Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • MG ZS Liverpool Limited Edition di Indonesia, RM98k

    MG ZS Liverpool Limited Edition di Indonesia, RM98k

    Bagi peminat pasukan Liverpool di Indonesia, pasti peluang ini sukar untuk dilepaskan. Bagi golongan yang berkemampuan, bolehlah ‘berebut’ untuk memiliki MG ZS Liverpool Limited Edition yang diperkenalkan menerusi acara Gaikindo Indonesia.

    MG Indonesia merupakan yang pertama di Asia yang memperkenalkan ZS Liverpool FC Limited Edition yang dikeluarkan secara terhad iaitu cuma 200 unit sahaja, bersama 100 unit SUV HS i-Smart dengan tema Liverpool.

    ZS facelift menerima luaran yang lebih bergaya hasil padanan kit badan yang merangkumi kemasan hadapan, belakang, skirt sisi dan spoiler belakang. Pemilihan warna merah untuk luaran dan dalaman memang mengikut warna rasmi Liverpool, malah lambang pasukan berkenaan juga dipaparkan di tiang belakang SUV ini, serta di tailgate, konsol tengah dan alas karpet.

    Setiap pembelian diberikan sekali dengan jersi Liverpool yang siap bertandatangan, cenderahati pasukan itu dan juga sijil bernombor. Di Indonesia, SUV facelift segmen-B itu didatangkan dengan enjin 1.5 liter naturally aspirated dengan 114 PS dan 150 Nm, dipadankan dengan CVT. SUV ini juga ada ditawarkan dengan enjin 1.3 liter turbo bersama hamburan kuasa 160 PS/230 Nm dan versi bateri elektrik sepenuhnya di pasaran lain.

    Di Indonesia, MG ZS ditawarkan dengan harga dari Rp 269.8 juta (RM79,240) hingga Rp 309.8 juta (RM90,994) untuk spesifikasi Magnify. Manakala untuk Liverpool FC Limited Edition pula, ia berharga Rp 334.8 juta (RM98,326).

     
     
  • Yamaha MT-10SP dinaik taraf untuk pasaran Eropah

    Yamaha MT-10SP dinaik taraf untuk pasaran Eropah

    Mengikuti naik taraf yang diberikan pada Yamaha MT-10 tahun ini, varian prestasi MT-10SP juga diberikan peningkatan. Sudah tentu, semua naik taraf MT-10 diterapkan sama pada MT-10SP, tetapi terdapat penambahan lain yang menjadikannya lebih istimewa.

    Paling utama adalah pada bahagian suspensi, di mana MT-10SP menggunakan unit semi aktif daripada Ohlins, yang diambil daripada R1M, dan dipadankan bersama versi perisian terkini. Jurang pelarasan yang lebih besar diberikan pada suspensi ini bersama prestasi lebih baik, hasil daripada penggunaan injap penyerap baru.

    Untuk melakukan pelarasan pada fork dan monoshock motosikal ini, pemilik boleh menggunakan menu dalam panel instrumen TFT-LCD 4.2 inci di kokpit, dengan kesemuanya ada enam tetapan. Tiga daripadanya sudah ditetapkan secara asas, iaitu A1 (Sports), A2 (Fast Road) dan A3 (Touring/Comfort) manakala tiga lagi boleh dilaras mengikut kesesuaian pengguna.

    Meningkatkan lagi prestasinya adalah hos brek braided, yang kini diberikan secara standard, bersama pam brek atas Brembo. Pelindung bawah enjin MT-10SP ini adalah baru, dengan rekaan yang diambil daripada motosikal lumba Yamaha dan turut dapat melindungi penyejuk minyak.

    Sama seperti MT-10 biasa, enjin MT-10SP ini juga dipertingkat dengan connecting rod titanium, conrod baru serta sistem EFI yang ditala semula, seterusnya mampu menghasilkan kuasa 165.5 PS pada 11,500 rpm dan 112 Nm tork pada 9,000 rpm.

    Selain daripada itu, penunggang juga dapat menikmati bunyi jentera yang lebih memuaskan kerana Yamaha telah memasang Acoustic Amplifier Grill di tepi tangki untuk menghalakan bunyi kepada penunggang dan ekzos ditukar kepada unit yang diperbuat daripada titanium.

     
     
  • Perodua Myvi D-CVT 2022 — kos selenggara lebih rendah berbanding 4AT lama, SUV Ativa, Proton Iriz

    Perodua Myvi D-CVT 2022 — kos selenggara lebih rendah berbanding 4AT lama, SUV Ativa, Proton Iriz

    Dengan perubahan terutamanya bahagian mekanikal yang dilakukan terhadap Myvi 2022 yang dilancarkan minggu lalu, adakah itu akan memberi kesan kepada kos penyelenggaraannya? Misalnya, peralihan daripada kotak gear 4AT sebelum ini kepada D-CVT dari Ativa — kotak gear manual lima-kelajuan tidak lagi ditawarkan.

    Selain hal itu, sistem janaan kuasa kekal dengan kelengkapan sama; enjin Dual VVT-i, DOHC NR empat silinder sebelum ini. Unit 1NR-VE 1.3 liter menjana 95 PS (94 hp) dan 121 Nm tork, sementara unit 2NR-VE 1.5 liter menghasilkan 103 PS (102 hp) dan 137 Nm. Adakah hal ini akan melibatkan perbezaan kos selenggara?

    Untuk itu, kami akan membandingkan kos selenggaran Myvi D-CVT untuk tempoh lima tahun/100,000 km berbanding model lama dengan 4AT, serta dengan pesaing dekatnya, Proton Iriz. Untuk mendapatkan gambaran yang lebih luas, kami juga sertakan kos selenggaran Ativa, yang dalam varian paling asasnya, RM2,700 lebih mahal daripada Myvi spesifikasi tertinggi — mungkin ada yang ingin pertimbangkan juga penawaran ini sekiranya wang mengizinkan.

    Perodua Myvi D-CVT 2022 — kos selenggara lebih rendah berbanding 4AT lama, SUV Ativa, Proton Iriz

    Berdasarkan angka yang diperoleh dari laman web Perodua dan Proton, Myvi baru ini lebih murah untuk diselenggara berbanding model lamanya dalam tempoh lima-tahun, walaupun hanya melibatkan beza RM55 — ini bagi kedua-dua varian 1.3L dan 1.5L. Melihat kepada jadual servis kedua-duanya, kami dapati pelincir CVT bagi Myvi baru hanya perlu ditukar sekali berbanding model 4AT dulu yang memerlukan dua kali penukaran minyak kotak gear dalam lima tahun.

    Bagaimanapun, perbezaan kos ini turut melibatkan juga jumpah penukaran penapis udara Myvi baru yang perlu ditukar dua kali lebih banyak berbanding model lama. Ambil maklum, Perodua tidak menyediakan senarai penyelenggaraan hindaran Pro Care bagi model baru ini.

    Barangan yang tersenarai dalam servis Pro Care model sebelum ini termasuk penapis udara enjin tambahan, minyak brek dan gantian palam pencucuh, serta pilihan untuk servis major bari pendingin hawa serta jajaran, imbangan dan putaran tayar — semua ini melibatkan kos hampir RM1,000 keseluruhannya bagi tempoh lima tahun.

    Berbanding Iriz yang menggunakan enjin 1.3 liter dan 1.6 liter, kedua-dua Myvi baru dan lama lebih murah diselenggara dengan masing-masing melibatkan beza antara RM639 dan RM584. Jadual selenggara menunjukkan minyak enjin semi-sintetik Iriz lebih murah berbanding minyak sintetik penuh Myvi, begitu juga dengan kos untuk menggantikan penapis udara dan palam pencucuh — walaupun ditukar lebih kerap.

    Bagaimanapun, penapis udara kabin N95 untuk model Proton tersebut lebih mahal, manakala coolant radiatornya perlu kerap ditukar. Sebagai tambahan, Iriz perlu ditukar penapis bahan api dan tali sawar FEAD-nya, yang tidak perlu dilakukan terhadap Myvi, sementara kos untuk menukar minyak gear CVT Iriz lebih mahal.

    Ativa juga lebih murah untuk diselenggara berbanding Iriz, walaupun ia lebih tinggi berbanding Myvi dengan beza antara RM233. Membandingkan jadual selenggaranya, palam pencucuh Ativa bagi enjin 1KR-VET 1.0 liter turbocas tiga-silinder menjadi penyumbang terbesar bagi perbezaan tersebut, dengan kos sekali ganda berbanding Myvi, dan untuk barangan lain kosnya hampir sama.

    Seperti biasa, kos keseluruhan akan jadi cerita lain pula, bukan hanya hal-hal di pusat servis semata. Misalnya kos untuk insurans dan cukai jalan. Iriz dan Myvi dikenakan cukai jalan yang sama banyak — RM70 bagi 1.3 liter dan RM90 bagi model 1.5L/1.6L — dan Ativa lagilah murah dengan enjin 1.0 liter, dengan cukai jalan cuma RM20.

