Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Touch ‘n Go RFID — penjagaan pelekat lepas dipasang

    Touch ‘n Go RFID — penjagaan pelekat lepas dipasang

    Semakin hampir dengan tarikh pelaksanaan lorong RFID di laluan utama Lebuhraya Utara-Selatan pada 15 Januari ini, PLUS Malaysia menerusi laman Facebook rasmi PLUSMiles ada kongsikan cara penjagaan tag RFID yang telah dipasang di kereta pengguna.

    Ini disenaraikan apa yang boleh dan tidak boleh dibuat terhadap tag RFID, terutama ketika ingin mencuci kenderaan. Kenderaan dengan tag yang baru saja dipasang tidak boleh dicuci dalam tempoh 24 jam selepas itu, tidak kira di mana juga tag itu dilekatkan, sama ada di cermin utama atau di bahagian lampu.

    Selepas tempoh itu, pengguna juga perlu berhati-hati agar tidak menggunakan bahan kimia yang bersifat menghakis ketika mencuci kenderaan mereka, khususnya di bahagian tag RFID itu dilekatkan. Ini tidak pula bermaksud tag RFID itu boleh dicabut sebelum kereta dicuci. Ini kerana, tag berkenaan tidak lagi akan berfungsi jika ia dicabut atau ditanggalkan dari kereta anda.

    Pengguna perlulah berhati-hati ketika mencuci di bahagian tag RFID dilekatkan. Apa yang perlu dilakukan ialah untuk beringat ketika mencuci di kawasan sekitar pelekat itu berada supaya ia tidak rosak atau gagal berfungsi selepas itu.

    Kami juga telah menyediakan laporan berkaitan apa yang perlu anda tahu tentang RFID sebelum menggunakannya. Rujuk pautan ini sebelum anda mula menggunakan RFID. Kad Touch ‘n Go dan SmartTAG bagaimanapun masih lagi boleh digunakan selepas 15 Januari ini, dan hanya akan dimansuhkan penggunaannya secara berperingkat, dan akan dimaklumkan kelak.

     
     
  • Nissan Silvia dilapor bakal muncul kembali sebagai EV

    Nissan Silvia dilapor bakal muncul kembali sebagai EV

    Menurut sebuah laman web dari Jepun, iaitu Best Car Web, Nissan mempunyai perancangan untuk menghidupkan semula nama Silvia pada tahun 2025 melalui satu projek yang dipanggil sebagai “Pure EV Silvia Revival.” Nissan sendiri tidak mengesahkan perkara ini, tetapi laman web itu mendakwa rancangan tersebut berpunca daripada lukisan render yang dihasilkan oleh timbalan presiden Nissan Design Europe, Matthew Weaver September lalu.

    Model yang dihasilkan dalam render tersebut mengambil banyak inspirasi daripada Silvia pertama, yang menggunakan nama kod CSP311 dan diperkenalkan pada tahun 1964 di Tokyo Motor Show. Antara yang boleh dilihat jelas adalah garis badan yang bersambung dari depan, ke tepi dan belakang.

    Weaver juga dapat menggunakan rekaan yang lebih licin dan kemas memandangkan kereta elektrik tidak memerlukan banyak lubang udara untuk sistem penyejukan. Ruang antara lampu kiri dan kanan ditutup sepenuhnya sementara lampu juga menggunakan bentuk bulat seperti CSP311.

    Nissan Silvia dilapor bakal muncul kembali sebagai EV

    Silvia yang pertama juga dikenali sebagai Datsun Coupe 1500, dan pada waktu itu, ia dibina atas platform yang sama dengan Fairlady. Model ini hanya dikeluarkan dalam jumlah yang terhad, iaitu 554 unit sahaja antara tahun 1965 hingga 1968 dan Nissan juga memberitahu dalam siaran akhbar berkenaan render Weaver bahawa “ada pekerja kami yang sudah lama pun belum pernah melihatnya betul-betul di depan mata.”

    Selepas CSP311, nama Silvia tidak lagi digunakan sehinggalah ia dibawa kembali pada tahun 1975 untuk model S10 yang menggunakan platform S Nissan. Dari waktu itu, nama Silvia terus digunakan untuk S110, S12 dan generasi yang paling dikenali ramai, iaitu S13, S14 dan S15. Model terakhir yang menggunakan nama Silvia adalah S15, dan pengeluarannya telah pun dihentikan pada tahun 2002.

    Render yang dihasilkan oleh Weaver ini bukanlah satu-satunnya rekaan semula model retro moden oleh Nissan, kerana pada tahun 2013, mereka telah menunjukkan model konsep IDx yang mengambil inspirasi daripada Datsun 510. Sehingga kini, model tersebut masih belum menjadi realiti tetapi melalui strategi produk baru mereka yang melihatkan kelahiran Z baru, kemungkinannya seperti ada. Harap-harap betullah ya.

     
     
  • Ford Ranger Raptor R 2022 mungkin dapat enjin V8

    Ford Ranger Raptor R 2022 mungkin dapat enjin V8

    November tahun lalu, Ford telah mendedahkan buat kali pertama Ranger 2022, dengan varian paling tinggi yang ditawarkan adalah Wildtrak, menggunakan enjin diesel turbo 3.0 liter V6 yang diambil daripada F-150. Bagi yang merasakan ia masih lagi tidak cukup, ini ada khabar yang menggembirakan.

    Menurut laporan CarsGuide, dua eksekutif paling tinggi Ford, iaitu timbalan presiden pembangunan produk global, Trevor Worthington dan pengarah sukan permotoran global Ford Performance, Mark Rushbook telah menyatakan secara terbuka bahawa mereka mahu menghasilkan sebuah Ranger Raptor “ultimate“, ataupun Raptor R.

    Untuk mendapatkan lebih kefahaman tentang perkara ini, mari kita lihat kepada Bronco Desert Racer, iaitu sebuah SUV spesifikasi lumba yang dipacu oleh enjin Coyote V8 5.0 liter. Ia akan dibangunkan oleh syarikat sama yang membuat Ford GT, iaitu pakar kejuruteraan lumba dari Kanada, Multimatic.

