Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Ford Ranger Raptor X, FX4 2021 dilancar di Australia

    Ford Ranger Raptor X, FX4 2021 dilancar di Australia

    Ford Australia telah mengumumkan pihaknya akan melancarkan Ranger Raptor X dan FX4 terbaru Julai ini untuk pasaran di sana, selepas menunjukkan teaser di akaun Twitter. Ranger Raptor X akan mengalami sedikit kenaikan harga sejumlah AUD$1,700 (RM5.4k), yang menjadi kenaikan keeempat dalam tempoh tiga tahun sejak ia dilancarkan.

    Ranger Raptor X akan hadir dengan jalur corak “Over The Top”, rim aloi dalam warna Asphalt Black, sports bar hitam, cangkuk tunda depan warna merah, logo Ford hitam di belakang, penyudah kesat untuk gril dan kemasan luaran lain, serta jahitan merah pada stereng (menggantikan jahitan biru) dan kemasan hitam untuk papan pemuka dan pintu.

    FX4 pula akan kembali ke pasaran itu dan diposisikan di antara varian XLT dan FX4 Max. Pelanggan boleh memilih antara dua jenis enjin; 3.2 liter lima-silinder turbodiesel yang digandingkan bersama transmisi manual enam-kelajuan. Turut ditawarkan ialah enjin 2.0 liter biturbo yang menghasilkan 213 PS dan 500 Nm, dengan transmisi automatik 10-kelajuan.

    Ciri terbaru termasuklah lampu utama bi-LED, gril mesh hitam FX4, rim aloi 18-inci FX4 unik, sports bar hitam, pelekat hiasan khas dengan kesan 3D. Di dalam, panel instrumen menerima permukaan soft touch dengan jahitan merah, manakala kerusi juga menerima jahitan benang merah dengan lambang FX4. Pengalas kaki khusus juga diberikan, serta kemasan graphite pada panel instrumen dan pintu.

    Harganya bermula dari AUD$59,990 (RM191k) bagi varian paling asas dan naik hingga AUD$63,690 (RM203k) bagi varian enjin 2.0L biturbo. Ini melibatkan kenaikan sekitar AUD$1,000 (RM3,191) berbanding Ranger FX4 sebelum ini yang diperkenalkan pada Ogos 2019.

     
     
  • Kerajaan tangguh kenaikan kadar tol di tiga lebuhraya

    Kerajaan tangguh kenaikan kadar tol di tiga lebuhraya

    Kerajaan telah bersetuju untuk menangguhkan kenaikan kadar tol di tiga lebuhraya hingga tahun hadapan. Perkara ini didedahkan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof seperti dilaporkan oleh Malaysiakini.

    Tiga konsesi lebuhraya yang sepatutnya menaikkan kadar tol sejak 1 Januari lalu ialah Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2). Langkah penangguhan oleh kerajaan itu dilakukan selepas mengambil kira kesan ekonomoi ketika ini ke atas orang ramai akibat pandemik.

    Selain itu, kerajaan juga memutuskan untuk melanjutkan lagi penangguhan kenaikan kadar tol di 21 lebuhraya, termasuk Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Lebuhraya KL-Putrajaya (MEX).

    Menteri berkenaan memaklumkan kerajaan akan menanggung bayaran pampasan sebanyak RM2.25 bilion berikutan keputusan itu. “Anggaran pampasan tersebut adala berdasarkan formula yang telah ditetapkan dalam perjanjian konsesi dan jumlah pampasan sebenar akan ditentukan selepas proses pengesahan trafik dijaankan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM),” jelasnya dalam satu kenyataan.

     
     
  • Honda Indonesia tunjuk teaser model terbaru yang bakal dilancarkan pada 3 Mei — BR-V generasi baru?

    Honda Indonesia tunjuk <em>teaser</em> model terbaru yang bakal dilancarkan pada 3 Mei — BR-V generasi baru?

    Honda Indonesia telah mengeluarkan teaser di laman Facebooknya, mengumumkan pengenalan sulung global secara maya model terbarunya yang akan berlangsung 3 Mei ini. Walaupun tidak dinyatakan dengan jelas model yang dimaksudkan, sebahagian wajah depannya turut ditunjukkan dalam iklan berkenaan.

    Melihat kepada rekaan gril, ia kelihatan tajam, dengan lanjutan dan sambungan ke bahagian lampu utama LED yang juga tampil nipis, bersekali dengan lampu DRL bentuk L. Sayap krom terletak di atas logo Honda, dalam kelebaran penuh bahagian lampu tersebut.

    Ini penggayaan yang berbeza daripada bar krom yang ada pada HR-V semasa dan juga sayap gril pada CR-V. Ia bahkan mirip kepada gaya SUV Honda Passport di pasaran Amerika. Garis bonet juga nampak tajam, meneruskan unsur sama yang dilihat pada palang krom grilnya.

    Honda Indonesia tunjuk <em>teaser</em> model terbaru yang bakal dilancarkan pada 3 Mei — BR-V generasi baru?

    Maka, kemungkinan model mana yang akan diperkenalkan ini? Sesetengah penerbitan di Indonesia menjangkakan Honda BR-V generasi terbaru, dan kami juga berkongsi pandangan yang sama. Pasaran mana lagi yang lebih tepat untuk memperkenalkan model MPV berkenaan (walaupun ia “menyarung” gaya sebuah SUV) selain Indonesia, kan?

    BR-V yang ada hari ini mula diperkenalkan enam tahun lalu di Indonesia. Walaupun ketika GIIAS 2015 kereta yang dipamerkan waktu itu disifatkan sebagai prototaip, kita tahu prototaip Honda biasanya sudah 95% siap untuk diproduksi. Versi lebih hampir kepada produksi dipertontonkan beberapa bulan selepas itu di Thailand, dan nampak seiras, dengan jualannya dimulakan pada tahun 2016. Facelift pertengahan hayat bagi BR-V diberikan pada April 2019.

    MPV terawal Honda untuk pasaran rantau itu ialah Mobilio. Tetapi dengan penggayaan SUV menjadi trend seluruh dunia, maka BR-V hadir untuk membawakan imej itu dan menjadi taruhan utama Honda yang agak berjaya dalam segmennya. Pesaing paling rapatnya di sana ialah model seperti Toyota Rush dan Daihatsu Terios dan Mitsubishi Xpander. Info selanjutnya selepas pelancarannya nanti pada Isnin depan.

     
     
  • Honda Civic generasi ke-11 didedahkan – enjin 1.5L VTEC Turbo lebih berkuasa, banyak teknologi baru

    Honda Civic generasi ke-11 didedahkan – enjin 1.5L VTEC Turbo lebih berkuasa, banyak teknologi baru

    Seperti yang dijanjikan Honda tempoh hari, ini dia tuan puan – Honda Civic generasi ke-11 secara rasminya didedahkan buat pertama kali untuk peringkat global di Amerika Syarikat! Sama seperti model sebelum ini, ia terlebih dahulu diperkenalkan dalam versi sedan, manakala model hatchback akan menyusul selepas ini.

    Menurut Honda, selain diberikan perubahan dari segi rupa yang menyeluruh, Civic generasi baharu ini juga menerima peningkatan pada aspek lain termasuk unit rangkaian kuasa, casis, sistem keselamatan serta teknologi-teknologi lain.