    Kadar penggunaan minyak juga akan menyumbang kepada kos keseluruhan. Angka yang didakwa bagi setiap model adalah seperti berikut — Myvi baru dengan D-CVT ialah 22.2 km/l (1.3L) dan 21.1 km/l (1.5L); Ativa 1.0L dengan bacaan 18.9 km/l; dan Iriz memberikan antara 14.9-14.3 km/l (1.6L).

    Faktor lain termasuklah penukaran pad brek dan tayar, dengan bergantung misalnya kepada saiz untuk tayar yang digunakan — lagi besar, lagi mahal. Roda Myvi bersaiz antara 14-15 inci, Iriz pula dari 15-16 inci sepentara Ativa 16-17 inci. Bagi harga kereta itu sendiri pula, Myvi bermula dari RM45,700 hingga RM58,800 atas jalan tanpa insurans. Iriz pula dijual dari RM40,800 dan RM54,800, sementara Ativa pula dari RM61,500 hingga RM72,000.

     
     
  • Perodua tegaskan bahawa teknologi hibrid adalah lebih mesra alam di M’sia berbanding elektrik penuh

    Perodua tegaskan bahawa teknologi hibrid adalah lebih mesra alam di M’sia berbanding elektrik penuh

    Industri automotif merupakan satu industri yang sangat dinamik. Kita boleh lihat ia sentiasa berkembang dengan pantas – dari sistem karburator ke sistem suntikan bahan api elektronik, dari kapasiti besar ke kapasiti kecil dengan pendesak turbo, dan kini ia bergerak ke arah sesuatu yang lebih radikal iaitu enjin pembakaran dalaman mahu dimansuhkan terus dan digantikan dengan teknologi elektrik sepenuhnya kerana mahukan sesuatu yang lebih mesra alam.

    Bagi Kesatuan Eropah, hala tuju mereka sudah jelas di mana kereta baharu dengan enjin pembakaran dalaman akan diharamkan penjualan di benua berkenaan pada tahun 2035. Sebab itu boleh dikatakan kebanyakkan jenama-jenama automotif dari Eropah kini sudahpun mengumumkan pelan peralihan mereka untuk menjadi jenama elektrik sepenuhnya.

    Kerajaan Jepun juga kini sedang mempertimbangkan langkah yang sama untuk mengharamkan penjualan kereta dengan enjin pembakaran dalam menjelang 2030, tetapi usaha tersebut seakan tidak dipersetujui oleh pengeluar-pengeluar kenderaan di sana, terutamanya jenama nombor 1 negara matahari itu iaitu Toyota.

    Manakala di Asia Tenggara, dua negara dengan pasaran automotif paling besar iaitu Thailand dan Indonesia sudahpun mula mengorak langkah untuk memberikan pelbagai insentif kepada pelabur dan juga pembeli kenderaan-kenderaan elektrik (EV) ini bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam peralihan global berkenaan.

    Perodua tegaskan bahawa teknologi hibrid adalah lebih mesra alam di M’sia berbanding elektrik penuh

    Bagaimana dengan Malaysia? Dalam pembentangan Bajet 2022 baru-baru ini, kerajaan telah pun mengumumkan berkenaan cadangan untuk mengecualikan cukai dan duti terhadap model-model EV yang diimport. Langkah tersebut dilihat sebagai usaha pertama bagi menggalakkan rakyat Malaysia mula menggunakan kereta elektrik ini.

    Namun, betul ke kereta elektrik ini lebih mesra alam berbanding kereta yang dijana oleh bahan api fosil? Kalau perbandingan secara terus, memang ya. Kita boleh lihat kereta elektrik tiada paip ekzos, sementara enjin konvensional yang memerlukan pembakaran dalam enjin untuk menggerakkan omboh akan menghasilkan pelbagai gas beracun yang keluar dari tip ekzos.

    Tetapi mungkin ramai yang tidak sedar, untuk menghasilkan kuasa elektrik, ia bukan hanya dijana oleh kuasa semula jadi seperti solar, air atau angin sahaja, malah kebanyakkannya masih dihasilkan dari penjana yang menggunakan kuasa pembakaran arang batu. Kaedah menggunakan arang batu ini juga sememangnya menghasilkan pencemaran yang sama dengan enjin pembakaran dalaman.

    Menurut laporan Thomson Reuters, di Amerika Syarikat, sekitar 30% tenaga elektrik masih dijana oleh arang batu, manakala di China jumlah tersebut adalah seganda lebih banyak. Pada peringkat global pula, secara kasarnya sejumlah 37% kuasa elektrik yang dijana adalah menggunakan pembakaran arang batu.

    Jadi, memang kita tak nampak pembakaran berlaku pada kereta elektrik ini, tapi pencemaran tetap berlaku di peringkat janaan kuasa elektrik tersebut. Secara logiknya, semakin banyak permintaan kuasa elektrik disebabkan semakin banyak kereta elektrik, pencemaran karbon akan tetap berlaku dan dengan kereta elektrik semata-mata masih tidak dapat menyelesaikan perkara ini.

    Ketika pelancaran model Myvi facelift 2022 baru-baru ini, presiden dan CEO Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad ditanya oleh pihak media berkenaan teknologi EV. Menurutnya, Perodua lebih melihat kepada aspek well-to-wheel (loji-ke-roda) untuk mencapai tahap neutral karbon.

    Ini bermaksud, kadar pencemaran berkenaan bukan hanya dilihat pada tip ekzos, sebaliknya diambil kira dari keseluruhan rantaian termasuk cara menghasilkan mendapatkan elektrik dari loji kuasa. Macam pernah dengarkan? Ya, ini adalah perkara sama yang telah lama disuarakan oleh pembuat kereta dari Hiroshima iaitu Mazda.

    “Saya sentiasa mengatakan dari loji ke roda. Perkara pertama yang perlu kita lakukan adalah kami perlu memastikan bahawa kami capai neutral karbon bukan pada produk – iaitu EV – tetapi pada proses produksi, iaitu pada kilang kami, produksi kepada penjanaan tenaga,” katanya, dan turut menyentuh soal proses produksi dalam perbincangan tersebut.

    Perodua tegaskan bahawa teknologi hibrid adalah lebih mesra alam di M’sia berbanding elektrik penuh

    Kerajaan kini seolah-olah mahu menghalakan industri automotif tempatan terhadap teknologi elektrik penuh, dengan memperkenalkan langkah bagi mengecualikan cukai untuk EV, namun Zainal lebih suka mengambil pendekatan yang lebih luas.

    “Kami dah buat penyelidikan kami sendiri. Walaupun memang bagus kerajaan mengumumkan insentif bagi menggalakkkan pasaran EV, berdasarkan senario sekarang dalam industri automotif Malaysia, saya rasa masih ramai yang tidak berminat. Tetapi kami telah beritahu kerajaan, jangan hanya lihat (semata-mata pada) EV sebagai halatuju untuk industri automotif.

    “Berdasarkan pengiraan kami, EV dan hibrid – kerana 50% sumber tenaga kita masih bergantung kepada pembakaran arang batu – HEV (hibrid) masih yang terbaik untuk Malaysia jika anda bercakap tentang mahu ke arah lebih mesra alam,” katanya sambil terus menekankan berkenaan tahap neutral karbon.

    “Saya percaya apa yang dikatakan oleh kerajaan (dengan langkah pengecualian cukai EV ini) adalah untuk merancakkan ekonomi, tetapi dalam masa yang sama kerajaan mahu memulakan polisi karbon neutral – seperti yang telah disebutkan oleh Perdana Menteri, Malaysia agak komited untuk mencapai tahap neutral karbon menjelang 2050, dan kami bekerjasama dengan dengan kerajaan, bergerak kearah garis panduan yang telah mereka berikan.

    Perodua tegaskan bahawa teknologi hibrid adalah lebih mesra alam di M’sia berbanding elektrik penuh

    “Kami telah mewujudkan organisasi neutral karbon kami sendiri, dan sebagainya, bagi memastikan apa jua yang kami lakukakan – EV, hibrid, produksi keseluruhan, sumber kuasa – kami tidak akan lupa berkenaan neutral karbon,” jelas Zainal lagi.

    Apa yang disebutkan oleh Zainal yang lebih mengutamakan kenderaan hibrid elektrik berbanding elektrik penuh ini adalah seiring dengan pendapat Toyota, iaitu pemilik jenama Daihatsu yang juga rakan kerjasama Perodua sejak dari awal penubuhannya.

    September lalu, presiden Toyota iaitu Akio Toyoda, atas kapasitinya sebagai pengerusi Persatuan Pengeluar Automobil Jepun (JAMA) menggesa kerajaan Jepun agar tidak menurut apa yang dibuat oleh Kesatuan Eropah secara membuta tuli.

