Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Mitsubishi Connect MY dikemaskini, ada tambahan ciri

    Mitsubishi Connect MY dikemaskini, ada tambahan ciri

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah mengemaskini aplikasi mudah alih Mitsubishi Connect MY dalam usaha syarikat itu untuk memanfaatkan teknologi digital dalam menyediakan layanan lebih selesa dan selamat kepada pelanggannya.

    Sebelum ini, aplikasi berkenaan membolehkan pemilik untuk membuat temujanji servis, namun versi kemaskini terbaru diadakan sekali makluman status servis. Dengan ini, pemilik boleh mengetahui perkembangan servis kenderaan mereka dan akan dimaklumkan sebaik sahaja ia sudah sedia untuk diserahkan semula. Ini sangat membantu terutama dalam era pandemik ini, agar mengurangkan pertembungan dengan individu lain di pusat servis — anda boleh menghantar kenderaan dan hanya datang semula selepas kerja servis selesai.

    Aplikasi ini juga akan mengingatkan pemilik berkenaan anggaran kos servis akan serta perincian jaminan kenderaan mereka. Bukan itu saja, memandangkan peringatan untuk memperbaharui cukai jalan dan insurans juga akan disediakan melalui aplikasi ini.

    Seperti sebelum ini, dalam kejadian tidak diingini seperti kenderaan rosak atau kemalangan, pemilik juga boleh menggunakan ciri SOS Trace & Track dalam aplikasi berkenaan untuk meminta bantuan. Ini menggunakan lokasi semasa dalam GPS, yang akan disahkan oleh individu servis pelanggan MMM untuk menghantar bantuan segera.

    Ciri-ciri lainnya termasuk kemampuan untuk mengenal pasti cawangan pengedar dan pusat servis terdekat Mitsubishi dengan panduan tunjuk arah serta maklumat terkini berkaitan promosi semasa, berita, acara dan maklumat produk.

    “Pandemik telah menciptakan banyak permintaan daripada pelanggan walaupun dalam keadaan yang serba terkekang dan mencabar. Ia juga memerlukan kami beradaptasi untuk memenuhi sitausiitu dengan cara memanfaatkan teknologi digital. Selain memberi keselesaan dan kemudahan kepada pelanggan, teknologi digital ini juga menjamin keselamatan pelanggan dan staf, yang sentiasa menjadi keutamaan kami,” ujar CEO MMM, Tomoyuki Shinnishi.

    “Dengan kemaskini aplikasi berkenaan, ditambah juga dengan bilik pameran dalam talian Mitsubishi, kami ingin meyakinkan pelanggan bahawa kami sentiasa mengambil pendekatan terbaik untuk memastikan keselamatan mereka, baik ketika proses pembelian hinggalah pemilikan,” tambah beliau.

    Aplikasi Mitsubihi Connect MY boleh dimuat turun secara percuma bagi kedua-dua platform Android dan juga iOS melalui Google Play Store dan juga Apple App Store.

     
     
  • Perbaharui lesen, cukai jalan di pejabat pos ikut temujanji, tiada walk in – tiga transaksi per slot

    Perbaharui lesen, cukai jalan di pejabat pos ikut temujanji, tiada walk in – tiga transaksi per slot

    Baru-baru ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah memaklumkan lesen memandu dan cukai jalan kenderaan yang tamat tempoh hendaklah diperbaharui sebelum 30 September ini. Di mana mulai 1 Oktober ini, JPJ dan polis akan memulakan pemantauan dan pemeriksaan bagi kedua-dua dokumen berkenaan.

    JPJ turut memaklumkan, selain memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu secara dalam talian menerusi portal MySikap JPJ atau MyEg serya kaunter perkhidmatan JPJ di seluruh negara, urusan tersebut juga boleh dilakukan menerusi semua pejabat pos mulai hari ini, 9 Ogos 2021.

    Walau bagaimana pun, Pos Malaysia yang telah mengesahkan transaksi urusan JPJ boleh dilakukan di mana-mana cawangan pos, namun orang ramai perlulah membuat temujanji terlebih dahulu. Ini bermakna, tiada ‘walk in’ dibenarkan untuk urusan berkenana.

    Untuk menempah slot temujanji berkenaan yang boleh dilakukan menerusi dalam talian, orang ramai bolehlah klik pada Pencarian Cawangan Pos Malaysia melalui laman web rasminya (www.pos.com.my) atau pun aplikasi telefon pintar. Anda perlu memilih negeri dan kemudian memilih cawangan pejabat pos berhampiran dan klik pada link diberikan. Anda dibenar untuk menempah satu slot temujanji sehari dan maksimum tiga transaksi boleh dilakukan bagi setiap satu temujanji.

    Dalam masa yang sama, Pos Malaysia mengingatkan orang ramai untuk terus mematuhi SOP yang ditetapkan sewaktu berkunjung ke cawangannya termasuklah memakai pelitup muka, memeriksa suhu badan, mendaftar masuk MySejahtera dan menjaga penjarakan sosial. Paling penting, jika anda kurang sihat, harap tidak terburu-buru untuk ke pejabat pos atau pun ke mana-mana sahaja. Kekal di rumah, sehingga anda sembuh.

     
     
  • Vespa Primavera, GTS 75th Anniversary tiba di M’sia – harga jualan masing-masing RM23,500 dan RM38,900

    Vespa Primavera, GTS 75th Anniversary tiba di M’sia – harga jualan masing-masing RM23,500 dan RM38,900

    Selepas didedahkan kepada dunia Mac lalu, model Vespa 75th Anniversary 2021 kini tiba di Malaysia. Ia ditawarkan dalam dua versi iaitu Vespa Primavera 75th Anniversary pada harga RM23,500 dan Vespa GTS 75th Anniversary pada harga RM38,900.

    Model sambutan ulang tahun ke-75 Vespa ini menggunakan skema warna “Giallo 75th”, yang memberikan penghormatan kepada warna Vespa tahun 40-an dan ia kemudiannya diserikan lagi dengan kemasan “tie” hadapan warna kuning opaque pyrite serta tulisan nombor 75 berwarna kelabu di panel tepi dan fender hadapan.

    Kedua-dua model keluaran khas ini juga menggunakan tempat duduk yang dibalut kulit serta rim berwarna kelabu dengan jalur putih di tepi. Terdapat juga beberapa bahagian yang berwarna krom seperti pelindung ekzos, keliling meter, cermin sisi, perumah lampu serta peletak kaki.

    Turut diberi secara standard adalah rak barangan belakang berwarna krom, yang kemudiannya dipasang dengan beg berbentuk bulat, menyamai bentuk seperti tayar simpanan pada model Vespa klasik. Beg yang diperbuat daripada kulit nubuck ini datang dengan tali bahu serta pelindung kalis air, dan ia boleh dicabut dengan mudah untuk dibawa oleh pengguna.