    Ford Ranger Raptor R 2022 mungkin dapat enjin V8

    Worthington mengaku terdapat potensi untuk menghasilkan Ranger Raptor dengan semangat yang sama seperti Bronco DR, dan beliau juga menambah bahawa “terdapat banyak peluang” untuk perkara ini berlaku kerana asas Bronco dan Ranger dibangunkan oleh pasukan Ford di Australia.

    Tambah menarik lagi, Rushbrook menyatakan terdapat banyak komponen mekanikal yang sama antara Bronco dan Ranger. Beliau juga mengangguk apabila ditanya sama ada Ranger Raptor V8 akan menjadi tarikan bagi pasaran Australia. Walaubagaimanapun, kedua-dua individu ini tidak memberi pengesahan tentang projek tersebut.

    Apabila masuk ke pasaran nanti, Ranger Raptor akan bersaing terus dengan Toyota GR Hilux serta Volkswagen Amarok V6, dan harganya mungkin akan jadi lebih tinggi berbanding AUD$75,000 (RM226k) bagi Ranger Raptor sekarang. Walaupun begitu, Wothington masih yakin terdapat tempat untuk kenderaan sebegitu dalam pasaran Australia.

     
     
  • Mitsubishi Ralliart bawa model konsep talaan Delica, Eclipse Cross, Outlander dan lain-lain ke TAS 2022

    Mitsubishi Ralliart bawa model konsep talaan Delica, Eclipse Cross, Outlander dan lain-lain ke TAS 2022

    Selain dari Vision Ralliart Concept, badan penala rasmi yang telah dihidupkan semula berkenaan turut akan membawa pelbagai lagi model-model konsep ubahsuai berdasarkan model-model produksi Mitsubishi ke Tokyo Auto Salon 2022 yang akan berlangsung bermula 14 hingga 16 Januari ini.

    Buat masa sekarang, Mitsubishi sememangnya tiada model-model sedan mahupun hatchback yang masih dijual di Jepun, jadi model-model konsep ubahsuai ini adalah berdasarkan barisan model MPV, SUV dan juga Kei-Car jenama tiga berlian berkenaan.

    Yang pertama adalah Mitsubishi Delica D:5 yang digelar sebagai Tough x Tough. Tidak seperti Delica generasi terdahulu di mana kita di Malaysia mengenalinya sebagai van, Delica generasi terbaharu di Jepun kini merupakan sebuah model MPV. Namun ini tidak menghalang ia untuk menerima sentuhan Ralliart untuk kelihatan lebih lasak.

    Antara ubahsuai yang diberikan pada Mitsubishi Delica D:5 Tough x Tough Ralliart ini termasuk suspensi yang ditinggikan bagi memberi lebih jarak kelegaan tanah, pelindung plastik untuk kesemua ruang roda, tayar off-road, bar lampu LED di atas cermin hadapan, gril baharu, bull bar, pemijak sisi, pelindung bawah badan dan juga kotak simpanan pada bumbung.

    Delica D:5 yang nampak bersedia untuk meredah hutan ini turut diberikan jalur badan ikonik Ralliart pada sisi sebelah bawah, kemasan merah pada perumah lampu kabus dan penutup cermin sisi serta mudflap untuk kesemua ruang roda bagi membuatkan ia nampak seperti jentera rali.

    Satu lagi model konsep lasak digelar sebagai Outlander Wild Adventure Style, yang semestinya diasaskan dari SUV segmen-C Mitsubishi Outlander generasi terkini. Menurut Mitsubishi, SUV ini dihasilkan unuk pemandu yang gemarkan aktivi luar, dan ia turut menerima pelbagai aksesori dari jenama kelengkapan aktiviti lasak Jepun iaitu Ogawa.

    Antara kelengkapan yang telah diberikan pada Outlander Wild Adventure Style ini termasuk rak bumbung, penunda treler dan juga peralatan perkhemahan dari Ogawa. Ia juga menerima banyak kemasan-kemasan badan perak dan krom, serta dilengkapi dengan bar sisi, pelindung bampar belakang manakala badannya dilayangkan dengan warna badan yang digelar Black Diamond.

    Selain dari konsep-konsep lasak, Mitsubishi turut membawa konsep untuk ubahsuai jalan raya yang digelar Ralliart Style, yang dihasilkan dari crossover segmen-B Mitsubishi Eclipse Cross dan sekali lagi, Mitsubishi Outlander. Kedua-dua model tersebut menerima warna badan putih bersama serlahan-serlahan merah dan perincian-perincian Ralliart seperti pelekat jalur badan dan mudflap.

    Untuk kategori Kei, Mitsubishi mempersembahkan K-EV Concept X-Style, iaitu Kei-Car berkuasa elektrik sepenuhnya yang dijadualkan akan diperkenalkan dalam bentuk model produksi pada tahun ini. Tiada sebarang perincian teknikal didedahkan untuk model ini, tetapi rupanya agak seiras dengan Kei-Car produksi sedia ada iaitu Mitsubishi eK X.

    Model konsep ini diberika warna badan dua tona yang terdiri dari rona biru solid kusam dan juga bumbung dengan warna tembaga (dikatakan sebagai mewakili gegelung dalam motor elektrik). Grafik logo X juga dilihat dilekat pada badan K-EV Concept X-Style berkenaan

    Akhir sekali, Mitsubishi turut akan membawa model konsep ubahsuai Minicab-MiEV B-Leisure Style. Ia dihasilkan dari kenderaan komersial kompak (Kei-Truck/Kei-Van) Mitsubishi Minicab-MiEV, dan disifatkan sebagai kenderaan komersil elektrik dalam kelas tersebut yang dibekalkan dengan kelengkapan perniagaan dan perkhemahan solo.

    Jadi anda boleh lihat Kei-Van elektrik ini diberikan awning, meja perkhemahan, dan juga katil lipat, manakala pada sebelah dalam ia direka dengan lantai rata serta diberikan meja rendah, kerusi dan permaidani. Ia juga hadir dengan MiEV Power Box, yang membolehkan bateri utama van berkenaan digunakan untuk menghidupkan peralatan elektrik seperti pembuat kopi dan komputer laptop.