    “Dalam mencapai neutraliti karbon, musuhnya adalah karbon dioksida, bukan enjin pembakaran dalaman. Bagi mengurangkan emisi karbon dioksida, perlu ada inisiatif praktikal dan mampan yang selari dengan situasi yang berbeza di pelbagai negara dan rantau. Apa yang perlu kita lakukan untuk berberapa tahun akan datang adalah untuk memanfaatkan kelebihan teknologi yang telah kita bangunkan dan mengambil langkah segera bagi mengurangkan penghasilan CO2 menggunakan kenderaan yang diberikan teknologi elektrifikasi yang kita ada sekarang,” kata bos besar Toyota berkenaan.

    Perodua tegaskan bahawa teknologi hibrid adalah lebih mesra alam di M’sia berbanding elektrik penuh

    “Kerajaan Jepun telah menentukan pelbagai sasaran, mungkin mengambilkira berkenaan COP26 akan datang, tetapi apa yang utama hanya sasaran yang mereka tunjukkan pada kita, dan yang kedua, sasaran itu dilihat berdasarkan polisi tersebut dibincangkan di Eropah, bukan pada situasi sebenar di Jepun. Sebab itulah saya mahu anda memahami bahawa langkah kearah neutral karbon adalah berbeza pada setiap negara,” tegas Toyoda lagi.

    Pandangan Toyota tersebut sentiasa konsisten di mana jenama itu sentiasa membuka peluang untuk semua jenis pilihan rangkaian kuasa, bertentangan dengan kaedah banyak jenama lain yang kini hanya menumpukan kepada teknologi EV.

    Teknologi hibrid Toyota menjadi pencetus terhadap teknologi sel bahan api hidrogen untuk kereta-kereta masa hadapan, dan kini Toyota turut membuat eksperimen terhadap enjin pembakaran dalaman yang menggunakan hidrogen sebagai bahan api.

    Namun Toyota bukan anti terhadap kereta elektrik penuh. Ia telahpun mendedahkan crossover EV yang digelar bZ4X yang dihasilkan bersama Subaru (dijelmakan sebagai Subaru Solterra) yang bakal dijual di bilik pameran bermula pertengahan 2022. Divisi mewahnya iaitu Lexus juga kini sedang membangunkan kereta elektrik penuh yang bakal didedahkan tahun hadapan.

    Perodua tegaskan bahawa teknologi hibrid adalah lebih mesra alam di M’sia berbanding elektrik penuh

    Wakil Toyota di Malaysia iaitu UMW Toyota Motors (UMWT) juga turut memperlihatkan halatuju yang sama dengan menyifatkan teknologi hibrid ini sebagai “jambatan yang realistik” terhadap teknologi elektrifikasi. UMWT sudahpun menunjukkan kesungguhan mereka dan bakal melancarkan Corolla Cross Hybrid tidak lama lagi, yang diproduksi secara tempatan di fasiliti baharu mereka di Bukit Raja, Klang.

    “Kami sangat positif bahawa HEV merupakan pilihan lebih mudah diakses dan realistik untuk pelanggan di Malaysia dari aspek praktikaliti dan infrastruktur, dengan potensi besar di Malaysia. Ia merupakan jambatan yang realistik terhadap elektrifikasi kenderaan sementara pelbagai usaha yang masih dibuat bagi merealisasikan penggunaan BEV, seperti pengurangan kos, penambahbaikkan gabungan kuasa dan pembangunan infrastrutur,” kata Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama.

    Dalam acara yang sama, Datuk Zainal Abidin turut mendedahkan bahawa Daihatsu Rocky e-Smart Hybrid yang dilihat sedang diuji di Kuala Lumpur baru-baru ini sememangnya milik Perodua, dan mereka sedang membuat kajian terhadap pasaran kenderaan hibrid di Malaysia.

    Perodua tegaskan bahawa teknologi hibrid adalah lebih mesra alam di M’sia berbanding elektrik penuh

    Bagi yang belum mengetahui, kelibat Rocky e-Smart Hybrid tersebut di lihat di Malaysia sebelum model berkenaan didedahkan secara rasmi di Jepun sendiri, memperlihatkan betapa serius Perodua terhadap usaha tersebut. Tambahan pula Rocky merupakan kembar kepada SUV Perodua Ativa di Malaysia, dan tidak mustahil Ativa turut akan ditawarkan dalam versi hibrid selepas ini.

    Sekarang jelas bahawa Perodua dan Toyota kini senada terhadap pandangan mereka kepada masa hadapan teknologi elektrifikasi, dan dengan vokal menyatakan kenderaan elektrik penuh bukanlah langkah solusi total jika dilihat dari sudut well-to-wheel.

    Untuk pengetahuan anda, di semenanjung Malaysia, 65.84% tenaga elektrik yang dijana adalah dari loji arang batu tahun lalu, diikuti dengan gas pada kadar 29.67%. Tenaga yang lestari iaitu dijana oleh loji hidro hanyalah berjumlah 3.78%, diikuti janaan solar mewakili hanya 0.7%.

    Ini baru kita bercerita berkenaan janaan elektrik, tidak termasuk lagi kesan-kesan terhadap alam sekitar yang lain bagi mendapatkan bahan-bahan mineral seperti nikel dan kobalt untuk menghasilkan bateri-bateri berkuasa tinggi khas untuk kereta elektrik berkenaan. Jadi apa pula pendapat anda? Adakah Malaysia perlu mengikut apa yang dibuat oleh Thailand dan Indonesi, atau lebih realistik seperti apa yang disebut oleh bos Perodua ini?

     
     
  • Haval Jolion ditemui di Malaysia – pesaing Proton X50, Honda HR-V dari China bakal dilancarkan di sini?

    Haval Jolion ditemui di Malaysia – pesaing Proton X50, Honda HR-V dari China bakal dilancarkan di sini?

    Pasaran SUV segmen B yang sudah sedia kompetitif di Malaysia nampaknya seperti akan menerima pesaing baru apabila Haval Jolion sudah ditemui di dalam negara. Sebagai rujukan, model ini baru sahaja dipertontonkan di Thailand beberapa minggu lepas, dan merupakan produk ketiga Haval di negara tersebut selepas Ora Good Cat dan SUV H6.

    Jolion juga menggunakan platform modular Lemon Great Wall Motors, seperti H6, dan ia membenarkan pemasangan penggerak elektrik, seperti yang ditunjukkan oleh Jolion Hybrid yang dilancarkan di negara jiran. Suspensi menggunakan jenis MacPherson di hadapan dan torsion beam di belakang.

    Dalam gambar yang kami terima ini, model berwarna putih tersebut dilihat menggunakan kit badan biasa, di mana gril, bampar, lampu, DRL serta penunjuk arah adalah berbeza berbanding model hibrid.

    Bampar belakang model yang ditemui di Malaysia ini juga adalah lain berbanding model hibrid di Thailand, di mana bahagian bawahnya adalah berbeza. Turut boleh dilihat adalah rel bumbung serta bumbung suria.

    Penggerak hibrid yang digunakan pada Jolion terdiri daripada gabungan enjin empat silinder 1.5 liter turbo bersama motor elektrik, dan dikatakan mampu menghasilkan sehingga 190 hp dan 375 Nm tork secara keseluruhannya.

    Pelancaran rasmi Jolion Hybrid di Thailand akan berlangsung dalam bulan ini, dengan harga yang dikatakan berada antara 800,000 baht (RM100,400) dan 1,000,000 baht (RM125,500). Jika harga ini adalah betul, bermakna, ia lebih murah berbanding H6, yang dijual pada harga 1,145,000 baht (RM143,700) di Thailand.

     
     
  • Kia Niro 2022 bakal diperkenalkan pada 25 Nov ini

    Kia Niro 2022 bakal diperkenalkan pada 25 Nov ini

    Kia telah menyiarkan imej teaser Niro baharu, yang direncanakan bakal diperkenalkan di Seoul Mobility Show pada 25 November ini. Direka di bawah falsafah rekaan Kia, ‘Opposites United’, pengeluar kereta tersebut berkata SUV generasi kedua ini akan menggunakan rekaan yang dipinjam dari model konsep Habaniro dari 2019.

    Walau pun rekaan luarannya masih tidak didedahkan sepenuhnya, namun unit pencahayaannya jelas dipengaruhi dari model konsep – dipadankan dengan jaluran LED berbentuk-U di hadapan, manakala bahagian belakangnya pula memang mirip dengan Habaniro.

    Kia juga tidak mendedahkan sebarang perincian, namun berkata crossover ini akan menampilkan ‘badan dua tona berteknologi tinggi’. Di dalamnya pula, pemuka asimetrik digabungkan dengan bentuk mendatar dan berpenjuru, dengan bahagian tengahnya ditempatkan skrin besar yang disambungkan dengan kluster instrumen digital dan paparan sistem infotainmen.