    Di sebalik pelindung kaki dalam motosikal ini, terdapat lencana yang tertulis nombor keluaran model edisi khas, dan panel instrumennya menggunakan unit digital LCD 4.3 inci. Setiap satu model 75th Anniversary ini datang dengan selendang sutera Itali, plet vintaj Vespa, buku pemilik serta poskad sejarah Vespa.

    Untuk kelengkapan teknikal, semuanya masih sama seperti model asas yang digunakan, iaitu enjin i-GET 154.8 cc 11 hp pada Primavera dan enjin 300 cc HPE 23.8 hp pada model GTS. Kedua-duanya adalah enjin suntikan bahan api dengan penarafan emisi Euro 5, dan dipadankan bersama transmisi jenis CVT.

    GALERI: Vespa GTS 75th Anniversary

    GALERI: Vespa Primavera 75th Anniversary

     
     
  • Mitsubishi Lancer Evolution VI Tommi Makinen Edition terjual pada harga RM857k dalam lelongan di UK!

    Mitsubishi Lancer Evolution VI Tommi Makinen Edition terjual pada harga RM857k dalam lelongan di UK!

    Mei lalu, sebuah Mitsubishi Lancer Evolution VI Tommi Makinen Edition terjual dalam lelongan dengan harga £100,100 (RM573k) – tidak hairanlah kerana unit tersebut adalah milik Mitsubishi UK yang disimpan dalam keadaan ‘muzium’, dijual kerana Mitsubishi terpaksa menutup perniagaan mereka di UK.

    Namun hanya sekitar dua bulan selepas itu, sebuah lagi Lancer Evolution VI TME terjual dengan harga yang luar biasa di UK, iaitu £146,250, atau sekitar RM857k! Unit berkenaan telah dijual oleh Silverstone Auction dalam lelongan yang dibuat pada 1 Julai lalu.

    Jadi apa istimewanya unit Evo VI TME ini sehingga ada yang sanggup membelinya dengan harga yang jauh lebih mahal berbanding unit sebelum ini? Menurut Silverstone Auction, unit yang dilelong ini adalah unit pertama dengan nombor siri #001 dari hanya 250 unit Evo VI TME yang dijual secara rasmi, serta salah satu unit dari hanya 50 unit yang hadir dengan warna Passion Red.

    Mitsubishi Lancer Evolution VI Tommi Makinen Edition terjual pada harga RM857k dalam lelongan di UK!

    Menurut Mitsubishi, unit-unit yang hadir dalam warna Passion Red ini bukan sahaja menampilkan warna badan yang sama seperti kereta lumba sebenar Tommi Makinen dalam Kejuaraan Rali Dunia (WRC), malah setiap satunya hadir dengan ‘Special Colour Package’ (SCP) yang hanya diberikan kepada 212 unit Evo VI TME di kilang, iaitu pakej yang terdiri dari jalur badan Ralliart dan juga pembuka pintu berwarna hitam.

    Oleh kerana ia adalah unit rasmi yang dibawa dari Jepun oleh Ralliart UK, unit ini menerima pelbagai sentuhan semula untuk disesuaikan di negara berkenaan antaranya meter kelajuan yang ditentu ukur semula, diberikan lapisan underseal pada bawah badan berwarna kelabu, bateri dan alternator untuk iklim sejuk, pengehad bahan api spesifikasi tanpa plumbum, buku servis dan manual khas untuk pasaran UK, serta plak nombor siri istimewa di mana unit ini diberikan nombor #001.

    Unit ini juga hanya mencatatkan jarak perbatuan 11,000 batu (17,703 km) oleh dua pemilik sebelum ini, manakala semua ubahsuai kecil yang dibuat pada bahagian luaran dan enjin telah dikembalikan semula ke spesifikasi kilang kecuali sistem ekzos. Semua rekod servis untuk kereta ini juga lengkap diberikan kepada pemilik baru.

    Mitsubishi Lancer Evolution VI TME diperkenalkan buat pertama kali pada tahun 1999, dihasilkan sempena kejayaan Tommi Makinen merangkul empat gelaran juara dunia untuk kategori pemandu dalam WRC bersama Lancer Evo. Ia menampilkan berberapa perincian unik berbanding Evo VI biasa antaranya rekaan bampar hadapan, rim Enkei WRC 17-inci, roda stereng Momo, tempat duduk Recaro yang disulam dengan nama Tommi Makinen dan pelbagai lagi.

    Ia juga menerima banyak perubahan dari segi mekanikal antaranya suspensi yang ditala semula bagi memberikan respon yang lebih baik pada permukaan tar, stereng lebih cepat, sistem ekzos dan kotak komputer berbeza, pengecas turbo titanium untuk respon enjin lebih baik serta bahagian dalaman transfer case untuk sistem pacuan semua roda yang dipertingkat.

    Atas kertas, enjin 4G63 2.0 liter empat silinder pada Evo VI TME berkenaan mampu untuk menjana 280 PS dan tork maksima 373 Nm. Digandingkan dengan hanya kotak gear enam-kelajuan manual serta sistem pacuan semua roda, jentera rali jalan raya ini mampu untuk memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4.4 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 241 km/j.

     
     
  • Jangan letak objek perhiasan atau aksesori pada papan pemuka, boleh sebabkan kecederaan – MKJR

    Jangan letak objek perhiasan atau aksesori pada papan pemuka, boleh sebabkan kecederaan – MKJR

    Tentu ramai daripada kita yang suka meletakkan pelbagai objek hiasan pada papan pemuka kereta bukan? Ada yang suka letak kereta skala kecil, kadang-kadang perhiasan yang berupa cenderamata memorabilia, dan ada juga yang meletakkan aksesori seperti pewangi kenderaan.

    Namun tahukah anda bahawa objek-objek berkenaan sebenarnya boleh menambah risiko kecederaan ketika berlaku kemalangan? Menurut Majlis Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MKJR) dalam satu hantaran Facebook, papan pemuka kereta anda bukanlah “rak perhiasan” untuk anda meletakkan objek-objek sedemikian.

    Ini kerana, objek tersebut kebiasaannya diperbuat daripada bahan yang mudah pecah (kaca atau plastik) dan tajam serta tidak dilekatkan secara kekal di papan pemuka yang menjadi punca ianya mudah terpelanting ke arah anggota badan. Selain itu, meletakkan aksesori dan objek di papan pemuka kenderaan yang mempunyai fungsi beg udara juga akan menyebabkan sistem beg udara gagal berfungsi dengan baik kerana terdapat halangan.

