dengan model generasi baharu. Tetapi Saga menerima facelift baharu ketika ia mencapai usia produksi hampir enam tahun, menandakan hayatnya dalam pasaran mungkin akan bertambah sekurang-kurangnya sekitar antara dua hingga tiga tahun lagi.

    Kenapa jadi macam ni? Kenapa Proton masih menjual model ‘lama’ ini dalam pasaran dan tidak diganti dengan model generasi baharu? Selepas pelancaran Saga MC2 2022 semalam, kami sempat bertanyakan soalan ini kepada naib CEO Proton Roslan Abdullah.

    Menurut Roslan, beliau faham berkenaan sentimen awam yang sinis terhadap apa yang Proton lakukan ini. Namun faktanya, Proton masih lagi pengeluar automotif kecil yang bergantung hampir sepenuhnya kepada pasaran Malaysia yang tak sebesar mana, sekaligus tidak mempunyai jumlah jualan yang cukup untuk mendapatkan semula dana bagi membangunkan sebuah model generasi baharu dalam masa yang singkat.

    “Jika kita mahu ikut langkah, contohnya, OEM Jepun [dalam membangunkan model baharu] setiap lima hingga enam tahun, kita perlu jual dalam jumlah lebih banyak untuk pelunasan,” kata Roslan. Apa yang beliau katakan ini secara asasnya bermaksud tanpa skala ekonomi yang besar, Proton masih perlu mengekalkan struktur asas Saga, dalam masa yang sama membuat “penambahbaikkan pada beberapa keperluan bagi memastikan harga jualannya memenuhi jangkaan pelanggan.”

    Roslan turut memberikan contoh terhadap Maruti Suzuki 800 di India yang boleh dikaitkan dengan Saga di Malaysia, di mana hatchback kompak ikonik yang selalu muncul dalam filem Bollywood berkenaan diperkenalkan bermula pada 1986, dan terus diproduksi serta dikemaskini sehingga pengeluarannya dihentikan sepenuhnya pada 2014.

    “Jika kami ubah semuanya, vendor-vendor sudah tentu akan bising kerana jumlah pengeluaran masih belum mencapai sasaran. Kami boleh letakkan harga lebih tinggi agar semua orang gembira, tapi selepas itu sudah tentu pelanggan pula tak gembira.

    “Kami tak boleh terus tukar. Jika pelanggan mampu untuk beli, saya OK, tapi hakikatnya mereka tak boleh,” jelas Roslan.

    Saga merupakan model Proton yang paling mampu milik, bersaing dalam kelas sedan segmen-A bersama Perodua Bezza. Ini bermakna harganya perlu dijual dalam julat yang sama dengan satu-satunya sedan dari Perodua berkenaan, dan tidak boleh lebih dari sedan segmen-B Proton Persona.

    Ketika dilancarkan semalam, Saga MC2 2022 dijual dengan harga bermula RM34,400 untuk Standard MT, RM38,300 untuk Standard AT, RM41,300 untuk Premium. Saga juga kini hadir dengan varian Premium S yang menampilkan perincian lebih sporty dan teknologi lebih baik, dijual pada harga RM44,300, atau sekitar RM1k lebih murah berbanding varian paling asas Persona yang berharga RM45,200.

    Saga turut masih dieksport ke luar negara, termasuk pasaran terbesar Proton buat masa sekarang iaitu Pakistan, di mana ia turut sudah dipasang secara tempatan (CKD) di sana bermula pada Oktober tahun lalu. Roslan menyatakan bahawa ini antara usaha Proton bagi menambahkan lagi jumlah jualannya, mungkin untuk mewajarkan pelaburan yang lebih besar dalam model baharu kelak.

    Untuk perincian penuh berkenaan Saga facelift MC2 2022 ini, anda boleh baca laporan pelancarannya pada PAUTAN INI, dan juga perincian spesifikasi setiap varian termasuk harga pada PAUTAN INI.