    Bahagian penjana kuasa juga tidak dimaklumkan, tetapi Niro baharu ini mungkin mengikut model semasa yang menawarkan janaan elektrik sepenuhnya (versi jarak 450 km dan 300 km) serta hibrid dan plug-in hybrid. Kita juga tahu yang Niro bakal tiba ke pasaran Malaysia – apabila beberapa bulan lalu, Bermaz Auto mendedahkan perancangan untuk memperkenalkan SUV versi elektrik di sini.

     
     
  • Hyundai Kona Electric dilancarkan di Malaysia — tiga varian, jarak 305 km dan 484 km, dari RM150k-RM200k

    Hyundai Kona Electric dilancarkan di Malaysia — tiga varian, jarak 305 km dan 484 km, dari RM150k-RM200k

    Hyundai Sime Darby Motors (HSDM) hari ini dengan secara rasminya melancarkan model Kona Electric untuk pasaran tempatan. SUV berkenaan menjadi model elektrik sepenuhnya yang pertama bagi Hyundai yang diperkenalkan di Malaysia.

    Semua sekali ada tiga varian yang akan ditawarkan. Paling asas ialah model yang dilengkapi bateri lithium-ion polymer 39.2 kWh — dengan jarak pemanduan 305 km (kitaran WLTP) — yang boleh didapati dalam dua varian; Kona Electric Lite (RM149,888) dan juga Kona Electric Plus (RM169,888). Penawaran varian paling tinggi pula ialah Kona Electric Max dengan bateri 64 kW (RM199,888), yang mempu memberikan jarak perjalanan sejauh 484 km untuk satu cas penuh.

    Motor elektrik model paling asas merupakan unit yang menjana sebanyak 136 PS kuasa, sementara model 64 kWh menerima motor lebih berkuasa dengan 204 PS. Kedua-duanya mempunyai 395 Nm tork. Pecutan 0-100 km/j adalah dalam masa 9.9 saat bagi versi 39.2 kWh dan 7.9 saat bagi versi bateri 64 kWh. Kelajuan maksimum masing-masing adalah 155 km/j dan 167 km/j.

    Hyundai Kona Electric dilancarkan di Malaysia — tiga varian, jarak 305 km dan 484 km, dari RM150k-RM200k

    Bagi aspek pengecasan pula, pengecasan pantas DC menggunakan pengecas 50 kW akan memerlukan masa 60 minit untuk penuh bagi model 39.2 kWh, manakala 90 minit untuk mengecas model dengan bateri 64 kWh. Pengecasan AC biasa dengan pengecas 7.2 kW onboard fasa-tunggal pula memerlukan masa 6.5 jam bagi model paling asas dengan bateri 39.2 kW.

    Jika menggunakan pengecas dalaman 11 kW pula, tempoh pengecasannya akan menjadi 4.5 jam sahaja. Sementara itu, menggunakan pengecas yang sama ini untuk bateri 64 kW, ia akan memakan masa selama 7.5 jam. Namun, jika pengguna hanya menggunakan kabel yang disediakan untuk kegunaan domestik biasa (in-cable control box), ia akan memakan masa selama 31 jam. Jaminan bagi baterinya pula ialah selama lapan tahun, atau 160,000 km (yang mana datang dulu).

    Membezakan versi EV ini dari luaran ialah penggunaan warna badan dua-tona yang ditampilkan, dengan bahagian bumbung berwarna hitam. Lampu yang digunakan oleh model ini juga LED penuh, termasuk lampu nyalaan siangnya. Lampu kabus hanya terletak di belakang. Landasan di bumbungnya pula mampu menampung beban sehingga 80 kg.

    Ukuran dimensi Kona EV ini pula adalah seperti berikut — 4,205 mm panjang, 1,800 mm lebar, 1,570 mm tinggi dan 2,600 mm jarak antara roda. Jarak kelegaan dari permukaan tanah pula ialah 157 mm. Kona Electric menggunaan rim aloi 17-inci dengan saiz tayar 215/55. Untuk suspensi, ia menggunakan jenis MacPherson Strut di depan, dan multilink di belakang.

    Hyundai Kona Electric dilancarkan di Malaysia — tiga varian, jarak 305 km dan 484 km, dari RM150k-RM200k

    Bahagian dalaman Kona Electric ini pula ditawarkan dalam dua kombinasi warna kabin, iaitu Oceanids Black untuk suasana yang lebih gelap dan Light Shale Grey untuk mereka yang inginkan suasana lebih cerah. Di kedudukan tengah papan pemuka, sebuah skrin sentuh LCD lapan-inci tersedia, lengkap dengan sambungan Apple CarPlay & Android Auto tanpa wayar.

    Kluster instrumen digital untuk pemandu juga mudah dilihat, dengan saiz paparan 10.25-inci. Semua maklumat pemanduan boleh diakses melaluinya, termasuk untuk memilih daripada empat mod pemanduan yang disediakan — Normal, Sport, Eco dan Eco+.

    Sambungan Bluetooth dan kamera pandang belakang juga dipaparkan padanya. Untuk kemudahan pengecasan peranti pintar pengguna, pengecas tanpa wayar Qi turut disediakan. Antara perbezaan ketara dalam kabin Kona versi EV ini dengan versi petrol ialah bahagian bawah konsol tengahnya tersedia ruang simpanan yang agak luas untuk dimanfaatkan.

    Ruang barangan yang tersedia adalah 332 liter dengan semua kerusi dinaikkan. Turunkan penyandar kerusi belakang, anda akan mempunyai ruang 1114 liter untuk mengangkut barangan.

    Tempat duduk semuanya balutan kulit, dengan larasan manual untuk varian paling rendah. Bagi dua varian lebih tinggi, kerusi pemandu diberikan larasan kuasa 10-arah, sementara bagi penumpang di tepi hanya ada larasan lapan-arah. Varian Max mempunyai kelebihan pemanas tiga-tahap dan kerusi berliang untuk bahagian depan. Turut disediakan ialah brek parkir elektronik dengan Auto Hold, sistem pendingin hawa zon tunggal automatik serta cermin pandang belakang elektronik kromik anti-silau.

    Aspek keselamatan juga nampak impresif. Kona Electric datang dengan enam beg udara, dengan ABS, ESC, VSM, BAS, TCS. Begitu juga dengan bantuan mula mendaki (HAC), kawalan brek menuruni curam (DBC), sistem bantuan parkir, pengingat tali keledar dan Isofix.

    Tidak ketinggalan ialah Hyundai SmartSense, yang terdiri daripada bantuan penghindaran perlanggaran titik buta (BCA — Plus dan Max sahaja), bantuan penghindaran perlanggaran lintasan trafik di belakang (RCCA — Plus dan Max sahaja), bantuan mengekalkan lorong (LKA), bantuan mengikut lorong (LFA), amaran pergerakan kenderaan hadapan (LVDA), kawalan melayar pintar dengan Stop & Go (SCC — Plus dan Max sahaja), bantun penghindaran perlanggaran depan (FCA), bantuan lampu tinggi (HBA), amaran perhatian pemandu (DAW), amaran penumpang belakang (ROA) dan amaran keluar selamat (SEA — Plus dan Max sahaja).

    Kona Electric datang dalam sembilan pilihan warna — Ignite Red, Dark Knight, Atlas White, Dive in Jeju, Cyber Grey Metallic, Pulse Red Pearl, Galastic Grey, Surfy Blue Metallic dan Jungle Green. Semua varian datang dengan jaminan dua tahun atau 50,000 km (yang mana datang dulu).

    Hyundai Kona Electric Lite 39.2 kW

    Hyundai Kona Electric Plus 39.2 kW

    Hyundai Kona Electric Plus 39.2 kW

     
     
  • Yamaha R6 Race dan R6 GYTR tiba di Eropah – untuk kegunaan litar sahaja, tiada lagi versi jalanan biasa

    Yamaha R6 Race dan R6 GYTR tiba di Eropah – untuk kegunaan litar sahaja, tiada lagi versi jalanan biasa

    Mulai tahun ini, dalam barisan model sport kelas pertengahan Yamaha, R6 telah diganti dengan R7 baru. Walaubagaimanapun, ini tidak bermakna pengeluar dari Jepun itu melupuskan terus R6 kerana mereka juga tahu, kalau melihat kepada prestasi, R6 jauh lebih ke hadapan berbanding R7. Disebabkan itu, mereka masih mengeluarkan R6, tetapi dalam versi kegunaan litar sahaja.

    Ada dua versi yang diperkenalkan, iaitu R6 Race dan Race GYTR. Kedua-duanya menggunakan enjin empat silinder DOHC 599 cc bersama transmisi enam kelajuan nisbah rapat, menghasilkan kuasa 118.4 PS 14,500 rpm dan 61.7 Nm tork. Jumlah ini jauh lebih tinggi berbanding enjin dua silinder 689 cc 73.4 PS dan 67 Nm pada R7.

    Jika dibandingkan dengan R6 yang dikeluarkan untuk produksi pada tahun 2017, R6 Race ini masih menggunakan ciri mekanikal yang sama, cuma ia dipasang dengan tangki aluminium serta panel badan lebih ringkas tanpa lampu dan barang yang tidak diperlukan di dalam litar.