    “Lebih malang lagi objek di atas papan pemuka akan terpelanting kearah pemandu dan penumpang dengan kelajuan yang tinggi apabila sistem beg udara berfungsi semasa kemalangan,” tulis MKJR dalam hantaran berkenaan. Malah dengan adanya pelbagai objek di atas papan pemuka berkenaan mungkin akan menyebabkan penglihatan pemandu akan terhalang yang turut mungkin akan menyebabkan kemalangan.

    Sekarang cuba tengok balik papan pemuka anda, ada barang-barang yang tak perlu diletakkan di situ? Kalau ada, kosongkanlah papan pemuka anda sekarang. Lagipun Malaysia ni panas, letak kereta Hotwheels atas papan pemuka tu sekejap je akan rosak kan?

     
     
  • Honda Civic generasi ke-11 sudah dilancarkan di Thai – bermula RM122k, 1.5L VTEC Turbo, 178 PS/240 Nm

    Honda Civic generasi ke-11 sudah dilancarkan di Thai – bermula RM122k, 1.5L VTEC Turbo, 178 PS/240 Nm

    Baru sahaja didedahkan di Amerika Syarikat bulan April lalu, dengan pantas, Honda Civic sedan generasi ke-11 kini sudahpun dilancarkan secara rasmi Thailand! Model pasaran Thai ini masih mengekalkan asas rekaan yang sama seperti Civic yang muncul di AS, namun diberikan pelbagai perincian tersendiri yang mungkin akan diterapkan pada pasaran-pasaran lain di rantau Asia Tenggara.

    Di Thailand, Civic generasi baharu ini ditawarkan dalam tiga varian bermula dengan model asas EL yang dijual pada harga 964,900 baht (RM122,100), diikuti dengan varian pertengahan EL+ berharga 1,009,900 baht (RM127,800). Manakala model varian tertinggi adalah Civic RS yang dijual pada harga 1,199,900 baht (RM151,800).

    Namun ketiga-tiga varian ini semuanya dijana oleh enjin 1.5 liter VTEC Turbo empat-silinder, dimana enjin 1.8 liter NA i-VTEC sudah tidak lagi ditawarkan di Thailand. Enjin VTEC Turbo tersebut kini ditala semula bagi menghasilkan 178 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 240 Nm.

    Talaan kuasa berkenaan adalah 5 PS lebih besar dari enjin 1.5 liter VTEC Turbo pada Civic generasi ke-10, namun jika dibandingkan dengan model pasaran Amerika Syarikat dan juga Jepun, kuasa yang dihasilkan berkenaan adalah 4 PS lebih kecil. Menurut Honda, dengan rangkaian kuasa ini Civic mampu mencatatkan penggunaan bahan api gabungan 17.2 km setiap liter.

    Honda Civic generasi ke-11 sudah dilancarkan di Thai – bermula RM122k, 1.5L VTEC Turbo, 178 PS/240 Nm

    Bagi model tertinggi RS, ia menerima rupa paling garang dengan kemasan-kemasan hitam seperti pada penutup cermin sisi, pembuka pintu, serta diberikan spoiler pada but belakang juga dalam kemasan hitam. Ia juga menerima bampar belakang dengan diffuser hitam berkilat serta menyerlahkan tip ekzos krom di kiri dan kanan.

    Walau bagaimanapun, model RS ini tidak diberikan rmi 18-inci seperti di AS, sebaliknya menerima rim 17-inci kemasan hitam kusam dengan rekaan tersendiri. Dua model lebih rendah tidak menerima spoiler but, diffuser dan juga tip ekzos krom, serta hanya diberikan rim 16-inci.

    Dari segi saiz, Honda Civic 2022 ini adalah lebih besar dari Civic FC. Panjang keseluruhanya adalah 4,678 mm (30 mm lebih panjang), bersama jarak roda 2,733 mm (33 mm lebih jauh). Menurut Honda, ini membolehkan penumpang belakang menerima ruang kaki lebih luas, serta ruang pinggul lebih besar di hadapan dan belakang.

    Rupa kabin Civic pasaran Thai ini juga hampir seiras dengan model pasaran AS. Ia diberikan papan pemuka yang direka jauh lebih ringkas dari Civic FC, menampilkan satu panel panjang dengan elemen gril sarang lebah merentangi papan pemuka tersebut, yang menyembunyikan liang pendingin hawa. Skrin infotainmen tidak lagi ‘ditanam’ papan pemuka, sebalikya diletakkan seakan berdiri sendiri di bahagian paling atas.

    Honda Civic generasi ke-11 sudah dilancarkan di Thai – bermula RM122k, 1.5L VTEC Turbo, 178 PS/240 Nm

    Honda menyatakan bahawa kabin Civic generasi baharu ini dihasilkan dari material yang lebih berkualiti tinggi. Tiang-A yang kini 50 mm lebih kebelakang bukan sahaja memberikan garis badan luaran yang lebih cantik, malah ia turut memberikan pandangan pada cermin hadapan yang lebih luas, dakwa Honda lagi.

    Bagi model RS, ia diberikan sistem infotainmen HondaConnect yang sama dengan Accord, serta menampilkan skrin sesentuh bersaiz sembilan-inci dengan sokongan Apple CarPlay tanpa wayar serta kawalan pelbagai fungsi dari jarak jauh menggunakan aplikasi telefon pintar.

    Manakala untuk varian EL dan EL+, ia diberikan sistem infotainmen biasa dengan skrin tujuh-inci bersama sokongan Apple CarPlay yang masih menggunakan wayar. Model pasaran Thailand ini tidak menerima sistem bunyi Bose seperti Civic generasi baharu di AS dan Jepun, namun kesemua varian diberikan lapan pembesar suara.

    Secara standard, varian asas EL diberikan lampu hadapan automatik halogen projektor, lampu nyalaan siang LED, lampu belakang LED, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin bersama fungsi kunci walkaway, tempat duduk fabrik, sistem pendingin hawa zon tunggal, dan juga kamera undur.

    Varian EL+ pula menerima tambahan kelengkapan seperti cermin sisi dengan fungsi lipat automatik, roda stereng balutan kulit, upholsteri kulit serta tempat duduk pemandu dengan larasan berkuasa elektrik lapan-hala.

    Model tertinggi Civic RS pula diberikan perincian seperti lampu hadapan LED penuh, pengelap cermin automatik, upholsteri Ultrasuede hitam, lampu suasana kabin merah, cermin pandang belakang malap automatik, sistem pendingin hawa dua zon, set pedal aloi, pedal penukar gear, dan juga mod pemanduan Sport baharu.

    Varian RS juga menerima tempat duduk penumpang hadapan dengan larasan berkuasa elektrik empat hala, pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi, dan juga kunci berbentuk kad Honda Smart Key.

