Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Hyundai i20 N WRC Rally1 Hybrid 2022 – video dan imej teaser didedahkan, bunyi masih kekal agresif!

    Hyundai i20 N WRC Rally1 Hybrid 2022 – video dan imej  <em>teaser</em> didedahkan, bunyi masih kekal agresif!

    Seperti yang telah diputuskan oleh FIA pada penghujung 2019, bermula musim 2022, kategori tertinggi Kejohanan Rali Dunia (WRC) akan beralih kepada undang-undang Rally1 bagi menggantikan undang-undang WRCar sedia ada. Selain dari kebenaran menggunakan casis dengan struktur tubular, perubahan paling ketara untuk jentera Rally1 berbanding WRCar adalah penggunaan sistem hibrid elektrik.

    Dan ini dia – Hyundai secara rasmi telah mendedahkan jentera mereka untuk WRC musim hadapan iaitu Hyundai i20 N WRC Rally1 2022, tetapi keseluruhan badan kereta ini masih dibalut dengan pelekat penyamaran.

    Berbanding jentera sedia ada yang diasaskan dari Hyundai i20 Coupe dari versi standard, jentera WRC terkini ini diasaskan dari hot-hatch sebenar Hyundai i20 N yang telah pun dilancarkan pada tahun lalu. Namun disebabkan kesemua varian i20 generasi ketiga tampil dengan bentuk badan lima pintu, jentera Rally1 ini juga tampil dengan bentuk badan sama, berbeza dengan jentera i20 WRC sedia ada yang diasaskan dari badan tiga pintu.

    Walaupun masih berselindung di sebalik pelekat penyamaran, i20 N Rally1 ini jelas diberikan kit aero yang jauh lebih agresif berbanding i20 N Rally2 (menggantikan kategori R5 sedia ada) yang telah didedahkan tahun lalu dengan fender hadapan dan belakang yang lebih lebar, serta sayap belakang yang jauh lebih besar.

    Tiada sebarang perincian teknikal didedahkan oleh Hyundai Motorsport berkenaan jentera Rally1 ini, tetapi menerusi perincian undang-undang yang telah diumumkan oleh FIA, pengeluar masih disyaratkan untuk menggunakan enjin 1.6 liter turbo bersama unit restrictor 36 mm sedia ada (menghasilkan sekitar sekitar 380 hp, nisbah berat kepada kuasa 3.1 hp/kg).

    Apa yang berbeza, enjin berkenaan perlu digandingkan dengan motor elektrik serta bateri dan sistem pemulihan tenaga kinetik, yang bukan sahaja akan membekalkan kuasa tambahan (mod power boost) ketika sedang berlumba dalam Special Stage (SS), malah membolehkan jentera-jentera berkenaan bergerak dalam jalan raya awam/kawasan bandar dari service park ke SS, atau dari SS ke SS dengan menggunakan kuasa elektrik 100% yang lebih senyap serta mesra alam.

    Menerusi video ujian pertama jentera i20 N Rally1 yang dijalankan di selatan Perancis ini, kombinasi sistem hybrid elektrik pada jentera WRC generasi baharu tersebut tidak akan membuatkan penonton bosan – ia masih menampilkan bunyi bersiul dan dan meletup-letup ketika kereta berkenaan beraksi, sama seperti jentera WRCar sedia ada.

    “Ia merupakan saat yang istimewa apabila anda membawa kereta tersebut ke jalan buat kali pertama dan seperti biasa pasti akan ada cabaran yang perlu dihadapi. Dalam kes pencabar Rally1 2022 kami ini, kami bermula dari asas dengan undang-undang baharu, konsep berbeza dan juga asas model baharu – i20 N. Sangat mendebarkan untuk mula menguji dan bermula dengan pengembaraan baharu yang mengujakan ini,” kata prinsipal pasukan Hyundai Motorsport, Andrea Adamo.

    Hyundai Motorsport turut menyatakan bahawa selepas ini jentera baharu tersebut akan menjalani ujian komprehensif di atas pelbagai permukaan jalan di sekitar Eropah sebelum ia berlumba bermula pada pusingan pertama WRC 2022.

    “Kami telah melihat pelbagai perkara yang menarik, ada sebahagiannya perlu diubah dan diperbaiki tetapi ini semua sebahagian dari proses kerja. Pasukan telah melakukan kerja yang luar biasa dan bekerja keras untuk menyediakan kereta bagi ujian pertama dalam masa yang singkat. Sudah tentu, kami masih berada pada peringkat permulaan dalam perjalanan yang panjang, tetapi saya rasa kami bakal mendapat saat-saat yang menarik di hadapan sebelum bermula Rali Monte-Carlo 2022,” tambah Adamo lagi.

    GALERI: Model produksi jalan raya Hyundai i20 N

    GALERI: Hyundai i20 N Rally2

     
     
  • Perodua sumbangkan lagi bekalan perubatan berjumlah RM80,000 kepada Hospital Sungai Buloh

    Perodua sumbangkan lagi bekalan perubatan berjumlah RM80,000 kepada Hospital Sungai Buloh

    Dalam usaha untuk terus memberi sokongan kepada institusi awam seluruh negara waktu pandemik ini, Perodua telah menyumbangkan pelbagai lagi keperluan perubatan berjumlah RM80,000 kepada Hospital Sungai Buloh. Antara barangan ini termasuklah topeng muka, kerusi roda, tandas duduk, papan pemindah, rel katil, kerusi rehabilitasi, alat sokongan jalan, tongkat dan meja terapi.

    “Bekalan perubatan ini disediakan berdasarkan maklum balas yang diberi oleh pihak pengurusan hospital untuk membantu mereka memastikan pekerja selamat dan pesakit selesa,” kata presiden dan CEO Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad. Topeng muka yang disediakan adalah dikeluarkan oleh syarikat sekutu Perodua, dan menjadikan jumlah keseluruhan topeng muka yang sudah diserahkan kepada pelbagai organisasi seluruh negara sebanyak 35,000.

    Waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama April lalu, Perodua telah menyumbangkan 150 tilam, 200 bantal, 105 kotak air mineral, 15 kipas industri dan 300 pasang but getah kepada Hospital Sungai Buloh, sebagai tambahan kepada sumbangan RM2 juta yang diberikan kepada dana Covid-19 Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

    Perodua sumbangkan lagi bekalan perubatan berjumlah RM80,000 kepada Hospital Sungai Buloh

    “Kami akan terus berkomunikasi dengan institusi awam penting lain untuk melihat di mana Perodua boleh membuat sumbangan untuk menyokong negara. Kami berterima kasih dan memberi penghormatan kepada mereka yang bekerja tanpa mengira rasa penat demi memberi khidmat kepada kita semua,” kata Zainal.

    Pandemik yang melanda ini juga menyaksikan Perodua merujuk semula sasaran jualan mereka kepada 210,000 unit, lebih rendah berbanding sasaran asal 240,000 unit yang dibuat berdasarkan prestasi jualan tahun 2019. Sasaran tersebut berjaya dicapai pada tahun lepas dengan jualan 220,154 unit, dan tahun ini, sasaran diletakkan kembali pada 240,000 unit.

     
     
  • AD: Miliki model baru Mercedes-Benz dengan ansuran serendah RM1,888 melalui Step Up Agility Financing

    AD: Miliki model baru Mercedes-Benz dengan ansuran serendah RM1,888 melalui Step Up Agility Financing

    Jika anda berhasrat untuk memiliki sebuah kereta baru Mercedes-Benz, sekaranglah masa terbaik untuk berbuat demikian. Dengan tawaran masa terhad oleh Mercedes-Benz Financial, anda boleh bawa pulang sebuah Mercedes-Benz baru dengan bayaran serendah RM1,888* sebulan melalui program pembiayaan Step Up Agility Financing.

    Seperti yang kita maklum, masa depan sukar dijangka, tetapi pelan bayaran semula anda tidak perlu begitu. Kelebihan program Step Up Agility Financing adalah ia membolehkan anda untuk mempunyai pilihan untuk membayar lebih rendah pada permulaan tempoh pinjaman, membolehkan anda menguruskan kewangan dengan lebih baik berbanding pelan pembiayaan tipikal. Dalam keadaan tak menentu, memiliki lebihan wang tunai sangat membantu, bahkan sangat penting.

    Pelan pembayaran inovatif ini membolehkan anda menyesuaikan bayaran balik mengikut peringkat, menaikkannya hanya selepas dua tahun pertama selari dengan perkembangan tempoh pinjaman.

    Sebagai contoh, untuk pinjaman lima-tahun bagi Mercedes-Benz GLA, anda boleh membayar hanya RM1,888* sebulan bagi tempoh dua tahun pertama atau lebih rendah jika anda mahu, dengan ansuran itu meningkat kepada RM3,711* sebulan hanya bagi tempoh tiga tahun berikutnya. Anda juga mempunyai pilihan untuk meningkatkan perlindungan serta servis selenggara kenderaan, dan juga bayaran muka yang boleh disesuaikan dengan kemampuan.

    AD: Miliki model baru Mercedes-Benz dengan ansuran serendah RM1,888 melalui Step Up Agility Financing

    Fleksibiliti menjadi keutamaan, dan anda boleh menyesuai serta menguruskan pelan bayaran balik yang dirasakan menepati kedudukan kewangan anda.

    Bagi program Agility Financing, anda tidak hanya akan menikmati bayaran ansuran bulanan yang lebih rendah berbanding pinjaman sewa-beli konvensional lain serta pilihan fleksibel penghujung perjanjian dan Nilai Masa Depan Terjamin untuk kereta anda, di mana nilai kereta anda akan kekal pada tahap yang dipersetujui pada permulaannya, tidak akan kurang satu sen pun.

    Turut ada ialah MobilityPlus, yang menjamin kereta gantian sekiranya Mercedes-Benz anda perlu berada dalam bengkel sah untuk tempoh 48 jam atau lebih disebabkan urusan servis atau penyelenggaraan, tuntutan jaminan atau baik pulih akibat kemalangan.

    AD: Miliki model baru Mercedes-Benz dengan ansuran serendah RM1,888 melalui Step Up Agility Financing

    Melalui program ini, pemilik kenderaan penumpang Mercedes-Benz akan menikmati kereta gantian ketika kenderaan mereka dihantar untuk servis/penyelenggaraan — atau tuntutan jaminan — bagi tempoh 48 jam atau lebih. Program ini menawarkan penggunaan kereta Mercedes-Benz gantian yang dijamin, tanpa sebarang pertanyaan sekiranya kenderaan anda sedang dibaik pulih atau diservis. MobilityPlus menawarkan pelindingan di seluruh negara dan membolehkan penggunaan kereta gantian itu sehingga 20 hari setahun.

    Jadi, jika anda sedang mempertimbangkan untuk memiliki sebuah Mercedes-Benz baru, pilih juga penyelesaian pinjaman yang lebih bijak dengan segala jaminan keselamatan dan ketenangan yang ditawarkan ini. Pilihannya sangat jelas mengapa ini adalah satu-satunya pelan pembiayaan kenderaan yang patut anda ambil untuk Mercedes-Benz anda — Step Up Agility Financing.

    Pembayaran fleksibel bukan satu-satunya perkara yang akan anda nikmati — jika pelanggan memilih pakej ini, hadiah percuma bernilai RM1,888** turut menanti. Ini meliputi tambah nilai RM1,000 bagi kad Touch ‘n Go edisi khas Mercedes-Benz serta kad petrol bernilai RM888 secara percuma juga. Bertindak segera jika anda mahukannya kerana tawaran ini hanya sah hingga 31 Mei nanti. Ketahui lebih lanjut tentang program pembiayaan Step Up Agility Financing di sini.