    GALERI: Proton Saga 1.3 Premium S AT 2022

    GALERI: Proton Saga 1.3 Premium AT 2022

    GALERI: Proton Saga 1.3 Standard AT 2022

    GALERI: Foto rasmi Proton Saga MC2 2022

     
     
  • Honda CR-V 2023 – gambar pertama model generasi keenam tersebar, masih guna enjin 1.5L VTEC Turbo

    Honda CR-V 2023 – gambar pertama model generasi keenam tersebar, masih guna enjin 1.5L VTEC Turbo

    Dengarnya, Honda CR-V generasi keenam akan diperkenalkan kepada dunia antara hujung tahun ini atau awal tahun hadapan. Walaubagaimanapun, ada kemungkinan ia berlaku lebih awal kerana beberapa gambar SUV tersebut (dikatakan sebagai versi produksi) sudah mula tersebar di dalam internet.

    Garis pada badan kenderaan ini dilihat mengikuti HR-V, seperti yang juga dilihat dalam gambar paten yang tersebar tiga bulan lalu. Antara ciri rekaan yang boleh dilihat adalah bahagian hadapan yang lebih tegak, lampu utama nipis yang memanjang sehingga ke tepi, gril berpetak yang besar serta kemasan L di bucu bampar.

    Gambar kenderaan sebenar ini juga menunjukkan garis tingkap yang kurang menjungkit ke atas sementara di belakang, lampunya yang berbentuk L masih lagi mengikuti konsep seperti model generasi kelima sekarang, tetapi dengan perincian yang sedikit berbeza. Bersama dengan pintu but yang tidak begitu menggelembung, ia kini nampak seakan sebuah Volvo.

    Honda CR-V 2023 – gambar pertama model generasi keenam tersebar, masih guna enjin 1.5L VTEC Turbo

    Pada bahagian lain, muncung ekzos berkembar yang ada di bahagian bawah masih lagi menggunakan bentuk berpetak seperti model generasi kelima (menggantikan bentuk bulat pada model sebelum facelift), tetapi garisnya telah diubah sedikit dan bukaannya nampak lebih besar.

    Selain menunjukkan ini adalah model pasaran China, lencana pada CR-V ini juga menyatakan ia adalah varian Turbo, sekaligus mengesahkan enjin 1.5 liter VTEC Turbo yang dipakai sekarang akan terus digunakan. Kuasa bagaimanapun dijangka lebih tinggi berbanding 193 PS dan 243 Nm yang dihasilkan sekarang.

    Turut dijangka tiba adalah dua penggerak hibrid, dengan yang pertamanya adalah e:HEV seperti Civic yang menawarkan 184 PS dan 315 Nm tork, sementara satu lagi adalah varian plug-in hybrid yang berkemungkinan sama seperti CR-V yang telah dijual di China sejak tahun 2020.

     
     
  • UMWT catat jualan 29,393 unit untuk kereta Toyota, Lexus bagi Jan-Apr 2022; naik 11% berbanding 2021

    UMWT catat jualan 29,393 unit untuk kereta Toyota, Lexus bagi Jan-Apr 2022; naik 11% berbanding 2021

    UMW Toyota Motor (UMWT) Sdn Bhd telah mencatatkan jualan sebanyak 29,393 unit untuk kereta Toyota dan Lexus bagi tempoh empat bulan pertama 2022. Sekaligus menunjukkan peningkatan sebanyak 11% berbanding dengan tempoh yang sama tahun 2021.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan, UMWT turut berkata, pada April 2022, sebanyak 6,868 unit kereta Toyota dan 78 unit Lexus berjaya dijual.

    Presidennya, K Ravindran berkata, syarikat itu kekal komited bagi menawarkan inovasi nilai untuk wang, ditambah dengan teknologi canggih dan ciri keselamatan untuk semua kenderaannya.

    “Peningkatan jualan dari tahun ke tahun adalah disebabkan oleh promosi Hari Raya ‘Bersama Lebih Makna’, yang menawarkan faedah bernilai RM4,000 kepada mereka yang memilih untuk memandu pulang Vios dan Yaris.

    “Walaupun dengan pengumuman mengejut Aidilfitri sehari lebih awal daripada yang dijangkakan, semua pusat servis kami telah bersedia sepenuhnya untuk membantu pelanggan kami dalam perjalanan ‘balik kampung’ mereka,” katanya.

    Malahan syarikat tersebut juga menjangkakan pertambahan jualan berikutan pelancaran produk baharu yang akan datang.