    Pergi pula kepada R6 GYTR, ia dipasang terus dengan pelbagai aksesori daripada katalog GYTR, bermula dengan panel badan gentian kaca diperkuat dengan karbon, set ekzos titanium lengkap Akrapovic, ECU GYTR, sistem pendawaian ringkas jenis lumba, sambungan kepada PC, hos brek stainless steel, penukar gear yang boleh diterbalikkan (GP Shift), sprocket serta rantai lebih ringan dan fork Kayaba 43 mm boleh laras sepenuhnya.

    Kelengkapan lain masih lagi sama, termasuk quickshifter, meter kombinasi analog, tangki 17 liter dan LCD serta brek yang terdiri daripada cakera berkembar 320 mm bersama angkup empat piston di hadapan dan cakera brek 220 mm serta angkup satu piston di belakang. Berat keseluruhan R6 Race adalah 185 kg manakala R6 GYTR pula adalah 190 kg.

     
     
  • MPKj jadi PBT pertama guna kaedah End Live Vehicle selesaikan masalah lambakan kenderaan buruk

    MPKj jadi PBT pertama guna kaedah End Live Vehicle selesaikan masalah lambakan kenderaan buruk

    Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) bakal menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di negara ini yang menggunakan kaedah End Live Vehicle (ELV) bagi menyelesaikan masalah lambakan kenderaan buruk. Sejak 2016 sehingga Oktober lalu, MPKj telah merekodkan lebih 5,000 kenderaan terbiar dan usang, di kebanyakan kawasan perumahan.

    Menurut Yang Dipertua MPKj, Najmuddin Jemain, ELV adalah proses mengitar semula kenderaan dengan tahap pematuhan standard yang ketat terutama menekankan kelestarian alam sekitar. Di mana melalui proses ELZ, setiap kenderaan akan dileraikan secara teratur dan komponennya akan dikitar semula mengikut kaedah SW422 (piawaian Jabatan Alam Sekitar), laporan Berita RTM.

    “Kita cuba selesaikan aduan ini dengan cara yang terbaik. Kita tidak mahu timbul isu yang berlainan khususnya berkaitan dengan alam sekitar.

    MPKj jadi PBT pertama guna kaedah End Live Vehicle selesaikan masalah lambakan kenderaan buruk

    “Bermula daripada kenderaan ditimbang di atas platform, dan sehinggalah proses-proses meleraikan, meletupkan airbag, mengeluarkan bahan kimia yang berada di dalam kenderaan, yang dipantau oleh Jabatan Alam Sekitar supaya ia tidak menyebabkan pencemaran. Komponen yang tidak dapat dikitar semula akan dihantar ke Kualiti Alam atau Pentas Flora untuk proses rawatan lanjut,” kata Najmuddin.

    Projek Rintis Kerjasama Pintar ini bakal bermula pada 1 Disember 2021 yang dilaksanakan dengan kerjasama Car Medic Sdn Bhd dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

    Tambah Najmuddin, melalui kerjasama pintar ini juga, Car Medic akan menunda semua kenderaan buruk seperti kereta,bas, lori, kenderaan perdagangan dan kenderaan berat yang telah dinotis oleh MPKj ke depoh simpanan kenderaan buruk di Bandar Baru Bangi. Selepas selesai proses lucut hak dan perundangan maka kenderaan ini ditunda semula ke Depoh Car Medic untuk proses ELV.

     
     
  • Tengku Djan rangkul gelaran juara keseluruhan Vios Challenge Toyota Gazoo Racing M’sia buat kali ke-3!

    Tengku Djan rangkul gelaran juara keseluruhan Vios Challenge Toyota Gazoo Racing M’sia buat kali ke-3!

    Siri kejohanan ‘one make’ Vios Challenge dalam Festival Perlumbaan Toyota Gazoo Racing Malaysia untuk musim keempat akhirnya tiba di pusingan terakhir, iaitu pusingan ketiga hujung minggu lalu. Disebabkan siri tersebut tidak dapat diadakan di Terengganu dan juga di Pulau Pinang seperti musim-musim sebelumnya, acara kemuncak yang masih diadakan di Litar Antarabangsa Sepang berkenaan dilangsungkan di sebelah malam buat pertama kali.

    Seperti biasa, perlumbaan kali ini dilangsungkan dalam empat kategori berbeza – kategori Super Sporting yang menyajikan pertarungan sengit diantara pelumba-pelumba profesional tempatan, kategori Sporting yang sangat kompetitif dibintangi pelumba-pelumba kelas amatur, kategori Rookie yang terdiri dari pelumba-pelumba yang sangat muda lahir dari dunia simulator dan Go-Kart, dan juga kategori Promotional menampilkan barisan-barisan selebriti tanah air.

    RACE 1, SABTU 20 NOVEMBER

    Tengku Djan rangkul gelaran juara keseluruhan Vios Challenge Toyota Gazoo Racing M’sia buat kali ke-3!

  • Kategori Sporting
  • Perlumbaan kali ini dimulakan dengan aksi dari kategori Sporting. Tumpuan diberikan kepada Ady Rahimi dari pasukan 23 Motors – walaupun bermula dari petak pertama, permulaan yang kurang baik menyebabkan Ady sedikit ketinggalan pada peringkat awal.

    Namun dia berjaya semula untuk mendahului dan menamatkan perlumbaan jauh kehadapan, meninggalkan pemenang tempat kedua Bradley Benedict Anthony dari pasukan Dream Chaser 12.3 saat di belakang, diikuti Dannies Ng di tempat ketiga. Walau bagaimanapun, insiden di awal perlumbaan yang menyaksikan kereta Ady menyentuh Vios yang dipandu Amirul Hakimi dari pasukan Super Evergreen Motorsports menyebabkan ia diberikan penalti selepas tamat perlumbaan.

    Dengan penalti tersebut, Ady terpaksa berpuas hati di tempat kedua sementara Bradley Benedict Anthony disahkan sebagai pemenang tempat pertama.

    Tengku Djan rangkul gelaran juara keseluruhan Vios Challenge Toyota Gazoo Racing M’sia buat kali ke-3!

    Bagi Dannies Ng, kedudukan podium tempat ketiga yang dicapai bukanlah sesuatu yang mudah kerana dia terpaksa bertarung sengit dengan empat pelumba lain. Mirza Syahmi dari pasukan Aylezo Motorsport berada di kedudukan ketiga dari awal perlumbaan sehingga ke lap-12.

    Walau bagaimanapun setelah diasak dengan agresif oleh Clement Yeo yang berada di belakang, Mirza jatuh ke kedudukan ke lima setelah sedikit terbabas di selekoh terakhir. Dalam keadaan kucar kacir berkenaan, Dannies Ng mengambil kesempatan untuk meluru ke hadapan untuk merebut kedudukan podium terakhir tersebut.

    Ng kemudiannya diasak oleh Amirul Hakimi yang berada di tempat keempat dan juga Shawn Lee dari pasukan Laser Motor Racing di kedudukan kelima. Namun kedudukan itu kekal hingga ke garis penamat.

  • Kategori Promotional
  • Tengku Djan rangkul gelaran juara keseluruhan Vios Challenge Toyota Gazoo Racing M’sia buat kali ke-3!

    Selepas selesai kategori Sporting, ia disambung pula dengan kategori Promotional. Bagi kategori ini, boleh dikatakan setiap perlumbaan musim ke empat ini akan menyaksikan pertarungan sengit antara Zizan Razak dan Shukri Yahaya, tak terkecuali bagi pusingan terakhir ini.

    Shukri bermula dari posisi pole kali ini, diikuti oleh Zizan. Namun Zizan berhadapan tugas sukar kerana menerima tekanan dari Khai Bahar dan juga ketua pegawai sukan permotoran Toyota Gazoo Racing Malaysia, Akio Takeyama. Kedudukan antara ketiga-tiga pelumba ini saling bertukar, sementara Shukri selesa mendahului di hadapan.

    Tengku Djan rangkul gelaran juara keseluruhan Vios Challenge Toyota Gazoo Racing M’sia buat kali ke-3!

    Namun ketika perlumbaan berbaki lagi dua lap, Zizan yang berada di tempat kedua berjaya merapatkan jurang dengan Shukri yang berada di hadapan. Shukri mula kelihatan goyah apabila Zizan memulakan serangan di saat-saat akhir. Tanpa diduga, Zizan berjaya memintas Shukri pada di tiga selekoh terakhir pada lap penentuan serta mengekalkan kedudukan tersebut sehingga garis penamat.

    Walau bagaimanapun, Zizan dikenakan penalti lima-saat oleh pentadbir perlumbaan kerana dikesan menggunakan had litar yang tidak sepatutnya ketika memotong, menyebabkan dia jatuh ke tempat kedua. Akio Takeyama mengisi podium tempat ketiga perlumbaan tersebut.