    *Tertakluk kepada terma dan syarat. Pengiraan di atas adalah berdasarkan bayaran pendahuluan 10%. Jumlah mungkin berbeza. Step Up Financing sah untuk semua model.
    **Model yang layak bagi hadiah RM1,888 percuma ini ialah C-Class, GLA, GLB dan GLC. Model lain di bawah Agility Financing hanya layak untuk mendapatkan kad petrol RM888 secara percuma.

     
     
  • Geely SS11 – sedan Emgrand generasi ke-4 akan dilancarkan di China tahun ini; 1.5L NA dengan 114 PS

    Geely SS11 – sedan Emgrand generasi ke-4 akan dilancarkan di China tahun ini; 1.5L NA dengan 114 PS

    Foto dan sedikit perincian mengenai model Geely SS11 telah pun dimuat naik di laman web Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat (MIIT) China, malahan media negara berkenaan juga telah melaporkan model terbabit akan muncul sebagai sedan Emgrand generasi ke-empat.

    Menurut laporan, Emgrand baharu dijangka akan mula berada di pasaran pada tahun ini juga, namun masih belium diketahui harganya. Sedan ini akan dikuasakan oleh enjin 1.5 liter naturally-aspirated empat-silinder petrol (dengan kod JLC-4G15B) dengan hamburan 114 PS (113 hp), di mana ia sedikit dipertingkatkan berbanding model semasa dengan 109 PS (107 hp).

    Mengenai rekaannya, Emgrand membawakan banyak ciri dari model terdahulu termasuk gril hadapan dengan kepingan menegak, yang seakan menjadi ‘trademark’ untuk beberapa model Geely yang lain termasuk Preface, Xingyue, Borui facelift dan Emgrand S hatchback. Gril tersebut disambung ke lampu utama yang kini berbentuk lebih anggun, sementara apron bawah pula menerima lampu kabus yang lebih menyerlah berbanding model sedia ada.

    Untuk bahagian sisinya, garisan karakternya nampak lebih mantap melintang di atas pemegang pintu, bersambung ke kluster lampu hadapan dan belakang, serta menyertai garisan atas antara roda. Tiang-C pula telah dibentuk semula, lebih tegak dan tidak melengkung seperti rekaan kereta lama.

    Manakala di belakangnya pula, elemen rekaan semasa Geely kelihatan pada lampunya, dengan kepingan kemasan bersama perkataan Geely. Klusternya juga lebih bersudut dan nampak lebih moden. Manakala bawah bamparnya dirapikan dan menunjukkan elemen umpama diffuser, dengan corong ekzos tersembunyi.

    Geely Emgrand Up 2021 (generasi ketiga)

    Bahagian luaran yang direka semula disertakan dengan dimensi baharu, dengan model generasi ke-empat ini berukuran 4,638 mm panjang, 1,820 mm lebar dan 1,460 mm tinggi, dengan jarak roda 2,659 mm. Ia menjadikannya lebih panjang (+6 mm) dan lebih lebar (+31 mm) berbanding model semasa Emgrand, sementara ketinggiannya dikurangkan sebanyak 10 mm. Terdapat khabar angin turut menyatakan Emgrand baharu ini bakal dibangunkan dengan platform BMA seperti Binyue.

    Buat masa ini tiada foto yang lebih jelas untuk ruang dalaman, namun foto yang. bocor bagi model prototaip ini menunjukkan papan pemuka yang dirombak semula, termasuk kemaskini bagi skrin sesentuh. Selain itu, difahamkan ciri dalaman baharu yang ditampilkan termasuklah rekaan baharu roda stereng, konsol tengah yang lebih kontemporari dan beberapa butang kawalan dengan sentuhan yang lebih minimalis, lebih kurang sama dengan Preface.

     
     
  • Toyota Land Cruiser 2022 akan ada varian GR, SUV J300 serba baru akan diperkenalkan hujung bulan ini

    Toyota Land Cruiser 2022 akan ada varian GR, SUV J300 serba baru akan diperkenalkan hujung bulan ini

    Dalam perkembangan terbaru, Toyota Land Cruiser 2022 dijangka akan diperkenalkan hujung bulan ini atau awal Jun nanti. Lebih menarik, akan ada juga versi GR Sport bagi J300.

    Merujuk akaun Instagram landcruiserupdates, yang dikongsikan oleh Motor1, dokumen yang dihantar kepada pihak ketiga menunjukkan tarikh embargo bagi pengenalan rasmi model itu bakal berakhir hujung bulan ini, mencadangkan 31 Mei atau 1 Jun sebagai tarikh pendedahannya.

    Spesifikasi yang bocor juga menarik perhatian Youtuber Kirk Kreifels, yang memaklumkan varian GR-S akan ditawarkan dengan kedua-dua pilihan enjin petrol dan diesel, selain menjadi satu-satunya model LC yang datang dengan teknologi Kinetic Dynamic Suspension System elektronik dengan differential lock depan dan belakang.

    Lencana GR pada Land Cruiser, maka varian tertingginya adalah flagship ZX, yang akan datang bersama kemasan sport krom, rim 20-inci, kemasan dalaman kayu dan kulit, selain ciri mewah lainnya. Juga akan ada ialah sistem hiburan penumpang belakang yang khusus untuk ZX, melibatkan skrin sentuh 11.6-inci.

    Kedua-dua varian GR-S dan ZX akan berkongsi sistem infotainmen dengan skrin sentuh 12.3-inci serta sistem audio JBL 14 pembesar suara. Kedua-duanya akan menampilkan sistem 3D Multi-Terrain Monitor dengan kamera bawah badan, serta penyembur air untuk kamera undur. Lain-lain ciri termasuk kawalan pendingin empat-zon dan head-up display.