    Selain itu, UMWT juga akan menganjurkan acara ‘Toyota Raya Open House Weekender’ pada 21-22 Mei di semua bilik pamerannya di seluruh negara. Di mana promosi jualan Ramadan akan dilanjutkan sehingga tarikh berkenaan, memberikan peluang kepada pelanggan untuk membeli mana-mana model baharu Toyota bersama ganjaran yang ditawarkan.

     
     
  • Mercedes-AMG A45, CLA45 Edition 55 didedah – versi khas untuk sambut ulang tahun, gaya dipertingkat

    Mercedes-AMG A45, CLA45 Edition 55 didedah – versi khas untuk sambut ulang tahun, gaya dipertingkat

    Tahun ini Mercedes-AMG menyambut ulang tahun yang ke-55, dan bagi meraikannya, mereka mengeluarkan versi istimewa “Edition 55” untuk A 45 dan CLA 45 (badan sedan dan wagon). Model ini menyertai versi Edition 55 yang pernah dikeluarkan sebelum ini untuk A 35, CLA 35 dan G 63.

    Model ini sudah boleh ditempah, sehingga hujung tahun ini, dan menampilkan beberapa peningkatan gaya yang menjadi sebahagian daripada pakej kelengkapan yang ditawarkan kepada pelanggan dengan harga 14,280 euro (RM65,242) atau 12,614 euro (RM57,630) untuk A 45 dan CLA 45 varian S.

    Daripada jumlah yang dibayar itu, pelanggan akan menerima pakej AMG Aerodynamics, yang termasuk splitter hadapan lebih besar, serta kemasan tambahan pada diffuser dan bukaan udara bampar hadapan dan belakang -semuanya dicat warna hitam berkilat.

    Melalui pakej AMG Night Package dan AMG Night Package II yang diberikan standard, kemasan lain seperti berhampiran tingkap dan pelindung cermin sisi juga dijadikan hitam berkilat. Tidak cukup dengan itu, versi istimewa ini juga tampil serba gelap dengan lencana, gril dan muncung ekzos berwarna hitam.

    Mercedes-AMG menawarkan dua warna untuk model Edition 55 ini, iaitu hitam metalik dan putih metalik. Kedua-duanya juga menerima pelekat khas di bahagian tepi yang mempunyai gambar lencana tradisional AMG serta tona dari putih ke lutsinar. Perincian lain adalah seperti rim AMG 19 inci berwarna kelabu titanium dengan hiasan “Edition 55” di tengah, serta penutup tempat mengisi minyak AMG.

    Masuk ke dalam, anda akan melihat tema hitam dan merah, yang digunakan termasuk pada tempat duduk AMG Performance. Roda stereng AMG Performance yang dibalut gentian mikro Dinamica juga diberikan lencana “Edition 55” serta penanda tengah warna hitam.

    Barangan lain yang diberikan terus adalah seperti plet AMG tepi pintu yang menyala, karpet kaki hitam dengan tulisan “Edition 55” serta perincian brushed aluminium. Setiap pembelian juga akan menerima kain penutup kereta warna hitam yang mempunyai logo AMG warna perak.

     
     
  • Susur masuk selepas Tol Kajang ke Seremban/JB ditutup 17 Mei-20 Jun untuk selenggaraan – PLUS

    Susur masuk selepas Tol Kajang ke Seremban/JB ditutup 17 Mei-20 Jun untuk selenggaraan – PLUS

    PLUS Berhad telah mengumumkan jalan susur masuk selepas Plaza Tol Kajang menghala ke Seremban/Johor Bahru di Persimpangan Bertingkat Kajang di Lebuhraya PLUS akan ditutup sementara kepada semua kenderaan pada 17 Mei hingga 30 Jun 2022. Penutupan jalan susur berkenaan dilaksanakan setiap Isnin hingga Khamis mulai jam 10 malam hingga 5 pagi.

    “Penutupan ini bagi membolehkan kerja-kerja penyelenggaraan memotong pokok-pokok besar menggunakan jentera khas dijalankan dengan selamat di sepanjang laluan tersebut.