  • Kategori Super Sporting
  • Tengku Djan rangkul gelaran juara keseluruhan Vios Challenge Toyota Gazoo Racing M’sia buat kali ke-3!

    Bagi kategori ini, Tengku Djan Ley mempunyai misi untuk merampas semula kedudukan pendahulu kejohanan dari Syafiq Ali dari pasukan M7 Japan Project untuk bergelar juara keseluruhan musim keempat. Pada sesi kelayakan, Syafiq Ali yang menerima beban weight ballast selepas mendapat kedudukan podium di Race 1 dan juara pada Race 2 pusingan kedua, gagal untuk menunjukkan pretasi terbaiknya dengan mencatatkan masa paling lambat dalam kategori ini.

    Sebaliknya, Tengku Djan berjaya mencatatkan masa kedua terpantas pada sesi berkenaan. Namun, Djan terpaksa bermula dipetak ke-10, di belakang Syafiq Ali kerana insiden yang berlaku pada perlumbaan sebelum ini.

    Tengku Djan rangkul gelaran juara keseluruhan Vios Challenge Toyota Gazoo Racing M’sia buat kali ke-3!

    Walau bagaimanapun, perlumbaan yang diadakan ketika waktu malam, ditambah dengan hujan renyai-renyai menyaksikan Tengku Djan berjaya meletakkan dirinya untuk bersaing di kelompok hadapan. Perlumbaan ini berakhir dengan Freddie Ang dan Mark Darwin mengekalkan kedudukan 1 dan 2 sejak dari mula, manakala Tengku Djan berada di podium tempat ketiga.

    “Kami ada kereta yang baik sepanjang hujung minggu ini dan saya perlu berlumba dengan bijak. Saya perlu memandu dengan pintar untuk perlumbaan terakhir esok kerana saya sudah terima semula ballast 40kg yang mana ia merupakan kelemahan yang besar. Ia merupakan persoalan untuk mendapatkan semula mata yang terlepas pada pusingan kedua,” kata Tengku Djan selepas tamat perlumbaan tersebut.

  • Kategori Rookie
  • Tengku Djan rangkul gelaran juara keseluruhan Vios Challenge Toyota Gazoo Racing M’sia buat kali ke-3!

    Seperti biasa, kategori yang hanya disertai oleh lima orang pelumba muda ini berlangsung sekali dengan kategori Super Sporting. Kali ini, Putera Adam yang baru berumur 14-tahun berjaya mendahului perlumbaan 20 lap berkenaan 1.3 saat di hadapan Jwan Hii di tempat kedua dan pendahulu kejohanan Naquib Azlan di tempat ketiga.

    Putera bermula dari petak pertama memandu dengan tenang sehingga ke garis penamat, diekori rapat oleh Hii dan Naquib. Mika Hakimi terpaksa masuk ke pit kerana berhadapan dengan isu teknikal, menyebabkan ia terpaksa berpuas hati di tempat terakhir di belakang Amer Harris.

    RACE 2, AHAD 21 NOVEMBER

  • Kategori Sporting
  • Tengku Djan rangkul gelaran juara keseluruhan Vios Challenge Toyota Gazoo Racing M’sia buat kali ke-3!

    Berbeza dengan Race 1 yang dilangsungkan dalam keadaan kering sepenuhnya, Race 2 kategori Sporting ini berlangsung dalam keadaan litar yang basah, menyebabkan enam kereta mengalami kemalangan hanya pada lap pertama. Clement Yeo yang bermula di petak kelima berjaya meluru ke hadapan dan terus mengekori pendahulu perlumbaan, Kenneth Koh dari pasukan Panglima City Racing Team, dan kemudian memotongnya untuk berada di tempat pertama.

    Sekali lagi, pertarungan untuk berada di podium ketiga kelihatan sengit di kelompok kedua, menyaksikan Ady Rahimi terbabas keluar dari litar, diikuti Lim Chun Beng dari pasukan Fokus Tetap, Dato’ Ken Foo, A. Shanmuganathan, Eric Yong dan Amirul Haikal.

    Insiden ini menyebabkan Safety Car terpaksa keluar untuk memimpin perlumbaan buat sementara. Kesempatan ini digunakan oleh Kenneth Koh untuk merapatkan kembali jaraknya dengan Clement Yeo, dan tumpuan perlumbaan teralih semula ke kelompok kedua setelah Safety Car masuk semula ke pit, menyaksikan pertempuran hebat antara Bradley Benedict Anthony dan Ady Rahimi untuk tempat ketiga.

    Tengku Djan rangkul gelaran juara keseluruhan Vios Challenge Toyota Gazoo Racing M’sia buat kali ke-3!

    Dengan masa yang telah terbuang ketika Safety Car keluar, perlumbaan tidak lagi dijalankan sebanyak 20 lap, sebaliknya bergantung kepada masa maksima. Pada 10 minit terakhir perlumbaan, Yeo berjaya menjarakkan kembali posisinya di hadapan, sementara Bradley membuat kejutan dengan memotong Kenneth Koh untuk berada di tempat kedua.

    Posisi ini kekal sehingga kereta Clement Yeo melepasi garisan penamat, sekaligus dia turut mengesahkan gelaran juara keseluruhan untuk kategori Sporting musim keempat ini, dan menerima hadiah utama berupa wang tunai berjumlah RM50,000.

  • Kategori Promotional
  • Tengku Djan rangkul gelaran juara keseluruhan Vios Challenge Toyota Gazoo Racing M’sia buat kali ke-3!

    Sekali lagi, kategori ini tertumpu kepada persaingan antara Shukri Yahaya dan Zizan Razak, dan perlumbaan ini juga akan menentukan siapa antara kedua-dua selebriti ini akan dinobatkan sebagai juara keseluruhan musim ini. Ia bermula dengan Zizan mendahului perlumbaan, diikuti oleh Shukri dan juga Khai Bahar di tempat ketiga.

    Namun Zizan telah membuat kesilapan di lap ke-6, membolehkan Shukri dan Khai memintasnya. Apa yang menarik, Zizan mula ketinggalan dari kelompok utama tersebut hampir 10-saat di belakang, sambil Khai cuba mengasak Shukri di hadapan.

    Perlumbaan ini ditamatkan dengan Shukri berada hanya 0.3 saat di hadapan Khai. Tetapi Shukri telah dikenakan penalti oleh pentadbir perlumbaan membolehkan Khai Bahar memenangi perlumbaan terakhir ini. Walau bagaimanapun, pungutan mata setelah tamat perlumbaan berkenaan menyaksikan Shukri Yahaya berjaya bergelar juara keseluruhan bagi kategori Promotional musim keempat ini.

  • Kategori Super Sporting
  • Tengku Djan rangkul gelaran juara keseluruhan Vios Challenge Toyota Gazoo Racing M’sia buat kali ke-3!

    Perlumbaan terakhir bagi kategori Super Sporting ini menyaksikan pertarungan sengit antara ‘Prince of Drift Malaysia’ Tengku Djan Ley, pelumba muda yang pernah memungut mata dalam kejohanan tertinggi Touring Car dunia (WTCR) Mitchell Cheah dan juga Freddie Ang.

    Cheah yang memandu untuk pasukan 23 Motors mengulangi prestasinya pada pusingan kedua sebelum ini, dengan mendominasi perlumbaan 20 lap tersebut di hadapan Tengku Djan Ley, diikuti Ang di tempat ketiga. Walau bagaimanapun, Cheah dikenakan penalti selepas tamat perlumbaan, membolehkan Djan diangkat sebagai pemenang tempat pertama.

    Dengan keputusan berkenaan, ditambah pula dengan prestasi buruk ditunjukkan pesaing utama, Syafiq Ali dengan hanya berjaya menamatkan Race 2 di tempat ke-8, membolehkan Tengku Djan dinobatkan sebagai juara keseluruhan kategori Super Sporting bagi musim ke-4 ini serta menerima hadiah wang tunai berjumlah RM70,000.

    Jadi sehingga kini, Tengku Djan yang juga duta untuk Toyota Gazoo Racing Malaysia dilihat sebagai pelumba paling berjaya dalam siri Vios Challenge ini dengan menjadi juara keseluruhan sebanyak tiga kali dari empat musim yang telah dilangsungkan.

  • Kategori Rookie
  • Tengku Djan rangkul gelaran juara keseluruhan Vios Challenge Toyota Gazoo Racing M’sia buat kali ke-3!

    Putera Adam masih mengekalkan penguasaannya dalam Race 2 dengan menamatkan perlumbaan di tempat pertama – pelumba yang baru berumur 14-tahun ini turut membuat kejutan untuk berada di kelompok pelumba-pelumba dari kelas Super Sporting!

    Dia sangat selesa untuk berada 7.424 saat di hadapan Naquib Azlan yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua, diikuti Jwan Hii di tempat ketiga. Walau bagaimanapun carta pungutan mata mengesahkan bahawa Naquib berjaya dinobatkan sebagai juara keseluruhan bagi kategori Rookie ini yang baru sahaja diperkenalkan pada musim ini.