    Land Cruiser GR-S akan menggunakan rekaan bampar dan gril khususnya sendiri, serta rim aloi 18-inci serta kemasan gaya CF pada kabin. Model ini juga dilaporkan akan menggunakan enjin turbodiesel 3.3 liter dan enjin petrol 3.5T V6. Ini dijangka menghasilkan sebanyak 302 hp/700 Nm (40 hp dan 50 Nm lebih berbanding sebelum ini) sementara enjin petrol turbo menerima 409 hp/650 Nm.

     
     
  • Thailand dedah rancangan masa depan untuk kenderaan elektrik – pelan tiga fasa sehingga 2030

    Thailand dedah rancangan masa depan untuk kenderaan elektrik – pelan tiga fasa sehingga 2030

    Minggu lepas, Thailand telah mendedahkan rancangan masa depan negara tersebut berkenaan kenderaan elektrik (EV). Menurut laporan The Nation, Thailand meletakkan sasaran 30% daripada pengeluaran automotif mereka menjelang 2030 adalah datang daripada EV. Perinciannya dibentangkan oleh menteri tenaga negara itu, Supattanapong Punmeechaow.

    Rancangan ini terdiri daripada pelan pembangunan tiga fasa. Di bawah Fasa 1, yang akan berjalan dari tahun ini hingga 2022, kerajaan akan mempromosikan motosikal elektrik dan menyokong pembangunan infrastruktur yang berkaitan di seluruh negara.

    Dari tahun 2023 hingga 2025 pula, mereka akan menjalankan Fasa 2, di mana industri EV akan bergerak dengan pengeluaran 225,000 kereta dan trak pikap, 360,000 motosikal, 18,000 bas/lori, serta baterinya. Dalam laporan itu ada menyatakan bahawa langkah awal ini direka untuk memberikan kelebihan dalam aspek kos melalui skala ekonomi yang besar.

    Dalam Fasa 3, yang akan berjalan dari 2026 hingga 2030, negara itu akan mula mengguna pakai “polisi 30/30”, yang mempunyai sasaran pengeluaran 725,000 kereta/trak pikap EV, dan 675,000 motosikal EV menjelang tahun 2030, sekaligus menyumbang 30% daripada keseluruhan pengeluaran kenderaan di dalam negara itu.

     
     
  • Kereta elektrik mungkin akan sebabkan 100k orang hilang kerja, “debat jujur” diperlukan – CEO Daimler

    Kereta elektrik mungkin akan sebabkan 100k orang hilang kerja, “debat jujur” diperlukan – CEO Daimler

    Peralihan dari kereta dengan kuasa bahan api fosil kepada kuasa elektrik bukan semudah yang disangka. Ia bukan hanya berkisar berapa cepat sesebuah bateri itu dapat dicaj semula serta jaringan sistem pengecaj yang luas sahaja – oleh kerana binaan motor elektrik yang lebih ringkas dari enjin pembakaran dalaman, perkara ini mungkin akan menyebabkan ramai pekerja hilang punca pendapatan mereka di barisan produksi.

    Menurut CEO Daimler, Ola Kallenius dalam temuramah bersama The Financial Times, jenama utamanya iaitu Mercedes-Benz sudah pun bersedia untuk peralihan sepenuhnya kepada teknologi elektrifikasi selari dengan desakan Kesatuan Eropah yang mahukan peralihan tersebut berlaku lebih cepat, namun satu debat terbuka berkenaan impak terhadap pekerjaan ini perlu diadakan.

    “Semua orang tahu bahawa lebih masa buruh diperlukan bagi memasang dan menghasilkan unit rangkaian kuasa berasaskan pembakaran berbanding rangkaian kuasa elektrik,” katanya sebagai respon kepada amaran dari presdien IG Metall (kesatuan pekerja logam di Jerman) Joerg Hofmann, yang menyatakan bahawa menerusi kajian yang dibuat oleh Institut Ifo menunjukkan peralihan ke kereta elektrik akan menyebabkan sekitar 100,000 pekerjaan akan terjejas menjelang 2025.

    Secara spesifiknya ia akan menjejaskan pekerjaan untuk mereka yang berada di barisan produksi enjin pembakaran dalaman, dan angka tersebut mungkin akan menjadi lebih tinggi sekiranya syarikat-syarikat yang terlibat gagal untuk meningkatkan usaha bagi mengubah kemahiran pekerja-pekerja mereka.

    Kallenius mengatakan bahawa Daimler akan menangani masalah ini dengan cara “tanggungjawab sosial”, dan buat masa sekarang mereka sedang dalam “dialog yang sangat konstruktif” dengan kesatuan sekerjanya.

     
     
  • Honda Civic generasi ke-11 akan dilancarkan di Singapura tidak lama lagi, pendaftaran minat dibuka

    Honda Civic generasi ke-11 akan dilancarkan di Singapura tidak lama lagi, pendaftaran minat dibuka

    Honda Civic generasi ke-11 baru sahaja membuat pendedahan sulungnya di Amerika Syarikat akhir bulan lalu, dan ini satu berita yang agak mengejutkan – Singapura bakal menjadi antara negara terawal di dunia untuk menerima model berkenaan di mana wakil pengedar Honda di seberang tambak tersebut, Kah Motor sudah pun mengumumkan ia bakal dilancarkan tidak lama lagi, serta mula membuka pendaftaran untuk pelanggan yang berminat!

    Namun sebarang pengumuman rasmi berkenaan harga mahupun spesifiksi masih belum dibuat. Ketika didedahkan di Amerika Syarikat, Civic generasi ke-11 ini ditawarkan dalam dua versi penjana; 2.0 liter NA DOHC i-VTEC dan 1.5 liter VTEC Turbo, kedua-duanya digandingkan dengan kotak gear CVT – Singapura mungkin akan menerima salah satu atau kedua-dua pilihan ini. Untuk rekod, bagi model generasi ke-10, pelanggan di Singapura ditawarkan dengan model 1.6 liter NA dan juga 1.5 liter VTEC Turbo.