     
     
  • Pengecas pantas Shell Recharge EV di M’sia mulakan operasi — pengecas 180 kW DC di enam stesen

    Pengecas pantas Shell Recharge EV di M’sia mulakan operasi — pengecas 180 kW DC di enam stesen

    Mac tahun lalu, Shell dan Porsche Asia Pacific umumkan rancangan untuk melaksanakan rangkaian pengecas prestasi tinggi (HPC), yang pertama melangkaui sempadan di Asia Tenggara, untuk kereta elektrik untuk membolehkannya digunakan dengan selesa dalam perjalanan antara Semenanjung dan Singapura.

    Rangkaian baru itu, yang melibatkan 12 pengecas di enam stesen Shell yang terletak di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan di Malaysia, kini telah bermula dengan pengenalan lokasi pertama di stesen Shell kawasan rehat Tangkak (arah Selatan), yang akan beroperasi secara rasmi bermula esok.

    Ini kemudiannya akan diikuti oleh pengenalan di stesen Shell R&R Seremban (arah Utara), R&R Seremban (arah Selatan), R&R Pagoh (arah Selatan), RTC Simpang Pulai (arah Utara) dan R&R Tapah (arah Selatan). Tahun lalu, syarikat berkaitan memaklumkan yang rangkain tersebut akan tersedia menjelang separuh pertama 2022.

    Setiap daripada enam stesen terbabit akan dilengkapi dengan pengecas pantas 180 kW DC yang menampilkan dua penyambung CCS Type 2. Tetapan itu membolehkan sebuah kenderaan dicas pada kadar penuh 180 kW, atau dua kenderaan pada kadar 90 kW setiap satunya dalam satu masa.

    Pengecas pantas Shell Recharge EV di M’sia mulakan operasi — pengecas 180 kW DC di enam stesen

    Rangkaian HPC Shell ini akan melengkapi rangkaian pengecas EV lain syarikat itu yang sedia ada, terdiri daripada 18 tempat mengecas “Reserve + Shell Recharge” di Malaysia serta 18 pengecas pantas 50 kW Shell Recharge serta 87 pengecas awam Greenlot di Singapura.

    Menurut Shell, ada tiga kaedah bagaimana pengguna boleh memanfaatkan rangkaian 180 kW Recharge tersebut. Pertama, melalui cara bayar ikut penggunaan. Terbuka kepada semua pengguna EV, tanpa ada langganan diperlukan untuk ini. Di Malaysia, bayaran yang dikenakan adalah RM4 yuran pengesahan dan RM20 bagi setiap lima minit pengecasan untuk 25 minit pertama, dengan RM20 bagi setiap lima minit berikutnya. Ini akan menjadikan jumlahnya RM240 sejam (atau RM244 dengan yuran pengesahan).

    Cara kedua ialah melalui langganan selama setahun, yang menawarkan status Gold Member. Kos langganan ialah RM835 setahun, tetapi ini menawarkan kepada pelanggan kadar pengecasan lebih murah — bagi 10 jam pertama setiap tahun, pengguna akan membayar RM12 bagi setiap lima minit untuk 25 minit pertama, diikuti dengan RM5 bagi setiap tambahan lima minit berikutnya (yuran pengesahan RM4 kekal).

    Ini menjadikan kadarnya RM95 sejam (atau RM99 dengan yuran pengesahan) dengan langganan. Selepas 10 jam pertama itu digunakan, tambah nilai kuota disediakan pada kadar RM80 sejam, walaupun kadar standard akan dikenakan kemudiannya.

    Pengecas pantas Shell Recharge EV di M’sia mulakan operasi — pengecas 180 kW DC di enam stesen

    Langganan juga menawarkan 10% pulangan tunai bagi semua stesen pengecas di Shell Recharge AC, serta kemudahan untuk menempah ruang mengecas melalui aplikasi ParkEasy — selepas pengesahan dan tempahan, ruang berkenaan akan dikhaskan untuk anda sehingga tempoh sejam sebelum ketibaan anda.

    Ketiga, ia eksklusif untuk pengguna Porsche EV, dengan keahlian Platinum percuma selama tiga tahun diberikan untuk setiap pembelian model Taycan. Kadarnya juga lebih rendah — bagi 12 jam pertama yang digunakan setiap tahun, pengguna akan membayar RM10 bagi setiap lima minit bagi 25 minit pertama. Ini diikuti dengan RM5 bagi tambahan setiap lima minit selepas itu (RM4 yuran pengesah juga masih kekal).

    Ini menjadikan kadar RM85 sejam (RM89 dengan yuran pengesahan). Tambah nilai kuota selepas 12 jam penggunaan juga ada pada kadar RM60 sejam, dengan kadar standard untuk pengecasan. Pemilik Taycan dari Malaysia juga boleh menikmati diskaun eksklusif sebanyak SGD 0.10 per kWh daripada kadar dikenakan ketika mengecas di Singapura, sah untuk 600 kWh pertama setahun.

    Sebagai tambahan, pengguna Porsche juga akan boleh memanfaatkan pengecas prestasi tinggi 175 kW yang tersedia di empat Pusat Porsche di negara ini.

     
     
  • Siri plat pendaftaran AMG dibuka bidaan pada 16 Jan

    Siri plat pendaftaran AMG dibuka bidaan pada 16 Jan

    Jika anda peminat atau mungkin pemilik kenderaan Mercedes-AMG, inilah masanya untuk mendapatkan siri plat nombor pendaftaran dari negeri Perak ini. Ia sebenarnya siri plat nombor pendaftaran biasa, tapi nampak macam istimewa pula.

    Siri plat nombor pendaftaran AMG ini bakal dibuka bidaan pada 16 Januari 2022. Tempoh bidaannya menerusi JPJeBid adalah selama lima hari, dan bakal berakhir jam 10 malam pada 20 Januari ini. Seperti biasa, keputusan bidaannya akan dipaparkan pada keesokan harinya, 21 Januari 2022. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida boleh mengetahui sebarang perkhabaran atau keputusan menerusi e-mel.

    Selain nombor digit tunggal ‘VIP’, nombor yang bakal menjadi rebutan pastinya ‘8’ atau gabungan digit menarik termasuk ‘8055’, serta yang sinonim dengan model Mercedes-AMG seperti ’63’ dan ’45’ yang begitu popular.