    Semua varian Civic generasi ke-11 pasaran Thailand ini diberikan dengan pakej bantuan pemanduan keselamatan Honda Sensing – ya, ia turut dipadankan pada varian asas EL. Pakej tersebut terdiri dari sistem seperti brek kecemasan automatik, cruise control adaptif, bantuan pengekal tengah lorong, bantuan kekal lorong, lampu tinggi automatik dan fungsi baharu amaran mula gerak kehadapan.

    Walau bagaimanapun, teknologi Honda Sensing terbaharu seperti yang diterima pada Civic di AS dan Jepun iaitu sistem pemanduan autonomi tahap 2 dengan kelajuan di bawah 65 km/j Traffic Jam Assist (TJA) tidak diberikan untuk Civic pasaran Thai ini. Sistem kamera pemantau titik buta Honda LaneWatch pula hanya diberikan pada model RS.

    Selain itu, kesemua varian Civic Thailand ini juga menerima kelengkapan keselamatan standard seperti enam beg udara (tanpa dua beg udara lutut seperti pasaran lain), kawalan kestabilan elektronik, bantuan mula mendaki dan cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix di belakang

    Civic ini turut menerima fungsi keselamatan baharu iaitu pengingat tempat duduk belakang bagi mengingatkan pemandu agar memeriksa dahulu tempat duduk belakang mereka sebelum meninggalkan kereta, untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku. Model RS pula diberikan tambahan fungsi pengingat pemakaian tali pinggang keledar belakang.

    Honda Thailand turut memperkenalkan pakej aksesori Modulo untuk Civic ini serentak dengan pelancarannya. Ia menampilkan kit badan yang terdiri dari spiltter udara hadapan, skirt sisi dan juga diffuser belakang, kesemuanya dalam kemasan hitam. Kit lengkap ini dijual pada harga 18,500 baht (RM2,300).

    Honda Civic generasi ke-11 sudah dilancarkan di Thai – bermula RM122k, 1.5L VTEC Turbo, 178 PS/240 Nm

    Modulo juga menawarkan Sport Package berharga 8,900 baht (RM1,100) yang menampilkan kemasan gril krom hadapan dengan rekaan Solid Wing Honda, bagi menjadikan muka Civic berkenaan lebih seiras dengan Accord, bersama liang udara palsu untuk bampar belakang.

    Satu lagi pakej yang lebih lengkap disediakan yang dipanggil Exclusive Sport Package – secara asasnya Sport Package dengan tambahan spoiler belakang – dijual pada harga 17,200 baht (RM2,200). Pembeli turut boleh menambah kemasan krom untuk tip ekzos dengan harga 1,950 baht (RM250).

    Aksesori asli Modulo lain yang turut ditawarkan termasuk rim 17-inci kemasan hitam dengan rekaan jejari turbin berharga 5,250 baht (RM660), scuff plate bernyala berharga 5,100 baht (RM640), penutup cermin sisi kemasan hitam berharga 1,950 baht (RM250) dan juga lampu untuk ruang kaki berharga 2,200 baht (RM270).

     
     
  • SPYSHOT: Ford Ranger 2022 dapat muka hadapan seperti Maverick, enjin plug-in hybrid 367 PS, 680 Nm

    SPYSHOT: Ford Ranger 2022 dapat muka hadapan seperti Maverick, enjin plug-in hybrid 367 PS, 680 Nm

    Selepas 10 tahun diperkenalkan, Ford Ranger T6 akan berhenti dipasarkan tidak lama lagi. Ia kemudiannya akan diganti oleh Ranger baru yang akan membuat penampilan pertama tahun hadapan, dan di sini, kami tunjukkan gambar model tersebut, yang ditemui oleh jurugambar risikan kami.

    Seperti yang boleh dilihat, bentuknya diubah secara menyeluruh, dengan bahagian hadapan kini kelihatan seakan sama seperti model Maverick yang diperkenalkan baru-baru ini. Di sebalik pelekat camouflage itu pula kita boleh nampak lampu hadapan LED berbentuk C, dengan lampu DRL dan gril yang besar.

    Lampu penunjuk arah yang diletakkan pada cermin sisi juga lebih nipis berbanding sebelum ini, sementara di belakang lampunya kelihatan seperti unit pada Isuzu D-Max baru. Biasa bagi model pikap, kita boleh menjangka penawaran sport bar sebagai pilihan tambahan, termasuk unit yang lebih kemas pada varian Wildtrak.

    SPYSHOT: Ford Ranger 2022 dapat muka hadapan seperti Maverick, enjin plug-in hybrid 367 PS, 680 Nm

    Ranger baru juga dijangka menerima suntikan kuasa elektrik, dengan CarExpert sebelum ini pernah melaporkan bahawa model plug-in hybrid akan ditawarkan bersama model enjin petrol dan diesel yang lain. Varian ini dijangka menggunakan gabungan enjin petrol empat silinder turbo 2.3 liter bersama motor elektrik, untuk menghasilkan 367 PS dan 680 Nm tork, serta penggunaan bahan api sekitar 3.0 l/100 km.

    Turut akan ditawarkan adalah enjin diesel empat silinder 2.0 liter twin turbo seperti sekarang, serta enjin V6 3.0 liter turbo baru. Untuk unit petrol pula, Ranger baru ini berkemungkinan menggunakan unit V6 2.7 liter turbo 314 PS/542 Nm daripada Bronco.

    Penawaran semua enjin ini mungkin bergantung kepada pasaran, dengan Asia Tenggara dan Australasia diberikan enjin diesel. Model plug-in hybrid pula mungkin ditawarkan untuk Eropah, dibuat di Afrika Selatan, sementara versi V6 petrol pula dijangka menjadi model khas untuk pasaran Amerika Utara.

     
     
  • Honda Civic gen. ke-11 pasaran Jepun diperincikan – hanya hatchback, 1.5L Turbo, ada manual 6-kelajuan

    Honda Civic gen. ke-11 pasaran Jepun diperincikan – hanya hatchback, 1.5L Turbo, ada manual 6-kelajuan

    Honda Civic generasi ke-11 bakal dijual pada pasaran Jepun pada 3 September ini, dan ia hanya tampil dalam versi hatchback. Sebelum ia dilancarkan secara rasmi di sana, berberapa perincian berkenaan model ini telah diumumkan sendiri oleh Honda selepas rupanya didedahkan pada Jun lalu.

    Civic Hatchback pasaran Jepun ini hanya menerima satu pilihan enjin iaitu 1.5 liter VTEC Turbo empat-silinder. Walaupun ia adalah unit yang sama seperti model generasi sebelumnya, enjin berkenaan telah menerima talaan semula bagi membolehkan ia menghasilkan 182 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 240 Nm bermula 1,700 hingga 4,500 rpm, atau 9 PS dan 20 Nm lebih berkuasa.