    Model produksi sebenar ini tidak menampilkan perubahan yang banyak berbanding versi prototaip yang didedahkan November tahun lalu. Ia tidak lagi menyerlahkan rekaan yang agresif seperti Civic FC sedia ada, sebaliknya nampak lebih matang seperti Accord.

    Muka Civic ini masih diberikan gril signatur Solid Wing Honda, tetapi ia dihasilkan lebih nipis bersama jalur-jalur melintang dalam kemasan hitam. Ia digandingkan dengan lampu depan yang juga lebih tirus, bersama jalur LED lampu nyalaan siang berbentuk-L. Model produksi ini dibezakan dengan pemadanan lampu kabus pada kemasan berbentuk-C pada bampar hadapan.

    Honda Civic generasi ke-11 didedahkan – enjin 1.5L VTEC Turbo lebih berkuasa, banyak teknologi baru

    Bahagian profil sisi Civic ini antara elemen yang membuatkan ia nampak seakan Honda Accord generasi sedia ada, tetapi dalam skala lebih kecil. Bukan sahaja bentuk, malah perincian seperti rekaan bentuk lengkuk pada tiang-C serta pintu penutup lubang tangki bahan api juga menampilkan rupa yang sama seperti Accord.

    Honda menyatakan bahawa tiang-A pada Civic ini telah ditolak 1.96-inci ke belakang, yang bukan sahaja membuatkan tiang tersebut tidak lagi nampak seperti bersambung dengan hab roda hadapan, malah turut membuatkan bahagian bonet hadapan menampilkan bayang badan yang lebih menarik.

    But belakang Civic generasi baharu ini dihasilkan dengan bentuk lentik seperti diberikan spoiler ekor itik – juga satu lagi rekaan yang disalin dari Accord. Lampu ‘sepit ketam’ pada FC hilang terus, dan digantikan dengan lampu lebih melintang lurus, bersama grafik jalur LED berbentuk-L, membuatkan ia seakan sebuah kereta rekaan jenama Eropah.

    Saiz Civic 2022 ini juga lebih besar dari Civic FC. Panjang keseluruhanya adalah 4,674 mm (33 mm lebih panjang), bersama jarak roda 2,736 mm (36 mm lebih jauh). Namun lebar dan tinggi model baharu ini masih sama seperti sebelumnya, masing-masing 1,415 mm dan 1,801 mm.

    Honda Civic generasi ke-11 didedahkan – enjin 1.5L VTEC Turbo lebih berkuasa, banyak teknologi baru

    Kabin Civic baharu ini juga hampir sama dengan lakaran yang disiarkan ketika pendedahan Civic Prototype sebelum ini. Ia masih menerima rekaan dengan konsep ‘Man-Maximum, Machine-Minimum’ (M/M), tampil dengan rekaan lebih ringkas dalam masa yang sama menambahbaik aspek ergonomik, ruang dan kegunaan.

    Papan pemuka model baharu ini direka ringkas – tiada elemen seperti kapal angkasa pada Civic FC, dan ia hanya menampilkan satu panel panjang dengan elemen gril sarang lebah merentangi papan pemuka tersebut, yang menyembunyikan liang pendingin hawa.

    Skrin infotainmen tidak lagi ‘ditanam’ papan pemuka, sebalikya diletakkan seakan berdiri sendiri di bahagian paling atas. Skrin berkenaan ditawarkan dalam versi tujuh- dan sembilan-inci, serta datang standard dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay.

    Buat pertama kali, Civic ditawarkan sistem bunyi premium Bose, dengan 12 pembesar suara sekeliling kabin yang menawarkan kualiti bunyi yang premium. Suis larasan fizikal untuk sistem pendingin hawa pula diletakkan di tingkat bawah papan pemuka ini.

    Honda Civic generasi ke-11 didedahkan – enjin 1.5L VTEC Turbo lebih berkuasa, banyak teknologi baru

    Konsol terowong tengah bersambung selepas tingkat bawah papan pemuka tersebut. Ia dimulakan dengan ruang storan yang sebenarnya berfungsi sebagai pad pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi, bersama port USB dan soket kuasa 12 volt. Tombol gear diletakkan selepas bahagian berkenaan bersama suis pemilih mod pemanduan, brek parkir elektronik, kawalan brake hold dan juga pemegang cawan.

    Pemandu pula kini menerima paparan instrumen digital yang menggunakan skrin sebenar bersaiz 10.2-inci, namun ciri ini hanya diberikan pada model-model varian tertinggi. Model lebih rendah hanya menerima skrin 7-inci dengan meter kelajuan analog. Roda stereng juga direka semula menampilkan suis-suis kawalan yang lebih konvesional dari Civic FC.

    Honda turut menyatakan bahawa bahagian dalaman Civic baharu ini menggunakan material yang lebih berkualiti. Tempat duduk hadapannya dihasilkan menggunakan kerangka generasi baharu yang dibangunkan menggunakan pendekatan Kerusi Penstabil Badan Honda terkini.

    Pandangan hadapan pada Civic ini juga lebih baik hasil dari rekaan semula pada bahagian luaran, bersama pertambahan ruang pada bahagian bahu penumpang belakang (+25 mm), bahagian pinggul penumpang hadapan (+15 mm) dan juga bahagian pinggul penumpang belakang (+41 mm).

    Honda Civic generasi ke-11 didedahkan – enjin 1.5L VTEC Turbo lebih berkuasa, banyak teknologi baru

    Bagi keselamatan pula, Civic baru ini dilengkapkan dengan teknologi beg udara yang sama seperti Acura TLX dan MDX, menampilkan struktur beg udara hadapan yang boleh menahan kepala bagi mengurangkan putaran ketika berlakunya pelanggaran. Secara keseluruhan, sebanyak 10 beg udara dibekalkan dalam Civic ini, manakala struktur badan Advanced Compatibility Engineering (ACE) menawarkan perlindungan penumpang yang lebih baik ketika pelanggaran hadapan bersudut.

    Pakej sistem bantuan pemanduan Honda Sensing juga dibekalkan secara standard, dan ia kini menggunakan sistem kamera tunggal yang memberikan pandangan lebih lebar berbanding sistem radar bersama kamera yang digunakan sebelum ini. Ia juga dibantu oleh perisian baharu dan pemproses yang lebih berkuasa membolehkan sistem tersebut lebih pantas dan jitu dalam mengesan pejalan kaki, penunggang basikal serta kenderaan lain, serta garis jalan dan juga papan tanda jalan raya.

    Dengan kelengkapan baharu tersebut, ia memberikan fungsi sedia ada untuk beroperasi lebih baik seperti memberikan brek lebih semula jadi serta memberikan reaksi lebih pantas ketika menggunakan Adaptive Cruise Control (ACC), dalam masa yang sama memberikan pergerakan stereng lebih linear dan semula jadi ketika menggunakan Lane Keeping Assist System (LKAS).

    Honda Sensing ini juga turut menampilkan fungsi Traffic Jam Assist dan lapan penderia sonar, yang membolehkan operasi sistem Low-Speed Braking Control serta kawalan salah tekan pedal untuk hadapan dan belakang.