    Bukan setakat itu sahaja, Mercedes juga ada mengeluarkan beberapa model AMG prestasi asas dengan siri ’35’ (A-Class, A-Class Sedan, GLB) dan ’43’ (C-Class, C-Class Coupe, GLC). Begitu juga dengan ’53’ bagi CLS dan GLE Coupe. Jika anda berminat mendapatkan siri plat nombor pendaftaran AMG ini, jangan lupa tarikh 16 Januari ini untuk mula membida. Untuk kos bidaan, tertakluk pada ketetapan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Perak dan anda boleh mengetahuinya menerusi laman Facebook organisasi terbabit.

     
     
  • Proton sokong inisiatif k’jaan menerusi baucar RM1k untuk baikpulih kenderaan yang rosak akibat banjir

    Proton sokong inisiatif k’jaan menerusi baucar RM1k untuk baikpulih kenderaan yang rosak akibat banjir

    Proton telah menyatakan sokongannya terhadap inisiatif kerajaan menerusi pemberian Baucar Diskaun Automotif Keluarga Malaysia kepada rakyat Malaysia yang terjejas akibat banjir besar baru-baru ini. Baucar bernilai RM1,000 akan diterima oleh Proton sebagai pembayaran untuk baikpulih kenderaan yang rosak akibat banjir. Ia juga adalah sebahagian daripada program bantuan banjir yang telah diumumkan oleh Proton sebelum ini iaitu diskaun sebanyak 50% untuk alat ganti terpilih, 25% diskaun kos buruh serta perkhidmatan tunda kenderaan serta pembersihan luaran kenderaan secara percuma.

    “Dengan begitu ramai rakyat Malaysia yang terjejas akibat banjir baru-baru ini, sebarang bentuk bantuan yang diberikan adalah suatu pemberian yang tidak ternilai. Proton menyahut seruan untuk melangkah ke hadapan dan ingin mengumumkan bahawa kami menyokong penuh inisiatif baucar diskaun automotif kerajaan,” ujar kenyataan yang dikeluarkan oleh Proton.

    “Kerosakan yang disebabkan oleh banjir pada akhir tahun lalu tidak pernah berlaku sebelum ini dan beribu-ribu kenderaan pemilik Proton telah terjejas teruk. Sehingga kini, pusat servis kami telah menerima 1,023 kenderaan yang rosak akibat banjir dan kami menjangkakan lebih banyak lagi jumlahnya dalam beberapa minggu akan datang. Justeru, inisiatif menerusi bancar diskaun ini amat dihargai kerana ia dapat membantu pemilik kami untuk kembali ke jalan raya secepat mungkin,” ujar Timbalan CEO baharu Proton Roslan Abdullah.

    Bagi kenderaan yang diisytiharkan ‘total loss’, Proton juga akan menerima baucar RM1,000 untuk menjadi sebahagian daripada bayaran pendahuluan (downpayment) untuk pembelian kereta baharu, tertakluk pada terma dan syarat. Hubungi pusat servis rasmi berhampiran untuk maklumat lanjut.

    Proton sokong inisiatif k’jaan menerusi baucar RM1k untuk baikpulih kenderaan yang rosak akibat banjir

    Seperti yang diumumkan pada 30 Disember lalu, menerusi Kemudahan Bantuan Bencana di bawah Bantuan Banjir Keluarga Malaysia yang komprehensif, kerajaan telah mengumumkan inisiatif Baucar Diskaun Automotif Keluarga Malaysia sehingga RM1,000 kepada warganegara yang layak adalah untuk pembaikan atau penggantian kenderaan penumpang persendirian termasuk motosikal, trak pikap dan van bertingkap yang rosak akibat banjir.

    Inisiatif itu dilaksanakan menerusi usaha sama antara kerajaan dan 19 buah syarikat automotif yang mengambil bahagian. Di mana syarikat terbabit menawarkan diskaun sekurang-kurangnya diskaun 15% bagi kerja pembaikan serta kos tunda kenderaan secara percuma dan kerajaan akan menyediakan baucar diskaun sehingga RM1,000 yang sah sehingga 31 Mac 2022

    19 syarikat automotif terbabit termasuklah Perodua, Proton, UMW Toyota Motor, Tan Chong Motor, Honda Malaysia, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) dan Volvo Car Malaysia.

    Selain itu TC Euro Cars (Renault), Mercedes-Benz Malaysia, BMW Malaysia, Sime Darby Motor Group (untuk Ford, Hyundai dan lain-lain), Bermaz (Mazda, Peugeot dan KIA), TC Subaru, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM), Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd, Boon Siew Honda Sdn Bhd, MODENAS, Mofaz Motorsikal Sdn Bhd dan KMSB Motors Sdn Bhd (Suzuki) turut mengambil bahagian.

     
     
  • Mitsubishi Xpander 2022 — model facelift bakal dilancar di Thailand tidak lama lagi, CVT ganti 4AT

    Mitsubishi Xpander 2022 — model <em>facelift</em> bakal dilancar di Thailand tidak lama lagi, CVT ganti 4AT

    Mitsubishi Xpander facelift bakal diperkenalkan di Thailand dalam masa terdekat, beberapa bulan selepas MPV yang diperkemas itu ditunjuk di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2021. Menurut Headlightmag, Xpander baru itu akan dilancarkan pada Mac.

    Pembaharuan yang dilakukan terhadap MPV berkenaan termasuklah wajah depan Dynamic Shield baru dengan lampu posisi LED rekaan semula, lampu utama bentuk T yang lebih menarik (LED untuk varian lebih tinggi), pintu ruang belakang dengan rekaan baru lampu LED gabungan serta bampar belakang baru. Model paling lengkap datang dengan rim 17-inci aloi.

    Jika MPV ini nampak lebih seimbang penampilannya, itu adalah kerana Mitsubishi melakukan sedikit perubahan kepada profilnya. Overhang bahagian depan ditambahn 75 mm, sementara ruang belakang dipanjangkan sebanyak 45 mm. Ia lebih tinggi 20 mm, dengan jarak kelegaan tanah 225 mm, yang paling tinggi dalam kelasnya.