    Civic generasi baharu ini menampilkan rupa yang sangat berbeza dari model sedia ada. Ia tidak lagi tampil dengan rekaan tajam yang agresif, tetapi diberikan rupa lebih matang serta garis badan yang lebih mirip kepada Accord.

    Saiz Civic baharu ini juga lebih besar dari generasi FC sebelumnya. Panjang keseluruhan model ini adalah 4,674 mm (33 mm lebih panjang), bersama jarak roda 2,736 mm (36 mm lebih jauh). Namun lebar dan tinggi model baharu ini masih sama seperti model sedia ada, masing-masing 1,415 mm dan 1,801 mm.

    Bahagian kabin Civic generasi baharu ini juga menampilkan rekaan lebih matang seiring dengan rekaan luarannya. Ia direka ringkas dengan menampilkan satu panel panjang dengan elemen gril sarang lebah merentangi papan pemuka tersebut, yang menyembunyikan liang pendingin hawa.

    Skrin infotainmen tidak lagi ‘ditanam’ papan pemuka, sebalikya diletakkan seakan berdiri sendiri di bahagian paling atas. Pemandu juga kini menerima roda stereng dengan rekaan baharu serta paparan instrumen digital sepenuhnya untuk model varian lebih tinggi.

    Pelancaran Honda Civic generasi ke-11 ini di Singapura semakin hampir, jadi bagaimana pula dengan Malaysia? Menerusi petunjuk yang diberikan oleh presiden dan COO Honda Malaysia Sarly Adle Sarkum, ia mungkin akan mendarat di sini pada tahun ini juga. Namun pada jangkaan kami, ia mungkin hanya akan diprebiu di Malaysia tahun ini, dan hanya akan dilancarkan pada pasaran tempatan tahun hadapan.

     
     
  • BMW X3 dan iX3 2021 dibocor perinciannya – G01 dan G08 LCI dapat gril besar, lampu dan bampar baharu

    BMW X3 dan iX3 2021 dibocor perinciannya – G01 dan G08 LCI dapat gril besar, lampu dan bampar baharu

    BMW X3 G01 telah pun diperkenalkan sejak 2017, dan baru-baru ini dikhabarkan model facelift bakal tiba tidak lama lagi. Perkara ini boleh disahkan menerusi penyebaran imejnya yang bocor baru-baru ini.

    Foto berkenaan telah dimuatnaik menerusi laman web Kementerian Industri dan Teknologi Informasi (MIIT) China – selain turut disiarkan oleh beberapa portal berita di sana termasuklah Autohome yang turut memberikan beberapa gambaran mengenai model facelift ini. Terdapat beberapa perubahan luaran yang dilakukan untuk kedua-dua model biasa X3 dan varian elektrik, iX3, yang bakal dijual pada tahun ini juga.

    Bahagian hadapannya didominasi oleh gril ‘kidney’ berkembar yang lebih besar, disambung dengan lampu utara trapezoidal dengan dua variasi yang disemak semula – satunya dengan lampu nyalaan siang berbentuk separa-L, dan satu lagi dengan lampu panduan tiga-dimensi haksagon penuh dikeliling projektor segi empat.

    Bagi model M Sport yang ditunjukan di sini (pertama kali iX3 menerima pakej ini), corong pengambilan udara tengah haksagon diletakkan di tengah, sementara Air Curtain pila diberikan versi berbentuk-L yang lebih nipis. Selain itu, X3 dikekalkan dengan ciri sedia ada, sementara iX3 pula telah membuang corong Air Breather yang ada pada model sebelum ini.

    BMW X3 dan iX3 2021 dibocor perinciannya – G01 dan G08 LCI dapat gril besar, lampu dan bampar baharu

    Untuk bahagian belakangnya, lampunya kini diberikan rekaan tiga-dimensi baharu, sementara bampar M Sport pula kini ditampilkan dengan ciri ala diffuser baharu yang disambungkan dengan reflektor (diposisikan lebih tinggi berbanding sebelum ini), dan kemasan trapezoidal di sekeliling paip belakang (tidak diberikan pada iX3) dan juga corong menegak tiruan. Selain itu, ia turut diberikan roda aloi baharu sebagai pilihan.

    Tiada foto untuk ruang dalaman dibocorkan, tetapi rekaan papan pemuka asas mungkin akan dikekalkan, bersama dengan skrin sesentuh tengah ‘freestanding’. Ciri lain yang dijangka akan ditampilkan termasuklah paparan yang lebih besar dengan beberapa ciri baharu termasuk sistem bantuan pemandu BMW terkini.

    X3 juga sepatutnya menerima enjin yang sama iaitu petrol dan diesel empat- dan enam-silinder, dengan xDrive30e plug-in hybrid pula berkongsi penjana kuasa (termasuk fungsi XtraBoost) dengan 330e. Bagi iX3, mungkin tiada perubahan untuk larasan sedia ada, masih dengan motor elektrik belakang 286 PS/400 Nm dan bateri lithium-ion 74 kWh yang memberikan jarak hingga 460 km.

     
     
  • Naza Group beri tumpuan kepada perniagaan CBU, tidak tolak kemungkinan untuk CKD model Suzuki

    Naza Group beri tumpuan kepada perniagaan CBU, tidak tolak kemungkinan untuk CKD model Suzuki

    Selesai melepaskan semula pengedaran bagi jenama Kia dan Peugeot, serta dilantik sebagai pemegang francais bagi Suzuki di Malaysia, Naza Group telah menyempurnakan peralihan perniagaan automotifnya untuk memberi tumpuan kepada perniagaan import.

    Ketua Pegawai Operasi Naza Group, Datuk Nik Hamdam Nik Hassan memaklumkan kepada The Edge; “Kami sedang menetapkan strategi perniagaan baru, untuk memperbaiki kecekapan operasi dan kos terhadap semua urusan, dalam maksud mencipta nilai serta menghapuskan pertindanan. Kami juga ingin jadi lebih kecil dan berkesan dalam semua operasi.”