    Selain dari kotak gear CVT, model Hatchback pasaran Jepun ini turut menerima pilihan transmisi manual enam-kelajuan, yang menurut Honda ia kini diberikan tuil penukar gear yang lebih tegar serta menampilkan gerak tukaran lebih pendek. Honda juga mendakwa model generasi baharu ini mencapai kadar penggunaan bahan api 16.3 km untuk setiap liter berdasarkan kitaran ujian WLTP untuk kedua-dua jenis transmisi.

    Model pasaran Jepun ini menampilkan rupa yang sama seperti Civic Hatchback yang didedahkan untuk peringkat global di Amerika Syarikat sebelum ini. Ia berkongsi banyak persamaan dengan model sedan seperti lampu hadapan, jarak roda dan juga sebahagian besar bahagian kabin. Pada bahagian muka, hatchback masih berkongsi bampar dengan rupa sama dengan versi sedan, tetapi diberikan gril berbeza di mana ia hadir dengan elemen sarang lebah, berbanding rekaan garis melintang pada sedan.

    Honda Civic gen. ke-11 pasaran Jepun diperincikan – hanya hatchback, 1.5L Turbo, ada manual 6-kelajuan

    Kerana ketiadaan bahagian ‘punggung’, model Hatchback ini adalah 125 mm lebih pendek dari sedan, serta bahagian tailgate 50 mm lebih rendah yang kelihatan bersambung terus dengan garis bumbung yang lebih anggun. Lampu belakang model ini menampilkan kluster utama dengan rekaan berbeza terus dari sedan, serta merentangi keseluruhan pintu tailgate belakang.

    Bampar belakang model Hatchback ini juga nampak lebih sporty dari Civic sedan dengan menampilkan bahagian kemasan seakan diffuser yang lebih besar. Ia tidak lagi menampilkan tip di tengah seperti Civic Hatchback facelift generasi ke-10, sebaliknya diberikan corong trapezoid di kiri dan kanan bampar dengan kemasan krom sekeliling yang nampak lebih normal.

    Dalam kabin, model Hatchback ini turut berkongsi papan pemuka lebih ringkas, serta kemasan dalaman lain yang menggunakan material sentuhan lembut yang lebih premium. Skrin infotainmen utama kini direka ‘berdiri sendiri’, manakala paparan meter untuk pemandu juga hadir dengan instrumen digital sepenuhnya.

    Berbanding model generasi ke-10, Civic Hatchback baharu ini menawarkan ruang kaki belakang 35 mm lebih besar. Bersama cermin belakang yang lebih besar serta cermin suku belakang baharu, ia memberikan suasana lebih luas untuk penumpang belakang.

    Honda Civic gen. ke-11 pasaran Jepun diperincikan – hanya hatchback, 1.5L Turbo, ada manual 6-kelajuan

    Kapasiti ruang but belakang Civic baharu ini adalah 452 liter yang sebenarnya 26 liter lebih kecil dari model sebelumnya. Namun Honda menyatakan bahawa bukaan pintu tailgate berkenaan kini 40 mm lebih lebar bagi memudahkan barang besar dimasukkan pada ruang tersebut. Tempat duduk belakang juga masih boleh dilipat dengan nisbah 60:40, manakala rekaan penutup kargo tarik-tepi masih di bawa pada model generasi baharu ini.

    Civic generasi ke-11 ini menampilkan kerangka yang dihasilkan dari logam berkekuatan ultra tinggi, serta diberikan bonet hadapan aluminium bagi mengurangkan beratnya. Casis model generasi baharu berkenaan ditala bagi memberikan pengendalian yang lincah, kestabilan lebih baik ketika mengambil selekoh dan juga di jalan lurus, pemanduan yang diperhalusi dan sofistikated, serta diberikan sistem Bantuan Pengendalian Lincah iaitu sistem torque vectoring yang beroperasi menggunakan sistem brek.

    Civic Hatchback pasaran Jepun ini ditawarkan dalam dua varian iaitu model asas Civic LX dan juga model tertinggi Civic EX. Model LX diberikan pelbagai kelengkapan standard antaranya lampu hadapan LED penuh, rim aloi rekaan jejari-Y 18-inci, tempat duduk leatherette dengan pemanas, paparan instrumen tujuh-inci serta skrin sesentuh infotainmen HondaConnect bersaiz sembilan-inci.

    Manakala untuk model EX, ia ditambah dengan lampu kabus LED, rim aloi dengan kemasan lebih gelap, tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan larasan berkuasa, paparan instrumen digital bersaiz 10.2-inci, upholsteri Ultrasuede, pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi dan juga sistem bunyi Bose dengan 12-pembesar suara.

    Kedua-dua varian ini didatangkan dengan sistem bantuan pemanduan keselamatan Honda Sensing secara standard. Sistem berkenaan kini ditingkat taraf dengan menampilkan sistem pemanduan autonomi tahap 2 Traffic Jam Assist (TJA) yang memberikan respon lebih lancar serta semula jadi untuk cruise control adaptif walaupun pada kelajuan di bawah 65 km/j, serta bantuan pengekal tengah lorong.

    Sisten Honda Sensing untuk Civic Hatchback pasaran Jepun ini juga diberikan fungsi Adaptive Driving Beam (ADB) yang akan menghalang silau pada mata pemandu lain. Sistem lain yang turut tersenarai dalam pakej Honda Sensing berkenaan termasuk brek kecemasan automatik (AEB), bantuan stereng ketika mengelak, pengenal papan tanda trafik dan lain-lain.

    Untuk sistem keselamatan pasif pula, Civic Hatchback JDM ini turut menerima beg udara lutut untuk pemandu dan penumpang hadapan, menjadikan lapan beg udara yang dibekalkan secara keseluruhan.

    Honda Civic Hatchback pasaran Jepun ini dijual pada harga bermula 3,190,000 yen (RM122,500) untuk varian LX sehingga 3,539,800 yen (RM135,900) untuk varian EX. Honda turut mengesahkan model hybrid e:HEV yang lebih mesra alam dan versi prestasi tinggi Civic Type R berdasarkan model generasi baharu ini turut akan diperkenalkan pada tahun hadapan.

     
     
  • MIROS buat kajian mengenai kesedaran pengguna terhadap ciri keselamatan kenderaan & ASEAN NCAP

    MIROS buat kajian mengenai kesedaran pengguna terhadap ciri keselamatan kenderaan & ASEAN NCAP

    Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) sedang mengendalikan kajian untuk menentukan tahap kesedaran para pengguna di negara ini tentang ciri keselamatan dalam kenderaan yang terdapat di pasaran sekarang. Kajian secara dalam talian ini telah pun dibuka penyertaan untuk semua pihak. Maklumat seterusnya akan dikongsikan di bawah.