    Mitsubishi Xpander 2022 — model <em>facelift</em> bakal dilancar di Thailand tidak lama lagi, CVT ganti 4AT

    Dari sudut casis, Xpander baru ini menerima mounting strut depan yang ditinggikan, manakala penyerap hentak belakang diberikan silinder yang lebih besar. Injap penyerap hentak prestasi tinggi digunakan untuk semuanya, meningkatkan kualiti pemanduan.

    MPV tujuh-tempat duduk ini masih menggunakann enjin 4A91 1.5 liter empat-silinder petrol, menghasilkan 105 PS dan 141 Nm tork. Kali ini, CVT menggantikan kotak gear automatik empat-kelajuan, yang didakwa akan memberikan kecekapan bahan api lebih baik. Ini turut disumbangkan oleh sistem kitaran gas ekzos luaran (EGR).

    Ciri tambahan lain termasuk brek parkir elektronik dengan fungsi Auto Hold, paparan skrin sentuh lapan-inci (unit di Malaysia saiz sembilan inci), kawalan pendingin hawa zon tunggal dengan paparan digital serta roda stereng baru.

    Konsol tengah juga menerima rekaan baru untuk menempatkan ruang terbuka yang lebih luas, dengan ada penawaran datang bersama perehat lengan yang boleh menempatkan botol minuman 600 ml botol minuman. Kelengkapan lain termasuk USB Type A dan Type C yang terletak di belakang.

    Di Indonesia, Xpander baru ini ditawarkan dalam enam warna — Quartz Metallic Pearl, Graphite Grey Metallic, Jet Black Mica, Red Metallic, Deep Bronze Metallic, dan warna baru Blade Silver Metallic. Bila pula agaknya model ini sampai di sini?

     
     
  • BMW Malaysia, Tian Siang pasang stesen pengecas EV di Hotel Prestige dan Hotel Light di Pulau Pinang

    BMW Malaysia, Tian Siang pasang stesen pengecas EV di Hotel Prestige dan Hotel Light di Pulau Pinang

    BMW Group Malaysia dan Tian Siang Premium Auto telah menambah tiga lagi fasiliti BMW i Charging di Pulau Pinang, iaitu di Hotel Prestige di George Town dan Hotel Light di Seberang Jaya.

    “Kami telah bekerjasama rapat dengan pengedar rangkaian kami bagi memperkenalkan BMW i pada 2015 untuk memastikan infrastruktur pengecasan yang diperlukan disediakan untuk memacu mobiliti elektro di negara ini. Kami di BMW percaya dengan masa depan elektrifikasi, dan berkongsi tanggungjawab ini dengan semua pihak termasuk rakan pengedar kami seperti Tian Siang Premium Auto,” kata Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia.

    Sementara itu, Tan Ka Kin dari Tian Siang Premium Auto pula berkata, “Sebanyak tiga fasiliti BMW i Charging baharu telah ditambah di Pulau Pinang. Sehingga kini, kami telah pun mempunyai 10 fasiliti sedia ada yang diperkenalkan sebelum ini di Ipoh dan Pulau Pinang. Kami juga akan terus mengembangkan lagi infrastruktur pengecasan di negeri-negeri ini, serta berharap dapat memperkukuhkan lagi keyakinan pengguna terhadap mobiliti elektrik yang dilihat berkembang secara progresif dalam beberapa tahun kebelakangan ini.”

    Stesen pengecasan tersebut menempatkan Wallbox dengan operasi tiga-fasa 11 kW dan Type 2. Sebelum ini, Tian Siang telah memasang fasiliti BMW i Charging di Ipoh (Hotel WEIL, Banjaran Hotsprings Retreat) dan Pulau Pinang (Gurney Paragon Mall dan Hotel Iconic).

     
     
  • Kia Carnival 2022 dilancar secara rasmi untuk Malaysia – satu varian 2.2D 11 tempat duduk, harga RM196,341

    Kia Carnival 2022 dilancar secara rasmi untuk Malaysia – satu varian 2.2D 11 tempat duduk, harga RM196,341

    Anda mungkin sudah nampak banyak laporan tentang Kia Carnival baru untuk pasaran Malaysia, tetapi inilah dia pengumuman rasmi dari Bermaz. MPV tersebut sudah pun dijual secara rasmi, dengan harga RM196,341 seperti yang diumumkan sebelum ini (atas jalan tanpa insuran, dan termasuk 50% pengecualian cukai jualan sehingga 30 Jun 2022). Jaminan yang diberi pula adalah selama lima tahun atau 100,000 km bersama servis penyelenggaraan percuma lima-tahun/100,000 km.

    Buat permulaan, model yang dibawa ke Malaysia adalah model CBU yang diimport dari Korea Selatan, sebelum ditawarkan sebagai model CKD apabila produksi model pemasangan tempatan berkenaan bermula bulan Mei nanti. Pasaran Malaysia juga hanya ditawarkan dengan satu varian tunggal iaitu 2.2D dengan 11-tempat duduk.

    Varian ini digerakkan oleh enjin 2.2 liter turbodiesel Smartstream yang mampu menghasilkan kuasa 199 hp (202 PS) pada takat 3,800 rpm dan tork maksima 441 Nm bermula 1,750 hingga 2,750 rpm. Kuasa dihantar kepada kotak gear automatik lapan-kelajuan bagi memacu roda hadapan.

    Kia Carnival 2022 dilancar secara rasmi untuk Malaysia – satu varian 2.2D 11 tempat duduk, harga RM196,341

    Antara kelengkapan standard yang diberikan pada Kia Carnival pasaran Malaysia ini termasuk lampu hadapan projektor LED berkembar bersama lampu nyalaan siang LED, lampu kabus LED, bersama lampu kombinasi belakang dan lampu kabus belakang yng masih mneggunakan mentol biasa.

    Ia juga diberikan perincian lain seperti lampu dan pengelap cermin automatik dan rim 18-inci jejari-Y bersama tayar 235/60R18. Carnival generasi baharu untuk pasaran Malaysia ini juga sudahpun menerima logo baharu Kia yang diletakkan pada bonet, pintu tailgate, penutup tengah rim dan juga pada beg udara roda stereng.