    Honda Civic generasi ke-11 didedahkan – enjin 1.5L VTEC Turbo lebih berkuasa, banyak teknologi baru

    Untuk pasaran Amerika Syarikat, varian Civic LX dan Sport menerima enjin petrol 2.0 liter empat-silinder DOHC i-VTEC yang menghasilkan 158 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 187 Nm pada takat 4,200 rpm.

    Manakala varian EX dan Touring masih dibekalkan dengan enjin 1.5 liter VTEC Turbo yang ditala bagi menghasilkan kuasa sedikit lebih besar. Enjin tersebut mampu menghasilkan 180 hp pada takat 6,000 rpm (+6 hp) dan tork maksima 240 Nm bermula 1,700 hingga 4,500 rpm (+20 Nm) jika menggunakan petrol dengan standard oktana 87 Amerika Syarikat.

    Kedua-dua enjin tersebut masih digandingkan dengan kotak gear CVT automatik. Khas untuk versi NA, transmisi berkenaan diberikan pam hidraulik yang lebih lasak yang mampu mengurangkan beban pada pam mekanikal serta dilengkapkan dengan syaf sekunder dengan galas bebola bagi mengurangkan geseran. CVT pada enjin turbo turut dipertingkat dengan torque converter baharu yang lebih berprestasi serta menampilkan program Step-Shift yang ditala semula.

    Model Sport dan Touring kini ditambah dengan mod Sport, bersama mod Normal dan Eco yang masih dikekalkan. Mod tersebut menala semula nisbah pemanduan dan juga pemetaan bagi memberikan rasa lebih sporty, serta merubah lampu pada paparan meter kepada warna merah. Mod Eco pula akan mengurangkan kadar sensitif pada pendikit dan transmisi, serta output pada pendingin hawa bagi memberikan pengunaan bahan api lebih baik.

    Honda Civic generasi ke-11 didedahkan – enjin 1.5L VTEC Turbo lebih berkuasa, banyak teknologi baru

    Untuk pengendalian pula, Topang McPherson pada Civic ini menerima sendi bebola geseran rendah dan juga galas cagak penyerap hentak hadapan bagi memberikan rasa dan balasan stereng lebih baik. Jajaran penyerap hentak dan spring pula dioptimakan bagi mengurangkan geseran ketika beroperasi.

    Di belakang, trek roda telah dilebarkan lagi 12.7 mm bagi memberikan kestabilan lebih baik, bersama bushing lebih besar dan juga paksi bushing yang dipertingkat bagi mengurangkan kekasaran. Dua lengan bawah pada suspensi belakang ini juga dibekalkan dengan bushing baharu yang mengurangkan bunyi serta getaran ke dalam kabin, serta memberikan kestabilan ketika jalan lurus dan masuk ke selekoh.

    Civic ini masih menggunakan sistem stereng kuasa elektrik, dan Honda telah menala semula sistem tersebut bagi memberikan respon serta kestabilan laluan lurus yang lebih baik. Brek hadapan pula menampilkan angkup dengan seretan rendah dan juga galas roda yang lebih rendah geseran bagi mengurangkan rintangan golekan serta memberikan ekonomi bahan api lebih baik.

    Subframe aluminium hadapan Civic ini direka bagi menampilkan struktur lebih kukuh, untuk ketegaran dan kestabilan lebih bagus. Sistem ekzos pada model ini pula menggunakan tiub lentur baharu yang lebih ringan bagi mengurangkan pemindahan bunyi.

    Honda Civic generasi ke-11 versi sedan ini akan diproduksi di fasiliti Honda di Alliston, Ontario, Kanada. Harga untuk model baharu ini hanya akan diumumkan selepas ini. Manakala untuk Hatchback, produksinya turut akan dipindahkan ke Amerika Syarikat kerana kilang di Swindon, UK sudah ditutup, dan bakal menggunakan kilang Honda di Greensburg, Indiana.

    Agaknya lama lagi tak Civic generasi ke-11 ini akan tiba di Malaysia? Menerusi petunjuk yang diberikan oleh presiden dan COO Honda Malaysia Sarly Adle Sarkum, ia mungkin akan mendarat di sini pada tahun ini juga. Namun pada jangkaan kami, ia mungkin hanya akan diprebiu di Malaysia tahun ini, dan hanya akan dilancarkan pada pasaran tempatan tahun hadapan.


     
     
  • Yamaha NVX 2021 tiba di Malaysia – Y-Connect diberi terus, enjin 155 cc VVA 15.4 PS, harga dari RM8,998

    Yamaha NVX 2021 tiba di Malaysia – Y-Connect diberi terus, enjin 155 cc VVA 15.4 PS, harga dari RM8,998

    Diperkenalkan buat kali pertama November tahun lalu di Indonesia, kini Yamaha NVX 2021 dilancarkan untuk pasaran Malaysia dalam dua versi iaitu Standard pada harga RM8,998 dan ABS pada harga RM10,998 tidak termasuk insurans dan cukai jalan.

    Model NVX baru ini mendapat panel badan baru sepenuhnya, dengan kedua-dua lampu hadapan dan belakang menggunakan sistem LED. Versi Standard ditawarkan dalam warna merah dan cyan, sementara versi ABS pula disediakan dalam warna perak dan biru.

    Meskipun masih menggunakan unit enjin satu silinder SOHC suntikan bahan api 155 cc dengan sistem VVA seperti sebelum ini, kuasa model baru ini bertambah sedikit menjadi 15.4 PS pada 8,000 rpm dan 13.9 Nm tork pada 6,500 rpm.

    Bahagian lain yang dipertingkat adalah seperti tangki bahan api, di mana sekarang kapasitinya menjadi 5.5 liter (sebelum ini 4.6 liter) dan panel instrumen digital LCD baru, yang boleh disambungkan dengan sistem Y-Connect.

    Sistem ini diberikan terus untuk kedua-dua versi NVX 2021, dan ia membolehkan motosikal disambung dengan aplikasi di dalam telefon bimbit, untuk memberikan fungsi seperti tahap minyak enjin dan bateri, penggunaan bahan api, peringatan waktu servis serta lokasi terakhir motosikal. Notifikasi panggilan dan mesej juga boleh terpapar pada panel instrumen.

    Kelengkapan lain yang terdapat pada NVX 2021 adalah termasuk brek hadapan jenis cakera, brek belakang dram, soket pengecas USB, transmisi automatik V, rim 14 inci depan dan belakang dengan tayar 110/80 dan 140/70, fork teleskopik dan dua penyerap hentak di belakang.

    Jika dibandingkan antara dua versi yang ditawarkan, versi ABS mendapat kelebihan brek ABS one-channel di hadapan, sistem start/stop, suspensi belakang dengan subtank serta sistem kunci pintar. Seperti yang dinyatakan awal tadi, pilihan warnanya juga adalah berbeza.

    Setiap pembelian akan didatangkan dengan jaminan pengeluar dua tahun atau 20,000 km, serta kunci cakera brek bernilai RM100 secara percuma. Sebagai makluman, NVX 2021 ini adalah model Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) yang pertama dilengkapi dengan sistem Y-Connect.