    Kajian tersebut juga bagi mengenalpasti tahap kesedaran para pengguna terhadap tugasan yang dilaksanakan oleh ASEAN NCAP di Malaysia. Menurut MIROS, ia bertujuan untuk memahami persepsi pengguna terhadap fungsi dan keberkesanan teknologi keselamatan kenderaan, dan kajian berkenaan terbuka untuk semua.

    Jika anda berminat untuk menyertai kajian tersebut, MIROS telah menyediakan tiga bahagian soalan, dan anda perlu KLIS DI SINI untuk memasukkan maklumbalas anda. MIROS memberi jaminan bahawa semua data yang dimasukkan adalah sulit dan hanya akan digunakan untuk tujuan kajian sahaja.

     
     
  • Pelaksanaan TnG RFID tertangguh sebab pandemik

    Pelaksanaan TnG RFID tertangguh sebab pandemik

    Touch ‘n Go (TnG) memaklumkan bahawa pelaksanaan sistem RFID di lebuhraya utama seluruh negara ketika ini tertangguh akibat pandemik Covid-19. Bagaimanapun, syarikat itu terus menjalankan kerja-kerja bersama rakan konsesi untuk memastikan operasi sistem berkenaan di seluruh rangkaian lebuhraya utama akan dapat dicapai dan berjalan lancar kelak, lapor The Malaysian Reserve.

    Menurut CEO Kumpulan TnG, Effendy Shahul Hamid, keseluruhannya ada 273 lorong di lebuhraya telah menjadi ujian RFID, dan kedua-dua syarikat serta rakan konsesi akan bekerjasama memastikan prestasi operasi optimum bagi setiap lorong RFID sebelum melancarkannya secara rasmi di seluruh negara.

    Ketika ini, sistem RFID tersedia di semua lebuhraya kecuali di beberapa jalur, iaitu di PLUS di Juru, P. Pinang ke Skudai, Johor; Lebuhraya Pantai Timur di Karak, Pahang, hingga Terengganu; dan Lebuhraya Pantai Barat di Kampung Lekir ke Beruas di Perak.

    Pelaksanaan TnG RFID tertangguh sebab pandemik

    Effendy memaklumkan, kawalan pergerakan ketika PKP sebagai sebab utama yang menyumbang kepada penangguhan tersebut. “Walaupun pandemik ini telah menyebabkan penangguhan kepada perancangan awal berkaitan RFID, kami juga faham bahawa kesihatan dan keselamatan bersama adalah lebih penting untuk diberi perhatian ketika ini,” jelasnya.

    Walaupun dengan kelewatan itu, ramai pengguna telah beralih kepada kaedah pembayaran tanpa sentuhan itu. Effendy berkata yang jualan tag TmG RFID telah banyak meningkat. “Bayaran tanpa sentuhan ini menjadi trend baru pengguna. Transaksi tanpa tunai menjadi pilihan bagi kebanyakan pengguna di Lebuhraya. Kesannya, jualan tag RFID meningkat, terutama dengan pengenalan kit pasang sendiri pada Mei 2020,” ujarnya.

    Pelaksanaan TnG RFID tertangguh sebab pandemik

    Syarikat itu mendedahkan lebih daripada 500,000 telah terjual sejak sistem berkenaan beroperasi dalam program percubaan sejak September 2018. Ketika ini, kit pasang sendiri itu boleh dibeli melalui TnG eDompet dan kedai rasmi dalam talian syarikat itu serta platform e-dagang lain seperti Lazada dan Shopee.
    Menurut syarikat itu, ekosistem TnG kini memiliki 25 juta kad TnG yang aktif, dengan lebih 16 juta pengguna eDompet dan 1.5 juta pengguna tag RFID.

    Selain bayaran tol secara elektronik, sistem ini juga akan dimanfaatkan untuk tujuan isian minyak tanpa tunai. TnG dan Shell Malaysia kini sedang menjalankan progrom ujian TnG RFID Isian Semula di lima stesen Shell terpilih di Lembah Klang.

     
     
  • Rossi bersara dari MotoGP, lumba kereta selepas ini?

    Rossi bersara dari MotoGP, lumba kereta selepas ini?

    Era sukan permotoran dua roda moden Valentino Rossi nampaknya sudah berakhir apabila beliau mengumumkan persaraan daripada MotoGP selepas musim 2021 tamat. Beliau sekarang berlumba untuk pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team selepas pencapaian yang tidak bagus pada tahun 2020, ketinggalan di belakang pelumba muda yang semakin meningkat seperti Fabio Quartararo, Joan Mir dan Miguel Oliveira.

    Rancangan Rossi selepas ini masih belum didedahkan, tetapi beliau ada menyatakan keinginan untuk menyertai perlumbaan kereta, berkemungkinan kelas GT. Pasukan lumba motosikal beliau pula, iaitu Team VR46 baru-baru ini telah menandatangani perjanjian dengan syarikat minyak Aramco, serta penganjur MotoGP, Dorna untuk penubuhan sebuah pasukan dalam kelas MotoGP menggunakan jentera Ducati.

    Karier Rossi selama 25 tahun dalam Grand Prix bermula dari zaman dua lejang lagi, dan beliau telah memenangi kejuaraan yang pertama pada tahun 2001, iaitu perlumbaan terakhir bagi jentera 500 cc empat silinder dua lejang, sebelum beralih kepada enjin empat lejang. Rossi kemudiannya memenangi lima lagi kejuaraan secara berturut-turut bersama pasukan Honda dan juga Yamaha.

    Rossi bersara dari MotoGP, lumba kereta selepas ini?

    “Selepas lima kejuaraan berturut-turut dalam MotoGP, saya kalah untuk dua tahun. Dalam karier biasa, ia sepatutnya sudah berakhir. Walaubagaimanapun selepas itu saya masih dapat kembali ke atas, bersaing dengan Lorenzo, Stoner dan Pedrosa, dan memenangi dua lagi kejuaraan,” kata Rossi berkenaan perkara yang menyerlah dalam karier beliau.

    Secara keseluruhannya, Rossi telah memenangi sembilan kejuaraan dunia, 115 tempat pertama dalam perlumbaan, 199 kali podium dalam MotoGP/500 cc, 55 kedudukan paling hadapan waktu memulakan perlumbaan MotoGP/500 cc dan 423 kali memulakan perlumbaan sepanjang karier dari tahun 1996.