    “Sebagai pilihan, pengguna lebuh raya boleh membuat pusingan-U sebelum memasuki Plaza Tol Kajang dan menggunakan Lebuh raya SILK dan Besraya untuk ke Bangi. Malahan, pengguna juga boleh memasuki Lebuhraya PLUS melalui Plaza Tol UPM sebagai alternatif untuk perjalanan ke Seremban/Johor Bahru,” ujar PLUS menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Dalam masa yang sama, PLUS turut menasihatkan pengguna lebuh raya yang menggunakan laluan tersebut agar merancang perjalanan serta mematuhi papan tanda arahan yang disediakan oleh pihak PLUS.

     
     
  • Proton Exora bakal terima perubahan besar luaran dan dalaman; guna enjin turbo 1.5L tiga-silinder dari X50?

    Proton Exora bakal terima perubahan besar luaran dan dalaman; guna enjin turbo 1.5L tiga-silinder dari X50?

    Ketika pelancaran Proton Saga facelift 2022 semalam, naib CEO Proton Roslan Abdullah ada menyatakan bahawa MPV tujuh-tempat duduk, Proton Exora turut akan menerima satu lagi penyegaran kecil tahun ini.

    Menurutnya, Exora 2022 ini nanti bakal menerima beberapa perincian baharu, tetapi perubahan yang dibuat adalah “kurang daripada Saga” serta bakal menerima hos penyejuk minyak (OCH) baharu yang lebih tahan dan diharapkan akan menghentikan ‘mimpi buruk’ pemilik-pemilik Exora sedia ada.

    Apa yang menarik, Roslan mendedahkan bahawa memang ada usaha dari Proton untuk memperkenalkan Exora dalam versi yang menerima tingkat taraf lebih besar selepas itu – bukan sahaja akan menampilkan perubahan ketara pada bahagian luaran dan dalaman, malah turut akan melibatkan penggunaan enjin dan kotak gear baharu.

    Beliau tidak mendedahkan enjin apa yang akan digunakan pada Exora tersebut kelak, namun tidak mustahil enjin yang dimaksudkan adalah enjin 1.5 liter turbo tiga-silinder tanpa sistem suntikan bahan api terus (GDI) seperti yang digunakan pada Proton X50 varian Premium dan kebawah buat masa sekarang.

    Ini kerana sebelum ini Proton pernah menyatakan sebarang pembangunan bagi enjin Campro sama ada dalam versi VVT (pada Saga, Iriz dan Persona) dan juga dalam versi CFE Turbo (pada Exora) telah pun ditamatkan, dan ia akan digantikan dengan enjin 1.5L tiga silinder berkenaan yang bakal diproduksi secara tempatan di fasiliti Proton Tanjung Malim.

    Enjin yang digunakan pada X50 Premium, Executive dan Standard tersebut menghasilkan kuasa 150 PS (148 hp) dan tork maksima 226 Nm digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik DCT tujuh-kelajuan, sedikit kurang dari versi dengan sistem GDI pada X50 Flagship yang menjana 177 PS (175 hp) dan 255 Nm.

    Namun ia masih jauh lebih berkuasa dari enjin 1.6L Turbo CFE pada Exora sedia ada yang menghasilkan hanya 138 hp dan tork maksima 205 Nm. Dan yang paling penting, tiada lagi masalah OCH pada Exora sekiranya ia dipadankan dengan enjin 1.5L turbo yang jauh lebih moden, dibangunkan bersama oleh Geely dan Volvo berkenaan.

    Menurut Roslan lagi, Proton kini masih lagi dalam peringkat perbincangan dalaman berkenaan versi baharu Exora dengan perubahan besar tersebut. Perbincangan itu lebih menjurus kepada untuk meyakinkan pengurusan syarikat bahawa model tersebut boleh dijual dalam jumlah yang secukupnya untuk menjana semula dana tambahan yang akan dikeluarkan untuk pembangunannya nanti.

     
     
  • VIDEO: Budak lelaki berusia 10 tahun memandu kereta undang padah, ibu bapa serah diri di IPD Pontian

    VIDEO: Budak lelaki  berusia 10 tahun memandu kereta undang padah, ibu bapa serah diri di IPD Pontian

    Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib, mengesahkan Bahagian Siasatan dan Penguasaan Trafik (BSPT) IPD Pontian telah mengesan video tular pada 10 Mei lalu menerusi laman media sosial Facebook yang memaparkan seorang ibu membiarkan anak lelakinya yang berusia 10 tahun memandu kereta.