     
     
  • Lotus akan bangunkan kereta sport baru bersama Alpine dan kenderaan “gaya hidup” – SUV mungkin?

    Lotus akan bangunkan kereta sport baru bersama Alpine dan kenderaan “gaya hidup” – SUV mungkin?

    Selain mengumumkan tarikh pengenalan dan nama model kereta sport terbaru Emira, Lotus turut mengesahkan syarikat itu akan membangunkan dua lagi platform atau seni bina kenderaan untuk kegunaan model barunya kelak, dengan yang pertama dijangka dikeluarkan pada 2025. Dengan hypercar elektrik Evija, ini bermaksud Lotus akan mempunyai empat platform kenderaan keseluruhannya.

    Satu daripada platform berkenaan adalah untuk kereta sport elektrik, dikenali E-Sports akan menjadi asas kerjasama dengan Apline. Pengarah Urusan Lotus, Matt Windle berkata platform baru ini “modular dan fleksibel” dan telah mencabar pasukannya untuk menghasilkan kenderaan dengan berat yang sama berbanding model kereta sport enjin pembakaran dalaman terkini jenama itu.

    Platform kedua, yang mungkin lebih menarik untuk ramai orang berbanding peminat tegar Lotus ialah platform Evolution bagi kenderaan premium. Syarikat itu berhasrat untuk membina barisan kenderaan “gaya hidup” yang akan memacu keuntungan lebih banyak untuk jenama berkenaan. Antara yang dijangka akan dikeluarkan ialah SUV. Lotus tidak dikenali sebagai pengeluar kenderaan premium, tetapi disebabkan berada di bawah Geely — dengan adanya jenama lain seperti Volvo yang bernaung sama — maka ini adalah kemungkinan yang boleh dijangka.

    Lotus akan bangunkan kereta sport baru bersama Alpine dan kenderaan “gaya hidup” – SUV mungkin?

    Selain itu, Lotus akan memperkenalkan Emira pada 6 Julai ini terlebih dahulu, yang menggunakan platform aluminium diperkaya dikenali dengan nama Elemental. Emira akan menjadi kereta dengan enjin pembakaran dalaman terakhir bakal dihasilkan Lotus, dan akan menggantikan model seperti Elise, Exige dan Evora yang akan dihentikan pengeluaran tahun ini.

    Turut akan diperkenalkan tahun ini ialah Evija, yang dibina menggunakan platform hypercar elektrik Extreme dengan sasaran output sebanyak 2,000 PS dan 1,700 Nm tork. Lotus juga telah mengesahkan model terbabit akan memanfaatkan sistem geokod what3words untuk navigasi, yang akan turut melengkapi Emira.

    Walaupun semua platform ini unik untuk Lotus di bawah keluarga besar Geely, syarikat itu akan menawarkannya juga kepada pengeluar kenderaan lain melalui perundingan Lotus Engineering; ini mungkin bakal menyaksikan lebih banyak model kenderaan yang menggunaan platformnya di masa hadapan.

     
     
  • Harga minyak 29 Apr-5 Mei – Semuanya dikekalkan

    Harga minyak 29 Apr-5 Mei – Semuanya dikekalkan

    Kementerian Kewangan mengumumkan tiada perubahan harga untuk ketiga-tiga bahan api di negara ini untuk minggu bertarikh 29 April hingga 5 Mei 2021.

    Ini bermakna harga runcit petrol RON97 kekal pada paras RM2.58 seliter. Begitu juga dengan harga runcit petrol RON95 yang telah pun mencapai harga siling dan masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Begitu juga dengan harga runcit diesel yang turut kekal pada paras RM2.15 seliter untuk gred Euro 2M dan RM2.25 seliter bagi Euro 5 (B7).

    Kementerian terbabit turut menambah, bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga sebenar minyak di pasaran global, kerajaan mengekalkan harga runcit petrol RON95 pada paras harga siling RM2.05 seliter dan diesel RM2.15 seliter, sungguhpun harga pasaran sebenar bagi kedua-dua produk telah meningkat melebihi paras harga siling yang telah ditetapkan.

    “Kerajaan juga akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” ujar kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi.

     
     
  • Video “Hyperdrive” Mitsubishi Triton Athlete Malaysia catat lebih 2 juta tontonan — lihat aksinya di sini!

    Jika ada satu kelebihan yang sukar ditandingi pada trak pikap, hal itu ialah ketangkasan dan kelasakan yang dimilikinya. Mitsubishi Triton Athlete juga tidak terlepas daripada menampilkan aspek berkenaan seperti yang dapat dilihat dalam video rasmi pengenalannya sebelum ini.

    Sekiranya ada yang belum pernah menontonnya ketika pelancarannya tempohari, di sini kami tampilkan aksi meyakinkan Triton Athlete berkenaan, yang pertama kali dipertontonkan ketika pengenalan mayanya awal bulan ini. Video berkenaan sudah mencatatkan lebih daripada dua juta tontonan setakat ini.

    Triton Athlete tidak hanya tampil dengan reka bentuk dan wajah yang kental dan berotot, tetapi turut memberikan kemampuan kendalian lasak yang melengkapi imej serta ketangkasannya dalam pemanduan sebenar. Tampil dengan kemasan hitam berkilat di bahagian luar menyuntik kelainan imejnya.

    Video “Hyperdrive” Mitsubishi Triton Athlete Malaysia catat lebih 2 juta tontonan — lihat aksinya di sini!

    Warna Sun Flare Orange Pearl yang dilihat pada model ini juga diteruskan di bahagian dalam, dengan penggunaan perincian jahitan benar oren di beberapa tempat. Menggantikan varian Adventure X, Athlete kekal menggunakan enjin 2.4 liter MIVEC turbodiesel yang menjana 181 PS dan 430 Nm tork, digandingkan bersama transmisi automatik enam-kelajuan, ada juga sistem Super Select 4WD-II dengan kawalan menuruni curam.

    Sebagai penawaran varian paling tinggi bagi Triton ketika ini, Athlete juga datang lengkap dengan sistem kamera 360-darjah, dashcam serta head unit dengan skrin sentuh tujuh-inci bersama sokongan Android Auto dan Apple CarPlay. Ciri keselamatan juga lengkap dengan fungsi seperti Forward Collision Mitigation (FCM), Blind Spot Warning dengan Lane Change Assist (BSW with LCA), Rear Cross Traffic Alert (RCTA), Ultrasonic Misacceleration Mitigation System (UMS), Auto High Beam (AHB) dan tujuh beg udara.

     
     
  • Lotus Emira dalam teaser — model terakhir guna enjin petrol, binaan aluminium ringan baru, lancar 6 Julai

    Lotus Emira dalam <em>teaser</em> — model terakhir guna enjin petrol, binaan aluminium ringan baru, lancar 6 Julai

    Awal tahun ini, Lotus sahkan khabar angin sebuah model baru yang diberi kod Type 131 akan diperkenalkan tahun ini. Tiga bulan kemudian, pengeluar kereta sport British itu tidak hanya mengesahkan tarikh pengenalan tersebut — iaitu pada 6 Julai — tetapi turut mendedahkan namamnya; Emira.