     
     
  • Puspakom buka slot untuk September minggu depan

    Puspakom buka slot untuk September minggu depan

    Bulan lalu, JPJ mengumumkan lanjutan pengesahan bagi beberapa perkhidmatan dan transaksi yang tidak boleh dilakukan dari 1 hingga 31 Julai disebabkan PKP yang berlangsung ketika ini.

    Walaupun dengan perkhidmatan di kaunter bagi semua agensi di bawah Kementerian Pengangkutan (JPJ, LPKP Sabah dan Sarawak, APAD, Puspakom) sudah mula beroperasi sejak 1 Julai lalu, ia hanya untuk transaksi dan perkhidmatan yang tidak boleh dilakukan secara dalam talian, serta dengan kapasiti staf hanya 50%. Ia juga hanya dengan temujanji, dan tiada kunjungan terus.

    Laporan Puspakom dengan tarikh luput sepanjang Jun dan Julai juga diberikan lanjutan hingga 30 September. Ini termasuklah laporan B2, PG11A dan PG13B serta laporan B5 yang diperlukan untuk tukar milik kenderaan. Kenderaan komersial yang perlu melakukan pemeriksaan berjadual sepanjang Jun dan Julai pula akan dibenarkan untuk menangguhkan hal itu, dengan pengecualian daripada saman.

    Memandangkan lanjutan yang diberikan hingga 30 September, ini bermakna hanya ada bulan depan untuk anda menyelesaikan urusan Puspakom. Syarikat itu juga hari ini telah mengeluarkan notis peringatan dan makluman bahawa slot temujanji bagi September akan dibuka untuk tempahan minggu depan.

    Puspakom buka slot untuk September minggu depan

    “Pelanggan dinasihatkan untuk tidak menunggu hingga saat terakhir untuk melakukan pemeriksaan kenderaan, bagi mengelakkan slot temujanji penuh. Sila buat tempahan anda seawalnya dalam bulan Ogos, terutama bagi kenderaan yang hampir tarikh luput pemeriksaannya pada June dan Julai,” jelas Puspakom.

    Jadi, dengan pengumuman dan peringatan bahawa tempoh lanjutan bakal tamat ini, maka jika anda tergolong dalam kalangan yang terlibat dengan pemeriksaan kenderaan seperti yang dinyatakan ini, eloklah bertindak seberapa segera nanti. Turut akan berakhir ialah kelonggaran bagi lesen dan cukai jalan tamat tempoh, 30 September adalah hari terakhir untuk itu dan penguatkuasaan akan dimulakan pada 1 Oktober 2021.

     
     
  • Porsche 911 GT2 RS Clubsport 25 – kereta lumba keluaran terhad 30 unit sahaja, RM2.6 juta, 691 hp

    Porsche 911 GT2 RS Clubsport 25 – kereta lumba keluaran terhad 30 unit sahaja, RM2.6 juta, 691 hp

    Ini adalah Porsche 911 GT2 RS Clubsport 25, iaitu kereta lumba keluaran terhad untuk jualan awam, yang dibuat bagi menyambut ulang tahun ke-25 Manthey Racing tahun ini. Hanya 30 unit akan dikeluarkan, dan ia dijual pada harga 525,000 euro (sekitar RM2.6 juta), dengan penghantaran dijangka bermula Januari 2022.

    Manthey Racing ditubuhkan pada tahun 1996 dan merupakan antara rakan kongsi penting Porsche dalam dunia perlumbaan. Pada tahun 2013, Porsche telah bergabung dengan pasukan lumba ini dengan mendapatkan 51% pegangan kepentingan di dalamnya, dan baru-baru ini pula, mereka telah bersama mencatat rekod di litar Nurburgring.

    Sama seperti 935 yang diperkenalkan pada tahun 2018, model baru ini juga menggunakan 911 GT2 RS generasi 991, versi Clubsport, yang cuma ada 200 unit sahaja. Spesifikasi teknikal utama tidak diubah, dan ia masih lagi menggunakan enjin enam silinder 3.8 liter twin turbo bersama transmisi PDK tujuh kelajuan klac berkembar, mampu menghasilkan 700 PS (691 hp) dan 750 Nm tork untuk dihantar ke roda belakang.

    Kelengkapan lain yang sama seperti model keluaran terhad itu adalah termasuk suspensi lumba yang boleh dilaras, sistem pencatat data, Porsche Stability Management (PSM), bahagian dalam yang telah dipersiapkan untuk lumba, serta bahagian badan yang kebanyakannya menggunakan gentian karbon.

    Porsche 911 GT2 RS Clubsport 25 – kereta lumba keluaran terhad 30 unit sahaja, RM2.6 juta, 691 hp

    Model Clubsport 25 ini kemudiannya dipertingkat lagi dengan ciri seperti kereta lumba 911 GT3 R Manthey, termasuk radiator yang terletak di tengah dan mendapat angin daripada bukaan udara pada bampar yang direka semula. Tetapan ini bukan sahaja dapat memberikan lebih perlindungan apabila ada perlanggaran, tetapi juga memberikan aliran udara lebih baik untuk menjaga suhu enjin pada pelbagai kelajuan.

    Melalui konsep ini juga, radiator dapat dialihkan daripada tempat asalnya, iaitu berhampiran lengkung tayar, dan ruang kosong yang terhasil dapat memberikan aliran udara kepada brek hadapan. Hasilnya, suhu brek menjadi lebih stabil pada tempoh yang lebih lama dan mempunyai bukaan untuk mengeluarkan udara panas.

    Ciri lain yang menyerlah adalah seperti bahagian bawah badan yang ditutup sepenuhnya serta rekaan lubang atas bonet yang mengalirkan udara ke bumbung seterusnya sayap belakang, dan plet tepi baru. Salur udara NACA kecil berhampiran logo Porsche menyampaikan udara terus ke dalam kabin sementara lampu pula menggunakan unit khas untuk perlumbaan yang mempunyai empat jalur LED.

    Penggunaan rim 18 inci dengan offset khas juga menjadikan jarak roda kereta ini lebih lebar berbanding 911 GT2 RS Clubsport biasa, dan ia dipasang dengan arch yang bersesuaian. CLubsport 25 juga mendapat sistem stereng kuasa elektrik dengan nisbah boleh ubah yang sama seperti 935.

    Porsche 911 GT2 RS Clubsport 25 – kereta lumba keluaran terhad 30 unit sahaja, RM2.6 juta, 691 hp

    Untuk grafik, kereta ini menggunakan kemasan hijau dan kuning, yang memberikan penghormatan kepada corak “Grello” yang digunakan pada kereta lumba 911 GT3 Manthey. Warna ini boleh dilihat pada beberapa bahagian, termasuk bukaan udara hadapan, rim, sirip tepi, fender, penyokong spoiler serta lencana model di belakang.