    Katanya, video itu memaparkan seorang kanak-kanak lelaki sedang memandu Perodua Kancil berwarna merah yang turut terdapat dua kanak-kanak lain duduk di bahagian hadapan.

    “Berikutan kejadian itu, BSPT menjalankan risikan terperinci dan dapati kejadian itu berlaku jam 7 pagi Selasa lalu (10 Mei) di Pekan Nanas. Video berkenaan dipercayai dirakam oleh anak perempuan wanita terbabit yang berusia 11 tahun menggunakan telefon miliknya.

    “Ibu kepada tiga kanak-kanak berkenaan mengakui Tiktok@shimahali1 yang memaparkan video itu adalah menerusi akaun TikTok miliknya, sebelum ia tular di Facebook dan Whatsapp,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan semalam.

    Berikutan video tular tersebut, wanita terbabit bersama suaminya telah menyerah diri ke IPD Pontian.

    Menurut Mohammad Shofee, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

    “Ibu bapa atau penjaga yang membenarkan kanak-kanak memandu kenderaan di bawah umur boleh didakwa di bawah Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak (AKK) 2001. Selain itu, pemilik kenderaan yang juga ibu atau bapa kanak-kanak berkenaan boleh disaman di bawah Seksyen 39 (5) APJ 1987, ” katanya.

     
     
  • Proton Exora 2022 akan dilancarkan tak lama lagi – terima perubahan kecil seperti Saga MC2, OCH baru

    Proton Exora 2022 akan dilancarkan tak lama lagi – terima perubahan kecil seperti Saga MC2, OCH baru

    MPV tujuh-tempat duduk Perodua Alza akhirnya telah ditamatkan produksinya bulan lalu selepas hampir 13-tahun dalam pasaran dan bakal diganti dengan model generasi baharu tidak lama lagi. Selain Alza, Proton juga mempunyai produk yang hampir serupa iaitu Exora – ia juga MPV tujuh-tempat duduk (tetapi dalam kelas yang lebih besar), dan telah berada dalam pasaran sejak April 2009, atau sudah lebih dari 13-tahun dijual di bilik pameran Proton.

    Adakah Proton turut akan menghentikan produksi Exora dalam masa terdekat dan menggantikannya dengan model generasi baharu? Nampaknya tidak. Ketika pelancaran Proton Saga facelift MC2 2022 semalam, naib CEO Proton Roslan Abdullah menyatakan Exora turut akan menerima satu lagi penyegaran kecil seperti Saga tahun ini, menandakan usianya dalam produksi masih lagi panjang.

    Menurutnya, Exora 2022 ini nanti bakal menerima beberapa perincian baharu, tetapi perubahan yang dibuat adalah “kurang daripada Saga” dan jangan berharap perubahan besar untuk model yang berusia dalam pasaran ini.

    Roslan turut menyatakan bahawa Proton mengambil berat berkenaan isu hos penyejuk minyak (OCH) pada enjin 1.6L turbo CFE yang menghantui pemilik Exora sedia ada, dan menjelaskan bahawa jurutera Proton kini sedang menghasilkan komponen baharu yang beliau harapkan lebih tahan lama.Roslan turut menambah bahawa Proton kini masih sedang secara aktif mencari semula pemilik-pemilik Exora sedia ada yang mengalami masalah berkenaan.

    Proton Exora mula menerima enjin turbo berkenaan pada versi facelift yang diperkenalkan pada tahun 2011. Rupa MPV tersebut tidak banyak berubah sehingga model yang dijual buat masa sekarang. Kali terakhir Exora dikemaskini adalah pada 2019 (dikenali sebagai Exora RC), di mana MPV tersebut menerima talaan kotak gear CVT yang lebih responsif, upholsteri dalaman dengan material yang lebih baik, paparan instrumen lebih moden seperti Persona dan Iriz, sistem infotainmen dengan fungsi arahan suara “Hi, Proton”, serta beberapa perubahan kecil lain.

    Menurut Roslan, Exora masih boleh dijual dalam kuantiti yang konsisten (antara 400 hingga 500 unit sebulan) walaupun hanya menerima perubahan-perubahan kecil sejak ia diperkenalkan. Dengan permintaan yang masih ada, Exora masih akan terus dijual dalam pasaran.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025