    Dalam kabin, ia menerima papan pemuka yang direka bersama konsol tengah tinggi, pemilih gear jenis tombol putar serta skrin sesentuh 12.3 inci untuk sistem infotainmen, dengan sambungan Android Auto dan Apple CarPlay. Untuk panel instrumen, ia menggandingkan meter analog bersama paparan pelbagai info dengan skrin TFT-LCD 4.2 inci.

    Untuk konfigurasi tempat duduk, 11-kerusi berkenaan disusun dalam empat barisan iaitu 2-3-3-3. Baris kedua dan baris ketiga boleh dilipat dengan nisbah 40:20:20, dengan tempat duduk tengah untuk kedua-dua baris tersebut direka sebagai tempat duduk sementara yang boleh disimpan bagi memberikan ruang laluan untuk berjalan merentasi baris. Kerusi baris akhir adalah kerusi jenis bench yang boleh dilipat bagi memberikan lebih ruang kargo.

    Bagi aspek keselamatan, Kia Carnival 2022 pasaran Malaysia ini dilengkapkan dengan enam beg udara, kawalan stabiliti, cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix pada baris kedua, penderia parkir hadapan dan belakang, kamera pemantau 360-darjah, pemantau titik buta dan amaran lintasan trafik belakang. Walaubagaimanapun, model ini tidak diberikan sebarang sistem bantuan pemandu seperti brek kecemasan automatik (AEB) atau Adaptive Cruise Control.

    Kelengkapan lain yang turut diberi adalah sistem kemasukan tanpa kunci bersama butang penghidup enjin, kawalan pendingin hawa tiga zon, tempat duduk hadapan larasan kuasa, balutan kulit tiruan Saddle Brown, pengecas telefon pintar Qi tanpa wayar, enam pembesar suara, sistem kamera 360 darjah serta pintu gelangsar dan pintu but bukaan kuasa tanpa sentuhan. Enam warna badan ditawarkan untuk Kia Carnival ini iaitu Snow White Pearl, Silky Silver, Aurora Black Pearl, Panthera Metal, Astra Blue dan Flare Red.

     
     
  • Volvo V60 Recharge T8 Inscription 2022 kini di bilik pameran di Malaysia – RM286,907, 407 hp/640 Nm

    Volvo V60 Recharge T8 Inscription 2022 kini di bilik pameran di Malaysia – RM286,907, 407 hp/640 Nm

    Selepas Volvo Cars Malaysia (VCM) meletakkan harga untuk Volvo V60 Recharge T8 Inscription dilaman sesawang rasmi mereka tempoh hari, sekarang wagon kacak berkenaan sudah pun berada di bilik pameran. Tak sempat pergi tengok? Mari kami belanja anda galeri penuh model berkenaan.

    V60 ini tiba di Malaysia dua tahun lewat berbanding kembar sedannya iaitu S60. Namun berita baiknya, ia juga dihasilkan sebagai model pemasangan tempatan (CKD) di fasiliti Volvo di Shah Alam. Ini membolehkan ia dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM286,907, bersama pengecualian sepenuhnya cukai jualan. Jadi berbanding S60 Recharge T8, model ‘bumbung panjang’ V60 Recharge T8 ini dijual pada harga hanya RM4,000 lebih mahal.

    Sama seperti model-model terkini Volvo, model ini turut menerima waranti selama lima-tahun tanpa had perbatuan, bersama waranti untuk bateri hibrid selama lapan-tahun atau 160,000 km yang mana sampai dulu. Model V60 pasaran Malaysia ini kemasan mewah Inscription, berbanding kemasan lebih sporty R-Design untuk versi kembar sedannya S60.

    Volvo V60 Recharge T8 Inscription 2022 kini di bilik pameran di Malaysia – RM286,907, 407 hp/640 Nm

    Seperti biasa, model wagon ini sudah pasti memberikan praktikaliti dan juga ruang kargo belakang yang lebih besar berbanding sedan. Untuk itu, V60 ini hadir dengan ruang but belakang berkapasiti 529 liter, berbanding hanya 442 liter untuk model sedan. Tempat duduk belakang turut boleh dilipat dengan nisbah 60:40 bagi memberikan ruang kargo keseluruhan 1,441 liter. But belakang model ini turut dilengkapi dengan pemegang barang runcit.

    Dengan kemasan Inscription, V60 pasaran Malaysia ini diberikan rupa lebih elegen berbanding S60 R-Design dengan gaya lebih garang. Oleh itu, ia menampilkan bampar hadapan dengan kemasan aliran udara lebih kecil, lebih banyak kemasan-kemasan krom serta rim aloi 19-inci lima jejari berkembar yang berlainan rekaan.

    Manakala pada bahagian dalaman, kabin V60 Inscription diberikan kemasan-kemasan Driftwood dan Linear Lime, berbanding kemasan-kemasan aloi pada S60 R-Design. Pembeli wagon ini turut ditawarkan dengan pilihan upholsteri kulit sama ada dalam warna Maroon Brown atau Charcoal.

    Volvo V60 Recharge T8 Inscription 2022 kini di bilik pameran di Malaysia – RM286,907, 407 hp/640 Nm

    Model V60 pasaran Malaysia ini juga masih diberikan sistem infotainmen Sensus dengan skrin 9.7-inci yang diposisikan secara potret. Ia bukan sistem terkini yang dihasilkan berdasarkan sistem android, namun kelebihannya ia masih mampu menyokong hubungan Apple CarPlay dan Android Auto yang tidak ditawarkan untuk sistem baharu tersebut.

    Kelengkapan lain yang turut dipadankan termasuk lampu hadapan LED adaptif,rel bumbung berwarna perak, sistem kemasukan tanpa kunci dengan penghidup enjin menggunakan suis tombol putar, sistem pendingin hawa automatik dua zon, bumbung panaromik, tempat duduk hadapan kawalan elektrik dengan fungsi memori, tombol gear kristal Orrefors, paparan instrumen digital dengan skrin 12.3-inci, kamera 360-darjah, Park Assist serta sistem bunyi Harmann Kardonn 600-watt bersama 16-pembesar suara.