    Nama berkenaan jelas mengambil inspirasi daripada model Evija, sebuah hypercar elektrik dengan janaan kuasa sebanyak 2,000 PS. Menurut Lotus, nama Emira terkandung di dalam beberapa bahasa purba dan kerap diterjemahkan sebagai “pemimpin” atau “ketua”, walaupun dalam maksud yang paling kecil bagi kedua-dua perkataan tersebut.

    Lotus Emira dalam <em>teaser</em> — model terakhir guna enjin petrol, binaan aluminium ringan baru, lancar 6 Julai

    Beberapa gambar teaser juga telah didedahkan sekali, menampilkan pendekataan rekaan yang kelihatan seperti dipinjam daripada Evija. Ini paling ketara pada bahagian depan, di mana lampu utama nipis diberikan kepada model baru ini (dengan dua jalur bagi DRL) serta bonet yang tampil dalam reka bentuk segi tiga.

    Lotus turut mengumumkan bahawa Emira bukanlah sebuah kereta hibrid. Ia sebetulnya akan menjadi model terakhir yang dikuasakan oleh enjin pembakaran dalaman, menggunakan unit daripada rakan niaga baru dan didakwa sangat cekap dengan memanfaatkan teknologi terkini dan ditala untuk memberikan pengalaman Lotus yang tersendiri. Mungkinkan ini unit Volvo 2.0 liter turbocas empat-silinder dari kumpulan yang sama, Geely?

    Emira akan turut menggunakan seni bina ringan yang fleksibel dikenali sebagai Elemental, yang memanfaatkan teknologi aluminium seperti yang dipelopori pada model Elise. Emira ini juga akan menggantikan Elise, Exige dan juga Evora yang lebih besar, dengan pengeluaran bagi ketiga-tiga model berkenaan berakhir hujung tahun ini.

    Lotus mempunyai perancangan besar selain melibatkan Emira dan Evija ini, dengan syarikat itu juga sedang membangunkan dua lagi seni bina lain untuk segmen pasaran berbeza. Yang pertama, sebuah platform premium dikenali Evolution, dihadirkan untuk meletakkan Lotus ke dalam pasaran kenderaan gaya hidup (SUV) sementara satu lagi platform untuk kereta sport elektrik dikenali E-Sports akan menjadi asas kerjasama dengan Apline.

     
     
  • Auto Bavaria lancar pusat Service Fast Lane pertama di Malaysia – dedikasi khas untuk model BMW, MINI

    Auto Bavaria lancar pusat Service Fast Lane pertama di Malaysia – dedikasi khas untuk model BMW, MINI

    Auto Bavaria Penang telah melancarkan pusat Service Fast Lane yang pertama di Malaysia, yang bakal melengkapkan perkhidmatan selepas jualan yang disediakan di negeri terbabit. Ia menyediakan fasiliti membaikpulih dan servis penyelenggaraan khas untuk kenderaan BMW dan MINI, dan mensasarkan dapat menyelesaikan perkhidmatan yang diperlukan pada kadar masa yang pantas.

    Terletak di Jalan Sungai Pinang, pusat Service Fast Lane ini dibangunkan dalam kawasan seluas 30,000 kaki persegi dan dilengkapi dengan lounge pelanggan premium, enam petak penyelenggaraan dan juga dua petak RATC (Reception at the Car). Pusat ini menyediakan kepakaran dalam membaikpulih dan menyelenggara dengan pantas untuk penyelenggaraan biasa, membaik pulih kosmetik, penukaran tayar dan sebagainya.

    “Pusat Service Fast Lane kami direka untuk menyesuaikan rutin pelanggan dengan gangguan minimal. Jadual janjitemu perkhidmatan juga lebih fleksibel, membolehkan pelanggan membawa kereta mereka pada waktu yang paling sesuai. Dengan Service Fast Lane, penyelenggaraan dan pembaikan dapat dilakukan dalam masa yang singkat, sementara pelanggan menghirup kopi mereka dan berehat di lounge kami, ”kata Vi Thim Juan, pengarah urusan Auto Bavaria.

    Pelanggan yang menghantar kereta mereka ke pusat ini akan diberikan taklimat ringkas mengenai kos penyelenggaraan atau pembaikian, serta tempoh masa yang diperlukan untuk menyiapkan perkhidmatan berkenaan. Ini bagi memastikan ketelusan, terutamanya bagi menentukan kos anggaran sebelum memulakan perkhidmatan bagi memastikan pelanggan dapat membuat keputusan mengenai penyelenggaraan kereta mereka.

    Untuk meraikan pelancaran pusat baharu ini, pelanggan yang menghantar kereta BMW atau MINI mereka untuk diselenggara di sini sepanjang Mei 2021, akan ditawarkan 72-poin pemeriksaan secara percuma.

    Pusat ini beroperasi selama enam hari seminggu antara jam 8 pagi hingga 5 petang dari Isnin hingga Jumaat, dan dari 8 pagi hingga 12.30 tengahari pada setiap Sabtu, kecuali Ahad dan cuti umum.

     
     
  • Warga Malaysia raih anugerah “Instructor of the Year” oleh Lembaga Keselamatan Kanak-Kanak AS

    Warga Malaysia raih anugerah “Instructor of the Year” oleh Lembaga Keselamatan Kanak-Kanak AS

    Seorang warga Malaysia, Jchanet Tan, telah menerima anugerah International Instructor Of the Year daripada National Child Passenger Safety Board (NCPSB) di Amerika Syarikat, memetik satu kenyataan yang dikeluarkan oleh organisasi tersebut. Ditaja oleh Toyota Motor Amerika Utara, anugerah berkenaan diberikan kepada Tan diatas sumbangannya terhadap peraturan keselamatan penumpang kanak-kanak di Malaysia.

    Tan sebelum ini memulakan advokasinya pada tahun 2017 melalui kehadirannya yang dibiayai sendiri dalam kursus sijil National Child Passenger Safety Technician (CPST), dan kemudiannya memperoleh gelaran pelatih pada Mac 2018. Tan menyampaikan kursus pertama CPST kebangsaan di Malaysia tidak lama selepas itu, dan telah melatih 77 juruteknik setakat ini, termasuk 12 di Singapura.

    Beliau juga telah memulakan organisasi bukan-kerajaan pertama di Malaysia yang memberikan dedikasi agar kanak-kanak kekal selamat ketika berada di atas jalan raya. Laman Facebook kumpulan itu kini telah mencatatkan lebih daripada 27,000 pengikut.

    Usaha Tan termasuklah mengadakan “pit stop” untuk pemeriksaan kerusi keselamatan kanak-kanak segera, program pengesahan produk kerusi kanak-kanak yang selamat untuk pembelian serta program sewa-untuk-beli bagi penjaga berpendapatan rendah.

    “Untuk mengubah cara negara ini berfikir tentang keselamatan penumpang kanak-kanak di dalam kenderaan adalah legasi Jchanet Tan, yang mengambil ikhtiar sendiri untuk menjadi juruteknik serta pelatih. Beliau telah menjadi perubahan itu sendiri, dan mempamerkan bahawa tiada had atau sempadan di dunia ini untuk keselamatan penumpang kanak-kanak,” ujar Pengerusi NCPSB, Lonny Haschel.