    Naquib yang sebelum ini hanya berlumba dengan simulator jelas gembira dengan apa yang dicapai sepanjang pembabitannya dalam perlumbaan dengan kereta sebenar menerusi siri Vios Challenge berkenaan.

    “Ia seakan mimpi menjadi nyata. Saya tak sangka akan menyertai perlumbaan dunia sebenar dan mampu beraksi sebaik yang saya lakukan. Saya sangat-sangat bersyukur. Saya perlu ucapkan terima kasih kepada Toyota kerana memberikan kepercayaan dan memberikan peluang kepada saya, kepada pasukan, kepada Alex Yoong yang membantu semua pelumba Rookie dalam menempuhi seluruh perjalanan ini. Ini merupakan sesuatu yang tidak ada pengeluar lain telah lakukan dan bagi mewakili Toyota ia merupakan penghormatan. Saya tak sabar untuk melakukannya sekali lagi musim hadapan,” kata Naquib.

    Tengku Djan rangkul gelaran juara keseluruhan Vios Challenge Toyota Gazoo Racing M’sia buat kali ke-3!

    Pusingan terakhir ini turut dihadiri oleh Menteri Belia dan Sukan Yang Berhormat Dato’ Seri Ahmad Faizal Bin Dato’ Azumu, yang bukan sahaja sempat bertemu dengan pelumba-pelumba muda dalam kelas Rookie, malah sempat untuk menyampaikan hadiah buat semua pemenang.

    Menurut menteri berkenaan, apa yang dilakukan oleh UMW Toyota dalam menganjurkan siri perlumbaan ini telah membuktikan bagaimana sektor korporat boleh terlibat dan menyumbang secara signifikant terhadap merancakkan dan menyuntik keterujaan yang lebih besar dalam sukan ini.

    “Ini merupakan satu inisiatif yang dibuat secara bebas tanpa sebarang sokongan atau bantuan kewangan dari kerajaan. Walaupun UMW Toyota Motor dan jenamanya mungkin mempunyai objektif tersendiri untuk dipenuhi, ia telah berjaya dilakukan dalam masa yang sama memberikan banyak sumbangan kepada sukan permotoran Malaysia. Saya bukan sahaja merujuk kepada perlumbaan yang berlangsung di trek, tetapi juga dari segi memberi rangsangan besar kepada ekonomi sukan permotoran kerana acara seperti ini mewujudkan peluang perniagaan dan pekerjaan bagi mereka dalam industri,” kata Faizal.

    GALERI: Race 1 Vios Challenge Festival Perlumbaan Toyota Gazoo Racing Malaysia musim keempat pusingan ketiga

    GALERI: Race 2 Vios Challenge Festival Perlumbaan Toyota Gazoo Racing Malaysia musim keempat pusingan ketiga

     
     
  • Pas Keluarga Malaysia galak orang ramai guna pengangkutan awam; RM15 untuk 4 sekeluarga

    Pas Keluarga Malaysia galak orang ramai guna pengangkutan awam; RM15 untuk 4 sekeluarga

    Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) telah pun melancarkan Pas Keluarga Malaysia yang bertujuan untuk menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam untuk beriadah dan mengunjungi lokasi tarikan di Lembah Klang. Majlis pelancarannya telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebentar tadi.

    Bakal dijual pada 1 Disember 2021, pas perjalanan ini membolehkan setiap keluarga warganegara Malaysia seramai empat orang di dalam satu kumpulan menikmati perjalanan satu hari tanpa had menggunakan perkhidmatan LRT, MRT, Monorel dan Bas Rapid Transit–Laluan Sunway (BRT) pada hari Sabtu, Ahad dan hari cuti umum.

    Menurut Prasarana, pas berkenaan boleh dibeli di mana-mana stesen LRT, MRT, monorel dan BRT pada harga RM15 untuk pakej empat orang. “Diharapkan denganppengenalan pas ‘Keluarga Malaysia’ dapat menggalakkan warga negara Malaysia beriadah bersama-sama sambil berbelanja di pusat-pusat membeli belah yang terdapat di sekitar jaringan pengangkutan awam di Lembah Klang dan Selangor.

    Ia juga diharap dapat menggalakkan pelancong domestik untuk menggunakan pengangkutan awam serta melawat tempat-tempat menarik di sekitar Lembah Klang, selain membantu menaikkan semula ekonomi peniaga kecil di sekitar pusat bandar, selaras dengan inisiatif ‘Rapid KL Supports #Keluarga Malaysia’, yang turut diumumkan pada majlis berkenaan,” kata Prasarana menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

     
     
  • GALERI: Yamaha Tracer 9 GT 2021 – 890 cc, 113 hp

    GALERI: Yamaha Tracer 9 GT 2021 – 890 cc, 113 hp

    Semasa pelancaran Yamaha T-Max 560 bulan lalu, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) juga telah membuat pra tonton awal untuk dua lagi model iaitu MT-09 2021 dan Tracer 9 GT 2021. Bagi MT-09, harga rasminya telah pun dikeluarkan, iaitu RM54,998, tetapi bagi Tracer 9 GT, harganya masih belum ada (diberitahu dalam bulan November ini juga).

    Pra tonton yang dibuat juga adalah secara dalam talian sahaja. Oleh itu, kini kami bawakan galeri motosikal touring terbaru tersebut, yang berada di pusat pameran HLYM di Sungai Buloh. Melaluinya, anda boleh melihat lebih jelas bagaimana rupa model yang akan dilancarkan secara rasmi untuk pasaran kita nanti.

    Melihat pertamanya kepada Tracer 9, perubahan paling besar bagi model tahun 2021 ini adalah pada bahagian enjin, di mana ia sekarang menggunakan enjin tiga silinder Crossplane 3 berkapasiti 890 cc dan mendapat penarafan Euro 5, sama seperti MT-09 2021. Jumlah kuasa yang dihasilkan juga sama iaitu 117 hp pada 10,000 rpm dan 93 Nm tork pada 7,000 rpm.

    Sebelum ini, enjin 847 cc yang digunakan pada Tracer 900 menghasilkan kuasa 113 hp dan 87.5 Nm tork, sekaligus memberi makna enjin baru ini mencatat peningkatan tork 7% dan sampai ke puncak pada rpm yang lebih rendah. Enjin baru 890 cc ini juga 1.7 kg lebih ringan dan dipadankan bersama ekzos berkembar yang juga lebih ringan 1.4 kg berbanding ekzos sebelum ini.

    Transmisi masih lagi unit enam kelajuan dengan klac jenis assist and slipper, tetapi sedikit perubahan dibuat bagi menjadikan tarikan klac itu lebih ringan. Nisbah gear untuk gear 1 dan gear 2 juga dilaras kembali supaya padan dengan tork yang sudah berubah dan memastikan penukaran lebih lancar.

    Satu lagi perubahan besar adalah kedudukan enjin dijadikan lebih tegak pada casis Deltabox, demi memberikan imbangan serta maklum balas yang lebih baik kepada penunggang. Lengan ayun aluminium model baru ini juga direka semula dan mempunyai panjang yang lebih 60 mm. Walaupun begitu, jarak roda masih tidak berubah iaitu 1,500 mm.

    GALERI: Yamaha Tracer 9 GT 2021 – 890 cc, 113 hp

    Bahagian elektronik juga menunjukkan peningkatan yang jelas. Yamaha telah memasang unit pengukur inertia (IMU) six axis pada Tracer 9 dan unit generasi baru ini 50% lebih kecil dan 40% lebih ringan berbanding unit awal yang digunakan pada model R1 tahun 2015.

    IMU digunakan untuk mengawal sistem elektronik seperti mod tunggangan (semuanya ada empat mod), Cruise Control, Traction Control (tiga tahap), Slide Control (tiga tahap), Wheelie Control (tiga tahap) dan pilihan manual untuk melaras semua ciri ini pada tahap yang dimahukan.

    Untuk brek, di hadapan menggunakan set berkembar cakera 298 mm manakala di belakang terdapat cakera 245 mm. Sistem ABS disediakan dalam dua mod yang boleh ditukar oleh penunggang sementara rim pula adalah unit 17 inci dengan tayar 120/70 dan 180/55.

    Model baru Tracer 9 ini menggunakan panel paparan TFT-LCD yang berbentuk petak dan dibahagikan kepada dua. Informasi berkenaan laju, tahap rpm, tahap minyak dan kedudukan gear ditunjukkan di bahagian kiri manakala bahagian kanan terdapat paparan seperti jarak perjalanan, suhu dan pelbagai lagi. Semua lampu model ini menggunakan unit LED.

    Tempat duduk Tracer 9 kini adalah 15 mm lebih rendah dan ia boleh dilaras secara mudah tanpa menggunakan sebarang alat. Peletak kaki juga boleh dilaras sehingga 15 mm sementara pemegang disediakan dalam dua kedudukan.