    Dengan lencana Recharge T8, V60 ini menerima unit rangkaian kuasa gandingan enjin Drive-E 2.0 liter yang disuap pengecas turbo dan supercharger berkuasa 320 hp/400 Nm, bersama motor stater/generator bersepadu dengan aci engkol serta kotak gear automatik Aisin lapan kelajuan bagi memacu roda hadapan, dan juga motor elektrik berkuasa 87 hp/240 Nm pada gandar belakang.

    Ia bukan sahaja menjadikan V60 tersebut sebuah model pacuan semua roda, malah dibekalkan dengan kuasa keseluruhan 407 hp pada takat 5,700 rpm dan tork maksima 640 Nm bermula 1,200 hingga 5,400 rpm.

    Untuk keselamatan, semua sistem bantuan pemanduan termaju Volvo pada S60 turut dibekalkan pada V60 ini. Ia termasuk sistem Pilot Assist dengan kebolehan pemanduan separa-autonomi Tahap 2, yang menggandingkan sistem cruise control adaptif dan juga bantuan pengekal tengah lorong.

    Ia juga menerima brek kecemasan automatik dengan pengesan pejalan kaki, penunggang basikal dan haiwan besar, bantuan stereng untuk mengelak, pengelak pelanggaran belakang, bantuan kekal lorong, pengelak keluar jalan raya, pengelak masuk laluan bertentangan, pemantau titik buta serta amaran lintasan trafik belakang bersama brek automatik.

     
     
  • Proton sambung semula produksi X70, X50 selepas bekalan rantaian komponen terganggu akibat banjir

    Proton sambung semula produksi X70, X50 selepas bekalan rantaian komponen terganggu akibat banjir

    Proton mengesahkan pihaknya telah menyambung semula produksi SUV X70, yang digantung sementara akibat bencana banjir baru-baru ini. Walau pun kilang pengeluaran Proton tidak terjejas, namun ada sesetengah pembekal yang terbabit berhadapan dengan masalah menghantar bekalan komponen disebabkan bencana tersebut. Semalam, Proton berkata pengeluaran X70 telah kembali beroperasi di kilang pemasangannya di Tanjung Malim buat pertama kalinya tahun ini.

    Ia adalah susulan pengeluaran X50 yang telah pun bermula pada 4 Januari lalu. Walaupun masih belum jelas mengenai rantaian bekalan, yang mungkin mengambil sedikit masa untuk stabil, Proton berkata bahawa penyambungan semula pengeluaran adalah satu langkah ke hadapan bagi memulihkan keadaan.

    “Gangguan rantaian bekalan yang dihadapi oleh komuniti vendor kami akibat banjir memang menjejaskan jadual pengeluaran. Walau bagaimana pun, Proton sedang bekerjasama dengan mereka untuk memulihkan rantaian bekalan ini dengan pantas, namun ia adalah proses yang agak rumit dan memakan masa. Penyambungan semula produksi X70 adalah langkah seterusnya, kerana kami sedang berusaha untuk kembali memproduksi semua model kami dalam masa yang secepat mungkin,” kata Timbalan CEO Proton Roslan Abdullah.

    Proton sambung semula produksi X70, X50 selepas bekalan rantaian komponen terganggu akibat banjir

    Untuk membantu mempercepatkan usaha pemulihan, kakitangan Proton menawarkan diri untuk membantu dalam operasi pembersihan di beberapa kemudahan pembekal. Mereka juga menghulurkan bantuan kepada rakan-rakan sekerja yang rumah mereka rosak akibat banjir.

    “Bencana banjir ini banyak menjejaskan mata pencarian dan rumah bagi keluarga dalam komuniti Proton, tetapi dalam masa yang sukar inilah sifat tanggungjawab kami kian membara dan kami melangkah ke hadapan untuk membantu sesiapa yang memerlukan bantuan, setakat yang kami mampu. Memulakan kembali produksi dengan cepat bermakna kami akan mempunyai lebih banyak stok untuk memenuhi tempahan pelanggan kami. Jadi, kami tidak sabar untuk memulakan tahun 2022 yang hebat,” tambah Roslan.

     
     
  • UMWT sasar 40% pembeli Corolla Cross di M’sia pilih varian Hybrid, jangka nilai jualan balik yang tinggi

    UMWT sasar 40% pembeli Corolla Cross di M’sia pilih varian Hybrid, jangka nilai jualan balik yang tinggi

    Selepas didedahkan Isnin lalu, Toyota Corolla Cross dalam varian 1.8 Hybrid bakal dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada 14 Januari ini. Sebelum ia dilancarkan, UMW Toyota Motor (UMWT) sebenarnya telah pun memberikan peluang kepada pihak media untuk memandu uji model berkenaan.

    Dalam sesi pandu uji tersebut, pengarah eksekutif jualan UMWT, Mohd Shamsor Mohd Zain menyatakan bahawa syarikatnya menjangkakan bahawa 40% dari pembeli Toyota Corolla Cross di Malaysia bakal memilih varian 1.8 Hybrid berkenaan, berbanding model petrol penuh 1.8 G dan 1.8V.

    Sasaran tersebut dilihat agak tinggi kerana rekod-rekod jualan dalam pasaran Malaysia sebelum ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia masih lagi selesa memilih kereta dengan enjin petrol sepenuhnya. Salah satu contoh terbaharu yang boleh kita tengok adalah sedan segmen-B Honda City, di mana varian hibrid RS e:HEV hanya berjaya dijual sebanyak 5% berbanding jualan keseluruhannya.

    Menurut Shamsor lagi, pelanggan dijangka akan yakin dengan teknologi hibrid yang ditawarkan pada Corolla Cross berkenaan kerana sistem elektrifikasinya diberikan perlindungan waranti komprehensif – termasuk bateri, inverter dan unit pengurusan kawalan kuasa – selama lapan tahun.

    UMWT sasar 40% pembeli Corolla Cross di M’sia pilih varian Hybrid, jangka nilai jualan balik yang tinggi

    Sekiranya bateri tersebut perlu diganti apabila habis waranti, buat masa sekarang ia dijual pada harga RM7,000, dan dijangka akan lebih murah dari masa ke masa.