    Syarikat optomistik untuk melihat prestasi lebih baik tahun ini, dengan jualan dijangka meningkat selari dengan ramalan pertumbuhan 8% bagi tempoh sama berbanding tahun lalu. Nik Hamdam berkata ini boleh diterjemahkan kepada pertumbuhan 16% bagi keuntungan kepada RM700 juta dan 35% peningkatan untung kasar. Peningkatan keuntungan dijangka datang dari Suzuki, disertai juga oleh beberapa jenama lain melalui pengenalan model baru dalam masa terdekat.

    Naza Group beri tumpuan kepada perniagaan CBU, tidak tolak kemungkinan untuk CKD model Suzuki

    Tahun lalu, bahagian automotif Naza dilaporkan berjaya menjana RM600 juta keuntungan (sebelum audit). Nik Hamdam mendedahkan bahawa kumpulan itu menjual sekitar 40 unit Ferrari, 30 Maserati, 260 motosikal Ducati, 700 unit Mercedes-Benz dan 250 unit kereta recon. Ketika ini, di Malaysia, Naaza Group mewakili secara rasmi jenama Ferrari, Maserati, Mercedes-Benz, Suzuki dan Ducati.

    Naza yakin bahawa perniagaan CBU sepenuhnya kini seimbang, memandangkan pelaburan yang diperlukan tidak sebesar menjalankan operasi pemasangan tempatan. “CBU membolehkan anda untuk membawa lebih banyak model ke pasaran ini. Ia boleh jadi lebih mahal, tetapi itu tidak akan menghalang untuk membawa masuk lebih banyak model,” jelas Nik Hamdam.

    “Bagi CKD, anda perlu jadi lebih selektif, kerana memerlukan konsistensi jumlah untuk pengeluaran. Sebab itulah kami perlu menilai dengan teliti model mana yang patut di bawa masuk sebagai CKD, dan model mana yang patut kekal CBU,” tambahnya. “Namun, jika melihat kepada jenama yang kami ada, untuk membolehkan operasi pemasangan tempatan dilakukan, ia memerlukan lebih banyak jumlah terjual sebelum memulakan CKD.”

    Naza Group beri tumpuan kepada perniagaan CBU, tidak tolak kemungkinan untuk CKD model Suzuki

    Bagaimanapun, tidak dinyatakan kemungkinan untuk pemasangan CKD bagi model-model Suzuki pada masa hadapan. “Tidak mustahil untuk ada sekurang-kurangnya satu model yang dipasangan di sini,” jelasnya. “Dalam jangka masa panjang, selepas dua atau tiga tahun, mungkin pilihan untuk CKD perlu dipertimbangkan kerana Suzuki adalah jenama yang boleh dikembangkan lagi. Dan, untuk ada lebih banyak model dalam pasaran, saya fikir CKD bolah dipertimbangkan.” Ambil maklum juga bahawa Suzuki sudah mempunyai kemudahan pemasangan di Thailand dan Indonesia, di mana Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN membolehkannya menikmati duti import yang sangat rendah.

    Nik Hamdam optimistik dengan jenama Suzuki di Malaysia, dan menyifatkannya mempunyai potensi besar untuk berkembang. Agak aneh untuk sebuah jenama pasaran massa seperti Suzuki menyertai portfolio yang terdiri daripada jenama mewah lain di bawah Naza, maka kerana itu juga Naza memposisikannya sebagai jenama gaya hidup dengan memperkenalkan Swift Sport terlebih dahulu di sini.

    “Jika dilihat pada Swift Sport, ia merupakan varian paling tinggi bagi model berkenaan. Jadi ia cocok sebagai penawaran premium daripada Suzuki. Selepas ini, tentulah kami ingin memperkenalkan lebih banyak model. Tempoh selepas Hari Raya nanti, kami akan memperkenalkan satu lagi model popular Suzuki di sini,” jelasnya. Walaupun tidak menyebutkan model mana, boleh diagak model popular Suzuki yang lain kemungkinan merujuk kpeada Jimny generasi keempat.

     
     
  • Works Engineering akan hasilkan komponen prestasi Proton X50, Farique Hairuman dilantik sebagai duta

    Works Engineering akan hasilkan komponen prestasi Proton X50, Farique Hairuman dilantik sebagai duta

    Ini mungkin berita baik buat peminat-peminat prestasi Proton khususnya pemilik Proton X50 – pembuat peralatan prestasi, Works Engineering telah mengumumkan bahawa mereka bakal mengeluarkan produk yang boleh digunakan pada SUV segmen-B berkenaan.

    Menerusi imej yang disiarkan dalam laman Facebook Works Engineering Malaysia, mereka turut mengumumkan pemandu utama Proton R3 yang telah merangkul juara perlumbaan Sepang 1000km untuk tahun 2018 dan 2019, Farique Hairuman telah dilantik sebagai duta Works Engineering. Manakala kereta yang bakal ditala pula adalah sebuah Proton X50 dari varian Executive

    Ini bukan kali pertama Works Engineering menghasilkan peralatan prestasi untuk kereta-kereta Proton. Sebelum ini mereka telah pun memperkenalkan pelbagai komponen seperti pulley aci sesondol boleh laras, kit induksi, dan lain-lain untuk enjin S4P Proton dalam versi Campro dan CFE, bagi model seperti Satria Neo, Preve dan Suprima S.

    Works Engineering akan hasilkan komponen prestasi Proton X50, Farique Hairuman dilantik sebagai duta

    “Kami sangat teruja tahun ini, bersama En. Farique, duta dengan pemikiran yang sama serta mempunyai matlamat yang sama, membawa pasukan ke tahap lebih tinggi dan menawarkan produk berkualiti tinggi luar biasa dan pengalaman pemanduan yang lebih baik kepada pengguna dalam pasaran.