     
     
  • Honda Malaysia panggil balik 77,708 kereta kerana isu pam bahan api – model buatan dari 2018 hingga 2020

    Honda Malaysia panggil balik 77,708 kereta kerana isu pam bahan api – model buatan dari 2018 hingga 2020

    Honda Malaysia (HMSB) telah mengumumkan panggilan balik yang melibatkan 77,708 unit kereta Honda pelbagai model. Panggilan balik ini adalah bagi menggantikan pam bahan api pada unit kereta berkenaan, dan ia merupakan lanjutan daripada kempen yang sama dibuat pada Jun tahun lalu.

    Model Honda yang terlibat dengan kempen terbaharu ini adalah yang dipasang pada tahun 2018 hingga 2020, dan senarai penuhnya ada di carta di bawah. Menurut HMSB, semua model jualan semasa adalah tidak terlibat dengan panggilan balik ini.

    Menurut HMSB, langkah pencegahan ini adalah untuk mengatasi kemungkinan terdapat kesukaran untuk menghidupkan enjin, kehilangan kuasa enjin atau kenderaan terhenti kerana pam minyak yang rosak. Walau bagaimana pun, sehingga kini, tidak ada kejadian kemalangan atau kecederaan yang disebabkan oleh isu ini di Malaysia.

    Honda Malaysia panggil balik 77,708 kereta kerana isu pam bahan api – model buatan dari 2018 hingga 2020

    Semua pelanggan Honda yang terlibat akan dimaklumkan menerusi surat notifikasi, termasuklah perincian mengenai panggilan balik ini. Pelanggan juga boleh menyemak sekiranya kereta mereka terlibat dengan panggilan balik pam bahan api ini menerusi aplikasi HondaTouch.

    HMSB turut menggesa agar semua pelanggan yang terlibat untuk segera menghubungi mana-mana pengedar Honda bertauliah untuk membuat temujanji sebaik sahaja menerima notifikasi bagi menggantikan pam bahan ini, tertakluk kepada ketersediaan alat ganti terbabit. Penggantian pam minyak tersebut adalah percuma dan semua kos berkaitan akan ditanggung oleh HMSB.

     
     
  • BMW lantik Hans de Visser sebagai Pengarah Urusan, CEO baharu BMW Group Malaysia efektif 1 Mei 2021

    BMW lantik Hans de Visser sebagai Pengarah Urusan, CEO baharu BMW Group Malaysia efektif 1 Mei 2021

    BMW Group Malaysia bakal menerima Pengarah Urusan dan CEO baharu berkuatkuasa pada 1 Mei 2021. Pelantikan Hans de Visser untuk memegang jawatan penting berkenaan diputuskan oleh BMW Group AG. Ia adalah bagi menggantikan Pengarah Urusan dan CEO sedia ada, Harald Hoelzl.

    Menurut BMW, de Visser mempunyai pengalaman melebihi 29 tahun dalam pelbagai jawatan di BMW Group, bermula sebagai Pengurus dalam Komunikasi Pemasaran di BMW Motorrad, Munich. Sebelum jawatan semasanya di BMW Russia selaku Pengarah Pemasaran, de Visser telah berkhidmat dengan memenuhi peranan-peranan yang berbeza dalam bidang jualan dan pemasaran di pelbagai pasaran secara global, termasuk Timur Tengah, Eropah Timur-Tengah, Sepanyol dan ibu pejabat BMW Group di Munich.

    Hendrik von Kuenheim, Naib Presiden Kanan Rantau Asia Pasifik, Eropah Timur, Timur Tengah, dan Afrika berkata, “Pengalaman Hans yang luas dalam bidang pemasaran dan jualan yang melibatkan pelbagai peranan, serta latar belakang antarabangsanya pasti dapat memberi manfaat yang besar dalam jawatan beliau yang baharu.”

    BMW lantik Hans de Visser sebagai Pengarah Urusan, CEO baharu BMW Group Malaysia efektif 1 Mei 2021

    Harald Hoelzl

    Harald Hoelzl, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif semasa di BMW Group Malaysia sejak 1 Mac 2018, akan mengiringi de Visser sepanjang dua bulannya yang pertama di Malaysia sebelum menggalas peranan baharu untuk BMW Group di Vienna, Austria.

    Sepanjang tempoh beliau di Malaysia, Hoelzl telah menerajui BMW Group Malaysia sehingga mencapai semula posisi nombor satu dengan penguasaan lebih daripada 52% bahagian pasaran dalam segmen yang didudukinya, iaitu yang tertinggi bagi pengeluar kenderaan premium ini di seluruh dunia.

    BMW Group Malaysia telah mencatat pencapaian terbaik dalam Net Promoter Scoring (NPS) bagi perihal kepuasan pelanggan, yang menyaksikan lebih 90% pengguna memberi maklum balas positif melibatkan pengalaman mereka dengan jenama BMW dan MINI pada tahun 2020 – iaitu pencapaian kedua terbaik yang digarap dalam jaringan BMW Group.

    Hoelzl juga berjaya menerajui BMW Group Malaysia untuk menjadi pembekal mobiliti berelektrik nombor satu serta pemasang automotif keluaran tempatan (CKD) nombor satu di Malaysia.

     
     
  • Hyundai Kona N – ‘Hot SUV’ berkuasa 280 PS/392 Nm, 0-100 km/j 5.5 saat, diberi talaan untuk litar lumba!

    Hyundai Kona N – ‘Hot SUV’ berkuasa 280 PS/392 Nm, 0-100 km/j 5.5 saat, diberi talaan untuk litar lumba!

    Setelah berberapa teaser disiarkan, ini dia, SUV kompak berprestasi tinggi Hyundai Kona N secara rasminya didedahkan! Menurut Hyundai, Kona N merupakan ‘Hot SUV sebenar’ pertama yang menggabungkan kebolehan beraksi di litar bersama sifat serba boleh sebuah kenderaan pelbagai guna.

    Kona N merupakan juga SUV pertama yang menerima sentuhan penuh sayap perlumbaan Hyundai N selepas hot-hatch i30 N, Veloster N dan i20 N. Seperti anda boleh lihat, gambar yang disertakan pada pendedahan ini menunjukkan Kona N beraksi di Litar Nurburgring, tempat model-model N Hyundai diuji dan ditala.

    “Kona N merupakan hot SUV sebenar dengan tahap prestasi sama seperti hot-hatch. Ia memecahkan tradisi SUV yang dianggap kurang menyeronokkan untuk dipandu. Sebagai model N, ia melangkaui had SUV biasa. Kona N boleh dibelasah pada selekoh di litar lumba dan memberikan keseronokan pemanduan seharian,” kata Albert Biermann, presiden dan ketua R&D Hyundai.

    Sama seperti i30 N facelift dengan Performance Package yang diperkenalkan tahun lalu, Kona N menerima enjin 2.0 liter turbo empat silinder berkuasa 280 PS dan tork maksima 392 Nm, dipadankan dengan kotak gear automatik N DCT klac berkembar lapan-kelajuan jenis basah, memacu hanya roda hadapan.

    Hyundai Kona N – ‘Hot SUV’ berkuasa 280 PS/392 Nm, 0-100 km/j 5.5 saat, diberi talaan untuk litar lumba!