    Shamsor juga mengatakan bahawa UMWT menjangkakan Corolla Cross Hybrid ini akan memberikan nilai jualan balik yang tinggi dalam pasaran kereta terpakai. Beliau memberikan contoh bagaimana model hybrid terakhir yang dijual oleh syarikatnya sebelum ini iaitu Camry Hybrid, yang kini dijual dalam pasaran kereta terpakai dengan harga lebih tinggi berbanding varian petrol.

    Toyota Corolla Cross Hybrid pasaran Malaysia ini menerima rangkaian kuasa hibrid elektrik Toyota generasi keempat. Ia terdiri dari enjin kitaran Atkinson 2ZR-FXE 1.8 liter empat silinder berkuasa 98 PS pada takat 5,200 rpm dan tork maksima 142 Nm pada takat 3,600 rpm, bersama motor elektrik berkuasa 72 PS dan tork maksima 163 Nm yang dijana oleh bateri nikel logam hidrat berkapasti 6.5 Ah.

    Secara keseluruhan, sistem ini menghasilkan kuasa gabungan 122 PS bagi memacu roda hadapan menerusi kotak gear automatik E-CVT, tanpa menampilkan kelajuan maya yang ditampilkan pada model petrol penuh. Menurut Toyota, secara keseluruhan Corolla Cross Hybrid ini mampu mencapai penggunaan bahan api 23.3 km/l.

    GALERI: Toyota Corolla Cross 1.8 Hybrid 2022 pasaran Malaysia

    GALERI:Brosur Toyota Corolla Cross Hybrid pasaran Malaysia

     
     
  • Mazda dikesan daftar paten penggerak rotary hibrid

    Mazda dikesan daftar paten penggerak rotary hibrid

    Dalam masa beberapa tahun yang lepas, kita telah menyaksikan Mazda memfailkan beberapa paten menarik baru seperti kereta sport yang menggunakan pacuan roda belakang serta rekaan enjin rotary turbo generasi baru. Kini, satu lagi paten yang didaftarkan di Jepun dijumpai oleh laman web Hatena Blog, yang menunjukkan rekaan enjin rotary bersama sistem hibrid.

    Tetapan ini memang sudah boleh dijangka kerana kereta sports yang dilihat dalam paten itu tidak mempunyai ruang enjin yang besar di hadapan dan melalui lukisan paten terbaru ini, kita boleh melihat enjin rotary tersebut mempunyai tiga rotor dan disambungkan kepada motor elektrik serta kotak gear transaxle untuk memacu dua roda belakang.

    Sistem hibrid yang digunakan mungkin adalah unit hibrid ringkas 48 volt, seperti yang pernah ditunjukkan oleh Mazda pada November tahun 2020, bersama bateri lithium ion 3.5 kWh 48 volt. Bukan setakat itu, lukisan paten terbaru ini juga menampakkan terdapat lagi motor elektrik bersepadu pada setiap hab roda hadapan.

    Melalui informasi yang diperoleh sebelum ini, Mazda ada menyatakan bahawa paten yang mereka daftarkan ini melibatkan kereta yang menggunakan pacuan dua roda belakang dalam kelajuan rendah, dan apabila mencecah kelajuan lebih tinggi, barulah kuasa akan disampaikan kepada roda hadapan.

    Seperti yang diketahui, pendaftaran paten ini masih lagi bukan satu tanda pasti ia akan dikeluarkan untuk produksi, tetapi boleh memberikan keterujaan kerana kita tahu Mazda sedang membangunkan sesuatu yang menarik. Mungkinkah model RX-Vision bakal menjadi realiti tidak lama lagi?

     
     
  • Proton Saga 2022 dikesan sekali lagi sedang diuji – adakah ia bakal dilancarkan tidak lama lagi?

    Proton Saga 2022 dikesan sekali lagi sedang diuji – adakah ia bakal dilancarkan tidak lama lagi?

    Model paling laris Proton, Saga, telah dikesan sekali lagi sedang diuji di jalan raya. Ia merupakan unit yang sama yang pernah dikesan pada akhir November lalu.

    Setakat ini, apa yang kita ketahui, sedan segmen-A ini bakal menerima logo bulat baharu Proton sama seperti Persona dan juga Iriz facelift 2022 yang telah dilancarkan pada Ogos lalu. Namun apa yang membuatkan Saga 2022 nampak sedikit sporty berbanding model 2019 adalah ia menerima kit badan yang terdiri dari spoiler di bawah bampar hadapan dan juga skirt sisi yang nampak agak labuh. Cermin sisi juga diberikan perumah berwarna hitam.

    Bagi rim pula, ia kelihatan lebih kurang dengan unit gaya-turbin 15-inci yang pernah dipadankan pada Persona 2016. Namun ini tidak bermakna Saga akan mengunakan semula roda yang sama. Mungkin ada sedikit perubahan yang dilakukan untuk Saga 2022 ini. Untuk pengetahuan, Iriz R3 juga menggunakan roda 16-inci lama dari Satria Neo CPS. Jadi ia bukan amalan baharu oleh pengeluar kereta nasional ini.

    Proton Saga 2022 dikesan sekali lagi sedang diuji – adakah ia bakal dilancarkan tidak lama lagi?

    Selain daripada itu, tiada perubahan mekanikal dijangka akan dilakukan, dan Saga 2022 ini akan terus dikuasakan oleh enjin 1.3 liter empat-silinder dengan output 95 PS pada 5,750 rpm dan tork 120 Nm pada 4,000 rpm. Buat masa ini, Saga masih menggunakan transmisi manual lima-kelajuan, namun kena nantikan adakah ia akan terus ditawarkan mahu pun tidak.

    Seperti kemaskini 2019, Punch CVT telah menggantikan kotak gear automotik torque converter empat-kelajuan dari Hyundai, iaitu unit yang sama digunakan pada Kia Picanto. Pilihan warna luaran juga dijangka tidak berubah, jadi warna sedia ada iaitu Snow White, Armoured Silver, Jet Grey, Rosewood Maroon dan Ruby Red mungkin masih diteruskan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025