    “Porsche Motorsport dan Manthey telah memenangi banyak perlumbaan dan kejuaraan sejak pasukan ditubuhkan 25 tahun lalu – sebagai contoh, tujuh kali dalam perlumbaan 24 jam di Nurburgring. Sejak tahun 2013, dua syarikat ini telah mewujudkan gabungan yang lebih rapat lagi. Melalui 911 GT2 RS Clubsport 25 keluaran terhad yang istimewa ini pula, kerjasama antara kami pergi ke satu tahap lebih tinggi lagi,” kata pengarah Porsche GT Racing Cars, Matthias Scholz.

     
     
  • Kilang Honda di Wuhan terpaksa ditutup kerana kes Covid-19; varian delta mula mengganas di China

    Kilang Honda di Wuhan terpaksa ditutup kerana kes Covid-19; varian delta mula mengganas di China

    Tiga Kilang Honda di Wuhan, China milik syarikat kerjasama Dongfeng Honda terpaksa ditutup sejak Selasa lalu, akibat kes jangkitan virus Covid-19 yang mengganas semula di negara berkenaan, lapor Nikkei Asia.

    Menurut Honda dalam laporan berkenaan, terlalu ramai pekerjanya tidak dapat hadir untuk bertugas di kilang-kilang terebut kerana perintah berkurung telah dibuat pada kawasan-kawasan sekitar. Kilang-kilang yang mempunyai kapasiti untuk menghasilkan sejumlah 720,000 kenderaan berkenaan kini dalam keadaan tidak menentu kerana masih tiada petunjuk bila ia boleh beroperasi kembali.

    Kali terakhir kilang-kilang berkenaan terpaksa dihentikan dari beroperasi adalah ketika perintah berkurung selama 76-hari yang dibuat oleh kerajaan negara tersebut yang berakhir pada April tahun lalu.

    Selasa lalu pihak berkuasa Wuhan telah mengumumkan bahawa mereka akan mula membuat ujian saringan Covid-19 kepada semua 12 juta penduduknya. Ia berikutan kes varian delta yang mula dikesan di Lapangan Terbang Antarabangsa Nanjing pada 20 Julai lalu.

    Penyebaran virus dalam varian yang lebih cepat merebak tersebut diburukkan lagi dengan musim percutian musim panas di China, menyebabkan ia tersebar ke 30 bandar di negara berkenaan termasuk Beijing, Shanghai dan Chongqing. Bagi mengekang penyebaran virus berkenaan, lebih 1.7 bilion dos vaksin telah diedarkan ke seluruh China sehingga Selasa lalu, dan sekurang-kurangnya 800 juta rakyatnya telah menerima suntikan berkenaan.

    Walau bagaimanapun, professor dari University of Massachusetts Medical School, Lu Shan mengatakan dalam laporan Nikkei tersebut bahawa vaksin yang dibangunkan oleh China iaitu Sinopharm dan Sinovac hanya mempunyai kadar keberkesana antara 50% hingga 78%, berbanding vaksin keluaran Pfizer dan Moderna dari Amerika Syarikat yang mempunyai keberkesanan melebihi 90%.

     
     
  • Range Rover Velar 2.0L R-Dynamic 2021 dilancar di Malaysia – naiktaraf dalaman, ciri baharu, RM612k

    Range Rover Velar 2.0L R-Dynamic 2021 dilancar di Malaysia – naiktaraf dalaman, ciri baharu, RM612k

    HyperFocal: 0

    Jaguar Land Rover Malaysia secara rasminya telah pun memperkenalkan Range Rover Velar 2021, dengan menampilkan dalaman yang dinaiktaraf dan kit yang dikemaskini. Model yang lebih segar ini ditawarkan dengan varian 2.0L R-Dynamic dengan harga bermula RM612,207 (tidak termasuk insurans, cukai jalan dan pendaftaran, tetapi dengan diskaun 50% cukai SST).

    Tiada rombakan luaran dibuat, tetapi bahagian dalaman menerima beberapa perubahan gaya. Ini termasuklah menampilkan gear shifter baharu yang menggantikan rotary dial yang ada pada versi terdahulu. Selain itu, Ia turut menerima rekaan baharu untuk roda stereng yang dilengkapi dengan butang pintar dan juga pengesan hands-on wheel.

    Manakala sistem infotainmen juga dipertingkatkan. Walau bagaimana pun perkakasan dwi-skrin masih dikekalkan, namun diberikan sistem baharu bagi Pivi Pro, grafik yang dipertingkatkan dan juga perisian baharu untuk memudahkan pemilik mengendalikannya.

    Sistem infotainmen serba baharu ini boleh disesuaikan dengan informasi paparan yang lebih relevan untuk pemandu, dan lebih dari satu peranti mobiliti boleh disambungkan dalam masa yang sama, membolehkan pemandu dan penumpang menikmati ketersambungan bebas-tangan tanpa perlu menggunakan sambungan secara bergilir-gilir.

    Selain itu, ia juga didatangkan dengan Active Road Noise Cancellation (ARNC), yang membolehkan ruang kabin menjadi lebih senyap.

    Model baharu ini juga didatangkan dengan sistem bantuan pemandu yang kini dilengkapi dengan kamera sekeliling 3D. Ia memberikan pandangan tiga-dimensi kepada pemandu untuk melihat sekeliling kenderaan termasuk pandangan perspektif 3D serta ClearSight Ground View.

    Penjana kuasa dari P250 R-Dynamic masih diteruskan tanpa ada perubahan. Unit Ingenium 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder petrol dikekalkan dengan hamburan kuasa 250 PS dan tork 365 Nm, dengan pacuan disalurkan menerusi transmisi automatik lapan-kelajuan ZF dengan sistem pacuan semua-roda.

    Walau bagaimana pun, peningkatan baharu juga melibatkan suspensi udara elektronik yang standard dengan versi P250 (P380 3.0L R-Dynamic turut dilengkapi dengan sistem ini). Selain itu, ketinggian pengendalian jentera ini dikurangkan sebanyak 10 mm bagi meningkatkan seretan aerodinamik apabila ia dipacu melebihi 105 km/j. Sistem ini membolehkan ketinggian kenderaan diubah sebanyak 50mm +/- mengikut keperluan pemandu, dengan larasan pemilihan dilakukan menerusi skrin sesentuh, key fob atau butang kawalan pada bahagian loadspace.

    Sama seperti model lain dalam barisan Land Rover, Velar juga didatangkan dengan program Land Rover Care, yang memperkenalkan waranti lima-tahun, servis percuma lima-tahun dan bantuan tepi jalan tiga-tahun.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.08 (0.00)
Last Updated Sep 04, 2025