    “Pada 2011, Works Engineering mempunyai kereta projek Satria Neo dan Preve serta melancarkan barisan produk yang berjaya. Sekarang, Proton X50 akan menjadi kereta projek kami yang seterusnya. Teruskan bersama kami untuk barisan produk baru yang mengujakan!” tulis Works Engineering dalam hantaran berkenaan.

    Walaupun menggunakan asas enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo yang sama, Proton X50 dari varian Executive (juga bersama varian Standard dan Premium) menghasilkan kuasa yang sedikit kurang berbanding model varian tertinggi Flagship.

    Works Engineering akan hasilkan komponen prestasi Proton X50, Farique Hairuman dilantik sebagai duta

    Ini kerana kedua-dua versi berkenaan menggunakan sistem suntikan bahan api yang berbeza. Model Executive hanya dipadankan dengan sistem suntikan bahan api pelbagai titik (MPI) yang menghasilkan kuasa 150 PS (147 hp) pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 226 Nm bermula 1,500 hingga 4,000 rpm.

    Manakala untuk model Flagship pula, enjin berkenaan menerima sistem suntikan bahan api terus (GDI) membolehkan ia mengekstrak sejumlah 177 PS dan tork maksima 255 Nm. Namun kedua-dua jenis enjin ini tetap menggunakan sistem transmisi yang sama iaitu kotak gear klac berkembar automatik (DCT) jenis basah tujuh-kelajuan untuk memacu hanya roda hadapan.

     
     
  • Mahle hasilkan motor elektrik tanpa magnet, tanpa elemen nadir bumi serta bebas penyelenggaraan

    Mahle hasilkan motor elektrik tanpa magnet, tanpa elemen nadir bumi serta bebas penyelenggaraan

    Pembuat komponen automotif dari Jerman, Mahle mengumumkan mereka kini sedang membangunkan motor elektrik untuk kegunaan kereta elektrik yang didakwa tidak menggunakan magnet dan juga sebarang elemen bahan nadir bumi. Menurut syarikat tersebut, ini bukan sahaja menjadikan penghasilan motor elektrik berkenaan lebih mesra alam, malah ia juga memberikan kelebihan dari segi kos dan juga memastikan sumber bahan yang sentiasa ada.

    Mahle menerangkan bahawa ciri utama pada motor elektrik baharu ini adalah pada pemindahan kuasa yang dibuat secara induktif dan juga tanpa sentuhan, membolehkan ia beroperasi tanpa sebarang kelusuhan serta sangat efektif pada kelajuan tinggi – didakwa mempunyai kadar efisien melebihi 95% pada hampir semua titik operasi yang sebelum ini hanya dicapai oleh jentera lumba Formula E!

    Juga disebabkan tiada sebarang sentuhan dalam pemindahan kuasa elektrik antara komponen yang pegun dan bergerak dalam motor berkenaan, Mahle juga menyifatkan produk baharu mereka ini sangat tahan lama dan juga tidak memerlukan sebarang penyelenggaraan, dan ia sesuai untuk apa sahaja aplikasi.

    Menurut Mahle lagi, motor elektrik ini juga dihasilkan agar ia mudah untuk diskalakan semula, jadi ia boleh beroperasi untuk menggerakkan pelbagai jenis kenderaan dari kereta subkompak sehingga kepada kenderaan komersial.

    “Dengan motor elekrik baharu kami, kami menjalankan tanggungjawab kami sebagai syarikat yang beroperasi secara lestari. Menyisihkan magnet dan juga penggunaan elemen nadir bumi menawarkan potensi besar bukan sahaja dari perspektif geopolitik tetapi juga berkenaan dengan penggunaan alam dan sumber daya yang bertanggungjawab,” kata Micheal Frick, pengerusi, ahli lembaga pengurusan (sementara) dan CFO Mahle.

    “Motor tanpa magnet kami dapat digambarkan sebagai kejayaan, kerana ia memberikan pelbagai kelebihan yang tidak pernah digabungkan di dalam produk jenis ini. Hasilnya, kami dapat menawarkan pelanggan produk dengan keberkesanan luar biasa pada kos yang agak rendah,” kata Dr. Martin Berger, naib presiden korporat penyelidikan dan kejuruteraan termaju Mahle.

    Mahle turut menjelaskan bahawa dalam pembangunan motor elektrik tersebut mereka menggunakan proses simulasi yang inovatif di mana pelbagai rekaan motor dilaras dengan pelbagai parameter sehingga tahap optimum dicapai. Pendekatan ini jelas lebih pantas dan murah dari proses konvensional, dan membolehkan mereka mewujudkan situasi teknikal yang diperlukan bagi mempercepatkan kelestarian mobiliti elektrik di seluruh dunia.

     
     
  • Yamaha XSR125 masuk pasaran Eropah – kuasa 15 hp

    Yamaha XSR125 masuk pasaran Eropah – kuasa 15 hp

    Yamaha telah menambah satu lagi produk berkapasiti rendah di pasaran Eropah, melalui pelancaran XSR125. Model yang mempunyai gaya naked retro ini dijual pada harga 4,450 pound sterling (RM25,926) di United Kingdom dan menjadikannya sedikit tinggi berbanding model 125 cc lain dalam pasaran sama.

    Kapasiti enjin 125 cc (satu silinder SOHC) ini dipilih bagi memastikan ia termasuk dalam kategori A1 untuk penunggang muda, dan kuasa yang ditawarkan adalah sebanyak 14.75 hp pada 10,000 rpm dan 11.5 Nm tork pada 8,000 rpm. Enjin ini juga mendapat penarafan emisi Euro 5 dan dilengkapi dengan sistem VVA.