    Transmisi N DCT berkenaan adalah versi yang ditingkat taraf dari kotak gear 8DCT yang dibangunkan sendiri oleh Hyundai. Ia dihasilkan untuk digunakan pada model-model berprestasi N penuh, menampilkan ketahanan yang lebih kuat, nisbah gear unik dan juga unit kawalan komputer yang ditala untuk N bagi memberikan tukaran lebih pantas.

    Gandingan enjin dan kotak gear ini juga diberikan mod pemanduan seperti N Grin Shift (NGS), N Power Shift (NPS) dan N Track Sense Shift (NTS). Dengan mod NGS, pemandu akan diberikan kuasa tambahan 10 PS dengan hanya menekan satu butang merah pada roda stereng bagi mendapatkan kuasa keseluruhan 290 PS. Manakala dengan sistem Launch Control, Hyundai Kona N mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 5.5 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 240 km/j.

    Tipikal sebuah jentera N, Kona N ini juga menerima casis yang ditingkat taraf dari Kona biasa. Badan SUV ini diberikan titik-titik kimpalan yang lebih banyak, struktur gegelang topang yang dipertingkat dan juga kerangka yang diperkuat bagi memberikan casis yang lebih keras serta mengurangkan olengan badan.

    Hyundai Kona N – ‘Hot SUV’ berkuasa 280 PS/392 Nm, 0-100 km/j 5.5 saat, diberi talaan untuk litar lumba!

    Ia juga diberikan LSD elektronik yang digelar N Corner Carving Differential, untuk cengkaman roda hadapan lebih baik ketika mengambil selekoh, bersama rim aloi forged 19-inci lebih ringan dan tayar berprestasi, serta set brek lebih besar dengan angkup merah menyerlahkan logo N.

    Menurut Hyundai, Kona N untuk varian asas datang standard dengan Launch Control, Sistem Ekzos Bervariasi, dan juga N Grin Control System – sistem terakhir yang diberitahu tersebut menawarkan lima mod pemanduan (Eco, Normal, Sport, N, Custom) yang akan melaras semula parameter operasi untuk enjin, kawalan kestabilan elektronik, bunyi ekzos dan juga stereng.

    Untuk kabin, Hyundai menyifatkan Kona N diberikan kokpit “pengalaman permainan video dalam dunia nyata” menampilkan skrin 10-inci untuk sistem infotainmen dan kluster instrumen digital dengan “paparan head-up perlumbaan” yang ditambah dimensi seperti dalam permainan video dalam mod N dan Sport. Mod N direka bagi memberikan elemen yang didigitalkan serta memberikan informasi seperti masa satu pusingan lap di litar, peta litar N yang memberitahu kedudukan kereta dalam litar.

    Hyundai Kona N – ‘Hot SUV’ berkuasa 280 PS/392 Nm, 0-100 km/j 5.5 saat, diberi talaan untuk litar lumba!

    Kona N juga menampilkan butang N yang boleh diatur sendiri oleh pemandu sebagai ciri tambahan, yang boleh dibuat menerusi mod toggle custom. Mod ini boleh dipra-tetap mengikut kemahuan pemandu. Butang-butang tersebut turut boleh menghidupkan dan mematikan pemasa lap. Bagi Kona N pasaran Eropah, ia turut diberikan fungsi N Road Sense, yang akan secara automatik mensarankan mod N diaktifkan apabila mengesan papan tanda jalan berliku – jahat betul dia punya hasutan.

    Bagi rupa pula, Kona N menampilkan penggayaan yang hampir sama seperti Kona N-Line (yang bakal dilancarkan di Malaysia). Rupa lebih garang SUV ini disumbangkan oleh gril sarang lebah yang lebih lebar bersama logo N, jalur serlahan merah pada skirt sisi bersama lencana N dan juga diffuser belakang yang juga lebih agresif bersama dua tip ekzos lebih besar.

    Bahagian atas pintu tailgate belakang Kona N ini menerima spoiler bumbung dengan dua sayap, bersama lampu brek tiga segi yang bersepadu. Kona N juga merupakan model pertama yang diperkenalkan dengan warna badan Sonic Blue, iaitu satu lagi warna istimewa untuk divisi N Hyundai selain warna rasmi mereka, Performance Blue. Hyundai N menyatakan warna tersebut adalah “prebiu untuk pengembangan model SUV” mereka – macam petunjuk untuk Tucson N pula kan?

    Seperti model N lain, kabin Kona N ini juga menampilkan serlahan-serlahan warna Performance Blue, lencana-lencana N, serta perincian unik N termasuk tempat duduk sport, roda stereng, tombol gear dan set pedal aloi.

     
     
  • Isuzu D-Max 2021 — perincian mengikut spesifikasi

    Isuzu D-Max 2021 — perincian mengikut spesifikasi

    Isuzu Malaysia akhirnya memperkenalkan secara rasmi model D-Max generasi ketiga serba baru untuk pasaran tempatan semalam. Seperti yang kita sedia maklum, ada tujuh varian semuanya yang ditawarkan (sebelum ini ada 11 varian), dengan harga bermula dari RM89k hingga RM142k. Semuanya bawa masuk dari Thailand, dan memang ada perancangan untuk pemasangan tempatan nanti.

    Ia dimulakan dengan model Single Cab paling asas, dengan dengan pilihan enjin 1.9 liter (RM88,599) atau 3.0 liter (RM95,538); diikuti oleh 1.9 liter Standard 4×4 manual (RM99,599) atau automatik (RM106,999); Premium 4×4 Automatik 1.9 liter (RM121,549) dan 3.0 liter (RM128,038). Semua enam varian ini datang dengan jaminan lima-tahun atau 150,000 km sebagai standard.

    Varian paling tinggi yang baru diperkenalkan kini ialah X-Terrain 3.0 liter 4×4 (RM141,938). Ini taruhan Isuzu untuk peringkat penawaran gaya hidup, misalnya untuk menyaingi Ford Ranger Wildtrak, Toyota Hilux 2.8 Rogue AT, Mitsubishi Trition Athlete dan juga Nissan Navara Pro-4X.
    Mari kita lihat pecahan perincian spesifikasi bagi setiap varian Isuzu D-Max serba baru yang ada kini.