    Suspensi Tracer 9 menggunakan unit daripada Kayaba dengan di hadapan terdapat fork USD 41 mm yang boleh dilaras sepenuhnya – 30 mm lebih rendah berbanding sebelum ini – sementara di belakang pula terdapat monoshock. Bagi Tracer 9 GT, suspensi ini dipertingkat dengan kawalan elektronik yang datang dalam dua mod, bersama kelengkapan lain seperti quickshifter naik dan turun gear, lampu membelok LED, pemanas tangan serta beg barangan.

     
     
  • Sistem Pengakuan Salah Kes Saman Trafik Secara Dalam Talian diperluas ke seluruh Semenanjung M’sia

    Sistem Pengakuan Salah Kes Saman Trafik Secara Dalam Talian diperluas ke seluruh Semenanjung M’sia

    Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan telah mengesahkan Sistem Pengakuan Salah Kes Saman Trafik Secara Dalam Talian (Sistem e-PG) akan diperluaskan secara menyeluruh ke Mahkamah Majistret di semua negeri Semenanjung Malaysia. Sebelum ini, sistem berkenaan telah dilancarkan secara rintis di Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan sejak 1 April lalu.

    Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, Sistem e-PG ini akan diperluaskan pula di Mahkamah Majistret bagi Johor pada 25 November ini, Melaka dan Pahang (2 Disember), Perak (9 Disember), Pulau Pinang, Kedah dan Perlis (16 Disember) serta Terengganu dan Kelantan pada 23 Disember 2021, laporan Berita Harian.

    Di mana Orang Kena Saman (OKS) yang mempunyai kes yang didaftarkan di mahkamah berkenaan boleh mengakses Sistem e-PG di https://ecourt.kehakiman.gov.my pada tarikh sebutan pertama kes. Selain itu, OKS juga boleh menyemak senarai kausa kes dan semakan status pendaftaran kes saman trafik secara dalam talian melalui pautan https://ecourtservices.kehakiman.gov.my/CauseList dengan memasukkan lokasi mahkamah dan tarikh sebutan kes.

    Bagi orang awam dan peguam yang hendak memahami tatacara prosiding dan menggunakan Sistem e-PG, boleh melayari Portal Rasmi Badan Kehakiman Malaysia di www.kehakiman.gov.my atau menghubungi e-mel di alamat [email protected] atau menghubungi talian 03-27331313.

     
     
  • GALERI: Yamaha MT-09 2021 di Malaysia – RM54,998

    GALERI: Yamaha MT-09 2021 di Malaysia – RM54,998

    Yamaha MT-09 2021 didedahkan kali pertama kepada dunia hujung tahun lepas, dan Oktober lalu, ia dipertontonkan di Malaysia. Kemudiannya, sebulan selepas itu, barulah ia dilancarkan secara rasmi oleh Hong Leong Yamaha Motor (HLYM), dengan harga jualan RM54,998 tidak termasuk insurans.

    Kami masih belum berpeluang membawa keluar model ini untuk tunggang uji, tetapi baru-baru ini berkesempatan singgah di pusat pameran HLYM di Sungai Buloh. Dengan itu, kami bawakan kepada anda gambar sebenar MT-09 2021 yang dijual untuk pasaran Malaysia.

    Perubahan utama pada MT-09 2021 adalah bentuknya, yang masih lagi ringkas tetapi mempunyai bentuk lampu hadapan lebih unik serta unit LED kompak untuk pencahayaan utama dan jalur DRL menegak. Di sebalik badan ini, Yamaha turut menggunakan kerangka aluminium baru yang lebih tegar untuk memberikan lebih stabiliti dan karekter pemanduan dinamik.

    Enjinnya adalah sama seperti Tracer 9 2021, iaitu unit tiga silinder 890 cc, yang berkemampuan 119 hp pada 10,000 rpm dan 93 Nm tork pada 7,000 rpm. Selain kuasa yang lebih tinggi berbanding model sebelumnya, enjin ini turut dipertingkat untuk mematuhi tahap emisi Euro 5 manakala muncung suntikan bahan api diperelok untuk memberikan lebih penjimatan bahan api.

    Transmisi adalah unit enam kelajuan, dan klac jenis A&S dilaras kembali untuk memadankannya dengan kuasa baru enjin. Kemudian, penukar gear quickshifter yang datang standard pada motosikal ini turut dipertingkat untuk memberikan penukaran naik dan turun gear yang lebih pantas serta lancar.

    Di hadapan pemandu kini terletak panel paparan TFT berwarna 3.5 inci baru yang boleh memaparkan pelbagai informasi termasuk kedudukan gear dan operasinya boleh dikawal menggunakan butang di bahagian kiri pemegang.

    GALERI: Yamaha MT-09 2021 di Malaysia – RM54,998

    Peningkatan elektronik tidak terhenti di situ kerana MT-09 2021 kini dilengkapi dengan unit pengukur inertia (IMU) 6-axis untuk memberikan input kepada sistem Traction Control (tiga mod), Slide Control System (SCS), Front Wheel Lift Control System (LIF) dan Brake Control System (BC).

    Suspensi MT-09 2021 masih lagi menggunakan fork 41 mm serta monoshock yang boleh dilaras, tetapi ia telah ditala semula untuk menyesuaikannya dengan casis serta lengan ayun baru. Pada bahagian brek, di hadapan ia kini menggunakan pam utama radial untuk menghantar tekanan minyak kepada set berkembar angkup empat piston dan cakera 298 mm. Di belakang menggunakan cakera 245 mm dan angkup satu piston.

    Jika anda lihat lebih terperinci, rekaan rim 17 inci MT-09 ini juga berlainan. Bukan setakat rekaan, ia juga adalah 700 gram lebih ringan sekaligus memperbaiki kawalan motosikal dan kecekapan bahan api. Tayar bersaiz 120/70 di hadapan dan 180/55 di belakang.

    Kelengkapan lain pada MT-09 2021 adalah seperti tangki bahan api 14 liter, berat keseluruhan 189 kg, tinggi tempat duduk 825 mm dan jarak dari tanah 140 mm. Jarak roda untuk model baru ini juga bertambah 30 mm menjadikannya 1,430 mm.

     
     
  • Genesis Electrified GV70 diperkenal – SUV elektrik dengan kuasa 489 PS, 0-100 km/j dalam 4.5 saat

    Genesis Electrified GV70 diperkenal –  SUV elektrik dengan kuasa 489 PS, 0-100 km/j dalam 4.5 saat

    Jenama mewah di bawah Hyundai, iaitu Genesis telah mendedahkan model elektrik penuh ketiga mereka waktu Guangzhou Motor Show, dipanggil sebagai Electrified GV70. Seperti yang jelas ditunjukkan pada namanya, ia adalah versi elektrik bagi SUV kompak eksekutif GV70.

    Secara asasnya, Genesis telah mengambil pakej elektrik daripada GV60 dan diletakkan pada badan yang lebih besar. Satu motor elektrik 160 kW (218 PS)/350 Nm diletakkan pada setiap gandar, memberikan pacuan semua roda dan menyediakan kuasa keseluruhan 360 kW (489 PS) dan 700 Nm tork. Jumlah ini dapat dicapai dalam mod Boost dan membenarkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa 4.5 saat.

    Kapasiti spesifik bateri tidak didedahkan, tetapi kita boleh menjangka ia juga menggunakan bateri 77.4 kWh yang sama. Jarak gerak yang dicatat dalam kitaran CLTC China adalah 500 km. Electrified GV70 ini juga boleh menerima pengecas pantas sehingga 350 kW, yang dapat menaikkan tahap bateri dari 10% ke 80% dalam masa cuma 18 minit.

    Sama seperti kenderaan elektrik terbaru Hyundai yang lain, Electrified GV70 ini juga boleh menerima peningkatan cas dari 400 V ke 800 V menggunakan motor serta inverter dalaman, tanpa pengecas atau converter berasingan. Kenderaan ini juga datang dengan pembekal kuasa vehicle-to-load (V2L) yang membolehkan pengguna mengecas barangan elektrik lain.

    Melihat kepada prestasi kenderaan, Electrified GV70 adalah Genesis pertama yang mendapat mod e-Terrain yang dapat meningkatkan kemampuan di atas jalan offroad. Ciri menarik lain yang disediakan adalah seperti motor (salah satu) yang boleh ditutup bagi memberikan lebih penjimatan, Intelligent Pedal (i-Pedal) yang membenarkan pemanduan satu pedal serta sistem penjanaan semula kuasa brek pintar yang boleh melaras sistem mengikut data pemanduan, navigasi serta keadaan jalan. Turut dipasang adalah suspensi yang boleh membaca keadaan jalan menerusi kamera.

    Selain daripada penggerak elektrik, Electrified GV70 ini menggunakan bentuk serta rupa yang sama seperti model petro dan diesel. Perbezaan jelas yang boleh dilihat hanyalah ia tidak mempunyai ekzos di belakang dan menggunakan gril yang tertutup penuh.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025