    Motosikal yang sama, tetapi dengan enjin 155 cc juga ada dijual di beberapa negara lain terutamanya Asia Tenggara, dikenali sebagai XSR155, dan ia menawarkan kuasa 19 hp pada 10,000 rpm dan 14.7 Nm tork pada 8,500 rpm. Transmisi adalah sama, iaitu unit enam kelajuan.

    Walaupun kekurangan kapasiti enjin, kelengkapan lain masih lagi sama bagi XSR125 ini, di mana ia dilengkapi dengan lampu jenis LED, meter digital, fork teleskopik 37 mm, monoshock di belakang, serta rim 17 inci yang dibalut tayar 110/70 di hadapan dan 140/70 di belakang.

    Bahagian brek terdiri daripada unit cakera 267 mm di hadapan dan 220 mm di belakang, bersama ABS two-channel yang diberikan secara standard. Tangki bahan api mempunyai kapasiti 11 liter sementara berat keseluruhan pula adalah 140 kg.

     
     
  • Kia K9 2021 – gambar didedah sebelum pelancaran

    Kia K9 2021 – gambar didedah sebelum pelancaran

    Hyundai Motor Group telah mendedahkan gambar awal sedan K9 (juga dikenali sebagai K900 di pasaran luar Korea) yang diperbaharui bagi tahun 2021. Model yang berada di pasaran sekarang diperkenalkan tiga tahun lepas, sementara model yang baru ini menerapkan konsep rekaan terkini jenama itu, termasuklah logo barunya.

    Lampu LED rekaan bertingkat yang digunakan sebelum ini telah diganti dengan unit yang lebih nipis dan tajam, dan kelihatan hampir seperti K8. Walaubagaimanapun, gril yang lebar pada K9 masih lagi menggunakan kemasan dalam yang lebih sekata dan gelap sementara rim pula menggunakan unit 19 inci.

    Seri beberapa bahagian dinaikkan lagi dengan kemasan krom termasuklah pada bahagian bawah bampar, pemegang pintu, keliling cermin, tepi fender, pintu, bampar belakang serta muncung ekzos. Pada penutup but juga terdapat jalur krom yang menyambungkan antara lampu kiri dan kanan. Tempat nombor plet kini berada di bahagian bawah.

    Kia K9 2021 – gambar didedah sebelum pelancaran

    Anda juga boleh menyaksikan terdapat lencanan tertulis ‘4X’ pada bahagian belakang K9 baru ini. Ia memberi petunjuk bahawa model ini mungkin ditawarkan dengan sistem pacuan semua roda tetapi setakat ini masih belum ada sebarang perincian teknikal yang didedahkan.

    K9 yang berada dalam pasaran sekarang ditawarkan dengan tiga pilihan enjin petrol, bermula dengan unit V6 T-GDi 3.3 liter berkuasa 370 PS dan 510 Nm, V6 Lambda II 3.8L NA 315 PS/397 Nm tork, serta V8 GDi 5.0L 425 PS dan 520 Nm tork. Ia dipadankan bersama unit transmisi automatik lapan kelajuan dengan pacuan sama ada belakang sahaja atau semua roda.

    GALERI: Kia K900 2020 pasaran Amerika Syarikat

     
     
  • Honda jual 4.546 juta kereta dalam FY2021 – lima juta unit, dijangka profit operasi lebih rendah untuk FY2022

    Honda jual 4.546 juta kereta dalam FY2021 – lima juta unit, dijangka profit operasi lebih rendah untuk FY2022

    Honda telah mengumumkan leputusan bagi tahun kewangan 2021 (FY2021), di mana ia menyaksikan pengeluar kereta Jepun itu telah mencapai profit operasi sebanyak 660.2 bilion yen. Walau pun angka tersebut dilihat meningkat berbanding 633.6 bilion yen yang direkodkan pada FY2020, namun ia masih kurang berbanding jangkaan yang dibuat oleh penganalisis, laporan Reuters.

    Keuntungan operasi syarikat mengalami penurunan teruk pada suku pertama FY2021, tetapi pada suku berikutnya, ia turut mengalami penyusutan secara konsisten. Suku akhir menyaksikan keuntungan operasi 213.2 bilion yen, yang merupakan keuntungan 218.8% daripada apa yang diperoleh pada tempoh yang sama semasa FY2020.

    Walau pun hasilnya positif, namun. Honda memilih untuk bersikap konservatif mengenai prestasinya bagi tahun kewangan semasa (FY2022), terutamanya disebabkan oleh kekurangan semikonduktor global dan kos bahan mentah yang lebih tinggi.

    Honda jual 4.546 juta kereta dalam FY2021 – lima juta unit, dijangka profit operasi lebih rendah untuk FY2022

    Bagi FY2021, yang bermula dari 1 April 2020 hingga 31 Mac 2021, Honda telah menghantar sebanyak 4.546 juta kereta. Ia bagaimana pun kurang sebanyak 244,000 unit berbanding FY2020, disebabkan permintaan yang rendah angkara pandemik COVID-19.

    Bagi jualan motosikal Honda pula, ia merekodkan sejumlah 15.132 juta, atau 21.8% kurang berbanding dengan pencapaian pada FY2020. Sementara itu, bahagian kelengkapan Honda yang lain (mesin pemotong rumput, generator dan lain-lain) pula menyaksikan penurunan sebanyak 1.4% ke 5.623 juta unit berbanding FY2020.

    Untuk FY2022, Honda menjangkakan jualan bakal meningkat, iaitu sekitar 10% untuk kereta dengan anggaran mencecah lima juta unit, dan permintaan tinggi disasarkan di Amerika Utara, Ia juha dianggarkan peningkatan untuk motosikal iaitu 19% atau 18 juta unit, hasil permintaan kukuh di Asia, serta kelengkapan lain turut dijangka meningkat sekitar 5.9 juta unit atau 4.9%. Walau pun dengan unjuran ini, Honda menjangkakan profit operasi sedikit menurun kepada 660 bilion yen, atas faktor yang disebutkan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025