      Isuzu D-Max 1.9L 4×4 Single Cab 2021 — RM88,599

      Isuzu D-Max 2021 — perincian mengikut spesifikasi

      Kelengkapan standard:

      Mekanikal

    • 1.9 liter RZ4E-TC suntikan terus commonrail diesel
    • 1,898 cc empat-silinder dengan Variable Geometry Turbo
    • 150 PS pada 3,600 rpm, 350 Nm dari 1,800 hingga 2,600 rpm
    • Manual enam-kelajuan
    • Sistem 4×4 Terrain Command
    • Cakera brek berliang (depan), dram (belakang)
    • Double wishbone independen dengan gegelung spring (depan), leaf springs (belakang)
    • Luaran

    • Lampu utama reflektor halogen dengan fungsi “Follow Me Home”
    • Bampar tanpa cat
    • Gril depan hitam
    • Rim besi 16-inci dengan tayar 205R16C
    • Cermin sisi larasan kuasa elektrik, perumah tanpa cat
    • Pemegang pintu hitam
    • Lampu belakang halogen
    • Rim gantian saiz penuh
    • Warna badan Spash White sahaja
    • Dalaman

    • Stereng empat-jejari urethane
    • Penghidup enjin biasa
    • Meter instrumen analog dengan paparan 3.5-inci monokrom LCD
    • Kawalan pendingin hawa manual, zon-tunggal
    • Head unit 1-DIN dengan USB, dua pembesar suara
    • Pemegang pada tiang A
    • Kerusi balutan plastik, larasan empat hala
    • Tingkap kuasa dengan automatik turun untuk pemandu
    • Alas kaki getah
    • Keselamatan

    • Dua beg udara
    • ABS dengan EBD dan Brake Assist
    • Kawalan kestabilan elektronik
    • Sistem kawalan cengkaman
    • Bantuan mula mendaki
    • Kawalan menuruni curam
    • Sistem override brek
    • Lampu isyarat kecemasan
    • Lain-lain

    • Jaminan lima-tahun atau 150,000 km
    • Isuzu D-Max 3.0L 4×4 Single Cab 2021 — RM95,538

      Isuzu D-Max 2021 — perincian mengikut spesifikasi

      Tambahan:

      Mekanikal

    • 3.0 liter 4JJ3-TCX suntikan terus commonrail diesel
    • 2,999 cc empat-silinder diesel dengan Variable Geometry Turbo
    • 190 PS pada 3,600 rpm, 450 Nm tork dari 1,600 hingga 2,600 rpm
    • Isuzu D-Max 1.9L 4×4 MT Standard 2021 — RM99,599

      Kelengkapan standard:

      Luaran

    • Badan twin cab
    • Bampar depan dan belakang dicat
    • Gril depan kelabu kesat
    • Rim aloi 17-inci dengan tayar 255/65
    • Cermin sisi warna badan, dengan lampu isyarat
    • Pemegang pintu warna badan
    • Pilihan warna Splash White, Onyx Black, Mercury Silver, Valencia Orange dan Sapphire Blue
    • Isuzu D-Max 2021 — perincian mengikut spesifikasi

      Dalaman

    • Head unit 2-DIN dengan CD, USB dan Bluetooth
    • Enam pembesar suara
    • Kluster instrumen e-Lumax Isuzu dengan paparan LCD 4.2-inci
    • Larasan stereng tilt dan teleskopik
    • Kemasan kerusi balutan kain dengan larasan enam-hala untuk pemandu, empat-hala untuk penumpang
    • Tingkap berkuasa untuk semua pintu, turun automatik untuk pemandu
    • Corong pendingin belakang dengan slot pengecas 2.1A
    • Kunci auto pintu peka kelajuan
    • Alas kaki karpet
    • Keselamatan

    • Isofix dengan cangkuk atas
    • Kunci perlindungan kanak-kanak untuk pintu belakang
    • Empat sensor parkir
    • Isuzu D-Max 1.9L 4×4 AT Standard 2021 — RM106,999

      Tambahan:

      Mekanikal

    • Automatik enam-kelajuan dengan Sequential Shift
    • Luaran

    • Lampu utama projektor Bi-LED dengan fungsi “Follow Me Home”
    • DRL LED
    • Isuzu D-Max 1.9L 4×4 AT Premium 2021 — RM121,549

      Isuzu D-Max 2021 — perincian mengikut spesifikasi

      Kelengkapan standard:

      Luaran

    • Lampu utama projektor Bi-LED automatik dengan fungsi “Follow Me Home”
    • Lampu kabus depan dan belakang
    • Lampu belakang kombinasi LED
    • Rim aloi 18-inci dengan tayar 265/60 All-Terrain
    • Tayar ganti 18-inci dengan saiz 265/60
    • Perumah cermin sis krom dengan lampu isyarat
    • Pemegang pintu krom
    • Pemijak sisi warna perak
    • Bantuan tailgate
    • Pilihan warna Silky Pearl White, Onyx Black, Mercury Silver, Valencia Orange dan Sapphire Blue
    • Dalaman

    • Skrin sentuh tujuh-inci dengan Apple CarPlay, Android Auto, Miracast, Mirrorlink, Wifi, USB dan Bluetooth
    • Lapan pembesar suara dengan tweeter pada bumbung
    • Stereng multi-fungsi baluran kulit
    • Sistem tanpa kunci dengan butang penghidup
    • Welcome Light
    • Walk-Away Door Lock
    • Kerusi balutan kulit hitam, larasan enam-hala untuk pemandu, empat-hala untuk penumpang
    • Tingkap kuasa pada semua pintu, turun/naik automatik dan “anti-pinch” untuk pemandu
    • Cermin pandang belakang elektrokromatik
    • Kawalan pendingin automatik dua-zon
    • Tombol gear kulit dengan kemasan satin krom
    • Plastik permukaan lembut pada panel
    • Keselamatan

    • Sistem peninjau titik buta
    • Amaran lintasan trafik belakang
    • Sistem kawalan melayar pasif
    • Kamera undur
    • Empat sensor parkir depan
    • Isuzu D-Max 3.0L 4×4 AT Premium 2021 — RM128,038

      Tambahan:

      Dalaman

    • Kerusi penumpang larasan enam-hala manual
    • Isuzu D-Max 3.0L 4×4 AT X-Terrain 2021 — RM141,938

      Isuzu D-Max 2021 — perincian mengikut spesifikasi

      Kelengkapan standard:

      Luaran

    • Rim aloi kelabu gelap 18-inci dengan tayar 265/60 All-Terrain
    • Gril depan kelabu gelap
    • Kemasan warna perak pada bampar depan
    • Lampu utama bi-LED larasan ketinggian automatik
    • Landasan bumbung
    • Cermin utama dan sisi nyah-infrared
    • Pengilap Aerofoil dengan penyembur bersekali
    • Talam barangan boleh luncur
    • Perumah cermin sisi, pemegang pintu dan fender tambahan kelabu gelap
    • Pemijak sisi kelabu gelap
    • Warna Valencia Orange dan Sapphire Blue
    • Dalaman

    • Paparan skrin sentuh sembilan-inci dengan Apple CarPlay, Android Auto, Miracast, Mirrorlink, Wifi, USB dan Bluetooth
    • Penghidup enjin jarak jauh
    • Kerusi dan papan pemuka balutan kulit coklat
    • Kerusi berkuasa larasan lapan-hala dengan sokongan lumbar untuk pemandu
    • Isuzu D-Max 2021 — perincian mengikut spesifikasi

      Keselamatan

    • Kawalan melayar adaptif dengan fungsi Stop/Go
    • Amaran perlanggaran depan
    • Brek kecemasan autonomous
    • Turn Assist
    • Sistem penghindaran salah operasi pedal
    • Pengehad kelajuan manual
    • Bantuan lampu tinggi automatik
    • Amaran penukaran lorong
    • Brek multi-perlanggaran
    • Sistem penggera dengan immobiliser kod kunci
    • Tujuh beg udara termasuk bahagian lutut pemandu
    • Lain-lain

    • Jaminan tujuh-tahun tanpa had perbatuan

    Isuzu D-Max 3.0L 4×4 AT X-Terrain 2021 — RM141,938

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025